Negara perlukan Islam demi kesejahteraan

Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi
Kebinasaan dan kemusnahan yang berlaku pada system pentadbiran dan pengurusan kehidupan masyarakat hari ini adalah berpunca dari angkara tindakan manusia yang rakus , zalim dan kejam . Inilah yang telah ditegaskan oleh Allah swt di dalam surah ar Ruum ayat 41:

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut Dengan sebab apa Yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya Yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk Yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Negara perlukan Islam untuk memulihkan semula segala kemusnahan dan kebinasaan yang dimaksudkan ekoran maksiat , mungkar dan jenayah yang berlaku kerana :

1. Islam menitik beratkan perlaksanaan syariat berasaskan proses didikan ilmu , kefahaman , keredaan , penghayatan dan ketundukan . Tiada paksaan untuk non muslim menerima Islam melainkan mereka hanya boleh menerima Islam setelah jelas kerelaan dari hati mereka . Justeru kerelaan dan kepatuhan terhadap islam itu menjadikan seseorang taat pada agama dan pastinya ia mewarnai akhlak dan moral mereka .

2. Islam memelihara 5 unsur penting kemuliaan insan iaitu Agama , Nyawa , Aqal , Keturunan dan Harta. Negara dan rakyatnya akan selamat jika menghayati dan melaksanakan syariat Islam dalam kehidupan mereka serta pentadbiran Negara .

a- [ Agama ] Islam tidak membenarkan perlakuan keluar masuk agama [murtad] secara bebas kerana ia menggambarkan seseorang itu bukan sahaja tidak konsisten tetapi menghina kesucian agama . Jika kerjaya dan rumahtangga boleh difahami oleh semua insan bahawa ianya memerlukan satu komitmen yang tinggi untuk berjaya maka kenapa terlalu sukar bagi sebahagian masyarakat untuk memahami bahawa agama lebih lebih lagi memerlukan komitmen kerana ia melibatkan perjanjian kita dengan Tuhan [Allah] untuk taat dan patuh .

b- [ Nyawa ] Islam meletakkan nyawa dengan satu nilai yang tinggi selepas agama yang dianugerahkan oleh Allah swt. Justeru nyawa dipertahan dengan segala hak penjagaan yang rapi . Islam melarang ummatnya membinasakan diri sendiri mahupun orang lain tanpa hak . Keselamatan menjadi isu penting yang akan dipelihara oleh Islam . Islam meletakkan rakyat dan mereka yang berlindung di bawahnya selamat dan sejahtera . Laksana islam rakyat rasa selamat dan negara aman .

c- [ Aqal ] Islam melihat aqal adalah fungsi utama memartabatkan manusia untuk hidup sebagai pengendali tamaddun dan peradaban di dunia ini . Hilang aqal dan kewarasan maka hilanglah karamah atau kemuliaan seorang insan sedang aqal inilah yang membezakan mereka dengan binatang . Apabila manusia hilang aqal dan tenggelam dalam kemabukan umpamanya akan membuatkan manusia hilang perikemanusiaan dan akhirnya mereka akan berperikebinatangan. Berlakulah jenayah yang kejam dan sadis . Laksana islam aqal terpelihara dan tamadun akan terbina.

d- [ Keturunan ] Islam mengambil nasab atau keturunan sebagai unsur yang dipelihara kerana ia juga asas kepada kemuliaan manusia . Bukankah hina jika insan itu lahir ke bumi tanpa ayah lalu digelar anak luar nikah atau anak haram . Justeru Islam melarang keras perbuatan zina dan sex bebas kerana ia perbuatan yang hina dan merosakkan keturunan . Laksana Islam selamat keturunan dan masyarakat jadi mulia .

e- [ Harta ] Islam turut memelihara harta kerana ia adalah alat bantu kehidupan . Melangsungkan kehidupan yang bahagia dan selesa memerlukan harta yang secukupnya . Perbuatan merosakkan harta peribadi atau awam seperti vandalisme adalah salah di sisi agama . Lebih – lebih lagi harta rakyat dan Negara. Laksana Islam selamat harta Negara dan selamat harta rakyat .

3. Islam satu sistem yang adil , telus dan saksama . Kisah anak Amru al A'as , Gabenor Mesir yang memerintah dizaman Umar al Khattab rha telah menampar seorang Qibti kerana beliau kalah dalam satu perlumbaan dengan Qibti tersebut . Qibti membuat aduan kepada Saidina Umar Rha lalu Umar Rha memanggil Amru al A'as dan anaknya mengadap lalu Umar Rha bertanya kepada Qibti adakah ini orangnya yang memukul kamu ? Qibti menjawab Ya ! Lalu Umar mengarahkan Qibti itu memukul Anak Amru al A'as Rha .

Kemudiannya Umar berpaling ke arah Amru Al A'as lantas berkata : Wahai Amru , sejak bila kamu memperhambakan manusia sedang ibu - ibu mereka melahirkan mereka dalam keadaan merdeka !

At Tasyri' Al Islami Khawasuhu wal Marahiluhu
Muhammad Abu Zuhrah

4. Islam melindungi non muslim [ zimmi ] dengan hak yang dijamin oleh syariat . Saidina Ali Karramallahuwajhah pernah berkata : Mereka membayar jizyah [cukai per individu] agar harta mereka menjadi seperti harta - harta kita dan darah - darah mereka sama [ terpelihara ] seperti darah - darah kita .[ sementara muslim membayar zakat fitrah - per individu ] .

al Mughni Jilid 8 Muka surat 445

Rasulullah saw pernah bersabda : Barangsiapa yang menyakiti ahli zimmi sesungguhnya aku menjadi musuhnya dan sesiapa yang aku menjadi musuhnya , akan aku musuhinya pada hari kiamat .

Jami' As Soghir - As Suyuti. Jilid 2 muka surat 473

Ibnu Hazmin menyebut di dalam kitab Maratibul Ijma' : Ahlu Harbi [ musuh Islam ] yang datang ke negara kita untuk mengambil ahli zimmah [ non muslim yang membayar jizyah ] kewajipan kita ialah memerangi mereka dengan kenderaan dan senjata demi menjaga orang byang berada di bawah zimmatullah dan zimmah rasulNya saw kerana menyerahkan mereka tanpa izinnya merupakan kecuaian terhadap aqad zimmi [perlindungan] .

5. Islam memberi dan memelihara hak mereka yang berhak memilikinya . Hak tersebut sebagaimana yang dijamin oleh Islam dengan meletakkan syarat tertentu yang membawa kebaikan kepada individu dan umum banyak disebut dan dibahas oleh sarjana Islam di dalam kitab - kitab mereka seperti :

a] Hak kebebasan individu selama mana tidak mendatangkan mudharat
b] Hak mendapat tempat tinggal
c] Hak beragama dan mengamalkannya
d] Hak pengiktirafan hak milik
e] Hak berfikir dan bersuara
f] Hak pendidikan
g] Hak perlindungan

Semua hak di atas terjamin untuk muslim dan non muslim . Sebagai contoh : Khalid ibnu Walid menulis surat kepada penduduk Hirah : " Jika terdapat orang - orang tua yang tidak mampu bekerja ataupun sakit atau sebelumnya kaya kemudian miskin dikalangan mereka , sehingga menyebabkan ahli agama mereka menghulurkan sedekah kepada mereka , maka kewajipan membayar jizyah digugurkan daripada mereka dan mereka dibantu menggunakan baitul mal muslimin selagi mereka tinggal di Darul Hijrah dan Darul Islam ."


Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

http://episodeperjuangan.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan