"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Sekarang Rahsia Telah Terbongkar - Mahathir

Tun Mahathir
1. Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat telah mengambil tindakan untuk merampas aset individu-individu yang dinamakan yang disyaki mencuri wang hak milik 1MDB dan Kerajaan Malaysia.

2. Secara keseluruhannya 17 aset telah disenaraikan. Ini termasuk harta, pelaburan, pesawat udara, kapal layar, syarikat-syarikat, lukisan dan filem-filem. Jumlahnya bernilai USD1 bilion. Dokumen sepanjang 136 halaman itu menunjukkan secara terperinci cara wang itu disalurkan melalui pelaburan penipuan dalam syarikat-syarikat palsu, melalui pelbagai bank dan individu-individu serta berakhir dalam akaun MALAYSIAN OFFICIAL 1.

3. Siapakah Malaysian Official 1 yang disebut 36 kali dalam laporan ini. Beliau digambarkan sebagai “seorang pegawai berpangkat tinggi dalam Kerajaan Malaysia yang juga memegang kedudukan yang berkuasa dengan 1MDB. Sepanjang keseluruhan masa berkaitan dengan aduan itu, Malaysian Official 1 adalah “pegawai awam” sebagai istilah yang digunakan dalam 18 USC – 1956 (c) (7) (B) (iv) dan “penjawat awam” sebagai istilah yang digunakan dalam Seksyen 21 Kanun Keseksaan Malaysia.”

4. Dalam para 39 laporan tersebut “Malaysian Official 1 memegang jawatan yang berkuasa dengan 1MDB. Malaysian Official 1 mempunyai kuasa untuk meluluskan semua pelantikan kepada, dan penarikan balik daripada, Lembaga Pengarah 1MDB dan Kumpulan Pengurusan Kanan 1MDB. Di samping itu, sebarang komitmen kewangan 1MDB, termasuk pelaburan yang mungkin memberi kesan kepada jaminan yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia untuk manfaat 1MDB atau mana-mana dasar kerajaan Malaysia, memerlukan kelulusan Malaysian Official 1. ”

Para 102 laporan menyatakan bahawa Malaysian Official 1 adalah benefisiari muktamad AmPrivate Banking – Akaun MR adalah akaun sama yang kemudiannya menerima bayaran tertentu berjumlah kira-kira USD681 juta pada Mac 2013. Seperti yang dinyatakan dalam Perenggan 263 di bawah, Peguam Negara Malaysia telah secara terbuka menyatakan bahawa akaun yang menerima bayaran $681 milion itu dipunyai oleh Dato Sri Najib, Perdana Menteri Malaysia. Tidak mungkin akaun dan jumlah USD681 juta dimiliki oleh dua orang yang berbeza.

Para 28 menyatakan “Malaysian Official 1″ adalah seorang pegawai berpangkat tinggi dalam Kerajaan Malaysia yang juga memegang kedudukan yang berkuasa dengan 1MDB.”

Para 29 “Riza Shahriz bin Abdul Aziz (“Aziz”), seorang warganegara Malaysia, adalah saudara kepada Malaysian Official 1 dan seorang kawan LOW. Beliau adalah pengasas bersama Red Granite Pictures, iaitu studio pengeluaran dan pengedaran filem Hollywood, pada tahun 2010.”

Dalam Para 39 Malaysian Official 1 mengambil alih kedudukan berkuasa dengan 1MDB dan lain-lain.

5. Saya tidak tahu mengapa pegawai-pegawai Amerika yang menulis laporan segan memberi nama sebenar Malaysian Official 1 pada hal dengan rela hati menyebut nama-nama pesalah lain, iaitu Riza Aziz, Jho Low dan Khadim Abdullah. Jika ini adalah kerana bukan peringkatnya untuk membuat tuduhan jenayah, maka mana-mana nama pun tidak patut disebut.

6. Sekarang Najib dan penyokong-penyokong bodoh beliau mengatakan bahawa Najib tidak terlibat oleh sebab namanya tidak disebut. Najib sendiri berkata, “Biarkan proses undang-undang berjalan bagi mereka yang nama mereka disebut oleh US DOJ.” Jelas sekali bahawa beliau menganggap proses undang-undang itu tidak mengandungi siasatan berhubung peranannya sendiri di dalam mencuri wang milik 1MDB.

7. Namun rujukan kepada Malaysian Official 1 bertepatan dengan apa yang diketahui dan yang diakui oleh Najib sebagai mempunyai kaitan dengan beliau. Ini termasuk rujukan kepada USD681 juta dalam akaun Malaysian Official 1, rujukan kepada kuasa Malaysian Official 1 atas Kerajaan dan 1MDB yang bertepatan dengan kedudukan Najib sebagai Menteri Kewangan dan Penasihat kepada Lembaga Pengarah 1MDB. Dan begitulah seterusnya dengan 30 penerangan lain mengenai hal kuasa dan peranan Malaysian Official 1 serentak dengan peranan Najib sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan Malaysia dan Penasihat kepada Lembaga Pengarah 1MDB.

8. Walaupun terdapat penerangan terperinci dalam laporan DOJ bagaimana wang 1MDB telah dipindahkan melalui pelbagai syarikat, termasuk Good Star, sebuah syarikat yang dimiliki oleh Jho Low dan bank-bank di beberapa negara dan akhirnya menjelma dalam akaun Malaysian Official 1 di Ambank, Peguam Negara menegaskan bahawa tidak ada bukti bahawa wang daripada 1MDB telah disalah gunakan.

9. Di bawah 11 pada Para 14 laporan DOJ “Fasa The Good Star: Lebih daripada $1 bilion disalah gunakan daripada 1MDB.”

10. Para 40, cara bagaimana $1 bilion wang 1MDB telah dilaburkan dalam Petro Saudi diperincikan.

11. Para 41 menjelaskan bahawa Jho Low dan rakan-rakannya menyebabkan $700 juta daripada $1 bilion bertujuan untuk dilaburkan dalam Petro Saudi, dihantar ke satu akaun di RBS Coutts Bank di Zurich yang dipegang atas nama Good Star Ltd, sebuah syarikat yang dimiliki oleh Jho Low.

12. Para 42 menyatakan bahawa “di antara bulan Mei dan Oktober 2011”, kira-kira $330 juta dana tambahan telah dihantar atas arahan pegawai 1MDB ke akaun Good Star yang kononnya mempunyai kaitan dengan suatu perjanjian pembiayaan antara 1MDB dan 1MDB-Petro Saudi JV.

13. Mungkin Peguam Negara Malaysia dapat menjelaskan mengapa pelaburan 1MDB sebanyak $1 bilion harus pergi ke dalam akaun Good Star dalam RBS Coutts Bank di Zurich. Atau adakah beliau akan menafikan bahawa ini berlaku? Dalam kes ini beliau patut menunjukkan bukti bahawa ianya tidak berlaku. Semata-mata dengan berkata ianya tidak benar tidak mencukupi. Kata-kata Peguam Negara tidak mempunyai sebarang kredibiliti sama sekali. Dakwaan bahawa tidak ada bukti salah laku Najib dalam semua laporan-laporan yang dikemukakan kepadanya adalah seandai mempercayai air mata tangisan buaya. Dakwaan Peguam Negara bahawa Najib telah mengembalikan RM2.3 bilion daripada RM2.6 bilion yang diberikan oleh seorang Raja Arab Saudi yang telah meninggal dunia mempunyai kredibiliti yang sama. Tiada dokumen pemindahan dan tiada resit telah dipamerkan.

14. Mencuri wang adalah satu jenayah. Semata-mata merampas wang yang dicuri tidak membatalkan jenayah itu. Satu-satunya urutan logik untuk menyita wang yang dicuri adalah membuat pertuduhan jenayah terhadap pencuri. Bagaimanakah DOJ dari Amerika Syarikat akan mengenakan tuduhan terhadap Malaysia Official 1 tanpa menyebut namanya?

15. Rakyat Malaysia mahu menebus semula nama baik mereka. Mereka tidak mahu dipimpin oleh seorang pemimpin yang disyaki kleptokrasi mencuri berbilion-bilion wang Kerajaan. Mereka sendiri tidak boleh berbuat apa-apa kerana Malaysian Official 1 mengawal Peguam Negara dan polis – agensi-agensi penguatkuasaan. Mereka tidak boleh menyingkirkannya melalui undi tidak percaya kerana beliau mengawal majoriti Ahli-ahli Parlimen melalui langkah-langkah yang haram.

16. Suka atau tidak, mereka terpaksa bergantung kepada tindakan oleh negara-negara asing. Jika Amerika Syarikat benar-benar percaya dengan membasmi rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan negara mereka, mereka sepatutnya tidak segan untuk menyebut nama dan membiarkan proses undang- undang berlaku.

17. Apabila pencuri adalah pengawas polis dan agensi pendakwa, hanya campur tangan asing sahaja yang boleh membawa keadilan.

18. Tangislah negara ku yang tersayang .

http://chedet.cc/?p=2197

Tiada ulasan: