"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Mahathir semakin berjaya 'menjinakkan' PKR?

Lokman Ramlee

Nampaknya, peringatan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pimpinan parti itu berhati-hati menjalin kerjasama dengan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah ibarat 'mencurah air di daun keladi'.

Malah ada segelintir pimpinan parti itu yang begitu 'selesa dan semakin komited' dengan Mahathir menyusun strategi termasuk menubuhkan sebuah lagi parti pembangkang baru.

Tidak kira sama ada idea Mahathir itu mendapat sambutan oleh parti-parti pembangkang atau tidak, dan sama ada ia akan mengukuhkan pembangkang atau sebaliknya, mereka terus kelihatan 'jinak' dengan bekas diktator itu.

Begitu yakin mereka dengan kebolehan dan kepintaran Mahathir berpolitik sehingga mereka tidak pernah 'ponteng' majlis anjuran penyokong-penyokong Mahathir dan juga sidang media yang diadakan oleh veteran politik itu.

Meskipun presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta anaknya, Nurul Izzah 'memboikot' politik Mahathir, naib-naib presiden PKR seperti Tian Chua dan Shamsul Iskandar Akin, dilihat teruja dengan agenda Mahathir.

Selain Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yang menawarkan platform politik bagi Mahathir menggerakkan kempen Deklarasi Rakyatnya di kawasan parlimen beliau, kumpulan ini juga terus menyokong Mahathir secara terbuka.

Pengamat politik maklum bahawa Azmin terpaksa membatalkan majlis khas untuk Mahathir kerana ditegur oleh Azizah. Namun masih ada pemimpin PKR yang dengan segala senang hati mengundang Mahathir berucap di kubu mereka.

Pada Sabtu ini (23 Julai) Mahathir dijadual berucap di majlis ceramah politik di kawasan parlimen Bukit Katil, kubu kuat PKR atas undangan wakil rakyatnya, Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Akin.

Bagi menggalakkan rakyat hadir di majlis yang akan menghidangkan 'menu politik' Mahathir itu, pemimpin-pemimpin berkenaan cuba memaparkan perjuangan terkini Mahathir itu sebagai satu agenda 'suci'.

Mereka menebarkan kempen betapa apa yang sedang digerakkan oleh Mahathir itu ialah untuk 'menyelamatkan Malaysia' daripada kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang didakwa bobrok.

Mahathir dianggap seperti 'Abu Sufian'

Bagaimanapun tidak semua pemimpin PKR yang selesa dengan perkembangan ini. Badrulhisham Shahrin atau Cik Gu Bard (yang digantung keahliannya oleh PKR) adalah antara mereka yang mengkritik ketumpulan kesetiaan pemimpin PKR ini.

“Gerakan besar rakyat ini harus hadir dengan suara padu semua dari akar umbi. Ia seharusnya dielakkan dikumpulkan sekumpulan elit manusia dalam dewan berhawa dingin membuat keputusan dan rakyat hanya dipergunakan namanya sahaja.

“Jika ini berlaku maka ia hanya mengulangi kegagalan deklarasi rakyat yang kononya gah tetapi akhirnya kerana tidak bersifat akar umbi, disergah dengan pembongkaran pemalsuan akuan sokongan terus mereka buat buat lupa cadangan berarak ke Istana bagi mempersembahkan 1 juta (tandatangan) sokongan rakyat bagi membolehkan Agong memecat Perdana Menteri akhirnya semua sia –sia," kata Cikgu Bard.

Namun mereka yang disifatkan oleh Cikgu Bard 'sudah termakan dedak' Mahathir terus berkempen membesarkan imej politik Mahathir.

Hujah mereka ialah, Mahathir kini mencapai status Abu Sufian yang memimpin orang kafir Quraisy Makkah dalam zaman Nabi Muhammad s.a.w. semasa berlaku peristiwa penaklukan Makkah.

Mereka menyebut sirah bahawa apabila angkatan Islam menakluki Makkah, Rasulullah s.a.w. mententeramkan penduduk Makkah dengan jaminan bahawa sesiapa yang hendak selamat, eloklah mereka berlindung di rumah Abu Sufian.

Peranan dan kepimpinan Abu Sufian ketika itu dikatakan penting untuk mengelakkan pertumpahan darah dan menjadikan peristiwa fathul Makkah sebagai suatu kemenangan yang dicapai secara aman.

Bagi pimpinan PKR yang pro-Mahathir mereka menafsirkan episod politik penting yang membabitkan Abu Sufian ini sama dengan senario politik yang cuba digerakkan Mahathir sekarang ini.

Meskipun Mahathir pernah bersikap gampang dan menekan mereka pada zaman awal reformasi kerana membela Anwar Ibrahim yang dipenjarakan oleh Mahathir, bagi mereka itu adalah kisah lampau.

Mereka tidak kekok untuk merumuskan bahawa Mahathir kini amat konsisten sikapnya untuk 'menyelamatkan Malaysia' daripada kelemahan dan pelbagai kecurangan pemerintahan yang didakwa dilakukan oleh Najib.

Lantas mereka tidak segan silu menyatakan sokongan terhadap Mahathir meskipun mereka akur dan insaf bahawa tindakan mereka itu mengguris hati presiden mereka yang juga isteri Anwar serta keluarganya.

Menurut sejarah, Abu Sufian kemudian memeluk Islam dan menjadi unsur perpaduan di kalangan penduduk Makkah dan berjasa memimpin tentera Islam untuk melebarkan pengaruhnya di serata jaziratul Arab.

Persoalannya sejak bila Mahathir berhijrah daripada seorang yang jahil sentimen kebebasan rakyat sehingga menganiayai bekas Timbalan Perdana menterinya, Anwar Ibrahim, dan menjadi pejuang yang prihatin akan keperluan rakyat?

Apakah gula-gula politik yang digunakan oleh Mahathir sehingga pemimpin-pemimpin PKR dan PAS seperti Mahfuz Omar boleh menjadi penyokong tegarnya lantas memecahkan amalan demokrasi demi menjatuhkan Najib?

Atau, adakah seperti beberapa pemimpin pembangkang dalam DAP dan Amanah, mereka melihat bahawa kehadiran Mahathir dalam gelanggang politik pembangkang akan membantu menambah sokongan untuk pembangkang?

PH manfaat kehadiran Mahathir

Umum akur bahawa Mahathir bersuara lantang dan pedas dalam politik Malaysia. Lantas golongan ini kelihatan ghairah dengan kehadiran Mahathir untuk menggoncang keyakinan rakyat terhadap Umno-BN pimpinan Najib.

Bagi DAP, Mahathir adalah pemimpin yang boleh membuka pintu sokongan pengundi Melayu untuk parti itu setelah PAS meninggalkan Pakatan Rakyat.

Sebelum ini Mahathir memang pernah dianggap oleh DAP sebagai seorang Melayu 'ultra'.Justeru jika Melayu ultra ini kini menyerang Umno maka ia akan memberi pulangan politik yang besar bagi parti dominisi Cina itu.

Sementara segolongan pemimpin Amanah dan PKR pula menganggap kehadiran Mahathir dalam lingkungan mereka boleh membantu melonjakkan kedudukan politik dalam parti masing-masing.

Pemimpin pro-Mahathir dalam PKR mungkin mencongak dengan bantuan Mahathir mereka boleh memintas pengaruh Kak Wan dalam PKR. Sekaligus ini akan membuktikan bahawa peranan Anwar dalam parti itu sudah mulai gerhana.

Dalam pada itu, Amanah yang masih mencari tapak dalam jiwa politik Melayu percaya hubungan baik dengan bekas perdana menteri selama 22 tahun itu boleh membantu mereka untuk mengganti Umno dalam benak politik Melayu.

Yang menarik diperhatikan, apakah yang akan dilakukan oleh pimpinan PKR yang masih pro-Kak Wan dan Anwar untuk mendedahkan sisi kejam Mahathir terhadap bukan sahaja Anwar tetapi rakyat Malaysia umumnya?

Cikgu Bard berpesan: "Sama seperti hadir ke deklarasi rakyat tandatangan dan nyatakan sokongan parti tanpa kelulusan parti dan sekali lagi pemimpin kem Azmin lakukan bila hadir ke sidang media dan mesyuarat bincang tubuh pakatan pembangkang baru.

"Ini kesalahan disiplin serius, namun adakah PKR mampu bertindak dengan Azmin dan kemnya yang jelas tidak ada disiplin organisasi? Mereka sedang mengkianati Anwar dan gerakan reformasi yang diasaskan dengan deklarasi Permatang Pauh."

Tiada ulasan: