Wartawan Cerita Saat Mencabar Terkandas Di Kuala Krai

Wartawan Cerita Saat Mencabar Terkandas Di Kuala Krai
KOTA BAHARU, 26 Dis (Bernama) -- Seorang wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia hari ini menceritakan pengalaman mencabar berada di jajahan paling teruk terjejas banjir di Kelantan iaitu Kuala Krai.

Menceritakan kembali detik cemas terkandas selama dua hari sejak Rabu lepas, Zaain Zain berkata pelbagai pengalaman terpaksa dilaluinya ketika membuat liputan banjir di kawasan berkenaan.

"Kami perlu meredah air paras dada dalam keadaan hujan lebat, menumpang kenderaan orang ramai dan menaiki tujuh buah bot sebelum tiba di bandar Kuala Krai berikutan jalan ditenggelami air.

"Ada satu ketika, kami melihat ada seorang remaja dihanyutkan bersama motosikalnya kerana arus deras ... nasib baik beliau sempat diselamatkan orang ramai," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata ketika tiba di bandar Kuala Krai hampir keseluruhan bandar itu ditenggelami air.

"Kawasan itu bagaikan lautan hanya nampak air bila tiba di kawasan bandar, memang menitis air mata melihat semua musnah. Kami pada mulanya ingin ke Kampung Manek Urai tetapi tidak dapat ke sana berikutan tiada pengangkutan yang mahu membawa kami ke sana," katanya.

Zaain berkata beliau terpaksa tidur di dalam trak milik tentera yang keluar menyelamatkan mangsa banjir.

"Kami tidak dapat keluar ke Kota Baharu kerana air semakin tinggi, jadi kami terpaksa bermalam di sini (Kuala Krai). Kami juga terpaksa menahan lapar berikutan bekalan makanan tiada dan kesejukan kerana pakaian basah," katanya.

Sementara itu, jurugambar Jazaly Amry Jaafar berkata keadaan banjir di Kuala Krai sangat serius.

"Saat paling tidak dapat dilupakan ialah bot yang dinaiki hanyut kerana enjin bot rosak, kami dihanyutkan ke kawasan kebun getah. Kami bernasib baik kerana pengendali bot dapat menghidupkan kembali enjin dan membawa kami ke tempat selamat," katanya.

Jazaly Amry berkata apa yang lebih menyayat hati ialah ketika sedang menaiki bot, beliau melihat orang ramai meminta bantuan dari tingkat tiga bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krai.

"Air dah berada di tingkat dua sekolah berkenaan dan pada waktu malam hanya nampak lilin di bahagian koridor sekolah berkenaan kerana bekalan elektrik terputus. Bot juga bergerak berpandukan tiang elektrik yang berada di tepi jalan.

"Berpuluh kenderaan seperti lori dan kereta ditenggelami air kerana tidak dapat keluar berikutan jalan keluar turut dinaiki air," katanya dan menurutnya tugasan tersebut merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana penuh dengan cabaran.
-BERNAMA-

Kenyataan tak berapa cerdik TMB Kelantan

KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah menegaskan, keadaan banjir di negeri ini masih terkawal apabila air di bahagian hulu beransur surut.

Menurutnya, air di Gua Musang dan Kuala Krai mulai surut dan kini memberi kesan kepada kawasan di bahagian bawah termasuk Machang, Kota Bharu serta Tumpat.

“Banjir 1967 lebih teruk, tapi kita tak isytihar darurat, sebab itu kali ini pun kita belum isytihar darurat, cuma yang menjadi kelam-kabut apabila ada setengah kawasan tak pernah banjir tiba-tiba ditenggelami, ramai tidak jangka kerana ia datang secara mengejut, itu yang menjadi isu.

“Bagaimanapun air agak lambat surut di Kuala Krai berikutan kawasan yang terlalu besar, tetapi di Gua Musang sudah tidak banjir, perlahan-lahan berkurangan dan kini memenuhi daerah di bawahnya terutama Kota Bharu dan Tumpat yang berada di muka kuala,” katanya kepada media, semalam.

Mohd Amar berkata, kejadian itu mungkin berpunca daripada pembangunan yang giat dilakukan termasuk kegiatan menambak tanah untuk projek perumahan, sekolah dan bangunan sehingga menyebabkan air mengalir di luar saluran yang ada.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, gerakan menyelamat giat dijalankan dan terus ditingkatkan dengan bantuan tujuh helikopter selain tambahan petugas termasuk sukarelawan dari luar negeri ini.

“Peruntukan tambahan bekalan makanan sudah sampai, cuma di sesetengah lokasi, kita tak boleh masuk disebabkan arus terlalu deras dan ini yang menjadi isu apabila bantuan lambat sampai, bagaimanapun bukan di seluruh negeri ” katanya.

Mohd Amar berkata, kawasan yang gagal untuk sampai, bekalan makanan dijatuhkan menggunakan helikopter.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman sebelum ini, air dijangka surut dalam masa dua hari sekiranya tidak ada hujan dan air pasang.
-sinarharian-

Banjir: K'tan meruncing, Kedah kian pulih

Banjir di Kelantan semakin meruncing apabila jumlah mangsa kini mencecah 81,925 orang manakala keadaan di Kedah semakin pulih setakat tengah hari ini.

Di Kelantan, 26,000 mangsa direkodkan di Tumpat, menjadikan jajahan itu paling teruk terjejas diikuti Kota Bharu dengan 24,034 mangsa.

Jajahan Pasir Mas juga masih mencatatkan jumlah mangsa yang tinggi iaitu 12,332 orang, Kuala Krai (5,200 orang) Gua Musang (5,150), Machang (4,039), Tanah Merah (3,548)Jeli (1,430) dan Pasir Puteh (192).

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan, Nik Omar Nik Abdul Rahman berkata kesemua mangsa daripada 20,177 keluarga itu ditempatkan di 254 pusat pemindahan.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama mendapati beberapa kawasan di sepanjang laluan utama dari bandar Kota Baharu ke Pengkalan Chepa telah dinaiki air, dan kebanyakan kawasan hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda.

Antara laluan yang terjejas ialah Jalan Sabak, Jalan Pengkalan Chepa, dan Jalan Tok Guru.

Di Kedah, keadaan dilaporkan beransur pulih dengan baki 13 mangsa telah dibenarkan pulang dan pusat pemindahan terakhir di daerah Bandar Baharu telah ditutup.

Berbeza di Terengganu, 35,246 penduduk melibatkan 6,750 keluarga masih berada di pusat pemindahan.

Daerah Kemaman masih mencatatkan mangsa tertinggi dengan 25,055 orang, diikuti Dungun (8,725 orang), Kuala Terengganu (1,247 orang) dan Hulu Terengganu (219 orang).

Sebanyak 99 pusat pemindahan masih dibuka iaitu 50 di Kemaman, Dungun (35), Kuala Terengganu (9) dan Hulu Terengganu (5).
-Bernama-

Wanita kita langsung tak tahu malu?

MUHAMAD MAT YAKIM
KERANA nila setitik, rosak susu sebelanga. Seekor kerbau bawa lumpur, habis semua terpalit. Kerana Charly Chappius, wanita Malaysia dituduh langsung tidak tahu malu. Langsung... pedih sungguh kata-kata itu.

Bagi yang kurang jelas akan mauduk omelan saya minggu ini, kisahnya adalah mengenai kenyataan seorang lelaki dari Thailand yang dilontarkan menerusi media sosial mengenai wanita Malaysia yang disifatkannya sebagai langsung tidak tahu malu.

Puncanya kerana mereka telah menunjukkan kegilaan yang melampau, yang keterlaluan amat terhadap pemain bola sepak skuad Gajah Perang, Charly Chappius.

Ini komen lelaki itu:

"Apa yang saya tahu, Malaysia sebuah negara yang paling ramai penduduknya orang Islam dan wanita kamu memakai hijab untuk menutup rambut mereka. Saya juga difahamkan, wanita kamu juga rata-ratanya bersifat pemalu. Tetapi apa yang saya lihat di halaman (Facebook) ini, banyak sekali komen daripada wanita Malaysia yang memakai hijab yang apabila melihat komen-komen mereka, saya tertanya-tanya, di mana perasaan malu mereka? Pada saya, mereka seperti tidak tahu malu langsung. Kamu kelihatan seperti perempuan tidak bermoral yang cuba menarik perhatian lelaki. Saya kira wanita kami (Thailand) lebih bermoral berbanding kamu walaupun negara kami (Thailand) dianggap sebagai negara pelacur."

Pedih lagi menyakitkan hati, bukan?

Tetapi seperti yang saya katakan tadi, apa lagi yang kita nak kata kalau sebab musabab kenyataan senegatif itu dilontarkan susur galurnya adalah daripada sikap atau tindak-tanduk orang kita sendiri. Sebenarnya perkataan tidak bermoral yang saya gunakan itu telah sedikit dilenturkan daripada perkataan sebenar yang digunakan lelaki Thai itu, jauh lebih kesat.

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa di sebalik kegagalan Harimau Malaya merangkul Piala AFF Suzuki hujung minggu lalu, ada cerita yang lebih menyedihkan daripada itu.

Bukan rahsia lagi betapa ramai anak-anak gadis kita malah isteri orang yang tanpa segan silu menunjukkan betapa gediknya mereka menggilai Chappius. Malang sekali tindak-tanduk mereka itu telah membuat habis kita orang Malaysia, terutamanya wanita lain turut menanggung aib.

Bagi saya, ini lebih menyedihkan daripada sekadar terlepas peluang merangkul sebuah piala. Ini melibatkan maruah agama, bangsa dan negara seluruhnya. Kita bukan sekadar kehilangan piala tetapi sudah hilang maruah!

Kerana begitu terbukanya apa yang mereka lakukan melalui media sosial, persepsi orang Thailand terhadap kita sudah berubah. Selepas ini, wanita kita mungkin tidak akan dihormati lagi sebagai golongan yang begitu menjaga maruah diri, bersifat pemalu dan
mengamalkan sikap budaya yang tinggi.

Masakan tidak jika di Facebook, secara terbuka mereka bukan setakat menunjukkan kegilaan terhadap pemain midfield yang lahir daripada benih kacukan Thai - Swiss itu, malahan sampai ke tahap mengecam, memperlekeh teman wanitanya yang dikatakan tidak sepadan.

Berbagai kata-kata tidak enak yang terang-terangan menghina wanita kulit putih itu dihamburkan. Seorang daripada mereka siap mengaitkan pandangan ibunya bahawa lelaki kacak biasanya berpasangan dengan wanita yang tidak cantik. Kata-kata ini mungkin untuk mengubat hati yang begitu meluap-luap rasa cemburunya!

Sejak berlangsung perlawanan akhir pertama di Bangkok lagi, beberapa minit sahaja selepas sepak mula, bertebaran di di serata media sosial pujian kepada Chappius. Ada yang sampai menganggapnya sebagai anugerah tuhan!

Tidak pernah rasanya sepanjang hayat saya yang sudah 43 tahun ini, sampai begitu sekali wanita kita tergila-gilakan pemain bola keterlaluan seperti itu, apa lagi orang luar yang mengalahkan kita. Begitu bangga seorang gadis Melayu yang hadir ke stadium dengan jersi Harimau Malaya bergambar dalam keadaan dipeluk belakangnya oleh Chappius.

Saya sudah jauh lebih berumur untuk berasa cemburu atau tercabar dengan gelagat yang seperti itu tetapi terasa hatilah juga apabila hal ini dikaitkan dengan moral, maruah, nama baik baik ugama, bangsa dan negara.

Perasaan malu sememangnya amat penting bagi sesiapa juga, lebih-lebih lagi wanita. Kita biasa dengar pesanan orang-orang tua bahawa wanita itu nafsunya sembilan, akalnya satu. Apa yang jadi pelindung untuk dia menjaga kehormatan, maruah dan harga diri adalah perasaan malu. Kalau malu sudah dibuang, inilah jadinya.

Bukan salah hendak memuji, tetapi berpada-padalah. Pemain Harimau Malaya pun bukan tiada yang kacak. Mat Yo umpamanya, pun kacak juga. Tetapi memuji Mat Yo, haruslah dipuji isterinya juga

Bayi setahun sembilan bulan hanyut, keluarga pasrah

KUALA KRAI: Sudah lebih seminggu Kampung Pertang di sini dilanda banjir lumpur, namun, bagi keluarga bayi malang yang dihanyutkan air deras Nor Adriana Adila Asrol Afendi, peristiwa itu masih meninggalkan kesan trauma dalam diri mereka.

Bayi berumur setahun sembilan bulan itu terlepas daripada pegangan ibunya Suhana Abdul Ghani, 34, apabila bumbung tempat mereka berlindung runtuh ekoran kederasan air yang melimpah dan sehingga hari ini, masih belum dijumpai.

Menceritakan kembali detik mencemaskan itu, datuk bayi berkenaan Abdul Ghani Sulaiman, 63, berkata, hujan mula lebat pada petang 17 Dis dan beliau mengarahkan isterinya Faridah Salleh, Suhana serta anak-anaknya untuk panjat ke bumbung kerana air naik begitu pantas.

"Hari tu, pukul 4.30 petang, hujan mula turun mencurah-curah, pak cik tengah nak ambil kereta bawak naik atas bukit. Masa tu angin kuat pakcik oyak (beritahu) cucu-cucu naik atas siling.

"Semasa sedang kesejukan menunggu bantuan, tiba-tiba bumbung tempat Suhana berpaut tadi runtuh apabila dihempas arus deras. Dia terlepas anaknya bila bumbung tempat mereka berpaut jatuh. Isteri pakcik terjun untuk tarik Suhana tetapi tidak boleh buat apa-apa bila anak Suhana hanyut," katanya kepada Bernama sambil mengelapkan air mata.

Media sebelum ini melaporkan Nor Adriana Adila dikhuatiri mati lemas sewaktu banjir melanda Rabu lepas dan sehingga kini jasadnya masih gagal dikesan walaupun operasi mencari telah dilakukan secara besar-besaran.

Tinjauan Bernama di sekitar kampung Ladang Kelapa Sawit Kuala Pertang itu mendapati, terdapat kesan deretan pokok kelapa sawit tumbang sepanjang 500 meter, dipercayai akibat dilanggar kepala air sewaktu banjir lumpur melanda kampung itu.

Bencana itu turut merosakkan hampir 50 rumah serta masjid, di samping jalan tar terkopak dalam kepingan besar di sepanjang jalan masuk ke kampung itu akibat kederasan air.

Abdul Ghani berkata, beliau juga hampir lemas ketika sedang berpaut pada serpihan bumbung yang masih tinggal, disebabkan arus sangat luar biasa.

"Namun, keluarga pakcik, terutama Suhana hanya mampu berserah kepada takdir. Kami sekeluarga dah pun buat solat jenazah ghaib selepas hari kedua kehilangan cucu pakcik," katanya lagi.

Abdul Ghani berkata, Suhana kini sedang berada di Hospital Kuala Krai menjaga seorang lagi anak perempuannya yang patah tangan ketika berpaut di bumbung sewaktu hari kejadian.

Isterinya Faridah pula berkata, oleh kerana sebahagian bumbung tempat mereka berpaut runtuh, dirinya terpaksa berendam dalam air lebih lapan jam manakala dua cucunya terpaksa berpaut pada pokok berhampiran, sebelum diselamatkan.

Banjir yang melanda beberapa negeri kini merupakan yang terburuk dalam sejarah negara apabila mencatat jumlah mangsa banjir terbanyak iaitu melebihi 100,000 mangsa yang kini sedang mendapatkan perlindungan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Kelantan merupakan antara negeri yang teruk terjejas banjir dengan jumlah mangsa melebihi 32,000 orang.

Kawasan yang paling teruk terjejas banjir di Kelantan ialah jajahan Kuala Krai, Pasir Mas, Gua Musang dan Kota Baharu. - Bernama

Banjir: Operasi perpindahan menyayat hati (Gambar)

Mayat Yasin yang ditutup dengan tikar dan dipangku oleh anaknya, Ghani (memegang payung) ketika dibawa menaiki trak JPAM untuk ke Hospital Tumpat.
Mayat Yasin yang ditutup dengan tikar dan dipangku oleh anaknya, Ghani (memegang payung) ketika dibawa menaiki trak JPAM untuk ke Hospital Tumpat.
TUMPAT – Operasi pemindahan mangsa banjir di sekitar daerah ini diselubungi peristiwa menyayat hati apabila seorang warga emas menemui ajal dalam usaha pasukan keselamatan memindahkannya ke tempat selamat.

Peristiwa berkenaan berlaku pada jam 8.30 pagi semalam, selepas rumah mangsa, Yasin Salleh di Kampung Besut, di sini, dilanda banjir dan dia disahkan meninggal dunia akibat serangan penyakit asma.

Anak mangsa, Rozita memberitahu, ayahnya diserang asma secara tiba-tiba ketika dipapah masuk ke dalam bot penyelamat yang menunggu di halaman rumah mereka.

"Ayah sesak nafas secara tiba-tiba ketika itu dan bot penyelamat terus bergerak untuk membawanya ke tempat selamat.

"Bagaimanapun, kami terpaksa reda dengan ketentuan ALLAH SWT, apabila ayah menghembuskan nafas terakhirnya di sisi keluarga dalam bot berkenaan," katanya.

Akibat jalan perhubungan darat terputus, maka bot terpaksa digunakan untuk membawa keluar mayat mangsa sebelum dibawa menaiki trak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Tumpat.

Ketua Operasi Menyelamat JPAM Tumpat, Lans Koperal (Pertahanan Awam) Mohd Razman Mohd Nor memaklumkan, laluan ke rumah warga emas itu ditenggelami air sedalam satu meter.

"Trak JPAM menunggu mayat yang dibawa oleh pasukan penyelamat menaiki bot di cabang Kampung Besut. Trak JPAM tidak dapat masuk sehingga ke rumah mangsa kerana terhalang oleh ketinggian paras air," katanya.

Mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Tumpat sebelum dituntut oleh keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kelaboran.
-sinarharian-

Gambar perkahwinan Penyanyi era 60-an, Datuk A Rahman Hassan dan dramatis Fadillah Mansor

Dengan sekali lafaz, A Rahman Hassan sah bergelar suami kepada dramatis Fadillah Hassan. FOTO: IZZRAFIQ ALIAS/The Star
KUALA LUMPUR: Penyanyi era 60-an, Datuk A Rahman Hassan sah bergelar suami kepada dramatis Fadillah Mansor dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis akad nikah yang diadakan di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada malam Khamis.

Majlis itu berlangsung kira-kira 9 malam itu disempurnakan oleh Imam Masjid Jamek Kampung Baharu Kuala Lumpur, Azizi Ab Hamid.A Rahman, 67, menyerahkan mas kahwin berupa sebentuk cincin berlian kepada Fadillah manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.

Majlis pernikahan kedua-dua mempelai dihadiri kira-kira 400 orang jemputan yang terdiri daripada kaum keluarga rapat pengantin dan wakil media.

Anak-anak daripada hasil perkahwinan terdahulu pasangan itu turut hadir pada majlis berkenaan.
Antara artis yang turut memeriahkan majlis tersebut adalah Datuk DJ Dave, Datuk Jalaluddin Hassan, Rohana Jalil, Uji Rashid, Hail Amir, Salwa Abdul Rahman, Den Wahab.

Pada majlis tersebut, pihak pengantin lelaki turut memberikan lima dulang hantaran iaitu beg, kasut, wangian, alat solek dan sepersalinan pakaian.

Manakala pihak pengantin perempuan membalas lima dulang hantaran iaitu cincin, kasut, wangian dan manisan.
Kedua-dua mempelai kelihatan berseri dengan persalinan dari rona kuning untuk majlis akad nikah tersebut.

Dalam pada itu, pasangan berkenaan yang ditemui selepas majlis itu berlangsung memberitahu bersyukur dapat disatukan dalam sebuah majlis sederhana tetapi meriah dengan kehadiran ahli keluarga dan sahabat handai bagi meraikan mereka.

A Rahmah turut berharap perkahwinan itu dapat berkekalan sehingga ke akhir hayat dan berjanji akan membahagiakan Fadillah.

"Alhamdulillah semuanya selamat dan berharap perkahwinan ini akan kekal ke akhir hayat," katanya.

Untuk rekod, Fadilah merupakan seorang ibu tunggal selepas bercerai dengan bekas suaminya, pengarah filem veteran, Ahmad Ibrahim atau Mat London.

Manakala A Rahman pula kematian isteri, Datin Azizah Mohamad pada 26 April tahun lalu akibat penyakit kanser.
-mstar-

NASIB!! Lelaki ini sempat hidup semula sejurus sebelum keluarganya membakar 'mayatnya'

DEEPAK dibantu selepas tersedar sebelum keluarganya membakar ‘mayatnya.’
Seorang lelaki hidup semula sejurus sebelum keluarganya membakar 'mayatnya' pada satu upacara pengebumian.

Deepak Singh, 72, sebelum itu rebah di rumah di depan keluarganya di Bhilwada, Rajashtan, negeri di barat laut India, sebaik keluar untuk memberi makan haiwan ternakannya.

"Dia kelihatan sihat apabila bangun pagi itu dan keluar untuk melakukan kerja hariannya. Tetapi, dia rebah ketika dalam perjalanan ke kandang lembu. Saya bergegas mendapatkannya dan tidak nampak tanda-tanda dia hidup. Degupan nadi dan jantungnya terhenti sama sekali.

"Seluruh keluarga bersetuju datuk saya sudah mati. Seorang doktor yang dipanggil juga mengesahkannya," kata cucu Deepak, Banda Nalwa, 26.

Selaras dengan adat agama Hindu, keluarga itu melakukan persiapan untuk membakar mayatnya dan mula membaca mantera, amalan biasa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada orang yang sudah mati.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
-hmetro-

Harimau terlepas dari Zoo Taiping ditangkap semula

Seekor harimau jantan terlepas daripada kurungannya di Zoo Taiping and Night Safari di Taiping, tengah hari ini.

Pengarah zoo, Dr Kevin Lazarus berkata Harimau Malaya itu terlepas daripada kurungannya ketika kerja penyelenggaraan dilakukan oleh pekerja baharu.

"Kejadian itu berlaku ketika harimau tersebut berada di kurungannya di bahagian belakang, bukan berlaku di bahagian kurungan untuk pameran awam. Ia terhentak pintu kurungan itu dan pintu tersebut terbuka secara tiba-tiba," katanya.

Harimau berkenaan kemudian ditembak ubat pelali namun ia melarikan diri ke hutan berhampiran kurungan itu dengan melompat tembok zoo setinggi 1.8 meter, katanya.

Dr Lazarus berkata haiwan itu dijumpai di hutan berhampiran dan ia ditembak sekali lagi dengan pelali sebelum dapat ditangkap semula pada pukul 3 petang.

Sebanyak 30 orang termasuk kakitangan zoo, anggota Bomba dan polis terlibat dalam usaha mencari harimau yang berusia hampir 16 tahun dengan berat kira-kira 300 kilogram dan dua meter panjang tersebut, katanya. 
-Bernama-



AWASSS!!!! Dua ekor harimau terlepas dari kandangnya di Zoo Taiping

 
TAIPING: Dua ekor harimau terlepas dari kandangnya di Zoo Taiping di sini, pada Khamis.

Kejadian itu dipercayai berlaku pada awal pagi ketika pagar ke zon berkenaan masih ditutup.

Menurut sumber, dua harimau keluar kandang berkenaan tetapi satu daripadanya dapat ditangkap semula.

"Tembakan menggunakan peluru penenang berjaya menangkap harimau itu, bagaimanapun seekor lagi masih bebas," katanya.

Berita selanjutnya menyusul.
-mstar-

Gambar Najib bermain golf bersama Obama ketika mangsa banjir kesusahan

Obama mengundang Najib untuk bermain golf bersamanya di Padang Golf Klipper Kaneohe di Pangkalan Marin Hawaii pada Rabu ketika Presiden Amerika Syarikat itu sedang bercuti bersama keluarganya.
HONOLULU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diundang bermain golf bersama Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama di Padang Golf Klippers Kanehoe di Pangkalan Marin, kepulauan Hawaii, Rabu.

The Washington Post pada Khamis melaporkan, Najib antara empat orang termasuk petugas Rumah Putih, Joe Paulsen dan Mike Brush, bermain golf bersama Obama ketika pemimpin nombor satu kuasa besar dunia itu sedang bercuti bersama keluarganya.

Tahun lalu, Obama bermain golf bersama Perdana Menteri New Zealand, John Key.

Dilaporkan juga jemputan itu bagi mengukuhkan hubungan kerja yang lebih baik dengan Najib, selepas mengadakan lawatan julung-julung kali ke Malaysia pada April lalu.

Kemungkinan juga, kedua-dua pemimpin berkenaan turut mengadakan perbincangan dengan lebih mendalam berhuung dasar luar untuk manfaat kedua-dua negara.

Rumah Putih dalam kenyataan yang dikeluarkan menyebut: "Kedua-dua pemimpin mengambil peluang untuk berbincang bagi mengukuhkan hubungan antara Amerika dan Malaysia.

"Presiden juga berharap dapat terus bekerjasama dengan Perdana Menteri Najib pada 2015, semasa Malaysia mempengerusikan Asean."

Sepanjang sesi riadah itu, wakil media turut dibenarkan menghampiri lubang ke-18 dimana kedua-dua pemimpin itu dilihat melepasi sasaran ketika melakukan pukulan masing-masing.

Kemesraan keduanya jelas kelihatan apabila Obama menepuk bahu Najib seolah-olah menenangkan Perdana Menteri Malaysia itu.
-mstar-

Pengantin kanak-kanak ini mengaku membunuh suaminya dengan racun tikus

Kano: Seorang pengantin kanak-kanak mengaku membunuh suaminya yang berusia 35 tahun dengan racun tikus.

Wasila Tasi’u menandatangani pengakuan itu di Mahkamah Tinggi Gezawa dengan cop jari di mahkamah semalam kerana dia tidak tahu membaca.

Jika didapati bersalah, Wasila, 14, akan dihukum mati, sekali gus menjadi kanak-kanak pertama menjalani hukuman itu di Nigeria sejak 18 tahun lalu.

Menurut polis, suaminya, Umar Sani ditemui mati empat hari selepas mereka berkahwin pada April lalu.

Wasila berasal dari keluarga miskin dan tinggal di Kano, utara Nigeria, tempat perkahwinan kanak-kanak dan poligami berleluasa.

Kes itu mendapat reaksi berbeza di wilayah itu yang yang menguatkuasakan undang-undang syariah di samping undang-undang sivil.

Mahkamah berkenaan sesak semalam dengan orang ramai mahu menyaksikan perbicaraan itu.

Isteri pertama lelaki itu, Ramatu memberitahu mahkamah, dia melihat madunya menyediakan makan malam untuk suami mereka sebelum tidur.

Tidak lama selepas itu, dia melihat mulut lelaki itu berbuih dan menggelupur.

Seorang kanak-kanak tujuh tahun, Hamziyya, dipercayai adik Wasila dan turut tinggal di rumah itu, didakwa membeli racun tikus berkenaan atas arahan kakaknya. Ia disahkan oleh peniaga, Abuwa Yusuf.

Hamziyya memberitahu mahkamah: “Kakak saya memberitahu dia diganggu tikus di biliknya.”

Seorang jiran, Abdulrahim Ibrahim memberitahu mahkamah, dia turut makan bersama lelaki berkenaan pada hari itu, tetapi menjamah sedikit saja kerana rasa makanan itu kurang enak.

“Umar terus makan dan dia mati malam itu juga,” katanya.

Perbicaraan bersambung 16 Februari depan. 
-Agensi/hmetro-

Gadis panik tinggal bayi dalam mangkuk tandas

Seorang wanita ditahan selepas didakwa membuang bayinya dalam tandas rumahnya.

Polis di bandar Shenyang xiazhuang sebelum itu menerima aduan daripada penduduk sebuah apartmen yang mendengar tangisan bayi itu selama beberapa jam.

Bayi itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan bogel dalam mangkuk tandas rumah wanita itu.

Wanita terbabit ditahan setengah jam kemudian selepas pengurus apartmen membantu mengenal pasti identiti dan membantu polis menjejakinya.

Dia dikejarkan ke hospital selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana kehilangan banyak darah.

Wanita berusia 19 tahun itu tinggal bersama teman lelakinya di apartmen berkenaan dan merahsiakan kehamilannya kerana takut dimarahi keluarga.

Kerana cemas dan tidak tahu apa hendak dilakukan, wanita itu dan teman lelakinya meninggalkan bayi di tandas berkenaan dan keluar dari apartmen itu. 
-Agensi/.hmetro-

Pemimpin Lebih Utamakan Cuti Daripada Banjir: Mana Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, Zahid Hamidi, Hishammuddin, Shafie Apdal, Ahmad Maslan dan lain-lainnya

Pemimpin Yang Lebih Utamakan Cuti Daripada Banjir Semoganya Dilaknat Allah Dan Kalah Pilihanraya

Keadaan banjir di beberapa negeri ketika ini semakin buruk. Di Kelantan, Terengganu dan Pahang, banjir terus bertambah buruk dan jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan juga semakin bertambah.

Beberapa kawasan sudah ditenggelami air, aktiviti harian lumpuh, jalan terputus dan ada jalan utama juga turut runtuh akibat hujan yang berterusan sejak beberapa hari lalu. Ada juga laporan mengatakan hubungan darat Kelantan telah terputus dengan negeri-negeri lain.

Melihat keadaan hujan yang masih mencurah dengan lebat, adalah dijangka banjir yang disifatkan antara yang terburuk ini akan terus melanda untuk beberapa lama lagi. Tidak mustahil juga ia akan berlarutan sehingga awal tahun baru 2015 nanti.

Di Perak dan Perlis pula, beberapa kawasan turut mulai dilanda banjir dan angka mangsa yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemulihan juga terus bertambah.

Meskipun bantuan dari segi makanan, keperluan harian dan usaha memindahkan mangsa terus giat dijalankan oleh pelbagai agensi kerajaan, tetapi amat malang kehadiran pemimpin meninjau ke tempat banjir agak mengecewakan kali ini.

Selain pemimpin peringkat negeri yang tentunya bertungkus-lumus membantu mangsa di kawasan masing-masing, kehadiran pemimpin Pusat ke negeri-negeri yang dilanda banjir nyata agak mengecewakan.

Tiada kelibat Perdana Menteri, Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, menteri-menteri kanan seperti Zahid Hamidi, Hishammuddin, Shafie Apdal, Ahmad Maslan dan lain-lainnya. Jika bercakap berkaitan isu politik dan mengampu pemimpin, begitu ramai yang berebut-rebut mahu ke depan, namun di mana mereka ketika rakyat derita ini?

Yang nampak hanyalah beberapa kerat pemimpin seperti Shahidan Kassim, Shahrizat Jalil, Abdul Azeez Rahim, Mustapha Mohamad dan Ahmad Shabery Cheek saja. Pemimpin sayap Pemuda dan Puteri juga hampir tidak kelihatan sama.

Ke manakah pemimpin-pemimpin sihat dan segar-bugar ini menghilang? Muhyiddin sudah lebih seminggu tak kelihatan dan dipercayai sedang bercuti di luar negara ketika ini. Najib juga dipercayai baru berlepas bercuti ke luar negara dua hari lalu setelah meluangkan sedikit waktu melawat mangsa banjir di Pahang.

Majoriti pemimpin lain dipercayai turut bercuti di luar negara ketika ini. Ada yang bercuti sebelum banjir melanda dan ada pula yang berlepas setelah banjir itu menggila. Najib sendiri pergi bercuti setelah mengetahui banjir kian bertambah buruk dan ini merupakan percutian keduanya dalam tempoh tidak sampai lima bulan di mana pada Hari Raya Aidilfitri lalu beliau juga bercuti ke beberapa bandar di Eropah.

Soalnya, apakah perasaan pemimpin yang sedang bercuti ini sedangkan mereka mengetahui ada rakyat yang sedang sengsara dan sesetengahnya berjuang antara hidup dan mati menyelamatkan nyawa dan harta benda akibat banjir?

Apakah bercuti dan berehat di luar negara terlalu penting sehingga ianya tidak boleh ditangguhkan langsung? Atau kalau sedang bercuti, tidak bolehkah pulang segera dan menunjukkan keprihatinan sebagai pemimpin kepada rakyat?

Sekadar meminta mangsa bersabar dan berdoa dengan keadaan banjir yang kian buruk sedangkan mereka berada di luar negara, mungkin riang gembira dan ketawa bermain salji, bukan saja tidak memadai tetapi jelas memperlihatkan perlakuan paling buruk sebagai pemimpin.

Inilah masanya mereka yang bergelar pemimpin perlu bersikap jujur dan mengutamakan rakyat. Berehat, bercuti, membeli-belah dan bemain salji di luar negara yang lebih penting atau nasib rakyat yang lebih utama?

Kepada pemimpin yang tiada perasaan, tidak prihatin dan lebih mengutamakan diri sendiri dengan tidak sanggup menangguh atau memendekkan percutian mereka di ketika rakyat sedang sengsara ini, eloklah kita juga mendoakan agar mereka itu dilaknat Allah, kalah dalam pilihanraya akan datang dan tidak lagi bergelar pemimpin.

Tiga beranak maut, seorang parah letupan di Gurun (Gambar)

Anggota Bomba dan Penyelamat memeriksa kesan letupan yang berpunca dari sebuah kereta dan turut menjejaskan lapan buah rumah di Taman Ria Mesra di Gurun, hari ini. - Foto Bernama
Anggota Bomba dan Penyelamat memeriksa kesan letupan yang berpunca dari sebuah kereta dan turut menjejaskan lapan buah rumah di Taman Ria Mesra di Gurun, hari ini. - Foto Bernama
GURUN: Tiga beranak maut manakala seorang lagi anggota keluarga itu cedera parah dalam satu kejadian letupan yang berlaku di sebuah rumah di Taman Ria Mesra di Gurun petang ini.

Letupan kira-kira 4.50 petang itu menyebabkan seorang anggota tentera yang dikenali sebagai Ayob, berusia dalam lingkungan 30-an, anak perempuannya Nor Hidayu Shahirah Ayob, 8, dan anak lelakinya Mohamad Idham Shahmi, 5, maut.
Sementara itu, isteri Ayob yang dikenali sebagai Sharifah Haslinda, 37, mengalami kecederaan parah.
Anggota Polis mengumpul serpihan mayat mangsa yang tercampak sejauh 17 meter dari letupan yang dipercayai berpunca dari sebuah kereta yang turut menjejaskan lapan buah rumah di Taman Ria Mesra di sini, hari ini. 
Kejadian letupan yang dilaporkan berlaku pada kira-kira pukul 4.57 minit petang itu mengorbankan tiga orang mangsa iaitu seorang lelaki yang juga anggota tentera dan dua anaknya, manakala isterinya pula dilapor parah.
--fotoBERNAMA
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Ahmad Shahabuddin berkata, walaupun ada yang mengatakan letupan berpunca daripada tong gas tetapi pihaknya tidak menolak kemungkinan letupan itu berpunca daripada sejenis bahan letupan.

" Ini berdasarkan pengamatan impak letupan di lokasi kejadian oleh pihak bomba ketika melakukan kerja pemadaman sebaik tiba di lokasi kejadian.
"Ketika menjalankan pemeriksaan, kita mengenal pasti impak yang cukup kuat terutama kesan-kesan lubang pada dinding rumah terbabit yang diyakini berpunca daripada bahan letupan dan bukannya letupan tong gas memasak seperti yang didakwa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Ahmad berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan turut meminta bantuan daripada Skuad Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memeriksa lokasi kejadian kerana khuatir masih terdapat bahan yang boleh meletup di dalam rumah terbabit.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan itu pada pukul 4.57 petang, dan sebanyak tiga jentera serta 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Yan dan Sungai Petani dikerahkan ke tempat kejadian, dengan jentera pertama tiba pada 5.13 petang.

Letupan itu turut menyebabkan kerosakan kepada sekurang-kurangnya lapan rumah berdekatan dan turut memusnahkan dua kereta.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital yang sama. 
-Bernama-

KISAH BENAR: Anak Yang Di Sangka Masih 'Baby' Telah Pun Berzi Na..

KISAH BENAR DOKTOR WANITA DIDATANGI IBU DAN ANAK GADIS YANG HAMIL 
Kisah ini wajar dijadikan pengajaran kepada semua ibu bapa bagaimana anak gadis yang suci mulus pijak semut tak mati boleh membawa masalah besar kepada anda.

Lelaki-lelaki jahat yang mengintai anak gadis

Beberapa hari lepas saya didatangi seorang ibu bersama anak gadisnya yang berumur 15 tahun, anak bongsu beliau. Daripada riak mukanya saya tahu ini bukan kes biasa-biasa tentang ha id yang tidak teratur.

Namun saya sengaja bertanya, datang sebab ha id tak teratur ke?

Wanita itu mungkin dalam lingkungan awal 50an. Bertudung hitam labuh. Malah anaknya juga datang dengan seragam sekolah agama dan tudung labuh hitam.

Dia kelihatan serba salah dan tidak tahu untuk memulakan kata. Entahlah doktor, entahlah doktor, saya tak tahu nak kata apa, katanya berulang-ulang kali. Wajahnya seperti mahu menangis, dadanya kelihatan sesak dan dia sangat gelisah.

Lalu saya menerjah - mengandung ke anak Puan?

Selepas itu kata-katanya keluar bagai empangan pecah - tak dapat dibendung lagi.

Bermacam-macam cerita keluar dari tingkatan satu ke tingkatan 2 dan kini di tingkatan 3.

Berbagai juga kata-kata pedih ditujukan pada anaknya yang kini menundukkan kepala saja.

Bodoh. Tak faham bahasa. Kurang IQ.

Rupa-rupanya anaknya ditangkap tidak hadir ke sekolah, tetapi telah keluar bersama lelaki. Anaknya jua telah mengaku kepada guru bahawa beliau telah berzi na. Namun dia percaya anaknya tidak melakukan apa-apa. Tak sampai peringkat zi na.

‘Dia tak tahu doktor. Dia tak faham. Mungkin sekadar sentuh-sentuh dia fikir sudah melakukan. Dia ni bukannya pandai. Saya rasa dia tak buat doktor. Dia tak tahu..”

Saya minta wanita itu keluar dan saya bersemuka dengan anaknya. Ternyata anak yang ‘tidak pandai’ ini telah melakukan zi na sejak di Tingkatan 1-tanpa disedari ibubapa. Dengan ramai lelaki. Berbagai bangsa. Berbagai umur.

Dia tidak kelihatan seperti anak nakal dan liar. Dia kelihatan baik dan ya, mungkin sedikit naif-atau bo doh seperti kata ibunya.

Namun di sinilah lelaki-lelaki jahat mula memasukkan jarumnya.

Saya tanyakan bagaimana permulaannya. Saya tanyakan apakah beliau menonton video lu cah.

Lalu dia menceritakan kepada saya awal mula penglibatannya menjadi seorang ‘pela cur’.

Tinggal di kawasan Kampung Pandan yang terdiri dari majoriti Melayu, lelaki jahat pertama yang membawanya mengenali dunia se ks dalam keadaan akal dan jiwanya belum bersedia dan belum disediakan adalah seorang lelaki Indonesia. Bermula dengan mengajak menonton video Iu cah. Pastinya didahulukan dengan kata-kata manis dan pujian. Hingga akhirnya mahu melakukannya dan sehingga merasa keta gihan.

Kemudian disambut oleh lelaki-lelaki jahat yang lain sambung menyambung sehingga yang terakhir ini.

Ada yang mengambil kesempatan merakam dirinya dan kemudian mengugut untuk menyebarkan videonya. Sehingga anak baik yang tidak tahu apa-apa ini terpaksa mencuri sejumlah wang ibubapanya untuk diberikan kepada lelaki tersebut.

Lelaki terakhir ini, sebelum perbuatannya diketahui adalah seorang lelaki berumur 30 tahun yang sudahpun ada 2 isteri.

Kata anak malang ini, walaupun saya sudah tidak suka melakukannya, tetapi lelaki itu selalu merayunya sehingga dia merasa kasihan, lalu menurut kemahuan lelaki tersebut dapat saya bayangkan bagaimana lelaki jahat ini menggunakan kelebihan akalnya memanipulasi anak ini untuk memuaskan naf su binatangnya.

Setelah saya kisahkan pada ibunya, longlai tubuhnya dan tersepuk dia di kerusi. Tidak disangkanya langsung anak bongsu manjanya telah jauh melangkah dalam keadaan dia sentiasa dalam ‘denial’- pura-pura tidak nampak atau tidak mahu percaya.

Pecah lagi empangan rasanya buat kali kedua. Menceritakan bagaimana sibuknya dia dan semua terletak atas bahunya. Anak yang ramai, ada yang punya masalah jiwa sedang dalam rawatan, anak dan menantu yang silih berganti bersalin dan beliau yang menjaga.

Tentang malunya sedangkan dia adalah ketua wanita di dalam sebuah NGO Islam. Suaminya pengerusi surau. Bagaimana dia merasakan tuntutan dakwah untuk menyampaikan kepada masyarakat.

Dalam kesibukannya, dia tidak sedar anaknya sedang mengalami perubahan hormon. Dada anaknya sudah memutik dan ada rasa yang tidak difahami dalam dirinya. Namun, dia tidak perasan itu semua. Baginya anak bongsunya ini masih ‘baby’.

Namun ada mata-mata liar yang perasan. Yang boleh menghidu naluri semulajadi remaja ini. Yang akalnya sudah masak dan matang.

Kita melihat anak kita sebagai baby, namun ada mata lelaki jahat yang melihatnya seperti kucing melihat hidangan menggiurkan di depan mata……yang melihat sampai ke dalam-dalamnya….baginya ini ada daging baru yang enak…

Lalu lelaki jahat ini akan memulakan jarumnya. Kenal-kenal dulu. Puji-puji. Minta nombor handphone. Memasang ayat-ayat….

Dan anak yang hidup dalam keluarga besar yang sentiasa sibuk ini, serta sudah dianggap tidak pandai ini, yang barangkali tidak pernah menerima pujian dari kedua ibubapanya, sangat mudah termakan pujuk rayu…dan selebihnya adalah sejarah…

Anak ini tidak jahat. Dia tidak liar. Dia lahir dari keluarga baik-baik , keluarga pendakwah.

Namun kerana adanya lelaki-lelaki jahat yang sepatutnya menjadi pelindung kepada anak ini, dia menjadi mangsa.

Beberapa ingatan yang melintas di kepala sebagai peringatan buat ibubapa.

1 Bila anak meningkat remaja - perhati-perhatikan dia. Dia ada keperluan/needs. Jadilah temannya. Bersembang dengannya.

2 Jangan mengutuk anak sendiri. Berilah pujian. Terutama bapa dan abang. Puaskan dia dengan pujian dari lelaki dari keluarganya, supaya dia tak layu lentok dengan pujian lelaki jahat. Ingat wahai bapa, kalau berat sangat mulut dan memuji, tangan berat sangat nak membelai, ada orang lain yang akan mengisi kekosongan itu nanti

3 Keterlaluan dalam kesibukan - walaupun untuk tujuan dakwah. Wahai ibu, tempatmu di rumah. Perhatikan dulu anak daramu sebelum kamu ingin berdakwah.

4 Pendidikan - berikan sedikit pendidikan seksual bila tiba masanya. Biarkan dia mendengar dari mulut kita bukan dari mulut gatal lelaki jahat. Terkadang kerana ‘soleh’nya kita, nak menyebut se ks pun kita tak tersebut. Bahkan dalam program reproduksi pun ada yang tak senang bila diajar tentang alat reproduktif kepada kanak-kanak - tak sesuai katanya.

5 Anak-anak perlu diberi pendidikan dan tanggungjawab. Jangan jadikan dia ‘pets’. Yang kita manjakan dan belai-belai selalu tanpa kita beri didikan. Jangan sesekali menyangka anak kita tak akan melakukannya…….ia akan memberikan kita rasa selamat yang palsu.

6 Bila anak kita telah jadi anak da ra, seolah-olah ada bauan atau haruman yang tersebar keluar dari rumah kita - lalu menarik banyak ‘bugs’. Fahamkan dia tentang nilai dirinya. Banyak anak gadis hari ini, termasuk anak gadis kita juga, kadang tergedik-gedik dihadapan kamera. Fahamilah wahai ibu, wanita itu seluruhnya adalah aurat. Sangat menarik perhatian. Sangat menggo da. Beritahulah pada anak kita. Tanamkan sifat malu pada dirinya.

7 Perbetulkan pakaiannya.

8 Jagalah dia.

Sedikit nukilan dan ibrah untuk dikongsi bersama.

Yang ada anak lelaki tolonglah ajarkan supaya menghormati perempuan, belas dan kasih padanya dan sentiasa melindunginya.

Ya Allah lindungilah anak-anak gadis kami!

Dr Ariza Mohamed
Pakar O&G Hospital Pakar Ampang Puteri
AJK Wanita Ikram WP

Najib bakal terima nasib seperti Pak Lah?

WAN NORDIN WAN YAACOB
KUALA LUMPUR: Serangan demi serangan yang dihadapi Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak khasnya oleh bekas ketuanya, Tun Dr Mahathir Mohamad sepanjang menerajui kerajaan sejak 2009 lagi membayangkan bertapa pemerintahan Presiden Umno ini sebenarnya dibelenggu masalah yang parah.
Menurut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, tekanan yang dihadapi Najib ketika ini khasnya dalam isu Skandal 1MDB boleh menyebabkan Ahli Parlimen Pekan itu menerima nasib yang sama seperti bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2009 yang terpaksa melepaskan jawatan kerana serangan Dr Mahathir.

Mohamad Sabu berkata, skrip yang sedang berlaku ketika ini seakan mengulangi skrip yang hampir sama seperti ketika Mahathir menyerang kerajaan anak beranak membabitkan Tun Abdullah (Pak Lah).

“Ketika itu serangan dikhususkan kepada Pak Lah kerana pentadbiran didakwa dikuasai oleh ‘Geng Tingkat 4’ yang dikatakan dikepalai anak menantunya.

Kini, serangan terhadap Najib pula disasarkan berikutan kelemahan Najib dalam mengendalikan ekonomi negara khasnya dalam pelaburan 1MDB yang dikatakan suatu pelaburan yang sia-sia,” katanya lagi.

Bagi Mohamad, seandainya serangan hanya dihadapkan oleh pembangkang terhadap kredibiliti Najib, pastinya isu ini hanya dilihat sebagai suatu isu yang tidak mampu menggugat kedudukan Perdana Menteri.

Sebaliknya kata beliau, apabila Mahathir turut melancarkan kritikan, maka kesan besar pastinya boleh berlaku di mana bekas Perdana Menteri itu sebenarnya memiliki kekuatan soko ngan akar umbi Umno selain pengaruh di kalangan media khasnya media yang cenderung kepada Umno-BN.

Sambil menyifatkan hayat politik Najib tidak akan bertahan lama berikutan isu ini, Mohamad Sabu bagaimanapun menasihatkan Pakatan Rakyat untuk memfokuskan agenda membela rakyat disaat kerajaan BN kini dilihat tidak memperdulikan rakyat dengan dasar yang tidak menyebelahi kebajikan rakyat.

“Kita hentikan polemik dalaman, dan kita fokuskan kepada isu yang sedang melanda negara ketika ini antaranya penarikan subsidi harga minyak, skandal 1MDB yang akan menyebabkan kantung wang negara semakin bermasalah, kepimpinan Najib yang lemah, kedudukan nilai ringgit yang semakin menurun dan isu kos sara hidup yang sangat menghimpit rakyat,” ujarnya.

7 lokasi loji nuklear Malaysia sudah dikenal pasti: Tujuannya haya satu, mengkayakan kroni (Bersama video)


Mungkin kerana kroni, kerajaan tetap bertegas mahu membina loji nuklear di negara ini, kata seorang pakar tenaga yang pernah berkhidmat lapan tahun dalam kerajaan.

Zaini Abdul Wahab, yang pernah berkhidmat di Suruhanjaya Tenaga, hairan mengapa kerajaan memilih untuk membina loji tersebut, sedangkan negara mempunyai kaedah alternatif yang lebih selamat dan praktikal.

“Di Malaysia, regulator dan agensi adalah kawan, jadi mengapa kita perlu percaya kepada ketelusan," soalnya.

Beliau yang juga pernah mengetuai unit khas membangun dan mempromosikan keberkesanan tenaga (EE) bawah program EPP9, di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA) mendedahkan, Malaysia sekurang-kurangnya mempunyai dua lagi pilihan.

Ia termasuk menggunakan EE dan juga tenaga boleh diperbaharui (RE).

“Saya bantah pembinaan loji nuklear kerana saya tahu fakta bahawa kerajaan punya pilihan lain. Kerajaan tahu perkara itu.

"Mereka telah membelanjakan banyak wang untuk mengkaji perkara itu, dan kita telah mengemukakan langkah penyelesaian dan cadangan, tapi kerajaan tidak menerimanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dijemput berkongsi pandangan pada forum "Loji Nuklear 2015: Mudarat Kekal" anjuran Kumpulan Anak Malaysia Anti Nuklear (AMAN), di ibu negara malam tadi.

Forum tersebut menampilkan tiga panel iaitu mantan presiden International Physician for The Prevention of The Nuclear (IPPNC) Datuk Dr Ronald McCoy, aktivis Bukit Merah dan anti-Lynas Prefesor Dr Tan Ka Kheng dan Felo Akademi Sains Malaysia Profesor Ir G Lalchand.

"Dengan hanya masa 10 tahun program EE, kita boleh menjimatkan paling kurang 3GW yang bersamaan 3 loji nuklear, dengan hanya RM1 bilion.

"Mereka tahu, tapi mereka tak kisahkannya," kata Zaini yang pernah mengetuai jabatan EE di Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA).
-malaysiakini-