Bedah siasat kedua Kugan 'tidak tepat'

Bilangan kecederaan yang disenaraikan dalam laporan bedah siasat kedua terhadap A Kugan "tidak tepat kerana termasuk luka yang disebabkan oleh pemeriksaan semasa bedah siasat pertama," kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican menyangkal dakwaan keluarga Kugan semalam yang menyatakan bedah siasat pertama oleh pakar patologi Hospital Serdang menyenaraikan 22 kesan kecederaan pada mayat, berbanding laporan kedua yang mendapati hampir 40 kecederaan, kesan bakar dan calar.

"Laporan bedah siasat Hospital Serdang didapati penemuan sebanyak 83 perlukaan dan kecederaan di badan mendiang. 

"Deskripsi setiap perlukaan dan kecederaan juga adalah lebih terperinci dalam laporan bedah siasat Hospital Serdang," Bernamamemetik Dr Mohd Ismail berkata.

Keluarga mendiang semalam membuat aduan polis, mempertikaikan perbezaan ketara antara laporan bedah siasat hospital itu dengan laporan kedua di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Bedah siasat pertama mendapati punca kematian akibat terdapat cecair di dalam paru-paru, manakala bedah siasat kedua mendapati kematian pemuda 22 tahun ini akibat kegagalan buah pinggang selepas aliran darah tersekat.

Susulan perbezaan dua laporan itu dan pertikaian beberapa pihak, Kementerian Kesihatan bercadang mengadakan siasatan bebas bagi berlaku adil kepada semua pihak, kata Dr Mohd Ismail lagi.

Tambahnya, tindakan itu diambil susulan wujud tuduhan tidak berasas terhadap kementerian, terutamanya pakar patologi forensik Hospital Serdang yang menjalankan bedah siasat awal.

Keputusan siasatan akan dimaklumkan setelah ia selesai dilaksanakan.

Dalam kenyataan kepada agensi berita itu, Dr Mohd Ismail juga menegaskan bahawa kementerian tidak menyembunyikan fakta dan penemuan bedah siasat seperti yang dilaporkan.

"Bedah siasat ke atas mendiang telah dilakukan secara beretika dan
profesional oleh seorang pakar patologi forensik yang mahir dan berpengalaman luas selama lebih daripada 20 tahun," beliau dipetik berkata.

Beliau berkata, walaupun pendapat pakar patologi forensik boleh berbeza dalam menentukan sebab kematian, namun kebiasaannya penemuan semasa pemeriksaa hampir serupa seperti yang berlaku dalam kes Kugan.

Tambahnya, apa yang penting dalam kes itu ialah penemuan kedua-dua pakar yang terlibat hampir sama jika laporan-laporan itu
diteliti dengan baik.                                                                 -malaysiakini-

PPSMI: PM risau tekanan makin besar

Perdana menteri meminta isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diselesaikan segera kerana bimbang bantahan orang ramai makin meluas pada masa depan.

"Saya harap keputusan ini akan dibuat segera. Kalau tidak nanti
tekanan-tekanan dan tindakan-tindakan NGO akan berterusan
dan akan menjadi isu yang lebih besar," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Menurut Bernama, beliau berkata kerajaan mengakui adanya desakan yang kuat daripada rakyat khusunya orang Melayu yang sedang memberi perhatian terhadap perkara terbabit.

Abdullah mengulas demonstrasi besar anjuran Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) ke Istana Negara petang ini selepas melancarkan novelDragon Fire Hammer karya penulis berusia 14 tahun, Adam Umemoto di Petaling Jaya.

Beliau berkata Kementerian Pelajaran telah mengadakan beberapa perjumpaan dengan NGO bagi membincangkan perkara berkaitan PPSMI.

Bagaimanapun, tambahnya, kementerian berkenaan buat masa ini belum bersedia untuk mengumumkan bentuk keputusan yang telah diambil itu.

"Dengan adanya keputusan-keputusan peperiksaan yang boleh memberi asas kepada kementerian untuk membuat keputusan, maka saya percaya keputusan itu perlu menjadi keputusan yang baik bagi mengukuhkan kepentingan rakyat dan masa depan kita," perdana menteri dipetik berkata.

Pelaksanaan dasar kontroversi itu sejak 2003 mencetuskan  perdebatan hangat dan kebelakangan ini ia melimpah dalam bentuk bantahan serius, termasuk penggiat sastera Melayu dengan laporan polis, ugutan saman dan demonstrasi besar.

Kira-kira 8,000 orang yang berarak membantah PPSMI dari Masjid
Negara bagi menyerah memorandum kepada pihak Yang di-Pertuan Agong dihujani puluhan das gas pemedih mata sekitar Kampung Attap.                                                                                  -malaysiakini-

Demo anti-PPSMI dihujani gas polis

Gerakan aktivis bahasa menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mencipta sejarah apabila turun ke jalan raya, mengulangi peristiwa perarakan Keranda 152 beberapa dekad lalu. 

ppsmi march 070309 crowd.jpgPeristiwa bersejarah pada 3 Mac 1967 itu bagi membantah Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), waktu itu antara lokasi penting kegiatan sasterawan dan intelektual Melayu. 

Mereka merancang mengadakan bantahan ke Parlimen. Nombor '152' merujuk Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh fasal Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia.

Hari ini, selepas 42 tahun peristiwa penting dalam perjuangan mendaulatkan Bahasa Melayu, kira-kira 8,000 orang berarak dari Masjid Negara selepas jam 2 petang tadi.

Mereka bagaimanapun dihujani tembakan gas pemedih mata oleh polis di sekitar Kampung Attap, hanya beberapa ratus meter dari pintu masuk utama Istana Negara. 

anti ppsmi rally 070209 climbing to palacePeserta perhimpunan itu - yang asalnya hanya dibenarkan oleh polis diadakan di masjid tersebut - melanggar arahan polis yang melarang sebarang perarakan.

Mereka berhasrat membawa memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda dalam pemansuhan dasar kontroversi itu yang diperkenalkan sejak 2003. 

Polis pada mulanya berkawal dekat mahkamah syariah Wilayah Persekutuan, beberapa ratus meter dari Masjid Negara, jalan menuju istana melalui Lebuhraya Mahameru. 

Untuk memintas sekatan polis di situ, kumpulan ribuan penentang dasar tersebut - termasuk pemimpin dan penyokong PAS dan PKR - bergerak melalui jejantas depan masjid menuju ke arah Kampung Attap melalui Jalan Syed Putra.

anti ppsmi rally 070209 tear gasPolis melepaskan berpuluh-puluh das gas pemedih mata ke arah kumpulan penentang dasar PPSMI di situ bermula jam 2.40 petang sehingga memecahkan kumpulan tersebut kepada beberapa kelompok kecil. 

Suasana kelam-kabut, orang ramai yang berpakaian putih dengan tulisan merah "Mansuhkan PPSMI" dan "Selamatkan Bahasa Melayu" - sebagai lambang membantah PPSMI - di barisan hadapan bertempiaran lari. 

Walaupun kelihatan asap gas pemedih mata berkepul-kepul di udara, barisan belakang peserta perhimpunan terus bergerak ke depan, dengan harapan dapat menuju ke Istana Negara.

ppsmi march 070309 tear gas.jpgMereka bersurai seketika bagi mengelak kesan asap gas pemedih mata. Manakala sebahagian lagi terus berdegil cuba berarak ke istana walaupun diminta bergerak pulang ke masjid.

Polis antirusuhan pula memancutkan air kepada orang ramai di jalan pendek menuju mahkamah syariah dari arah Jalan Syed Putra sewaktu mereka ingin pulang ke lokasi awal perhimpunan.

Sebahagian peserta demonstrasi telah kembali ke Masjid Negara selepas jam 3 petang tadi. 

Ratusan orang ramai yang berkumpul di perkarangan masjid sekali lagi ditembak dengan gas pemedih mata. Beberapa das tembakan kedengaran.

Sementara di Istana Negara, kawalan lebih 150 anggota polis dan unit pencegah rusuhan FRU, termasuk kenderaan pemancut air.

Polis membuka semula laluan hampir jam 4 petang di Lebuhraya Mahameru dari kedua-dua arah yang ditutup selama 90 minit bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

anti ppsmi rally 070209 rally bannerEmpat lelaki berusia, dijangka antara 30-an hingga 50-an, ditahan polis dan mereka dimasukkan di dalam sebuah trak di depan istana. 

Butiran lanjut belum diperolehi. UsahaMalaysiakini mendapatkan ulasan pegawai polis di situ gagal.

Penasihat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP), yang menganjurkan perhimpunan itu, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan pengerusinya Datuk Dr Hassan Ahmad berjaya menyerahkan memorandum anti-PPSMI.

Penolong Datuk Paduka Maharajalela, Azuan Effendy Zairakithnaini menerima memorandum bersejarah itu di pintu masuk utama Istana Negara kira-kira jam 2.50 petang. 

Lima lagi pemimpin GMP yang dijadual menyerahkan memorandum tersebut tidak kelihatan, dipercayai tersekat dalam kumpulan penyokong gerakan itu.

Bercakap kepada media selepas penyerahan tersebut, A Samad berkata rombongan pemimpin GMP pada asalnya merancang ke istana dengan kereta, bagaimanapun ia gagal kerana kesesakan.

"Saya berjalan (ke istana), sepatutnya diiringi dengan motokar," katanya.

anti ppsmi rally 070209 pak samad chokesTambahnya, inilah "pengalaman pertama" matanya pedih dan melalui keadaan tolak-menolak dalam kumpulan penentang PPSMI sewaktu menuju ke istana.

"Rupa-rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa," katanya (dua dari kanan).

Perjuangan menentang dasar ini tidak akan berhenti hari ini, katanya lagi, malah ia akan diteruskan pada masa akan datang.

Selain Ketua I Persatuan Penulis Nasional (Pena) Datuk Baha Zain dan beberapa sasterawan Melayu, pemimpin pembangkang yang kelihatan termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya Nasharuddin Mat Isa, naib presiden Mohamad Sabu, setiausaha agung Datuk Kamaruddin Jaafar, ketua penerangan Datuk Mahfuz Omar dan naib ketua Angkatan Muda PKR Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.                                                           -malaysiakini-

Polis tembak gas pemedih mata

Azamin Amin | Foto Nasir Sudin 
KUALA LUMPUR, 7 Mac (Hrkh)
 - Menurut Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman yang berada di lokasi berhampiran Istana Negara memaklumkan bahawa Sasterawan Negara A. Samad Said dikasari sebelum diiringi ke hadapan pintu utama Istana Negara.

FRU kini katanya telah melancarkan tembakan gas pemedih mata kepada para peserta himpunan dan dalam masa yang sama pasukan anggota polis kelihatan mengejar beberapa para peserta di lokasi berdekatan stesen Keretapi KTM berdekatan Istana Negara.

Menurut beliau, kawasan sekitar Istana Negara kelihatan 'memutih' kerana lebih 100,000 orang ramai masih bertahan sungguhpun terasa bahang gas pemedih mata yang dilancarkan oleh FRU.

"Saya sudah tak nampak kawasan sekitar, mata sangat pedih kena tembakan gas...saya akan maklumkan kemudian," katanya singkat ketika menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.Image

Dilaporkan Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pimpinan PAS termasuk para pejuang bahasa yang lain turut berada di sekitar kawasan istana negara.

Sebelum mereka berarak kira-kira jam 2.10 petang tadi, kelihatan ketua Persatuan Penulis Nasional (Pena) Dato' Baha Zain dan Naib presiden PAS Mohamad Sabu di Masjid sejak sebelum solat zohor, kira-kira jam 1.15 petang tadi.

Kira-kira jam 3.15 petang Lutfi memaklumkan bahawa ribuan orang ramai sudah mula berundur dari Istana Negara ke Masjid Negara kerana 'asakan' dan serangan Imageyang dilakukan oleh pihak FRU dan para peserta di minta berkumpul ke sana.

Pada 3.40 petang, Lutfi menjelaskan bahawa terdapat sedikit percanggahan maklumat bahawa A. Samad Said ditangkap berikutan suasana kelam-kabut di pekarangan sekitar Istana Negara sedangkan beliau sebenarnya diiringi pihak polis memasuki kawasan tersebut.

Namun dikatakan bahawa cara 'penahanan' untuk mengiringi Sasterawan itu dilihat agak kasar.Image

Sementara itu, kata Lutfi pihak polis sudah melepaskan berdas-das tembakan gas pemedih mata kepada orang ramai yang berkumpul di dalam Masjid Negara sehingga salah sebuah jam di masjid tersebut pecah di samping menyebabkan suasana menjadi tegang.

Kini Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Dato' Ustaz Abu Bakar Chik sedang berunding dengan pihak polis manakala ribuan orang ramai masih memenuhi pekarangan dan juga di dalam masjid

Mutakhir kira-kira jam 4.45 petang tadi, Lutfi melaporkan ribuan orang ramai yang berada di Masjid Negara telah bersurai secara beransur-ansur dan difahamkan memo bantahan dan mansuhkan PPSMI berjaya diserahkan kepada pihak istana -

Himpunan 100 ribu: Polis bedil Masjid Negara,124 ditahan!




Oleh Irwan,Saidah,Anis,Intan,Salmiyah, Roy, Arif & Atriza.  KUALA LUMPUR, 7 Mac (Hrkh) - Maklumat terkini daripada petugas Harakah di lokasi memaklumkan bahawa pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata dan pancutan air daripada 'Water Cannon' kepada orang ramai yang berada di dalam kawasan Masjid Negara.

Berikut adalah beberapa perkembangan terkini yang dibawa secara langsung oleh para wartawan Harakah yang bertugas di 3 lokasi perhimpunan serta di kawasan Istana Negara:

5.00 petang: Ketika berita ini ditulis,dilaporkan seramai 124 orang telah ditahan.

3.45 petang: Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar dan Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli dihalang pihak polis daripada bergerak ke Istana Negara.

3.25 petang: Sebahagian peserta himpunan tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam masjid oleh pihak polis.

3.15 petang: Pihak berkuasa mula menyembur pancutan air daripada 'Water Cannon' dan melepaskan gas pemedih mata sebanyak 5 das kepada orang ramai yang sedang berehat di Masjid Negara.

3.00 petang: Ustaz Riduan Mohd Nor mengajak orang ramai untuk kembali semula ke Masjid Negara memandangkan pihak polis masih bertalu melepaskan gas pemedih mata.

2.55 petang: Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said kelihatan berada di pintu pagar Istana Negara. Sebelum itu,beliau kelihatan diiringi pihak polis untuk masuk ke dalam kawasan istana dan keluar semula kira-kira 15 minit kemudian.

2.50 petang: Polis masih terus melepaskan gas pemedih mata. Dalam masa yang sama amaran dikeluarkan agar semua bersurai jika tidak tangkapan akan dilakukan.

2.35petang: pihak polis mula melepaskan berpuluh gas pemedih mata.

2.30 petang: Dianggarkan lebih 150 ribu orang sedang berusaha untuk menembusi sekatan FRU di jalan menghala ke Istana Negara.

2.21 petang: Kumpulan daripada Sogo yang berarak telah mula bersatu dengan kumpulan daripada Dayabumi,dianggarkan lebih 5,000 orang ketika ini sedang bergerak ke arah Istana Negara.

Sementara itu, dilaporkan bahawa FRU sedang mengalihkan trak untuk membuat hadangan terhadap kumpulan daripada Masjid Negara.

2.20 petang: Dianggarkan lebih 1,000 orang sedang berarak daripada Pasar Seni ke arah Dataran Merdeka dengan dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar Chik.

Sementara itu, di Istana Negara para wartawan telah diarahkan untuk meninggalkan kawasan istana oleh polis. Dilaporkan,pihak polis sedang membuat hadangan di hadapan istana.

2.16 petang: Sementara di Pasar Seni, Ustaz Abu bakar Chik sedang membaca doa dan pihak polis telah membenarkan kumpulan di situ untuk berarak.

2.15 petang: Namun, rantaian sekatan yang dibuat FRU telah dirempuh oleh rakyat yang berhimpun dengan laungan 'Allahuakbar'!

2.10 petang: FRU ketika ini sedang menghalang rakyat yang berhimpun di Masjid Negara daripada berarak ke Istana Negara.

2.05 petang:Pihak polis sedang menghalang beberapa kumpulan di Pasar seni daripada berhimpun dan berarak ke Masjid Negara.

2.00 petang: Beberapa pimpinan Pakatan Rakyat sertai AJK GMP sedang berucap untuk menaikkan semangat rakyat yang hadir agar berarak ke Istana Negara.

1.52 petang: Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub,Dr Syed Azman, Dato' Mahfuz Omar sedang memimpin perarakan daripada Kompleks Sogo bersama lebih 1,000 orang yang menyokong untuk membantah dasar PPSMI.

Walaupun,hujan turun namun semua bersemangat dengan meneriak pelbagai slogan.

1.50 petang:Pihak kerajaan melaksanakan 'languange cleansing' (pembersihan bahasa) kerana berdegil untuk meneruskan dasar PPSMI walaupun dibantah oleh rakyat.

1.35 petang: Dua buah bas yang membawa orang asli daripada Tapah,Perak telah ditahan pihak polis di Damansara dan dibawa ke Balai Polis Sentul untuk disoal siasat.

1.25 petang:Sekumpulan wakil daripada Chinese Assembly Hall telah tiba di pekarangan Masjid Negara dan turut menyatakan sokongan terhadap bantahan PPSMI.

1.15 petang:Sasterawan Negara,Dato' A. Samad Said melahirkan kekecewaan dengan sistem demokrasi negara apabila dilaporkan dua buah bas yang sedang menuju ke Masjid Negara telah ditahan polis.

1.10 petang:Pihak polis mengarahkan sepanduk membantah PPSMI diturunkan di Masjid Negara.

1.00 petang: Dato' Dr Hassan Ahmad melahirkan rasa terharu dengan jumlah kehadiran yang begitu ramai hari ini dan ia jelas menandakan PPSMI ditolak oleh rakyat.

Dalam pada itu, Dr Hassan memaklumkan setelah berunding dengan wakil GMP,pihak polis hanya membenarkan sebanyak 7 orang dengan 3 buah kereta bergerak ke Istana Negara selepas solat Zohor (sekitar jam 2.00 petang). Turut serta adalah beberapa wakil NGO berbangsa Cina. Namun, pihak polis masih melarang untuk diadakan sebarang perarakan,tetapi perhimpunan hanya dibenarkan di kawasan masjid sahaja.

12.50 tengahari: Kira-kira 10,000 orang sudah mula berhimpun di sekitar kawasan Masjid Negara dengan memakai baju berwarna putih.

12.45 tengahari: Lebih 1,500 orang daripada Kelantan telah tiba di KL Sentral melalui keretapi dan kini telah bergerak ke tiga lokasi yang ditentukan oleh pihak penganjur.

12.45 tengahari:Keadaan di Masjid Negara masih terkawal,namun anggota polis dianggarkan lebih 50 orang ditempatkan sekitar kawasan masjid.

12.30 tengahari: Jalan dari arah Jalan Klang Lama dan Parlimen telah ditutup oleh pihak polis.

12.00 tengahari: Kawasan sekitar Pasar seni mula gamat dengan anggota polis yang ditambah lebih 100 orang. Sementara itu, di hadapan bangunan Jawi kelihatan 3 buah trak 'Water Cannon'.

11.40 pagi: Pihak polis dan FRU kelihatan telah bersedia di kawasan Istana Negara. Trak 'Water Cannon' hanya sebuah tetapi anggota FRU dianggar sekitar 100 orang. Dalam pada itu, helikopter kelihatan berlegar di kawasan istana.

11.20 pagi:Kawasan pusat membeli belah Sogo mula terasa bahangnya apabila bilangan anggota polis mula bertambah lebih 100 orang.

10.35 pagi: Kawasan membeli belah Kompleks Sogo pula kelihatan lebih 30 anggota polis sedang berkawal,namun suasana masih terkawal.

10.20 pagi: Tinjauan harakahdaily mendapati sebanyak 5 buah trak FRU kelihatan di Dataran Merdeka.

10.04 pagi: Kawasan di sekitar pasar Seni mula terasa bahang Himpunan apabila beberapa kelompok orang ramai di lihat berkumpul. wartawan Irwan,melaporkan kelihatan lebih 30 anggota polis di kawasan ketak kereta Pasar Seni.

9.20 pagi: Jalan menuju ke pusat bandar raya dari arah Jalan Kuching mula sesak apabila pihak polis mula mengadakan sekatan jalan raya.

9.00 pagi: Helikopter milik pasukan polis mula kelihatan dan berlegar di sekitar bandaraya. 

Isyarat jelas rakyat tolak PPSMI, himpunan 100,000 berjaya! - Abu Bakar Chik




Azamin Amin  KUALA LUMPUR, 7 Mac (Hrkh) - Sungguhpun himpunan 100,000 hari ini dianggap hebat dan luar biasa kejayaannya namun insiden kekasaran dan serangan pihak polis yang terpaksa menurut arahan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak boleh diterima sama sekali.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat Dato' Abu Bakar Chik berkata serangan bertubi-tubi dan tanpa belas kasihan itu tidak mematahkan semangat tinggi dan 'membakar' hasrat rakyat khususnya para pejuang bahasa yang mahu menjujung dan memartabatkan Bahasa Melayu sekaligus membantah dasar PPSMI yang diperkenal kerajaan BN.

"Saya bersyukur dan rasa terharu dengan sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat seluruhnya yang sanggup bersusah-payah mengharungi asakan pihak polis untuk menyampaikan suara hati mereka kepada Yang Dipertuan Agong.

"Target dan hasrat kita hari tercapai dengan terkumpulnya lebih 100,000 rakyat dan serahan memo juga berjaya disampaikan," katanya ketika dhubungi Harakahdaily kira-kira jam 5.00 petang tadi.

Beliau juga kagum dengan semangat para pejuang bahasa yang menunggu dan bersama-sama rakyat berarak dari mula acara sehinggalah himpunan bersurai seusai bacaan doa di adakan di pekarangan masjid negara kira-kira 4.45 petang tadi

"Isyaratnya sudah jelas, rakyat sangat-sangat tidak puas hati terhadap dasar kerajaan BN dalam menggangkat bahasa Melayu dan meneruskan dasar PPSMI itu. Oleh itu rakyat mahukan perubahan dan tidak mahu melihat lagi kedegilan kerajaan BN.

"Justeru kita berharap agar Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-raja akan memperhalusi dan mempertimbangkan isu ini demi kedaulatan Bahasa Melayu di negara ini," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu.

Sementara itu, beliau yang kecewa dengan sikap dan tindak tanduk polis yang sewajarnya melindungi orang awam dan para peserta daripada berlaku insiden tidak diingini sebaliknya mencetuskan suasana huru-hara mengakibatkan ramai pihak yang diasak teruk dan mengalami kecederaan.

"Asalnya polis benarkan, tiba-tiba di penghujung meraka bertindak kasar kepada orang ramai. Saya kira ini bukan kehendak mereka tetapi terpaksa ikut arahan BN yang tidak peduli keselamatan rakyat dan meremehkan suara mereka

"Yang hadir ada 60, 70 tahun ke atas malah kanak-kanak juga terpaksa menghadapi gas pemedih mata dan insiden kejar-mengejar yang menjadikan suasana hiruk-pikuk sedangan PDRM berperanan menjaga keselamatan. Saya sangat kecewa dengan tindakan polis yang hanya mengikut telunjuk Bn yang terang menganiaya rakyat" katanya dengan penuh semangat.

Katanya pihak polis perlu menghormati rakyat yang bersungguh-sungguh hadir untuk menunjukkan sokongan memartabatkan bahasa melayu dan bukan datang seperti 'penjenayah' yang wajar diperlakukan sebegitu rupa.

Di akhir perbualan beliau sekali lagi merasa bersyukur dan menganggap ianya satu sejarah telah tercipta membuktikan rakyat sudah berani bersuara untuk memastikan kerajaan bertindak demi kepentingan bahasa, bangsa dan agama.

Institusi Raja jangan hanya bersifat simbolik - Prof Aziz Bari

Muhammad Arif Ismail 
SHAH ALAM, 7 Mac (Hrkh) -
 Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, institusi rRaja jangan hanya bersifat simbolik yang hanya membuka sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen semata-mata.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai bidang kuasa raja berperlembagaan di Malaysia dalam satu Forum mengenai 'Raja Berperlembagaan dan kemelut' dekat sini, baru-baru ini.

Forum anjuran Ikatan Ilmuan Nasional (Ilmuan) itu disertai oleh dua orang panelis; Peguam Haji Sulaiman Abdullah dan Profesor Dr. Abdul Aziz Bari yang dipengerusikan oleh Prof. Madya Zainal Kidam dari UNISEL.

"Mengenai bidang kuasa raja, payah nak buat senarai. Cuma kita kita boleh buat kajian mengenai apa itu Raja berperlembagaan dalam konteks negara kita.

"Bidang kuasa raja adalah yang pertama bersifat simbolik. Ia membawa maksud kerja raja hanya buka persidangan parlimen," katanya.

Menurut beliau, gambar raja terpapar di merata-rata tempat supaya tindak tanduk kerajaan tidak bersifat partisme, yang menyampaikan pingat itu bukan orang politik tetapi raja.

"Tetapi yang menjadi masalahnya ialah bagaimana hendak membataskan kuasa raja. Kebanyakan kuasa raja adalah bersifat ceremonial atau upacara.

"Salah satunya ialah kuasa raja ialah ketua dalam bidang agama yang dibolehkan menjalankan kuasa agama tanpa nasihat kerajaan memerintah. Ini sudah termaktub dalam pelembagaan persekutuan dan negeri.

"Namun yang menjadi persoalan ialah adakah betul raja sebagai ketua agama menlaksanakan kuasa ini tanpa mendapat nasihat dari kerajaan.

"Ini bukan isu yang kecil, kerana Islam pada hari ini berkaitan dengan pengurusan masjid, pentadbiran wakaf, mahkamah syariah dan banyak perkara lagi yang berkaitan dengan islam," katanya.

Serta katanya lagi, Islam juga telah menjadi satu elemen penting dalam mewarnai seluruh kehidupan sebagai seorang muslim pada hari ini.

"Oleh itu, adakah mampu raja melaksanakan semua ini dan mungkin kebanyakan raja di Malaysia tidak mempunyai kelulusan dalam bidang agama. Ini masalahnya.

"Begitu juga, tugas raja sebagai ketua tertinggi panglima angkatan tentera Malaysia. Adakah semua raja mengalami latihan biasa untuk menjadi seorang tentera seperti institusi beraja di England. Tidak semestinya," tegas beliau.

Aneh : Bekas pesaar lafaz taat setia kepada kerajaan kudeta Perak

HUTAN MELINTANG : Dalam satu majlis yang dihadiri oleh salah seorang Exco kudeta Perak, Saarani Mohamad kejadian lucu dan aneh berlaku apabila semua orang ramai dipaksa mengucapkan taat setia menerusi lafaz ikrar diketuai oleh bekas pesara Jabatan Pelajaran Daerah Hilir Perak, Abdul Sani Chik.

Ke mana pula orang yang belum bersara dari perkhidmatannya. Adakah hanya yang bersara sahaja, walaupun bukan banyak mana yang menyokong kerajaan kudeta di Perak dipaksa untuk melafaz taat setia kepada mereka.

Pada kesempatan itu Saarani berkata kerajaan rampasan kuasa akan terus melaksanakan program untuk kebajikan rakyat sekalipun menerima tentangan daripada Pakatan Rakyat.

Beliau mengatakan Pakatan Rakyat tidak dapat menerima hakikat mereka sudah kehilangan kuasa. Sedangkan Saarani tidak sedar kerajaan yang disokongnya sekarang diambil secara haram melalui satu proses rampasan kuasa.

Pada kesempatan itu beliau mengatakan kerajaan kudeta adalah sah dari segi undang-undang tanpa mengatakan apakah hujah yang menyokong kenyataan itu.
                                                                                                                                          http://idhamlim.blogspot.com/

PENJELASAN AGUS MENGENAI KONTROVERSI SIDANG DUN BAWAH POKOK


Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang diadakan di bawah pokok baru-baru ini adalah satu perkembangan politik yang luar biasa di Malaysia. Pensyarah Sains Politik UKM, Prof. Madya Mohammad Agus Yussoff, adalah antara banyak pihak yang dihubungi oleh media untuk memberikan komennya. Bagaimanapun, komen Agus yang sepenuhnya tidak disiarkan oleh pihak media. Ini menyebabkan Agus dilanda kontroversi.

Di bawah ini adalah kenyataan penuh Agus yang diemailkan kepada blog ini untuk tatapan sahabat-sahabat sekalian. Moga-moga kekeliruan sebelum ini difahami oleh semua pihak, di manakah silap dan puncanya. – Ruhanie Ahmad.

Assalamualaikum wrth,

Terima kasih kerana telah dua kali berturut-turut dalam dua minggu ini laman blog Datuk menulis nama saya dan mengulas pandangan saya tentang isu politik semasa. Pertamanya, ulasan terhadap ranacangan Hujah di TV9 antara Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dengan Tan Sri Isa Samad. Keduanya, ulasan Datuk tentang pandangan yang saya berikan kepada wartawan mengenai kesahihan persidangan DUN Perak di bawah pokok -- yang Datuk namakan 'pokok demokrasi.'

Pertama sekali, perlu saya nyatakan bahawa saya tidak ingat kepada wartawan dari akhbar atau stesen TV manakah yang saya katakan bahawa sah sidang DUN diadakan di atas pokok. Ini kerana pada hari itu, terlalu ramai wartawan yang menghubungi saya untuk bertanyakan pelbagai persoalan berkaitan dengan perkembangan politik semasa.

Kedua, saya mengaku saya berkata bahawa sah diadakan sidang DUN, bukan sahaja di bawah pokok, tetapi juga di atas pokok. Kepada wartawan yang sama juga saya jelaskan beberapa perkara berkaitan dengan rasa isi saya tentang politik supaya dituliskan, jika boleh, kerana saya sedih melihatkan krisis politik yang berlaku. Namun, apa yang saya katakan kepada wartawan berkenaan tidak dimasukkan secara sepenuhnya, melainkan disensasikan dengan satu kenyataan -- SIDANG DI ATAS POKOK PUN SAH.

Saya memang menyatakan sidang sah diadakan di mana-mana, tapi dengan tiga syarat utama seperti berikut: (i) sidang itu mengikuti Peraturan Tetap Dewan; (ii) sidang tersebut mengikuti undang-undang Tubuh Negeri, dan (iii) sidang berkenaan ditetapkan oleh Speaker. Malangnya, ketiga-tiga syarat yang saya nyatakan ini tidak dilaporkan oleh pihak akhbar.

Saya juga ditanya oleh pihak akhbar, adakah perkenan Sultan diperlukan? Saya jawab, perkenan Sultan adalah wajib sekiranya sidang lepas adalah prorogue (dihentikan), tetapi, tidak perlu sekiranya sidang lepas 'was adjourned' (ditangguhkan). Hal ini dilaporkan oleh media berkenaan.

Selepas itu saya ditanya, sah atau tidaknya persidangan tersebut? Saya jawab persoalan ini sukar untuk dijawab dalam bentuk afirmatif kerana ia sudah menjadi satu krisis politik dan bukan lagi undang-undang. Jadi, payah untuk diselesaikan secara undang-undang, melainkan melalui penyelesaian politik. Alasan saya ialah, sekiranya melalui tindakan undang-undang, kedua-dua pihak yang bertelagah sukar untuk menerima keputusan mahkamah. Maksudnya, jika mahkamah memutuskan PR yang menang, maka BN sudah tentu tidak puas hati dengan keputusan tersebut. Sekiranya mahkamah memutuskan BN menang, PR pula sudah tentu tidak puas hati dengan keputusan tersebut. Maka konflik ini berterusan. Dan ini tidak baik untuk mahkamah, untuk rakyat dan untuk kestabilan politik negara.

Atas alasan itu, saya pun menyatakan rayuan saya supaya kedua-dua pihak yang bertikai dalam krisis ini mengambil dua pendekatan utama (kenyataan saya ini langsung tidak dilaporkan). Pertama, berunding dan bersedia untuk berkompromi dengan apa cara sekalipun untuk membentuk kerajaan gabungan dengan melupakan segala sejarah pahit antara hubungan mereka. Kedua, menyatakan bahawa pemimpin politik perlu berjiwa besar, berunding bersama-sama dan kedua-duanya sekali -- YAB Dr Zambry dan YAB Ir Nizar mengadap Tuanku Sultan memohon perkenan baginda untuk memperkenankan pembubaran Dewan.

Dalam percakapan telefon dengan pihak akhbar tersebut juga, saya tegaskan apapun keputusan DUN dan perundingan antara BN dan PR, DUN tidak akan terbubar kecuali dengan perkenan Tuanku Sultan atau telah tamat tempohnya selama lima tahun.

Begitulah antara lain, inti percakapan telefon saya dengan wartawan tentang krisis di Perak ini. Tapi, betul seperti Datuk kata, ia telah disiarkan dalam bentuk laporan terpilih yang mungkin tidak disengajakan. Apapun, kesannya tentu tidak baik kepada saya. Tidak baik kerana ia tidak menggambarkan hasrat sebenar saya untuk memberi pendidikan politik kepada rakyat. Tidak baik kerana ia tidak melaporkan pandangan sebenar saya supaya pemimpin politik kita -- sama ada dari BN atau PR -- berunding bagi membincangkan pendekatan terbaik bagi menyelesaikan krisis ini.

Jadi, apa yang perlu saya buat? Saya memilih untuk tidak berkata apa-apa, melainkan tadi pagi saya bercakap dengan wartawan NST untuk menagdu hal tentang statement saya yang dikeluarkan secara tidak lengkap. Saya juga memberitahu kepada dua kenalan rapat saya (orang politik) mengadu hal tentang isu ini yang sudah terlalu banyak dikupas oleh pemerhati, ahli akademik, peguam dan orang politik sehingga ia sudah menjadi semakin kompleks.

Sebenarnya, saya berbuat demikian kerana saya bimbang sekiranya krisis ini berlanjutan, ahli politik akan lupa untuk memberikan keutamaan kepada krisis ekonomi yang kita hadapi. Saya bimbang sekiranya kita terus berpolitik mempertahankan pandangan parti masing-masing, rakyat akan terabai dan kesejahteraan negara terjejas. Saya cukup bimbang tentang hal ini sekiranya ia boleh menjejaskan kestabilan yang kita nikmati.

Menariknya, apabila pandangan 'atas pokok saya' disiarkan, sesetengah blog -- ada yang memuji dan ada mengeji saya -- memetik dan menyiarkan kenyataan saya ini. Dengan itu, saya dapati bahawa hasrat asal saya untuk memberikan pandangan 'to educate' orang kita tentang politik supaya 'berbaik dan bertenang' sudah menjadi sebaliknya. Ini semata-mata kerana laporan terpilih yang Datuk maksudkan itu.

Tidak mengapalah soal saya dipuji atau dikeji. Itu hal yang kecil, tapi yang pastinya, saya harap Datuk sendiri, sebagai seorang bekas pemimpin UMNO, perlu memainkan peranan bukan lagi untuk mencurahkan api kepada keresahan rakyat, tapi jadilah sebagai pembimbing yang boleh membawa ketenangan kepada suasana politik yang panas hari ini.

Saya tidak boleh berperanan seperti Datuk kerana saya tidak mempunyai blog sendiri dan belum lagi berhasrat untuk mempunyainya. Saya juga tidak berhasrat untuk menjadi orang politik, dan seboleh mungkin sehingga ke tahap ini, saya hanya mahu menjadi pengulas politik yang memberikan pandangan politik berdasarkan ilmu yang saya punyai.

Kepada Datuk dan juga untuk peringatan kepada diri saya sendiri, satu perkara yang perlu kita ingati ialah pesanan Voltaire, ahli falsafah Perancis yang terkenal. Kata beliau, kesilapan kita ialah kerana "kita tidak belajar dari sejarah (baca: pengalaman)."

Sekian, terima kasih.

MOHAMMAD AGUS YUSSOFF                                                                                                                http://idhamlim.blogspot.com/

Perdagangan bahasa dan agama : UMNO menjana perniagaan pendidikan.


Oleh: Mohd Affandi Hassan
(Sasterawan dan Pengkritik Sastera Melayu)

Sekarang adalah masa terbaik untuk mengkritik UMNO habis-habisan, sebelum bahasa Melayu, agama Islam dan negara ini menjadi rosak binasa di bawah tadbiran UMNO. Sekarang dengan munculnya gelombang ketuanan rakyat di mana-mana saja orang bercakap tentang politik dan pembangunan ekonomi, maka para pemimpin UMNO memberi amaran satu perang besar akan berlaku sekiranya ketuanan rakyat itu diteruskan. Kata seorang ketua parti UMNO yang juga seorang menteri, para pemimpin UMNO dan pengikutnya akan mati syahid dalam peperangan mempetahankan ketuanan Melayu.

Jika ketuanan Melayu dihapuskan, maka apakah yang ada kepada orang Melayu? Hujah ketua parti UMNO ini hanya untuk mencari sensasi, membangkitkan kemarahan, menyedapkan hati para pemimpin UMNO bahawa mereka masih relevan dalam gelombang kebencian rakyat terhadap mereka. Sebenarnya ketuanan Melayu itu sudah dikuburkan oleh UMNO sendiri apabila para pemimpin mereka kembali ke zaman kolonial untuk memperjuangkan bahasa Inggeris. Apakah rahsia yang membuat UMNO sanggup mati untuk bahasa Inggeris? Wang dan kekayaan.

Wang dan kuasa. UMNO melihat dalam bahasa Inggeris itu limpahan wang ringgit yang amat banyak, yang hanya boleh diraih dengan memperdagangkan bahasa Inggeris. Perdagangan bahasa ini terjadi apabila ketua-ketua UMNO yang memang selesa berbahasa Inggeris (walaupun bukan jenis bahasa Inggeris yang baik) melihat hanya melalui bahasa Inggeris saja perdagangan pelajaran di Malaysia boleh dicapai. Sekarang hampir semua universiti menggunakan bahasa Inggeris untuk memastikan para pelajar dari seluruh dunia boleh menggunakan kemudahan di universiti yang diperjuangkan oleh orang Melayu selama ini.

Kemakmuran baru melalui perdagangan pelajaran dengan menggunakan bahasa Inggeris memberi peluang besar kepada para pemimpin UMNO dan sekutunya untuk mendapat kekayaan dalam pelaksanaan Wawasan 2020. Orang Melayu belum lagi celik mata untuk melihat bahawa perdagangan bahasa Inggeris ini adalah tonggak utama pelaksanaan Wawasan 2020. Teknologi dan tamadun yang kononnya dijadikan prinsip Wawasan 2020 adalah berasaskan bahasa Inggeris, bukan bahasa Melayu. Jangan harap Wawasan 2020 itu akan menguntugkan orang Melayu, tetapi agenda rahsia yang ditutup daripada orang Melayu ini dapat diterima oleh orang Melayu kerana adanya konsep ketuanan Melayu yang dengannya UMNO sanggup mati syahid (mempertahankan ketuanan Melayu yang berasaskan bahasa Inggeris).

Menteri Pelajaran telah memberi jaminan, pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris akan diteruskan dengan penyesuaian yang perlu. Dasar itu tidak akan dihapuskan, kerana dasar itu menjadi tonggak dalam Wawasan 2020. Bagi orang yang tidak berfikir, tentulah aneh apabila Wawasan 2020 dikaitkan dengan bahasa Inggeris. Sebenarnya itulah hakikatnya. Wawasan 2020 telah mengkhayalkan orang Melayu dalam mimpi indah kemakmuran yang mereka akan terima nanti. Mereka tidak tahu dan tidak faham tamadun yang akan dibangunkan dalam Wawasan 2020 itu adalah tamadun Barat yang seluruhnya bersifat kebendaan.

Orang Melayu hendak diseret ke dalam kemajuan kebendaan acuan Barat, seperti Mesir dan lain-lain negeri Arab telah menerimanya. Di Mesir filem-filemnya salin tak tumpah seperti filem Barat, dan ini termasuk ciumannya. Di Malaysia sudah mula diperjuangkan perkara ini, jika filem Melayu/Malaysia mahu diterima di luar negara dalam pasaran global. Cara melakukan hal-hal seumpama ini terbuka luas dalam konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan kerajaan. Melalui Islam Hadhari, Malaysia akan dibangunkan menjadi negara maju yang bertamadun mengikut acuan Barat tadi.

Tamadun itu seluruhnya berbentuk sekular, seperti terbukti daripada cara universiti diuruskan dan dinilai. Melalui Islam Hadhari, penekanan terhadap tauhid dan syariah dikendurkan, tidak lagi diberi perhatian. Kedua-dua aspek Islam ini dianggap menghalang kemajuan kebendaan tadi, oleh itu tidak perlu ditekankan. Kini banyak sekali kita dapati ma’ahad tahfiz dibangunkan, untuk menampung keperluan melahirkan para penghafal Quran. Niat itu baik, tetapi Quran tidak dihidupkan sebagai sumber ilmu, oleh itu di universiti tidak diperkenalkan konsep ilmu yang benar berasaskan ajaran Quran dan Sunnah.

Itulah matlamat Islam Hadhari yang akan mengelirukan umat Islam nanti, malah kini pun sudah ramai yang terkeliru apabila Islam Hadhari itu dikaitkan dengan kesederhanaan Islam yang menolak keganasan. Itulah yang diminta oleh Amerika Syarikat dan Israel, supaya Islam tidak lagi menjadi cabaran kepada golongan yang menjadi musuh Islam. Dalam konteks inilah kita harus melihat peranan bahasa Inggeris yang dipertahankan begitu rupa oleh para pemimpin UMNO. Orang Melayu nanti tidak saja akan kehilangan bahasa Melayu, tetapi juga agama Islam.

Adalah aneh apabila Perlembagaan Negara yang mengaitkan bahasa Melayu dan agama Islam, cuba dihakis oleh ketua-ketua UMNO dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai tonggak dan asas pembelajaran sains dan teknologi di Malaysia. Ruhnya dan semangat agama dibuang terus untuk memastikan budak-budak sekolah yang keluar nanti terus menyokong UMNO berasaskan kejahilan tentang sejarah dan budaya Melayu dan agama Islam. Jika inilah bentuk kemajuan yang ditaja oleh Wawasan 2020, maka ia harus ditolak sama sekali. (5/3/2009)
                                                                                                                                             http://idhamlim.blogspot.com/

Nik Aziz : UMNO derhaka kepadaraja.


KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Kementerian Pelajaran memperkemaskan pengajian pendidikan agama di kalangan pelajar pada semua peringkat sekolah dalam mengatasi masalah keganasan di sekolah.

Beliau melahirkan rasa sedih dengan pelbagai kejadian tidak diingini berlaku sejak kebelakangan ini di sekolah yang membabitkan pelajar sehingga ada yang mengalami kecederaan.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya guru serta Kementerian Pelajaran memantapkan lagi pengajian agama di sekolah supaya pelajar dibekalkan ilmu agama yang tinggi, sekali gus mampu mengelak mereka terjebak dalam keganasan.

"Sekolah sekarang asyik dengan kejadian pelajar kena belasah saja. Kalau guru atau Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak memasukkan pengajian agama dalam kepala murid (tidak memantapkan pendidikan agama), ia (masalah keganasan sekolah) tidak akan selesai," katanya ketika menyampaikan kuliah mingguannya, di sini, semalam.

Dalam kejadian 16 Februari lalu, sembilan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Oya, Dalat, di Mukah, Sarawak membelasah seorang pelajar Tingkatan Tiga sebelum rakaman kejadian itu yang dibuat menggunakan telefon berkamera disebarkan di laman web YouTube.

Dalam perkembangan lain, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata adalah tidak wajar parti pembangkang sentiasa disabitkan dengan perbuatan derhaka kepada Raja.

Katanya, daripada maklumat yang disiarkan dalam akhbar rasmi Pas minggu lalu oleh seorang penulis, banyak bukti yang menunjukkan Umno juga derhaka kepada Raja.

"Akhbar (perdana) selalu sebut pembangkang iaitu Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai penderhaka kepada Raja.

"Saya baca satu tulisan dalam akhbar itu yang memberi banyak maklumat mengenai Umno derhaka terhadap Raja," katanya.                                                                                                        http://idhamlim.blogspot.com/

Teori RAHMAN: N Untuk Nizar (?)


Satu ketika orang heboh perkatakan teori R.A.H.M.A.N yang menjadi semakin benar jika melihat arah-aliran nama-nama Perdana Menteri Malaysia bermula dengan Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj.

Kini selepas Abdullah Ahmad Badawi, muncul huruf N.

N pula membawa dua nama di tengah gelanggang berdasarkan senario politik negara yang begitu signifikan sekarang ini. 

Yang pertama ialah Najib. Dan sememangnya hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi Abdullah akan melaksanakan pelan peralihan kuasanya secara rasmi kepada Timbalan Perdana Menteri sekalipun terpaksa menelan hati kerana hasratnya untuk menjadi Perdana Menteri selama dua penggal tidak kesampaian.

Namun kini di dalam senario politik tanahairmuncul N yang kedua. Nizar namanya.Nama NIZAR tiba-tiba meniti dari bibir ke bibir rakyat Malaysia ekoran tindakan durjana Najib yang merampas kuasa kerajaan Nizar di Perak.

Sepertimana rakyat Malaysia tidak menduga bahawa 
selepas Mahathir ialah Abdullahkerana waktu itu nama yang menjadi sebutanpada peringkat awal bukanlah Abdullah. "A" yang dimaksudkan pada masa itu ialah ANWAR yang merupakan Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Anwar hanya tertinggal setapak sahaja lagi waktu itu untuk naik sebagai Perdana Menteri yang apabila tiba-tiba musibah menimpanya menyebabkan nama Perdana Menteri yang naik ialah "ABDULLAH".

Najib yang kini terbelenggu dengan pelbagai masalah, malah sudah ada banyak tanda-tanda di waktu kakinya mula melangkah menaiki takhta Perdana Menteri hujung bulan ini, sudah begitu ramai mempersoalkan kelayakannya untuk menjadi PM sekalipun beliau telah memenangi jawatan tersebut tanpa bertanding di dalam pemilihan UMNO tahun ini.

Rakyat Perak rata-rata menolaknya. 
Malah satu ketika beliau sendiri telah dinasihatkan oleh Polis jangan menjejakkan kakinya ke Perak kerana pihak Polis tidak berupaya untuk mempastikan keselamatannya di negeri itu. 

Beliau dianggapkan oleh seorang tokoh politik sebagai seorang yang tidak bersifat negarawan apabila melakukan rampasan kuasa di Perak. Beliau dilaporkan juga bakal "ditelanjangkan" jika berani mengheret seorang pemimpin PKR yang telah mendedahkan isu rasuah Najib yang cuba menaburkan jutaan ringgit bagi mendapatkan perkhidmatannya memjuk ahli dewan undangan negeri Pakatan Rakyat untuk melompat parti.

Ada orang yang begitu phobia jika disebutkan nama Najib. Ada yang dah pijak-pijak gambar Najib. Ada yang dah sembut cat kat wajahnya di lebuhraya. Ada juga yang dah bercita-cita yang menunggu ketibaannya dengan hadiah lemparan sepatu buruk.

Begitu dasyat kebencian rakyat kepada Najib. Belum pernah berlaku terhadap mana-mana bakal Perdana Menteri.



Kini muncul semula kes Altantuya yang mati dibunuh secara kejam yang rata-rata masyarakat terpandang wajah Najib semula sebagai orang yang turut serta terlibat di dalam konspirasi itu apabila namanya disebut di dalam sebuah majalah antarabangsa semalam.


Dalam masa yang sama nama Nizar tiba-tiba muncul di persada politik nasional. Nizar yang telah berjaya memimpin kerajaan Pakatan Rakyat di Perak begitu dicemburui oleh musuh politiknya iaitu UMNO-BN sehingga wujud komplot keji menjatuhkan kerajaannya dengan taktik dan teknik paling kotor di dalam sejarah politik negara semenjak merdeka selepas tragedi yang sama berlaku di Kelantan pada 1978. Belum sempat satu tahun dia menjadi MB, musuhnya dah tak tahan untuk terus berusaha menjatuhkannya.

Perak ialah sebuah negeri yang multi-racial, heterogeneous. Ia adalah sebuah mini-Malaysia yang sifatnya juga multi-racial dan heterogeneous. Tidak mudah untuk mengepalai sebuah kerajaan yang rakyatnya sebegitu rencam. Jika tidak dengan titah perletakan jawatan oleh Sultan Perak terhadap Nizar, tidak begitu ramai pula yang mengetahui kehebatan seorang "menteri besar" yang low-profail ini.

Berdasarkan 
keputusan pilihanraya umum ke 12 yang lalu, undi popular di Semenanjung (tak masuk Sabah dan Sarawak) Pakatan Rakyat memperolehi 51% berbanding Barisan Nasional yang hanya memperolehi 49%.

Dan jika Malaysia ini sebuah negara republik seperti Amerika, 
jika dua N ini dipertemukan di dalam pemilihan Presiden mewakili dua parti yang berbeza, berdasarkan undi popular PRU12 dan berdasarkan senario politik mutakhir, yang bakal menerajui negara ialah NIZAR.

Dipandang apa sudut sekalipun,
 dari aspek positifnya, Nizar akan menerima markah yang lebih banyak dari Najib jika kedua-dua N ini di nilai sebelah menyebelah. 

Mungkin teori bersahaja ini tidak diterima kerana persis seolah-olah sukar untuk menjadi kenyataan. Namun saya melihat 
apa yang menimpa Nizar sekarang ini ialah sebagai satu ujian untuk beliau naik semula ke tempat yang lebih tinggi di masa muka. Itu perjalanan perjuangan pemimpin-pemimpin yang hebat di sepanjang zaman. 

Satu hari, cepat atau lambat, dengan 
ketrampilan yang ada pada Nizar, saya meyakini beliau akan menerajui negara kita Malaysia. Ketrampilannya apa? Bacanya kat sini.                         
                                                                                                                  
                                                                                                              http://greenboc.blogspot.com/                                                           

Siswi Kolej 8 UM risau keselamatan

Penghuni wanita Kolej Kediaman Kelapan Universiti Malaya (UM) kini diselubungi kebimbangan ekoran beberapa kejadian jenayah yang berlaku di situ sejak hujung tahun lalu.

Ia termasuk kes cubaan mencabul dan yang terbaru Rabu lalu di mana seorang lelaki menceroboh bilik seorang pelajar wanita serta mengugutnya dengan pisau sebelum merompak barang kemasnya.

university malaya student representative PC threaten to student 060309 08Berikutan itu, Pengerusi Biro Penginapan Kolej Kediaman dan Luar Kampus, Majlis Perwakilan Pelajar UM (MPPUM), Mohd Fadzil Jamal berkata pelajar berkenaan kini dalam keadaan trauma.

Manakala penghuni lain, katanya, kini dalam ketakutan dan bimbangkan keselamatan mereka.

Mohd Fadzil berkata, perkara tersebut telahpun dilaporkan kepada pihak keselamatan kolej kediaman tersebut dan pihak keselamatan universiti, tetapi mendakwa tiada tindakan sewajarnya diambil.

Menurutnya, kes lelaki menceroboh bilik penghuni wanita itu Rabu lalu, berlaku pada kira-kira jam 3 pagi sewaktu mangsa tidur di biliknya.

university malaya student representative PC threaten UM student mohd fadzil jamal  060309 05Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama dan identiti mangsa terbabit.

Buat laporan polis


"Dia sekarang trauma dan sedang bercuti di kampung," kata Mohd Fadzil dalam satu sidang media hari ini.

Katanya, kejadian itu telah dilaporkan kepada pihak polis dan pihak keselamatan Universiti pada hari yang sama.

Mohd Fadzil berkata, empat kejadian jenayah berlaku di kolej tersebut sejak hujung tahun lalu, termasuk dua kes kecurian.

Beliau mendakwa kebajikan mahasiswi sangat kurang diberi perhatian manakala sesetengah aduan mereka dipandang remeh.

Sementara itu, Pengerusi Biro Hal Ehwal Wanita MPPUM, Maryam Muneerah Ahmad pula kesal dengan tindakan dua penyelia lelaki di kolej kediaman keempat UM yang didakwanya melakukan pemeriksaan mengejut di bilik kediaman mahasiswi pada awal pagi.

"Saya berasa pelik, kenapa pemeriksaan mengejut dilakukan pada jam 2, 3 pagi?" soal Maryam Muneerah sambil menjelaskan kejadian tersebut berlaku pada bulan lalu.

Difahamkam, pemeriksaan mengejut itu dilakukan untuk mengesan sekiranya ada mahasiswi membawa barangan yang dilarang seperti barangan elektronik.

university malaya student representative PC threaten to student 060309 05Maryam Muneerah kesal kerana penyelia berkenaan melakukan pemeriksaan tanpa ditemani penyelia wanita, sedangkan mereka masuk ke bilik mahasiswi.

Reaksi TNC

Menurutnya, seramai empat penyelia - dua lelaki dan dua wanita - melakukan pemeriksaan mengejut tersebut.

Bagaimanapun, katanya, mereka melakukan pemeriksaaan itu secara berasingan mengikut tingkat bangunan.

Maryam Muneerah berkata, walaupun penyelia lelaki tersebut mengetuk pintu tetapi ada sesetengah mahasiswi tidak sempat bersiap untuk menutup aurat, terutama bagi pelajar Islam yang sedang tidur.

"Kami terkejut. Ada mahasiswi yang sempat untuk menutup aurat sepenuhnya, dan ada yang tak sempat," katanya.

university malaya student representative PC threaten UM student maryam muneerah ahmad 060309 04Bagaimanapun Maryam Muneerah enggan mendedahkan identiti penyelia tersebut.

Sehubungan itu, Maryam Muneerah berkata, beliau yang juga penghuni kolej tersebut, telah membuat aduan kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM), Prof Madya Datuk Dr Azarae Idris.

Maklum balas yang diterimanya berhubung aduan tersebut, katanya, masih dalam penelitian pihak universiti.

Prosedur periksa bilik

Sehubungan itu, kata Maryam, pihaknya berharap pihak kolej dan universiti mengambil berat terhadap keselamatan mereka.

Sementara itu, Dr Azarae ketika dihubungi Malaysiakini menjelaskan beliau belum menerima sebarang aduan mengenai kejadian jenayah yang didakwa berlaku di Kolej Kelapan.

Beliau berkata, mengikut prosedurnya, aduan dibuat kepada pengarah keselamatan UM yang bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan pelajar.

um hep tnc azarae idrisBagaimanapun, Dr Azarae memberi jaminan beliau akan memantau dan menangani masalah yang dihadapi pelajar terbabit.

Mengenai dakwaaan penyelia lelaki memeriksa bilik pelajar wanita di Kolej Keempat, Dr Azarae berkata, beliau telah menerima laporan mengenai perkara tersebut.

Beliau berkata, mengikut prosedurnya, penyelia lelaki akan ditemani penyelia wanita ketika membuat pemeriksaan di kolej kediaman mahasiswi.

Katanya, penyelia akan mengetuk pintu bilik dan selepas 15 minit barulah mereka boleh masuk, selepas penghuninya sudah bersedia.

"Penyelia wanita yang akan masuk dahulu, dan diikuti oleh penyelia lelaki," tambahnya.                             -malaysiakini-