Perlembagaan dilulus, Kelab Penyokong PAS jadi dewan

Kelab Penyokong PAS akan dikenali Dewan Himpunan Penyokong PAS mulai tahun depan, dilihat sebahagian usaha susulan parti itu untuk menarik sokongan penyokong bukan Islam walaupun “kuasanya masih dilihat terhad”. PAS pusat telah meluluskan perlembagaan khusus bagi sayap baru itu dan ia dijangka dilancarkan menjelang Februari depan.

Kelab Penyokong PAS terdiri daripada lebih 20,000 ahli daripada kaum India, Cina, Siam dan Iban. Ia ditubuhkan pada tahun 2004.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS pusat Dr Mujahid Yusuf Rawa memberitahu usaha mengiktiraf ‘kehadiran’ penyokong bukan Islam dalam bentuk “dewan” akan membolehkan mereka menjadi pemerhati khas dalam muktamar.

“Mulai awal tahun depan mereka akan dikenali sebagai dewan,” katanya.

Dewan itu akan diketuai oleh pengerusi.

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa buat masa sekarang mereka tidak ada kuasa untuk mengundi dalam muktamar peringkat pusat dan negeri.

Usaha naik taraf itu dibolehkan dengan mengadakan perlembagaan tersendiri tanpa melibatkan pindaan pada perlembagaan induk PAS.

Mujahid berkata, perlembagaan induk membolehkan parti itu mewujudkan jawatankuasa atau dewan baru tanpa melibatkan pindaan pada perlembagaan induk PAS.

“Ini langkah awal untuk mengiktiraf penyokong-penyokong bukan Islam dalam PAS. Malah ini juga langkah susulan mengiktiraf selepas Kelab Penyokong PAS diwujudkan,” katanya.

Draf perlembagaan Dewan Himpunan Penyokong PAS, kata beliau, telah tiga kali dibincangkan di peringkat jawatankuasa pusat PAS dan telah diterima untuk diguna pakai.

“Bermakna dewan ini boleh dilancarkan bulan depan atau pada Februari ini,” katanya.

Draf itu membolehkan Dewan Himpunan Penyokong PAS ditubuhkan di peringkat pusat, negeri dan kawasan.

“Tetapi tiada Dewan Himpunan Penyokong PAS peringkat cawangan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai ketiadaan hak mengundi, Mujahid yang juga anggota jawatankuasa pusat PAS berkata, peruntukan itu memerlukan pindaan pada perlembagaan induk parti yang kelulusan Pendaftar Pertubuhan juga akan mengambil masa yang lama.

Bagaimanapun apabila usaha terbaru ini diterima ramai langkah meminda perlembagaan induk akan dilakukan dalam jangka panjang, tambah beliau.

“Kami hendak menjalankan perubahan secara berperingkat-peringkat,” katanya.

Jawatankuasa teknikal ke arah menaik taraf Kelab Penyokong PAS sebagai dewan atau sayap formal bagi mengiktiraf keanggotaan masyarakat bukan Islam dalam parti itu telah ditubuhkan awal tahun ini.

M/I

Ku Li sedia beri penjelasan isu royalti

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau bersedia memberi penjelasan berhubung isu tuntutan royalti minyak daripada kerajaan negeri Kelantan demi faedah rakyat Kelantan.

Beliau berkata penjelasan tersebut akan dibuat pada perhimpunan raksasa anjuran 51 NGO di Kota Bharu dalam masa terdekat bagi seluruh rakyat Kelantan untuk mendapat gambaran sebenar mengenai perkara itu.

"Buat masa ini saya tidak mahu komen lebih lanjut dan tunggulah masanya nanti kerana saya dijemput hadir pada perhimpunan berkenaan," katanya semasa berucap dalam perjumpaan dengan penduduk Kampung Mercu Jaya, dekat Gua Musang hari ini.

Tengku Razaleigh berkata, badan NGO itu sudah berbincang dengannya dan beliau telah memberi persetujuan untuk hadir pada perhimpunan terbesar rakyat Kelantan dan tarikhnya akan ditetapkan nanti.

"Mungkin banyak pihak tertunggu-tunggu perkara yang saya nyatakan nanti tetapi diharapkan mereka memahami perkara sebenar," katanya.

Sebelum ini, Kerajaan pusat mengumumkan pemberian wang ihsan menggantikan bayaran royalti minyak pada tahun depan kerana operasi carigali petroleum berada di luar tiga batu nautika daripada perairan Kelantan.

Bagaimanapun, kerajaan negeri Kelantan akan mengemukakan tuntutan royalti minyak di mahkamah berjumlah RM2 bilion sejak operasi carigali petroleum bermula 2005, mengikut perjanjian Petronas-kerajaan negeri 1974, yang ketika itu Tengku Razaleigh merupakan pengerusi Petronas.

Tengku Razaleigh, yang juga ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata, beliau menerima banyak desakan untuk menjelaskan perkara sebenar royalti minyak itu berikutan kegiatan cari gali minyak membabitkan pesisiran pantai Kelantan.

Katanya, segala-galanya mengenai isu berkenaan ada dalam pengetahuannya

kerana royalti minyak itu mempunyai jumlah yang besar membabitkan berbilion ringgit dan memberi faedah kepada rakyat negeri ini.

"Jumlah itu jika dibelanjakan untuk melaksanakan projek pembangunan di negeri ini memberi perubahan yang besar bagi seluruh daerah dan kemajuan berpanjangan.

"Oleh itu, saya sedia menerangkan apa yang sebenarnya terkandung dalam perjanjian cari gali minyak dan royalti yang sepatut diterimanya," katanya.
-Bernama-

Konvensyen lulus Dasar Pakatan Rakyat

Zulkifli Sulong, Hazayani Zakaria, Ismail Hashim dan foto Zamzarina Abdullah
SHAH ALAM, 19 Dis: Tepat jam 5.30 petang 19 Disember, bertempat di Auditorium MBSA, Dasar Pakatan Rakyat diluluskan sebulat suara dalam konvensyen pertamanya.

Ia diluluskan apabila semua perwakilan berdiri dan mengangkat tangan tanda setuju apabila ditanya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasarkan cadangan Lim Kit Siang.

(Gambar: Tiga pemimpin utama Pakatan Rakyat menandatangani dokumen Dasar Pakatan Rakyat selepas diluluskan konvensyen)

Dokumen itu kemudiannya ditandatangani oleh tiga pemimpin utama Pakatan iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Dasar Pakatan Rakyat berupa dokumen yang dipersetujui bersama di kalangan pimpinannya dan diluluskan sebulat suara dalam konvensyen hari ini.

Ia mengandungi empat perkara asas iaitu demokrasi yang telus dan tulin, memacu ekonomi berprestasi tinggi, keadilan sosial dan pembangunan insan dan hubungan persekutuan - negeri dan dasar luar negara.

Di dada Karpal Singh ada 'bulan' - Nik Aziz

Harakahdaily
SHAH ALAM, 19 Dis:
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan 'di dada Karpal Singh ada bulan', merujuk kepada lambang PAS adalah bulan.
Nik Aziz berkata demikian ketika berucap dalam majlis penutup konvensyen pertama Pakatan Rakyat hari ini.

Sebelum Nik Aziz, Karpal telah memberikan ucapan dengan berkata, dia bukan sahaja duduk di sebelah Nik Aziz hari ini tetapi di antara Nik Aziz dan 'Tok Guru Abdul Hadi'.

Karpal berkata demikian ketika menceritakan bahawa pihak sekretariat konvensyen yang bimbang bila beliau (Karpal) akan memberikan ucapan penutup.

"Jika Karpal beri ucapan penutup, bermakna dia akan duduk di sebelah Tok Guru Nik Aziz...apa salahnya...saya bukan sahaja duduk di sebelah Nik Aziz tetapi antara Tok Guru Aziz dan Tok Guru Haji Hadi hari ini," kata Karpal yang mendapat tepukan gemuruh dari para perwakilan.

Kedua-dua mereka mempunyai sejarah perhubungan tersendiri dan konvensyen hari ini mencatat satu sejarah baru politik negara.

Bebaskan Ahmad Ismail dedah tembelang 1 Malaysia

Harakahdaily
SHAH ALAM, 19 Dis:
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, dasar 1 Malaysia Datuk Seri Najib Razak hancur apabila Umno melepaskan semula bekas Ketua Umno Jelutung, Datuk Ahmad Ismail

"Ketika dia lancar dan kempen konsep 1 Malaysia, dia juga lepaskan dari pergantungan Datuk Ahmad Ismail yang menuduh rakan-rakan kita dari kaum Cina sebagai bangsa pendatang di negara ini," kata Zaid.

Zaid berkata demikian ketika berucap dalam konvensyen pertama Pakatan Rakyat di Auditorium MBSA petang ini.

Beliau adalah pemidato terakhir menjelang majlis penutup.

Melalui dasar 1 Malaysia, Najib cuba menonjolkan bahawa tidak ada bezanya bangsa-bangsa yang berbeza di Malaysia.

Namun tindakan Umno membebaskan semula Ahmad Ismail selepas menggantung keahliannya membuka sikap sebenar Umno, kata Zaid.

Dasar bersama Pakatan sasar Putrajaya

Pakatan Rakyat mempertingkatkan usahanya untuk menguasai Putrajaya dengan mengumumkan dasar bersama Pakatan yagn menjanjikan pembaharuan segera dan kesaksamaan.

Sebagai respons kepada musuh politiknya, Barisan Nasional, dasar bersama itu berjanji untuk mengurangkan dasar-dasar yang berasaskan kaum dan menggubal akta hubungan kaum dan akta peluang saksama serta dasar-dasar lain yang berasaskan merit seperti pemberian biasiswa kerajaan.

Ia turut menjanjikan layanan istimewa kepada Sabah dan Sarawak - di mana pengaruh Pakatan tidak kuat - dengan menjanjikan akses kepada royalti minyak serta berjanji untuk menyelesaikan masalah-masalah yang sudah lama berlanjutan.

Pakatan juga berjanji untuk menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyelesaikan isu-isu membabitkan isu pendatang haram, yang didakwanya tidak diberi perhatian oleh kerajaan pusat.

Sokongan kuat dari dua negeri Malaysia Timur itu amat penting dalam usaha Pakatan untuk menguasai Putrajaya dalam pilihanraya umum kerana satu perempat jumlah kerusi parlimen adalah dari sana.

Pakatan juga berjanji untuk menangani isu-isu agama yang selama ini telah menimbulkan pergeseran antara parti Islam PAS dan parti sekular DAP.

Di samping itu, Pakatan juga berjanji untuk mewujudkan satu mekanisme yang komprehensif untuk menangani kes-kes di mana berlaku bertindihan antara undang-undang sivil dan Syariah.

Untuk tujuan itu, sebuah suruhanjaya diraja akan ditubuhkan untuk mengkaji secara mendalam isu-isu yang berkaitan dengannya.

Agihan ekonomi negeri

Di peringkat institusi pula, Pakatan berjanji untuk memastikan kebebasan dan ketelusan sepenuhnya Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi memulihkan keyakinan rakyat terhasdap sistem kehakiman.

Pembaharuan lain yang dijanjikan termasuk menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Petronas dan institusi-institusi kerajaan yang lain dipertanggungjawabkan terus kepada Parlimen.

Ini termasuk mendapatkan kelulusan Parlimen bagi pelantikan jawatan penting kerajaan seperti ketua polis negara, peguam negara, pesuruhjaya SPRM dan ketua audit negara.

Mengenai ekonomi, Pakatan bercadang mendesentralisasikan pengurusan ekonomi negara bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti dan taburan pembangunan yang seimbang.

Cadangan ini termasuk pengagihan kuasa pentadbiran dan ekonomi dan pelaksanaan kerja-kerja infrastruktur kepada kerajaan negeri.

-malaysiakini.com-

Konvensyen medan perkukuh pakatan-presiden PAS

Harakahdaily
SHAH ALAM, 19 Dis:
Presiden PAS,Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mahu
konvensyen yang berlangsung hari ini memberi natijah terbaik kearah
keutuhan ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP untuk terus memperkasa
Pakatan Rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.
Beliau dalam ucapan perdananya pada konvensyen pertama Pakatan Rakyat
hari ini menekankan betapa pentingnya Pakatan Rakyat mencari
pendekatan terbaik untuk terus diberi kepercayaan oleh rakyat
melakukan perubahan.

"Hari ini kita berbahas dengan sehangat-hangatnya, bagi mendatangkan
natijah terbaik ke arah megukuhkan parti, dan di sana sudah tentu ada
perbezaan pendapat, dan pendapat yang terkuat hujahnya adalah
pengukuhan kepada resolusi yang dicapai.

"Hari ini kita berbahas dengan sehangat-hangatnya, bagi mendatangkan
natijah terbaik ke arah megukuhkan parti, dan di sana sudah tentu ada
perbezaan pendapat, dan pendapat yang terkuat hujahnya adalah
pengukuhan kepada resolusi yang dicapai," katanya.

PRU ke 12 lalu ujarnya telah membuktikan Pakatan Rakyat mempunyai
peluang besar untuk membuat perubahan khususnya mengambil alih
pemerintahan negara.

Namun untuk mencapai hasrat itu ujarnya, semua pihak dalam pakatan
harus tahu dan mencari kaedah terbaik.

"Tsunami politik pilihanraya kedua belas menunjukkan konsep pakatan
Rakyat mampu melakukan perubahan, sekiranya diolah dengan cara yang
lebih baik boleh berlaku perubahan yang lebih besar walaupun ada
kepincangan dalam amalan Demokrasi, katanya lagi.

Penyertaan PAS bersama dalam pakatan rakyat katanya sebagai usaha
untuk melakukan perubahan atas perinsip yang disepakati bersama dengan
parti parti lain.

Pakatan rakyat yang diwujudkan berasaskan masyarakat majmuk katanya
mahu menyelamatkan rakyat negara ini yang sedang ditipu dan diperbodoh
parti pemerintah disebalik nama demokrasi berparlimen sejak Umno
Barisan Nasional memerintah negara 50 setengan abad lalu.

Demokrasi negara katanya kini dalam keadaan tenat kerana sedang
dikongkong oleh satu parti sehingga memggagalkan perubahan dalam
banyak aspek berkaitan kepentingan rakyat dan negara.

Ianya termasuk perkara-perkara yang asas dalam perlembagaan seperti
Islam agama persekutuan, hak-hak kepada penganut agama-agama lain di
kalangan penduduk berbagai etnik, bahasa melayu menjadi bahasa
kebangsaan, pentadbiran yang saksama dan bijak, kedaulatan
undang-undang yang adil, raja berpelembagaan, konsep federalisma yang
saksama dan lain-lainnya.

"Mereka yang merupakan majoriti masyarakat yang menjadi mangsa
kecuaian tersebut adalah majoriti pengundi. Tanpa menggerakkan mereka
sendiri, tidak berlansung kepada perubahan menyeluruh, sebabnya kerana
mereka di perbodoh, ditipu dan dirasuah," katanya lagi.

"Sebenarnya kita mengalami demokrasi yang sakit tenat , dengan
kongkongan yang menghalang rakyat menjadi hakim yang adil melalui
mahkamah pilihan raya, kerana saksi daripada media yang tidak memberi
keterangan yang adil dan telus bagi semua pihak.

"Parti yang memerintah terus memerintah di masa pilihanraya , sehingga
menyalahgunakan alat-alat kerajaan melalui kementerian dan jabatan,
jentera kerajaan dan pasukan keselamatan, sehingga undang-undang
pilihanraya menjadikan padang lapangan pilihanraya itu tidak sama
rata.

Dalam aspek perpaduan pula, PAS juga katanya mengikut ajaran islam
dimana tidak membeza-bezakan ataupun merendahkan martabat mana-mana
kaum seperti dilakukan pihak tetrtentu.

"Sepatutnya kita membuka mata dengan realiti yang ada sehingga kita
tidak boleh menganggap rakannya adalah pendatang , bukan penduduk
asal, kerana kita semua tidak berasa asing disini, bahkan bila kita
bertemu di luar negara kita terasa bersama daripada satu negara.

"PAS yang berlandaskan Islam menganggap semua manusia adalah sama,
kerana realiti mereka percaya kepada Tuhan yang satu....maka di atas
perinsip aqidah ini Islam mewajibkan kerajaan berlaku adil kepada
semua tanpa mengira bangsa dan agama yang berlainan. Islam menganggap
semua manusia daripada keturunan Adam dan Hawa, ada pun bangsa dan
bahasa yang berbeza, warna kulit yang berlainan, taraf hidup yang
tidak sama," katanya.

Kehadiran Pakatan Rakyat juga antaralain mahu menentang segala
kezaliman yang dicipta pemerintah Umno BN.

Kegagalan pemerintah memberikan keadilan kepada semua pihak dilihat
telah memecahbelahkan rakyat termasuk memecahbelahkan kompenen perti
mereka sendiri.

"Adanya negara, perlembagaan, undang-undang dan pentadbirannya adalah
bagi menjamin sifat adil yang memupuk perpaduan yang sebenar, dan kita
mestilah bersama menentang kezaliman yang mejadi penyakit dalam
kehidupan manusia.

"Zalim boleh memecah-belahakan satu keluarga, maka lebih lagi
memecahkan satu negara, kerana zalim itu menghilangkan kasih sayang di
antara satu sama lain. Perpecahan dalam tiap-tiap satu parti BN yang
sedang memerintah sepatutnya menjadi iktibar kepada Pakatan Rakyat,
dan kita sendiri mestilah menunjukkan perpaduan walaupun berbeza
pendapat dalam beberapa perkara. Dahulukan perkara yang disepakati dan
mengambil masa dengan sabar dalam perkara yang masih berbeza,"
katanya.

Selian itu beberpa teras penting harus diberi keutamaan oleh Pakatan
Rakyat khususnya mencapai hasrat menjadi pemerintah menggantikan
kerajaan sedia ada adalah dengan menunjukkan contoh terbaik melalui
negeri negeri yang dikuasai.

"Kita perlu menjadi model di negeri yang telah kita kuasai, di mana
lawan kita mencari setiap kelemahan kita. Media arus perdana yang
masih tidak banyak memberi ruang yang adil kepada kita, sudah pasti
membesarkan kesilapan yang kecil daripada kita dan memperkecilkan
kejayaan yang besar daripada kita. Mereka juga akan mengambil setiap
kelemahan parti dan individu," katanya lagi.

Dan pada masa yang sama, jentera setiap parti harus berperanan
sebaiknya, dan mampu merancang secara strategik dan bukan hanya
melihat kemenangan atas angin sahaja tanpa justikikasi yang boleh
disandar.

"Maka setiap parti hendaklah mengukuhkan jentera parti masing-masing
di semua peringkat, ... jangan berpijak diatas kehadiran dalam majlis
ceramah dan hanya penyokong yang berpaut dengan isu sementara waktu
dan boleh menjadi mangsa politik wang yang masih menjadi wabak
penyakit kepada demokrasi di negara kita.

"Kita tidak boleh berpaut di atas perancangan jangka pendek, kerana
perjuangan politik wajib mengharungi jangka panjang, bukan sahaja
untuk mencapai kemenangan, tetapi juga merancang untuk mengisi
kemenangan dan percayalah bahawa mengisi kemenangan itu sebenarnya
lebih sukar daripada mencapai kemenangan, katanya.

Dahulukan yang disepakati, jangan lihat perbezaan

Harakahdaily
SHAH ALAM, 19 Dis:
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyeru semua pemimpin, ahli serta penyokong Pakatan Rakyat jangan melihat perbezaan antara mereka tetapi mendahulukan apa yang telah disepakati bersama.

Bagi beliau, perpecahan yang berlaku dalam Barisan Nasional (BN) sekarang perlu menjadi iktibar kepada mereka.

"Perpecahan dalam tiap-tiap satu parti BN yang sedang memerintah sepatutnya menjadi iktibar kepada Pakatan Rakyat, dan kita sendiri mestilah menunjukkan perpaduan walaupun berbeza pendapat dalam beberapa perkara.

"Dahulukan perkara yang disepakati dan mengambil masa dengan sabar dalam perkara yang masih berbeza," katanya dalam ucapan perdana semasa konvensyen pertama Pakatan Rakyat hari ini.

Lebih 1,500 pemimpin serta ahli PAS, PKR dan DAP memenuhi Auditorium MBSA bagi menyertai konvensyen itu.

Sebelum Abdul Hadi, Datuk Seri Anwar dan Lim Guan Eng memberikan ucapan perdana masing-masing.

"Alhamdulillah kita bersama-sama tinggal dalam negara Malaysia yang dibentuk di atasnya masyarakat majmuk, di mana semua kaum besar di Asia berada di sini.

"Sepatutnya kita membuka mata dengan realiti yang ada sehingga kita tidak boleh menganggap rakannya adalah pendatang , bukan penduduk asal, kerana kita semua tidak berasa asing disini, bahkan bila kita bertemu di luar negara kita terasa bersama daripada satu negara," katanya.

Menurut beliau, PAS yang berlandaskan Islam menganggap semua manusia adalah sama, kerana realiti mereka percaya kepada Tuhan yang satu.

"Walau pun selepas itu adanya penganut agama yang melantik tuhan-tuhan yang banyak yang sangat bercanggah dengan Islam, tetapi semuanya mengaku kepada Tuhan yang satu sahaja iaitu pencipta alam yang Maha Berkuasa, maka di atas perinsip aqidah ini Islam mewajibkan kerajaan berlaku adil kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama yang berlainan," katanya.

Katanya, Islam menganggap semua manusia daripada keturunan Adam dan Hawa, ada pun bangsa dan bahasa yang berbeza, warna kulit yang berlainan, taraf hidup yang tidak sama, semuanya berlaku kemudian.

"Semua perbezaan itu terbentuk selepas proses masa yang panjang , Islam menjadikan perbezaan itu tanda kebesaran Allah," katanya dengan disambut berselang seli dengan tepukan dan teriakan takbir Allahu Akbar.

Bersatu leburkan perkauman sempit

Harakahdaily
SHAH ALAM, 19 Dis:
Ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat sepakat untuk meleburkan semangat perkauman sempit untuk mencapai tujuan yang lebih besar iaitu mencapai tujuan bersama untuk seluruh masyarakat Malaysia.

Kesepakatan ini diikrarkan oleh pemimpin utama ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat ketika memberikan ucapan utama mereka di Konvensyen Sulung Pakatan Rakyat pagi ini.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mewakili parti masing-masing dalam menyampaikan kesepakatan itu.

Ketiga-tiga mereka memberikan ucapan utama di permulaan konvensyen pertama PR yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Slam (MBSA) pagi ini.

Lebih 1,500 pemimpin dan perwakilan memenuhi auditorium itu untuk menyertai konvensyen yang bertema 'Memimpin Perubahan Menjana Kemenangan' itu.

Di atas pentas utama, selain ketiga-tiganya, duduk di sana adalah Datuk Seri Dr Wan Azizah, Nasharudin Mat Isa dan Karpal Singh di samping Datuk Seri Khalid Ibrahim, MB Selangor sebagai tuan rumah.

"Kita akan mengamalkan prinsip hubungan 'karamah insaniah' melawan perkauman sempit yang diperjuangkan oleh Umno," kata Anwar.

"Kita mesti melihat kita semua dalam konteks ibu, ayah, anak, adik, abang, kakak dan sebagainya bukannya dari warna kulit dan kaum serta agama masing-masing," kata Lim Guan Eng.

Abdul Hadi pula dalam ucapannya meminta semua pemimpin dan ahli Pakatan Rakyat mendahulukan yang disepakati di kalangan mereka dan menangguhkan dulu perbezaan sehingga mereka mencapai kata sepakat.

Tindakan ini perlu untuk memboleh Pakatan bergerak ke depan tanpa dilagakan oleh musuh-musuh mereka.

Enjin pesawat pejuang pun boleh hilang?

Angkasanuri
Saya seringkali melahirkan kebimbangan tentang keselamatan negara dari ancaman luar terutama pintu keluar masuk sempadan negara. Masih ingat lagi kehilangan dua kontena cip komputer dari terminal kargo di Bayan Lepas tidak lama dulu?

Begitu juga dengan rampasan dadah yang beratnya hampir 1 tan di Rompin Pahang. Ini belum termasuk dengan betapa mudahnya pendatang haram membolosi sempadan negara dan begitu bergaya ' mengeksport' motorsikal milik rakyat negara ini untuk digunakan di negara jiran.

Berita terkini enjin jet pejuang F5E milik TUDM bernilai kira-kira RM50 juta daripada Gudang Material Udara I (Matra I), Pangkalan Udara Kuala Lumpur hilang dari sistem kawalan dan keselamatan yang ketat. Kehilangan ini berlaku pada hujung tahun lalu dan dikatakan telah dijual di sebuah negara di Eropah.

Dalam kes ini siasatan menunjukkan ia melibatkan penglibatan orang dalam iaitu pegawai atasan TUDM sendiri. Saya tidak mahu bangkitkan penyelewengan dan pecah amanah yang berlaku.

Tetapi apa yang saya ingin utarakan bagaimana enjin jet yang sebegitu besar boleh 'dieksport'' ke Eropah? Adakah pihak berkuasa di lapangan terbang, pelabuhan dan pintu sempadan tak dapat mengesan enjin yang begitu besar merentasi sempadan negara?

Sejak bila pula Malaysia jadi pengeksport enjin pesawat pejuang?

Jika enjin pesawat pejuang yang begini besar boleh diseludup keluar tidak mustahil banyak lagi aset keselamatan milik negara ini telah dibawa keluar dan jatuh kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Justeru itu satu siasatan rapi perlu dilakukan dan rakyat perlu diberitahu tentang kejadian yang berlaku. Ini kerana ia bukan sahaja berkaitan soal keselamatan tetapi juga berkaitan dengan duit rakyat yang menjadi pembayar cukai terhadap segala harta dan aset milik kerajaan.

Najib, UMNO dan Felda

Neo Chee Hua, Lim Hong Siang

Untuk setengah abad yang lalu, FELDA (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) memainkan peranan yang penting di tanahair Malaysia, khususnya dalam masyarakat Melayu, termasuklah bidang ekonomi, sosial, dan yang paling penting, politik.Malah, tsunami politik 8 Mac 2008 mungkin telah mengaramkan UMNO-BN seandainya FELDA tidak wujud. Menurut perhitungan ahli parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong, FELDA memainkan peranan yang penting di kira-kira 50 kawasan parlimen.

Pengaruh FELDA terserlah, dan dilihat sebagai kubu politik UMNO. Pengasasnya Perdana Menteri kedua Malaysia, Allahyarham Abdul Razak bin Hussein yang dikenang kerana jasanya membangunkan tanah kawasan luar bandar, yang pada ketika itu didiami orang Melayu kebanyakannya.

53 tahun sudah berlalu. FELDA kini diwarisi oleh anak Bapa Pembangunan. "UMNO perlu berubah", demikianlah slogan yang dilaungkan sebelum menemui hasil sebenar. Kesudahannya belum pasti. Yang pastinya, FELDA telah berubah sebaik sahaja PM keenam, Najib Razak menerajui tampuk pimpinan kerajaan.

Felda sebagai kubu UMNO

Penguasaan terhadap FELDA memberi makna penting dalam politik Melayu. UMNO memenangi 74 kerusi parlimen daripada 117 yang ditanding dalam PRU ke-12. Senario ini jauh berbeza daripada kemenangannya dalam PRU ke-11 pada tahun 2004, menyapu 109 kerusi parlimen, iaitu setengah daripada jumlah kerusi di Dewan Rakyat ketika itu.

Pada hakikatnya, UMNO perlu menguasai FELDA untuk menguasai kawasan luar bandar. Dengan kata lain, UMNO perlu menguasai FELDA untuk mengekalkan kuasa. Menurut seorang pegawai atasan dalam Felda Holdings Berhad, interaksi antara Najib dengan FELDA bertambah kerap setelah beliau menyandang jawatan PM. Malah, pertemuan dengan peneroka diaturkan hampir setiap dua minggu, selagi Najib dapat meluangkan masanya.

Menurut sumber maklumat ini, selain peruntukan tanah, masyarakat peneroka juga diberi subsidi baja, bahkan menerima dividen dari masa ke masa. Malah, sesetengah peneroka menjual baja yang diperolehi secara percuma itu sebagai "skim cepat kaya". Jelas, Najib sedar bahawa kepentingan UMNO hanya terlindung apabila kepentingan peneroka FELDA dijaga.

FELDA sebagai kuasa ekonomi

Walau bagaimanapun, FELDA bukan sekadar berperanan untuk mengagih sumber sambil menerima undi sebagai pulangannya. Menurut maklumat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, sayap komersial FELDA, iaitu Felda Holdings Berhad mencatat pendapatan sejumlah RM15.3 bilion, dan keuntungan bersih sejumlah RM635.7 juta pada tahun kewangan 2008.

Pada masa yang sama, syarikat tersebut memiliki wang simpanan tetap sejumlah RM 1.4 bilion, dan wang tunai serta simpanan bank sejumlah RM 222.7 juta pada akhir tahun 2008.

Selain itu, menurut laporan media, FELDA memiliki 850,000 hektar tanah tanaman, 38 buah anak syarikat, 75 buah kilang minyak kelapa sawit, dan 7 buah kilang pengekstrak minyak kelapa sawit -- penanam dan pengurus tanaman yang terbesar di dunia. Malah, FELDA menakluki 20% pasaran kelapa sawit di dunia. Secara puratanya, pendapatan FELDA mencecah RM15 bilion setahun, dan memperolehi keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.3 bilion pada tahun 2008.

FELDA menerokai dunia global

Demikianlah hasilnya setelah setengah abad penerokaan dan pembangunan tanah di Malaysia. Kini, FELDA merancang untuk mengembangkan sayapnya ke peringkat global mengikut jejak Petronas.

Menurut laporan media pada 2 Julai 2009, Felda Global Venture Holdings telah ditubuhkan untuk mengambil alih dan membangunkan perusahaan pelaburan komersial di bawah FELDA. Malah, Felda Global telah mengumumkan kesediaannya untuk melabur lebih daripada RM 6 bilion untuk memperluaskan perusahaannya dalam masa lima tahun yang akan datang.

Persoalannya, apakah latar belakang Felda Global? Syarikat ini telah ditubuhkan pada Disember 2007, namun hanya diumumkan struktur organisasinya pada Julai 2009. Sebelum ini, Felda Global berada dalam keadaan separuh-lelap, dan hanya bangkit apabila Najib menjadi PM secara rasmi pada April 2009.

Felda Global telah memulakan pelaburannya di luar negeri, walaupun apa yang diumumkan kepada khalayak adalah terhad. Selain penerokaannya di peringkat global, Felda Global memainkan peranan penting dalam bidang ekonomi Malaysia. Baru-baru ini, Felda Global telah membeli Malayan Sugar Manufacturing Company Bhd daripada Raja Gula, Robert Kuok dengan RM1.22 bilion.

Najib, dan konco-konconya

Cuma, siapa pula di sebalik Felda Global? Jawapannya, Mohd Bakke Salleh orang rapat Najib yang dikhabarkan bakal mengambil alih jawatan Hassan Marican pada Februari 2010 sebagai CEO Petronas. Bagaimanapun, pegawai khas Najib ketika beliau menjadi TPM, Omar Mustapha Ong akhirnya yang dilantik memasuki Lembaga Pengarah Petronas untuk menutup spekulasi yang tersebar.

Bakke Salleh, menguasai Felda Holdings Berhad sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global. Jelas, perlantikannya diiringi dengan misi daripada Najib untuk membangunkan Felda Global seiring dengan Petronas. Bakke Salleh pernah menganggotai Lembaga Pengarah Danaharta dan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji pada tahun 2001, untuk menyelesaikan krisis yang dihadapi oleh Lembaga Tabung Haji.

FELDA terpesong dari matlamat asal

Misi penerokaan ke dunia global yang diamanahkan kepada Felda Global sememangnya memperlihatkan agenda politik dan kepentingan golongan tertentu di sebaliknya. Namun, seandainya diimbas kembali matlamat asal penubuhan FELDA, kita terpaksa mengakui bahawa sudah tiba masanya untuk merombak agensi ini.

FELDA ditubuhkan pada tahun 1956 untuk membantu orang Melayu di luar bandar dengan rancangan penerokaan dan pembangunan tanah. Pertanian diusahakan sebagai salah satu langkah untuk membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat Melayu.

Tetapi, FELDA semakin terpesong dari matlamat asalnya, apabila peneroka mula mencari rezeki di luar kawasan FELDA, dan menjadikan aktiviti pertanian sebagai kerja sampingan. Keadaan ini berlaku terutamanya setelah Malaysia melalui tahun 1980-an, apabila peneroka mula pindah ke bandar untuk bekerja di kilang industri, yang pendapatannya lebih stabil berbanding dengan aktiviti pertanian. Malah, pekerja asing diupah untuk mengusahakan tanah pertanian yang asal.

Lebih-lebih lagi, generasi kedua dan ketiga masyarakat peneroka memilih untuk mencari rezeki di bandar, apabila arus perindustrian kian menderas. Tanah ditinggalkan kepada peneroka yang sudah lanjut usianya, malah tidak larat lagi untuk membanting tulang di kebun.

Keadaan bertambah dahsyat apabila nilai tanah melonjak berikutan proses urbanisasi. Kawasan bandar diperluaskan. Tanah diterokai untuk membina bangunan komersial dan perumahan. Maka, sesetengah peneroka bandar memilih untuk menjual tanahnya dengan kebenaran kerajaan, lantas menjadi jutawan dalam sekelip mata.

Realitinya, perkembangan terkini memperlihatkan bagaimana FELDA semakin hari semakin kehilangan tanah tanamannya. Secara makronya, masyarakat Melayu mungkin mewarisi kekayaan daripada rancangan FELDA, yang sudah terpesong daripada matlamat asalnya. Secara mikronya, Najib mungkin mewarisi legasi ayahandanya, tetapi bukan jiwanya.

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

Keganasan Polis Semasa Di Tahan

GreenSosialis

Nama Pengadu : Isai Kumar a/l Sathieyananthan
No I/c : 820811-14-6585
Alamat : , 70200 Seremban,
Negeri Sembilan Darul Khusus.

Saya Isai Kumar a/l Sathieyananthan ingin membuat laporan polis berkenaan keganasan polis semasa saya ditahan untuk siasatan pada 6.12.09 hingga 14.12.09. Saya ditahan di Petronas, Pekan Nilai lebih kurang pukul 9.00 pagi dan dibawa ke IPK Seremban bersama kereta LIMO bernombor LIMO 2940 W. Setiba di sana, saya dibawa ke bilik siasatan tingkat bawah.

Semasa saya berada di sana, saya dipukul dan ditendang oleh enam orang pegawai polis. Sewaktu itu, seorang polis berpakaian biasa telah menyuruh saya membuka baju dan seluar. Selepas itu, dia mengambil gambar kemaluan saya. Saya telah dipukul sehingga pukul 4 petang dan tidak diberi makan dan minum. Selepas itu, mereka membawa saya menaiki van polis ke IPD Seremban. Setiba disana, saya dibawa ke bilik siasatan tingkat bawah. Sewaktu disana, saya ditendang di muka oleh Inspektor Sobry. Selain itu, beberapa pegawai polis lain juga memukul dan menendang saya. Saya juga tidak diberi makan dan minum dan terus dihantar ke lokap nombor 13.

Keesokan hari 7.12.09, saya dibawa ke mahkamah dan mendapat reman 4 hari. Selepas itu saya dibawa balik ke IPD Seremban pada pukul 1 petang untuk memberi statement. Insp Sobry yang mengambil statement. Sebelum mengambil statement, Insp Sobry telah mengaku tuduhan terhadap saya adalah palsu dan dia sendiri mengaku repot pengadu tidak sahih. Selepas mengambil statement saya dibawa ke lokap.

Pada 10.12.09, saya dibawa ke mahkamah sekali lagi dan mendapat reman 6 hari. Sebelum pergi ke mahkamah Insp Sobry telah mengarah, supaya tidak bercakap dengan majistet semasa mengambil reman di mahkamah. Saya terus dibawa balik ke lokap IPD Seremban. Semasa saya di lokap, saya dibawa ke bilik siasatan D7 Korporal bergari belakang dan dipaksa duduk berlutut dengan paip PVC yang diletak di belakang lutut saya. . Di sana saya mendapati pengadu yang membuat repot palsu terhadap saya berada dalam bilik siasatan. Di dalam bilik tersebut terdapat seorang polis perempuan dan tujuh orang polis lelaki. Di situ saya disoal dan semua jawapan yang saya beri tidak diterima dan dipukul bertubi-tubi. Pengadu bercakap bohong berkali-kali dan saya menyangkah segala tuduhannya. Apabila saya membantah, saya akan terus dipukul dengan paip PVC dan paip getah yang tidak berlubang ditengah. Polis perempuan yang berada di bilik tersebut, memegang rambut saya dan menampar berkali-kali. Selepas itu, dia menendang dada saya menggunakan lututnya. Saya terus terbaring ke lantai. Pegawai polis perempuan itu, duduk di atas dada saya dan memasukkan kasut yang dipakainya ke dalam mulut saya. Di memaksa kasut itu kedalam mulut. Saya boleh rasa kasut itu sudah sampai ke tekak saya. Sewaktu itu, pegawai polis tersebut mengatakan, mengapa saya perlu jumpa pengadu kerana dia(pegawai polis) lebih cantik dan dia cuba menanggalkan tudung dan bajunya. Dia juga memaki hamun dengan perkataan lucah keluarga saya. Saya ternampak nombor plet kereta polis perempuan itu iaitu Proton Waja No. MAS 6043. Selepas itu, pegawai polis perempuan dan pengadu keluar bilik. Lebih kurang 15 min kemudian, pegawai polis perempuan tersebut datang balik ke bilik Korporal D7 dan terus mengoncang kepala saya dengan memegang rambut dan mengatakan pengadu itu membuat laporan palsu terhadap saya. Selepas ini, kesemua pegawai polis yang berada di dalam bilik tersebut terus mengatakan pengadu itu membuat laporan palsu. Selepas itu saya dibawa masuk ke lokap semula. Di sana saya tidak dapat menahan sakit badan dan mendapat demam selsema. Saya meminta ubat, tetapi tidak diberi. Pegawai yang bertugas mengatakan lokap tidak mempunyai panadol atau ubat demam

Pada 11.12.09, saya masih demam tetapi masih tidak diberi ubat. Saya diberi makan, kari ikan. Selepas itu, seorang banduan di lokap itu mengatakan ikan tersebut telah basi. Saya terpaksa muntah. Saya tidak diberi makanan lagi walaupun makanan yang diberi basi. Pada waktu malam, saya diberi ubat KK tiga biji kerana masih demam.

Sepanjang di lokap, makanan yang diberi tidak mencukupi kerana di dalam lokap no 13 terdapat 7 orang. Roti yang diberi untuk sarapan pagi hanyalah 3 bungkus sahaja. Semasa mengambil statement, pegawai polis menggunakan kata-kata kesat dan lucah terhadap saya.

Saya membuat laporan polis ini kerana tidak berpuashati dengan tingkahlaku polis yang memukul dan menggunakan perkataan lucah. Saya juga tidak mahu siasatan dilakukan oleh IPD Seremban atau IPK Negeri Sembilan. Saya memohon siasatan dilakukan oleh Bukit Aman.

Pada pagi ini saya bersama peguam saya cuba untuk berjumpa Timbalan Ketua Polis mengenai kes yang amat serius ini, tetapi pintu gate ditutp dan kami dilarang berjumpa beliau. Saya amat kecewa dengan tindakan polis ini.

Ini adalah laporan saya.

-tranungkite-

Satu Lambang, PR Jangan Tiru BN

Zolkharnain Abidin

Konvensyen PR esok menjadi salah satu batu tanda penting hubungan parti-parti dalam PR. Dalam suasana Umno / BN amat berharap parti-parti dalam PR bercakaran sesama sendiri, tiba-tiba konvensyen ini berlangsung. Sehingga kini belum ada komen pemimpin Umno / BN mengenai konvensyen ini. Mungkin mereka masih terkejut dengan kejadian di parlimen 14 Dis yang lalu.

PR guna satu lambang seperti BN? Saya harap konvensyen ini tidak mengeluarkan resolusi begitu. Kenapa?

Penting sangatkah lambang? Kecuali sistem pilihanraya kita berubah, ada cara lain selain lambang untuk membolehkan pengundi memilih parti yang mereka mahu, lambang masih sangat penting.

PAS berbeza dengan PKR dan DAP sama seperti Umno berbeza dengan MCA dan MIC. Perbezaan ini harus diiktiraf sama seperti pengiktirafan terhadap wujudnya persamaan. Apa yang mustahak, perkukuhkan keserasian dengan perbezaan yang wujud itu.

Lelaki dan perempuan berbeza tetapi mereka tidak perlu memakai baju yang sama untuk memaklumkan kepada umum bahawa mereka adalah pasangan suami isteri. Cukuplah dengan mereka menaiki kereta bersama, membeli-belah bersama, makan angin bersama, ketawa dan menangis bersama, memegang tangan anak-anak ketika berjalan bersama, itu sudah memadai.

Jiran-jiran tahu, kawan-kawan tahu, bahkan orang yang tidak mengenali mereka pun tahu bahawa mereka pasangan suami isteri bila melihat mereka begitu.

Apa yang mengikat mereka? Ya, selain dokumen perkahwinan, mereka diikat oleh kebersamaan mereka menghadapi situasi. Ada ketika mereka berkelahi, berbalah, bergaduh, tetapi kemudiannya mereka kembali bersama malah lebih intim lagi. Demi siapa? Ya, demi anak-anak, masa depan mereka.

PAS, PKR dan DAP tidak perlu menggunakan lambang yang sama. Lebih selesa, tenang kita memakai lambang sendiri seperti sekarang. Cukuplah, kita berarak bersama, kita berkempen bersama, kita bermarkas bersama, orang sudah tahu bahawa kita berkawan. Dunia sudah tahu itu semua.

Kita tidak perlu menipu rakyat seperti BN. Ke sana sini memikul dacing, tapi Umno menikam Melayu, MCA dan MIC pun tidak setara mana membela kaum mereka. Orang yang terbela ialah orang yang berkuasa, pemimpin mereka.

Dengan satu lambang itu, pada hari ini rakyat tidak kemana. Kekayaan negara mereka punggah dan difaraidkan sesama mereka. Rakyat ditipu dengan satu lambang. Satu lambang, kononnya simbol perpaduan. Akhirnya, mereka memang berpadu tetapi untuk tipu kita.

Kita tampil di hadapan rakyat dengan wajah kita. PAS, PKR dan DAP dengan wajah masing-masing. Kita suarakan idealisme kita. Fokus kita ialah rakyat, masa depan mereka.

Politik tipu rakyat dengan satu lambang tidak harus kita warisi. Kita mesti berbeza daripada BN. Kita perlu melakar wajah politik baru untuk Malaysia.

Berikan rakyat Malaysia peluang yang luas untuk menentukan masa depan mereka. Jangan ikat dan berkas mereka dengan lambang seperti BN. Andai PR berkuasa, lebih baik kita berikan rakyat Malaysia banyak pilihan, PAS, PKR dan DAP daripada kita mengikat mereka dengan dua pilihan sahaja, PR dan BN.

Rakyat akan lebih memberontak jika mereka diikat berbanding mereka diberikan banyak peluang dan pilihan.

BN telah memenjara rakyat dengan ‘dacing’. Hari ini rakyat memberontak. Ahli atau penyokong Umno tidak mampu beralih kepada parti lain dalam komponen BN, ahli atau penyokong MCA tidak beralih kepada Gerakan misalnya, kenapa? Kerana mereka jemu dengan ‘idealisme’ dacing itu. Kesudahannya mereka meninggalkan terus ‘dacing’.

PR mesti memberi peluang kepada ahli atau penyokongnya terus bersama PR sekali pun dia mungkin tidak mahu bersama dengan salah satu parti dalam PR. Bukankah itu lebih menguntungkan politik kita? Dia tidak selesa dengan A, boleh pilih B, namun masih bersama PR.

Justeru, saya tidak bersetuju PR menggunakan satu lambang sahaja. Lebih baik terbuka, lebih selesa bebas, lebih mesra beridentiti. Dada tidak sempit, fikiran tidak kusut.

Bukan saya seorang tetapi saya yakin rakyat Malaysia juga begitu. Rakyat Malaysia sudah fobia dengan satu lambang, ‘dacing’.

http://bongkarsauh.blogspot.com/

Apa yang menarik tentang konvesyen Blogger PAS?

hermansamsudeen
Baru dapat kertas kerja Dr. Abu Hassan Hasbullah yang akan dibentangkan dalam Konvensyen Blogger PAS 2009 ahad ini. 13 mukasurat semuanya, yang pasti ia satu makalah menarik buat para blogger yang hadir. Banyak fakta-fakta berkaitan blogger akan dikupas. Rugi jika tak hadir.

Konvensyen kali ini bakal memberikan satu gambaran yang lebih terkedepan kepada para blogger untuk melihat kepentingan aset penulisan mereka. Memahami konteks dan kandungan sesuatu blog harus bermula dari dri penulis, maka dikonvensyen ini akan ada satu ruang untuk para blogger menilai identiti penulisan mereka dan memahami bagaimanakah penulisan itu mampu memberikan impak kepada khalayak pembaca dan sekelilingnya.

Instrumen media lain turut dikupas sebagai melihat kepentingan jaringan sosial maya ini dalam mengantikan fungsi kedai-kedai kopi realiti kepada kedai kopi maya yang ternyata lebih banyak fakta boleh diketengahkan.

Kertas Kerja Ust. Ghani juga hebat, kerana disana ada perkongsian sejarah dan perkembangan blogger menurut kemajuan teknologi maya.

Disana juga akan disebutkan jenis-jenis penulisan dan etika-etika blogger yang boleh dijadikan panduan sebagai membina kualiti penulisan yang lebih berkarisma dan boleh dipercayai. Kekuatan Blog yang pastinya adalah terletak pada blogger, maka disana ada beberapa panduan membina kekuatan itu agar khalayak pembaca tidak melihat blogger sebagai bentuk penulisan picisan.

Disana juga kita akan memahami erti kebebasan dalam penulisan, hormat dalam pemikiran, fakta dalam penghujahan dan erti tanggungjawab dalam perkongsian.

Maka untuk kali yang terakhir saya menjemput rakan-rakan Blogger PAS dan Pro-PAS untuk hadir.
Sila hantar maklumat pendaftaran anda ke

penerangan.paspusat@yahoo.com

Edar Risalah Memorandum Di Masjid Negeri Shah Alam, Dua Ditahan

Solat Jumaat di Masjid Negeri Shah Alam hari ini menyaksikan ketumbukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengepung perimeter masjid.

Polis dikerah ke bangunan suci ini bagi membendung tindakan Angkatan Muda Keadilan mengedar risalah memorandum, sejurus selepas solat.

Dipercayai risalah tersebut diedar bagi mendesak Mahkamah Syariah lebih telus dan bebas daripada campurtangan pihak pemerintah.

Ketua AMK Selangor, Khairul Anwar Ahmad Zainuddin dan Timbalannya, Azizi Ahmad ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk disoal-siasat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan mendapatkan perintah reman ke atas kedua-dua yang ditahan dan akan disoal siasat di bawah akta Mesin Cetak kerana mengedar risalah tanpa permit.

“Kita menahan dua orang kerana mengedar risalah tanpa permit, di bawah Akta Mesin Cetak apabila hendak mengedar risalah mesti ada permit. Kalau mengedar risalah tanapa permit ini menjadi satu kesalahan kita akan tangkap. Kita akan mintak reman.

“Saya ingin memberi amaran parti-parti politik dan juga NGO di Selangor, jangan cuba hendak mencabar polis untuk mengadakan demonstrasi haram, forum-forum khususnya forum yang menyentuh perbicaraan Anwar Ibrahim

Sementara itu, Khairul yang dihubungi berkata, Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin hadir ke IPD bersama Peguam, Abd Razak Jamil dalam usaha membebaskannya.

Risalah yang diedarkan juga mendesak Mahkamah Syariah Kuala Lumpur menyegerakan prosiding kes Qazaf yang difailkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

AMK juga menggesa Mahkamah Syariah seluruh negara bersikap berani, adil dan telus serta tidak terpengaruh dengan sebarang campurtangan politik.

AMK turut mendesak supaya martabat mahkamah itu diperkasa dan dipertahan serta megesa seluruh badan pendakwaan dan kehakiman mahkamah tersebut tidak tunduk kepada campurtangan politik.

Memorandum berkenaan turut mengecam kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Mneteri, Mejar Jeneral Datuk Jamil Khir Baharom yang menyatakan kes qazaf Anwar tidak boleh dibicarakan kerana ia sedang berjalan di mahkamah sivil.

AMK dalam memorandum itu menyifatkan kenyataan Jamil Khir sebagai menghina Mahkamah Syariah kerana menjatuhkan martabat dan maruah mahkamah berkenaan.
-tvselangor-

Cucu bakar rumah nenek

Seorang nenek tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya musnah dalam kebakaran awal pagi ini, dipercayai dibakar oleh cucunya sendiri yang dikatakan menghidap penyakit mental.

Kebakaran rumah di Kampung Sematang Bogok di Alor Setar, itu berlaku ketika Asiah @ Itam Puteh @ Teh, 72, sedang tidur di bahagian dapur rumah itu.

"Mak Cik sedang tidur ketika itu dan cucu kejutkan mak cik lalu mengheret mak cik keluar dari rumah menyebabkan Mak Cik terjatuh dan ketika itulah baru sedar yang rumah kami sedang terbakar.

"Kami langsung tidak sempat menyelamatkan apa-apa," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, adik warga emas itu Rejab Puteh @ Teh, 62, yang tinggal tidak jauh dari rumah kakaknya berkata dia menyedari kebakaran itu apabila pintu rumahnya diketuk oleh kakaknya.

"Saya mengejutkan dua anak lelaki saya untuk membantu memadam api dan terus menelefon bomba," katanya.

Rejab berkata cucu kakaknya itu kemudian mengaku bahawa dia yang membakar rumah terbabit.

Difahamkan, Asiah tinggal di rumah itu seorang diri sejak lapan tahun lepas setelah kematian suaminya dan cucunya itu datang untuk tinggal bersama neneknya sejak sebulan lepas.

Ketua Operasi Balai Bomba Jalan Raja Mohd Shukri Nayan berkata bomba yang menerima panggilan pada pukul 1.56 pagi menghantar satu jentera bersama enam anggota ke tempat kejadian dan mereka mengambil masa 10 minit untuk mengawal kebakaran.

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat, katanya.
-BERNAMA-

Antara Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, mana satu yang benar ?

Drs Idham Lim

Selepas berulang kali menafikan keputusan-keputusan yang telah diputuskan di Mahkamah Tinggi sekali ini Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh menyoal siasat saksi selepas waktu pejabat.

Sebaliknya, ia memutuskan bahawa SPRM boleh berbuat demikian bagi tujuan memerangi jenayah rasuah.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hasan Lah, Datuk Ahmad Maarop dan Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam kanan persekutuan, Amarjeet Singh bagi pihak SPRM dan peguam Karpal Singh bagi pihak ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah.

Saya seperti sudah tidak boleh mempercayai setiap keputusan yang diputuskan di Mahkamah Tinggi akan dibenarkan di mahkamah Rayuan. Sebelum ini Mahkamah yang sama telah menafikan du kes besar yang melibatkan negeri Perak dan kelantan.

Pada 11 Mei mahkamah Tinggi mengatakan MB Perak yang sah adalah Nizar dan pada 22 Mei mahkamah Rayuan mengatakan Zambry adalah MB yang sah.

Begitu juga dalam kes DUN Kota Siputeh di Kedah dimana mahkamah Rayuan menafikan keputusan di Mahkamah Tinggi yang mengatakan ada kekosongan dan dinafikan oleh Mahkamah Rayuan yang telah menghalang Writ Piliharaya dikeluarkan oleh SPR dan tiada pertandingan .

Kalau beginilah sering berlaku percanggahan 360 darjah antara keputusan dua mahkamah yang penting ini, sebenarnya dimanakah lagi yang akan diharapkan oleh rakyat untuk mencari keadilan.

Tidakkah hakim yang berada di Mahkamah Rayuan itu adalah yang naik pangkat dari mahkamah Tinggi juga, namun kenapa keputusannya boleh berlainan pula?

Temasuklah dalam kesMB Perak saya rasakan sesuatu yang pelik berlaku bila dalam masa 3 minit keputusan siapakah MB Perak yang sah dibacakan dan sesudah itu menunggu tempoh yang lama untuk mendapatkan penghakiman bertulis sebagai dokumen untuk menfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Apakah sebenarnya fungsi sebenarnya pelbagai mahkamah yang ada di malaysia kalau cuma keputusannya boleh berubah-ubah dan menyusahkan banyak pihak yang menantikan keadilan termasuklah keluarga Beng Hock?

Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat esok

Harakahdaily
SHAH ALAM, 18 Dis:
Esok, semua pemimpin kanan PAS, PKR dan DAP akan berhimpun dalam Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Turut menyertai mereka adalah 1,500 perwakilan iaitu 500 bagi setiap parti-parti yang bergabung di bawah payung Pakatan Rakyat itu.

Perhimpunan sehari suntuk bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang ini dijangka akan turut disertai oleh lebih 100 wakil pelbagai jenis media dari suluruh dunia.

Majlis ini akan dipenuhi dengan ucapan dan pelancaran beberapa perkara penting yang mengikat ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat itu.

(Gambar: Logo konvensyen pertama Pakatan Rakyat)

Kali ini, PKR menjadi sekretariat konvensyen ini di mana Setiausaha Agung PKR, Datuk Sallehudin menjadi pengarah konvensyen ini.

Sehubungan itu, beliau berikrar mahu menjadikan majlis ini seumpama kenduri Pakatan Rakyat yang akan dibuat dengan cara terbaik dan penuh warna warni.

Dipercayai, satu penyataan bersama Pakatan Rakyat akan dibentangkan dalam konvensyen ini untuk dijadikan panduan dan asas ikatan antara ketiga-tiga parti ini.

Antara kandungannya adalah:

1) Hentikan politik perkauman dan diskriminasi dalam semua dasar kerajaan dan perundangan.

2) Kembalikan keutuhan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

3) Bangunkan sistem ekonomi yang benar-benar untuk rakyat

4) Kembalikan makna persekutuan dalam mempertahankan hak-hak negeri.

5) Hapuskan ISA dan undang-undang yang menekan rakyat.

6) Hentikan tahun-tahun tanpa pelaburan dan perancangan yang buruk dalam pendidikan, pengangkutan dan kesihatan.

7) Bangunkan agenda keselamatan sosial

8) Perkasakan hak demokratik dalam budaya dan kepelbagaian budaya dan sastera.

Semua pemimpin kanan Pakatan Rakyat dijadualkan berucap. Antaranya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Lim Guan Eng di samping para pemimpin muda Pakatan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz juga dijangka akan berucap menjelang konvensyen ini berakhir pada sebelah petangnya.

Yang menariknya, pada sebelah malamnya, ulama tersohor dunia Sheikh Dr Yusof Qardawy akan memberikan Syarahan Perdana di Masjid Negeri iaitu Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam juga.

Ekonomi terbuka Najib dikritik Jomo

Izzati Yaacob
PETALING JAYA, 18 Dis:
Ahli ekonomi terkemuka KS jomo secara tidak langsung mengkritik dasar ekonomi terbuka yang mula diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Jomo yang kini bertugas sebagai penolong setiausaha agung bagi pembangunan ekonomi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
(PBB) berkata dasar ekonomi terbuka yang membolehkan liberalisasi kewangan negara tidak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara kini.

Sebaliknya beliau menjelaskan dasar ekonomi tersebut hanya menyumbang kepada peningkatan harga pasaran saham dan hartanah
yang boleh melambung tinggi dan kemudiannya merudum secara tiba-tiba.

Jomo berkata sedemikian semasa memberi syarahan yang bertajuk “adakah malaysia menggambil iktibar dari kesan krisis ekonomi yang lepas”, yang berlangsung di Hotel Singgahsana di sini malam semalam.

Program tersebut dianggarkan dihadiri seramai 200 orang. Ia dianjurkan oleh Gerak Budaya dan Pusat Maklumat Strategik dan Pembangunan Penyelidikan (SIRD). Penganjur bersama adalah Youth4 Change.

Jomo berkata dasar tersebut mungkin disokong oleh golongan berpendapatan kelas pertengahan yang melabur di dalam pasaran saham tetapi menurutnya dasar tersebut tidak menyumbang kepada “ekonomi sebenar”.

Beliau memberi contoh kejayaan syarikat-syarikat tempatan dalam memproses minyak sawit mentah kepada minyak sawit yang telah ditapis sebagai satu kejayaan yang menyumbang kepada ekonomi
sebenar negara ini.

Katanya lagi, minyak sawit untuk kegunaan memasak keluaran Malaysia kini tidak “menyebabkan siling dapur berjelaga”.

“Inilah contoh-contoh kejayaan kejuruteraan Malaysia membawa perubahan kepada ekonomi (sebenar),” tambahnya lagi.

Jomo berkata perubahan ke arah dasar ekonomi terbuka kini adalah hasil kerja para pelobi yang bergerak aktif diperingkat
antarabangsa.

Katanya usaha-usaha tersebut amat giat dijalankan sehingga dasar-dasar yang bertujuan untuk melindungi kepentingan
negara seperti yang telah diamalkan semasa pemerintahan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad “dicampak begitu
sahaja”.

“Perkara-perkara seperti ini jarang-jarang sekali didebatkan di parlimen,”katanya.

Jomo juga membangkitkan kecenderungan kerajaan di bawah pimpinan Najib untuk bergantung kepada pengunaan dan
perbelanjaan sebagai enjin pertumbuhan ekonomi sebagai “satu strategik yang tidak ampuh”.

Katanya kecenderungan tersebut akan menjadikan impian negara untuk menjadi negara maju menjelang 2020 akan terpaksa
ditangguh “sekurang-kurangnya selama satu dekad lagi”.

Di antara perubahan dasar ekonomi yang diperkenalkan Najib adalah liberalisasi 27 subsektor dan sektor kewangan, pengeluaran lesen bank-bank komersil baharu untuk rakyat asing menyertai sektor kewangan negara, pertumbuhan kewangan Islam, serta memansuhkan garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) membabitkan ekuiti Bumiputera.

Dasar ekonomi terbukanya juga dijangka mengurangkan pemilikan ekuiti bumiputra dari paras 18 peratus sekarang kepada
sekitar hanya 12 peratus.

Sementara itu pemilikan ekuiti di kalangan pihak asing dijangka meninggkat sehingga 70 peratus.

Tindakan terhadap ahli parlimen BN ponteng

Najib berkata kegagalan ramai ahli parlimen BN hadir pada sidang Dewan Rakyat bagi meluluskan Bajet 2010 awal minggu ini sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dan tindakan sewajarnya akan diambil.

Sambil memandang serius perkara itu, perdana menteri dilaporkan berkata arahan sudah diberikan supaya semua timbalan menteri dan ahli parlimen hadir pada persidangan itu.

"Saya sudah dapat senarai mereka yang tak hadir dan kita akan menyusulinya dengan tindakan sewajarnya.

"Sekurang-kurangnya kita kena buat satu perjumpaan untuk mengingatkan tanggungjawab mereka untuk hadir pada persidangan Parlimen," Najib dipetik berkata pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Copenhagen malam tadi.

Beliau mengulas majoriti tiga undi saja bagi meluluskan Bajet 2010 menerusi undi belah bahagian, iaitu 66 menyokong dan 63 menolak.

Najib dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, terpaksa bergegas dari majlis di ibu negara untuk memastikan Bajet 2010 diluluskan dalam undian pada 11.15 malam Isnin lalu.

Seramai 74 ahli parlimen BN tidak hadir di Dewan Rakyat ketika bacaan kali ketiga Bajet 2010 untuk kelulusan.

Kehadiran ahli parlimen BN cuma 48 peratus, iaitu 66 daripada 137 anggota, berbanding 77 peratus anggota pembangkang, iaitu 63 daripada 82 anggota.
-malaysiakini.com-

Petronas bukan harta milik Umno-BN

Mohd Rashidi Hasan

Sumbangan besar Petronas sebagai sebuah syarikat gergasi minyak, yang menjadi sumber utama untuk membantu dan menampung ekonomi negara sangat diperakui.Dana besar yang diperolehi bagi membantu menguruskan perbelanjaan negara tidak boleh dikatakan ia sebagai semata-mata hasil jasa Petronas.

Petronas hanyalah sebuah syarikat milik negara yang diberi amanah untuk mengeluarkan hasil minyak dan gas secara tunggal dari perairan negara dan antarabangsa.

Petronas diurustadbirkan secara profesional, namun ia dipertanggungjawabkan terus di bawah kuasa perdana menteri.

Apa pun, minyak dan gas di perairan negara dan yang dikongsi bersama beberapa negara jiran di perairan antarabangsa, adalah milik negara dan milik rakyat.

Justeru, segala hasil mahsul yang menghasilkan unjuran besar pendapatan Petronas adalah hak rakyat yang wajib diketahui rakyat.

Rakyat mahu mengetahui berapa jumlah sebenar yang diperolehi rakyat, berapa banyak royalti yang diberikan kepada kerajaan-kerajaan negeri dan kerajaan pusat, serta ke mana dan bagaimana ia diagihkan.

Namun sehingga kini tiada data jelas yang boleh diperolehi secara telus. Parlimen juga tidak dibentangkan akaunnya dan Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) juga tidak boleh mengauditnya.

Mengapa akaun Petronas disembunyikan, dilindungi daripada rakyat? Barangkali di sini bukan salah Petronas. Yang salahnya mengapa perdana menteri enggan membenarkan akaunnya diteliti secara telus.

Rakyat tidak mengetahui dengan jelas, di perairan negeri mana telaga minyak dan gas digali. Rakyat tidak diberitahu secara jelas dengan siapakah usaha pencarigalian itu dilakukan dan banyak mana minyak dan gas yang digali.

Jika Kelantan tidak menuntut hasil petroleum yang jelas digali dalam perairannya, nescaya tiada siapa yang tahu apakah isu sebenar yang berlaku.

Kerajaan negeri Kelantan, di bawah usaha exconya, Datuk Husam Musa berjaya melakukan pembongkaran yang mengejutkan.

Iaitu, hasil petroleum digali dari perairan Kelantan sejak 2004, tetapi hasilnya disembunyikan oleh Petronas yang dikuasai Umno dan Barisan Nasional.

Hasil royalti kepada Kelantan dianggarkan lebih RM1 bilion disembunyi dan didiamkan daripada Kelantan.

Mengapa mereka begitu jahat menyembunyikan hasil milik rakyat Kelantan? Di mana wang itu sekarang, dan ke mana ia dibelanjakan, akan tetap menjadi persoalan yang akan terus dibongkar.

Tidak dapat dinafikan, walaupun Petronas menjalankan urusniaga secara profesional, namun ia tetap tidak terlepas daripada diperalatkan oleh orang-orang politik, khususnya perdana menteri yang juga presiden Umno.

Sesiapa pun yang menjadi PM, boleh "mempunyai kecenderungan" untuk memanipulasikan Petronas, kerana agensi itu tertakluk sepenuhnya di bawah kuasa beliau.

Kemuncak manipulasi dan kejahatan yang paling besar dilakukan pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri, ketika PAS menerajui Terengganu (1999-2004).

Mahathir secara rakus menghukum rakyat Terengganu dan PAS dengan menarik balik royalti minyak selepas lebih 20 tahun dibayar kepada Terengganu secara tunai.

Royalti dibayar ketika Umno-BN menerajui kerajaan negeri, tetapi ditarik balik ketika PAS memegang tampuk kuasa.

Tindakan zalim ini tidak harus dimaafkan sama sekali. Hasil minyak bukan milik Umno-BN. Royalti minyak juga bukan duit milik Umno-BN.

Ia adalah milik rakyat dan mesti dipulangkan kepada rakyat melalui kerajaan negeri yang sah dipilih pada setiap pilihan raya.

Hakikatnya Petronas bukan harta milik peribadi Umno-BN yang hendak dibidak sesuka hati mereka.

Justeru, kini rakyat sudah sedar hakikat sebenar. Hasil yang digali Petronas menjadi bahan pertaruhan politik Umno-BN. Ia juga dijadikan bahan dendam politik terhadap PAS, dahulu di Terengganu dan kini di Kelantan.

Maka kita mengharapkan agar Petronas dan seluruh kakitangannya, supaya tidak menjadi alat politik Umno-BN, dengan menyembunyikan fakta-fakta sebenar daripada rakyat.

Ingatkan hayat politik Umno-BN tidak lama. Mereka bakal ditumbangkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Sesiapa sahaja yang bersekongkol dengan Umno-BN, menzalimi rakyat dari sudut politik dan ekonomi, akan menerima balasan yang setimpal.

Rakyat dibebani RM6.4 bilion cukai

dperbatasan
Pasukan Khas Anti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menyifatkan pengenalan cukai itu akan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung lebih RM6.4 bilion cukai yang sepatutnya diperoleh daripada pihak industri.

Ahli Jawatankuasanya,
Tony Pua berkata, kenyataan bahawa rakyat tidak terbeban dengan pengenalan cukai tersebut dan dalam masa yang sama meningkatkan pendapatan negara sebagai tidak masuk akal.

Jika perolehan cukai daripada peniaga akan dikurangkan sehingga RM5.4 bilion dan dalam masa yang sama pendapatan negara bertambah kepada RM13 bilion, bermaksud jumlah cukai RM6.4 bilion akan diperoleh daripada rakyat.

Persoalannya bagaimana menteri boleh keluarkan kenyataan rakyat berpendapatan rendah mampu menyimpan seperti mereka yang berpendapatan tinggi? Pengecualian cukai RM6.4 bilion yang dinikmati oleh peniaga akan dibayar oleh pengguna yang terdiri daripada pekerja berpendapatan rendah, pesara, pelajar ataupun golongan pertengahan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen semalam.

Kelmarin,
Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan yang bermula pertengahan 2011 nanti dijangka hanya sekitar empat peratus berbanding kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) di antara lima hingga 10 peratus selama ini.

Menurutnya, GST juga dikecualikan ke atas barangan keperluan seperti produk pertanian dan makanan asas bagi memastikan ia tidak membebankan rakyat.

Seorang lagi Ahli Jawatankuasa Anti-GST,
Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau akan menganjurkan sesi jelajah ke seluruh negara untuk memberi penjelasan kepada rakyat mengenai GST.

Pakatan Rakyat (PR) akan jelajah seluruh negara bulan depan memberi kesedaran kepada rakyat dan menerima maklum balas mereka yang terdiri daripada ahli akademik dan pakar industri," katanya.

'Better Kick This Fella'

esmael
Saya tidak membaca secara detail apa yang ditulis oleh kickdefella, kerana saya telah boleh mengagak kandungan secara keseluruhan setiap tulisan beliau untuk 'pukul anak sindir menantu' . Siapa kickdefella jika bukan seorang hero yang diangkat oleh para pengkagum beliau gara-gara menunjukkan sengketa dengan pemimpin UMNO sebelum ini sehingga di heret ke lokap dan terpaksa bermalam di sana.

Atau beliau hanya satu watak yang kurang cerdik di dalam filem - yang selalu dipermainkan dan dilihat seperti badut tetapi beliau adalah watak pintar dan mempunyai kuasa tipu daya yang hebat sehingga segala kelemahan dan kesilapan beliau atau orang disekitarnya akan tertutup.

Apabila seorang pengamal filem diberikan kuasa untuk berpolitik inilah jadinya. Pengamal filem akan membawa watak-watak dan plot-plot yang sukar difahami tetapi sering ingin dikaitkan dengan cerita dan berita sensasi yang boleh menaikkan namanya. Publisiti.

Apabila beliau dilantik/menjawat jawatan penting dalam kerajaan negeri, saya terfikir sesuatu yang anih telah berlaku. Itu pandangan saya sebagai rakyat, sebagai pemerhati dan sebagai pengkritik.

Saya fikir orang yang terlibat memberi jawatan itu mungkin, 1-terlalu cerdik, 2-kurang cerdik 3-ada udang disebalik batu 4-tersilap. Atau kes sama seperti PAS memberi jalan kepada Brahim Ali di Parlimen Pasir Mas.

Apabila Kickdefella membongkar apa yang dikatakan rahsia Kerajaan Negeri kepada umum, maka jelas
1-mendapat momentum baru terutama pemuja beliau tentang perkara sensasi dan dengan tempelaknya berjaya menjatuhkan Menteri Besar Kelantan (MBK) sedangkan menjatuhkan MBK telah gagal dibuat oleh dua Perdana Menteri sebelum ini, Najib sedang mewarisi @ gerombolan UMNO Kelantan dari Zaman Husin Serama hingga Pemimpin bernafsu besar, Anwar Musa atau sipintar Awang Adek,
2-justru mendapat sokongan dari penentang PAS atau penentang MBK,
3-@ blog beliau akan mendapat hit terhangat dalam beberapa minggu kebelakangan,
4-@ masej penting dari beliau bahawa sesiapa sahaja yang dekat dengannya, nescaya segalanya akan dirakam dan disimpan dan akan diletupkan/didedahkan didalam blognya suatu hari nanti.

Sememangnya Kickdefella sendiri tahu betapa apa yang cuba didedahkan/diceritakan di dalam blog hanyalah sesuatu bermusim, ia datang dan pergi bersama angin lalu.

Tidak memberi sebarang signifikan besar. Ia lebih mirip kepada syok sendiri dan selebihnya diangkat seperti hero dan dilupakan.

Kickdefella akan tenggelam dan timbul lagi dengan isu yang lain suatu hari nanti. Tetapi perlu kita ingat beliau adalah pengarah filem dan penulis skrip yang pintar!
-detikdaily-