"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


IKLAN TEKS

IKLAN TEKS Cuma RM10 Sahaja Hubungi: gigitankerengga@gmail.com

Video&Ulasan:Wacana istilah kafir harbi: Antara fakta, isi yang baik dan persepsi



AMER HUDHAIFAH BIN HAMZAH
Seminggu telah berlalu, polemik yang berlaku pasca wacana yang dianjurkan oleh Biro Penyelidikan IKRAM pada 16 Julai yang lalu dilihat semakin reda.

Begitu juga tuduhan berat dan melulu Ustaz Zamihan al-Ghari terhadap beberapa penal yang lain yang disiarkan di portal peribadi beliau sehari selepas wacana tersebut diadakan juga hampir dilupakan pembaca.

Sehubungan itu, wajarlah video wacana “Istilah Kafir Harbi” dilihat kembali agar fakta dan isi-isi yang baik dapat dipelajari di samping persepsi negatif dan tuduhan buruk boleh kita hindari.

Pada peringkat permulaan wacana, Dr Maszlee Malik yang dijemput di atas tiket ahli akademik telah diberi peluang untuk menghuraikan maksud istilah Kafir Harbi, makna Kewarganegaraan dan pandangan ulama berkait kedua-dua isu tersebut.

Maka, 10 minit yang diberikan oleh moderator telah digunakan sebaiknya dengan menyebut pandangan-pandangan ulama terutamanya ulama kontemporari seperti Ibn Bayyah, Muhammad Abu Zuhrah, Wahbah al-Zuhaili dan al-Qardawi.

Dari nama-nama tersebut, dapat dipelajari bahawa epistemologi ulama silam sering kali dipengaruhi konteks dan politik semasa.

Termasuk hal ini adalah penggunaan terminologi Kafir Harbi yang akhir-akhir ini mula mendapat tempat di dada-dada akhbar.

Menurut Dr Maszlee yang menghuraikan pandangan-pandangan ulama tersebut, terminologi itu kini tidak lagi valid untuk digunakan kerana geopolitik dunia hari ini tidak lagi bergantung kepada perperangan, malah telah digantikan dengan konsep yang baharu iaitu konsep al-Muwatanah (kewarganegaraan).

Ini bermaksud, pembahagian masyarakat dunia tidak lagi wajar berdasarkan agama anutan mereka, bahkan berdasarkan kewarganegaraan yang dimiliki.

Apabila mikrofon berpindah ke tangan Ustaz Engku Ahmad Fadzil, rentak “merdu” wacana ilmiah berubah wajah apabila beliau mula mempersoalkan gaya berfikir Dr Maszlee sebagai ahli IKRAM yang dikaitkan dengan liberalism.

Seolah-oleh beliau terlupa Dr Maszlee menghuraikan isu dengan merujuk kepada ulama-ulama yang telah dinyatakan, Ustaz Engku mula dilihat menyerang peribadi Dr Maszlee dan pertubuhan IKRAM berdasarkan pandangan-pandangan yang “dipinjam” tersebut.

Tidak banyak yang dikongsikan oleh Ustaz Engku selain beberapa potong ayat al-Quran dan sepotong hadis baginda s.a.w.

Ironinya, tafsiran beliau terhadap teks-teks agama yang menerangkan hubungan muslim-kafir tersebut kelihatan begitu literal dengan mengenepikan kontekstualnya.

Tafsiran ini menyebabkan beliau cenderung mengeneralisasikan semua orang bukan Islam sebagai “Harbi” yang bermaksud wajar diperangi.

Apa yang membezakan tafsiran beliau dengan tafsiran pengganas dunia hari ini (ISIS), hanyalah beliau tidak menghalalkan darah dan harta mereka, iaitu dengan memperkenalkan makna baharu bagi terminologi Kafir Harbi secara majazi (kiasan).

Gaya ilmiah wacana ini seterusnya kembali apabila Dr Fathul Bari menyatakan bahawa, untuk tujuan memahami makna “Kafir Harbi” yang dimaksudkan oleh mufti Pahang, beliau secara peribadi telah menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan.

Akhirnya interpretasi mufti Pahang bagi makna “Kafir Harbi” yang menyerupai interpretasi Ustaz Engku Ahmad Fadzil telah dikritik dengan mengatakan mufti tersalah langkah apabila mengungkapkan kata-kata yang tersasar maknanya, sehingga boleh membawa kepada implikasi besar terhadap keselamatan negara.

Mungkin kerana isu ini tidak menyentuh secara terus parti kerajaan (UMNO) yang diwakilinya, maka Dr Fathul Bari dilihat begitu gemilang mempersembahkan gaya dan langkah profesional dalam mengendali ahli penal dan isu.

Beliau menolak tafsiran Ustaz Engku dengan mengatakan dengan tegas bahawa orang kafir di zaman Rasulullah s.a.w bukan semuanya diperangi, mereka malah terbahagi kepada dua golongan iaitu:

a) Mereka yang layak diperangi seperti Ka’b ibn al-Ashraf dan Ibn Abi al-Huqayq yang dihukum bunuh oleh Rasulullah s.a.w kerana pelanggaran perjanjian.

b) Mereka yang tidak layak dibunuh walaupun baginda mengetahui permusuhan mereka terhadap Islam seperti Abdullah ibn Salul dan Dhu al-Khuwaysirah kerana tiada jenayah yang dilakukan mereka secara terang-terangan.

Beliau juga menegaskan bahawa hak menentukan seseorang individu atau sesuatu organisasi itu Kafir Harbi bukan terletak pada tangan individu atau kumpulan, tetapi ia merupakan hak eksklusif pemerintah yang adil.

Apabila tiba giliran Ustaz Zamihan al-Ghari berucap, suasana harmoni antara panelis mula tercemar apabila beliau mula bercakap secara meninggi diri.

Dengan mimik muka bengis, gaya bahasa mengejek, sarkastik dan kerap keluar tajuk, membangkitkan isu-isu yang telah lalu yang masih dipendam, secara melulu menunding jari kepada ahli penal dan hadirin, 10 minit yang diperuntukan kepada beliau dirasakan sangat panjang.

Hampir tiada sedikitpun manfaat yang bisa diambil. Pendirian Ustaz Zamihan dalam ucapan tersebut zahirnya dilihat menyebelahi Ustaz Engku dengan mendakwa perkataan Kafir Harbi disebut sebanyak 132 kali dalam al-Quran.

Malang sekali apabila dakwaan tersebut dilihat tersasar kerana yang dimaksudkan sebagai ayat Kafir Harbi adalah ayat-ayat yang mengandungi perkataan yang berasal dari kata dasar كَفَرَ, bukan keseluruhannya memperihalkan berkenaan Kafir Harbi.

Malah salah satu dari 6 ayat yang dinyatakan mengandungi perkataan Harbi telah disangkal oleh Dr Maszlee dengan mengatakan bahawa “arahan perang” padanya bukan hanya untuk orang kafir, bahkan orang Islam yang merompak dan menakut-nakutkan orang lain.

Di akhir pusingan pertama, mikrofon diberikan kepada Ustaz Hasanuddin Yunus selaku wakil Parti Amanah Negara (AMANAH) bagi menerangkan bahawa makna sesuatu istilah itu berkembang berdasarkan kesesuaian zaman.

Menurut beliau, perkembangan yang berlaku akan menyebabkan ia mudah disalah tafsir sehingga kata-kata orang yang berautoriti seperti seorang mufti boleh disalah gunakan.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar para agamawan dan pemimpin umat Islam agar tidak hanya menggunakan al-Kitab (mewakili teks agama) yang dikurniakan Allah s.a.w, bahkan turut menggunakan al-Hikmah (kebijaksanaan memahami teks).

فَقَدْ آتَيْنَا آلَ إِبْرَاهِيمَ الكِتَابَ وَالحِكْمَةَ

“Maka kami telah berikan kepada keluarga Ibrahim itu al-Kitab dan (yakni bersama-samanya) al-Hikmah.”

Oleh itu, kerana kebijaksanaan inilah, Rasulullah s.a.w berjaya “menyusun” dan membina negara Islam Madinah untuk didiami bersama kaum Yahudi yang terkenal dengan permusuhan terhadap agama Islam.

Secara keseluruhannya, walaupun terdapat unsur-unsur provokasi terhadap sebilangan ahli penal yang melazimi akhlak berdialog dan berbincang, namun majlis wacana tersebut ditutup dengan penuh harmoni dan takzim dengan mengharapkan agar para hadirin dan yang mengikutinya melalui media sosial boleh terus membaca, mengkaji dan mengambil manfaat dan ibrah yang baik.
-malaysiadateline-

Tiada ulasan: