Wanita ini sanggup membutakan matanya sendiri kerana dia bercita-cita untuk menjadi individu yang cacat penglihatan

JEWEL bahagia kerana cita-citanya menjadi buta tercapai.
Raleigh, Amerika Syarikat: Seorang wanita sanggup membutakan matanya sendiri kerana sejak kecil lagi dia bercita-cita untuk menjadi individu yang cacat penglihatan.

Jewel Shuping, 30, berkata, dia sangat gembira apabila menjadi buta selepas menitikkan cecair pencuci longkang dalam matanya pada 2006.

Keinginan Jewel menjadi buta yang melampau itu adalah akibat sejenis penyakit psikologi yang dikenali sebagai Gangguan Integriti dan Identiti Tubuh (BIID).

BIID ialah satu keadaan yang menyebabkan individu normal percaya mereka sebenarnya dilahirkan cacat atau kurang upaya.

Jewel memberitahu, dia mula memasang impian untuk menjadi individu buta sejak kecil lagi.
Jewel Shuping, 30
“Apabila berusia enam tahun, saya mula suka pada keadaan gelap kerana ia membuatkan saya selesa.

“Apabila meningkat remaja saya gemar memakai cermin mata hitam yang tebal dan pada usia 18 tahun saya membeli tongkat untuk orang buta,” katanya.

Pada usia 20 tahun, Jewel boleh membaca tulisan braille dengan lancar.

Apabila dewasa, keinginan Jewel untuk buta semakin memuncak dan pada 2006 dia berjumpa seorang pakar psikologi yang mahu membantunya.

Pakar psikologi itu meletakkan ubat bius sebelum menitis cecair pencuci longkang dalam matanya.

“Proses itu menyakitkan dan mata saya seolah-olah terbakar,” katanya.

Menurutnya, pada keesokan harinya dia bangun tidur dengan gembira, tetapi akhirnya kecewa apabila mendapati dia dapat melihat lagi.

Bagaimanapun, matanya perlahan-lahan rosak dan dia buta sepenuhnya enam bulan selepas itu.
-hmetro-

Abby Abadi digelar rasis kerana kek


Abby Abadi digelar rasis kerana kek
Kuala Lumpur: Pelakon dan selebriti, Arbaiyah Abdul Manan atau lebih dikenali sebagai Abby Abadi dilabel rasis oleh pengguna media sosial apabila membangkitkan isu perkauman dalam status yang dimuat naik di laman Instagram, baru-baru ini.

Rotikaya.com melaporkan Abby mempertikaikan status halal kek yang dijual apabila ingin membeli kek hari lahir untuk anaknya di cawangan Secret Recipe di Gua Musang, Kelantan.

Kata Abby, dia yang mulanya yakin untuk membeli namun akhirnya timbul perasaan was-was.

“Saya berjanji pada Allah, pada diri sendiri dan pada suami yang saya tak nak dah beli Secret Recipe dekat Gua Musang,” tulisnya.

Abby mendakwa dia berasa ragu-ragu mengenai status halal disebabkan kedai itu dimiliki pemilik bukan Islam.

“Tengah tunggu kek ditulis nama anak-anak, baru perasan yang incharge kedai tu non-Muslim. Jeng jeng jeng…. Gundah gulana terus hati kita wak!

“Tertanya-tanya alamak siapa yang buat kek ini semua.

“Confident level tinggi memula sebab tengok yang jaga kaunter semua adik-adik Melayu Islam (mereka bertudung, sebab itu saya tahu mereka Islam),” katanya.

Oleh kerana perancangan menyambut hari jadi anaknya itu dibuat secara tidak dirancang, tempahan kek itu diteruskan juga yang dibayar suaminya.

“Yang saya nak sampaikan kat sini, lain kali nak makan kat mana-mana beringatlah ye. Non muslim but halal? Banyak tempat dah macam ni. Jaga kaunter orang kita, tapi yang di dapur orang dia.

“Yang ni, buat kek, yang sediakan bahan-bahannya siapa? Yang masak?,” ulasnya.

Akibat daripada postingnya itu, ada peminat mempersoalkan tindakan Abby yang dilihat kerap membeli kek jenama berkenaan sebelum ini.

Malah ada antara mereka yang hairan kerana pelakon itu memuat naik gambar kek yang dipotong bersama anak-anaknya walaupun meragui status halal kek tersebut.

Ada juga yang melontarkan pandangan bahawa Abby tidak sepatutnya menilai perkara berkenaan kerana Jakim mempunyai prosedur sendiri bagi tempat yang telah mendapatkan sijil halal.
-kualalumpurpost-

Anak sumbat ibu dalam bonet kereta dapat kritikan netizen (Gambar)

FMT Reporters  
booth-momPETALING JAYA: Seorang anak bertindak biadap apabila sanggup membiarkan ibunya duduk di dalam bonet kereta.

Lelaki itu berkelakuan demikian terhadap ibu kandungnya yang berusia dalamm lingkungan 60 tahun semata-mata kerana mahu memberi keselesaan kepada anak lelakinya yang duduk di kerusi penumpang bahagian belakang.

Kejadian berlaku di China baru-baru ini.

Memetik laporan sebuah portal berita antarabangsa Shangaiist, tindakan lelaki terbabit yang dikenali sebagai Liu telah mengundang kemarahan pengguna media sosial yang rata-rata menyifatkan ia sebagai perbuatan tidak berperikemanusiaan.

Menurut laporan itu, Liu memandu keretanya dari Jiangxi ke Wilayah Hubei, di China bersama keluarganya.

Kereta yang dipandu lelaki itu telah melalui satu sekatan jalan raya yang dibuat oleh polis.

Polis yang membuat pemeriksaan terkejut apabila mendapati seorang warga emas disumbat ke dalam bonet kereta, sementara isteri Liu duduk di tempat duduk penumpang dan anaknya berada dalam keadaan terlentang di tempat duduk belakang.

Ketika disoal oleh polis, Liu memberitahu bahawa dia meminta ibunya untuk duduk dalam bonet supaya anaknya boleh berehat dengan selesa.

Susulan itu, polis berkenaan telah mengarahkan warga emas itu untuk keluar dari bonet kereta berkenaan dan berhasrat untuk mengeluarkan saman kepada Liu kerana tidak menghormati ibunya.

Bagaimanapun, warga emas itu dilihat cuba menyelamatkan anaknya dengan menyatakan kepada polis bahawa dia selesa berada di dalam bonet kereta.

Difahamkan, warga emas itu sanggup menggunakan kesemua duit pencennya untuk membeli kereta yang digunakan oleh Liu.

Namun, malangnya pengorbanan wanita tua itu dibalas anaknya dengan meletakkannya di dalam bonet kereta.

Demi rawat ayah, anak rela menjadi ‘lembu’ (Gambar)

Demi rawat ayah, anak rela menjadi ‘lembu’
Demi rawat ayah, anak rela menjadi ‘lembu’ Dongdong ketika bekerja dan satu lagi gambar menunjukkan dia sedang menjaga ayahnya.
ANHUI - CHINA. Ketika rakan seusia dengannya sedang menikmati kehidupan remaja, seorang remaja berusia 15 tahun, terpaksa berkorban dengan meminta sedekah bagi meraih pendapatan merawat bapanya.

Hao Dongdong, terpaksa 'bekerja' dengan cara meminta sedekah dengan memakai kostum lembu dan mengenakan bayaran 5 yuan untuk 'menunggangnya' bagi mengumpul duit bagi membiayai rawatan perubatan bapanya.

Bapanya, Hao Xinli mengidap penyakit tulang belakang ankylosing spondylitis yang menyebabkan dia lumpuh seluruh badan.

Memetik NetEase, Xinli sebelum ini bekerja sebagai seorang petani berpindah ke Hefei pada tahun 2000 dan bercadang untuk membuka kedai runcit kerana bahagian belakang badannya sering sakit menyebabkan dia tidak lagi berupaya untuk bekerja di ladang.

Namun, penyakitnya itu semakin kritikal selepas terjatuh ketika berebut-rebut untuk mengambil barangan percuma di sebuah promosi di bandar Hefei.

Insiden itu menyebabkan Xinli mengalami keretakan pada tulang belakang dan lehernya sehingga menyebabkan badannya lumpuh.

Apa yang lebih menyedihkan, ibunya turut meninggalkan bapanya kerana tidak mampu berdepan dengan kesengsaraan yang dihadapi keluarganya itu.

Tindakan ibunya itu menyebabkan Dongdong terpaksa mengambil alih tanggungjawab menjadi ketua keluarga dan terpaksa meninggalkan persekolahan dan bekerja siang dan malam untuk mendapatkan wang.

Remaja ini juga sering dituduh sebagai penipu oleh orang ramai yang lalu lalang ketika meminta sedekah malah dia pernah ditampar di muka oleh seorang lelaki mabuk yang menyangka dia cuba untuk menipunya.

Menurutnya lagi, perniaga tempatan juga sering menghalaunya kerana menganggap dia akan memberi nasib malang kepada peniagaan mereka.

Walaupun sering diejek, namun ia tidak menghalang remaja itu untuk meneruskan usahanya itu dan kebiasaanya dia berjaya mengumpul 400 yuan sehari.

Sementara itu, bapanya berharap agar suatu hari nanti dia dapat berjalan semula dan tidak lagi membebankan keluarganya itu dan dapat menyekolahkan anaknya itu.
-sinarharian-

Lelaki Islam dibunuh lepas ura-ura sembelih lembu

Seorang lelaki Islam 52 tahun meninggal dunia selepas dipukul dengan kayu dan batu-bata oleh perusuh Hindu di sebuah kampung di New Delhi, India.

Semua berlaku selepas khabar angin dia menyembelih dan memakan daging lembu, lapor The New York Times.

Kejadian berkenaan turut melibatkan anak lelaki mangsa berusia 22 tahun yang cedera parah dan masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital berdekatan.

“Apabila pasukan kami sampai ke tempat kejadian, orang ramai telah berapa di luar rumah mangsa. Mereka (polis) berjaya membawa mangsa ke hospital, tetapi malangnya dia tidak dapat diselamatkan,” kata superintenden Kiran S dilaporkan sebagai berkata.

Menurut polis, Mohammad Ikhlaq dan anaknya diheret keluar dari rumah dan diserang perusuh yang berjumlah sekitar 100 orang.

Khabar angin yang mengatakan keluarga berkenaan memakan daging lembu tersebar selepas muncul laporan kehilangan seekor anak lembu di kampung berkenaan.

“Pengumuman mengenai keluarga itu telah menyembelih dan memakan daging lembu dibuat di sebuah kuil. Berikutan itu perusuhan menuju ke rumah mangsa,” katanya.

Anak perempuan mangsa, Sajida mendakwa, perusuh bertindak ganas terhadap bapa dan keluarganya, selepas kuil menuduh bapanya menyembelih lembu.

“Mereka mengheret abang dan ayah saya keluar dari bilik dan memukul mereka menggunakan objek yang mereka jumpa di bawah katil. Selepas itu bapa saya dibawa keluar dari rumah dan dipukul hingga mati.

“Abang pula diheret ke halaman dan mereka menggunakan batu untuk memukulnya di kepala dan dada, dia tidak sedarkan diri.

“Mereka juga cuba mencederakan saya dan memukul nenek saya. Mereka mengancam untuk membunuh saya sekiranya saya memberitahu pihak polis,” katanya.

Majoriti masyarakat Hindu di India menganggap lembu sebagai haiwan suci dan menyembelih haiwan berkenaan tidak dibenarkan di kebanyakan tempat di negara itu.

Perbalahan terhadap penyembelihan lembu telah ditambah dengan campur tangan Parti Bharatiya Janata (BJP), parti kerajaan, yang diketuai oleh Perdana Menteri, Narendra Modi.

Bagaimanapun, keluarga berkenaan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa mereka menyembelih dan memakan daging lembu seperti yang didakwa oleh pihak perusuh.

“Apa yang kami ada adalah daging kambing, kami tidak pun menyembelih atau berbuat sebarang korban pada hari raya Aidiladha ini. Tidak ada ayam, apatah lagi lembu,” kata isteri Ikhlaq.
-malaysiakini-

PANAS!!!Pemimpin Pas acu pistol selepas ditampar

ZULKIFLI SULONG
Yang Dipertua PAS Rantau Panjang Abdul Fatah Haron memuatnaik gambarnya yang cedera akibat ditampar di akaun Facebook miliknya. 

Yang Dipertua PAS Rantau Panjang Abdul Fatah Haron terpaksa mendapatkan rawatan di klinik apabila ditampar seorang penduduk tempatan di Banggol Kulim, Rantau Panjang, Kelantan malam tadi.

Kejadian menjadi sangat kecoh apabila selepas ditampar, Fatah yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Buku Tuku mengeluarkan pistolnya dan mengejar orang yang menampar beliau dan mengacukan pistol ke dadanya.

Menurut saksi kejadian, seorang bekas pemimpin PAS tempatan, Abdul Razak Abas menarik Fatah dan menyuraikan orang ramai.

Kejadian berlaku menjelang majlis dialog pemimpin kawasan Rantau Panjang dengan ahli jawatankuasa PAS Peti Undi Banggol Kulim di sebuah Pasti dekat situ kira-kira jam 9.15 malam tadi.


"Ia tidak ada kaitan dengan politik tetapi isu lama iaitu berkaitan dengan pemilikan tanah," kata seorang saksi kejadian kepada The Malasian Insider walaupun ada ramai tokoh politik tempatan dalam majlis itu.

Fatah sendiri memuat naik gambar mukanya yang luka ke Facebook awal pagi tadi dan meminta semua pihak bertenang dan jangan membuat sesuatu tindakan sendiri.

"Perkara ini hendaklah kita serahkan dan berilah peluang dan kepercayaan kepada pihak polis untuk menyiasat dan mengambil apa apa tindakan yang sepatutnya," kata Fatah yang membahasakan dirinya AbeTah.

Beliau dipercayai sudah membuat laporan polis di Balai Polis Rantau Panjang malam tadi.

Pihak yang memukul beliau pula dikatakan akan membuat laporan polis hari ini terutama berkaitan dengan tindakan Fatah mengacukan pistol kepadanya.
-malaysianinsider-

Raja Muda Selangor disaran saman Rahim Thamby Chik

Peguam Syahredzan Johan berkata, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik jelas melakukan kesalahan secara peribadi terhadap Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (kanan) kerana menuduhnya memeluk agama Kristian. – Gambar Instagram, 2 Oktober, 2015.Peguam Syahredzan Johan berkata, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik jelas melakukan kesalahan secara peribadi terhadap Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (kanan) kerana menuduhnya memeluk agama Kristian.
Raja Muda Selangor yang dituduh Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik memeluk agama Kristian perlu memfailkan saman terhadap bekas ketua menteri Melaka itu, kata peguam.

Peguam Syahredzan Johan berkata, Rahim jelas melakukan kesalahan secara peribadi terhadap kerabat diraja Selangor.

"Raja Muda perlu memfailkan saman di mahkamah," katanya, kepada The Malaysian Insider.

Syahredzan, yang juga anggota Majlis Peguam berkata, pihaknya menentang penggunaan Akta Hasutan 1948 untuk menghukum pesalah.

"Akta itu tidak harus digunakan terhadap Rahim kerana saya merupakan salah seorang yang mahukan akta itu dimansuhkan. Biarkan mereka selesaikannya secara peribadi," katanya.

Akta Hasutan katanya hanya boleh digunakan jika seseorang itu menimbulkan kebencian terhadap pemerintah.

Sebaliknya, Rahim sudah berulang kali membuat permohonan maaf kepada Istana Selangor.
-malaysianinsider-

Muhyiddin semakin dipencilkan?

Di atas kertas Tan Sri Muhyiddin Yassin memang masih timbalan presiden Umno, tetapi di peringkat dalaman parti kedudukannya dipercayai semakin dipencilkan.

Sepucuk surat yang dikeluarkan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam menguatkan lagi spekulasi itu.

Melalui surat berkenaan, anggota bahagian perancangan strategi parti - dikenali sebagai Pusat Penyelarasan dan Operasi Pilihan Raya Umum (GCOC) - dimaklumkan bahawa satu mesyuarat akan diadakan pada Ahad ini.

Apa yang menarik perhatian, mesyuarat itu sepatutnya dipengerusikan Muhyiddin atas kapasitinya sebagai pemimpin nombor dua Umno.

Bagaimanapun mesyuarat di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur itu kali ini akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid kini naib presiden Umno.

Surat itu bagaimanapun tidak menyatakan sama ada penggantian itu untuk mesyuarat terkini itu sahaja atau berterusan.

Perubahan mengejutkan
Menurut sumber, perubahan tugas mempengerusikan mesyuarat itu mengejutkan ketika Muhyiddin terus menyatakan kesetiaannya kepada Umno, walaupun diketepikan Datuk Seri Najib Razak daripada kabinet pada 28 Julai lalu.

"Bagaimana Ahmad Zahid sebagai naib presiden boleh menggantikan Muhyiddin yang kini masih timbalan presiden?" katanya kepada Malaysiakini.

Muhyiddin digugurkan daripada jawatan timbalan perdana menteri oleh Najib selepas lantang menyuarakan kritikan terhadap cara perdana menteri menguruskan isu 1MDB.

Turut digugurkan dari kabinet, seorang lagi tokoh kanan Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Ahli Parlimen Semporna itu juga sering membangkitkan keresahan rakyat terhadap pelbagai isu negara, terutama 1MDB, syarikat pelaburan negara cetusan ilham Najib.

Di sebalik pemecatan itu kedua-dua tokoh berkenaan tetap menyatakan ikrar untuk kekal bersama Umno.

Ubah pramesyurat MT

Sumber berkata, satu lagi perubahan dibuat Najib mutakhir ini ialah mengubah proses pramesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno.

"Biasanya sebelum mesyuarat MT, akan ada mesyuarat jawatankuasa pengurusan dan ia juga dipengerusikan oleh timbalan presiden Umno," katanya.

Kini, kata sumber itu, mesyuarat itu tidak lagi diadakan sebaliknya ia dikenali sebagai "biro khas politik".
"Ia dipengerusikan oleh presiden Umno sendiri," katanya.

Sumber menjelaskan, keadaan itu menunjukkan seolah-olah Najib memang tidak lagi yakin pada timbalannya dalam parti dan terus mengetepikan bekas menteri besar Johor itu daripada tugas penting dalam Umno.

Sementara itu sumber lain menyatakan, tugas mempengerusikan kedua-dua mesyuarat itu bukan hak eksklusif timbalan presiden.

Katanya, tugas berkenaan boleh digantikan oleh tokoh lain yang dirasakan sesuai oleh pemimpin parti.

"Memang Muhyiddin masih timbalan presiden tetapi beliau dilihat enggan mendengar cakap presiden. Pada masa sama, ada pemimpin lain yang mahu mendengar cakap presiden," katanya.

Difahamkan Muhyiddin ada membangkitkan isu itu dalam mesyuarat MT baru-baru ini tetapi Najib dikatakan tidak menjawab pertanyaan berkenaan.
-malaysiakini-

Cina Singapura Buat Petisyen Minta Hentikan Sembelih Korban

Tranungkite

Beginilah keadaannya apabila kebebasan bersuara digunakan tanpa batasan waima menyentuh sensitiviti penganut agama lain kononnya ia terpaksa dibangkitkan atas nama hak asasi manusia.

Bagi yang tahu kisah nasib umat Islam di Singapura, pasti tahu bagaimana peritnya apabila kaum bukan Islam menjadi pemerintah mengharamkan azan dilaungkan menerusi pembesar suara di masjid sejak awal 1970-an.

Tindakan itu diarahkan perdana menteri republik tersebut waktu itu, Lee Kuan Yew konon ia ganggu masyarakat bukan Islam dan hujah lebih dahsyat, masjid masih tetap tidak penuh jemaahnya meskipun berkumandang azan!

Terbaharu, ketika umat Islam Singapura bergembira menjalani ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha bulan lalu, seorang bukan Islam dikenali hanya sebagai Nicole L mencetuskan kontroversi di negara pulau kecil tersebut.
Screen Shot 2015-10-01 at 7.13.05 PM
Wanita tempatan itu dilaporkan media sosial telah menghantar tuntutan menerusi laman petisyen terkenal antarabangsa Change.org untuk Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengharamkan penyembelihan korban.

Dia mendakwa kononnya aktiviti tahunan tersebut bukan sahaja kejam kepada haiwan malah tidak sesuai ditonton kanak-kanak kecil, selain bimbang kaedah sembelihan oleh penderma korban itu sebagai kurang berpengalaman.

Hujah Nicole nyata dangkal kerana semua tahu kaedah penyembelihan secara Islamlah yang paling tidak kejam dan tidak menyakitkan haiwan, bahkan ada adab-adab tertentu termasuk penggunaan pisau tajam yang bersih.

Tuduhan jahat wanita itu konon haiwan disembelih sebelah-menyebelah juga tidak berasas kerana Rasulullah SAW mendidik umatnya bersifat ihsan dengan tidak berbuat demikian seperti diamalkan kaum Arab jahiliyyah.
dsc0462
Begitu juga kehadiran kanak-kanak bukan hendak mengajar mereka ‘brutal’ tetapi mengasuh agar tidak takut melihat haiwan disembelih mengikut syariat Islam sekali gus berani menjadi penyembelih apabila dewasa kelak.
Menyentuh kebimbangan konon penderma tidak tahu menyembelih haiwan, ia juga berniat jahat walhal lazimnya penyembelihan dilakukan tukang sembelih diiktiraf MUIS manakala penderma hanya datang melihat korbannya.

Entahlah kenapa Nicole membuat petisyen menerusi portal berpusat di San Francisco, Amerika Syarikat itu yang diwujudkan sejak 2007 lalu dan memiliki lebih 110 juta penyokong petisyen di 196 buah negara di seluruh dunia.

Adakah dia cemburu melihat kejayaan umat Islam di Singapura walaupun kaum minoriti, namun mampu membeli 3,700 ekor haiwan korban diimport dari Australia dan Ireland pada tahun ini, iaitu angka terbesar dalam sejarah.

Lagipun aktiviti ini dilakukan secara tertutup cuma melibatkan 25 buah masjid sahaja daripada keseluruhan 71 buah rumah Allah di seluruh Singapura serta hanya ketika Hari Raya Aidiladha dan tiga hari tasyrik selepasnya.

Itupun dia tetap ‘bising’ walhal saban masa puluhan ribu ekor babi dipotong yang kaedahnya jauh lebih zalim di republik itu, tetapi umat Islam tidak pernah pun pertikai demi menjaga keharmonian masyarakat tempatan.

Mujur petisyen itu akhirnya gagal diterima kerana cuma menerima 1,392 sokongan apabila tempoh kempen ditutup, kurang 108 yang diperlukan untuk dibawa secara rasmi kepada pihak berwajib. – Mynewshub.cc/HAA

* Untuk lihat artikel petisyen, sila layari: www.change.org

Nama Amanah diluluskan oleh RoS

Pendaftar Pertubuhan beri kelulusan nama Parti Amanah Negara digunakan ganti Parti Pekerja-pekerja Malaysia, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 2 Oktober, 2015.Pendaftar Pertubuhan beri kelulusan nama Parti Amanah Negara digunakan ganti Parti Pekerja-pekerja Malaysia, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu. 
Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini mendapat kebenaran daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk menggunakan namanya, menggantikan nama Parti Pekerja-pekerja Malaysia yang dikenali sebelum ini.

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata parti itu yakin RoS juga akan memberikan lampu hijau untuk beberapa perubahan lain yang dipohon, termasuk perlembagaannya.

Pada masa ini, RoS memberikan kebenaran untuk perubahan nama dan alamat, selain jawatan pengerusi parti kepada presiden.

Amanah, parti baharu yang dibentuk daripada serpihan parti Islam pembangkang PAS sebelum ini cuba membentuk parti baharu dikenali sebagai parti Progresif Islam tetapi ia ditolak RoS. Ia kemudian mengambil alih dan menjenamakan semula Parti Pekerja-pekerja Malaysia yang tidak aktif.

Mohamad hari ini menepis cakap-cakap yang menyatakan Amanah sedang berusaha keras memikat orang Melayu menyertai parti itu.

Katanya, parti itu kini mempunyai 30,000 ahli ketika ia dilancarkan secara rasmi pada bulan lalu, dan jumlah itu dijangka mencecah 100,000 menjelang Disember.

“Pada masa ini, kebanyakan ahli kita dari Kelantan,” katanya pada sidang media di George Town, hari ini, merujuk kepada negeri pantai timur yang dikawal PAS.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata Amanah akan mengadakan siri jelajah pertamanya di Johor pada 9 Oktober, yang akan turut dihadiri veteran DAP Lim Kit Siang dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Amanah menggantikan PAS dalam pakatan pembangkang baharu Pakatan Harapan, yang ditubuhkan baru-baru ini selepas Pakatan Rakyat terkubur Jun lalu akibat pertentangan tidak berkesudahan antara PAS dan DAP.
-malaysianinsider-

Mufti Perlis sokong larangan pembesar suara masjid Pulau Pinang, Nabi tak ajar

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ia selaras dengan ajaran Islam di mana tiada keperluan untuk menguatkan bacaan Al-Quran kecuali azan, malah perkara itu dilarang sama sekali oleh Nabi Muhammad. – Gambar fail The Malaysian Insider, 2 Oktober, 2015.Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ia selaras dengan ajaran Islam di mana tiada keperluan untuk menguatkan bacaan Al-Quran kecuali azan, malah perkara itu dilarang sama sekali oleh Nabi Muhammad.

Menyifatkan orang bukan Islam sudah terkeliru antara bacaan zikir atau ayat Al-Quran dan laungan azan, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin keputusan mempertahankan larangan pembesar suara di masjid Pulau Pinang baru-baru ini.

Katanya, ia selaras dengan ajaran Islam di mana tiada keperluan untuk menguatkan bacaan Al-Quran kecuali azan, malah perkara itu dilarang sama sekali oleh Nabi Muhammad.

"Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain.

"Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi. Apatah lagi dalam Islam, ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak," katanya di laman Facebook rasminya.
Beliau turut memberi contoh hadis menunjukkan dilarang perbuatan menguatkan bacaan Al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jemaah lain.
-malaysianinsider-

Pemenjaraan Dr Khir dan Implikasi Terhadap Skandal 1MDB

A. Kadir Jasin

BEKAS Menteri Besar Selangor, (Datuk Seri) Dr Mohamad Khir Toyo, berkata beliau tidak melakukan kesalahan rasuah. Betullah tu.

Dalam sistem penghakiman kita, adalah hak mutlak yang tertuduh untuk menafikan tuduhan ke atasnya dengan mengaku tidak bersalah (plead not guilty).

Malah orang yang bersalah dan bersedia mengaku salah pun diingatkan (cautioned) oleh hakim jangan mengaku salah. Tapi kalau hendak mengaku juga, dia akan diingatkan dan dibagi amaran padah pengakuan salahnya itu.

Dalam sistem kehakiman Inggeris yang menjadi asas kehakiman kita, penghakiman hanya boleh dibuat oleh mahkamah. Hanya mahkamah berhak menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak.

Malah keadilan (justice) memihak kepada tertuduh (the accused). Mula-mula sekali, tertuduh tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah (innocent until proven guilty). Jadi Dr Khir “tidak bersalah” sehinggalah “dibuktikan bersalah”.

Beban mutakhir adalah di bahu pihak pendakwa. Pendakwa wajib membuktikan “tanpa sebarang keraguan” (beyond reasonable doubt) akan kesalahan tertuduh. Maksudnya tanpa syak wasangka.

Pihak pembela pula hanya perlu mewujudkan keraguan yang berpatutan (reasonable doubt) bagi membebaskan anak guaman mereka daripada sabit kesalahan.
Dr Khir dan pasukan pembelaannya gagal cetuskan "reasonable doubt"

Jadi, walaupun Dr Khir “bersumpah” beliau tidak bersalah, pihak pendakwa berjaya membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa beliau telah melakukan jenayah yang dituduh manakala peguam beliau gagal menimbulkan keraguan yang berpatutan.

Sekarang sahlah kesalahan beliau. Penafian beliau tidak bermakna lagi di segi undang-undang. Maka dengan itu, Dr Khir dipenjarakan selama 12 bulan dan harta yang terlibat dirampas.

Dengan itu juga, jadilah beliau Menteri Besar Selangor yang kedua dipenjarakan kerana rasuah dan menjadi antara segelintir pemimpin kanan kerajaan yang didapati bersalah melakukan rasuah.

Natijahnya:

1. Sama ada beliau mengaku bersalah atau tidak, Dr Khir telah dibuktikan terlibat dengan rasuah.

2. Pemimpin politik masih boleh disiasat, didakwa dan didapati bersalah mengikut undang-undang Negara.

3. 0rang baik dan berprofil rendah menjadi alpa, bongkak dan hilang akal apabila mendapat kuasa. Dr Khir boleh dikatakan tidak dikenali sebelum dilantik entah dari mana (out of the blue) menjadi Menteri Besar pada tahun 2000.

4. Pemenjaraan Dr Khir memberi kesan psikologi yang positif kepada rakyat jelata iaitu tidak ada sesiapa pun berada di atas daripada undang-undang (above the law).

5. Kesabitan kes Dr Khir memberi makna yang istimewa dan tersendiri dalam kaitan dengan penyiasatan dalam negara dan antarabangsa membabitkan 1MDB dan Perdana Menteri (Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone ) Mohd Najib Abdul Razak.

6. Ada beberapa persamaan di antara kes rasuah Dr Khir dengan “derma” RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Mohd Najib, khususnya alasan politik dan dakwaan rakyat jelata tidak rugi apa-apa.

7. Tidak seperti Dr Khir yang menafikan keterlibatannya, Mohd Najib terus berdiam diri malah tidak menafikan kewujudan akaun peribadi RM2.6 bilion itu sebaliknya para penyokong beliau mendakwa wang itu adalah “derma” daripada seorang dermawan misteri Arab.

8. Para peguam Mohd Najib juga masih berdolak-dalik mengenai ancaman saman terhadap Wall Street Journal kerana mendedahkan hal itu walaupun telah mengeluarkan ancaman itu hampir tiga bulan lalu (8 Julai).

9. Pemenjaraan Dr Khir pastinya menaikkan tahap kebimbangan mereka yang terbabit atau dikaitkan dengan skandal 1MDB dan tabung peribadi Mohd Najib.

Anekdot 1: Jumpa Mohd Najib buat kali pertama pada tahun 1977 untuk temu bual bagi pihak akhbar Business Times sempena ulang tahun pertama beliau sebagai Ahli Parlimen Pekan. Berbual mengenai beliau berjalan kerluar daripada bayang raksasa (giant shadow) bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Bayang raksasa adalah padanan tajuk filem Kirk Douglas (bapa Micheal Douglas) “Cast A Giant Shadow” (1966).
Anekdot 2: Jumpa Dr Khir di Pejabat SUK Selangor, Shah Alam ketika beliau di puncak kuasa. Beliau dan kakitangannya berasa saya terlalu kritikal terhadap beliau. Waktu itu sudah timbul cakap-cakap yang tidak menyenangkan mengenai tindak-tanduk beliau. Saya mengingatkan Dr Khir agar berhati-hati sambil merujuk kepada “sumpahan” (curse) jawatan MB Selangor.

Akhirulkalam, bukan mudah menjadi saksi kepada sejarah dalam suasana di mana sejarah diabai dan dinafikan!

Wallahuaklam.

Rusia kata serang IS di Syria, tapi...

Rusia kata serang IS di Syria, tapi...
Kanak-kanak terseksa akibat perang di Syria
HOMS - SYRIA. Selepas 30 serangan udara sejak dimulakan semalam, kerajaan Rusia dituduh menyasarkan lokasi pemberontak kerajaan rejim Bashar al-Assad dan bukannya militan IS seperti yang digembar-gemburkan.
Menurut Sky News, berpuluh-puluh orang awam termasuk lima kanak-kanak maut dalam gelombang pertama serangan udara Rusia.

Pihak pemberontak yang mendapat bantuan daripada kerajaan Amerika Syarikat (AS) juga menjadi sasaran.

Moscow bagaimanapun sekeras-kerasnya menafikan dakwaan tersebut.

Sementara itu, Syrian National Council, sebuah kumpulan yang menentang rejim Assad mendakwa 36 orang maut dalam serangan udara Rusia di utara Homs.
Ketua kumpulan berkenaan, Khaled Khoja memberitahu tiada sebarang kehadiran militan IS di kawasan tersebut yang dibom sebanyak empat kali oleh Rusia semalam.

Ketika ini, kerajaan Perancis dan AS juga menyatakan keraguan mereka terhadap serangan udara Rusia.
Setiausaha Pertahanan AS, Ash Carter menuduh Rusia membuat serangan di kawasan yang bebas pengaruh militan IS.

Menteri Pertahanan Perancis, Jean-Yves Le Drian juga membuat tuduhan yang sama.

Jurucakap Kementerian Luar Rusia pula meyelar laporan-laporan luar dan menggelarkan ia sebagai 'perang maklumat' (information war).

Rusia memulakan serangan udaranya semalam selepas kerajaan rejim pimpinan Assad meminta bantuan Rusia.

Kira-kira 32 pesawat pejuang Rusia ditempatkan di bandar pelabuhan, Latakia dan dikawal oleh 1,700 anggota marin Rusia ketika ini.
-sinarharian-

Cecilia: Bersyahadat, Karena Ingin Shalat dan Berhijab

REPUBLIKA.CO.ID, JAKARTA: Cecilia gelisah ingin solat. Namun, ia belum bersyahadat.

Keinginan itu akhirnya menjadi kenyataan. Pada Jumat kemarin, ia bersyahadat. "Dan Alhamdulillah tadi sekitar jam 22.00 di sekitaran Tebet, saya cuba temui dan dengarkan kisahnya yang luar biasa ingin solat, ingin pakai telekung, ingin gamis syari ', ingin berhijab, dan ketuk kerana dirinya belum bersyahadat," ungkap Ketua Umum Mualaf Center Indonesia, Steven Indra Wibowo.

Menurutnya, keinginan Cecilia bersyahadat kerana dorongan yang kuat kerana Allah bukan alasan lain. Sering ia bangun ditengah malam dan berwudhu namun takut solat kerana dia tidak tahu bagaimana caranya dan apakah dibenarkan kerana dia belum Muslimah.

"Ia juga ingin menjalankan puasa. Akhirnya menjalankan puasa fizikal Senin-Kamis mengikuti kebiasaan umat Islam," katanya.

PKR bertelagah berhubung penubuhan Pakatan Harapan

Rundingan meja bulat dan pelancaran Pakatan Harapan, 2 minggu lalu menyebabkan PKR pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah berpecah.
Hanya 2 minggu selepas Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan Pakatan Harapan, parti yang dipimpinnya berpecah belah berhubung isu ini, dengan satu pihak mendesak mesyuarat khas untuk membincangkan tentang gabungan pembangkang baharu itu.

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR akan bertemu Ahad depan selepas satu petisyen kepada presiden, yang ditandatangani 25 ahli menuntut supaya satu mesyuarat tergempar diadakan bagi membincangkan pembentukan "mengejut" pakatan baharu itu.

Dalam petisyen bertarikh 22 September, 25 ahli berkenaan berkata mereka percaya pelancaran Pakatan Harapan tidak memihak kepada keputusan yang dibuat PKR dalam mesyuarat MPP, 2 hari sebelum perbincangan meja bulat.

"Kami, seperti senarai nama dilampirkan, amat terkejut dan bimbang mengenai tindakan dan keputusan tergesa-gesa penubuhan Pakatan Harapan yang diumumkan selepas sesi Sidang Meja Bulat di Hotel Empire pada Rabu, 21 September, 2015," menurut petisyen itu, yang ditunjukkan kepada The Malaysian Insider. (Sidang meja bulat itu diadakan pada 22 September).

"Pada sidang mesyuarat MPP pada Ahad, 20 September, 2015, MPP bersetuju dan menyokong segala usaha gigih presiden meneruskan perundingan dengan semua pihak ke arah penubuhan pakatan baharu termasuk mempelopori persidangan meja bulat tersebut.

"Secara jelas, MPP meminta agar tiada pengumuman dibuat semasa sesi tersebut, sebaiknya membuka ruang seluas mungkin untuk beberapa sesi rundingan seterusnya," tulis petisyen dilihat The Malaysian Insider itu.

Petisyen itu berkata, perbincangan meja bulat, yang berakhir dengan Dr Wan Azizah mengumumkan pembentukan Pakatan Harapan, sepatutnya hanya menjadi "perbincangan awal".

Dalam surat kepada ahli PKR pada 30 September ditunjukkan kepada The Malaysian Insider, Setiausaha Agung Rafizi Ramli mengumumkan mesyuarat tergempar MPP akan diadakan pada 11 Oktober bagi membincangkan perkara yang dibangkitkan dalam petisyen itu.

Bagaimanapun, Rafizi serta beberapa penandatangan petisyen itu, termasuk Naib Presiden PKR Chua Tian Chang, Latheefa Koya dan N Surendran, enggan mengulas ketika dihubungi The Malaysian Insider, atau tidak dapat dihubungi dengan segera bagi mendapatkan komen.

"Saya baru saja melihat surat itu (daripada setiausaha agung). Saya enggan mengulas mengenai perkara itu," Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran memberitahu The Malaysian Insider.

Latheefa menafikan pernah menandatangani petisyen, manakala Chua yang lebih dikenali sebagai Tian Chua berkata beliau tidak akan mengulas mengenai perkara itu.

Tetapi beberapa sumber pihak mengesahkan kepada The Malaysian Insider yang surat dan petisyen itu adalah tulen, dan mendakwa ia diterajui kumpulan yang diketuai Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, sekalipun ia tidak menandatangani petisyen itu.

Azmin bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk memberikan penjelasan.

Satu sumber PKR memberitahu The Malaysian Insider, mereka yang menentang Pakatan Harapan percaya PAS perlu menjadi sebahagian daripada pakatan pembangkang.

Sumber itu, yang mengaku menyokong Pakatan Harapan menambah, penandatangan petisyen itu silap apabila mereka berkata presiden bertindak bertentangan dengan kehendak MPP.

"Selepas kami berbincang dengan panjang lebar dalam mesyuarat pada 20 September, presiden akhirnya memberitahu MPP: 'Beri saya mandat untuk membuat keputusan apa yang perlu dilakukan semasa perbincangan meja bulat'.

"Dan mereka bersetuju dengan itu. Jadi ia tidak sepatutnya menjadi isu sama sekali," kata sumber itu dengan syarat tidak dinamakan.

Beliau mendakwa tidak semua penandatangan sebahagian daripada "puak Azmin"; beberapa penandatangan kemudian menyesal menandatangani petisyen itu apabila keadaan situasi dijelaskan kepada mereka, katanya.

Sumber itu berkata, beliau berpandangan tiada gunanya melambatkan pelancaran Pakatan Harapan kerana PAS tidak akan mahu menyertainya.

"Malah presiden PAS tidak menghadirkan diri semasa mesyuarat presiden Pakatan Rakyat, kita berdepan dengan pertandingan 3 penjuru dalam pilihan raya dengan mereka sebagai sekutu, mereka menghina presiden kami.

"Kami mencuba sedaya upaya, tetapi apa gunanya mempunyai mereka dalam gabungan baharu itu? Kita juga tahu mereka tidak akan menyertai pakatan dengan DAP dan Amanah.

"Bagaimanapun, kami tidak memutuskan hubungan dengan PAS sama sekali. Pakatan Harapan masih akan bekerjasama dengan PAS.

"Cuma PAS tidak akan berkongsi dasar bersama atau manifesto dengan pihak dalam Pakatan Harapan," kata sumber itu.

Sumber itu berkata, "puak" dalam PKR sentiasa wujud, dan penandatangan perlu menerima hakikat keputusan Dr Wan Azizah adalah muktamad.

Pada 22 September, Dr Wan Azizah mengumumkan pembentukan Pakatan Harapan, pakatan pembangkang baharu bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang dibubarkan kerana pertikaian tidak dapat diselesaikan di antara DAP dan PAS.

Pakatan baharu terdiri daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah). PAS, salah satu ahli asal Pakatan Rakyat, tidak menghadiri mesyuarat itu.

Dr Wan Azizah juga mengumumkan Pakatan Harapan bersetuju Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi pilihan mereka sebagai perdana menteri jika mereka berjaya menawan Putrajaya.
-malaysianinsider-

Jururawat tikam penyamun sasa

INILAH lokasi pemandu kereta sapu mengambil Fatimah di Jalan Panglima Abdullah, Semporna sebelum cuba menyamun mangsa Isnin lalu.
SEMPORNA; Seorang jururawat di sini bertindak nekad apabila merampas pisau rambo lalu menikam perut seorang pemandu kende­raan sapu yang cuba menyamunnya di dalam kenderaan di Jalan Kampung Keramat dekat sini Isnin lalu.

Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, mangsa, Fatimah Tampugau, 23, bagaimanapun mengalami cedera ringan di jari tangan kanan selain kerugian RM1,000.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang bekerja di sebuah klinik swasta di Jalan Pang­lima Abdullah menggunakan perkhid­matan kereta sapu jenis Perodua Kancil untuk pulang ke rumah di Kampung Panji di sini.

Katanya, bagaimanapun suspek berusia 20-an dan berbadan sasa itu memberitahu ingin mengambil rakannya di sebuah kawasan dikenali Century Darat.

“Sebaik tiba di Jalan Kampung Keramat, suspek telah mengeluarkan sebilah pisau rambo sepanjang 30 sentimeter sebelum meletakkan di paha mangsa.

“Secara tiba-tiba, mangsa telah merampas pisau tersebut dan menikam perut suspek dan berlaku pergelutan yang menyebabkan mangsa mengalami kece­deraan pada jari tangan kanan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
-kosmo-

"Bila PAS nak di laksanakan "Arahan" Mursyidul Am ni

abuamar

"[[ BERKATA Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din : Hubungan PAS dengan PKR terputus sekiranya PKR menyertai gabungan pembangkang yang baru bersama DAP dan Gerakan Harapan Baru (GHB).

Katanya lagi, kenyataan Anwar Ibrahim berhubung pembentukan muafakat pembangkang yang baru "menggambarkan seolah-olah parti itu ingin memutuskan hubungan dengan PAS"."Dengan keputusan itu maka akan terputuslah hubungan antara kedua-dua parti dan masing-masing bakal meneroka jalan sendiri .]]

KINI PKR telah pun bersekutu dg DAP dan PAN (GHB) dan membentuk “PAKATAN HARAPAN RAKYAT”. Lalu PAS bagaimana?

1. Bila lagi PAS mau tendang PKR dan bentuk “kerajaan PAS di Selangor?”.

2. Bila lagi PAS mau tendang DAP dan bentuk “kerajaan PAS di penang?”.

3. Apakah PAS dah mula ingkar dan DERHAKA kpd Mursyidul Am?

Adakalanya kita bercakap tak serupa bikin atau bikin tak serupa dg apa yg kita cakap atau Bercakap dulu baru berfikir atau berfikir dulu, kemudian tak bercakap.

Teman bermimpi di siang hari? Hehehehehe...kdg2 tu seronok juga bermimpi ni, walaupun disiang hari."

Lelaki Bangladesh mati berdiri

Anggota bomba mengorek tanah bagi mengeluarkan mayat seorang lelaki Bangladesh yang tertimbus dalam lubang di Jalan Nipah di ibu negara semalam.
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki Bangladesh maut dalam keadaan berdiri selepas tertimbus dalam lubang sedalam tiga meter ketika me­lakukan kerja-kerja membaiki paip air di Jalan Nipah berhampiran bangunan Great Eastern di sini semalam.

Semasa kejadian pada pukul 11.40 pagi, seorang lagi rakan senegara mangsa sempat menyelamatkan diri.

Mangsa yang terkorban berusia 30-an dan semasa kejadian mangsa dan seorang rakannya berada di dalam lubang yang digali mereka untuk melakukan kerja-kerja membaik pulih saluran paip bawah tanah di kawasan tersebut.

Penguasa Kanan Bomba II, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut, mengambil masa dua jam untuk mengeluarkan mayat ma­ngsa dari­pada timbusan tanah di dalam lubang itu.

“Pada mulanya kami mengorek tanah yang menimbus lubang itu menggunakan jentolak tetapi sebaik melihat kepala mangsa kami terpaksa menggunakan cangkul bagi mengorek tanah kerana bimbang mangsa mengalami kecede­raan sekiranya kami menggunakan jentolak,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
-kosmo-

Gadis ini diperlakukan macam Tarzan oleh isteri bekas kekasihnya

Alor Setar: “Saya terpaksa mencari daun untuk menutup tubuh selepas ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan hanya berpakaian dalam dan berjalan sejauh beberapa meter untuk meminta bantuan sebelum diselamatkan seorang lelaki lalu dibawa ke masjid dan diberi pakaian.”
Demikian kata seorang gadis yang mahu dikenali sebagai Awien, 21, ketika menceritakan pengalaman mengaibkan selepas diserang dua wanita dan seorang lelaki yang memukul sebelum menanggalkan pakaiannya.

Dia kemudian ditinggalkan di tepi jalan di Jeniang, Sik, dekat sini, Ahad lalu akibat perselisihan faham berkaitan bekas teman lelakinya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, Awien yang berada di sebuah pusat siber berhampiran Masjid Aman, di sini, kerana sedang menunggu teksi untuk pulang ke kampungnya terkejut apabila didatangi wanita berusia 30 tahun yang juga isteri kepada bekas teman lelakinya bersama seorang lelaki berusia 32 tahun dan seorang lagi wanita yang kemudian menyerangnya.

Menurutnya, dia kemudian meminta untuk berbincang dan menyelesaikan secara baik kerana orang ramai menyaksikan kejadian itu.
-hmetro-

Ke mana hilang bijaksana, keikhlasan Hadi?

Khalid Samad 
Apabila mendengar mukadimah ucapan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam rakaman video Mukhayyam Tarbawi PAS Kawasan Machang pada 3 September di Rusila, saya sebenarnya merasa lega.

Terdetik dalam hati saya bahawa kebijaksanaan dan keikhlasan mungkin sudah kembali kepada pimpinan bekas parti saya yang telah saya sertai sekian lama.

Malangnya kenyataan di penghujung video itu tidak sebijak atau seikhlas permulaannya.

Malang sekali apabila kebijaksanaan dan keikhlasan yang diceduk dari kisah para sahabat hanya diceritakan tetapi tidak dicontohi.

Apabila beliau berhadapan dengan suasana yang sama – walaupun jauh tidak mencabar – tidak pula dimanfaatkan kebijaksanaan yang diceritakan. Sepatutnya kebijaksanaan dan keikhlasan yang ditunjukkan Saidina Ali dijadikan pedoman dan panduan, bukan sekadar untuk diceritakan.

Perang saudara

Ucapan Ustaz Hadi Awang bermula dengan mengisahkan perang antara Saidatina Aisyah dan Saidina Ali, iaitu perang Jamal. Ianya peperangan yang tercetus selepas sahaja Ali dilantik sebagai khalifah keempat setelah Saidina Uthman dibunuh.

Maka di atas rasa kewajipan membela Saidina Uthman, Aisyah telah mengepalai bala tentera yang terdiri dari para sahabat, termasuk Talhah dan Az-Zubair. Akhirnya mereka bertempur dengan tentera di bawah pimpinan Ali yang juga terdiri dari para sahabat.

Dalam persoalan ini, di mana Aisyah mengangkat senjata menentang Ali yang merupakan Khalifah yang sah, Ustaz Hadi tegaskan, ianya hasil kejahilan dan ketidakmampuan memahami keadaan politik dengan tepat oleh pihak Aisyah.

Ianya perbezaan pandangan dan pendekatan dan oleh itu, mereka tetap rakan dan saudara seislam dan Aisyah serta Talhah dan Zubair adalah tetap ahli syurga.

Ustaz Hadi meneruskan lagi dengan menjelaskan bahawa begitu juga dengan pihak Khawarij. Pihak Khawarij ini adalah golongan yang mengkafirkan Saidina Ali dan mencaci dan memaki-hamun Saidina Ali secara terbuka di khalayak ramai.

Mereka pernah mengugut untuk membunuh Ali. Namun apabila Ali ditanya oleh para sahabat “siapa mereka ini?”

Ustaz Hadi menjelaskan bahawa Ali menjawab, “mereka adalah saudara kita, kalau mereka hadap kita, kita lawan, mereka lari kita biarkan mereka lari, jangan kejar, buat tak tahu”.

Golongan Khawarij ini terdiri dari golongan muda, kuat beribadat, semangat tinggi tetapi semangat mereka mengatasi ilmu mereka.

Kisah pengajaran

Semasa peristiwa ini berlaku, Saidina Ali merupakan khalifah yang sah. Namun apabila ditentang sehingga ke peringkat mengangkat senjata sekalipun, beliau tetap bertindak secara bijaksana, adil dan penuh keikhlasan.

Saidina Ali tidak mengkafirkan golongan yang menentangnya sewenang-wenangnya sambil menuduh mereka sebagai “terkeluar dari jemaah Muslimin” atau menghalalkan darah mereka. Beliau juga tidak menuduh dan memfitnah mereka dengan tuduhan liar seperti “ingin meruntuhkan binaan Islam”, “gadai prinsip Islam” dan “gila jawatan” atau pun yang sebagainya.

Sebaliknya beliau menyatakan keadaan sebenar, secara adil dan ikhlas tanpa berusaha memburukkan keadaan dengan fitnah dan tohmahan demi kepentingan dirinya.

Saidina Ali mengakui dan memahami, kesemua itu berlaku dalam keadaan masing-masing inginkan keadilan dan kebenaran, berniat baik walaupun ada yang jahil dan tersilap pendekatan. Beliau berusaha mendamaikan dan di mana pendamaian tidak mungkin, beliau tidak sama sekali mengeruhkan lagi suasana dengan tuduhan liar terhadap pihak yang satu lagi walaupun mereka angkat senjata menentangnya!

Di atas sifat adilnya Ali, maka perperangan dengan Aisyah berakhir dengan baik dan Aisyah sendiri mengakui kesilapan beliau kemudiannya. Adakah itu mungkin sekiranya Saidina Ali bertindak secara sewenang-wenangnya terhadap Aisyah dengan menuduhnya dengan tuduhan yang direka-rekanya?

Sudah pasti tidak.

Walaupun Saidina Ali terbunuh dan tidak berjaya masalah golongan Khawarij, sejarah menjadi saksi akan ketelusan dan kejujuran Ali dalam menangani perbalahan ini.

Seperti dengan kes Aisyah, Saidina Ali berkata benar terhadap golongan Khawarij dan tidak mengkafirkan mereka sewenang-wenangnya atau menuduh mereka dengan tuduhan yang direka-reka.

Dan sebenarnya itulah yang sepatutnya dilakukan oleh seorang pemimpin yang bijak lagi adil dan ikhlas. Sejarah menjadi saksi akan keadilan dan keikhlasan Ali walaupun terpaksa berhadapan dengan keadaan sangat mencabar.

Peristiwa perang Jamal dan kemunculan Khawarij itu berlaku supaya ianya menjadi pengajaran, contoh dan tauladan untuk diikuti, bukan sekadar sebagai bahan cerita.

Mari kita lihat pada keadaan perbalahan yang telah berlaku di dalam PAS sehingga terhasilnya suasana sekarang. Cuba kita aplikasikan pengajaran dari peristiwa yang berlaku pada zaman Saidina Ali yang dijelaskan sebentar tadi.

Perlu ditanya, adakah jawatan presiden sebuah jemaah Islam, seperti PAS, boleh disamakan dengan jawatan Amirul Mukminin? Adakah perbalahan yang berlaku dalam PAS tempoh hari dan antara Parti Amanah Negara dan PAS dewasa ini sehingga ke tahap mengangkat senjata? Sudah pasti jawapan untuk kedua-dua soalan tersebut adalah “tidak”.

Walaupun kedudukan dan hak dirinya untuk ditaati tidak seperti Saidina Ali dan penentangan yang dihadapinya tidak sekeras penentangan yang dihadapi Ali, namun reaksi presiden PAS terhadap keadaan sekarang jauh lebih keras berbanding respon dari Saidina Ali.

Adakah sikap ini wajar?

Di sisi presiden PAS, tindakan kami seolah-olah lagi teruk dari tindakan Aisyah dan Khawarij dan oleh itu kumpulan kami mengikut beliau mesti dihapuskan. PAS boleh bertahalluf dengan lawan sekalipun tetapi tidak dengan AMANAH yang digelar pengkhianat.

Siapa yang dikhianati? Kalau sekadar tidak mahu mengikut kepimpinannya atas sebab-sebab telah bertukar wajah, adakah bererti kami sudah khianati Islam? Adakah semestinya Islam itu hanya berlegar di sekeliling PAS?

Dan demi membenarkan sikap beliau maka terpaksa direka tuduhan dan fitnah.

Pembohongan

Ustaz Hadi cuba menjustifikasi sikap dan tindakan beliau terhadap kami yang tidak lagi bersetuju dengan kaedah yang dipilih beliau, sehingga kami keluar dan menyertai AMANAH.

Maka beliau mereka pula tuduhan yang langsung tidak masuk akal. Antara yang disebut dalam video tersebut adalah: “Ingin meresapkan Pakatan Rakyat dalam PAS sehingga PAS tiada lagi”

Sekiranya tuduhan itu benar, bahawa kami tidak ingin wujudnya parti politik Islam secara tersendiri dan ingin ianya larut hilang dalam Pakatan Rakyat, mengapa kami bersusah payah menubuhkan sebuah parti baharu yang berasaskan Islam?

Tidakkah lebih mudah kami masuk sahaja PKR atau DAP dan dengan itu soal meresapkan parti Islam dalam Pakatan Rakyat sehingga hilangnya identiti dan perjuangan parti Islam tersebut akan terus tercapai?

Hakikat bahawa kami berusaha mewujudkan parti Islam baru yang tersendiri dengan identiti tersendiri adalah bukti bahawa tuduhan tersebut adalah satu pembohongan yang jelas dan nyata.

Kedua, Ustaz Hadi mendakwa: “Peguam mereka ingin pinda perlembagaan sehingga hilang kuasa Al-Quran, sunnah, ijma dan qiyas dalam PAS”

Ini malangnya satu lagi pembohongan yang jelas dan nyata. Budaya membohong dan memfitnah merupakan budaya baru dalam PAS. Hakikat bahawa ia diteruskan adalah bukti bahawa tiada kekesalan terhadap wujudnya budaya fitnah dan label-melabel oleh golongan asatizah muda dalam PAS. Malahan ianya disambut dan dikembangkan pula oleh presiden PAS sendiri.

Cubalah fikirkan, jika kami tidak ingin Al-Quran, sunnah, ijma dan qiyas sebagai panduan, apa guna dinyatakan Islam adalah dasar perjuangan Parti Amanah Negara?

Sebenarnya pindaan perlembagaan yang diusahakan oleh golongan peguam adalah di atas arahan AJK PAS Pusat. Sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Tuan Haji Asmuni Awi dan jawatankuasa ini belum lagi selesaikan tugasnya.

Sekiranya selesai, cadangan pindaan itu perlu dikemukakan ke AJK PAS Pusat terlebih dahulu untuk diluluskan. Sekiranya diluluskan di peringkat AJK PAS Pusat maka perlu pula ianya dikemukakan kepada muktamar untuk kelulusan sebelum menjadi muktamad.

Oleh itu amat besarlah pembohongannya apabila dituduh golongan peguam yang selama ini berkhidmat untuk kepentingan PAS, secara ikhlas dan percuma, mempunyai niat jahat seperti itu. Lebih-lebih lagi apabila mereka bertindak atas arahan AJK PAS Pusat yang juga termasuk presiden sendiri.

Saya akan tulis penjelasan berhubung tuduhan ini secara khusus dan lebih terperinci di dalam artikel seterusnya, lengkap dengan cadangan pindaan yang ingin dibawa.

Tuduhan ketiga: “Mereka mahu jadikan PAS Sekular”

Pembohongan bahawa kami ingin jadikan PAS sekular tidak perlukan penjelasan panjang. Kalau kami inginkan sebuah parti sekular maka kenapa pula kami menyertai PAS? Kenapa pula disebut Islam sebagai dasar Parti Amanah Negara? Tidakkah sekular itu bererti memisahkan agama dari politik? Semesti orang yang sekular tidak akan bersama atau mewujudkan parti politik Islam.

Tuduhan keempat: “Perancangan antarabangsa”

Tidak cukup dengan pembohongan di atas, maka dijaja pula “Perancangan Antarabangsa”. Kalau diulang dengan beberapa kali boleh kedengaran semakin mirip Umno. Sama seperti tuduhan yang dilemparkan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen kuasa asing, kuasa antarabangsa. Atau alasan untuk membela Datuk Seri Najib Razak yang kononnya ingin dijatuhkan hasil perancangan antarabangsa.

Kalau ada sebarang “perancangan antarabangsa”, sekalipun maka ianya semestinya inginkan supaya PAS kembali ke zaman 60-an. Berseorangan, terpencil dan kurang sokongan. Dan inilah yang sedang dilakukan secara sedar atau tidak oleh pimpinan PAS sekarang.

Pada masa yang sama PAS pula memainkan peranan tradisi Umno iaitu menguar-uarkan ancaman kaum Cina dan bahayanya DAP, yang sudah pasti hanya menyebabkan Melayu terus bersama Umno/BN. Mungkin itulah sebenarnya perancangan antarabangsanya. Supaya Umno/BN kekal berkuasa dengan bantuan PAS.

Ya benar, DAP memang menyebut mereka lebih selesa berurusan dengan kumpulan kami dan mereka mengharapkan kami kekal sebagai pimpinan PAS dalam muktamar yang lepas. Itu adalah kerana mereka telah banyak berurusan dengan kami dalam usaha membina kekuatan Pakata sejak 2008 dan melalui Barisan Alternatif sebelum dari itu.

Pihak lain dalam PAS hanya menikmati hasil usaha bersama ini sehingga menang 15 kerusi di Selangor dan sebagainya. Mereka tidak pernah turun bertemu dan berbincang dengan pimpinan bukan Islam seperti yang dari DAP.

Oleh itu apabila pimpinan DAP melihat kami diserang teruk sebelum muktamar, maka DAP khuatir wajah PAS akan berubah dan kemenangan bersama yang diperolehi selama ini akan hancur berderai. Tetapi apakah salah untuk mereka berpendirian begitu? Ia bukan persoalan ingin menguasai PAS tetapi ingin PAS kekal atas pendekatan yang sama.

Hakikatnya kekhuatiran mereka terbukti berasas. PAS sekarang tidak seperti PAS dahulu dan kekuatan yang sekian lama dibina hancur berderai.

Adakah wajar usaha DAP untuk menyatakan sokongan mereka terhadap golongan yang bersama membina Pakatan Rakyat tempoh hari diselar sebagai usaha campur tangan kuasa asing dan perancangan antarabangsa?

Apa bukti yang dikemukakan untuk menyokong tuduhan ini? Adakah rakyat boleh yakin dengan corak kepimpinan yang suka menuduh dan memfitnah tanpa asas dan bukti? Sudah pasti rakyat tertanya-tanya, bolehkah kepimpinan sebegini menjamin keadilan sekiranya diberikan kuasa?

Pokoknya, PAS perlu contohi pendekatan Saidina Ali apabila menangani suasana perbezaan pendapat dan pendekatan. Akui kebenaran yang wujud pada pihak lain, walaupun sekiranya hanya dianggap sebahagian sahaja yang benar dan kebenaran itu pula tidak begitu tepat.

Fahami niat dan tujuan mereka dan perakui kewajaran niat dan tujuan itu walaupun tidak bersetuju dengan kaedah pendekatannya. Maka barulah akan terzahir keadilan dan keikhlasan kepimpinan dalam Islam.

Tidak perlu memfitnah dan mereka-reka cerita serta menuduh tanpa bukti. Untuk terus berbohong dan mereka-reka cerita serta melemparkan fitnah, itu bukan kaedah pimpinan Islam. Itu, bagi pandangan saya yang bukan ulama ini, mungkin boleh digambarkan seakan-akan kaedah pendekatan yang selalu dimainkan oleh Umno.

KHALID SAMAD ahli jawatankuasa pusat Parti Amanah Negara dan MP Shah Alam. Tulisan ini pertama kali disiarkan di blognya, khalidsamad.com.