Mat Sabu yakin boleh tawan Kelantan, menangi Putrajaya walaupun 3 penjuru

KUALA TERENGGANU: Presiden AMANAH, Mohamad Sabu yakin walaupun terpaksa bertembung tiga penjuru dalam PRU14 nanti, Pakatan Harapan dan sekutunya Parti Pribumi Bersatu Malausia (PPBM) akan berjaya mengambil alih Putrajaya.

Bahkan, beliau yakin AMANAH dan rakan-rakannya juga akan berjaya mengambil alih Kelantan daripada Pas, lapor Malaysia Dateline semalam.

“Kalau 26 tahun lalu Pas berusaha menumbangkan Mat Yaakob (Tan Sri Mohamad Yaakub), kini Mat Yaakob (Datuk Ahmad Yakub) juga bakal ditumbangkan di Kelantan oleh Pakatan Harapan dan Bersatu (PPBM),” katanya dalam Dialog Terbuka Isu-isu Semasa di sebuah hotel dekat Kuala Terengganu hari ini.

Mohamad Sabu yang menjadi tetamu khas dialog anjuran AMANAH dan Pakatan Harapan Terengganu itu yakin, kajian yang dibuat oleh Invoke menjadi penanda aras yang hampir tepat dengan senario politik negara dan Mohamad yakin usaha Invoke akan membantu Pakatan Harapan pada PRU14.

Dalam ucapannya, Mohamad menjelaskan, China kini menjadi pesaing utama kepada Amerika Syarikat dalam menguasai ekonomi baharu dunia.

Orang Islam pula, katanya kini berada pada tahap paling bawah dalam urus tadbir negara.

Beliau memberikan contoh bagaimana Taliban di Afghanistan gagal apabila mendapat kuasa dan saling berbunuhan sesama sendiri kerana tidak berjaya menjadi kerajaan yang baik.

“Kita lihat Somalia lebih 30 tahun berbalah sesama sendiri sampai menghalalkan darah orang Islam. Ini semua kerana pemikiran takfiri yang amat merbahaya,” katanya.

Bagi beliau, Umno dan Pas kini benar-benar duduk sekapal.

“Mereka dah berganding bahu bersama-sama ke Myanmar dalam satu kapal,” katanya.

Beliau juga mengimbau kenyataan Almarhum Presiden Pas, Datuk Fadzil Mohd Nor yang mengatakan, adalah khurafat meletakkan hanya Umno sahaja yang boleh memerintah.

“Kini khurafat itu kembali bila pemimpin Pas meletakkan harapan pada Umno masih bagus memerintah Malaysia,” katanya.

Remaja 14 Tahun Mengaku Lakukan Hubungan Seks Dengan Ramai Lelaki

MELAKA: Seorang remaja perempuan di sini mengaku telah melakukan hubungan seks dengan ramai lelaki di sekolah, rumah dan beberapa lokasi lain tahun lalu.

Kegiatan tidak bermoral pelajar Tingkatan Dua itu terbongkar apabila salah seorang rakan sekelasnya mendedahkan perkara itu kepada guru kaunseling.

Pada Rabu, guru berkenaan bertindak menyoal pelajar berusia 14 tahun itu.

Hasilnya, pelajar itu mengaku telah melakukan hubungan seks sejak Tingkatan Satu dengan beberapa lelaki di pelbagai lokasi termasuk di kelas, bawah tangga, bilik solat, rumah terbiar dan juga kediamannya.

Pelajar perempuan itu juga mengaku ia berlaku atas kerelaan dan persetujuan kedua pihak, malahan dia tidak pernah meminta wang selepas melakukan hubungan seks itu.

Selain rakan lelaki sekolah sama, pelajar itu mengakui pernah tidur dengan beberapa pelajar lelaki dari dua sekolah menengah dan lelaki lain.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, pelajar berkenaan telah dipindahkan ke sekolah di Ayer Keroh pada Jun 2016 kerana masalah disiplin.

"Sebaik mendapat maklumat terperinci mengenai kegiatan seksual pelajar itu, guru berkenaan telah membawa pelajar itu untuk membuat laporan polis," katanya.

Pada Jumaat, polis telah menahan 11 pelajar sekolah berusia antara 13 dan 16 tahun dari tiga sekolah menengah dan dua lagi suspek berusia 21 tahun.

Semua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 376 (1) dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana merogol dan melakukan persetubuhan di luar aturan tabii.

"Pelajar perempuan itu telah dihantar ke Hospital Melaka untuk menjalani ujian kesihatan dan seterusnya disarankan supaya melalui penilaian psikiatrik.

"Kami akan melengkapkan siasatan sebelum menyerahkannya kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya.
-mstar

Apa peranan anak presiden Pas dalam misi ke Myanmar?

BORHAN AHMAD
Khalil dan Rosfazilah yang bertugas sebagai tukang masak dalam kapal 'Food flotilla for Myanmar'.
Khalil dan Rosfazilah yang bertugas sebagai tukang masak dalam kapal 'Food flotilla for Myanmar'.
Apakah peranan anak kepada presiden Pas yang juga timbalan ketua Pemuda Pas, Mohd Khalil Abdul Hadi dalam kapal 'Food Flotilla for Myanmar' sekarang kini menjadi tanda tanya.

Ini kerana, secara terbukanya, Khalil hanyalah bertugas sebagai tukang masak di atas kapal yang turut disertai ramai pemimpin Umno itu.

Antara pemimpin Umno di atas kapal itu adalah Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, timbalan menteri luar serta Datuk Seri Abdul Azeez Rahim, pengerusi Tabung Haji yang juga Ketua Misi itu.

Seorang petugas sukarela di atas kapal itu, Rosfazilah Mohd Noor memperkenalkan Khalil dalam facebooknya. Menurut Rosfazilah, suami beliau, seorang pemimpin Yayasan Amal, Jamuliddin Elias yang turut menyertai misi itu memperkenalkan Khalil kepadanya.

"Ummi...mai sat..ni la ..Ustaz Khalil...anak Ustaz Hadi"...haha...aku termanggu...," tulis Rosfazilah dalam facebook sambil menyiarkan gambar beliau dengan Khalil.

Misi yang membawa 2,300 tan makanan, keperluan perubatan, keperluan harian, pakaian dan selimut, dijangka belayar selama 18 hari melalui Laut Andaman untuk sampai ke Yangon dan kem pelarian di Bangladesh.

'Food Flotilla for Myanmar' yang dianjurkan oleh Kelab Putra 1Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia itu disertai 195 sukarelawan dari 12 negara melibatkan pasukan perubatan, tenaga pengajar, pengamal media tempatan dan antarabangsa serta wakil badan bukan kerajaan tempatan dan luar negara.

Yayasan Amal milik Pas antara yang menyertai misi ini selepas ia dilepaskan dengan rasminya oleh Datuk Seri Najib Razak bersama timbalan presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Semalam, sebanyak 500 tan bekalan makanan dan keperluan bernilai RM5 juta diserahkan kepada kerajaan Myanmar untuk diagih kepada etnik Rohingya di Rakhine.

Yang dipertikaikan adalah kenapa ia diserahkan kepada kerajaan Myanmar yang dipersalahkan dalam kes kezaliman ke atas pelarian Rohingya.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam satu ceramahnya berkata, "kini Pas benar-benar sekapal dengan Umno" apabila merujuk kepada misi ini.

Bantuan melalui Myanmar si pembunuh Rohingya?

HAKIM MOHD NOR
Hakim Mohd Nor kapal Nautical Aliya yang membawa sukarelawan dan barangan bantuan untuk masyarakat Islam Rohingya
Hakim Mohd Nor kapal Nautical Aliya yang membawa sukarelawan dan barangan bantuan untuk masyarakat Islam Rohingya

ULASAN Petang tadi, 10 Februari 2017, hari kelapan misi ini, tepat jam 446 waktu Malaysia ataupun 316 waktu tempatan, kapal Nautical Aliya berlepas meninggalkan Pelabuhan Yangoon. Di sebalik kegembiraan kami akan bertemu dengan hampir 100,000 orang pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh - Myanmar lagi tiga hari, ada sesuatu yang memerlukan perhatian kami.

Kecoh di media sosial mempertikaikan misi Food Flotilla For Myanmar (FFFM) ini apabila dilihat memberikan bantuan ini melalui kerajaan Myanmar. Ramai berkata, mana mungkin bantuan akan sampai apabila melalui si pembunuh Myanmar?

Namun, itu apa yang orang lihat dan tahu melalui media sosial semata-mata. Tetapi apa yang ramai tidak tahu ialah, kita sudah terima surat jaminan daripada kerajaan Myanmar boleh ada wakil Malaysia sekurang kurangnya tiga orang yang akan ikut trak bantuan dari Pelabuhan Yangoon ke Sittwee, Rakhine (Arakan), tempat konflik berlaku. Ini penting untuk kami saksikan sendiri bantuan itu sampai dan tiada ketirisan berlaku.

Dari awal lagi, komiti FFFM mengumumkan bahawa kita akan pastikan sendiri semua bantuan sampai. Soal mereka patuh kepada janji atau tidak adalah diluar dari kemampuan kita semua. Pelbagai plan back up kami lakukan untuk pastikan bahawa benar benar bantuan ini sampai ke tangan Rohingya.
Menjawab persoalan bahawa flotilla ini mempunyai misi politik dan pelbagai misi sampingan, kalau boleh ingin saya kongsikan sejarah awal bagaimana flotilla ini terbentuk. Saya sendiri ada di dalam meeting pertama saat idea FFFM ini timbul.

Waktu itu, MAPIM panggil banyak NGO bermesyuarat di Selangor. Saya, Nazri dan Abu hadir wakili SERANTAU MUSLIM. Dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ustaz Tirmizi, Naib Presiden MAPIM itu, Serantau Muslim cadangkan untuk diwujudkan flotilla ini seumpama Woman Boat To Gaza. Hujah kami, bila Flotilla ini tidak dibenarkan masuk atau ada halangan, maka misi akan berjaya kerana seluruh dunia akan fokuskan pandangan kepada Rohingya.

Hujah kami diterima. SERANTAU MUSLIM kemudiannya mencadangkan nama Food Flotilla For Rohingya kerana mahu tarik simpati dan perhatian orang ramai dengan elemen makanan di hadapan nama misi ini. Namun setelah dibahaskan panjang, semua yang hadir sepakat pilih nama Food Flotilla For Myanmar kerana tidak mahu misi terganggu dari awal dan tidak dapat akses ke Sittwe hanya kerana ada nama Rohingya di nama misi.

Waktu itu kami berhujah walaupun tulis Myanmar, tapi memang niatnya adalah untuk Rohingya. Sebab itu masa mula-mula ada tertulis nama kecil, Rakhine State dalam logo FFFM. Rakhine State adalah nama lain bagi Arakan, negeri asal Rohingya.

Namun bila tiba saat perlaksanaan, ia tidak semudah yang disangka. Proses mencari kapal yang sesuai cukup sukar. Ke Thailand, Indonesia, Bangladesh dan seluruh Malaysia kita mencari kapal yang sesuai. Memang tiada. Ramai tak setuju beri kebenaran guna kapal mereka kerana misi ini dianggap misi yang berbahaya. Insurans tak cover kata mereka.

Kalau ada pun kapal yang sesuai. Harganya sangat mahal dan kami para NGO Islam ini tidak mampu untuk menanggung kosnya. Pada waktu itu, datang tawaran dari KP1M yang ada wakil dalam kerajaan Malaysia untuk bekerjasama.

Terlalu panjang perbahasan sama ada mahu kerjasama dengan pihak kerajaan atau tidak untuk dicoretkan di sini. Cukuplah saya ringkaskan bahawa misi ini hampir terbatal sekiranya tidak mendapat sokongan daripada pihak kerajaan. Dan niat kita ikhlas, Rohingya mesti dibela segera! Sehari misi ini tertangguh, semakin banyak Rohingya yang mati kebuluran.

Apabila pihak kerajaan mula terlibat dalam misi sebesar dan sepenting ini, terdapat banyak perkara melibatkan G2G (Goverment To Government) yang perlu diperhalusi. Ia tidak semudah melaungkan slogan "Jom putuskan hubungan dengan Myanmar". Ada perkara jangka panjang yang melibatkan kepentingan keselamatan, perdagangan, pendidikan, perundangan dan banyak lagi.

Jadinya, misi ini bukan lagi satu misi yang boleh hit and run. Ada cadangan kata," Langgar aje berlabuh di Sittwee, Rakhine, Myanmar. Apa nak jadi pun jadilah. Kalau kena tembak boleh syahid." Sahabat, ia bukan semudah perkiraan itu.

Kita tidak mahu dengan tindakan singkat kita ini menyebabkan kesan buruk yang berpanjangan. Kita tidak mahu masuk ke zaman perang. Ia tidak berbaloi.

Kalau peserta kapal ini mati ditembak oleh Tentera Myanmar, tidakkah nanti ia akan mencetuskan peperangan yang tidak disangka-sangka antara dua buah negara. Ia mungkin akan merebak lebih besar kerana di atas kapal ini ada 13 warganegara. Hanya kerana tindakan singkat kerana terbawa-bawa dengan emosi kita, ia membawa kesan buruk yang berpanjangan.

Sebab itu, kita masih percaya kepada jalan diplomasi. Ironinya, kita mahu khabarkan kepada dunia, Myanmar telah checkmate! Saat mereka terima bantuan, saat itu mereka telah isytihar bahawa betul ada Rohingya yang perlukan bantuan. Mengapa Rohingya perlukan bantuan? Kerana kamu Myanmar , telah berlaku zalim kepada mereka!

Ramai yang berbahas dari sudut , habislah semua bantuan kena "sebat" oleh rejim Myanmar. Namun, tidak nampakkah kalian dari sudut bahawa Myanmar terpaksa tunduk rebah mengaku mereka berlaku zalim. Hinggakan yang terima barang bantuan itu adalah "pak menteri" yang pegang portfolio kebajikan cepat-cepat balik tanpa tunggu majlis tamat kerana tahu sebenarnya dia malu untuk terima bantuan itu.

Sahabat, jalan juang kita panjang. Kita tahu Rohingya telah tertindas sejak sekian lama. Namun janganlah kecam usaha kecil kami ini semata-mata ada perbezaan pandangan. Boleh jadi semasa kami membuat keputusan, itulah keputusan yang terbaik untuk semua.

Saya teringat kisah Khalid Al Walid dicemuh oleh warga Madinah setelah pulang dari perang Yarmouk. Tiga panglima utama Islam syahid dalam perang itu. Khalid yang menggantikan mereka terus buat keputusan balik ke Madinah. Warga madinah cemuh Khalid takut syahid. Namun akhirnya Rasulullah membela tindakan Khalid kerana waktu itu, itulah keputusan yang terbaik yang boleh dilakukannya untuk menyusun semula strategi perang. Ternyata, tidak berapa lama selepas itu, tentera Rom akhirnya berjaya juga ditewaskan oleh tentera Islam berkat kesabaran semua.

Saya bukanlah nak menyamakan misi ini seperti misi perang Yarmouk. Sangat jauh bezanya. Apa yang saya ingin sampaikan ialah ibrahnya. Pengajaran. Ambillah ia sebagai panduan.

Adapun kami di atas kapal ini masih lagi membawa 2300 tan bahan bantuan yang akan disalurkan kepada Rohingya. Tak sampai 10% pun yang diturunkan di Port Yangoon tadi.

Dan sememangnya sejak awal lagi kita telah letakkan awal-awal matlamat kita ialah dua tempat iaitu selain di Yangoon ialah di Teknaf di wilayah Cox Bazar , Bangladesh yang terletak di sempadan Myanmar. Harus diingatkan, antara tujuan kita lancarkan flotilla ini ialah untuk santuni Rohingya yang ditimpa konflik semenjak Oktober 2016 di mana kebanyakan mereka sudah berada di wilayah Cox Bazar, Bangladesh.

Di sempadan Bangladesh-Myanmar yang hanya dipisahkan dengan sebatang sungai Naf, terdapat banyak kem pelarian Rohingya yang terletak di wilayah Cox Bazar. Insya Allah, semua 185 peserta sendiri akan turun bertemu dengan pelarian Rohingya yang ada di Kem Cox Bazar dan Teknaf. Bas dan tempat penginapan kami di sana sudah ditempah.

Kami nekad, segala bantuan nanti, tangan kami inilah yang akan sampaikan untuk mewakili 30 juta rakyat Malaysia dan 13 buah negara peserta. Bahkan, selain saya dan Nazri di atas kapal Flotilla ini, pasukan SERANTAU MUSLIM yang diwakili Dr Raja Iskandar juga telah adakan usaha dengan sertai Team Advance di ground Teknaf, sempadan Bangladesh-Myanmar untuk menyusun kerja diplomatik dengan pihak berkuasa Bangladesh.

Di ground, Team Advance yang disertai Dr Raja, Pengerusi SERANTAU MUSLIM telah lakukan banyak sangat kerja persiapan. Antaranya berurusan dengan kem yang baru sahaja dibuka pada tiga bulan lepas selepas konflik meletus pada Oktober 2016.

Mereka juga telah melawat ke sekolah sekolah pelarian untuk memastikan bahawa bantuan selepas ini dapat diteruskan berdasarkan keperluan mereka. Mereka juga sudah lihat pelabuhan Teknaf dan ternyata tidak sesuai untuk Nautica Aliya untuk berlabuh sehingga terpaksa ditukarkan ke pelabuhan Chittagong.

Pelbagai mesyuarat penting telah dihadiri oleh Team Advance di lapangan untuk memastikan misi ini berjaya antaranya dengan Pengurus Besar Pelabuhan Teknaf, Pegawai Seranta Rohingya, Pesuruhjaya Wilayah (MB), Timbalan Pesuruhjaya Wilayah (TMB), Ahli Parlimen (MP) dan ramai lagi kenamaan. Pokok pentingnya, saya ingin ceritakan bahawa segala sumbangan dan dana dari anda semua dan orang ramai benar benar akan sampai terus kepada Rohingya. Insya Allah.

Justeru, mohon doakan kami. Mohon dengan sangat. Harapan dan doa kalianlah yang menjadi obor semangat kami membelah lautan yang serba seribu kemungkinan ini. Berjauhan dengan keluarga hampir 20 hari. Kos kewangan yang ditanggung sendiri. Dan pelbagai lagi pengorbanan kecil kami ini hanya dapat kami harungi dengan doa dan harapan dari anda semua. Tolonglah kami dengan doa kalian.
Sekarang ini pun ada beberapa berita yang kurang enak dari kerajaan Bangladesh. Saya percaya, dengan berkat doa tidak putus putus dari kalian, akan menyebabkan masalah ini diatasi dengan mudah.

Ada antara kami yang berpuasa setiap hari berhajat agar Allah permudahkan urusan misi ini. Setiap malam, kami semua bangun Qiamulaill dan Solat Tahajud berjemaah. Kami khatam Al Quran beramai ramai. Kami buat solat hajat dan taubat. Sesi tazkirah pada setiap hari tanpa jemu. Kerana kami percaya bahawa, Hanya Allah yang mengizinkan perancangan misi ini berjaya. Begitu juga dengan doa kalian.

Mohon terus doakan yang baik-baik buat kami. Dipermudahkan urusan. Semoga misi ini menjadi pembuka jalan untuk misi misi bantuan seterusnya demi membela Rohingya tercinta.

Ustaz Hakim Mohd Nor ialah Setiausaha SERANTAU MUSLIM dan peserta Food Flotilla For Myanmar (FFFM)

'Husam kuasa 10' kini menjadi realiti, digeruni

BORHAN AHMAD

Pas mengiktiraf "Husam kuasa 10' melalui ceramah meganya yang ditujukan kepada Husam Musa.

Kira-kira lima bulan lalu, Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mengisytiharkan bahawa "Datuk Husam ni, 10 wakil rakyat lain, baru sama dengan dia seorang" dan kini pelbagai pihak mengesahkan perkara itu hatta oleh Pas sendiri.

Perisytiharan yang dibuat oleh Wan Rahim ketika itu dianggap sebagai cuba mencari alasan ekoran kegagalan beliau membuktikan cabarannya bahawa, "jika Husam dipecat dari Pas, 10 wakil rakyat yang lain akan menurut beliau."

Kerana dianggap mencari alasan itu, aktivis Pas mempermainkan Husam dan Wan Rahim dengan memberikan nama "Husam kuasa 10" kepada penasihat Amanah Kelantan itu bagi memperlekehkan beliau.

Namun selepas tidak sampai setengah tahun, Pas sendiri seolah-olah mengakui bahawa kenyataan Wan Rahim itu adalah realiti bukan lagi fantasi atau setakat mencari alasan.

20 Februari ini, Pas melalui Dewan Pemuda Pas Kelantan menganjurkan ceramah mega di perkarangan Stadium Sultan Mohamad ke 1V dan tajuk ceramah mega itu adalah "Husam lari dari debat baiah".

Bagi penulis Mohd Sayuti Omar, dengan memilih Husam sebagai subjek ceramah, tampak sangat kedangkalan otak mereka yang ada dalam Pas Kelantan hari ini.

"Apakah parti berkenaan sudah ketiadaan psikologis atau penggerak perang saraf lagi," tanya beliau.

"Tajuk itu secara tak langsung meletakkan Husam seorang tokoh besar, sama hebat dengan Asri, atau Mat Nasir, atau Tengku Razaleigh, hatta Nik Aziz sendiri yang menjadi fokus lawan-lawan mereka di Kelantan sebelum ini. Husam tentu berterima kasih kerana tema itu memberi publisiti murah kepadanya," tulis Sayuti dalam facebook beliau malam tadi.

Bahkan, Sayuti menulis dengan penuh hinaan apabila berkata, "Maaf hari Jumaat ini, tema ceramah meletakkan Husam sebagai tajuk itu lebih kurang sama sahaja dengan projek menyapu tahi kucing yang dilancar oleh Ketua Muslimat Pas Kelantan."

Seorang pengulas kepada tulisan itu mengimbau kembali apa yang dinyatakan Wan Rahim pada pertengahan September lalu.

"Sah Husam kuasa 10," tulis Mohd Ramizi dengan menyifatkan Pas kini sudah kucar kacir.

"Sebesar-besar parti Pas yang memerintah sebuah negeri kena tumpu segala hulubalang melawan Husam seorang. Inikah politik Islam yang dibawa Pas," kata beliau dalam ulasan itu.

Husam dipecat melalui satu keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Disiplin Pas yang dipengerusikan oleh Dr Sanusi Daeng Mariok dan berbuat kuasa mulai 23 April 2016.

Selepas mengalami tempoh bertenang selama empat bulan, Husam mengisytiharkan penyertaannya ke dalam Amanah pada malam 31 Ogos 2016 iaitu menjelang negara menyambut ulang tahun kemerdekaannya.

Ia dibuat dalam satu majlis di Cyberjaya, bandar kembar kepada pusat pentadbiran negara, Putrajaya.

Dalam majlis itu, Husam memohon kepada Allah dan rakyat Kelantan agar memberikan kebenaran kepada Amanah untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Kelantan dari Pas agar ia tidak jatuh ke tangan Umno.

Dua minggu selepas itulah, dalam satu majlis di Wisma Tok Guru yang menjadi pusat aktiviti Amanah Kelantan dan Husam sendiri, Wan Rahim mengiytiharkan 'Husam kuasa 10' itu.

Sejak itu, Husam memberikan segala tumpuannya untuk mengambil alih Kelantan dari tangan Pas.

Ketika Amanah pusat sedia untuk bekerjasama dengan Pas bagi membolehkan pertandingan dua penjuru antara pembangkang dengan BN berlaku, Husam mahu Amanah Kelantan diberikan kuasa otonomi.

Husam mahu otonomi itu adalah Amanah Kelantan diberikan hak untuk bertanding tiga penjuru melawan Pas dan BN di Kelantan.

Segala persiapan dibuat dan segala jentera digerakkan oleh beliau dan Amanah Kelantan untuk merealisasikan usaha mengambilalih kerajaan negeri Kelantan dari Pas itu.

Kini, Pas sendiri merasakan peritnya dan segala serangan kini ditujukan kepada Husam yang dilebelkan oleh mereka sendiri sebagai berkuasa 10 itu.

Siapa menteri kabinet letak jawatan?

Khairil Ashraf
PETALING JAYA: Tweet ringkas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyebabkan media tercari-cari siapa menteri kabinet yang meletakkan jawatan, bagi menjawab tanda tanya yang ditimbulkan menteri besar Selangor itu.

Azmin di Twitter petang tadi meminta orang ramai supaya mengikuti perkembangan itu.

“Benarkah ada seorang menteri kanan telah meletakkan jawatan? Khabarnya beliau tidak mahu bersubahat dengan 1MDB (1Malaysia Development Berhad),” katanya.

FMT cuba mengesahkan khabar angin itu dengan beberapa pemimpin BN.

“Saya tak tahu. Semua orang hubungi saya tetapi sudah tentu ia bukan saya,” kata Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, menteri pelancongan dan kebudayaan.

“Tolong lah Azmin, bagi tahu kami siapa dia. Jangan buat kami ‘saspen’ (berdebar-debar),” katanya.

Panggilan telefon FMT kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim tidak dijawab, manakala Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed belum menjawab pertanyaan kami.

“Tak ada dengar pun,” kata Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menteri sumber asli dan alam sekitar. “Setahu saya tidak ada.”

Azmin juga membuatkan peguam terkemuka dan bekas pengerusi Bersih 2.0 tertanya-tanya.

Ketika berucap di himpunan sempena tahun kedua pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata beliau tidak dapat mengesahkan khabar angin itu, tetapi ia “memberi harapan kepada kita” dan menggesa anggota kerajaan supaya “membuat pendirian yang betul”.

Peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah pada 27 Jun lalu secara tiba-tiba mencetuskan kontroversi sehingga ada yang mengaitkan tindakannya itu kepada skandal 1MDB.

Ahli Parlimen Tambun itu melepaskan jawatan menteri kewangan II dan kesemua jawatannya dalam Umno.

Husni dilaporkan menafikan peletakan jawatannya mempunyai kaitan dengan 1MDB pada 7 Julai lalu, namun bangkit mempersoalkan beberapa perkara berkaitan syarikat itu pada sidang Dewan Rakyat yang lepas.

Kaedah pelik luruskan rambut (Gambar)


Gaza – Ramadan Odwan menggunakan kaedah pelik untuk meluruskan rambut pelanggannya di kedai gunting rambutnya di sini, iaitu dengan menyembur api.

Odwan bukan tukang gunting pertama menggunakan kaedah itu untuk meluruskan rambut, namun cara ini unik di Semenanjung Gaza.

“Orang ramai di sini sudah fanatik mengenai kaedah ini serta ramai ingin mencubanya pengalaman ini dan mereka tidak takut,” katanya.

Di kedai gunting rambutnya di Rafah, Odwan meletakkan lapisan cecair pelindung di rambut pelanggan sebelum menyembur api ke rambut pelanggannya.

Bagaimanapun, Odwan enggan memberitahu bahan yang digunakan untuk menghasilkan cecair pelindung itu.

“Saya mengawal tempoh api diguna. Saya menyalakannya atau mematikannya dalam tempoh 10 atau 15 saat. Ia sangat selamat dan belum pernah ada kemalangan sejak saya gunakan kaedah ini dua bulan lalu,” katanya.

Odawan mengenakan bayaran AS$5.20 (RM23.08) untuk meluruskan rambut menggunakan kaedah itu dan menggunting rambut.

Bekerja sebagai tukang gunting rambut selama 18 tahun, Odwan berkata, antara sebab menggunakan teknik itu adalah untuk menunjukkan tukang gunting rambut Palestin profesional seperti di negara lain.
-kualalumpurpost

PH dan Bersatu boleh menang Putrajaya walaupun 3 penjuru, kata Mat Sabu

BORHAN AHMAD
Mohamad Sabu (gambar kecil) berucap dalam majlis didalog di Terengganu yakin Pakatan Harapan bersama Bersatu boleh menang Putrajaya dalam PRU 14.
Mohamad Sabu (gambar kecil) berucap dalam majlis didalog di Terengganu yakin Pakatan Harapan bersama Bersatu boleh menang Putrajaya dalam PRU 14.
Presiden Amanah, Haji Mohamas Sabu yakin, walaupun terpaksa bertembung tiga penjuru dalam pilihan raya ke 14 nanti, Pakatan Harapan dan sekutunya Bersatu akan berjaya mengambil alih Putrajaya.

Bahkan, beliau yakin Amanah dan rakan-rakannya juga akan berjaya mengambil alih Kelantan dari Pas.

"Kalau 26 tahun lalu Pas berusaha menumbangkan Mat Yaakob (Tan Sri Mohamad Yaakub), kini Mat Yaakob (Datuk Ahmad Yakub) juga bakal ditumbangkan di Kelantan oleh Pakatan Harapan dan Bersatu," katanya dalam Dialog Terbuka Isu-isu Semasa di sebuah hotel dekat Kuala Terengganu hari ini.

Penanda Aras

Beliau yang menjadi tetamu khas dialog anjuran Amanah dan Pakatan Harapan Terengganu itu yakin, kajian yang dibuat oleh Invoke menjadi penanda aras yang hampir tepat dengan senario politik negara dan dia yakin usaha invoke akan membantu Pakatan Harapan pada PRU 14.

Dalam ucapannya, Mohamad menjelaskan, China kini menjadi pesaing utama kepada Aerika dalam menguasai ekonomi baru dunia.

Orang Islam pula, katanya, kini berada tahap paling bawah dalam urus tadbir negara.

Beliau memberikan contoh bagaimana Taliban di Afghanistan gagal apabila mendapat kuasa dan saling berbunuh sesama sendiri kerana gagal menjadi kerajaan yang baik.

"Kita lihat Somalia lebih 30 tahun berbalah sesama sendiri sampai menghalalkan darah orang Islam. Ini semua kerana pemikiran takfiri yang amat merbahaya," katanya.

Umno dan Pas kini sekapal

Bagi beliau, Umno dan Pas kini benar-benar duduk sekapal.

"Mereka dah berganding bahu bersama-sama ke Myanmar dalam satu kapal," katanya.

Beliau juga mengimbau kenyataan almarhum Presiden Pas, Datuk Fadzil Nor yang berkata adalah khurafat meletakan hanya Umno sehaja yang boleh memerintah.

"Kini khurafat itu kembali bila pemimpin Pas meletakkan harapan pada Umno masih bagus memerintah Malaysia," katanya.

AMANAH Kelantan sah letak calon di 6 kerusi parlimen dan tidak lebih 30 Dun


KOTA BHARU: AMANAH Kelantan mengesahkan pihaknya akan bertanding di dua kerusi Parlimen iaitu Kota Bharu dan Kubang Kerian dalam PRU14 tidak lama lagi.


Naib Pengerusi AMANAH Kelantan, Ustaz Che Ibrahim Mohamad berkata, pihaknya juga akan bertanding tidak lebih dari 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan memberi tumpuan ke atas kawasan Pas.

“Kita bercadang bertanding di peringkat Dun tidak lebih dari 30 kerusi dan di peringkat Parlimen tidak lebih dari enam kerusi antaranya Kota Bharu dan Kubang Kerian, itu kita sahkan lah,” katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, maksimum kerusi Parlimen yang akan ditandinginya adalah enam daripada 14 kerusi di Kelantan.

Bagaimanapun, katanya, AMANAH akan berbincang dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terlebih dahulu berkaitan aspek pembahagian kerusi itu.

Manakala kerusi yang ditandingi oleh PKR di Parlimen dan Dun dalam PRU13 ketika era Pakatan Rakyat akan terus dikekalkan.

“Selebihnya, kita akan bincang dengan PPBM dan PKR kita kekalkan status-quo.

“Jadi kerusi PKR tiga Parlimen dan lima Dun itu yang dia pernah bertanding ketika Pakatan Rakyat kita tidak usik,” katanya seperti dilapor Malaysiakini semalam.

Sebelum ini, PKR bertanding di tiga kerusi Parlimen iaitu Parlimen Ketereh, Machang dan Tanah Merah manakala di kawasan Dun pula ialah Pengkalan Kubor, Guchil, Nenggiri, Paloh dan Kuala Balah.

Jelasnya, AMANAH akan memfokuskan di kawasan yang dimenangi Pas manakala PPBM pula akan bertanding di kawasan yang dimenangi Umno.

“AMANAH akan fokus pada kawasan yang dimenangi Pas dan PPBM fokus pada kawasan Umno menang,” katanya.

Ustaz Che Ibrahim berkata, pihaknya kini sudah mencapai 60 peratus persediaan dari segi calon yang akan bertanding.

Ini punca utama kenapa Hindraf tak suka Zakir Naik

Wanita peluk Islam di ceramah Dr Zakir di Perlis

Penjelasan terperinci mengenai agama Islam oleh pendakwah terkenal Dr Zakir Naik pada ceramah di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Arau hari ini telah membuka hati seorang pelajar warga India untuk memeluk agama Islam.

Pelajar peringkat doktor falsafah (PhD) di sebuah universiti awam di negara ini, melafazkan dua kalimah syahadah dibimbing Dr Zakir dengan bersaksikan kira-kira 1,000 hadirin.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, R.A. Shivaleela, 40, berkata sebelum ini beliau membaca dan mencari ilmu tentang Islam melalu buku dan video di YouTube.

"Tapi kini saya amat tertarik dan berpuas hati dengan penjelasan Dr Zakir tentang kewujudan Allah," katanya sambil menyatakan tindakan memeluk Islam adalah atas kerelaannya sendiri.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut hadir di ceramah itu.

Hadir sama Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohamad Nazim Mohamad Nor dan Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal.

Terdahulu, dalam ceramahnya bertajuk "Quran and Modern Science: Conflict or Conciliation" yang berlangsung di Dewan Kecemerlangan UniMAP, Dr Zakir berkata umat Islam perlu menghindari perbalahan sesama sendiri kerana ia hanya akan merugikan masyarakat Islam.

"Saya ingin menegaskan bahawa saya hadir bukan untuk menimbulkan fitnah atau menghina mana-mana agama, namun untuk mencari persamaan dan penyatuan," katanya yang pertama kali berkunjung ke Perlis.
-Bernama

Dedak RM 90 juta: Husam Musa tak berganjak walaupun diancam

Diancam saman dan digambarkan berdepan dengan nasib sepertiSarawak Report, hari ini bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa tampil memberi penegasan.

Kata ADUN Salor itu, beliau akan mempertahankan apa yang diucapkannya semasa berceramah di Selising, Pasir Puteh pada 6 Februari lalu.

"Tindakan mahkamah mungkin satu cara untuk membuktikan kebenaran isu berbangkit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, peguam parti itu sedang meneliti kenyataan dibuat Husam mengengai isu dana RM90 juta yang dikaitkan dengan parti berkenaan.

Kata Tuan Ibrahim, kenyataan Husam itu adalah "tuduhan jahat"dan "fitnah.

Saman ke atas Husam itu, katanya, akan dikemukakan dalam masa terdekat.

Husam dalam ceramahnya di pentas Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa, beliau mempunyai butiran berkaitan dana RM90 juta yang didakwa ada kaitan dengan PAS.

Kata Husam, dana berkenaan disalurkan ke akaun di Affin Bank.

Beliau yang dipecat daripada PAS pada Mei tahun lalu atas dakwaan melanggar disiplin membayangkan butiran mengenai dana itu akan muncul menjelang pilihan raya umum akan datang.

Semalam Tuan Ibrahim berkata PAS menganggap kenyataan Husam mengenai dana itu adalah rantaian daripada fitnah dibuatSarawak Report sebelum ini.

Mungkin tanpa penelitian

Katanya, PAS menafikan sekeras-kerasnya "tuduhan jahat Datuk Husam Musa" bahawa PAS menerima dana RM90 juta daripada Umno melalui akaun Affin Bank.

"PAS akan mengambil tindakan undang-undang ke atas beliau (Husam) sebagaimana kita ambil tindakan kepada Sarawak Report," katanya.

Husam berkata beliau menganggap kenyataan Tuan Ibrahim semalam dibuat tanpa penelitian.

"Kemungkinan beliau tidak tahu hujung pangkal isu berbangkit," katanya.

Husam juga berkata, beliau tidak pasti sama ada kenyataan Tuan Ibrahim mengenai tindakan mahkamah ke atasnya itu adalah bersifat peribadi atau pendirian rasmi PAS.

Isu dana RM90 juta itu mula ditimbulkan oleh laman sesawangSarawak Report yang sebelum ini giat membuat laporan mengenai salah laku yang dikaitkannya dengan kerajaan.

Ia disiarkan pada Ogos 2016.

Ekoran laporan itu PAS menyatakan mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap laman web berkenaan.

Kata Tuan Ibrahim ketika itu, PAS menganggap laporan Sarawak Report itu sebagai palsu dan berniat jahat, selain menjadi agenda untuk terus mengaitkan parti berkenaan dengan Umno.

Pada 13 Ogos 2016 Malaysiakinimelaporkan, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu akan memfailkan saman terhadap Sarawak Report dalam masa sebulan.

Menurut Abdul Hadi, PAS akan memfailkan saman itu di England kerana difahamkan media tersebut berpusat di sana.

PAS juga, kata Abdul Hadi mengenali peguam kanan yang pernah ada hubungan dengan parti terbabit sebelum ini.

"Dalam masa terdekat, dalam masa sebulan ini," kata Abdul Hadi.

PAS akhirnya dilaporkan menyerahkan surat tuntutan kepada editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown kira-kira empat bulan kemudian, iaitu pada 13 Disember 2016.

Kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, surat berkenaan dihantar kepada Clare menerusi alamat beliau di London, United Kingdom.

"Notis tuntutan "Letter of Claim Pursuant to the Pre-Action Protocol for Defarmation" itu berkuat kuasa selama tujuh haribermula dari tarikh surat pada 13 Disember 2016.

"Notis berkenaan turut menyenaraikan tiga perkara tuntutan yang harus diambil tindakan oleh portal berita terbabit," jelas Takiyuddin seperti dipetik Harakahdaily.

Bagaimanapun pada 17 Disember Clare memberitahuMalaysiakini, surat tuntutan yang disampaikan kepadanya dari PAS adalah satu political gesture.

"Saya menganggap tindakan mereka itu sebagai satu political gesture dan satu penyalahgunaan protokol yang mereka mahu eksploitasi," katanya.
-malaysiakini

Dr M temui Anwar, setuju Najib mesti undur

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertemu selama 45 minit dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua mereka bersetuju mengenai keadaan politik semasa negara dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus berundur.

Ini adalah pertemuan kali kedua membabitkan kedua-dua tokoh berkenaan.

Mahathir ketika ditemui selepas pertemuan itu berkata, mereka komited untuk mengukuhkan pembangkang.

"Kita (BERSATU) komited untuk mengukuhkan pembangkang," kata Pengerusi BERSATU itu.

"Mengenai pertemuan kami, kami berdua bersetuju mengenai hal-ehwal politik semasa negara, dan bahawa PM Najib harus pergi kerana dia menjual negara ini," katanya.

Mahathir membuat kejutan dengan kehadiran beliau di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 11.45 hari ini dan duduk di samping Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Kes di mahkamah itu berhubung saman Anwar terhadap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Pertemuan tersebut berlangsung semasa mahkamah berhenti rehat.

Terdahulu sebelum prosiding mahkamah bermula presiden BERSATU yang juga bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga bertemu Anwar.

Peguam Anwar, Sivarasa Rasiah memberitahu Hakim Azizul Azmi Adnan di mahkamah bahawa mereka sedang mempertimbangkan untuk memanggil Mahathir dan Muhyiddin sebagai saksi mereka.

"Kami sedang mempertimbangkan memanggil Mahathir dan Muhyiddin. Ini selain saksi lain (MB Selangor) Azmin Ali, Saifuddin Nasution Ismail dan (bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang) Mansor Othman," katanya.

Dilaporkan sebelum ini bahawa Khairy dan tiga saksi beliau memberi keterangan bagaimana Anwar berusaha menjatuhkan Mahathir pada tahun 1998, di mana bekas ketua pembangkang itu menafikannya.

Hakim Azizul mengarahkan Sivarasa dan peguam Anwar yang lain memfailkan kenyataan saksi Mahathir dan Muhyiddin pada 16 Februari, jika mereka memilih untuk memberi keterangan pada tarikh perbicaraan akan datang pada 20 Februari.
-malaysiakini

Selepas isu RM90 juta, Pas Kelantan anjur ceramah mega serang Husam

ARIF ATAN
Pas Kelantan bakal mengadakan ceramah meganya di Kota Bharu yang dilihat khusus menyerang Penasihat Amanah negeri itu, Datuk Husam Musa pada 20 Februari ini dengan tajuk "Husam Lari Dari Debat Baiah".

Poster program anjuran Dewan Pemuda Pas Kelantan tersebut tular di media sosial ekoran dakwaan Husam sebelum ini bahawa Pas menerima sejumlah dana mencecah RM90 juta daripada Umno melalui akaun Affin Bank.

Menampilkan Ketua Penerangan Pas Kelantan, Ustaz Nassuruddin Daud yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau sebagai salah satu penceramahnya, program berkenaan bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi netizen.

Rata-rata pengguna media sosial mempersoalkan kewajaran tajuk tersebut ketika rakyat dibebani kos sara hidup tinggi selain limpahan jenayah rasuah dan penyelewengan kuasa.

Dijadualkan berlangsung di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, turut akan berceramah Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari; AJK Badan Perhubungan Pas Kelantan, Nik Bahrum Nik Abdullah; Ketua Penerangan Pemuda Pas Kelantan, Nazman Che Iberahim dan Yang Dipertua Pas Kawasan Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh.

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataannya akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Husam berhubung dakwaan penyaluran RM90 juta itu yang menurutnya, tindakan sama ke atas Sarawak Report.

Walau bagaimanapun, Pas hanya menyerahkan surat tuntutan kepada editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, pada 13 Disember tahun lalu selepas tiga bulan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meletakkan tempoh untuk memfailkan saman kepada laman web itu.

Lelaki ini mengundang padah kerana menyimbah air mani pada wanita di sebuah pasaraya

Kuala Lumpur: Tindakan seorang lelaki melakukan onani dan menyimpan air maninya dalam bekas sebelum ia disimbah pada seorang wanita di sebuah pasar raya di Jalan Klang Lama mengundang padah apabila dia ditahan polis Isnin lepas.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, lelaki terbabit ditahan pihak pengurusan pasar raya tersebut selepas perbuatan peliknya itu disedari mangsanya yang berusia lingkungan 20-an.

Menurut sumber, sejurus lelaki itu ditahan pihak pengurusan pasar raya, individu terbabit kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Siasatan mendapati, cecair berkenaan telah disahkan sperma. Kami percaya individu terbabit telah melakukan onani sebelum memasukkan cecair itu ke dalam bekas yang dipegangnya dalam kejadian,” katanya

Sementara itu, kejadian tersebut berjaya dirakam menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di pasar raya itu sebelum ia dimuat naik dalam laman sosial media Facebook dan dijadikan viral.

Menerusi klip video berdurasi 17 saat itu, kelihatan seorang lelaki sedang berjalan sambil memegang sebuah botol kecil pada tangan kirinya sebelum dia bertindak menyimbah ‘kandungan’ botol itu ke bahagian belakang seorang gadis yang sedang memilih barangan di pasar raya tersebut.

Bagaimanapun, perbuatan peliknya itu telah disedari gadis berkenaan apabila dia mendapati ada sesuatu jenis cecair melekat pada bahagian belakang bajunya.

Difahamkan, lelaki itu kini ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
-kosmo

Dua pendakwah terkenal Kelantan, termasuk 'Ustaz Budak' sertai Amanah

KHAULAH MUHAMMAD
Ustazah Norazam (kiri sekali) menyerahkan borang menyertai Amanah kepada timbalan ketua Awan Kelantan Norashidah Jaafar dengan disaksikan Datin Ruhana.

Dua pendakwah terkenal Kelantan Ustazah Wan Norazam Abdul Aziz dan Ustaz Shamsul Zaman Shukri dikenali dengan 'Ustaz Budak' mengejutkan banyak pihak apabila mereka muncul di dua majlis berasingan bersama Amanah malam tadi.

Dalam majlis ringkas di sebuah restoran terkenal di Kota Bharu Wan Norazam secara rasmi menyerahkan borang permohonan menyertai Amanah kepada timbalan ketua Awan Kelantan Norashidah Jaafar.
Ustaz Budak atau nama sebenarnya Shamsul Zaman berceramah di pentas Amanah malam tadi.
Majlis yang disertai ahli-ahli jawatankuasa Awan negeri itu disaksikan oleh isteri penasihat Amanah Kelantan, Datin Ruhana Abdul Rahman.

Bercakap kepada media sempena majlis itu, beliau yang pernah memegang jawatan timbalan bahagian Halaqat jabatan hal ehwal Islam negeri Kelantan berharap penyertaan beliau dapat memberi sumbangan untuk memperkukuhkan parti Amanah.

"Insya Allah, saya berharap akan dapat menyumbang tenaga dan fikiran bagi menjayakan cita-cita murni sebuah parti Islam yang berusaha meneruskan perjuangan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ini," katanya.

Berkenaan sebab mengapa beliau meninggalkan parti lamanya, Norazam berkata parti itu kini dikuasai oleh kumpulan yang tidak lagi membela rakyat sebaliknya masing-masing menumpukan agenda peribadi.

"Saya kenal mereka dan saya tahu gelagat mereka semasa almarhum masih ada lagi dan ketiadaan tok guru seolah-olah dinanti-nanti untuk menzahirkan perangai sebenar masing-masing," katanya.

Dalam majlis berasingan Ustaz Budak muncul secara mengejut dalam satu majlis ceramah yang dihadiri penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa di kampung Buluh Melintang, Chetok Pasir Mas malam tadi.

Kemunculan beliau segera menggemparkan dunia siber apabila ceramahnya yang disiarkan secara langsung menerusi facebook mendapat capaian melebihi 100k.

Komen-komen positif dan negatif terus menular dari pelbagai pihak yang masing-masing terkejut dan seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku.

Seorang yang menggunakan nama Halim Che Adnan membuat tuduhan kononnya 'ustaz budak' diberi habuan besar dan tidak dilayan dengan baik oleh pihak Pas.

"Cerita sebenar dapat duit dengan Huse (Husam) 30k, pah tu nak marah ko (kepada) pimpinan negeri sebab tak bagi dia mengajar di medan ilmu Kota Bharu," katanya Halim dalam status facebooknya semalam.

Bagaimanapun di laman pemuda Amanah Kelantan yang menyiarkan secara langsung ceramah beliau dipenuhi komen-komen menyokong dan memuji tindakan beliau bersama Amanah.

"Terbaik ustaz budok. Dengar dia kecek (ceramah) teringat ko (kepada) tok guru (Nik Abdul Aziz Nik Mat)," kata facebooker yang menggunakan nama Sufyan Zahari.

Badri Al-Utaibi Al-Desouky pula memberi komen, " Ustaz budak bersama Amanah...Alhamdulillah."

Penyertaan dua tokoh pendakwah terkenal Kelantan ini dijangka akan memberi impak besar kepada perkembangan Amanah khususnya di Kelantan.

Ustazah Wan Norazam yang pernah memegang beberapa jawatan penting dalam Pas satu ketika dahulu termasuk ketua penerangan muslimat Pas Kota Bharu merupakan pendakwah gigih yang amat dikenali di seluruh Kelantan.

Nama ustaz budak pula telah menjadi buah mulut masyarakat Kelantan semua peringkat dari golongan kanak-kanak hingga ke warga emas sejak sekian lama.

Beliau bukan sahaja terkenal di Malaysia malah juga menjadi penceramah selebriti di kalangan masyarakat Islam Thailand.