'Syukur, 60,000 hadiri Fastaqim' - Takiyuddin Hassan (5 Gambar)

Kira-kira 100,000 penyokong PAS mengisi ruang Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Baru malam ini, dalam satu perhimpunan raksasa dikenali sebagai Himpunan Fastaqim (H60K). – Gambar The Malaysian Insider, 17 Oktober, 2015.

H60K: Ribuan penyokong Pas berhimpun
Himpunan Fastaqim
PAS bersyukur kerana matlamat mereka untuk mengumpul seramai 60,000 orang dalam Himpunan Fastaqim (H60K) hari ini berjaya.

Setiausaha agungnya Datuk Takiyuddin Hassan berkata, beliau berpendapat PAS mencapai sasaran ditetapkan itu berdasarkan kiraan anggaran dibuatnya bersama polis.

"Kita bersyukur kepada tuhan. Malam ini saya bersama pegawai polis tadi buat anggaran kehadiran.

"Semasa program sembahyang tadi kita anggar ditengah padang lebih kurang 40,000 orang. Di sekeliling atas (kerusi) kapasiti stadium ini untuk muat untuk 22,000 orang.

"Kami rasa kami kami capai sasaran untuk 60,000 orang hari ini," katanya ketika ditemui pemberita semasa program himpunan H60K di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu Kelantan.
-malaysiakini-

Vokalis kumpulan Slam, Zamani Ibrahim lari dari Rumah Pengasih tanpa membawa MyKad dan barangan miliknya

Rakaman CCTV menunjukkan Zamani keluar dari Pusat Pemulihan Penagih Pengasih, Kuala Lumpur. Gambar kecil, Zamani.
Kuala Lumpur: “Dia (Zamani) melarikan diri dari Pusat Pengasih tanpa membawa MyKad, pakaian termasuk gitar kesayangannya. Saya tidak tahu motif dan di mana dia berada sekarang,” kata Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia Datuk Yunus Pathi Mohd.

Beliau yang dihubungi wartawan semalam berkata, vokalis kumpulan Slam, Zamani Ibrahim, 44, disedari hilang dari pusat pemulihan dadah Rumah Pengasih di Jalan Syers Off Lebuhraya Mahameru di sini, jam 10.26 malam kelmarin, dengan menaiki sebuah kereta berwarna putih.

Menurutnya, dia menganggap penyanyi itu cuba melarikan diri berikutan tindakannya itu tidak dimaklumkan kepada kakitangan pusat berkenaan.

“Tindakannya itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di Rumah Pengasih. Saya terpaksa membuat laporan polis kerana bimbang Zamani diculik atau perkara buruk berlaku ke atasnya.

“Bagaimanapun Zamani bertindak menghubungi saya tadi (semalam) dan memaklumkan akan datang semula ke Rumah Pengasih Isnin depan,” katanya.
-hmetro-

Lelaki yang disyaki merogol budak perempuan berusia 11 tahun sehingga melahirkan bayi ditangkap jua akhirnya

Jempol: Lelaki yang disyaki merogol budak perempuan berusia 11 tahun sehingga melahirkan bayi lelaki pada 5 Ogos lalu ditahan polis, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hamzah Alias berkata, suspek berusia 30 tahun ditahan di rumah keluarganya di Kota Bharu, Kelantan, ketika sedang tidur kira-kira 6 pagi.

Katanya, suspek sebelum ini sering bertukar lokasi tempat tinggalnya bagi mengelak ditahan polis apabila mengetahui dia diburu polis berhubung kes rogol terbabit.

"Bagaimanapun, hasil risikan polis, suspek berjaya diberkas dengan bantuan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu," katanya pada sidang media di IPD Jempol, hari ini.

Harian Metro pada 5 Ogos lalu melaporkan budak perempuan berusia 11 tahun melahirkan bayi lelaki di klinik swasta, di sini, selepas dibawa bapa saudaranya apabila dia mengadu sakit perut.

Bagaimanapun, bayi terbabit yang dilahirkan dengan satu kilogram itu meninggal dunia akibat radang usus pada usia lapan hari.
-hmetro-

Mohamad Sabu: Inilah masa ysng sesuai untuk tarik sokongan ahli Umno dan PAS

AMANAH: Rampas peluang ketika Umno, PAS lemah

Walaupun masih baru, Parti Amanah Negara (AMANAH) yakin tidak sukar untuk menarik sokongan daripada Umno dan PAS.

Presidennya Mohamad Sabu berkata PAS memang kuat untuk menang beberapa kerusi bersendirian, tetapi dalam realiti politik Malaysia, parti bertanding perlu masuk gelanggang sebagai sebuah gabungan.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, rakyat Malaysia akan memilih parti yang boleh membentuk kerajaan, sama ada BN atau Pakatan Harapan.

Beliau bagaimanapun, Mohamad mengakui masih terdapat parti sekutu mereka ragu sama ada mereka dapat membayangi pengaruh PAS di kawasan luar bandar untuk menjamin undi Pakatan.

“PAS berpengaruh di Kelantan dan Terengganu. Justeru ada antara sekutu kiuta fikir jika kita ketepikan PAS, Pakatan tidak akan dapat undi majoriti.

“Tetapi saya tidak setuju,” kata Mohamad dalam wawancara bersama Sin Chew Daily.

Mohamad sebaliknya berkata AMANAH harus merampas peluang ketika Umno dan PAS bermasalah mendapatkan sokongan.

“Tidak sukar tetapi perlukan masa, terutamanya apabila penyokong Umno sedang kecewa dengan pemimpin mereka,” kata Mohamad yang membangkitkan kiritkkan tokoh Umno seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Sanudi Junid dan Tan Sri Rafizah Aziz.

Mohamad, bekas timbalan presiden PAS, membentuk AMANAH setelah disingkirkan beramai-ramai dalam pemilihan oleh kumpulan proulama.

AMANAH turut menampilkan dirinya sebagai sebuah parti Islam tetapi terbuka kepada penganut semua agama.
-malaysiakini-

Lelaki ini dapat restu makhluk asing untuk tanding Pilihan Raya

a
MANILA - FILIPINA. Luar biasa! Seorang lelaki yang dikenali sebagai Allan Carreon mengakui telah mendapat restu daripada makhluk asing untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden Filipina.

Hadir dengan memakai baju yang tertera perkataan 'duta antara galaksi, di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina baru-baru ini untuk mendaftarkan namanya sebagai salah seorang calon.

Carreon mendakwa, makhluk asing telah ‎memberi nasihat dan amanat kepadanya untuk 'mensejahterakan' Filipina daripada anasir jahat.

"Makhluk asing memberi restu untuk saya bertanding dalam pilihan raya," katanya kepada wartawan Filipina, petik laporan AFP.

Sementara pesaingnya ialah lelaki berjangkut, Romeo John Ygonia yang meminta wartawan memanggilnya iblis.

"Saya bertanding atas arahan tuan saya," ujarnya.

Seperti kelaziman, senario ini selalu berlaku di Filipina, digelar sebagai calon pengacau, kehadiran mereka merupakan 'rencah' biasa setiap kali pilihan raya menjelang di Filipina.

Pilihan Raya Presiden bakal berlangsung pada tahun hadapan.
-sinarharian-

Remaja pecut kereta dalam keadaan separuh bogel, disergah polis ketika berasmara


Disergah ketika berasmara
Kereta yang dipandu pasangan kekasih tersebut

SEGAMAT: Akibat panik disergah anggota polis, pasangan kekasih yang sedang memadu asmara di dalam sebuah kereta dekat Kilometer 5 Lebuhraya Kuantan-Segamat, di sini, bertindak memandu kira-kira 20 kilometer dalam keadaan separuh bogel.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, pada kejadian kira-kira jam 11 malam kelmarin, pihaknya menerima panggilan orang awam yang melihat sebuah kereta berada dalam keadaan mencurigakan.

“Selepas menerima panggilan, dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) menuju ke kawasan berkenaan dan mendapati sebuah kereta jenis Proton Wira dalam keadaan enjin dihidupkan diletakkan berhampiran kawasan semak.

“Anggota polis kemudian menghampiri kereta berkenaan dan melihat sepasang kekasih sedang memadu asmara dengan kedua-kedua kerusi pemandu dan penumpang hadapan direbahkan,” katanya.

Menurutnya, anggota URB tersebut kemudian mengetuk cermin kereta beberapa kali dan mereka yang terkejut cuba melarikan diri dengan memandu pergi, namun sempat diekori anggotanya.

Katanya, kereta pasangan kekasih tersebut menuju ke arah Buloh Kasap sebelum memasuki Jalan Tasek Alai untuk ke arah Jementah sebelum berjaya dipintas serta ditahan di Kilometer 8 Segamat-Jementah.

“Kereta pasangan kekasih tersebut yang dipandu secara berbahaya turut menyebabkan sebuah motosikal ditunggang anggota URB mengalami sedikit kerosakan apabila bergeser dengan kereta suspek.

“Pasangan kekasih tersebut kemudian memberhentikan kereta kerana dipercayai hampir kehabisan minyak sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat,” katanya.

Menurutnya, pasangan kekasih berusia 17 dan 22 tahun itu direman selama empat hari untuk siasatan lanjut selain merujuk kes tersebut ke Jabatan Agama Islam Segamat.
-sinarharian-

Kubur bayi diatas pokok (Gambar)

Tranungkite
Asalamualaikum dan salam sejehtera semua. Seperti tajuk entri pada hari ini kejadian ini memang pelik kerana kuburan selalunya di bawah tanah namun berbeza dengan kuburan bayi yang terletak di Indonesia ini.

Amalan ini diamalkan di daerah Tana Toraja Indonesia 200 kilometer utara Makassar. Penduduk tempatan percaya yang mengebumikan bayi di atas pokok ini adalah bagi membolehkan mayat bayi yang di kebumikan diserap pokok dan rohnya diterbangkan angin.

Pada kebiasaaanya penduduk akan membuat lubang di pokok dan menempatkan mayat bayi yang telah dikafankan kedalamya serta menunutupkanya dengan daun pokok palma. Hanya bayi yang belum tumbuh gigi sahaja yang dikebumikan di atas pokok.

Amalan ini memang pelik namun benar-benar berlaku. Baca juga entri saya yang lainya di link ini. ~mediaokofee~ sekian.

Apa pulak merepek meraban ni?

Shahbudin Husin
Apa pulak merepek meraban ni?
Apa pulak merepek meraban ni?

Tentu ramai gelihati dengan reaksi Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Megat Najmuddin Megat Khas berkenaan tindakan Saifuddin Abdullah meninggalkan UMNO dan menyertai PKR.

Beliau dilaporkan sebagai berkata, UMNO sama sekali tidak akan memaafkan perbuatan bekas ahli MT itu yang bukan saja keluar parti, tetapi juga mengumumkan secara terbuka.Bukan sahaja keluar parti, tetapi juga tindakan itu dibuat cara umum dan di hadapan media. Dia nak keluar, keluarlah, katanya sebagaimana dilaporkan oleh TMI.Ehhh...apa yang salahnya keluar UMNO dan mengumumkannya secara terbuka dan di hadapan media?

Apa yang sampai tak mahu memaafkan tindakannya itu? Apa yang UMNO boleh buat lagi setelah Saifuddin keluar meninggalkan UMNO?Apa pula undang-undang dan disiplin UMNO yang dilanggar dengan berbuat demikian? Itukan hak masing-masing, lagi pun memang sewajarnya tindakan menyertai parti lain perlu dihebohkan kepada umum dan di hadapan media supaya ia diketahui ramai.

Lagi pun, Saifuddin bukanlah "pemimpin sampah" seperti yang dikatakan oleh Tengku Adnan kerana beliau pernah menjadi ahli MT UMNO dan timbalan menteri sebelum ini. Maka, sewajarnyalah penghijrahan itu diberitahu kepada umum.Orang kahwin, bertunang dan bercerai pun jemput media, apa pulak salahnya keluar UMNO turut sama panggil wartawan?
ww
Bukankah sudah banyak yang keluar UMNO mahu pun masuk UMNO sebelum ini juga mengumumkannya secara terbuka dan di hadapan media?Barangkali Megat Najmuddin kena rajin mendapatkan bantuan "Pakcik Google" untuk menyemak kembali bahawa semua pemimpin yang ingin beralih angin sebelum in, turut melakukannya secara terbuka dan di hadapan media.Jika tidak diberitahu, bukankah lagi susah jadinya?

Kenyataan Megat Najmuddin yang mengatakan UMNO tidak akan memaafkan tindakan Saifuddin juga menimbulkan tanda tanya, bahkan mungkin beruk, kera dan lotong di hutan (meminjam ayat yang selalu digunakan oleh Yahaya Ismail) turut tertanya-tanya.Apa yang mahu dilakukan UMNO terhadap Saifuddin selepas ini...saman malu, tuntut ganti rugi atau hukum mati?

Ini bukan soal maaf atau tidak, tetapi menyertai mana-mana parti adalah hak dan kebebasan individu. Bukannya Saifuddin keluar UMNO dengan membawa lari harta dah duit UMNO pun. Beliau keluar dengan prinsip dah keyakinan saja.Orang kahwin dan beranak pihak pun boleh berpisah, takkanlah dalam politik tiada kebebasan seperti itu.Hodohnya perangai kita bila pasangan kita nak berpisah, tiba-tiba kita kata tidak memaafkan tindakannya itu. Relakslah bro...
dd
Selain itu, kenyataan Megat Najmuddin ini juga bertentangan dengan sikap terbukanya sebelum ini yang mengatakan kehadiran Saifuddin dalam persidangan meja bulat penubuhan Pakatan Harapan bukanlah suatu kesalahan, melainkan jika mengkritik UMNO.

Jika sekadar hadir, tidak mengapa. Kita juga nak tahu apa pembangkang kata dan lakukan, tegasnya.Jika Megat Najmuddin boleh menerima kehadiran Saifuddin dalam program pembangkang, apa salahnya jika beliau terus jatuh cinta dengan PKR?Bawa bertenang dan janganlah merepek meraban sehingga memalukan diri sendiri.

2 lagi tokoh Yapeim hadir ke SPRM, selewengan dana bantuan banjir di Kelantan

2 lagi tokoh Yapeim hadir ke SPRM kerana salah guna dana banjir

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap pegawai atasan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia berhubung salah guna dana bantuan banjir di Kelantan.

Dua tokoh utama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi merekodkan kenyataan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana yang diperuntukkan untuk bantuan banjir di Kelantan.

Seorang anggota kanan yayasan itu dilihat di ibu pejabat SPRM Selangor, Shah Alam pada 9.30 pagi.

Beliau tiba dengan seorang teman di tingkat 7 pejabat sebelum naik ke atas bagi direkodkan kenyataan, mengelak daripada wakil media yang menunggu di hadapan lif.


Sementara itu, seorang lagi individu yang memegang jawatan tinggi dalam agensi berkenaan, tiba beberapa minit sebelum itu menuju terus ke bilik soal siasat.

Kedatangan mereka di pejabat SPRM hari ini seminggu selepas badan anti rasuah merekodkan kenyataan daripada ahli Wanita Umno Kelantan bagi membantu siasatan.

Sumber yang maklum dengan penyiasatan itu berkata, sukar untuk mendapatkan sesi berkenaan kerana kedua-dua tokoh utama itu mempunyai "jadual yang sibuk".

Sesi kali ini dijangka berlangsung sepanjang hari memandangkan penyiasat mempunyai senarai soalan yang panjang untuk ditanyakan kepada mereka.

Pada 7 Oktober, SPRM mengambil keterangan daripada pemimpin Wanita Umno Kelantan yang memegang jawatan tinggi di Yapeim.

Yapeim merupakan sebuah agensi di Jabatan Perdana Menteri dan di bawah bidang kuasa menteri yang menjaga hal ehwal Islam.

Difahamkan siasatan SPRM memberi tumpuan kepada dakwaan penyelewengan dana bernilai jutaan ringgit, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah.

Dilaporkan badan anti rasuah itu juga mungkin menyoal ahli keluarga wanita itu serta lain-lain pegawai kanan Yapeim untuk membantu siasatan.

SPRM juga sedang mengkaji kemungkinan penyalahgunaan kuasa melibatkan dana Yapeim bagi penempatan sementara di negeri yang sama.

Banjir di Kelantan pada Disember tahun lalu adalah yang paling teruk pernah berlaku di Semenanjung, menyebabkan lebih 200,000 orang menjadi mangsa.

Ia menghanyutkan rumah, meninggalkan lapisan lumpur yang tebal dan kerosakan pada landasan kereta api.
-malaysianinsider-

Kisah budak 3 tahun jaga ibunya yang terlatar di hospital jadi perhatian (video)

Kisah budak 3 tahun jaga ibu jadi perhatian
Qianqian menjaga ibunya sendiri termasuk dengan memberi makan dan minum.
HENAN - CHINA. Qianqian, kanak-kanak berusia tiga tahun menjadi perhatian netizen di China selepas dia dilaporkan menjaga sendiri ibunya yang terlatar di hospital akibat kemalangan September lalu.

Ibunya, Wang Huixian patah beberapa tulang akibat kemalangan tersebut tidak mampu bergerak dan hanya terlantar di katil hospital.

Dia yang kematian ibu-bapanya akibat kemalangan dan terputus hubungan dengan bekas suaminya selepas bercerai terpaksa membiarkan anak kecilnya itu menjaganya di hospital.

Malah, wanita itu juga terpaksa menanggung rawatan sendiri kerana pemandu yang melanggarnya melarikan diri.

Dalam rakaman video yang disiarkan oleh Henan TV, Qianqian dilihat menjaga ibunya sendiri dengan memberi makan dan minum, mengelap tubuh serta mencuci najis ibunya seperti orang dewasa.

Kisah pengorbanan anak kecil itu yang menjadi viral di media sosial China sejak Rabu lalu mengundang simpati penduduk setempat untuk menghulurkan bantuan.

Memetik CCTV News, seorang wanita yang melawat kedua beranak ini tidak dapat menahan kesedihan di atas penderitaan yang dialami dan kagum dengan kecekalan yang ditunjukkan kanak-kanak itu.

"Anak saya yang sebaya dengan Qianqian tidak mampu untuk melakukan apa-apa. Lihatlah apa yang dilakukan kanak-kanak ini," katanya.

Sementara itu, menurut Wang, sebanyak 6000 yuan berjaya dikumpulkan hasil derma oleh orang ramai.

"Derma tersebut akan digunakan untuk membuat beberapa pembedahan dan saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas bantuan yang diberikan kepadanya sekeluarga," katanya.

Dalam pada itu, polis tempatan berkata, pihaknya akan sedaya upaya mencari individu yang bertanggungjawab melanggar wanita itu.
-sinarharian-

Pasangan remaja ditangkap berkhalwat dalam keadaan separuh bogel

Jitra: Sepasang remaja yang bermadu asmara tergamam apabila ditangkap berkhalwat dalam keadaan separuh bogel di sebuah motel di Changlun, kelmarin.

Malah, remaja lelaki berusia 19 tahun itu sanggup meminjam kereta bapanya untuk keluar bersama kekasihnya, 19, sebelum menginap di hotel untuk melakukan perbuatan itu.

Bagaimanapun, tindakan mereka itu mengundang padah apabila dicekup sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP) jam 2.50 petang.

Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu Syeikh Radzi Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kegiatan maksiat di motel itu dan bergegas ke lokasi untuk membuat pemeriksaan.

Menurutnya, pasukannya kemudian membuat pemeriksaan di sebuah bilik yang disyaki disewa pasangan terbabit yang masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Perlis.
-hmetro-

Kes Culik Kajang: Pemandu Teksi Dibebaskan


TEKA-TEKI mengenai penglibatan pemandu teksi dalam kes penculikan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di Sungai Chua, Kajang akhirnya terjawab susulan suspek dibebaskan dengan bon polis, hari ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah.

Menurut Mohd Adnan, suspek berusia 40 tahun itu sudah direman selama enam hari dan dibebaskan mengikut Seksyen 49 Kanun Prosedur Jenayah.

“Pemandu teksi terbabit dibebaskan selepas polis berpuas hati dengan keterangan yang diberikan dan tidak mempunyai kaitan dengan suspek dan kejadian culik berkenaan,” katanya.

Sementara itu, tiga lagi suspek termasuk dalang penculikan akan didakwa di Mahkamah Kajang, esok pagi mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.

Pada 9 Oktober lalu, seorang kanak-kanak berbangsa Cina diculik oleh dua lelaki yang pada awalnya berpura-pura bertanyakan arah jalan kepada ibu mangsa ketika mereka sedang dalam perjalanan ke sebuah tadika.

Namun, tidak sampai 24 jam, kanak-kanak itu dibawa pulang dengan selamat ke pangkuan ahli keluarganya oleh seorang pemandu teksi yang dikenali sebagai Nizam kira-kira jam 5.35 petang.

Menurut Nizam, dia terserempak dan menjumpai kanak-kanak tersebut secara kebetulan sedang merayau-rayau di tepi sebatang jalan sambil masih membawa beg sandang kecil yang berwarna hijau. 
-hmetro-

Sultan Johor miliki trak termahal di dunia

trak Mack
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencapai impiannya memiliki trak 'Mack' termahal di dunia, pada majlis penyerahan yang diadakan di King George Square di pusat perniagaan Brisbane hari ini.
MELBOURNE - AUSTRALIA. Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencapai impiannya memiliki trak 'Mack' termahal di dunia, pada majlis penyerahan yang diadakan di King George Square di pusat perniagaan Brisbane hari ini.

Trak mewah yang mengambil masa setahun untuk disiapkan di ibu pejabat pengeluar Wacol, di barat daya Brisbane.
Menurut laporan ABC News, trak itu memiliki beberapa keistimewaan termasuk enam kamera litar tertutup, dua set televisyen berskrin rata, ruang dapur, barbeku, katil kelamin dan kerusi bersulamkan 72,000 jahitan benang emas.

Ia juga mempunyai perhiasan hud harimau bersadur emas.

"Ini impian beta," titah baginda mengenai trak mewah itu.
Harga trak itu dirahsiakan, tetapi harganya kini dipercayai lebih mahal berbanding sebelum ini yang bernilai A$481,000 kerana ditempah khas.

Baginda gembira dengan hasil akhir trak itu.

"Beta sentiasa menghargai kemahiran kejuruteraan Australia dan mengumpul beberapa kereta Holden sejak beberapa tahun lepas.

"Beta tidak sabar untuk mempamerkan hasil buatan ini kepada rakyat Johor sebaik sahaja trak mewah ini dibawa masuk," titah baginda.

Sultan juga menitahkan trak mewah itu menunda bot berkuasa tinggi baginda ke seluruh negeri dengan lokasi pertama pemanduan pada acara larian amal hujung bulan ini. 
-Bernama-

Kali ini betul-betul mati (Gambar)

Mumbai: Seorang lelaki yang menggemparkan kakitangan hospital apabila tiba-tiba bangun semula beberapa minit sebelum bedah siasat terhadapnya dimulakan, akhirnya meninggal dunia lewat kelmarin.

Lelaki gelandangan dikenali sebagai Prakash itu diisytiharkan mati Ahad lalu oleh doktor di hospital di Mumbai selepas polis menemuinya dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah depoh bas.

Beberapa minit sebelum bedah siasat dimulakan, kakitangan hospital terkejut selepas lelaki itu tiba-tiba mula bernafas lalu terus dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Polis dan doktor saling menyalahkan sesama mereka kerana kesilapan mendiagnos kematiannya, namun semalam semua pihak bersetuju lelaki itu benar-benar meninggal dunia.

Timbalan Ketua Polis Mumbai Ashok Dudhe berkata: “Ya, dia sudah mati.”

Seorang doktor kanan di Hospital Umum Lokmanya Tilak yang enggan dinamakan berkata, sebab kematian hanya diketahui selepas bedah siasat dilakukan. - AFP
-hmetro-

Pakatan Harapan: PKR terus tagih simpati Pas

Faiz Zainudin
azmin,pas,dap,amanahPETALING JAYA: PKR terus menagih simpati Pas untuk menyertai Pakatan Harapan walaupun parti Islam itu bertegas tidak akan menjalinkan kerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) di bawah satu gabungan.
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu masih belum menerima sebarang keputusan rasmi daripada Pas berhubung penolakan tersebut.

“Kita belum dimaklumkan secara rasmi (Pas tidak akan menyertai Pakatan Harapan), setakat ini perbincangan (dengan Pas) masih berjalan seperti biasa.

“Kita sentiasa bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan semua parti politik (pembangkang) dan individu yang berpegang kepada prinsip untuk membawa perubahan,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat PKR pada Khamis.

Terdahulu, Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas serik dengan permainan politik DAP dan menegaskan tidak akan menyertai Pakatan Harapan walaupun PKR masih mengharapkan parti itu akan menyertai pakatan pembangkang berkenaan.

Katanya,Pas tiada masa untuk melayan kerenah bekas rakan komponennya dalam Pakatan Rakyat, DAP yang kerap menjadikan Pas sasaran serangan.
-fmt-

Selagi belum ajal: Bayi sembuh selepas kepala hampir putus akibat kemalangan

Bayi sembuh selepas kepala hampir putus
Bayi sembuh selepas kepala hampir putus Jackson Taylor ketika sedang dirawat di hospital.
BRISBANE - AUSTRALIA. Seorang bayi beransur sembuh selepas doktor menyambungkan kepalanya hampir putus akibat sebuah kemalangan baru-baru ini.

Laporan Inquisitr menyebut leher dan saraf Jackson Taylor, 16 bulan terputus (internal decapitation) dan kepalanya cuma bersambung melalui kulit.

Doktor kemudian menyambungkan leher Taylor dan memasang 'halo' di kepala bayi malang tersebut supaya saraf dan tisunya dapat sembuh.

Pembedahan tersebut digelar 'pembedahan ajaib' oleh pengamal perubatan di serata dunia.

Dr. Geoff Askin yang melakukan pembedahan tersebut menggunakan wayar dan sebahagian tulang rusuk Taylor untuk memperbaiki leher bayi tersebut.

Askin juga memberitahu, kecederaan Taylor adalah kecederaan paling teruk beliau pernah saksikan.

"Jumlah kanak-kanak yang mampu selamat dari kecederaan tersebut adalah sangat sedikit," kata Askin.

Katanya, walaupun mangsa kecederaan sebegitu berjaya dirawat, mangsa mungkin tidak akan berjaya bergerak atau bernafas.

Walau bagaimanapun, Taylor dikatakan bernasib baik kerana saraf penting di bahagiannya terputus dalam keadaan yang mampu dibaiki.

Keadaan Taylor yang masih bayi juga membantu penyembuhan kerana kanak-kanak mempunyai sistem penyembuhan yang lebih tinggi berbanding mereka yang lebih berumur.
-sinarharian-

Berjaya Jejaki Telefon Bimbit Hilang Dengan Aplikasi Pengesanan

PETALING JAYA: Selepas tertinggal telefon bimbitnya secara tidak sengaja di dalam sebuah troli membeli-belah, Sivagurunathan Chinniah menghubungi telefon bimbitnya itu beberapa kali tetapi tidak berjawab.

"Saya kemudiannya menyedari bahawa sesiapa sahaja yang mengambil telefon bimbit itu tiada niat untuk mengembalikannya," kata anak jati Perak itu.

Sivagurunathan kini menetap di Iowa, Amerika Syarikat bersama dengan isteri dan dua anaknya.

Beliau melakukan beberapa carian di Internet mengenai cara untuk mengesan telefon bimbit Samsung Galaxy Light Android miliknya itu.

"Pada mulanya, saya mengesan telefon bimbit saya menggunakan Android Device Manager,” kata Sivagurunathan, 53, yang kehilangan telefon bimbitnya pada 4 Oktober lalu.

Namun, ia hanya menunjukkan anggaran lokasi telefon bimbit itu berada.

Oleh itu, Sivagurunathan yang mempunyai Ijazah dalam jurusan Matematik dan Sains Komputer dari Universiti Sains Malaysia dan Universiti Malaya, memasang perisian yang dipanggil AndroidLost.

"Ia begitu mudah. Dan terdapat banyak cara anda boleh jejaki telefon bimbit anda," katanya yang juga Naib Presiden Pembangunan Aplikasi, Newcom Technologies Inc.

Dengan perisian tersebut, Sivagurunathan dapat mendengar dan melihat individu yang mengambil telefon bimbitnya.

Dalam tempoh 12 jam aplikasi itu dipasang, beliau berjaya mengesan telefon bimbitnya di sebuah rumah di Ottumwa, kira-kira 160km dari tempat tinggalnya.

"Saya berjaya mengawal telefon bimbit itu menggunakan Internet dan boleh mengambil gambar sekeliling," katanya.

Sivagurunathan berkata beliau juga dapat merekodkan bunyi di dalam rumah tersebut selain memprogramkan pop-up palsu yang akan mengambil gambar individu yang memiliki telefon bimbit itu.

"Malangnya gambar tersebut tidak begitu jelas," kata Sivagurunathan.

Dua pegawai polis dihantar ke lokasi dan sebaik sahaja mereka tiba, Sivagurunathan memasang penggera di dalam telefon bimbitnya, membolehkan pegawai polis mengesan rumah tersebut.
-mstar-

Isu video lucah tiga orang pelakun: "Saya Pun Nak Tengok Video Lucah Tu" - Idris Khan


PETALING JAYA: Pelakon baharu Idris Khan menganggap kontroversi video lucah yang mengaitkan namanya bersama dua pelakon lain tidak membantutkan langkahnya untuk terus berada dalam dunia lakonan tanah air.

Idris atau nama sebenarnya Idris Khan Abdul Ghaffar, 27, berkata, dia tidak mahu cepat melatah dan menyifatkan isu tersebut dugaan sebagai pelakon yang baharu enam bulan dalam industri.

"Cerita tentang video lucah itu merepek dan kalau ia benar wujud saya pun nak tengok kesahihannya sebagai bukti.

"Setakat ini, ia hanya fitnah sahaja dan orang yang kenal saya termasuk keluarga dan rakan-rakan terdekat tahu saya seorang yang bagaimana," ujarnya kepada mStar Online.
Idris bersama Atikah dan Ammar berlakon bersama dalam drama Puteri Gunung Ledang.

Idris diminta mengulas laporan akhbar minggu lalu yang mengaitkan namanya bersama dua pelakon iaitu Atikah Suhaime dan Ammar Alfian melakukan hubungan terlarang.

Dalam pada itu, Idris berkata, sejak dihimpit kontroversi itu minggu lalu, ibu dan rakan-rakan terdekatnya banyak memberi nasihat supaya terus bersabar.

Katanya, setakat ini kontroversi berkenaan tidak menjejaskan tawaran lakonan yang diterima di stesen-stesen televisyen.

"Kalau saya melatah dan marah dengan orang yang buat cerita pun tiada guna juga, biar orang nak cakap apa. Ibu saya juga ada bertanya hal ini dan menasihatkan saya agar tidak mudah melatah jika ia tidak benar.

"Saya bersyukur kerana kontroversi ini tidak pun menjejaskan tawaran-tawaran drama saya terima di beberapa stesen televisyen," ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang kontroversi menolak tawaran program televisyen RTM baru-baru ini, Idris menjelaskan ia mempunyai sebab tertentu.
Katanya, penolakan tersebut bukan kerana bagi menjayakan program di stesen televisyen yang lain.

"Program RTM itu sebenarnya saya sudah terima, namun saya tarik diri selepas mereka mahu saya menyanyikan lagu daripada penyanyi Black.

"Saya tidak tahu menyanyi dan kalau saya terima tentu akan dikeji oleh penonton kerana suara saya tidak sedap untuk menyanyi. Berkenaan program stesen televisyen TV3, saya bersetuju untuk mengikuti program mereka tiada kena mengena dengan isu penolakkan program RTM itu," ujarnya.

Tambah Idris, dia tidak pernah memilih mana-mana stesen televisyen yang mahu memanggilnya untuk sesebuah program yang bersesuaian dengannya.

Dalam perkembangan lain, drama bersiri lakonannya berjudul Uda dan Dara sedang ditayangkan di Astro Ria setiap Rabu, pukul 9.10 malam, bermula 12 Oktober lalu.
-mstar-

Kisah sebenar tragedi kehilangan murid Orang Asli SK Pos Tohoi

Murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi melarikan diri dari asrama pada 23 Ogos kerana takut dihukum guru selepas mandi di sungai tanpa kebenaran. – Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Oktober, 2015.
Murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi melarikan diri dari asrama pada 23 Ogos kerana takut dihukum guru selepas mandi di sungai tanpa kebenaran.

Polis Kelantan hari ini memberi penjelasan mengenai kejadian sebenar berhubung kehilangan 7 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang melarikan diri dari asrama pada 23 Ogos lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata rentetan kejadian itu bermula pada 22 Ogos apabila sekumpulan 25 murid sekolah itu keluar mandi ke sungai berdekatan pada 1 petang dan pengawal sekolah kemudiannya memaklumkan perkara berkenaan kepada seorang warden.

Warden itu kemudiannya memanggil 3 daripada 25 murid terbabit dan memaklumkan akan mengenakan hukuman ke atas mereka pada keesokan harinya.

"Kira-kira 9 malam, 23 daripada 25 murid berkenaan berbincang dan merancang untuk melarikan diri ke kampung mereka iaitu Kampung Penad dan Kampung Gawin pada keesokan pagi," katanya

Mengulas lanjut, Mazlan berkata pada 7 hingga 9 pagi, 23 Ogos pula warden membuat pemeriksaan dan mendapati 23 murid asrama melarikan diri dan warden bersama Pembantu Pengurusan Asrama, pengawal keselamatan dan 2 penduduk kampung mencari murid berkenaan.

"Mereka kemudiannya bertemu dengan 16 murid ini di satu lokasi pada 6 petang dan memujuk mereka untuk pulang ke asrama, bagaimanapun 7 belum ditemui sebelum pihak sekolah yang dibantu penduduk kampung melakukan gerakan awal mencari mereka pada 9 malam hingga pukul 12.30 pagi keesokannya (24 Ogos),” katanya.

Beliau berkata rancangan murid berkenaan melarikan diri dari asrama sekolah tersebut diketahui hasil temu bual yang dijalankan ke atas 16 murid yang kembali ke asrama selepas dipujuk guru mereka.

Katanya, pada 24 Ogos, pihak sekolah dan penduduk kampung meneruskan usaha pencarian bermula 8 pagi hingga 3 petang dalam lingkungan 1 kilometer (KM) dari kawasan sekolah serta berjumpa dengan ibu bapa murid berkenaan di Kampung Penad dan Kampung Gawin.

"Namun, selepas gagal menemui ketujuh-tujuh murid berkenaan di kampung masing-masing, pihak sekolah kemudiannya membuat laporan polis pada 2.25 pagi pada 25 Ogos sebelum Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menghantar 5 anggotanya ke Pos Tohoi pada 9.30 pagi untuk menjalankan operasi pencarian di kawasan berdekatan," katanya.

Katanya, bermula pada 25 Ogos, operasi mencari dan menyelamat (SAR) 7murid berkenaan digerakkan, sekali gus menolak dakwaan di laman sosial yang mendakwa pasukan SAR hanya melaksanakan operasi berkenaan pada 27 Ogos.

"Pihak sekolah juga lambat membuat laporan polis kerana pernah ada kejadian murid bertindak melarikan diri dari asrama, namun ditemui ketika mencari murid berkenaan di rumah mereka," katanya.

Mazlan berkata lebih 350 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan dan awam terlibat dalam operasi berkenaan sehinggalah pasukan SAR menemui mayat pertama pada 7 Oktober lepas.

Miksudiar Alui, 11, dan Norieen Yaakob, 10, ditemui selamat oleh pasukan SAR pada Jumaat lepas.

Mereka adalah antara 7 murid SK Tohoi di Gua Musang yang dilapor melarikan diri dari asrama sekolah pada 23 Ogos lepas kerana takut dikenakan tindakan oleh guru kerana mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran.

Dua lagi murid, Sasa Sobrie, 8, dan Ika Ayel, 9, disahkan meninggal dunia manakala dua rangka turut ditemui tetapi masih belum dikenal pasti. Tiga lagi murid dalam insiden itu adalah Linda Rosli, 8, Haikal Yaakob, 8, dan Juvina David, 7.
-malaysianinsider-

Langgar suami enggan bermalam

Chukai: Akibat enggan melayani kehendak isteri, seorang lelaki terlantar di hospital lebih sebulan akibat patah bahu kiri, paha kanan dan kecederaan pada tempurung lutut digilis tayar kereta dipandu wanita terbabit dalam kejadian di Pantai Telok Mok Nik di sini.

Menurut sumber kejadian berlaku Ogos lalu ketika suami berusia 34 tahun dari Negeri Sembilan ke pantai berkenaan untuk bertemu isteri yang menunggunya di pantai itu pada jam 10 malam.

Menurut sumber, ketika berada di dalam kereta, wanita terbabit berusia 26 tahun dari Dungun meminta suaminya mencari penginapan di sekitar bandar ini untuk bermalam.

Bagaimanapun, alasan lelaki terbabit mengatakan dia sibuk selain menunggu rakan untuk pulang ke Seremban menimbulkan rasa tidak puas hati wanita terbabit sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka.

Katanya, selepas bertengkar, lelaki terbabit keluar dari kereta dan menuju ke kenderaannya sementara wanita terbabit beredar dari kawasan berkenaan.
-hmetro-

Saifuddin dedah punca dia keluar Umno

Bekas timbalan menteri Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan kegagalan Umno menangani isu berhubung syarikat bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang derma RM2.6 bilion sebagai punca beliau meninggalkan parti tersebut.

Bercakap kepada media selepas penyertaannya secara rasmi ke dalam PKR hari ini, Saifuddin berkata beliau kecewa dengan beberapa keputusan Umno berhubung2 isu tersebut menyebabkan beliau tekad keluar daripada parti utama kaum Melayu itu.

"Cara Umno tangani isu 1MDB dan RM2.6 bilion menyebabkan saya terdetik keluar Umno," katanya di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya hari ini.

Dua isu tersebut mencetuskan polemik dalam Umno, bahkan 2 pemimpin tertinggi parti itu, Tan Sri Muhyddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal juga tersingkir daripada Kabinet kerana kritikan mereka membabitkan 1MDB.

Saifuddin sebelum ini juga menerima surat tunjuk sebab hanya kerana menghadiri program pembangkang Pakatan Harapan.

Beliau menyifatkan penyertaannya bersama PKR sebagai satu keputusan besar dan menjelaskan Umno kini sudah tidak serasi dengan landasan perjuangannya.

"Malangnya, sejak saya menyertai Umno, tidak ada satu perbincangan yang komprehensif dan mendalam. Oleh itu, saya rasa tidak serasi lagi dalam Umno dan Barisan Nasional," katanya.

Menjelaskan pilihannya untuk bersama PKR, Saifuddin berkata bentuk parti berbilang kaum dan agama yang menyebabkan beliau tertarik dengan parti yang diasaskan selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999 itu.

"Terdapat banyak parti berbilang kaum dan agama dalam negara, tapi hati saya terpaut dengan PKR," katanya.

Spekulasi tersebut terjawab selepas Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail secara rasmi mengumumkan penyertaan Saifuddin ke dalam parti mereka ketika berada di mahkamah di Kuala Lumpur terdahulu hari ini.

Ketika berada dalam kerajaan, Saifuddin yang pernah memegang jawatan timbalan menteri pengajian tinggi itu begitu lantang mengkritik permasalahan pendidikan dalam soal Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971, selain membuka ruang kebebasan, terutama kepada mahasiswa.

Beliau pernah menjadi ahli Majlis Tertinggi Umno dan merupakan timbalan ketua Umno bahagian Temerloh sejak 2009.

Beliau juga pernah menjadi ahli Parlimen Temerloh selepas menang pada pilihan raya umum ke-12 sebelum tewas kepada Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan pada PRU 2013.
-malaysianinsider-

Husam beri amaran Kelantan tidak tebang hutan menjelang musim banjir

Datuk Husam Musa hari ini memberi amaran kepada kerajaan negeri Kelantan supaya tidak meneruskan rancangannya membenarkan sebuah syarikat perladangan membersihkan 4,500 hektar hutan simpan menjelang musim hujan yang dijangka tiba akhir tahun ini.

Bekas naib presiden PAS itu berkata, kegiatan itu yang dijalankan secara besar-besaran menjadi penyumbang kepada banjir yang berlaku semasa musim hujan yang sangat lebat di Kelantan pada Disember tahun lepas, sehingga 200,000 orang terpaksa dipindahkan susulan banjir paling buruk melanda negeri itu.

"Saya pernah menegur kerajaan negeri Kelantan mengenai isu ini beberapa kali. Baik secara dalaman mahu pun terbuka," kata ahli Dewan Undang Negeri (Adun) Salor itu dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, beliau ada menulis surat kepada kerajaan negeri Kelantan pada 3 Oktober membangkitkan mengenai penebangan hutan secara besar-besaran tersebut.

Husam berkata, suratnya itu tidak mendapat sebarang respons, maka beliau membuat keputusan menyalurkan isu itu kepada media hari ini.

Beliau berkata, rancangan terkini pihak berkenaan ialah untuk meluluskan kawasan hutan tebang habis dijalankan sebuah syarikat perladangan.

"Syarikat ini dimilik individu yang selalu mendapat kelulusan seperti ini, sudah berkali-kali.

"Kelulusan seluas 4,500 hektar ini menambahkan lagi jumlah keluasan hutan simpan kekal yang akan dibersihkan buat selama-lamanya, bersama semua flora dan faunanya," katanya.

Beliau merayu kepada kerajaan negeri untuk menghentikan kelulusan tersebut pada masa hadapan.

"Fikirkan tugas dan amanah di bahu anda sebagai khalifah di bumi yang wajib menjaga semua makhluk termasuk haiwan di hutan, kelangsungan khazanah bumi untuk generasi akan datang, keadilan dalam pengagihan kekayaan," katanya sambil menggariskan beberapa kesan lain akibat kegiatan tebang habis hutan secara besar-besaran.

Selain daripada kesan ekologi penebangan seperti itu, kelulusan tersebut juga dakwanya diberi secara rundingan terus dan bukan tender terbuka.

"Ia merugikan hasil negeri, menguntungkan segelintir kroni dan memungkinkan amalan rasuah berlaku dalam pelbagai cara," katanya.

Sebaliknya, katanya, tanah itu sewajarnya diagihkan untuk dimiliki oleh lebih ramai rakyat Kelantan dengan pelbagai skim komersial dan bukan komersial secara terhad dan seimbang sekiranya perlu.

Tahun lalu, Kelantan mengalami banjir yang amat dahsyat, dengan banyak pihak menyalahkan kegiatan penebangan hutan secara terbuka dan besar-besaran di negeri itu sebagai antara puncanya.
-malaysianinsider-

Ditetak selepas menegur lelaki mabuk (video)


FMT Reporters
mabuk-tetak
PETALING JAYA: Seorang lelaki mengalami kecederaan selepas menegur sekumpulan lelaki yang sedang mabuk.

Kejadian dikatakan berlaku di di sebuah flat kos murah di Kepong, Kuala Lumpur.

Detik-detik mangsa ditetak berjaya dirakam oleh seorang saksi dan kemudian dikongsi di Facebook.

“Geng mabuk kena tegur, org yg tegur kena tetak. Intan Baiduri, Kepong,” tulis Memerang Desa.

Bagaimanapun berdasarkan maklumat yang dikongsi di Facebook Friends of PDRM, ia tidak memberi penjelasan lanjut mengenai keadaan mangsa.

Sah Saifuddin Abdullah keluar Umno, sertai PKR

PETALING JAYA: Datuk Saifuddin Abdullah hari ini disahkan meninggalkan Umno dan menyertai PKR.

Perkara tersebut diumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Menurut Wan Azizah, penyertaan Saifuddin akan mengukuhkan lagi rumpun parti tersebut, selain menguatkan perjuangan rakyat di negara ini.

"Krisis politik dan kegawatan ekonomi yang melanda negara hari ini mendorong rakyat dan pemimpin berfikir betapa perlunya mengambil langkah berani dan membuat anjakan dalam pendirian untuk menyertai gerakan yang menerajui perubahan.

"Kecelaruan kepimpinan telah menyebabkan ramai pemimpin Umno dan parti komponen BN hilang kepercayaan kepada kepimpinan kerajaan," katanya ketika sidang media berlangsung pada hari ini.

Saifuddin sebelum ini menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno. Beliau juga merupakan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Menurut Wan Azizah lagi, kehadiran Saifuddin akan memberi kelebihan kepada parti kerana beliau mempunyai jaringan yang kuat dengan NGO.

"Kami berasa gembira mengalukan penyertaan Saifuddin ke dalam keluarga besar kami. Penyertaan beliau sudah tentu akan memperkukuhkan usaha kami untuk menggembleng perpaduan dan kekuatan rakyat demi perubahan dan pembaharuan.

"Saya juga yakin beliau akan dapat memainkan peranan strategik dalam Pakatan Harapan untuk memastikan gabungan baharu ini menumpukan kepada gagasan idea baharu untuk ditawarkan kepada rakyat," katanya lagi.

-sinarharian-

Apa kesudahan pendedahan ini?

Akmal Nasir
Datuk Seri Zakaria Jaffar membuat mendedahkan bahawa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melibatkan “orang paling berkuasa” di Malaysia.Pendedahan oleh bekas timbalan pesuruhjaya SPRM itu mengesahkan beberapa perkara mustahak.
Perkara pertama adalah mengenai gangguan terhadap SPRM. Siasatan ke atas tujuh orang pegawai dan arahan ke atas pegawai SPRM untuk bertukar ke Jabatan Perdana Menteri dalam beberapa bulan yang lepas berkemungkinan ada kaitannya dengan ‘orang paling berkuasa’.

Kedua, walaupun menghadapi pelbagai tekanan dan cabaran, SPRM masih lagi sedang menjalankan siasatan dan ini akan terus menjadi duri dalam daging kepada “orang paling berkuasa” tersebut.

Ketiga, pegawai yang tahu selok-belok atau terlibat membantu siasatan ini hanya mampu bersuara setelah mereka dipindahkan atau bersara.

Ini menunjukkan bahawa tekanan oleh “orang paling berkuasa” begitu hebat dan pegawai ini hanya tampil setelah mereka tidak lagi berkhidmat.

Kesimpulannya, jika trend atau perkembangan ini berterusan, memang jelas akhirnya hasil siasatan SPRM akan sia-sia belaka kerana sebarang tindakan terhadap “orang paling berkuasa” tidak akan berlaku selagi beliau berkuasa.

Adakah benar pegawai SPRM perlu suntikan semangat pahlawan?

Jika Bank Negara Malaysia boleh dedahkan hasil siasatan mereka dan menunjukkan pelanggaran undang-undang pemindahan wang oleh 1MDB, maka sudah pasti SPRM juga mampu dedahkan hasil siasatan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Kita perlu tahu tahu identiti dan kesalahan undang-undang oleh “orang paling berkuasa”.

AKMAL NASIR pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW).