Mati dipukul kayu golf oleh anak saudara sendiri

IBRAHIM ISA
KLUANG: Niat murni seorang lelaki menghalang anak saudaranya mendapatkan dadah untuk melepaskan gian membawa padah apabila dia dipukul hingga mati di sebuah rumah di Kampung Baru Layang-Layang, di sini.

Dalam kejadian pada jam 8 malam Rabu lalu, Lee Kar Choy, 47, bersama seorang adik suspek cuba menghalang suspek keluar dari rumah mereka, namun suspek berusia 21 tahun berang dengan tindakan itu.

Suspek yang berkeras mahu keluar dari rumah, dipercayai untuk mendapatkan bekalan dadah, mengamuk dan mengambil kayu golf sebelum memukul mangsa serta merosakkan pintu dan kereta keluarga.

Menyedari mangsa cedera parah akibat serangan itu, suspek ketakutan lalu melarikan diri dan bersembunyi di sebuah rumah saudaranya di kawasan berhampiran.

Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Kluang untuk mendapatkan rawatan kecemasan namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Bertindak atas aduan keluarga, polis yang menjalankan siasatan menahan suspek yang mempunyai dua anak masing-masing berusia empat dan enam tahun di rumah seorang saudara mereka di kawasan berhampiran selang beberapa jam selepas kejadian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Mohd Noor Mohamad mengesahkan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada malam kejadian dan tangkapan dilakukan beberapa jam kemudian di kawasan berhampiran.

Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Polis menerima panggilan daripada ahli keluarga mangsa menyatakan keadaannya serius akibat dibelasah anak saudaranya.

“Bagaimanapun kes itu masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi.
-hmetro-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan