Mayat wanita hamil ditemui dalam keadaan reput

KUALA LUMPUR: Mayat wanita hamil yang lengkap berpakaian ditemui dalam keadaan reput dan berulat di kawasan rekreasi Taman Tasik Perdana di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, mayat itu dijumpai orang awam yang kebetulan melalui kawasan terbabit kira-kira 6.30 petang.

Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah mati dalam tempoh enam hari akibat dijerut di leher dengan menggunakan sapu tangan, katanya ketika ditemui pada kempen derma darah peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Berjaya Times Square hari ini.

"Selain terdapat kesan mangsa dipijak di bahagian perut, pemeriksaan ke atas mayat itu juga turut menemui mayat janin berusia kira-kira 12 minggu yang dilihat keadaannya hampir terkeluar dari kemaluan mangsa," katanya.

Muhammad Sabtu berkata, keadaan mayat yang reput turut menyukarkan polis untuk mengenal pasti bangsa dan identiti suspek.

"Tiada sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat itu. Namun kita menemui seutas jam tangan berjenama Omega yang dipakai mangsa dan sebuah topi keledar di tempat kejadian," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan anggota keluarga supaya tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran.
-sinarharian-

Achik Spin Meninggal Dunia Dalam Kemalangan Ngeri

Keluarga Allahyarham artis terkenal yang juga vokalis kumpulan Spin, Abdillah Murad Md. Shari atau lebih dikenali sebagai Achik Spin, 28, berada di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban, malam ini.

Api marak membakar kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu Abdillah Murad Md. Shari atau lebih dikenali sebagai Achik Spin, 28, dalam satu kemalangan ngeri di KM 14 Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn. Bhd. (Lekas) dekat sini, petang tadi. - Foto BERNAMA

SEREMBAN: Artis terkenal yang juga vokalis kumpulan Spin, Abdillah Murad Md. Shari atau lebih dikenali sebagai Achik Spin, 28, meninggal dunia dalam satu kemalangan ngeri di KM 14 Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn. Bhd. (Lekas) dekat sini, petang tadi.

Allahyarham yang berada di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) terbabas setelah melanggar papan tanda dan beliau meninggal dunia di tempat kejadian sebelum api marak membakar kereta MPV yang dipandu Achik ekoran kejadian malang itu

Mayat Allahyarham dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar di sini, malam ini.

-mstar-

Wee Choo Keong dijangka isytihar "bebas"

MerdekaReview

Ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong yang menyarung jersi PKR ketika Pilihan Raya Umum ke-12, dijangka mengikut jejak ADUN Bakar Arang, Kedah Tan Wei Shu untuk keluar dari PKR dan menjadi ahli parlimen bebas.

Sumber dalaman PKR memberitahu MerdekaReviewbahawa Wee Choo Keong (gambar kanan) dijangka keluar dari PKR dan mengisytihar dirinya "bebas", mencetus ledakan "keluar parti" seterusnya.

Bagaimanapun, Wee Choo Keong enggan mengesahkan khabar ini ketika dihubungi MerdekaReview, sebaliknya meminta wartawan untuk mendedahkan identiti orang yang memaklumkan khabar tersebut. Permintaannya ditolak atas alasan melindungi sumber maklumat, lantas beliau membalas, "Saya tidak akan beritahu kamu kerana kamu tidak beritahu saya."

Beliau juga enggan menjawab apabila diajukan soalan sama ada beliau akan memanggil sidang media atau tidak.

PKR belum terima surat letak jawatan

Selain itu, ketika dihubungi MerdekaReview, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail memberitahu bahawa tiada surat letak jawatan (daripada Wee Choo Keong) diterima.

Wee Choo Keong ialah Setiausaha Agung Parti Demokratik Malaysia, bertanding di Wangsa Maju pada PRU ke-12 atas tiket PKR. Setelah menang dalam "tsunami politik" tersebut, beliau kerap menghadiri mesyuarat dan aktiviti PKR, tetapi tidak mengumumkan secara rasmi sama ada telah menyertai PKR.

Dalam satu wawancara bersama MerdekaReview pada Ogos 2008, beliau mendakwa dirinya tidak memikirkan persoalan bubarkan Parti Demokratik Malaysia dan menyertai PKR, atau bergabung dengan PKR, kerana "terlalu sibuk". Menurut Wee ketika itu, beliau merasakan dirinya sudah berada dalam PKR.

Wee Choo Keong, antara wakil rakyat PKR yang tersenarai sebagai golongan "berisiko tinggi", malah desas-desus beliau keluar parti tidak terhenti sejak kebelakangan ini. Wee bagaimanapun menuding jari kepada "Little Napoleons" dalam PKR dan DAP yang menyebarkan khabar angin ini.【Khabar angin keluar parti angkara Little Napoleon PKR dan DAP, Wee CK】

Semalam, ketika ditemuramah Utusan Malaysia, Wee Choo Keong secara terus-terang membantah penamaan Zaid Ibrahim sebagai calon PKR atau Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor. Beliau menganggap Zaid Ibrahim bukan orang tempatan yang memahami keperluan pengundi Hulu Selangor, ditambah pula dengan gaya hidup elit serta liberal yang diamalkannya.

Malah, Wee Choo Keong menyindir jika Zaid Ibrahim menang sekalipun, pembaharuan yang mungkin dibawa oleh Zaid Ibrahim di Hulu Selangor ialah lebih banyak pusat hiburan diwujudkan dan bukannya kemajuan seperti yang dikehendaki rakyat.

Sumber http://www.merdekareview.com/

1 lagi beban terlepas bila Adun Bakar Arang keluar parti

Mohd Firdaus Jaafar
Tan Wei Shu dengan susunan ayat yang teratur mengikut apa yang dituliskan untuknya mengumumkan langkah mengikut rakan baiknya, Mohd Radzhi Salleh yang sama-sama pernah berada di puncak kegemilangan ketika mereka dijulang sebagai wakil rakyat atas lambang PKR dan Pakatan Rakyat.

Hari ini setelah sekian lama bermain tarik tali, bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah yang digugurkan kerana dikatakan tak pandai buat bekerja dan bukannya kerana tak pandai bercakap besar dan tak pandai bercakap bohong tapi sering kali tak bercakap benar telah meninggalkan parti PKR hanya dengan alasan dipermain-mainkan rakan dalam parti.

Sejak bermulanya rampasan kuasa di Perak, angin telah bertiup kencang Pakatan Rakyat Kedah juga akan ditimpa nasib yang sama seperti yang terjadi di Perak berikutan khabar-khabar angin beberapa orang wakil rakyat termasuk Tan Wei Shu akan menyeberang kepada BN melalui tiket bebas.

Cubaan jahat itu berulang beberapa kali dan setiap kali ia bertiup, namanya tak pernah terpadam dalam senarai itu. Orang-orang Kedah sentiasa tertanya-tanya, bila lagi Tan Wei Shu nak melompat keluar?

Bagi orang Kedah, khususnya pengundi di Bakar Arang, Tan Wei Shu bukan lagi menjadi aset kebanggaan kepada mereka, sebaliknya dia adalah beban yang terpaksa digalas ke hulu dan ke hilir selagi dia bergelar Adun Pakatan Rakyat.

Kini bebanan telah dilepaskan, rakyat Kedah dan pengundi di Bakar Arang boleh menarik nafas lega sebab bebanan itu sudah beralih kepada BN kerana Tan Wei Shu mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas yang sudah pasti menyokong BN.
Penulis Adalah Ahli Parlimen Jerai

Zaid dilihat paling layak

Zulfikar Mashoor
HULU SELANGOR, 17 April:
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, Datuk Zaid Ibrahim masih dianggap paling layak berbanding tiga calon yang lain dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini.

“Selepas pengumumam yang dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan raya (Nor Hisham Ahmad Dahalan), daripada keempat-empat calon, Datuk Zaid Ibrahim masih dilihat paling layak untuk mewakili rakyat Hulu Selangor di Dewan rakyat,” ujarnya di pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Hulu Selangor, Kuala Kubu Baru, hari ini.

Menurutnya, ini kerana rekod Zaid sedia meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana tidak setuju dengan penggunaan ISA yang dianggap zalim.

Ekoran itu, katanya Zaid dilihat lebih mementingkan prinsip kebenaran berbanding kepentingan diri dan kedudukan politik.

Sebelum itu, Zaid merakamkan rasa syukur kepada Allah kerana proses penamaan calon berjalan lancar.

Beliau turut mengulangi manifestonya sebelum ini iaitu menyeru rakyat supaya bersama beliau memperjuangkan isu tanah yang membabitkan Orang Asli dan peneroka Felda di Hulu Selangor.

Selain Zaid, tiga lagi calon yang bertanding dalam pilihan raya kecil itu ialah P.Kamalanathan (BN), dan dua calon Bebas, VS Chandran dan Johan Mohd Diah.

Hadi arah sokongan 100% kepada Zaid

Zulkifli Sulong
HULU SELANGOR, 17 April:
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan pemilihan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon Pakatan Rakyat di Hulu Selangor adalah pilihan sebulat suara PAS, PKR dan DAP.

Oleh itu, beliau mahu semua pihak dalam PAS bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan calon Pakatan Rakyat itu.

Abdul Hadi berkata demikian ketika memberikan ucapan di majlis meraikan para petugas PAS dari Terengganu yang berkumpul di Felda Sungai Tengi, Ulu Bernam petang tadi.

Lebih 100 petugas PAS dari negeri itu berkumpul di situ dan menerima amanat dari beliau serta lain-lain pimpinan PAS sebelum menjalankan tugas sehingga pilihan raya kecil ini 25 April nanti.

"Ada orang buat macam-macam tuduhan kepada Datuk Zaid masa dia Umno dulu. Saya tegaskan, kalau adapun itu masa dia dalam Umno. Sekarang dia sudah bersama kita dan dah meninggalkan Umno," kata beliau penuh semangat diiringi takbir dari para penyokong PAS.

Bagi beliau, Zaid adalah tokoh kebangsaan yang mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin.

"Ketika para pemimpin Umno lain berebut-rebut nak jadi pemimpin dia meletakkan jawatan sebagai menteri kerana menentang salah guna ISA," kata Abdul Hadi merujuk tindakan Zaid melepaskan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana membantah tindakan kerajaan menahan tiga orang termasuk seorang wartawan di bawah ISA.

Berhubung dengan tindakan firma guaman Zaid menyaman kerajaan negeri Kelantan kerana meluluskan undang-undang Hudud, Abdul Hadi menegas itu apa yang Zaid buat sebagai pemimpin Umno dan dia telah menarik balik tindakan itu.

"Itu semasa dia bersama Umno...sekarang dia sudah keluar dari Umno. Baru-baru ini dia dah pergi menunaikan haji....kita yakin dia telah berubah selepas bersama kita," kata beliau.
Abdul Hadi juga memberitahu, selepas Zaid meletakkan jawatannya dan keluar dari Umno, beliau juga ada berbincang dengan para pemimpin PAS untuk menyertai parti Islam itu atau menyertai PKR. Selepas berbincang termasuk dengan pemimpin PKR, mereka bersetuju Zaid perlu menyertai PKR.

Ucapan Abdul Hadi di majlis itu penuh semangat serta menjawab pelbagai persoalan panas yang berbangkit dalam pilihan raya kecil ini walaupun hujan mencurah-curah ketika beliau berucap sehingga banjir kilat di sekitarnya.

Felda Sungai Tengi adalah salah satu kawasan Felda yang menjadi kubu Umno dalam Dun Hulu Bernam di Hulu Selangor. Dalam pilihan raya umum lalu, calon PKR, Datuk Dr Zainal kalah lebih 600 undi di petiundi kawasan itu.

Dalam pilihan raya ini, Umno menjadikan empat kawasan Felda sebagai pengkalan gerakan mereka untuk memenangkan calon BN, P Kamalanathan dari MIC.

Namun, ketidakpuasan hati ahli Umno di situ jelas dalam pilihan raya ini. Mereka melalui Umno Hulu Selangor berusaha keras untuk mempastikan seorang calon Umno bertanding dalam pilihan raya kecil ini, namun apa yang mereka dapat adalah kosong berbanding MIC yang mendapat tiga menjelang hari penamaan calon.

Selain dapat menjadi calon, Timbalan Presiden MIC, G Palanivel yang mereka tidak sukai dikatakan akan dilantik menjadi senator dan timbalan menteri.

Salah seorang dari mereka berkata, jika BN menang dalam pilihan raya kecil ini, harapan untuk calon Umno bertanding di kawasan Parlimen yang majoriti orang Melayu ini akan hilang terus.

Ngeri...Akhirnya Rentung Pada Kabel Elektrik

Lan Iisma

Kesudahan ajal yang mengerikan. Dua pemuda yang rentung terbakar akibat renjatan elektrik semasa memotong kabel. Inilah akibatnya hanya kerana mengikut nafsu inginkan kabel tembaga yang berharga $3 untuk satu paun.







Kita mendoakan biarlah kita semua berakhir dalam keadaan 'Husnul Khotimah', kesudahan yang baik. Semoga ada pengajaran daripadanya.
http://www.ek-ele.co.cc/2010/04/ngerikesudahannya-rentung-pada-kabel.html

Bekas Menteri BN lawan calon rasmi BN, calon bakal dipecat Umno dan calon bekas MIC

Wan Hamidi Hamid

17 APRIL: Kawasan Parlimen Hulu Selangor tidak akan menjadi medan yang mudah untuk Parti Keadilan Rakyat mempertahankan kerusi yang dimenanginya dengan majoriti tipis dalam pilihan raya umum 2008.

Yang memenangi kerusi itu bagi pihak PKR dua tahun lalu adalah Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad. Allahyarham bukan sebarangan orang; bekas Timbalan Menteri Besar sewaktu Umno-Barisan Nasional menguasai Selangor. (Allahyarham menyertai PKR pada 2005.)

Namun dengan populariti dan kehebatan Allahyarham pun, kerusi Parlimen itu yang mempunyai kira-kira 64,000 pengundi hanya dimenanginya dengan majoriti 198 undi, menewaskan penyandang Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel.

Malah, kesemua tiga Dewan Undangan Negeri — Batang Kali, Hulu Bernam dan Kuala Kubu Baharu — dalam kawasan Parlimen itu telah dimenangi oleh BN.

Faktor-faktor ini yang menjadikan pucuk pimpinan Umno dan BN yakin dengan usaha mereka untuk menawan semula Hulu Selangor Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bertekad supaya BN berjuang habis-habisan untuk merampas semula kerusi itu. Malah, bukan setakat menang, katanya, tetapi juga berjaya meraih undi sebanyak yang mungkin.

Tetapi Hulu Selangor juga menjadi masalah kepada BN. Sebelum pemilihan Ketua Penerangan MIC P. Kamalanathan sebagai calon BN, gabungan pemerintah pusat itu mengalami masalah pemilihan calon.

Umno yang merasakan dipinggirkan sejak Merdeka di kawasan di mana Melayu mewakili separuh jumlah pengundi mahu calon dipilih dari kalangan mereka. Namun, pucuk pimpinan Umno memilih jalan selamat dengan mengekalkan status quo.

Apabila MIC diberi mandat sekali lagi, timbul lagi soal siapa calon. Palanivel sebagai bekas penyandang menjadi pilihan Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu tetapi ia ditolak oleh Umno dengan mengemukakan calon MIC pilihan mereka sendiri. Akhirnya Kamalanathan dipilih sebagai calon kompromi.

Sejak PKR menamakan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon pada Selasa lalu, Umno melalui media perdana miliknya telah membangkitkan isu “anak tempatan” atas alasan Zaid adalah anak negeri Kelantan, walau pun telah menetap di Selangor sejak lebih 30 tahun.

Isu itu kemudiannya dimatikan apabila Kamalanathan dipilih kerana beliau juga bukan anak tempatan Hulu Selangor.

Begitu juga usaha Muhyiddin untuk mempelekehkan Zaid dengan menyifatkannya sebagai calon bukan “heavyweight”, sebaliknya “lightweight”. Timbalan Perdana Menteri itu juga menambah: “Kalau kita lihat rekod Zaid bukanlah baik sangat.”

Seranah terhadap Zaid ini pula disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berada di Washington DC dalam rangka lawatannya ke Amerika Syarikat pada Jumaat lalu; apabila ditanya mengenai pencalonan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, Najib menjawab: “Semua orang kenal Zaid. Tak perlu saya ulas.”

Memang Najib mahu memperlekehkan Zaid. Bagi pihak BN tentunya Zaid adalah musuh kerana enggan bersama Umno dan menyertai PKR. Tetapi jika kata-kata “semua orang kenal Zaid” itu dilihat dalam perspektif lain, ia memberi pengertian positif.

Walau pun lama bersama Umno, Zaid sering menjadi sasaran dalaman parti kerana ketegasannya mahu membawa perubahan positif dalam Umno. Malah, rekod cemerlangnya sebagai Menteri yang paling singkat berkhidmat — 6 bulan — masih diingati ramai. Sepanjang perkhidmatannya, beliau mahu mereformasikan sistem perundangan negara tetapi disekat oleh pimpinan Umno.

Zaid adalah satu-satunya Menteri — sejak lebih 40 tahun lalu — yang berani meletak jawatan kerana atas dasar prinsip kerana membantah penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan tanpa bicara pemimpin DAP Teresa Kok, blogger Raja Petra Kamarudin dan wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng pada September 2008.

Suara Zaid, sejak dalam Umno hingga hari ini, yang mahu peluang saksama dan keadilan ditegakkan untuk semua tanpa mengira kaum telah menjadi duri dalam daging kepada Umno. Zaid juga secara terbuka menyatakan rasa sayang kepada Melayu dan mahu Melayu dmartabatkan ke tahap yang lebih tinggi dan mulia tanpa perlu bergantung kepada sistem ala feudal dan korup Umno.

Pendirian tegas Zaid ini sedang dan akan terus dimainkan oleh Umno melalui kempen serta media perdana milik mereka untuk menggambarkan penyeralas Pakatan Rakyat itu sebagai “Melayu liberal” yang tidak sayangkan kaum sendiri.

Namun, tohmahan terhadap Zaid sukar untuk memadamkan kelemahan dalaman Umno dan BN yang terpaksa memilih calon kompromi.

Pada hari penamaan calon pagi ini, dua calon bebas telah disahkan pencalonan mereka. Kedua-duanya adalah anggota BN — seorang dari Umno Johan Md Diah manakala satu lagi dari MIC V.S. Chandran; mereka dikatakan anak tempatan Hulu Selangor.

Johan telah pun diumumkan akan dipecat kerana bertanding bebas atas alasan mahu membela Melayu manakala Chandran sebelum ini menyatakan beliau mahu “mengajar” Samy Vellu dan MIC kerana tidak mempedulikan nasib kaum India. Undi siapa yang akan mereka pecahkan?

Jika Muhyiddin menggambarkan Zaid sebagai “lightweight”, pengundi Hulu Selangor mungkin sukar untuk memberi penarafan kepada Kamalanathan.

Mungkin yang mampu menyaingi Zaid adalah jentera besar dan janji-janji pilihan raya yang bernilai beratus juta ringgit yang sudah menjadi kebiasaan kempen BN. Tetapi kali ini juga BN menghadapi tentangan dari kawasan Parlimen yang berada dalam pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Dalam pertandingan yang tak mudah dimenangi ini, semua pihak terpaksa bekerja keras untuk memujuk pengundi yang semakin merasakan tekanan ekonomi keluarga, runtunan isu-isu perkauman dan kekeliruan semasa yang dipenuhi slogan-slogan kosong.

-malaysianinsider-

Mufti perlu nyatakan pendirian mengenai APCO

Seri
Bagi mengelak salah faham daripada berlaku di negara ini, adalah perlu mereka yang mempunyai pengetahuan agama untuk menyatakan pendirian yang jelas mengenai APCO. Setakat ini, hubungan APCO dan kerajaan dibantah keras olah pembangkang dan beberapa NGO.

Tanpa pendirian jelas mufti mengenai isu ini ia akan terus mengelirukan rakyat. Apalagi jika isu ini cuba dimanipulasi oleh individu dan kumpulan tertentu bagi kepentingan mereka.

Apa yang terjadi di Masjid Sultan Shah II, Ipoh merupakan contoh terbaik. Sukar untuk ditentukan mana yang betul dan salah. Pembaca sebuah akhbar online mula memberikan komen dan pandangan dari sudut moral dan agama berkaitan peristiwa tersebut. Keseluruhan komen menjurus kepada apa yang berlaku di Ipoh. Ini adalah disebabkan oleh berita yang ditulis seolah-olah melindungi isu utama dan menonjolkan isu sampingan.

Ada komen yang langsung tidak menyentuh isu pokok iaitu APCO. Exco kerajaan negeri juga sempat memberi pandangn terhadap tindakan yang dikatakan biadap itu. Mufti tidak terkecuali daripada mengulas isu berkenaan. Sebagai orang Islam, saya mengharapkan agar mufti bukan sahaja memberi komen berkenaan dengan peristiwa di Ipoh, tetapi komen yang menunjukkan pendirian beliau mengenai APCO itu sendiri.

Jika di Ipoh, membaling telur dikatakan mencemar kesucian masjid. Kita juga mahu tahu mengenai hukum berkerjasama dengan kumpulan yang telah sekian lama mencemarkan masjid-masjid umat Islam di Palestin.

Kumpulan zionis ini bukan sahaja menconteng masjid, malah membunuh orang Islam Palestin yang bersembahyang di masjid, masjid dibakar dan dibom. Al-Quran dibakar dan dikoyak, umat Islam juga dihalang dari menunaikan solat di masjid.

Mufti perlu menjelaskan perkara ini bagi mengelak kekeliruan rakyat daripada berterusan. Mana yang lebih biadap? Kes di Ipoh atau kes di Palestin atau kedua-duanya biadap? Atau kes di Ipoh itu sangat biadap manakala kes di Palestin itu tidak biadap? Ataupun umat Islam tidak perlu ambil tahu nasib saudara kita di Palestin?

Terasa sedikit aneh apabila mufti begitu cepat memberikan komen jika timbul isu yang melibatkan kumpulan yang tidak sehaluan dengan kerajaan. Mungkin juga mufti ada mengeluarkan kenyataan mengenai kerajaan tetapi tidak disiarkan oleh media.

Semoga institusi mufti akan lebih dihormati.
-harakahdaily-

Calon Bebas Chandran tidak kisah jika MIC pecat

Syed Mu’az Syed Putra

HULU SELANGOR, 17 April: Calon Bebas, V. S. Chandran hari ini menyatakan pendirian beliau tidak kisah sekiranya dipecat dari MIC kerana sudah muak dengan kepimpinan tertinggi parti tersebut.

“Tiada masa, saya tidak kisah sekiranya dipecat daripada menjadi ahli MIC, saya mahu menjadi wakil rakyat bukan ahli MIC.

“Sudah cukup 30 tahun lebih saya berkhidmat untuk MIC, saya sudah muak dengan Datuk Seri Samy Vellu (Presiden MIC) yang hanya tahu bercakap sahaja tetapi tidak pandai menunaikan janji.

“Apa yang keluar daripada mulut beliau (Samy Vellu) tidak boleh pakai,” katanya kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Samy yang mengatakan bekas timbalan ketua MIC Bahagian Hulu Selangor itu akan dipecat daripada MIC.

Samy berkata Chandran telah melanggar peraturan dan prinsip parti dengan bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya kecil.

Chandran berkata, beliau telah memulakan kempen pilihan raya sebaik sahaja proses penamaan calon selesai pagi tadi.

“Saya telah memulakan kempen bersama penyokong-penyokong saya dengan berjumpa pengundi-pengundi dan menerangkan kepada mereka mengapa saya bertanding dalam pilihan raya ini.

“Selama berkhidmat dengan MIC saya telah banyak membantu penduduk di Hulu Selangor terutamanya ketika kecemasan.

“Saya tidak kisah untuk bekerja selama 24 jam, demi rakyat di sini saya tidak kisah. Yang penting mereka (rakyat) dapat dibantu kerana sebagai wakil rakyat itulah kewajiban saya nanti.

“Selain itu, saya juga telah memilih jam sebagai logo bendera saya kerana bagi saya masa amat penting dalam kehidupan dan juga sebagai wakil rakyat,” katanya lagi.

Pilihan raya kecil kerusi Hulu Selangor menyaksikan saingan empat penjuru.

Pakatan Rakyat (PR) diwakili Datuk Zaid Ibrahim, Barisan Nasional (BN) meletakkan muka baru P. Kamalanathan dan seorang lagi calon Bebas Chandran.

-malaysianinsider-

TUN Mahathir Seperti Selesa Dgn PR Di Selangor?

WFAUZDIN
MAKA, mulai hari ini bermulalah pertempuran di Hulu Selangor. Siapakah calon pilihan ranyat di Hulu Selangor? Adakah mereka akan memilih PR yang telah mempamirkan kecemerlangannya di Negeri Selangor atau memilih kerajaan yang kini masih diselubungi dengan masalah APCO?

Saya tertarik dengan kata-kata Tun Mahathir yang dipetik dari akhbar Sinar keluaran hari ini 17 Apr 2010. Secara sendirian, dia sendiri tiada apa-apa, parti yang berikan dia kuasa. Pilihlah parti, jika anda (pengundi) merasakan Pakatan Rakyat boleh berikan kerajaan lebih baik, anda boleh pilih Pakatan,” Ditanya mengenai peluang Barisan Nasional (BN) di Hulu Selangor, Dr Mahathir berkata: Ia sama baik bagi semua pihak. (Sinar Harian) Ini boleh kita fahami bahawa Tun sendiri mulai merasai mengapa rakyat perlu berfikir terlebih dahulu sebelum memangkah Bn.

Tidak seperti kebiasaan Tun akan terus berkempen untuk Bn, kali ini Tun membuat kenyataan yang positif. Mungkin Tun dapat merasai di Selangor kerajaan di bawah PR lebih baik dari kerajaan terdahulu. Bukan rahsia lagi bagaimana Tun suatu ketika pernah mempertikaikan kekayaan Mantan MB Selangor Khir Toyo yang dikatakan mempunyai mahligai puluhan juta ringgit itu. Apakah kenyataan Tun ini sebagai satu isyarat bahawa rakyat Selangor perlu terus bersama PR? Hulu Selangor terkenal di bawah Khir Toyo hanya kerana anugerah penyapu. Ingat Bn, Ingat Penyapu.

http://wfauzdin.blogspot.com/

Azmin cabar Umno bukti perangai negatif Zaid

G. Manimaran

HULU SELANGOR, 17 April: Naib Presiden PKR Azmin Ali sambil menyangkal andaian bahawa hubungannya dengan Datuk Zaid Ibrahim dingin, mencabar Umno membuktikan calon Pakatan Rakyat (PR) itu mempunyai perangai buruk termasuk minum arak.

“Kalau ada bukti, buktikan... apakah Najib tiada akhlak tidak baik, pemimpin-pemimpin Umno ada perangai baik (sahaja),” kata beliau ketika ditemui di Kompleks Serba Guna Sukan di sini, tempat berlangsungnya penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor hari ini.

Ketika ditanya sama ada beliau akan meminta Umno agar membuktikan bahawa Zaid mempunyai perangai buruk sebagaimana didakwa mereka, Azmin memberitahu, pihaknya sudah banyak kali membuat cabaran termasuk soal APCO.

“Banyak yang kita sudah buat cabaran termasuk APCO... tak jadi apa-apa pun,” katanya.

Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa isu APCO Worldwide ke Dewan Rakyat tiga minggu lalu, mempertikaikan peranan firma itu dalam merangka konsep 1Malaysia.

Zaid (tengah) berjabat tangan dengan penduduk Hulu Selangor hari ini. - Gambar oleh Jack Ooi

Firma itu didakwa mempunyai kaitan dengan pembentukan konsep One Israel.

Azmin, Ahli Parlimen Gombak juga mempersoalkan mengapa sekarang pemimpin-pemimpin hendak mempersoalkan “sikap dan perangai” Zaid sedangkan beliau sudah lama berada dalam parti itu.

“Mengapa sekarang apabila beliau berada dalam Keadilan baru hendak mempersoalkan Datuk Zaid,” katanya.

Menjelaskan hubungan dengan Zaid yang didakwa tidak baik, Azmin tidak menafikan beliau mempunyai perbezaan pendapat dalam banyak isu tetapi pendirian itu sentiasa dinyatakan dalam mesyuarat PKR.

“Tetapi apabila parti membuat keputusan, saya patuh dengan apa yang diputuskan,” katanya.

Menjawab soalan beliau tidak hadir pada majlis pengumuman calon PR di Serendah Selasa lalu, Azmin memberitahu, ia tidak harus dianggap yang beliau tidak bersetuju dengan pemilihan Zaid sebagai calon.

“Saya secara kebetulan kena berada di Shah Alam kerana sidang Dewan Undangan Negeri dilanjutkan sehingga malam, sebagai pengerusi kelab penyokong kerajaan saya kena berada di Dewan,” katanya.

Azmin berkata, beliau menyokong pemilihan Zaid sebagai calon kerana bekas menteri Kabinet itu merupakan yang terbaik daripada 10 nama yang ditimbangkan oleh parti.

-malaysianinsider-

Johan, Chandran akan dipecat dari umno, MIC

Kedua-dua calon Bebas dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor - Johan Mohd Diah dan V S Chandran - masing-masing akan dipecat daripada Umno dan MIC kerana bertanding sebagai calon Bebas.

Ini kerana Johan yang juga AJK Pemuda Umno Shah Alam dan Chandran, bekas Naib Pengerusi MIC Hulu Selangor akan menentang calon Barisan Nasional (BN) P Kamalanathan dalam pilihan raya kecil kawasan itu yang turut ditandingi Datuk Zaid Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mengikut peraturan Umno, anggota parti tidak boleh menentang calon parti itu.

Usul mengenai pemecatan Johan disahkan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang juga Ketua Pemuda BN ketika dihubungi Bernama tengah hari ini.

"Dia akan dipecat daripada parti. Kita akan kemukakan perkara ini kepada Lembaga Disiplin Umno selepas ini," kata Khairy mengulas tindakan Johan (kiri) bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil itu.

Khairy yang juga anggota parlimen Rembau percaya tindakan Johan yang juga seorang peniaga ditaja pihak tertentu untuk memecahkan undi, terutama pengundi Melayu, dan yakin ia tidak akan menjejaskan peluang BN.

Presiden MIC Datuk Seri S Samy Veelu berkata Chandran, yang menjadi naib pengerusi dari tahun 2003 hingga 2009, dan kini digantung setahun, akan dipecat daripada MIC.

Katanya Chandran telah melanggar peraturan dan prinsip parti dengan bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya kecil.

"Chandran (kiri) hanya digantung selama setahun dan masih seorang anggota parti. Kami akan berbincang mengenai isu ini (untuk memecat Chandran) dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) akan datang," katanya.

"Ini merupakan kesalahan serius. Dalam tempoh setengah tahun, Chandran telah bertindak sehingga menjejaskan parti," kata Samy sambil menambah bahawa ia merupakan bidang kuasanya untuk memeat merekayang melanggar etika dan prinsip parti.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang ahli parliman PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, pada 25 Mac akibat barah otak.
-malaysiakini-

Zaid sudah berubah, kata pemimpin Pakatan

HULU SELANGOR, 17 April: Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mempertahankan Datuk Zaid Ibrahim, yang didakwa kaki sosial, dengan menegaskan calon mereka itu bagi kawasan Hulu Selangor ini sudah berubah.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Zaid, bekas menteri persekutuan sudah memperlihatkan perubahan sejak beliau balik dari Mekah.

“Saya tidak baca blog, jadi saya tidak tahu, tetapi sebagai orang Islam, kita perlu bertanya dengan tuan badan sendiri... bukannya mempercayai blogger,” katanya.

Hadi, Ahli Parlimen Marang, ditemui di Pusat Penamaan Calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru di sini hari ini.

Zaid, 59, bekas Ahli Parlimen Kota Baru, diturunkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pengundian diadakan pada 25 April ini.

Hadi diminta mengulas dakwaan banyak blogger yang mengatakan Zaid seorang yang kuat bersosial dan kaki minum serta tidak sesuai langsung dijadikan calon PR untuk pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Sebaliknya Hadi yakin pihaknya mampu memenangi pilihan raya ini kerana sokongan penduduk yang amat tinggi kepada calon yang dikemukakan.

“Kita boleh membuat kejutan di sini,” katanya.

Berhubung soalan mengenai tindakan Zaid yang pernah menyaman kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu kerana mahu mewujudkan hukum hudud, Hadi berkata, perkara itu sudah diselesaikan.

“Zaid sudah tarik balik saman tersebut, jadi sekarang perkara tersebut bukan lagi menjadi isu,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim juga berkata, Zaid sudah banyak berubah dan tidak wajar menimbulkan perkara berkenaan.

“Ya, saya kisah Zaid telah berubah daripada tatacara, tatatertib ini.

“Kalau nak tengok karektor seseorang, kita kena tengok orang itu dari kecil sampai jadi datuk.

“Umno tidak boleh guna isu ini sebagai bahan kempen, ramai yang tahu bahawa orang Umno pun ramai tergolong dalam hal ini (minum arak),” kata Khalid, yang merupakan pengarah jentera pilihan raya kecil bagi PKR.

Pengerusi PKR Selangor ini berkata, jika isu Zaid menjadi satu masalah adakah umat Islam akan menolak saudara baru yang pernah makan khinzir dan minum arak apabila mereka masuk Islam.

Malah kata Khalid, jika pengundi kawasan Kota Baru yang konservatif boleh menerima beliau wakil rakyat enam tahun lalu, tiada sebab beliau tidak akan diterima di kawasan Hulu Selangor.

-malaysianinsider-

Polis nafi halang calon serah borang

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar menafi sekeras-kerasnya dakwaan seorang calon J Arunadh - yang gagal borang penamaan calon pagi tadi – bahawa polis tidak membenarkannya masuk ke tempat penamaan calon pagi tadi.

"Saya berada di situ, calon yang bertanding itu maklumkan kepada kita, dan kita segera bagi dia masuk. Itu dakwaan yang tidak benar,” katanya.

Menurut Khalid, calon tersebut sampai di kawasan tempat pencalonan calon pada jam 8.55 pagi dan beliau menunjukkan borangnya dan pihaknya mengarahkannya segera masuk.

Khalid mengulas dakwaan J Anuradh yang menyatakan polis menghentikannya selama satu jam sehingga beliau gagal untuk menghantar kertas pencalonannya di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor pagi ini.

Ditanya mengenai Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu yang jatuh tergelincir, Khalid berkata, kejadian itu berlaku ekoran berasak-asak berhampiran rintangan polis.

“Saya dimaklumkan apabila keadaan berasak-asak dekat rintangn polis menyebabkan mereka tergelincir dan terpegang wayar (duri kawat). Ia bukan provokasi.

“Selepas itu saya berjumpa dengan Datuk Shafie, beliau tidak ada komplen apa-apa dan kata tak ada orang tolak,” katanya.

Mengulas lanjut, Khalid berkata setakat ini pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki berumur 34 tahun yang mendakwa dia dibaling dengan objek keras.

Menurut Khalid, kejadian itu berlaku berhampiran dengan sebuah masjid yang terletak kira-kira 1 atau 2 km daripada pusat penamaan calon.

Menurutnya lagi, walaupun lelaki tersebut tidak menyatakan pihak yang membaling objek keras itu sehingga menyebabkannya luka, tetapi pihaknya akan menyiasat perkara tersebut dalam di bawah Seksyan 324 Kanun Keseksaan.

Mengulas mengenai perjalanan proses penamaan calon pada pagi tadi, Khalid menjelaskan, pada keseluruhannya berjalan dengan lancar walaupun terdapat jerit menjerit dan ejek mengejek daripada penyokong yang hadir.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana memberi kerjsama sepenuhnya kepada pihak polis.

-malaysiakini-

Pilihan Raya Kecil Bakal Presiden MIC ditolak BN

Afrar Yunus

Hulu Selangor mengesahkan bahawa bakal presiden MIC sudah ditolak oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Hanya Samy Vellu mahukan G Palanivel. UMNO menolak Palanivel kerana prestasinya menimbulkan kemarahan penduduk di Hulu Selangor yang diwakilinya sejak empat penggal yang lalu.Berkaitan tawaran jawatan sebagai Senator dan dilantik Timbalan Menteri - jika ia benar-benar terjadi, itu adalah gula-gula UMNO memalukan Samy dan MIC.

Lebih-lebih lagi dalam situasi Palanivel, bukan rakyat yang akan memilih dan melantiknya. Ia adalah tawaran yang 'syok'kan Samy, Palanivel dan MIC biarpun Samy menganggap isu Hulu Selangor satu kemenangan.

Tidak salah jika saya menjangka, Palanivel akan menerima nasib yang sama seperti Ong Tee Keat. Presiden MIC yang singkat usianya.

Cuma bezanya, lambat dan cepat keputusan dari ahli-ahli MIC dalam hal ini.

Ahli-ahli MCA ramai yang 'berpolitik cara jantan' berbanding dengan kebanyakkan ahli-ahli MIC.

Diharap selepas Samy menjadi mendiang politik MIC, dasar parti itu akan lebih demokratik.

Tanda-tanda ke arah itu sudah ditunjukkan Muhyiddin dalam isu Hulu Selangor. Samada Samy faham atau buat-buat tak faham, itu soal lain.

Akhirnya 'Ulama' Umno Keluar Fatwa Tentang Apco

Angkasanuri

Semalam berlansung demontrasi serentak seluruh negara menentang kerjasama Kerajaan 1Malaysia dan APCO syarikat milik regim haram Yahudi. Kerjasama yang menyebabkan sebanyak RM 77 juta duit rakyat negara ini dibayar kepada APCO.

Dalam posting sebelumnya saya meminta dan menunggu kenyataan dari 'ulama' Umno berhubung isu kerjasama Kerajaan 1Malaysia dan APCO.

Akhirnya penantian itu tamat, apabila Tan Sri Harussani Zakaria salah seorang 'ulama besar' Umno mengeluarkan kenyataannya. Tetapi bukan tentang fatwa kerjasama APC0-1Malaysia tetapi 'fatwa' demontrasi ahli dan penyokong Pas menentang APCO.

Dalam demontrasi di Masjid Sultan Idris Shah 2 di Perak semalam , peserta demontrasi membawa papan tanda 'Umno-APCO'. Peserta telah membaling papan tanda berkenaan dengan telur busuk.

Apa fatwa Harrusani....Tindakan membaling telur ke papan tanda Umno-APCO di dalam kawasan masjid adalah haram dan patut dihentikan.... Tahniah kepada Harussani yang akhirnya peka dengan isu APCO-Umno-1Malaysia.

http://angkasanuri.blogspot.com/

Calon Bebas Johan dipecat Umno

HULU SELANGOR, 17 April : Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Shah Alam, Johan Mat Diah yang bertanding pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor sebagai calon Bebas tergugur keahlian dari parti itu.

“Sah, dipecat,” kata Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusoh kepadaThe Malaysian Insider di sini hari ini.

Ikut perlembagaan parti sesiapa yang bertanding sebagai calon Bebas ataupun menyokong boleh dipecat dari parti.

Johan (gambar), 31, merupakan salah seorang daripada empat calon yang bertanding pilihan raya kecil kerusi Hulu Selangor.

Penamaan calon berlansung pagi ini.

-malaysianinsider-

- Ini menunjukkan ahli umno sendiri tidak peduli kepada parti umno dan tidak merasa hebat menjadi ahli umno seperti mana ahli umno dulu-dulu- kerengga

Muhyiddin tak layak jadi TPM

Setiausaha Pemuda Gerakan Dominic Lau Hoe Chai menganggap Muhyiddin Yassin tidak layak untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri kerana kenyataannya yang hanya membela kaum tertentu dan tidak mengambil kira perasaan seluruh rakyat.

Beliau berkata sedemikian ketika mengulas seruan Muhyiddin Yassin agar Melayu jangan berhenti mempertahankan kepentingan Melayu dan bumiputera hanya kerana takut dilabel sebagai rasis. Pemuda Gerakan berasa kesal dengan kenyataan "yang tidak sepatutnya keluar dari mulut TPM" ini, kerana jelas membela kaum tertentu dan tidak mengambil perasaan seluruh rakyat.

"Seandainya Muhyiddin mengeluarkan kenyataan sedemikian sebagai Naib Presiden UMNO, kenyataan ini bertujuan untuk membela hak bumiputera dari sudut Melayu. Tetapi sebagai TPM seluruh rakyat, hujah sedemikian tidak boleh diterima," katanya.

"Bertitik tolak daripada itu, Muhyiddin hanya layak menjadi Naib Presiden UMNO dan tidak layak menjadi TPM untuk seluruh rakyat. Beliau harus sedar bahawa dasar afirmatif harus merangkumi semua kaum dan bukannnya kaum tertentu," tambah Dominic Lau Hoe Chai.

Selain itu, Dominic Lau berkata, di banyak negara yang lain, dasar digubal untuk membela kaum minoriti dengan memberikan jagaan yang istimewa kepada golongan ini. Sebaliknya, di Malaysia, tumpuan diberikan kepada kaum yang terbesar, dengan hak istimewa yang dinikmatinya. Dari perspektif antarabangsa, ia kurang wajar dan jelas kurang adil kepada kaum minoriti.

Dominic berkata demikian ketika mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa seandainya Model Ekonomi Baru (MEB) ingin memenuhi keperluan semua kaum, maka golongan sasaran harus dikaji. Di Malaysia, orang Melayu dan bumiputera mencakupi 60% populasi, adalah golongan sasaran terbesar yang mempunyai keperluan terbesar.

*Kenyataan media oleh Dominic Lau Hoe Chai, selaku Setiausaha Pemuda Gerakan. Diterjemahkan daripada kenyataan asal yang ditulis dalam bahasa Cina.