Kenali tentera siber Umno

Diyana Ibrahim
Baru-baru ini, kira-kira 3,500 tentera siber Umno berkumpul dalam satu konvensyen yanwwg turut dihadiri Perdana Menteri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2017.

KETIKA blogger pro-Umno dan tentera siber dikenali dengan nama "budak sri kinta" mula aktif memuat naik pandangannya secara online, ia hanya dipenuhi dengan keinginan untuk mencabar kehadiran dominan pembangkang di media sosial selepas pilihan raya umum (PRU) 2008.

Sembilan tahun selepas itu, apa yang bermula sebagai usaha sukarela kini jadi pekerjaan hampir sepenuh masa untuk membantu Umno memenangi perang politik dalam dunia media sosial, dan memastikan Barisan Nasional (BN) tidak sekali lagi mengulangi pencapaian terburuk mereka dalam PRU itu.

"Budak sri kinta" merupakan antara ribuan jentera siber Umno yang kebanyakannya terdiri daripada ahli dan penyokong Umno di peringkat pusat hingga ke akar umbi.

Mereka inilah pahlawan kekunci atau “keyboard warior” yang menggunakan platform media sosial untuk menangkis setiap serangan pembangkang terhadap kerajaan.

Tidak hanya terhad menangkis serangan, tentera siber itu menjadi tulang belakang dan sebagai medium informatif menyebarkan dasar dan kejayaan yang dibuat parti dan kerajaan kepada rakyat.

Katanya, kebangkitan tentera siber Umno tercetus pada PRU12 yang ketika itu menyaksikan BN hilang beberapa negeri.

"Ramai ketika itu tampil berjuang termasuk saya. Sebab sentimen pada masa itu kita tak nak DAP ambil alih Malaysia."

PRU12 pada 2008 menyaksikan BN mengekalkan kerusi Parlimen namun kalah di peringat Dewan Undangan Negeri dengan kehilangan Pulau Pinang, Selangor dan Kedah.

"Sebenarnya semua boleh jadi tentera siber ini asalkan pandai main di sosial media," kata blogger itu ketika ditemui The Malaysian Insight.

"Kebanyakannya sukarelawan tapi ada juga yang buat sepenuh masa, daripada biro IT bahagian. Oleh itu agak sukar untuk kita tahu jumlah sebenar tentera siber," katanya.

Pengerusi Biro IT Umno Malaysia ialah Ahmad Maslan dan terdapat sembilan ahli jawatankuasa atau penyelaras setiap negeri.

Pada 4 November lalu, biro itu menganjurkan konvensyen tentera siber Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan kehadiran lebih 3,500 blogger.

Tentera siber Umno dibayar?

Ketika ditanya sama ada tentera siber dibayar atau tidak, blogger itu berkata situasinya bergantung berdasarkan pecahan kumpulan tentera siber.

Katanya, ada tentera siber sukarelawan dan memang tidak dibayar dan hanya menerima hadiah ketika majlis tertentu seperti berbuka puasa dan sebagainya.

"Macam saya setelah berapa lama dalam dunia media ada pemimpin parti yang memberikan sikit imbuhan bagi menampung perbelanjaan bil telefon, Internet dan sebagainya,” katanya.

Beliau juga tidak menafikan ada tentera siber yang dibayar secara bulanan antara RM500 hingga RM3,000 oleh kumpulan tertentu melalui Pejabat Perdana Menteri selain diberikan peruntukan seperti telefon dan komputer riba.

Trend berubah

Blogger yang mahu dikenali sebagai Faisal Rohban berkata beliau menolak untuk dilabelkan sebagai tentera siber sebaliknya lebih senang dipanggil aktivis media sosial.

Beliau aktif di media sosial sejak 2008 tetapi sebelum itu banyak menyumbang artikelnya kepada akhbar Utusan Malaysia sehinggalah trend menulis di blog muncul di Malaysia.

Katanya, trend tentera siber kini mula berubah daripada dulunya identiti mereka disembunyikan dan banyak menggunakan nama gelaran tetapi kini mula mendedahkan nama.

“Sebelum ini saya tulis tentang sesuatu isu saya akan telefon pihak yang ada kaitan untuk kita sahkan supaya setiap apa kita tulis kena ada fakta sumber, dan cara ini pun dinasihatkan oleh pemimpin Umno.

"Lagi satu sukar juga untuk tentera siber sembunyikan identiti kerana kalau di Facebook pun sekarang syaratnya amat ketat, tak boleh ada akaun sembarangan nak buat."

Faisal yang menjalankan perniagaan sendiri berkata beliau tidak menerima apa-apa bayaran namun mengakui adanya sumbangan diberi dalam majlis khas tertentu.

"Kita memang tidak terima apa-apa wang pun tapi biasanya ada barangan seperti ‘power bank’ atau kalau sambutan majlis Aidilfitri dengan media sosial, bloger diberi hadiah."

Ditanya mengapa beliau mahu memperjuangkan parti itu walau tidak dibayar, Faizal berkata ia lebih kepada rasa tanggungjawab sebagai ahli Umno.

"Apabila kita kata dapat hasil faedah daripada kerajaan bukan bermakna kerajaan datang longgokkan duit seketul kepada kita.

"Ia melalui persekitaran ekonomi yang baik. Apabila ekonomi baik dan berkembang rakyat akan dapat faedah. Saya tidak pernah ada urusan perniagaan dengan kerajaan walaupun RM1."

'Jangan main-main dengan Putera Mahkota Arab Saudi'

ABDUL MUEIN ABADI

1. DAHSYAT sekali perkembangan terkini politik Timur Tengah disebabkan seorang individu. Kemaraan terkini percaturan Putera Mohammad Bin Salman, Putera Mahkota Arab Saudi sebenarnya perlu dibaca menerusi pelbagai sudut pandangan.

2. Strategi beliau wajib difahami di tiga peringkat: politik dalaman Arab Saudi; politik serantau Timur Tengah; dan juga politik imbangan kuasa-kuasa besar dunia melibatkan Amerika Syarikat (AS), Rusia, dan China.

3. Dalam sekelip mata, habis kesemua putera pencabar mahkota Arab Saudi ditangkap. Betapa strategiknya perancangan Mohammad Bin Salman yang juga merupakan Menteri Pertahanan Arab Saudi ini boleh diperhatikan dari segi posisi yang disasarkan. Tiga individu penting yang memegang kunci ketenteraan dan keselamatan Arab Saudi iaitu Putera Mohammed Bin Nayef, Putera Miteb Bin Abdullah, serta Ketua Komander Tentera Laut Arab Saudi Abdullah al-Sultan telah diketepikan.

4. Individu yang memegang kunci ekonomi turut diketepikan seperti Putera Alwaleed Talal dan Menteri Ekonomi Adel Fakeih. Percaturan sebegini meletakkan beliau sebagai pusat kuasa yang perlu digeruni dan ditaati sepenuhnya di Arab Saudi yang diperkukuhkan dengan ‘rally-round-the-flag effect’ menerusi naratif ancaman Iran.

5. Strategi beliau di peringkat rantau Timur Tengah pula tidak perlu diperkenalkan lagi. Hancur binasa bumi Yaman. Qatar ditekan dengan hebat. Perdana Menteri Lubnan ditekan hingga letak jawatan. Aset ketenteraan Amerika Syarikat dibeli besar-besaran. Pakatan Tentera ala-NATO Arab cuba diwujudkan. Iran menjadi sasaran untuk dimusnahkan atas sebab peluasan pengaruh Tehran bersama Houthi di Yaman, di Lubnan, Syria, dan Iraq.

6. Kesemua langkah ini meletakkan Riyadh sebagai peneraju utama politik Timur Tengah, dan bukan lagi semata-mata berdiam diri melihat kuasa lain seperti Turki di bawah kepimpinan Erdogan yang selama ini dilihat lebih banyak terkehadapan.

7. Tiada siapa mampu nafikan percaturan Mohammad Bin Salman dalam sektor geo-ekonomi juga tidak kurang hebatnya berbanding dengan percaturan geo-politik beliau. Antaranya seperti keberanian mengisytiharkan sebahagian saham syarikat minyak gergasi Saudi Aramco bakal dibuka untuk Tawaran Awam Permulaan (IPO). Kebergantungan ekonomi Arab Saudi ke atas petroleum cuba dikurangkan melalui Visi 2030 yang beliau terajui.

8. Ramai yang menyatakan risiko sekiranya dasar dan politik Arab Saudi terus tidak stabil, ekonominya juga akan turut menerima kesan buruk antaranya seperti kebimbangan para pelabur. Walau bagaimanapun, keadaan sebaliknya semakin jelas berlaku iaitu pengukuhan kuasa Mohammad Bin Salman bakal menjadikan kerajaan monarki Arab Saudi berada dalam keadaan yang kukuh dan terpusat.

9. Arab Saudi sering dilabel sebagai ‘proksi’ Amerika Syarikat kerana mementingkan keuntungan pelaburan petroleumnya dalam mata wang Dollar Amerika serta memesatkan pembelian aset persenjataan dengan Washington. Terkini pembelian aset persenjataan bernilai melebihi AS$100 bilion sewaktu lawatan Presiden Donald Trump sewaktu Riyadh Summit baru-baru ini.

10. Bagaimanapun, sekiranya diamati secara lebih terperinci dan lebih mendalam, Putera Mohammad Bin Salman turut mencaturkan imbangan kuasa ketenteraan dengan dua pesaing utama Amerika Syarikat, iaitu Rusia dan China. Sewaktu lawatan Raja Salman ke Moscow pada Oktober 2017, Arab Saudi bukan sahaja bersetuju untuk membeli sistem pertahanan udara buatan Rusia yang terkemuka S-400, bahkan juga menandatangani persetujuan pemindahan teknologi ketenteraan Rusia ke Arab Saudi dalam pakej keseluruhan yang dianggarkan berjumlah AS$3 bilion.

11. Malah dengan gergasi Asia iaitu China pula, Arab Saudi di bawah Mohammad Bin Salman baru sahaja menandatangani pembelian aset persenjataan bernilai sebesar AS$70 bilion apabila Timbalan Perdana Menteri China Zhang Gaoli melawat Arab Saudi selama tiga hari dari 23 Ogos ke 25 Ogos 2017 baru-baru ini. Percaturan kuasa ketenteraan Arab Saudi antara AS, Rusia, dan China ini menunjukkan ada perancangan strategik sedang diatur untuk jangka masa panjang oleh Mohammad Bin Salman yang perlu diikuti rapat.

ABDUL MUEIN ABADI

Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Wanita bunuh suami gara-gara kondom yang ditemui dalam poket seluar (Gambar)


Seorang wanita yang didakwa membunuh suaminya yang berusia 62 tahun mengaku bersalah melakukan perbuatan itu dengan cara menikamnya beberapa kali.

Nittaya Saengdeuan, 22, dari Udon Thani, Thailand didakwa menikam Amnuay Wensila hingga mati di rumah mereka selepas berlaku pergaduhan, berpunca daripada kondom yang dijumpai dalam poket seluar suaminya.

Saengdeuan percaya kondom tersebut membuktikan bahawa suaminya curang dan dia berasa tertipu.

Selepas mendapati suami sudah mati, dia mengaku menyembunyikan mayat suaminya itu di dalam tangki septik di belakang rumah mereka, lapor Daily News.

Ketika mula-mula ditanya mengenai peristiwa itu, Saengdeuan menafikan penglibatannya.

Selepas siasatan dijalankan, dia akhirnya mengaku terbabit dalam pembunuhan itu.

Setelah mendengar keterangan yang diberikan, polis menemui mayat Wensila di dalam tangki septik, lokasi yang diberitahu sendiri oleh Saengdeuan.

Polis Udon Thani mungkin akan menambah satu lagi pertuduhan menyembunyikan mayat selepas tuduhan membunuh.
-kualalumpurpost

Ini satu lagi bukti lebai PAS kuat berbohong

Isu Wisma Tok Guru: AJK Pas Pusat berbohong, hina proses mahkamah

ARIF ATAN

Dakwaan Dr Azman tentang penawaran kos mahkamah yang dipadam selepas enam jam disiar di Facebook.

Kes permohonan injunksi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Datuk Husam Musa terhadap pemilik tanah yang menempatkan Wisma Tok Guru di Salor, Kota Bharu menyaksikan seorang pemimpin Pas dilihat menghina proses mahkamah.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Azman Ibrahim menganggap seolah-olah wujud penawaran kos mahkamah antara Husam dengan Pas selain seperti Pas terlibat dalam kes yang akan didengar pada 4 Disember itu.

Menurut bekas calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Jabi berkenaan dalam status yang dimuatnaik di Facebook jam 2.28 petang semalam, pihak Husam tidak mampu membayar kos mahkamah menyebabkan Pas kononnya memberi potongan “diskaun”.

“Kesian kerana mereka tak mampu bayar kos mahkamah 30k. Pas bagi diskaun 10k. Tak mampu lagi, diskaun lagi jadi 7k.

“Ini kira dah cukup berperikemanusiaan. Pas bukan nak bergaduh dan berperang, sekadar nak ambil hak kita yang sah di sisi undang-undang,” dipetik pada perenggan terakhir dalam status terdiri daripada empat perenggan itu.

Bagaimanapun, perenggan tersebut kemudiannya dipadamkan dan diganti dengan satu pemberitahuan “kekhilafan” selepas kira-kira enam jam dakwaan Azman itu mendapat ratusan reaksi serta komentar pro dan kontra pengguna Facebook.

Pada masa sama, Dr Azman, 42, menjadikan pemberitahuan sama berserta permohonan maaf itu sebagai status Facebook pada jam 8.40 malam dengan mendapat pelbagai reaksi berupa sokongan mahupun sindiran.

Antaranya, termasuk penyokong Pas sendiri yang mengingatkan Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan Pas Terengganu itu supaya memeriksa terlebih dahulu fakta sebelum menulisnya di Facebook.

“Ada kekhilafan info berkaitan kos mahkamah dalam kes injuksi dalam posting saya tadi. Dengan ini saya mohon maaf dan tarik balik perenggan akhir tersebut,” akui doktor gigi itu.

Beliau dalam status Facebook sama memberitahu Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hasan mengetuai sendiri pasukan peguam dalam kes injuksi yang dipohon oleh Husam di Mahkamah Tinggi Kota Bharu itu.

“Syabas dan tahniah atas kejayaan dan kerja keras mereka sehingga kita semua menerima kemenangan ini dengan kesyukuran.

“Menariknya hakim bagi ingatan supaya jangan babitkan mahkamah dalam hal agama seperti soal solat hajat,” ujar pemilik Klinik Gigi Dr Azman di Bandar Baru Kubang Kerian, Kota Bharu itu.

Penumpang ditinggal bas mengamuk, tikam pemandu

Bernama
KANGAR: Seorang pemandu bas cedera ditikam penumpang yang dipercayai berang selepas ditinggalkan kenderaan awam itu di Stesen Bas Shahab Perdana di Alor Setar, Kedah sebelum meneruskan perjalanan ke Stesen Bas Ekspres di Jalan Bukit Lagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew berkata dalam kejadian 11.02 pagi itu, suspek dikatakan turun dari bas untuk ke tandas semasa ia berhenti di Stesen Bas Shahab Perdana, namun apabila kembali dia mendapati kenderaan itu sudah bertolak ke Kangar.

“Kemudian suspek bertindak marah di kaunter bas sebelum menyewa sebuah teksi untuk ke Kangar,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata sebaik tiba di stesen bas Kangar, suspek meluru masuk ke dalam bas yang dipandu oleh mangsa berumur 33 tahun, melalui pintu hadapan dan terus menikam mangsa di bahagian bahu kiri.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tengku Fauziah untuk mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan pulang, selepas doktor mengesahkan tiada kecederaan serius selain mengalami luka tikaman sedalam 3cm, katanya.

Susulan kejadian itu katanya polis merampas sebilah pisau, sehelai kemeja-T berkolar warna hijau serta 1 beg pakaian, manakala polis masih mengesan suspek yang sudah dikenal pasti.

Al-Quran,lukisan dari kacamata Tian Chua di penjara

DALIA ISMAIL Foto: WAN ZAHARI WAN SALLEH
Kitab-kitab agama yang dibawa bersama ketika Tian Chua dalam tahanan.

Selama 30 hari Tian Chua berada di penjara masanya banyak diisi dengan membaca kitab-kitab agama seperti membaca tafsiran al-Quran, mentelaah bible, gita dan melukis.

Kata beliau, hanya dipenjara masa untuk  mencermin diri maka kitab-kitab agama adalah peneman yang setia.

“Setiap kali saya masuk lokap polis dan penjara, saya cuba dapatkannya kerana kitab-kitab agama boleh diulang baca berbanding sebuah novel atau bahan bacaan lain yang hanya akan dibaca sekali sahaja.

“Biasanya tiada sebab pegawai penjara untuk tolak bahan bacaan seperti kitab-kitab agama kerana atas kebebasan beragama yang dilindungi perlembagaan, berbanding buku-buku politik mungkin akan ditolak untuk dibawa bersama ketika dalam tahanan,” ujarnya.

Beliau berkata, sempat membaca beberapa helaian tafsiran al-quran dalam tempoh dipenjarakan dan tidak memandang al-Quran sebagai sebuah kitab agama bagi orang Islam semata-mata.

“Saya sempat baca tafsir al-quran saya ada 30 hari saya pilih mana yang relevan dan ada kala tidak sempat baca.

“Baca tafsir al-quran berbeza dengan buku-buku mengenai Islam jika kita mahu memahami mengenai orang Islam atau sejarah kedatangan atau perkembangan Islam dan sebagainya.

“Ada ayat-ayat dalam tafsiran al-Quran ini menyampaikan mesej kepada manusia sejagat.

“Kitab-kitab suci begini membenarkan kita mentafsirkan situasi sendiri dan bagaimana kita dapat ilham untuk perjuangan dan kehidupan kita.,” ujarnya.

Beliau menolak pandangan membaca tafsiran al-Quran membolehkan dikalangan bukan muslim memahami umat Islam dan agama yang dianuti itu.

“Saya anggap persepsi sedemikian tidak begitu tepat jika ada pihak berpandangan memahami orang Islam dengan membaca tafsiran al-Quran, ia dilihat telah menghadkan seolah al-Quran hanya untuk orang yang menganut agama Islam sahaja.

“Kita harus memperluaskan mesej ini. Al-Quran boleh diguna pakai dalam pelbagai keadaan untuk manusiawi. Al-Quran itu membawa mesej universal untuk dapat inspirasi, semangat dan memahami keadaan kita sendiri.

“Saya ada tiga kitab agama yang dibawa bersama di penjara dan saya rasa satu bulan tidak cukup untuk memahami tiap mesej yang ada pada setiap muka surat kitab-kitab agama ini.

“Bagi saya ketika kita berada dalam penjara bahan bacaan sebagai ‘companion’ ketika keseorangan dengan membaca kitab-kitab agama seolah saya berdialog dengan sesiapa sahaja yang turunkan mesej itu seolah-olah ia sebagai sahabat saya, ia sangat membantu.

“Sebab itu saya kata, tidak perlu kita takut kepada penjara sekiranya kita tahu guna masa untuk membaca kitab-kitab agama, kita akan jadi tidak cukup masa mentelaah satu persatu.

“Itu sebab kalau tidak ada buku lain perlu ada kitab-kitab agama ini sudah cukup untuk kita gunakan masa sepenuhnya. Kita tidak rasa kesunyian, keseorangan kecewa kerana kita dapat bimbingan Tuhan,”terangnya.

Justeru dengan pengalamannya itu beliau amat merasa simpati dikalangan banduan yang buta huruf yang masih meringkuk di penjara.

“Saya sangat simpati ramai banduan buta huruf tidak tahu bagaimana mengunakan masa ketika di penjarakan, ini pengalaman yang sangat menderita.
Tian Chua menunjukkan sebahagian lukisannya yang mengambarkan makanan yang dimakan ketika di dalam tahanan.

“Kehidupan mereka seolah-oleh tidak ada makna. Orang yang boleh membaca akan dapat ilham boleh berdialog dengan mesej ini (kitab-kitab agama) supaya kita memahami  makna sebuah kehidupan ini,” ujarnya.

Bagi beliau apabila dihumban ke penjara ia tidak ubah seperti satu ‘titik’ rehat buat sementara untuknya menjana tenaga dan potensi  kembali bergiat semula dengan perjuangannya.

“Ini juga peluang bagi saya meningkatkan ilmu dengan membaca kitab-kitab agama pada hari pertama saya ke penjara.

“Selepas satu minggu buku-buku lain boleh dibawa masuk oleh peguam atas permintaan.

“Manusia dilahirkan hidup bermasyarakat apabila diasingkan daripada keluarga dan rakan-rakan kita rasa keseorangan dan tidak dapat hadapi diri sendiri.

“Untuk atasi ini kita tahu gunakan masa dengan baik. Membaca adalah satu kaedah saluran yang baik dapat mengatasi masalah ini.

“Kita harus gunakan masa untuk memikirkan refleksi diri sendiri tentang kerja kita hala tuju dan lain-lain selepas ini.

“Bila kita dibebaskan kita sudah ada rutin harian setiap jam diisi dengan aktiviti, program dan pelbagai lagi kadang kala kita tidak ‘tekan brek’ untuk menghayati apa yang kita lalui dan apa yang jarang kita lakukan selama ini,” ujarnya.

Kembali melukis

Tian Chua mempunyai minat dalam seni lukis tetapi minatnya itu terhenti lama kerana kesibukannya sebagai wakil rakyat.

Ketika dipenjarakan Tian Chua anak sulung daripada empat beradik ini telah kembali melukis bagi mengisi masa lapang selain daripada membaca kitab-kitab agama.

“Saya memang minat melukis sejak kecil tetapi setelah masuk politik tiada masa, lama sudah saya tinggalkan.

“Dari hari pertama masuk tiada kertas dan pensil. Alat tulis  seperti pensil dan pemadam dibeli di dalam penjara selepas keluarga masukkan duit.


“Buku lukisan pula dibawa masuk oleh peguam,” ujarnya memulakan cerita bagaimana beliau mengisi masa dengan melukis melalui daya penglihatan dan ingatannya dan mengambil kesempatan untuk melukis ketika berada di dalam sel.


Sebanyak 15 lakaran lukisan dilakukannya antara yang beliau lukis seperti seekor lipas, kucing, blok-blok tahanan, menu makanan yang dihidangkan dan sel tahanannya.

“Saya lukis keluasan sel saya 13 kaki x 9 kaki ada tilam dan peti letak barang,tempat mandi dan tandas.

“Ada seekor kucing selalu bermain dengan saya ketika saya lakukan senaman.

“Saya diberi masa setengah jam di waktu pagi dan setengah jam di waktu petang untuk aktiviti di luar sel, dari situ saya akan melihat sekeliling, mengingatinya dan akan dilukis semula,”ujarnya yang menerangkan ada sekeping  lakaran lukisanya  menggunakan smbol bagi mengelakkan hilang dari helaian atau buku lukisannya akan dirampas warden penjara  atas faktor keselamatan.

Mengenai layanan warden penjara beliau berpuashati kerana memberi kerjasama yang baik terhadapnya.
Mengenai hiangan makanan walaupun disajikan nasi putih, ayam atau ikan ,sayuran, buahan ujarnya, iamenepati piawaian nutrisi bagi menu makan tengahari dan malam.

“Masa perayaan Deepavali saya dapat makan nasi briyani semua dimasak oleh banduan yang sudah lama disana yang berkelakuan baik boleh ditugaskan di dapur,” ujarnya yang menganggap pemenjaraan itu sebagai rehat supaya beliau boleh bergerak lebih jauh untuk teruskan perjuangan.

Sambil beliau menunjukkan beberapa lakaran lukisan pada situasi yang sempat dilihatnya yang akan terus disimpan sebagai sebahagian daripada memori perjuangan beliau selama 20 tahun di pentas politik negara.

Pasangan kekasih hampir bogel diarak sekampung

Seorang pemuda dan kekasihnya yang ditangkap berdua-duaan dalam bilik sewa kini dilaporkan gangguan perasaan selepas mereka diarak di sekeliling kampung berulang-alik dalam keadaan hampir bogel minggu lalu.

Tanpa didedahkan identitinya media melaporkan lelaki terbabit berusia 28 tahun manakala pasangannya 20.

Difahamkan bilik berukuran kira-kira 10 x 8 kaki itu baru didiami wanita terbabit sejak dua bulan lalu dengan bayaran sewa Rp530,000 (RM160).

Selepas mereka ditangkap pada 11 Nov, ada enam watak utama yang disyaki bertanggungjawab membawa kepada insiden berkenaan iaitu Ketua Kampung Kadu, Tangerang, dikenali sebagai Toto, 41, dan penduduk setempat.

Menurut sumbr Toto dimaklumkan oleh penduduk setempat mengenai satu bilik yang dipercayai menjadi sarang maksiat. Ekoran aduan itu Toto mengintip dan menunggu saat yang betul membuat serbuan.

Selepas ditahan pasangan terbabit diarak sejauh kira-kira satu kilometer berulang-alik antara jalan besar ke bilik yang disewa wanita terbabit.

Saksi berkata Toto dan seorang penduduk kampung memukul pasangan terbabit manakala dua yang lain menarik-narik pakaian mereka.

Tampar lepas tangkap

Seperti kelaziman sekarang insiden itu dirakam menjadi video dan dimuat naik ke internet.

Ketua Polis Tangerang M Sabilul Alif berkata polis menubuhkan satu pasukan penyiasat siber untuk memburu pihak yang bertanggungjawab menyebabkan insiden itu tular.

Katanya polis juga sudah membuat aduan kepada YouTube dan meminta empat klip rakaman kejadian berkenaan dipadamkan.

"Buat masa ini pakar psikologi diperlukan untuk membantu meredakan trauma pasangan terbabit," katanya.

Menjrut Sabilul pemuda terbabit kini berada di rumah orang tuanya di Tigaraksa yang terletak tidak jauh dari bilik sewa dia ditangkap, manakala pasangannya berlindung di rumah saudara di tempat lain.

Toto serta lima suspek lagi lapor Tempo masih ditahan di balai polis dan mungkin akan didakwa di mahkamah.

Peguam suspek, A Goni, berkata mereka sudah menyesali perbuatan terbabit.

"Toto juga mengaku menampak pemuda yang ditangkap basah itu," katanya.
-malaysiakini 

Mahkamah tolak injunksi, Wisma Tok Guru masih milik Husam

ZIKRI ABDULLAH
Wisma Tok Guru masih milik Adun Salor, tetapi tapaknya milik PAS selepas dibeli.

Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini menolak permohonan injunksi Adun Salor, Datuk Husam Musa untuk menghalang Pas Kelantan mengadakan majlis solat hajat di atas tanah yang dibeli mereka yang menempatkan pejabatnya, Wisma Tok Guru.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Ahmad bin Bache berkata, bangunan Wisma Tok Guru masih dimiliki oleh Adun Salor itu sehinggalah perbicaraan penuh mengenainya diadakan.

Menurut hakim itu, mahkamah tidak boleh menghalang mana-mana pihak untuk membuat aktiviti di atas tanah milik mereka selepas pihak defendan mengemukakan tanah itu adalah milik mereka.

Tambahan lagi, katanya, pihak polis telah memberikan permit kepada majlis solat hajat yang telah dipohon oleh Pas Kelantan yang akan diadakan malam ini di atas tanah itu.

Husam telah diperintahkan membayar kos RM7,000 kepada pihak defendan iaitu pemilik tanah itu iaitu Mohd Yassin Yusof, Setiausaha Kerja Pas Kelantan.

Ketika dibangkitkan oleh peguam Husam tentang isu keselamatan yang mungkin berlaku, hakim berkata, pihak polis telah memberikan permit kepada majlis malam ini dan bertanggungjawab untuk menjaga keselamatannya.

“Jika ada berlaku pergaduhan maka pihak-pihak perlu datang semula ke sini,” katanya dalam penghakiman itu.

Husam membuat permohonan perintah injunksi itu terhadap Setiausaha Kerja Pas Kelantan yang Mohd Yassin Yusof yang membeli tanah pejabatnya, Wisma Tok Guru dengan harga RM700,000 dari balu Allahyarham Datuk Rosli Ibrahim, pemilik asal tanah dan bangunan itu.

Husam memohon injunsksi dari mahkamah untuk menghalang Pas dari memasuki premis itu.

Husam diwakili oleh tujuh peguam iaitu Mat Zaidan Ali, Norazham Yahya, Hisham Fauzi, Mohd Murtadza Mohd Mokhtar, Shamsul Baharin Abdullah, Mohd Yusof Yakob dan Alawi Mohd Rashid.

Yassin pula diwakili oleh Nik Asma Baharom Nik Abdullah dan Datuk Takiyudin Hassan.

Pas Kelantan telah mengarahkan semua ahlinya agar hadir ke majlis solat hajat di Wisma Tok Guru malam ini selepas membeli tanah tapak bangunan itu sebulan yang lalu.

Husam telah memfailkan saman terhadap Yassin berkaitan tanah dan bangunan ini. Perbicaraan penuh mengenainya telah ditetapkan pada 4 Disember ini.

Sementara itu, waris Datuk Rosli Ibrahim pula telah membuat tuntutan pembahagian harta pesaka ke atas tanah ini di mahkamah syariah dan perbicaraan kes ini akan diadakan pada 7 Januari 2018.

Husam: Saya terima keputusan mahkamah dengan lapang dada

ZIKRI ABDULLAH
Naib Presiden AMANAH Datuk Husam Musa menerima keputusan mahkamah hari ini dengan lapang dada.

Beliau yang juga Adun Salor dan pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan mengucapkan berbanyak terima kasih pada pasukan peguam dan para penyokong Amanah dan orang ramai yang mengiringi perbicaraan itu.

“Juga Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang membicarakan kes berkenaan,” katanya.

dalam nota terima kasihnya kepada semua yang terlibat dalam permohonan injunksi berkaitan Wisma Tok Guru, Husam berkata penolakan permohonan injunksi hari ini bukannya penamat.

“Permohanan asal untuk Mahkamah menentukan milikan bangunan Wisma Tok Guru akan didengar oleh mahkamah sebagaimana dijadualkan pada 4 Disember ini,” katanya.

Penolakan injunksi ini menurut beliau bermakna Pas boleh menjalankan aktivitinya di atas ‘tanah’ lot-lot berkenaan.

“Namun perintah penolakan permohonan Injuksi oleh Mahkamah tidak menyentuh hak saya kepada keseluruhan bangunan Wisma Tok Guru termasuklah dewan terbuka berbumbung.

“Jika bangunan tersebut dimasuki PAS maka ianya suatu pencerobohan sehingga Mahkamah bersidang dan memutuskan kedudukan milikan bangunan berkenaan,” katanya.

Dalam keputusan tengahari tadi, Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak permohonan injunksi Adun Salor, Datuk Husam Musa untuk menghalang Pas Kelantan mengadakan majlis solat hajat di atas tanah yang dibeli mereka yang menempatkan pejabatnya, Wisma Tok Guru.

Hakim Datuk Ahmad bin Bache bagaimanapun berkata, bangunan Wisma Tok Guru masih diberi hak kepada Adun Salor menggunakannya sehinggalah perbicaraan penuh mengenainya diadakan.

Wanita mati bersalin bersendirian di bilik hotel, waris dicari (Gambar)


Kota Kinabalu – Pihak polis sedang mencari waris mayat wanita yang dipercayai meninggal dunia sebaik melahirkan bayi di sebuah bilik hotel di sini pada pagi Selasa.

Wanita itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah bersama bayi lelaki yang dilahirkannya oleh pekerja yang mengemas bilik tersebut sekitar pukul 9 pagi.

Bayi lelaki tersebut terselamat dan mangsa dipercayai berumur 20-an.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, mereka sedang mengenal pasti identiti wanita tersebut.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang identiti wanita ini atau warisnya digesa untuk tampil atau hubungi pegawai penyiasat Inspektor Mustapha Ramli di talian 019-814 5090 untuk membantu siasatan polis,” katanya.

Chandra berkata, pihak hospital mengesyaki mangsa meninggal dunia akibat kehilangan darah dan menambah bahawa bayi lelaki mangsa dalam keadaan baik.

“Mayat si ibu dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat sementara bayinya di bawah pemeriksaan kesihatan,” kata Chandra. 
-mstar

Jururawat menangis dipaksa menari seksi, ghairah


Jururawat sebuah hospital di Korea Selatan ‘menangis malu’ apabila mereka dipaksa melakukan tarian seksi dan ghairah di hadapan pegawai-pegawai tinggi hospital.

Situasi tersebut mencetuskan kemarahan di negara ini selepas video sekumpulan jururawat melakukan tarian seksual di pentas tersebar dalam talian.

Mereka memakai seluar pendek dan baju seksi semasa membuat persembahan ketika acara sukan tahunan pada Oktober.

Kumpulan tersebut dilaporkan bekerja di Sacred Heart Hospital, di bandar utara Chuncheon, menurut Korea Times.

“Mereka yang dipaksa menari biasanya jururawat yang baru bekerja, yang tidak dapat menolak arahan itu,” tulis salah seorang jururawat di media sosial pada Jumaat.

“Kami terpaksa menari di hadapan pegawai tinggi firma itu, yang duduk di meja panjang.”

Persatuan Jururawat Korea menyeru siasatan menyeluruh.

Dalam satu kenyataan: “Ramai jururawat yang menanggung beban kerja yang berat, gaji yang rendah dan kerap bekerja lebih masa atas dasar tanggungjawab dalam tugas mereka. Melihat perkara ini, skandal itu adalah satu penghinaan dan menyinggung perasaan jururawat.”

Setelah melihat rakaman tersebut, ramai jururawat lain tampil mendedahkan bahawa mereka juga terpaksa melakukan tarian yang sama.

“Kami dikehendaki berbaring di lantai dan mengangkangkan kaki di depan pesakit dan penjaga mereka,” tulis seorang jururawat.

Seorang lagi jururawat berkata mereka menangis apabila maruah mereka direndahkan, tetapi tidak diendahkan oleh pegawai-pegawai.

Malah seorang jururawat berkata mereka diarahkan oleh pengurus untuk membuat gaya menggoda ketika mereka melakukan persembahan pentas.

Kementerian Pekerjaan dan Buruh berkata ia sedang menyiasat aduan tersebut.
-kualalumpurpost

Tiga beranak mati dibunuh, seorang cedera di Kota Bharu

Tiga beranak ditemui mati dibunuh di sebuah rumah yang dijadikan stor barangan hardware kepunyaan keluarga itu di Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab di Kota Bharu semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Din Ahmad berkata mangsa adalah Kha Eng Ni, 42, dan isteri, Chua Joo Seok, 43, serta anak lelaki mereka, Kha Zee Hanz, 13.

“Pasangan terbabit dipercayai ditikam beberapa kali menggunakan senjata tajam di bahagian dada manakala anak lelaki mereka maut selepas dipercayai dipukul di bahagian belakang kepala menggunakan benda keras,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Din berkata seorang lagi mangsa yang juga anak pasangan itu berusia 15 tahun cedera parah kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu dan keadaannya dilaporkan kritikal.

Beliau berkata ​​​polis mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki pada pukul 2.30 petang mengatakan ternampak satu mayat berlumuran darah di hadapan rumah mangsa.

Beliau berkata sebaik menerima panggilan sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat seorang lelaki di hadapan rumah dalam keadaan berlumuran darah.

Katanya pemeriksaan lanjut menemui mayat isteri mangsa di bahagian dapur dan mayat anak pasangan terbabit di bahagian tengah rumah.

"Siasatan awal polis menemui kesan tapak kaki berlumuran darah di bahagian tangga rumah dua tingkat itu. Polis juga percaya berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek sebelum mangsa menghembuskan nafas terakhir.

"Polis percaya rumah dua tingkat itu dijadikan sebagai stor barangan hardware dan mangsa sekeluarga datang ke situ untuk tujuan mengaudit barangan, " katanya.

Difahamkan, dua lagi anak mangsa berusia lapan dan 18 tahun terselamat dalam kejadian itu kerana tiada di tempat kejadian ketika itu.

Din berkata siasatan awal pembunuhan itu dipercayai bermotifkan dendam berikutan tiada wang atau barangan berharga milik mangsa hilang dan suspek mungkin berseorangan.

Katanya senjata yang digunakan kemungkinan pisau yang ada di rumah terbabit dan suspek dikatakan melarikan diri menggunakan van milik mangsa.


"Susulan kejadian itu polis Kelantan menubuhkan satu 'taskforce' khusus bagi melakukan siasatan kes berkenaan.

"Kita juga akan menjalankan sekatan jalan raya di beberapa lokasi dan cuba mendapatkan maklumat daripada orang ramai mengenai kejadian ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.
-Bernama

Dr Mahathir: Saya isytihar harta jika jadi calon pilihan ray

Melati A. Jalil
PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad bersedia mengisytiharkan asetnya sekiranya bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

“Ya saya boleh isytiharkan aset saya tetapi saya tak tahu sama ada saya akan jadi calon atau tidak,” katanya kepada wartawan selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di Parlimen hari ini.

Beliau memberikan jawapan itu sebagai reaksi kepada kenyataan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini yang 30 bakal calon PH termasuklah yang sedang menyandang jawatan dijangka mengisytiharkan aset mereka Ahad ini.

Bekas perdana menteri itu bagaimanapun berkata yang Majlis Presiden PH masih belum membincangkan sama ada semua calon mereka perlu mengisytiharkan aset sebelum pilihan raya.

“Kami ada strategi sendiri dan kami akan ikut (strategi itu). Dalam Pakatan Harapan, keputusan akhir dibuat Majlis Presiden.

“Jadi sehingga perkara itu diputuskan saya tak boleh buat sebarang kenyataan,” katanya.

Awal hari ini, Rafizi yang merupakan pengasas Invoke Malaysia mengatakan 30 bakal calon PH akan mengisytiharkan harta mereka di Summit USJ pada Ahad.

Majlis itu adalah acara kutip dana untuk Invoke.

Invoke sudah membantu 30 bakal calon tersebut merangka strategi pilihan raya dan melakukan kajian di kawasan mereka.

“Bakal calon akan menandatangani ikrar untuk bekerja demi rakyat, termasuklah membayar kepada tabung amanah RM20 juta untuk rakyat jika mereka berpaling tadah (selepas dipilih),” kata ahli Parlimen Pandan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Invoke mensasarkan untuk mengumpul dana sebanyak RM5 juta lagi daripada orang awam bagi membantu 53 calon pilihan raya umum akan datang.  

Zamihan fitnah Bilal Philips, disaman RM1 juta

Diyana Ibrahim
Zamihan fitnah Bilal Philips, disaman RM1 juta
Abu Ameenah Bilal Philips (gambar) seorang pendakwah terkenal dari Kanada dan individu yang tersenarai dalam senarai tokoh Islam berpengaruh dunia 2017 memfailkan saman ganti rugi lebih RM1 juta terhadap pendakwah kontroversi, Zamihan Mat Zin kerana memfitnah kononnya Bilal Philips menyokong kumpulan pengganas antarabangsa melalui satu tulisan di Facebook setahun lalu. – Gambar YouTube, 15 November, 2017.
SEORANG pendakwah Kanada, Abu Ameenah Bilal Philips memfailkan saman ganti rugi lebih RM1 juta terhadap pendakwah kontroversi, Zamihan Mat Zin kerana memfitnah.

Zamihan didakwa membuat kenyataan fitnah kononnya Bilal Philips menyokong kumpulan pengganas antarabangsa melalui satu tulisan di Facebook setahun lalu.

Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 September lalu, Bilal Philips menamakan Zamihan sebagai defendan tunggal.

Kes berkenaan didengar di mahkamah hari ini untuk pengurusan kes, kata peguam Meor Amir Meor Omar Baki yang mewakili Bilal Philips.

Berita saman terhadap Zamihan ini muncul sehari selepas Mahkamah Rayuan di Putrajaya menolak rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, April lalu yang memutuskan beliau membuat kenyataan fitnah terhadap Syria Care, tiga tahun lepas

Menurut dokumen mahkamah yang dilihat oleh The Malaysian Insight, pendakwah antarabangsa itu menuntut satu perintah mahkamah untuk Zamihan memohon maaf secara terbuka dalam akhbar utama pilihan plaintif.

Beliau juga mahu Zamihan memohon maaf melalui akaun Facebook Ustaz Zamihan Al-Ghari dan menarik balik catatan yang memfitnah itu.

Bilal Philips merupakan pendakwah bebas terkenal yang mendapat jemputan berdakwah dan menyampaikan ceramah agama di serata dunia.


Beliau memeluk Islam sekitar tahun 1970-an merupakan lulusan Pengajian Islam dari Universiti Islam Madinah serta memiliki ijazah sarjana dan Ph.D dalam bidang teologi Islam masing-masing dari Universiti Riyadh dan Universiti Wales.

Dalam penyata tuntutan samannya, Bilal Philips berkata Zamihan, dengan niat jahat, telah memuat naik posting yang memfitnahnya sebagai "international terrorist supporter" (penyokong pengganas antarabangsa).

Kenyataan Zamihan itu, katanya, bukan saja merosakkan reputasi dan kredibilitinya tetapi turut mendatangkan “kesusahan dan kesedihan teruk” pada dirinya.

Dalam penyata tuntutannya, Bilal Philips menyatakan beliau telah menulis, menterjemah dan memberi komentar bagi lebih 50 buah buku pelbagai topik berkenaan Islam, serta terlibat dalam penerbitan pelbagai program televisyen berunsurkan Islam.

Beliau juga pernah memberikan pengajian Islam secara percuma dalam talian, Islamic Online University yang beliau asaskan, dan kerana sumbangannya itu, beliau dinamakan sebagai antara 500 individu Islam paling berpengaruh pada 2017.

"Plaintif menafikan dengan sekeras-kerasnya tuduhan defendan di dalam posting yang memfitnah tersebut yang merujuk plaintif sebagai penyokong keganasan antarabangsa," katanya dalam penyata tuntutan tersebut.

"Plaintif menegaskan bahawa posting tersebut adalah fitnah, palsu dan tidak mempunyai sebarang asas."

Bilal Philips merujuk kepada catatan di akaun Facebook Zamihan bertarikh 26 September 2016 yang mengulas kuliah agama pendakwah antarabangsa itu di Kangar, Perlis.

Catatan Zamihan itu turut memaparkan poster majlis itu yang diadakan di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalulail, di Kangar Perlis pada 1 Disember 2016, lengkap dengan foto Bilal Philips.

Dalam penyata tuntutannya, Bilal Philips mengatakan beliau menerima jemputan individu daripada kerabat diraja Perlis.

Bilal Philips, yang juga pensyarah di American University di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, turut memohon injuksi kekal menghalang Zamihan daripada mengulangi kenyataan fitnahnya.

Selain ganti rugi lebih RM1 juta yang akan ditaksirkan oleh mahkamah, Bilal Philips juga menuntut ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.