'Kami ahli syurga'

Ahmad Shahrul Nizam Muhammad dan Muhd Izawan Baharin


KUALA LUMPUR: “Mengaku salah bukan bererti kalah. Pengakuan itu hanya dari sudut undang-undang kerana kami tetap yakin berada di jalan kebenaran menuju ke syurga,” dakwa bekas penyanyi kumpulan era 80-an yang menjadi pengikut taksub ajaran Abdul Kahar Ahmad atau ‘Rasul Melayu’.

Penyanyi reggae itu yang enggan namanya disiarkan berkata, pengakuan bersalah ‘Rasulnya’ bukan bermakna mereka mengalah dari sudut prinsip, malah ia membuktikan kebenaran ajaran Haji Kahar.

Menjelas lanjut mengenai alasannya, penyanyi berkenaan berkata, syarat untuk melayakkan seseorang masuk ke syurga ialah mengamalkan ajaran Haji Kahar yang menekankan lima asas utama.

“Sikap ini perlu 100 peratus ada dalam hati dan saya mengambil masa 25 tahun untuk benar-benar mencapai peratusan ini menyebabkan saya yakin akan masuk syurga seperti yang bakal dinikmati Haji Kahar.

“Ini ajaran sebenar. Jadi apabila Haji Kahar mengaku bersalah, ia membuktikan dia tidak mahu ‘berkeras’ dan menentang undang-undang, sekali gus mengekalkan lima perkara asas itu dalam dirinya,” katanya.

Menurutnya, apabila orang lain enggan menerima ajaran itu, untuk apa Haji Kahar ‘berkeras’ sedangkan sifat itu bertentangan ajarannya.

“Bila dia menunjukkan sifat cuba melawan undang-undang, maka wujud sifat negatif. Mana ada dalam ajarannya sifat negatif...jadi sebab itu lebih baik mengaku salah, tetapi ia bukan bererti kalah.

“Kalau orang tak percaya, apa boleh buat... nanti orang cakap hidung tak mancung, pipi pula tersorong-sorong,” katanya.

Sementara itu, dalam satu pertemuan dengan wakil Harian Metro, penyanyi berusia lewat 50-an itu mendakwa, kalau semua orang mengikuti asas ajaran sesat itu, dunia akan menjadi tempat paling bahagia dan selamat tanpa perlu ada pihak berkuasa untuk memantau keadaan.

“Tidak mengapa kalau seseorang itu minum arak atau berpakaian seksi asalkan jiwanya positif selepas mencapai tahap 100 peratus asas ajaran (Haji Kahar),” katanya yang begitu taksub terhadap ‘Rasul Melayu’ yang mengaku bersalah di Mahkamah Syariah Tinggi Shah Alam terhadap lima pertuduhan, kelmarin.

Penyanyi itu mendakwa, Islam yang sebenar bukan sekadar menunaikan solat lima waktu, puasa, zakat atau menunaikan haji, tetapi lebih kepada membersihkan hati dengan sikap positif.

“Saya sudah mengikuti ajaran Haji Kahar selepas membuat kajian dan yakin dia ‘Rasul’ yang diturunkan setiap satu kurun. Rasul bermakna seorang yang menyampaikan teladan baik tapi nabi ialah orang yang menerima wahyu iaitu Nabi Muhammad.

“Rasul juga diturunkan kepada setiap bangsa dan Haji Kahar untuk orang Melayu. Bila seseorang Rasul wafat mesti ada penggantinya untuk memperbetulkan ajaran. Jadi bila Nabi Muhammad wafat, mesti Tuhan turunkan pengganti,” katanya.

Beliau juga memuji Haji Kahar yang disifatkannya ‘Rasul’ di kalangan umat Melayu kerana tidak pernah diazabkan walaupun sudah secara terbuka mendakwa sebagai ‘Rasul’.

“Awak ingat senang-senang dia (Haji Kahar) hendak mengaku Rasul. Jika tak betul, Tuhan akan azab dia.

“Haji Kahar mengaku ‘Rasul’ sebab dia benar-benar mempunyai kelayakan dan saya mengikut dia dan sudah memperoleh separuh apa yang diajarnya,” katanya.

Menurutnya, Haji Kahar tidak pernah menjadi guru kepada pengikutnya, sebaliknya hanya bertindak sebagai pembimbing untuk mencapai lima perkara itu berdasarkan potongan terjemahan al-Quran.

Dia turut mempertikaikan kebenaran hadis nabi kerana mendakwa ia bukan 100 peratus betul, sebaliknya sudah bercampur aduk.

Dalam pertemuan hampir dua jam itu, penyanyi terbabit turut menunjukkan salinan beberapa surah al-Quran seperti Al-A’raf, Al-Ankabut, Al-Alaq, Ali Imran dan Az-Zumar yang ditandakan bagi menyokong lima asas ajaran Haji Kahar.

Penyanyi terbabit turut mendakwa Haji Kahar turut merantau ke seluruh dunia termasuk ke Israel untuk menguji diri sama ada dia seorang ‘Rasul’ atau tidak selepas menerima ‘petunjuk’.
-hmetro.com-

Ganjaran Besar Puasa 6

BAGI sesetengah orang, Syawal dianggap bulan berpesta dan bersuka ria dengan jamuan dan juadah, sehingga ada yang meraikannya sebulan penuh seolah-olah puasa lenyap dalam kamus hidup mereka.

Tetapi hakikatnya, pada Syawal masih terdapat ibadat puasa iaitu 'puasa enam'. Cuma ia tidaklah menjadi suatu kewajipan seperti dalam bulan Ramadan. Bagaimanapun, ibadat sunat itu adalah kesinambungan kepada ibadat Ramadan.

Walaupun tidak berdosa sekiranya tidak dilakukan, tetapi hakikatnya puasa sunat enam hari pada bulan Syawal adalah ibadat yang penuh bermakna, malah ia amalan generasi soleh terdahulu.

Nabi Muhammad s.a.w ada menjelaskan ganjaran diperoleh mereka yang berpuasa enam hari pada Syawal melalui beberapa hadisnya. "Sesiapa berpuasa pada Ramadan, kemudian diiringi dengan (puasa) enam hari Syawal, maka dia seperti berpuasa satu tahun penuh." (Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain dikeluarkan At-Tabrani dengan sanadnya daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah s.a.w menjelaskan, sesiapa yang melakukan ibadat seperti itu (puasa Ramadan dan enam Syawal) dosanya dibersihkan seperti bayi baru dilahirkan ibunya.

Penegasan Nabi s.a.w itu menunjukkan puasa enam amat digalakkan walaupun ia tidak sampai tahap wajib. Baginda menggalakkan umatnya rajin beribadat, iaitu ibadat fardu disusuli amalan sunat.

Ibadat sunat enam hari itu juga adalah penanda aras keimanan dan ketakwaan seseorang terhadap Allah; sanggup berlapar dan dahaga ketika musim orang menikmati aneka juadah, semata-mata kerana menyahut anjuran agama.

Menurut ulama, puasa sunat enam hari pada Syawal sebaik- baiknya (lebih afdal) dilakukan berturut-turut, dimulai pada hari kedua Syawal dan diikuti lima hari lagi berturut-turut.

Tetapi jika tidak dapat, boleh dilakukan pada mana-mana hari asalkan masih di dalam bulan terbabit dan boleh juga dilakukan dengan tidak berturut-turut asalkan cukup enam hari.

Sesetengah ulama pula berpendapat puasa enam itu boleh dilakukan secara berselang-seli atau tidak terus menerus sepanjang Syawal.

Ulama juga berbeza pendapat antara puasa sunat enam hari pada bulan Syawal dengan puasa ganti (qada) Ramadan.

Pendapat pertama mengatakan tidak dibolehkan niat puasa ganti bersama puasa sunat Syawal. Ini kerana berdasarkan hadis setiap amalan berdasarkan niat.

Sebagai contoh, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam menggariskan adakah puasa enam boleh diniat sekali dengan puasa ganti: `Niat puasa enam tidak boleh disekalikan dengan puasa qada.

Imam As-Syafi'i (di dalam Kitab Al-Umm) berpendapat dalam mensyarahkan bab `seyang tiap amalan dengan niatnya' bahawa: Hendaklah dibezakan ibadat puasa Ramadan, puasa nazar, puasa kafarah, puasa qada dan puasa sunat.

Imam Jalaluddin As-Suyuti (di dalam Kitab Al-Isybah) juga berpendapat hendaklah diasingkan puasa Ramadan atau nazar atau puasa sunat. Namun, seseorang yang berniat puasa qada ketika Syawal boleh juga dikurniakan pahala puasa enam (tanpa menjatuhkan niat itu) mengikut pendapat sebahagian ulama.'

Pendapat kedua mengatakan dibolehkan niat bersama, malah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa sunat enam hari dengan berniat hanya puasa qada pada bulan Syawal.

Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus.

Bekas ketua jawatankuasa fatwa al-Azhar, Sheikh `Atiyyah Saqr, berkata seseorang yang tertinggal puasa pada Ramadan boleh berpuasa sunat enam hari Syawal dengan niat bersama puasa ganti.

Menurutnya, orang yang berpuasa itu akan mendapat ganjaran berganda secara serentak; menggantikan puasa yang ditinggal dan mendapat ganjaran puasa enam hari Syawal.

"Bagaimanapun, dianjurkan seseorang itu menggantikan puasa tertinggal secara berasingan dengan puasa enam hari Syawal (supaya mendapat ganjaran yang lebih)."

Ada juga ulama berpendapat puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi puasa qada, ia boleh dilakukan dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tiba Ramadan akan datang.

Sesetengah ulama berpendapat, orang yang mempunyai hutang puasa Ramadan hendaklah `membayar' terlebih dulu, kemudian baru dikerjakan sunat puasa enam. Tidak mendapat sunat puasa enam jika ia juga diniatkan sebagai puasa qada.

Perbezaan pendapat itu sudah tentu memberikan pilihan dan ruang kepada umat Islam dalam melaksanakan amal ibadat, sesuai dengan konsep taysir (kelapangan) yang menjadi satu aspek penting dalam syariah, selagi mana tiada larangan terhadapnya.
-hmetro.com-

Isu SELCAT dan Kenyataan-Kenyataan yang Mengelirukan

KHALID SAMAD
Baru-baru ini kita terpaksa menangani ‘krisis jadian’ sekali lagi di Selangor. Krisis kali ini berhubung persoalan kaedah sesi soal siasat terbuka yang berlangsung melalui SELCAT, khususnya terhadap pegawai-pegawai kerajaan. Mereka dikatakan telah ‘dibuli’, ‘diperbudak-budakkan’ dan ‘dihina’ semasa perjalanan sesi tersebut. Di atas alasan ini maka dikeluarkan kenyataan mengkritik perjalanan sesi soal siasat tersebut di dalam media.

Seperti yang boleh dijangkakan, kritikan terbuka sebegini oleh Dato Dr. Hassan Ali, sebagai seorang Ahli Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pesuruhjaya PAS Selangor memang dimanfaatkan sepenuhnya oleh media arus perdana. Kritikan-kritikannya digunakan untuk menyatakan kononnya wujud perbalahan dan berbagai masalah dalam PR Selangor.

Sebenarnya, kita semua menyedari bahawa SELCAT merupakan perkara yang baru. Sesi soal siasat terbuka seperti ini sememangnya merupakan satu amalan yang tidak biasa dilakukan di negara kita ini. Oleh itu sudah pasti akan ada reaksi yang kurang baik dan mungkin akan ada juga kelemahan-kelemahan yang perlu diatasi. Saya difahamkan bahawa sudah pun dibuat teguran-teguran kepada pihak yang berwajib bagi memperbaiki beberapa kelemahan yang telah pun dikenalpasti. Teguran-teguran itu telahpun diterima dengan baik di atas semangat kebersamaan dan kerjasama.

Yang menjadi masalah ialah apabila Dato Dr Hassan membuat pendedahan dan kritikan berhubung persoalan ini kepada pihak media arus perdana. Diambil olehnya posisi sebagai pengkritik dan pembangkang, mengkritik kerajaan PR, sedangkan beliau sepatutnya memainkan peranan sebagai ahli exco yang sedang bersama berusaha untuk mengasaskan budaya ketelusan, pertanggungjawaban dan keamanahan yang hampir tidak wujud semasa zaman BN dahulu. Diluah pula apa yang tidak dipersetujuinya kepada akhbar arus perdana yang dikenali semua sebagai alat pihak lawan.

Semestinya apabila diserang sebegitu, oleh orang yang dianggap rakan, ramai dari ADUN PR yang terperanjat. Lebih-lebih lagi apabila teguran-teguran yang sama telah pun dibincang bersama secara tertutup dan telah juga diambil kira. Tindakan beliau dilihat sebagai usaha untuk menonjolkan diri sebagai pembela pegawai-pegawai ini, sambil dalam masa yang sama SELCAT pula digambarkan sebagai pihak yang menzalimi mereka!

Bagi saya, yang ‘membuli’, ‘memperbudak-budakkan’ dan ‘menghina’ pegawai-pegawai kerajaan gred atasan ini ialah pentadbiran BN dahulu. Ini mereka lakukan apabila mereka mengarah pegawai-pegawai atasan ini supaya membenarkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi setiap DUN dihabiskan dalam tempoh 2 bulan sedangkan ianya peruntukan untuk setahun! Mereka dipaksa mengenepikan peraturan-peraturan tetap dan dalam pada itu diugut dengan tindakan tata-tertib sekiranya tidak akur. Ini ‘buli’ dan ini ‘memperbudakkan’. Sebaliknya, tindakan kerajaan PR ingin mendidik dan memartabatkan jawatan pegawai-pegawai kanan ini dengan menjelaskan kepada mereka amanah dan tanggungjawab yang datang bersama jawatan yang penting sebegitu.

Hasil tindakan mengkritik SELCAT secara terbuka oleh Dato Dr Hassan, dan ini bukan merupakan kali pertama tindakan sebegini dilakukannya, telah pun menjejaskan imej PR dan PAS.

PR kelihatan sebagai sebuah kerjasama dan gabungan yang rapuh, lemah dan tidak kukuh. Ia dilihat sentiasa bertelagah satu sama lain walaupun telah bersama selama lebih dari setahun. Imej lemah sebegini memang diusahakan oleh BN dan dengan tindakannya itu, beliau telah pun secara tidak langsung membantu BN dalam usaha mereka untuk memperlekehkan PR. Segala usaha PR untuk menzahirkan imej bersatu, kukuh dan padu digagalkannya dengan tindakan sebegini.

PAS pula dilihat sebagai parti yang bersifat ‘talam dua muka’atau ‘gunting dalam lipatan’. Duduk bersama Exco membincang segala pendekatan tetapi menempelak kerajaan PR pada setiap peluang yang diperolehinya. Dalam bahasa Inggeris ada istilah ‘one-up manship’ yang bermakna usaha untuk menaikkan nama sendiri dengan menjatuhkan nama ‘kawan’. Orang yang sebegini tidak ada yang ingin jadikan sebagai kawan. Dia sentiasa mengambil kesempatan untuk menjatuhkan imej kawan demi menaikkan imej sendiri. Golongan ini dijadikan kawan hanya apabila tiada pilihan lain atau terpaksa.

Sepatutnya sebagai Parti Islam, PAS adalah parti yang ingin disepakati oleh semua kerana jujurnya, amanahnya, setianya, lurusnya dan telusnya. Parti Islam tidak akan khianat kerana sentiasa boleh diharapkan dan dipercayai. Berpegang kepada janjinya dan bukan jenis cakap lain, buat lain. Malangnya buat masa ini di Selangor, PAS tidak mempunyai imej yang sebegitu. Apabila disebut sahaja ‘lompat’ di Selangor, semua melihat pada PAS. Ini adalah hasil dari tindakan-tindakan ‘one-up manship’ yang telah berlaku selama ini.

PAS dilihat mempunyai agenda tersendiri yang dirahsiakan dan tidak dikongsi bersama dengan rakan Pakatan. Ini menimbulkan syak wasangka dan boleh menggagalkan PR. Kenyataan-kenyataan yang saling bercanggah yang dikeluarkan selepas ditegur hanya menimbulkan kesangsiaan. Sekejap dikatakan hakim pencen, sekejap tidak. Sekejap dikatakan ingin mengkaji semula kedudukan dengan PR, sekejap tidak! Keliru lagi mengelirukan!

Saya tidak faham, apakah sukar sangat untuk kita berpakat dan berkerjasama secara jujur dan ikhlas? Bukankah kejujuran dan keikhlasan itu dituntut oleh Islam? Adakah kerana kita merasakan kita Parti Islam dan yang lain tidak, maka kita tidak perlu berlaku jujur dalam kerjasama kita bersama mereka? Adakah kita sudah begitu sesat dengan fahaman Yahudi Zionis sehingga menganggap setia kepada janji dengan bukan Islam adalah satu kesalahan? Akan hilang atau tidak wala’ lagi pada kepimpinan Islam kerana menjadi wala’ kepada pemimpin lain? (Bagi yang tidak tahu, wala’ maksudnya kesetiaan).

Sekiranya itulah fahaman yang hendak dibawa, maka akan hancurlah PAS. Bukan kerana kekuatan lawan tetapi kesesatan diri sendiri. PAS sebagai parti Islam mestilah jujur dengan kerjasamanya dengan pihak lain dan atas kejujuran itu akan terbina satu kekuatan yang jitu. Kekuatan kejujuran dan keikhlasan perjuangan Islam inilah yang akan menyebab semua datang berteduh di bawah naungannya. Inilah kaedah yang sebenarnya, bukan melalui pengkhianatan, kelicikan dan kepura-puraan.

WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD

TERUSKAN TERUSAN MAT SAMAN / UBN Najib Altantuya

PROF. DR. HJ. HAMIRDIN

Assalamualaikum,

Kerajaan Kedah sedang menimbang untuk membuka semula Terusan Mat Saman.Kerajaan Negeri bersetuju menimbang cadangan penduduk Yan untuk membuka semula Terusan Wan Mat Saman bagi mengatasi masalah banjir di daerah berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, pihaknya sudah berbincang dengan beberapa pihak berkenaan untuk mengkaji keperluan membuka semula terusan itu.

Terusan Wan Mat Saman merupakan terusan yang terpanjang di Malaysia. Terusan ini menghubungkan Sungai Kedah di Alor Setar hingga ke kaki Gunung Jerai di Gurun, selatan Kedah. Terusan sepanjang 36 km ini dibina pada tahun 13 Ogos 1885 dan berfungsi untuk mengairi kawasan sawah padi diKedah. Pembinaan Terusan Wan Mat Saman merupakan suatu pencapaian yang mengagumkan pada masa itu.

Terusan Wan Mat Saman dinamakan sempena nama Menteri Besar Kedah pada masa itu iaitu Dato' Wan Muhammad Saman Wan Ismail. Wan Mat Saman merupakan Menteri Besar semasa pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Syah dan Sultan Abdul Hamid Halim Syah.

Terusan Wan Mat Saman mula dibina pada 13 Ogos 1885 dan siap dibina pada 12 Julai 1896. Panjang terusan ini adalah 36 km, kedalaman 1.5 m dan selebar 7.5 m.




Ayo yo Samy Mahu Cuti Ka? Berenti Kalu Lagi Bagus / UBN Najib Altantuya

Datuk Seri S Samy Vellu dikatakan sedang menimbang secara serius untuk mengambil cuti selama dua bulan daripada tugas sebagai presiden MIC - paling awal mungkin tiga bulan lagi.

Ini adalah sebahagian daripada strateginya untuk melepaskan jawatan tersebut, katanya dalam wawancara melalui telefon dengan
Malaysiakini lewat semalam.

Beliau mahu berhati-hati mengenai waktu untuk berbuat demikian bagi mengelak MIC mengalami keadaan tidak menentu dan tidak stabil selepas beliau melepaskan jawatan presiden.

"Saya akan cuti selama dua bulan daripada tugas presiden MIC untuk membolehkan (Datuk G) Palanivel, timbalan saya, memegangnya sewaktu ketiadaan saya," kata Samy Vellu.

Samy Vellu menegaskan demikian sebagai mengulas kenyataan Palanivel sebelum ini bahawa "beliau menyerahkannya kepada Samy Vellu".
-malaysiakini.com-

UBN Najib Altantuya: Debat Buah Pala, Tsu Koon Perlu Hadir - Guan Eng

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hanya akan berdebat isu Kampung Buah Pala dengan Presiden Parti Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon.

Guan Eng menambah debat itu harus disiar secara langsung di televisyen tempatan supaya rakyat dapat melihat permasalahan sebenar sekitar isu kampung itu.

Guan Eng berkata beliau bersedia bila-bila masa sahaja untuk berdebat dengan mantan Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

“Jika anda tidak datang berdebat dan hantar pembantu saya rasa ia bukanlah sikap pemimpin. Pemimpin harus menunjukan kepimpinan sebagai contoh,” katanya.

“Bila berbicara mengenai gerakan ia sebenarnya mengenai presiden gerakan Koh Tsu Khoon yang mencabar saya untuk berdebat mengenai isu ini atau isu lain dan saya telah menyahut cabaran berkenaan.”

“Tetapi selepas itu dia tidak membuat tindakan susulan selepas melontarkan cabaran. Untuk mengatakan saya perlu berdebat dengan pemuda gerakan saya rasa ia tidak wajar,” katanya.

Semalam lima pemimpin Parti Gerakan Negeri Pulau Pinang menyerahkan surat cabaran kepada Guan Eng di Pejabat Ketua Menteri di kompleks Tun Abdul Razak.

Menerima cabaran tersebut, Lim berkata kerajaan negeri tidak pernah mengambil sikap lepas tangan dalam menangai isu kampung berkenaan seperti yang di dakwa pelbagai pihak.

Katanya, kerajaan negeri telah meluluskan supaya pemaju membina 24 buah rumah ganti kepada penduduk kampung Buah Pala bagi mengantikan rumah mereka yang dirobohkan.

Menurutnya kerajaan negeri masih memberikan peluang kepada penduduk yang belum memohon tawaran pampasan rumah tersebut dan berharap agar mereka segera menghubungi pihak kerajaan negeri.

-tvantara.com-

Mahfuz jumpa MB selesai masalah air Pokok Sena / UBN Najib Altantuya

Nazri Abdullah
POKOK SENA, 26 Sept: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar akan bertemu Menteri Besar Kedah bagi menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air yang dialami penduduk di sini.

Pertemuan itu juga bagi memohon kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan sekiranya melihat kemungkinan paip sedia ada perlu diganti.

"Masalah ini sudah ada dalam pengetahuan kerajaan negeri, saya akan jumpa Menteri Besar minta selesaikan segera masalah ni, mungkin perlu keluarkan peruntukan ganti paip lama itu." katanya ketika dihubungi.

Sebagai ahli parlimen bertanggungjawab, beliau juga memaklumkan telah berbincang dengan Pegawai Daerah meminta lori yamg menghantar bekalan air diperbanyakkan untuk dihantar sehingga ke hujung kampung.

"Saya dah berbincang dengan DO (Pegawai Daerah) Pokok Sena, minta perbanyak lagi lori masuk hantar air sampai ke dalam," katanya lagi.

Kira- kira 5,000 penduduk membabitkan enam buah kampung di daerah ini dilaporkan terputus bekalan air bersih sejak 10 hari lalu.

Antara kampung itu Kampung Bukit, Batu 20, Hujung Bendang, Batu 18 dan Bendang Baru

Penduduk juga telah mengemukakan beberapa aduan kepada Jabatan Bekalan Air (JBA) di Kuala Nerang dan Alor Setar namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak terbabit.

Mahfuz dalam pada itu turut mengakui JBA lambat betindak sehingga masalah sejak setahun lalu itu semakin serius dua minggu kebelakangan ini.

Ekoran kelambatan itu, ada di kalangan penduduk terpaksa menggali telaga sendiri dan menggunakan air yang kurang bersih.

"Jabatan Bekalan Air pun agak perlahan dalam tindakan mereka, saya akan jumpa mereka dan mintak pusatkan penghantaran lori air di masjid atau surau, senang sikit masyarakat kampung datang angkut.

"Mereka ada masalah dengan sistem paip yang agak lama, tekanan pun rendah dan tidak boleh nak lepas air dengan tekanan kuat, takut paip pulak pecah," katanya.

Masalah sampah Alor Setar selesai November-MB / UBN Najib Altantuya

Bashir Ishak
ALOR SETAR, 26 Sept: Masalah longgokkan sampah terutama di kawasan perumahan di sekitar bandaraya ini, dijangka dapat diselesaikan awal November ini selepas sebuah syarikat swasta mengambil alih kerja-kerja mengangkut sisa buangan.
"Ini berikutan dari permintaan dari Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang mahu menyemak semula terma-terma berkaitan nasib pekerja MBAS selepas penswastaan kerja-kerja mengangkut sampah.Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, masalah berkenaan masih tidak dapat diselesaikan, kerana syarikat terbabit yang sepatutnya mengambil alih tugas daripada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), terpaksa menangguhkan kerja mereka sejak 1 Sept lalu.

"Sekarang lori-lori mereka sudah sampai, masalah ini kena selesai betul-betul supaya tidak jadi masalah berlarutan dan kita harap ia selesai pada November ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman rasmi beliau di Seri Mentaloon, di sini.

Ustaz Azizan memberi respon terhadap laporan media yang mendakwa bandar raya Alor Setar semakin kotor kerana terdapat banyak longgokan sampah yang tidak diangkut sehingga menyebabkan bau busuk. Menurutnya lagi, masalah berkenaan bukanlah perkara baru dan bukanlah salah kerajaan negeri.

"Dari segi pentadbiran, kita tak boleh buat apa-apa keran ini adalah permintaan dari Ceupacs sendiri. Kita menyedari tentang ketidakselesaan rakyat. Saya berasa dukacita dan memohon maaf kepada orang ramai yang berasa kurang selesa," ujarnya lagi.

Sedia debat kali ke dua isu Kg. Buah Pala-KM / UBN Najib Altantuya

Mohd Sabri Said.
GEORGETOWN, 26 Sept: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bersedia berdebat dengan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Koh Tsu Koon sekali lagi untuk membuktikan bahawa Kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah punca segala-galanya masalah yang membabitkan isu Kampung Buah Pala.

Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Wei Aik dalam satu kenyataan kepada Harakah menegaskan, ia bukan masalah Pemuda Gerakan, tetapi yang bertanggungjawab dalam perbincangan sehingga mencetuskan keraguan penduduk ialah Tan Sri Koh yang kini diamanahkan jawatan di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Sehubungan itu, Tan Sri Koh paling wajar bedebat isu tersebut.

"Kenapa tidak semena-mena Pemuda Gerakan pula nak berdebat dengan Lim. Yang sepatutnya diheret sama ialah Presiden Gerakan yang sampai kini berselindung di pintu pejabatnya kerana beliau orang yang bertanggungjawab melakukan perbincangan mengenai urusniaga dari awal, " ujarnya sambil menggangap tindakan Pemuda Gerakan itu sesuatu yang melucukan.

Bukan sahaja, Koh yang terlibat sebaliknya kepimpinan Umno, MCA dan MIC turut bersekongkol dengan peristiwa terbabit sehingga membolehkan syarikat swasta membelinya untuk tujuan pembangunan komesial.

Kepimpinan Umno, MCA dan MIC cuba tunjuk baik dalam hal ini sedangkan mereka juga adalah dalang terhadap urusan tersebut.

Jika mahukan kebenaran cuba ketengahkan sama kepimpinan yang ada dalam perdebatan itu nanti.

"Jika Gerakan terutamanya Presidenya berani tampil sebagai panel dalam perdebatan kali kedua itu kelak pasti semuanya terbongkar satu persatu. Rakyat akan mengerti siapa dalang sebenar meruntuhkan rakyatnya sendiri. Kita ada maklumat lengkap untuk membuktikan segala-galanya," tegas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Komtar.

Amat malang sekali Indek Prestasi Utama (KPI) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak tidak dipraktikan oleh menteri seperti Tan Sri Koh kerana isu ini melibatkan beliau yang terjun dalam arena berpolitik sejak 1982 lagi.

Jesteru itu, Ng Wei Aik yang juga Setiausaha Pemuda DAP (DAPSY) menyifatkan, jika bekas Ketua Menteri itu enggan berdebat membuktikan Pakatan Rakyat melaksanakan kebenaran manakala BN, Gerakan dan kuncu-kuncunya takut kerana salah.

Undi pos: Yusmadi bertegas seret SPR ke mahkamah / UBN Najib Altantuya

Kelompok yang sebelum ini terpaksa mengundi secara pos, harus dibenarkan mengundi secara biasa ataupun diberi pilihan sama ada mahu mengundi secara biasa atau pun secara pos

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda KeADILan Pulau Pinang, Yusmadi Yusof bertegas akan akan membawa ke mahkamah sekiranya pengundi pos, khususnya dalam pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang tidak diberi pilihan untuk mengundi secara biasa atau secara pos.

Dalam satu kenyataanya pada 22 September lalu, beliau menegaskan, ini memandangkan keadaan semasa membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab mereka seperti warganegara yang lain tanpa sebarang diskriminasi.

Dalam hal ini Yusmadi berpendapat bahawa keadaan-keadaan yang membenarkan undi pos digunakan di Bagan Pinang tidak wujud untuk memberi alasan yang munasabah agar undi pos boleh digunakan


Beliau yang juga ahli parlimen Balik Pulau berkata, semua warganegara mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama di bawah Perlembagaan dan undang-undang negara.


Hanya Perlembagaan sahaja yang akan membenarkan keadaan-keadaan tertentu di mana sesuatu tanggungjawab perundangan boleh disempurnakan di dalam keadaan yang berbeza daripada tanggungan warganegara yang lain, tegasnya.


Sejarah perundangan menunjukkan undi pos hanya dibenarkan dalam beberapa keadaan tertentu yang tidak memungkin warga tersebut boleh mengundi seperti warga yang lain, katanya.


“Seperti tanggungjawab parajurit yang terlibat di medan perang seperti yang dilakukan pada tahun 1918 di England melalui Representation of the People Act 1918 yang berlatar belakangkan keadaan perang semata-mata di atas alasan “
by reason of the nature of their occupation ... from voting at a poll,” katanya.

Fasal 8 Perlembagaan Persekutuan pula, tambahnya, dengan jelas menetapkan bahawa kesaksamaan semua di bawah undang-undang, kata Yusmadi yang juga seorang peguam.


"Dengan mengenakan undi pos kepada warga dan kelompok tertentu tanpa alasan yang munasabah di bawah perlembagaan, akan terjumlah kepada diskriminasi terhadap warga dan kelompok tersebut.


"Di dalam hal ini saya yakin ramai di kalangan warga dan kelompok tersebut seperti tentera dan polis yang tahu akan hak mereka, mahu menunaikan tanggungjawab mengundi seperti mana warga yang lain tanpa sebarang diskriminasi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Apatah lagi sekiranya ianya dibuat secara paksa dan bukanlah melalui pilihan warga tersebut.


"Bagi mengelakkan berlakunya diskriminasi tersebut, saya mencadangkan agar warga dan kelompok yang sebelum ini terpaksa mengundi secara pos, dibenarkan untuk mengundi secara biasa ataupun diberi pilihan sama ada mahu mengundi secara biasa atau pun secara pos memandangkan keadaan semasa membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab mereka seperti warganegara yang lain tanpa sebarang diskriminasi.


"Di dalam hal ini saya berpendapat bahawa keadaan-keadaan yang membenarkan undi pos digunakan di Bagan Pinang tidak wujud untuk memberi alasan yang munasabah agar undi pos boleh digunakan.


"Saya tidak akan teragak-agak untuk membawa isu ini ke Mahkamah sekirangan SPR tidak mengambil tindakkan segera seperti yang dicadangkan iaitu memberi pilihan kepada warga dan kelompok yang didiskriminasi secara paksa untuk mengundi secara pos dan bukan dengan kaedah undi secara biasa," ujar Yusmadi lagi.
-detikdaily.net-

UBN Najib Altantuya: UKM denda pelajar hadiri usrah RM1,400

INTAN ABDULLAH

KUALA LUMPUR: Akibat menghadiri usrah, sekumpulan siswi telah didenda oleh pengetua sebuah kolej di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada bulan Ogos lalu.


Harakah mendapat maklumat tersebut yang disebarkan menerusi laman web oleh Wakil Umum Majlis Perwakilan Pelajar UKM, Mohd Fikah Sanusi.

Aktiviti usrah yang dijalankan di surau kolej berkenaan telah dianggap sebagai pencerobohan oleh pihak pentadbiran kolej dengan alasan ia tidak mendapat kebenaran.

Alasan lain yang digunakan juga ialah terdapat beberapa siswi yang datang dari kolej lain yang dianggap menceroboh surau kolej berkenaan untuk menjalankan aktiviti usrah.

"Adakah menjadi satu kesalahan menggunakan surau kolej untuk berusrah? Apakah ia turut mengundang kerugian dan bencana kepada kolej?" tegas Mohd Fikah.


Selain itu persoalan yang turut menjadi kemusykilan kepada para pelajar terhadap penilaian pihak pengurusan kolej adalah sama ada solat berjemaah juga perlu mendapat keizinan pengetua kolej dulu sebelum dilaksanakan.


Mohd Fikah mendakwa tindakan tersebut sebenarnya lebih kepada emosi dan rasa buruk sangka yang sangat tinggi pihak atasan.


"Peraturan dan undang undang kolej mana yang dirujuk bila kegiatan usrah boleh didenda?" katanya yang juga merupakan pelajar tahun empat Fakulti Undang undang.

Beliau menggesa agar pihak pengurusan yang juga merupakan penganut Islam agar dapat membuat penilaian yang lebih munasabah dan bertimbang rasa memandangkan aktiviti yang dijalankan merupakan salah satu kegiatan yang mendatangkan faedah ke arah pembentukan diri dan sahsiah mahasiswa.

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku pada hari Jumaat 14 Ogos sewaktu pelajar lelaki mengerjakan solat jumaat.


Setelah ditangkap, kad matrik mereka dirampas oleh felo kolej dan mereka terpaksa mengadap dan merayu bagi kesalahan berusrah mereka di hadapan pengetua.


Setiap siswi dikehendaki membayar denda sebanyak RM50 bagi sekali usrah, tetapi memandangkan sebelum ini mereka telah menghadiri usrah tersebut sebanyak empat kali menjadikan jumlah denda yang dikenakan adalah sebanyak RM200 seorang.

Difahamkan seramai tujuh orang menghadiri usrah tersebut.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan denda yang dikenakan adalah sebanyak RM 1,400.

Walaubagaimanapun, oleh kerana siswi siswi tersebut mengaku dan bercakap benar, maka mereka telah diberi diskaun dengan hanya perlu membayar sebanyak RM350 sahaja iaitu RM50 seorang.

Mat Sabu ulas teater Dinsman depan Lim Guan Eng

NYZA AYOB

KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan mengadakan pementasan di Auditorium Muzim Negeri Selangor, Shah Alam pada Mei lalu, sekali lagi teater karya Dinsman, Menunggu Kata Dari Tuhan dipentaskan di Dorm Komtar, Pulau Pinang sempena Hari Malaysia pada 16 September yang lalu.

Menurut Dinsman, sewaktu dihubungi Harakah, karya beliau yang diadaptasi daripada hadis riwayat Bukhari dan Muslim itu mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kali dipentaskan pada acara rasmi kerajaan negeri dan mendapat tajaan sepenuhnya kerajaan negeri Pulau Pinang.

Teater yang dilakonkan dramatis Sabri Yunus dan diiringi gesekan biola, Sani Sudin itu telah ditonton Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng serta para pegawai kerajaan negeri.

Dalam majlis tersebut, AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu diberi peranan sebagai pengulas teater tersebut.

“Menunggu Kata dari Tuhan” yang dipentaskan selama 45 minit itu, mengisahkan seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w, Ka'ab Malik tidak dapat memberi alasan yang kukuh apabila tidak dapat turut serta dalam peperangan Tabuk.

Rasulullah ketika itu mengetuai peperangan Tabuk menentang Rom. Ketika zaman Rasulullah semua individu perlu berperang. Begitupun ada segelintir daripadanya enggan berperang dan bertemu Rasulullah untuk memohon maaf dan menyatakan alasan masing-masing kerana tidak mahu terbabit dalam peperangan.

Ka'ab berdepan dilema apabila tidak mempunyai alasan yang kukuh terbabit dalam perang itu. Ka'ab kemudian meminta petunjuk daripada Allah supaya memberinya jalan untuk mengatasi dilema yang menghantuinya itu. Pelbagai dugaan dan ujian dilalui Ka'ab sepanjang tempoh berkenaan.

Sementara itu, gesekan biola oleh Sani Sudin mengiringi lakonan Sabri Yunus menyampaikan sebuah hadis mengenai permasalahan Ka'ab bin Malik kerana tidak ikut berperang bersama Rasulullah, dan ujian yang dilaluinya selama 50 hari 'menunggu kata dari Tuhan'akibat dia membuat pengakuan ikhlas kepada Rasulullah.

Ketika mengulas kisah Kaab bin Malek ini, Mohamad Sabu mengatakan bagaimana perlunya kita mengambil sikap berterus terang walau pun melalui kepahitan dan penderitaan hidup.

Dalam ulasannya beliau menegaskan, memang terdapat banyak pemimpin, orang kenamaan, negarawan, orang yang berkelulusan tinggi dan berkedudukan istimewa tetapi untuk mencari orang yang jujur seperti Kaab bin Malek amatlah sukar ditemui disetiap zaman.

Menurut beliau lagi, kita juga janganlah sentiasa menyalahkan orang lain diatas kelemahan diri kita dan sekiranya terdapat orang yang berbohong atau menipu untuk mencapai sesuatu, kita pula mesti bersifat telus walaupun terpaksa menderita.

Dalam pada itu, sewaktu mengulas mengenai teater pula, Mohamad mengatakan pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang cuba dijadikan contoh oleh Ketua Menteri Pulau Pinang juga boleh diteaterkan.

Jelas Mohamad lagi, seni budaya sebenarnya adalah suatu perjuangan suci tetapi ianya telah dikotorkan oleh tangan-tangan manusia kapitalis duniawi.

Timbalan Pengerusi SPR bersekongkol dengan BN di Bagan Pinang / UBN Najib Altantuya

SHAMSUL ISKANDAR MOHD. AKIN
Angkatan Muda Keadilan Malaysia kesal dengan kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar bahawa sistem undi pos akan diteruskan selagi adanya peruntukan undang-undang sedemikian.

Kami melihat kenyataan ini sebagai mencerminkan kedangkalan pemahaman mengenai tujuan diwujudkan peruntukan untuk pengundi tidak hadir dan malah matlamat dan fungsi pilihanraya.

Pilihanraya diadakan untuk membolehkan rakyat memilih dengan bebas, tanpa tekanan yang tidak sewajarnya wakil mereka bagi membentuk kerajaan rakyat. Kerahsiaan undi adalah satu faktor asasi dalam proses pemilihan ini.

Tujuan diwujudkan peruntukan untuk pengundi tidak hadir adalah bagi membolehkan rakyat yang tidak bermastautin di dalam satu-satu bahagian pilihanraya menjalankan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pemilih.

Antara mereka yang tidak bermastautin ini ialah anggota keselamatan yang bertugas di perbatasan atau di medan pertempuran atau mereka yang menjalankan tugas-tugas kritikal lain semasa hari mengundi.

Sudah tentu anggota tentera yang bermastautin di dalam kem atau di dalam sesuatu bahagian pilihanraya sesama keadaan aman, apatah lagi suami atau isteri mereka tidak dimaksudkan sebagai pengundi tidak hadir oleh penggubal Perlembagaan dan undang-undang.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia memandang berat kegagalan atau mungkin keengganan untuk memahami niat penggubal undang-undang ini. Prinsip yang harus dipatuhi ialah “the intention of the legislator is law”.

Tindakan memaksa pengundi dari kalangan anggota tentera dan suami atau isteri mereka menjadi pengundi tidak hadir dan menafikan hak mereka untuk mengundi sama seperti rakyat Malaysia lain mencabul Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa setiap rakyat adalah samarata dan tidak boleh didiskriminasi atas sebarang faktor termasuk profesion mereka.

Justeru Angkatan Muda Keadilan Malaysia mengajak semua pihak yang terlibat dan prihatin dengan pelaksanaan demokrasi tulen di Malaysia untuk mengadakan Forum Rakyat bagi membincangkan secara khusus persoalan undi pos atau pengundi tidak hadir ini. Forum Rakyat ini adalah penting bagi merungkai segala permasalahan dan kelemahan yang wujud bagi memastikan setiap undi adalah benar-benar bebas dan berkesan dalam menzahirkan kehendak sebenar rakyat.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia akan mengambil inisiatif untuk menganjurkan Forum Rakyat tersebut dengan menjemput semua pihak yang terlibat, termasuk wakil SPR, parti-parti politik, wakil Angkatan Tentera Malaysia, wakil Polis DiRaja Malaysia, organisasi masyarakat (NGO) dan rakyat yang prihatin.

Sudah tiba masanya proses dan sistem pilihanraya berkenaan pengundi tidak hadir dikaji semula dengan jujur dan dilakukan pindaan-pindaan perlu. Ini untuk mengelakkan anggota tentera, polis dan semua pengundi tidak hadir daripada berada di dalam keadaan serba salah dan tidak ada kebebasan untuk membuat pilihan.

Keengganan untuk membuat pindaan-pindaan tersebut akan menyebabkan semua pihak terus mempunyai persepsi bahawa pihak pemerintah UMNO-Barisan Nasional mempunyai agenda tersembunyi. Malah selama ini rakyat menganggap pengundi tidak hadir ini adalah faktor penentu yang memberikan kemenangan kepada BN di dalam pilihanraya secara tidak adil.

Persepsi wujud penipuan di dalam proses pilihanraya ini akan menjejaskan wibawa kerajaan, merosakkan amalan demokrasi sehingga boleh menyebabkan demokrasi di Malaysia menjadi demokrasi tempang dan malah menghilangkan keyakinan rakyat terhadap demokrasi dan negara ini sendiri.

Jika keadaan ini dibiarkan berterusan ia adalah satu pengkhianatan terhadap negara, pengkhianatan terhadap usaha gigih dan pengorbanan pengasas negara ini dan para pejuang kemerdekaan, pengkhianatan terhadap anggota keselamatan yang menggadaikan nyawa untuk keselamatan negara dan pengkhianatan kepada rakyat sendiri.
SHAMSUL ISKANDAR MOHD. AKIN
Ketua Angkatan Muda KEADILAN

UBN Najib Altantuya: 'Mata-mata PAS' dalam kem tentera

PAS mempunyai penyokong-penyokong di kem tentera dan balai polis yang akan bertindak sebagai "mata-mata" parti itu untuk memantau kempen-kempen BN ketika pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

Ketua Penerangan Pemuda PAS berkata individu-individu berkenaan termasuk pegawai tentera dan polis yang berdaftar sebagai pengundi di kawasan berkenaan.

"Mereka adalah sumber maklumat kita untuk pastikan BN tidak menjalankan kempen dalam kem," kata Suhaizan Kaiat ketika dihubungi
Malaysiakini lewat petang ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan di sebuah blog bahawa PAS melalui beberapa pegawai tentera telah menjalankan kempen di dalam kem dan, oleh itu, tidak perlu lagi memohon kebenaran untuk berbuat demikian seperti desakan Pemuda PAS minggu lalu.

"Berdasarkan maklumat yang kami terima, pihak PKR telah bantu PAS dengan menyediakan satu sistem di mana kepala-kepala tertentu sudah ditugaskan menjaga 10 biji rumah.

"Kepalanya seorang kapten (bakal) bersara yang hanya tinggal beberapa bulan lagi. Sebelum ini kami sudah dedahkan sebelum ini, seorang kapten bersara bernama Izani yang menguruskan kantin," blog
The Unspinners dipetik.

"Nama kapten bersara itu kami tahu. Kami beritahu satu saja... bermula dengan R."

Blog pro-BN ini mengulas laporan
Malaysiakini PAS serius mahu tembusi kem askar selepas Suhaizan menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menuntut peluang berkempen di kem.

Pilihan raya kecil itu bermula 3 Oktober ini dan lapan hari diperuntukkan untuk tempoh berkempen sebelum pengundian pada 11 Oktober.

Diminta mengulas dakwaan blog ini, Suhaizan berkata: "Siapa mereka itu, kita tidak boleh beritahu, nanti mereka akan kena tindakan pula."

Mata-mata PAS itu, tambahnya, sentiasa memberikan maklumat berkaitan kempen BN untuk memastikan pilihan raya itu berjalan dengan adil.

"Kita tidak mahu nanti ada menteri-menteri atau pemimpin-pemimpin BN yang berselindung di sebalik majlis-majlis formal anjuran kementerian untuk berkempen," jelas Suhaizan lagi.

"Maksudnya kalau kita (PAS) tidak boleh berkempen dalam kem, BN tidak boleh juga. Kalau BN boleh, kita pun mesti boleh."

Jelasnya lagi, beliau akan meminta supaya SPR dapat memastikan pemilih-pemilih pos di kem askar dan balai polis diberikan peluang sama untuk mendapatkan maklumat mengenai calon PAS.

SPR boleh menyediakan peluang berkenaan dengan memberikan peluang kepada calon-calon, termasuk pembangkang, untuk menjalankan ceramah di dalam kem.

Suhaizan turut menolak pandangan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang tidak membenarkan parti politik memasuki kem tentera untuk berkempen demi mengelak tentera "berpolitik."

"Saya rasa (Abdul Latif) silap. Berpolitik ini apabila seseorang itu ada jawatan dalam parti atau terlibat secara aktif dalam parti politik.

"Tapi tujuan kita (berkempen di dalam kem) adalah untuk memberi maklumat kepada pengundi, bukan untuk jadikan tentera berpolitik.

"Apakah mendapatkan maklumat (pilihan raya) itu juga berpolitik?" katanya.

Desakan berkempen di dalam kem tentera timbul apabila jumlah pemilih pos – yang sering dicurigai pembangkang akan menguntungkan BN – terlalu besar.

Daripada 13,664 pemilih berdaftar di DUN tersebut yang layak membuang undi, 4,604 terdiri daripada pemilih pos.
-malaysiakini.com-

Rasuah: Malaysia merudum lagi, negara Islam tercorot / UBN Najib Altantuya

Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 25 Sept: Ketika Pulau Pinang diiktiraf kerana usahanya memerangi rasuah oleh Transparency International (TI), Malaysia terus merudum dalam Indeks Persepsi Rasuah apabila berada pada kedudukan ke-47 pada tahun 2008 berbanding tangga ke 43 pada tahun 2007.

Malah, kedudukan Malaysia lebih buruk dari Israel yang dilabel sebagai entiti haram pengganas dan negara yang dianggap kurang membangun seperti Botswana dan Bhutan. Israel berada pada kedudukan ke-33, Botswana ke-36 manakala Bhutan berada pada kedudukan ke-45.

Paling mendukacitakan ialah apabila indeks yang dikelaurkan oleh TI itu menunjukkan negara-negara umat Islam tidak mengamalkan ajaran Islam yang memerangi rasuah.

Negara-negara seperti Somalia, Iraq, Afghanistan dan Sudan berada di tangga paling bawah. Somalia berada di kedudukan tercorot iaitu ke-180, Iraq ke-178, Afghanistan ke-176 dan Sudan ke-173.

Negara yang berada di tempat teratas ialah Denmark diikuti oleh New Zealand, Sweden dan Singapura.

Di Malaysia, negara menanggung kerugian sebesar RM10 bilion setahun akibat rasuah - iaitu jumlah yang mencukupi untuk membina lebih dari 150,000 kos rendah jika diambilkira permohonan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) kepada kerajaan untuk menaikkan harga rumah kos rendah kepada RM60,000.

Dalam laporannya, TI membangkitkan amalan keluar masuk yang berterusan di antara bidang politik dan perniagaan di mana pihak tertentu bertukar-tukar tempat dari kedudukan sebagai ahli politik kepada ahli perniagaan atau dari ahli perniagaan kepada ahli politik dan terus keluar masuk di antara kedua-dua bidang itu.

Keadaan itu, menurut TI, mengakibatkan pengaruh yang negatif kepada konsep semak dan imbang.

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa hubungan serba kompleks antara politik, sektor awam dan sektor swasta itu mungkin mengakibatkan rasuah berlaku dengan bebas tanpa sebarang hukuman.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low berkata, usaha mencegah rasuah di negara ini tidak ubah seperti melepas batuk di tangga sahaja jika tidak dilaksanakan tindakan drastik untuk memisahkan hubungan selesa antara kerajaan, perniagaan dan politik.

Low berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula tidak memperlihatkan hasil yang diinginkan dan orang ramai menganggap suruhanjaya itu mengamalkan penyiasatan dan pendakwaan secara berpilih-pilih.

Satu-satunya sisi yang positif dari laporan tersebut mengenai Malaysia ialah pengiktirafan yang diberikan kepada kerajaan Pulau Pinang dalam memerangi rasuah.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyatakan pihaknya menerima pujian itu dengan rendah hati.

Beliau juga mengumumkan bahawa Pulau Pinang berjaya mengurangkan RM36 juta atau 12 peratus perbelanjaan operasi hasil usaha memerangi rasuah itu.

Bagan Pinang: PR Sedia Hadapi Umno-BN / UBN Najib Altantuya

Pakatan Rakyat bersedia menghadapi apa jua taktik politik yang dimainkan Umno Barisan Nasional dalam kempen Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang yang bakal bermula pada 3 Oktober depan.

Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar berkata Pas mengembleng segenap sumber dari peringkat akar umbi sehingga ke pucuk pimpinan negeri, dengan sokongan Kelab Penyokong Pas dan badan-badan bukan kerajaan.

“Kita mempersiapkan jentera dari peringkat akar umbi sampai ke peringkat negeri bersama dengan rakan PKR, DAP, Kelab Penyokong Kaum India dan NGO bersama untuk membantu kempen kita bagi memastikan kemenangan calon PR kali ini,” katanya.

Menurut Zulkefly, PKR Bagan Pinang akan menyaksikan pendekatan mendidik rakyat mengenai hak dan kuasa mereka memilih pemimpin yang berwibawa, bebas rasuah dan bertanggungjawab.

Pendidikan politik ini penting bagi menghadapi permainan retorik pembangunan Umno dalam setiap pilihanraya.

Zulkefly menambah pemberdayaan pengundi membuka mata masyarakat kepada manfaat sekiranya orang-ramai melantik pemimpin yang bersih, amanah dan bertanggungjawab.

“Kita tahu Umno penuh tipu muslihat. Masa pilihanraya mereka cuba buat baik, cuba hendak mengambil hati semua rakyat. Masa inilah dia nak bagi macam-macam kepada rakyat tetapi mereka tidak peduli langsung kehidupan rakyat sama ada orang Melayu, Cina atau India,” katanya.

DUN Bagan Pinang mengalami kekosongan selepas penyandangnya, Azman Mohammad Noor yang mewakili Barisan Nasional meninggal dunia pada 4 September lalu akibat jangkitan dalam darah.

Sementara itu Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan Datuk Kamarul Baharin Abbas berkata Umno Barisan Nasional akan membangkitkan isu pembangunan dalam usaha menarik sokongan rakyat.

Sehubungan itu katanya, PR akan mendedahkan kegagalan Umno-BN menjaga kedudukan Bagan Pinang dari destinasi ulung di Selatan Tanahair kepada pekan koboi yang tidak lagi dikenali.

“Ini akan memberi gambaran Bagan Pinang sendiri di bawah Barisan Nasional dan Umno tidak membawa pembangunan yang disebutkan, jadi apakah perubahan yang akan dibawa di sini? Saya fikir rakyat tidak akan lagi memberi kepercayaan,” katanya.

Dari segi persiapan awal, Kamarul berkata Pakatan Rakyat tidak mempunyai masalah menghadapi PRK pada kali ini kerana terdapatnya jentera yang mantap disamping kerjasama erat antara parti komponen Pakatan Rakyat

“Persiapan awal lancar kita hanya tunggu hari penamaan calon, organisasi jentera bergerak persiapan awal dari segi pentadbiran, kerjasama dengan Pas dan DAP bagus bersepakat dan sekarang kita bersedia dengan semangat,” katanya

Menurut Kamarul, PKR meletakkan sasaran mengurangkan majoriti Umno di peringkat Dewan Undangan Negeri. Beliau menambah Bagan Pinang adalah batu loncatan kepada operasi merampas Negeri Sembilan dari BN.

“Akan mengurangakan majoriti Barisan Nasional dan perbezaan hanya 2 atau 3 kerusi termasuk Speaker yang boleh menggugat kerajaan Barisan Nasional.

“Pertama kita mendekatkan jurang kurangkan majoriti Barisan Nasional Negeri Sembilan. Keduanya membuktikan pada rakyat Malaysia bahawa sokongan padu yang diberi rakyat kepada PR berterusan dan belum lagi luntur menunjukkan peningkatan memberi semangat kepada kita,” katanya.

Jentara parti DAP turut turun bagi memperkemas persiapan Pakatan Rakyat menghadapi PRK Bagan Pinang.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan Loke Siew Fook berkata tinjauan awal mendapati Umno Barisan Nasional berada dalam keadaan yang amat tertekan.

“Saya rasa Umno lebih tertekan dari kita kerana mereka perlu menang di kawasan ini.Ini merupakan kubu kuat kepada mereka sekiranya mereka kalah ia bukan sahaja memberikan satu implikasi yang besar kepada Umno Negeri Sembilan tetapi Umno Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Siew Fook berkata undi pos merupakan cabaran hebat kepada Pakatan Rakyat memandangkan proses kawalan ketat undi berkenaan memaksa pengundi pos tidak dapat membuat pilihan secara bebas.

“Sama ada mereka boleh membuat satu pilihan secara bebas. Saya yakin kalau undi pos ini diberikan satu kebebasan kepada mereka untuk memilih saya yakin bahawa tentera pun ada ramai yang akan menyokong kita,” katanya.
-tvantara.com-