Flora Ong nyaris alami ‘nasib sama’ dengan Altantuya – Deepak

Ruqaya Rahman
deepokKUALA LUMPUR, 23 FEB: Flora Ong, wanita yang didedah Deepak Jaikishan kerana didakwa memiliki hubungan rapat dengan Datuk Seri Najib Razak, dipercayai hampir mengalami nasib sama dengan warga Monggolia, Altantuya Shaariibu.
Bercakap kepada Keadilan Daily, Deepak mengaku menerima arahan daripada Datin Seri Rosmah Mansor untuk mencari Flora di rumahnya di Ampang bersama beberapa orang lain untuk dibawa menemui isteri Perdana Menteri itu.

“Rosmah marah apabila dapat tahu Flora dianugerah projek dari suaminya. Bagaimanapun, Flora enggan mengikut Deepak untuk bertemu Rosmah kerana bimbang mengalami nasib sama seperti Altantuya,” katanya.

Deepak mendakwa, Rosmah mengarahkannya untuk mencari dan membawa Flora bertemu dengannya selepas mengetahui wanita berkenaan dianugerah dua kontrak secara runding terus oleh Najib Razak berdasarkan hubungan ‘rapat’ mereka.

Katanya, Flora dianugerah projek bernilai RM2 bilion di Sabah dan Sarawak yang dibayar pendahuluan melalui sebuah bank utama Amerika berpangkalan di Singapura manakala satu lagi projek ialah rawatan air di Lembah Pantai.

“Bagaimanapun, hal ini ‘reda’ beberapa hari kemudian selepas Setiausaha Kanan Politik dari Kementerian Kewangan, Datuk Zakiah Ibrahim yang bertanggungjawab memperkenal Flora kepada Najib, dipecat..
“Saya juga diarah menyampaikan amaran kepada Flora supaya tidak berhubung dengan Najib,” katanya.

Raja Nazrin: Antara PAS dan Umno

Arifin Mohamad
Ditakdirkan Allah penulis dijemput hadir ke majlis wacana perpaduan ummah anjuran DBP pada 19 Februari 2013 dengan acara kemuncaknya ialah titah Diraja DYMM Dr.Raja Nazrin.

Apa yang ingin sangat penulis kongsikan maklumat kepada masyarakat di Malaysia ialah mengenai inti titah Diraja DYMM Raja Dr. Nazrin yang jujur dan berpandangan jauh dalam isu perpaduan ummah yang membabitkan UMNO dan PAS sebagai dua kuasa politik Melayu di negara ini.

Antara mesej titah baginda ialah;

i) PAS kini bukan lagi parti tok lebai dan guru pondok tapi parti yang dipimpin dan dianggotai oleh golongan ulamak, professional, teknokrat dan pelbagai kategori masyarakat yang kini berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan UMNO.

ii) Kehebatan PAS yang tidak ada pada UMNO ialah ketinggian peribadi pimpinan dan ahli-ahli PAS yang membudayakan hidup dengan masjid dan surau serta tazkirah dan syarahan agama dan tidak berpoya-poya.

iii) Kekuatan PAS sebagai wadah kepimpinan ummah kini setanding dengan UMNO dari segi kemampuan mentadbir Negara dan kedua-dua parti politik ini sama-sama mempunyai peluang menjadi juara ummah di Malaysia.

iv) Pendekatan kerjasama PAS dengan non muslim merupakan kemantangan pimpinan PAS dan merupakan strategi ampuh PAS dalam menyaingi UMNO khususnya dalam PRU 13.

v) Dalam menghadapi PRU 13 PAS dilihat lebih selesa kerana berada pada posisi offensive berbanding UMNO yang terpaksa defensive kerana dilingkari pelbagai isu kepimpinan, kronisme rasuah dan penyelewengan.

vi) UMNO dititahkan sebagai kurang berintegriti dalam menerajui pentadbiran negara kerana berlaku salah urus tadbir, kronisme,penyelewegan dan rasuah.

vii) UMNO dititah sebagai parti yang salah mendidik golongan muda yang kini diajar dan diasuh dengan budaya politik samseng yang mencemar demokrasi, menghakis keyakinan massa dan menjejaskan perpaduan di Negara ini.

viii) UMNO diititah telah melanggar dan membelakangi semangat perlembagaan persekutuan kerana menafikan prinsip dan tuntutan federalism atas negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang, walhal negeri-negeri tersebut di pilih oleh rakyat melalui demokrasi yang sah.

Berdasarkan mesej titah DYMM Raja Dr. Nazrin yang lahir dari kesucian hati baginda seperti senarai di atas, penulis mentafsirkan bahawa baginda DYMM Raja Dr.Nazrin menaruh keyakinan akan kemampuan PAS sebagai parti yang berpedomankan agama dalam mengurus Negara, memelihara dan memartabatkan ummah.

Justeru, maka kerapkali dalam titah baginda disebut PAS sebagai parti islam.

Selain itu, penulis mentafsirkan bahawa sikap dan pendirian PAS yang konsisten menolak kerjasama dengan UMNO serta membentuk wadah baru bersama PKR dan DAP adalah tindakan bijak, berpandangan jauh dan berada di atas landasan yang betul khususnya dalam menghadapi PRU 13.

Najib salahkan pembangkang atas kesilapan di Palestin & SKANDAL ‘BERLIAN’ Rosmah

Maria Begum, Malaysia Chronicle
Najib salahkan pembangkang atas kesilapan di Palestin & SKANDAL ‘BERLIAN’ RosmahPKR menjawab Perdana Menteri yang sering ditimpa skandal, Najib Razak dengan menuduhnya bersembunyi dibelakang isterinya dan tidak berani berhadapan dengan segala tuduhan korupsi yang dilemparkan keatas pentadbirannya dan juga keluarga.
Ia amat menyedihkan apabila Najib, yang jarang menyentuh hal yang berkaitan isterinya, dia telah cuba mematahkan kritikan bahawa ada kemungkinan dia diserang dengan tuduhan rasuah kerana memberi lebih peruntukan yang lebih banyak dan juga kontrak-kontrak baru. Tetapi apabila ada yang menunjukkan bukti dalam bentuk dokumen bahawa dakwaan rasuah terhadap dirinya dan juga Rosmah cukup untuk siasatan dijalankan, dia terus berdiam diri. Ini tindakan pengecut dan bukan anak jantan,” timbalan presiden PKR, Tian Chua memberitahu Malaysia Chronicle.
Tian, ahli parlimen Batu, memberi reaksinya selepas Najib berucap pada pagi Selasa, dimana Najib telah mencadangkan agar Permata, sebuah badan kebajikan kanak-kanak bekerjasama dengan Majis Kebangsaan Pertubuhan Wanita untuk membina lebih banyak pusat penjagaan kanak-kanak kerana sudah ramai wanita yang bekerja. Isterinya yang sering dibelenggu skandal merupakan penaung Permata.

Lupakan bahawa isteri saya terlibat. Beri kerjasama dengan Permata kerana ia merupaka program yang komited dengan pendidikan awal kanak-kanak. Kita tahu bahawa pihak pembangkang akan merendah-rendahkan rancangan ini kerana Permata terlibat. Pihak pembangkang tidak konstruktif. Mereka hanya tahu memperkecil-kecilkan segalanya,” kata Najib.

Masih malu dengan peristiwa di Palestin
Jelaslah bahawa Najib, yang telah malu baru-baru ini semasa lawatannya ke Timur Tengah, masih belum pulih dari peristiwa itu. Dalam ucapannya, Najib sekali lagi menyalahkan pembangkang di Malaysia yang diketuai oleh Anwar Ibrahim atas kejadian yang menimpa dirinya.

“Lawatan saya di Gaza pun diperkecil-kecilkan. Mereka tidak konstruktif,” Najib telah menyuarakannya semasa memberi ucap tamanya di seminar Wanita Sebagai Pemangkin Transformasi Negara.

Namun, bukanlah Anwar, tetapi Presiden Palestin sendiri, Mahmoud Abbas yang membidas Najib. Marah dengan tindakan Najib yang memperlekehkan partinya, Fatah, Mahmoud menuduh PM Malaysia itu cuba untuk mencampuri urusan politik Palestin dengan kenyataannya yang sengaja mencari masalah. Sebab lawatan ini juga adalah untuk memisahkan Jurusalam dari Palestin yang telah diiktiraf dunia pada 29 Nov 2012,” dalam kenyataan yang dipetik dari pejabat Mahmoud.
Palestin ditadbir secara berasingan oleh parti Hamas dan Fatah di Gaza dan Tebing Barat. Hamas diundi untuk menerajui kerajaan dengan Ismail Haniyeh sebagai perdana menteri pada tahun 2006 selepas pilihanraya namun masyarakat enggan mengiktirafnya.

Sebaliknya, presiden bagi Palestin selalunya dari parti Fatah termasuk Allayarham Yasser Aarafat.

Bila ditanya tentang kemarahan Palestin, Anwar berkata bahawa Najib tidak memenyelidiki dahulu dan natijahnya, telah melakukan kesilapan besar diperingkat hubungan diplomatik. Tiada masalah jika melawat kedua-dua Tebing Barat dan Gaza…tetapi saya rasa dia kurang bijak kerana sepatutnya dia berjumpa dengan kedua-dua belah pihak.

Anwar telah menambah, dalam keadaan Najib yang mahu menunjuk kepada orang Islam di Malaysia,dia telah menyinggung parti Fatah dan juga merosakkan imej Malaysia kerana gagal menunjukkan hubungan luar yang adil dan seimbang. Pendapat Anwar dikongsi oleh rakan-rakannya dalam PKR.

“Apa kena mengena dengan Pembangkang disini, bukan kami yang menulis ucapannya. Dia telah memperbodohkan dirinya sendiri di persada antarabangsa dan ini menjadi lebih teruk apabila media arus perdana Malaysia cuba memutarbelitkan cerita. Mereka tidak sepatutnya membuat kenyataan yang melampau dengan menyatakan bahawa lawatan itu berjaya dan Najib telah menjadi wira di mata masyarakat antarabangsa tetapi realitinya, ia adalah sebaliknya,” kata Tian.

Pasangan pertama bermasalah menjadi sasaran parti sendiri
Pasangan pertama Malaysia yang bermasalah ini telah berada dalam situasi yang genting sejak Najib menjadi perdana menteri Malaysia yang ke-6 empat tahun yang lalu. Popularitinya telah menurun kepada 63% merupakan peratusan terendah pernah diterima oleh mana-mana PM yang sedang menjawat jawatan itu.

Sebulan yang lalu, Najib menyepi seketika menimbulkan khabar angin kuat bahawa dia telah mengidap strok akibat tekanan dan telah mendapatkan rawatan di Singapura. Penyakit ini berlaku selepas seorang peniaga kontroversi, Deepak Jaikishan membuat beberapa pendedahan terhadap dirinya serta isteri.

Najib sepatutnya berhenti memberi alasan dengan menyalahkan pihak pembangkang. Jika dia benar-benar tidak bersalah, dia seharusnya menjawab tuduhan Deepak satu persatu dan menyelesaikannya untuk membersihkan namanya dengan cara
terhormat dihadapan rakyat. Beginilah seorang PM yang baik dan bersih seharusnya bertindak, bukan seperti anak-anak menyalahkan pembangkang apabila dia dan isterinya perlu memberi penjelasan pada rakyat,” ketua bahagian jawatankuasa disiplin, Tan Kee Kwong memberitahu Malaysia Chronicle.

Walaupun Deepak mempunyai salinan invois sebagai bukti dia telah membeli barangan kemas untuk Rosmah yang bernilai RM 13 juta untuk mendapatkan perjanjian penswastaan tanah kementeriaan pertahanan yang juga melibatkan Raja Ropiaah, ketua wanita Umno Selangor, Najib enggan memberi maklumbalas selama 2 bulan sebelum menegaskan bahawa Deepak bukanlah seorang yang mempunyai kredibiliti.

Kelakuan yang aneh dan hubung kait yang boleh dipersoalkan

Tidak hairanlah tindak balas yang lemah dari Najib menjadikan Deepak semakin berani.
“Nampaknya jawapan dari kamu yang ‘tiada kredibiliti’ kerana apa yang saya sudah dedahkan dengan begitu jelas sekali tentang kes ini adalah kebenaran. Saya cadangkan bahawa PM kita sekarang menjelaskan kebenaran tentang akaun bersumpah 2 (SD2) kepada rakyat Malaysia dan bukan hanya duduk di atas kerusi PM dan menjadi bahan kutukan sahaja! Apa yang paling penting adalah anda dan isteri anda tampil ke hadapan sekarang untuk mendedahkan kebenaran kepada semua rakyat Malaysia mengapa dia mengarahkan saya untuk menterbalikkan SD2 dan kenapa anda berdua mengarahkan Dato Nazim, Tan Sri Cecil & Suresh untuk melakukan perkara menyalahi undang-undang dengan menerbalikkan SD pertama dahulu? Bukankah ini kerana SD pertama adalah benar? " kata Deepak.

Dahulu menjadi teman akrab Rosmah, Deepak yang berusia 40 tahun telah mengejutkan negara apabila dia menyokong dakwaan penyiasat persendirian, P Balakrishnan, bahawa pasangan pertama Malaysia terlibat dalam pembunuhan Altantuya Shaaribuu. Deepak mengulangi apa yang Bala kata, bahawa ia adalah Nazim, adik Najib yang membayar Bala sejumlah wang yang banyak untuk menarik balik akuan bersumpah dan meninggalkan negara.

Bala pada tahun 2008 telah mengeluarkan suatu akuan bersumpah (SD1) yang jelas membabitkan Najib dan Rosmah dalam pembunuhan itu. Dia menarik balik SD1 dalam tempoh 24 jam, menggantikan ia dengan akuan bersumpah 2 (SD2). Menurut Deepak, Rosmah telah merayunya untuk membantu "memudahkan" penarikan balik kenyataan Bala yang mengaitkan mereka.

Selain daripada pembunuhan Altantuya yang dikaitkan dengan dakwaan Najib menerima rasuah RM570 juta untuk bersetuju membeli 2 kapal selam Scorpene dari firma Perancis DCNS, Rosmah juga telah memalukan negara dengan dakwaan pembelian cincin berlian RM24 juta – yang sememangnya di luar kemampuan mereka walaupun dengan gaji yang tinggi dan faedah yang dinikmati sebagai pasangan pertama negara.

Walau bagaimanapun, dalam mempertahankan isterinya, Najib dituduh pembangkang "kehabisan idea" untuk menyerang pentadbirannya dan terpaksa melakukan serangan peribadi dengan menjadikan Rosmah sebagai sasaran. Rosmah juga mendakwa bahawa dia telah menjadi sasaran nombor satu pembangkang, walaupun bukan seorang ahli politik.

Ismail Kamus calon tepat DUN Gombak Setia

Fazy Sahirn 
Spekulasi Pilihan Raya
PETALING JAYA: Datuk Ismail Kamus yang merupakan penceramah bebas dan terkenal dengan ceramahnya masih disebut-sebut menjadi calon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia.
Walaupun faktor kesihatan beliau masih menjadi isu, namun menurut sumber ketokohan Ismail sebagai calon tiada tolok bandingnya.

Ismail pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Gombak Setia pada tahun 1999 sehingga 2004.

Bekas Exco Selangor yang juga Adun Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Ali mengisytiharkan dirinya sebagai calon bebas.

Hasan Ali dipecat oleh PAS dan kini bergerak sebagai wakil rakyat bebas dan menubuhkan sebuah NGO iaitu Jalur Tiga (Jati).

Maka kerusi DUN Gombak Setia yang masih diwakili oleh PAS dalam Pakatan Rakyat masih belum diisi calon yang sesuai.

Saingan tiga penjuru

Menurut sumber, jika Hasan masih bertanding di kerusi berkenaan tidak mustahil berlaku pertandingan tiga penjuru antara PAS-Barisan Nasional-Bebas.

PAS menurut sumber mahu mengekalkan kerusi DUN Gombak Setia dan nama Ismail merupakan calon tepat untuk menyaingi Hasan di kawasan tersebut.

Sumber tersebut berkata, jika Ismail diletakkan sebagai calon di kawasan berkenaan kemenangan akan berpihak kepada PAS.

Ini menurut sumber, Hasan yang mula menjadi Adun sejak 2008 didakwa jarang bertemu dengan rakyat ketika menjawat jawatan sebagai Exco Selangor.

Peluang cerah untuk Ismail sekiranya diletakkan sebagai calon memandangkan beliau sudah dikenali oleh pengundi di kawasan tersebut.

Jika kedua-dua calon berkenaan bertanding, maka kerusi DUN Gombak Setia akan memperlihatkan pertandingan di antara dua tokoh agama yang mempunyai personaliti berbeza.

Sumber turut meramalkan Ismail Kamus mampu menang di DUN Gombak Setia kerana faktor beliau sebagai bekas Adun dan penceramah bebas.

Manifesto Rakyat, kesukaran PAS dan polemik Haron Din

Ahmad Lutfi Othman
MANIFESTO Pakatan Rakyat bakal dibentangkan Isnin depan, sekali gus memulakan kempen rasmi berdepan PRU13 yang paling sengit dan mendebarkan itu. Berbeda dengan siri pilihan raya sebelumnya, yang menyaksikan tawaran oposisi jarang diberi perhatian istimewa, kali ini ia benar-benar dinanti dan akan dihalusi.

Sebelum ini, Buku Jingga, yang dilancarkan lebih dua tahun lalu, mendapat reaksi yang luar biasa hebatnya. Tawaran yang dikemukakan begitu memikat imiginasi masyarakat umum, terutama melalui perincian 100 hari pertama pemerintahan Pakatan selepas memperolehi mandat rakyat.

Tentu sekali pemimpin BN dan media talibarutnya secara intensif melemparkan kecaman dan serangan berterusan bagi memburukkan dokumen tersebut, namun ia menyumbang promosi lebih menyeluruh terhadap tawaran Pakatan.

Kesan positifnya, Buku Jingga menjadi sebutan dan perbincangan di mana-mana. Pihak kerajaan, termasuk Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, mengambil jalan mudah -- tanpa sanggahan berfakta -- mendakwa negara akan bankrap jika janji-janji Pakatan dilaksanakan.

Di kala Pakatan mengemukakan hujah dan rasional, memberi fokus kepada isu-isu rakyat dan polisi penting, BN masih bermain sentimen dan emosi.

Saya percaya tumpuan umum pelbagai lapisan masyarakat akan terpusat kepada pelancaran Manifesto Rakyat, 25 Februari, di Pusat Konvensyen Shah Alam itu. Seluruh negara bukan saja mahu mendengar pakej tawaran baru tetapi juga perincian dan justifikasi bagaimana ia boleh dilaksanakan dengan berkesan, termasuk fasa-fasa masa yang diperlukan.

Mengetahui orang seperti Rafizi Ramli dan teman-teman baiknya dalam Pakatan, termasuk Dr Dzulkefly Ahmad, yang bertanggungjawab merumuskankan draf akhir manifesto, saya jangkakan strategis kempen BN pasti tidak senang duduk!

Berdasarkan kajian terbaru Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UMCEDEL, tawaran-tawaran yang lebih spesifik, seperti janji menurunkan harga minyak, janji pemansuhan PTPTN dan menyediakan pendidikan secara percuma, dan janji penurunan harga kereta, dilihat boleh meningkatkan sokongan kepada Pakatan.

Secara timbal baliknya, isu-isu berkaitan integriti dan penyalahgunaan kuasa pemimpin BN atau secara khusus membabitkan kes-kes NFC, kegagalan mengawal kenaikan harga barang. serta kelemahan dalam menguruskan ekonomi sehingga berlaku peningkatan hutang negara, telah menarik perhatian responden sebagai isu-isu yang boleh menjejaskan sokongan kepada BN.

Ini bermakna, pengundi akan menilai dengan cermat dan teliti, sejauh mana BN dan Pakatan, berusaha menangani isu-isu yang menyentuh langsung kehidupan seharian rakyat. Dan antara kayu ukur awal ialah manifesto yang bakal dikemukakan kedua-dua gabungan parti itu.

Kesan tawaran Pakatan, misalnya berkaitan penurunan harga kereta, membuatkan ramai menangguhkan hasrat mereka untuk membeli kenderaan baru. Apa pun, rakyat lebih mengharapkan satu pelan menyeluruh ditampilkan, berkaitan pelbagai segmen khusus, seperti rawatan kesihatan, agenda wanita, peningkatan pendapatan isi rumah dan lain-lain.

Diharapkan perdebatan tentang isu-isu yang real ini, daripada pembentangan manifesto masing-masing nanti, dapat menenggelamkan (kalaupun tidak menamatkan) polemik berterusan yang ditimbulkan Umno-BN, yang berlegar sekitar sentimen perkauman, politik jahat, permainan emosi dan seumpamanya.

Sebagai pengamal media yang sering membangkitkan isu kebebasan, saya tertarik dengan jaminan Pakatan untuk "menghapuskan semua undang-undang, yang menyekat kebebasan media dan mewujudkan suasana media yang berat sebelah, termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta prosedur perlesenan media."

Sebagai rakyat prihatin yang sentiasa mempersoalkan undang-undang rimba, seperti ISA, saya teruja dengan janji-janji Pakatan untuk memansuhkan semua undang-undang anti-rakyat, dengan langkah-langkah berikut:

"Semakan menyeluruh ke atas semua undang-undang yang bertentangan dengan prinsip keadilan dan kebebasan rakyat atau bersifat anti-rakyat. Memansuhkan semua undang-undang dan peraturan ini dalam tempoh tahun pertama pentadbiran Pakatan. Menguatkuasakan Akta Pemulihan Demokrasi untuk mengukuhkan lagi hak rakyat. Kerajaan Persekutuan membebaskan dan memohon maaf kepada semua tahanan ISa dari dulu hingga sekarang."

Semasa Rafizi mengisi slot khas dalam retreat Jabatan Pengarang Harakah bulan lalu, Pengarah Strategi KeADILan itu menimbulkan satu persoalan menarik, iaitu bagaimana Pakatan menangani masalah rasuah dan korupsi yang berleluasa sekarang, melalui satu pelan menyeluruh dan holistik.

Saya, seperti majoriti rakyat lainnya, yang sudah muak dan jelak dengan amalan salahguna kuasa, menarik nafas lega dengan cadangan Pakatan memperkenalkan Dasar Banteras Rasuah Negara (DEBARAN), yang dijangka, antara lain, merombak amalan dan proses SPRM agar tumpuan diberikan sepenuhnya kepada siasatan dan pendakwaan terhadap kes-kes rasuah besar, melibatkan kepentingan awam sekali gus membuang persepsi bahawa SPRM hanya menumpukan kes kecil sedangkan rasuah pembesar negara dipadamkan.

II.
Secara jujur, saya melihat kegusaran mengenai kecenderungan pengundi Melayu masih belum berjaya diatasi sepenuhnya. Ada pihak mendakwa, sepanjang lima tahun terakhir ini, sokongan mereka kepada Pakatan, khususnya PAS, tidak mencatatkan banyak peningkatan.

Saya tidak pasti apakah ada sandaran kukuh terhadap kerisauan itu ketika semakin ramai tokoh-tokoh masyarakat menyertai PAS dan banyak kawasan yang sebelum ini dikenali sebagai kubu Umno telah ditembusi. Sekurang-kurangnya mesej PAS dapat disampaikan kepada khalayak yang lebih meluas.

Memang sikap over confident bahawa Pakatan mampu menerajui Putrajaya dalam PRU13 mempunyai keburukan tertentu, sehingga membuatkan aktivisnya memandang mudah dan alpa, tetapi kebimbangan dan ketakutan tanpa asas kemungkinan orang Melayu tidak bersedia berubah, juga perlu dielakkan.

"Dalam sejarah lebih 60 tahun penubuhannya, PAS kini berada pada tahap paling kukuh," kata seorang penganalisis politik. "Walaupun kerusi Parlimen yang dimenanginya kurang sedikit daripada 1999, tetapi sokongannya tambah merata termasuk di Johor. Malah ramai personaliti terkemuka lebih berminat mendekati PAS, terpulang kebijaksanaan pemimpin utama untuk mengolahnya, " tambahnya.

Cuma, PAS kini terpaksa bertembung langsung dengan Umno, parti utama dalam BN, yang menguasai seribu satu sumber kekuatan. Namun begitu, Umno juga dalam proses pereputan, natijah pelbagai jenayah besar sejak merdeka.

Proses urbanisasi, fenomena langit terbuka, peningkatan tahap pendidikan dan pembesaran kelas menengah dikatakan faktor memperkukuhkan pengaruh Pakatan, termasuk PAS. Semakin rakyat bermaklumat dan berilmu, mereka kian menjarakkan diri dengan Umno-BN.

Saya akui kerap mengingatkan penggerak Pakatan, khususnya PAS, agar usah meremehkan pengaruh propaganda bagi mengekalkan kuasa BN yang disebarkan melalui media tradisi seperti Utusan Malaysia dan TV3.

Ia bertujuan untuk mencabar dan menyemarakkan lagi usaha penerangan dan penjelasan ke seluruh pelosok, seperti kampung tradisi dan penempatan Felda. Minda Melayu yang terjajah dan terkepung itu harus dibebaskan.

Sebenarnya dakyah Utusan dan TV3 tidaklah terlalu sukar untuk dipatahkan. Edaran akhbar itu pula semakin merosot dengan ketara, manakala siaran Buletin Utama TV3 sering dipersendakan, seperti kes "Himpunan Shamsidar", apatah kredibiliti sumber beritanya cukup rendah.

Oleh itu, bukan hanya media baru perlu ditingkatkan wilayah pengaruhnya ke segenap ceruk rantau, malah akhbar alternatif, seperti Harakah dan Suara Keadilan, perlu sampai ke setiap rumah pengundi Melayu. Biar mereka dapat membuat penilaian dan penghakiman sebaiknya. Malang sekali, sehingga kini, jaringan pengedaran itu tetap terbatas.

Tidak dinafikan PAS berdepan tugas paling sukar dan kritikal berbanding DAP dan KeADILan, namun "semakin pekat malam, maka semakin dekatlah fajar menyinsing". Begitu perit tribulasi dan berat kepedihan yang menimpa pemimpin dan ahli-ahli parti selama lebih 60 tahun; PAS bukan saja bertahan tetapi berkembang pesat.

Prinsip perjuangannya disanjung, akhlak dan komitmen penggerak PAS dihormati kawan dan lawan. Justeru, benteng pengundi Melayu-Islam yang dikatakan menjadi penyelamat Umno-BN pada 2008 tidak semestinya kekal kebal. Ia hampir roboh dan musnah.

Jadi mengapa perlu gerun dengan parti bobrok yang bakal ditelan sejarah itu? "Janganlah tindakan kita yang keliru, walaupun tanpa sedar, boleh menyebabkan Umno dapat mengembalikan kekuatannya untuk terus mempertahankan kuasa," ingatan seorang profesor sastera kepada saya. "Harapan kami hanya kepada Pakatan, jangan sesiakan," tambahnya.

III.
Isnin lalu, saya sempat berkunjung ke rumah Dr Haron Din, di Bandar Baru Bangi. Saya tidaklah berhasrat menimbulkan khabar angin yang tersebar luas dalam internet mendakwa beliau keluar PAS, banyak lagi perkara lain yang lebih urgent.

"Kalau Ustaz Haron Din betul keluar PAS, pasti Utusan dan TV3 terlebih dulu menghebohkannya," saya membalas SMS seorang rakan yang bertanyakan berita palsu itu. Rupanya ramai lagi yang tertanya-tanya isu yang sama.

Kenalan rapat dari Alor Setar, sebaik mengetahui saya di rumah Timbalan Mursyidul Am PAS itu, minta bertanyakan kerana "aku nak dengar sendiri penjelasannya".

Sambil minum petang dan menikmati karipap panas, Dr Haron menegaskan: "Saya pertegaskan sekali lagi, bahawa saya dalam menghadapi isu kalimah Allah atau isu yang berhubung dengan apa sahaja pendirian PAS dengan DAP, saya tidak pernah terfikir untuk meninggalkan perjuangan bersama PAS.

"Tidak terlintas dalam benak saya, bahawa saya akan keluar PAS dalam menghadapi isu ini. Melawak tidak pernah, bercakap pun tidak pernah. Selepas bersama dalam perjuangan, tidak terfikir hendak keluar PAS.


"Malah Perhubungan PAS Perlis telah menawarkan saya bertanding dua kerusi, Dun dan Parlimen dalam PRU13 walaupun saya daripada awal minta tidak disenaraikan kerana tidak cukup sihat fizikal."

Dr Haron berkata, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jassin sendiri menawarkan kerusi yang disandangnya. Begitu juga dengan seorang lagi Adun PAS (Simpang Empar), Rus'sele Eizan.

"Saya juga ditawarkan Parlimen Arau. Pada 2008 saya kalah 300 undi sahaja. Saya tolak tawaran itu. Mesyuarat tidak terima pandangan saya, mereka kata akan bantu dan tampung kelemahan saya. Akhirnya saya terima satu sahaja, iaitu Parlimen Arau," ujarnya.