MH370: Pembantu juruterbang buat panggilan telefon dari ruang udara Pulau Pinang,

Salah seorang juruterbang pesawat MH370 cuba menghubungi seseorang menerusi panggilan telefon ketika pesawat tersebut terbang serendah 5000 kaki di ruang udara Pulau Pinang pada hari kehilangannya, lapor akhbar New Straits Times (NST) hari ini.
Laporan eksklusif akhbar itu berkata panggilan tersebut datangnya dari telefon bimbit milik pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid (gambar).

(NST menamakan pembantu juruterbang tersebut sebagai Fariq Abdul Rahman, sedangkan nama sebenarnya ialah Fariq Abdul Hamid)

Sumber maklumat dari penyiasat kes itu memberitahu NST, setiap maklumat sedang dikumpulkan bagi merungkai apa yang sebenarnya berlaku kepada pesawat tersebut yang hilang dengan 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac.

Difahamkan pesawat Boeing 777-200 ER itu terbang pada ketinggian yang cukup rendah bagi membolehkan isyarat telefon bimbit dikesan oleh pemancar telekomunikasi di darat.

Panggilan tersebut bagaimanapun terputus sebelum sambungan berjaya dilakukan, menurut laporan NST itu lagi, sambil menambah sumber tersebut enggan mendedahkan siapa yang dihubungi oleh Fariq.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihak polis merekodkan lebih 205 keterangan daripada pelbagai pihak, termasuk anggota keluarga penumpang dan anak kapal penerbangan MH370, bagi membantu siasatan berhubung kehilangan pesawat berkenaan.

Khalid berkata lebih ramai lagi akan dipanggil untuk membantu siasatan dan polis tidak akan mendedahkan hasil keterangan bagi mengelakkan gangguan siasatan.

MH370 hilang pada 8 Mac ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing. Sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat yang disertai pelbagai negara di selatan Lautan Hindi gagal menemui sebarang serpihan. - 12 April, 2014.

Mesti baca AWAS!! Seluar ketat mudarat kesihatan menyukarkan penghadaman makanan

Hazril Md Nor
Tidak dinafikan, ramai orang sukakan gaya mengikut fesyen terkini dan digilai ramai, lebih-lebih lagi golongan remaja. Mereka sering menukar penampilan mengikut peredaran zaman. Remaja lelaki khususnya gemar memakai seluar ‘skinny’ dan mengikut fesyen yang digemari wanita itu.

Apa yang paling menarik ialah seluar ‘skinny’ itu terbukti menjadi kegilaan ramai selain meraih populariti dalam kalangan remaja Malaysia. Pemakaian seluar jenis ini sebenarnya bertujuan untuk kelihatan lebih bergaya, namun terdapat remaja memakainya untuk kelihatan lebih kurus daripada saiz badan sebenar. Kebiasaannya seluar dipakai itu ketat kononnya untuk kaki tampak kecil dan elok dipandang.

Ramai remaja menghadapi pelbagai kesukaran apabila menyarungkan seluar yang terlampau ketat itu. Ada yang sampai melompat-lompat kerana saiz pinggang terlalu kecil. Walaupun begitu, ada saja yang taksub sehingga tidak memikirkan kesan buruk.

Hakikatnya, pakaian diciptakan bukan untuk memberikan bentuk atau saiz badan yang kita tidak miliki dan di situlah remaja menghadapi masalah. Banyak masalah kesihatan timbul akibat daripada pemakaian seluar yang terlalu ketat itu.

Masalah kesihatan

Berdasarkan kajian daripada pakar bedah vaskular Dr Nicholas Morissey, pemakaian seluar ‘skinny’ yang ketat boleh menjadikan kaki anda rasa kebas pada paha atau lebih dikenali sebagai ‘meralgia paresthetica’.

Menurut Morissey, terdapat saraf deria datang daripada pelvis yang bertindak memberikan sensasi ke bahagian paha anda.

Remaja yang memakai seluar ‘skinny’ yang ketat bagaimanapun merasa kebas akibat daripada pengecilan saraf pada paha itu. Ketika duduk, paha akan mengalami tekanan tinggi dan apabila berdiri, anda tidak akan dapat rasakan pergerakan kaki. Menurut Morissey, keadaan ini tidak berbahaya namun apabila ia kerap berulang, maka ia boleh menyebabkan keadaan kaki kejang itu berkekalan.

Pakar neurologi, Dr John Michael Li pula berkata, remaja yang menderita sindrom seluar ketat biasanya akan rasa tidak selesa pada abdominal, pedih ulu hati dan masalah sendawa apabila memakai seluar ketat itu.

Kebiasaannya seluar yang dipakai bersaiz tiga inci yang terlalu kecil untuk saiz pinggang seseorang remaja.

Penasihat perubatan, Dr Orly Avitzur pula memberitahu bahawa makanan tidak akan hadam apabila terdapat tekanan pada bahagian abdomen. Pemakaian seluar ketat ini boleh membawa kepada masalah lebih serius seperti makanan tidak boleh dihadamkan dengan betul dalam kalangan remaja yang menghadapi masalah pedih ulu hati. Seluar yang terlalu ketat memburukkan lagi keadaan itu.

Lelaki terutamanya perlu berhati-hati dan mengambil berat dalam aspek pemakaian. Jika mereka tetap memilih seluar ketat sebagai pelengkap fesyen, risikonya amat tinggi. Misalnya, remaja lelaki akan hadapi masalah kilasan testis di mana satu testis akan berpintal dengan sendirinya. Jika tidak dirawat, pintalan itu akan memotong peredaran darah dan seterusnya testis akan mati.

Selain itu, remaja lelaki juga akan mengalami lemah kawalan kencing dan jangkitan saluran kencing. Lebih buruk lagi apabila bilangan sperma menurun dan kulat akan mudah merebak pada bahagian kelamin akibat daripada pemakaian seluar yang ketat ini.

Apa kata mereka

Yasmin Moktar, 21, pelajar kolej swasta berkata, pemakaian seluar ‘skinny’ ini tampak moden dan bergaya selain kelihatan menarik.

“Apa yang saya dapat lihat ialah kebanyakan remaja sekarang menjadikan seluar ketat sebagai pilihan utama dalam pemakaian. Namun seluar yang dianggap fesyen terkini itu ada yang terlalu ketat sehinggakan boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan.

“Nak sarungkan seluar itu saja begitu sukar sehinggakan ada yang perlu menarik seluar ke bahagian pusat berkali-kali kerana terlampau ketat dan lebih kecil daripada saiz pinggang sebenar. Bagi perempuan, mereka lebih suka menggayakan seluar ketat bersama kasut tumit tinggi.

“Tidakkah keterlaluan dalam aspek berpakaian sehingga sanggup menyakiti diri sendiri. Inikan pula seluar begitu ketat yang boleh menyakiti bahagian sendi dan otot di bahagian peha. Kalau nak diikutkan memanglah sendi rasa sakit dan kebas sebab seluar itu terlalu ketat dan menghalang udara masuk selain memberikan tekanan yang tinggi pada bahagian peha.” katanya.

Menurutnya, fesyen seluar ketat itu tidak terhad kepada remaja perempuan saja, tapi juga pada golongan lelaki.

Katanya, lelaki yang memakai seluar ‘skinny’ yang ketat ini agak keterlaluan dan boleh menunjukkan ciri feminin yang tidak bagus untuk imej mereka.

Bagi Ridzuan Azmi, 21, pelajar universiti swasta berpendapat, fesyen seluar ‘skinny’ dalam kalangan lelaki ini tidaklah memudaratkan jika saiz yang dipilih itu bertepatan dengan bentuk pinggang.

“Ada juga situasi di mana saya melihat remaja lelaki yang memakai seluar ‘skinny’ ketat untuk kelihatan kurus, walhal saiz badan tidak bersesuaian dengan fesyen itu. Bukan saja pelik tapi saya juga percaya pemakainya pasti mengalami kesakitan yang luar biasa terutama pada bahagian paha.

“Lihat saja remaja lelaki yang memakai seluar ‘skinny’ ketat kadangkala tidak menunjukkan gaya lelaki yang maskulin. Sudahlah ketat dan susah untuk sarung, pemakainya pun pasti mengalami masalah sendi dengan kerap.

“Saya pernah dengar ada remaja lelaki yang mengalami masalah di bahagian kelamin akibat daripada pemakaian seluar ketat ini. Mana tidaknya, seluar yang terlampau ketat boleh hadkan saluran udara dan menyakitkan alat sulit mereka,” katanya.

Menurutnya, remaja lelaki perlu memilih seluar ‘skinny’ yang lebih longgar dan tidak terlalu ketat sehingga boleh membahayakan diri sendiri.

Cara mengatasi

Yang paling penting, remaja perlu menitikberatkan kesihatan terlebih dulu sebelum memilih pakaian yang digemari. Tanpa motivasi dan pengetahuan umum berkenaan masalah kesihatan yang mungkin berlaku, ramai remaja membeli pakaian secara membuta tuli.

Bagi mereka yang gemarkan seluar ‘skinny’ memanglah tidak salah memakainya, namun perlu juga buat pemilihan yang betul. Bagi mereka yang mempunyai saiz badan besar adalah dinasihatkan memakai seluar bersesuaian dengan saiz mereka. Kalau tidak ada saja masalah kesihatan timbul sekiranya dibiarkan secara berterusan.

Remaja lelaki khususnya perlu mengenakan seluar ‘skinny’ yang longgar dan tidak ketat untuk melancarkan saluran udara dalam seluar bagi mengelakkan jangkitan kuman dan sakit pada bahagian alat sulit.

Sekiranya masalah kesihatan dialami berlanjutan, jangan teragak-agak berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan sewajarnya agar kesakitan itu tidak membawa padah.

Presiden PAS jawab kemusykilan Pemuda dalam isu krisis di Syria, Tahaluf Siyasi, Majlis selawat Umno dan pelbagai isu lagi

IZWAN ABDUL HALIM
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meluangkan kesempatan menjawab pelbagai persoalan diajukan para Pemuda PAS semasa Liqa’ Pemuda PAS Malaysia di Madrasah Nurul Hidayah, Kuala Ketil, Baling pada 5 April lalu. Ikuti ringkasan jawapan beliau yang dicatat Wartawan Harakah, IZWAN ABDUL HALIM yang mengikuti penuh program tersebut.

Krisis di Syria

Perlu difahami dari aspek pertarungan politik antarabangsa di mana Yahudi dan Zionis melihat Islam hingga semua wadahnya mesti dihapuskan. Iraq, Iran dan Libya diperangi kerana memiliki teknologi yang boleh mengancam Israel. Membuktikan Israel memberi pukulan kepada Islam tanpa mengira mazhab agar benih Islam tidak berkembang. Dalam strategi politik itu, mereka bukan sahaja mengatur soal kenteraan, tetapi juga mengawal ekonomi sepertimana tindakan menjatuhkan Najmudin Erbakan yang berjaya memerintah Turki dan mengusulkan penggunaan Dinar kepada dunia Islam. Usul itu bukan sahaja memberi implikasi penggantian Dolar kepada Dinar sebagai kewangan antarabangsa, malah telah berjaya menggabungkan lapan negara umat Islam antaranya Turki, Malaysia, Mesir, Bangladesh, Indonesia dan Nigeria membentuk G8 menyaingi G7 dari blok Barat. Bahkan membawa kepada kebimbangan bahawa kelompok Islam akan menguasai teknologi dari Asia Tengah dunia jatuh kepada kelompok Islam.

Barat melalui peranan CIA berjaya mewujudkan 100 kumpulan Islam di negara-negara Arab bertujuan menyaingi dan melumpuhkan kekuatan Gerakan Islam. Ketika sama Syria perlu dikawal sebagai tempat strategik untuk menjaga keselamatan Israel.

Pernah berlaku perancangan secara terburu-buru untuk mewujudkan ‘Revolusi Syria’ seperti Iran dalam keadaan kekuatan kumpulan Islam belum jitu. Menyebabkan Hamas dipukul habis-habisan hingga lebih 80 ribu nyawa terbunuh, sedangkan Bashar al-Assad terus kuat.

Kecelaruan di Syria melibatkan pertembungan sesama Islam apabila Russia dan China membekalkan senjata kepada Bashar, manakala Amerika membekalkan senjata kepada kumpulan Islam penentang Bashar. Hakikatnya ia strategi mempertahankan Israel dan menghancurkan Islam di Syria. Menunjukkan Islam perlu mengatur strateginya sendiri dan umat mesti mengambil iktibar kecelaruan di Syria.

Tahaluf Siyasi

Dalam mencipta gerakan massa, jangan dibanyakkan musuh. Iktibar dari surah ar-Rum menunjukkan Allah membenarkan sikap Nabi dalam politik antarabangsa berpihak kepada Rom yang terdiri dari ahli kitab dan tidak kepada Parsi penganut Majusi. Bermakna juga, antara dua musuh mesti dihindari musuh yang lebih besar. Bahkan, Nabi mengadakan tahaluf dengan bukan Islam semasa di Madinah.

PAS menguasai massa termasuk dengan mengadakan tahaluf dan sepanjang sejarahnya pernah mengadakan tahaluf bersama Parti Negara, Sosialis, BN, CCC, S46 dan terkini bersama PKR dan DAP.

Untuk bertahaluf perlu dilihat nilai, kekuatan serta kuantiti ahlinya pihak tersebut. Sekiranya memiliki ahli yang ramai, dalam urusan dan percaturan politik, PAS boleh bertahaluf dengan cara mendatang. Bacaan menyeluruh perlu dibuat termasuk soal pembahagian kerusi mesti disepadankan dengan jumlah ahlinya dan ia sebagai kerjasama taktikal sahaja.

Majlis selawat Umno

Masjid Dhirar pernah didirikan masa Rasulullah di zaman Madinah yang tujuannya untuk melawan perjuangan Baginda. Apabila mengaku mengikut Nabi perlu ambil keseluruhan seruannya, bukan sebahagian.

Memang selawat menandakan kasih kepada Nabi, tetapi jangan hanya berselawat, mesti berjuang bersama Nabi. Para sahabat RA mereka berperang, berjihad dan berhijrah bersama Nabi serta menghabiskan harta untuk perjuangan Islam.

Orang berselawat kita alu-alukan, cuma mesti ditambah lagi dengan kerja-kerja Islam yang Nabi buat dan laksanakan perintah Nabi. Dengan harapan, adanya majlis selawat, manusia tinggalkan rock dan hiburan songsang serta menutup ‘night club’ dan unsur-unsur maksiat hingganya akhirnya mereka tahu bahawa seruan PAS selama ini benar.

Masalah berbilang fikrah

Sering berlaku terutama kepada mereka yang belajar diluar negara kerana bertemu saudara seIslam yang datang dari pelbagai negara dengan membawa pemikiran masing-masing. Perlu difahami, dalam perkara asas Islam yakni hukum halal dan haram tidak ada khilaf. Namun, dalam perkara untuk menegakkan Islam, wujud perbezaan pendekatan antara negara. Oleh itu apabila pulang ke negara sendiri, mesti mengikut pendekatan yang ada.

Misalnya perlembagaan Turki mengharamkan kewujudan Parti Islam, hingga Recep Tayyip Erdogan isytiharkan partinya sekular, tetapi mewajibkan pelajarnya bertudung. Di Malaysia PAS tidak diharamkan. Bahkan, PAS telah banyak melangkah ke depan, misalnya di Kelantan telah sampai tahap menggubal undang-undang Syariat. Oleh itu, tidak patut berundur ke belakang.

Maka, mengambil cara seperti negara lain untuk dilakukan di Malaysia adalah pendekatan yang tidak tepat. Apatahlagi Nabi berpesan agar berbicara dengan manusia mengikut bahasa difahaminya dan meletakkannya pada tempat yang betul. Oleh itu, fikrah mesti diterjemah berdasarkan realiti yang ada.

Ada negara yang Islam boleh bergerak menerusi demokrasi pilihan raya dan dalam demokrasi memberi kebebasan untuk berdakwah. Jika saat dihalang pun di suruh berdakwah, apatahlagi demokrasi membenarkan, maka ruang itu perlu digunakan. Sepertimana peraturan dunia orang pergi menunaikan haji memerlukan pasport, maka perlu dibuat pasport untuk elak dari terhalang tujuan itu.

PAS alat capai matlamat Islam

PAS adalah alat yang ditubuhkan ulama berdasarkan gerakan tajdid di mana selepas zaman yang tiada Nabi dan Rasul, maka kumpulan Islam adalah pengganti menyambung risalah. Kumpulan ini mestilah mempunyai ciri-ciri dan sifat yang dinyatakan dalam al-Quran.

PAS menganggap kumpulan Islam yang banyak sebagai sahabat-sahabat. Jangan asyik dengan perbezaan hingga menghabiskan masa sebaliknya hadapi musuh yang sebenar.

Dalam mengenali ulama perlu mengikuti ulama yang beramal dengan ilmu dan berjuang menuruti sunnah Nabi. Contohi pemimpin Ikhwanul Muslimin yang mengajar, menulis kitab, bahkan hingga sanggup dihukum bunuh untuk tegakkan Islam di mana mereka amanah beramal dan berjuang dengan ilmu. Ulama seperti ini tidak tunduk kepada siapa, malah mereka diberkati Allah. Perlu diadakan penilaian kerana terdapat ulama yang mengajar sahaja tetapi tidak beramal dengan ilmu.

Ahlul Sunnah Wal Jamaah

Perlu disedari adanya kecelaruan di kalangan umat Islam dan Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah penyelamat. Wujudnya pecahan mazhab meliputi fekah, tasauf dan akidah. Dalam akidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah pun adanya Mazhab Asyairah dan Maturidiah serta Mazhab Salaf. Mazhab Salaf pula ada salaf zaman sahabat dan tabiin, ada juga salaf zaman mutakhir. Mendepani masalah furu’ atau cabang, serah paad ahli ilmu kerana berbalah dalam perkara yang tidak diketahui akan menjadi rosak.

Dalam fekah pula ada Mazhab Syafie, Hanafi, Hambali dan Maliki serta ada Mazhab Sufyan ats-Tsauri, Hasan al-Basri, Ibnu Sirin, Abu Thur dan Qatadah. Dalam Mazhab Syafie ada Imam Nawawi, ar-Ramli dan Ibnu Hajar. Dalam Mazhab Hanafi ada Abu Yusuf, dan Muhammad al-Ghazal asy-Syaibani. Dalam Mazhab Hambali ada Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim. Di mana semua khilaf mereka berlaku dalam masalah furu’.

Dalam syiah ada lebih kurang 30 hingga 40 mazhab. Ada Syiah khilaf dengan Ahlul Sunnah Wal Jamaah dalam masalah fekah, tetapi ada yang sama akidah, oleh itu bukan kafir semuanya.

Ada Mazhab Khawarij Ibadi yang akidahnya sama dengan Ahlul Sunnah Wal Jamaah tetapi berbeza dari segi fekah. Terdapat juga Ahlul Sunnah seperti Umno, tetapi tanpa syariat Islam, hanya berzikir dan berselawat sahaja.

Oleh itu kecelaruan yang ada perlu difahami dan adab para ulama mazhab masing-masing tetapi tidak pernah menyalah satu sama lain.

Tragedi MH370

Mengikut teori teknologi, ia diculik, tetapi mengikut ilmu Allah, hanya Dia sahaja mengetahui. Soal siapa terlibat, tidak diketahui dan perlu cari bukti dan mencari kotak hitam hingga dapat disahkan pihak yang terlibat.

Negara kita tidak ada kemampuan teknologi di mana ia juga sulit buat negara-negara Amerika, China, British dan lain-lain. Memandangkan keadaan sukar untuk pencarian itu, kita tidak boleh mempersendakan hal tersebut.

Teruskan berdoa agar perkara ini dapat diselesaikan dan jika mangsa masih hidup doa agar mereka selamat, sekiranya mati doakan diberi rahmat. Terdapat banyak pandangan ulama berhubung ketetapan status kematian. Ada mengikut umur adat keluarga dan ada yang berdalilkan empat tahun berdasar peristiwa berlaku di zaman Umar al-Khattab.

Anjing dipanggil jadi saksi mahkamah

Paris: Seekor anjing dipanggil menjadi saksi kes bunuh membabitkan tuannya.

Tango - anjing baka Labrador berusia sembilan tahun - ‘dipanggil’ untuk membantu mengenal pasti tertuduh yang didakwa membunuh tuannya.
Dalam perbicaraan awal kes itu, tertuduh diarahkan beraksi seperti ‘mengugut’ Tango untuk melihat tindak balas anjing berkenaan.

Sementara itu, seekor lagi anjing dengan baka serta usia sama turut digunakan dalam eksperimen berkenaan untuk membuat perbandingan reaksi.

Peguam bela Gregoire Lafarge membantah perkara itu kerana didakwa tidak masuk akal dan ‘membahayakan’ prosiding.

“Jadi jika Tango mengangkat kaki kanannya atau menggerakkan ekornya, adakah bermaksud dia mengenali anak guam saya?

“Pada saya kes ini boleh menimbulkan masalah untuk sistem perundangan Perancis kerana seorang hakim sewajarnya menggunakan akal, bukan membiarkan dirinya dikelilingi orang yang mendakwa diri mereka pakar namun sebenarnya tidak berguna,” katanya.

Bagaimanapun, ini bukan kali pertama dalam sejarah perundangan yang melihat anjing memberi keterangan.

Malah pada 2008, anjing bernama Scooby menjadi yang pertama berbuat demikian, juga untuk perbicaraan kes bunuh. 
-Agensi/hmetro-

Kanak-kanak meracun suami dan tiga rakannya kerana dipaksa kahwin

Lagos: Seorang kanak-kanak yang dipaksa berkahwin bertindak membunuh suami dan tiga rakannya dengan memberi makan makanan yang dicampur dengan racun tikus. Wasila Umaru, 14, berkahwin minggu lepas dengan Umaru Sani, 35, menurut penolong penguasa polis, Musa Magaji Majia.

Umaru kemudian menjemput beberapa rakannya untuk meraikan perkahwinan mereka di Kampung Ungwar Yansoro, berhampiran bandar Kano di utara Nigeria.

Pengantin perempuan itu mencampurkan racun berkenaan ke dalam nasi yang dihidangkan kepada tetamu.

Umaru mati pada hari kejadian bersama-sama dua rakannya, Mohammed dan Alhassan Alhassan. Seorang lagi mangsa, Indo Ibrahim mati di hospital ketika menerima rawatan kecemasan.

Wasila mengaku membeli racun itu di pasar.

“Suspek mengaku melakukan kesalahan jenayah dan berkata dia melakukannya kerana dipaksa mengahwini lelaki yang tidak dicintainya.

“Wasila memberi kerjasama baik kepada polis dan akan dihukum dengan tuduhan melakukan pembunuhan tanpa niat,” menurut Majia.

Perkahwinan bawah umur adalah perkara biasa di utara Nigeria. Ia kerap berlaku ketika musim kemarau dan mengahwinkan anak perempuan bermakna menerima wang hantaran.

Ia juga akan akan mengurangkan beban keluarga untuk menyediakan makanan.

Sebanyak 50 peratus remaja perempuan Nigeria yang tinggal di kawasan luar bandar berkahwin sebelum berusia 18 tahun, menurut agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB). - Agensi

Kambing berwajah manusia (Gambar)

Riyadh: Seekor kambing berwajah manusia dilahirkan di Arab Saudi tetapi mati beberapa jam kemudian.

Menurut laporan akhbar tempatan kelmarin, kelahiran “pelik” itu terjadi di sebuah ladang di Samita selepas induk kambing itu bunting selama sembilan bulan, satu lagi perkara luar biasa kerana kebiasaannya purata tempoh bunting binatang itu hanya kira-kira lima bulan.

“Saya terkejut apabila kambing itu terus bunting selama sembilan bulan sama seperti manusia. Tambah mengejutkan apabila kandungan itu dilahirkan. Saya ketika itu berada di luar kawasan.

“Pekerja ladang menghubungi saya dan memaklumkan yang anak kambing itu berwajah manusia. Ketika tiba di ladang, anak kambing itu sudah mati. Tetapi saya sempat melihat wajahnya,” kata pemilik ladang itu. - Agensi
Foto
KAMBING ganjil ini mati beberapa jam selepas dilahirkan.
-hmetro-

Macam mana nak memanjangkan jangka hayat bateri laptop


Pengguna laptop mempunyai kelebihan berbanding pengguna desktop dimana laptop boleh dihidupkan tanpa sambungan kuasa elektrik. Ini adalah kerana laptop dilengkapi bateri yang memberikan bekalan kuasa selama beberapa jam.

Namun demikian kuasa bateri laptop akan berkurangan selama jangka hayat penggunaanya.
Kali ini saya ingin berkongsi tips macam mana nak memanjangkan jangka hayat bateri laptop.

Pertama sekali anda perlu pastikan bahawa pemproses CPU anda tidak membawa bebanan kerja terlalu banyak. Untuk mengetahui bebanan (load) kerja CPU, tekan CTRL + SHIFT + ESC. Di tab "Performance", anda boleh lihat bebanan kerja CPU anda.
Pastikan ianya tidak bekerja pada tahap 100% dalam jangka masa yang terlalu lama. Jika anda lihat graf bebanan itu sentiasa di tahap 100%, bermakna kuasa bateri anda akan cepat berkurangan kerana CPU anda memerlukan kuasa yang banyak ketika ianya bekerja.

Tips ke 2, lihat program-program yang anda buka. Jangan buka terlalu banyak program dalam satu masa. Tutup program yang tidak digunakan. Jika anda sedang bekerja dengan program seperti microsoft word dan excel, tutup program sampingan yang tidak digunakan seperti yahoo messenger dan skype.

Tips ke 3, pastikan kecerahan (brightness) skrin laptop anda diset serendah yang mungkin. Ini adalah kerana skrin laptop memakan kuasa yang banyak. Kuasa penggunaannya dapat dikurangkan jika kecerahannya diturunkan.

Tips ke 4, Video dan games membebankan pemproses CPU dan grafik GPU, dan lagi banyak bebanan CPU, lagi tingggi kuasa diperlukan. Games dan Video memberi bebanan pada kedua-dua CPU dan GPU, manakala program yang tidak memerlukan grafik yang tinggi seperti microsoft office, pelayar internet dan messenger hanya memberi bebanan pada pemproses CPU sahaja.

Tips ke 5, Kebanyakan laptop dilengkapi sistem internet tanpa wayar "Wi-Fi" atau mudah dipanggil sebagai "Wireless". Jika anda tidak menggunakan internet, tutup fungsi "Wireless" pada laptop anda.
Suisnya selalunya tersorok dan tidak begitu menonjol. Apabila anda sudah menutup suis tersebut, lampu yang mempunyai simbol seperti antena akan padam.
Dengan tertutupnya fungsi ini, kuasa dapat dijimatkan dan memanjangkan jangka hayat bateri.

Tips ke 6 - Cabut pendrive atau apa-apa peralatan USB selepas digunakan. Peralatan USB menarik kuasa dari bateri laptop.
Jika anda menggunakan tetikus/"Mouse", pastikan anda menggunakan dari jenis yang biasa, bukan yang ada lampu kelip2 dan sebagainya kerana ianya menarik kuasa lebih dari tetikus biasa.

Diharap tips ini dapat membantu anda menjimatkan dan memanjangkan jangka hayat bateri laptop anda.----
-macam-mana-eh.blogspot.com

Warga emas 73 tahun bernafsu liar ditahan cabul 3 budak bawah umur

Manila: Seorang lelaki Britain berusia 73 tahun ditahan selepas didakwa mencabul kehormatan tiga kanak-kanak bawah umur.

Stanley James Lamb ditahan polis Carcar kerana disyaki meraba bahagian sulit kanak-kanak itu di kediamannya di Barangay Perrelos, Cebu kelmarin.

Ketua Polis Wilyah Visayas, Superintendan Danilo Constantino berkata, Stanley didakwa di bawah akta pencabulan Filipina.

Katanya, identiti ketiga-tiga mangsa yang dirahsiakan atas faktor keselamatan.

Danilo berkata, Stanley menjemput mangsa ke rumahnya sebelum mengambil kesempatan dengan meraba bahagian sulit mereka.

Tertuduh ditahan di balai polis Carcar sementara menunggu pertuduhan difailkan ke atasnya.

Sabtu lalu, seorang diplomat Itali berusia 46 tahun ditahan di pusat peranginan Laguna selepas dituduh menyeludup dan mendera tiga kanak-kanak lelaki.

Menurut saksi, duta Itali di Turkmenistan, Daniele Bosio dilihat “meraba dan membelai” kanak-kanak itu di kolam renang.

Bosio ditahan di balai polis Biñan sementara kanak-kanak itu yang didakwanya gelandangan dari Manila, diletakkan di Jabatan Kebajikan Sosial dan Pembangunan.
-Agensi/hmetro-

Biarkan papan tanda amaran berbicara


Inilah antara papan tanda yang terdapat di beberapa buah negara luar dan juga negara kita Malaysia.

Serahkan kepada kebijaksanaan para pembaca, penjenguk dan pengkritik blog Omak Kau melihat, memikir dan menilai serta mencapai kata putus.

Kesihatan pelakon veteran Sidek Hussien semakin teruk (Gambar)

Sidek Hussien
Sidek Hussien
PADA penghujung tahun lalu, pelakon veteran, Sidek Hussein pernah memberitahu, bahawa kesakitan yang dialaminya itu kian parah.

Namun, hasrat melakukan pembedahan untuk membuang bengkak di pipi kanannya itu terpaksa dilupakan atas nasihat doktor pakar.

Ketika itu, doktor memberitahu bahawa pembedahan tidak dapat dilakukan kerana mengundang risiko tinggi dan boleh membawa maut.

Cuba bertahan sedaya upaya menanggung penderitaan, akhirnya Sidek, 63, terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) apabila dia pengsan di ibu kota pada 30 Mac lalu.

Menurut isterinya, Sebiah Sulaiman, 61, suaminya itu tiba-tiba pengsan di hadapan kedai pemborong barang mainan, di Chowkit, ketika berjalan di kawasan berkenaan.

"Sebelum keluar rumah, dia tidak menunjukkan sebarang reaksi ataupun mengadu kesakitan. Namun, sejak akhir-akhir ini, bengkak di pipinya itu semakin besar.

"Saya terpaksa meminta bantuan orang ramai agar menghubungi ambulans untuk membawanya ke hospital.

"Hari ini (semalam), sudah 11 hari dia berada di wad dan saya juga turut 'berkampung' di sini menguruskannya," kata isteri pelakon filem, Karak ini.

Walaupun kondisi kesihatan Sidek sudah tidak menentu sejak setahun yang lalu, namun kini penyakitnya itu semakin menular ke bahagian mulut.

Kata Sebiah, sejak enam bulan lalu, Sidek menolak semua makanan dan hanya bertahan dengan meminum air sahaja.

"Saya memang risau dengan kesihatannya kerana dia hanya bergantung pada air sahaja, " katanya.

Menurutnya, dia tidak lalu nak makan kerana terasa mual.

"Sekarang, butir percakapan juga semakin tidak jelas dan saya hanya boleh memahami segelintir sahaja kerana bengkak itu menolak mulutnya," kata Sebiah lagi.

Tunggu keputusan doktor

Pada 1982, Sidek pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu, namun ianya hanya sia-sia.

Menurut Sebiah, bengkak berkenaan kembali membesar tiga tahun selepas itu tanpa diketahui puncanya.

Katanya, sehingga ke hari ini, doktor masih tidak dapat mengesahkan penyakit yang dihidapi suaminya itu.

"Saya sendiri tak tahu apa penyakitnya kerana pada pembedahan pertama, doktor memberitahu ianya hanya bengkak biasa.

"Namun, bila ia membengkak lagi, situasi itu merisaukan kami. Semalam, doktor telah mengambil sampel dan dua minggu lagi, keputusannya akan diketahui.

"Sebelum ini, doktor ada memberitahu bahawa bengkak berkenaan turut melibatkan urat di bahagian otak dan paru-paru.

Kemungkinan besar, ia adalah barah,' katanya lagi Sebelum Ramadan tahun lalu, Sidek pernah menjalani pembedahan pintasan jantung namun, jantungnya tidak mampu menahan pembedahan lebih 10 jam.

Tambah Sebiah, Sidek amat jarang mengadu mengenai kesakitannya kepada keluarga termasuk dirinya sendiri.

"Dia memang jarang bercakap dan tidak suka mengadu kalau sakit. Mungkin dia tak mahu kami anak beranak risau.

"Namun, sebelum dia dimasukkan ke wad, dia ada menerima tawaran lakonan.

Namun, dia menolak kerana faktor kesihatan. "Lakonan filem terakhir adalah Paku Pontianak, dan drama, Abah, pada tahun lalu," jelasnya.

Sepanjang usia perkahwinan, Sidek mempunyai seorang anak bersama Sebiah yang kini bekerja di Kota Kinabalu manakala hasil perkahwinan terdahulu, Sidek mempunyai empat anak.

Panas!!! Acara Yong Teck Lee menampar Zahid Hamidi akan disiarkan secara langsung?

SHAHBUDIN HUSIN

Ahmad Zahid Hamidi agar bekas Ketua Menteri Sabah, Yong Teck Lee menamparnya sendiri serta diberi habuan wang tunai ssbanyak RM501 dan tidak perlu bersusah payah mencari orang lain untuk melakukannya, akhirnya disambut dengan tangan terbuka oleh pemimpin dari Sabah itu.

Untuk menjadikan acara menampar itu menjadi realiti, beliau mempelawa Zahid agar datang ke Lahad Datu atau Semporna secara sendirian tanpa diiringi oleh polis atau dikawal oleh pengawal peribadinya.

Seterusnya, kata Yong, wang RM501 yang diterimanya daripada Zahid itu akan didermakan kepada Tabung Wira Lahad Datu.

Ini bermakna sekarang ini terpulang kepada Zahid pula sama ada bersedia membenarkan pipinya ditampar atau sebaliknya. Jika bersedia, beliau perlulah memenuhi syarat dan permintaan Yong itu iaitu datang Lahad Datu atau Semporna secara peribadi tanpa diiringi oleh polis atau pengawal peribadinya.

Rasanya tiada alasan lagi untuk Zahid berdalih dalam perkara ini, kecualilah jika beliau tidak sedia pipinya ditampar oleh Yong Teck Lee.

Berikutan kejadian penculikan dua warga China dan Filipina di Semporna minggu lalu serta beberapa penculikan sebelum ini serta insiden pencerobohan di Lahad Datu, Yong yang merupakan bekas Ketua Menteri Sabah menyalahkan Menteri Dalam Negeri dalam mengawal keselamatan atas kejadian yang sering berulang di negeri Sabah.

Lantaran itu, beliau menawarkan RM500 kepada sesiapa yang dapat menampar muka Zahid atas anggapannya menteri itu telah gagal dalam menjalankan tugasnya.

Zahid kemudiannya meminta Yong Teck Lee agar tidak perlu bersusah payah mencari orang lain untuk menamparnya, sebaliknya mencabar pemimpin Sabah itu agar menamparnya sendiri dan beliau akan memberikannya ganjaran sebanyak RM501.

Sebelum itu, susulan penerbitan klip video oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang dianggap menghina Perdana Menteri, Najib Razak, telah menyebabkan sebuah NGO iaitu Isma menawarkan ganjaran RM500 kepada sesiapa yang berani menampar muka pemimpin DAP itu. Nilai tawaran yang diberikan kemudian ditingkatkan sehingga RM1200 tetapi tiada sesiapa yang menyahut, kecuali ada seorang pemuda bersalam berlapikkan telur busuk ditangannya.

Sejak itu kewajaran menampar seseorang mula menjadi polemik dan laporan polis juga telah dibuat terhadapnya. Bagaimanapun Zahid yang ditekan untuk bertindak terhadap Isma, telah menolak untuk berbuat demikian dengan alasan tawaran menampar bukanlah suatu bentuk ugutan jenayah sepertimana mengeluarkan ugutan mahu membunuh.

Zahid kemudian terus dikecam atas pendiriannya itu dan disifatkan sebagai menteri yang tidak begitu memahami undang-undang dan seolah-olah hanya mahu menyiasat setelah kejadian menampar itu benar-benar berlaku.

Tetapi kini, berikutan pendirian Zahid itu, kejadian menampar ini seperti terkena batang hidungnya sendiri. Beliau kini bukan saja tidak dapat lagi mengawal berlakunya tawaran menampar kepada sesiapa saja, bahkan juga terpaksa reda jika tawaran yang sama melibatkan dirinya.

Dengan kesediaan Yong untuk menampar sendiri Zahid dan mendermakan RM501 yang dijanjikan kepada Tabung Wira Lahad Datu, maka Zahid secara prinsipnya perlulah menyahutnya dan datang ke Lahad Datu atau Semporna tanpa diiringi polis atau pengawal keselamatannya. Beliau hanya perlu datang dengan penyokong-penyokong saja.

Sebagai menteri dalam negeri, ada baiknya juga jika Zahid dapat mengarahkan pihak polis supaya mengawal keadaan dan menyediakan pentas yang sesuai untuk acara menampar itu dilangsungkan sambil disaksikan oleh rakyat Sabah. Maklumlah ini merupakan acara yang julung-julung kali diadakan di negara ini dan melibatkan dua pemimpin yang "terlebih cerdik" dalam berpolitik.

Cabar-mencabar untuk menampar ini tidak sepatutnya berlaku jika kedua mereka sedikit matang dalam politik dan tidak membiarkannya berlarutan. Tetapi oleh kerana mereka nampaknya suka cara politik begitu, maka teruskan saja sehingga ada titik penyudahnya.

Lebih elok lagi jika dapat dibuat siaran langsung melalui televisyen ke seluruh negara supaya rakyat dapat melihat sendiri majlis menampar yang melibatkan dua pemimpin "paling cerdik" itu dilakukan. Mungkin juga dapat menjadi acara sempena Tahun Melawat Malaysia yang kini sudah kekurangan pengunjung berikutan insiden hilangnya pesawat MH370. Manalah tahu jika Zahid terasa pipinya sakit kena penampar Yong itu, beliau akan membalas balik dan berlakulah pula saling tampar-menampar antara kedua pemimpin tersebut.

Tentulah gempak dan gamat jadinya majlis itu. Lebih gempak dan gamat lagi jika selepas berbalas penampar itu, mereka bergusti pula. Barulah dunia politik kita betul-betul meriah dan menjadi bahan ketawa rakyat di mana jika sebelum ini ada yang menjerit, mengejek-ngejek dan melakukan aksi kurang sopan di Parlimen atau Dewan Negeri, rupa-rupanya ahli politik juga boleh beraksi lebih dahsyat daripada itu.

Moga antara Zahid atau Yong Teck Lee, tidak ada yang berdalih lagi selepas ini kerana rakyat sebenarnya sudah tidak sabar untuk menyaksikan majlis tampar-menampar ini. (SH 10/04/2014)

Kewajipan guna sutrah ketika solat

BETAPA penting kedudukan ibadah solat dalam Islam. Orang yang melaksanakan solat dengan sebaik-baiknya akan memperoleh pahala yang besar, keutamaan dan kemuliaan.

Ganjaran pahala solat berbeza-beza bergantung pada kadar dekat atau jauhnya seseorang daripada cara pelaksanaan solat Nabi SAW.

Ini sebagaimana sabda Nabi SAW, “Solatlah kalian seperti mana kalian melihat aku solat.” (Sahih. Bukhari dan Ahmad).

Juga sabda Baginda SAW dalam hadis yang lain, “Sesungguhnya seorang hamba mengerjakan solat diwajibkan kepadanya, ada yang hanya mendapat ganjaran satu per sepuluhnya, ada dapat satu persembilannya, satu perlapan, satu pertujuh, satu perenam, satu perlima, satu perempat, satu pertiga, juga ada yang mendapat ganjaran setengahnya.” (Sahih. Abu Daud)

Kita tidak mungkin dapat laksanakan ibadah solat dengan benar kecuali kita mempelajari tatacara ibadah solat Nabi secara terperinci berdasarkan himpunan hadis-hadis sahih. Dengan demikian kita berharap moga-moga solat kita dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar serta memperoleh ganjaran pahala daripada solat itu.

Perintah menghadap sutrah

Sabda Nabi SAW, “Janganlah engkau solat kecuali menghadap sutrah.” (Sahih. Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda, “Jika seseorang daripada kalian melakukan solat menghadap sutrah, maka hendaklah dia dekat kepadanya, jangan sampai syaitan membatalkan solatnya. (Sahih. Abu Dawud)

Sutrah adalah benda yang dijadikan penghadang atau penghalang seperti tembok, tiang, kerusi, dinding atau sebagainya di hadapan orang yang hendak solat. Seseorang mesti memastikan adanya penghadang di hadapan apabila dia berdiri untuk solat. Ada beberapa perkara penting yang dibicarakan tentang sutrah.

Di antaranya;

1. Jarak antara sutrah dan tempat sujud lebih kurang cukup untuk dilalui oleh seekor anak kambing. Maknanya jarak orang yang solat dengan sutrah adalah dekat. Ini disebutkan dalam hadis dari Sahl bin Sa’ad Al-Sa’idi ra, dia berkata: “Jarak antara tempat sujud Rasulullah SAW dengan dinding kira-kira cukup untuk dilewati seekor anak kambing.” (Bukhari dan Muslim).

Disebutkan hadis tentang perintah untuk mendekat ke arah sutrah.” Lalu beliau membawakan hadis di mana Nabi SAW bersabda, “Janganlah engkau solat tanpa memasang sutrah.

Dan janganlah engkau membiarkan seseorang melintas di hadapanmu (ketika solat). Jika dia melintas maka cegahlah, kerana sesungguhnya bersamanya ada syaitan.” (Sahih. Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Baginda SAW juga bersabda, “Apabila salah seorang di antara kalian solat dengan memasang sutrah di depannya, hendaklah dia mendekat ke arahnya, sehingga syaitan tidak dapat memutuskan solatnya.” (Sahih. Riwayat Abu Daud)

Yang dimaksudkan dengan ‘sehingga syaitan tidak dapat memutuskan solatnya’ adalah agar syaitan tidak berkesempatan singgah dan hadir dalam solatnya dan menanamkan perasaan waswas serta mempengaruhi solatnya. Dapat diambil faedah bahawa sutrah akan menghalang pengaruh syaitan terhadap seseorang yang sedang solat.

2. Sutrah bukan diukur dari sudut lebarnya, tetapi dari sudut tinggi. Ini berdalilkan hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, “Apabila Baginda solat di padang pasir dan tidak ada suatu pun yang boleh dijadikan sutrah, Baginda memacakkan tombak di hadapannya. Lalu Baginda solat menghadap tombak tersebut dan para sahabat bermakmum di belakang Baginda.”

Apabila Nabi pacakkan satu tombak, ini menunjukkan bahawa sutrah adalah benda yang tinggi, tidak disyaratkan lebar dan besar. Adapun hadis di mana Nabi menggariskan satu garisan dan menjadikannya sutrah, sehingga kebanyakan masjid membuat garisan antaranya untuk dijadikan sutrah, namun sebenarnya hadis itu adalah hadis dha’if jiddan (hadis yang lemah bersangatan dan tidak boleh diterima).

Hal ini dibahaskan oleh Imam Al-Syaukani di dalam Nailul Authar, juga Ibnu Hajar Al-Atsqalani dalam Bulughul Maram.

Adapun dari sudut ketinggian; sutrah hendaklah setinggi pelana unta, melebihi sehasta. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW, “Apabila salah seorang kalian (ketika hendak solat) telah meletakkan sutrah di depannya setinggi pelana tunggangan maka solatlah, dan dia tidak perlu menghiraukan siapa pun yang melintas di belakangnya.” (Riwayat Muslim)

3. Sutrah boleh terdiri daripada banyak benda. Manusia juga boleh menjadi sutrah kalau dia duduk diam. Selain dari itu benda-benda seperti beg, kerusi, dinding dan hal-hal seumpama dengannya boleh dijadikan sutrah selama mana memenuhi syarat ketinggian.

Bagaimanapun, Nabi paling suka menjadikan dinding sebagai sutrah. Harus diingat bahawa sutrah mesti ada di hadapan orang yang solat.

Kelebihan guna sutrah

1. Sunnah dan perintah Nabi SAW.

2. Sutrah memastikan ruang dan tempat untuk kita solat, tidak diganggu oleh orang lain. Nabi SAW bersabda, “Seandainya orang yang lalu di depan orang yang solat mengetahui besarnya dosa yang ditanggungnya, nescaya ia akan memilih berhenti selama 40, itu lebih baik baginya dari lalu di depan orang yang solat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maksud 40 itu tidak dijelaskan di dalam hadis. Perawi hadis ini tidak mengetahui apakah yang dimaksudkan adalah 40 hari, 40 bulan, atau 40 tahun. Dalam Musnad Al-Bazzar mengatakan 40 tahun.

Imam Al-Syaukani dalam Nailul Authar membahaskan bahawa yang diertikan dengan 40 itu menggambarkan betapa besarnya dosa. Ini menunjukkan bahawa perintah menggunakan sutrah ini bukan perkara main-main atau suka-suka.

Apabila sutrah beralih

Apabila seseorang itu solat dengan menghadap sutrah, dan kemudian sutrahnya lari. Contohnya dia solat di belakang orang dan orang itu kemudian bangkit dan pergi ke tempat lain.

Kalau jarak orang yang solat dengan dinding di depannya dekat, dia boleh berjalan ke depan mendekati dinding di depan.

Dalilnya adalah hadis sahih Riwayat Al-Hakim di mana pernah ada seekor anak kambing hendak lalu di hadapan Nabi ketika Nabi sedang solat, Baginda merapatkan dada dan perut Baginda sehingga menempel ke dinding. Ini menunjukkan Nabi tidak membenarkan kambing itu lalu di antara Baginda dan sutrah.

Ini menunjukkan keharusan apabila kita solat dan sutrah itu lari, kita hendaklah mendekatkan diri kita dengan sutrah. Namun jika sutrah itu hilang atau diambil atau dialihkan dari depan kita, kita boleh dekatkan diri kita ke arah sutrah yang lain.

Lalu depan orang solat guna sutrah

Sabda Nabi dalam hadis Abu Sa’id Al-Khudri, “Apabila seorang di antara kamu solat dengan memasang sutrah yang membatasinya daripada manusia, lalu ada seseorang yang ingin lalu di hadapannya, maka hendaklah dia menghalangnya. Bila dia enggan, bunuhlah dia kerana sesungguhnya dia adalah syaitan.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Maksud bunuh dalam hadis ini bukan bererti ambil pisau kemudian kita menikamnya sampai mati.

Maksudnya adalah berusaha bersungguh-sungguh melawannya, dan ini menggambarkan betapa besarnya hukum ini.

Dari sini dapat kita fahami sutrah adalah perkara sangat penting. Apabila ada sutrah, orang faham itu adalah kawasan solat dan mereka tidak boleh lalu di kawasan itu.

Tetapi apabila tidak ada sutrah, orang tidak tahu dan lalu-lalang di hadapan orang sedang solat sedangkan ia adalah dosa yang besar.

Penduduk kampung seronok jumpa buaya (Gambar)

Penduduk seronok jumpa buaya
Buaya yang ditemui di kawasan lumpur berhampiran Kampung Lubuk Jaya dan Kampung Nyiur, Bukit Belimbing di sini.
TANJONG KARANG: Tak ubah seperti pesta! Begitulah gelagat orang kampung yang berpusu-pusu datang untuk melihat buaya yang berjemur di kawasan lumpur berhampiran Kampung Lubuk Jaya dan Kampung Nyiur, Bukit Belimbing di sini.

Meskipun saiz buaya  air tawar itu yang cukup besar jika dibandingkan dengan penemuan bangkai jenis yang sama pada 25 Julai tahun lalu, namun penduduk masih tidak berganjak untuk terus melihat fenomena yang jarang sekali dapat dilihat sepanjang hidup mereka.

Ketua Kampung Bukit Belimbing, Samsudin Idris berkata, penduduk kecoh apabila menerima panggilan kaki pancing yang terserempak dengan buaya itu dan terus mengerumuni kawasan lumpur yang dimaksudkan.

“Bukan selalu boleh nampak buaya yang saiz lebih besar berbanding yang jumpa tahun lepas...Jadi mereka pun ramai-ramai datang  tengok kira-kira jam 4 petang semalam bersama ahli keluarga.

“Boleh dianggarkan lebih 50 penduduk datang melihat buaya yang statik..tak gerak-gerak dengan mulut ternganga. Mungkin buaya itu tengah berjemur sebab waktu itu cuaca cerah,” katanya.

Menolak buaya itu mengganas dan boleh membahayakan, Samsudin menjelaskan, penduduk masing-masing percaya buaya itu tidak akan mengganggu nelayan sungai yang ada di kampung itu.

“Bukan sekali tapi penduduk pernah terserempak dengan buaya jenis itu tapi tak pernah nak ganggu atau mengganas ketika nelayan nak cari makan di sepanjang sungai yang kaya dengan hasil udang.
“Penduduk tak kira usia yang tengok buaya itu tak menunjukkan riak takut atau cemas..masing-masing macam seronok.
“Mungkin ini salah satu keunikan yang ada di kampung ini selain kelip-kelip,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sebelum ini, penduduk turut digemparkan penemuan bangkai buaya oleh dua sahabat yang mahu memancing udang di Jeti Jalan Tok Empat Masjid, Kampung Bukit Belimbing pada Julai tahun lalu.

Penemuan buaya dianggarkan berukuran enam meter itu kejadian pertama kali berlaku di kampung itu sekali gus menyebabkan kawasan jeti menjadi tumpuan.

(Kisah Benar) Penindasan Anak Yatim Di Majlis Makan Malam


Agak terkilan membaca sebuah kisah benar tentang hakikat penindasan anak yatim semasa berlangsungnya satu majlis makan malam melibatkan orang kenamaan.

Siapa sangka sampai macam begitu sekali orang kenamaan mengherdik anak yatim ini. Jika tak mampu nak prihatin atau jaga diorang, janganlah menyusahkan diorang. Berdosa. Apa pun bacalah perkongsian yang amat menyedihkan di bawah ini:

Disember 8, 2013, kami seramai 36 orang menghadiri jemputan Majlis Makan Malam Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah di hotel Shangri-La Kuala Lumpur. Itu kali pertama untuk anak-anak kami dijamu di sebuah hotel mewah bertaraf 5 bintang. Namun semuanya berakhir tidak seperti yang dijanjikan. Bermula sekitar 3 minggu sebelum itu, seorang Dato’, wakil dari Yayasan datang ke rumah kami.

Pada mulanya, agak angkuh bahasanya kerana beliau katakan melalui wakil kami En. Pitry Datuk Bahrim yang beliau sangat sibuk jadualnya dan jika beliau terasa nak datang, beliau akan datang sahaja. Di situ saja kami sudah terpaksa mengurut dada bersabar dan bersangka baik, beliau mungkin ada banyak urusan. Maka, kami kompromi untuk menyesuaikan diri kami mengikut masa Datuk ini.

Jika diikutkan, kami tidak harap pun untuk terlibat dalam majlis yang bakal dianjurkan tetapi kami melihat sebagai satu jemputan yang mana mereka berkehendakkan anak-anak kami untuk memeriahkan majlis malah menyanyikan 2 buah lagu dalam koir.

Pertemuan pertama ditangguh banyak kali, begitu juga pertemuan lain yang diaturkan juga ditangguh dan dan dibatalkan tanpa notis atau dengan notis minit akhir sedangkan anak-anak kami telah buat persiapan sepanjang hari untuk kononnya menunjukkan progress latihan lagu-lagu yang diminta untuk dinyanyikan.

Lebih dari 4 kali berjanji semuanya tidak ditepati. Nak kata ON pun tidak, nak kata CANCEL juga tak pasti. Beberapa kali anak-anak menunggu sepanjang hari sampai ke lewat malam kerana Si Datuk janji nak datang tengahari. Hancur semua program kem cuti sekolah gara-gara acara ini.

Dalam kesabaran anak-anak diuji begitu sekali, Datuk yang memetik nama Tuanku Sultanah Haminah membawa titah meminta anak-anak memainkan lagu “Minta Sedeqah” yang bertajuk “Tolong Kami” dendangan asal Allayarham Tan Sri P. Ramlee. Anak-anak kami sudah kami didik untuk tidak meminta-minta. Furqan mereka mengatakan, adakah wajar kami nyanyikan lagu ini? Namun kami pujuk mereka mengatakan lagu ini kita nyanyikan UNTUK PIHAK YAYASAN yang mahu mengutip derma, bukan kita.

Di dalam benak kami, masih kami berbaik sangka sedang pada ketika ini kami sudah lihat seperti ada yang tidak kena. Bukanlah kami ini sombong kerana tidak meminta derma. Tetapi kami lebih suka berbuat sebaiknya, dan jika ada yang simpati dan suka, mereka boleh memberi dengan ikhlas atas dasar kasih suci kerana Allah, bukan kerana kami meminta-minta.

Begitulah seterusnya, pelbagai janji kunjungan untuk pemeriksaan latihan, latihan bersama combo DBKL, pertemuan bersama composer, mesyuarat protocol, nak bawa anak ke Istana dan entah apa-apa, kesemuanya dibatalkan tanpa notis.

Kehadiran terakhir Dato’ ini beberapa hari sebelum majlis membawa titah lagi, iaitu minta anak berlatih lagu Yayasan terkini oleh Dato’ Siti Nurhaliza yang bernada tinggi kerana beliau tidak dapat hadir. Hancur suara anak-anak sampai ada yang sakit tonsil, ada yang demam termasuk vokalis utama. Kem Cuti Sekolah yang menjadi rutin tahunan kami kepada anak-anak kami tergendala sepanjang 3 minggu untuk latihan koir dan MENUNGGU janji yang tidak ditepati oleh munafik ini.

PADA PETANG MAJLIS Program rehearsal protokol adat istiadat dan latihan bersama okestra DBKL yang dijanjikan jam 10 pagi ditunda jam 1 ptg. Itupun tertangguh lagi. Lagu “Ampuni kami” yang diminta telah dibatalkan. Lagu itu mungkin terlalu Islamik, mencacatkan majlis kerana mereka belum bersedia untuk beristighfar lagi agaknya.

Lagu “Tema Yayasan” yang membuatkan anak-anak demam dan pecah suara turut dibatalkan. Yang diminta ialah lagu “Minta sedekah”. Itu pun di’trimmed’ menjadi 3 ++ minit dengan versi mereka, bukan versi yang kami latih anak-anak. Segalanya harus dirombak semula dalam masa beberapa jam itu juga. Janji untuk latihan secara live bersama Okestra juga mendukacitakan. Kami diberi rakaman minus-one yang entah apa-apa.

Mereka sibuk melatih Jamal Abdillah, Jaclin Victor dan seorang penyanyi India. Anak-anak kena jadi pak pacak berdiri memerhati penyanyi Diva berlatih.

Hampir jam 7, mereka kata masa dah tak ada. Anak-anak tak perlu berlatih dengan Okestra. Kami kata apa sudah jadi? Lagu diubah senikata, nada dan kunci. Semua 3 lagu yang dilatih dibatalkan semuanya. Akhirnya dapatlah berlatih HANYA 1 KALI bersama okestra. Nak minta tambah mikrofon pun mereka tak bagi. Datuk menjanjikan 3-4 buah bilik yang akan menjadi tempat berehat dan persiapan anak-anak lelaki dan perempuan sebelum persembahan.

Makan pagi dan tengahari tak perlu risau katanya kerana ia juga telah disediakan. Datuk juga dengan yakin menjanjikan meja anak yatim di barisan depan, sebaris meja utama Tuanku Sultan. Anak-anak ini akan diraikan sebagai VVIP dalam majlis itu. Nama majlis itu sendiri adalah untuk meraikan anak-anak yatim kononnya.

Berubah dari janji awal jam 10 am, kami dipanggil jam 12 tengahari untuk mengadakan rehearsal penuh bersama combo DBKL dan mesyuarat protokol pada jam 1 petang. Kami diingatkan untuk tidak lewat agar tidak menjadi masalah kepada Pegawai Protokol Istana sedangkan beberapa kali pegawai protokol dan combo DBKL janji untuk hadir ke RPWP terus senyap begitu saja..!

Sebelum jam 12 tengahari, kami sudah berada di sana. Pada ketika ini, kami terbiar terkontang kanting sendirian apabila Datuk yang menjadi individu pengatur kami di sana gagal dihubungi. Telefon tidak berangkat, mesej tidak berjawab. Keadaan berterusan sehingga beliau sendiri muncul pada sekitar jam 4 petang. Waktu itu anak-anak sudah kelaparan dan bergelimpangan atas lantai tepi tandas.

Anak-anak diberikan satu rakaman dan memaksa mereka ikut rentak baru yang diringkaskan itu, nada dan senikata semua kena ubah semula. Kami yang hadir awal akhirnya tiada taklimat protokol dan juga tiada rehearsal selain penyelarasan mikrofon sahaja. Dengan Datuk masih terus gagal dihubungi, 36 orang rombongan yang DIJEMPUT SEBAGAI VVIP ini menjadi gelandangan di tepi tandas lobi bawah berhadapan dengan ballroom yang mewah.

Anak-anak sudah mengeluh lapar dan makanan di hotel kesemuanya terlampau mahal untuk kami beli. Bilik yang dijanjikan juga tiada, menyebabkan anak lelaki dan perempuan terpaksa menjadi gelandangan di atas karpet hotel sementara menunggu jam 6 petang untuk waktu rehearsal yang BARU.

Pada mulanya, di luar ballroom itu ada juga beberapa set sofa untuk kami 35 orang menunggu dengan perut yang kelaparan, tetapi sehingga jam 2.30 petang, pihak hotel telah mengalihkan kesemua sofa yang tinggal untuk di bawa ke tempat lain.

Barangkali itu cara mereka mengusir kita dari bersidaian di lobi itu dan mencemar pandangan ‘orang-orang tertentu’. Tambahan pula lobi itu menjadi persiapan satu parti sosial yang macam “sial” lucahnya. Anak-anak geleng kepala, bagaimana majlis Ketua Agama Negara dibuat di tempat dan masa yang sama dengan majlis maksiat yang bertelanjangan dan mabuk-mabuk semuanya?

Kami tiada pilihan selain menunggu dengan bersila di atas lantai. Lebih memalukan, di antara 36 orang ini ialah Pengasas Rumah Pengasih Warga Prihatin, Dr. Haji Masjuki Mohd Musuri yang dahulu adalah usahawan yang berjaya. Sekadar Shangri-La bukanlah sebuah hotel yang asing pada beliau.

Beliau sendiri memfakirkan kesemua kekayaan dan segala harta yang ada pada beliau termasuk diri beliau sendiri untuk pembangunan Rumah Pengasih Warga Prihatin DISOKONG oleh 19 lagi “co-founder” yang lainnya. Dr. Masjuki masih tenang sambil berbaring di lantai dek kerana kepenatan dalam mempersiapkan anak-anak selama tempoh 3 minggu.

Salah seorang dari co-founder mencadangkan kepada beliau untuk balik dan tidak beserta dalam program makan malam yayasan itu. Dr. Masjuki menjawab, ikutkan hati begitulah juga. Tetapi kerana hormat akan Tuanku Sultanah dan prinsip mendaulatkan Sistem Beraja, beliau telan sahaja layanan buruk yang sedang berlaku ketika itu.
Kisah Benar Hakikat Orang Kenamaan Menindas Anak Yatim
Seolah-olah kehadiran kami di sana tidak wujud dan tiada siapa yang kisah sekumpulan 36 orang dari Rumah Pengasih Warga Prihatin ini menjadi gelandangan di situ. Tiada yang prihatin untuk tanya sudah makan ataupun belum. Perut anak-anak sudah berkeroncong. Setelah pasti tiada lunch dari Dato’ penganjur yang tidak nampak muka, kami terpaksa menghantar wakil untuk mencari makanan luar.

Jam 4 petang, wakil kami pun berjalan lebih 2km untuk mencari makanan yang wajar untuk mengalas perut anak-anak. Dalam menunggu makanan itu sampai, Datuk dari Yayasan itu tiba-tiba muncul. Tidak ada bahasa lagi kerana kehadiran beliau terus meluru kepada anak-anak untuk dipalau memalu kompang, bukan nak tanya dah makan ke belum? Dah dapat bilik ke belum?.

Beliau hanya memeriksa apa yang beliau rasa perlu untuk persembahan malam itu. Tidak pula beliau menemui, jauh sekali meminta maaf terus kepada Dr. Masjuki, seorang OKU yang jelas dilihat terbaring di lantai penjuru dinding itu. Jam 5 petang kami diberikan 2 bilik kecil. Sebaik saja kami anak beranak mula makan makanan yang dibeli setelah berjalan merata bandar itu, 5.30 petang baru kami dijemput ‘makan tengahari’. Rehearsal pula akan bermula jam 6 petang.

Itu bermakna, tiada rehat langsung. Kami ambil keputusan hanya anak-anak nisak dan ibu-ibu saja turun makan, yang lain cukup alas perut makanan yang telah dibeli. Jelaslah satu pembuktian dari sangkaan kami bahawa insan ini hanya memikirkan tentang ‘perutnya’ sahaja tanpa mengira akan kebajikan dan perasaan orang lain. Minta maaf diberikan lebih kurang sahaja. Mungkin malu YANG AMAT BESAR lalu mereka berdua tidak berani berhadapan dengan co-founder, sampai kami pulang.

KONFLIK REHEARSAL Sebelum makan malam, sesi rehearsal bersama combo DBKL hampir dibatalkan kerana kesuntukan masa. Mereka dahulukan latihan seorang anak India, Jamal dan Jaclin Victor sampai lancar. Dengan tegas kami katakan kami dipanggil untuk rehersal dan tidak diberi peluang langsung.

Kami akan tinggalkan majlis kerana tidak mahu mengorbankan maruah anak-anak kami untuk membuat persembahan tanpa latihan. Akhirnya anak-anak diberi peluang untuk mencuba. Alhamdulillah latihan agak lancar biarpun Cuma sekali. Padahal anak-anak ramai yang DEMAM dan KEPENATAN, terutama sekali anak perempuan kami yang tidak boleh selamba-selamba baring di atas karpet dan secara tak langsung membenarkan orang yang lalu lalang memerhatikan tubuh mereka yang sedang tidur itu.

Mereka sudah diajar tentang aurat itu bukan sekadar BALUT tetapi menutupi dan juga postur yang nampak dan menggamit aura. Apapun, prinsip kami adalah untuk melakukan apa sahaja dengan bersungguh sungguh. Memang kami didik anak anak kami untuk mendaulatkan Raja. Atas alasan itu juga kami teruskan persembahan dengan bersungguh sungguh walaupun tidak dilayan seperti yang dijanjikan sejak menjejak kaki di hotel pagi itu.

Jika ini jemputan komersial biasa, pasti kami sudah tinggalkan sahaja majlis itu. MALAM MAJLIS Kami jenuh menenangkan anak-anak kami yang terkurung awal dalam dewan, asyik bertanya kenapa maghrib itu tidak solat berjemaah macam biasa? Mereka juga pelik kerana dikatakan VVIP majlis, tapi diletakkan di tepi dinding HUJUNG dewan. Ada 5 meja untuk anak-anak yatim termasuk dari 2 sekolah tahfiz di sekitar Kuala Lumpur berada dalam barisan “VVIP” kami di sebelah dapur. Hiasan bunga di atas meja juga tidak sama. Menu makanan yang sepatutnya menu masakan Cina pada malam itu tetapi yang sampai ke meja anak-anak “VVIP” majlis hanyalah “makanan gorengan mudah” dan tidak ditambah apabila habis.

Mujur kami didik anak kami untuk tidak gelojoh dalam menjamah. Seorang sudah terbiasa ambil satu dan tidak lebih. Tetapi kami sempat jeling meja anak-anak tahfiz dan yatim yang lain di sebelah kami yang licin tak berbaki. Ada anak tahfiz yang baru 9 tahun umurnya mengatakan masih lapar. Sebak kami mendengarnya kerana mereka juga senasib dengan kami dan kami juga rasa ia tidak mengenyangkan anak-anak kami. Malang bagi mereka kerana murobbi mereka tidak ada bersama untuk membela.

Majlis yang dihadiri seorang Ketua Agama Negara itu menyaksikan seolah-olah satu pertunjukan fesyen pula. Anak-anak kami yang diletak di belakang asyik bertanya..> “Ayah, ayah… boleh ke makcik tu pakai tudung baju ketat begitu?” pakai tudung tapi dada terbelah begitu? “Boleh ke pakai sopan tapi kain terbelah sehingga ke pangkal paha?” “Kenapa pakaian Makcik itu terbelah di belakang”… Dan macam-macam lagi soalan yang terpaksa kami jawab kepada anak-anak kami. Baik juga kerana boleh kami tunjukkan mana baik dan mana yang buruk.

Pada kami, ia seperti satu penghinaan kepada seorang ketua Agama Negara Islam yang berdaulat dengan tetamu majlis berpakaian secara jahilliyah. Duduk sahaja Sultan dan Sultanah, seorang MC wanita membuka tirai program dengan mempersilakan sebuah tarian kebudayaan persembahan JKKN. Hati kami terdetik, di manakah daulat Ketua Agama Islam apabila disambut dengan tarian kebudayaan dan sepanjang aturcara sehingga pulang tiada langsung doa dibacakan.

Kami berbaik sangka lagi, mungkin kerana berkompromi dengan kira-kira 10-20% tetamu beragama lain. Di dalam ucapan Datuk Wira yang juga orang kuat kepada Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah, beliau menyatakan highlight program-program sepanjang tahun yang lalu. Kami mendengar dengan khusyuk. Pastinya dalam program yang singkat, beliau memberikan highlight kepada program yang paling besar sahaja.

Antara program yang dinyatakan ialah seperti;
1. Lawatan ke rumah anak yatim

2. Pembelian baju kelengkapan sekolah untuk 200 orang anak yatim

3. Sunat beramai-ramai (50 orang) Dengan kutipan derma berjumlah RM2.3 JUTA diumumkan pada malam itu, kami sebagai pentadbir Rumah Pengasih Warga Prihatin dengan 109 orang warga berani katakan kesemua program di atas itu sepatutnya tidak menelan belanja lebih dari RM100,000. Jika di”lajak”kan sekalipun mungkin boleh cecah RM500,000 dan ia masih jauh dari kutipan yang diperolehi.
Kami tak mahu menyangka-nyangka tentang ini, cukuplah kami tinggalkan satu persoalan di sini. Dalam ucapan Datuk Wira, beliau membacakan banyak hadith tentang anak-anak yatim. Antaranya adalah pesanan untuk tidak mengherdik anak yatim. Namun bagi kami, mengherdik itu tidaklah hanya terhad kepada meninggikan suara kepada anak-anak yatim. Apabila hak asas mereka mendapat makanan itu juga dinafikan, kami kira itu lebih dari satu herdikan halal seorang guru kepada muridnya. Kedudukan meja VVIP yatim, Jenis makanan berbeza untuk VVIP yatim, bilik rehat dan makan tengahari yang dijanjikan kesemuanya gambaran MENGHERDIK secara hakikat.

Yang paling penting ialah bagaimana mereka mengeksploitasi anak-anak yatim semahunya untuk kepentingan kutipan yang kami tidak pasti untuk apa. Sejak 8 tahun dengan residen seramai 109 orang, kami di RPWP jalankan usaha dengan cara berpuasa. Semua co-founder mengeluarkan dana dan tenaga sendiri mentadbir rumah ini.

Mungkin pada malam itu, sebahagian pegawai Yayasan memandang kami yang MENGIRING ini sama seperti mereka yang mendapat faedah dari kutipan tetapi di sebalik itu mereka mungkin tidak Nampak, Dr Masjuki sendiri bukan bertambah kaya setelah menubuhkan RPWP sebaliknya terus menjadi fakir. Begitu juga co-founder yang lain. Semuanya korbankan harta masing-masing dahulu dan tidak mengharap derma untuk menjalankan program harian kami. Kami sedar, mereka rupanya tidak cukup atau mungkin tiada anak yatim di bawah naungan mereka.

Anak-anak kami diwajibkan memakai badge Yayasan dan dengan itu ucapan Datuk Wira boleh memberikan highlight kepada Sultanah yang di dalam ballroom pada malam itu ada 66 orang anak-anak yatim.

Pengacara Aznil jelas mengatakan Yayasan yang memberikan penempatan untuk anak-anak kami kerana lencana Yayasan itu, atau mungkin diminta berkata begitu. Jelas kami dah faham. Sebuah yayasan yang sebenarnya tidak / kurang memiliki atau menjaga anak-anak yatim secara sistematik, juga tiada laman web yang aktif dengan facebook yang baru 300 likes membuat makan malam dengan menggunakan Nama Sultanah Kedah (Permaisuri Agong) bagi mengutip derma korporat dan persendirian dengan jumlah yang banyak.

Kami tak mahu melanjutkannya seperti ia satu tuduhan yang pasti, tetapi yang nyata kami hanya di bawa untuk menyanyikan lagu “minta sedekah” dan langsung diletak di hujung dewan TANPA ADA SEORANG PUN pegawai Yayasan yang sudi menjengah meja-meja yang “Kononnya VVIP” itu.

Kehadiran anak-anak yatim di hujung dewan hanya satu lesen bagi penganjur mengatakan mereka ada anak yatim dan juga membuka simpati penderma untuk menderma lagi. Operasi kami memelihara 109 orang anak yatim dan asnaf yang menjadi residen berbeza sekali. Di atas tanah seluas setengah ekar dengan kos pembinaan, makanan berkhasiat, pendidikan dari pakar pendidik.

Prasarana asas yang memadai yang kami bina sendiri secara gotong royong lebih dari 8 tahun lalu. Belanja bulanan kami hanya sekitar RM35,000-45,000 sebulan. Bukan mewah tetapi mencukup. Jika dihitung selama 1 tahun, kos operasi kami adalah sekitar RM500,000 sahaja. Semuanya berkat infaq dan hasil perniagaan kecil kecilan yang kami tabungkan kesemuanya. Kuncinya ialah PUASA. Kami pihak co-founder MELABUR harta dan diri kami, BUKANNYA mengambil sebahagian untung dari pendapatan derma.

INILAH JULUNG KALI kami izinkan anak-anak kami turut serta dalam program malam amal setelah bertahun-tahun kami menolak permintaan banyak pihak lain untuk menggunakan Nama kami untuk tujuan ini. Dan apa saja penyelewengan yang kami bimbangkan jelas terjadi pada kali pertama ini juga.

Kami kecewa dengan apa yang berlaku. Kami pasti Tuanku Permaisuri Agong juga akan kecewa jika mengetahui perkara sebenar di belakang tabir. Kami pula tiada laluan memandangkan laluan untuk kami menyuarakan perkara ini bagi pihak Yayasan mengambil pelajaran seperti tertutup.

Maka, artikel ini kami karang supaya ia menjadi pelajaran kepada yang lain-lain. Jika ada laluan yang lebih baik untuk kami memaklumkan perkara ini kepada Kebawah Duli Tuanku, pasti kami juga tidak gemar menyampaikannya dalam rencana terbuka sebegini. Sebelum ini kita dengar ada rumah-rumah anak yatim dari utara Malaysia yang anak-anaknya dikerah menjual barang dan meminta derma kononnya mereka daif. Tetapi dilihat, pengasasnya berkereta mewah dan akhirnya ia diharamkan.

Rupanya, kita mungkin akan saksikan apa yang terjadi ini adalah satu scam berprofil tinggi. Pengutipan derma untuk anak yatim tanpa ada anak yatimnya. Sebagai hamba rakyat, kami tidak rela jika nama raja yang menyayangi anak-anak yatim dan asnaf digunakan untuk kepentingan segolongan manusia.

Ramai yang meminta kami menyaman penganjur, namun itu bukan kerja kami. Banyak lagi urusan kami yang lain untuk anak-anak ini. Cukuplah kisah ini diambil pelajarannya oleh masyarakat. Para pengasas tidak hairan dengan makanan dan bilik hotel. Tapi apa yg dilakukan terhadap anak-anak kami SANGAT KAMI TIDAK RELA… Kerana kami sayang mereka, kami tatang mereka macam minyak yang SANGAT penuh.
Sila ikuti beberapa klip video sebagai pengesahan berita:






_ _ _ _ _ _

P/s: Saya pun pernah jadi anak yatim. Siapalah yang tak terasa bila terbaca artikel ini. Mungkin vvip dan orang yang terlibat tu perlu jadi anak yatim dulu baru nak faham perasaan mereka.