PERTARUHAN dalam perlawanan bola sepak adalah sebuah aktiviti perdagangan yang besar. Di sebahagian tempat di Asia, aktiviti itu bagaimanapun diharamkan dan pihak polis negara terbabit bersiap sedia memeranginya ketika perlawanan Piala Dunia sedang berlangsung. Berbilion dolar dianggarkan dipertaruhkan sepanjang perayaan bulan pesta bola sepak terbesar dunia itu yang berlangsung di Afrika Selatan.
Pertaruhannya adalah pelbagai, daripada siapa yang akan menang kepada siapa yang akan menjaringkan gol sehinggalah keputusan jaringan.
Sebahagian besar aktiviti itu akan bertukar tangan di gerai-gerai di pasar, pasaran gelap judi, sindiket jenayah terancang serta laman-laman perjudian online yang sedang meningkat popular.
Di Malaysia contohnya pada bulan ini pertaruhan yang mendapat tentangan daripada penduduk Islam itu 'dihalalkan' oleh sebahagian masyarakat. Bagaimanapun lesen mengenainya tidak dikeluarkan ketika musim Piala Dunia.
Dengan pertaruhan sukan yang diharamkan dianggarkan sebanyak RM20 bilion (AS$6.2 billion) setahun, jumlah pertaruhan untuk Piala Dunia dijangka lebih besar.
Pihak polis turut bersiap sedia dengan sekumpulan pasukan khas untuk mengawal aktiviti perjudian di Internet.
"Kami akan mengadakan serbuan di tempat-tempat yang menawarkan pertaruhan secara dalam talian. Serbuan itu akan dilakukan dengan lebih kerap lagi," kata Zainuddin Yaakob, Ketua Polis Negeri Johor.
Menurut Zainuddin, bermula Januari hingga awal April lalu, sebanyak 1,700 buah komputer sudah disita dan 32 orang telah pun ditangkap dalam serbuan di sekitar ibu negeri, Johor Bahru.
Pemegang lesen tunggal
Di Korea Selatan pula, hanya pusat Sports Toto yang menjadi pemegang lesen sah untuk aktiviti pertaruhan berkaitan sukan termasuklah Piala Dunia. Ia turut menyumbangkan lebih 25 peratus hasilnya kepada kerajaan.
Tetapi aktiviti itu masih dijalankan secara haram terutamanya menerusi online.
"Pertaruhan secara haram dijalankan melalui laman web peribadi dan banyak nilai wang telah bertukar tangan," kata jurucakap Kementerian Kebudayaan dan Sukan tanpa memberi nilai anggaran yang sebenar.
"Melalui kerjasama dengan pihak polis, kerajaan telah menumpaskan laman web yang berkaitan perjudian, tetapi ia amat sukar untuk dibanteras kerana terdapat pelbagai masalah teknikal. Sebahagiannya menggunakan pelayar dari luar negara," ujarnya.
Bagaimanapun, negara yang mengamalkan aktiviti judi yang terbesar di Asia sudah tentunya, China.
Menurut laporan Titan Sports Weekly, negara itu membelanjakan lebih 500 bilion yuan (RM238 bilion) untuk perjudian online sahaja pada tahun 2006 iaitu ketika perlawanan Piala Dunia lalu di Jerman.
Nilai itu adalah lebih kurang dua peratus daripada keluaran negara kasar (KDNK) negara China.
Tetapi dalam tempoh enam bulan lalu, pihak polis China telah memulakan tindakan lebih keras memerangi rasuah dalam perlawanan bola sepak termasuk berjaya memberkas Ketua Pertubuhan Bola Sepak China, Nan Yong.
Nan Yong dikatakan antara individu bertanggungjawab mengatur keputusan permainan bola di negara itu.
Perjudian sebenarnya turut diharamkan di India, kecuali judi lumba kuda.
India mungkin tidak tersenarai untuk perlawanan Piala Dunia, tetapi pasaran perjudian akan sentiasa wujud di negara itu.
Rajan Bhagat, seorang pegawai polis di Delhi menjelaskan bahawa mereka sering melakukan serbuan, namun beliau mengakui bahawa perjudian tidak pernah berhenti.
"Kami turut memantau aktiviti besar seperti Piala Dunia dan akan melakukan perkara yang sama," katanya tetapi menolak untuk mendedahkan langkah-langkah yang diambil untuk menghentikan pertaruhan haram.
"Tidak mudah untuk menghapuskan ancaman itu."
Di Hong Kong sejak tahun 2003, kaki judi dibenarkan untuk bertaruh dalam perlawanan bola sepak melalui Kelab Jockey Hong Kong.
Sebuah lagi negara yang membenarkan pertaruhan dan perjudian adalah Australia. Malah, dengan pasukan kebangsaannya memberi keyakinan untuk layak ke suku akhir dalam perlawanan Piala Dunia kali ini sudah tentu pertaruhan kaki judi Australia juga sangat besar.
-AFP/detikdaily-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan