Pakatan Harapan di Selangor tumbang jika PKR masih bersama Pas

ARIF ATAN
Ir Izham Hashim AmanahPKR di Selangor boleh berkongsi kerusi mereka pada masa ini dengan Pas dalam pilihan raya umum akan datang jika berminat untuk terus bekerjasama dengan Pas di luar daripada kerangka Pakatan Harapan, tegas Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim.

Walau bagaimanapun, ujarnya, komposisi majmuk pengundi di negeri itu dijangka mengundang kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sekiranya tetap bekerjasama dengan Pas yang kini dilihat mesra Umno-BN.

"Sekiranya, pengundi bukan Melayu menolak Pakatan Harapan kerana masih bersama Pas maka kerajaan Pakatan Harapan Selangor akan tumbang dalam pilihan raya umum akan datang," ramalnya.

Timbalan Pengarah Strategi Amanah Nasional itu berkata, sebarang keputusan untuk bertanding mana-mana kerusi akan diputuskan dalam mesyuarat tertinggi Pakatan Harapan.

"Pas bukan komponen dalam Pakatan Harapan. Amanah tidak bersedia untuk berkongsi kerusi dengan parti yang bukan daripada Pakatan Harapan," tegasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Kedudukan semasa Dun di Selangor menyaksikan Pakatan Harapan (PKR-Amanah-DAP) menguasai 30 kerusi, Pas 13, BN 12 dan Bebas 1 kerusi.

Mengulas sikap pengundi bukan Melayu, Izham berkata, keputusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun tahun lalu bukti segmen pengundi terbabit menolak Pas.

"Kemungkinan tinggi mereka menolak parti lain yang masih mahu bekerjasama dengan Pas seperti kata Datuk Husam Musa, jangan kita anggap bahawa pengundi bukan Melayu akan sentiasa berpihak dengan kita," ujarnya.

Husam yang merupakan Naib Presiden Amanah kelmarin berpendapat Pakatan Harapan di Selangor terancam jika PKR masih mahu bekerjasama untuk memberi laluan kepada Pas bertanding di 15 Dun yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu.

Beliau dalam program Dialog Isu Semasa Perantau Bersama Pakatan Harapan di Kota Bharu itu berkata, risiko kerajaan Pakatan Harapan di negeri berkenaan tumbang tidak dapat dielak memandangkan Pas hampir pasti kalah di kesemua kerusi yang mempunyai kira-kira 20 peratus pengundi Cina.

Lanjut, Izham menjangkakan pengundi bukan Melayu mungkin mengambil keputusan untuk tidak keluar mengundi jika sudah sampai tahap "menyampah" dengan BN dan Pakatan Harapan.

"Mungkin juga mereka (pengundi bukan Melayu) akan pilih calon-calon yang dirasakan berakhlak dan membawa mesej perubahan sahaja daripada Pakatan Harapan dan bukan semua calon Pakatan Harapan," ujarnya.

Pada masa sama, beliau menegur penggunaan kata "kerajaan PKR" di Selangor memandangkan, jelasnya, tanpa DAP dan Amanah, PKR tidak akan mempunyai cukup kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

"Saya kurang bersetuju bahawa kerajaan Selangor adalah kerajaan PKR. Namun, tanpa Pas masih cukup kerusi untuk membentuk kerajaan Pakatan Harapan Selangor. Mesti sebut kerajaan Pakatan Harapan Selangor," tegasnya lagi.

Untuk rekod, purata peningkatan undi Cina untuk Pas di Selangor naik daripada 42.9 peratus pada PRU-12 (2008) kepada 70.3 peratus pada PRU-13 ketika Pas masih bersama dalam Pakatan Rakyat sekaligus menyumbang pertambahan daripada lapan kepada 15 kerusi Dun.

Bagaimanapun, perpecahan Pas menyebabkan dua daripada Adun Pas iaitu Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharudin (Morib) mengambil keputusan untuk menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

Kit Siang sokong Husam Musa jadi MB Kelantan selepas PRU14

FMT Reporters

PETALING JAYA: Lim Kit Siang mencadangkan Datuk Husam Musa sebagai menteri besar Kelantan, jika Pakatan Harapan berjaya menawan negeri itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ini dipercayai adalah kali pertama penasihat DAP itu memberi sokongan terbuka kepada naib presiden Amanah terbabit.

Lim percaya adun Salor itu boleh menjadi teladan baik untuk rakyat Kelantan dan seluruh negara.

Husam yang dianggap pilihan bekas menteri besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, adalah naib presiden PAS ketika parti Islam itu memecatnya atas dakwaan melanggar disiplin dan tatatertib parti pada Mei 2016.

Ketika itu, Husam lantang mengkritik kepimpinan PAS di bawah Datuk Seri Abdul Hadi Awang, khasnya di Kelantan.

Lim berkata demikian pada sebuah majlis sambutan Aidilfitri anjuran DAP cawangan Suara Muda, Kebun Sultan dan Gajah Mati di Kota Bharu, semalam. Beliau memuat naik teks ucapannya di blognya.

Katanya: “Seperti saya katakan dalam program ke-4 ketika majlis rumah terbuka Aidilfitri Amanah peringkat kebangsaan di Dewan Perniagaan Cina Kelantan di Kota Bharu pagi ini, angin perubahan politik bertiup kencang di negara ini, termasuk Kelantan.”

Beliau berharap sambutan Aidilfitri tahun depan bukan saja ada kerajaan pusat dan perdana menteri baru, malah akan ada kerajaan negeri serta menteri besar Kelantan yang baru.

“Saya berharap Datuk Husam Musa akan menjadi menteri besar Kelantan yang baru pada (sambutan) Hari Raya Aidilfitri tahun depan dan saya akan kembali ke Kota Bharu tahun depan untuk menghadiri rumah terbuka Aidilfitri kerajaan Kelantan Pakatan Harapan.”

Bercakap mengenai rakyat Malaysia amat memerlukan pemimpin teladan, Lim berkata: “Walaupun bekas menteri besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat ialah mursyidul am PAS, beliau juga merupakan teladan kepada rakyat Malaysia yang bukannya ahli PAS.

“Jika Husam dipilih sebagai menteri besar Kelantan selepas PRU14, beliau akan menjadi teladan baru bukan hanya untuk rakyat Kelantan, tetapi rakyat Malaysia di negeri lain juga.”

Katanya, beliau tidak dapat membayangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang namanya tercemar disebabkan skandal 1MDB, boleh menjadi teladan sesuai untuk 30 juta rakyat Malaysia.

“Saya tidak faham bagaimana Najib boleh menjadi teladan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, sehinggakan beliau boleh mengeluarkan surat terbuka kepada parti politik pada malam Raya dan meminta semua pemimpin politik di negara ini berhenti mendesak perdana menteri bertanggungjawab terhadap 3 orang yang dikaitkan dengan 1MDB, saman kleptokrasi Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dan skandal kleptokrasi global.”

Pada 24 Jun lalu, Hadi dilaporkan menggesa semua pihak menolak campur tangan pihak luar dalam masalah dalaman negara dengan memberi contoh kejatuhan kerajaan Melayu Islam Melaka disebabkan pihak tertentu mempelawa campur tangan penjajah.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua parti politik tidak mengulangi sejarah dengan menjemput pihak asing menyelesaikan masalah negara seperti kes Bumiputera Malaysia Finance (BMF), Perwaja Steel, Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Adapun pihak lain atau kuasa asing selama-lamanya mencari peluang dan menjaga kepentingan mereka walaupun mengorbankan kita. Cukuplah kita dijajah sehingga beberapa abad dengan kesannya masih belum sembuh.”

15 jarum berkarat dikeluarkan dari kemaluan


Beijing – Seorang lelaki yang kemaruk seks memasukkan 15 jarum jahit yang berkarat ke dalam kemaluannya, kononnya untuk mencapai keseronokan dan kepuasan lebih tinggi.

Akibatnya, kemaluannya dijangkiti kuman hingga menyebabkan air kencingnya mengandungi darah.

Lelaki berusia 35 tahun yang namanya tidak didedahkan itu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan jarum yang setiap satu sepanjang empat inci selepas di masukkan ke hospital minggu lalu.

Doktor Cao Zhiqiang yang merawat pesakit itu di sebuah hospital di bandar Shenyang di wilayah Liaoning di timur laut China berkata, lelaki itu memasukkan jarum berkenaan satu per satu sepanjang tahun lalu.

“Kesan daripada perbuatannya itu, dia mengalami jangkitan haematuria – darah dalam air kencing – dan kesakitan setiap kali membuang air kecil.

Menurut Zhiqiang, jarum itu kelihatan cerah ketika imbasan dilakukan dan ia memudahkannya dikeluarkan ketika pembedahan.

“Dia bernasib baik kerana jarum itu tidak bergerak ke pundi kencingnya. Jika itu berlaku, keadaan lelaki itu lebih teruk,” kata doktor berkenaan.

Lelaki itu kini semakin pulih selepas menjalani pembedahan berkenaan. Dia mendapatkan rawatan di hospital itu selepas didesak keluarganya yang menggesa dia mendapatkan bantuan untuk menangani kegilaannya melakukan seks
-hmetro

Veteran PAS pertahan Mahfuz atas semangat ‘PAS untuk semua’

FMT Reporters 
PETALING JAYA: Seorang veteran PAS mempertahankan Datuk Mahfuz Omar walaupun bekas naib presiden parti itu sering tidak sehaluan dengan pimpinan dalam isu semasa.

Subky Latif, bekas pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan yang merupakan antara pengasas akhbar parti Harakah, berkata Mahfuz tidak boleh disisihkan oleh parti itu sejajar dengan slogannya “PAS untuk semua”.

Subky berkata PAS tidak rugi jika semua orang sama ada “yang sayangkan PAS”, “yang menjauhkan diri dan keluar PAS” atau “yang belum masuk PAS” bersama parti itu menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Subky berkata Mahfuz dihormati oleh bekas presiden Datuk Fadzil Noor disebabkan kelincahan politiknya walaupun bukan dalam kategori mereka yang berpendidikan tinggi.

“Dia belum jadi seperti pemimpin PAS lain yang meninggalkan PAS. Dia sedang melalui tempoh berkabung. Dalam tempoh ini, dia jadi seperti seorang ibu yang kasihkan anak tetapi lebih suka menyusukan kera daripada anaknya sendiri.

“Jika Allah mencatit pahalanya cuma sebesar zarah, maka saya kira bakti Mahfuz itu tidaklah sekadar sebesar zarah saja,” tulis Subky dalam laman berita rasmi PAS, Harakahdaily.

Pada 2015, beberapa pemimpin tinggi PAS bertindak keluar parti itu untuk menubuhkan Amanah, selepas kecewa dengan haluan parti di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Walaupun Mahfuz yang juga wakil rakyat Pokok Sena tidak keluar parti, beliau sering menyokong pendirian Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP, PPBM dan Amanah. Pada pembentangan Bajet 2017 Oktober lalu, beliau satu-satunya ahli Parlimen PAS yang turut sama dengan pemimpin PH melakukan protes keluar Dewan Rakyat sambil mengangkat sepanduk menyelar perdana menteri.

April lalu, PAS Kedah melaporkan Mahfuz kepada pimpinan pusat untuk diambil tindakan disiplin.
PAS Pokok Sena sebelum ini menganggap Mahfuz “duri dalam daging”, dan mendesaknya meletak jawatan dan menyertai parti lain.

“Mana-mana ahli yang tidak patuh dengan keputusan parti, dia bukanlah ahli PAS walaupun dia mendakwa dirinya sebagai ahli,” kata Yang Dipertua (YDP) PAS Pokok Sena, Wan Romani Wan Salim.

Bagaimanapun, Subky melahirkan harapan bekas pemimpin PAS lain yang kini bersama Amanah akan kembali ke pangkuan parti Islam itu.

“Jika boleh saya mahu mereka kembali kepada PAS sebelum PRU14 atau sebelum mati. Biarlah semuanya mati dalam PAS,” katanya.

3 polis dipindahkan selepas kena ‘tangkap basah’ dengan KPN

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tiga anggota polis peronda dikenakan tindakan disiplin selepas dimarahi ketua polis negara yang mengesan mereka melangkaui kuasa dengan memeriksa seorang pendatang asing wanita.

China Press melaporkan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang memandu bersendirian kira-kira 4.30 petang Selasa lalu, ternampak 3 anggota peronda itu memeriksa seorang pendatang asing wanita di sebuah bulatan di Semenyih, Selangor.

Beliau segera mengarahkan 3 anggota itu menghentikan pemeriksaan kerana tindakan itu melanggar prosedur operasi standard (SOP), di mana mereka sepatutnya memfokuskan tugas meronda.

Khalid kemudiannya menghubungi pegawai atasan 3 anggota peronda berpangkat lans koperal dan konstabel dan mengarahkan tindakan disiplin diambil terhadap mereka.

Akibatnya, 3 anggota polis itu diarah melakukan kawad bersenjata selama 2 jam, mulai 11 pagi hingga 1 tengah hari di Balai Polis Semenyih dan dipindahkan untuk menjaga kaunter pertanyaan selama sebulan.

Demi menjaga imej pasukan polis dan menjauhi tanggapan negatif penyalahgunaan kuasa, ketua polis negara pernah mengeluarkan arahan melarang polis peronda menahan pendatang asing tanpa izin sewenang-wenangnya.

Bagaimanapun, jika ada individu disyaki, mereka boleh melakukan pemeriksaan dan tangkapan, selepas mendapat kelulusan pegawai atasan.

Terima kasih rakyat Kelantan, kata Mat Sabu di majlis raya Amanah

ZIKRI ABDULLAH
Kuih muih tradisi Kelantan di majlis sambutan hari raya Amanah hari ini.
Kuih muih tradisi Kelantan di majlis sambutan hari raya Amanah hari ini.

"Terima kasih Kelantan." Itulah yang dizahirkan presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu ketika menyambut orang ramai yang berpusu-pusu mengunjungi majlis rumah terbuka peringkat nasional parti itu di Kota Bharu pagi ini.
Orang ramai yang memenuhi Dewan Himpunan Cina Kelantan sempena hari raya Amanah.
Bagi beliau, sudah dijangka Kelantan akan jadi tapak subur bagi parti yang berjuang untuk rakyat dan sanggup bersusah payah menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman.
Orang ramai yang memenuhi Dewan Himpunan Cina Kelantan sempena hari raya Amanah."Kehadiran seluruh lapisan rakyat pagi ini menunjukkan kita sedang bergerak ke fasa kedua untuk mengatur langkah membentuk kemenangan,

"Usaha yang ditujukkan petugas parti ini menunjukkan jentera kita di Kelantan sudah bersiap sedia menyahut segala cabaran," katanya ketika ditemui Malaysia Dateline pagi ini.

Sebagai parti rahmatan lil alamin katanya, tugas Amanah adalah terus bersama masyarakat dalam keadaan susah dan senang.

"Bila rakyat kesusahan sama ada akibat bencara alam atau tindakan zalim pemerintah kita akan berada di depan.

"Bila ada sedikit kemudahan kita akan berkongsi dengan orang ramai dan sambutan hari ini membuktikan ahli parti Amanah memang berkemampuan," katanya.
Lim Kit Siang bersalam dengan Ahmad Awang dengan diperhatikan oleh Mohamas Sabu, Salahudin dan Husam.
Kepada yang hadir katanya, pihak Amanah mengucapkan berbannyak terima kasih.
Lim Kit Siang bersalam dengan Ahmad Awang dengan diperhatikan oleh Mohamas Sabu, Salahudin dan Husam."Kepada yang tidak dapat hadir dan menyokong dalam segala bentuk menjayakan acara ini kita turut berterima kasih.

"Semua akan membuktikan penyertaan kita mempejuangkan Islam dan keadilan sejagat semakin diterima dan semakin ramai rakan dar sehari ke sehari," katanya.

Dua ekor kerbau ditumbangkan untuk dibuat gulai kawah, menu utama juadah raya hari ini.

Jeritan kakak selamatkan adik dari dirogol

ADILA SHARINNI WAHID


KOTA BHARU – Jeritan kuat seorang kakak berjaya menyelamatkan adik perempuannya dari menjadi mangsa rogol lelaki yang menceroboh rumah mereka dalam kejadian di Kampung Wakaf Tanjung Hilir, Kedai Lalat, Jumaat lalu.


Remaja berusia 18 tahun itu terlebih dahulu menjerit apabila lehernya dicekik dengan kuat oleh penjenayah yang masuk ke rumah mereka pada jam 2.50 pagi.

Ibu mereka dikenali sebagai Azizah, 45, berkata, dia baru sahaja terlelap di sebelah anak keduanya itu di bahagian dapur rumah dalam keadaan televisyen yang masih terpasang.

Katanya, anaknya yang juga penuntut sebuah kolej tersebut tiba-tiba menjerit dan sempat meronta lalu merangkul tubuh erat Azizah.

“Saya bangun dalam gelap dan berpaling ke belakang serta ternampak samar-samar bayang seorang lelaki mengacu parang ke lehernya. Saya turut menjerit, namun suara kami tidak terlalu kuat kerana ketakutan,” katanya.

Dalam masa yang sama, anak sulungnya yang berusia 19 tahun sedang berada di dalam bilik mendengar bunyi bising di dapur bertindak menjerit sekuat-kuat hatinya.

Remaja terbabit berkata, ketika itu dia belum tidur dan berada di dalam biliknya menyedari ada seseorang menutup televisyen.

“Saya berasa pelik sebab ibu biasanya akan mematikan televisyen sekitar jam 4 pagi selepas rancangan terawih di Mekah. Saya keluar melihat adik dan ibu tidur yang di dapur dan masuk semula ke dalam bilik.

“Tiba-tiba keadaan jadi gelap-gelita dan semua lampu serta kipas terpadam. Saya dengar bunyi tapak kaki dan bising suara ibu serta adik minta tolong menyebabkan saya menjerit macam orang histeria,” katanya.

Azizah berkata, mendengar jeritan kuat anak sulungnya itu menyebabkan lelaki terbabit melepaskan mangsa dan lari ikut pintu belakang dengan menggunakan motosikal, namun kemudian terjatuh kerana terkejut melihat jiran Azizah yang sedia memegang kayu.

“Kebetulan jiran saya tu baru balik ke rumah dan sedang makan sebelum terdengar jeritan anak sulungnya itu lalu mencapai kayu di hadapan rumah. Lelaki itu kemudian lari ke dalam semak di belakang rumah,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu kali ketiga berlaku ke atas mereka sekeluarga.

Sebelum ini, rumahnya pernah di pecah masuk dan dia kerugian barang kemas puluhan ribu ringgit.

“Saya tetap bersyukur anak saya selamat dan hanya mengalami luka ringan di jari tengah, calar dahi dan belakang telinga serta lebam pada leher kesan daripada cekik yang terlaku kuat,” katanya.

Katanya, penjenayah itu juga tidak sempat melarikan apa-apa barang berharga miliknya dan mendakwa suspek sudah beberapa hari mengintai mereka sebelum kejadian itu.

“Dalam dua, tiga hari ini saya dengar bunyi tapak kaki di belakang rumah. Saya bergurau bagitahu anak, Lailatulqadar sedang keliling rumah kita, rupa-rupanya penjenayah.

“Rumah saya terletak bersebelahan masjid dan di tepi masjid ada mesin air. Selain banyak kecurian duit mesin air, duit tabung masjid pun mereka curi,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hassanudin Hassan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan sudah menahan suspek pada 1 Syawal lalu kerana dipercayai terbabit dengan kejadian berkenaan.

“Lelaki berusia 26 tahun tersebut memiliki lima rekod lampu bersabit kesalahan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 455 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan menyebabkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun,” katanya.
-sinarharian

Calon PAS mungkin tak lawan calon UMNO pada PRU14

KOTA BHARU, 19 Syaaban 1438H, Selasa – PAS mungkin mencapai “kata sepakat” dengan UMNO untuk tidak melawan satu sama lain di kerusi sama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata, ini bermakna PAS tidak akan bertanding di kerusi UMNO, manakala UMNO juga akan memberi laluan kepada parti Islam di kerusi mereka.

Dalam pada itu, beliau berkata, tiga kemungkinan akan berlaku pada PRU14, iaitu PAS berjuang bersendirian, ke-2 bergabung dengan parti lain.

“Satu lagi kemungkinan ialah PAS tidak menyertai BN, tiada kerjasama dengan UMNO, tetapi mungkin mencapai ‘konsensus’ dengan UMNO di sesetengah kerusi.

“Maksud saya ada kemungkinan ini kerana persekitaran politik dalam negara sentiasa berubah dan PAS akan mengikut cara terbaik, dengan syarat tidak membelakangkan ajaran Islam,” katanya yang dipetik daripada Oriental Daily.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, PAS tidak sama dengan parti lain kerana selagi apa yang dilakukan mereka ialah misi Islam, mereka tidak akan rugi, tidak kira apa jua keputusannya.

“Dalam Islam, walaupun kami kalah, kami masih untung. Kalau kata kami menang, itu maknanya untung 2 kali ganda. Seseorang yang tidak pernah rugi, sentiasa menang, dia tidak akan kalah,” katanya.

Dalam pada itu, Hashim berkata, PAS dan BN berusaha meraih sokongan kaum Cina menggunakan cara berbeza.

Beliau berkata, PAS mahu orang Cina menyokong mereka berdasarkan kebaikan parti itu, bukannya kerana pemberian wang.

“Cara BN ialah menawarkan bantuan kewangan, cara PAS pula ialah biar orang Cina nilai sendiri apa yang kami sudah lakukan. Dasar kami jika menguntungkan mereka, mereka akan sokong PAS,” katanya.
-ismaweb

Surat buat Parti Amanah

MAHDZIR IBRAHIM
Parti Amanah Negara (Amanah) ditubuhkan pada September 2015. Sejarah bagaimana ia tertubuh, semua yang mengikuti perkembangan politik sudah tahu. Tak perlu saya catatkan lagi.

Kita dapat lihat bagaimana sukarnya sesebuah parti mahu dibentuk, bukan setakat masalah teknikal sebaliknya yang lebih sukar ialah untuk mengumpul pengaruh dan kekuatan. Apatah lagi, Amanah bukan diketuai oleh tokoh seperti Anwar Ibrahim (PKR) atau Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM).

Bukan soal Abang Mat Sabu tak popular, tetapi ketrampilannya berbanding bekas PM dan TPM tidak ada padanya. Namun, dalam politik, ini bukan syarat mandatori untuk sesebuah parti itu sukses. Namun, sedikit sebanyak, ia penting bagi mewujudkan faktor yang boleh menarik perhatian dan sokongan orang ramai untuk menyertai parti Amanah.

Justeru, aspek ini Amanah sudah tidak perlu bersaing atau dibandingkan dengan parti seperti PKR (ketokohan DSAI) atau PPBM dengan ketokohan Tun M atau TSMY.

Maka, aspek apa yang sesuai bagi Amanah untuk menapak kukuh dalam persaingan politik hari ini?

Tetapi, apa perlunya hal ini dipersoalkan? Bukankah ini hal parti Amanah, kenapa saya sebagai ahli DAP nak menyebok?

Hari ini Amanah sudah tidak boleh memaparkan diri mereka sebagai mangsa politik hubungan mesra antara Pas dan Umno. Jika setahun atau enam bulan lalu, ya mungkin retorik ini masih laku dijual. Tetapi sekarang dan masa hadapan, tidak boleh lagi.

Contoh terbaik, Anwar Ibrahim. Lebih 10 tahun imej Anwar sebagai mangsa kekejaman BN laku dijual atau berjaya memujuk sokongan rakyat. Tetapi hari ini, generasi yang lahir pada 90an yang kini sudah layak mengundi, tidak dapat membeli imej tersebut.

Tun M bersama oposisi pada hari ini, bukan kerana imej Anwar Ibrahim sebagai mangsa politiknya, tetapi sebab masalah korupsi kerajaan Najib Umno. Ini relevennya.

Maka, aspek ini juga tidak boleh lagi digunakan oleh parti Amanah. Lupakan. Hentikan retorik anda sebagai mangsa Pas demi memujuk sokongan rakyat.

Justeru apa lagi yang boleh diprojekkan untuk menarik sokongan buat Amanah?

Dari gaya (trend) politik Pas hari ini, parti mereka hanya bergantung dengan wala’ ahli-ahlinya dan juga retorik Islam yang mesra regim Kleptokrasi atau ringkasnya Islam Kleptokrasi Ala Pas.

Bagi saya inilah kelemahan Pas yang boleh menjadi kekuatan bagi Amanah jika dapat dirumuskan dengan lebih cermat.

Saya belum mendengar konsep politik Amanah yang dikatakan Islamnya lebih progresif dari Pas. Saya tak mengambil hujah-hujah diceramahnya, kerana ceramah lebih bersifat retorika. Sesiapa pun boleh beretorik jika hari-hari berlatih depan cermin muka.

Amanah yang dikatakan progresif Islam dengan barisan kepimpinan yang alim dalam bidang atau kepakaran tertentu, wajar sekali menerangkan dasar atau polisi kenegaraannya yang punya identiti Islam yang inklusif. Bukan ayat dengan perkataan ‘inklusif’ tetapi polisi bersifat (konsep) Islam inklusif.

Polisi yang boleh menyatukan rakyat pelbagai bangsa, polisi yang boleh memurnikan ekonomi dan sosial. Polisi yang praktikal dan releven.

Saya belum ada dengar butiran ini dinyatakan secara jelas dan konsisten. Bagi saya ini penting dalam proses membina atau membentuk imaginasi penyokong dalam memposisikan parti mereka jauh dari politik intrik Pas.

Polisi ini tidak harus menjadi kitab yang sukar dibaca atau diterjemahkan kepada rakyat, jangan harap rakyat mahu membaca apa yang anda tulis atau menyelidik buku-buku ilmiah anda. Sebaliknya polisi ini harus menjadi zikir disetiap bibir pemimpin mereka dalam menghadapi kritikan mahupun membuat kritikan terhadap masalah negara, setiap masa.

Jika polisi-polisi ini sudah ada, ia perlu diterangkan secara lebih berkesan.

Saya tidak tahu atau tidak mampu menjawab pertanyaan rakan-rakan, mengapa kita perlu berkawan dengan Amanah dan mengapa Amanah penting.

Selain daripada jawapan dan hujah saya bahawa Amanah menolak Umno, GST dan regim Kleptokrasi Najib, saya tidak mampu memberikan jawapan yang lebih jelas dan apakah ‘selling point’ untuk menyakinkan orang-orang Cina dan Melayu (pengundi atas pagar) agar menyokong Amanah kuat-kuat.

Balik kepada soalan tadi, ini adalah hal parti Amanah, kenapa saya sebagai ahli DAP nak menyebok?

Naratif ini telah menjawab, mengapa saya ‘menyebok’ tentang hal parti Amanah.

Dalam konteks Pakatan Harapan secara holistiknya, DAP, PKR atau PPBM memerlukan wakil Amanah yang kuat dan cukup untuk membentuk kerajaan baharu. Tanpa kekuatan yang cukup, perimbangan politik dalam PH akan terganggu.

Maka, dasar-dasar parti Amanah yang jelas dengan identiti politik yang jitu, sangat-sangat diperlukan ketika ini. Bukan untuk PH sahaja, sebaliknya untuk Amanah sendiri malah semestinya untuk para pengundi.

Tidak semua pengundi, mengundi PH kerana kebencian mereka kepada Najib dan Umno, sebaliknya saya yakin, lebih ramai daripadanya, mengundi kerana suka dan yakin dengan dasar dan identiti serta matlamat parti politik itu.

Pandangan saya tidak penting, yang penting identiti politik Amanah harus lebih jelas.

* Mahdzir Ibrahim adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor.

Bekas isteri tak balik raya, lelaki ugut kelar anak dengan pedang

Bernama
KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai mengamuk dan mengugut hendak membunuh 2 anak perempuannya di sebuah rumah di Kampung Suang Prai, Manggatal, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M Chandra berkata dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, suspek, 30, bertindak mengurung 2 anak perempuannya yang masing-masing berusia 4 dan 5 tahun di dalam bilik dan mengacukan sebilah pedang samurai ke leher mereka.

Beliau berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada sepupu suspek selepas mendapati lelaki tersebut mengurung anak perempuannya di sebuah bilik di tingkat atas rumah tersebut selain terhidu bau asap dari bilik suspek.

“Sepupu suspek ternampak suspek membakar sesuatu selain sedang mengacukan sebilah pedang samurai ke leher anaknya sambil menjerit supaya sepupunya itu tidak masuk campur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebaik menerima laporan itu, polis bergegas ke tempat kejadian dan kemudian mengepung kawasan itu bagi memujuk suspek menyerah diri serta tidak mencederakan kedua anaknya.

“Beberapa minit kemudian suspek membawa keluar kedua anaknya dan menyerahkan mereka kepada seorang anggota keluarganya. Suspek menyerah diri kepada polis,” katanya.

Chandra berkata siasatan awal mendapati punca suspek mengamuk disebabkan kecewa kerana bekas isterinya yang berada di Johor tidak pulang menyambut hari raya bersama-sama.

Bagaimanapun kedua-dua adik-beradik itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis turut merampas senjata seperti pedang samurai berukuran 40cm dan pisau pemotong sayur.

Suspek yang didapati positif dadah hasil saringan ujian air kencing itu direman hingga 1 Julai ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Penumpang lumpuh dipaksa merangkak naik tangga pesawat

AFP 
TOKYO: Satu syarikat penerbangan tambang murah Jepun hari ini memohon maaf kerana memaksa seorang lelaki berkerusi roda merangkak naik tangga menaiki pesawat penerbangannya.

Awal bulan ini Hideto Kijima, 44, dalam perjalanan pulang ke Osaka dari melancong ke Amami, sebuah pulau kecil di selatan Jepun, apabila seorang kakitangan Vanilla Air memberitahu beliau peraturan syarikat melarang kakitangan mengangkatnya menaiki tangga pesawat.

Anak syarikat All Nippon Airways itu tidak mempunyai lift di lapangan terbang kecil itu untuk membawa penumpang kurang upaya dari landasan ke pintu pesawat.

Kijima, yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah, menceritakan di blognya bagaimana beliau terpaksa merangkak menaiki tangga dengan tangan.

Akhbar Asasi melaporkan lelaki itu terpaksa merangkak menaiki 17 anak tangga.

Vanilla Air hari ini berkata mereka sudah memohon maaf kepada Kijima.

“Kami minta maaf kerana menyebabkan beliau mengalami kesulitan,” kata jurucakap syarikat kepada AFP, dan menambah pihak syarikat kini mewajibkan penggunaan lif untuk pelanggan kurang upaya di lapangan terbang itu.

Syarikat itu sebelum ini melarang penumpang yang tidak boleh berjalan daripada menaiki pesawat di Amami kerana mengangkat seseorang menaiki tangga perbuatan merbahaya, kata jurucakap itu.

Kijimi, yang kerap melancong ke luar negara, memberitahu Nippon TV hari ini yang beliau “terkejut” apabila kakitangan beritahu beliau tidak boleh menaiki penerbangan kalau tidak boleh menaiki tangga.

“Saya tertanya-tanya kakitangan lapangan terbang merasakan perkara itu tidak salah,” tambahnya.

Jurucakap syarikat pesaing, Japan Airlines (JAL), yang juga terbang ke Amani, berkata syarikat mereka mempunyai lif khas untuk penumpang berkerusi roda di lapangan terbang itu.

Kakitangan JAL sedia mengangkat penumpang yang memerlukan sekiranya ketiadaan lif, tambah beliau.

Kejadian itu menyusuli peristiwa yang dialami United Airlines April lepas, apabila seorang doktor berusia 69 tahun di Amerika Syarikat diheret keluar dari penerbangannya.
-fmt

Mualaf ceritakan pengalaman pahit dengan ‘saudara baharu’ Melayu, dilarang solat Jumaat hanya kerana belum berkhatan.

FMT Reporters 
PETALING JAYA: Seorang buruh kilang dari Kemboja menceritakan pengalaman pahitnya sejak memeluk Islam di Malaysia, di mana beliau tidak mendapat dorongan dan bantuan daripada rakan sekerjanya berbangsa Melayu, lapor Utusan Malaysia.

Malah, Cheng Mang yang kini bergelar Mohamad Ridhuan berkata rakan sekerja Melayu lain juga tidak membenarkannya menunaikan solat Jumaat di masjid pada hari sama beliau melafazkan 2 kalimah syahadah, dengan alasan dia “tidak bersih”.

“Keesokannya saya terus ke hospital untuk berkhatan dan saya memilih ‘berpantang’ di rumah kongsi buruh binaan Bangladesh berbanding asrama kilang jahit kerana tahu tiada siapa lagi sudi ambil berat,” kata Ridhuan kepada Utusan Malaysia.

Ridhuan berkata berlaku komplikasi pada kemaluannya sehingga berdarah, dan di ketika itu pun rakan Melayunya tidak membantu, sebaliknya yang membantunya ialah buruh Bangladesh di situ.
Dengan pengalaman pahit itu, Ridhuan pulang selepas tamat permit pada 2013.

“Saya terpaksa pulang semula ke Kemboja pada 2013 kerana masalah permit kerja dan akhirnya saya Islam hanya pada nama kerana kekangan keluarga dan masyarakat kampung yang marah saya bertukar agama,” katanya.

Ridhuan merupakan salah seorang daripada 60 orang penganut baharu Islam yang mengikuti kursus di Madrasah Pengajian Islam (MPI), Pusat Latihan dan Dakwah Orang Asli (Puldoa) Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di Kok Lanas, Kelantan.

Wanita ditangkap kerana melawan arus lebuhraya

FMT Reporters
PETALING JAYA: Lagi kes lawan arus. Adakah kerana kesilapan papan tanda atau diri sendiri?

Seorang wanita berusia 56 tahun yang memandu sebuah Perodua Kenari dirakam memandu melawan arus di Lebuhraya Link Ke-2 berhampiran Gelang Patah, Johor Bahru, lapor Star Online.

Klip video 27 saat itu menjadi tular selepas ia dimuatnaik seorang lelaki Nicholas Lim di Facebook semalam, menurut portal itu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Pueteri ACP Noor Hashim Mohamad mengesahkan kejadian berlaku sekitar tengah hari semalam.

Beliau berkata pemandu itu, yang juga pemilik kenderaan tersebut, memandu melawan arus selepas lintasan Link Ke-2, menuju ke arah Senai.

“Wanita itu ditangkap polis trafik di Pekan Nenas…Kami sedang menyiasat kejadian itu,” katanya tanpa mendedahkan alasan wanita itu memandu sedemikian rupa.

Mutakhir ini terdapat beberapa kejadian kenderaan dipandu melawan arus trafik di lebuhraya, dan dirakam pengguna lain.

Sebuah kereta dirakam berbuat demikian di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Kulai lewat bulan lepas.

Beberapa hari kemudian, sebuah lagi rakaman video dimuatnaik di YouTube memaparkan sebuah kenderaan dipandu melawan arus di Lebuhraya Butterworth-Kulim.

Pada Mac, seorang wanita memandu sebuah Proton Gen-2 membuat pusingan U sebelum tol plaza Sungai Dua, berdekatan Butterworth, dan memandu melawan arus dengan laju sejauh 5km.

Dalam kejadian itu, beliau dilaporkan terlanggar 9 kenderaan, termasuk sebuah motorsikal. Seorang pekerja kilang terbunuh apabila Perodua Kelisa miliknya dilanggar.


Tahun ini sahaja PLUS Highway mencatatkan 6 kejadian memandu melawan arus di Lebuhraya Utara-Selatan, disebabkan kesilapan pemandu.

Lelaki ‘kaya terlampau’ (Gambar)


Jakarta: Media sosial di Indonesia heboh dengan satu rakaman video yang menunjukkan seorang lelaki digelar sebagai ‘kaya terlampau.’

Dalam video berkenaan, lelaki itu yang dikenali sebagai Syekh Nono atau Bapak Lurah Suharton dilihat baring di atas katil yang dipenuhi wang kertas.

Malah lantai bilik berkenaan juga dipenuhi duit.

Dia juga kemudian kemudian dilihat mencampakkan duit berkenaan ke lantai seperti gaya seseorang memberi makan ikan di kolam.

Menurut laporan laman Merdeka.com, katil lelaki yang dikatakan ketua sebuah kampung itu, dipenuhi wang Rp100 ribu (RM32) dan Rp50,000 (RM16).
-kualalumpurpost

Aduh...jangan malukan diri sendiri Tok Guru!!!

SHAHBUDIN HUSSIN

Umpama hadiah hari raya kepada Najib Razak, Presiden Pas, Hadi Awang dalam tulisan terbarunya berkata, isu 1MDB perlu diselesaikan secara dalaman tanpa menjemput pihak asing untuk menyelesaikannya.

“Apa pun keputusan isu dalaman kita, biar mahkamah kita sendiri menyelesaikan atau mahkamah rakyat kita menyelesaikannya.

“Sebodoh-bodoh dan sezalim-zalim pihak dalaman kita, biar kita yang tanggung sendiri dan akhirnya berkat kesabaran, pasti sedar dan insaf,” katanya.

Tambah Hadi lagi, pihak asing selama-lamanya hanya mencari peluang untuk menjaga kepentingan mereka, walaupun mengorbankan rakyat Malaysia.

Aduhhh...adakah Tok Guru Hadi Awang sebenarnya benar-benar tentang isu 1MDB ini sehingga menulis sedemikian rupa?

Kenapa memalukan diri sampai begitu sekali?

Kenapa Tok Guru yang berpengetahuan agama dan tahu halal haram sesuatu perkara boleh mengeluarkan kenyataan yang bagaikan "lebih UMNO daripada luahan hati perut pemimpin UMNO sendiri"?

Mengaitkan penyiasatan terhadap 1MDB dengan campurtangan asing hanya merendahkan pemikiran Tok Guru sehingga sama taraf dengan Annuar Musa dan Salleh Said Keruak yang semua orang tahu pangkat dan jawatan yang diperolehi mereka semata-mata kerana kuat mengampu saja?

Adakah Tok Guru juga sedang mengampu Najib?

Tok Guru, penyiasatan oleh beberapa negara terhadap skandal 1MDB tidak sama-sekali bermakna jemputan kepada kuasa asing untuk campurtangan, tetapi kerana jenayah berkenaan dilakukan di negara berkenaan?

Di Singapura, beberapa hukuman telah dijatuhkan dan bank ditutup, di Switzerland dan Luxembourg pula ada bank telah didenda dan Amerika melalui DOJ, proses penyitaan harta sedang dalam prosesnya, ia berlaku bukanlah kerana kita menjemput mereka, sebaliknya kerana kesalahan berkaitan penipuan serta penggubahan wang haram telah berlaku di negara-negara tersebut?

Tanpa dijemput pun, jika jenayah berlaku di negara mereka, tindakan tetap akan diambil oleh berdasarkan undang-undang yang mereka ada tanpa mengira di Malaysia dekat dengan tarikh pilihanraya atau tidak?

Selain itu, sudahkah Tok Guru membaca kenyataan Kedutaan Amerika dua hari lalu yang amat jelas dan mudah untuk difahami.

Jurucakapnya memberitahu, tindakan DOJ berkaitan 1MDB tidak sama-sekali bermaksud campurtangan asing, tetapi suatu inisiatif melindungi pasaran dan sistem kewangan Amerika daripada penipu wang.

"Matlamatnya adalah untuk mendapatkan semula aset dan mengembalikannya demi faedah negara yang terjejas, jelas jurucakap itu lagi.

Adakah Tok Guru faham mengenainya?

Tak malukah Tok Guru kepada pihak berkuasa negara lain yang ingin mengembalikan harta-harta hasil wang yang dicuri kepada kita, tetapi kita sesedap mulut pula mengatakan ia seolah-olah campurtangan asing?

Tok Guru juga harus faham dengan pemecatan secara mengejut Gani Patail sebagai Peguam Negara dan digantikan dengan Apandi Ali, harapan untuk melihat sebarang salah laku 1MDB dibawa ke mahkamah sudah tertutup sama-sekali.

Lihat saja banyak tindakan beliau sejak memegang jawatan itu, peranannya lebih untuk menyucikan 1MDB daripada menegakkan keadilan demi kepentingan rakyat dan negara.

Apa lagi harapan kita?

Satu-satunya ialah melalui mahkamah rakyat seperti yang turut disebut oleh Tok Guru sendiri.

Tetapi, di mana pula pendirian Tok Guru dalam perkara itu?

Kenapa Tok Guru sendiri lebih condong kepada Najib yang seluruh dunia tahu 1MDB itu adalah "anak kesayangannya" dan Jho Low yang berperanan mencatur segala-galanya pula adalah rakan karib keluarganya? (ShahbudinHusin 24/06/2017)

Amanah sedih Hadi guna Islam pertahan kerajaan pencuri dan perompak

BORHAN AHMAD
Ketika Amanah merasa sedih Islam dipergunakan untuk mempertahankan kerajaan kleptokrak yang mencuri dan merompak wang rakyat, DAP pula menyifatkan presiden Pas sebagai pembela Datuk Seri Najib Razak paling besar berbanding pemimpin Umno sendiri.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, yang paling menyedihkan beliau dengan kenyataan Hadi adalah Islam digunakan untuk berhujjah membela Najib.

"Saya paling sedih Islam telah dipergunakan untuk membela Najib dan kerajaan klpetokratnya," kata Khalid mengulas gesaan Hadi agar jangan membawa negara luar untuk menyiasat isu 1MDB dan lain-lain penyelewengan negara.

Menurut Khalid, Hadi sudah terlalu ketinggalan zaman dalam isu ini.

"Apa yang dilakukan oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika adalah menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pihak dari negara ini yang menyalahgunakan sistem di negara itu untuk merompak wang negara.

"Siapa yang nak panggil Amerika untuk menyiasat isu penyelewengan 1MDB di negara ini. Apa yang dilakukan Amerika adalah bertindak ke atas penyelewengan yang berlaku di negara mereka," katanya.

Apa yang hendak dibuat oleh rakyat di negara ini pula, katanya, adalah mahu menukar kerajaan yang merompak wang rakyat bukan mempertahankan kerajaan kleptokrat ini.

Menurut Khalid, hujjah Hadi bahawa kerajaan Islam Sepanyol jatuh kerana campur tangan asing tidak tepat. Yang lebih tepat adalah kerana rakyatnya kekalkan kepimpinan yang rasuah, tidak adil, tidak amanah untuk terus memerintah.

"Itulah yang kita seru rakyat. Tukar pemimpin kerajaan yang merompak wang rakyat, kleptokrat dan tidak amanah ini kepada kerajaan yang adil dan amanah agar negara ini kekal," katanya.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataannya ketika mengulas gesaan Hadi kepada semua parti politik berkata, Hadi adalah pembela Najib paling hebat berbanding dengan pemimpin Umno sendiri.

"Apa yang tidak boleh dilupakan di bulan Ramadan ini adalah perubahan presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada pembela Najib dan skandal 1MDB lebih dari sesiapa pun dalam Umno sendiri," katanya.

Katanya, DAP tidak akan menyokong sebarang campur tangan asing ke atas isu dalaman negara ini, "tetapi kita juga tidak menyokong Malaysia menjadi negara kleptokrasi dunia."

"DAP tegas dengan pendiriannya kerana tidak ada agama yang akan menyokong korupsi dan kleptokrasi," katanya.

Berbeza dengan rakan pimpinannnya dalam Pas sendiri, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta semua pihak agar jangan menjemput pihak asing untuk menyelesaikan masalah dalaman negara seperti BMF, PERWAJA, Tabung Haji, KWSP, dan terkini isu 1MDB.

Dalam surat terbukanya kepada semua parti politik di negara ini, beliau meminta agar jangan bersorak gembira supaya diberi ruang penyelesaian isu dalam negara oleh mahkamah di negara asing.

"Apa pun keputusan isu dalaman kita, biar mahkamah kita sendiri menyelesaikan atau mahkamah rakyat kita menyelesaikannya.

"Sebodoh-bodoh dan sezalim-zalim dalaman kita, biar kita yang tanggung sendiri dan akhirnya berkat kesabaran, pasti sedar dan insaf,"katanya yang dipercayai mengulas tindakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika yang sedang menyiasat skandal 1MDB yang menggunakan kemudahan di negara itu untuk menipu wang negara.