Umi Hafilda bukan adik saya lagi – Azwan Ali

Martin Kahar
KUALA LUMPUR, 24 Ogos: Selebriti dan pengacara terkenal, Azwan Ali enggan mengakui Umi Hafilda sebagai adik kandung lantaran kelancangannya memfitnah sesama ahli keluarga.

Beliau yang terkenal dengan ungkapan ‘Amboi, Amboi, Amboi’ enggan dikaitkan dengan Umi Hafilda.

“Jangan tanya apa-apa pasal Ummi Hafilda… Saya sudah tegaskan sebelum ini, saya tak ada sesiapa lagi. Saya hanya ada (Mohamed) Azmin dan Azman. Mereka itu saja darah daging saya,” katanya kepada Keadilan Daily, hari ini.

Sebelum ini, Allahyarham bapa mereka, Ali Omar enggan mengakui Umi Hafilda sebagai anak, malah melarangnya pulang ke rumah keluarga di Kampung Kelang Gate, Setapak.

Berdasarkan surat itu, Ali Omar melucutkan warisan zuriat Umi kerana sikap suka melawan, tidak peduli nasihat, riak, takbur, pembohong di samping penglibatannya dalam konspirasi dan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengikut catatan bertarikh 18 Oktober 1998 itu, fitnah Umi semakin menjadi-jadi apabila memfitnahnya dan isteri sehingga kedua-dua mereka bercerai pada 20 Februari 1998 sebelum rujuk kembali.

Buletin Utama TV3 baru-baru ini memaparkan perbuatan Umi Hafilda mengheret ibu mereka, Che Tom Yahaya, 78, ke kancah politik bagi memburuk-burukkan Azmin ketika umat Islam merai sambutan Aidilfitri.

Azwan percaya ibunya diperalat Umi Hafida yang bersekongkol dengan Umno bagi memfitnah Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas panjang mengenai kemelut fitnah itu kerana kemarahannnya terhadap Umni Hafilda sudah dipaparkannya melalui akaun twitternya.
“Empat hari berturut-turut, saya beri komen yang boleh menggemparkan dunia. Saya akan teruskan dan kita lihat apa yang akan terjadi nanti,” katanya yang marah apabila ibunya diperalat untuk kepentingan Umno.

Azwan juga menganggap Azmin sebagai pemimpin terhebat dan berkaliber walaupun pelbagai tohmahan buruk dilemparkan Umi Hafilda bagi menjatuhkan karier politik Timbalan Presiden KEADILAN itu.

Enggan menyatakan parti mana yang diundinya, beliau mengakui menyokong Azmin bukan atas dasar hubungan adik-beradik tetapi disebabkan prinsip yang diperjuangkan abangnya untuk membela rakyat.

“Azmin adalah abang saya selama-lamanya. Beliau adalah ‘great leader’ (pemimpin yang hebat). Saya sokong perjuangan Azmin untuk KEADILAN,” katanya.

'Malaikat' juga boleh buat banyak perkara salah - Mahathir

Nigel Aw
Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir menjelaskan bahawa "syaitan" yang dimaksudkannya dalam tulisan di blognya itu merujuk kepada kerajaan BN.

"Orang bertanya mengenai syaitan, tapi kita adalah syaitan yang orang kenal. Mereka adalah malaikat yang orang tidak kenal," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita dalam sidang media di majlis rumah terbukanya sempena Hari Raya hari ini.

Ditanya siapakah golongan yang dimaksudkan sebagai "malaikat" itu, Mahathir berkata beliau merujuk kepada pembangkang.

Jelasnya, "malaikat" itu bukanlah golongan yang suci kerana "Kadang-kadang, malaikat juga boleh buat banyak perkara salah," katanya.

Katanya, walaupun pembangkang mahu membuat perubahan, langkah itu tidak semestinya memberi kebaikan.

"Jika anda berubah kepada sesuatu yang lebih teruk, anda akan menyesalinya," kata Mahathir yang menambah, pembangkang akan terus berusaha untuk terus menang sekiranya berjaya membentuk kerajaan.

Beliau menjelaskan pepatah bahasa Inggeris "lebih baik syaitan yang anda kenal daripada malaikat yang anda tidak kenal" yang disebut dalam tulisan di blog chedet.cc pada hari Rabu lalu.

Tulisan itu menggesa pembacanya supaya tidak menyokong Anwar yang disifatkannya sama dengan presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Obama, kata Mahathir banyak menjanjikan perubahan tanpa jaminan untuk menunaikannya.

200,000 nama warga asing dalam senarai pemilih Sabah

Sidiqin Omar
KUALA LUMPUR, 24 Ogos: Ketua Biro Keselamatan, Imigresen dan Reformasi Pilihan Raya KEADILAN Sabah, Dr Chong Eng Leong mendedahkan, terdapat 200,000 nama warga asing, hasil dari ‘Projek IC’ dalam senarai pemilih di Sabah dari jumlah keseluruhannya 950,000 pengundi berdaftar.

Menurutnya, penduduk Sabah telah bertambah kira-kira 700,000 (termasuk generasi kedua) hasil Projek IC dan sebahagiannya telah berdaftar sebagai pengundi sah, dengan kod IC ’71′.

“Kenapa memalsukan ‘Sijil Akuan untuk menyatakan tempat kelahiran di Sabah dengan kod tengah 12?

“Jika dokumentasi secara sahih, mengapa Kad Pengenalan baru mereka (diwujudkan) kod 71, bukankah bermakna mereka dilahirkan di luar Malaysia?

“Jika mereka dianugerahkan kewarganegaraan, bila dan di mana mereka mengangkat sumpah?” soalnya yang juga penulis buku Les We Forget mendedahkan skandal pemberian kewarganegaraan oleh kerajaan BN kepada pendatang asing.

Tambahnya, Dr Mahathir pernah dicabar oleh Lim Kit Siang pada 2006 untuk menafikan penglibatannya dalam Projek-M, ketika Ahli Parlimen Ipoh Timur itu menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

“Sampai hari ini, Dr Mahathir tidak menafikan, malah mempertahankan kenaikan mendadak penduduk Sabah dan pemberian kerakyatan kepada warga asing,” katanya ketika dihubungi.

PAS punca DAP tak faham hudud?

anaabdullah
Pada Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainulk Abidin PASlah yang salah dan menjadi punca DAP tidak faham hudud.
Bercakap pasal faham hudud teringat penulis dengan “hidayat”. Hidayat hak milik Allah bukan hak milik PAS atau sesiapa.

PAS dan manuisia hanya boleh berdakwah atau menyeru serta mengajak orang kafir kepada mengisakan Allah sepertimana dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Oleh itu, hidayat kepunyaan Allah. Allahlah yang memberi hidayat yang membolehkan orang kafir faham dengan Islam.

Demikian juga peranan PAS. PAS pun berdakwah. Soal DAP faham hudud bukan duduk ditangan PAS, tetapi duduk pada hidayat Allah.

Kita difahamkan Allah tidak akan memberi hidayat kepada orang kafir. Demikian juga orang munafik. Sebab itu orang kafir dan munafik tak akan faham hudud.

Akan tetapi tidak dinafikan ada sesetengah orang kafir yang faham islam, kerana telah mendapat hidayat dari Allah.

Mereka yang mendapat hidayat atau dengan kata lain Allah telah memberi hidayat kepada mereka dan mereka lantas masuk Islam dan beriman.

Sebab itu sehingga hari ini DAP ke MCA ke dan MIC ke tak akan faham hudud. Malah mereka tidak boleh faham Selagi tidak mendapat hidayat Allah.

Orang yang menagku islam sendiri pun jika tidak mendapat hidayat Allah tak akan faham akan hudud itu sepertimana yang apa yang berlaku kini.

Yang peliknya kebanyakan pemimpin melayu umno juga tak faham faham pasal hudud. Bukan setakat tak faham malahan menolak, menentang serta turut mempersenda sendakan hukum Allah itu.

Adakah ini PAS yang salah?

PAS serah Majlis Syura bincang isu Nasaruddin

Anis Nazri
KUALA LUMPUR: PAS menyerahkan kepada Majlis Syura parti itu untuk membincangkan isu membabitkan bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Memandangkan Nasharudin bukan lagi merupakan ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat, maka isu berkaitan ahli parlimen Bachok itu tidak dibincangkan.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat biro politik dan pilihan raya, di pejabat parti itu, petang ini.

Mengulas lanjut isu berkenaan, Abdul Hadi berkata PAS menganggap Umno sudah kehilangan tokoh agama sehingga terpaksa mengambil tokoh daripada PAS.

"Mungkin Umno sudah kehilangan tokoh agama mereka hingga terpaksa menumpang tokoh daripada PAS. Kita anggap begitulah," tegas beliau dan disambut gelak ketawa oleh hadirin.

Isu berkaitan Nasharudin itu timbul berkaitan tersebarnya gambar beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di Arab Saudi, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Abdul Hadi menegaskan isu membabitkan Nasharudin tidak menjejaskan PAS memandangkan tiada sebarang aduan atau permintaan daripada akar umbi untuk mengenakan sebarang tindakan terhadap Nasharudin.

"PAS ada saluran tertentu. Ada peringkat cawangan, kawasan. Setakat hari ini, tidak ada sebarang aduan berkaitan beliau diterima. Jadi, PAS tidak terjejas dengan isu tersebut," tegas beliau lagi merujuk keataan Nasharudin yang mendesak PAS keluar dari Pakatan Rakyat jika DAP berkeras menolak hudud..

Biarlah Yang tolak Hudud Berada Dalam BN - Pak Ungku

Ungku Mohd Noor Ungku Mahmod
(Penyelia PAR Pulai Sebatang)

SEKALI lagi isu HUDUD mendapat perhatian dikalangan umum khusus ahli politik, sama ada parti pemerintah atau pembangkang Sama ada bertujuan ikhlas atau "political game" terserah pada kita menilainya.

Ada golongan yang menggunakan isu ini untuk memerangkap antara satu sama lain. Tapi yang jelas sebagai ahli PAS yang Islam sebagai dasar perjuangan sejak dari dulu lagi pasti tetap pertahankan Hudud sebab itu adalah perintah Allah yang setiap mukmin wajib beriman dan laksanakan.

KIta bersyukur kerana istilah Hudud itu sendiri berjaya tersebar dikalangan manusia. Maka akan ketahuanlah manusia bahawa Islam agama yang sempurna, tiada sesuatu pun yang terlepas pandang, atau perlu kepada eksperimen. Ianya adunan pemilik agong yang memiliki alam semesta dan seisinya. Dia yang menjadikan Karpal Singh, Najib, Nik Aziz, Haji Hadi dan semua yang hidup.

Jadi memang tepat masanya manusia ciptaan Allah akur dan tunduk kepada peraturan dan hukumnya, tidak kira apa anutan agama. Peraturan dan kepercayaan agama dua hal yang berbeda.

Kalau HUDUD itu baik untik manusia, kenapa kita tak bolih laksanakan kecuali kita mempunyai sentiman agama. Atau mungkin memiliki hati budi termulia hingga terlebih bersimpati dengan penjenayah, sedangkan mangsa jenayah yang tidak berdosa terpaksa menderita.

Di Malaysia sama ada orang Islam atau bukan Islam selama ini menurut peraturan hukum yang direka olih negara barat. Kenapa tidak dipersoalkan?

Olih itu saya ingin cadangkan supaya golongan yang menentang perlaksanaan HUDUD, sama ada individu atau parti dsbnya pergilah bersekongkol dengan UMNO yang sejak dulu menentang HUDUD.

Dan mereka yang bersetuju dengan HUDUD tidak kira apa fahaman dan agama marilah bersama-sama dengan PAS.

Karpal Singh, MCA Selangor dan MCA Johor serta UMNO dan yang serupa dengannya bolehlah duduk bersama menentang HUDUD.

Kerana tidak semua bukan Islam termasuk dalam DAP sendiri menolak HUDUD. Biarkan mereka yang menolak HUDUD berhimpun dalam Barisan Nasional. Semoga Karpal Singh dan konconya akan lebih subur bersama komponan UMNO dan BN menentang HUDUD.

Gelombang Plus Akan Landa Umno/BN

Mohd Sayuti Omar
Gelombang Plus nama yang diberikan kepada kebangkitan gelombang yang meranapkan Umno dan BN dalam pilihan raya umum ke-12 lalu masih wujud dan terus bergerak. Malahan pergerakan gelombang ini makin kencang dan lebih ganas berbanding dengan kelajuan dan pergerakannya tahun 2008. Demikian menurut salah seorang terlibat dalam membuat kajian mengenai kedudukan Umno dan BN menjelang pilihan raya ke-12 lalu.

Garisan hijau merupakan laluan lebuh raya Plus.
Kewujudan gelombang ini baru saya ketahui semalam apabila secara tidak sengaja salah seorang master mind yang terlibat dalam membuat kajian mengenai pencapaian UBN dalam pilihan raya umum ke 12 menceritakan apa yang berlaku dalam pertemuan spontan dengan orang berkenaan di majlis rumah terbuka aidifitri seorang kawan di Ampang malam tadi.

Menurut pengkaji itu merupakan seorang ahli akademik bertaraf Phd, satu pasukan pengkaji politik Umno telah membuat soal selidik terhadap lebih 2,700 orang koresponden dan mendapati kedudukan Umno ketika itu dalam bahaya. Sejajar itu Umno perlu bertindak selekas mungkin menangani permasalahan yang timbul untuk tidak menerima bahana dan musibah buruk.

Menurut pengkaji asal Kelantan itu kenapa kajian itu dinamakan Gelombang Plus kerana kebangkitan suatu wave yang merempuh UBN melalui jalur lebuh raya yang ada di negara ini. Gelombang itu menelusuri lebuh raya yang bermula bermula dari Johor melalui Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan berakhir di Perlis.

Gelombang itu tidak merempuh Pahang dan Terengganu kerana ia tidak dihubungkan oleh lebuh raya Plus - Utara Selatan.

Dalam kajian itu telah menyebut gelombang itu akan menuruti jalur lebuh raya itu bermakna mana-mana negeri yang terlibat dengan lebuh raya itu akan menghadapi masalah. Beliau tidak menyebut apakah punca menyebabkan berlakunya gelombang berkenaaan tetapi ia diyakini ada sangkut paut dengan kelemahan Abdullah Badawi sebagai perdana menteri dan juga campur tangan Mahathir Mohamad dalam membantu menumbangkan BN apabila bekas PM itu siang malam mengkritik pentadbiran Abdullah.

Kajian separuh sulit yang menelan belanja jutaan ringgit itu mencadangkan agar Umno memberi perhatian dan tindakan segera untuk menyelamatkan Umno jika ingin melihat Umno menang. Namun katanya malang kajian itu tidak diendahkan malah ia dipersendakan sebegitu rupa oleh Khairy Jamaluddin Abu Bakar menantu Abdullah yang menjadi big boss kepada PM berpejabat di tingkat 4.

Katanya Khairy mencampak begitu saja laporan itu dengan penuh kejengkilan.

"Siuppp......laporan itu dilempar oleh Khairy hingga terkena skrin slide selepas beliau membuahkan mulutnya dengan kata-kata .. "ini saja laporannya..", cerita pengkaji berkenaan. Tindakan sombong Khairy itu sangat-sangat dikesali oleh seluruh karyawan team kajian berkenaan.

Ketidakpedulian Khairy dan Umno kepada laporan itu akhirnya menatijahkan empat buah negeri yang kebetulan dilangkahi lebuhraya itu runtuh dan terlepas ke tangan oposisi. Negeri-negeri itu, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Perak bagaimana pun dirampas balik dengan cara paksa dan politik hanyir.

Tambah pengkaji itu lagi sebenarnya Johor, Melaka dan Negeri Sembilan juga ikut terkena bahana gelombang berkenaan tetapi ia dapat diselamatkan disaat-saat akhir. "Kita berjaya 'bom' negeri berkenaan di saat-saat akhir. Beliau tidak menyebut apakah erti dan maksud istilah 'bom' yang diguna pakai itu. Pihak-pihak tertentu di negeri berkenaan yang diberikan laporan berkenaan tanpa pengesahan dari Khairy berbuat sesuatu berdasarkan laporan itu.

Cerita pengkaji ini menarik sekali. Ditanya mengenai bagaimana kedudukan atau pun perkembangan gelombang berkenaan pada masa kini, sambil menjebehkan mulut dan menggeleng-gelengkan kepala berkata; gelombang itu sedang bergerak dan mara dengan cepat. Ia umpama bakteria yang sedang memakan tisu badan manusia.

"Bagi saya BN habis kali ini!" jawabnya ringkas dengan muka berkerut. "BN akan tumbang.... wave plus yang kami namakan itu sudah bergerak semakin jauh dan BN pula sudah kehilangan punca untuk mengawal dan menyekatnya..," tambahnya lagi serius.

Pengkaji itu yang mengakui pembaca blog Merah Tinta memberikan saya nombor telefonnya apabila saya minta dan akan berbual lagi untuk membedah dan membuat postmortem awal bagaimana BN akan tumbang dalam pilihan raya ke 13 nanti. Sebelum kami sekali lagi berjabat tangan untuk berpisah dia menyebut, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan susah untuk ditumbangkan, manakala Perak akan dapat dirampas kembali oleh Pakatan Rakyat.

Saya cuba mengagahnya, barang kali Johor, Pahang dan Melaka akan kekal. Jawabnya berdasarkan kepada pegerakan wave plus Johor juga kini sedang tenat dilanda gelombang yang bermula di Johor itu.

PAS kaji keperluan Tamrin Ghafar bertanding

Muda Mohd. Noor

MELAKA: PAS Melaka akan mengkaji sama ada memberi laluan kepada Datuk Tamrin Ghafar untuk bertanding di negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang.


“Kita akan melihat sama ada beliau boleh memberi kesan baik kepada PAS dan Pakatan Rakyat di Melaka.

“Jika ia memberi kesan yang baik, kita akan benarkan Tamrin bertanding atas tiket PAS. Bagaimanapun, namanya tidak ada dalam senarai yang dihantar kepada PAS Pusat.

“Ini kerana beliau menyertai PAS selepas nama tersebut dihantar tetapi namanya boleh dimasukkan kemudian,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Kamaruddin Sidek.

Tamrin anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Ghafar Baba menyertai PAS pada 11 Ogos lalu. Beliau pernah menjadi ahli Parlimen Batu Berendam dari tahun 1986 hingga 1995 dan exco Pemuda Umno ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui pergerakan itu.

“Nama Ghafar besar di Melaka, orang masih ingat jasa-jasa tokoh negara itu. Jadi kalau anaknya (Tamrin) bertanding akan mendatangkan masalah kepada BN.

“Tetapi kita masih mengkaji,” tambah beliau lagi.

Dalam perkembangan lain, Kamaruddin berkata, Pakatan Rakyat yakin akan menang 14 kerusi DUN.
Katanya, DAP akan menang lapan kerusi, PKR (4) dan PAS (4) dari 28 kerusi. Pada pilihan raya 2008, pembangkang cuma menang lima kerusi iaitu Kesidang, Kota, Bandar Hilir, Bachang dan Ayer Keroh.

Bukti perubahan kerajaan pada PRU 13 bakal berlaku

Amirul Azam Zulkafli
PETALING JAYA: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendakwa kenyataan Tun Mahathir Mohamad kononnya peralihan kuasa kerajaan pusat adalah sebesar-besar bahaya membuktikan mantan Perdana Menteri akur dan mengakui trend sokongan rakyat pada PRU-13 akan menyebabkan Umno/BN tumbang menyembah bumi.

SAMM percaya rakyat akan meneruskan fasa kebangkitan tsunami 2008 yang menyaksikan lima negeri BN tumbang pada PRU-12 dan kebangkitan rakyat di PRU-13 akan menyebabkan regim BN hilang kuasa sebagai pemerintah.

Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan berkata, bukan omong kosong, namun dengan pelbagai isu dan skandal rasuah, penyelewengan serta salahguna kuasa, salahguna hari kemerdekaan dan termasuklah kebangkitan luar biasa rakyat Sabah dan Sarawak yang selama ini menjadi ‘fixed deposit’ BN, faktor jelas ini menguatkan lagi hujah betapa Umno/BN bakal kehilangan kuasa pada PRU-13.

“Situasi inilah yang menggusarkan seorang bekas Perdana Menteri lantas terbitlah kenyataan berbaur ugutan dan cubaan menakutkan pengundi.

“Mungkin Mahathir terlupa maka SAMM ingin mengingatkan bahawa lima kerajaan negeri telah berubah pada Mac 2008 di mana salah satu kerajaan negeri bukan BN telah bertahan sejak 1990. Peralihan kuasa kerajaan negeri ini berlaku dengan aman, tiada kucar-kacir.

”Jika ada pun kucar-kacir, ia hanya berlaku pada malam kemenangan Barisan Rakyat (kini Pakatan Rakyat) di mana staf kerajaan negeri yang tiba-tiba bertugas pada malam tersebut bertungkus lumus melupuskan dokumen ‘rahsia’ ke dalam mesin shredder.

“Tidak cukup dengan itu, dokumen yang telah terkirai itu dibakar pula bagi menghilangkan ‘bukti’. Kejadian seumpama ini mungkin berlaku pada malam pengiraan undi PRU-13 dengan lebih panik kucar-kacirnya di Putrajaya sekiranya BN tumbang”, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Negeri Pakatan diiktiraf

Tambahnya lagi, SAMM juga telah membuat sedikit kajian dan pemantauan mendapati perubahan yang berlaku di lima buah negeri (sekarang empat yang dikuasai Pakatan Rakyat menunjukkan tanda positif dari pelbagai sudut khususnya dalam soal pengurusan, penjimatan, kadar FDI masuk yang tinggi dan juga kebajikan rakyat.

“Semua negeri Pakatan Rakyat juga diiktiraf akan ketelusan dalam pentadbiran. Polisi kebajikan yang diamalkan oleh kerajaan negeri PR juga tidak menyebabkan negeri bankrap malah keuntungan berganda dalam banyak sektor hasil dari amalan berjimat dan perbelanjaan berhemah.

“Dalam keadaan kerajaan pusat yang menekan, menyerang dan pengagihan hasil bumi yang tidak adil, kerajaan negeri tetap stabil dan bertahan. Rata-rata rakyat menerima Pakatan Rakyat sebagai peneraju kerajaan negeri dan bersedia untuk giliran menukar kerajaan pusat”,katanya.

“Maka di atas kejayaan pentadbiran sepenggal Pakatan Rakyat di beberapa kerajaan negeri, di manakah bahaya dan bahana yang disebut Mahathir? Ataupun sebenarnya ada sesuatu yang amat ditakuti oleh bekas PM ini jika kerajaan pusat berubah tangan?

Dalam blognya, Mahathir juga cuba menyamakan Datuk Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang menjanjikan ‘perubahan’ dalam kempen pilihanraya masing-masing.

Perbandingan seperti ini adalah tidak relevan kerana latar belakang dan polisi perubahan yang berbeza. Namun SAMM melihat persamaan yang lebih relevan seperti yang dimaksudkan Mahathir ialah antara Obama dengan janji perubahannya dan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan transformasi palsu serta janji yang tidak pernah ditepatinya (Janji BERSIH Pilihanraya).

Salah satu para kenyataan Mahathir begitu mencuit hati kononnya “tidak ada jaminan pembangkang bila menjadi kerajaan akan membenarkan BN kembali dan pegawai mereka akan mengugut sesiapa yang mahu menukar kerajaan” – seolah-olah Mahathir sedang bercakap di depan cermin, kerana apa yang disebut itu adalah resam regim Umno BN, dan di atas resam sebegini jugalah menjadi faktor penting mengapa rakyat perlu menolak BN dan mengundi ‘Asalkan Bukan Umno’.

‘Syaitan dan malaikat’

Di para terakhir kenyataan Mahathir begitu mengejutkan dan juga agak menakutkan yang berbunyi “Lebih baik syaitan yang anda kenali dari malaikat yang anda tidak kenal”.

Edy berkata, SAMM sebagai anak muda progresif menghadapi sedikit kesukaran mentafsir, namun akhirnya tafsiran paling sesuai untuk kenyataan ini ialah Mahathir menyeru agar lebih baik mengundi “syaitan yang dikenali” dalam BN dari mengundi “Malaikat yang belum pasti” dalam Pakatan Rakyat. Tafsiran yang menyamakan BN dengan syaitan ini tidaklah begitu pelik kerana Mahathir juga pernah menyebut Umno itu busuk hingga ke ususnya.

“Nyata sekali kenyataan Mahathir kononnya bahaya menukar kerajaan pusat adalah umpama ugutan dari ular sawa lumpuh kekenyangan yang dihimpit usia dan tidak perlu ditakuti oleh rakyat yang kian celik membuat perhitungan.

“Rakyat hari ini tidak mudah dipengaruhi sentiment hasutan dan ugutan. Madu di tangan kanan dan racun di tangan kiri, rakyat sudah bijak membuat pilihan antara madu (PR) dan racun (BN)”, jelas beliau.

“Akhir sekali SAMM menyeru kepada semua untuk bersama merintis perubahan, kita harus percaya dengan perubahan ini dan tuhan bersama orang yang ingin kepada perubahan (kebaikkan).

“SAMM juga turut mendoakan supaya Mahathir panjang umur untuk menjadi saksi hidup tumbangnya sebuah regim penyambung legasi penjajah,” tambah beliau.

Harga RON97 naik semula, k’jaan cuba main silap mata

Aedi Asri
KUALA LUMPUR, 24 Ogos: Kerajaan cuba bermain silap mata apabila menaikkan harga RON97 secara senyap untuk menutupnya daripada pengetahuan rakyat, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini mendakwa mereka prihatin apabila menurunkan harga RON97 sebanyak 20 sen, walaupun ia tidak diikuti dengan penurunan kos sara hidup dan lain-lain barangan keperluan.

“Tetapi sebulan kemudian, mereka naikkan kembali harga (RON97) tanpa buat sebarang pengumuman. Tindakan ini seperti bermain silap mata dengan rakyat,” katanya ketika dihubungi.

Azan berkata, silap mata itu akhirnya mendedahkan kebodohan Umno BN sendiri kerana rakyat semakin bijak dan mendapat maklumat dari pelbagai sumber.

10 Ogos lalu, harga petrol RON97 naik 10 sen kepada RM2.70 seliter. Tiada sebarang makluman rasmi dibuat berhubung kenaikan itu.

Walhal, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah baru sahaja mengumumkan penurunan harga minyak itu sebanyak 20 sen kepada RM2.60 seliter pada 4 Julai lalu.

Justeru, Azan menggesa kerajaan menghentikan ‘silap mata’ sedemikian dan berterus terang kepada rakyat dalam setiap keputusan yang ditetapkan.

“Dahulu, tiada sesiapa pertikai proses dan pelaksanaan projek sebesar KLIA dan KLCC yang dilihat hebat tetapi terpalit dengan kekotoran (penyelewengan).

“Kerajaan tidak lagi mempu berbuat demikian kerana setiap tindakan mereka akan dinilai. Rakyat sudah nampak muslihat dan cara silap mata mereka,” kata Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Terengganu itu lagi.

Peluang cerah PR menang 14 kerusi DUN, 5 parlimen di Pahang

Blog tulahan.blogspot.com.au
Pahang adalah negeri kurang mendapat perhatian pemerhati politik semasa mereka membuat ramalan keputusan PRU 13. Setakat ini, tidak satu pun ramalan yang mengatakan Pahang akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Ramai yang menjangka perubahan akan berlaku di negeri-negeri Selatan Semenanjung dalam PRU 13.

Kemungkinan disebabkan banyaknya kerusi campuran di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Walaupun ada kerusi campuran di Pahang , namun tidak sebanyak di negeri Selatan Semenanjung.

Seperti juga negeri Pantai Timur Semenanjung iaiatu Kelantan dan Terengganu, kebanyakan kerusi di Pahang mempunyai majoriti pengundi Melayu lebih 70 peratus. Justeru itu, ramai yang menjangkakan BN akan mudah menawan negeri ini , tambahan pula hampir semua kawasan majoriti Melayu mempunyai kawasan kubu kuat UMNO iaitu Felda.

Selain felda , Orang Asli yang menjadi pengundi tetap BN dalam setiap pilihanraya mempunyai jumlah yang agak ramai di setiap dun di Pahang. Purata 5 – 10% daripada jumlah pengundi adalah pengundi Orang Asli.

Sungguhpun begitu, perlu diingat bahawa Pahang mempunyai kelebihan dari segi jumlah sokongan pengundi Melayu kepada PR yang lebih tinggi berbanding negeri Selatan Semenanjung. Sokongan pengundi Melayu kepada PR di Pahang menjangkau purata 30 hingga 55 peratus.

PAS pernah menang 6 kerusi pada PRU 1999 di kawasan majoriti Melayu. Malah semasa PRU 12 , PAS menang 2 kerusi di Kuala Semantan yang mempunyai 77% jumlah pengundi Melayu dan Baserah yang mempunyai 72% jumlah pengundi Melayu.

Tidak seperti negeri-negeri di Pantai Barat Semenanjung , sokongan pengundi Cina kepada PAS dan PKR semasa PRU 12 puratanya kurang daripada 55% tidak seperti sokongan kepada DAP yang mencecah purata 70%. Pada PRU 12 , DAP kekal menang di Triang dan merampas Tras dari BN.


Berdasarkan jangkaan sokongan pengundi Cina yang akan bertambah kepada PR, banyak kerusi yang mempunyai kurang 70 % jumlah pengundi Melayu akan menghadapi persaingan sengit antara PR dan BN.

DAP dijangka mudah mengekalkan kemenangan di Triang dan Tras, malah akan menambah kerusi di Bilut, Ketari , Sabai dan Mentakap yang mempunyai jumlah pengundi Melayu kurang 50%. DAP juga dijangka menang di Tanah Rata yang sebelum ini dimenangi calon bebas.

DAP juga berpeluang menang kerusi Parlimen Cameron Highlands dan Raub yang mempunyai jumlah pengundi Melayu kurang 50%.

Isu Lynas yang panas di Kuantan memberi peluang besar kepada PKR untuk menang di kerusi Dun Semambu dan Teruntum , serta mengekalkan kerusi parlimen Kuantan dan Indera Mahkota.

Sokongan pengundi Cina yang akan bertambah kepada PR memberi peluang kepada PKR di kerusi Dun Ceka dan Benta dalam parlimen Lipis, Damak dalam parlimen Jerantut , Lanchang dalam parlimen Temerloh serta Jenderak dalam parlimen Kuala Krau. PKR juga dijangka menang di Parlimen Bentong.

Sokongan pengundi Cina yang akan bertambah kepada PR juga akan membantu PAS menang di kerusi Dun Tanjung Lumpur dalam parlimen Kuantan, mengekalkan kerusi Dun Baserah dalam parlimen Indera Mahkota dan Kuala Semantan dalam parlimen Temerloh. Begitu juga parlimen Temerloh, Lipis, Bera.

Kemenangan di kerusi majoriti Melayu yang ditandingi PAS banyak bergantung kepada kekuatan jentera PAS sendiri . Walaupun bertanding di kawasan felda, PAS mempunyai kekuatan sokongan Melayu yang hampir setanding dengan UMNO di beberapa kerusi Dun dan parlimen.

Antara kerusi Dun yang PAS berpeluang menang ialah Inderapura dalam parlimen Kuantan ,Jengka dan Kerdau dalam parlimen kuala Krau, Guai dalam parlimen Bera, Padang Tengku dalam parlimen Lipis, Tahan dalam parlimen Jerantut serta parlimen Kuala Krau dan Jerantut.

PAS mampu menang di kerusi-kerusi ini memandang ada di antara kerusi-kerusi pernah dimenangi PAS semasa PRU 1999.

Berdasarkan faktor jumlah pengundi Cina, isu Lynas, sokongan pengundi Melayu dan majoriti PRU12. PR berpeluang cerah menang 14 daripada 42 kerusi Dun dan 5 kerusi parlimen daripada 14 kerusi parlimen.

6 kerusi Dun yang DAP ada peluang cerah untuk menang :
1. Triang
2. Tras
3. Tanah Rata
4. Sabai
5. Ketari
6. Bilut

3 kerusi Dun yang PKR ada peluang cerah untuk menang :
1. Damak
2. Teruntum
3. Semambu

5 kerusi Dun yang PAS ada peluang cerah untuk menang :
1. Baserah
2. Kuala Semantan
3. Tanjung Lumpur
4. Inderapura
5. Jengka

5 kerusi parlimen yang PR ada peluang cerah untuk menang :
1. Kuantan
2. Indera Mahkota
3. Bentong
4. Cameron Highlands
5. Temerloh

Manakala PR juga ada peluang untuk menang di 9 kerusi Dun dan 5 kerusi parlimen tetapi tidak secerah kerusi di atas.

1 kerusi Dun yang DAP ada peluang untuk menang :
1. Mentakap

4 kerusi Dun yang PKR ada peluang untuk menang :
1. Ceka
2. Benta
3. Jenderak
4. Lanchang

4 kerusi Dun yang PAS ada peluang untuk menang :
1. Padang Tengku
2. Guai
3. Tahan
4. Kerdau

5 kerusi parlimen yang PR ada peluang untuk menang :
1. Raub
2. Jerantut
3. Bera
4. Lipis
5. Kuala Krau

Hanya jika menang kesemua kerusi di atas barulah PR boleh membentuk kerajaan dengan 23 daripada 42 kerusi Dun. Keadaan sukar inilah yang menyebabkan ramai yang tidak menjangkakan Pahang mampu ditawan PR dalam PRU 13.

Wassalam.

Sarawak Pula Bakal Terbelah?

Mohd Sayuti Omar
Keretakan BN Sabah sudah pun terserlah, ia bukan lagi retak yang menanti belah tetapi sudah terbelah. Cuma apa yang terbelah itu belum berpisah (tercabut) lagi, umpama kelapa yang dibelah dua, di antara satu sama hanya terikat dengan beberapa urat sabut sahaja.

Apakah majlis atau himpunan sempena hari Malaysia pada 15 dan 16 September yang bakal diadakan di Sabah dan Sarawak kelak akan menyaksikan dua 'tempurung' itu akan berpecah dan terpisah di antara satu sama lain?

Tanggal itu nanti akan ada beberapa tokoh BN di Sarawak mengistyharkan meninggalkan komponen yang mengusang itu?

Kita tunggu saja perkembangan di Sabah yang begitu mencemaskan UBN dan memberi sinar dan harapan baru kepada Pakatan Rakyat kini. Anwar Ibrahim sendiri nampaknya begitu konfiden dengan apa yang berlaku di Sabah dan Sarawak muasir ini. Buktinya kalau beliau tidak konfiden Sabah dan Sarawak akan mengenapkan korum untuk menguasai parlimen Malaysia, penasihat umum PKR itu tidak akan bermain dengan kata-kata atau janji lisan politik; kalau tak menang dia akan bersara. Sudah dua kali Anwar menzahirkan kononnya dia akan bersara kalau pilihan raya kali ini tetap juga tidak berpihak kepada Pakatan Rakyat.

Amat 'rohok' bagi seorang politik melafazkan perkataan bersara secara mudah. Perkataan bersara tidak ada dalam kamus orang politik. Betapa pun kalau sudah sampai masa bersara, di dalam persaraan itu pun mereka masih aktif dan terus memainkan peranan. Itu Mahathir Mohamad walaupun sudah pensiun tetapi ada kalanya lebih laju dan lantang dari mereka yang masih memegang kuasa. Mahathir tidak akan bersara penuh selagi Udin anak Yassin belum jadi PM dan anaknya Mukhriz menjadi timbalan Udin. Kalau pun dia ditakdirkan meninggal sebelum anaknya berjaya dalam politik mungkin keranda dan batu nisannya tetap akan berkempen untuk Mukhriz?

Mahathir berbeza dengan Abdullah Badawi yang mengotakan katanya bila sudah pensiun dia terus pensiun dan menjadi negarawan dihormati.

Apa tah lagi dengan Anwar yang gelora perjuangannya bukan berdebur dan mengamuk sejak beliau mengenali politik Umno, (1982) tetapi ia bermula di bangku sekolah lagi. Jadi saya tidak fikir Anwar semudah itu akan bersara, melainkan kata-kata yang dilafazkan itu satu ejekan atas keyakinannya selepas ini rakyat akan menukar kerajaan dan beliau bakal dinobat sebagai Perdana Menteri.

Munasabah dan berasas kalau Anwar berkeyakinan begitu. Malaysia Timur nampaknya akan menjadi pemacu kepada perubahan kerajaan di Malaysia. Istidraj politik nampaknya akan berlaku di negara ini. Yang akan menjadi pemangkin membalikkan kerajaan BN bukan di Semenanjung tetapi di Sabah dan Sarawak?

Tanda-tanda awal ini sudah jelas dan kini sedang menanti tanda-tanda pertengahan. Selepas Sabah terbelah, kini ia sudah memborak (merebak) ke Sarawak pula. Mungkin perpecahan di Sarawak tidak begitu ketara lagi. Justeru ada yang merasakan Sarawak masih menjadi simpanan tetap BN. Umno khasnya masih menyanyi lagu simpanan tetap 1 Malaysia. Tetapi sedarkah dengan beberapa perkembangan terbaru yang menjadi negatif kepada UBN sehari dua ini sedang berlaku di Sarawak? Adalah satu kesilapan bagi UBN dan Ha Najib Razak kalau menerima apa yang berlaku ini perkara biasa. Sikap menganggap fenomena itu perkara remeh bakal menjerat leher UBN dan Ha Najib.

Perkembangan yang bakal menyebabkan Najib akan menggaru kepala separuh botak yang tidak gatal itu ialah apabila beberapa pemimpin tertinggi BN di Sarawak termasuk Taib Mahmud sudah mula membuat jentikan minda kepada Najib dan memberi mesej jelas apabila beliau mahukan kerajaan Persekutuan (Petronas) membuat semakan ke atas royalti minyak 5% untuk Sarawak? Apakah maksud Taib Mahmud ini? Ia tidak boleh dipandang mudah dan makna di sebalik mesej itu yang dibuat dalam situasi hari ini hendaklah difahami searif mungkin.

Jika hubungan Taib dengan Najib lendik, tidak mungkin Taib akan membuat usikan itu. Taib tidak akan bergurau dengan Najib dalam keadaan seperti hari ini. Gurauan itu adalah gurauan biawak! Gurauan yang boleh meresahkan Najib. Atau kalau Sarawak hendakkan juga, Taib harus bersuara dalam senyap dengan membisikkan kepada Najib. Tetapi apabila dua menteri kanan Sarawak turut bersuara hal itu menunjukkan Sarawak sedang bermasalah dengan Kuala Lumpur, dan desakan itu terbuka.

Dua menteri kanan yang meminta kadar royalti petroleum untuk Sarawak dikaji ialah James Masing dan Fatimah Abdullah, demikian menurut sdr Musli Oli menerusi Fbnya. Mereka ini tidak akan menyuarakan subjek yang sensitif ini kalau tanpa restu Taib. Soalnya pula kenapa Taib mengizinkannya mereka menimbulkan perkara itu? Persoalan dan keluarbiasaan inilah yang perlu dimasukkan ke dalam mahkmal politik Najib untuk dianalisis.

Bagi seorang pemain politik yang bijak dan licit persis Taib waktu inilah untuk dia membuat apa-apa tuntutan kepada Najib. Taib adalah pengguna wang paling handal untuk ketahanan politiknya di rantau ini. Masa ini adalah terbaik. Dalam Najib belum selesai dan gagal menyelesaikan tuntutan beberapa perkara di Sabah menyebabkan tokoh-tokoh dan kerabat BN meninggalkan parti itu, inilah masanya untuk Taib mengerudi Najib. Politik mana ada belas kesihan dan simpati dan selalunya orang politik akan menyerang musuh dan kawannya sendiri waktu mereka sakit. Opotunis dan hipokrasi adalah dua dari empat rukun politik, 4C.

Apa perlu diingatkan Taib ada terasa hati dengan Najib semasa pilihan raya negeri Sarawak dulu bila mana Najib secara terbuka meminta Taib berundur demi menyelamatkan Sarawak. Gesaan itu meninggalkan kesan mendalam di hati Taib. Taib tidak akan melupai sama sekali gesaan itu yang dianggap ia adalah cabaran jiwa terbesar untuknya. Apakah dengan kesan itu tidak mustahil kalau Taib ingin mengajar Najib bagamaina untuk bermain dengan kuasa politik?

Mungkin Taib sedar tuntutan atau permintaan Sarawak itu akan dilayan. Dalam keadaan Najib memerlukan Sarawak setelah Sabah terbelah kini, bagi fikiran Taib, Najib akan memenuhinya. Kerana itulah beliau mengacah beruk ke atas Najib. Waluapun sukar Najib akan cuba memenuhinya demi menyelamatkan simpanan tetap dalam banknya di Sarawak.

Taib pula boleh saja untuk terus ugut Najib dengan membuat kenyataan kemungkinan PBB juga akan meninggalkan BN. Kalau inilah dibuat Taib Najib boleh jatuh pengsan terus dan Rosmah juga boleh tersalah ambil fesyen coli yang hendak dipakainya.

Kerenah Taib dan beberapa orang menteri kabinet Sarawak ini merimaskan Najib dan memberi denyutan baru di kepala Najib. Ia mungkin menyebabkan Najib akan terbang malam ke Sarawak pula kali ini seperti mana pernah dilakukan ke atas Sabah baru-baru ini. Beliau akan jadi seperti kucing kejatuhan anak, ke hulur dan ke hilir menyelesaikan masalah yang makin bertimbun dan menyerabut.

Dalam pada itu usikan Taib di Sarawak itu tambah menyakinkan padangan ramai bahawa pilihan raya umum ke-13 mungkin dilewatkan sampai ke tahun depan dan menyebabkan ramalan Sabah dan Sarawak bakal menjadi pemancu sebenar kepada perubahan kerajaan negara ini semakin nyata.

Minit mesyuarat bocor: Ada pengintip Umno dalam pimpinan PKR Pulau Pinang?

Ketua PKR negeri Datuk Mansor Othman kecewa apabila mendapati minit mesyuarat strategik parti itu berhubung persiapan untuk pilihan raya umum ke-13 dibocorkan di Internet.

Mansor yang juga timbalan ketua menteri 1 berkata beliau maklum dengan kebocoran tersebut dan kecewa kerana ia disiarkan bulat-bulat di blog yang kurang dikenali.

Beliau yang juga ADUN Penanti bagaimanapun berkata, kandungan maklumat itu – berhubung isu yang dibangkitkan berhubung pilihan raya akan datang, serta jawapan yang disediakannya – merupakan isu yang benar-benar diambil berat olehnya.

Beliau ketika ditemui di majlis rumah terbuka di Guar Perahu, Pulau Pinang berkata, beliau tidak dapat menerima kebocoran tersebut dan memerlukan masa beberapa hari untuk menyiasat perkara itu.

Blog gelagatanwar.wordpress.com bertajuk 'Gelagat Anwar' itu antara lainnya turut menyenaraikan individu yang hadir serta perbincangan mengenai agihan kerusi dan masalah yang dihadapi PKR di Pulau Pinang.

Dalam minit mesyuarat tersebut, Mansor antara lainnya juga didakwa menyifatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebagai seorang yang "angkuh".

Jual tanah IPD Brickfields kepada kroni Umno, KEADILAN lapor SPRM

Mohd Martin Kahar
PETALING JAYA, 23 Ogos: KEADILAN akan membuat laporan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu tanah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields yang dijual kepada kroni Umno.
Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar berkata, laporan yang akan dibuat minggu depan bertujuan mendapatkan penjelasan berhubung isu itu dalam masa terdekat selepas tidak berpuas hati dengan penjelasan daripada pihak yang bertanggungjawab.

“InsyaAllah minggu depan saya akan kumpulkan semua bukti yang ada termasuklah akta-akta berkaitan penggunaan tanah untuk diberikan kepada SPRM. Kita juga mengajak supaya rakyat yang mempunyai bukti yang boleh diguna SPRM supaya mereka yang bertanggungjawab dalam hal ini diheret ke mahkamah.

“Ini sangat serius kerana sehingga ke hari ini, tiada jawapan daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin berhubung peranan Senator Mariany Yit bagaimana tanah polis boleh dibeli,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini.

Nurul Izzah pada April lalu mendedahkan tapak Lot 18, tempat asal IPD Brickfields diberi kepada Ketua Wanita Umno Bukit Bintang, Senator Mariany Yit.

Tanah itu dianugerah kepada Mariany sebagai balasan syarikatnya, Primamuda Holdings Sdn Bhd membangunkan Lot 55, Balai Polis Jalan Travers.

Mariany sebelum ini dikatakan pernah memegang jawatan penting di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sehingga membolehkan beliau memperoleh projek berkenaan.

Lebuh Raya Rakyat: Bekas pegawai Kagat buat perjumpaan untuk kutip dana

Aslani M
KOTA BHARU: Bekas-bekas pegawai Kor Agama (Kagat) dan guru agama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menganjurkan satu perjumpaan bagi mengutip dana mengisi tabung wakaf Lebuh Raya Rakyat.

Jurucakapnya, Ustaz Mohamed Kassim berkata, perjumpaan tersebut akan diadakan pada 16 September ini di rumah Mejar (B) Nik Mat Deraman (Nik Mat Jeben) di Jalan Pasir Hor, Wakaf Che Yeh.

Katanya, kehadiran bekas-bekas pegawai Kagat dan guru-guru agama penting bagi mengumpul dana tersebut dan berjumpa semula selepas tamat berkhidmat sebagai anggota tentera.

“Saya bersama Mejar (B) Nik Mat dan Ustaz Abdu Mutalib Mat Yasin sebagai penganjur perjumpaan tersebut antara lain mahu berjumpa semula dengan bekas-bekas teman seperjuangan.

“Kami tidak berdaftar dengan Persatuan Bekas Tentera Malaysia, jadi kami perlu platform sendiri untuk menghimpunkan semula bekas pegawai Kagat dan guru agama ATM,” katanya di sini.

Beliau yang juga bekas Pegawai Waran 1 bersara sejak 14 tahun lalu berharap bekas rakan-rakan seperjuangan menghadiri perjumpaan berkenaan bagi membantu kerajaan negeri untuk melaksanakan agenda untuk rakyat.

Selain itu katanya, sebahagian besar bekas pegawai Kagat dan guru agama seangkatan dengannya pernah berguru dengan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika belajar di Maahad Muhammadi pada 1965-1967.

“Kami banyak menimba ilmu agama daripada Tok Guru Nik Aziz ketika itu. Jadi sekarang apa salahnya kita membalas jasanya dengan turut sama membantu kerajaan membina Lebuh Raya Rakyat,” katanya.

Menurutnya sebagai murid tua Maahad Muhammadi tanggungjawab bagi membangunkan negeri perlu dipikul bersama.

Oleh itu mereka yang berminat diminta menghubungi Ustaz Mohamad di talian 012 9083 478 atau Mejar (B) Nik Mat – 013 9382 672).

Takut kalah PRU, Dr M rayu rakyat undi ‘syaitan dalam BN’

Aisya Geoffrey
KUALA LUMPUR, 23 Ogos: Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa “lebih baik (memilih) syaitan yang anda kenali dari malaikat yang anda tidak kenal” membawa pengertian lebih baik mengundi “syaitan yang dikenali dalam BN” dari mengundi “Malaikat yang belum pasti dalam Pakatan Rakyat”.

Sakit kepala Mahathir memikirkan jika Anwar jadi PM.

Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan menafsir demikian dan menyifatkan tindakan mantan Perdana Menteri itu menyamakan BN dengan syaitan sebagai tidak pelik kerana Mahathir juga pernah menyebut Umno itu busuk hingga ke ususnya.

“Kenyataan Mahathir begitu mengejutkan dan agak menakutkan, SAMM sebagai anak muda progresif menghadapi sedikit kesukaran mentafsir, namun akhirnya tafsiran inilah paling sesuai untuk kenyataan ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut mengkritik Mahathir kerana menyamakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama.

“Perbandingan seperti ini adalah tidak relevan kerana latar belakang dan polisi perubahan yang berbeza.

“Namun SAMM melihat persamaan lebih relevan yang dimaksudkan Mahathir iaitu antara Obama dengan janji perubahannya dan Najib Razak dengan transformasi palsu serta janji yang tidak pernah ditepatinya,” kata Edy sinis.

“Salah satu para kenyataan Mahathir begitu mencuit hati kononnya “tidak ada jaminan Pembangkang bila menjadi kerajaan akan membenarkan BN kembali dan pegawai mereka akan mengugut sesiapa yang mahu menukar kerajaan,” katanya.

“Ia seolah-olah Mahathir sedang bercakap di depan cermin, kerana apa yang disebut itu adalah resam regim Umno BN, dan atas resam sebegini jugalah menjadi faktor penting mengapa rakyat perlu menolak BN,” jelas beliau sambil mengingatkan peristiwa pada malam kemenangan Pakatan Rakyat pada PRU 2008 di mana staf kerajaan negeri yang tiba-tiba bertugas pada malam tersebut bertungkus lumus melupuskan dokumen ‘rahsia’.

Tidak cukup dengan itu, katanya dokumen yang terkirai itu dibakar pula bagi menghilangkan ‘bukti’ dan kejadian seumpama ini mungkin berlaku pada malam pengiraan undi PRU-13 nanti dengan lebih panik jika BN tumbang.

Tambahnya, kenyataan Mahathir di dalam blognya itu membuktikan beliau sebenarnya akur dan mengakui perubahan sokongan rakyat pada PRU-13 yang akan menyebabkan Umno BN tumbang.

“Situasi inilah yang menggusarkan seorang bekas Perdana Menteri lantas terbitlah kenyataan berbaur ugutan dan cubaan menakutkan pengundi,” kata beliau lagi.

Lesen memandu seumur hidup, tak perlu diperbaharui setiap tahun

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Terasa susah untuk memperbaharui lesen memandu saban tahun. Apa kata jika ada tawaran supaya lesen memandu hanya dibuat sekali sahaja tanpa perlu pembaharuan?


Begitulah lontaran idea yang dikemukakan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Nasrudin Hassan di Twitter pagi ini.

“Hari ini ramai yang beratur dan merungut sebab kena perbaharui lesen (memandu) saban tahun. Saya cadang selepas Pakatan Rakyat memerintah, beri lesen memandu seumur hidup tanpa perlu renew,” tulis beliau.

Menurut Nasrudin, memperbaharui lesen memandu adalah antara perkara yang membebankan rakyat terbanyak.

“Kenapa tidak lesen memandu dikeluarkan tanpa perlu renew?” tanya beliau.

Ketika dihubungi Harakahdaily untuk mengulas lanjut mengenai mekanisme cadangan beliau, Nasrudin berkata hanya pemandu bermasalah, seperti yang sering melanggar undang-undang trafik sehingga lesen tergantung perlu memohon lesen memandu semula secara berkala.

“Bagi pesalahlaku trafik yang memohon lesen memandu semula, lesen memandu berwarna lain boleh dikeluarkan untuk membezakan mereka, yang memerlukan mereka untuk renew berkala jika berkelakuan baik untuk tempoh tertentu,” kata beliau kepada Harakahdaily.

Namun, katanya mekanisme perlu diperhalusi tapi matlamat yang terpenting ialah mengurangkan beban rakyat dalam memperbaharui lesen memandu.

“Dahlah setiap tahun kena renew cukai jalan dan insuran kereta. Kini, apabila banyak saman, cukai jalan disekat maka kereta tidak boleh digunakan.

"Sebenarnya tidak ada keperluan untuk rakyat untuk memperbaharui lesen memandu, sekali dapat dah cukup, asalkan jaga kelakuan di jalanraya lesen memandu ini hidup,” katanya.

Cadangan itu setelah diperhalusi, kata Nasrudin akan dibawa beliau untuk dibincangkan bersama PAS Pusat dan seterusnya Pakatan Rakyat.

Orang mati kat Pengerang kena tunggu sebulan lagi baru boleh tahu kat mana nak tanam?

Harakahdaily
JOHOR BAHRU: Penduduk Pengerang, Kota Tinggi di sini semalam memfaikan permohonan mendapatkan Perintah Certiorari bagi membolehkan semakan kehakiman dibuat terhadap keputusan kerajaan negeri yang mahu mengalihkan tapak perkuburan bukan Islam di situ.

Tindakan itu dibuat ekoran rasa tidak puas hati mereka terhadap keputusan kerajaan negeri itu yang disifatkan mengenepikan penduduk dan mementingkan pembangunan.

Kira-kira 40 penduduk semalam hadir di perkarangan bangunan Mahkamah Tinggi (Sivil) Johor Bahru bagi menunjukkan sokongan kepada panel peguam yang dilantik.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Mazlan Aliman ketika mengulas perkara itu berkata, tindakan penduduk Pengarang itu tidak boleh dilihat sebagai anti pembangunan.

Sebaliknya ujar beliau, ia adalah menifestasi rasa tidak puas hati penduduk terhadap jaminan masa depan tapak perkuburan sedia ada dan tapak perkuburan baru.

Menurut Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, ketika diadakan dialog bersama Pegawai Daerah Kota Tinggi dan UPEN pada 13 Ogos lalu, pihak yang berotoriti ini gagal memberikan jaminan tersebut.

"Yang menghairankan, dibuat pengumuman mana-mana kampung dalam lingkungan 22,500 ekar yang terlibat dengan pengambilan tanah, bila berlaku kematian, tidak dibenarkan lagi untuk di kebumikan di tanah perkuburan sedia ada.

"Bila ditanya nak dikebumikan di mana, jawapannya akan dimesyuaratkan dulu. Bila diasak bertubi-tubi oleh peserta dialog, akhirnya Pegawai Daerah dan Wakil UPEN minta tempoh sebulan untuk beri jawapan. Agaknya, kalau ada orang meninggal dunia (dalam tempoh itu), simpan dulu mayatnya," katanya.

Selain tanah perkuburan bukan Islam, difahamkan tanah perkuburan Islam juga akan turut dipindahkan ke suatu lokasi baharu yang sudah dikenal pasti.

Pengambilan tanah itu adalah bagi pembinaan projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak Dan Petrokimia (Rapid) yang bernilai RM60 bilion.