Sirul tinggal bersama anak, saudara di Brisbane sebelum ditangkap, lapor AB

Bekas komando polis, Sirul Azhar Umar tinggal di Brisbane bersama saudara dan anak lelakinya yang berusia 19 tahun sebelum dicekup pihak imigresen Australia, lapor media negara itu.
Sirul tiba di Australia pada Oktober tahun lalu dengan pasport dan visa pelancong serta tinggal di Ipswich, Queensland.

Sirul, 43, tidak hadir ke Mahkamah Persekutuan minggu lalu apabila hakim mendapati dia bersama Azilah Hadri bersalah kerana membunuh model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Pihak berkuasa Australia menahan Sirul selepas Interpol mengeluarkan notis merah berikutan kesalahan yang dilakukannya.

Australian Broadcasting Corporation (ABC) melaporkan Sirul dipindahkan ke bahagian keselamatan tertinggi di Pusat Tahanan Villawood di Sydney.

Sirul tidak bercakap kepada ahli keluarganya atau berjumpa peguam sejak ditahan, lapor media itu.

Bagaimanapun, akhbar bahasa Inggeris, New Straits Times (NST) melaporkan semalam pihak berkuasa Australia membebaskan Sirul dengan syarat pergerakannya di negara itu dipantau.

“Pasportnya ditahan tetapi pihak imigresen Australia membebaskannya bersyarat termasuk tampil jika dikehendaki pihak berkuasa,” kata jurucakap Wisma Putra kepada NST.

Seorang pengguna Facebook, Shuk Sz yang mendakwa anak kepada Sirul berkata: “Jika saya hebahkan di media, Malaysia akan tumbang.”

“PM juga tumbang,” katanya. Namun akaun Facebook itu sudah dipadam, kata ABC.

Peguam Sirul, Kamarul Hisham Kamaruddin berkata kepada ABC satu permohonan semakan kepada Mahkamah Persekutuan akan dilakukan dan beliau akan menghalang permintaan ekstradisi dari Malaysia.

“Saya mempunyai mandat dari klien saya untuk mengambil langkah perundangan bagi mencabar ekstradisi,” katanya seperti dipetik.

ABC melaporkan peguam itu berkata pihak-pihak pendakwaan tidak pernah memanggil saksi penting semasa perbicaraan yang menimbulkan spekulasi campur tangan politik dalam kes tersebut.

Sirul dan Azilah bebas sejak 23 Ogos, 2013 apabila Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman bunuh mereka.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah mereka dan menjatuhkan hukuman mati kepada kedua-keduanya minggu lepas.

Bukti mendedahkan Altantuya, seorang penterjemah, dibunuh sebelum diledakkan dengan bom C4 pada 18 Oktober, 2006, di Shah Alam, berdekatan dengan Kuala Lumpur.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, penasihat Datuk Seri Najib Razak, didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul, tetapi dibebaskan Mahkamah Tinggi pada 2008 tanpa dipanggil membela diri. Pihak pendakwa tidak merayu terhadap pembebasan Razak.

Walaupun dengan sabit kesalahan, motif pembunuhan Altantuya masih tidak diketahui.

Undang-undang Australia menyatakan seorang yang berdepan dengan hukuman mati di negara asalnya tidak boleh diekstradisi. – 24 Januari, 2015.

AWASS!!! 'Gastrik, sakit bahu malah sakit gigi juga mungkin tanda sakit jantung'

Ramai menganggap sakit gastrik dan bahu perkara biasa, namun keadaan itu sebenarnya berkemungkinan boleh menyebabkan seseorang itu berisiko menghidap penyakit jantung.

Perunding Kardiologi Intervensi, Hospital Pantai Pulau Pinang Dr Liew Chee Tat berkata kebanyakan masyarakat hanya mengetahui seseorang itu diserang penyakit jantung jika individu terbabit berasa sakit di dada.

"Sebenarnya banyak tanda untuk kita kesan bahawa kemungkinan kita berisiko menghidap penyakit jantung.

"Tanda sakit jantung bukan hanya pada sakit dada, tetapi sesetengah orang tandanya sakit gastrik iaitu sakit di bahagian ulu hati, sakit bahu malah sakit gigi juga tanda-tanda seseorang itu menghidap sakit jantung," katanya ketika ditemui Bernama pada majlis pelancaran Wad Pemulihan Jantung di Hospital Pantai Pulau Pinang di sini hari ini.

Pelancaran wad berkenaan disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Dr Liew berkata 50 peratus individu yang mengesan mereka menghidap penyakit jantung melalui tanda-tanda sakit dada manakala 50 peratus lagi menerusi simptom sakit gastrik, bahu dan gigi.

"Jika perempuan muda sakit gastrik, mungkin bukan sakit jantung tapi jika pesakit tua menghisap rokok, ada kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi tiba tiba sakit gastrik, kita mesti memeriksanya kerana kemungkinan dia sakit jantung," katanya.

Dr Liew turut menasihatkan orang ramai agar mengamalkan gaya hidup sihat dengan tidak merokok, melakukan senaman, mengurangkan pengambilan makanan manis dan berkolestrol tinggi bagi mengelak terdedah dengan penyakit jantung.
-Bernama-

Zamani Slam seorang pemaaf: Dia boleh saman PDRM dan Kerajaan Malaysia RM100 juta - peguam

Video berdurasi 1 minit 21 saat yang menunjukkan seorang penyanyi disuruh menyanyi lagu 'Gerimis Mengundang' dalam keadaan duduk dan tangan bergari menjadi viral sejak Khamis. Serentak itu, ribuan reaksi membanjiri media sosial terutamanya daripada peminat dan teman dari pelbagai industri.
Dari bekas menteri, ketua polis sehingga peguam memberikan perhatian terhadap video yang dianggap menjatuhkan maruah penyanyi tersebut.

Seorang peguambela dan peguam cara, Ahmad Shuaib Ismail melalui facebook turut menasihatkan agar penyanyi itu mengemukakan saman RM1 juta akibat perbuatan yang dilihat menyalahi hak asasi tahanan. Menurut Ahmad Shuaib lagi, Satu perlanggaran ke atas hak tahanan yang ditangkap dan hak tahanan dari mendapat perlindungan sewajarnya. Dan pengedaran video dalam balai atau lokap tanpa kebenaran bertulis Ketua polis Negeri adalah kesalahan serius kerana ia melibatkan isu keselamatan sendiri. Oleh itu, pada pendapatnya penyanyi itu berhak mendapatkan keadilan lebih lagi dari hak sivil beliau.
Namun begitu, hari ini beberapa portal hiburan melaporkan bahawa penyanyi itu dikatakan sudah memaafkan perakam dan penyebar video tersebut.

Serentak reaksi daripada penyanyi itu telah mengundang rasa kagum dikalangan peminatnya di media sosial.
Disamping itu, melalui media sosial juga, timbul pelbagai cerita lain tentang penyanyi tersebut.
Dan dalam perkembangan terkini, pengurus penyanyi tersebut memaklumkan bahawa dia akan dibebaskan esok dengan jaminan polis.


Zamani Akui Tak Dipaksa Nyanyi Cuma Layan Polis Peminat Tegar Slam

PETALING JAYA: Penyanyi Zamani (Slam) mengakui tiada sebarang paksaan ketika anggota polis merakamkan dia menyanyi lagu popularnya, Gerimis Mengundang pada hari pertama ditahan di lokap pada Rabu.

Penyanyi berusia 44 tahun yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya itu berkata, dia dengan rela hati menyanyi kerana diminta berbuat demikian secara baik selepas anggota polis itu memberitahu mereka adalah peminat Slam.

"Saya tidak dipaksa untuk menyanyi atau berlaku sebarang kekerasan, saya menyanyi selepas individu itu betul-betul menunjukkan dia peminat tegar Slam.

"Dia menyanyi beberapa lagu Slam dihadapan saya dan meminta saya turut nyanyi sekali, namun dia sudah berjanji bahawa rakaman itu hanya untuk simpanan personal sahaja," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Sabtu.

Pemilik nama sebenar Zamani Ibrahim itu ditemui di pejabat peguamnya, Ahmad Zaharil Muhaiyar di Villa Damansara, di sini, selepas dibebaskan dari tahanan reman awal pagi Sabtu.

Terdahulu media melaporkan seorang penyanyi 1990-an dan teman wanitanya ditahan polis kerana dipercayai memiliki dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Keramat dekat sini awal pagi Rabu lalu.

Serbuan pada pukul 12.30 malam itu dilakukan oleh pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ampang itu telah menemui satu bungkusan plastik disyaki heroin seberat kira-kira 1.2 gram di dalam sebuah bilik.

Ujian air kencing mendapati penyanyi berkenaan positif dadah jenis morfin, manakala teman wanitanya berusia 32 tahun positif dadah amphetamine.

Bagaimanapun, Zamani mengakui terkilan dengan penyebaran video tersebut yang dianggap mengaib dan menjatuhkan maruah dia dan keluarganya.

"Silap saya kerana tidak lihat semula rakaman video tersebut yang nampak jelas tangan saya bergari. Ketika itu saya yakin ia hanya untuk simpanan peribadi sahaja.

"Namun, saya tahu niat dia bukan untuk memalukan saya, sebaliknya video itu tersebar tanpa kawalan selepas ia terlepas ke tangan orang lain. Apabila berpeluang melihat rakaman video itu, saya sangat malu dengan masyarakat yang menontonnya," jelasnya.

Zamani turut merayu agar masyarakat tidak lagi berkongsi video tersebut dilaman-laman sosial.

Sementara itu, ditanya tentang keengganannya mengambil sebarang tindakan kepada individu tersebut, Zamani berkata, dia tidak mahu menutup periuk nasi orang lain.

Katanya, biarlah perkara itu menjadi pengajaran kepada semua pihak yang terlibat.

"Perkara itu sudah berlaku dan dia juga tidak bermaksud memalukan saya. Kalau saya ambil tindakan mungkin dia akan kehilangan pekerjaannya sekarang.

"Saya tidak mahu menutup periuk nasi orang," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya tentang pembebasannya, Zamani mengucapkan syukur dan lega apabila diberi peluang kedua untuk memperbetulkan kesilapan.

Jelasnya, banyak hikmah disebalik penangkapan tersebut yang membuatkan dirinya tekad untuk membersihkan diri daripada najis dadah.

"Alhamdulillah, saya lega apabila dapat keluar dan dari apa yang berlaku, baru saya tahu masih ramai yang sayangkan saya dan mahu melihat saya pulih.

"Insya-Allah saya akan berusaha untuk berubat dan ke pusat pemulihan dadah selepas segalanya selesai. Saya tahu bukan mudah untuk memberi janji kerana susah untuk pulih daripada dadah ini.

"Namun saya akan cuba sedaya upaya dengan bantuan keluarga," ujarnya.

Zamani berkata, sejak bergelumang dengan gejala dadah 10 tahun lalu, dia sudah dua kali secara sukarela ke pusat pemulihan dadah Agensi Dadah Kebangsaan (AADK).

Bagaimanapun, dia mengakui statusnya sebagai seorang selebriti menyukarnya dia untuk ke pusat tersebut secara sembunyi-sembunyi.

"Saya sudah dua kali pergi ke pusat pemulihan AADK iaitu pada 2010 dan 2012, namun gagal untuk pulih sepenuhnya. Lagi pula sebagai orang yang dikenali masyarakat menyukarkan saya untuk pergi ke pusat pemulihan itu tanpa diketahui ramai.

"Saya akui malu untuk ke sana dan takut dengan tangapan orang ramai. Namun sekarang orang semua sudah tahu lebih memudahkan saya untuk mendapatkan pemulihan," katanya.

Zamani akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 27 Januari ini.

Dalam perkembangan lain, dua anggota polis yang dikenalpasti terbabit merakam dan meyebarkan video penyanyi ini telah digantung tugas.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zubaidah Md Ismai berkata, pihaknya mengadakan siasatan berhubung penyebaran video penyanyi, Zamani Ibrahim yang menjadi virul menerusi media sosial itu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan pangkat kedua-dua anggota terbabit, tetapi memberi jaminan tindakan tegas akan dikenakan jika didapati melanggar Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
-mstar-

Anugerahkan gelaran Tun kepada Nik Aziz - Bekas Menteri

Abdul Kadir Sheikh Fadzir
Kita bersyukur kepada Allah YBhg Tuan Guru Datuk Seri Hj Nik Aziz, bekas menteri besar Kelantan pulih dari penyakitnya.
Tidak dinafikan Tuan Guru Hj Nik Aziz seorang tokoh terkemuka negara kita. Beliau berjasa begitu lama pada negeri Kelantan sebagai ketua kerajaan. Secara langsung atau tidak langsung beliau juga menyumbang banyak khidmat bakti kepimpinan beliau juga kepada seluruh negara dan rakyat.

Beliau meletakkan jawatan selaku menteri besar bagi memberi laluan kepada orang lain. Tidak ada sebarang cacat celanya kepada kepimpinan beliau yang begitu lama itu.
Beliau juga memberi contoh yang begitu ketara sekali bagaimana seseorang yang sangat berkuasa juga boleh hidup dalam keadaan yang serba sederhana.

Beliau begitu menyedari tentang khazanah dan hak-hak kepunyaan rakyat. Penghidupan beliau penuh dengan contoh baik bukan sahaja kepada pemimpin-pemimpin politik negara tetapi juga kepada seluruh rakyat.

Oleh itu, saya mencadangkan pihak kerajaan dengan segera menganugerahkan gelaran “Tun” kepada beliau.

Perbezaan pandangan politik seharusnya tidak menjadi halangan kepada perkara ini. Perbezaan pandangan politik, biasanya, perbezaan pendapat tentang kaedah yang sebaik-baiknya untuk membawa kebahagiaan dan kerahmatan kepada rakyat dan negara. Dalam hal ini khidmat dan jasa Tuan Guru Hj Nik Aziz adalah begitu jelas sekali.

Saya penuh yakin seluruh negara, tidak kira apa pandangan politik masing-masing, akan menghormati dan menerima baik penganugerahan tersebut kepada beliau. –

* Penulis ialah mantan menteri kerajaan persekutuan.

"Tidak ada alasan bagi saya untuk tidak memeluk Islam'

HARAKAHDAILY
SUATU kali Zarif Aarif pergi ke Maghribi. Waktu itu, ia masihlah seorang lelaki Australia Kristian. Di Maghribi, Aarif terpesona melihat seni budaya Islam dan ikut merasakan atmosfera budaya islam dalam kehidupan sehari-hari penduduk negeri itu. Di Alhambra ia menyaksikan pemandangan berupa seni bina bangsa Moor dalam wujud ladang yang di bahagian di bawahnya mengalir sungai-sungai.
Zarif ingat ketika kecil dulu, dia senang berayun-ayun di tali loceng gereka sambil berteriak-teriak meniru Tarzan ketimbang latihan paduan suara gereja. Ia selalu punya alasan untuk mengelakkan Tuhan dan tidak ikut misa di gereja. Tapi di suatu pagi, 16 tahun kemudian entah mengapa dia memutuskan untuk pergi ke gereja.

Sejak saat itu Zarif merasa benar-benar menjadi seorang Kristian dan beberapa tahun kemudian dia mendaftarkan diri ke sebuah perguruan tinggi ternama di Tabor untuk meraih gelaran sarjana di bidang Alkitab, menurut laman web Islampos.

Namun, di tempat inilah justeru ia semakin gelisah soal pilihan keyakinannya. Di situ, dia mula mendengar desas-desus yang selama ini beredar di kalangan orang-orang Kristian yang menurutnya kadang mengganggu dan ia tidak yakin maklumat yang didengarnya benar.

Tapi maklumat itu juga ia dengar dari para pembekal buku ke kedai yang dia urus.

"Sejarah Kristian menjadi pembuka mata saya bahawa apa yang terjadi selama dan sesudah perang Salib benar-benar menggangu para penganut agama ini," tuturnya seperti dipetik dari Onislam.

Akhirnya, Zarif memutuskan meninggalkan ibadah formalnya kerana ia tidak bersetuju dengan doktrin yang meletakkan Tuhan dalam kerangka yang dihadkan oleh definisi-definisi. Dia juga menilai organisasi Kristian lebih condong berpolitik dan menonjolkan diri, berbanding sebagai wakil sebuah agama. Dia akhirnya memutuskan keluar dari agama Kristian, namun ia seolah-olah masa itu dia juga tidak mempunyai keyakinan terhadap agama lain.

Sampai akhirnya ketika pada suatu hari, Zarif pergi ke kedai buku Islam di dekat hotel beliau menginap dan membeli beberapa buku kesusasteraan tentang Islam.

"Saya bertanya pada penunjuk jalan saya selama di Saudi. Ia namanya Mahmoud atau Muhammad, saya lupa. Saya bertanya kepadanya di mana saya boleh mendapatkan Al-Quran," ujar Zarif.

Oleh pemandunya itu, Zarif diberikan terjemahan Al-Quran yang bagus dan malam itu juga ia membaca dan berdoa agar diberikan bimbingan padanya apabila membaca terjemahan Al-Quran.

Zarif ingat, ayat-ayat pertama yang ia baca adalah tentang para ahli kitab - umat Kristian dan Yahudi. Begitu jelasnya ayat itu bagi Zarif kerana demikian membuka matanya akan sebuah agama yang mengajarkan toleransi, bahkan terhadap keyakinan yang bertentangan dengannya.

Tujuh tahun kemudian Zarif bertemu dengan seorang Muslimah berasal dari Indonesia. Mereka sering berkirim surat dan berdiskusi melalui internet.

"Saya secara peribadi kemudian melawat Indonesia; kami bertemu lagi dan bercakap tentang masa depan. Saya melamarnya dan ia menerima," tutur Zarif.

Dia lalu mengurus dokumen-dokumen rasmi untuk berkahwin di Australia. Saat itu Zarif belum masuk Islam, tapi ia sangat menghormati keyakinan isterinya. Hingga pada titik tertentu dia merasa perbezaan agama tidak membuat selesa perkahwinannya.

"Saya berfikir dan merenung. Mengajukan banyak soalan dan berdoa selama berbulan-bulan hingga saya merasakan kedamaian dalam hati saya tentang jalan yang akan saya ambil," tutur Zarif.

"Sungguh, tidak ada alasan bagi saya untuk tidak memeluk Islam. Saya akui saya bukan jenis orang yang rajin ibadah, tapi saya fikir kemalasan itu boleh dihapuskan dengan kemahuan dan tekad."

Zarif pun komited dan mula belajar solat. Dia pergi ke masjid di Perth, bicara dengan imam di sana dan mengucapkan syahadah di masjid itu.

"Meskipun saya sudah beberapa tahun masuk Islam, saya masih dalam tahap belajar dan saya menikmati proses belajar itu. Sampai saat ini, saya masih tak pernah berhenti berdoa. Dalam Islam, saya merasa di rumah sendiri."

Berita Ini Pasti Tidak Mengejutkan Anda

Tranungkite
Berita ini pasti tidak mengejutkan anda. Moleklah tu.. blogger Umno, RBF Online sebar berita palsu Tuan Guru Nik Aziz meninggal dunia. Yang bestnya, rujukan berita dari Utusan Online. Blogger yang suka sebar palsu dan pernah di saman dan kali ini terkantoi kerana sebar palsu dari Utusan.

Namun, Utusan nafikan penyebaran berita palsu tersebut. Oleh itu, masyarakat umum boleh menilai kredibiliti mereka dalam menyebarkan berita.

Tanda Tanda Sakit Jantung Yang Perlu Kita Tahu. Usia Muda? Belum Tentu!

Tranungkite

Tanda Tanda Sakit Jantung

Pada zaman ini, penyakit jantung adalah pembunuh utama. Setiap saat yang berlalu ketika pesakit tersebut mengalami sakit jantung, adalah amat berharga. Oleh itu, ketahuilah tanda tanda sakit jantung yang mungkin boleh menjadi penentu di antara hidup atau mati. Ini sumber dari  Unit Promosi Kesihatan, Jabatan Kesihatan Dan Alam Sekitar, DBKL.
  1. Lidah atau gusi menjadi bengkak atau sakit – berkemungkinan jantung kita ada masalah seperti lemak berlebihan, injap jantung lemah atau saluran koronari tersumbat.
  2. Terasa kebas tangan kiri dan juga lengan – Jika sakitnya berpanjangan pada lengan tangan kiri ada kemungkinan anda akan diserang sakit jantung dalam masa terdekat. (Bagi perempuan sakit terasa pada kedua-dua belah tangan)
  3. Lidah terasa tegang dan pendek.
  4. Rasa seronok teruja atau rasa bimbang tiba-tiba tanpa sebab.
  5. Rasa sakit pada dada (Ulu hati sedikit ke sebelah kiri) – biasanya terasa seperti dada sedang dihempap oleh benda berat.
  6. Daripada sakit dada rasa sakit mula merebak pada tangan, lengan, tengkok, belakang, abdomen dan rahang
  7. Rasa tidak selesa pada dada seperti dipam angin penuh atau rasa pedih.
  8. Batuk tiba-tiba dan berpanjangan atau terasa ada kahak dan sentiasa mahu berdehem.
  9. Rasa kepala berpusing tidak seimbang.
  10. Rasa keletihan sepanjang masa.
  11. Rasa meloya dan tidak ada selera makan.
  12. Degupan jantung tidak menentu.
  13. Nafas terasa pendek.
  14. Berpeluh dengan tiba-tiba walaupun sedang duduk rehat atas kerusi.
  15. Membengkak pada bahagian seperti sendi-sendi di kaki atau abdomen.
  16. Saat-saat paling hampir pada serangan jantung biasanya membawa kepada keletihan atau tidak maya yang teruk.
Walaupun sakit dada atau ketidakselesaan adalah simptom utama dan tanda tanda sakit jantung, sesetengah orang mungkin tidak alami sebarang sakit dada. Ada juga yang alami sedikit sakit di bahagian dada sahaja. Ada yang alami satu sahaja simptom, tidak kurang juga ramai yang alami beberapa simptom yang membuktikan serangan jantung sedang berlaku. Kami terangkan dengan lebih lanjut lagi.

Rahang tidak selesa

Antara tanda tanda sakit jantung yang sangat jelas adalah ketidakselesaan atau sakit di bahagian rahang anda. Anda mungkin boleh rasa ketegangan di dalam dan di sekitar bahagian bawah rahang pada salah satu atau kedua-dua belah bahagian. Ketidakselesaan ini boleh merebak dari dada ke rahang anda.

Leher rasa terbakar

Mereka yang pernah alami sakit jantung menggambarkan ketidakselesaan di bahagian leher seperti tercekik atau perasaan terbakar di dalam leher. Ketidakselesaan ini boleh merebak dari dada atau bahu ke leher anda.

Sakit di bahu

Antara tanda tanda sakit jantung yang seterusnya adalah ketidakselesaan atau sakit di dalam atau di sekeliling salah satu atau kedua-dua belah bahu anda. Ia digambarkan seperti sakit biasa, berasa berat atau tekanan yang merebak dari dada ke bahu.

Rasa berat di bahagian dada

Seterusnya, tanda tanda sakit jantung yang lain ialah apabila terasa sedikit berat, tegang atau tekanan di bahagian tengah dada. Sakit yang dirasa begitu teruk sehingga anda boleh merasa tidak sihat. Walaubagaimanapun, sakit dada seperti perasaan tajam dan dicucuk-cucuk kebiasaannya bukanlah antara tanda tanda sakit jantung.

Sakit belakang

Sakit belakang juga merupakan di antara tanda-tanda bagi mereka yang megalami sakit jantung. Biasanya sakit itu dirasai di antara kedua-dua tulang belikat anda dan boleh merebak dari dada ke bahagian belakang anda.

Tidak selesa pada lengan

Ketidakselesaan atau sakit di salah satu atau kedua-dua belah lengan juga merupakan tanda-tanda sakit jantung. Ketidakselesaan ini boleh merebak dari dada ke lengan anda.

Rasa Letih

Merasa letih yang amat sangat juga dialami oleh sesetengah orang yang berdepan dengan risiko sakit jantung. Mereka memberitahu yang mereka sukar untuk melakukan aktiviti yang senang, seperti berjalan ke bilik air atau mengambil segelas cawan untuk minum.

Elakkan aktiviti bersukan yang berat. Jangan tidak tahu, ada yang meninggal dunia kerana main futsal buat pertama kali. Jangan sesekali abaikan tanda tanda sakit jantung seperti ini.

Rasa Loya

Selain daripada itu, anda juga mungkin mengalami loya atau tidak sihat untuk tempoh yang lama. Anda juga mungkin berasa pening di samping tanda-tanda sakit jantung yang lain. Peluh yang sejuk atau peluh jantan juga mungking dapat dirasai. Dan akhir sekali, anda mungkin berasa seperti semput atau alami kesukaran bernafas. Ia boleh digambarkan dengan seseorang yang perlu menarik nafas yang panjang disebabkan dada terasa seperti ketat atau sempit.

Ini sumber dari DEMC yang menyenaraikan tanda tanda sakit jantung dalam bentuk yang ringkas:
  • Sakit dada semasa melakukan aktiviti kecergasan seperti apabila berjalan laju, naik atau turun tangga, bermain bola, berjoging atau sebagainya.
  • Badan merasa cepat penat, sentiasa termengah-mengah, lelah atau batuk berlebihan. Kebolehan melakukan aktiviti yang biasa dilakukan berkurangan daripada biasa.
  • Terasa letih, lesu, pening dan mudah pitam. Anda boleh merasakan denyutan jantung anda bergerak laju (palpitasi) dan cepat berpeluh.
Bila perlu jumpa doktor?

Ini sangat penting!. Bila sudah ada tanda tanda sakit jantung, jumpa doktor dengan segera apabila :
  • Anda berumur >40 tahun dan mempunyai lebih dari satu risiko penyakit jantung.
  • Latar belakang keluarga yang mempunyai penyakit jantung pada usia yang muda.
  • Sakit yang kuat.
  • Sakit dada apabila melakukan aktiviti.
  • Sakit yang diiringi rasa lemah, mual, mengah, berpeluh, pening atau pitam.
  • Rasa sakit menular ke bahu, lengan, rahang atau belakang badan.
  • Rasa sakit yang lebih teruk dari sebelumnya.
  • Sakit yang berterusan selama lebih dari 15-20 minit.
  • Sakit yang berubah sifat. Contoh: sakit yang semakin kerap.
Ini bukan kami yang kata. Ini doktor dari Kementerian Kesihatan Malaysia yang kata.

Serangan sakit jantung mengejut

Andaikan sekarang sudah pukul 7:25pm dan anda dalam perjalanan balik seorang diri selepas hari bekerja yang luar biasa sibuknya. Anda benar-benar penat, gelisah dan kecewa.

Tiba-tiba anda rasa sakit yang menyucuk di bahagian dada yang mula menular ke lengan dan ke atas di bahagian rahang muka. Anda hanya 5 kilometer daripada hospital yg terdekat. Malangnya anda tidak pasti anda akan sempat sampai @ pun tidak ke hospital tersebut . Anda telah dilatih untuk melakukan CPR, tapi tidak diajar cara untuk melakukan CPR ke atas diri sendiri. Jika ada tanda tanda sakit jantung, apa perlu buat?

Jadi, bagaimana menangani sakit jantung bila seorang diri?
  • Kebanyakan orang berseorangan ketika diserang sakit sakit jantung. Tanpa pertolongan, mereka yang menghadapi masalah ini – jantung berdegup tak menentu dan mula rasa hendak pitam, hanya mempunyai masa 10 saat sahaja sebelum pengsan.
  • Walau bagaimanapun mangsa boleh membantu diri sendiri dengan batuk berulang kali secara kuat dan berterusan. Tarik nafas dalam -dalam sebelum batuk dan batuk mesti lah dalam dan berpanjangan seperti semasa anda ingin membuang kahak yg ada jauh di dalam paru-paru.
  • Menarik nafas dan batuk ini mesti diulang lebih kurang setiap 2 saat tanpa henti sehingga bantuan datang atau sehingga jantung berdegup normal semula.
  • Tarikan nafas yg dalam membawa oksigen ke dalam paru-paru & mekanisma batuk mengepam jantung dan memastikan darah terus beredar.
  • Tekanan ke atas jantung akibat gerakan batuk ini juga membantu jantung berdegup dengan ritma yg normal semula. Dengan ini mangsa serangan jantung sempat dan berupaya untuk ke hospital sendiri.
Harapan kami

Jika anda alami salah satu atau beberapa tanda tanda sakit jantung di atas lebih daripada 10 minit sehingga 25 minit, segera berjumpa dengan doktor atau terus hubungi ambulans untuk membawa anda ke hospital.

Dikhuatiri jika anda lambat bertindak, anda boleh pergi buat selama-lamanya. Siapa mahu mati muda?

Nik Aziz Masih Ingat Saya - Haron Din

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din menyifatkan keadaan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semakin stabil berbanding awal minggu lalu.
"Alhamdulillah, saya dapat menziarahi Tok Guru (Nik Aziz). Beliau dalam keadaan yang stabil.

"Lihat apa yang berlaku daripada awal, hari ini Tok Guru nampak lebih stabil," kata Haron dalam temubual ringkas bersama media di perkarangan Unit Rawatan Rapi Neuro HUSM, pada Jumaat.

Pada masa sama, Haron berkata Nik Aziz masih mengingati beliau sekaligus memberi indikasi ingatan Nik Aziz masih dalam keadaan baik.

Menurut Haron, beberapa peralatan kesihatan telah ditanggalkan daripada anggota badan Nik Aziz sekaligus menunjukkan beliau memberi reaksi positif kepada rawatan yang diberikan.

Justeru, Haron berharap agar semua pihak terus berdoa kepada Allah SWT supaya memberi kesihatan yang baik kepada Nik Aziz.

Beliau sebelum itu tiba di HUSM kira-kira jam 9.50 pagi diiringi anak Nik Aziz, Nik Mohamad Abduh serta beberapa pemimpin PAS.
-Astro Awani

Imam selamatkan budak ditukar agama (Gambar)

Razali (kiri) merujuk masalah Muhammad Arqam (tengah) kepada Pembela BN Negeri Melaka, semalam.
Razali (kiri) merujuk masalah Muhammad Arqam (tengah) kepada Pembela BN Negeri Melaka, semalam. Razali (kiri) merujuk masalah Muhammad Arqam (tengah) kepada Pembela BN Negeri Melaka, semalam.
AYER KEROH: Tindakan pantas seorang imam masjid di Tangga Batu, berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak Islam berusia 8 tahun menukar agama lain, selepas dia diserahkan kepada keluarga bukan Islam.

Kanak-kanak terbabit, Muhammad Arqam Nur Ansal diserahkan kepada keluarga beragama Kristian selepas ibu-bapanya yang berasal dari Filipina ditahan Imigresen dan dihantar pulang ke negara asal.

Imam terbabit, Razali Othman, 53, berkata, dia menemui kanak-kanak itu selepas diberitahu seorang jemaah masjid mengenai ada seorang budak lelaki di sebuah pusat bimbingan kanak-kanak yang sudah ditukarkan agama serta namanya.

“Kejadian itu berlaku sebelum Aidiladha tahun lalu. Ada orang jumpa saya meminta saya selamatkan seorang budak. Saya tanya pada dia, apa yang hendak diselamatkan?

“Jemaah itu kata, ibu bapa budak itu sudah ditangkap dan dihantar ke negara asalnya kerana masuk secara tidak sah. Budak itu tinggal dengan keluarga bukan Islam.

“Bila saya pergi ke taman bimbingan itu, sah ada kanak-kanak yang namanya sudah bertukar kepada bukan Islam,” katanya.

Razali berkata, selepas mendapatkan butiran asal usul, dia mendapati kanak-kanak itu dilahirkan di sebuah klinik swasta di Masai, Johor.

"Saya hubungi bapa budak itu di Filipina. Dia terkejut anaknya hendak ditukar agama lalu meminta saya terus memeliharanya buat sementara," katanya.

Razali berkata, walaupun berjaya menyelamatkan Muhammad Arqam, timbul masalah kerana kanak-kanak itu tidak mempunyai sebarang dokumen kelahiran.

"Sukar untuk saya masukkannya ke sekolah. Saya cadang untuk masukkannya dia di mana-mana sekolah tahfiz.

“Kalau diizinkan bapanya, saya sedia menjaganya sampai besar. Anak-anak saya juga sudah bersetuju. Bagi saya, adalah menjadi fardu kifayah untuk kita selamatkan kanak-kanak ini. Apa yang penting, adalah agamanya,” katanya.

Sementara itu, kes berkenaan dirujuk ke Pusat Perkhidmatan Barisan Nasi-onal (Pembela BN) Negeri Melaka.

Pengarahnya, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya sudah pun menghubungi klinik yang dimaksudkan di Masai tetapi mereka enggan bekerjasama.

“Kita merayu supaya klinik berkenaan bekerjasama memberikan maklumat kelahiran kanak-kanak ini untuk diuruskan proses permohonan sijil kelahiran. Ia amat penting untuk masa depan kanak-kanak ini.

“Kita percaya kes ini boleh diselesaikan kerana bapanya masih boleh dihubungi. Sekiranya klinik berkenaan tetap enggan bekerjasama, kita akan cuba dapatkan khidmat guaman bagi menyelesaikan perkara ini,” katanya.
-sinarharian-

Akibat mahu lebih seksi, bekas ratu cantik ini terpaksa tanggung derita apabila peha mula mereput

Tanggung derita, peha bekas ratu cantik reput SAO PAULO - BRAZIL. Bekas ratu cantik dari Brazil terpaksa bertarung nyawa dan menanggung derita sepanjang hayat hanya kerana untuk kelihatan cantik.
Andressa Urach, 27, mengakui apa yang berlaku telah mengubah hidupnya, sekaligus memberikan pengajaran paling pahit untuk dikenang sepanjang masa.

“Saya ketagihan pembedahan plastik.

Pada masa itu, saya hanya mahu orang lain memandang saya dengan penuh rasa cemburu,” katanya seperti yang dipetik menerusi Mail.Online.

Menurut Urach, keinginan yang begitu tinggi untuk mencantikkan lagi pehanya membuatkan dia mengambil keputusan untuk menjalankan rawatan kaedah menyuntik pehanya dengan (filler) bahan kimia, hidrogel dan polymethylmetacrylate (PMMA).

Namun bentuk peha yang diidamkan tidak kesampaian apabila doktor mengesahkan bahan kimia yang disuntik ke dalam paha mula mereputkan tisu kulitnya. “Rawatan kecantikan yang dijalankan mula mereput dan memakan tisu peha saya.
-sinarharian-

Dipenjara 38 tahun dan 24 kali sebatan kerana rogol dan liwat isteri kawan

PUTRAJAYA: Seorang pekerja rencam akan meringkuk dan menghabiskan hidupnya dalam penjara sehingga usia tua atas dua tuduhan merogol dan meliwat isteri kawannya.

Azhar Che San, 43, gagal dalam rayuan terakhirnya apabila Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan untuk mengurangkan hukuman penjara 38 tahun dan 24 kali sebatan yang dijatuhi oleh Mahkamah Tinggi.

Hakim Datuk Zawawi Mohd Salleh yang mempengerusikan panel tiga anggota berkata walaupun perayu (Azhar) akan dibebaskan dari penjara semasa usia 81 tahun, mahkamah tidak mempunyai kecenderungan untuk mengurangkan hukuman penjara disebabkan fakta kes.

Beliau berkata hukuman penjara 38 tahun dan 24 kali sebatan adalah setimpal dengan jenayah yang telah dilakukannya.

Panel Mahkamah Agung yang turut bersidang iaitu Hakim Ong Lam Kiat dan Datuk P. Nalini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara 18 tahun dan lapan sebatan setiap satu bagi dua pertuduhan merogol seorang wanita berumur 46 tahun dan penjara 20 tahun dan lapan sebatan kerana meliwat mangsa.

Pada 17 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi di Taiping, Perak, memerintahkan Azhar menjalani dahulu hukuman penjara 18 tahun bagi pertuduhan pertama dan mula menjalani hukuman bagi pertuduhan kedua dan ketiga selepas selesai menjalani hukuman penjara yang pertama.

Hukuman penjara bagi pertuduhan kedua dan ketiga berjalan serentak.

Azhar mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen di Taiping dan dijatuhi hukuman penjara sejumlah 54 tahun bagi ketiga-tiga pertuduhan dan 36 sebatan tetapi Mahkamah Tinggi mengurangkan hukuman kepada 38 tahun dan 24 sebatan.

Mengikut fakta kes, pada 4 Mei, tahun lepas pukul 6 petang, Azhar pergi ke rumah mangsa dan memberitahunya bahawa suami (mangsa) sakit dan mahu membawanya bertemu dengan suaminya.

Sebaliknya, dia membawa mangsa ke sebuah pondok dalam hutan di daerah Larut Matang di Perak sebelum merogol dan meliwatnya.

Fakta kes itu juga menyatakan bahawa mangsa, yang menderita kesakitan, melawan dan cuba melarikan diri ke kawasan bukit tetapi terjatuh. Dia kemudian berulang kali dipukul, ditendang dan ditolak jatuh dari bukit. Dia kemudian dicekik dan ditarik rambut.

Tertuduh kemudian menarik mangsa kembali ke pondok itu dan menyuruhnya minum minuman dalam tin yang disyaki alkohol. Dia kemudian merogolnya sekali lagi.

Timbalan Pendakwa Raya Kee Wei Lon memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa dengan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, ia (Mahkamah Rayuan) dapat menghantar mesej jelas kepada orang ramai bahawa mahkamah tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang melakukan jenayah seksual.

Peguam Varpal Singh berhujah bahawa jika hukuman penjara dikekalkan, anak guamnya mungkin tidak berpeluang keluar penjara. 
 -Bernama-

Ada orang menggigil di Switzerland bukan kerana sejuk tapi kerana anak Sirul mula bersuara?

Viral di media sosial seseorang yang menggunakan nama "Shuk sz" mendakwa kini turut berada di Australia membuat pengakuan bahawa beliau adalah anak lelaki Koperal Sirul Azhar. Ianya mesti disiasat siapa "Shuk sz" apakah benar seperti apa yang didakwanya.


Atas dasar apakah Sirul Azhar ditahan? – Peguam Sirul

Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin berkata langkah seterusnya bagi pasukan peguambela bergantung kepada tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa Malaysia. - Foto EPA
KUALA LUMPUR, 21 Jan: Bekas anggota polis elit, Sirul Azhar Umar yang kini dalam tahanan imigresen di Queensland, Brisbane sudahpun menghubungi pasukan peguambelanya dan mengarahkan untuk membuat sebarang tindakan undang-undang yang berkaitan.

Menurut peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, langkah seterusnya bagi pasukan peguambela bergantung kepada tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa Malaysia.

“Pertama sekali, kita perlu ketahui status rasmi penahanan tersebut. Adakah dia ditahan atas undang-undang imigresen atau dia ditahan berikutan Notis Merah oleh pihak Interpol yang seterusnya berlanjutan kepada permohonan ekstradisi itu.

“Setakat ini, tiada siapapun yang tahu mengenainya, itu kita perlu sahkan dahulu,” ujar Kamarul Hisham yang dipetik Astro AWANI.

Malah, Kamarul Hisham berkata sehingga kini, berita penahanan tersebut hanya diperolehi daripada laporan media Australia.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Koperal Sirul Azhar Umar ditahan pegawai Imigresen di Queensland, Australia semalam.

Dia kini ditahan di Pusat Tahanan Imigresen negara itu, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak berkuasa Australia, Sirul Azhar ditahan atas kesalahan Akta Imigresen negara itu.

Susulan penangkapan itu, katanya polis akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan ekstradisi terhadap Sirul Azhar ke Malaysia bagi menjalani hukuman atas kesalahan membunuh model sambilan rakyat Mongolia, Altantuya Shaariibuu sembilan tahun lepas.

Sirul dan Cif Inspektor Azilah Hadri didakwa membunuh Altantuya pada 2006 dan disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi pada 2009.

Isnin lalu, pasukan peguam bela bekas Koperal Sirul Azhar Umar akan mengemukakan cabaran di mahkamah Malaysia, jika pihak berkuasa meminta dia diekstradisi ke negara ini.

Kamarul Hisham berkata, mengekstradisi Sirul Azhar untuk menjalani hukuman mati, bertentangan perjanjian ekstradisi antara Malaysia dan Australia.

“Saya pasti akan mencabar perkara itu di Malaysia,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, buat masa ini, semua itu hanyalah andaian dan ia bergantung kepada langkah kerajaan seterusnya dan arahan Sirul Azhar.

Hinanya undang-undang islam dari pandaangan mahkamah sivil

Mahkamah Rayuan menetapkan bahawa Islam tetap tertakluk kepada had kebebasan asasi seseorang individu, walau menjadi agama rasmi Persekutuan mengikut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
Hakim Datuk Hishamudin Yunus dalam penghakiman setebal 46 halaman itu merujuk kepada satu kes melibatkan kumpulan transgender.

Katanya, Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan perlembagaan sebagai undang-undang paling tinggi dan undang-undang lain yang bertentangan dengan perlembagaan itu dikira tidak sah.

Beliau seterusnya memetik penghakiman oleh ketua hakim negara Tun Salleh Abbas dalam kes Che Omar Che Soh v Pendakwa Raya.

Katanya, hakim tersebut berkata, perkataan Islam dalam Perkara 3(1) perlu diberi maksud terhad berdasarkan Perkara 3(4) yang menyatakan bahawa tiada apa dalam Perkara tersebut menjejaskan peruntukan lain dalam perlembagaan.

Hishamudin berkata, mahkamah mendapati kes transgender tersebut mempunyai merit.

Ia merujuk kepada keputusan bahawa Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 yang menghalang orang lelaki daripada berpakaian perempuan sebagai bertentangan dengan perlembagaan dan tidak sah.

“Selagi Seksyen 66 berkuat kuasa, perayu (tiga orang transgender) akan terus hidup dalam ketidaktentuan, terseksa dan tidak bermaruah.

“Mereka datang ke mahkamah ini dengan harapan bahawa mereka akan dapat hidup dengan bermaruah dan dianggap sebagai warga yang setara dalam negara ini.

“Kami dengan ini menetapkan bahawa Seksyen 66 tidak konsisten dengan Perkara 5(1) dalam Perlembagaan Persekutuan, yang mana seksyen tersebut menghalang perayu daripada hak untuk hidup dengan bermaruah,” tulisnya dalam penghakiman sebulat suara itu.

Perkara 5 hingga 13 menetapkan hak warga Malaysia yang disenaraikan dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 5(1) menyatakan bahawa tiada individu yang boleh dinafikan hak ke atas nyawa dan kebebasan peribadinya mengikut undang-undang.

Keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 November itu dilaporkan mengiktiraf transgender sebagai golongan yang mempunyai kecelaruan identiti gender.

Ia turut mengisytiharkan Seksyen 66, yang membolehkan transgender atau 'mak nyah' ditahan kerana berpakaian wanita sebagai batal dan tidak sah.
-malaysiakini-

Gambar Ikan yu pra-sejarah yang ditangkap oleh nelayan

Ikan yu pra-sejarah yang berjaya dibawa naik ke darat
Ikan yu pra-sejarah yang berjaya dibawa naik ke darat Ikan yu pra-sejarah yang berjaya dibawa naik ke darat
VICTORIA - AUSTRALIA. Sejenis ikan yu yang dikategorikan sebagai ikan pra-sejarah telah dibawa ke darat oleh seorang nelayan.

Ikan yu tersebut atau frilled shark mempunyai badan seperti belut dan mempunyai 300 batang gigi.

Menurut ABC News, ikan tersebut yang wujud semenjak 80 juta tahun lampau dan boleh dijumpai pada ke dalaman laut 1,500 meter.

Ikan tersebut pada mulanya diberikan kepada Organisasi Penyelidikan Industri dan Saintifik (CSIRO) namun CSIRO memberitahu mereka sudah mempunyai spesimen ikan tersebut.

Ikan tersebut dipercayai sudah dijual.
-sinarharian-

TGNA sebagaian daripada khazanah negara yang begitu berharga - DR.Maza

Dr Asri (kiri) hadir di HUSM sebentar tadi sejurus tiba dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh KHIRU SHALEH ABDULLAH
Dr Asri (kiri) hadir di HUSM sebentar tadi sejurus tiba dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh KHIRU SHALEH ABDULLAH
KOTA BHARU: Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainol Abidin diantara pemimpin yang turut hadir menziarahi Tok Guru di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pagi ini.

Beliau tiba jam 10.40 pagi ditemani beberapa rakan dari Pulau Pinang sejurus sampai di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, semata-mata untuk melawat Tok Guru, di sini.

Menurutnya, Adun Chempaka itu adalah seorang pemikir yang boleh melontarkan pelbagai idea bernas yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.

"Saya doakan beliau cepat sembuh, beliau adalah sebagaian daripada khazanah negara yang begitu berharga, seorang pemikir yang hebat, sama-sama kita doakannya,"katanya kepada media sebentar tadi.
-sinarharian-

Budak berumur 7 tahun ini mampu godam Wi-Fi

Davies godam saluran Wi-Fi setelah melihat video tunjuk ajar di internet. Foto Dailymail.co.uk
Davies godam saluran Wi-Fi setelah melihat video tunjuk ajar di internet. Foto Dailymail.co.uk
SEORANG kanak-kanak perempuan menggodam sebuah hotspot Wi-Fi dalam tempoh kurang dari 11 minit selepas menonton video tunjuk ajar atau tutorial di internet.

Betsy Davies, 7, mengambil masa 10 minit 54 saat dalam usaha membuktikan bahawa betapa senang untuk seorang penggodam untuk mencuri data.

Davies merupakan seorang kanak-kanak yang digunakan dalam demostrasi oleh sebuah syarikat Virtual Provider Network (VPN) dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai aktiviti godam.

Kebiasaannya, penggodam akan mencuri data berkaitan dengan bank simpanan, akaun e-mel, kata kunci dan juga pergerakan mangsa-mangsanya.

Menurut beberapa pakar, aktiviti penggodaman akan meningkat pada 2015.

Demostrasi yang dipamerkan oleh Davies dipantau oleh pakar keselamatan.
-sinarharian-

Malu saya sebagai orang Melayu yang beragama Islam

Rozmal
Yang buat kotor mungkin lembu milik orang Melayu yang beragama Islam, yang membersihkannya orang Cina yang bukan beragama Islam. Semoga Wong Ah Pong mendapat petunjuk dan hidayah dari ALLAH.

Tanpa bayaran, tanpa paksaan
21 Januari 2015

KUALA PILAH - Jika anda melalui jalan di Kampung Juasseh Tengah pada pagi hari, mungkin anda akan terpandang seorang wanita warga emas sedang membersihkan jalan raya yang dipenuhi dengan najis lembu.

Itulah Wong Ah Pong, 82, yang menetap di kampung berkenaan sejak 60 tahun lalu, selepas mengikuti suaminya berhijrah dari Seri Menanti untuk bekerja sebagai penoreh getah di sebuah estet.

Tanpa sebarang bayaran atau dipaksa sesiapa, Ah Pong menjadikan rutin paginya seawal jam 7 mengutip najis-najis lembu yang bertaburan sepanjang kira-kira 100 meter di kampung berkenaan.

Lebih mengharukan, kerja berkenaan sudah dilakukannya sejak 30 tahun lalu.

Ketika ditemui Sinar Harian, Ah Pong yang fasih dengan dialek Negeri Sembilan dan menggelarkan dirinya Wan berkata, tiada sesiapa yang mendorong dia melakukan kerja itu.

"Wan buat semua ini ikhlas. Wan lakukan seawal jam 7 pagi sebelum kawasan ini sesak dengan kenderaan," katanya.

Menurutnya, dia kasihan melihat pemilik kenderaan yang melalui jalan dipenuh najis lembu itu.

“Walaupun Wan tiada kenderaan, tapi Wan faham perasaan mereka. Habis kereta mereka penuh najis lembu. Daripada Wan tak ada kerja, baik Wan bersihkanlah jalan ini," katanya.

Menurut Ah Pong, najis-najis sudah dikutip disimpan dalam karung plastik dan diletakkan di tepi jalan.

“Bila najis ini sudah kering, ramai yang datang ambil untuk dijadikan baja. Elok juga, dari terbiar begitu saja,” katanya.

Menyorot kehidupan Ah Pong, katanya, dia tinggal seorang diri selepas kematian suaminya.

"Sejak atuk meninggal pada 2011, Wan tinggal seorang diri walau anak-anak sibuk suruh tinggal bersama mereka.

“Wan tak mahu susahkan anak-anak. Selagi Wan masih terdaya, Wan mahu lakukan semua sendiri,” katanya yang mempunyai empat anak, tiga perempuan dan seorang lelaki.

Ah Pon juga tidak kekok untuk tinggal dikelilingi masyarakat Melayu kerana baginya, orang Melayu di situ sangat prihatin dan baik.

“Mereka mesra dengan Wan. Jika nampak Wan mahu ke Pilah, mereka akan tumpangkan Wan. Inilah dinamakan perpaduan. Tanpa kira bangsa, kita boleh hidup aman damai.

“Biarlah Wan akhiri sisa-sisa hidup di sini. Lagipun, apa yang Wan mahukan, semua ada, tidak mengapa kalau Wan tidak berada di bandar sekalipun.

“Wan juga akan tetap teruskan membersihkan najis lembu selagi masih terdaya,” katanya mengakhiri perbualan.