Umno sedia beri laluan Pas kuasai 5 negeri?

ZAKARIA MUSA
Semasa majlis Taklimat Khas Presiden di Kompleks Pas Kedah, akhir Januari lalu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggariskan impian parti itu dalam PRU14. Pertama, mempertahankan Kelantan, selain kembali memerintah Terengganu dan Kedah, serta menerajui Selangor. Kedua, memperoleh sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen.

Februari 2017, dalam majlis pelancaran jentera Pas di Alor Limbat di Marang, Terengganu, beliau menegaskan parti itu harus memerintah lima negeri, yakni penambahan satu lagi negeri berbanding penekanannya di Kota sarang Semut, Kedah.

"Sebab itu bagi Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak, Selangor. Biar Pas memimpin. Negeri lain Umno nak lagi biarkan dia. Biarkan dia. Kalau boleh (Pas) nak telan habis, telan habis.

"(Pas) kena ukur dengan saiz kita sendiri. Kita memerlukan satu kerjasama untuk mengekalkan kuasa politik Islam. Ini sangat penting kita kena sedar," ujar Ustaz Hadi, dikutip dari rakaman video berdurasi 55 saat yang tular di media sosial.

Hala tuju Pas PRU14

Sudah jelas hala tuju Pas dalam PRU14. Tiada kesamaran lagi. Presiden yang mempunyai kata pemutus dalam parti, telah menunjukkan destinasi yang mahu dituju. Sasarannya memimpin lima negeri dan menguasai 40 kerusi Parlimen, dengan restu Umno.

Ketua Pemuda, Nik Abduh Nik Abd Aziz selepas himpunan RUU355 di Padang Merbok, turut mengakui kesediaan Umno untuk memberi laluan kepada Pas bagi memenangi 40 kerusi Parlimen itu, satu impian yang jauh lebih tinggi daripada prestasi terbaik semasa pilihan raya umum 1999, iaitu 27 kerusi.

Tidak menjadi kesalahan bagi mana-mana parti politik untuk meletakkan apa jua target apabila menyertai pilihan raya. Maka, jika Pas mengimpikan untuk memimpin lima negeri -- Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak dan Selangor -- tentulah parti itu mempunyai pendekatan dan strategi yang khusus.

Itu pun, bagi Ustaz Hadi, sasaran itu dibuat selepas "diukur dengan saiz kita sendiri", maknanya "sudah ukur baju di badan sendiri". Lebih kurang maksudnya, sasaran lima negeri itu merupakan impian yang boleh dicapai -- realisitik -- bukannya hanya satu angan-angan.

Politik matang dan sejahtera

Namun, saya lebih tertarik dengan ungkapan beliau seterusnya: "Ini budaya politik matang dan sejahtera yang kita lakukan hari ini. Orang Umno pun selesa. Mereka pun tak mahu berbalah lama. (Umno) tak mahu (pendekatan politik) keras, mahu lembut. Lembut inilah kita boleh berbincang untuk mencari mana benar, mana salah."

Bukan lagi tersirat, Ustaz Hadi tidak berselindung lagi. Untuk menguasai lima negeri itu, dan juga menang sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen, Pas perlu mengadakan kerjasama "untuk mengekalkan kuasa politik Islam".

Beliau juga sering menekankan tentang survival kuasa politik "Melayu-Islam" dan dalam masa sama membangkitkan ancaman daripada DAP dan kuasa politik orang bukan Islam yang disifatkannya semakin meningkat.

Apa saja mengenai hubungan dengan parti-parti pembangkang, khususnya Amanah dan DAP, semuanya mustahil untuk dijalin, begitu juga dengan Bersatu. Walaupun masih ada kerjasama dengan KeADILan, tetapi "ada saja masalah yang timbul".

Tetapi jika dikaitkan Pas dengan Umno, maka akan dicari segala argumen yang positif, yang memungkinkan terbentuknya hubungan baik demi kesatuan ummah. Dalam masa sama, isu-isu berkaitan skandal raksasa pemerintahan Umno-Najib Razak, tidak lagi menjadi agenda besar.

Umno tidak lagi keras

Lihat istilah yang digunakan Ustaz Hadi; Umno tidak keras lagi, lembut, boleh berbincang, tidak mahu berbalah. Usah lupa istilah yang dirujuk kepada sebahagian pemimpin Pas semasa muktamar di Batu Pahat. Apa lagi gelaran buat tokoh-tokoh yang menubuhkan Parti Amanah Negara!

Benarkah Umno kini sudah lembut dan tidak keras berdepan seteru politiknya? Benarkah kerajaan Najib telah mengambil pendekatan sederhana seperti juga stail politik Pas di bawah Ustaz Hadi?

Apakah Umno selesa dengan impian Pas mahu merebut empat negeri daripadanya dan mengekalkan pemerintahan di Kelantan? Apakah Umno akan memberi laluan mudah kepada Pas dan bersedia hanya untuk menguasai negeri-negeri lain, seperti Perlis, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor? Sementara kedudukan Umno di Johor pun dilihat goyang.

(Umno pernah menawarkan Perak dan Selangor untuk dipimpin Pas sejurus keputusan PRU2008 diumumkan. Meskipun Pas menguasai kerusi Dun dua negeri tersebut pada bilangan paling minimum, ia diperuntukkan jawatan menteri besar jika bersetuju kerjasama dengan Umno. Mungkin Ustaz Hadi masih terasa terkilan kerana tawaran Umno itu ditolak majoriti pimpinan Pas!)

Wah, begitu baik sekali Umno untuk menyerahkan negeri-negeri utama tadi? Ataupun Pas-Hadi yang sebenarnya begitu naif untuk membaca sifir mudah politik.
Sesungguhnya Umno dan kuasa bagai kembar siam yang sukar ditanggalkan. Dalam keadaan ia kalah tiga negeri sekarang, dan hilang majoriti dua pertiga Parlimen, Umno nampak resah-gelisah mahu mendapatkan kembali kuasa mutlak dahulu dengan cara apa sahaja.

Pas hanya diperalatkan

Khazanah negara yang kaya ini masih tidak cukup untuk dibahagikan sesama kaum kerabat dan kroni. Bagaimana mahu dibahagikan kepada lebih ramai kelompok lagi, terutama kepada pemimpin Pas pula? Umno bercakaran sesama sendiri, rakus-ganas untuk membolot sumber yang semakin mengecil.

Sumber dalaman Umno memberitahu: "Pas hanya diperalatkan untuk mempertahankan kuasa yang ada. Mungkin pemimpin tertinggi Umno gelak-ketawa terguling-guling mendengar Pas percaya dengan keikhlasan Umno untuk biarkan Pas menang lima negeri dan 40 kerusi Parlimen itu."

Sekurang-kurangnya penyokong ikhlas Pas pada akar umbi semakin faham ke mana tujuan parti itu hendak dibawa para pemimpinnya. Dan mereka juga sedar bahawa satu undi kepada Pas, sama ada mengukuhkan lagi Umno-Najib atau menjadi undi yang membazir ketika setiap undi penting untuk membawa perubahan dan menyelamatkan Malaysia.

Semakin jelas situasi politik hari ini, apabila membaca ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Kuala Terengganu, 17 Mac lalu.

"Insya-Allah dengan doa untuk kita menyatukan orang-orang Melayu, biarlah kita kehilangan segelintir 'kawan' kita tapi kita akan dapat 'kawan baharu' yang kumpulannya lebih besar akan bersama-sama kita. 'Kawan baharu' kita ini mungkin dulu musuh politik kita tapi mereka telah faham untuk sama-sama tangani masalah bersama (berkaitan agama Islam) dengan tidak mengenepikan agama lain," ujarnya.

Maut tercampak atas kubur (Gambar)


Alor Gajah – Seorang penuntut sebuah kolej di Ayer Pa’abas di sini, maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum tercampak ke kawasan tanah perkuburan Islam, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, Muhammad Faiz Akmal Mohd Radzali, 19, penuntut Tahap 1 Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Penyeliaan dan Operasi Penanaman di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Mohd Sham Abdullah, berkata motosikal ditunggang mangsa dari arah Ayer Pa’abas ke Lendu dipercayai gagal dikawal ketika tiba di hadapan kolej terbabit sebelum terbabas ke kiri jalan.

“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC melanggar pagar tanah perkuburan, menyebabkannya tercampak ke atas kubur di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-beritaharianonline

Royalti Kelantan, hapus PTPTN agenda utama selepas tawan Putrajaya, kata Husam

ZIKRI ABDULLAH
Kejayaan gabungan parti-parti pembangkang menawan Putrajaya dalam pilihan raya akan datang membolehkan agenda tertangguh rakyat khususnya di Kelantan segera dilaksanakan.

"Saya yakin perdana menteri baru yang menduduki Putrajaya akan menyebelahi agenda rakyat yang banyak tidak dipedulikan sekarang," kata Penasihat Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan Datuk Husam Musa ketika berceramah di Rantau Panjang malam tadi.

Perdana menteri baru nanti katanya tentulah akan mendengar suara rakyat yang mendukung perubahan dengan menolak kerajaan yang mendera rakyat sekarang.

"Katalah Tun Mahathir Mohamad jadi PM dan saya bertugas di jabatan perdana menteri, saya berjanji akan jumpa Tun dalam masa dua minggu dan minta segara bayar royalti minyak Kelantan.

"Saya jua akan minta impian yang telah lama saya nyatakan untuk masuhkan PTPTN.

"Bila Kelantan dapat royalti kita akan segera menggerakkan program bagi membolehkan generasi mendapat peluang dari segi ekonomi dan kegiatan sosial lain," katanya.

Husam mendedahkan kerajaan negeri sekarang tidak peduli keperluan rakyat dalam menggerakkan pembangunan.

"Kita ambil contoh Bazar Abdul Rahman bin Auf di Rantau Panjang tempat parkir dipenuhi air, sewa mahal, jalan masuk teruk.

"Tentu cara buat projek macam ni bukan nak tolong rakyat," katanya.

Kelantan katanya yang begitu banyak kelebihan akan digerakkan semula supaya mampu bersaing dengan kawasan lain di negara ini malah ke peringkat antarabangsa.

"Kita bukan sahaja akan mencari peluang kepada golongan muda yang berpelajaran tinggi tapi juga mereka yang tiada peluang belajar tinggi.

"Masa Tok Guru dulu kita telah rancang adakan litar khas untuk golongan belia rempit ada tempat menjalankan aktiviti mereka.

"Malah Tok Guru mahu mereka diberi peluang menunjukkan bakat dalam ubah suai motosikal kerana kata almarhum tentu mereka hebat kalau diberi kesempatan, " katanya.

Berkenaan keretapi laju yang dicadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib beliau berkata projek itu sama sekali bukan keperluan rakyat.

"Projek ini sama sekali bukan kehendak rakyat Kelantan tetapi kehendak Najib yang mahu pinjam duit untuk tutup skandal 1MDB," katanya.

Turut berceramah di majlis itu ialah ketua penerangan Parti Pribumi Bersatu Melaysia (Bersatu) dan ketua Amanah kawasan Sik, Leman Raja Lawak.

Wanita derita dicurah asid oleh kawan (Gambar)


Seorang wanita terpaksa menderita selepas kawannya yang cemburu telah mencurahkan asid ke mukanya ketika dia sedang tidur, semata-mata kerana dia mahu menjadi pramugari.

Meskipun kejadian itu berlaku 10 tahun lalu, namun Kanwal Qayyum, 29, terpaksa menderita kerana mukanya menjadi cair hinggakan dia tidak mempunyai hidung.

Nasib baik, seorang pakar bedah pemindahan organ, Dr. Asim Shahmalak yang berasal dari Karachi namun menetap di Manchester sanggup membantu Kanwal.

Dr. Asim telah terbang ke Pakistan untuk melakukan pembedahan dengan membentuk bulu mata dan kening dengan menggunakan rambut di bahagian belakang tempurung kepala Kanwal.

Dr. Asim sebelum ini terkenal kerana hasil kerjanya itu turut dilakukan ke atas selebriti dan beliau juga adalah salah seorang daripada beberapa pakar bedah di dunia yang boleh melakukan pemindahan organ melibatkan bulu mata dan kening.

Beliau sanggup membelanjakan sebanyak £50,000 dengan menggunakan wangnya sendiri bagi membantu Kanwal. Selain Kanwal, terdapat lima wanita lain yang bakal menjalani pembedahan sama. Semua mereka adalah mangsa serangan asid.

“Saya menangis apabila mendengar cerita wanita berkenaan. Membantu mereka membina semula wajah adalah sesuatu yang amat beerti dan menyaksikan mereka senyum selepas pembedahan merupakan sesuatu yang sangat bernilai,” katanya.

Dr. Amir yang kini menetap di Britain, telah diperkenalkan kepada Kanwal oleh yayasan senyum semula Depilex Pakistan dengan pengasasnya, Masarrat Misbah merupakan seorang yang sangat komited dan bekerja keras bagi membantu mangsa serangan asid.

Sementara itu, Kanwal yang kini telah berkahwin gembira dengan wajah barunya itu.

“Saya amat berterima kasih kepadanya kerana berjaya menukar sepenuhnya muka saya dan saya sukakannya,” kata Kanwal. – Mynewshub

Hubungan Pas, Umno semakin erat

MALAYSIA DATELINE
Zahid berpimpin tangan dengan Tuan Ibrahim selepas selesai seminar antarabangsa mengenai Rohingya di Hotel Marriott, Putrajaya semalam.
Zahid berpimpin tangan dengan Tuan Ibrahim selepas selesai seminar antarabangsa mengenai Rohingya di Hotel MARRIOTT, Putrajaya semalam.

Ketika Bersatu mengumumkan penyertaannya ke dalam Pakatan Harapan, hubungan antara Umno dan Pas diperkemaskan lagi menjelang pilihan raya umum ke 14 ini.

Semalam, kedua-dua timbalan presiden Umno dan Pas berpimpin tangan di majlis penutup seminar antarabangsa Rohingya di Hotel Marriott, Putrajaya.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membuat ucapan penutup di majlis itu turun dari pentas dengan berpimpin tangan dengan timbalan presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang turut menyertai seminar itu.

Dalam majlis itu, Ahmad Zahid Hamidi telah menerima resolusi seminar daripada Presiden Yayasan Amal Malaysia, Hussin Ismail.

Yayasan Amal Malaysia adalah sebuah badan yang terletak di bawah naungan Pas.

Seminar selama tiga itu berlangsung dari 14 hingga 16 Mac 2017 anjuran bersama Kesatuan Ulama Muslim Sedunia, Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM), International Federation for Relief & Development (IFRD) dan Yayasan Amal Malaysia.

Pengerusi seminar, Husin Ismail, dalam suatu kenyataan medianya berkata, tema bagi seminar ini adalah “THE PLIGHT OF THE ROHINGYAN: SEARCHING FOR SOLUTIONS” dan ia mencakupi konflik yang dialami oleh etnik Rohingya.

Seminar ini juga dianjurkan bagi memahami sejarah etnik Rohingya, mencari, mengenalpasti masalah yang timbul seterusnya mencadangkan resolusi dan penyelesaian yang sebaiknya bagi meminimakan masalah yang berlaku.

Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama dengan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak duduk sepentas dalam himpunan untuk Rohingya.

Apakah PRU 14 'Tsunami Mahathir'

MALAYSIA DATELINE
Prof Agus meramalkan 'Tsunami Mahathir' dalam PRU 14 nanti berdasarkan sambutan terhadap ceramah beliau di Kelantan kelmarin.
Prof Agus meramalkan 'Tsunami Mahathir' dalam PRU 14 nanti berdasarkan sambutan terhadap ceramah beliau di Kelantan kelmarin.
Setelah meneliti ceramah tiga pemimpin kebelakangan ini, pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Mohamad Agus Yusof meramalkan kemungkinan berlakunya "Tsunami Mahathir" dalam pilihan raya umum ke 14 nanti.

Dalam satu tulisan di Facebook beliau, Agus berkata, beliau telah mengikuti tiga ceramah awal bulan ini.

Pada 3 Februari 2017, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi ceramah di Alor Limbat, Terengganu.

Pada 13 Mac 2017, Datuk Seri Najib memberi ucapan di Bachok, Kelantan.

Pada 15 Mac 2017, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi ceramah di Cherang, Kelantan.
Orang ramai memenuhi padang bola tempat ceramah Dr Mahathir di Kelantan yang membawa andaian 'Tsunami Dr M' dalam PRU 14 nanti.
Orang ramai memenuhi padang bola tempat ceramah Dr Mahathir di Kelantan yang membawa andaian 'Tsunami Dr M' dalam PRU 14 nanti.
"Setelah meneliti ceramah tiga pemimpin ini, mungkinkah yang muncul dalam PRU 14 nanti ialah Tsunami Mahathir? Pertanyaan ini wajar diberi perhatian," tulis Agus yang sebelum ini meramalkan kemungkinan kerajaan Pas Kelantan akan jatuh.

Menurut Agus, dalam PRU 1999, biarpun di penjara, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) menggoncang politik Malaysia.

"Ketika itu, goncangan ini kita panggil gerakan Reformasi," katanya.

Dalam PRU 2008, DSAI yang sudah di luar penjara memimpin pakatan pembangkang dan berjaya menafikan kemenangan dua pertiga majoriti BN.

"Ketika itu, kebangkitan rakyat ini kita panggil tsunami politik," katanya lagi.

Dalam PRU 2013, BN sekali lagi gagal memenangi pilihan raya dengan dua pertiga majoriti.

"Ketika itu, kita panggil tsunami Cina," kata saintis politik itu.

Sehubungan itu, beliau membangkitkan apakah akan berlaku dalam PRU 14 nanti.

"Tsunami apa pula yang akan muncul?" katanya.

Bagi beliau, tsunami DSAI tidak mungkin dalam keadaannya sekarang (berada di penjara) kecuali mendapat pengampunan diraja.

"Maka, tokoh yang menentukan gelombang politik Malaysia seterusnya adalah di tangan tiga pemimpin ini — DS Najib Razak yang memimpin BN, Tun Dr Mahathir yang berada dalam PH (Pakatan Harapan) dan Tuan Guru Haji Hadi Awang yang menerajui Pas," tulis beliau.

Pelancong wanita cetus kecoh, berlari bogel (Gambar)



Bangkok – Seorang pelancong wanita dari Britain mencetuskan kegemparan Selasa lalu, apabila berlari dalam keadaan bogel dan polis terpaksa mengejarnya sejauh satu kilometer sebelum berjaya menahannya.

Selepas ditahan di satu persimpangan Jalan Khao San, polis memberi wanita itu, Leonie Graves, 35, kain sarung untuk dipakai sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan bertemu pegawai Kedutaan Britain.

Wanita itu memberitahu polis dia membuka pakaiannya kerana cuaca terlalu panas dan memohon maaf kerana mencetuskan kekecohan.

Rakaman video kejadian itu yang mula muncul semalam, tindakannya berlari bogel itu mengejutkan orang ramai di laluan sibuk itu serta penumpang bas.

Dalam perbualan telefon dengan Daily Mail semalam, wanita itu yang enggan bercakap banyak berkata: “Saya tidak apa-apa. Saya hanya melakukan apa yang saya mahu buat.”

Graves tiba di Thailand dari Bali pada 6 Mac selepas melawat ibunya yang tinggal di sana.

Jurucakap polis Thailand, Wiroht Kunchai, berkata: “Leonie beritahu dia kepanasan dan memohon maaf kerana mencetuskan masalah.”

Jakchai Banyensakul yang merakam video Graves berlari bogel sambil dikejar polis, berkata kejadian itu berlaku di Jalan Khao San pada 2,30 petang, Selasa lalu.
-kualalumpurpost

'Pas loni adalah Pas Haji Hadi'

ARIF ATAN
Husam ketika berucap dalam majlis ceramah umum Pakatan Harapan di Kota Bharu malam tadi.
Husam ketika berucap dalam majlis ceramah umum Pakatan Harapan di Kota Bharu malam tadi.

Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa menyifatkan Pas pada masa ini bukan lagi parti yang menyambung perjuangan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz.

"Amanah adalah Pas Tok Guru Nik Aziz. Pas loni (sekarang) adalah Pas Haji Hadi (Presiden Pas)," katanya diikuti tepukan gemuruh orang ramai dalam ceramah di Cabang 4 Cherang, Kota Bharu semalam.

Menurutnya, Pas sudah hilang tumpuan untuk menumbangkan kerajaan yang diketuai Najib Razak seperti dapat dilihat pada reaksi pemimpin parti tersebut terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Ini (1MDB) karut, salah, jahat dan memudaratkan negara. Apa pendirian kita sebagai orang Islam? Ini adalah kemungkaran ekonomi yang ditentang oleh Islam dan otak yang sihat.

"Tiba-tiba kita yang asal Pas tak berapa (bersungguh) nak jatuhkan Najib. Ini yang saya syak sikit. Wayar mana yang putus? Saya bukan mekanik, nak sambung pun tak reti," ujarnya.
Sehubungan itu, Husam menegaskan fokus utama segenap lapisan rakyat Malaysia adalah menggantikan kerajaan sedia ada yang korup.

"Islam panggil tawwajuh. Fokus. Ingat tuhan. Bila kita angkat takbir (ketika sembahyang), wajjah itu, ulamak kata, tawwajuh iaitu fokus ingat Tuhan.

"Jadi, tawwajuh kita sebagai rakyat Malaysia ialah bentuk kerajaan baru. Semua orang, Tok Guru, Tok Jahil, rakyat di kampung dan bandar, kena bersatu hati menyelamatkan negara kita daripada pemimpin yang mengkhianati negara. Ini kewajipan agama dan kewajipan demokrasi," tegasnya.

Beliau dalam majlis yang turut dihadiri Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Mahathir itu turut menyeru supaya ahli dan penyokong Pas berubah dengan menyokong Amanah.

"Analisis Prof (Datuk Mohamad) Agus Yusoff kata Pas mungkin hilang Kelantan. Saya takut orang Pas yang jadi penghulu rasa tak boleh makan gaji, orang Pas yang jadi peserta Ladang Rakyat rasa dah tak dapat elaun.

"Orang Pas yang jadi guru YIK (Yayasan Islam Kelantan) rasa kena pecat. Jadi, ambo (saya) kira semua pakat mari duduk dalam Amanah. Bila Amanah menang, selamat belaka," tambahnya lagi.

Bala parti agama: Kisah pekebun sayur Melaka ditipu pemimpin politik Kelantan masuk parlimen

BORHAN AHMAD

Sayuti Omar dedah di alam maya, MP Kota Melaka dedah di Parlimen.

Laporan polis seorang pekebun sayor dari Melaka, Bong Fook Sin, 51, bahawa beliau ditipu oleh seorang pemimpin politik dari Kelantan kini masuk ke parlimen.

Ahli parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him yang mengumumkan keluar dari DAP baru-baru ini meminta satu siasatan yang serius dibuat ke atas isu ini.

Dalam media sosial, penulis yang juga blogger Mohd Sayuti Omar adalah pihak yang memainkan isu ini sejak beberapa hari lalu melalui pendedahan sedikit demi sedikitnya.

Pada 13 Mac lepas, Sayuti menulis dalam blognya satu posting bertajuk "Nomini seorang Exco terima RM448,300 dari pekebun sayur?"

Menurut beliau, ketika itu kisah ini masih belum terbongkar lagi dan masih ramai yang tidak terperasaan walaupun ceritanya ada disiarkan dalam sebuah media arus perdana.

"Kita tidak mahu membuat tuduhan dan hanya akan cuba mengupas terhadap apa yang berlaku atau dilaporkan itu. Itu sahaja. Sekiranya kisah ini tidak benar, atau merupakan andaian atau palsu anggaplah ia sampah. Syukur Alhamdulilah," tulis beliau.

Kisahnya begini, tulis Sayuti dalam blognya itu.

"Ohya kisah ini dipadankan daripada satu laporan polis ertinya ia bukan kisah kosong sebab laporan polis dianggap dokumen yang sah. Sesiapa yang membuat laporan polis palsu ia boleh dikenakan tindakan dibawah akta tertentu. Jangan main-main.

"Laporan polis itu dibuat oleh seorang pekebun, penanam sayur dari negeri Hang Tuah Melaka. Namanya saya rahsiakan untuk keselamatan dan maruahnnya," tulis Sayuti.

Namun apa yang cuba dirahsiakan beliau kini terburai di Dewan Rakyat apabila ahli parlimen yang keluar dari DAP itu mendedahkannya di parlimen dan disiarkan oleh akhbar The Star.

Dalam laporan polis itu, kata Sayuti, beliau mengadu satu kejadian semacam "sendiket" yang menawarkan tanah kepadanya untuk dijalankan perusahaan menanam sayur.

Tanah yang dijanji itu seluas 500 ekar terletak dalam Jajahan Kuala Krai, Kelantan. Daerah di mana tertegaknya tugu banjir yang menjadi kontroversi baru-baru ini kerana tapak pembinaanya menjadi pertikaian.

Kata setengah kaul tapak itu kepunyaan masjid Jauhar, setengah kaul lain kata tanah itu rezab jalan. Kedua-dua kaul itu bukan Syiah. Hehe..

Menurut laporan polis tersebut penanam sayur itu telah didatangi oleh dua lelaki berbangsa Cina.

"Namanya ada dengan saya dan saya tidak menyebutnya di sini buat sementara. Alasannya seperti tadi juga lah. Bagaimana dalam laporan akhbar nama mereka ada disebut dengan jelas," katanya lagi.

Kedua-dua lelaki itu telah menemui penanam sayur budiman itu memberi tahu dia dapat membantu untuk mendapat tanah pajakan seluas 500 ekar bagi tujuan industeri penanaman sayur di Kelantan.

Penanam sayur itu kurang mempercayai tawaran itu. Maka itu kedua lelaki itu telah "menemuikannya" dengan seorang wakil rakyat sebagai saksi atau pun gerentor, dakwa Sayuti.

Disebabkan mempercayai kepada wakil rakyat berkenaan penanam sayur itu bersetuju dengan tawaran itu dan bersetuju dengan syarat dikenakan untuk mendapatkan tanah itu.

"Syaratnya, penanam sayur itu kena bagi sekian banyak derma untuk parti agama (Pas) Kelantan bagi tujuan perbelanjaan pilihan raya.

"Syarat ini standard sahaja seperti dalam lain-lain pakej untuk menggodam duit rakyat sebelum ini; semuanya untuk tabung kebajikan atau parti," tulisnya lagi.

Menurutnya, semasa Tokguru (Nik Abdul Aziz) masih hidup dulu beliau ada bercerita kepadanya setiap orang yang datang minta kawasan balak dengannya, mengatakan atau berjanji akan menyumbangkan sedikit kepada parti. Walhasil katanya tidak ada apa," tulis Sayuti lagi.

Penanam itu bersetuju, lantas itu beliau pada bulan-bulan tahun 2012 hingga Januari 2014 telah membuat tranksaksi melalui bank kepada salah seorang lelaki itu sebanyak RM582,000.00.

Dan apa mengejutkan penanam sayur itu juga telah membuat tranksaksi kepada seorang lelaki Melayu beragama Islam (namanya ada pada saya) sebanyak RM448,300.00. Mengejutkan lagi lelaki ini dikatakan Ketua Pemuda Pas Cawangan Pasir Mas, katanya.

Nama jawatan itu, tulisnya, sedikit mengelirukan, kerana jawatan sebegitu tidak ada dalam organisassi Pas, yang ada adalah Kawasan atau pun cawangan.

"Mungkin tersalah al maklumlah yang membuat laporan itu orang Cina yang tidak mengetahui mengenai terma dan hirearki dalam Pas," tulisnya lagi.

Persoalan kini, tulis beliau, siapakah lelaki yang dikatakan (mengaku) Ketua Pemuda Pas di Pasir Mas itu? Wujud atau tidak. Yang pasti dia wujud kerana dia ada nama dan ada identiti, tulisnya.

Lagi pun wang sebanyak RM448,300.00 itu dimasukkan ke dalam bank. Tentu ada slip. Cuma apakah benar dia adalah salah seorang anggota parti agama atau tidak? katanya lagi.

Pekebun sayur budiman itu, katanya, bertindak membuat laporan polis disebabkan dia berasa tertipu dengan tawaran untuk mendapat tanah berkenaan, yang kesemuanya berjumlah RM976,300.00.

'Cerita' PAS, BERSATU selesai

Umpama kasih beralih arah, lalu PAS bagaikan tidak mungkin berpaling lagi.

Ekoran pengumuman Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa partinya akan menyertai Pakatan Harapan (HARAPAN), PAS menegaskan tidak lagi berminat berada sepentas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata jika BERSATU sudah membuat keputusan rasmi, PAS menganggap mereka tidak lagi ada hubungan dengan parti berkenaan.

“Ini kerana PAS sejak awal lagi memaklumkan tidak akan sertai Pakatan Harapan,” katanya dilapor Harakahdaily hari ini.

Mohd Amar yang juga naib presiden PAS ditemui media selepas mesyuarat exco di Kota Darulnaim, Kota Bharu Kelantan.

Semalam Malaysiakini melaporkan, BERSATU bakal mengemukakan permohonan rasmi untuk menyertai HARAPAN.

Mengumumkan perkara itu, Dr Mahathir yang juga pengerusi BERSATU berkata, pihaknya berharap ada beberapa aspek perlu diubah suai, termasuk nama pakatan itu serta logo.

Masing-masing ada pendirian

Menurut Dr Mahahir, pemimpin HARAPAN sudah mengetahui niat BERSATU mahu menyertai gabungan berkenaan.

HARAPAN dibentuk oleh gabungan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Sebelum ini PAS menyatakan pendirian mereka untuk tidak akan bekerjasama sama sekali dengan DAP dan AMANAH.

Justeru, kata Mohd Amar, PAS beranggapan tidak perlu lagi ada sebarang perbincangan untuk bersama-sama menghadapi pilihan raya diadakan di antara parti berkenaan dengan BERSATU.

"Ia dianggap sudah selesai,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Amar berkata, PAS tetap menghormati BERSATU untuk menyertai HARAPAN.
“Kita ada pendirian kita dan orang lain juga ada pendirian sendiri. Kita tidak boleh nak paksa sesiapa ikut kita,” tambahnya.

Beliau turut mengingatkan, ketika ini PAS sudah membentuk pakatan dengan beberapa pihak bagi mewujudkan "blok ketiga" yang dikenali sebagai Gagasan Sejahtera.

Katanya, gerakan itu akan dilancar secara rasmi pada muktamar PAS yang bakal diadakan di Alor Setar, Kedah, hujung April ini.
-malaysiakini

Ezam akan tubuh parti baharu?

DALIA ISMAIL
Bekas Senator Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor merancang untuk kembali aktif dalam politik dengan menubuhkan parti baharu.

Menurut sumber yang dipetik dari portal Beritadaily semalam, menyebut sumber yang tidak dinamakan itu berkata, bekas Ketua Angkatan Muda PKR itu bercadang untuk menubuhkan sebuah parti politik baharu khusus menentang rasuah.

Ezam juga dikatakan mahu bertanding di kawasan Parlimen Pekan kerusi yang disandang oleh Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Ezam tahun lalu telah keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan alasan untuk membabitkan diri dalam NGO yang dianggotainya.

Menurut sumber itu lagi,bersama-sama dengan beberapa individu yang dinamakan seperti Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bekas ahli Bersatu merangkap pegawai kanan kepada Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membentuk sebuah parti baharu, yang akan menggunakan perjuangan untuk rasuah sebagai platformnya.

Malaysia Dateline menghubungi Ezam hari ini untuk mendapatkan kepastian tentang sumber diperoleh dan dilaporkan portal media itu.

"Maaf saya diluar kawasan. Ya ..saya sedang usahakan dengan kawan-kawan seperjuangan. InsyaAllah dalam waktu terdekat saya akan buat kenyataan mengenai hal itu, saya akan maklumkan," ujarnya menerusi whatapps kepada Malaysia Dateline.

Khairuddin hari ini turut memberikan respon sama mengenai sumber yang diperoleh media terbabit melalui satu kenyataan apabila namanya dikaitkan.

Khairuddin menjelaskan, beliau menyambut baik hasrat Ezam untuk menubuhkan sebuah parti baharu yang fokus kepada memerangi rasuah.

"Pada hakikatnya saya amat mengalukan hasrat Datuk Ezam untuk tubuh parti politik baharu yang berkonsepkan ' single objektif' untuk lawan rasuah. Ini merupakan satu-satunya parti politik di negara ini yang mempunyai ciri-ciri begini seperti penubuhan 'green party' di luar negara.

"Penubuhan parti baharu seperti ini amat tepat pada masanya," ujarnya.

Khairuddin turut menyatakan kesediaannya untuk menyertai parti baharu itu sekiranya ia ditubuhkan kelak.

"Sekiranya parti baharu yang bakal ditubuhkan itu akan menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan dan Pakatan Harapan boleh menerima sebagai sebahagian 'coalition' nya, saya cukup berminat untuk menjadi salah seorang dari pengasas parti baharu itu," ujar Khairuddin.

Berita duka buat BN

Bersatu sertai PH berita duka kepada BN, kata Pemuda Amanah
MALAYSIA DATELINE
Pemuda Amanah Nasional yakin keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai Pakatan Harapan merupakan berita duka kepada Barisan Nasional (BN) yang berusaha memecahkan kesatuan pembangkang.

Ketuanya Mohd Sany Hamzan berkata, penyertaan Bersatu ke dalam Pakatan Harapan semestinya diterima baik oleh masyarakat yang sangat berharap parti-parti pembangkang dapat mewujudkan kerjasama yang kukuh.

"Kini sudah tiba masanya untuk Amanah, PKR, DAP dan Bersatu bergerak seiring dengan lebih meyakinkan dalam membawa harapan rakyat untuk melihat satu perubahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

"Ayuh bergerak secara sistematik dan bersama dengan satu tujuan iaitu menumbangkan kepimpinan kleptokrat dan Barisan Nasional," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Bersatu menerusi Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad secara rasmi mengumumkan penyertaannya menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan.

Bersatu dan Pakatan Harapan akan menggunakan satu logo, satu calon dan satu manifesto dalam gabungan kerjasama mega parti pembangkang di negara ini dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Mengulas lanjut, Sany berkata pihaknya meyambut baik keputusan tersebut memandangkan sejak awal lagi pimpinan Pakatan Harapan telah mengajak dan mengalu-alukan parti baharu itu untuk bersama dalam gabungan pembangkang bagi menghadapi BN.

"Pendirian terbaru Bersatu ini adalah satu perkembangan yang sangat positif ke arah mengukuhkan kesatuan, kebersamaan dan kekuatan jentera keempat-empat parti.

"Ini akan memudahkan lagi perancangan gerak kerja bersama di semua peringkat sama ada di nasional mahupun di peringkat bawahan," katanya lagi.

'Lain kali fikir elok-elok sebelum kenakan orang' - Husam Musa

Penasihat Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan bersimpati kepada PAS Tanah Merah apabila usul mereka mengenai baiah seolah-olah tidak dilayan pemimpin parti berkenaan.

Dalam kenyataannya petang tadi, Datuk Husam Musa berkata, PAS sepatutnya berfikir dengan baik sebelum mengambil langkah "mengenakan orang".

Mengulas kenyataan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, Husam berkata hanya dengan itu nama baik perjuangan parti berkenaan terjaga.

"Kesian PAS Tanah Merah. Yang dipertua dan timbalan yang dipertua kawasan itu kedua-duanya exco Kelantan (tapi) usul mereka tidak dinilai PAS Pusat," katanya merujuk kepada Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Datuk Md Anizam Abd Rahman.

Di parlimen tadi, Idris berkata, PAS menganggap tiada keperluan bagi kepimpinan parti itu membincangkan cadangan mengheret Husam ke mahkamah syariah kerana melanggar baiah.

Usul berkenaan dibawa PAS Cawangan Klewek pada mesyuarat agung tahunan PAS Tanah Merah pada 11 Mac lalu.

Usul berkenaan kemudian diluluskan oleh perwakilan dalam mesyuarat yang dirasmikan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan itu.

Menurut laporan Harakahdaily, perbuatan individu wakil rakyat PAS melanggar baiah talak adalah "sangat memalukan" serta seolah-olah mempermainkan sumpah tersebut.

Kata Idris, Husam kini menyertai AMANAH dan tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengan PAS.

“Kita tak peduli dia. Dia bukan ahli kita lagi, dia pun dah keluar dah, dia pun nak jatuhkan PAS di Kelantan," katanya.

Husam berkata isu baiah berkenaan dibangkitkan sendiri oleh PAS dan kemudian diketepikan semula oleh parti sama.

"Mula-mula (pihak) yang membangkitkan isu baiah, PAS. Kemudian tak jadi debat isu baiah, pun PAS.

"Lain kali, fikir elok-elok sebelum nak kenakan orang, baru nama baik perjuangan terjaga," katanya.
-malaysiakini

Kakitangan hospital terkejut kehadiran lelaki dengan pisau terpacak di mata akibat ditikam isteri (Gambar)

Kakitangan sebuah hospital di China terkejut ketika melintasi seorang pesakit lelaki yang sedang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan meskipun mengalami kecederaan serius di mata kirinya.

Menurut laporan media tempatan negara itu, lelaki berusia 30 tahun itu sedang menunggu giliran di sebuah hospital di Fujian.

Tambah media itu lagi, mangsa yang tidak diketahui identitinya itu tercedera akibat ditikam dengan pisau pemotong buah oleh isterinya dalam satu pertengkaran pada Sabtu lalu sekitar jam 1 pagi waktu tempatan.

Menerusi foto yang dikongsi laman The Sun, jelas kelihatan pemegang pisau terpacak pada wajah mangsa.

Seorang saksi yang juga berada di hospital itu turut memberitahu mangsa beratur di ruang menunggu dalam keadaan tenang untuk mendapatkan rawatan.

Imbasan CT dilakukan ke atas mangsa dan mendapati bilah pisau tersebut ditikam sedalam 3.4 inci (8.7 sentimeter) ke dalam kepalanya menerusi soket mata kiri mangsa.

Timbalan Penasihat Jabatan Pembedahan Neuro hospital tersebut, Dr. Xin Huining yang terkejut dengan situasi pesakitnya itu memberitahu kepada pemberita: “Saya menjadi doktor sejak 15 tahun lalu. Memang ini kali pertama saya melihat kejadian seperti ini.”

“Percaya atau tidak pisau itu tidak mengenai biji mata, arteri atau pangkal otak, malah turut terlepas rongga kranium dan disebabkan itu, pesakit berkenaan mampu bercakap dan bergerak seperti biasa,” katanya.

Pun begitu, mangsa dibenarkan meninggalkan hospital setelah kakitangan perubatan mengeluarkan objek tajam tersebut dan mencuci lukanya.

Tambah Dr. Xin lagi, mangsa tidak membuat laporan polis mengenai kejadian yang menimpa dirinya.
-kualalumpurpost

Ceramah Pas hilang seri, penuh cercaan, kata Prof Agus

MALAYSIA DATELINE
Seorang penganalisis politik mendakwa Pas seperti hilang arah apabila ceramahnya semakin hilang tarikan sebaliknya sarat dengan cercaan.

Prof Datuk Mohamad Agus Yusoff berkata pendekatan politik Pas kini berbeza dengan gerak kerja Umno, Amanah dan Bersatu yang lebih lembut, memujuk, kemas dan kerap.

Justeru katanya Pas perlu mengubah pendekatan politiknya jika mahu terus memerintah Kelantan kerana sikap pengundi Kelantan tidak statik.

Menurutnya rakyat Kelantan akan menukar kerajaan apabila kerajaan sedia ada tidak lagi dapat menunjukkan imej perpaduan yang baik.

"Perhatikan keinginan anak muda dan perantau di luar Kelantan yang akan balik mengundi nanti. Mereka antara penentu besar kerajaan yang akan memerintah selepas PRU14 nanti.

"Jika Pas tidak berubah dan masih dengan sikap politiknya sekarang, PRU14 nanti akan menyaksikan perubahan kerajaan di Kelantan," katanya di Facebook hari ini.

Menurut pensyarah kanan sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, pada tahun 1978, rakyat Kelantan menolak kerajaan Pas apabila Pas berkonflik dan Berjasa ditubuhkan.

Pada tahun 1990, rakyat Kelantan menolak kerajaan Umno apabila parti itu berkonflik dan Semangat 46 ditubuhkan.

"Senario tersebut berulang lagi sekarang. Parti Pas yang memerintah Kelantan berkonflik berat sehuingga tertubuhnya Amanah," katanya.

Beliau turut melontarkan soalan sama ada Umno-BN atau Pakatan Harapan dan Amanah yang akan menggantikan Pas di Kelantan.

Tsunami Hadi bakal gegar PRU14? -AHMAD LUTFI OTHMAN

AHMAD LUTFI OTHMAN
Seorang pengamat dan kolumnis terkenal mengakui, pendekatan politik matang dan sejahtera Pas bukan saja tidak difahami secara mendalam oleh orang ramai, malah Presiden Umno, Najib Razak sendiri mungkin keliru untuk mantafsirkannya.

Saya juga berjumpa dan bertemu ramai orang, termasuk sarjana sains politik, bertanyakan hal sama, iaitu tentang pendekatan Pas yang semakin payah dihadam umum. Jawabnya juga hampir tidak berbeda.

Mereka agak keliru dengan gaya berpolitik Pas, yang disifatkan idea tersendiri-mutlak presidennya, Ustaz Abdul Hadi Awang, dan tidak lagi melalui proses semak dan imbang dalam parti.

Yakin dengan Tok Guru

"Kami yakin dengan buah fikiran dan ilham Tok Guru (Haji Hadi). Walaupun kadang-kadang agak susah nak faham apa hikmahnya, tetapi kami percaya idea Tok Guru dipandu wahyu dan petunjuk Allah. Lama kelamaan nanti kita akan mengerti juga mengapa Pas memilih jalannya tersendiri," kata seorang aktivis Parti Islam itu ketika ditanya mengapa Pas memilih pendekatan berbeda dengan parti pembangkang lain.

"Tok Guru Haji Hadi ulama terkemuka dunia, takkan dia nak bawa kita masuk neraka. Ada perkara yang dia nampak, tapi kita tak nampak. Yang penting, jangan sangsi atau bersangka buruk. Cara dan gaya berpolitik orang alim berbeda dengan stail pemimpin sekular pembangkang," seorang penyokong kuat Pas memberi komentar apabila diajukan adakah beliau bersetuju dengan sikap parti itu yang dilihat tidak lagi bertegang urat dengan seteru tradisi, Umno.

bendera pas

Meneliti respons kenalan-kenalan saya dalam facebook, saya juga dapat menangkap mesej yang sama. Penyokong Pas memberi reaksi hampir seragam, sebahagiannya tidak dapat menyembunyikan emosi mereka yang sarat dengan nada marah dan terkilan terhadap posting saya. Ada yang menganggap saya sengaja mengumpan provokasi sedangkan saya sebenarnya ingin meneliti realiti Pas pada peringkat akar umbi.

Perubahan drastik

Walaupun tidak pernah mengenali dari dekat personaliti kenalan di media sosial itu, saya melihat perubahan drastik tanggapan mereka terhadap saya hanya kerana memilih jalan berbeda. Kritikan dan kecaman sambung-menyambung. Malah, ada yang mendoakan penamat buruk buat kehidupan saya, terutama selepas dikaitkan dengan keuzuran berpanjangan.

Ketika Parti Amanah Negara belum ada tanda-tanda untuk ditubuhkan, malah Pas sendiri belum terbelah dua, dalam kemaskini FB, saya memuatkan gambar bertemu Dr Haron Din, Mursyidul Am di kediamannya, di Bangi. Seorang pengunjung seolah-olah mengherdik: "Nak mati baru ingat ulama ke?"

Konvensyen Amanah

Waktu itu siri kritikan bertalu-talu dihalakan kepada sidang editorial Harakah, termasuk saya, yang didakwa mengabaikan laporan tentang kepemimpinan ulama dan lebih memihak kepada Ketua Umum KeADILan, Anwar Ibrahim. Hal ini acap kali ditimbulkan dalam mesyuarat, dan kami menyanggah keras tohmahan itu, sambil meminta bukti dakwaan tersebut.

Apa pun, semua itu mengasuh saya supaya lebih sabar dan cermat, di samping menginsafi bahawa tidak mudah mempengaruhi orang lain dengan pandangan kita. Lebih malang, roh dan semangat kewartawanan sering disalah-tafsir oleh orang politik. Dan sememangnya setiap orang mempunyai pendirian tersendiri, berdasarkan sejarah dan latar belakang yang berbeda.

Sokongan moral

Minggu lalu, seorang kawan kebetulan singgah di kediaman saya semata-mata untuk memberikan sokongan moral apabila beliau sering membaca komentar negatif dalam FB saya. "Tak tertekan ke perasaan Lutfi bila baca respons penyokong tegar Pas itu?" tanyanya.

"Saya faham perasaan mereka. Saya pun dari produk yang sama dulu. Saya juga daripada spesis pelampau," pantas saya menjawab. "Sayang pada parti Islam luar biasa hebatnya. Rela putus saudara jika parti diusik, apatah lagi kalau mereka anggap telah dikhianati," saya membalas, sambil menambah, "majoriti mereka ikhlas dan tulus dalam perjuangan. Semangat begitu memang baik tapi ia juga mudah dimanipulasi dan diperalatkan."

Umum maklum dengan keikhlasan dan pengorbanan ahli-penyokong Pas. Mereka tidak mengharapkan apa-apa habuan dan tidak perlu diberi upah untuk terus komited dengan idealisme yang diyakini. "Cukup dengan invois yang dihantar ke akhirat dan menerima balasan syurga di sana," itu antara kalimah keramat yang dilafazkan pendukungnya.

Beria-ia mahu bekerjasama

Justeru, saya tidak hairan mengapa ada sebahagian pemimpin Bersatu dan KeADILan yang beria-ia mahu bekerjasama dengan Pas, meskipun sudah jelas terpampang mesej dan isyarat yang menyukarkan berlakunya persefahaman. Mereka menyedari kekuatan atau aset akar umbi Pas, sekurang-kurangnya sebagai jentera kempen PRU14 yang "murah dan ikhlas". Mungkin mereka sudah membayangkan natijah buruk jika aktivis Pas yang dikatakan ramai itu memboikot kempen nanti.

Amat tidak adil untuk menghukum sesuatu organisasi berdasarkan reaksi melampau sebahagian penyokongnya. Mana mungkin dalam sebuah parti politik yang begitu besar dan keanggotaannya terbuka kepada semua "jenis manusia", barisan pemimpinnya dapat mengawal perilaku dan tabiat buruk ahlinya. Ada ahli yang sukar mengawal perasaan dan emosi, apatah lagi tiada tapisan atau saringan sebelum meluahkan apa yang terbuku di dada ke dalam media sosial.

Namun begitu, reaksi spontan ahli-ahli, termasuk yang suka mengeji atau maki-hamun, haruslah dipantau dan dinasihati. Dalam Amanah, gejala tidak sihat itu juga berlaku. Saya perhatikan tidak kurang cemuhan dan tohmahan dilemparkan, kadang-kadang dalam bahasa yang kurang sopan.

Hentikan kata-kata kesat

Setiausaha Agungnya, Anuar Tahir mengambil tindakan drastik, mengeluarkan arahan kepada seluruh ahli dan penyokongnya, dalam program Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah (Nunji) 2017, Februari lalu, agar menghentikan segala bentuk penghinaan atau kata-kata kesat terlawan lawan politik termasuk Pas.

Dua minggu selepas itu, Anuar menghuraikan lebih lanjut: "Saya tidak mengatakan tidak boleh mengkritik. Saya sendiri terus menerus mengkritik parti lawan. Tapi jangan guna perkataan-perkataan kesat, kasar dan bersifat mengeji. Kata-kata nista tidak membawa kita ke mana-mana."

Menjadi lebih malang jika kepimpinan tertinggi parti sendiri menunjukkan teladan buruk dan gagal menjaga lidah masing-masing. Maka, pengikut atau anak murid terikut-ikut dengan rentak di luar batasan itu. Caci-maki kepada seteru politik tidak dianggap akhlak buruk lagi, apatah pula kepada sasaran yang dilihat pengkhianat dan munafik!

Bukan tidak celaru

Saya kira penyokong Pas bukannya tidak keliru dan bercelaru membaca kenyataan pemimpin mereka, terutama berkaitan sikap politik dengan Umno. Terdapat kontradiksi yang ketara, antara pendirian konfrontasi dan diplomasi. Bagaimanapun, amalan walak atau taat setia yang disemai melalui program tarbiyyah sejak sekian lama dapat menghalang daripada tercetusnya pemberontakan dalaman itu.

Tidak pelik apabila penganalisis politik, Dr Agus Yusof dalam posting FB terbaru pada 13 Mac lalu merakamkan: "Dengan pendekatan politik Pas sekarang, saya tengok politik Pas seperti kehilangan arah. Ceramahnya semakin hilang tarikan, cuma semakin sarat dengan cercaan."

Agak kurang pasti bagaimana Dr Agus membuat pemerhatian sebelum mencapai kesimpulan itu. Mengenalinya, saya kira ia tidak dilakukan secara sembrono, tetapi lebih kepada tinjauannya di peringkat bawah, khususnya di Kelantan. Ia tidak jauh lari dengan kenyataan pertama Husam Musa sebaik menyertai Amanah pada 31 ogos 2016: " Saya hairan bagaimana ahli Pas boleh duduk dalam bahtera yang berpusing-pusing."

Bukan masalah ahli

Saya teringat, lama dahulu, seorang editor merumuskan situasi berbeda yang dihadapi parti-parti pembangkang: "Berlainan dengan oposisi lain, misalnya DAP, Semangat 46 mahupun KeADILAN, yang menghadapi masalah di peringkat keahlian, tetapi Pas saya kira mempunyai ahli yang ramai, sedia berkorban, setia. Tiada masalah dengan ahli-ahlinya. Yang menjadi masalah adalah barisan kepimpinannya."

Dalam tulisan lebih awal, saya melihat proses kematangan Pas yang terbina secara evolusi, khususnya sejak zaman kepimpinan ulama 1983, telah terbantut sejak dua tiga tahun kebelakangan ini. Unjurannya untuk menjadi parti pembangkang terbesar dan paling berpengaruh tersekat secara tiba-tiba.

Ia seperti memutuskan hubungan dengan sektor pengundi bukan Melayu, yang baru saja tertarik dengannya, iaitu pada 2008. Hubungannya dengan rakan-rakan sekutu menjadi dingin. Diplomasi politik hancur-berkecai. Laras bahasa yang digunakan nampak kasar dan sering mengguris hati.

Secara peribadi, saya sendiri gagal memahami mengapa fenomena ini boleh berlaku dalam sekelip mata. Semua tertumpu meletakkan faktor utama kepada sosok tubuh presidennya, Ustaz Hadi. Namun, meneliti susur-galur pengalaman siasah ulama terkemuka dunia ini. sepatutnya Pas menjadi lebih ke hadapan untuk membawa perubahan.

Pengalaman bertakah Ustaz Hadi

Bayangkan, belum pun berusia 30 tahun, ustaz Hadi sudah diangkat sebagai Ketua Pemuda Pas Terengganu. Ketua mencecah 30, beliau dipilih AJK Pas Pusat. Setahun selepas itu dilantik pemangku Naib Presiden. Menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden dalam usia 42 tahun, gandingan mantap bersama Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Pada peringkat awal kepimpinan ulama, karismanya bukan sahaja lebih menyerlah berbanding Ustaz Fadzil, malah dia lebih dikenali daripada Presiden, Haji Yusuf Rawa. Ceramahnya sendat dengan orang ramai. Pidatonya di kampus -- ketika universiti masih membenarkan audien luar -- mendapat sambutan hangat, melimpah ruah. Dia umpama idola kebangkitan Islam abad ke-15 Hijrah, menenggelamkan wibawa Anwar yang juga popular di awal tahun 1980-an.

Ustaz Fadzil Mohd Noor

Ustaz Hadi juga tidak menunggu lama sebelum dipilih Adun Marang, Terengganu ketika berusia 35 tahun bersama empat lagi tokoh Pas negeri yang digelar "lima jari jika dikepal menjadi penumbuk yang kuat". Beliau diberi penghargaan menjadi hiasan muka depan majalah berita antarabangsa, Asiaweek.

Empat tahun kemudian, Ustaz Hadi dipilih menjadi Ahli Parlimen. Manakala ustaz Fadzil terpaksa menunggu sehingga 1999 untuk beraksi di Dewan Rakyat sebagai Ketua Pembangkang. Sebelumnya hanya di Dewan Undangan Negeri Kedah bersama Adun Pas yang tidak pernah melebihi tiga orang.

Khazanah berharga

Sudah tentu pengalaman ustaz Hadi di peringkat pusat membolehkan beliau mengutip khazanah berharga buat kerjaya politiknya, terutama apabila mula berhubung dengan Tengku Razaleigh Hamzah dan pimpinan Semangat 46, melalui Angkatan Perpaduan Ummah, termasuk secara tidak langsung dengan Lim Kit Siang dan ahli-ahli Parlimen DAP, melalui Gagasan Rakyat.

Allah mentakdirkan, masa sama, Ustaz Hadi menjadi menteri besar Terengganu, satu lagi posisi strategik yang mendedahkan dirinya dengan rutin pengurusan dan pentadbiran. Kematian secara mengejut Ustaz Fadzil pada 2002, meletakkan Ustaz Hadi sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen, satu jawatan yang menghamparkan pengalaman bermakna terutama dalam konteks hubungan dengan NGO dan parti oposisi lain.

asiaweekMaknanya peningkatan bertangga Ustaz Hadi dalam politik dan pentadbiran seperti menyusun agar beliau mampu bertapak dalam kedudukan lebih tinggi; tidak mustahil sebagai perdana menteri. Tidak hairanlah, sekali lagi, Asiaweek keluaran 16 Jun 2009, meletakkan gambarnya di paparan muka depan, dengan tajuk besar yang cukup menarik-provokatif, "Will He One Day Lead Malaysia?"

Kesimpulan mudahnya, lorong politik yang dilalui Ustaz Hadi sepatutnya membuatkan beliau penuh berhemah dan bijaksana menangani cabaran dalaman parti mahupun tentangan luaran yang semakin kompleks. Dekat dengan masyarakat kampung, akrab dengan puluhan ribu jamaah Masjid Rusila serta tidak kekok meraikan kepelbagaian dan kemajmukan. Terus disayangi ahli parti, dan sama sekali tidak terfikir Pas akan terbahagi di zamannya.

Sentuhan tersendiri

Sudahlah di persada antarabangsa, kedudukannya sebagai Naib Ketua Ulama Sedunia dan penglibatan proaktifnya dalam isu-isu global yang dihadapi ummah, begitu signifikan sekali. Walaupun kadang-kadang menimbulkan kontroversi, perspektif pandangannya mengenai konflik dunia Islam mempunyai sentuhan tersendiri.

Sesungguhnya malang sekali, tokoh yang terdedah dengan gumpalan pengalaman tidak ternilai itu, seperti memilih jalan mati atau pendekatan yang keliru buat partinya, ketika Pas berada di puncak kemasyhuran. Ia bagai liabiliti yang bakal mengundurkan Pas jauh ke belakang.

"Orang heboh bercakap tentang tsunami Melayu-Islam dalam PRU14, tapi saya jangkakan akan berlaku Tsunami Hadi. Selalu kesan tsunami membawa kerosakan. Saya bimbang padahnya buat Pas," kata seorang sarjana sains politik kepada saya. Buat masa ini saya masih tidak dapat memahami ramalan kenalan saya itu.