Pegawai Kanan Polis dan lima anggota berpangkat rendah terlibat mengedar dadah

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan polis dan lima anggota berpangkat rendah yang bertugas di bahagian narkotik di sekitar Kuala Lumpur ditahan kerana disyaki terlibat dengan pengedaran dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, kesemua mereka yang berumur dalam lingkungan 30-an itu ditahan dua minggu lepas.

"Sekarang ini mereka ditahan dan berada di bawah siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1952,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini tidak ada sebarang rampasan dadah dibuat.

Noor Rashid berkata penangkapan mereka juga membuktikan polis tidak melindungi anggota mereka yang didapati terlibat dengan jenayah.

"Pegangan saya adalah undang-undang ini sama sahaja tidak kira anggota polis tak mengira siapa sahaja, siapa yang langgar undang-undang kita akan ambil tindakan tegas,” katanya.

Beliau turut menasihatkan semua ketua polis peringkat negeri negeri dan daerah agar memantau pegawai dan anggota di bawah jagaan mereka bagi memastikan kejadian berulang.

"Ia perlu dibuat supaya tindakan dari awal boleh dibuat sekiranya mereka ini terlibat dengan sebarang kes jenayah,” katanya. 
-Bernama-

L4G: Najib arah batal pidato Mohamad Sabu?

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 18 Jun: Pihak penganjur Majlis Pelancaran Pasukan Lifeline4Gaza (L4G) Malaysia yang dijadual dilancarkan jam 9 malam ini oleh Perdana Menteri, membatalkan slot pidato yang sepatutnya menampilkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Selain Mohamad yang dijemput mewakili Pakatan Rakyat, pidato menyentuh isu Palestin yang diadakan di Stadium Badminton Cheras itu juga sepatutnya disampaikan oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin sebagai mewakili BN.

Tindakan itu difahamkan dibuat ekoran mereka mendapat tekanan dari Pejabat Perdana Menteri.

"Pihak JPM maklumkan kepada kita, Datuk Seri Najib tak nak Mohamad Sabu menyampaikan pidato.

"Kalau penganjur nak teruskan juga dengan Mohamad Sabu, PM pula tak mahu datang rasmi", kata salah seorang petugas ketika ditemui.

Malah, nama Mohamad dan Khairy di Backdrop yang diletakkan di pentas juga turut ditutup.

Khairy bagaimanapun dilihat hadir pada program malam ini.

Sehingga kini belum ada sebarang pengumuman dibuat penganjur kepada hadirin yang hadir berhubung pembatalan itu.

Bagaimanapun, tindakan penganjur menutup nama Mohamad dan Khairy pada backdrop di pentas, menimbulkan tanda tanya di kalangan mereka.

Ramai dikalangan mereka yang datang malam ini dipercayai mahu melihat Mohamad - yang sebelum ini banyak menghentam Umno, duduk sepentas dengan Najib.

Bagaimanapun, sebahagiaannya dilihat mula pulang awal apabila mendapat tahu berhubung pembatalan itu.

Rasa dipermainkan

Mohamad ketika dihubungi Harakahdaily turut mengesahkan pembatalan itu.

Menurutnya, beliau hanya dimaklumkan berhubung perkara itu pagi tadi.

"Semalam penganjur kata saya dijemput berucap tentang isu Palestin selama 10 minit.

"Tiba-tiba hari ini kata tak boleh pula, sedangkan dalam media semua dah sebut saya akan berpidato malam ini.

"Saya rasa dipermainkan", katanya kecewa dan memaklumkan tidak akan hadir program malam ini.

Bagaimanapun, penjelasan lanjut berhubung perkara itu akan dibuat pada sidang media khas jam 10 pagi esok di restoran Haslam, Jalan Pahang.

Perkasa khianati Islam sokong Utusan

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 18 Jun: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menganggap tindakan Perkasa mempertahankan Utusan Malaysia yang menghina hukum Islam dengan menyiarkan karikatur bertajuk “Kekeliruan Kes Rogol” sebagai tindakan khianat kepada Islam.

“Sangat memalukan bila mana sebuah pertubuhan Melayu yang kononnya organisasi pejuang Melayu dan Islam kini menjadi seperti tikus yang sudah kehilangan gigi untuk menggigit,” kata ketuanya, Kamaruzaman Mohamad kepada Harakahdaily.

Katanya, ramai pihak yang mengecam karikatur itu, tetapi tiba-tiba sahaja setiausaha agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali mengatakan ianya tidak menghina Islam.

“Apakah mereka lupa bahawa syarat 4 orang saksi telah ditetapkan oleh Allah sebagai syarat utama dalam kes pendakwaan rogol dan zina.

“Apakah mereka belum habis lagi khatam Al-Quran atau sudah mengamalkan kitab lain yang hanya menyebut hidup Melayu, keris dan kepala lembu?” soalnya.

Nampaknya, kata belau persepsi rakyat bahawa Perkasa hanya menjadi perkakas Umno dan hanya menyalak apabila Umno dihimpit dengan kemarahan rakyat adalah benar.

Tambahnya, Utusan yang menjadi lidah rasmi Umno akan dikatakan betul walau apa sahaja yang disiarkan tanpa mengira ianya benar atau fitnah atau menghina Islam.

Sehubungan itu, ujarnya DPPWP menyeru umat Islam menolak pertubuhan Perkasa dan meninggalkan organisasi itu.

“Rakyat juga harus mengajar Utusan dengan memboikot akhbar berkenaan yang enggan meminta maaf,” katanya.

Pemuda tidak akan undur walau setapak

Nasrudin Hassan
MUBARAK mendesak kerajaan agar menangkap perancang Himpunan BERSIH 2.0 di bawah Akta Keselamatan Dalam negeri [ISA].

Ini satu ugutan yang keterlaluan dan melanggar lunas demokrasi.

Saya nasihatkan MUBARAK agar tidak menjadi Husni Mubarak 2.0 yang suatu ketika dahulu bermaharajalela dan menangkap siapa sahaja yang menentang beliau tanpa sebarang bicara.

Mereka mahu ugut siapa? Kami sudah menegaskan kepada semua bahawa kami hanya akan berhimpun secara aman dan menunjuk perasaan kami membantah sistem demokrasi yang masih pincang dan mendesak supaya beberapa tuntutan kami yang mewakili sebahagian besar rakyat diterima dengan baik oleh pihak kerajaan. Apa masalah MUBARAK? Apa masalah kerajaan? Untuk tidak menunaikan permintaan sebahagian rakyat biar pun tidak semua rakyat dalam negara ini membuat tuntutan serupa, justeru apa yang kami minta adalah untuk keadilan dan ketelusan.

Kita tidak minta lebih. Kita tidak meminta suatu yang merugikan mana-mana pihak termasuk kerajaan. Apa yang kita minta ialah padang yang sama rata, alat yang serupa dan suasana yang mengizinkan ketelusan berlaku dan dilihat berlakunya ketelusan dalam sistem demokrasi khasnya sistem pengendalian pilihanraya dalam negara ini.

Setelah permintaan kita selama ini gagal dilayan dengan baik oleh pihak berwajib, himpunan BERSIH 2.0 adalah sebagai langkah untuk menunjuk perasaan dan menarik perhatian bahawa permintaan kita adalah serius dan tidak boleh dipandang ringan oleh mereka.

Cara mahu menangani Himpunan BERSIH 2.0 ialah dengan mengawal himpunan ini agar tidak terdedah kepada provokasi pihak yang tidak bertanggungjawab dan menunaikan permintaan rakyat tersebut. Bukan dengan ugutan dan tangkapan. Jika ugutan dan tangkapan itu mereka fikir boleh menakutkan rakyat, maka saya fikir mereka silap dan 1001 kali silap.

Insya Allah, saya sendiri akan berada di saf hadapan dan jangan fikir ISA itu boleh mengendurkan semangat saya dan melemahkan kesungguhan saya apalagi mahu menakutkan saya.

Saya yakin ini adalah perjuangan rakyat yang mahu menuntut kebenaran, keadilan, ketelusan dan kejujuran dalam sistem pengendalian demokrasi negara dan ia adalah suatu yang dituntut oleh Islam justeru Islamlah pelopor keadilan, ketelusan dan kejujuran ini.

Saya menyeru semua rakan-rakan anak muda dari seluruh negara agar gembira dan tenang. Himpunan BERSIH 2.0 adalah untuk keamanan dan kesejahteraan negara. Rakyat juga tidak perlu resah, peniaga tidak perlu bimbang dan orang ramai tidak usah gundah, himpunan ini aman jika mana-mana pihak termasuk pihak polis tidak mencetus provokasi. Saya yakin, yang rasa tidak aman ialah UMNO dan BN, yang resah ialah UMNO dan BN dan yang gundah ialah UMNO dan BN.

Malaysia bukan negara polis. Maka usahlah kerajaan menangani masaalah rakyat dan tuntutan mereka dengan kekerasan dan tangkapan. Tapi, kalau kerajaan fikir mereka mahu jatuh cepat dari jadual yang telah ditentukan, silakan lah berbuat sesuka hati. Saya tidak boleh jamin apa-apa.

Saya menyeru buat kesekian kalinya, datanglah ke Kuala Lumpur pada 9 Julai 2011 nanti dengan happy dan enjoy membawa semangat Visit Day dan Kuala Lumpur adalah destinasi anda kali ini.

Melanconglah dalam negeri. Bukankah ini slogan kerajaan? Pelancongan pada 9 Julai 2011 ini adalah bertemakan Keadilan dan Ketelusan di samping menikmati Kota Raya negara kita sendiri.

Datang jangan tak datang. Saya tunggu anda semua pada 9hb Julai 2011 kelak. Salam perjuangan dari saya mewakili seluruh warga Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Nasrudin bin Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Murtad : Bekas Mufti Akui Ramai Mohon Keluar Islam


SHAH ALAM, 18 JUN: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengakui permohonan keluar Islam rancak berlaku di negara ini, namun tidak mempunyai butiran terperinci mengenai rekod tersebut sama ada ia melibatkan golongan mualaf yang baru memeluk Islam atau pun sebaliknya.

Walau bagaimanapun menurut Dr Asri, suatu hal yang menjadi kebimbangannya adalah, bagaimana sebuah negara yang Islam adalah agama rasminya serta memiliki banyak agensi agama, gagal untuk membendung hal ini daripada berlaku.

"Sekiranya kalau kita kira seluruh institusi ini, mencecah berbilion kemampuan (dana) perbelanjaan tahunan.

"Tetapi mengapa insiden murtad ini meningkat dalam negara kita?," soalnya apabila diminta mengulas perkembangan kes jumlah umat Islam murtad yang masih menimbulkan tanda tanya sehingga ke hari ini.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mendakwa jumlah yang meninggalkan Islam atau murtad adalah seramai 135 orang.

Walau bagaimanapun, beliau kemudian memberitahu Bernama, tidak ada satu pun kes murtad yang diluluskan oleh Mahkamah Syariah sebaliknya yang ada hanyalah permohonan di bawah murtad oleh individu yang tidak sah memeluk Islam.

"Timbul kekeliruan di sini, contohnya seseorang itu memohon untuk kedudukannya sebagai Islam, tetapi kemudian mahu kembali ke agama asalnya, setelah disiasat, mahkamah mendapati dia bukan Islam, jadi tidak timbul soal murtad.

"Sama juga untuk pasangan berkahwin yang hendak daftar untuk perceraian, tetapi mahkamah mendapati mereka berkahwin secara tidak sah di Thailand kerana tiada saksi dan wali, jadi tidak timbul soal perceraian," kata Jamil kepada Bernama.

Portal Malaysiakini sebelum itu melaporkan terdapat 686 permohonan murtad manakala yang diluluskan adalah 135 orang bagi tempoh 2000 hingga 2010.

Laporan itu berdasarkan jawapan kepada pertanyaan lisan   ahli parlimen Bakri Er Teck Hwa kepada Jamil Khir di parlimen.

Malaysiakini kemudiannya tampil dengan laporan yang memetik Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid bahawa terdapat banyak permohonan keluar Islam dibuat oleh golongan mualaf yang baru memeluk Islam.

Mengulas isu itu, Dr Asri menyifatkan ia satu kisah ganjil berbanding di negara barat yang menyaksikan penerimaan dan sambutan orang bukan Islam untuk memeluk Islam.

"Sedangkan di negara-negara Islam minoriti seperti barat, orang yang memeluk Islam ramai tetapi di negara kita ini, ceritanya berkisarkan orang keluar Islam. Jadi ini suatu kisah yang ganjil dan tidak kena tentang kita mempromosikan Islam,"jelas Dr Asri.

Beliau menjelaskan bagaimana budaya masyarakat Islam di negara ini menjadi antara faktor utama yang mendorong golongan mualaf keluar Islam dan penganut Islam sendiri memandang sepi ketinggian agama Islam yang syumul . 

"Yang baru masuk Islam (mualaf), mereka tidak mendapat layanan yang sebagai saudara baru, bila sebut mengenai penubuhan Masjid Cina, ianya pun sukar untuk dilaksanakan kerana karenah birokrasi dan tafsiran. Seperti juga insiden orang bukan Islam masuk ke dalam masjid, pelbagai tafsiran dan pandangan agama yang dikeluarkan sehingga ada yang begitu ekstremis, mahu sebut nama Allah pun jadi pelbagai isu, jadi segala ruang pendekatan agama Islam itu dihalang kepada orang bukan Islam," tambahnya lagi.

Justeru itu, Dr Asri menyeru masyarakat Islam di negara ini supaya keluar dari zon kekeliruan dengan mencari pendekatan holistik dalam mendepani perjuangan mempromosi Islam dan bukannya menghukum mereka yang murtad.

"Kita masih lagi dalam zon kekeliruan dan tidak boleh kita menghukum orang murtad sedangkan awan zon kekeliruan itu masih tebal. Apa yang perlu diperbaiki...semua ini adalah lambang kepada kegagalan golongan pendakwah, umat Islam dan institusi-institusi agama yang ada di bawah kerajaan dan bukan kerajaan,"katanya.

Dalam pada itu, mengulas percanggahan kenyataan yang dikeluarkan oleh Jamil Khir di Dewan Rakyat dan kepada Bernama, menurut Dr Asri mungkin berlaku salah faham mengenainya. 
-tvsnews-

Rais Mengigau, Kaitkan Bersih 2.0 Dengan Serangan Siber-Mat Sabu


SHAH ALAM, 18 JUN: Cubaan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim mengaitkan perhimpunan aman Bersih 2.0 dan serangan siber ke atas laman-laman web kerajaan, tidak berasas sama sekali.

Timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu yang dihubungi Tv Selangor sebaliknya menyifatkan Rais sebagai mengigau apabila menyifatkan serangan siber yang menyasarkan laman sesawang milik kerajaan dan agensinya ada kaitan dengan perhimpunan Bersih.

" Saya tidak nampak langsung di mana relevannya itu. Barang kali Rais, dia mengigau,"katanya.  

Rais yang dipetik Bernama berkata, serangan siber oleh kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Anonymous dipercayai ada hubung kait dengan penganjuran Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Malah Rais menyifatkan serangan itu jelas bermotif politik dan bertujuan untuk melakukan sabotaj ke atas kerajaan.

Tambahnya, serangan terhadap laman web kerajaan itu jelas membuktikan bahawa ia dilakukan semata-mata untuk menyusahkan rakyat dengan menyulitkan urusan harian rakyat dengan kerajaan, dan bukannya menyusahkan pihak kerajaan.

Namun menurut Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu, penggodaman laman web kerajaan yang bermula Khamis lalu bersifat baru sedangkan himpunan Bersih 2.0 sudah dicanang sejak sekian lama.

 " Perhimpunan Bersih ini, NGO telah menghebahkannya kepada awam begitu lama dan lebih banyak kita turun ke bawah memberi penerangan di samping menggunakan laman web yang tidaklah sebanyak mana,"tegas beliau, justeru menasihati orang awam supaya tidak terpengaruh dengan kenyataan Rais itu.  

Sebelum ini Anonymous menggodam beberapa laman web kerajaan dengan serangan DDoS (Distributed Denial-of-Service) kerana tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan Malaysia yang menyekat beberapa laman sesawang perkongsian fail, termasuk Pirate Bay dan Wikileaks.

Rais semalam mengakui 198 laman web rasmi kerajaan telah digodam sehingga kini dengan 90 peratus penggodamnya dari dalam negara.
-tvsnews-

PAS Terengganu buat rombakan

Harakahdaily
KUALA TERENGGANU, 18 Jun: Badan Perhubungan Negeri Terengganu membuat rombakan bagi jawatan timbalan pesuruhjaya bagi sesi 2011-2013 pada mesyuarat hari ini.

Timbalan pesuruhjaya (TPj) III sesi lepas, Ustaz Saiful Bahari Mamat dilantik TPj I sementara dua lagi adalah bekas bendahari, Muhyiddin Abdul Rashid (TPj II) dan timbalan ketua penerangan yang juga Adun Bukit Tunggal, Dr Alias Razak (TPj III).

M Shukrimun Shamsudin pula dilantik bendahari.

Selain Saiful, TPj I dan II sesi lalu ialah Datuk Abu Bakar Chik dan Mohd Abdul Wahid Endut.

Kedua-duanya dipilih sebagai AJK PAS Pusat pada Muktamar Tahunan PAS ke-57 awal bulan ini.

Sementara Abdul Wahid dilantik Pesuruhjaya PAS negeri yang baru bagi menggantikan Datuk Harun Taib sebagaimana yang diumumkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 12 Jun lepas.

PAS negeri sesi ini mengekalkan setiausaha, ketua penerangan dan pengarah pilihan raya iaitu Yahaya Ali, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ariffin Deraman.

Hanafiah Mat, Kamaruddin Yunus dan Zakaria Dagang pula dilantik penolong setiausaha.

Kaitkan Bersih, Pemuda PAS cadang saman Rais

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 18 Jun: Dewan Pemuda PAS Pusat menganggap kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim yang mengaitkan serangan terhadap beberapa laman web kerajaan ada kaitan dengan himpunan Bersih sebagai tidak bertanggungjawab.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Riduan Mohd Nor berkata, tuduhan tanpa menampilkan sebarang bukti itu adalah cubaan memberi gambaran buruk terhadap himpunan aman Bersih 9 julai ini.

"DPPM kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab beliau yang menyalahgunakan kuasa beliau sebagai Menteri dengan menyebarkan fitnah berasaskan andaian semata-mata. Amat buruk dan sangat tidak profesional bila mana seorang Menteri berkelakuan begini," katanya.

Semalam Rais mendakwa serangan siber ke atas laman web kerajaan dan agensinya oleh kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Anonymous dipercayai ada kaitan dengan penganjuran perhimpunan aman Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).

Mengulas lanjut, Riduan berkata kenyataan menteri itu adalah cubaan mengalih perhatian rakyat dan menyembunyikan kelemahan kerajaan menangani pencerobohan penggodam itu sehingga beberapa maklumat dibocorkan.

"DPPM mencadangkan organisasi Bersih membuat laporan Polis dan menyaman Menteri ini diatas tindakan beliau," ujarnya lagi.

Pemuda PAS Pusat juga tegasnya mahu hasil siasatan terhadap serangan siber itu didedahkan kepada rakyat.

Ia kerana kerajaan telah membelanjakan berbillion ringgit wang rakyat untuk menyediakan fasiliti keselamatan siber namun begitu mudah laman-laman berkenaan diserang hingga menyusahkan ramai pihak.

Siber: Pemuda PAS cabar Rais kemuka bukti

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 18 Jun: Dewan Pemuda PAS mencabar Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk membuktikan fitnah yang mendakwa serangan siber ke atas laman web kerajaan dan agensinya baru-baru ini ada kaitan dengan Bersih.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab menteri itu yang menyalahgunakan kuasanya dengan menyebarkan fitnah berasaskan andaian semata-mata.

“Amat buruk dan sangat tidak profesional bila mana seorang menteri berkelakuan begini,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu, pihaknya mencadangkan organisasi Bersih membuat laporan polis dan menyaman Rais di atas tindakan beliau itu.

Pemuda PAS, ujarnya menasihatkan pihak kerajaan membuat siasatan terperinci terhadap serangan siber itu dan mendedahkan hasilnya kepada rakyat.

Katanya, kerajaan yang membelanjakan billion ringgit wang rakyat untuk menyediakan fasiliti keselamatan siber harus menjawab kepada rakyat bagaimana dengan begitu mudah laman-laman berkenaan diserang hingga menyusahkan ramai pihak.

Pihaknya juga menyeru kepada kerajaan untuk mempertingkatkan sistem keselamatan siber negara dan tidak menyekat kebebasan rakyat untuk menyampaikan pandangan mereka melalui medium alternatif ini.

“Ayuh anak muda turun 9 Julai ini bersama Bersih 2.0 dan singkirkan fitnah menteri yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Dr Tan: Siapa bayar kos pertunangan anak Najib?

parliament crime prevention dialogue 080906 tan kee kwong
Pemimpin PKR Dr Tan Kee Kwong hari ini menimbulkan soalan siapa yang membiayai bil bagi majlis pertunangan anak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang diadakan di Seri Perdana, Putrajaya malam semalam.

Majlis tertutup itu dikhaskan kepada kira-kira 800 tetamu istimewa dan terpilih yang terdiri daripada golongan dan kerabat diraja termasuk dari negara asing, ahli politik, tokoh perniagaan dan kenalan rapat yang lain.

Hanya media rasmi sahaja yang dibenarkan membuat liputan.
Majlis itu diadakan sempena pertunangan anaknya Nooryana Najwa kepada Daniyar Nazarbayev, yang mempunyai pertalian dengan presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev.

“Saya difahamkan nota pembelian daripada sebuah hotel terkemuka itu dikeluarkan atas nama Jabatan PM. Ini menimbulkan soalan, siapa sebenarnya membayar bil katering yang berjumlah RM81,000,” soal Dr Tan.

NONE
Beliau yang merupakan bekas ahli parlimen Gerakan dan juga timbalan menteri berkata soalannya itu penting, khususnya ketika rakyat sekarang diminta 'mengetatkan tali pinggang mereka ketika menghadapi kenaikan kos kehidupan'.

“Pengurangan subsidi minyak dan barangan keperluan, memeritkan rakyat. Justeru, soalan siapa yang menanggung perbelanjaan itu perlu dijawap, lebih-lebih lagi nota pembelian dibuat atas nama Jabatan PM,” katanya.

Awal bulan ini, lawatan Najib serta keluarganya ke Kazakhstan menjadi isu hangat apabila ahli parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad membidas perdana menteri kerana didakwa bersalah dari segi moral kerana menggunakan dana awam bagi merisik perkahwinan anak perempuannya.

"Tindakan Najib ini tidak ada kelas langsung iaitu menggunakan wang kerajaan dan rakyat untuk urusan peribadi,” kata pemimpin PAS itu.
Nooryana Najwa Najib and Daniyar Nazarbayev
Sebaliknya, Wisma Putra menafikan laporan itu dan menegaskan bahawa lawatan itu adalah untuk memenuhi penerimaan perdana menteri terhadap undangan yang telah lama dibuat oleh Presiden Nursultan Nazarbayev untuk melawat negara itu.

Lawatan itu, juga dikatakan kebetulan diadakan serentak dengan penganjuran Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-7 di Astana dari 7 hingga 9 Jun lalu.

-malaysiakini-

Perubahan agak besar di Perhubungan PAS Kelantan

M Faqih
KOTA BHARU, 18 Jun: Badan Perhubungan PAS Kelantan hari ini membuat rombakan agak besar dengan menampilkan muka-muka baru bagi memantapkan lagi organisasi parti.

Adun Pulai Chondong, Zulkifli Mamat dilantik sebagai Setiausaha Badan Perhubungan baru menggantikan Mohd Zaki Ibrahim.

Manakala bendahari - Adun Pengkalan Pasir, Hanifa Ahmad menggantikan Datuk Anuar Tan Abdullah.

Selain itu Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri menampilkan sarjana lulusan Sains Politik, Wan Nik Wan Yussof.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar menggantikan Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun.

Pengumuman mengenai perubahan itu dibuat Pesuruhjaya PAS Negeri, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada persidangan media di Pejabat PAS Negeri hari ini.

Bagaimanapun beberapa jawatan utama lain tidak berlaku sebarang perubahan. Timbalan Pesuruhjaya I, Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Pesuruhjaya II, Datuk Husam Musa dan Timbalan Pesuruhjaya III, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Begitu juga jawatan Ketua Penerangan tidak berubah, Dr Mohamad Fadzli Hassan selepas dilantik tahun lepas.

Selain itu Setiausaha Dewan Ulama PAS Kelantan, Ustaz Mohd Asri Mohd Zain dilantik sebagai Penolong Setiausaha II menggantikan Mohd Ridha Mohd Zain. Penolong Setiausaha I, Mohd Nasir Che Daud kekal.

Pelantikan tersebut bagi tempoh 2011/2013 dibuat berdasar kepada Fasal 40 (5), Fasal 40 (3) (m) dan Fasal 79 (3) Perlembagaan PAS pindaan 2011.

Mesyuarat Perhubungan PAS Negeri kali pertama selepas muktamar itu juga melantik tujuh ahli jawatankuasa baru iaitu Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Datuk Takiyuddin Hassan (Exco), Datuk Anuar Tan (Exco), Hisham Fauzi (peguam), Senator Mumtaz Mohd Nawi, Hussin Embong (AJK PAS Gua Musang) dan Datuk Dr Johari Mat (ahli akademik).

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar merakamkan ucapan terima kasih di atas jasa dan khidmat setiausaha, bendahari dan pengarah jabatan pilihan raya sebelum ini.

Sementara itu Zulkifli berkata, beliau berharap mendapat kerjasama semua pihak bagi melaksanakan tugas baru di Perhubungan PAS Negeri.

”Tugas ini suatu yang berat tanpa bantuan dan kerjasama semua pihak tentunya ia sukar untuk dilaksanakan.

”Insya Allah saya akan berusaha meneruskan kesinambungan tugas yang dilaksanakan Setiausaha Perhubungan sebelum ini. Kalau ada perubahan bakal dibuat ia hanya berdasar kepada kehendak semasa,” ujarnya.

Beliau juga merakam ucapan terima kasih kerana diberi kepercayaan oleh Pesuruhjaya bagi melaksanakan tugas yang begitu mencabar itu.

Beliau sebelum ini pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Kelantan.

P'raya masjid: Nama Agong diheret, kata Aziz Bari

NONEMeskipun mengakui Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa dalam hal-hal berkaitan agama Islam di negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja-raja Melayu, namun pakar perlembagaan Profesor Abdul Aziz Bari mempertikaikan cara nama Seri Paduka diheret setiap kali bagi membidas dasar-dasar kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Hanya selepas Pakatan Rakyat mengambil-alih Pulau Pinang, tiba-tiba peranan Agong menjadi tokoh yang signifikan.

"Nama Baginda digunakan bagi menghalang sebarang tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri,” kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) itu kepadaMalaysiakini.

Abdul Aziz berkata prosedur atau peraturan yang betul mengikut perlembagaan adalah bagi pihak Istana Negara atau setiausaha sulit Yang di-Pertuan Agong bagi mengeluarkan kenyataan berhubung kedudukannya sebagai ketua agama dan bukannya oleh pihak-pihak yang lain.

"Pastinya bukan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, yang merupakan sebahagian daripada kerajaan.

"Jadi beliau harus diam. Biarkan Baginda melaksanakan tanggungjawab yang diperuntukkan oleh perlembagaan - bebas daripada kerajaan sama ada peringkat persekutuan mahupun negeri,” kata Abdul Aziz.

Beliau juga membidas dakwaan 'mengarut' oleh kumpulan pendesak Melayu, PERKASA yang berkata adalah salah bagi mengadakan pemilihan jawatankuasa kariah masjid diadakan.

"Pertama, tidak ada fatwa mengatakan pemilihan itu adalah haram mengikut Islam,” katanya.

Fatwa

azlan
Lagipun menurut profesor itu lagi, umat Islam, sama ada dari Umno, PAS dan PKR, semuanya pernah terbabit dalam pemilihan parti masing-masing.

"Jika ini tidak mengikut Islam, majlis fatwa sepatutnya mengeluarkan hukum berhubung perkara itu,” katanya.

Semalam, hasrat Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) bagi mengadakan pemilihan jawatankuasa kariah masjid bagi sesi 2012-2013 dengan kaedah pilihan raya terpaksa dibatalkan.

Keputusan itu dibuat di Istana Negara di Kuala Lumpur apabila Yang di-Pertua Negri Abdul Rahman Abbas dan Yang Dipertua MAIPP Ellias Zakaria menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Mesyuarat agung masjid-masjid di Pulau Pinang yang dijadualkan hari ini dan esok itu sepatutnya memilih jawatankuasa kariah di 151 daripada 200 masjid tetapi kini ditangguhkan sehingga notis lanjut.

Pemilihan ala pilihan raya yang dicadangkan itu bagi membolehkan anak kariah mengundi secara sulit untuk memilih pemimpin kariah yang sebelum ini dipilih oleh MAIPP.

Bantahan pelbagai pihak yang didalangi Umno begitu lantang kerana gusar pilihan raya kariah masjid akan menghakis sokongan kepada parti itu yang kini gagal menguasai kerajaan negeri Pulau Pinang setelah ditumbangkan pada pilihan raya umum 2008.

Umno mendakwa pemilihan secara demokrasi itu akan hanya membawa perpecahan di kalangan umat Islam selain mengheret masjid ke kancah politik kepartian.

-malaysiakini-

Tiada PAS tanpa nama Islam, tegas Nik Aziz



KUALA LUMPUR, 18 Jun: Apa guna PAS tanpa nama Islam! Demikian tegas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menjawab cabaran sesetengah pihak supaya menggugurkan perkataan Islam pada nama parti itu.
Menteri Besar Kelantan (gambar) itu berkata, PAS diwujudkan untuk memperjuangkan agama Islam dan adalah suatu perkara mustahil untuk menggugurkan nama dan asas perjuangan yang dipegangnya selama ini.
“Mana boleh gugur perkataan Islam, kalau gugur Islam tiada parti PAS, Melayu lebih Melayu kerana Islam, tetapi Umno tolak Islam, khianat kepada agama dan bangsa sendiri,” katanya dipetik Sinar Harian Online hari ini.
Sebelum ini, pelbagai pihak mencabar PAS menggugurkan perkataan Islam pada nama parti itu bagi menjaga hubungannya dengan parti pembangkang yang lain.
Antaranya, ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi yang menjelaskan ia perlu dilakukan kerana PAS sendiri yang memberi alasan ramai orang bukan Islam keliru dan takut apabila disebut negara Islam sehingga menyebabkan parti itu menukar dasarnya kepada negara berkebajikan.
Isu itu timbul apabila Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan Ke-57 parti itu, dua minggu lalu, mengumumkan parti itu akan menumpukan perhatian kepada konsep membangun negara berkebajikan, sekali gus menimbulkan tanggapan parti itu menukar dasarnya.
Dalam pada itu, Nik Aziz menggunakan kesempatan pada kuliah Jumaat kelmarin, untuk menerangkan isu negara berkebajikan yang diperjuangkannya kini dan dilihat sebagai salah satu usaha bagi mengelak ahlinya keliru dengan slogan tersebut.
Menurutnya, konsep negara berkebajikan bukan bermakna PAS mengubah dasar perjuangannya, sebaliknya ia adalah satu daripada program parti yang juga selaras dengan perjuangan ajaran Islam.
Beliau berkata, Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak perlu gusar dengan slogan baru itu walaupun mendakwa mempunyai persamaan, tetapi inti pati yang dibawa PAS cukup berbeza.
“Buat apa nak takut, macam orang jual nasi kerabu, kalau nasi kerabu kamu lebih sedap orang akan beli, tidak perlu takut, tetapi kalau takut itu bermakna apa yang kamu jual itu tidak bernilai,” katanya.
-malaysianinsider-

Bersih 2.0: SAMM alukan ‘KOTOR’ anjuran Pemuda Umno


KUALA LUMPUR: Perhimpunan Bersih 2.0 akan tetap diteruskan biarpun pelbagai ancaman dan gangguan termasuk dari pergerakan Pemuda Umno, tegas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).
Pengerusinya, Badrul Hisham Saharin berkata, SAMM mengalukan rancangan Pemuda Umno untuk mengadakan perhimpunan pada 9 Julai ini, atas prinsip hak kebebasan berhimpun seperti dijamin perlembagaan.
Menggelar himpunan sayap Umno itu sebagai ‘Anti Bersih’ atau ‘KOTOR’, Badrul turut menyarankan supaya pihak polis menjadi ‘fasilitator’ bagi menyediakan laluan dan kawasan bagi kedua-dua himpunan berkenaan.
“Seliakan mana kawasan dan laluan yang seharusnya dilalui Bersih dan anti Bersih (KOTOR).Jika ini berlaku lancar, Malaysia sudah mula menapak ke depan dari  kematangan hak, memperteguh demokrasi dan akan lebih dihormati,” ujar Badrul atau lebih dikenali Chegu Bard dalam kenyataan medianya.
Namun secara sinis, Chegu Bard mempersoal pendirian Pemuda Umno, yang sebelum ini membuat laporan polis kononnya perhimpunan Bersih akan menyebabkan berlaku huru hara, peniaga rugi dan sebagainya.
“Rupanya semua itu alasan menggunakan hujah rakyat sahaja. Melihat ugutan mereka tak menjejas kelancaran mobilisasi dan promosi Bersih 2 maka mereka pula membuat u – turn dengan mengumumkan yang mereka turut nak berhimpun sekali.
“Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) ingin ucap tahniah kepada pemuda Umno dengan keputusan tersebut. Cuma bunyinya macam sedikit ‘rimba’ kerana nak  berhimpun kerana orang lain berhimpun,” katanya yang turut mempersoal tujuan sebenar Pemuda Umno.
Mengulas mengenai Bersih pada 9 Julai ini, Chegu Bard berkata, ia akan menjadi himpunan rakyat terbesar yang pernah diadakan bagi menuntut 8 perkara berhubung reformasi pilihan raya.
Ia katanya, adalah pembersihan senarai pengundi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, kempen minima 21 hari, akses kepada media yang lebih adil, memperkukuh institusi awam, menghentikan rasuah pilihan raya dan politik kotor.
“Perlu ditegaskan kita bukan mahu menjatuhkan kerajaan melalui jalanraya. Setakat ini semua bersetuju untuk menjadikan pilihanraya sebagai jalan terbaik menukar kerajaan.
“Sebaliknya proses turun ke jalanraya ini sebagai praktik demokrasi – hak berhimpun dan menyatakan pendapat yang dijamin oleh Perlembagaan,” tegas beliau.

Mohamad Sabu, KJ, Najib hadir pelancaran LL4G malam ini

Ismail Hashim
KUALA LUMPUR, 18 Jun: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengesahkan akan hadir dalam Majlis Pelancaran Pasukan Lifeline4Gaza (LL4G) Malaysia yang diadakan malam ini di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, dekat sini.

Sebagai salah seorang pemidato dalam majlis itu, beliau akan berada sepentas dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bakal melancarkan program itu bermula jam 8.00 malam.

"Ya, saya akan hadir dalam majlis itu," katanya.

Ketika ditanya harapannya kepada rakyat Malaysia, beliau berkata, semua anggota masyarakat perlu bangkit menentang kezaliman di mana sahaja ia berlaku termasuk dalam negara ini.

Terdapat tiga lagi ucapan selain dari beliau yang mewakili Pakatan Rakyat, Pengerusi LL4G, Noorazman, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin dan Najib.

Selain pidato, hadirin akan melihat persembahan multimedia mengenai apa yang berlaku dalam Flotilla 1, persembahan lagu Gaza dan deklamasi sajak Palestin oleh Dr Lim Swee Tin.

Penyanyi nasyid, Muadz Dzulkifley juga akan menghiburkan penonton dengan lagu-lagu bersemangat termasuk adaptasi daripada Hadis Nabi Muhammad SAW.

Menghimbau sejarah pada 8 Mei 2002, dua pemimpin utama Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Noor pernah berada sepentas berbicara tentang isu sama, Palestin.

Pertemuan dua pemimpin utama umat Islam negara ini telah menghasilkan Pernyataan Bersama berbunyi:

"Atas semangat kemanusiaan dan keamanan sejagat, kami atas nama rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan keturunan serta fahaman politik yang berbeza-beza, berkongsi rasa, cita dan perjuangan dengan seluruh rakyat Palestin yang mempertahankan hak di bumi kelahiran mereka.

"Kami menggesa seluruh warga dunia agar turut serta menyuarakan dan memberikan sumbangan dalam bentuk apa sahaja sehingga rakyat Palestin dapat hidup dengan aman dan damai di negara yang berdaulat''.

Sementara itu, AJK Pemandu LL4G Malaysia, Zulkefli Mohd Nani dalam kenyataannya berkata, penentangan terhadap kezaliman Israel menuntut kesanggupan semua rakyat negara ini tanpa mengira ras, agama dan budaya.

Menurutnya, LL4G adalah sebuah gabungan badan bukan kerajaan Malaysia, akan menyertai bersama lebih 600 sukarelawan antarabangsa dari pelbagai bangsa dan agama, dalam Misi Kemanusiaan “International Freedom Flotilla 11” ke Gaza hujung bulan ini.

Menurutnya, kesemua kapal antarabangsa ini dijangka berada di lautan pada 27 atau 28 Jun ini.

"Misi Pelayaran Kemanusiaan ini bakal disertai oleh 13 buah kapal antarabangsa; 10 kapal penumpang dan tiga kapal kargo, akan belayar bersama menghantar bantuan kemanusiaan.

"Sekali gus memberi tekanan supaya Israel menamatkan embargo ekonomi yang dikenakan ke atas penduduk di Gaza dan Palestin.

"Bertemakan Pertahankan Kemanusiaan atau Stay Human, misi ini bergerak berdasarkan prinsip-prinsip keamanan dan mematuhi seluruh undang-undang antarabangsa termasuk semua resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," jelasnya.

Zulkefli turut memaklumkan misi ini akan membawa bersama bantuan kemanusiaan seperti peralatan hospital yang amat diperlukan oleh penduduk di Gaza, bahan-bahan pendidikan untuk kanak-kanak serta barangan pembinaan asas yang diperlukan dalam pembinaan semula bangunan.

Justeru, beliau berkata, mereka yang ingin menghulurkan bantuan dan menaja pembelian peralatan yang diperlukan, boleh melalui akaun Muslim Care (Viva Palestin: 564490211159 (Maybank).