DNA babi dalam coklat, beberapa persoalan

DR AZMAN IBRAHIM 
BERITA Harian hari ini 24 Mei 2014 melaporkan, Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan keputusan analisis sampel dua produk coklat - Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk dan Coklat Susu dengan Buah Badam dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond mengandungi DNA babi (porcine).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata pihak pengeluar produk berkenaan, Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd memberi jaminan akan memanggil balik produk itu dari pasaran dengan serta-merta.

Katanya, siasatan dilakukan ke atas tiga sampel coklat Cadbury berkenaan bagi tujuan pemantauan selepas timbul dakwaan dalam media sosial adanya DNA babi dalam produk Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk yang tersebar luas dalam rangkaian media sosial, semalam…

Semalam ketika melihat keputusan ujian Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan terhadap coklat ini, saya menilai dalam beberapa aspek:

Pertama, saya berpendapat pegawai yang mendedahkan perkara ini melalui laman sosial adalah tidak mematuhi prosedur yang sepatutnya.

Sewajarnya, kalau ini adalah keputusan yang sebenarnya, wajib ada kenyataan rasmi dari pihak Kementerian. Lantaran itulah, pada hari semalam, bagi saya, kebenaran fakta tentang apa yang tersebar ini masih diragui. Tambahan pula ada kesilapan ejaan Cadbury menjadi Cabbury.

Hari ini saya rasa amat pelik dengan Ketua Pengarah Kesihatan ekoran kenyataannya bahawa siasatan ke atas 3 sampel coklat Cadbury berkenaan dilakukan setelah timbul dakwaan dalam media sosial tentang perkara ini.

Bukankah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan yang melakukan ujian itu adalah satu agensi di bawah Kementerian Kesihatan, bagaimana boleh berlaku Ketua Pengarahnya cuma tahu melalui media sosial?

Tak kan tak ada sebarang laporan atau pemakluman rasmi? Lagak Ketua Pengarah Kesihatan macam terkejut je. Saya harap dia bukan buat-buat terkejut.

Apabila tahu saja semalam, terus beliau buat siasatan dan hari ini sudah boleh umumkan hasilnya. Cepatnya! Bagus! Tindakan yang cepat dan pantas!

Tetapi bagaimana kaedah siasatan dan ujian yang telah dilakukan sehingga hasilnya secepat itu boleh diumumkan?

Jangan marah kalau masyarakat Jabi yang tak begitu bersekolah tinggi meletakkan sangkaan, mungkin keputusan ujiannya dah lama diketahui, tetapi kerana sesuatu kepentingan, maka ianya disembunyikan.

Melihat kepada gambar foto keputusan ujian yang tersebar tersebut, tarikh analisa telah dilakukan pada 27 Februari 2014 lagi. Maknanya telah 3 bulan yang lalu.

Kenapa baru sekarang diumumkan? Apakah kalau perkara ini tak disebarkan melalui media sosial, ianya akan terus didiamkan dan peminat coklat Cadbury akan terus memasukkan unsur haram ke dalam perut mereka?

Kesilapan ejaan Cadbury menjadi Cabbury bagi saya hanyalah typing error sahaja. Produk bernama Cabbury tak pernah dilihat berada dalam pasaran. Memang yang diuji dan dimaksudkan adalah Cadbury.

Hati kecil saya secara jujur rasa berterima kasih kepada insan yang mengambil alternatif mendedahkan perkara ni.

Walaupun pada peringkat awal semalam saya kata, anda tidak amanah dalam menjaga kerahsian maklumat yang sepatutnya bukan didedahkan melalui cara sebegitu. Hari ini sebaliknya saya kata, kalau anda tak dedahkan, saya yakin ianya terus disimpan rapi!

Seterusnya, setelah perkara ini dimaklumkan secara rasmi oleh pihak KKM, cukupkah hanya sekadar Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd memberi jaminan akan memanggil balik produk itu dari pasaran dengan serta-merta?

Tak ada sebarang tindakan undang-undang dan penguatkuasaan? Tak ada sebarang akta yang boleh menghukum pengilang yang tak bertanggungjawab ini.

Masakan Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd tak tahu bahawa mereka telah memasukkan unsur babi (baca khinzir) ke dalam makanan yang diletakkan tanda halal.

Kalaulah perkara ini berlaku di negara Cina di mana pengilang memasukkan bahan yang tak dibenarkan ke dalam makanan, nescaya pengilang ini akan tahu bahawa selepas hari Sabtu akan datang hari Ahad! Tapi untungnya pengilang kerana insiden ini berlaku di Malaysia.

Macai letak gambar palsu Dyana Sofya berbikini di Masjid Kampung Banjar, Teluk Intan


DAP petang ini mendakwa gambar palsu calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud berbikini yang telah dinafikannya sebelum ini diedarkan di Masjid Kampung Banjar, Teluk Intan semalam.

"Saya difahamkan ada satu stack gambar ini dijumpai dalam masjid dan kalau ini bukan biadab, saya tak tahu apa lagi itu biadab," kata MP Batu Kawan, Kasthuri Patto.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi ADUN Pasir Pinji, Lee Chuan How yang bertindak sebagai wakil calon bagi Dyana.

"Perkara ini telah dibawa ke perhatian kami semalam semasa mesyuarat dengan Pakatan Rakyat oleh PAS.

"Mereka yang jumpa risalah ini di kawasan Changkat Jong dan mereka bawa kepada perhatian kami," kata Lee selepas membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Hilir Perak, petang tadi.

Tanpa menuding jari kepada BN sebagai dalang di sebalik penyebaran gambar itu, Lee menggesa calon BN, Datuk Mah Siew Keong agar mengecam penyebaran gambar itu, selaras dengan kempen bersih dan adil yang dijanjikannya sebelum ini.

DNA Khinzir dalam coklat: Ini jawapan awal Cadbury

Tranungkite


Satu Laporan daripada Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia tersebar menunjukkan produk terkenal Coklat Cadbury Hazel Nut didakwa mempunyai DNA KHINZIR.


Surat yang tersebar itu menunjukkan tarikh analisis pada 27 Februari 2014 iaitu 3 bulan yang lalu. Namun sumber asal penyebaran ini tidak diketahui dan kepala laporan juga tidak ditunjukkan. Malah terdapat kesalahan pada nama sampel yang tertulis CABBURY dan bukannya CADBURY.


Penyebaran laporan ini mencetuskan panik dikalangan peminat coklat tersebut di media sosial. Ramai yang mengajukan pertanyaan di laman facebook page Cadbury dan ini jawapan awal mereka.




Apapun sebagai pengguna dan masyarakat Islam khususnya, anda memang berhak untuk merasa bimbang kerana ia melibatkan penggunaan bahan yang haram disisi agama. Semoga ada jawapan yang lebih terperinci dikemukakan oleh Cadbury kelak untuk menjernihkan perkara ini.

sumber  

Jakim tarik balik sijil halal 2 produk Cadbury

SHAH ALAM: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengambil keputusan menarik balik sijil halal bagi kedua-dua produk Cadbury yang mengandungi DNA babi serta-merta.

Menurut Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha, siasatan lanjut akan dibuat untuk mengenal pasti punca pencemaran tersebut.

"Kami ingin menegaskan bahawa pensijilan halal Malaysia adalah melibatkan proses pengauditan dan pemeriksaan ketat merangkumi penilaian bahan ramuan, kaedah pemprosesan, peralatan yang digunakan, termasuklah pengujian makmal berdasarkan Standard Halal Malaysia dan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, selepas sijil pengesahan halal, pemeriksaan akan dibuat secara berkala terhadap syarikat pengeluar produk berkenaan.

"Pemantauan sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa, sekiranya terdapat sebarang perlanggaran ke atas mana-mana produk atau ketidakpatuhan terhadap syarat-syarat persijilan, pihak kami akan menarik semula atau menggantung sijil halal terhadap produk tersebut," katanya.

Alhamdulillah!! Utusan Malaysia dah menyesal dan mohon maaf kerana menyiarkan berita mengaibkan pemimpin Pakatan?

Utusan Malaysia hari ini memohon maaf kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana menyiarkan artikel bertajuk “Khalid dimaki ahli PKR” pada 17 Mei lalu.

Dalam ruang kecil halaman kelapan akhbar itu, pihak penerbitan Utusan memaklumkan mereka kesal kerana menerbitkan laporan yang menimbulkan reaksi kurang senang dan mengaibkan Khalid itu.

“Utusan Malaysia kesal atas penerbitan tersebut yang telah menimbulkan rasa kurang senang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan secara tulus ikhlas memohon maaf kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di atas kesilapan tersebut,” permohonan maaf itu dipetik.

Akhbar tersebut juga berjanji tidak akan menerbitkan laporan seperti itu lagi pada masa akan datang.

Utusan pada 17 Mei lalu melaporkan Khalid dimalukan oleh ahli PKR apabila beliau dimaki hamun seorang ahli Cabang Kuala Selangor yang mendakwa calon timbalan presiden PKR itu sebagai penipu kerana melakukan perkara bercanggah dengan etika lembaga disiplin dan Jawatankuasa Pemilihan Parti.

Ahli berkenaan, Zulkifli Abdullah dilapor menghamburkan kata-kata kasar sebaik sahaja mendapati Khalid keluar dari bilik sidang akhbar di ibu pejabat PKR.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor turut terkejut melihat Khalid dimalukan di hadapan khalayak ramai.

Guru-guru yang bersalam dengan Dyana bakal diambil tindakan?

Sementara penduduk dan pengundi di Teluk Intan berbangga dan meraikan kehadiran Dyana Sofya sebagai calon dalam pilihanraya kecil Teluk Intan yang bakal berlangsung pada 31 Mei ini, keadaan yang sama tidak berlaku kepada sebahagian kakitangan kerajaan yang bertugas di bandar ini.

Kehadiran beliau sebagai calon muda yang menarik dan telah menjadi fenomena, rupa-rupanya ada petaka di sebaliknya.

Ini berikutan kehadirannya yang sekaligus mendatangkan resah dan gelisah kepada UMNO dan BN untuk memenangi pilihanraya kecil ini telah membuatkan ada ketua jabatan yang hilang pertimbangan dan tidak rasional dalam menjalankan tugas mereka.

Berikutan hari penamaan calon pilihanraya kecil Teluk Intan pada 19 Mei lalu diadakan di Dewan Sekolah Menengah Seri Perak dan ramai guru-guru yang sedang bertugas ketika itu, maka ramailah di kalangan mereka yang tidak mahu melepaskan peluang mahu melihat calon DAP itu dari dekat serta bersalam dengannya.

Terlanjur nama Dyana sudah menjadi fenomena dan wajah serta penampilannya pula menarik, sama seperti penduduk Teluk Intan yang lain, bahkan di kalangan ahli Puteri UMNO sekali pun, sebenarnya bukanlah luar biasa jika ada keinginan untuk menatap wajahnya dari dekat, bergambar atau bersalam dengannya.

Namun demikian, tanpa disedari guru-guru yang didapati bersalam dengan Dyana itu rupa-rupanya sentiasa diperhatikan dan dicatat namanya. Dengan hasrat untuk memgampu, membodek serta ingin menyumbang kepada kemenangan calon BN, Mah Siew Keong kononnya 100 peratus atau pun majoriti guru-guru di Teluk Intan mengundi BN, guru-guru terbabit kini dalam proses di panggil mengadap ketua jabatan untuk dikenakan tindakan.

Kesalahannya hanya kerana didapati bersalam dengan Dyana dan dicop ssbagai pro pembangkang.

Mungkin mereka akan dipanggil untuk mengetahui sama ada undi mereka diberikan kepada BN atau DAP atau barangkali juga akan disusuli dengan tindakan pertukaran sekolah jika didapati mempunyai kecenderungan yang kuat terhadap pembangkang.

Sekurang-kurangnya hampir 10 guru-guru yang didapati bersalam dengan Dyana ketika hari penamaan calon 19 Mei lalu akan dipanggil mengadap ketua jabatan dalam masa terdekat ini. Guru-guru yang dipercayai ada kecondongan terhadap PR sama ada melalui perbualan seharian dan sebagainya juga turut akan dipanggil sama.

Sehingga ini ramai guru-guru meluahkan rasa tidak puas hati atas perkara ini dan mempersoalkan sejak bila bersalam dengan calon parti pembangkang merupakan suatu kesalahan? Mereka juga mempersoalkan, jika tidak mahu guru-guru berdepan kemungkinan bertemu dan bersalam dengan calon DAP, Dyana Sofya itu, seharusnya buatlah penamaan calon di tempat lain dan bukannya di dewan sekolah.

Tindakan ugutan yang dilakukan terhadap guru-guru ini tidak lebih menyerlahkan jiwa resah dan gelisah UMNO dan BN menghadapi pilihanraya kecil Teluk Intan ini. Arus penolakan rakyat yang semakin kuat terhadap BN, ditambah dengan kehadiran calon muda yang ditonjolkan oleh DAP, membuatkan ada ketua jabatan yang menjadi pembodek BN atau memang ianya merupakan arahan daripada pihak atasan telah menjadi hilang pertimbangan serta tidak rasional.

Ugutan terhadap guru-guru yang hanya didapati bersalam dengan Dyana ini menambahkan lagi sejumlah salah laku dan kesombomgan BN serta para pemimpinnya dalam pilihanraya kecil ini. Di ketika undi adalah rahsia dan menjadi kebebasan mutlak setiap rakyat berdasarkan pertimbangan dan penilaian mereka sendiri, taktik jahat dan kotor nampaknya terus berleluasa.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Ahmad Shabery Cheek melontarkan ugutan kepada pengundi muda Teluk Intan dengan mengatakan akses internet yang lebih pantas akan didatangkan ke bandar Teluk Intan ini sekiranya pengundi muda memberikan sokongan dan memastikan kemenangan calon BN, Mah Siew Keong.

Kemudian disusuli pula dengan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan dan Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengatakan pembangunan hanya akan diberikan kepada penduduk Teluk Intan sekiranya BN memenangi pilihanraya kecil ini.

Jika ugutan mahu memberi akses internet dan mendatangkan pembangunan mungkin sudah agak biasa didengar sebelum ini tetapi ugutan hanya kerana bersalam dengan calon bukan daripada parti kerajaan, mungkin agak pelik dan hanya berlaku di negara ini saja.

Agaknya inilah lambang kejayaan kempen "Malaysia Boleh" dan seruan agar "berfikir di luar kotak" yang sering dilaung-laungkan pemimpin UMNO dan BN sebelum ini? (SH 24/05/2014)

Hangat!! Ada DNA babi dalam coklat Cadbury Dairy Milk, Jakim sedang mesyuarat tergempar

JAKIMSHAH ALAM: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mengadakan mesyuarat tergempar susulan kenyataan akhbar Kementerian Kesihatan berhubung DNA babi (porcine) yang dikesan dalam coklat susu kacang hazel dan buah badam Cadbury Dairy Milk.
Penolong Pengarah (Perhubungan Awam) Divisyen Halal Hub, Jakim, Nadia Zammil Md Nasir ketika dihubungi berkata, mesyuarat tersebut diadakan dalam kadar segera bagi merungkai isu ini.

“Sebarang maklumat lanjut berkenaan isu ini akan diberikan selepas mesyuarat pada petang ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam satu kenyataan akhbar hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan bahawa DNA babi (porcine) telah dikesan dalam coklat susu kacang hazel dan buah badam Cadbury Dairy Milk.

Memali: Saksi hidup sanggah pembohongan kertas putih (Pemimpin umno dan polis buat fitnah dan cerita bohong)

NAZRI ABDULLAH 
BALING: Saksi-saksi hidup dalam peristiwa berdarah Memali 1985 mendakwa, kebanyakan fakta yang dimuatkan dalam kertas putih yang dibentang di parlimen berkait peristiwa itu adalah tidak benar.

Sanggahan itu dibuat melalui satu forum khas bertajuk 'Tragedi Memali: Pembetulan fakta sejarah menolak pembohongan kertas putih Kerajaan Malaysia' di Kampung Memali petang tadi.

Forum itu diadakan sempena program Himpunan Keadilan Untukmu Memali anjuran PAS Pusat yang berlangsung hari ini.

Sembilan saksi ditampilkan dalam forum ini iaitu Bekas Senator Datuk Mohammad Yusof Husin, Azmi Salim, Zaman Mahmud, Zakaria Abdul Rahman, Ramli Che Mit, Osman Salleh, Radziah Rozali, Aisyah Ahmad dan Tuan Guru Abdul Wahab Hassan.

Kesemua mereka adalah antara mangsa yang ditahan selepas berlakunya peristiwa hitam itu, serta balu-balu kepada mereka yang terkorban dalam insiden itu.

Mohammad Yusof, yang merupakan orang kanan kepada Allahyarham Ustaz Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya, berkata fakta dalam kertas putih sengaja dibuat bagi menjustifikasikan tindakan pihak berkuasa yang telah menyebabkan 14 orang terkorban dalam insiden itu.

"Seramai 161 saksi diminta membuat kenyataan menggambarkan bahawa Ustaz Ibrahim Libya adalah seorang pengganas, mengajar ajaran sesat dan ingin menjatuhkan kerajaan secara revolusi bersenjata," katanya yang namanya disebut sebanyak 16 kali dalam kertas putih.

Beliau yang juga lebih mesra dengan panggilan Pak Ucop, turut dituduh sebagai ketua mujahidin, dan timbalan ketua gerakan revolusi dalam kertas putih itu.

Menurut Pak Ucop, punca sebenar peristiwa Memali berlaku adalah kerana ketegasan Ustaz Ibrahim Libya yang menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang disifatkan sebagai akta zalim dan bercanggah dengan perinsip keadilan Islam.

"Dia pernah kata, dia tak redha ditanggkap di bawah ISA. Dia sanggup serah jasad tanpa nyawa," katanya lagi.

Mengulas dakwaan dalam kertas putih, kononnya rumah Ustaz Ibrahim Libya menjadi tempat menyimpan senjata untuk tujuan revolusi, beberapa saksi lain turut menyanggah.

Radziah berkata, beliau mendapat maklumat bahawa pihak polis bertindak mengumpul parang dari seluruh rumah di kampung itu selepas kejadian itu berlaku, dan bukan parang yang terdapat di rumah Ustaz Ibrahim.

Dakwaan bahawa terdapat lebih 100 orang di rumah Ustaz Ibrahim ketika hari kejadian dengan bersenjata parang juga turut disanggah.

"Orang kampung, bila dengar lembu kena langgar, penuh orang keluar tengok.

"Ini pula orang nak ambik tok guru kita, tentu la kita datang nak tengok, bagaimana mereka nak ambik.

"Mereka ini ada kerja menebas, jadi mereka datang dari tempat kerja sambil pegang parang" katanya.

Pak Ucop kemudiannya menjelaskan, ketika kejadian tak lebih dari 40 orang berada di kawasan rumah Ustaz Ibrahim dan bukan seperti dilaporkan di dalam kertas putih itu.

Dalam kertas putih tersebut, Ustaz Ibrahim Libya juga didakwa memakai azimat dan mengamalkan ajaran khurafat kononya bagi tujuan ilmu kebal dan pelindung diri.

"Kalau pakai azimat, tak mati la. Tapi semua yang kena tembak itu mati.

"Maknanya tuduhan itu tak betul," kata salah seorang dari mereka.

Forum yang berlangsung di Madrasah Islahiah Memali petang tadi itu turut dihadiri lebih 1000 hadirin.

Malam ini pula akan berlangsung ceramah perdana oleh pemimpin PAS termasuk Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. 

Anak ketua polis Sabah miliki dua buah kereta mewah jenis Audi A5 dan Jaguar XF yang dibeli secara tunai

sanjeevan
KUALA LUMPUR: Pengerusi Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) R Sri Sanjeevan mendakwa anak lelaki seorang pegawai kanan polis memiliki aset kekayaan melebihi RM2 juta.

Sanjeevan berkata, kekayaan lelaki berusia 30-an itu menimbulkan tanda tanya kerana beliau tidak memiliki sebarang pekerjaan.

“Dia memiliki dua buah kereta mewah jenis Audi A5 dan Jaguar XF yang dibeli secara tunai, selain turut mempunyai enam akaun peribadi yang kesemuanya berjumlah melebihi RM500,000.

“Hasil siasatan pihak MyWatch mendapati pekerjaan terakhir dia adalah pada tahun 2008,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sebuah restoran di ibu negara hari ini.

MyWatch turut mendedahkan transaksi akaun anak lelaki tersebut yang datang daripada sebuah syarikat senjata api yang berpangkalan di Malaysia Timur.
Sehubungan itu, MyWatch menggesa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat sumber kekayaan luar biasa lelaki terbabit.

Tambahnya, beliau mendapat maklumat berkenaan setelah menerima bungkusan yang dialamatkan ke pejabatnya oleh seorang individu yang tidak dikenali pada awal bulan ini.

Datuk Hamzah Taib -Sabah Police Commissioner“Saya mahu siasatan terperinci dibuat segera sumber kewangan beliau kerana mampu memiliki pelbagai aset dalam usianya dan tidak bekerja bahkan saya turut akan membuat laporan kepada pihak SPRM pada minggu hadapan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sanjeevan turut mengulas pertanyaan media mengenai kes tembak terhadap dirinya, Sanjeevan berkata siasatan terhadap kes itu telah dihentikan.

“Saya berasa kesal kerana siasatan telah ditutup maknanya sekiranya saya terbunuh ketika kejadian itu, bererti tiada siasatan lanjut yang akan dibuat bagi mengetahui kebenaran sebenar,” tegas beliau.
-freemalaysiatoday-

Sabah top cop: My ‘rich’ son is not ‘jobless’
KOTA KINABALU: Sabah Police Commissioner Hamza Taib has dismissed insinuation of wrongdoings by his allegedly “jobless” son Mohammad Azhan.

Malaysian Crime Watch Task Force (MyWatch) chief R Sri Sanjeevan had earlier this week questioned Mohammad Azhan’s ownership of two luxury cars allegedly bought by cash when he was unempoyed.

But Hamzah speaking to reporters here said: “How can anyone say my son is jobless when he is a director in several companies and own several firms in Kuala Lumpur?”

Hamzah said his son, Mohammad Azhan, 30, had read law at the International Islamic University while his daughter-in-law was also a qualified lawyer.

“They are living at my house in Kuala Lumpur so they don’t have to worry about housing loans,” Hamzah said.

He was clarifying claims by Sanjeevan that Mohamad Azan although unemployed had bought two luxury cars last year – a Jaguar XF and an Audi A5.

The cars with a combined costs of RM1.1 million was allegedly purchased with cash.

Without naming Mohammad Azan, Sanjeevan had reportedly questioned the source of the former’s “extraordinary wealth”.

“According to MyWatch investigation, the last time he was employed was in 2008.

“We also have a banking transaction note to him from a weapons company in East Malaysia,” he said.

MyWatch has urged Malaysian Anti Corruption Commission (MACC) to investigate the source of Mohammad Azan’s income.

“I want a detailed investigation to be carried out immediately on the source of his funds and how he managed to acquire various assets at such a young age as he is unempoyed.

“I will be lodging a report with MACC next week,” Sanjeevan said.

But Hamzah dismissed Sanjeevan allegations.

He said to the best of his knowledge his son’s activities were above board and the two luxury cars in question were reconditioned vehicles and cheaper that new ones.

Piala Thomas: Jepun buat kejutan singkir China dan akan menentang Malaysia dalam perlawanan akhir

HARAKAHDAILY 
KUALA LUMPUR: Malaysia menempah tempat ke perlawanan akhir badminton Piala Thomas di New Delhi, India apabila menumpaskan pasukan negara jiran, Indonesia 3-0, lapor Berita Harian online.

Pemain perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei mengutip mata pertama setelah menundukkan Tommy Sugiarto 21-19 dan 21-13.

Pasangan Tan Boon Heong-Hoon Thien How meraih mata kedua biarpun bertarung tiga set ketika menewaskan beregu nombor satu dunia, Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan 21-19, 8-21, 23-21.

Mata kemenangan negara dicipta oleh pemain perseorangan kedua, Chong Wei Fong yang menewaskan Dionysius Hayom Rumbaka 21-10, 21-17.

Sebelum itu, Jepun berjaya meruntuhkan kuasa badminton dunia yang juga juara bertahan, China dengan keputusan yang sama.

Pemain utama Jepun, Kenichi Tago menewaskan Chen Long 21-13, 21-11 diikuti beregu Kenichi Hayakama mengalahkan Chai Biao/Hong Wei 22-20, 21-19.

Kento Momota menyumbang mata kemenangan apabila menumpaskan Du Pengyu 23-25, 21-18, 21-14.

Gambar Guru Pecah Mulut Kena Belasah Dengan Murid

Seorang guru sekolah cedera ringan di bahagian mulut akibat di belasah pelajar tingkatan 2 sekolah nya, kejadian ini berlaku di sebuah Sekolah Menengah di Kulai Johor.

Gambar guru dan pelajar terbabit kini tersebar dimedia-media sosial, mengikut sumber punca guru tersebut di pukul oleh pelajar terbabit adalah kerana guru terbabit menegur pelajar terbabit akibat membuat bising di surau sekolah terbabit.

Kes ini di siasat oleh pihak terbabit bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar kes itu, jika perkara ini benar amat mendukacitakan apa yang di lakukan oleh pelajar terbabit.

DIMANA PEJABAT PELAJARAN DAERAH DALAM HAL INI?

Pandangan TG Nik Aziz mengenai PRK Teluk Intan

DATUK NIK ABDUL AZIZ NIK MAT
Teluk Intan : Pandangan Saya

1. Pagi ini saya sekali lagi berhalangan untuk menyampaikan kuliah di Medan Ilmu. Hasrat saya untuk mengulas tentang PRK Teluk Intan di sana, namun kesihatan yang tidak mengizinkan menyebabkan saya terpaksa meminta ia digantikan dengan kuliah yang lain.

2. Berhubung pilihan raya kecil Teluk Intan, ramai yang bertanya pendirian saya berhubung isu hudud setelah calon DAP dikatakan membuat kenyataan menolak hudud. Saya tegaskan bahawa hudud merupakan satu kewajipan. Mana-mana orang Islam wajib menerima hukum ini sebagaimana mereka menerima kewajipan bersolat dan berpuasa. Pas tidak pernah lari dari kewajipan ini bahkan konsisten mempertahankannya semenjak dari hari ia ditubuhkan lagi.

3. Di Teluk Intan, kerusi tersebut ialah kerusi DAP yang merupakan rakan tahaluf siyasi Pas. Bersama-sama DAP dan juga PKR, Pas telah bekerjasama membentuk Pakatan Rakyat dan sama-sama memperjuangkan keadilan dan membanteras rasuah. Sehingga hari ini DAP belum pernah menzalimi Pas sebagaimana yang dilakukan Umno sebelum ini.

4. Justeru, apabila calon DAP dikatakan menolak hudud, ia tidak mengejutkan kerana itulah perbezaan Pas dengan DAP. Dalam hal ini, Pas sewajibnya berusaha lebih gigih memberikan kefahaman kepada DAP agar kebaikan dan keindahan hukum Islam ini dapat difahami dan diterima. Sebab itu, saya sentiasa menaruh harapan agar satu hari nanti DAP menerima hasrat Pas ini hasil dakwah berterusan yang tidak henti-henti.

5. Usia Pakatan Rakyat baru sahaja lima tahun. Dalam masa lima tahun, adalah satu perkara yang logik jika DAP masih belum memahami hasrat Pas dalam isu ini. Pihak yang patut malu ialah Umno yang telah setengah abad bersahabat dengan parti-parti komponen bukan Melayu dalam BN, namun hingga sekarang masih gagal memberikan kefahaman tentang Islam. Bahkan ada ahli Parlimen Umno sendiri secara terang-terangan mengeluarkan kenyataan untuk mengundi menolak hudud di Parlimen nanti.

6. Saya kira Umno perlu menilik wajah di cermin sebelum mentohmah Pas kononnya menggadaikan prinsip. Jerawat, kurap dan panau di badan sendiri masih bertompok merata tiba-tiba jari lurus menuding kononnya orang lain itulah pesakit kusta! Sedarkah Umno bahawa parti Gerakan itulah yang menjanjikan rantai manusia bagi menghalang hudud dibentang?

7. Saya ingatkan sekali lagi, elakkanlah menjadikan isu hudud sebagai bahan kempen di Teluk Intan. Dalam pertarungan DAP dan Gerakan ini, tiada untungnya isu ini ditimbulkan. Pada saya, harapan saya tetap ingin melihat PR menang di Teluk Intan dan hudud akhirnya berjaya dilaksanakan!

Salam hormat.

DATUK NIK ABDUL AZIZ NIK MAT,
Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu.

23 Rejab 1435H

Ketua Polis Negara perli Umno ni?

Polis sifatkan PRK Bukit Gelugor paling aman
GEORGE TOWN: Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor disifatkan sebagai antara yang paling aman, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata keadaan sepanjang tempoh 12 hari berkempen setakat ini tenang dan tiada kes serius berkaitan pilihan raya kecil itu dilaporkan.

"Sepanjang 12 hari kempen, kami terima tidak lebih 15 laporan polis dan empat kertas siasatan dibuka berkaitan kesalahan pilihan raya tetapi semua itu kes-kes kecil," katanya dalam sidang akhbar selepas mendengar taklimat pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor, di sini hari ini./BERNAMA

*Memang tak dapat dinafikan, kalau umno/bn tak bertanding, pilihan raya akan aman.

UMNO Terkejut Beruk Disebabkan Oleh Yammy Dan Dyana

Shahbudin Husin
Pilihanraya kecil Teluk Intan yang menyaksikan DAP mencalonkan Dyana Sofya, anak seorang bekas pemimpin serta masih ahli UMNO membuatkan parti itu bagaikan terkena renjatan letrik. Ramai pemimpinnya terkejut, melatah, cuba menunjuk pandai dan tidak kurang ada yang cuba berlagak "macho" seperti seorang lelaki budiman yang dahagakan perhatian.

Ada pemimpin muda yang pantas cuba menyelar calon DAP itu sebagai tidak mengenang budi UMNO dan ada pula yang memintanya mendesak MCA yang memiliki Universiti Tunku Abdul Rahman agar turut mengamalkan dasar terbuka.

Hanya setelah diselar oleh orangramai bahawa UiTM adalah milik kerajaan dan bukannya milik UMNO dan dasar kerajaan pula mahu rakyat berilmu dan berpendidikan tanpa mengira parti mana yang mahu dipilih sebagai landasan perjuangan apabila tamat pengajian, pemimpin UMNO terbabit sekarang ini sudah hilang tanpa berani bersuara lagi.

Seorang timbalan menteri yang mengaitkan MCA pula, apabila diselar kembali oleh Presiden MCA sambil diberiksn fakta bahawa UTAR adalah universiti yang terbuka kepada semua kaum tetapi mengambil kira soal merit dan kecemerlangan akademik, turut terdiam entah ke mana sekarang ini.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin juga menyentuh pencalonan Dyana yang mendapat liputan meluas media dengan meminta pengundi menilai bahawa pilihanraya kecil ini bukanlah pertandingan ratu cantik dan pengalaman sepatutnya lebih diambil kira.

Bagaimanapun apabila beliau juga dilibas balik bahawa beliau juga dulunya tiada pengalaman dan markahnya lebih dinilai berdasarkan kedudukannya sebagai menantu Pak Lah yang menjadi Perdana Menteri ketika itu serta pemilihan Dyana sebagai calon adalah proses memberinya pengalaman, KJ juga nampaknya tidak berani berhujah lagi.

Ketua Wanita UMNO, Shahrizat Jalil juga memberi reaksi yang mengaitkan pemilihan Dyana hanya sebagai boneka DAP dan untuk menarik sokongan pengundi Melayu semata-mata, malangnya apabila isu lembu NFC dan kegagalan Wanita UMNO sendiri menonjolkan ramai wanita muda sebagai calonnya dijadikan peluru menembak balas, beliau nyata semakin menyerlahkan kegagalannya. Lebih dari itu, ramai yang meminta Ketua Wanita UMNO itu agar kurang bercakap dah lebih baik berehat saja di Kuala Lumpur bagi mengelakkan keceluparannya membuatkan calon BN lebih ditimpa malang.

Abdul Rahman Dahlan, menteri dari Sabah pula cuba bersikap "macho" dengan menulis di twtternya yang menggambarkan pemilihan Dyana sebagai calon DAP yang mewakili golongan muda haruslah diraikan.

Selain ramai pemimpin UMNO lain yang turut mengulas pemilihan Dyana sebagai calon dan kedudukannya sebagai anak orang UMNO, bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad juga tidak ketinggalan mahu memberi respon sama. Sambil menyatakan pemilihannya sebagai hiasan luaran, Mahathir juga menyalahkan kecondongan Dyana memilih DAP sebagai wadah perjuangan kerana kegagalan ibu bapa memberitahu tentang sejarah, perjuangan dan jasa-jasa UMNO kepada anak-anak mereka.

Namun demikian, ibu Dyana iaitu Yammy Samat segera menyindir Mahathir dengan mengatakan beliau sebenarnya mahu anaknya menjadi seperti Mukhriz tetapi apakan daya kerana akhirnya memilih untuk menjadi seperti Marina Mahathir.

Dalam masa yang sama, hari ini Marina yang sering kelihatan berbeza pendirian dengan bapanya, turut memuji Dyana sebagai calon yang sangat bijak, boleh berfikir, petah berkata-kata serta boleh menulis dan kelebihannya ini menurutnya lebih baik daripada kebanyakan ahli politik yang lain.

Hanya Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO yang belum mengulas mengenai Dyana ini. Mungkin selepas kembali daripada luar negara dan tidak lagi dibelenggu kesibukan nanti, Najib juga turut terghairah mahu bercakap mengenai Dyana dan Teluk Intan.

Kesimpulan daripada semua reaksi pemimpin UMNO itu ialah mereka semua terkejut dan akhirnya melatah dengan kehadiran Dyana sebagai calon DAP. Bukan saja kedudukannya sebagai wanita muda dan cantik menjadi perhatian, malah latar belakang ibunya sebagai bekas pemimpin dan masih ahli UMNO turut menjadi perdebatan.

Ketika penamaan calon dan berkempen di mana kehadiran Yammy yang sentiasa menemani anaknya menjadi persoalan sehingga timbul desakan agar beliau dipecat daripada UMNO, suasana kempen juga sehingga hari ini masih lagi berkisar mengenai peribadi Dyana dan ibunya. Serangan berbentuk peribadi jelas lebih kerap kedengaran sehingga jentera BN terlihat seolah-olah lupa untuk menyerang dasar dan ideologi DAP dan menonjolkan calon mereka sendiri, Mah Siew Keong.

Walaupun ada desakan daripada Veteran UMNO dan juga Mubarak agar ibu Dyana dipecat daripada UMNO tetapi TPM, Muhyiddin Yassin nampaknya masih lagi rasional dengan mengatakan perkara itu tidak menjadi pertimbangan kerana sebagai ibu adalah menjadi hak Yammy untuk menemami anaknya yang masih bujang itu.

KJ pula cuba bersikap budiman dengan menyokong pendirian Muhyiddin itu dan mengatakan isu memecat ibu Dyana bukan menjadi keutamaan kepada UMNO ketika ini.

Soalnya benarkah Yammy tidak akan dipecat? Bagaimana selepas pilihanraya Teluk Intan berakhir nanti, lebih-lebih lagi jika calon BN tewas?

Jika mengikut perlembagaan UMNO, memang tiada peruntukan khusus untuk mengambil tindakan kepada seorang ibu yang menemani anaknya yang menjadi calon parti lawan. Yang ada berkaitan tanggungjawab dan hak ahli hanyalah fasal 6.1.4 iaitu "menjalankan kerja-kerja parti dan mematuhi tata etika, perintah-perintah dan disiplin parti" serta fasal 6.1.5 yang berbunyi "menyokong calon-calon parti yang bertanding dalam pilihanraya".

Jelas bahawa peruntukan dalam perlembagaan ini agak longgar dan boleh dipertikaikan. Walaupun veteran UMNO bertegas bahawa Yammy melanggar perlembagaan parti manakala Mubarak pula mengatakan Yammy hanya boleh berdoa untuk anaknya tetapi tidak boleh menonjolkan dirinya secara terbuka tetapi memandangkan Dyana masih muda dan bujang lagi, keperluan ibunya disisi tidak boleh diremehkan dari segi kemanusiaan dan budi bicara.

Selain faktor kemanusiaan dan tidak mahu bersikap kejam yang mungkin memburukkan lagi peluang BN memenangi pilihanraya kecil ini, kelonggaran dalam perlembagaan UMNO sendiri barangkali menjadi pertimbangan Muhyiddin. Walaupun ahli UMNO dimestikan menyokong calon parti dalam pilihanraya, apakah sekadar menjadi peneman anak yang masih bujang dan dalam tangungjawab ibu bapa boleh dikategorikan sebagai melanggar perlembagaan?

Oleh kerana kes seumpama ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan pemimpin UMNO juga tidak terfikir ada anak orang UMNO bakal menjadi calon parti lawan kerana merasakan UMNO itu bagaikan agama yang mesti dianuti oleh semua anak dan keluarga ahli serta pemimpinnya, maka itu sebabnya barangkali tiada pengkhususan dalam perlembagaan UMNO itu.

Tetapi dengan peredaran masa dan generasi muda makin terbuka serta pelbagai seleranya, keadaan ini tidak mustahil menjadi tambah meluas. Jika sebelum ini hanya adik-beradik Shahrir Samad dan Khalid Samad serta pasangan suami isteri di Sabah yang berbeza parti menjadi perhatian, kini nyata berlaku perbezaan parti antara ibu dan anak serta ibu menjadi peneman anaknya pula.

Di masa akan datang, bukan saja berbeza anutan parti ini menjadi biasa dalam keluarga, bahkan mungkin dalam keluarga pemimpin UMNO pun tiada yang sekata lagi. Dalam masa yang sama, penglibatan ibu, bapa, suami atau isteri, adik-beradik dan sebagainya dalam menyokong ahli keluarga yang berbeza parti yang bertanding dalam pilihanraya turut bukan lagi sesuatu yang luar biasa.

Adakah ini akan mendorong UMNO untuk meminda perlembagaannya dan memberi tafsiran yang lebih khusus mengenai tanggungjawab dan hak seseorang ahlinya?

Walaupun Muhyiddin turut kelihatan budiman dan ada budi bicara yang tinggi dalam hal ini tetapi kekalahan calon BN di Teluk Intan nanti boleh saja membuatkannya berubah nada. Sementara kedudukan ibu Dyana bakal jadi perhitungan sebaik pilihanraya kecil ini berakhir, UMNO juga dipercayai akan bergerak selangkah lagi dengan memberi tafsiran semula yang lebih detail dan terperinci dalam perlembagaan mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh ahli-ahlinya.

Dyana Sofya dan Yammy benar-benar memberikan kejutan kepada UMNO.

Xiaomi Berteknologi Dan Murah, Mengatasi Apple dan Samsung?

Xiaomi mungkin kurang dikenali di luar China, tetapi ia merupakan pembuat telefon pintar berjenama Asia yang sedang berkembang pesat mencabar dominasi Apple dan Samsung. Bukan itu sahaja, Xiaomi menawarkan spesifikasi tinggi pada harga rendah.
Dalam tempoh tiga bulan, Xiaomi berjaya menewaskan Apple dan jenama Asia terkenal yang lain seperti Huawei dan Sony untuk menjadi jenama telefon pintar yang ketiga terbesar dalam pasaran saham China, kata firma penyelidikan pengisian teknologi.

Samsung memegang tangga teratas dengan 18 peratus, diikuti oleh jenama tempatan Lenovo, 12 peratus.

Teknologi dari Beijing ini mula terjual sebanyak 18.7 juta unit pada 2013, dan menyasarkan jualan sebanyak 60 juta bagi tahun ini dan 100 juta pada 2015.

Menawarkan telefon berteknologi tinggi tetapi berkos rendah, Xiaomi berhasrat untuk memasuki pasaran bajet anak muda Asia yang sentiasa mahukan teknologi telefon pintar yang terkini.

Firma penyelidikan teknologi, Perbadanan Data Antarabangsa (IDC) berkata dalam satu laporan pada bulan Februari, telefon pintar murah merupakan pemacu utama kepada perkembangan jualan pasaran kos rendah di luar China.

Telefon bajet
Xiaomi Share Q1 2014

Kajian menunjukkan, telefon bimbit yang dijual dengan harga kurang dari AS$100 (RM323) merupakan penyumbang kepada hampir separuh daripada jualan telefon dunia, dengan dua per tiga daripadanya berharga kurang dari AS$50 (RM161).

"Pasaran Asia telah menggalakkan golongan muda untuk memiliki teknologi telefon pintar terkini tetapi terdapat kekangan belanjawan yang terhad," kata Mykola Golovko, Penganalisis Kanan Pengguna Elektronik di firma penyelidikan Antarabangsa Euromonitor.

Data Euromonitor pada 2013 menunjukkan pemacu pasaran yang terdiri daripada individu berusia 15 hingga 34 tahun merupakan di antara 25 peratus dan 40 peratus daripada populasi di negara-negara seperti Malaysia, Vietnam, Indonesia dan China.

Tidak seperti pesaing gergasi yang lain, Xiaomi mempunyai pengiklanan yang minimum dan tidak memiliki cawangan runcit yang membantu mengekalkan harga rendah. Jenama tersebut berjaya menarik kelompok pengikutnya sendiri menerusi laman sosial, termasuk Weibo di China.

Kebanyakan pengguna digelar 'Peminat Mi' oleh Xiaomi kerana membeli telefon mereka secara langsung menerusi laman web semasa jualan murah.

Xiaomi, yang bermaksud bijirin dalam bahasa Mandarin mencari peluang yang lebih luas dengan melamar Hugo Barra, yang pernah berkhidmat dengan Google untuk menerajui pertumbuhan antarabangsanya.
Xiaomi Mi Pad
Xiaomi Mi Pad.

Ia telah menunjukkan sedikit perkembangan di Singapura pada bulan Februari apabila mula diterajui secara meluas di bawah pengawasan Barra.

Telefon Xiaomi menawarkan pemproses dan reka bentuk yang menarik yang mampu bersaing dengan jenama terkenal Samsung dan menggunakan perisian terbaharu Google untuk Android, yang dijual dengan hanya sebahagian daripada harga sebuah Samsung Galaxy S5 dan iPhone 5s.

Xiaomi tidak bersendirian dan pakar-pakar dalam industri berkata Asia terbuka kepada lebih banyak pengeluar seumpama itu. Cherry Mobile di Filipina, Micromax di India dan Q-Smart di Vietnam berjaya membuat pencabar utama dunia gentar dengan ciri-ciri menarik dan telefon pintar berskrin besar yang dijual serendah AS$30 (RM97) tanpa sebarang subsidi daripada syarikat telekomunikasi.

Pesaing
Ninetology Smartphone
Ninetology Stealth II.

Antara lain termasuk Smartfren dan Cyrus di Indonesia, Ninetology di Malaysia, QMobile di Pakistan dan I-Mobile di Thailand. Satu laporan oleh IDC berkata, pengeluar tempatan memegang 39 peratus daripada jumlah pasaran saham di Asia Pasifik tidak termasuk Jepun.

Prestasi Xiaomi mungkin baik, tetapi dominasi Samsung di peringkat antarabangsa tetap tidak boleh diragui. Menurut IDC lagi, Samsung telah menjual 313.9 juta telefon pintar pada 2013, berbanding 153.4 juta oleh Apple.

Nicole Peng, seorang penganalisis industri mudah alih di firma penyelidikan pasaran Canalys berkata, ramai pengguna telefon pintar jenama seperti Xiaomi di Asia ingin menjadi antara yang terawal memiliki telefon bimbit berkos rendah seperti Xiaomi dan ini menjadi faktor produk itu mampu bersaing dengan jenama terkenal.

"Pasaran seumpama ini adalah untuk mereka yang gemarkan teknologi. Mereka hanya mahu merasakan pengalaman menggunakan alat terbaharu yang tidak begitu mahal atau berjenama," katanya. -AFP

Siapakah kuasai perniagaan di Mekah-Madinah?

Rakyat dari “Benua India” yang beragama Islam nampaknya menguasai semua perniagaan sama ada yang besar mahupun yang paling kecil sekali. Perniagaan hotel, walau pun hotel-hotel itu bukan hak milik mereka, tetapi penguasa dan pengendalian hotel-hotel tersebut dilakukan rakyat dari benua itu. Begitu juga dengan perniagaan makanan, dari restoran besar sehingga kepada gerai-gerai tepi tembok, tepi jalan, tepi-tepi mana pun dan sudut-sudut mana pun dimonopoli oleh mereka.

Tidak ada satu ruang pun yang boleh kita mencelah melihat rakyat tempatan yang ada menjalankan perniagaan tersebut. Kedai makan misalnya, semuanya di kuasai oleh mereka. Mereka menjual aneka jenis makanan sama ada yang berat mahu pun yang ringan-ringan. Cakap apa saja perniagaan yang ada di seluruh Arab Saudi itu, siapa yang menjalankan perniagaannya? Sehingga pasar lambak di tepi jalan pun dikuasai oleh mereka. Apabila kita pulang dari masjid terutama pada waktu sembahyang subuh, maka laluan tempat penginapan itu lebat dengan jualan lambak. Serba serbinya ada. Mahu jubah, mahu ketayap, mahu tasbih, mahu perhiasan-perhiasan tangan, kaki, telinga, hidung semuanya ada dipasar lambak selepas waktu sembahyang asar, maghrib dan isyak serta subuh kecuali waktu zohor tidak ada kerana waktu ini terlalu panas, mereka tidak tahan berjemur.

Dulu sebelum pembangunan dilancarkan dimana hotel-hotel lama masih ada, kedai-kedai lama dan bazar-bazar lama masih wujud, kita boleh membeli semuanya ini melalui bazar-bazar dan kedai-kedai tersebut. Oleh kerana sekarang semuanya sudah dibersihkan dan dirobohkan, mereka ubah cara berniaga dengan mengadakan “pasar lambak”. Bagaimana pun, pasar lambak ini masih dianggap “tidak sah” dari segi undang-undang Majlis Perbandaran Makkah. Mereka ini dihambat oleh pegawai-pegawai penguatkuasa yang sentiasa meronda di kawasan-kawasan berkenaan. Yang menghairankan, para peniaga pasar lambak ini kenal dan tahu watak dan wajah penguatkuasa itu.

Apabila mereka melihat wajah mereka, maka lintang pukang mereka membungkus barang-barang jualan lambak terus lari. Kadang-kadang kita sedang memilih-milih barang yang kita berkenan, tiba-tiba sahaja peniaga membungkus, dan lari. Kita pula terpaksa mengejar mereka untuk membayar harga yang sudah kita ambil. Bagi kita tentulah tidak kenal pegawai penguatkuasa itu, kerana pakaian mereka sama saja dengan pakaian orang-orang yang baru pulang dari masjid, tetapi bagi peniaga pasar lambak cukup kenal. Bercakap tentang perniagaan makanan, bagi kaum India yang menjalankan perniagaan itu meletakkan harga “ikut suka”nya saja. Kalau dia rasa satu mangkuk plastik dalca tujuh atau lapan riyal, dia akan beri tahu kita dengan harga itu.

Tetapi harga yang sebenarnya yang biasa kita beli ialah antara tiga riyal atau pun empat riyal, kalau paling tinggi pun lima riyal. Tetapi dilihatnya jemaah ini bukan dari rakyat tempatan atau pun bukan dari Benuanya, dia pun “ketuk” atau pun “sembelih” ikut harga yang dia mahu sendiri. Inilah yang terjadi sekarang. Saban tahun kita ke sana dan membeli barang makanan, harganya sentiasa naik sahaja. Tidak ada yang turun pun.

Beruang Panda: Mari kita kira berapa kos yang terpaksa kita tanggung

Antara beruang panda, berwang dan pandai
MOHD NOR HAMZAH
Selamat datang diucapkan kepada Fuwa dan Fengyi pasangan beruang panda yang baru tiba hari ini ke Malaysia dari negara China. Semoga selesa tinggal di Malaysia bagi menghabiskan percutian selama 10 tahun atas perjanjian pinjaman antara Malaysia dan China sebagai lambang keutuhan persahabatan selama 40 tahun. Begitulah yang dilaporkan.
Bagi kehadiran dua ekor Fuwa dan Fengyi ini secara disedari atau tidak oleh seluruh rakyat Malaysia, keduanya jelas akan membaham duit rakyat sebanyak puluhan juta ringgit. Manakan tidak, dalam laporan dinyatakan bahawa rumah bagi pasangan panda ini sahaja menelan RM25 juta dan di atas tanah seluas 1.6 hektar (empat ekar)! Di mana dengan keluasan ini, kita boleh membina 40 buah bagi rumah semi-D atau sebanyak 60 buah rumah kos rendah!

Itu belum lagi dikira kos perjanjian yang menelan RM3 juta setahun selama 10 tahun yang mesti dibayar oleh Zoo Negara kepada China seperti mana dipersetujui dalam Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi yang ditandatangani antara Malaysia dan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China pada 15 Jun 2012. Tambahan kos lain ialah kos penjagaan yang dijangka menelan belanja kira-kira 1.5 juta setahun.

Sekiranya panda tersebut melahirkan anak, maka Zoo Negara sekali lagi mesti membayar sebanyak RM2 juta kepada China dan setelah dua tahun, anak tersebut mestilah diserahkan kembali kepada China.

Keseluruhan bagi 10 tahun kos pembiayaan panda ini ialah sebanyak RM70 juta jika mereka mandul. RM72 juta jika beranak dan jika sekiranya tanah itu bernilai RM250,000 seekar, maka jumlah keseluruhan pasangan panda itu dan seekor anaknya ialah RM73 juta. Satu jumlah yang sangat besar bagi perjanjian membawa binatang tinggal, makan dan beseronok-seronok di “rumah” kita.

Sekiranya diberikan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) jumlah wang sebanyak itu, berkemungkinanan rakyat Kuala Terengganu terselamat daripada kenaikan cukai pintu. Sejumlah RM15 juta ditanggung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) manakala bakinya oleh kerajaan. Dan perlu diingat semua kos ini anda semua yang bayarkan. Bagaimana caranya? Caranya ialah dengan GST, tarif elektrik, harga petrol dan lain-lain lagi. Faham?

Saya juga bukan pakar binatang, tetapi sepanjang puluhan tahun saya tinggal di Malaysia, saya tidak pernah tahu yang Malaysia mempunyai panda yang tinggal secara semula jadi di habitatnya di Malaysia ini.

Jadi untuk apakah penyelidikan yang hendak dijalankan? Kenapakah tidak sahaja dibiarkan pakar-pakar binatang dari China yang menguruskan panda-panda itu? Dan sememangnya di situlah tempat mereka.

Fikirkan kembali kenyataan dari World Wildlife Fund (WWF) yang mencadangkan agar peruntukan sebesar itu lebih bagus disalurkan kepada usaha-usaha menyelamatkan binatang-binatang yang diancam kepupusan di Malaysia ini sendiri seperti harimau, badak Sumatera, penyu dan lain-lain lagi. Adakah akan kita mendapat peribahasa baru “Panda di China disusukan...”?

Saya juga tidak mengetahui sangat apakah maksud kedatangan beruang panda yang dibawa itu jika ingin saya kaitkan kepada kemiskinan dan kesempitan hidup rakyat serta masalah gejala sosial, atau akan membantu mendekatkan masyarakat yang semakin jauh daripada agama. Apakah ini mungkin cara penyelesaian terbaru bagi mengurangkan semua masalah negara tadi oleh kerajaan, saya tidak tahu? Tapi yang pasti hal ini tidak pernah dilakukan orang, dan ianya tiada dinyatakan dalam tujuan pinjaman panda ini.

Sedarkah anda semua, kehadiran beruang panda ini akan menjadikan sekumpulan manusia berwang kerana mereka cukup pandai dalam mencari peluang menambahkan wang mereka.

Apa yang terjadi, nasib yang menimpa rakyat, tidak diendahkan. Buktinya dengan kenaikan harga petrol, harga barang-barang dapur, tarif elektrik dan lain-lain lagi selepas PRU.

Sepatutnyalah rakyat bangun menyatakan sikap dengan pembaziran, penyelewengan, penipuan dan pemerasan ini. Ditambah dengan masalah kehidupan, gejala sosialnya, tekanan kerja, hambatan material dan pertambahan kejadian jenayah. Semestinya kita bersama-sama menghentikannya.

Kepada penyokong-penyokong Umno-BN, saya nasihatkan agar menjadilah pandai sebagaimana panda ini. Kerana walaupun panda ini tidak menyokong Umno-BN tapi mereka adalah beruang yang berwang dan ada nilai dirinya sehinggakan puluhan juta ringgit dikhaskan untuk mereka sebagaimana nasib gajah di Kenyir sedikit masa dahulu yang makannya sahaja mencecah ribuan ringgit sebulan, jauh lebih baik daripada penyokong Umno yang saban masa tidak cukup wang dan mudah dipermainkan oleh pimpinan mereka dengan gula-gula BR1M, KR1M, TR1M dan tetap merayu ihsan kepada pimpinan mereka. Wallahua’lam.

Penulis ialah Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu.