Bob Lokman: Artis sudah celik politik

bob lokmanROMPIN: Pelawak dan penulis lirik, Bob Lokman atau Mohd. Hakim Lokman mengajak rakan artis lain supaya menyertai Pas atas alasan hanya parti itu yang mampu mentadbir negara ini dengan cekap berlandaskan syariah Islam.
Bob Lokman berkata, trend artis yang kini berdiri di pentas politik bersama Pas membuktikan bahawa golongan artis di negara ini sudah celik dan berpandangan jauh selain yakin mereka mampu melontarkan idea bernas untuk kebaikan parti.

Menurutnya, jika dahulu ramai artis hanya memikirkan kepada sumber pendapatan sebagai penghibur semata-mata, namun pada hari ini, golongan itu sudah berubah dan semakin berani tampil di khalayak dengan gagasan perjuangan parti politik masing-masing.

“Mereka ini sudah mula buka fikiran kepada perkara lain selain daripada soal cari makan dan sudah mula menunjukkan kecenderungan mereka ke arah politik.

“Sepatutnya hal ini sudah lama berlaku, mungkin ada artis yang berasa takut kerana sumber pendapatan mereka bergantung kepada stesen televisyen yang dinaungi kerajaan,” kata beliau kepada Sinar Harian pada Ceramah Umum di Markas Pas Kampung Mentara dekat sini.

Bob Lokman berkata, sejak menyertai Pas beliau sudah beberapa kali berjumpa artis yang berkempen untuk bersama-sama berjuang dengan parti itu termasuk rakan baik beliau yang juga pelakon filem, Hairie Othman.

“Saya ada bertemu Hairie dan dia sendiri ada beritahu saya yang dia masih banyak perkara hendak dibuat dalam parti ini termasuk mengeluarkan pendapatnya sebagai artis,” katanya.

Selain itu, katanya, beliau yakin artis seperti Hairie boleh menjadi ahli politik jika serius dalam bidang itu kerana melihat rakannya itu mempunyai keterampilan dalam berhujah dan mengeluarkan pendapat.

“Hairie juga yakin dengan perjuangan Pas kerana beliau nampak kejujuran dan keikhlasan Pas yang akan memperjuangkan nasib umat Islam serta tidak meminggirkan kaum lain di negara ini.

“Jika dia mahir dalam sepak terajang politik, tidak mustahil suatu hari nanti Hairie juga boleh menjadi orang politik yang boleh menerangkan dasar parti kepada rakyat,” katanya.

JI dan komunis: Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin sesuai diletakkan di BTN atau Kemas

Tuan Ibrahim Tuan Man
PAS memandang berat kenyataan bersifat politik yang dikeluarkan oleh Ketua Penolong Pengarah E2 (M) Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman, Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin yang bertentangan dengan etika kepolisian dan perkhidmatan awam.

Pendedahan awam yang dibuat jelas bersifat tidak berasas, berat sebelah dan tidak profesional.

Sebagai Pegawai Risikan Cawangan Khas, tindakan beliau kini mengesahkan bahawa Cawangan Khas kini menjadi alat kepada BN untuk menjamin kesinambungan kuasa BN.

Pendedahan beliau dilihat untuk menakutkan rakyat ysng kini mulai muak dengan gaya hidup melampau, pembaziran, rasuah, serta salahguna kuasa kerajaan BN.

Apakah ini cara untuk mendedahkan maklumat risikan sulit kepada awam? Jelas tidak, maka motif ledakan ini amat mencurigakan.

Sepatutnya ia mesti bertindak terus bukan mendedahkan maklumat tanpa bertindak. PAS mencabar beliau mendedahkan siapa yang beliau maksudkan kerana ia kini menjadi tandatanya kepada orang awam.

PAS juga mendesak Ketua Polis Negara bertindak di atas pendedahan maklumat sulit siasatan dan beranggapan beliau tidak layak berada di Cawangan Khas.

Mungkin beliau lebih sesuai diletakkan di jabatan Biro Tatanegara atau Kemas.

PAS ingin tegaskan bahawa kami menentang sebarang eleman ekstrem di dalam parti. Kita mengambil jalan politik demokrasi dengan menyertai pilihanraya dan menuntut sistem pilihanraya yang adil dan telus.

Sebagai contoh, himpunan rakyat yang disertai PAS samada dalam Himpunan Kuning atau Himpunan Oren adalah berlandaskan demokrasi dan penyataan rakyat yang menuntut sistem pilihanraya yang adil dan usaha menyelamatkan tanah ribuan hektar dari dicagar kepada Felda Global Venture Holding.

PAS kesal kerana himpunan pembangkang dilabel sebagai petanda resapan Jemaah Islamiah (JI) dan komunis. Sedangkan yang banyak mengadakan hubungan dengan parti komunis ialah Umno sendiri, samada secara rasmi atau tidak.

Namun, sikap double standard dan tidak profesional Sofian telah menyebabkan imej Cawangan Khas kini turut tercemar teruk seperti yang dialami polis atas tindakan ganasnya di himpunan-himpunan yang dianjurkan Bersih dan penyiasatan berat sebelah yang ketara dalam kes melibatkan BN dan Pakatan Rakyat.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

PAS Sabah alu-alukan Lajim

PAS Sabah mengalu-alukan anggota parlimen Beaufort daripada BN Lajim Ukin untuk menyertai parti Islam itu bagi meneruskan perjuangan politiknya dengan Pakatan Rakyat.

Ketua Pemuda PAS Saba Lahirul Latigu berkata, mereka sentiasa bersedia menimbangkan kemasukan ahli politik lain dan ketua masyarakat tidak kira kedudukan dan latar belakang.

"PAS melalui banyak pengamalan dengan kumpulan profesional seperti doktor, peguam dan orang ramai yang menyertainya. Kita tidak pernah menyekat kemasukan sesiapa pun ke dalam parti," katanya.

PAS sebagai anggota Pakatan paling lemah di Sabah dilihat mampu menawarkan kedudukan terbaik untuk Lajim.

Lakim di labuan baru-baru ini berkata beliau bersedia dipecat oleh Umno dan akan mempertimbangkan pandangan pengikutnya supaya menyertai parti pembangkang.

Sepotong roti bakar tahun 1981 dibeli RM1,131

SEPOTONG roti bakar yang dilelong pada harga RM1,131.
LONDON: Sepotong roti bakar yang dipercayai dihidangkan pada 1981 untuk pewaris pertama takhta diraja Britain, Putera Charles dilelong kelmarin pada harga AS$359 (RM1,131), lapor agensi berita Reuters kelmarin.

Roti itu dihidangkan untuk sarapan pagi di Istana Buckingham pada hari perkahwinan Charles dengan Puteri Diana pada 29 Julai 1981.

Pemilik roti itu sebelum ia dilelong ialah Rosemarie Smith yang kini berusia 83 tahun.

Roti itu tidak rosak kerana dia menyimpannya selama bertahun-tahun di dalam bekas kedap udara di sebuah almari rumahnya.

Menurut Smith, seorang anak perempuannya bekerja sebagai pelayan di istana tersebut.

Smith berkata, dia dan anaknya melihat Charles meninggalkan roti tersebut dari koridor istana.

Menurutnya, dia kemudian memikirkan untuk menyimpan roti tersebut.

Smith berkata, pada tahun lalu, dia berpendapat roti tersebut mungkin mempunyai nilai jika dilelong ekoran majlis perkahwinan antara anak Charles, Putera William dengan Kate Middleton pada April tahun lalu.

Lelongan itu dikendalikan oleh Charles Hanson Auctioneers.

Terdapat dua pembida yang mahu membeli roti tersebut menerusi telefon. 
-Agensi-

Penduduk AS gembira menang kes masjid baharu

GAMBAR fail pada 21 Jun lalu menunjukkan masjid di Murfreesboro, Tennessee.
MURFREESBORO, Tennessee: Penduduk Islam di negeri Tennessee, Amerika Syarikat (AS) yang menenangi kes mahkamah untuk menduduki sebuah masjid baharu kelmarin mendapati mereka tidak dapat beribadat di masjid berkenaan pada permulaan bulan Ramadan.

Ia berikutan masjid tersebut memerlukan masa dua minggu lagi untuk disiapkan.

Namun, penduduk Islam meraikan kemenangan mereka selepas dua tahun berdepan satu saman bagi menghalang pembinaannya.

"Bagi saya, keputusan kelmarin amat baik dan saya bersyukur kepada Tuhan," kata pengerusi jawatankuasa masjid berkenaan, Essam Fathy.

"Kami semua terkejut. Ia satu berita gembira tanpa disangka," tambahnya.

Penduduk yang menentang pembinaan masjid tersebut menyaman daerah Rutherford pada September 2010 untuk menghalang pembinaan tempat ibadat itu.

Kumpulan itu memberi alasan bahawa Islam bukan agama sebenar dan penduduk Islam AS mahu menumbangkan Perlembagaan AS dan menegakkan undang-undang Islam.

Namun, dalam satu perbicaraan baru-baru ini, Hakim Daerah AS, Todd Campbell mendapati tindakan menghalang pembinaan dan penggunaan masjid itu bercanggah dengan hak penduduk untuk mengamalkan ajaran agama mereka.

Beliau kemudian mengarahkan pihak pentadbiran daerah supaya melakukan pemeriksaan dan membenarkan masjid tersebut dibuka kepada orang ramai. 
-Agensi-

Pelajar Rakam Aksi Cikgu

wasukalu.blogspot.com
Bawa Hanphone/ Gadget Ke Sekolah Baik Untuk Ibu Bapa Dan Pelajar Tetapi Bencana Besar Buat Guru-guru

Berita terbaru yang mengejutkan ramai pihak telah dikeluarkan oleh KPM melalui media perdana. Telefon bimbit akan dibenarkan di sekolah mulai tahun 2013.

Bagi sesetengah pihak terutamannya pelajar dan ibubapa, berita ini merupakan berita baik untuk mememudahkan perhubungan ibubapa dengan anak-anak.Faktor keselamatan pelajar yang selama ini menjadi runcing berikutan pelbagai tragedi terutama culik dan bunuh yang kian menjadi igauan ngeri ibu bapa dapat diminimakan.

Di sebalik segala tanggapan positif tentang berita tersebut, perlu diambilkira juga pandangan guru-guru yang pastinya tidak dapat menolak keputusan kerajaan. Guru-guru pastinya dalam dilema apabila peraturan baru ini dilaksana kelak.

Masalah besar mungkin tidak akan berlaku di sekolah-sekolah elit kerana pelajar di sana terdiri daripada pelajar terpilih yang pastinya lebih berotak dan berdisiplin.

Tetapi bagaimana pula dengan sekolah-sekolah menengah biasa, yang pelajarnya terdiri daripada pelbagai tahap IQ?
Apa kesan peraturan baru itu kepada pelaksanaan
pengajaran dan pembelajaran?
Penyebaran gambar-gambar dan filem porno, leka bermain game dan berbalas sms dengan rakan ketika guru mengajar akan memburukkan disiplin sesbuah sekolah.

Pengajaran dan pembelajaran tidak akan mencapai objektif kerana tumpuan pelajar tidak kepada pengajaran guru sebaliknya leka dengan telefon dan gadget yang dibawa.Perlu maklum bahawa telefon pintar dan gadget canggih memang 'berhantu'

Kecurian telefon bimbit atau gadget juga akan membawa masalah kepada guru-guru terutama guru disiplin.Kecurian telefon bimbit bukan seperti kecurian pen dan pensel kerana ia adalah barang berharga yang boleh dijual. Apabila kes kecurian berlaku guru akan terpaksa menangani kes. Ini sebenarnya adalah bebanan baru kepada guru.

Guru akan hadapi banyak masalah sebelum, semasa dan selepas waktu pengajaran. Apatah lagi sekolah-sekolah di Malaysia kini hanya terdapat beberapa orang guru lelaki berbanding guru wanita yang memonopoli kerjaya perguruan. Masalah disiplin akibat membawa telefon bimbit ke sekolah pastinya sukar dikawal.

Guru disiplin yang sebelumnya macho habis dalam menangani kes-kes disiplin bakal menjadi tikus mondok atau kura-kura yang menyorokkan kepalanya. Segalanya akan berubah kerana pastinya guru disiplin tidak mahu aksinya dirakam dan dimuat naik ke youtube. Bebudak sekarang punya dajjal- Nauzubillah!!!
Banyak masalah disiplin yang dihadapi para guru hari ini tidak dapat diselesaikan. Pelajar yang dibuang sekolah kerana pelbagai kesalahan berat juga akan kembali bersekolah di sekolah yang sama setelah membuat rayuan di peringkat atasan.

Ini membuatkan guru sering dipermainkan kerana kembalinya pelajar itu ke sekolah yang sama menggambarkan seolah-olah tiada undang-undang yang dapat dikenakan terhadap pelajar demikian. Pelajar bermasalah ini menjadi semakin berpengaruh di sekolah dan menjadi ikutan ramai pelajar lain.

Diharap pihak kerajaan melalui KPM akan meneliti baik buruknya memberi kebenaran kepada pelajar membawa telefon dan gadget lain ke sekolah.

SEMOGA BANTAHAN PTA INI DAPAT PERHATIAN KPM

S'gor usaha pecat CEO, pengerusi SYABAS yang gajinya RM5.1 juta setahun

Kerajaan Selangor akan mengemukakan cadangan kepada lembaga pengarah Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) supaya memecat pengerusi eksekutif dan ketua pegawai eksekutifnya.

Keputusan itu diambil ekoran kedua-dua pihak itu didakwa tidak hadir memberikan penjelasan kepada Jawatankuasa Pemantauan SYABAS yang dipengerusikan oleh setiausaha kerajaan negeri.

"Dengan pemecatan ini, penjimatan kos operasi dari gaji pengerusi eksekutif SYABAS sahaja adalah berjumlah sekurang-kurangnya RM5.1 juta setahun," kata menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Berikut kenyataan penuh Khalid:

Kerajaan Negeri Selangor telah menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan SYABAS yang dipengerusikan oleh setiausaha kerajaan negeri Selangor lanjutan daripada kenyataan dan cadangan untuk membuat catuan air yang diumumkan oleh SYABAS.

Tujuan jawatankuasa ini untuk memantau secara harian keberkesanan, kecekapan perkhidmatan SYABAS dan kedudukan semasa pembekalan air kepada pengguna termasuk meninjau sendiri di tapak masalah kekurangan bekalan air yang dicanangkan oleh SYABAS.

Jawatankuasa ini akan mengkaji cadangan penambahbaikan dan pemulihan ke atas masalah bekalan air yang dihadapi. SYABAS telah diminta membentangkan dan melaporkan kepada Jawatan kuasa tersebut perkara-perkara berikut:

1. Pengeluaran air harian bagi setiap loji air dan paras empangan;
2. Permintaan air berdasarkan bil air (metered consumption) dari Januari 2012 hingga sekarang;
3. Unjuran permintaan air yang disediakan oleh SYABAS;
4. Maklumat mengenai paras kolam utama(balancing reservoir-terminal reservoir-service reservoir);
5. Kawasan yang mengalami masalah gangguan bekalan air ;
6. Maklumat terperinci mengenai rangkaian paip air utama termasuk kolam air hingga ke kawasan yang bermasalah termasuk NRW;
7. Punca-punca utama (micro) yang menyebabkan kawasan tersebut mengalami masalah air;
8. Cadangan penyelesaian yang dirancang oleh SYABAS ke atas masalah yang dibangkitkan; dan
9. Emergency response plan yang disediakan oleh pihak SYABAS.

Berdasarkan kepada hasil penelitian dan penyiasatan yang dibuat oleh jawatankuasa ini selama tiga hari, kerajaan negeri Selangor merumuskan bahawa:

1. Kerajaan Negeri Selangor akan mengemukakan cadangan kepada Lembaga Pengarah SYABAS supaya memecat pengerusi eksekutif dan ketua pegawai eksekutif SYABAS kerana tidak hadir memberikan penjelasan kepada jawatan kuasa tersebut. Dengan pemecatan ini, penjimatan kos operasi dari gaji pengerusi eksekutif SYABAS sahaja adalah berjumlah sekurang-kurangnya RM5.1 juta setahun.

2. Kerajaan negeri Selangor bersedia membelanjakan peruntukan bagi membina loji rawatan air baru untuk tujuan meningkat kapasiti pengeluaran air terawat dan dengan serta merta akan memanggil tender untuk Projek Mitigasi 2 yang berjumlah RM225 juta.

Langkah yang diambil kerajaan Negeri ini bagi melindungi kepentingan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang terjejas kerana kegagalan SYABAS membekalkan air bersih seperti yang dipersetujui dalam perjanjian konsesi.

Kerajaan Selangor yakin kerajaan persekutuan tidak akan cuba menyulitkan usaha yang dirancangkan ini demi menjaga kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Wang KWSP hanya boleh dikeluarkan setelah umur 60 tahun?

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Para pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekarang sedang tertanya-tanya apakah benar umur pengeluaran penuh wang KWSP dinaikkan ke 60.


Ini kerana, kepelbagaian mesej yang dihantar kerajaan kepada media seolah-olah usaha itu sedang dibuat tetapi sedang menunggu reaksi rakyat.

"Jika rakyat tidak bantah, mereka akan dinaikkan ke umur 60 itu," kata seorang pencarum kepada Harakahdaily.

Beliau yang baru pulang dari ibu pejabat KWSP di Kuala Lumpur berkata, kakitangan KWSP juga tidak dapat mengesahkan perkara ini.

"Jika tidak ada isu naik ke 60 tahun ini masakan pegawai KWSP tidak tahu," kata beliau kepada Harakahdaily.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tan Sri Azlan Zainol mencadangkan kerajaan menaikkan umur pengeluaran wang KWSP dari 55 ke 60 tahun.

Cadangan ini dibuat melalui cadangan Bajet 2013 beliau kepada kerajaan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam bagaimanapun berkata kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung had umur bagi pengeluaran caruman KWSP setelah membenarkan had umur persaraan minimum bagi pekerja swasta dilanjutkan kepada 60 tahun.

Sehubungan itu, beliau meminta para pencarum KWSP supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan kononnya pengeluaran wang simpanan bagi pekerja swasta hanya boleh dibuat selepas mencapai umur persaraan 60 tahun.

"Kerajaan belum putuskan apa-apa. Keputusan mengenainya akan diputuskan kemudian... mungkin sebelum kita buat bacaan kali kedua di Parlimen," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Meningkatkan Taraf Pentadbiran Sistem Pertubuhan-Pertubuhan Sosial di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kebimbangan pencarum KWSP mengenai had umur pengeluaran caruman yang kini boleh dibuat pada usia 55 tahun, berikutan pembentangan Rang Undang-Undang Persaraan Minimum 2012 untuk bacaan kali pertama di Parlimen Rabu lepas yang menetapkan umur persaraan minimum pekerja swasta dilanjutkan kepada 60 tahun berkuat kuasa Januari tahun depan.

Rashid Maidin - Wawancara 1989

matpit
Bapak Rashid Maidin adalah seorang pejuang kemerdekaan ulung yang berasal daripada kaum buruh. Pada akhir tahun 1930-an, beliau melibatkan diri dalam perjuangan menentang penjajah British, dan kemudian, fasis Jepun demi kemerdekaan tanah air dan pembebasan rakyat. 
Pada tahun 1955, beliau telah ikut serta dalam Rundingan Baling yang berlangsung antara Parti Komunis Malaya (PKM) dengan kerajaan berperintahan sendiri Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura. Hari ini, beliau tetap dengan gigih berjuang demi kebebasan, demokrasi, keadilan masyarakat serta perdamaian dalam negeri yang diidam-idamkan rakyat tanah air kita..
Soalan: Bilakah Bapak dilahirkan?

Rashid Maidin: Saya dilahirkan pada bulan Oktober tahun 1917.

Soalan: Kalau begitu, Bapak lebih tua daripada Bapak Abdullah C.D.

Rashid Maidin: Ya, Abdullah C.D. atau Cik Dat enam tahun lebih muda daripada saya. Beliau dan saya adalah rakan seperjuangan yang paling akrab sejak akhir Perang Anti-Jepun hingga sekarang.

Soalan: Apakah rahsia kesihatan Bapak? Daripada wajah Bapak, Bapak kelihatanbelasan tahun lebih muda. Bolehkah Bapak ceritakan secara terperinci untuk pengetahuan generasi muda?

Rashid Maidin: (ketawa) Sebenarnya, tak ada sebarang rahsia. Menurut pengalaman saya, pertama-tama, kita mesti mempunyai semangat yang optimis untuk menjayakan cita-cita hidup kita berjuang untuk rakyat dan tanah air. Ini paling penting. Selain itu, saya sentiasa amalkan latihan gerak badan, bersukan, termasuk berjalan kaki dan latihan taichi qigong. Tambahan pula, alam sekeliling di hutan rimba yang hijau ini begitu menyegarkan. Udaranya bersih dan nyaman, tak ada hingar-bingar dan debu-debu, seperti di kota.

Soalan: Kami juga dapat tahu Bapak seorang penggemar muzik.

Rashid Maidin: Ya, muzik, khasnya muzik asli, memang saya minati sejak kecil lagi.

Soalan: Ada orang mengatakan Bapak seorang penggesek biola.

Rashid Maidin: (ketawa) Oh, itu indah khabar dari rupa. Saya sudah lama gantung biola saya.

Soalan: Seperti tercatat dalam sejarah, Bapak salah seorang anggota perwakilan Parti Komunis Malaya dalam Rundingan Baling pada bulan Disember 1955.

Rashid Maidin: Ya, kami bertiga, iaitu Chen Ping, Chen Tien dan saya, telah menghadiri perundingan tersebut bagi pihak PKM.

Soalan: Apakah tujuan perundingan itu?

Rashid Maidin: Tujuannya adalah untuk mencari jalan bagi mencapai kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajah British serta menamatkan perang yang dilancarkan penjajah British yang bermula pada 20 Jun 1948.

Soalan: Bagaimanakah sikap orang ramai pada masa itu terhadap perwakilan PKM?

Rashid Maidin: Orang ramai sangat menginginkan kemerdekaan. Apabila rombongan kami keluar dari hutan di Kelian Intan dan dibawa dengan kereta ke Baling, di sepanjang jalan, orang ramai tak putus-putus mengalu-alukan kami. Di Baling, puluhan ribu massa rakyat menunggu ketibaan kami dan menyambut kami dengan pekikan “Merdeka”.

Tempat penginapan kami di Baling dipagari kerawat berduri dan orang ramai tak dibenarkan masuk. Jadi, mereka berasak-asak di luar, ingin melihat kami dan bersalaman dengan kami. Kami juga dengar mereka panggil nama kami. Pendek kata, orang ramai, baik Melayu mahupun bukan Melayu, menganggap kami sebagai pejuang kemerdekaan. Suasana hangat itu begitu mengesankan dalam ingatan saya sampailah ke hari ini.

Soalan: Bagaimanakah sikap perwakilan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu masa itu?

Rashid Maidin: Perwakilan mereka disertai oleh Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock, David Marshall dan juga Abdul Hamid Jumat. Sungguhpun perundingan itu perundingan damai, malangnya sikap mereka sangat keras, bahkan bermusuhan. Kami diberi kata dua, iaitu sama ada menyerah diri atau dihapuskan. Kami tentu tidak boleh terima kata dua sedemikian.

Soalan: Apakah sikap PKM dalam perundingan itu?

Rashid Maidin: PKM mahu menamatkan perang, tapi biarlah dengan syarat adil dan munasabah. PKM menegaskan soal menyerah diri tidak timbul kerana kami bukan pengganas, tapi pejuang kemerdekaan. Yang kami lawan bukan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, tapi pemerintah penjajah British. PKM juga menyokong rombongan Tunku pergi ke London berunding dengan British untuk kemerdekaan. Tunku mengakui peranan penting perang gerila yang kami lancarkan dalam mencapai kemerdekaan Malaya, dan beliau berjanji untuk menemui kami lagi setelah kembali dari London. Sayangnya, ini tidak berlaku. Sebaliknya, Kerajaan Tunku menerima syarat-syarat penjajah British dan meneruskan perang warisan penjajah itu ke atas kami.

Soalan: Apakah ini sebab utama perang itu berubah menjadi perang dalam negeri?

Rashid Maidin: Ya.

Soalan: Berbalik kepada latar belakang Bapak, bolehkah Bapak ceritakan sedikit tentang keluarga Bapak?

Rashid Maidin: Saya lahir dalam keluarga miskin di Kampung Gunung Mesah, Gopeng, Perak. Datuk dan nenek saya berasal dari Rawa, Sumatera. Mereka berhijrah ke Perak pada akhir abad ke-19. Adik-beradik saya lapan orang, tujuh lelaki dan satu perempuan. Saya anak yang paling tua.

Soalan: Benarkah Yang Berhormat Encik Yusuf Maidin, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Perak bagi kawasan Sungai Manik, itu adik Bapak?

Rashid Maidin: Benar. Ketika dia di sekolah vokesyenal, saya membantu belanja persekolahannya.

Soalan: Bagaimanakah persekolahan Bapak sendiri?

Rashid Maidin: Saya belajar di Sekolah Melayu Gunung Panjang, Gopeng, dan lulus darjah 5. Pada sebelah petang, saya belajar agama di madrasah Kampung Gunung Mesah. Kerana ibu bapa saya miskin, lepas tamat sekolah Melayu pada tahun 1928, saya pun terpaksa mencari kerja.

Soalan: Tapi Bapak boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Bilakah Bapak belajar?

Rashid Maidin: Boleh sikit-sikit. Sebenarnya, walaupun terpaksa berhenti sekolah, tapi minat untuk terus belajar tetap mendalam. Ketika berumur 12 tahun, saya ke Tapah bekerja dengan bapa saudara saya. Sambil bekerja, saya belajar bahasa Inggeris waktu malam dengan seorang mubaligh yang menyebar agama Kristian di kalangan Orang Asli. Dengan bantuannya, saya juga ambil kursus gaya pos dengan sebuah sekolah di Jakarta. Kemudian, pada tahun 1938, ketika saya bekerja di Kampar, saya teruskan lagi belajar Inggeris di sekolah malam selama hampir dua tahun lagi. Selain itu, saya tambah dengan belajar sendiri.

Soalan: Bapak pernah menjadi buruh mahir. Benarkah?

Rashid Maidin: Benar. Masa di Tapah, ketika berumur 16 tahun, saya menjadi magang di stesyen janakuasa elektrik milik Perancis. Lepas setahun, saya lulus dengan memperoleh Sijil Kelas 2 dan dibayar upah $30 sebulan. Kemudian, saya bekerja pula di Kampar dengan Talam Mines Company Limited. Di sana, pada tahun 1938, saya ambil ujian Electrical Chargeman dan dapat Sijil Kelas 1. Saya pun dibayar upah $60 sebulan, manakala buruh biasa mendapat upah 75 sen sehari. Upah saya lebih sedikit kerana saya ada sijil dan tahu bahasa Inggeris.

Soalan: Bolehkah Bapak ceritakan sedikit bagaimana Bapak mula terlibat dalam politik?

Rashid Maidin: Sebagai anak Perak, semangat anti-British memang sudah tersemai kerana pengaruh Perang Maharajalela. Pengaruh ini meresapi diri saya sejak kecil lagi. Setelah bersekolah, saya pun ada membaca buku-buku tentang perang ini. Saya menceburkan diri dalam kegiatan berorganisasi mulai tahun 1937, iaitu dengan menjadi anggota Persatuan Drebar-Drebar Melayu Perak. Pada tahun 1939, ketika bekerja di Tanjung Tualang, saya menjadi ahli kesatuan sekerja Kinta Mining Workers Association. Di situlah, saya mendapat didikan secara langsung daripada seorang kader bawah tanah PKM yang bernama Lai Raifel atau Lai Fook yang bekerja sebagai buruh bersama saya. Melaluinya, saya dapat membaca pelbagai jenis buku politik. Kesedaran kelas saya beransur-ansur meningkat, dan saya diterima menjadi anggota PKM pada penghujung tahun 1941. Raifel dan saya juga berusaha untuk menyusun kaum buruh Melayu dalam kesatuan sekerja, tapi usaha ini terhenti apabila meletusnya perang.

Soalan: Apakah kegiatan Bapak semasa Jepun menduduki Malaya?

Rashid Maidin: Semasa pendudukan Jepun, saya terus bekerja di lombong kapal korek Tanjung Tualang, yang telah beralih ke tangan Jepun. Terhadap fasis Jepun, saya ambil sikap talam dan muka. Secara rahsia, saya buat kerja propaganda di kalangan kaum buruh, mendedahkan kezaliman fasis Jepun serta mendidik kaum buruh tentang perjuangan kelas dan Parti Komunis. Kegiatan itu bertujuan berkoordinasi dengan perang gerila yang dilancarkan oleh Tentera Anti-Jepun. Untuk memperbaiki kehidupan kaum buruh, yang sangat buruk waktu itu, kami membuat pakatan mengambil bijih di lombong waktu tengah malam dan menjualnya kepada pemborong gelap. Ini dapat menambah pendapatan kaum buruh sekali ganda.

Soalan: Bolehkah Bapak terangkan sedikit keadaan setelah Jepun menyerah diri?

Rashid Maidin: Masalah pokok masa itu bagi orang ramai ialah kelaparan. Untuk mengatasi masalah ini, PKM telah melancarkan gerakan menentang kelaparan yang diikut serta oleh berpuluh ribu orang ramai. PKM mengemukakan beberapa tuntutan kepada British: (1) Beri wang $10 seorang untuk menggantikan wang Jepun yang sudah tidak laku lagi; (2) Segera beri kerja kepada kaum penganggur; (3) Ubati orang sakit; (4) Segera hantar makanan ke Malaya dan berikannya kepada orang ramai.

Saya campur gerakan ini di Ipoh. Di sana, di bawah anjuran Parti, kami mengadakan kegiatan masak nasi kawah untuk orang ramai yang lapar. Ini dapat membantu masalah orang ramai dalam batas tertentu, tapi British sangat marah. Mereka menghantar seorang pegawai tinggi dari Kuala Lumpur ke sana untuk mengugut kami. Kata pegawai itu, dia datang tidak membawa makanan, tapi bawa senapang dan meriam. Kebiadaban British ini mengobarkan lagi gerakan anti-kelaparan yang terus menjalar ke lain-lain tempat.

Soalan: Bolehkah Bapak ceritakan sedikit hubungan Bapak dengan Bapak Abdullah C.D.?

Rashid Maidin: Masa pendudukan Jepun, Abdullah C.D. masuk pasukan gerila. Saya berkenalan dengannya pada penghujung perang anti-Jepun apabila beliau keluar dari hutan. Kemudian, setelah Jepun kalah, kami bersama-sama bekerja dalam pasukan propaganda PKM yang beribu pejabat di Ipoh. (Pasukan propaganda itu diketuai oleh Eng Min Chin, sebelum beliau mendirikan rumah tangga dengan Abdullah C.D. lebih 45 tahun yang lalu. Beliau memeluk agama Islam; nama Islamnya Suriani binti Abdullah.) Waktu itu, kerana komplotan Jepun dan British, timbul situasi pergaduhan kaum antara Melayu dan Cina. Kami berdua ditugaskan bergerak ke merata tempat untuk mendamaikan pergaduhan tersebut.

Pada tahun 1946, kami berdua ditugaskan pula ke Kuala Lumpur untuk mengembangkan kerja Melayu di kalangan pelbagai lapisan masyarakat, khasnya kaum buruh. Selain itu, kami juga bekerja di akhbar Pelita Malaya dan Suluh Malaya. Di Kuala Lumpur, kami tinggal bersama di sebuah rumah sewa. Ke mana-mana saja kami pergi, kami sering bersama.

Soalan: Kami tahu Bapak pernah ke London selepas perang.

Rashid Maidin: Ya, saya ikut serta dalam rombongan tiga orang mewakili PKM menghadiri persidangan parti-parti komunis empayar British pada tahun 1947 di London. Persidangan ini dihadiri oleh wakil parti komunis dari tanah jajahan dan bekas tanah jajahan British seperti Burma, Ceylon (Sri Lanka), India, Australia, Kanada, Kuba serta negeri-negeri Timur Tengah. Persidangan itu membahas masalah gerakan pembebasan dan mengeluarkan perisytiharan menuntut kemerdekaan bagi tanah-tanah jajahan.

Soalan: Ada apa-apa peristiwa menarik di persidangan itu?

Rashid Maidin: Ada beberapa peristiwa sampingan yang boleh saya sebut di sini. Pertama, dalam perjalanan ke London, kami singgah di India selama dua hari sebagai tamu Parti Komunis India, yang ketika itu dipimpin oleh P.O. Joshi. Di London pula, rombongan kami diberi penghormatan tinggi sebagai pahlawan anti-Jepun oleh persidangan itu. Kami juga dapat berkenalan dengan pemimpin parti-parti sekawan dari pelbagai negeri. Sampai sekarang, kami masih berkirim salam dan bertanya khabar.

Selain itu, ketika di London, dengan tak disangka-sangka, Tunku Abdul Rahman, yang sedang belajar undang-undang di England, telah mengutus surat kepada rombongan kami. Antara kandungan surat itu, Tunku meminta maaf kerana tidak dapat hadir sebagai pemerhati di persidangan parti-parti komunis itu. Beliau juga menyatakan harapan agar sidang itu memperoleh kejayaan. Bekas Residen British di Selangor pula menulis surat kepada saya meminta saya melapangkan masa untuk menemuinya. Mungkin, bagi British pada masa itu, kenyataan bahawa orang Melayu mencampuri gerakan Parti Komunis adalah satu hal yang besar.

Soalan: Apakah tanggapan Bapak terhadap peristiwa itu?

Rashid Maidin: Saya rasa ini menunjukkan PKM dihormati oleh pelbagai pihak di dalam dan di luar negeri.

Soalan: Bagaimanakah sambutan orang ramai, khasnya orang Melayu, terhadap PKM waktu itu?

Rashid Maidin: Sambutan orang ramai memang baik. Saya beri satu contoh. Setelah berdirinya PKMM, saya mula berkenalan dan bekerjasama dengan tokoh Melayu lainnya seperti Dr. Burhanuddin, Ahmad Boestamam dan Pak Sako. Sekembalinya kami dari London, saya bersama Dr. Burhanuddin, yang juga baru pulang daripada Persidangan Se-Asia di New Delhi, telah menjelajah ke seluruh pelosok tanah air untuk menerangkan perjuangan anti-penjajah – saya atas nama PKM, dan beliau atas nama PKMM. Kami mulakan lawatan kami dari Melaka terus hingga ke Perlis, kemudian berputar dan pergi lagi sampai ke Kelantan. Rapat umum yang kami adakan dihadiri oleh puluhan ribu orang. Di setiap negeri yang kami kunjungi, kami diberi sambutan yang luar biasa hangatnya oleh orang Melayu dan kaum lain.

Soalan: Kami difahamkan Bapak pernah ditangkap penjajah British dan dipenjarakan. Bagaimanakah hal sebenarnya?

Rashid Maidin: Saya ditangkap kira-kira sebulan selepas Darurat diisytiharkan, iaitu pada bulan Julai 1948 di Labu Kubung, Sungai Manik, Perak. Mula-mula, saya dipenjarakan di Taiping selama enam bulan. Selepas itu, saya, bersama-sama kira-kira 50 orang tahanan lain, termasuk Ustaz Abubakar Al-Bakir, Cikgu Sabrun dan lain-lain anggota PKMM, digiring ke Pulau Jerejak. Dari Taiping ke Pulau Jerejak, kami digari beramai-ramai, 10 hingga 12 orang dengan seutas rantai panjang. Di kem tahanan Pulau Jerejak, ada kira-kira 500 orang tahanan pelbagai kaum. Di sana, kami tubuhkan jawatankuasa mogok menentang peraturan penjajah British yang tidak membenarkan kami beli barang makanan dari luar atau terimanya dari rumah.

Soalan: Apakah tuduhan yang dikenakan ke atas Bapak?

Rashid Maidin: Saya dituduh sebagai komunis. Ramai pak haji, ustaz, guru dan lain-lain semuanya dituduh sebagai komunis. Ketua Intelijen British yang menyoal siasat saya mengatakan saya akan ditahan bertahun-tahun. Saya tanya: “Sebab apa dan apa buktinya?” Dia membuka fail catatannya dan memetik ucapan-ucapan saya dalam rapat umum di mana saya pernah berkata: “Selagi ada penjajah British di Malaya, kita akan berjuang terus.”

Setelah satu setengah tahun di Pulau Jerejak, saya dibawa pula ke Pulau Tanjung Beruas, Melaka. Penjara Tanjung Beruas lebih besar, mengandungi 1000 orang lebih tahanan, yang ditempatkan dalam blok-blok. Bagi satu-satu blok, terdapat 200 hingga 300 orang. Saya dimasukkan dalam Blok K bersama Cik Muda dari Terengganu, Cikgu Hamid dari Kelantan, Ustaz Yahya Nasim dari Selangor dan lain-lain anggota PKMM. Saya dipilih oleh kawan-kawan sebagai “Presiden Blok K”. Pak Sako dan Boestamam juga dipenjarakan di Tanjung Beruas, tapi ditempatkan dalam blok yang lain. Saya acap kali berjumpa dan berbincang dengan mereka di penjara itu.

Soalan: Bagaimanakah keadaan di penjara Tanjung Beruas?

Rashid Maidin: Pada mulanya, keadaan di sana lebih buruk daripada Pulau Jerejak. Misalnya, kami dipaksa angkut najis sendiri setiap pagi dan cuci jamban. Ini benar-benar menyebabkan kami marah. Setelah seminggu di sana, saya dan kawan-kawan bentuk satu jawatankuasa untuk melancarkan mogok lapar. Tuntutan kami ialah: (1) Berhentikan angkut najis sendiri, (2) Benarkan kami dirikan madrasah. Setelah tiga hari mogok, penjajah British mengalah dan menerima tuntutan kami. Selain itu, kami juga diberi kemudahan lain, termasuk bermain badminton waktu malam serta dapat membaca akhbar Straits Times. Tapi akhbar Utusan Melayu tidak dibenarkan.

Soalan: Kami dapat tahu Bapak dapat lepaskan diri daripada penjara itu. Ini benar-benar satu keajaiban!

Rashid Maidin: (ketawa) Bukan, ini bukan satu keajaiban. Sebenarnya, setelah dua tahun di Tanjung Beruas, muncul satu perkembangan baru. Kerana ekonomi British merosot akibat perang yang dilancarkannya terhadap Parti Komunis Malaya dan Tentera Pembebasan Nasional Malaya, ia pun menggunakan tahanan seperti kami menjadi buruh murah untuk membangun balai polis dan lain-lain. Dari Tanjung Beruas, 12 orang tahanan, termasuk saya, telah dipilih menjadi buruh untuk membangun sebuah balai polis di Caruk Batang, Jasin, Melaka. Kami diberi upah $1 sehari dan tinggal di berek polis yang dipagari kerawat berduri. Kerana saya mahir dengan soal elektrik, jurutera binaan di situ banyak bersandar pada saya. Pelan bangunan balai polis yang hendak dibina itu pun diserahkan kepada saya, manakala dia sendiri kadang-kadang datang, kadang-kadang tidak.

Yang menjaga kami ialah beberapa orang polis Melayu, dengan diketuai oleh seorang sarjan yang telah bersara, bernama Pak Mi. Kami bernasib baik kerana Pak Mi benar-benar tak puas hati terhadap penjajah British, yang memaksanya berkhidmat semula dalam polis. Sebelum Darurat, Pak Mi pula pernah campur rapat umum dan kenal dengan saya. Dia memberitahu saya, tugasnya hanya menjaga “kerbau balar” (maksudnya orang putih), bukannya untuk menjaga tahanan. Pak Mi rapat dengan saya. Apabila makan tengah hari, dia dan polis lain makan bersama kami. Dia selalu bawa Utusan Melayu dan meminjamkannya kepada saya.

Di tepi tempat kami bekerja, ada sebuah kedai kopi orang Cina. Juga ada seorang budak Cina berumur 12 tahun menjaga lembu di situ. Melalui budak itu, saya mendapat hubungan dengan pasukan gerila kami di Melaka. Apabila perjanjian dengan kawan-kawan pasukan gerila sudah matang, saya bersama seorang tahanan lain, seorang pemuda bernama Yusuf dari Johor, membuat rancangan untuk melarikan diri semasa bekerja dan masuk hutan. Suatu hari, ketika makan tengah hari, saya dan Yusuf pura-pura sakit perut dan minta izin ke jamban. Kami dibenarkan pergi ke jamban tanpa dikawal. Mengambil kesempatan itu, kami pun terus lari ke hutan di mana bendera merah pasukan gerila, yang merupakan isyarat kami, sedang berkibar-kibar.

Soalan: Bagaimanakah Bapak dapat bergabung dengan pasukan Rejimen ke-10?

Rashid Maidin: Saya melarikan diri pada awal tahun1952 setelah kira-kira tiga setengah tahun dalam penjara. Setelah bergabung dengan pasukan gerila, saya dibawa dari satu tempat ke satu tempat untuk bertemu dengan Jawatankuasa Pusat PKM dan Rejimen ke-10. Perjalanan dari Melaka ke pangkalan Rejimen ke-10 di Pahang memakan masa hampir setahun melalui hutan. Setelah sampai di Kerdau, Pahang, pada akhir tahun1952, barulah saya bertemu semula dengan Abdullah C.D.. Sejak itu, saya terus berjuang di Rejimen ke-10.

Soalan: Apakah peranan Bapak dalam PKM dan Rejimen ke-10?

Rashid Maidin: Dalam PKM, saya menjadi salah seorang anggota Jawatankuasa Pusat. Di Rejimen Ke-10, saya bersama Abdullah C.D. dan pemimpin lain memimpin pasukan ini melancarkan perjuangan, baik semasa di Malaya, mahupun di sempadan. Saya pernah luka di kaki dalam pertempuran melawan penjajah British.

Soalan: Apakah Bapak pernah bertugas di pasukan lain selain daripada Rejimen ke-10?

Rashid Maidin: Oh ya, untuk satu masa kira-kira selama 10 tahun, saya bersama-sama memimpin Pasukan Kawasan Khas. Kemudian, pada tahun 1972, saya balik semula ke Rejimen ke-10.

Soalan: Apakah pendapat Bapak tentang peranan perjuangan bersenjata serta perjuangan rakyat tanah air kita dewasa ini?

Rashid Maidin: Kebanyakan masalah ini serta dasar-dasar PKM berhubung dengannya sudah pun dijelaskan oleh Pengerusi kami, Abdullah C.D., dalam temu bualnya. Jadi, saya tak akan mengulanginya di sini. Cuma satu perkara saja ingin saya tegaskan, iaitu masalah perang dalam negeri dan perdamaian. Parti Komunis Malaya bukan sebuah parti yang haus perang, bahkan merupakan sebuah parti yang cintakan perdamaian.

Rakyat juga cintakan perdamaian. Sebab itulah, kami pergi ke Baling dulu. Kami bersedia menamatkan perang dalam negeri dengan syarat yang adil dan munasabah. Kami bersedia berjuang bersama-sama parti politik lainnya secara damai dan demokratik untuk sama-sama membangun tanahair kita menjadi sebuah negara yang demokratik politiknya, makmur ekonominya, maju kebudayaannya, serta bersatu bangsanya.

Soalan: Bapak adalah seorang pejuang yang besar bagi tanah air dan bangsa kita yang telah bersama-sama memimpin perjuangan selama puluhan tahun ini. Bapak merupakan satu contoh yang patut diteladani, khasnya oleh angkatan baru. Sebagai penutup temu bual ini, apakah pesanan Bapak kepada angkatan baru?

Rashid Maidin: Sebagai orang tua, saya ada satu pesanan dan juga harapan kepada angkatan baru. Kemajuan negara, pembangunan negara dan masyarakat bersandar kepada angkatan baru. Hari depan juga milik angkatan baru. Tapi, sekarang, ada satu kecenderungan yang bahaya di dunia dan di negara kita, baik dalam politik, dalam masyarakat dan lain-lain – satu kecenderungan yang merosakkan angkatan baru. Misalnya, kebudayaan kuning, dadah, teori yang keliru dalam politik, pelbagai gerakan yang menyesatkan, gaya hidup yang individualistik, yang hanya mementingkan diri sendiri, dan sebagainya. Angkatan baru perlu nampak bahaya aliran ini dan harus menentangnya dengan tegas. Mereka patut menceburkan diri dalam gerakan yang sihat, yang berperanan membangunkan negara dan masyarakat, menegakkan demokrasi dan keadilan serta memupuk perpaduan antara kaum.

nota: wawancara ini dibuat oleh wartawan Suluh Rakyat pada tahun 1989

PDRM diminta jaga negara, bukan Umno

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: PDRM Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta menjaga kepentingan negara bukannya menjaga kepentingan Umno dengan membuat fitnah kepada pihak lain.


Polis juga diminta jangan menimbulkan suasana tidak tenteram di dalam negara ini, apabila cuba mengaitkan PAS dan Pakatan Rakyat telah diresapi oleh gerakan JI dan komunis.

Permintaan ini dibuat oleh AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

Terbaru Ketua Penolong Pengarah E2 (M), Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman, Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin berkata Cawangan Khas itu mengesan beberapa elemen JI cuba meresapi PAS selain elemen gerakan komunis dalam DAP.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan syarahannya bertajuk "Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama" pada Konvensyen Pemimpin Muda Negara di Parlimen anjuran Parlimen Malaysia bersama-sama Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pengajian Tinggi, Institut Pendidikan Guru dan Majlis Belia Malaysia.

"Jika benar perkara ini kenapa polis tidak bertindak segera, sebaliknya perkara ini telah didedahkan kepada pelajar di dalam taklimat keselamatan.

"Apakah ini modus operandi polis, dedah dahulu baru hendak bertindak?" soal Idris.

Kalau perkara keselamatan negara pihak polis hendak mempolitikkan, maka amat malang negara mendapat perkhidmatan polis seperti begini, kata Idris.

Beliau seterusnya mempersoalkan, mana ada di dunia ini, pihak keselamatan sebuah negara mencerita dahulu, kemudian baru bertindak.

"Pihak PDRM jangan memalukan negara, apabila perkara besar sudah menjadi rahsia umum.

"Modul mana pihak PDRM belajar, suatu perkara yang merbahaya didedahkan kepada umum terlebih dahulu.

"Sampai bila negara akan selamat jika tektik heboh dahulu baru bertindak," soal beliau.

Idris juga bertanya, kenapa pihak PDRM tidak bertindak kepada keganasan yang dilakukan oleh penyokong Umno seperti keganasan di Jalan Kebun Kelang, Lembah Pantai, Imam Masjid Teras Jernang ditumbuk, serangan kepada Ambiga di Merlimau Melaka.

"Apakah ini semua tidak menggugat ketenteraman awam dan merbahaya keselamatan negara. Apakah negara kita ada dua undang-undang.

"Jika penyokong Umno buat tak mengapa walaupun sudah dibuat laporan. Sedangkan tuduhan terhadap PR hanya andaian terus dihebah di dalam media.

"PDRM bertindaklah secara profesional, jagalah negara bukan jaga Umno," pinta beliau.

Karpal cabar SB namakan mereka didakwa JI, komunis

Hafiz Yatim
NONE
Pengerusi DAP Karpal Singh mencabar polis Cawangan Khas supaya menamakan mereka yang didakwa anggota Jemaah Islamiah (JI) dan komunis yang dikatakan cuba meresapi parti-parti pembangkang

Sambil menyifatkannya sebagai satu tuduhan liar, Karpal, yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor, berkata langkah itu hanya cuba untuk melemahkan Pakatan Rakyat.

"Saya mencabar Cawangan Khas untuk menamakan anggota JI dan komunis yang dikatakan telah meresapi Pakatan Rakyat," katanya sambil menambah bahawa ia semata-mata satu taktik licin untuk melemahkan pakatan pembangkang.

Karpal (kanan) telah ditemui selepas prosiding pertuduhan hasutan terhadapnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Selangor kemarau di musim hujan?


Dengan musim hujan mutakhir ini, sukar bagi kerajaan Pusat untuk meyakinkan rakyat bahawa negeri Selangor akan bakal berdepan dengan krisis bekalan air. Cukup ironis, namun itulah sajian media BN saban hari kepada rakyat.


Memang benar. Yang dibicara bukannya air mentah atau air dipermukaan bumi yang dianugerahkan Allah melimpah ruah dalam bentuk hujan. Simpanan lebih besar lagi dari 7 empangan Selangor adalah air bawah tanah (ground water) yang jauh lebih lumayan yang juga belum dimanafaatkan.

Mengapa kerajaan Pusat menganggu dan mencabar kedamaian hidup pengguna dan rakyat di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya dengan isu ini? Mengapa mereka mahu cetus rasa takut, gundah-gulana serta keluh kesah rakyat? Mengapa mereka berhajat bagi menerbitkan rasa krisis di negeri di bawah Pakatan Rakyat ini?

Sekali lagi AIR cuba dijadi modal politik dan isu untuk menjatuhkan kredibiliti dan wibawa kepimpinan Pakatan Rakyat di bawah menteri besarnya. Berdepan dengan pelbagai kebejatan urus-tadbir yang serba dipertikaikan, khasnya pendedahan pelbagai kes rasuah dan salahguna kuasa elit pemerintah, kerajaan BN sememang mahu mengalehkan pandangan rakyat.
Apakah pemimin Umno-BN terlupa bahawa air dan penswastaannya di seluruh negara, khasnya di Selangor, adalah ‘jenayah’ dan ‘dosa’ yang belum lagi mereka tebus dan bertaubat? Ceritanya terlalu panjang untuk diziarahi kembali.

Tegasnya, umum sedar bahawa penswastaan air yang dilakukan dalam zaman Tun Mahathir gagal. Seperti mana gagalnya kebanyakan penswastaan utiliti dan perkhidmatan awam yang dulunya dikendali oleh kerajaan, kegagalan penswastaan air, cuba dirungkaikan ‘selamatkan’ dengan satu dasar bernama “Penstrukturan Semula Industri Air”. Terlalu banyak yang diselamatkan atau ‘bailout’.

Setelah hampir enam tahun selepas penubuhan Suruhanjaya Perkihdmatan Air Negara (SPAN, 2006) dan Akta Perkhidmatan Industri Air (WSIA, 2006) diperkenalkan bersama dengan pengenalan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB, 2006) bagi melaksanakan matlamat ‘penstrukturan’ dan ‘migrasi’ dari ‘regim konsesi’ ke ‘regim pajakan’, kerajaan Persekutuan masih gagal untuk menyempurnakan dasar ini untuk negeri Selangor. Mengapa?

Negeri-negeri lain termasuk negeri Pakatan seperti Pulau Pinang dan Kedah turut berjaya dilakukan ‘migrasi’ dan pemindahan asset-aset negeri kepada PAAB dan berakhir dengan Kementerian Pusat memberi hak pajakan bagi ‘merawat dan mengurus pengedaran’ air samada kepada kerajaan negeri atau pihak swasta. Contohnya, Johor pihak swasta yang dapat. Melaka dan Negeri Sembilan diberikan kepada kerajaan negeri.

Isunya ialah mengapa dalam kes negeri Selangor, kerajaan Persekutuan mengambil sikap yang berbeza? Mengapa kerajaan Persekutuan tidak mahu membuat keputusan untuk memberikan lesen pajakan kepada salah satu entiti ini: Kerajaan Negeri atau Pihak Swasta?

Nah, inilah isu besarnya yang kerajaan Pusat cuba mengelak untuk buat keputusan! Ia sekaligus membayangkan kedudukan serba–salah kerajaan Pusat dan khasnya Menteri KTTHA itu. Tidak sukar untuk membuat telahan mengapa sedemikian jadinya. Nak bagi kat swasta akan dituduh memberi kepada kroni yang telah jelas gagal, antara lainya; mengurangkan NRW atau “Air Tak Berfaedah” hasil kebocoran paip dan sebagainya serta juga gagal memenuhi beberapa terma konsesi tentang perolehan atau ‘procurement’.

Untuk diberikan kepada kerajaan negeri pula, jelas bertentangan dengan kepentingan membela kroni yang sememang hidup dengan ‘pemberian kontrak dan konsesi’ seperti ini.

Umum juga tahu bahawa sudah hampir 4 tahun kerajaan negeri mengemukakan pelbagai cadangan yang terbaik bagi menangani kemelut air di Selangor akibat air penswastaan air yang ‘menswastakan sektor yang untung’ yakni ‘rawatan air’ dan ‘merakyatkan’ sektor yang rugi yakni ‘pengedaran’.
Umum masih ingat tabiat ‘kecurangan dan pengkhianatan’ ini yang menyaksikan bagaimana Jabatan Bekalan Air Selangor (JBAS) pertama-tama diswasta aspek rawatan kepada Puncak Niaga, Abbas dan Splash. Sementara itu ‘aspek pengedaran’ yang ‘tak menguntungkan’ dikekalkan dengan JBAS yang kemudian dikorporatkan menjadi Perkhidmatan Uruan Air Selangor (PUAS) dan akhirnya juga diswastakan menjadi SYABAS (2005).

Syabas dalam pada itu menanggung kerugian sebanyak hampir RM1 bilion atas kos pembanguan (Capex dan juga Opex) sementara pihak pemilik konsesi mengaut keuntungan tetapi masih juga memerlukan hutang bagi kegiatan kos pembangunan atau Capex mereka.

Cerita untung dan rugi dan banyak mana dividen yang telah diagihkan serta hutang yang ditanggung oleh pemilik konsesi air Selangor ini, sarat di bawa dalam media, hal tentang gaji pengerusi, pengarah-penagarah dan kemewahan pejabat dan kereta dan sebagainya. Berita tentang dakwa-dakwi mahkamah satu yang cukup lumrah. Majalah ‘The Edge’ yang terkemuka itu sahaja telah banyak menjadikan isu ‘Air Selangor’ ‘lead story’ mereka beberapa kali. Jenuh dan bosan rakyat membacanya.

Bagi menggemparkan rakyat dan pengguna terkini, Syabas dan sekutu-sekutu NGOnya mendedahkan bahawa keperluan terkini rakyat Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur sudah meningkat ke paras 4329 MLD (juta liter sehari) sementara keupayaan kesemua pihak konsesi rawatan air hanya mampu membekalkan maksimum sebanyak 4371 MLD termasuk, kononnya, loji di empangan Sungai Labu yang baru.

Ini macam pendekatan “Shock Doctrine’ buku karangan Naomi Klien bagi mengejutkan lawan dan seteru politik. Cumanya, Menteri Besar Selangor ini bukan calang-calang lawan yang boleh dijatuhkan begitu sahaja. Bukankah beliau yang merancang strategi menggunakan ‘shock doctrine’ melalukan ‘morning raid’ di Bursa ‘London Stock Exchange’ bagi mendapatkan 51% saham untuk PNB ke atas syarikat gergasi British Kumpulan Guthrie dalam tahun 1981?

Lalu belum sempat kejutan tentang krisis air itu dapat dirasakan oleh rakyat Selangor, MB ini telah menghendap balas dengan ‘pengistiharan mengambilan pengurusan Syabas’. Mengikut perjanjian konsesi penswataan air, kerajaan negeri melalui peruntukan klausa 32, berhak mengambil balik pengurusan pengedaran air sekiranya pihak konsesi gagal memenuhi dan komplian kepada terma-terma perjanjian.

Persoalan samada kerajaan negeri mampu mengambil alih secara teknikal pengurusan pengedaran air yang selama hari ini dikendalikan oleh Syabas menjadi isu kedua. Ramai kakitanagn Syabas dengarnya bersedia berkhidmat dengan kerajaan negeri. Pokoknya, kerajaan negeri punya kuasa yang termeterai dalam peruntukan perjanjian konsesi.

Nah, masakan tak gelabah pihak Syabas. Hampir nak terkencing pengerusinya agaknya. Penulisan ringkas ini tidak berupaya menyenaraikan pelbagai aspek polemik dan pertikaian isu air ini. Ini bukan pentas dan forumnya. Cumanya nak dikatakan bahawa pihak kerajaan Umno-BN tersasar dalam membuat congakan dan percaturannya meleset.

Kini kerajaan negeri mencabar Syabas bahawa mereka akan menghantar satu kumpulan profesional untuk meneliti operasi harian Syarikat Bekalan Air Selangor itu, bagi mengenalpasti keadaan semasa air terawat di negeri ini.

Putar-belit isu Langat 2 dalam menggarap isu ‘krisis kerkurangan air’ di Selangor ini, lebih menampakkan kebobrokan dan pengkhianatan Umno-BN kepad rakyat. Projek yang menelan RM8.65 bilion seluruhnya itu, pada asasnya adalah untuk menangani bekalan air mentah (dan juga rawatan kemudiannya), sebagai projek perpindahan antara negeri yakni bekalan dari Pahang. Isu di sini bukan bekalan air mentah! Kenapa nak belanja sampai RM8 bilion?!

Tentunya lebih banyak tandatanya dan persoalan yang menerjah pemikiran rakyat. Bingung rakyat. Kenapa kerajaan Persekutuan mahu menambah statistik hutang yang sudah mencecah RM456.3 bilion itu? Lebih penting lagi, apakah itu prioritinya?

Paling memalukan terkini adalah penubuhan sebuah jawatankuasa Kabinet bagi menangani ‘krisis air’ ini. Lebih ‘aib lagi adalah keanggotaannya! Sudahlah TPM yang mempengerusikannya, anggota macam Menteri Pertanian itu takpayahlah. Menteri Wilayah itu menasabah juga sebab menyangkut kepentingan rakyatnya. Tetapi Menteri Senator di JPM itu buat apa dimasukkan juga kerana kalaulah untuk ‘power’ penyampaian power-pointnya itu, boleh di koop kemudian sahaja.

Umum terus bertanya perwakilan kerajaan negeri Selangor dan pakar-akar air dari pihak NGO yang bi-partisan dan juga pihak profesional kenapa tak ada?

Kesilapan-kesilapan maha besar kerajaan Umno-BN dihujung-hujung parlimen ke-12 ini semakin terdedah dan terserlah. Apakah begitu nasibnya di saat nazak pemerintahan ini, yang telah terlalu lama berkuasa – lebih 5 dekad!. Cukuplah!