Satu Rumah Lain Bilik, Trend Bersekedudukan Moden


Macam-macam gelagat orang zaman sekarang, apatah lagi bagi yang sedang hangat bercinta. Berpeleseran dan bercengkerama sampai tidak ingat dunia bukan lagi suatu fenomena aneh. Malah ada juga yang sanggup bersekudukan dengan seribu satu alasan diberikan semata-mata mahu menghalalkan tindakan


Kalau dahulu, orang acap kali memilih untuk bersekedudukan kononnya kerana cinta, tetapi tidak boleh mendirikan rumah tangga atas pelbagai halangan. Sedangkan pada dasarnya ia sebenarnya lebih didorong oleh nafsu serakah untuk 'bersama' secara bebas tanpa sebarang batasan.

Bagaimanapun, hari ini trend bersekedudukan sudah berubah. Ia tidak lagi hanya membabitkan sepasang lelaki dan wanita belum bernikah berkongsi satu rumah. Tetapi bilangannya lebih daripada itu. Dan yang anehnya ada antara mereka yang tidak sedar mereka sedang bersekedudukan. Ini kerana bagi mereka,tinggal di dalam bilik secara berasingan antara lelaki dan perempuan dalam satu rumah tidak dikira sebagai bersekedudukan, apalagi kalau jumlah mereka ramai.

Berbeza dengan pasangan bercinta, lazimnya dalam keadaan begini, faktor kewangan dan gaji yang rendah acap kali dijadikan alasan untuk mereka menyewa sebuah rumah beramai-ramai tanpa menghiraukan percampuran antara lelaki dan perempuan. Bagi segelintir mereka, ia tidak mengapa asalkan bilik tidur masih berasingan.

Melihatkan kepada senario hari ini, trend seperti ini biasanya terjadi di kalangan pelajar atau golongan muda yang baru hendak memulakan kerjaya, tetapi terpaksa tinggal di kawasan mahal atas sebab tuntutan tertentu. Misalnya tempat kerja ataupun institusi pengajian terletak di kawasan tersebut. Namun, alasan kewangan sahaja tidak cukup sebagai penghalal cara kerana mereka masih ada alternatif lain. Antaranya termasuklah dengan mencari teman serumah yang sama jantina.

Boleh didenda atau dipenjara

Meskipun ada yang mendakwa mereka tidak melakukan persetubuhan selain masih menjaga tata susila selaku Muslim walaupun tinggal serumah berlainan bilik antara lelaki dengan wanita, bersekedudukan dalam satu rumah yang sama tetap dilarang. Ini kerana perbuatan tersebut boleh membuatkan seseorang menghampiri zina. Sedangkan dalam Islam sendiri sudah jelas menyatakan bahawa zina merupakan antara dosa-dosa besar.

Ini sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu sangat keji dan jalan yang amat jahat." (Al-Israak : 32)

Malah, Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda yang bermaksud: "Hindarilah zina sebab ia menimbulkan enam kesan buruk, tiga di dunia dan tiga di akhirat. Yang di dunia, zina akan menghilangkan kegembiraan, menyebabkan fakir dan mengurangkan umur sedangkan keburukan di akhirat nanti, zina menyebabkan pelakunya diazab, dihisab secara ketat dan kekal di neraka." (Riwayat Baihaqi).

Menurut Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam (JAIS), Ustazah Sabariah Salleh, bersekedudukan dan khalwat tidak jauh bezanya. Malah, khalwat juga boleh berlaku dalam bersekedudukan itu sendiri. Berdasarkan kepada Enakmen 9 tahun 1995 / Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 bahagian IV yang membabitkan kesalahan yang berhubungan dengan kesusilaan, beliau memberitahu khalwat tidak semestinya melibatkan hanya sepasang lelaki dan perempuan sahaja.

"Khalwat adalah (a) orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya; (b) orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya, di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan satu kesalahan. Apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," terang Ustazah Sabariah lanjut.

Sambungnya, sama seperti khalwat, bersekedudukan satu rumah lain bilik tetap boleh menimbulkan syak walaupun individu terbabit tidak melakukan perkara-perkara tidak bermoral. Justeru, jika ada aduan dan mereka ditangkap, orang yang bersekedudukan boleh didenda atau dipenjarakan. Sementara individu yang menyewakan rumah kepada mereka pula boleh didakwa bersubahat.

Jadi bagi yang memilih gaya hidup bersekedudukan, tepuklah dada dan tanyalah iman kerana selaku manusia, Allah tidak pernah kedekut dalam memberikan kita pilihan. Dan terserahlah kepada kita sebagai hamba-Nya untuk memilih – jalan yang diredainya ataupun sebaliknya.

Bukan seorang tapi 2 pegawai SPRM muat turun video lucah

Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini mendedahkan bukan satu tetapi dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didapati memuat turun video lucah pada malam pembantu politik itu dijumpai mati.

Perkara itu didedahkan dalam laporan awal yang dikemukakan oleh penyiasat persendirian, Michael Leslie Squires, yang diupah oleh suruhanjaya berkenaan seleaps menganalisis lima daripada enam komputer milik SPRM.

Pemeriksaan mendedahkan dua pegawai, Raymond Nion dan Mohd Ashraf Mohd Yunus pada malam 16 Julai, 2008 sedang memuat turun bahan lucah ke komputer mereka.

Semakan Squires ke atas komputer Ashraf mendapati beliau juga memuat turun wayang gambar, muzik dan melayari beberapa laman lucah antara tengah malam hingga jam 1.20 pagi ketika Teoh disoal siasat di premis SPRM Shah Alam.

Beliau juga menjumpai perkara yang sama di komputer Nion.
-malaysiakini-

Tuduhan fitnah tanpa saksi wibawa kena 80 sebatan – Pemuda PAS

KUALA LUMPUR: Ketulenan video fitnah tidak membawa sebarang erti kerana pelakonnya terdedah kepada manipulasi dan kepalsuan berikutan kecanggihan teknologi masa kini, disalah guna pihak tertentu.






Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin  Hassan, berkata teknologi canggih memungkinkan memungkinkan pengarah menghasilkan apa sahaja bentuk filem dan lakonan yang dikehendaki.
“Bukan sahaja mahu menjadikan seorang pelakon itu rupa Anwar, malah untuk rupa serigala juga boleh, pontianak pun boleh sehingga kita akan anggap pelakon itu benar-benar menjadi serigala atau pontianak seperti dalam filemVan Hestling, Under World dan Wolf.
“Kalaupun benar video itu tulen, pelakon tidak semestinya sama dengan individu yang difitnah. Boleh jadi dua (pelanduk) serupa. Boleh jadi ia mengenakan topeng berteknologi tinggi atau 1001 kekeliruan lain.
“Sepatutnya, polis segera bertindak ke atas mereka yang memiliki dan menyebar video lucah, bukan hanya berusaha meneliti ketulenan videonya sahaja,” katanya pada  kenyataan media, hari ini.
Nasruddin turut memetik beberapa filem terkenal Hollywood yang memaparkan keserupaan watak, antara Face Off lakonan John Travolta dan Nicholas Cage yang popular satu ketika dulu.
Dalam filem itu, watak yang dibawa John Travolta dan Nicholas Cage bertukar wajah dan menyerupai pihak musuh hinggakan isteri mereka sendiri tidak dapat mengesan perbezaan mereka.
Jika konteks ini diguna pakai, bermakna Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Eskay Shazryl Abdullah bertukar watak dengan Eskay memainkan watak Ketua Pembangkang dalam video fitnah itu lantaran wajah mereka mirip.
Dalam pada itu, Nasruddin berkata, tuduhan terhadap Ketua Umum KEADILAN itu tidak menepati piawaian dalam membuat tuduhan zina.
“Datuk T, kononnya saksi hanya melibatkan tiga orang, ertinya belum cukup bilangan empat yang dikehendaki Islam dan syarat saksi mesti adil, (tidak pernah melakukan dosa besar dan tidak mengekalkan dosa kecil) dan mesti menyaksikan perlakuan zina sebagaimana masuknya batang celak ke dalam botol celak.
“Jika hanya menyaksikan melalui rakaman video, ia tidak menepati kehendak syariat dalam membuat tuduhan. Tidak hairan video sedemikian boleh dihasilkan, tambahan pula dalam bentuk hitam putih,” katanya.
Jika tuduhan itu adalah fitnah, beliau berkata, penuduh mesti dijatuhi hukuman qazaf (sebat) 80 kali mengikut hukum hudud.
“Surah an-Nur ayat keempat menyeru supaya orang yang menuduh dan tidak cukup saksi empat orang mesti disebat 80 kali dan kesaksiannya tidak boleh diterima buat selama-lamanya kerana mereka adalah golongan fasik,” katanya.

Lelaki Lahir Tahun 1880 Masih Dalam Daftar Pengundi SPR

SIBU, 2 APRIL: Walaupun dilahirkan pada tahun 1880 dan sudah lama meninggal dunia, Mohamad Mahli Sulong masih dalam senarai daftar pengundi untuk pilihanraya negeri Sarawak bulan ini, menurut sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

Sibu Election Watchers (SEW) berkata kes Mohamad Mahli adalah contoh terbaru untuk membuktikan senarai pengundi Suruhanjaya Pilihanraya masih belum dikemaskini.

Jurucakap SEW,  Wong Meng Chuo berkata Mohamad Mahli  disenaraikan sebagai pengundi untuk N49 Nangka dan tempat mengundi beliau adalah  SK Perbandaran Sibu No. 3 at Jalan Bandong.

Pada pilihanraya kecil Sibu tahun lalu, SEW mengesan 208 pengundi yang dilahirkan lebih seratus tahun lalu namun masih dalam daftar pengundi SPR, akhbar The Star melaporkan.

Justeru, SEW menolak jaminan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang mendakwa daftar pengundi SPR sudah “dibersihkan.”

 “Kita kesal kerana SPR masih belum melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik. Kami percaya daftar pengundi yang bersih amat penting untuk memastikan pilihanraya berjalan secara adil dan bebas,” tambah beliau.

-tvsnews-

Datuk 'T' Kini Empat Orang Semuanya. Tambahan Ahli Baru.....

Selatanonline
Pengumuman Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar bahawa video ‘Datuk T’ adalah tulen tidak sama sekali membuktikan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video itu.

Demikian dinyatakan Naib Presiden KEADILAN, N Surendran, sebagai reaksi kepada pengumuman KPN hari ini bahawa video itu adalah tulen.

Surendran turut mempersoalkan mengapa KPN terburu-buru membuat pengumuman itu walau pun siasatan belum lagi lengkap. Malah, ia merupakan satu lagi usaha mengalih tumpuan (red herring) dan bersifat politik untuk memburukkan reputasi Anwar, kata Surendran.

“Perkara yang ingin diketahui orang ramai adalah mengapa polis dan Peguam Negara belum memulakan tindakan terhadap ketiga-tiga orang itu yang sudah membuat pengakuan bersalah memiliki dan menayangkan video lucah yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 5 Akta Penapisan Filem 2002?” tanya Surendran.

Beliau seterusnya menggesa KPN agar tidak mengikut rentak BN dan menjalankan siasatan secara adil, saksama dan profesional.

“Kami menggesa KPN dan Peguam Negara menghentikan taktik melengah-lengahkan siasatan dan mengambil tindakan segera terhadap penjenayah sebenar dalam tayangan video itu,” kata Surendran.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail dalam sidang media tergempar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) hari ini membuat pengumuman bahawa video seks yang ditayangkan kepada umum oleh trio ‘Datuk T’ adalah tulen. Namun, Ismail tidak pula mendedahkan siapa pelakon di dalam video itu./KD

Pornthip : 'Teoh Beng Hock Dicekik Sebelum Jatuh'


KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Pakar patologi Thai, Dr Pornthip Rojanasunand bersependapat dengan pakar forensik Britain Prof Dr Peter Vanezis bahawa Teoh Beng Hock masih bernyawa.

Namun katanya, beliau tetap mempertahankan hujahnya bahawa kesan tanda merah di sekeliling leher mangsa pembantu politik itu adalah akibat dicekik.

Menurut beliau, kesan merah itu amat ketara pada bahagian kiri leher Teoh pada bedah siasat pertama meskipun tubuh mangsa telah dijahit semula.

Pakar patologi dari Thai itu tidak menjalankan bedah siasat pertama tetapi hadir sebagai pemerhati pada bedah siasat kedua.

Pornthip, 56, yang tiba hari ini dan diberi kawalan ketat berkatakontusi pada sebelah kiri leher Teoh menunjukkan mangsa dicekik.

Tegasnya, terdapat tiga senario di mana kontusi boleh berlaku.

    *dicekik dengan menggunakan tangan,

    *leher mangsa dipukul dengan objek tumpul,

    *ataupun leher mangsa ditekan kepada objek atau kedua-duanya sekali.

Katanya, tanda seperti bentuk syiling di leher Teoh adalah akibat tekanan jari atau objek bulat dan kejelasan tanda itu mengikut Pornthip bergantung kepada tekanan yang digunakan.

"Teoh berkulit cerah jadi kesan tanda lebam ini boleh dilihat dengan jelas,” kata saksi itu.

Beliau juga memberikan beberapa contoh tentang bagaimana kecederaan di leher akibat dicekik yang mempunyai tanda-tanda lebam yang sama.
-malaysiakini-

Ahli KEADILAN OKU ditahan ISA


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki – orang kelainan upaya (OKU) ditahan polis mengikut Seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)di Kampung Kerinchi di sini, petang semalam.

Kadir Hashim, 42,  adalah seorang ahli KEADILAN, ditahan dalam serbuan melibatkan 20 anggota polis berpakaian preman di rumahnya kira-kira pada jam 6.50 petang.
Perkara itu disahkan Mohamad Izhar, Ketua Angkatan Muda KEADILAN Lembah Pantai kepada KeadilanDaily.
Beliau menganggap penahanan itu  tidak masuk akal kerana Kadir adalah  seorang peniaga tomyam OKU yang memiliki sebelah tangan dan mustahil untuk terlibat dalam ‘gerakan subversif’ seperti didakwa  polis ketika membuat tangkapan.
“Kami (ahli KEADILAN dan keluarga Kadir) tidak tahu sebab sebenar beliau ditahan polis,” kata Izhar.
Beliau berkata, KEADILAN Wilayah Persekutuan akan membawa perkara itu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) pada  Isnin ini.
Dalam pada itu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) kecewa dan mengutuk sekeras-kerasnya penahanan berkenaan.
Dalam kenyataan media hari ini, kedua-dua badan bukan kerajaan (NGO) itu mahu mengetahui sebab sebenar penahanan Kadir dan mendesak supaya peguam dan ahli keluarga dibenar melawat Kadir secepat mungkin.
Mereka juga menganggap penggunaan ISA terhadap Kadir bertentangan dengan prinsip hak asasi, keadilan dan piawasai hak asasi antarabangsa, selain terdedah kepada bahaya penyalahgunaan kuasa dan penganiayaan.
Mengakui nilai keselamatan negara penting, GMI dan Suaram tetapi setiap invidu berhak memperoleh perbicaraan yang adil.
Mereka juga kecewa kerana kerajaan dari satu segi mahu mengkaji semula penggunaan ISA tetapi pada masa masa membuat tangkapan melulu mengikut akta zalim itu.

Hina Speaker, Adun Pel Klang ke Jawatankuasa Hak & Kebebasan


SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah akan dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana menghina Speaker Dewan undangan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim.
Turut akan didakwa bersama Badrul Hisham adalah peguamnya, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang juga merupakan penasihat undang-undang Umno. Kedua-dua mereka akan dituduh bersama atau berasingan melakukan kesalahan menghinda Dewan kerana menghantar surat kepada Teng menggunakan bahasa yang amat tidak senonoh, biadab dan mengugut.
Demikian keputusan Timbalan Speaker Dewan undangan Negeri Selangor, Haniza Talha setelah diusulkan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan disokong Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail.
Menurut Khalid, surat itu yang menyentuh isu kes mahkamah kerusi Dun Pelabuhan Klang dihantar Badrul dan peguamnya kepada Teng Selasa lepas sewaktu sesi DUN masih bersidang.
“Surat itu mengandungi nota dengan bahasa yang tidak senonoh, biadap, mengugut dengan niat untuk mengambil tindakan ke atas Speaker untuk timbulkan kebencian kepada Dewan dan mempersendakan Dewan…itu penghinaan ke atas Dewan.
“Ingin ditegaskan tuntutan saman yang difailkan Speaker terhadap kerusi Pelabuhan Klang bukan atas kapasiti sendiri tetapi atas nama Speaker Dewan,” katanya.
Lanjutan itu, tempat Teng sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan diganti Adun Kota Alam Shah, M Manoharan untuk memastikan dakwaan terhadap Badrul dan peguamnya berjalan dengan adil, lapor sebuah potral berita.
Badrul memenanngi kerusi Dun Pelabuhan Klang atas tiket KEADILAN pada pilihan raya umum 2008 menewaskan calon BN dan bebas dengan majoriti 4,407 undi. Pada Oktober 2009, Badrul belot kepada KEADILAN dan menjadi Adun bebas yang mesra BN.
Teng selaku Speaker Dewan awal tahun ini mengumukan kerusi Dun Pelabuhan Klang kosong selepas Badrul ponteng sidang Dun lebih daripada enam bulan bermula Julai 2010 sehingga Januari tahun ini.
Badrul yang terdesak untuk menyelamatkan kedudukannya membawa perkara itu ke mahkamah. Lanjutan itu, pada 18 Februari lalu Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Badrul masih sah sebagai wakil rakyat di kawasan terbabit.

Cerita Tok Imam Tidak Ambil Air Sembahyang

Nobisha
Arakian, tersebutlah kisah seorang suami (kita namakan Abang Mat) yang malas solat di masjid - termasuklah liat menunaikan sembahyang Jumaat. Mak Mentua yang solehah amatlah susah hati dengan perangai menantunya itu.

Setelah puas berdoa dan memberikan nasihat, akhirnya Mak Mentua mendapat satu ilham. Mak Mentua yang baru pulang dari mengerjakan umrah itu pun menziarahi menantunya membawa jubah dan serban.

"Mak belikan jubah dan serban ini kepada anak - semoga anak dapat menjadi menantu yang soleh," kata Mak Mentua kepada menantu. Si menantu menerima hadiah dari Mekah itu dengan selamba saja.

Dalam hati, Abang Mat kata ini mesti Mak Mentua nak perli. Bagaimanapun, demi menjaga hati Mak Mentua, si menantu ini pun memakai jubah dan serban baru itu, lalu melangkah dengan penuh bergaya untuk solat Maghrib di masjid.

Tiba di masjid, semua orang memandang Abang Mat dengan penuh kehairanan. Pertama, mereka tak pernah melihat beliau di masjid sebelum ini. Malah, ramai juga jemaah yang berbisik sesama sendiri melihat "tok syeikh" yang kelihatan cukup hebat. Kedua, para jemaah di kampung itu hanya memakai kain pelikat dan baju Melayu saja. "Ini tentu tok syeikh hebat," bisik sesama mereka apabila melihat dia memakai serban dan jubah.

Melihat kehebatan pakaian Abang Mat, tok imam mempersilakannya untuk mengimami solat maghrib berjemaah. Mula-mula Abang Mat menolak, tetapi setelah dipaksa akhirnya dia mara ke hadapan dan menjadi imam.

Abang Mat memang "ada tokoh" menjadi imam. Bacaan dalam solat cukup baik.

Selepas solat, tok imam tadi menghampiri Abang Mat sekali lagi.

Kata tok imam masjid itu, "Hebat bacaan tuan syeikh dalam solat tadi. Mengalahkan imam di Mekah!"

Dengan tersipu-sipu tetapi penuh kebanggaan, Abang Mat menjawab, "Oh, itu belum cukup sedap lagi. Kalau saya ambil air sembahyang sebelum solat, bacaan saya lagi sedap!"

Mahu jumpa Illahi dengan ‘saham’ artis paling seksi?

Lanh
TANGGAL 25 Mac 1991 sukar dilupakan. Pada tarikh ini Harian Metro, akhbar petang berbahasa Melayu pertama diterbitkan dan berada di pasaran. Sebagai antara pengasas Harian Metro, izinkan saya mengucapkan tahniah kepada akhbar ini sempena ulang tahunnya yang ke-20.

Saya berpendapat ada sekelumit peranan untuk saya menyatakan sesuatu berkenaan akhbar yang kini muncul sebagai yang terbesar edarannya di tanah air dengan kira-kira 350,000 naskhah sehari.

Sebenarnya sudah terlalu lama saya tidak membaca apatah lagi membeli Harian Metro atau Metro Ahad, namun pada Ahad lalu (27 Mac) ketika singgah di gerai akhbar, terkejut besar saya melihat gambar muka depan Metro Ahad mempamerkan tubuh seksi artis Fasha Sandha dan Rozita Che Wan dengan tajuk ‘Paling Seksi’. Di dalamnya pula ada laporan ‘Pinggul Fasha Menggoda’.

Saya membaca serba sedikit laporannya yang antara lain ditulis: “…Metro Ahad terpanggil untuk menjalankan satu kajian bagi mencari ‘5 Artis Paling Seksi’ tanah air melalui laman web rasmi Kumpulan Harian Metro, MyMetro, bermula 7 Mac lalu.

“Pilihan lima artis paling seksi dan panas itu membabitkan 29 selebriti wanita dalam negara. Sejak carta undian ini dikeluarkan, maklum balas yang diterima daripada peminat seni dan pembaca akhbar ini cukup memberangsangkan dengan kira-kira 2,000 pembaca melakukan undian.

“Setakat ini, pelakon penuh kontroversi, Fasha Sandha masih menduduki tempat pertama carta undian. Pada minggu pertama, undian teratas mulanya memihak Rozita Che Wan. Namun, nama Fasha membuat kejutan pada minggu berikutnya apabila mendahului semua artis lain dengan rating sebanyak 14.76 peratus sehingga kelmarin.”

Ada sudah jadi dengan Harian Metro/Metro Ahad yang menyambut ulang tahun ke-20-nya dengan sebuah konsert hebat di Dataran Merdeka? Saya ingatkan petugas Harian Metro mengadakan kenduri tahlil kesyukuran dengan mengadakan jamuan untuk kakitangan dan juga memberi makan kepada anak-anak di rumah kebajikan, rupa-rupanya ini jadinya.

Metro Ahad terpanggil untuk mencari lima artis paling seksi tanah air? Saya betul-betul naik darah dengan ungkapan yang digunakan oleh akhbar yang saya menjadi antara pengasasnya. Saya marah kerana apa yang dibuat oleh akhbar Metro hari ini, saya mempunyai sahamnya. Ini kerana bekas tangan seseorang itu akan terus dirasai oleh pembuatnya; jika seorang itu membuat amal salih misalnya mendirikan masjid, selagi masjid itu digunakan dia akan mendapat pahala, manakala bagi mereka yang mengasaskan kejahatan, dosa akan diterima selagi mana perbuatan jahat di ditiru atau diteruskan oleh orang lain.

Bagi saya terpanggilnya akhbar Metro untuk mencari artis paling seksi menggambarkan betapa merundumnya minda peneraju apatah lagi dalam meyemarakkan peranan akhbar dalam membina bangsa hebat yang terarah untuk selamat di dunia dan akhirat. Sebagai media massa berwibawa, akhbar berperanan untuk mendidik masyarakat dan bukan sebaliknya dan dalam kes Metro Ahad ini lagi teruk kerana artis diberi peranan untuk mencorak serta mengajar masyarakat terutama anak muda tampil paling seksi seperti mereka.

Saya sedar Harian Metro adalah sebuah kisah kejayaan luar biasa. Daripada cetakan harian hanya kira-kira 10,000 naskhah pada Mac 1991 kepada 350,000 naskhah kini, dibimbangi kejayaan ini (lambakan intan permata) telah menggelabukan mata sesetengah penerajunya. Ingatlah wahai rakan-rakan setugas yang semuanya beragama Islam, anda dan saya semuanya terikat kepada dosa dan pahala kepada setiap perbuatan dilakukan.

Teringat saya rakan-rakan lama yang sudah memasuki alam barzakh walaupun umur masih muda. Kenang-kenanglah Moe, Zil, Sin, Mat, Siah dan beberapa rakan wartawan lain yang sudah jadi arwah. Bukankah lebih baik bertahlil, memohon kepada Illahi memberkati akhbar kita seterusnya merahmati roh kawan-kawan agar mereka ditempatkan di kalangan orang beriman daripada berkonsert dan berpesta ria yang tidak pernah habisnya?

Moe, Zil, Sin, Mat dan Siah sudah pegi; entah esok, lusa kita pula akan berangkat sama. Apakah saham pencarian artis paling seksi mahu dijadikan bekalan bagi menemui Illahi?

Peguam timbulkan 'dua taktik' soal siasat SPRM

Hafiz Yatim
Apr 2, 11, 12:22pm
Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian pembantu politik DAP, Teoh Beng Hock hari ini diberitahu mengenai dua kemungkinan cara yang diguna pakai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam soal siasat mereka.


Walaupun timbalan pengarah SPRM Selangor, Hishamuddin Hashim menafikan kedua-dua kaedah yang dicadangkan oleh Edmund Bon, yang mewakili Majlis Peguam, peguam itu berkata terpulang kepada imaginasi mereka untuk berfikir sama ada ia digunakan.

Kaedah yang dicadangkan oleh Bon itu adalah kemungkinan yang mata Teoh ditutup dan pembantu politik itu dibawa ke suatu tempat yang tinggi dan kemudiannya diugut.

Selain itu, katanya Teoh juga mungkin ditempatkan di tepi tingkap ketika disoal untuk memberikan maklumat.
NONE
Namun Hishamuddin menafikan perkara itu dan berkata "semua ini fitnah dan tak benar sama sekali”.

Beliau juga menafikan terbabit dalam soal siasat ke atas Teoh apabila Bon mencadangkan pegawai SPRM itu menipu dalam keterangannya bahawa beliau sedang tidur di pejabat.

Bon juga bertanya mengenai kemungkinan teknik yang digunakan oleh Hishamuddin termasuk merentap tali pinggang Teoh sambil mengoyangkan mangsa bagi mendapatkan maklumat. Bekas timbalan pengarah itu menafikan perkara tersebut.

Ketika ini, pakar patologi Thai, Dr Pornthip Rojanasunand sedang memberi keterangan sambil dibantu oleh peguam Malik Imtiaz Sarwar yang dibawa oleh kerajaan negeri Selangor bagi membantunya.

Ketua panel pesuruhjaya lima anggota ini, hakim Tan Sri James Foong mengalu-alukan kedatangan Pornthip di sebalik jadualnya yang ketat.

Pornthip, 56, sekarang ini sedang disoal oleh wakil pejabat peguam negara, Amarjeet Singh.

-malaysiakini-

Ku Li yakin rakyat tolak tuduhan video seks Anwar

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 2 Apr: Vateran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah turut menyelar pihak yang menggunakan video lucah sebagai senjata politik menyerang pihak lawan.

Mengulas isu yang sedang memangsakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tengku Razaeligh yang lebih dikenali 'Ku Li' berkata, tindakan tersebut bukan sahaja keji dan jijik malah ianya bukan budaya Melayu apatah lagi ianya bercanggah dengan ajaran Islam.

"Rakyat Malaysia punya tamadun dan budaya yang baik, kenapa kita hendak ikut budaya tak baik' kata Ku Li.

"Apatah lagi bagi orang Melayu Islam, tak patut kita lakukan benda yang jijik yang dipandang rendah oleh orang. (Apa guna) kita buat perkara yang hina di sisi masyarakat," tegas beliau dalam temubual dengan TV Selangor.

Bagaimanapun, beliau yang juga mantan Naib Presiden Umno, yakin cubaan untuk memburukkan Anwar dengan taktik itu tidak akan berhasil memandangkan kaedah hampir sama diguna terhadap Ketua Umum PKR itu pada tahun 1998, namun gagal.

Pihak yang bertanggungjawab terhadap video itu juga katanya sebenarnya mengamalkan 'politik longkang' dan telah tersalah langkah kerana orang Melayu Islam tidak boleh menerima tuduhan sebegitu apatah lagi ianya didedahkan dengan penuh persoalan yang tidak dijawab.

"Saya tak fikir rakyat terima hal (video seks) ini. Kalau tengok kes Anwar yang pertama tahun 1998, rakyat tidak terima. Usung tilam, bantal semua, tak ada orang terima. Saya masih ingat semasa saya adakan majlis dialog di Gua Musang. Orang cakap. Ni Melayu ke ni? Malulah," kata beliau.

"Saya rasa (video seks) ini salah langkah. Jika berpolitik sebegini, kalau kita menang pun, tidak ada maruah, tidak ada nilai, jadi tidak guna kita menang pun kalau kita guna cara buruk dan keji untuk mendapat tempat. Saya rasa rakyat pun tak dapat terima dengan baik," tegas beliau.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar membuat pengumuman mengejutkan apabila mengisytiharkan video itu adalah tulen namun tidak mengulas sama ada pelakunya dikenal pasti.

Beliau berkata hasil siasatan sudah di fasa terakhir dan akan diserahkan kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam tempoh terdekat.

Terima kasih polis bantu rakyat benci Umno BN

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 2 April: “Terima kasih PDRM bantu rakyat benci Umno BN,” kata Datuk Mahfuz Omar.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar semalam yang mengesahkan rakaman video seks yang didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didedahkan tiga manusia baru-baru ini adalah tulen.

Menurut Ismail, pengesahan itu dibuat oleh pakar profesional yang dilantik pihaknya minggu lalu untuk membuat kajian terperinci.

Katanya, hasil siasatan rakaman video itu yang kini di peringkat akhir akan diserahkan kepada Peguam Negara dalam masa terdekat.

Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kemungkinan selepas ini pihak polis akan mengesahkan bahawa ‘pelakon’ lelaki di dalam video berkenaan adalah Anwar.

Baginya, itulah ‘skrip’ sejak dari awal lagi di mana semua media yang pro Umno BN cuba mengaitkan video lucah itu dengan Ketua Umum PKR.

Secara sinis, beliau berkata, walaupun video lucah itu dimaklumkan pihak polis adalah tulin tetapi gagal mengesahkan pelakonnya kemungkinan disebabkan mata penyiasat rabun.

“Mungkin penyiasat mata rabun atau yang siasat ni ‘polis malaikat’ yang tak tengok adegan atas katil, jadi dia siasat video saja,” ujarnya lagi.

Polis Memang Pilih Bulu, Kata Khalid Samad


SHAH ALAM, 1 APRIL: Sikap 'pilih bulu' Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) dalam hal-hal yang melibatkan pimpinan Pembangkang, jelas tergambar melalui perkembangan terbaru hasil siasatan polis berhubung fitnah video lucah membabitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tindakan pihak berkuasa yang tidak menumpukan kepada laporan polis Anwar bahawa dirinya telah difitnah sebaliknya lebih berminat tentang soal ketulenan video, jelas mengambarkan institusi polis di negara ini dikongkong oleh parti pemerintah, kata Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

"Sebab itu, kami dapati polis ini banyak memberi kelonggaran dan keistimewaan, kalau bandingkan video seks Chua Soi Lek, pihak polis memberikan amaran kepada sesiapa yang memiliki, mengedar dan menayang termasuk yang melihat boleh disabitkan kesalahan dan dikenakan tindakan undang-undang, tetapi dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, nampaknya undang-undang itu berbeza," katanya kepada pemberita pada sidang media khas di pejabatnya, di sini, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini berkata, pihaknya sudah mengesahkan ketulenan video lucah yang didakwa membabitkan Anwar.

Ujar beliau, pihaknya telah mengesahkan ketulenan video seks itu dengan bantuan pakar-pakar tempatan bahawa ianya bukan sesuatu yang direka atau dipalsukan.

Namun Ismail tidak menjawab kepada persoalan utama, siapakah identiti ahli politik yang didakwa terlibat dalam rakaman video seks berkenaan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat selama ini.

"Soal ketulenan video itu adalah soal yang kedua kerana walaupun ianya bukan palsu, persoalannya benarkah pelaku seks dalam video itu Anwar, kalau nak tahu kebenarannya, perlu dijelaskan di mana tempat berlaku, pukul berapa Anwar datang, dengan apa Anwar datang, siapa yang mengiring dan sebagainya serta perlu diselidik pada masa yang sama, Anwar berada dimana.

"Hakikatnya sama ada ia video tulen atau pun palsu ianya tidak cukup untuk mendakwa, sebaliknya mereka perlu buktikan Anwar memang berada di situ pada waktu itu,"tegas Khalid.

Melihat pada senario perjalanan politik Anwar yang sering dilanda pelbagai ancaman dari segenap ruang, Khalid berpendapat sangat mustahil bagi Ketua Pembangkang itu untuk terlibat dengan skandal seks seperti yang didakwa oleh 'Datuk T'.

"Ianya satu perkara yang sangat mustahil kepada Anwar pada ketika ini meletakkan diri, nasib, karier dan perjuangannya yang selama ini dengan hanya mengikut Datuk Eskay yang memang dikenali sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai semata-mata untuk melakukan perkara itu," kata Khalid.

Pada 23 Mac lalu, ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah mengaku bahawa beliaulah yang mempertontonkan video itu kepada media terpilih di Carcosa Seri Negara.

Shazryl juga mendedahkan bahawa gelaran Datuk T merujuk kepada tiga sahabat yang membuat pendedahan rakaman video seks itu, yang sebenarnya bermakna "trio" iaitu beliau sendiri, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim.
-tvsnews-

Pelawak veteran cabul pelajar diburu

KUALA LUMPUR: Seorang pelawak berusia 63 tahun yang popular sejak era 70-an diburu polis selepas seorang pelajar perempuan membuat laporan mendakwa dicabul lebih tiga kali lelaki itu.

Lebih keji, pelawak otai yang lebih memberi tumpuan dalam bidang pengarahan itu dikatakan menyogok sejumlah wang kepada pelajar berusia 13 tahun itu dengan harapan mangsa patuh kepada arahan, selain tidak membongkar kejadian itu kepada ahli keluarga serta orang ramai termasuk ibu saudara mangsa yang juga rakan baiknya.

Difahamkan, pelajar malang itu dicabul lebih tiga kali sejak Disember 2010 hingga pertengahan Mac lalu, di dua kediaman berasingan milik ibu saudara mangsa di Kepong dan Klang, selain beberapa kali di luar kediaman berkenaan apabila mereka bertemu.

Akibat tidak tahan dengan perbuatan keji itu, pelajar terbabit membuat laporan di Balai Polis Jinjang, kira-kira jam 10 pagi semalam.

Sumber polis berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira jam 11 malam Disember tahun lalu di sebuah rumah di kondominium di Kepong apabila mangsa dicabul di kediaman ibu saudaranya itu.

Beliau berkata, ketika kejadian suspek berkunjung ke rumah berkenaan kononnya melawat ibu saudara mangsa yang juga rakan baiknya.

“Bagaimanapun, selepas berbual lebih 30 minit, ibu saudara mangsa mendakwa letih dan mahu tidur sebelum mengarahkan suspek berehat dalam bilik tetamu jika tidak mahu pulang.

“Suspek bersetuju sebelum masuk ke bilik berkenaan. Lima minit kemudian suspek keluar semula sebelum memanggil mangsa masuk ke dalam bilik berkenaan dan meminta mangsa mengurut badannya,” katanya.

Mangsa pada mulanya menolak, namun bersetuju berbuat demikian selepas dipujuk suspek.

“Sebaik masuk ke dalam bilik itu, suspek dikatakan mencium mulut dan pipi mangsa serta memegang bahagian sulit mangsa.

“Tersentak dengan perbuatan itu, mangsa berlari keluar dari bilik. Bimbang mangsa mengadu kepada ibu saudaranya, suspek memohon maaf, selain berjanji tidak akan mengulanginya.

“Termakan pujukan suspek, mangsa bersetuju merahsiakan perbuatan itu. Malah, suspek dikatakan menyogok RM100 kepada mangsa sebelum berpura-pura insaf dengan keterlanjurannya itu,” katanya.

Sumber berkata, kejadian terbaru berlaku pertengahan Mac lalu kira-kira jam 5.30 petang di sebuah lagi rumah ibu saudara mangsa di Klang.

“Kejadian berlaku dalam tandas di rumah berkenaan apabila suspek meluru masuk sebelum mencabul mangsa yang ketika itu ingin membuang air. Kali ini, bertindak lebih ganas ketika memegang bahagian sulit dan payudara mangsa,” katanya.

Difahamkan, suspek sekali lagi memberikan wang RM100 kepada mangsa untuk menutup mulut.

Biarpun mangsa enggan menerima wang berkenaan, suspek dikatakan meletakkan wang itu di atas meja sebelum meninggalkan rumah berkenaan.

Sumber berkata, disebabkan mangsa masih mendiamkan diri selepas insiden itu, dia dikatakan dicabul lagi suspek setiap kali bertemu ataupun apabila suspek berkunjung ke kediaman ibu saudaranya itu.

Tidak tahan dengan perbuatan itu, mangsa memberitahu ibu saudaranya sebelum mereka tampil membuat laporan di balai polis.

Katanya, sehingga kini, suspek masih belum ditahan, namun usaha memburunya giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu namun enggan mengulas lanjut.
-hmetro-