Kesetiaan saya masih pada PAS - Mahfuz

Dikecam, disindir dan dispekulasi dengan pelbagai kemungkinan namun Datuk Mahfuz Omar berkata beliau tetap bersama parti yang dianggotainya sekarang - PAS.

Menurut anggota parlimen Pokok Sena itu pada masa sama keadaan itu tidak menghalangnya memberikan pandangan berbeza dengan parti asalkan dianggap baik untuk pertubuhan berkenaan.

"Kalau mereka (pimpinan PAS) berasa pandangan yang saya beri itu berbeza, itu adalah hak saya untuk memberikan komen berbeza," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Mahfuz sebelum itu diminta mengulas spekulasi yang memetik namanya serta beberapa wakil rakyat PAS akan meninggalkan parti itu.

Laporan media menyebut, dua lagi wakil rakyat PAS yang dijangka menukar haluan menjelang pilihan raya umum akan datang ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah, dan Mohd Nasir Mustafa (Kubang Rotan).

Pembabitan mereka di atas pentas ceramah Pakatan Harapan (HARAPAN), dakwa Sinar Harian, menjadi petanda bahawa perubahan itu memang akan berlaku.

Pada malam ini Mahfuz dijadual berada di Naka, Kedah, bersama Mohd Nasir dalam ceramah HARAPAN.

PAS akan dijauhi

Ketiadaan mereka dalam beberapa program utama parti, termasuk ketika dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, juga menunjukkan kecenderungan ADUN terbabit mula berubah.

Untuk rekod Amiruddin, 55, ialah bekas pegawai kerajaan yang berkhidmat sebagai jurutera sebelum dipilih bertanding dalam pilihan raya kecil Anak Bukit selepas Datuk Fadzil Noor meninggal dunia pada 2002.

Fadzil adalah pemimpin PAS yang banyak dikenang sebagai tokoh berjaya menyatukan anggota serta pimpinan parti itu walapun datang dari pelbagai aliran serta latar belakang.

Mahfuz pula pernah berkhidmat sebagai ketua pemuda PAS semasa Fadzil (gambar) menjadi presiden.

Kata Mahfuz, beliau tidak dapat melihat logik terhadap spekulasi yang dikaitkan dengannya akhbar Sinar Harian.

Apa yang pasti, kata Mahfuz, beliau sentiasa menyokong HARAPAN sejak awal penubuhannya lagi.

“Saya tak tahu apa yang dirumuskan dan apa asas dibuat Sinar dan mengapa itu tajuk yang dipilih.

"Penglibatan saya bersama HARAPAN tidak ada masalah selama ini.

"Walaupun saya dalam PAS ia tidak menghalang untuk saya terus melibatkan diri dalam program HARAPAN," katanya.

Pada masa sama, kata Mahfuz beliau cuba mengajak PAS untuk kembali bersama pakatan pembangkang dalam HARAPAN.

"Itu harapan saya dan ahli-ahli iaitu supaya PAS tak terasing daripada arus politik perdana,” katanya.

Mengulas lanjut Mahfuz yang turut pernah dipilih anggota parti sebagai naib presiden mereka turut menegur Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang kini menjadi naib presiden pula.

Katanya kenyataan Mohd Amar bahawa PAS akan meletakkan calon di mana-mana kerusi yang kini diwakili PKR atau DAP hanya akan merugikan parti terbabit.

"Saya rasa tak wajar Mohd Amar kata PAS akan lawan di kerusi pembangkang.

"Itu akan membina persepsi bahawa PAS itu angkuh dan menolak perundingan. Ini tidak baik dan hanya akan menjauhkan orang ramai," katanya.
-malaysiakini

Bersatu bakal bertanding 4 kerusi Parlimen di Johor

AZLINA OTHMAN 
Bersatu bakal bertanding 4 kerusi Parlimen di Johor
Depan duduk dari kiri; Jimmy, Dzulkefly, Mujahid dan Sapian semasa program Sembang Politik Tujuh Janji Kerajaan Pakatan Harapan.
JOHOR BAHRU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan bakal bertanding empat kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Setiausaha Bersatu negeri, Datuk Osman Sapian berkata, empat kerusi Parlimen berkenaan adalah Pagoh, Sri Gading, Mersing dan Pengerang.

Menurutnya, buat masa ini, keempat-empat kerusi itu belum lagi dituntut oleh rakan kerjasama parti itu dalam Pakatan Harapan.

"Empat kerusi Parlimen yang bakal ditandingi PPBM adalah Pagoh, Sri Gading, Mersing dan Pengerang kerana buat masa ini tidak ada pertindihan dengan parti lain dalam Pakatan Harapan.

"Bagaimanapun, kami belum membuat kata putus lagi kerana soal pembahagian kerusi masih belum dimuktamadkan. Apa yang boleh kami kata keempat-empat kerusi itu tidak dituntut rakan dalam Pakatan Harapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Sembang Politik Tujuh Janji Kerajaan Pakatan Harapan di sebuah restoran di Taman Mutiara Rini, di sini, hari ini.

Hadir sama; Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa; Timbalan Pengerusi PKR negeri, Jimmy Puah dan Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad.

Pada program itu turut diadakan penyerahan watikah pelantikan 27 Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi Dun Nusajaya.

Malah, turut berlangsung penubuhan empat cawangan baharu dalam Parlimen Gelang Patah iaitu Kebangsaan; Pulaijaya; Taman Seri Pulai dan Pulai Utama menjadi 10 cawangan berada dalam parlimen itu.

Osman berkata, walaupun tidak sampai setahun Bersatu ditubuhkan parti itu mempunyai 26 bahagian di negeri dan keahlian mereka telah mencecah 23,000 orang di seluruh Johor dengan 350 PDM.

"Kita mendapat respons yang baik dan yakin mempunyai keupayaan meletakkan calon sendiri pada PRU akan datang, namun semuanya masih lagi dalam peringkat rundingan.

"Kita sudah lancarkan gerak kerja untuk menghadapi PRU dan selepas ini kami akan melawat setiap bahagian.

"Sebahagian besar daripada kami sememangnya sudah mempunyai pengalaman politik masing-masing, cuma kami akan cuba tokok dan tambah dalam soal memperkasa Pakatan Harapan," katanya.

Tiga YB Pas bakal tinggalkan parti?

ROSLINDA HASHIM
ALOR SETAR - Spekulasi beberapa wakil rakyat Pas bakal meninggalkan parti itu semakin kencang diperkatakan kebelakangan ini apabila mereka yang juga antara tonggak utama parti kini lebih mesra Pakatan Harapan.

Kelibat Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bersama dua Adun Pas, Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit) dan Mohd Nasir Mustafa (Kubang Rotan) semakin menonjol apabila mula menghiasi pentas ceramah Pakatan Harapan.

Walaupun Mahfuz terlebih dahulu mengorak langkah dengan menerajui aktiviti Gerakan Selamatkan Malaysia (GSM) sejak 2016, namun beliau tetap mengisytiharkan diri sebagai ahli Pas. Manakala Amiruddin dan Mohd Nasir dilihat seakan ‘mengacah’ secara perlahan merapatkan ukhuwah bersama pimpinan Pakatan Harapan.

Telahan ini makin dikuatkan dengan ketidakhadiran mereka pada program anjuran Pas, yang turut disertai pimpinan Pusat, termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Malah pada Muktamar Tahunan Pas lalu yang diadakan di Kompleks Pas Kedah, ketiga-tiganya tidak hadir.

Gelagat tiga sekawan ini sudah dihidu Pas Kedah, namun tiada tindakan dikenakan, sekadar diberikan surat mohon penjelasan.

Pemerhati politik menyifatkan Mahfuz-Amiruddin-Mohd Nasir memiliki pengaruh yang besar di kawasan masing-masing.

Mahfuz menang di kerusi Parlimen Pokok Sena sejak 1999, sebelum tewas pada calon BN (2004), namun kembali merampas kerusi itu pada PRU 2008 dengan majoriti 5,371 undi, beliau satu-satunya calon parlimen Pas yang kekalkan kemenangan pada PRU 2013 lalu.

Walaupun pertaruhan awal Amiruddin di Parlimen Langkawi (1999) tidak menjadi, beliau sekali lagi diberi kepercayaan sebagai calon PRK Dun Anak Bukit, menggantikan tempat dikosongkan Presiden Pas, Datuk Fadzil Mohd Nor, yang meninggal dunia pada 23 Jun 2002.

Penyandang kerusi itu selama tiga penggal dan merupakan antara kubu kuat Pas di Kedah sejak zaman Allahyarham Fadzil.

Mohd Nasir pula pemimpin muda yang berjaya merobek kubu kuat BN yang sebelum ini diwakili bekas Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain di Dun Kubang Rotan, namun pengaruh BN di kawasan itu beransur hilang dan Mohd Nasir memenangi kerusi itu pada PRU12 dan PRU13.

Adakah Pas bimbang sekiranya ketiga-tiga wakil rakyat itu menyatakan pendirian politiknya yang kurang senada, sekali gus membawa bersama pengundi tetap untuk memangkah mereka walaupun tidak lagi mewakili Pas.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi ketika diminta mengulas perkembangan ini menyifatkan Pas tidak ketandusan calon untuk bertanding PRU14, sekiranya terdapat wakil rakyat Pas ‘lompat parti’.

“Pas tidak pernah sepi dibarisi calon-calon berpotensi dan ada wibawa. Kemenangan Adun Pas adalah hasil muafakat ahlinya, bukan individu. Sama ada kerusi disandang Pas tergugat atau tidak, tunggu sahaja tiupan wisel PRU14 nanti,” katanya.

Sementara penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, Pas bakal berkubur jika pemimpin utamanya berhijrah ke parti lain menjelang PRU14.

“Pas akan berkubur di Kedah kerana parti itu sudah tiada pemimpin yang hebat sekiranya pemimpin utamanya sertai Amanah atau Bersatu. Saya percaya Pas tidak sempat persiapkan pemimpin muda untuk ambil alih,” katanya.

Menurutnya, dalam situasi tempoh matang penggal ini akan berakhir (Jun 2018), calon gantian Pas tidak mungkin dapat dibentuk mengikut acuan dikehendaki untuk bersaing dengan penyandangnya jika mereka mewakili Pakatan Harapan.

“Jika ditakdirkan berlaku tiga penjuru, BN ada kelebihan untuk menang. Saya percaya ramai ahli akan tinggalkan Pas sebaik sahaja PRU disahkan tarikhnya,” katanya.

Tambahan pula situasi semasa memperlihatkan pendekatan Abdul Hadi yang mesra Umno.

“Masih sukar Pas bekerjasama dengan Pakatan Harapan selagi pemimpin utama menolak kerjasama itu,” katanya.

Remaja 12 tahun dijadikan tempat melepaskan nafsu oleh datuk, bapa dan tiga sepupunya

Limbang – Lima individu termasuk datuk berusia 72 tahun dan bapa mangsa didakwa merogol remaja perempuan berusia 12 tahun pada Jumaat.

Turut didakwa mahkamah majistret adalah tiga sepupu mangsa berusia antara 16 dan 21 tahun.

Semua lima tertuduh didakwa dengan keseluruhannya 22 pertuduhan merogol mangsa di beberapa lokasi berhampiran kampung mereka antara November tahun lalu hingga Jun tahun ini.

Datuk mangsa didakwa dengan enam tuduhan, manakala bapanya pula empat pertuduhan.

Tiga sepupu lelakinya pula masing-masing didakwa melakukan lima, tiga dan empat kesalahan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 30 tahun dan sebat jika bersabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kelima-lima tertuduh yang tidak diwakili peguam itu.

Majistret Mohd Hafizi Abdul Halim menetapkan 6 September untuk sebutan kes berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa raya, Inspektor Mohamad Faris Mohamed Asri
-kualalumpurpost

Larangan ‘bin Abdullah’: Mufti Perlis sambut baik keputusan mahkamah

FMT Reporters

PETALING JAYA:
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan yang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertindak di luar kuasanya apabila menggunakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak Islam sebagai 1 langkah “tidak menghukum anak yang tidak bersalah.”

Sehubungan itu beliau yang sering membangkitkan isu tersebut berkata, keputusan mahkamah juga akan menutup keaiban dan memberi peluang insan bertaubat.

“Semoga keputusan Mahkamah Rayuan itu menutup keaiban, memberi peluang insan bertaubat, tidak menghukum anak yang tidak bersalah dan ke arah menghindarkan mentaliti ‘Islam agama hukuman’,” kata beliau dalam tulisan yang diposkan menerusi Facebook.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan JPN bertindak di luar kuasanya apabila menggunakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak Islam, bertentangan dengan hasrat ibu yang mahu menggunakan nama bapa kanak-kanak tersebut.
Dalam penghakiman bertulis dikeluarkan 2 bulan selepas mahkamah membuat keputusan yang memihak kepada ibu bapa kanak-kanak itu, mahkamah turut mempertikaikan amalan menggenakan “bin Abdullah” kepada anak luar nikah.

“Kami percaya Islam tidak membenarkan penghinaan secara terbuka terhadap kanak-kanak yang tidak bersalah,” tulis Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, seorang daripada 3 hakim dalam penghakiman 28 halaman yang dikeluarkan 2 hari lalu.

Hakim lain ialah Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Puan Sri Zaleha Yusof.

Abdul Rahman berkata ketua pengarah JPN bertindak tidak rasional apabila mendaftarkan kanak-kanak itu dengan nama bapa “Abdullah” dalam sijil kelahiran, menentang hasrat ibunya.

Beliau juga berkata Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak membezakan antara kanak-kanak Islam dan bukan Islam.

“Seksyen 13A(2) tidak mengatakan anak Islam tidak sah taraf harus dilayan berbeza dengan anak bukan Islam ketika mendaftarkan nama bapa,” tulisnya.

Bagaimanapun keputusan mahkamah itu menerima respons yang berbeza daripada pemimpin-pemimpin Islam dan pertubuhan bukan kerajaan.

Dua peguam syarie menyatakan pandangan berbeza mereka berhubung keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Peguam Syarie, Nizam Bashir yang terlibat dalam kes melibatkan pasangan ibu bapa dan kanak-kanak yang kini berusia 7 tahun itu, berkata keputusan itu bermakna JPN selepas ini tidak boleh membinkan seseorang anak luar nikah dengan nama “Abdullah” seperti mana amalan sebelum ini.

Katanya, ia berdasarkan peruntukan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957.

Bagaimanapun, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader tidak setuju dengan keputusan itu, dan mendakwa ia memberi gambaran negatif dan tidak mengikut ajaran Islam.

Beliau turut mendakwa undang-undang Islam jelas melarang anak luar nikah berbinkan nama ayah kandungnya.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan bekas mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad bersependapat keputusan itu bertentangan dengan hukum syarak seperti yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Mohd Tamyes berkata, ketetapan itu diputuskan selepas mengambil kira pandangan ulama dan dalil al-Quran yang menjelaskan maksud anak tidak sah taraf, iaitu anak yang lahir kurang daripada enam bulan selepas tarikh perkahwinan.

Zahid-Hamidi ni bodoh ke bangang gesa sunni bersatu dengan Syiah yang sudah difatwakan sesat

Aedi Asri 

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menggesa umat Islam bermazhab Sunnah dan Syiah melupakan perbezaan mazhab mereka demi Islam.


Berucap di hadapan peserta 38 negara yang menyertai Persidangan Ulama Antarabangsa dan Majlis Zikir Perdana Sedunia 2017, beliau berkata biarpun umat Islam berlainan mazhab, mereka tetap berpegang kepada Al-Quran.

“Tujuan kita adalah demi keamanan sejagat, bukan sengketa sesama kita,” kata timbalan perdana menteri itu.

“Sama ada kita berfahaman Sunnah atau Syiah, kita harus bekerjasama memartabatkan agama daripada diperlekeh orang lain. Kita sama-sama bertanggungjawab memelihara ukhuwah sesama kita dan dengan orang lain,” katanya.

Sunni dan Syiah mempunyai sejarah perseteruan yang panjang, dan mewarnai konflik dan perang saudara di beberapa bahagian dunia Islam.

Pihak berkuasa agama Malaysia memfatwakan Syiah sebagai ajaran sesat, dan penganut Syiah tempatan kerap berdepan tangkapan.

Sementara itu, Zahid menyeru umat Islam menentang usaha memindahkan ibu negara rasmi Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

“Biar rakyat Palestin menentukan hala tuju mereka di bawah kerajaan yang dipilih sendiri. Kita tetap bersama di belakang mereka,” katanya.

Saya keluar Umno kerana Mahathir, tetapi sedia bersamanya lawan Umno

ZIKRI ABDULLAH
Ir Nur Marzuki
Cara Tun Dr Mahathir Mohamad mengendalikan krisis ekonomi dan politik 1998 menyebabkan beliau meninggalkan Umno.

Namun speaker Amanah Negeri Kelantan, Ir. Nur Marzuki Yacob berkata beliau langsung tiada masalah menerima Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu dalam kepimpinan Pakatan Harapan.

"Saya dulu aktif dalam pemuda Umno dan bekerja sebagai jurutera di Petronas.

"Ramai beranggapan saya tinggalkan Umno kerana taksub kepada Anwar Ibrahim (Datuk Seri)," katanya ketika berucap merasmikan persidangan Mesyuarat Tahunan Amanah kawasan Pasir Mas hari ini.

Sebab sebenar beliau tinggalkan Umno ujarnya, disebabkan pemerhatian beliau terhadap sikap rakus ahli Umno khususnya berkaitan perebutan projek.

"Saya sungguh merasa jijik melihat mereka (ahli Umno) begitu tamak untuk mengumpul kepentingan peribadi.

"Sedangkan rakyat yang menanggung derita tidak dipedulikan," katanya.

Zaman Dr Mahathir kata beliau lagi, begitu banyak kepincangan berlaku dalam pengurusan negara.

"Namun apa yang mengejutkan era Najib (Datuk Seri) sekarang jauh lebih teruk.

"Dulu rakyat dalam negara sahaja terasa, sekarang seluruh dunia mengesan bau busuk tempat kita," katanya.

Sebab itulah ujarnya Dr Mahathir sendiri mengambil keputusan untuk bangkit menentang.

"Seperti kita alu-alukan sesiapa sahaja yang keluar Umno untuk melawan Umno tidak terkecuali Tun Mahathir.

"Soal apa peranannya dalam usaha lawan Umno kita yang tentukan bersama bukan dia tentukan sendiri," katanya.

Bukan Bill Gates Lagi Terkaya Dunia

JUTAWAN Microsoft Bill Gates kini bukan lagi menjadi orang terkaya di dunia, sebaliknya diambil alih oleh Ketua Pegawai Eksekutif Amazon.com Inc, Jeff Bezos dengan jumlah kekayaan AS$90.6 bilion (RM387.6 bilion).

Menurut Forbes dan Bloomberg, kekayaan Bezos hampir mencecah AS$89 bilion setakat Rabu, sementara kekayaan Gates menghampiri AS$90 bilion.

Bagaimanapun harga saham Amazon melonjak hampir lebih dari AS$15 seunit semalam, hampir menyamai harga saham Microsoft, manakala harga saham Microsoft semakin merosot.

Bezos memiliki AS$80 juta saham Amazon. Ini bermakna kekayaannya akan bertambah sekitar AS$800 juta dan menempatkan posisi Bezos di atas posisi Gates.

Harga saham Amazon mungkin boleh merosot tapi ia tidak menutup kemungkinan dalam beberapa hari atau minggu seterusnya, posisi Gates akan terus digugat oleh Bezos.

Jika situasi ini berlaku, Bezos adalah orang pertama yang berjaya mengambil alih posisi Gates sebagai orang terkaya di dunia dalam tempoh tujuh tahun terakhir.

Menurut Forbes, Bezos adalah orang keenam yang menyandang gelaran orang terkaya di dunia dalam 30 tahun terakhir.

Bezos sudah bergelar jutawan selama hampir 20 tahun. Dia pertama kali masuk dalam senarai orang terkaya di dunia versi Forbes pada tahun 1998 dengan kekayaan mencapai AS$1.6 bilion setelah Amazon melakukan tawaran awam permulaan (IPO).

Pada tahun 2007, kekayaan Bezos mencapai AS$4.4 bilion.

Kemudian, kekayaan Bezos meningkat kepada AS$18.4 bilion pada tahun 2012 sekali gus menempatkannya pada posisi 26 senarai orang terkaya di dunia.

Sementara itu, Gates menyandang gelaran orang terkaya di dunia pada tahun 2005 dengan kekayaannya mencapai AS$50 bilion.

Dia telah menjadi orang paling kaya di dunia sejak 23 tahun lalu.

Individu lain yang pernah menggugat posisi Gates antara lain Carlos Slim dari Mexico dan Warren Buffett
-mstar

Buah zakar dibaham buaya


Florida – Seorang lelaki gelandangan hilang satu jari tangan, dua jari kaki dan satu buah zakarnya selepas dibaham seekor buaya ketika mandi di sebuah kolam di Port Charlotte, selatan Florida.

Fredric Iman, 68, berkata, dia memeriksa kolam itu bagi memastikan tiada buaya di dalamnya sebelum dia mandi di dalamnya pagi Isnin lalu.

Bagaimanapun, buaya sepanjang kira-kira tiga meter itu dikatakan turut memasuki kolam berkenaan tanpa disedari Iman.



“Saya pusing dan menumbuknya. Saya cuba melarikan diri tetapi ia menarik saya,” kata lelaki itu.
Dia akhirnya berjaya naik ke atas tetapi kerana tidak mempunyai telefon, Iman terpaksa berjalan kira-kira setengah kilometer untuk mendapatkan bantuan.

Seorang penduduk menelefonkan pasukan kecemasan dengan berkata: “Seorang lelaki berada di depan rumah saya, mendakwa dia dibaham buaya. Buaya itu memakan jari kakinya dan seluarnya kelihatan koyak.”

Iman dibawa dengan helikopter ke Hospital Lee Memorial, tempat dia dirawat kerana kecederaan serius tetapi tidak mengancam nyawa.

Dia hilang jari telunjuk, dua jari kaki dan satu buah zakarnya.

Walaupun Iman yang sudah 20 tahun hidup bergelandangan tidak mampu membayar kos rawatan, pihak hospital berkata, ia akan merawatnya sehingga pulih.
-kualalumpurpost

Pakatan Harapan perlu ganti logo, tiada masalah kandungan perlembagaan

DALIA ISMAIL
Barisan kepimpinan Pakatan Harapan hari ini akan mengumumkan logo terbaru gabungan itu ekoran logo 'Harapan' yang dibawa kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) hari ini ditolak.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad, RoS telah menegur berkenaan logo dan simbol gabungan parti itu yang tidak sesuai kerana tidak memberi nama penuh gabungan tersebut.

"Sedikit teguran berkenaan logo dan simbol yang dilihat tidak sesuai kerana tidak memberi nama penuh gabungan itu.

"Dia (RoS) nak kita sebut 'Pakatan Harapan ' ini ada 'Harapan' saja. Kita ambil ingatan dengan teguran tersebut dan akan buat logo dan simbol baru untuk dikemukakan semula kepada mereka," ujarnya di lobi Jabatan Pendaftar Pertubuhan di Purajaya hari ini.

Dr Mahathir juga memaklumkan gabungan parti itu akan membuat logo dan simbol baru Pakatan Harapan dalam tempoh masa dua hari.

Katanya lagi, berkaitan Perlembagaan Pakatan Harapan, pihak RoS tidak menunjukkan sebarang masalah mengenainya.

"Setakat ini tidak ada masalah dari segi perlembagaan dan mereka akan kaji dan akan memberitahu kita keputusannya nanti.

"Mereka beri sedikit panduan yang mana kita sudah ambil kira. Kita dapati RoS memang 'friendly' dan kita juga tunjukkan sikap 'friendly' kita.

"Kita mahu 'comply' bukan dari segi undang-undang sahaja ada aspek yang mendorong RoS buat keputusan.

"Kita berharap apabila kita submit logo baru jika tidak ada lain-lain perkara dalam perlembagaan yang perlu ditukar kita harap dapat kelulusan," ujarnya.

Dr Mahathir berkata, beliau mengingatkan RoS untuk membuat keputusan dalam kadar segera bagi memudahkan persiapan Pakatan Harapan untuk menghadapi pilihan raya umum yang bakal diadakan tidak berapa lama lagi.

"Kita juga beritahu pada RoS betapa pentingnya kelulusan awal diberikan. Jika diadakan pilihan raya kita perlu buat persiapan, sebaliknya jika tidak diluluskan sukar bagi kita mengeluarkan sepanduk, poster, baju, bendera dan sebagainya. Nampaknya RoS ambil perhatian pada perkara ini," ujarnya.

Turut hadir Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, Agung Majlis Presiden Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah dan ahli-ahli empat parti yang menunggu kehadiran pemimpin mereka dari awal pagi tadi.

Kenapa Husam jadi pilihan Dr Mahathir?

The Malaysian Insight
Gandingan Dr Mahathir Mohamad dan Husam Musa dalam beberapa dialog memperlihatkan keserasian di antara kedua-duanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2017.


ADA apa dengan Husam Musa sehingga bekas perdana menteri selama 22 tahun yang kini mempengerusikan Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir Mohamad sudah dua kali bergandingan dengan beliau dalam program perbincangan umum.

Awal April lalu, Dr Mahathir dan Husam menjadi regu dalam program "Hard Talk" di Shah Alam. Semalam, sekali lagi mereka bergandingan dalam dialog bersama cendekiawan Melayu.

Pada program yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya itu, lebih 10 profesor bersama 48 cendekiawan Melayu menyertai dialog dengan Husam dan Mahathir itu.

Kedua-duanya menjawab pelbagai persoalan mengenai masa depan Malaysia apabila PH berjaya mengambil alih pentadbiran negara dan mereka kelihatan sangat berpuas hati dengan jawapan diberi pemimpin itu.
"Keistimewaan tentang Husam adalah kerana beliau aktif dan sentiasa ada idea untuk melakukan sesuatu.

"Saya hanya menyertai sahaja," kata Dr Mahathir ketika ditanya The Malaysian Insight selepas dialog itu, mengapa beliau memilih Husam sebagai pasangannya dalam program yang melibatkan dua penal sahaja.

Moderator dialog yang diacarakan Dr Mahathir dan Husam semalam adalah Dr Syed Azman Ahmad Nawawi, Adun Batu Burok, Terengganu.

Husam ketika ditanya pandangan mengenai perkara yang sama pula, enggan mengulas panjang.

"Hanya kebetulan sahaja," kata Adun Salor, Kelantan itu.

Namun katanya, selepas ini terdapat dua lagi program bersama Dr Mahathir sedang dirancang di tempat yang sama.

"Selepas dengan cendekiawan, kami berdua akan berdialog dengan anak muda dan wanita pula, segmen penting yang menjadi pengundi negara," kata Husam, bekas naib presiden PAS yang dipecat dan kini dilantik sebagai naib presiden Amanah.

Sementara itu, Ariffin Hassan, pengarah urusan PDM Resources yang menguruskan majlis berkenaan berkata gabungan idea kedua-dua pemimpin itu diperlukan oleh negara yang ketika ini berada di persimpangan.

"Dr Mahathir mewakili regim lama dengan 22 tahun pengalaman sebagai perdana menteri yang sudah bertaubat dan pemikirannya masih tajam.

"Husam pula bagi saya adalah 'game changer' dan menteri kanan kita di masa depan," kata Ariffin kepada The Malaysian Insight.

Sebelum ini, seorang lagi veteran politik, Lim Kit Siang tidak semena-mena mengumumkam Husam sebagai bakal menteri besar Kelantan jika PH berjaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Bagi Kit Siang, “Walaupun bekas menteri besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat ialah mursyidul am PAS, beliau juga merupakan teladan kepada rakyat Malaysia yang bukannya ahli PAS.

“Jika Husam dipilih sebagai menteri besar Kelantan selepas PRU14, beliau akan menjadi teladan baru bukan hanya untuk rakyat Kelantan, tetapi rakyat Malaysia di negeri lain juga,” kata ketua Parlimen DAP itu.

Nik Aziz juga pernah berkata, Husam dilahirkan bukan untuk Kelantan sahaja tetapi untuk Malaysia.

Husam dianggap penyelamat kerajaan negeri Kelantan selepas PAS hampir kehilangannya apabila mendapat majoriti tiga kerusi sahaja (kemudiannya tinggal satu selepas kalah pilihan raya kecil) pada pilihan raya umum 2004.

Dengan usaha dibuat Husam yang menggilap nama Nik Aziz, berjaya meraih sokongan semua ahli PAS dan seterusnya menjadi idola banyak pihak termasuk DAP, yang sebelum itu pernah memutuskan hubungan dengan parti Islam itu. – 26 Julai, 2017.

Ayam jantan dihukum penjara



Ketika etnik Tionghua di seluruh dunia merayakan tahun ayam jantan bersempena dengan Tahun Baharu Cina, lain pula hal di Honduras, sebuah negara kecil di rantau Amerika Tengah.

Unggas tersebut didakwa sebagai punca sebenar pencetus kekacauan yang memicu pertengkaran antara masyarakat di sebuah penempatan sehingga terpaksa dihukum penjara, menurut laporan media tempatan di sini hari ini.

Insiden tidak diduga itu mula tercetus apabila seekor ayam jantan di bandar kecil Trujillo, wilayah Colon, di utara Honduras mengakibatkan berlaku pertengkaran dahsyat antara dua keluarga hidup berjiran dan aman selama ini.

Seorang lelaki yang tidak dinyatakan identitinya menyatakan bahawa, ayam jantan tersebut pada mulanya masuk ke ladangnya, lalu naik ke atas sebatang pohon, dan berkokok dengan amat kuat sehingga mengejutkan penduduk.

“Suara tingginya itu membuatkan kehidupan saya terganggu,” kata pemilik ladang berkenaan. Ketika dia kemudian mengusir ayam jantan tersebut, si pemilik unggas itu pula enggan menerima dan mengakui ia sebagai miliknya.

Dia bahkan dengan angkuh mengugut pula si jirannya tersebut dengan ancaman berbaur kekerasan apabila dilaporkan berkata: “Sekiranya kamu berani menendang ayam saya itu, saya akan bunuh kamu pula.”

Pertengkaran kedua-dua lelaki berkenaan akhirnya bertambah panas dan sebelum terjadi aksi pembunuhan yang tidak sepatutnya, beberapa jiran segera menghubungi pihak polis untuk meleraikan pergaduhan tersebut.

Anggota polis tempatan kemudian bergegas datang ke lokasi tersebut dan mereka mujur berjaya meredakan ketegangan dua lelaki itu sebelum sempat kedua-duanya saling mencederakan lawan masing-masing.

Setelah melakukan penyiasatan lebih terperinci, pihak polis memutuskan untuk menahan si ayam jantan kerana dianggap sebagai punca kekacauan sehingga berpotensi menyebabkan berlaku kecederan atau pembunuhan.

Sejumlah foto memperlihatkan anggota polis berjaya menangkap ayam jantan itu dan menyumbatkannya ke ruang tahanan namun tidak dinyatakan bilakah hukuman penjara itu berakhir.
-kualalumpurpost

Ganti Baihaki dengan Tuan Ibrahim di Kubang Kerian kukuhkan Amanah

ZIKRI ABDULLAH
Ura-ura Pas untuk menyingkirkan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Ahmad Baihaki Atiqullah dan digantikan dengan Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang membuka peluang kepada Amanah untuk memenangi semua kerusi dalam kawasan parlimen itu.

Bekas pegawai penyelidik badan kajian kerajaan negeri, Hishamudin Ghazali menyimpulkan dalam analisa terbarunya yang disebarkan di media sosial hari ini.

Kubang Kerian katanya, adalah kubu kuat Pas, jika Dun dan Parlimen goyah, Dun lain di Kelantan juga tidak selamat.

"Tambahan lagi 13 kerusi Dun milik Pas di Kelantan menang majoriti bawah 1,500 undi sahaja, itu lagi parah," katanya.

Menurutnya, 16,741 undi majoriti diperolehi Baihaki Atiqullah, anak tok guru Pondok Pasir Tumboh pada pilihan raya lalu.

"Sekiranya Pas mengugurkan Ustaz Baihaki, Undi warga Pondok akan beralih kepada Amanah.

"Ini bermakna undi Dun Pasir Tumboh, yang menang majoriti 4,501 undi akan dipengaruhi kelompok Pondok dan celik agama akan beralih arah ke parti Amanah.

"Bermakna undi Dun Pasir Tumboh, yang menang majoriti 4,501 undi akan berpindah tangan," katanya.

Dun Demit menurutnya, pada PRU13 lalu Mumtaz Mat Nawi dari Pas menang majoriti 8,581 undi.

"Sebanyak 51% undi yang memenangkan kerusi Parlimen Kubang Kerian datangnya dari Dun Demit, yang mana di sini landskap sosio ekonomi penduduk utama adalah majoriti kakitangan USM dan HUSM.

"Banyak kedai dan lot perniagaan, penduduk celik maklumat dan kubu kuat Pas dulu.

"Sangat mudah beralih arah, kerana faktor pengundi "celik maklumat," katanya.

Kes projek Lembah Binjai katanya yang membabitkan 494 ekar tanah dengan 5 kampung terlibat, lebih 1,500 orang pemilik tanah, melalui bancian awal lebih 5,000 pengundi yang majoritinya Pas kini goyang dan sedia beralih arah.

"Strategi "pecah kubu" Amanah membela setiap rumah pemilik tanah, tidak mengutamakan atas warna parti hatta dari parti Umno dan Pas, telah berjaya memikat hati pengundi tegar kedua dua parti dan paling menarik pengundi Muda dan Anak Perantau sudah tidak percaya kepada Kerajaan Negeri yang ditadbir Pas.

"Kesan akibat daripada cadangan Kerajaan ingin mengambil tanah penduduk tanpa makluman awal dan perbincangan dengan majoriti penduduk bagi membangunkan Bandar Perlancongan dari Jambatan Binjai hingga ke tepi pagar USM Kubang Kerian.

"Ditambah lagi sikap Kerajaan Kelantan yang membuat sikap keras kepala tidak mahu menarik balik warta Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi Kg Chepa, seluas 45 ekar membabitkan lebih 144 lot tanah membuatkan anak beranak dan ahli keluarga penduduk tidak berpuas hati dan akan membuat Undi Protes pada Pas," katanya.

Khabar popular katanya, yang mengatakan Amanah akan meletakkan calon Parlimen atau Dun dari kalangan cerdik pandai dari USM Kubang Kerian, iaitu Prof Datuk DrAbdul Halim Yusof, iaitu naib pengerusi Amanah Kelantan bakal menjadikan angan-angan Tuan Ibrahim atau mana-mana calon Pas akan jadi seperti buih halus di lautan, dimana kakitangan dan campur dengan ahli keluarga USM sahaja sudah melebihi 20,000 orang pengundi," katanya.

Bagi beliau, faktor aura Datuk Husam Musa di Dun Salor, dalam Parlimen Kubang Kerian bukan mudah diketepikan.

"Saya rasa, hal ini kita semua tahu keupayaan beliau, dengan pelbagai isu dibawa dan di perjuangkan, terkini isu "Carbon Credit" yang berjaya membuka mata pengundi kelompok taraf pendidikan sederhana dan ke atas, yang boleh membuat analisis dan pertimbangan wajar bahawa Kerajaan Pas Kelantan sekarang ini jelas tidak pandai mentadbir dan mengurus khazanah negeri.

"Majoriti pada PRU13 lalu sebanyak 3,683 adalah satu kelebihan kepada Amanah, iaitu sudah memilik satu satunya kerusi Dun di Kelantan dan Kubang Kerian.

"Pendapat saya, 4 faktor itu akan menjadikan Amanah dalam kedudukan di depan berbanding Pas di Kubang Kerian dan kelihatan mudah Amanah berjaya ambil alih 4-0 di parlimen ini," katanya.

Tambahan pula menurut Hisham, kenyataan Husam yang menegaskan bahawa Amanah perlu menang 4-0 di Kubang Kerian pada majlis sambutan hari raya Amanah Dun Demit pada 22 Julai lalu, terus menyemarakkan pendokomg Amanah peringkat akar umbi.

Polis tahan reman lelaki didakwa ugut rogol, simbah asid dan penggal kepala Siti Kassim

BERNAMA
Seorang lelaki yang didakwa mengancam rogol dan bunuh peguam dan aktivis Siti Zabedah Kasim melalui media sosial baru-baru ini, telah ditahan polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh mengesahkan penangkapan tersebut.

"Saya mengesahkan bahawa suspek telah ditangkap semalam berkaitan dengan kes itu," katanya ringkas kepada Bernama hari ini.

Suspek telah direman selama tiga hari untuk memudahkan siasatan, tambah Amar Singh.

Sebelum ini pada Isnin Siti Zabedah atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim, 54 mendakwa dirinya diugut bunuh termasuk dipenggal kepala, disimbah asid dan dirogol.

Susulan itu, beliau bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur.

Beliau dipetik berkata, kebimbangannya mengenai keselamatan diri kerana ia adalah ancaman yang paling serius pernah diterima setakat ini.

Ugutan pertama pernah diterima pada 3 Julai lalu berikutan pendiriannya berkaitan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender yang didakwanya disalah petik dari sebuah laman web. Siti Kasim kemudiannya menerima ugutan dari individu yang sama pada 19 Julai.

Penyokong tegar Pas beralih sertai Amanah meningkat di Perlis

MOHD ALI HASHIM

Kekeliruan akibat polisi bercelaru serta intim yang teramat sangat pimpinan Pas bersama Umno dan BN sejak kebelakangan ini menyebabkan peningkatan penyokong tegar Pas di Perlis menyertai Parti Amanah Negara (Amanah), kata Pengerusinya Wan Kharizal Wan Khazim.

Beliau berkata, Amanah Perlis kini mensasarkan seramai 500 lagi ahli baru dan penyokong Pas yang akan mendokong Amanah menjelang pilihan raya umum(PRU) tidak lama lagi.

"Terlalu ramai 'harum manis' yang sedang menanti masa yang sesuai untuk menyertai Amanah.

"Majoriti daripada mereka adalah penyokong Pas yang sudah tidak selesa dengan sikap akrab pimpinan Pas dengan Umno.

"Lebih parah lagi apabila ramai antara mereka kesal dengan sikap Pas yang menolak hubungan baik dengan Pakatan Harapan (PH) sepertimana yang telah terjalin dalam PRU ke 13 yang lalu, " tegasnya lagi.

Beliau juga berkata, Pas tidak boleh merasa bangga hanya dengan majoriti amat tipis kerusi tunggal yang mereka menang di Dun Sanglang dengan majoriti amat tipis 121 undi.

"Kemenangan Pas pada pilihan raya yang lalu juga adalah atas kesepakatan dalam pakatan ketika itu.

"Apakah mereka merasakan dengan majoriti 121 undi itu, ditambah dengan kehadiran penyokong PKR dan juga Bersatu akan memberi kemenangan sekali lagi dalam pilihan raya kali ini.

"Sedangkan terlalu banyak masalah rakyat di Perlis yang tidak mereka perjuangkan sehingga kini, " jelasnya lagi.

Malah katanya PH mempunyai potensi untuk merampas lebih banyak kerusi yang ada di Perlis dalam PRU ke 14 yang akan datang tidak lama lagi.

"Antara kerusi yang berpotensi tersebut ialah Dun Pauh, Beseri, Sanglang, Indera Kayangan, Simpang Empat, Sena, Bintong, Santan, Kayang, Titi Tinggi, Kuala Perlis serta beberapa kerusi yang sudah dikenal pasti.

"Dalam PRU yang lalu, BN menang majoriti tipis sebanyak 540 undi bagi kerusi Berseri dan majoriti hanya 664 undi bagi kerusi Dun Kayang.

"Manakala bagi kerusi Guar Sanji pula BN hanya menang dengan kemenangan majoriti sebanyak 927 undi serta Simpang Empat dengan majoriti amat tipis sebanyak 85 undi, " ujarnya lagi.

Selain itu katanya ketiga-tiga kerusi Parlimen di Perlis yang dimenangi oleh BN dalam PRU yang lalu, iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau sudah tidak lagi selamat.

Beliau yang pernah menjadi calon mewakili Pas bagi kerusi Dun Berseri dalam PRU yang lalu turut berkata, kerusi Parlimen Arau yang dimenangi oleh Datuk Seri Shahidan Kassim dengan majoriti hanya 1,371 undi juga berpotensi untuk dimenangi oleh PH.

Tambahnya lagi, kegagalan Umno dan BN untuk membela nasib golongan marhaen termasuklah keperitan dan kos sara hidup yang amat membebankan rakyat Perlis kini mempengaruhi sokongan yang mampu diraih oleh PH tidak lama lagi.

Kecoh selepas klip penyampai berita Iran ‘minum arak’, buka tudung

FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang penyampai berita Iran mencetuskan kontroversi selepas sebuah klip video menunjukkan beliau meminum arak ketika bercuti di Switzerland.

Azadeh Namdari, pelakon dan penyampai berita di stesen milik kerajaan, dilihat tanpa tudung dalam klip video itu, walaupun sebelum ini giat menggalakkan pemakaian tudung oleh wanita.

Azadeh juga merupakan seorang penyokong kuat chador, pakaian serba hitam yang menjadi pilihan golongan konservatif di Iran yang menutup keseluruhan tubuh wanita kecuali muka.

Bagaimanapun, Azadeh kini berdepan kutukan di media sosial, di mana ramai menyifatkannya seorang hipokrit kerana tidak bertudung dalam klip itu.
Dalam penjelasannya kepada Kelab Wartawan Muda, Azadeh berkata beliau tidak bertudung ketika itu kerana hanya dikelilingi oleh ahli keluarganya.

irangul1Bagaimanapun, Azadeh tidak menjelaskan botol arak yang dipegangnya.
Nama Azadeh kini tersebar di Twitter, dengan pelbagai sindiran dimuat naik pengguna.

Antaranya ialah 2 gambar menunjukkan tajuk berita akhbar memetik beliau menyokong pemakaian tudung, dan gambar beliau meminum arak dan tanpa bertudung.

“Inilah apa yang dia suapkan kita, dan ini pula apa yang dia suap sendiri!”

Bagaimanapun, seorang agamawan pro-kerajaan berkata apa yang dilakukan Azadeh menyerlahkan masalah yang timbul sekiranya individu dipaksa berbuat sesuatu yang tidak mencerminkan perwatakan sebenar.

“Masalahnya bukan Azadeh Namdari atau orang sepertinya. Masalahnya ialah ideologi dan sistem yang memaksa seseorang dalam masyarakat menjadi talam dua muka atas sebab tertentu,” menurut kiriman Twitter oleh Abolfazl Najafi-Tehrani

Hajat PAS jadi kingmaker takkan kesampaian - penganalisis

Walaupun PAS berharap mereka menjadi penentu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, seorang penganalisis berpendapat, matlamat itu tidak akan tercapai.

Sebaliknya kata Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani PAS hanya akan menjejaskan undi kepada Pakatan Harapan (HARAPAN).

Kata pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, suasana politik negara ini menjurus ke arah sistem dua parti.

Dalam keadaan begitu katanya, sukar untuk parti ketiga mendapat laluan.

"Hakikatnya ialah, tidak akan ada parlimen yang tergantung dalam sistem dua parti kerana pilihan yang ada hanya dua.

"Di negara-negara Barat yang mengamalkan sistem dua parti, mereka mungkin tidak mendapat sokongan 50 peratus (bagi kerusi parlimen) dan kingmaker ialah sebuah parti yang mendapat tempat ketiga.

"Dalam sistem dua parti di Malaysia, ia adalah mustahil.

"Jadi kalau PAS menjadi blok ketiga, ia bakal menjadi tidak relevan," katanya di majlis dialog anjuran Sinar Harian di Shah Alam hari ini.
-malaysiakini

Mufti Perlis megnhentam pihak-pihak yang menggunakan agama untuk kepentingan politik (video)

Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin menegur sikap pemimpin politik yang menjadikan Islam sebagai “alat parti politik”.

Tanpa menamakan pihak itu secara jelas, Asri membangkitkan beberapa keadaan akibat tindakan itu, apabila ada pihak tidak memakan sembelihan pihak berlainan parti, keluarga bercerai-berai dan sikap mengafirkan perlembagaan lawan.

“Politik ada dalam Islam tetapi menggunakan Islam untuk parti politik tidak dibenarkan.

“Kenapa? Sebab semalam kita kafirkan (pihak lain), hari ini jadi setinggi-tinggi darjat.

“(Tuduh) perlembagaan tidak Islam, esok lain pula. Padahal sama saja.

“Semua parti itu tidak berubah pun perangai,” katanya sambil berkata perkara sebegitu berlaku pada banyak parti di seluruh dunia.

'Menjadikan parti sebagai agama'

Dalam video yang dikongsi di Facebook beliau, Asri berkata, sikap itu, seperti “menjadikan parti sebagai agama”.

Asri juga menolak sikap melabelkan penentang kepimpinan sesuatu parti itu sebagai terkeluar daripada kepimpinan Islam.

“Punyalah dahsyat, punyalah guna nama tuhan,” katanya.

Asri mengingatkan bahawa pendekatan itu tidak selari dengan amalan ulama besar Islam.

Katanya, Iman Shafie contohnya tidak pernah menggelar pengamal mazhab lain sebagai munafik atau mengaku hanya pengikutnya sahaja akan masuk syurga.

“Padahal dia imam, fakih (pakar hukum). Begitu juga imam lain. Imam Malik, khalifah mahu (kitabnya) Muwatta diwajibkan, dia tidak mahu,” katanya.

Beliau menegaskan agama tidak memihak pada sesuatu golongan sama ada ustaz, mufti, parti ataupun mazhab.

“Orang bawah pun (kalau) bagi hujah betul, sekali pun (berbeza dengan) mufti, salah tetap salah,” katanya.

Asri mungkin merujuk kepada perpecahan masyarakat Islam susulan Amanat Hadi pada tahun 1981.

Ucapan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kuala Terengganu itu antaranya berkata Umno dan BN mengekalkan perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan jahiliah.


Hadi menegaskan perjuangan mereka adalah jihad dan “kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam.”

Beliau juga berkata orang Islam boleh menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'.

Sementara itu, terdapat juga penyokong kerajaan yang berhujah bahawa melawan BN yang dikaitkan dengan kepimpinan Islam boleh disifatkan sebagai bughah atau derhaka kepada pemimpin.
-malaysiakini