Gandingan Anwar-Mahathir tingkatkan keyakinan rakyat terhadap PH

MALAYSIA DATELINE
Gandingan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi impak yang sangat besar kepada negara kerana kedua-dua pemimpin ini merupakan tokoh negarawan yang memiliki pengaruh yang besar kepada rakyat Malaysia.

ngar kor ming“DAP Perak mengalu-alukan kenyataan Tun Dr Mahathir yang bersedia untuk menyokong Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan diberi mandat oleh rakyat untuk membentuk kerajaan baru menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)," kata Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming (gambar kiri).

Beliau berkata kesediaan Mahathir menyokong Anwar menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) diberi mandat mentadbir kerajaan menonjolkan kematangan politik pemimpin-pemimpin PH.

“Ini adalah berita yang baik, ia menunjukkan kematangan berpolitik antara pemimpin Pakatan yang sanggup mengutamakan agenda reformasi demi rakyat dan negara dari mana-mana kepentingan peribadi,” katanya.

Ahli Parlimen Taiping itu berkata, kematangan berpolitik yang ditonjolkan ini wajar dicontohi semua pemimpin dan anggota Pakatan Harapan untuk memenangi PRU-14.

“Dengan pengumuman ini, DAP Perak percaya semangat Pakatan akan dipertingkatkan dan rakyat akan mempunyai lebih keyakinan dalam misi kita menyelamatkan negara dari rejim kleptokrat yang mencuri harta benda negara,” katanya lagi.

Mahathir dalam satu temubual dengan The Guardian mengulangi desakannya supaya Anwar dibebaskan dan dibenarkan kembali terlibat dalam politik dan mengakui bahawa bekas timbalannya itu merupakan mangsa dendam politik.

“Jelas sekali keputusan mahkamah dipengaruhi kerajaan dan saya rasa kerajaan akan datang akan mampu memujuk Agong untuk memberikan pengampunan Di Raja kepada Anwar.

“Dalam keadaan dia mampu terlibat kembali dalam politik dan menjadi PM. Saya tidak ada bantahan,” kata Pengerusi Bersatu itu seperti dipetik The Guardian.

Umat Islam Dilarang Pelihara Anjing Dalam Rumah - Mufti

KANGAR: Umat Islam dilarang memelihara anjing di dalam rumah tanpa alasan yang kukuh, kata Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Menurutnya ini kerana ada hadis Nabi Muhammad SAW yang menyebut jilatan anjing adalah najis.

“Bagi mengelak dijilat anjing yang sentiasa menjelir lidah yang dianggap najis dari segi agama dan bahaya mengikut sains, maka Islam melarang memelihara anjing di dalam rumah tanpa alasan kukuh,” lapor Bernama yang memetik kenyataan Mohd Asri menerusi sosial Facebooknya.

Beliau mengulas perbuatan seorang wanita Islam yang bertudung memelihara anjing dalam rumah yang membiarkan anjing peliharaannya menjilat beliau dan menjadi viral setelah memuat naik dalam Facebook wanita tersebut.

Menurut Mohd Asri, hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim ada menyebut Nabi Muhammad SAW pernah bersabda "Sesiapa yang memelihara anjing maka sesungguhnya berkurangan (pahala) amalannya setiap hari sebesar qiroth (sebesar Bukit Uhud) kecuali anjing buruan ataupun ternakan (menjaga ternakan).”

Berdasarkan hadis tersebut, sekurang-kurangnya memelihara anjing tanpa sebab yang disebutkan itu adalah makruh walaupun ada ulama yang mengharamkannnya, kata Mohd Asri.

Katanya walaupun hadis tersebut tidak menyebut dosa hanya pahala yang berkurangan, maka hukumnya adalah makruh mengikut sebahagian fuqaha.

Selain itu, salakan dan bulu-bulu anjing yang berterbangan seolah-olah tidak mengalu-alukan tetamu sedangkan Islam menggalakkan masyarakat menjalin hubungan baik dengan jiran, tambahnya.

Beliau berkata banyak kajian mendapati gigitan dan najis anjing berbahaya kepada kesihatan manusia dan atas sebab itu Islam mengingatkan penganutnya mengenai bahaya memelihara anjing tanpa sebab kukuh.
-mstar

Ustaz dipenjara curi barang kemas

Petaling Jaya – Menjadikan alasan ingin ‘memagar’ rumah pesakit daripada gangguan makhluk halus, seorang ustaz warganegara Indonesia yang mencuri barang kemas milik pesakitnya dihukum penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, Jumaat.

Majistret Mohd Azali Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Santoso, 28, setelah dia mengaku bersalah mencuri antaranya rantai, subang dan gelang emas yang bernilai RM20,000 milik Norhayati Ujang, 48.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula tarikh ditangkap pada 22 Mac lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Vista Pinggiran, Jalan Pinggiran Putra 1, Seksyen 2, Bandar Putra Permai, Serdang, di sini pada Oktober 2016.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, hendaklah dipenjara dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara mengambil kira faktor tertuduh menggunakan alasan ingin merawat pesakit sebaliknya dia telah mencuri.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia penanggung utama keluarga dan menjaga ibu bapa yang sudah tua di Indonesia.

Terdahulu, mengikut fakta kes, mangsa telah berkenalan dengan seorang ustaz (tertuduh) yang mendakwa dirinya pandai mengubati penyakit dan menghalau mahkhluk halus.

Mangsa lalu mengupah lelaki tersebut memagari rumahnya daripada gangguan mahkluk halus dan ketika melakukan ritual tersebut, wanita itu ada terlihat tertuduh membuka laci-laci di dalam biliknya tetapi menganggap ia sebahagian daripada ritual itu.

Namun wanita itu kemudiannya mendapati barang kemasnya hilang dan terus membuat laporan polis.

Tertuduh berjaya ditangkap lima bulan kemudian.
–Bernama

Kerajaan Pas Kelantan angkat pengusaha kelab malam?

ARIF ATAN

Ketua Pemuda Pas Kelantan (berkopiah) tersenyum lebar di sisi Awie dalam program di Kota Bharu semalam

Kehadiran penyanyi dan pelakon, Awie menyempurnakan gimik pelancaran Kelantan International Bike Week di Kota Bharu semalam hangat diperkatakan di media sosial.

Dalam program berlangsung di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood dilapor menyambut ketibaan Awie bersama kumpulan penunggang motosikal Wing Motor Gang Society.

Walau bagaimanapun, banyak pihak melihat kerajaan negeri Kelantan yang dikuasai Pas dalam keadaan terdesak untuk meraih sokongan golongan belia selain menunjukkan parti tersebut masih berpengaruh.

Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari turut hadir dalam program yang sebelum itu menyaksikan kematian dua penunggang motosikal selepas terlibat dalam kemalangan di Perak ketika dalam perjalanan menuju ke majlis tersebut.

Pada masa sama, gambar Awie, 49, dalam suasana kelab malam juga tersebar. Penyanyi lagu 'Sejati' dan 'Di Ambang Wati' sebelum ini pernah didakwa sebagai pengusaha sebuah kelab malam di Ipoh, Perak.

Hal tersebut diakui bekas abang iparnya, Othman Misbun, 41, ketika prosiding perbicaraan permohonan hak penjagaan (hadanah) kekal terhadap tiga anak Awie dan bekas isterinya, Rozana Misbun di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada 13 Julai tahun lalu.

Menurut Othman, Awie mengusahakan pusat hiburan Malai Rock Station Bistro yang turut menyediakan arak seperti kelab malam lain sejak beberapa tahun lalu.

Turut dikongsi netizen adalah gambar Awie bersama Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dalam sidang media mengumumkan pertandingan muzik BN Youth Music 2011.

Pelakon lebih 30 filem tersebut sebelum ini umum dikenali sebagai artis yang kerap berada dalam program anjuran Umno-BN.

Bina sendiri gaung jika masih mahukan Pas'

ARIF ATAN
Pemuda Amanah Selangor menyifatkan tindakan mengekalkan panji Pakatan Rakyat yang sudah terkubur sebagai tidak bermakna lagi kerana paling penting wajar dilakukan adalah mengukuhkan Pakatan Harapan.

Timbalannya, Danial Al-Rashid Haron (gambar) berkata, jalinan kerjasama dengan Pas yang telah berpatah arang dengan PKR dan DAP akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap gabungan parti pembangkang melalui Pakatan Harapan.

"Semasa PRK (Pilihan Raya Kecil) Sungai Besar dan Kuala Kangsar, kita seakan-akan melihat kejayaan gabungan parti pembangkang semakin ada sinarnya, dan diperkuatkan lagi dengan sokongan MB (Menteri Besar) Selangor terhadap calon Amanah yang melawan calon Pas dan BN.

"Tetapi hari ini, mengambil tindakan bercanggah pula iaitu ingin mengekalkan gabungan Pakatan Rakyat," ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, hubungan kerjasama politik harus dibina agar kekuatan padu sesebuah gabungan itu diyakini oleh rakyat sebagai kerajaan menanti.

"Tetapi jika yang diharap itu semakin dilihat terpesong, apa lagi kiraan yang tinggal untuk rakyat memilihnya?" soalnya.

Jelas Danial, Pemuda Amanah Selangor menyokong kepimpinan Datuk Seri Azmin Ali dan berhasrat mengekalkan kesinambungan kejayaan yang dilaksanakan pada penggal akan datang.

"Namun, sekiranya masih ada hubungan kerjasama dengan Pas, maka kita seolah-olah membina sendiri gaung untuk kita terjun, sebelum menghadapi PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14) dengan penuh kesediaan membina keyakinan rakyat," tegasnya.

Azmin pada 5 Julai lalu memberitahu Pakatan Rakyat masih wujud dan akan terus mentadbir Selangor kerana itu ialah mandat yang diberikan rakyat.

Timbalan Presiden PKR itu berkata demikian ketika ditanya pemberita tentang sebab Pakatan Harapan di peringkat negeri Selangor masih belum wujud.

Mengulas lanjut, Danial menegaskan tindakan Pas memutuskan hubungan dengan DAP pada 2015 dan PKR pula tahun ini adalah tanda Pas sudah tiada persefahaman politik yang padu.

"Tindakan Pas meninggalkan Pakatan Rakyat melalui putusnya hubungan dengan DAP, maka di Pulau Pinang berlaku penyingkiran wakil Pas dari kerajaan. Inilah prinsip yang dipegang DAP dan majoriti rakyat Pulau Pinang. Itulah detik terkuburnya Pakatan Rakyat.

"Apa yang boleh kita harapkan dari parti Pas di Selangor? Parti itu sudah pun memutuskan hubungan kerjasama dengan dua buah parti utama di dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP, dan yang terbaru PKR iaitu melalui usul di Muktamar Kedah 2017," jelasnya.

Menyentuh sikap Pas pada masa ini, beliau menyifatkan keyakinan rakyat terhadap parti berkenaan semakin pudar termasuk pengundi bukan Islam.

"Taring parti itu melawan kezaliman BN terutama dalam isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) semakin tumpul.

"Kumpulan non muslim yang dahulunya cenderung, sudah ramai meninggalkan kotak harapan itu hasil kuatnya sentimen perkauman yang dimainkan Pas," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru supaya penubuhan gabungan pembangkang perlu disegerakan memandangkan kehadiran Amanah dan PPBM dalam politik negara pada masa ini bakal mengukuhkan lagi gabungan pembangkang pada PRU-14.

"Asasnya ialah berbalik kepada ‘kuasa rakyat’. Tindakan pemimpin atasan yang tidak konsisten seperti ini akan menyulitkan lagi pemikiran rakyat.

"Lebih elok mengambil tindakan 'clear cut', bina gabungan yang kuat, dengan matlamat jelas menumbangkan BN.

"Kesemua pimpinan harus duduk dan bincang, hentikan perang kenyataan media, dan kembali ke meja perbincangan untuk mendapatkan solusi yang baik terhadap keinginan rakyat yang ingin melihat perubahan negara yang semakin korup," tegas Danial lagi.

Sekeluarga dipukul, diikat kerana enggan pindah (Gambar)

Hanya kerana enggan berpindah, lima sekeluarga telah diperlakukan dengan kejam di mana mereka dipukul dan diikat sebelum rumah mereka dirobohkan, dalam kejadian mengejutkan di China.

Kejadian itu berlaku pada 1 Julai lalu selepas keluarga berkenaan dikenali sebagai Wu enggan menerima tawaran penyelesaian daripada pihak berkuasa tempatan.

Rumah mereka merupakan sebahagian daripada pembangunan projek bandar.

Video mengenai kejadian itu kini tersebar di media sosial di China.

“Beberapa lelaki mengheret keluarga saya dan menghumban mereka di luar. Mereka memukul dan merosakkan telefon keluarga saya,’’ kata salah seorang anak lelakinya.

Kerajaan sebelum ini menawarkan bayaran pampasan sebanyak RM61,000 dan sebuah rumah apartmen untuk keluarga Wu, namun Wu meminta lima rumah dengan empat tempat letak kereta.

Kedua-dua pihak bagaimanapun gagal mencapai penyelesaian. Pihak berkuasa tempatan telah menafikan terlibat memukul keluarga Wu itu.

Polis kini sedang menyiasat kejadian terbabit
-kualalumpurpost

Saifuddin tidak pernah lalui jerih kami 18 tahun, kata Johari

MALAYSIA DATELINE

Johari Abdul (kiri) dan Saifuddin Abdullah

Ketua Whip PKR Datuk Johari Abdul menyifatkan Datuk Saifuddin Abdullah mungkin ‘janggal’ dengan situasi dalaman pakatan pembangkang ekoran latar belakang politiknya yang sebelum ini merupakan ahli Umno.

"Datuk Saifuddin tidak pernah melalui betapa jerih dan peritnya kami 18 tahun dahulu.

“Semua orang ini yang telah pun melalui detik-detik yang amat membimbangkan pada 18 tahun yang dulu. Jadi mungkin Datuk Saifuddin dia dari Umno. Dia tidak pernah dapat merasai betapa jerihnya, peritnya kami 18 tahun yang dulu. Dan dia sedang belajar.

“Itu adalah asam garam politik. Bukan mudah untuk kita satukan semua kepala. Apatah lagi kita nak satukan dengan orang pernah kita tempur selama 18 tahun. Keadilan (PKR), DAP, Amanah sebelum ini Pas, bertempur dengan (Tun) Dr Mahathir selama 18 tahun. Ada yang ke penjara, lokap, cedera parah, macam-macamlah.

“Harus diingat, setiap orang ada sejarah masing-masing. Kita ada sejarah dengan Dr Mahathir, kita ada sejarah dengan Barisan Nasional (BN) dengan Umno.

"Jadi bila mereka menjadi serpihan kepada Umno iaitu tubuhkan parti Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) maka adalah wajar untuk memberikan sedikit masa,” katanya seperti dilapor Antarapos hari ini.

Johari dipercayai berkata demikian kerana diminta mengulas status berbaur ‘patah hati’ dibuat Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah menerusi laman Facebook, pada Sabtu lalu.

Saifuddin dalam status facebooknya berkata:"Letih melalui proses bertindih penuh dalih sehingga menyebabkan organisasi bertatih dan khalayak jerih lalu kemenangan seakan tak mampu diraih,” demikian tulisan Saifuddin dalam laman sosial itu.

Walaupun bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu menulis secara berkias, status tersebut seolah-olah memberi gambaran mengenai situasi ‘celaru’ yang melanda gabungan yang disertai oleh PKR, DAP, Amanah dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani itu walaubagaimanapun yakin situasi yang melanda Pakatan Harapan akan selesai jika diberi masa sewajarnya dalam usaha untuk menyatukan pemimpin dari pelbagai latar belakang dan ‘kepala’ dalam pakatan pembangkang itu.

“Tidak, ia bukan bercelaru. Kita datang daripada latar belakang yang belbagai. Macam kita nak kahwin, ada orang ini datang daripada keluarga begini. Isteri suami datang dari keluarga alim, si isteri datang dari keluarga disko, pelayar, nelayan...jadi kita nak sesuaikan makan masa walaupun sudah kahwin suami isteri.

“Jadi bagi masa lah, bila mereka perang dengan mereka tiba-tiba nak jadi kawan. Dia kena ada masa. Tidak kenal maka tidak cinta. Kita kena bagi kenal, bercinta dahulu walaupun kita ambil masa sedikit. Lebih baik kita selesaikan. Tiada masalah, bukan benda yang payah pun,” jelasnya.

Guru didakwa menghasilkan, memiliki gambar lucah isteri orang

Kuantan – Seorang guru dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga kesalahan iaitu menghasilkan dan memiliki gambar lucah serta memikat isteri orang untuk melakukan persetubuhan haram, Mac lalu.

Safriduwan Safar, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di depan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Amadan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan namun Hakim Siti Aminah menetapkan ikat jamin sebanyak RM15,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin.

Siti Aminah turut memutuskan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa yang merupakan bekas kekasihnya sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 1 Ogos ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. – Utusan

(Gambar) Kaum ibu pukul perogol kanak-kanak beramai-ramai


Seorang lelaki yang didakwa merogol seorang kanak-kanak telah diikat dan dipukul oleh beberapa wanita dalam kejadian yang dipercayai berlaku di India.

Video rakaman yang menunjukkan lelaki itu dipukul telah dimuat naik dalam LiveLeak dan telah ditonton lebih 23,000 kali.

Lelaki itu dipukul bergilir-gilir oleh wanita terbabit dengan menggunakan galah panjang malahan dia juga tidak melawan ketika dipukul.

Maklumat lanjut mengenai kejadian itu tidak diketahui namun video berkenaan berakhir dengan anggota polis terpaksa masuk campur.

Serangan seksual menjadi isu utama di India di mana berpuluh-puluh ribu kes dilaporkan berlaku setiap tahun.Pada 2015, sebanyak 34,000 kes rogol dilaporkan di seluruh negara itu dan jumlah berkenaan semakin meningkat manakala pada 2104 pula, sebanyak 14,000 kes rogol melibatkan mangsa kanak-kanak dilaporkan.

Kes paling popular dalam sejarah di India ialah melibatkan seorang penuntut universiti, Jyoto Singh, yang dirogol beramai-ramai di dalam sebuah bas yang sedang bergerak pada 2012.

Penjenayah turut memukulnya dengan besi dan dia meninggal dunia selepas dua minggu dirawat di sebuah hospital akibat kecederaan dalaman.Kes ini telah mencetuskan kemarahan seluruh negara dengan protes diadakan bagi menuntut supaya undang-undang diperketatkan agar pelaku kes rogol dikenakan hukuman berat.
-kualalumpurpost

Demi rakyat Kelantan, jika nak saman... samanlah, kata Husam pada tauke EcoBit

MALAYSIA DATELINE

Naib presiden Amanah Datuk Husam Musa mengalu-alukan hasrat seorang individu Tang Too Siah yang mahu menyaman beliau ekoran kenyataan yang dibuatnya pada 3 Julai lalu mengenai sebuah syarikat yang memungut deposit tanpa kelulusan Bank Negara Malaysia.

Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Salor dalam kenyataannya itu mahu kerajaan negeri Kelantan menjelaskan sama ada tindakan syarikat Climate Protector menggunakan kelulusan sejuta ekar Hutan Simpan Kekal (HSK) untuk mengutip wang orang ramai dengan menjual token atau 'cryptocurrency' dipersetujui kerajaan negeri.

Ini kerana Menteri Besar Kelantan telah mengumumkan projek 'perniagaan karbon' bertaraf dunia itu pada majlis Aidilfitri 26 Jun lalu sedangkan BNM tiga hari sebelumnya telah menyenaraikan Climate Protector dan sekutunya, EcoBit beroperasi tanpa kelulusan bank pusat itu.

"Saya mengalu-alukan tindakan yang dicadang diambil oleh beliau (Tang Too Siah). Banyak perkara mengenai kepentingan negeri Kelantan, orang awam dan rakyat yang berbangkit sekarang dapat diselesaikan menerusi proses itu Insya Allah," ujar Husam di laman Facebooknya.

Penasihat Amanah Kelantan itu berkata, pihaknya telah menerima aduan yang bertali arus daripada orang ramai termasuk dari Indonesia dan beberapa negara mengenai tuduhan scam melibatkan BTC Panda dan TS Tang.

"Seseorang bernama TS Tang telah banyak dikaitkan di dalam aduan itu. Beliau dikatakan terlibat melesapkan wang pelabur melalui skim bit coin anjuran BTC Panda.

"Saya belum dapat mengesahkan sama ada dakwaan ini benar atau tidak.

"Saya berharap Encik Tang boleh menjelaskan kepada umum sama ada beliau ada terlibat dengan dakwaan itu atau tidak," tambah beliau.

Husam bagaimanapun tidak pasti sama ada TS Tang yang disebutkan oleh para pengadu dan Tang Too Siah yang mengancam untuk menyaman beliau ialah individu yang sama.

Menurut beliau, jika TS Tang yang terlibat dengan BTC Panda adalah sama dengan Tang Too Siah dari Climate Protector dan EcoBit, beliau yakin peringatan yang dibuat kepada Kerajaan Kelantan adalah penting dan mustahak.

Husam juga berharap pihak polis mempercepatkan siasatan ke atas isu ini, yang telah dilaporkan di pelbagai balai polis di seluruh negara antaranya di Setapak, Cheras, Rawang, Kajang, Kepong, USJ8, Paroi, Pantai serta Seksyen 6 Shah Alam.

Beliau juga hairan dengan kegagalan Tang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap BNM kerana mengumumkan Climate Protector telah menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Malah tambah beliau, Program Pembangunan Bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia menafikan terdapat sebarang kerjasama dengan EcoBit, yang menggunakan logo UNDP tanpa kebenaran pihak mereka.

Penyelaras Residen PBB di Malaysia merangkap wakil UNDP bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Stefan Priesner, ujar Husam turut menafikan sebarang projek yang diluluskan agensi tersebut di Malaysia.

"Kenapa En Tang tidak ingin menyaman UN (PBB) dan UNDP sendiri kerana kenyataan-kenyataan ini telah menafikan dakwaan tentang mekanisma UN REDD berkait sejuta ekar hutan Kelantan?" soal beliau.

Husam menambah, menjadi tugas beliau selaku Adun untuk menjaga kepentingan negeri dan rakyat Kelantan malah ugutan saman tidak boleh mengubah tugas dan tanggung jawab beliau untuk terus bersuara.

"Saya juga berharap PDRM terbaca posting ini dan bertindak sewajarnya dalam masa yang dikira tidak tertangguh-tangguh oleh mangsa dan bakal mangsa," katanya.

Dr M: Bebaskan Anwar dan benarkan dia bertanding

FMT Reporters
PETALING JAYA: Bak pepatah “musuh kepada musuh aku ialah kawan aku”, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir 2 dekad lalu kini berkata bekas timbalan perdana menteri itu mesti dibebaskan dari penjara dan dibenarkan bertanding pilihan raya.

Bekas perdana menteri itu memberitahu media United Kingdom, The Guardian, yang Anwar “mangsa dendam politik” dan “diperlakukan secara tidak adil”.

“Keputusan mahkamah jelas dipengaruhi pemerintah dan saya fikir kerajaan akan datang boleh meyakinkan Agong untuk mengampunkan Anwar.

“Jika begitu beliau boleh melibatkan diri dalam politik dan menjadi perdana menteri. Saya tidak akan menolaknya,” kata Mahathir menurut laporan itu.

Anwar sedang menjalani tempoh penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh selepas disabitkan kesalahan liwat.

Bekas ketua pembangkang itu, yang dilihat sebagai pengganti Dr Mahathir pada 1990-an, disingkirkan dari kerajaan dan timbalan presiden Umno pada 1998 atas dakwaan salah guna kuasa.

Ramai penyokong Anwar menuduh Dr Mahathir mendalangi pemenjaraan Anwar.

Dr Mahathir, yang sebelum ini berkata dalam politik tiada kawan dan musuh yang kekal, bagaimanapun berkata dirinya bukan jenis orang yang menaruh dendam terhadap musuh.

Beliau kini pengerusi PPBM, salah satu parti komponen dalam Pakatan Harapan. Tiga parti lain dalam pakatan pembangkang itu ialah DAP, PKR dan Amanah.

Pada April, Dr Mahathir berkata beliau tiada masalah untuk mengetuai usaha mendapatkan pengampuran diraja untuk Anwar jika pembangkang menang pilihan raya umum ke-14.

MB Kelantan pertahan Climate Protector cabar orang ramai buat laporan polis

MALAYSIA DATELINE
Ahmad YakobKerajaan negeri Kelantan mempertahankan perkongsiannya dengan syarikat Climate Protector Sdn. Bhd. berkaitan urusniaga karbon kredit.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob turut mencabar orang ramai supaya membuat laporan polis sekiranya syarikat itu menjalankan aktiviti bersalahan undang-undang.

"Terdapat dakwaan bahawa kerajaan negeri mengutip wang haram dalam mengendalikan program ini sebagaimana yang disebarkan melalui media sosial.

"Kerajaan negeri membuat penegasan bahawa kerajaan negeri tidak pernah mengarahkan atau meminta Syarikat Climate Protector Sdn. Bhd. atau mana-mana syarikat mengutip wang untuk melaksanakan projek karbon trading tersebut.

"Kerajaan negeri amat mengharapkan kepada sesiapa yang ada membuat apa jua bayaran agar dapat membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan oleh pihak berwajib," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau terus mempertahankan usahama itu yang dikatakan dapat meningkatkan program pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan berhutan di negeri Kelantan yang berfungsi dalam mengawal kestabilan alam sekitar, menjamin air bersih dan keberkekalan kepelbagaian biologi.

"Kerajaan negeri Kelantan telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) dengan Syarikat Climate Protector Sdn. Bhd. pada 9 januari 2017 yang lalu.

"Pihak kerajaan negeri telah memperuntukkan tempoh selama 24 bulan atau 2 tahun sebagaimana tertera dalam dokumen perjanjian untuk dilakukan analisa saintifik, penilaian dan laporan verifikasi oleh para saintis bertauliah bagi mengenal pasti stok karbon di kawasan hutan yang dikenal pasti oleh kerajaan negeri.

"Fasa pelaksanaan seterusnya adalah bergantung kepada tempoh kajian ini dengan melihat kepada keupayaan syarikat mengendalikan projek terbabit," katanya.

Dalam tempoh kajian dan semakan semula ini juga katanya, pihak kerajaan negeri akan mendapatkan pandangan pihak ketiga daripada institusi kewangan yang berwibawa ke atas perjalanan urusniaga yang akan dilaksanakan oleh Syarikat bagi memastikan urusniaga ini sah dari segi perundangan tempatan dan antarabangsa.

"Ini termasuklah dengan mengadakan perbincangan dengan mana-mana institusi atau negara yang sedang atau telah melaksanakan projek REDD ini.

"Pihak kerajaan negeri juga mengambil kira pandangan daripada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dalam hal ini," katanya.

2 beradik dijangkiti rabies maut kerana tiada RM40

FMT Reporters

PETALING JAYA: Dua beradik yang maut akibat penyakit anjing gila atau rabies di Serian, Sarawak mampu diselamatkan jika keluarganya mempunyai RM40 untuk membolehkan mereka menerima rawatan.
Menurut ibu saudara mangsa, Doria Agang, 50, keluarganya kekurangan RM40 untuk menyelamatkan Monica Mazlan, 6, dan adiknya yang berusia 4 tahun, Jackson.
“Sepupu saya ialah suri rumah dan suaminya pekerja rencam. Dengan 6 anak berusia 2 hingga 12 tahun, mereka kadangkala menghadapi kekangan kewangan.

“Dua kanak-kanak itu digigit (anjing) sekitar April,” katanya kepada Borneo Post di rumah mangsa di Kampung Paun Rimu Bakung, Serian, semalam.

Dua kanak-kanak itu tidak mendapat rawatan segera kerana keluarga mereka mempunyai masalah kewangan dan mereka hanya mula berkelakuan pelik selepas sambutan Gawai Dayak.

Doria berkata, 2 mangsa itu dihantar ke Klinik Kesihatan Balai Ringin untuk dirawat, tetapi keadaan mereka bertambah teruk pada 24 Jun lalu apabila Monica tiba-tiba sakit teruk dan dimasukkan ke Hospital Serian bersama adiknya.

“Monica yang biasanya agak pemalu dan pendiam, tiba-tiba menjadi sangat peka dan becok,” katanya sambil menambah kanak-kanak itu juga tiba-tiba fasih berbahasa Malaysia.

“Bagi Jackson pula, dia tidak sihat selepas perayaan Gawai Dayak dan sentiasa semput,” katanya.
Doria berkata, kedua-dua kanak-kanak itu dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak apabila keadaan mereka semakin teruk.

Kedua-duanya yang disahkan dijangkiti rabies, kekal dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi Hospital Umum Sarawak dan meninggal dunia semalam.

Memegang anjing tidak dijadikan budaya baru, kata KP Jakim

BERNAMA
Umat Islam di nagara ini diminta tidak menjadikan budaya baharu dengan memegang anjing dan mereka perlu bertaubat dengan perbuatan mereka itu.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha berkata perbuatan seumpama itu akan menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam kerana ia bercanggah dengan pegangan mazhab Syafie serta adat masyarakat Islam tempatan.

"Menurut mazhab Syafie, umat Islam dilarang menyentuh anjing secara sengaja kerana menajiskan diri mereka tanpa tujuan yang munasabah adalah haram di sisi Islam.

"Perbuatan sebegini dilihat seolah-olah cuba mencipta budaya baharu yang boleh membawa kepada perbuatan menghina agama Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Othman MustaphaBeliau mengulas tindakan seorang wanita Islam yang dikenali sebagai Nurhanizah Abdul Rahman yang memuat naik gambar videonya di Facebook pada Sabtu lepas dengan menceritakan berkaitan anjing peliharaannya yang dinamakan Bubu.

Othman berkata pada dasarnya Islam tidak memandang keji kepada binatang termasuk anjing sebagai satu makhluk Allah, apatah lagi untuk menyeksa, memukul dan membunuh anjing tanpa sebab adalah sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam.

Bagaimanapun katanya dalam mazhab Syafie, umat Islam tidak dibenarkan untuk menjadikan haiwan itu sebagai binatang peliharaan.

Malah, Islam mewajibkan semua umatnya memelihara kesucian diri, pakaian dan tempat tinggal agar ia tidak menjejaskan amal ibadah seharian mereka.

Katanya, walaupun Islam meletakkan kaedah sertu atau samak apabila terkena najis yang dikategorikan sebagai mughallazah atu najis berat, namun kaedah tersebut bukanlah alasan untuk membolehkan seseorang itu memegang najis mughallazah secara sengaja.

"Tindakan tersebut samalah seperti orang yang sengaja melakukan dosa dengan alasan akan bertaubat kemudiannya," katanya.

Othman berkata bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu itu secara berhikmah demi kebaikan bersama, individu tersebut dinasihatkan agar merujuk kepada Jakim berkaitan hukum memelihara anjing.

Remaja16 tahun kahwin dengan nenek berusia 71 tahun (Gambar)


Cinta tak kenal usia
Selamat dan Rohaya akhirnya selamat disatukan.
JAKARTA - INDONESIA. Seorang remaja berusia 16 tahun dan isterinya 71 tahun, mengugut mahu membunuh diri jika keluarga mereka enggan merestui perkahwinan tersebut, lapor Detik.com

Ketua kampung Kuswoyo berkata, pasangan itu, Selamat Riayadi dan Rohaya bertemunya bagi mendapatkan bantuan selepas keluarga isterinya enggan merestui perhubungan tersebut.

"Sebelum Ramadan, pasangan berkenaan datang ke rumah saya dan mahu berkahwin namun tidak mendapat restu dari keluarga pihak perempuan." katanya.

Menurutnya, dua hari kemudian, pasangan berkenaan kembali semula menemuinya dan memberitahu mereka akan membunuh diri jika masalah mereka gagal diselesaikan.

"Pasangan itu mahu membunuh diri kerana sangat mencintai antara satu sama lain sehingga akhir hayat dan mahu sehidup semati," katanya dipetik Detik.com

Kuswoyo berkata, mereka akhirnya berjaya menemui jalan penyelesaian dengan bantuan masyarakat di sini.

"Mereka berkahwin sebulan kemudian selepas abang Rohaya bersetuju menjadi wali pernikahan itu.

"Keluarga Rohaya pada mulanya membantah perkahwinan tersebut ekoran jarak umur yang ketara antara kedua pasangan itu.

Dia berkata, tiada faktor ekonomi di sebalik perkahwinan itu kerana masing-masing bukanlah dari golongan berada.

Kisah pasangan itu menjadi perhatian selepas video upacara perkahwinan pasangan itu yang berlangsung di kediaman Kuswoyo menjadi tular di media sosial.

Cabul papan poster Shell: Apa dah jadi dengan lelaki Malaysia?

Sheith Khidhir Bin Abu Bakar
PETALING JING JAYA: Beberapa aktivis marah dan menyoal “apa sudah jadi dengan lelaki Malaysia” selepas penyebaran gambar beberapa lelaki bertingkah laku tidak sopan dan bersahaja terhadap model wanita pada papan poster Shell.
Bercakap kepada FMT, mereka menyatakan sokongan terhadap pendirian pekerja Shell yang berusia 25 tahun, Nor Shafila Khairusalleh yang menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan beberapa lelaki yang beraksi dengan gambarnya sambil mencium dan menyentuh bahagian peribadinya.
Peguam, Nik Elin Rashid berkata gambar itu menunjukkan kurang hormatnya sesetengah lelaki negara ini terhadap wanita.
“Bagi mereka ia lucu tapi bagi saya ia menunjukkan tahap kebijaksanaan mereka atau kurang bijak,” katanya.
“Gambar itu menunjukkan penyakit masyarakat yang tidak menunjukkan rasa hormat pada wanita. Maksud saya, tidakkah mereka mempunyai ibu? ”
Beliau berkata walaupun ia dilakukan terhadap poster namun bukan alasan membiarkan tindakan mereka. Malah, katanya ia menjadikan mereka lebih teruk.
“Mungkin ada yang kata ‘ia hanya poster’ atau ‘hanya gambar tidak bernyawa’. Tetapi masalahnya adalah mereka membuat konotasi seksual yang tidak sesuai.
“Adakah saya sekarang tinggal dalam masyarakat yang mengambil seks atau nada seksual sebagai perkara biasa? Adakah kita mudah terangsang di mana poster pun boleh membuat lelaki bernafsu? Tidakkah mereka mempunyai kawalan diri?
“Gambar yang tersebar ini menggambarkan lelaki kita semakin lemah sehingga tidak mempunyai kuasa.”
Beliau juga mempersoalkan bagaimana perkara buruk ini boleh diatasi bagi memastikan sesetengah lelaki di negara ini “mengawal diri mereka”.
“Adakah gambar bayi juga menjadi perhatian kaum lelaki suatu hari nanti?”
Jurucakap bebas Azrul Khalib juga bertanya apa yang berlaku dan bagaimana menangani kelakuan beberapa lelaki di negara ini.
“Apa yang kita telah lakukan kepada kaum lelaki dan belia yang dibesarkan dalam budaya berbahaya dan patriarki? Apa yang telah kita lakukan untuk mengubah tingkah laku ini? ”
Azrul memberitahu FMT beliau tidak bersetuju dengan tindak balas Shell untuk menurunkan poster itu kerana ia membiarkan “isu sebenar” tanpa disedari.
“Perkara pertama dalam fikiran saya apabila mendengar laporan beberapa lelaki membuat isyarat lucah terhadap salah seorang pekerja wanita Islam pada papan poster Shell, bermakna kita tidak layak mendapat perkara yang baik .
“Kedua, bagaimana budaya di mana lelaki percaya mereka lebih baik daripada wanita dan sikap berjenaka merendahkan wanita menentukan tindak balas kita daripada menangani masalah itu sendiri.
“Masalahnya sekarang bukan papan poster, model tersebut atau Shell. Masalahnya adalah tidak menghargai, melayan manusia seperti barangan dan penghinaan yang jelas lelaki-lelaki ini terhadap model tersebut dan wanita secara umumnya.
“Apa yang dikatakan tentang kita? Kerana tindakan mereka mencerminkan bagaimana kita sebagai masyarakat. Apa yang dikatakan tentang kita bila papan poster pun tidak selamat dan penyelesaiannya adalah untuk menurunkannya?”
Tingkahlaku jijik

Shell dalam kenyataan awal menyatakan pendirian mereka untuk menurunkan papan poster itu serta-merta.
Elin bersetuju dengan Azrul bahawa ia bukan cara untuk menutup perkara ini.
“Shell tidak boleh mengambil pendirian tersebut. Ia kelihatan seolah-olah mereka menerima atau mengakui kelakuan yang menjijikkan lelaki-lelaki ini.”
Azrul berkata keseluruhan masalah ini menonjolkan budaya mengugut dan tidak menghormati wanita “terutama mereka yang bekerja”.
Beliau berkata hakikatnya papan poster itu menunjukkan wanita yang menutup keseluruhan badannya dari kepala hingga ke kaki sehingga kita membuat hujah bahawa “wanita harus menutup aurat untuk mengelakkan gangguan seksual”.
“Kita menegaskan wanita yang menutup aurat kononnya dapat mencegah gangguan seksual, seks haram, serangan seks dan kejadian rogol. Ini bukan sahaja tidak berkesan ia juga menyakitkan hati dan palsu.
“Mengajar wanita supaya bersikap baik dengan cara tertentu untuk mengelakkan gangguan dan serangan seksual adalah satu amaran keselamatan palsu yang membuat mereka bertanggungjawab sekiranya berlaku perkara yang tidak difikirkan oleh mereka.”
Elin sebaliknya berkata sama ada wanita itu dilindungi atau tidak adalah tidak relevan.
“Ini adalah poster wanita yang bersaiz hidup. Tidak kira apa jenis pakaian yang dia pakai dan caranya berpakaian sejujurnya bukan menjadi perhatian saya. Dia boleh memakai bikini dan ia tetap tidak menjadi masalah kepada saya.
“Menyentuh dengan cara seksual oleh lelaki yang tidak tahu malu membuatkan saya tertanya-tanya bagaimana ‘sakit’ dan menyimpangnya masyarakat kita.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Publisiti Wanita DAP Kebangsaan, Syerleena Abdul Rashid DAP memetik Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Mei lalu mencadangkan agar wanita berpakaian sopan di khalayak ramai untuk mengelakkan gangguan seksual.
“Bertentangan dengan apa yang difikirkan oleh sesetengah orang, insiden ini membuktikan gangguan tidak ada hubungannya dengan cara wanita berpakaian tetapi ia adalah perkara menghormati dan memahami apa yang boleh diterima dan apa yang tidak ada dalam mana-mana masyarakat,” katanya kepada FMT.
“Sudah tiba masanya kita serius mengajar anak lelaki dan lelaki kita bagaimana menghormati wanita.
“Mengajar lelaki untuk menghormati wanita dalam setiap aspek adalah sangat penting bagi kita untuk setapak sebagai sebuah negara bangsa, terutamanya dalam nilai menghormati.”
Syerleena berkata walaupun papan poster itu sudah diturunkan, ia meninggalkan kesan terhadap Shafila, suami dan keluarganya yang harus berurusan dengan “masa yang cukup banyak”.
Shafila berkata dia malu dengan tindakan beberapa lelaki itu walaupun mereka hanya melakukan pada imejnya.
Netizens turut marah dengan perbuatan itu dan mengatakan ia sebagai satu bentuk gangguan.
Ramai yang merasakan tindakan individu itu tidak bermaruah dan memalukan model, keluarga dan sanak saudaranya.
Salah seorang lelaki yang dikenali sebagai Shahril Azmi Abdul Shukor atau Abang Shahril meminta maaf semalam, mengakui dalam video yang dimuat naik di Facebook bahawa dia “melampaui batas”.
Beliau juga meminta maaf kepada suami dan keluarga Shafila serta Shell.
“Jika ada keperluan untuk bertemu dengan Nor Shafila dan bercakap dengannya, saya akan berbuat demikian,” katanya.

Lelaki cium poster model Shell minta maaf

FMT Reporters
shell-1
PETALING JAYA: Salah seorang lelaki yang terpalit dengan kontroversi poster model iklan Shell memohon maaf kepada gadis berkenaan.

Lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Shahril Abdul Shukor membuat permohonan maaf melalui rakaman video di Facebook. Dalam imej yang tular di internet, beliau individu yang mencium poster itu.

Dalam permohonan maafnya, Shahril mengakui bertindak di luar batasan dan sedia bertemu dengan model poster, Nor Shafila Khairusalleh, 25 dan suami bagi memohon maaf.

“Saya dengan rendah diri ingin minta ampun, maaf atas tingkah laku saya terhadap Nur Shafila…Saya minta maaf kepada Syafila terutamanya suami beliau.

“Kalau perlu berunding, saya akan menghadap Syafila, keluarga Syafila sendiri bersemuka bagi memohon maaf atas tingkah laku ini,” katanya dalam rakaman video itu, hari ini.

Semalam, Shell mengarahkan poster Nor Syafila di semua stesennya ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.

Ia selepas gambar perbuatan tidak senonoh terhadap poster itu menjadi tular, memaparkan beberapa orang lelaki mencium pipi dan menyentuh dada poster gadis itu.

Shahril turut meminta maaf kepada Shell kerana perbuatannya menyebabkan syarikat minyak itu terpaksa menarik iklan berkenaan.

Beliau menjelaskan ia sekadar gurauan bersama rakan semasa mengisi minyak namun tidak menyangka ia menjadi tular.

“Pada dasarnya untuk tujuan bergurau…gambar ini dihantar ke kumpulan Whatsapp. Saya tidak tahu gambar ini menjadi begitu viral,” katanya.

Beliau mengaku tertekan dengan kecaman orang ramai yang menuduhnya lelaki lucah.

Shafila dilaporkan berkata suaminya turut terkesan dengan perbuatan tidak senonoh itu kerana seolah-olah mencabul maruah isterinya.

Menurut MStar, Shafila bagaimanapun tidak merancang untuk menyaman mana-mana individu yang tidak senonoh itu.

PAS tahu akan hilang Kelantan, Husam sedia jadi MB

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa bersedia dinamakan sebagai calon sementara menteri besar Kelantan bagi tujuan strategik Pakatan Harapan (HARAPAN) merampas negeri itu.

Katanya, PAS seolah-olah menyedari bahawa mereka akan kehilangan Kelantan sehingga menyebabkan parti Islam itu membahas kenyataan yang dibuat oleh pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang mencadangkan ADUN Salor itu diangkat sebagai menteri besar sekiranya HARAPAN berjaya menawan negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

“Buat sementara ini saya terima saya dinamakan, sementara ada orang lain yang lebih berkelayakan supaya rakyat Kelantan lebih nampak siapa yang nak pimpin mereka, apa latar belakang mereka.

“Kalau parti-parti dalam Pakatan Harapan tak boleh terima, kira tak jadilah. Kalau parti dalam Pakatan Harapan terima, bolehlah saya terima bagi tujuan strategik perjuangan kita khususnya di Kelantan.

“Kalau ada orang lain yang lebih layak saya akan beri pada orang itu jadi sementara itu cadangan itu telah dikritik hebat oleh PAS. Jadi saya rasa teruja iaitu PAS macam yakin yang mereka akan hilang kerajaan. Jadi kalau dia tak hilang kerajaan kenapa dia nak bahas menteri besar orang lain,” katanya.

Husam berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Wisma Amanah Negara di Kuala Lumpur selepas diminta mengulas mengenai kenyataan Lim berhubung namanya dinamakan sebagai calon menteri besar.
-malaysiakini

Singa halang ambulans bawa wanita sakit bersalin


Seorang wanita mengandung melalui detik cemas apabila melahirkan bayinya dalam ambulans yang dikelilingi sekawan singa.

Kejadian di kampung Lunsapur, Gujarat di India itu berlaku kira-kira tiga kilometer dari kediamannya pada Rabu lalu, lapor Times of India.

Ambulans berkenaan dalam perjalanan ke hospital bersama wanita berkenaan yang ketika itu menanggung kesakitan untuk bersalin apabila dihalang haiwan itu.

Susulan itu, pasukan paramedik memutuskan untuk menunggu sehingga sekawan singa itu meninggalkan lokasi, tetapi selepas menunggu beberapa kesakitan yang ditanggung wanita itu semakin memuncak, manakala haiwan itu masih tidak berganjak.

Situasi itu membuatkan wanita itu terpaksa melahirkan bayinya dalam ambulans.

Ketua Perkhidmatan Ambulans 108 Daerah Amreli, Chetan Gadhia berkata, petugas perubatan ketika itu menghubungi doktor untuk memaklumkan situasi yang dihadapi.

“Selepas mendapat kebenaran untuk melahirkan bayi dalam ambulans itu, mereka bertungkus-lumus selama 25 minit dan ketika itu singa itu masih lagi berlegar-legar di sekeliling ambulans,’ katanya.

Sebaik bayi itu selamat dilahirkan, sekawan singa itu mula beredar dan pemandu ambulans meneruskan pemanduan ke hospital kerajaan Jafrabad. 
– mStar

Husam: Kelantan lulus 1 juta hektar hutan kepada syarikat haram?

FMT Reporters
PETALING JAYA: Amanah hari ini mempersoalkan keputusan kerajaan negeri Kelantan meluluskan sejuta hektar hutan simpan kekal (HSK) kepada sebuah syarikat yang disenaraikan Bank Negara Malaysia (BNM) beroperasi secara haram.

Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa berkata orang ramai mungkin menjadi mangsa penipuan berikutan langkah meluluskan konsesi 30 tahun kepada syarikat berkenaan untuk membangunkan kawasan itu digunakan bagi mengutip wang daripada orang ramai melalui penjualan token digital.

Katanya, syarikat itu berjanji akan membayar bonus setiap 6 bulan kepada pelabur yang menyimpan melebihi 6 bulan, di mana bonus itu akan dimasukkan secara automatik ke akaun mereka.

Laman web sekutu syarikat itu menyatakan mereka dibenarkan menjana pendapatan melalui kredit karbon untuk membiayai projek itu yang akan dilaksanakan dalam beberapa fasa dan orang ramai akan mendapat pulangan daripada pelaburan mereka serta dapat menyumbang kepada pengurangan kredit karbon.

Husam bagaimanapun hairan dengan dakwaan terdahulu mengatakan 12 hingga 24 bulan diperlukan untuk menyiapkan kajian dan audit stok karbon, tetapi dalam tempoh 3 bulan, tawaran awam dibuat dengan gambaran pulangan pelaburan ialah hasil daripada perniagaan karbon ke atas HSK Kelantan.

Sehubungan itu, beliau ingin tahu jika kerajaan Kelantan mempersetujui skim penipuan itu atau mereka turut menjadi mangsa syarikat itu.

Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri (UPKN) Kelantan pada 9 Januari lalu melaporkan kerajaan negeri itu menjadi peneraju dalam Dagangan Kredit Karbon yang pertama di Malaysia di bawah program jalinan kerjasama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mengurangkan pengeluaran karbon daripada aktiviti pembalakan tidak terkawal di negeri membangun.

Kerajaan negeri memeterai memorandum perjanjian dengan syarikat tempatan untuk mengurangkan pengeluaran karbon daripada aktiviti pembalakan dan meningkatkan stok karbon serta pembangunan mapan melalui hutan simpan.

Kombinasi Tun M-Anwar bawa impak positif: Pakar

WARTAWAN SINAR HARIAN

ALOR SETAR – Sudah tiba masanya untuk Pakatan Harapan terima semula kombinasi pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim jika berhasrat untuk menubuhkan kerajaan pada PRU14.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, perkara itu bukan sahaja mampu membawa impak positif kepada pembangkang, malah kehadiran Tun Mahathir juga adalah calon terbaik sebagai perdana menteri.

“Inilah dilema yang dihadapi oleh Pakatan Harapan. Jika Tun Mahathir nyatakan kesediaan untuk jadi PM, saya fikir ia petanda tidak baik kepada parti-parti pembangkang yang lebih senior.

“Ia seolah-olah pembangkang tidak boleh diharap untuk memimpin masyarakat dan negara. Jika itu isyaratnya, maka ramai tokoh pembangkang perlu bersara serta merta dan memberikan peluang kepada Tun Mahathir serta tokoh-tokoh dari Bersatu untuk membangunkan semula pembangkang yang kini seolah-olah daif kepimpinannya,” katanya.

Menurutnya, dilema yang dihadapi Pakatan Harapan kini bukan sahaja seolah-olah menjadi pelayan kepada Anwar, tetapi kini beralih seolah-olah menjadi ‘dayang-dayang’ kepada Tun Mahathir dan Bersatu yang lebih junior dari segi penubuhannya.

“Walaupun begitu, ia mungkin berhasil jika parti pembangkang ikut cakap Tun Mahathir kerana beliau adalah Presiden dan Pengerusi BN selama lebih 20 tahun.

“Mungkin beliau tahu operasi dan modus operandi Umno serta BN, jadi pemikiran Tun Mahathir juga adalah aset kepada pembangkang,” katanya.

Penganalisis politik itu berkata, semua parti pembangkang harus mengadakan satu pengisytiharan jelas bahawa Tun Mahathir adalah diterima sebagai calon perdana menteri sekali lagi jika Pakatan Harapan menang pada PRU14.

“Semua tokoh Pakatan Harapan perlu ikrar serta taat setia kepada Tun Mahathir dan ia akan membawa impak positif kepada Pakatan Harapan. Saya fikir sudah tiba masanya Pakatan Harapan menerima semula kombinasi pengaruh Mahathir-Anwar jika nak tubuhkan kerajaan.

“Jika Pakatan Harapan ikhlas menerima kehadiran Tun Mahathir, jadi secara positifnya beliau adalah calon terbaik untuk menjadi perdana menteri dan Anwar pula sebagai Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang pada PRU14,” katanya.

Wanita Malaysia ditinggalkan suami Bangladesh di lapangan terbang

FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang wanita Malaysia mendapati dirinya diabaikan oleh suaminya selama 5 tahun, seorang lelaki Bangladesh, yang menghilangkan diri ketika mahu pulang selepas sebulan di negara itu.

Nur Sohafa, 45 tiba di Bangladesh sebulan lalu, dan tinggal di kampung halaman suaminya Md Lavlu di Faridpur.

Bagaimanapun, ketika pasangan itu tiba di Lapangan Terbang Shah Amanat di Chittagong untuk berangkat pulang ke Malaysia pada 30 Jun, Lavlu menghilangkan diri bersama dokumen perjalanan dan pasport.

Ia menyebabkan Nur Sohafa dalam keadaan tidak tentu, sehingga gelagatnya mendapat perhatian polis lapangan terbang, lapor akhbar Dhaka Tribune.

“Wanita itu berjalan-jalan tanpa tujuan apabila polis imigresen menahannya untuk soal siasat dan diberitahu pasportnya hilang bersama suami,” kata jurucakap polis dipetik akhbar itu.

Wanita itu turut memberitahu polis dia tidak tahu alamat tepat kampung halaman suaminya.

Polis Bangladesh semalam berusaha mendapatkan bantuan untuk Nur Sohafa menerusi arahan mahkamah, sementara mengesan suaminya.

Wakil rakyat berang air kosong dikenakan 70 sen

FMT Reporters 

PETALING JAYA: Keadaan ekonomi mungkin sukar, tetapi tiada sebab untuk peniaga mengenakan 70 sen bagi segelas air kosong, kata ahli Parlimen Simpang Renggam.

Liang Teck Meng yang dipetik The Star berkata, baru-baru ini beliau dikenakan 70 sen untuk segelas air kosong di sebuah restoran di Jalan Alor dan meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menjelaskan kekurangan penguatkuasaan berhubung isu itu.

“Restoran lain hanya mengenakan 30 sen, ada pula yang memberinya secara percuma.

“Kementerian perlu menjelaskan kelemahan dalam penguatkuasaan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat.

Menurut laporan itu, Liang berkata, restoran berkenaan tidak berhawa dingin dan beliau dilayan pekerja asing.

Kenyataan Liang susulan gesaan Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Paul Selvaraj pada 24 Mac lalu yang meminta kerajaan mendedahkan mekanisme kawalan harga barang keperluaan asas.

Katanya, kerajaan perlu menggunakan sepenuhnya Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan bagi menangkap peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga ekoran kenaikan harga barang keperluan asas.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong yang dipetik The Star berkata, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 meliputi semua perkara yang disenaraikan di bawah undang-undang di semua lokasi.

Katanya, kenaikan harga barangan tertentu disebabkan kos tambahan yang ditanggung seperti kos pengangkutan.

Khairuddin beri tempoh empat hari untuk Nasrudin Tantawi mohon maaf

ARIF ATAN
Nasrudin HassanKoordinator Deklarasi Rakyat, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (gambar) memanggil Nasrudin Hassan sebagai "berotak udang" dan akan mengenakan tindakan saman ekoran kenyataan Ketua Penerangan Pas itu yang mengaitkan pelapor berhubung skandal mega 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai meminta campur tangan asing.
Khairuddin dalam kenyataannya mencabar Ahli Parlimen Temerloh itu untuk menyebut secara jelas nama individu yang membuat laporan kepada pihak penguatkuasa undang-undang di Switzerland, United Kingdom, Perancis, Singapura, Hong Kong serta Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

"Tolong bagitahu Ketua Penerangan Pas yang bangang ini agar jangan berkias-kias lagi dalam tuduhannya yang tidak berasas itu!

"Sekiranya mempunyai sikap bertanggungjawab, Nasrudin Hassan mesti sebut nama 'pelapor' secara jelas dan buktikan secara sahih orang yang pergi buat laporan di lima negara luar tersebut meminta kuasa asing campur tangan dalam urusan negara Malaysia.
"Kalau Ketua Penerangan Pas yang bangang ini tidak berani sebut nama saya secara jelas serta terbuka sebagai pelapor di negara-negara luar tersebut maka saya ingin nyatakan Nasrudin Hassan seorang yang 'bacul'," tempelaknya.

Khairuddin Abu HassanSehubungan itu, Khairuddin (foto) menuntut ahli Majlis Syura Pas berkenaan membuat permohonan maaf secara terbuka di atas fitnah terhadap dirinya.

"Beliau ada empat hari mulai hari ini (30 Jun) bagi merakamkan permohonan maaf tersebut kerana walaupun beliau tidak menyebut nama saya sebagai fakta yang nyata semua orang di seluruh dunia tahu bahawa sayalah pelapornya.

"Seandainya Ketua Penerangan Pas yang bangang ini gagal berbuat demikian maka saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atasnya," tegasnya.

Khairuddin Abu HassanBekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu menyifatkan Nasrudin serta pemimpin Pas lain tidak tahu fakta sebenar skandal kewangan yang dianggapnya sebagai terbesar di dunia pada dekad ini.
"Mungkin kerana takut disaman atau diambil tindakan undang-undang maka dia bercakap dengan bahasa kiasan saja. Bila saya lawan Najib Tun Razak, Rosmah Mansor, Jho Low, Riza Aziz serta keseluruhan ahli lembaga pengarah 1MDB, saya buat laporan PDRM serta SPRM dan sebut nama-nama mereka secara jelas lagi terbuka.

"Setiap hari, saya naik turun mahkamah untuk pertahankan diri serta prinsip perjuangan untuk menegakkan kebenaran bagi selamatkan Malaysia," jelas ahli perniagaan itu.

Khairuddin yang secara konsisten memanggil Nasrudin sebagai bangang dan dungu itu turut menyifatkan pemimpin Pas yang kerap mencetuskan kontroversi itu sebagai gagal memahami pentakrifan 'kesalahan jenayah pengubahan wang haram' di luar negara dengan campur tangan kuasa asing.

"Bila masa saya pergi ke luar negara untuk meminta negara-negara asing campur tangan dalam hal ehwal dalaman tanah air kita?

"Apakah membuat laporan kepada pihak penguatkuasa undang-undang bagi menyiasat kesalahan jenayah serta sivil yang terbukti di luar negara itu membawa erti saya pengkhianat? Ataupun mereka sedang mencipta alasan untuk menangkap saya semula?" soalnya.

Khairuddin direman selama enam hari bermula 19 September 2015 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan iaitu cubaan untuk melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen selepas dilarang daripada meninggalkan negara ini.

Bagaimanapun, Khairuddin dan peguam, Matthias Chang yang dituduh cuba mensabotaj perkhidmatan bank dan kewangan negara dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur serta dibebaskan dengan jaminan RN10,000 manakala pasport ditahan sebagai syarat jaminan.

Mengulas lanjut, Khairuddin yang keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Oktober tahun lalu itu juga menganggap pemimpin Pas pada masa ini sebagai menyalahgunakan agama demi kepentingan politik parti.

"Bolehkah Nasrudin Hassan seorang politikus yang telah tersimpang dari syariat agama serta aqidah perjuangannya membuktikan saya mengkhianati negara Malaysia?

"Saya bukan macam pemimpin-pemimpin Pas yang fasiq! Mereka memperalatkan agama untuk tujuan survival politik Pas. Mereka telah terpesong dari aqidah agama Islam yang melarang kita bersubahat dengan rasuah.

"Sebab itu saya selaku pemimpin akar umbi Umno pada waktu itu terpaksa pikul tanggungjawab ini sebagai satu fardhu kifayah untuk lawan segala bentuk kemungkaran presiden parti saya sendiri," bidasnya lagi.

Pas kalah, bukannya Islam jika Pakatan Harapan kuasai Kelantan

ARIF ATAN
Ustaz Zolkharnain Abidin 1Tidak timbul masalah jika Pakatan Harapan mengambil alih Kelantan memandangkan sikap mutakhir pemimpin Pas yang menerajui pentadbiran negeri pantai timur itu semakin terserlah menyebelahi rejim Umno-BN.
Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah, Ustaz Zolkharnain Abidin berkata, hasrat Pakatan Harapan untuk menggantikan kerajaan Pas di Kelantan tidak bercanggah dengan prinsip syarak bahkan tidak menjejaskan akidah.

"Inikan negara demokrasi? Bukankah Pas parti Islam, mengapa nak lawan? Apa salahnya jika Pas dikalahkan di Kelantan?

"Jika Pas kalah, yang kalah ialah Pas, bukannya Islam. Jika Pakatan (Harapan) menang, yang akan tadbir Kelantan adalah Amanah. Menteri Besarnya adalah orang Melayu Islam. Amanah juga mahu daulatkan Islam," jelasnya.

Mengulas satu kajian bebas yang menjangkakan Pas akan hilang 27 kerusi, beliau berkata, hal itu tidak menjadi masalah kerana bukannya Islam yang hilang.

"Hanya kerusi Pas saja. Jika Pas hilang kerusi, parti yang akan ambil kerusi itu ialah Amanah. Jadi apa masalahnya?" ujarnya yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Perlis.

Beliau menegaskan Amanah akan melaksanakan urus tadbir yang lebih baik untuk rakyat di Kelantan jika mengambil alih negeri itu pada pilihan raya umum akan datang sesuai dengan perintah Allah supaya berlumba-lumba melakukan kebaikan.

"Bukan saja Kelantan, bahkan seluruh negara termasuk Putrajaya, PH (Pakatan Harapan) akan berusaha ambil alih. Takdirnya, jika Amanah gagal, Pas ambil alih semula. Itulah perlumbaan," jelasnya.

Menurutnya, momokan tentang kewujudan DAP dalam Pakatan Harapan bukannya satu masalah kerana DAP merupakan sebuah parti politik sama seperti Pas, Amanah dan parti lain di negara ini.

"DAP bukan agama. Lagipun, DAP bukan ada kerusi di Kelantan. Di Selangor juga ada DAP. Pas bercokoh bersama DAP Selangor buat bodoh saja, tiba-tiba Amanah bersama DAP, Pas bising," bidasnya dipetik dari kenyataan beliau di Facebook.

Tuduhan kononnya DAP akan menghalang pelaksanaan Islam di Kelantan juga bagi Ustaz Zolkharnain muncul kerana Pas memusuhi DAP yang menentang BN.

"Pas benci DAP bukan sebab DAP lawan Islam, tapi sebab DAP lawan BN, tapi Pas pula nak kawan dengan BN. Pas pun hanya slogan saja Islam tapi merestui kerja BN yang bercanggah dengan Islam. Islam apa begitu?" soalnya.

Menjawab tanggapan kononnya Pas juga melawan BN dengan cara tersendiri, beliau tidak melihat pendirian pemimpin parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu yang mengeluarkan kenyataan bersifat melegakan Najib Razak dalam isu 1MDB sebagai "cara tersendiri".

"Itu bukan cara tersendiri, itu cara Umno. Kalau Pas lawan BN, bukan begitu gaya kenyataan pemimpin Pas," tegasnya lagi.