Enam calon HARAPAN tumbang sebelum PRU14


PRU14 l Pencalonan enam wakil Pakatan Harapan dibatalkan sebelum pertarungan Pilihan Raya Umum ke-14 bermula.

Antara mereka adalah Naib Presiden PKR Tian Chua yang diisytiharkan hilang kelayakannya di Batu - kerusi parlimen - yang dipegangnya selama 10 tahun.

Beliau dilucutkan hak bertanding kerana denda RM2,000 yang dikenakan ke atasnya pada bulan lalu walaupun jumlah denda yang sama pada 2010 tidak melucutkan haknya daripada bertanding pada pilihan raya umum lalu.

Di kerusi Dewan Undangan Negeri Johor, Bukit Pasir, pencalonan calon BERSATU, Pizi Jihat ditolak oleh pegawai pengurus SPR.

Alasan yang diberikan,adalah namanya tersenarai dalam rekod Jabatan Insolvensi.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Pizi telah menyelesaikan isu kebankrapannya sebelum dicalonkan, dan membawa dokumen bagi membuktikan dakawan itu hari ini.

"Antara dokumen yang dia berikan kepada pegawai pengurus adalah semakan di laman web Jabatan Insolvensi yang menunjukkan bahawa dia tidak muflis.

"Tetapi (pegawai pengurus) berkata semakan terakhir mendapati dia bankrap, sebab itu saya hairan dengan apa yang berlaku," kata Muhyiddin kepada wartawan.

Beliau berkata parti itu akan berunding dengan peguam mereka mengenai tindakan seterusnya.

Nasib yang sama menimpa calon BERSATU, Yaakob Osman di kerusi DUN Penaga di Pulau Pinang.

Walau bagaimanapun, Yaakob menafikannya dan mendakwa bahawa semakannya menunjukkan bahawa dirinya bukan bankrap.

"Suruhanjaya Pilihan Raya mengatakan bahawa terdapat data yang saya bankrap. Kami sudah semak minggu lepas dan semalam.

“Tiada isu dan saya tidak pernah disaman oleh sesiapa pun atau diisytihar muflis. SPR sudah memutuskannya, tiada apa oleh dibuat,” katanya dipetik sebagai berkata oleh The Star Online.

Di Kelantan, calon PKR di kerusi DUN Tawang dan Kuala Balah juga hilang kelayakan bertanding.

Mohd Azihan Che Seman hilang kelayakan di Tawang dengan alasan bahawa alamat di kad pengenalannya tidak tertera di Kelantan, yang merupakan syarat untuk bertanding di kerusi negeri di sana.

Mohd Hafidz Rizal Amran pula hilang kelayakan di Kuala Balah atas sebab dirinya juga bankrap. Dia enggan mengulas apabila ditemui.

Di kerusi DUN Rantau, calon PKR Dr S Streram, dihalang masuk ke pusat penamaan calon dengan alasan dia tidak membawa pas SPR dan hanya dibenarkan berbuat demikian selepas tiga minit tempoh penaaman calon berakhir.

Ini menyaksikan SPR kemudian mengisytiharkan Menteri Besar Sementara Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohammad Hasan, sebagai pemenang kerusi itu.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, dalam satu kenyataan, menuduh pegawai pengurus SPR bagi DUN Rantau sengaja melengah-lengahkan calon partinya.

“Saya dimaklumkan oleh wakil-wakil HARAPAN di dalam dewan bahawa Pengarah SPR Negeri Sembilan sebenarnya telah mengarahkan RO (pegawai pilihan raya) di situ untuk membenarkan Dr Streram mengemukakan borang penamaan seawal jam 9.30 pagi lagi.

“Tetapi RO berkenaan melengah-lengahkan sehingga hanya membenarkan pada pukul 10.03 pagi untuk dijadikan alasan menolak borang pencalonan,” katanya.

Turut mengalami nasib yang sama adalah calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Jenice Lee. Beliau mengemukakan kertas pencalonannya untuk kerusi DUN Teratai dan kerusi Parlimen Pandan.

Walau bagaimanapun, beliau dibenarkan masuk pada minit-minit terakhir sebelum tempoh pencalonan ditutup.-
-malaysiakini

PAS pecat Nik Omar serta-merta

N Faizal Ghazali 
Selepas sah menjadi calon bagi Pakatan Harapan, Nik Omar Nik Aziz yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka 9 Mei ini, dipecat serta-merta daripada PAS.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan (bawah) yang menyatakan keputusan itu diambil selepas mengadakan perbincangan dengan pimpinan PAS termasuk Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, tindakan Nik Omar bertanding atas tiket HARAPAN bertentangan dengan perlembagaan parti dan perjuangan bapanya bekas mursyidul am PAS, allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.

"Kita mengambil keputusan memecat Nik Omar sebaik sahaja dia bertanding dengan parti lain.

"Tindakan menyertai pakatan pembangkang diketuai DAP itu tidak boleh diterima selain dianggap memalukan keluarganya sendiri," katanya ketika bercakap kepada media di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu anak kedua bekas menteri besar Kelantan itu - seperti jangkaan awal Malaysiakini tampil di pusat penamaan calon bagi parlimen Pengkalan Chepa.

Ia sekali gus menjawab teka-teki umum selama ini yang mengatakan beliau berkemungkinan bertanding mewakili HARAPAN.

Sementara itu Takiyuddin berkata, tindakan Nik Omar “menghina” pegangan politik keluarganya.

"Nik Omar membuat tindakan yang menghina pegangan politik ahli keluarganya sendiri," katanya.

Bagaimanapun Takiyuddin yang juga calon PAS parlimen Kota Bharu berkata, keputusan Nik Omar itu tidak akan menjejaskan pengaruh PAS kerana beliau hanya anggota biasa.

Nik Omar hilang 2 hari sebelum jadi calon HARAPAN

Akhbar web PAS melaporkan anak allahyarham bekas mursyidul am PAS Nik Omar Nik Abdul Aziz dikatakan tidak dapat dikesan keluarga sejak dua hari lalu, namun hari ini tiba-tiba muncul sebagai calon Pakatan Harapan di Chempaka.

Memetik sumber, Harakahdaily, melaporkan keluarganya tidak dapat mengesan Nik Omar sejak beberapa hari lalu.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan anak kedua Datuk Nik Aziz Nik Mat itu.
Sementara itu, Harakahdaily juga melaporkan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (atas) melahirkan rasa terkejut dengan keputusan Nik Omar menjadi calon HARAPAN.

Nik Omar akan bertembung dengan calon PAS dan BN di kerusi tradisi arwah bapanya itu.

"Sebenar arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz pernah berpesan kepada anak-anak agar meneruskan perjuangan PAS tetapi secara peribadinya saya terkejut.

"Apa pun, restu bonda sangat penting, kita hidup di dunia ini bukannya sehari dua apa pun perbuatan kita restu bonda sangat penting," katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon di Kompleks Balai Islam hari ini.

Nik Abduh ketika ditanya mengenai restu ibunya pagi tadi enggan mengulas lanjut dan hanya berkata “insya-Allah”.

Dipecat lepas disahkan

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Nik Omar hanya anggota biasa PAS dan tidak mempunyai sebarang jawatan.

Bagaimanapun katanya, seseorang anggota yang bertanding atas tiket parti lain tidak jatuh keanggotaan secara automatik.

“Kita akan kumpulkan bukti sama bergambar atau apa sahaja sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Selepas disahkan barulah boleh dipecat. Kita sebenar tidak terkejut dengan tindakan Nik Omar kerana dia hanya seorang ahli biasa. Bekas timbalan presiden PAS pun tanding atas parti lain.

“Dalam keadaan ini kita pun tidak terkejut kerana nama dia sudah lama dikait dengan parti itu,” beliau dipetik sebagai berkata.
Adik Nik Omar, Nik Abduh (atas) yang sebelum ini turut disebut-sebut bakal bertanding di Chempaka hari ini menjadi calon kerusi parlimen Bachok atas tiket PAS.

Nik Abduh diiringnya ibunya, Tuan Sabariah Tuan Ishak ketika menghantar borang pencalonan.
-malaysiakini

Pakatan Harapan serasi pendekatan politik arwah ayah, kata Nik Omar

ZIKRI ABDULLAH
Meskipun tidak mengambil bahagian dalam politik ketika almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, anakandanya Nik Omar berkata beliau sentiasa mengikuti rapat gerak geri politik bekas Mursyidul Am Pas itu.

Menurutnya, dalam konteks politik semasa, bersama Pakatan Harapan (PH) adalah lebih serasi dengan pendekatan politik arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz.

“Saya hormati pendirian Pas untuk berada di luar mana-mana pakatan Barisan Nasional (BN) atau PH.

“Tapi saya yakin bersama PH lebih mendekati cara ayah saya berpolitik,” katanya pada sidang media khas PH Kelantan selepas proses penamaan calon berakhir pagi ini.

Nik Omar sebelum itu mengemukakan kertas pencalonannya di Pusat Sumber Pendidikan Pengkalan Chepa.

Beliau bakal berhadapan calon Pas Nik Mohd Fathan dan calon BN Mohamad Fareez Noor Amran.

Mengejutkan!! SPR batal pencalonan Tian Chua

Batu, Wilayah Persekutuan - Naib Presiden PKR Tian Chua hilang kelayakan daripada bertanding kerusi Parlimen Batu selepas pegawai pilihan raya membatalkan kertas pencalonannya.

Laporan media mendakwa ini disebabkan oleh kes mahkamah sebelumnya.

Nik Omar akhirnya muncul di DUN Chempaka?

N Faizal Ghazali
PRU14 | Selepas pelbagai spekulasi mengenainya diperkatakan, rancangan Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan untuk mengangkat Nik Omar Nik Abdul Aziz sebagai calon mereka pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dikatakan semakin menjadi realiti.
Menurut sumber, anak kedua bekas menteri besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu akan muncul di Pusat Penamaan Calon Parlimen Pengkalan Chepa, di Kota Bharu, pagi ini.

"Insya-Allah beliau akan bertanding mewakili HARAPAN di DUN Chempaka.

"Segala persiapan dari segi pengurusan pencalonan sudah disediakan, kita tunggu penamaan calon secara rasmi esok (hari ini), " kata sumber dalam HARAPAN kepada Malaysiakini, lewat malam tadi.

Terdahulu pada majlis pengisytiharan calon HARAPAN Kelantan yang 'kelam-kabut' malam semalam, gabungan parti pembangkang itu mengumumkan seorang yang bernama Mohammad Omar sebagai calon mereka bagi kerusi Chempaka.

Bagaimanapun, individu pemilik nama berkenaan tidak muncul di pentas utama untuk diperkenalkan kepada orang ramai yang hadir di Bilik Operasi DUN Kadok berkenaan.

Jika Nik Omar benar-benar muncul di pusat penamaan calon pagi ini ia adalah kemunculan 'berani' beliau bersama AMANAH selepas sebelum ini dilihat berhalangan untuk ke depan menghadapi PAS kerana beberapa faktor.

Antaranya, salah seorang adik Nik Omar, Nik Mohamad Abduh, adalah orang kuat PAS dan tegar mempertahankan pendekatan diambil parti itu walaupun tidak disenangi sesetengah pihak.

Nik Mohamad Abduh bertanding - dan menang - di kerusi Pasir Mas pada PRU ke-13 lalu dan kali ini dipilih menjadi calon PAS bagi kerusi parlimen Bachok.

Secara bandingan Bachok lebih mencabar buat PAS berbanding Pasir Mas berdasarkan jumlah majoriti undi yang dimenangi calon parti terbabit pada 2013 lalu.

Pada PRU ke-13 itu, calon PAS Ahmad Marzuk Shaary memperoleh 35,419 undi berbanding Datuk Dr Awang Adek Hussin 35,218.

Perbezaan undi rasmi yang memisahkan Ahmad Marzuk dengan Awang Adek cuma 201 undi.

Nik MohamadAbduh pula mengetepikan cabaran Datuk Ibrahim Ali di Pasir Mas dengan kelebihan 8,047 undi. Anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu memperoleh 33,431 undi manakala Ibrahim 25,384 undi.

Berdiam diri, enggan ulas

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, HARAPAN Kelantan diyakini akan menggugurkan calon mereka yang terpalit dengan siasatan kes cabul.


Namun, barisan pimpinan utama parti itu memilih untuk berdiam diri daripada bercakap mengenai perkara itu.

Timbalan Pengerusi HARAPAN Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor ketika dihubungi enggan mengulas lanjut.

"Saya hanya akan respon selepas penamaan calon esok, awak boleh telefon saya selepas itu, " katanya.

Media semalam melaporkan polis Kelantan sedang menyiasat seorang calon HARAPAN Kelantan susulan didakwa menjadi suspek satu kes cabul seorang wanita, tahun lalu.

PANAS!!! Nasib baik pesawat saya tak terhempas kena sabotaj - Dr M

PRU14 | Menjelang sehari sebelum penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-14, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa pesawat peribadi yang disewa khas telah disabotaj oleh pihak tertentu.

Sebelum itu, Dr Mahathir dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Ali berada di Lapangan Terbang Subang dan sudah menaiki pesawat tersebut untuk menuju ke Langkawi bagaimanapun telah dimaklumkan oleh juruterbang bahawa sistem pesawat itu tidak berfungsi.

Menurut Dr Mahathir, juruterbang memaklumkan kepadanya kerosakan tersebut tidak dapat dibaiki dalam masa yang singkat menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk meminjam pesawat daripada rakannya bagi meneruskan perjalanan ke Langkawi.

“Saya fikir saya boleh sampai sini selepas sembahyang Jumaat malangnya yang mana (sistem) kapal terbang yang saya nak naik ini bocor (tidak berfungsi).

“Kemudian saya cuba pinjam pesawat kawan-kawan kemudian mereka tidak dapat meminjamkannya kepada saya kerana telah dihalang oleh pihak tertentu tapi syukurlah ada seorang kawan pinjamkan pesawatnya untuk saya sampai ke majlis ini dan sampai ke penamaan calon esok.

“Nasib baik dapat tahu awal kalau tak tahu awal ada kemungkinan kapalterbang tu terbang dan crash,” kata Dr Mahathir dalam ucapannya ketika program minum petang wanita HARAPAN bersama komuniti Cina dan India di De Baron Resort, Langkawi, hari ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan telah disabotaj pihak tertentu.

“Ada orang yang rancang ini saya fikir, tak pernah berlaku dalam sejarah saya naik kapalterbang ni sudah beribu kali tapi inilah kali pertama.

“Saya nak naik saja barulah juruterbang bagi tahu bahawa kapal terbang itu rosak dan dia tak boleh terbang dia akan cuba perbetul, baiki tetapi tak dapat,” katanya.

Dr Mahathir merupakan calon parlimen Langkawi bagi Pakatan Harapan (HARAPAN) bakal berdepan dengan Datuk Nawawi Ahmad (BN) dan Zubir Ahmad (PAS).

Dr Mahathir berkata beliau telah pun memaklumkan kepada semua pemimpin HARAPAN bahawa pihak tertentu akan melakukan apa sahaja untuk menghalang calon tiba di pusat penamaan calon esok.

“Jadi mereka boleh menang tanpa bertanding, saya telah diberi amaran dan ini akan dilakukan oleh musuh kita tetapi saya tak sangka saya sendiri nak dijadikan mangsa sekatan supaya saya tak dapat sampai ke Langkawi.

Tak buat laporan polis

“Nampak mereka sampai tahap nak jatuhkan kapal terbang sampai nak jatuh mati. Dia takut sampai tahap nak bunuh orang kerana dia nak cari kemenangan.

“Saya yakin rakyat tak suka pemerintah yang guna cara begini untuk memenangi PRU,” katanya.


Menerusi sidang media yang diadakan kemudian, pemimpin 22 tahun itu berkata beliau tidak akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu dengan mendakwa ia tidak akan disiasat.

“Saya tak nak buat laporan polis kerana saya tahu tidak akan ada siasatan dijalankan meskipun saya bercakap benar,” katanya.
-malaysiakini

Calon HARAPAN K'tan disiasat kes cabul

Polis Kelantan sedang menyiasat seorang calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan susulan didakwa menjadi suspek satu kes cabul seorang wanita, tahun lalu.

Difahamkan suspek dipilih menjadi calon pilihan raya umum ke-14 (PRU14) untuk bertanding di salah satu Dewan Undangan Negeri (DUN) di parlimen Pengkalan Chepa.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Ismail Mat Sidik berdasarkan satu laporan polis yang dibuat mangsa pada Jun 2017 .

"Kes tersebut bukan kes rogol, tetapi cabul. Kita siasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, " katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Malaysiakini difahamkan kejadian itu berlaku pada sekitar Februari 2017 di sebuah bilik hotel di Kota Bharu.

Menurut sumber, mangsa telah didatangi suspek yang juga ketua bahagian sebuah parti politik dan bertindak memasuki bilik hotel tersebut.

"Mangsa ketika itu dalam keadaan berwuduk untuk mengerjakan solat zohor. Kemudian dia terus solat sambil diperhatikan suspek yang membaringkan diri atas katil.

"Suspek kemudiannya mencium tangan dan pipi mangsa sebelum bertindak lebih liar," katanya.

Bagaimanapun tambah sumber berkenaan, wanita berusia awal 50-an itu berjaya menyelamatkan diri daripada kejadian lebih buruk selepas pintu bilik diketuk pekerja hotel berkenaan.
-malaysiakini

Sembilan calon Pas ‘saudara sekapal’ BN dipapar akhbar milik Umno

ARIF ATAN 
Muka depan akhbar Harian Metro hari ini mendedahkan senarai sembilan calon Pas yang lebih setahun lalu sekapal dengan pemimpin BN dalam pelayaran misi Food Flotilla For Myanmar (FFFM).

Menggunakan tajuk ‘Calon Flotilla’, wajah kesemua pemimpin Pas terbabit yang dianggap ‘saudara sekapal’ terpampang bersama tiga calon BN yang turut menyertai misi bantuan kepada pelarian Rohingya itu.

Tujuh daripada sembilan calon Pas yang menaiki kapal Nautical Aliya pada Februari 2017 itu akan bertanding di negeri-negeri pantai Barat dengan paling ramai di Kedah diikuti Selangor.

Daripada sembilan calon Pas itu, empat daripadanya akan bertanding di kerusi Parlimen.
Sehari sebelum penamaan calon, akhbar pro BN siar senarai 9 calon Pas sekapal dengan BN.

Berikut senarai lengkap pemimpin Pas yang sekapal dengan BN itu seperti disiar Harian Metro:

1. Ketua Dewan Muslimat, Nuridah Salleh – Parlimen Sungai Buloh.
2. Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor – Parlimen Besut.
3. Ketua Dewan Pemuda, Muhammad Khalil Abdul Hadi – Dun Batu Burok.
4. Exco Dewan Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Marzuk Shaary – Parlimen Pengkalan Chepa.
5. Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Norazman Ishak – Dun Penanti.
6. Ketua Dewan Muslimat Pas Kedah, Datuk Siti Aishah Ghazali – Dun Merbau Pulas.
7. Penyelaras Mapim Kedah, Zulkifli Che Haron – Dun Kota Damansara.
8. Naib Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Ahmad Tarmizi Sulaiman – Parlimen Sik.
9. Pengarah Pas Relief, Muhammad Sanusi Md Noor – Dun Jeneri.

Mereka dilaporkan menyertai misi selama 23 hari ke Myanmar dan Bangladesh itu bersama tiga pemimpin BN yang kemudiannya menjadi calon bagi PRU-14 ini diketuai Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang mempertahankan Parlimen Baling.

Dua lagi, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir bertanding di Parlimen Kulim Bandar Baharu dan Bendahari Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Mutalif Rahim di Dun Taman Medan.

Azeez yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Pengerusi Tabung Haji itu dipetik berkata, persaudaraan sesama Islam itu dianggap sebagai rahmat walaupun berbeza fahaman politik.

“FFFM menyatukan kami dan tidak mustahil kami boleh bekerjasama walaupun masing-masing ada baju politik sendiri,” katanya lagi.

Juruhebah radio ditahan miliki pistol, peluru

Bernama 


IPOH: Seorang juruhebah sebuah stesen radio ditahan selepas didapati memiliki senjata api dan peluru hidup dalam sekatan jalan raya oleh polis trafik di KM28, Kampung Bahagia, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, dekat sini, semalam.

Dalam insiden jam 8.30 pagi Khamis itu, sepasukan anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput menahan sebuah kereta jenis Toyota Wish berwarna kuning yang dipandu juruhebah berusia 47 tahun kerana didapati menggunakan lampu “beacon”.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, SAC Yahya Abd Rahman berkata pemeriksaan terhadap pemandu itu mendapati sepucuk pistol semi automatik jenama Walther bersama satu kelopak berisi 7 butir peluru hidup terselit di pinggangnya.

Susulan pemeriksaan di dalam kereta lelaki itu, katanya, polis menemui satu lagi kelopak peluru berisi 7 butir peluru hidup dan 18 butir perluru hidup dalam beg sandang yang diletakkan di tempat duduk penumpang depan.

“Jumlah keseluruhan peluru yang dirampas adalah 32 butir jenis 9mm,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Yahya, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui motif sebenar lelaki berkenaan memiliki senjata berkenaan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki pistol tanpa lesen dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki peluru.

Puad Zarkashi mengamuk lagi: Muafakat Johor Khaled umpama sampah

 Saya tahu ramai yang akan mengecam saya kerana posting terbaru ini. Saya tidak akan menjawab komen balas mereka. Yang penting saya mendedahkan apa yang ada dalam hati nurani saya. Lagi pun saya sudah mengatakan “I will fight until the last drop”.
Orang akan kata saya kecewa dan marah. Katakanlah apa sahaja. Itulah sahaja tuduhan yang mereka ada sedangkan saya ada keberanian mengkritik apa yang saya yakini kemungkaran sistem yang rosak.

Saya tidak mengkritik 'Umno Perjuangan'. Sebab itu saya meletak jawatan sebagai KP JASA kerana saya ada keyakinan diri. Kini saya tidak terikat dengan apa apa.

Datuk Seri Khaled Nordin menjadikan “Muafakat Johor” juga umpama sampah. Team Johor sebenarnya adalah Team Khaled. Akhirnya pemilihan calon lebih menjurus kepada kronisme dan persiapan untuk menghadapi pemilihan parti akan datang.

Orang yang bersama beliau mengkritik Datuk Seri Najib Razak dalam grup Whatsapp semuanya kekal sebagai calon. Ada antara mereka berani menuntut Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Kenapa saya kata begitu. Kalau betul muafakat, kenapa tidak dirundingi Umno Bahagian dalam pemilihan calon. Ini yang berlaku di Parlimen Batu Pahat. Ketua Bahagian tidak dirundingi.

Khaled sesuka hati mengubah senarai calon bukan lagi berasaskan merit tetapi pertimbangan sokongan politik dan persaingan dalam parti.

Bayangkan Syarifah Azizah Syed Zain dari Bahagian Keluang boleh bertanding di DUN Penawar Parlimen Penggerang. Apa jasa Syarifah di sana?

Apa khidmat yang dia telah lakukan untuk mendekati pengundi sebelum menjadi calon.

Kawasan difaraidkan sesama mereka

Kenapa orang yang menghabiskan masanya di kawasannya sendiri dengan begitu mudah diketepikan?

Apakah Khaled mengamalkan muafakat Johor? Apakah Khaled yakin silent protest tidak akan berlaku.

Begitu juga Datuk Onn Hafiz Ghazi iaitu setiausaha politik kepada Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang merupakan ahli Umno di Bahagian Sembrong, boleh pula berpindah dan bertanding di DUN Layang Layang dalam Parlimen Simpang Renggam. Di mana muafakatnya?

Begitu mudah kawasan-kawasan ini difaraidkan sesama mereka semata-mata mengisi keperluan strategi politik masing masing.

Gambar calon atas katil

Begitu juga di DUN Serom, senarai juga berubah di saat akhir kerana memenuhi amalan kronisme yang tidak terkawal. Ketua Wanita Bahagian pada mulanya dicalonkan untuk memenuhi kuota Wanita tetapi dimangsakan oleh mereka yang ada kuasa mengubah.

Sebab itu saya kata sistem kita sudah rosak oleh mereka yang mengatakan sistem kali ini terbaik. Sehingga ada calon yang gambarnya di atas katil bersama perempuan bukan mahram juga terpilih sebagai calon.

Seperti yang sebut diawal tadi, jangan marah dengan apa yang saya tulis ini. Kalau tidak anda adalah double standard kerana menuduh saya marah tetapi anda pula marah kerana kritikan saya.

Saya tidak terikat apa-apa. Sebab itu keputusan saya meletak jawatan ketua pengarah JASA adalah tepat.

Saya tetap tabah tetapi semakin berani dengan ujian ini.

Pakatan Harapan Kelantan meletakkan 6 doktor perubatan di DUN (Senarai calon DUN dan Parlimen)

ZIKRI ABDULLAH 
Husam memberikan sidang media selepas mengumumkan calon-calon PH di Kelantan malam tadi.

Bekas Setiausaha Akhbar Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Dr. Mohamad Fauzi Zakaria diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan Kelantan dalam satu majlis di Kadok malam tadi.

Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa yang memperkenalkan semua calon PH dalam ucapannya berkata beliau adalah salah seorang daripada lima lulusan doktor falsafah (PhD) dalam senarai calon PH di Kelantan itu.

“Kita kemukakan team terbaik dalam satu pasukan berwawasan untuk dipilih rakayat.

“Kita yakin hidangan kita (senarai calon) jauh lebih baik dari Pas mahupun Barisan Nasional (BN),” katanya.


DR FAUZI…calon PH di parlimen Tanah Merah.

Calon-calon PH katanya memiliki gabungan pelbagai latarbelakang bagi mengendalikan sebuah kerajaan untuk menjayakan aspirasi rakyat.

“Kita kemukakan 6 doktor perubatan, 3 peguam, 5 pemegang ijazah doktor falsafah, tokoh-tokoh guru, bekas pengerusi suruhanjaya pilihanraya (SPR), pegawai kanan agensi ekonomi, 3 aktivis tuntutan royalti, ulamak, bekas pegawai kerajaan tempatan dan mereka yang rapat denngan masyarakat bawahan.

“Paling menarik untuk pertama kali dalam sejarah, kita kemukakan Orang Asli sebagai calon bagi menunjukkan keseriusan kita dalam membela golongan itu,” katanya.

Senarai penuh yang diumumkan adalah sebagaima berikut.

CALON PARLIMEN & DUN PAKATAN HARAPAN NEGERI KELANTAN​ PRU 14
✅KAWASAN PARLIMEN

P.019 TUMPAT
DATUK NORDIN SALLEH

P.020 PENGKALAN CHEPA
MOHAMAD BIN IBRAHIM

P.021 KOTA BHARU
HUSAM MUSA

P.022 PASIR MAS
CHE UJANG BIN CHE DAUD

P.023 RANTAU PANJANG
DR. WAN SHAH JIHAN BIN WAN DIN

P.024 KUBANG KERIAN
DATO DR. ABDUL HALIM BIN YUSOF

P.025 BACHOK
TUAN HJ ZULKIFLI ZAKARIA

P.026 KETEREH
DR MOHD RADZI JIDIN

P.027 TANAH MERAH
DR. MOHAMAD FAUZI BIN ZAKARIA

P.028 PASIR PUTEH
DATUK KAMARUDDIN MD NOOR

P.029 MACHANG
DATUK SAZMI MIAH

P.030 JELI
AZRAN DERAMAN

P.031 KUALA KRAI
DR MOHD YAZID BIN ABDULLAH

P.032 GUA MUSANG
MOHD NOR HUSSIN

✅KAWASAN DUN

N.01 PENGKALAN KUBUR
DATUK WAN ROSOI HJ MAT RASIK

N.02 KELABORAN
NIK FAIZAH BT NIK OTHMAN

N.03 PASIR PEKAN
WAN JOHARI WAN OMAR

N.04 WAKAF BHARU
UST MOHD KHIR ZAHRI

N.05 KIJANG
NASRUDDIN BIN ABDULLAH

N.06 CHEMPAKA
MOHAMMAD BIN OMAR

N.07 PANCHOR
ZULHAZMI HASSAN

N.08 TANJONG MAS
DR HAFIDZAH BT HAJI MUSTAKIM

N.09 KOTA LAMA
TAN SRI AB RASHID AB RAHMAN

N.10 BUNUT PAYONG
SANUSI OTHMAN

N.11 TENDONG
DR WAN MOHD ZULKHAIRI B WAN
MAD ZAIN

N.12 PENGKALAN PASIR
SHARANI BIN MOHD NAIM

N.13 CHETOK
ALI ABDU RAHMAN BIN HASAN

N.14 MERANTI
MOHD ROMIZU MOHD ALI

N.15 GUAL PERIOK
MOHD RIDZUAN BIN MUHAMAD

N.16 APAM PUTRA
MOHD HISYAMUDDIN BIN
GHAZALI

N.17 SALOR
HUSAM MUSA

N.18 PASIR TUMBOH
MOHD NOOR BIN MAT YAJID

N.19 DEMIT
DR WAN AHMAD KAMIL BIN WAN
ABDULLAH

N.20 TAWANG
MOHAMMAD AZIHAN BIN CHE
SEMAN

N.21 PERUPUK
DATUK ISMAIL GHANI

N.22 JELAWAT
MOHD FAHMI ZAKARIA

N.23 MELOR
AB AZIZ BIN AB KADIR

N.24 KADOK
CHE IBRAHIM MOHAMMAD

N.25 KOK LANAS
DR MOHD HANAFI ISMAIL

N.26 BUKIT PANAU
HISHAM BIN FAUZI

N.27 GUAL IPOH
MOHD SOBA BIN HUSSIN

N.28 KEMAHANG
BAHARI MOHAMAD NOR

N.29 SELISING
ISMAIL BIN MUHAMMAD

N.30 LIMBONGAN
ZARIR BIN YAAKOB

N.31 SEMERAK
WAN MARZUDIWAN OMAR

N.32 GAAL
AB RAHMAN YAACOB

N.33 PULAI CHONDONG
AB HALIM@KAMARUDDIN AB KADIR

N.34 TEMANGAN
MOHD RIDZUAN BIN ALIAS

N.35 KEMUNING
AB KADIR OTHMAN

N.36 BUKIT BUNGA
ASRAN ALIAS

N.37 AIR LANAS
DR AMINUDDIN YAACOB

N.38 KUALA BALAH
DR MOHD HAFIDZ RIZAL BIN
AMRAN

N.39 MENGKEBANG
WAN MOHAMMAD AZRAN BIN
AHMAD

N.40 GUCHIL
MOHD ROSLAN BIN PUTIH

N.41 MANEK URAI
MOHAMED DAHAN BIN MAT JALI

N.42 DABONG
WAN AHAMAD FADZIL BIN WAN
OMAR

N.43 NENGGIRI
HJ OTHMAN BIN YUSOFF

N.44 PALOH
HAJAH NORAINI BINTI HUSAIN

N.45 GALAS
NASIR DOLLAH

‘Orang mati hidup semula’ dalam daftar pemilih SPR?

MALAYSIA DATELINE
‘Orang mati hidup semula’ dalam daftar pemilih SPR?
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini dipersoalkan mengenai ketelusan senarai daftar pemilih apabila terdapat dakwaan SPR turut memasukkan pengundi yang telah meninggal dunia.

Tular dilama sosial pengadu yang telah membuat laporan polis apabila mendiang bapanya MM Narayanan Nair A/L T Narayyanan Nair dengan No KPP 290805-71-5037 yang telah meninggal dunia pada 2013 namanya, masih berada dalam senarai daftar pemilih ketika beliau membuat semakan dalam talian.

Anak perempuan kepada mendiang Shyama MM Narayanan Nair telah membuat laporan di Balai Polis Teluk Ayer Tawar, Seberang Prai Utara, Pulau Pinang semalam.

Beliau yang merupaka seorang peguam berusia 58 tahun itu berkata semakan daftar pemilih sudah pun dilakukan pada tahun lepas menunjukkan tiada nama mendiang bapanya dalam senarai daftar pemilih.

” Cuba teka!!! Dia kembali mengundi untuk tahun ini. Sila semak daftar pemilih bagi saudara mara anda yang telah meninggal dunia dan telefon Bersih Hotline.

“Kongsikan maklumat ini kepada ramai orang yang mungkin ada ibu bapa dan saudara mereka yang telah meninggal dunia,” ujar beliau dalam tulisannya yang ditularkan.

Beliau yang tinggal di Leboh Nakhoda Teluk Air Tawar ini juga memuatnaik salinan daftar pemilih menerusi dalam talian yang merujuk kepada nama mendiang bapanya yang mana tidak dilupuskan dalam senarai daftar pemilih oleh SPR.

Ana kurang faham, nak mati syahid demi Najib pula'

 PAS diserang kiri dan kanan setelah keluar Pakatan Rakyat dan sering tampil dengan pendekatan lunak terhadap musuh tradisinya Umno.

Pemimpin PAS bagaimanapun konsisten menafikan semua serangan itu.

Bagaimanapun, seorang pemimpin veterannya berpendapat sebaliknya.

Bagi beliau, sukar difahami bagaimana parti Islam itu kini berani “bunuh diri” dan “mati syahid” demi menyelamatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam wawancara panjang baru-baru ini, bekas pemimpin PAS dari Pantai Timur itu tanpa berselindung menyatakan pandangan kerasnya.

Ustaz itu, yang juga anggota seumur hidup PAS, bagaimanapun mahu namanya dirahsiakan.

Berikut wawancara penuh dengan anggota PAS seumur hidup itu.

Hanya suntingan minimum dibuat terhadap teks di bawah, demi kejelasan dan kelancaran bahasa.

Kenapa ustaz tinggal dalam PAS, tetapi sokong Pakatan Harapan?

Ana (saya) dah lama dengan PAS. Mulai hujung tahun 1970-an, setelah PAS diketepikan di Kelantan, dan dunia luar bergolak, kita dalam harakah Islamiah menganggap PAS-lah yang merupakan satu-satunya hizbul Islamiah yang ada.

Pada tahun 1960-an, PAS telah bekerjasama dengan pembangkang Melayu lain, terutama sekali dari Partai Rakyat (Ahmad Boestamam), Parti Buruh (Ishak Haji Muhammad, atau Pak Sako) dan Parti Perhimpunan Kebangsaan (Aziz Ishak, bekas Menteri Pertanian Umno). Ketua PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy telah ditahan bersama mereka bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) zaman Tunku.

Bila PAS masuk BN, BN menang besar pada tahun 1974, tetapi ramai penyokong PAS pindah ke pembangkang lain. Misalnya, di Terengganu, Partai Sosialis Rakyat Malaysia pimpinan Kassim Ahmad mendapat lebih satu pertiga/hampir 40 peratus dari jumlah undi.

PAS keluar BN pada tahun 1978 setelah Mat Nasir (Datuk Muhamed Nasir) keluar PAS untuk memimpin BERJASA dan bekerja sama dengan Umno kerana tak puas hati dengan pimpinan Asri. Tapi beberapa anggota PAS ingin terus kerja sama dengan Umno.

Walaupun segelintir dari harakah Islamiah, terutamanya ABIM, masuk Umno pimpinan Mahathir bersama Anwar Ibrahim pada tahun 1982, jauh lebih ramai yang memihak kepada PAS. Setelah Asri bersama beberapa orang MP lain keluar PAS setelah muktamar 1982, Tok Guru Nik Aziz menjadi satu-satunya MP PAS dalam Dewan Rakyat.

Yusuf Rawa menjadi ketua PAS. Fadzil Nor, Nakhaie Ahmad dan Hadi Awang antara pemimpin lain yang membina semula PAS. Mereka disokong oleh ramai orang muda, termasuk yang mengaji di luar negeri, bukan hanya di pusat pengajian Islam Arab, India dan Indonesia, tetapi juga di Barat, di UK, Amerika, Australia.

Harakah Islamiah luar, terutamanya Ikhwanul Muslimin, ada pengaruh besar. Selain itu, fulus atau dana Saudi, yang dulu dianggap lebih ‘halal’ dibanding sumber lain, juga memberi kesan besar.

Bagaimana pula perkembangan dewasa ini?

Dalam tiga dasarwarsa yang lalu, PAS telah berjaya perluaskan pengaruhnya. Selain dari sokongan kuat ahlinya, ramai lagi penyokong PAS amat penting, terutama sekali dalam memperluaskan pengaruh PAS di kalangan umat.

Selain itu, prestasi dan kejayaan PAS dalam pilihan raya bergantung kuat kepada kerjasamanya dengan parti lain, pada mulanya dengan Parti Semangat 46 Tengku Razaleigh. Setelah Anwar dipecat Umno, dengan kerjasama, bukan hanya dengan Parti Keadilan Rakyat, tetapi juga dengan DAP, PAS dapat memimpin kerajaan di tiga negeri selain Kelantan, iaitu Terengganu, Kedah dan Perak.

Pegangan kuat kepada iman dan etika menjadikan PAS rujukan bagi umat Islam. Walaupun kerajaan negeri Kelantan lemah dari beberapa segi, umat Islam yakin bahawa pemerintahan Tok Guru itu bersih dan amanah, walaupun kurang cekap dan berkesan mengatasi beberapa masalah.

Bagaimana pula derma kerabat diraja Saudi kepada Najib?

Malaysia antara negeri yang menyokong Arab Saudi membunuh ribuan orang Islam di Yaman. Bukan hanya Syiah. Malah, Bangsa-bangsa Bersatu menyifatkan pembunuhan zalim di Yaman sebagai yang paling kejam pada abad ini!

Fulus yang Najib terima daripada Saudi itu fulus darah rakyat, anak, bayi, orang tua, wanita, mereka yang uzur di Yaman yang tak berdosa, tetapi tak mahu tunduk kepada raja mudanya, Israel dan Amerika.

Najib mengaku terima jumlah AS$682 juta (RM2.7 bilion) daripada Saudi, tetapi siasatan DOJ Amerika jelas tunjukkan itu fulus 1MDB.

Tapi tak dapat dinafikan Saudi pernah dermakan fulus kepada orang suruhannya, Najib. Fulus itu bukan hanya diterimanya, tetapi juga beberapa kerat pemimpin negara lain yang sanggup menyertai pasukan 40 negara, pimpinan Saudi, yang menyerang Yaman.

Fulus yang sampai ke PAS itu hanya sebahagian kecil dari fulus Saudi dan 1MDB, tetapi nama baik PAS yang kita sayangi, digadai untuk mengesahkan pembunuhan kejam di Yaman dengan bom dan pesawat Saudi serta drone Amerika-Israel.

Tetapi kalaulah benar fulus Saudi itu telah dikembalikan sebahagiannya, seperti didakwa Najib dan peguam negara, fulus yang diterima beberapa pemimpin PAS serta penipuan lain, semuanya fulus haram tu.

Timbalan Perdana Menteri Mahyuddin Yassin, Peguam Negara Gani Patail, Gabenor Bank Negara Zeti Aziz, Timbalannya, Ketua Suruhanjaya Anti-Korupsi Malaysia (MACC) Abu Kassim dan beberapa orang pegawai tinggi lain semua dibuang atau berundur untuk menutup penipuan demi penipuan yang terlibat dalam penyelewengan 1MDB.

1MDB?

Kerajaan Indonesia, Singapura, Australia, Swiss, UK, Amerika dan lain-lain semua sudah siasat 1MDB. Malah, beberapa orang didakwa dan didapati bersalah dan dihukum.

Harta telah dirampas, termasuk harta milik syarikat perfileman anak tiri Najib, Red Granite. Baru-baru ini, kapal mewah Jho Low disita pemerintah Indonesia dan diserah kepada Amerika untuk dilelong. Tapi kerajaan Najib teruskan sandiwara menafikan harta yang dirampas kerajaan Amerika ada kaitan dengan 1MDB.

Mengikut undang-undang Amerika, kerajaan AS dapat simpan 25 peratus dari nilai harta kleptokrasi yang dirampas, dan bakinya patutnya dikembalikan kepada pihak yang mengaku telah ditipu.

Tetapi kerajaan Najib terus nafikan penipuan telah berlaku dan cuba selesaikan semua hutang 1MDB dengan fulus sumber lain. Maka, segala harta yang dicuri dari 1MDB itu, hak rakyat Malaysia, yang dirampas Amerika akan diambilalihnya! Macam ketua pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) tak mahu tuntut wangnya di bank Australia! Masya-Allah.

Tetapi apakah Najib telah dipermainkan pihak lain?

Sejarah penipuannya dari dulu lagi, terutamanya semasa menjadi menteri pertahanan dulu. Terdapat skandal demi skandal, termasuk yang melibatkan orangnya seperti Razak Baginda, yang pernah dituduh dalam kes pembunuhan Altantuya, orang Mongolia yang mewakili syarikat senjata Rusia. Razak juga didakwa di Perancis kerana rasuah pembelian kapal selam Scorpene juga.

Bekas menteri Rafidah Aziz telah membongkar semula kes 40,000 hektar tanah Kementerian Pertahanan yang dijual murah olehnya, yang sudah tentu akan menjejaskan keselamatan negara.

Tun Razak mula membangunkan Felda. Mulai tahun 1960-an sehingga 1980-an, lebih dari 100,000 keluarga peneroka mendapat tanah di Semenanjung, yang menjadi sumber mata pencarian mereka serta waris.

Tetapi Najib pula cuba kaut untung besar dari Felda yang menyebabkan nilai saham FGV rugi lebih dari separuh. Peneroka Felda yang membeli saham telah pun kehilangan 60 peratus dari nilai pelaburan mereka!

Apa pula peranan Tuan Guru Haji Hadi?

Walaupun lulusan Madinah, Hadi tak pernah ambil pendekatan Wahabi yang sempit, bukan seperti beberapa orang JAKIM. Hadi sentiasa membela perpaduan ummah, menolak mereka yang memusuhi kaum Syiah dan tasawuf.

Pada tahun 1980an, Hadi terkenal, bukan hanya kerana amanatnya, tapi sebab menolak fahaman assabiyah. Assabiyah dikaitkannya dengan perkauman dan kepuakan sempit, iaitu Umno, lebih-lebih lagi sekarang. Inilah Hadi yang kita terima sebagai pemimpin.

Kuasa fulus dan media Najib digunakan untuk ‘pecah dan perintah’. Tak dapat dinafikan bahawa pemimpin parti pembangkang tak cukup tolak ansur, kurang berusaha mencari asas kerjasama dan perpaduan. Hubungan karibnya dengan Anwar dari zaman ABIM dulu dipermainkan polis sehingga retak. Permusuhannya dengan Mahathir pula tak pernah selesai tanpa ikhtiar ikhlas kedua-dua pihak, yang Najib bijak mainkan.

Tetapi bagaimana PAS terlibat?

Najib rajin menyerap PAS, pada mulanya melalui bekas timbalan presiden Nasaruddin, dan kemudiannya, Mursyidul Am Harun Din, yang sudah lama mempunyai perniagaan usahasama dengan tokoh Umno, dan ingin sambungkan kerjasama PAS dengan Umno sejak tahun 1970-an lagi.

Diketahui umum bahawa Najib cepat bertindak membantu Hadi ketika sakit jantung di Istanbul dulu. Sejak Hadi mula uzur, hanya keluarganya serta beberapa pembantu rapat mengelilingi Tuan Guru dan menapis maklumat serta pelawat.

Lama kelamaan, kawan-kawan lama yang inginkan kerjasama, malah perpaduan pembangkang, yang berbeza pandangan diketepikan, mungkin tanpa disedarinya. Malah, mereka dalam pucuk pimpinan PAS yang berbeza pandangan juga dipinggirkan, terutama sekali setelah ramai daripada mereka keluar menyertai AMANAH.

Apakah perkembangan di dunia Islam ada kesannya di sini?

Ramai pemerhati luar menyifatkan keretakan ini sebagai akibat percanggahan generasi ataupun antara mereka yang mengaji di Timur Tengah ataupun Pakistan. Sesetengah lulusan pengajian Islam hendakkan pekerjaan baik dengan kerajaan pusat, misalnya dengan JAKIM, dan lain-lain, ataupun dalam sektor awam, contohnya dalam urus niaga kewangan Islam atau industri makanan halal, dan sebagainya.

Harakah Islamiah yang berlainan, termasuk yang bersenjata, juga mempunyai penyokong, malah ahlinya di Malaysia, termasuk dalam PAS. Maka, dengan sendirinya, ramai yang mengaji di luar negeri mencerminkan pengaruh yang berlainan, sedangkan mereka yang berakar umbi di Malaysia lebih mengenal dan mewarisi sejarah perjuangan PAS.

Pimpinan PAS mengaku strategi pilihan rayanya akan membolehkannya menjadi penentu atau kingmaker.

Jelas bahawa mereka tak faham sistem pilihan raya Malaysia yang diwarisi British, iaitu sistem ‘first past the post’, atau undi terbanyak dalam kawasan pilihan raya tertentu yang sapu semua.

Umno pula telah ubahsuaikan sistem ini untuk memastikan kuasa BN akan berterusan walaupun lebih ramai pengundi menyokong pembangkang.

Misalnya, kawasan pilihan raya di Sabah dan Sarawak mempunyai kurang pengundi dibanding dengan Semenanjung.

Di Semenanjung pula, kawasan di negeri kubu BN di selatan ‘lebih bernilai’ dibanding dengan negeri kubu pembangkang, terutamanya PAS dan DAP.

Sempadan tak mengikut pentadbiran seperti diakui, tetapi bertujuan memastikan kemenangan lebih besar bagi lebih kurang 30 calon DAP, dan dengan itu, meningkatkan peluang untuk calon BN lain.

Oleh demikian, kalaulah undi BN hanya bertumpu di kawasan parlimen yang terkecil, BN dapat tawan Dewan Rakyat dengan kurang daripada 17 peratus, atau satu perenam, dari jumlah undi!

Di samping itu, tiada pengawasan rapi terhadap ‘undi pos’ oleh pihak polis, tentera dan kakitangan kerajaan lain, yang akan meningkat lebih dari dua kali ganda dibanding dengan PU14. Kalau dulu, 80 peratus undi pos untuk BN, dewasa ini 99 peratus! Ramai yang terlibat mengaku tak pernah mengundi.

‘Pengundi awal’ serta ‘undi pos’ itu disalurkan kepada kawasan tertentu untuk memenangkan calon BN ‘pilihan’.

Maka, BN dapat menang tanpa PAS?

Pilihan raya kali ini berbeza kerana majoriti besar orang Melayu di Semenanjung marah dengan pemerintahan Najib. Dari satu segi, pembolotan kuasa dan kekayaan seolah-olah tanpa batas. Dari segi lain, buat kali pertama sejak tahun 1970-an, kehidupan orang ramai makin melarat akibat dasar-dasarnya.

Dua contoh. Pertama, sejak tahun 2014, setelah penyelewengan serta penipuan 1MDB mula terbongkar, nilai mata wang ringgit telah banyak jatuh dibanding mata wang asing, yang sudah tentu menaikkan harga barang import.

Kedua, pengenaan GST sejak tahun 2015 telah meningkatkan kos barang, terutama sekali bagi rakyat jelata yang dulu jarang bayar SST.

Tapi kerajaan Najib pula mengaku harga tak naik. Kononnya, rakyat Malaysia lebih kaya, makmur, tapi orang tak percaya.

Tidak boleh dinafikan ada lebih ramai ‘billionaire’ – bukan hanya jutawan lagi – di Malaysia.

Ramai daripada mereka sembunyikan fulus mereka di luar negeri, di London, Sydney, Dubai, Panama, dan lain-lain. Tapi cara mereka jadi kaya membebankan, malah memeras orang ramai.

Akibat ramai pekerja asing, gaji pekerja Malaysia – terutama sekali, yang hidup melarat – kurang meningkat. Orang muda sukar dapat kerja, apa lagi kerja baik kalau ada pekerja asing yang sanggup kerja lebih untuk upah kurang.

Apa pula kesan politiknya?

Yang rugi terdiri daripada umat Islam, orang Melayu. Kalau dulu, BN harap menang dengan majoriti undi Melayu kecuali di kubu PAS. Zaman Mahathir dulu, kawasan berbilang kaum lebih membantu BN kerana sukar mengalahkan PAS di kubunya.

Tetapi kali ini, undi Melayu Semenanjung untuk Umno-BN dijangka banyak merosot. Najib tiada cara lain untuk selamatkan kuasanya selain dari memecahkan undi pembangkang dengan menggunakan helah ‘pecah dan perintah’. Nampaknya, dia telah berjaya menjadikan PAS penyelamatnya.

Bagi mereka, dia akan cuba memastikan undi Melayu yang membantahnya tak akan sampai kepada Pakatan Harapan pimpinan Mahathir-Anwar-Mahyuddin-AMANAH. Seorang bekas PM, dua orang bekas TPM, orang Umno belaka. Pemimpin Amanah pula telah lama dulu bela Islam, bela PAS.

Apa pula peranan PAS?

Maka, Najib dan Zahid harap kemarahan ummt Islam, orang Melayu, terhadap pemerintahan Najib disalurkan kepada PAS, bukan kepada Mahathir serta sekutunya.

Caranya jelas. Tuduh DAP dalang Pakatan Harapan. DAP dikatakan lebih memusuhi Islam dan orang Melayu.

Memang tak boleh dinafikan bahawa DAP menentang RUU 355, dan lain-lain, seperti ditolak oleh Najib serta Umno-BN dari dulu lagi. Malah, tak terdapat sebarang pemerintah di dunia yang laksanakan RUU 155 dengan sepenuhnya, termasuk Arab Saudi ataupun Iran. Ini dah lama diketahui umum, tetapi sekarang DAP dijadikan momokan yang dilaung-laungkan untuk cuba menarik undi daripada Pakatan Harapan menjelang PU14.

Kalau PAS berjaya menarik undi Pakatan Harapan, undi anti-Najib pecah dua, dan Pakatan Harapan tak dapat kalahkan BN di Semenanjung walaupun majoriti undi Melayu menolaknya. Maka, ‘pelaburan’ ratusan juta ringgit oleh Najib untuk beberapa pemimpin PAS akan menyelamatkan kuasa Najib-Rosmah serta kekayaan mereka yang seratus kali ganda lebih banyak, iaitu puluhan bilion, jumlah yang sukar diduga insan yang kerdil seperti kita.

Adakah alternatif kepada sistem sedia ada?

Sebahagian besar negeri lain telah menukar kepada sistem ‘proportional representation’ (PR), di mana setiap undi diambil kira dan dikumpul.

Maka, dalam sistem PR, yang ada banyak ragamnya, setiap undi mempunyai nilai yang sama. PAS pula dapat menjadi penentu atau ‘kingmaker’ dengan memberi sokongan kepada parti atau perikatan lain yang mempunyai cukup undi sendiri untuk membentuk kerajaan dengan majoriti undi.

Kalaulah terdapat PR di Malaysia, PAS memang dapat menjadi penentu siapa yang dapat memerintah kalaulah kedua-dua parti atau perikatan utama tak mempunyai majoriti undi dengan sendiri, seperti baru berlaku di Jerman.

Maka, dalam sistem PR, kalaulah BN dapat 43 peratus daripada jumlah undi, Pakatan Harapan dapat 48 peratus dan PAS dapat 9 peratus, dia dapat menentukan sama ada BN atau Pakatan Harapan yang dapat membentuk kerajaan.

Tetapi, dengan sistem yang sedia ada, pertandingan tiga-penjuru bermakna penyertaan PAS sebagai pilihan ketiga dalam semua kawasan parlimen hanya bertujuan menarik undi daripada Pakatan Harapan , yang cuma akan membantu BN.

Pimpinan BN cukup sedar bahawa kebanyakan umat Islam merasa jijik dan marah terhadap pemerintahan BN, terutamanya di bawah pimpinan Najib, yang telah meningkatkan sifat rakus, boros dan curang pemerintahannya ke tahap yang jauh melebihi tahap zaman Mahathir dan Pak Lah.

Korupsi dan kronisme bukan hal baru di Malaysia

Walaupun sudah lama wujud di Malaysia, kronisme, korupsi dan kerakusan pembolotan kekayaan dalam dekad lalu sudah mencapai tingkat yang tak pernah diduga. Oleh itu, lebih ramai umat Islam di Malaysia, termasuk ahli serta penyokong Umno, apa lagi PAS, merasa jijik dan ingin gantikan, malah gulingkan kuasa Najib serta isterinya Rosmah.

Rosmah patut disebutkan kerana dia sedang main peranan lebih penting dibanding dengan semua isteri perdana menteri sebelumnya. Anaknya, Reza Aziz gunakan fulus 1MDB, dan lain-lain untuk membiayai pembikinan filem ‘separuh lucah’ seperti Wolf of Wall Street.

'Dalang' 1MDB, Jho Low pernah pasang iklan besar dalam surat khabar Inggeris terbesar di New York untuk menyambut ‘First lady of Malaysia’ (FLoM) – sepatutnya Raja Permaisuri Agung – yang pernah ada pejabat dan peruntukan belanjawan Jabatan Perdana Menteri.

Bila Lee Kuan Yew melawat Malaysia, Rosmahlah yang dijumpanya. Ketika Najib uzur, Rosmahlah yang menyambut Setiausaha Negara Amerika Syarikat, bukan Timbalan PM Mahyuddin! Mengamuk Hilary.

Menurut laporan kedua Jabatan Pendakwa Raya Amerika, wang 1MDB digunakan untuk membeli intan warna ros berharga ratusan juta serta banyak lagi permata serta barang mewah lain untuknya.

Apa pula kaitan korupsi dengan politik?

Menurut setengah pemerhati, 1MDB ditubuhkan untuk mengumpul dana besar yang dikuasai Najib menjelang PU13 pada tahun 2013. Dengan demikian, dia dapat menguasai Umno dan BN, serta semua menteri dan MP sekali.

Kali ini pula, menjelang PU14, ECRL (East Coast Rail Link) merupakan projek ‘di luar belanjawan’ untuk dapatkan jumlah wang pinjaman besar dari China. ‘Pinjaman ini’ jauh melebihi kos membina landasan kereta api laju ke Pantai Timur, kerana fulus itu perlu untuk membiayai perbelanjaan besar-besaran PU14 dan untuk menyelesai dan menutup kerugian akibat penipuan 1MDB.

Diketahui umum bahawa tender paling besar untuk pembinaan projek kereta api laju ke Singapura pula diberi kepada syarikat yang rapat dengan keluarga diraja Johor. Maka, tak menghairankan bahawa sikap politiknya telah berubah dewasa ini.

Menurut pimpinan PAS, DAP merupakan musuh utama orang Melayu, umat Islam?

Tidak dapat dinafikan bahawa hubungan PAS-DAP memang sulit dari dulu lagi. Pada tahun 1990, PAS tak sanggup kerja sama dengan DAP, tetapi hanya dengan Ku Li serta Semangat 46-nya melalui Angkatan Perpaduan Ummah. Ku Li pula bekerjasama dengan DAP melalui Gagasan Rakyatnya.

Keadaan pula telah berubah setelah pergolakan politik 1998 selepas Anwar dibuang dari kerajaan dan Umno ekoran krisis kewangan. Maka, dalam pilihan raya 1999, 2004, 2008 dan 2013, PAS bekerjasama dengan DAP, di mana wakil Anwar menjadi orang tengah.

Mereka setuju bahawa masing-masing berhak membela pegangan mereka sendiri. Setelah PU13, DAP yang mula keluar dari Pakatan Rakyat selepas Najib menjemput Hadi membentangkan RUU 355. Walaupun RUU 355 tidak pernah dibahaskan dalam sesi parlimen lepas, Hadi telah masuk jerat yang dipasang Najib.

Golongan PAS yang diilhamkan oleh Erdogan di Turki – dibanding Erbakan dulu – dan berjaya ‘memperluaskan’ sokongan PAS, tidak pernah minta tolong DAP. Namun, DAP pula masuk campur hal ehwal PAS, yang menyebabkan reaksi kuat terhadap golongan Erdogani. Mereka diusir keluar PAS dan menubuhkan Amanah bersama ramai lagi yang keluar PAS atas sebab-sebab berlainan.

Kemarahan Hadi terhadap DAP meningkat, dan terus diperalatkan pimpinan Umno. Walaupun ana sendiri tidak pernah senang dengan DAP, propaganda anti-DAP kini banyak direka untuk menjahanamkan Pakatan Harapan.

Diketahui umum bahawa dalam pilihan raya negeri Sarawak 2016, PAS didakwa terima fulus untuk cuba jahanamkan DAP.

Bagaimana pula menjelang PU14?

Dalam PU14 ini, PAS kata akan tanding di seluruh Semenanjung kerana memusuhi DAP. Belanjanya cukup besar, tetapi ongkos telah disediakan.

Kalau nak hancurkan DAP, lawanlah di tempat DAP tanding saja, bukan di semua kawasan lain, terutamanya yang ditandingi parti Pakatan Harapan lain. Sebenarnya, calon PAS yang lawan DAP hanya membantu DAP kalau berjaya mengurangkan undi Umno-BN, apa lagi dengan sempadan kawasan baru.

Maka, jelas PAS bertanding di kawasan lain itu untuk cuba menarik undi orang Melayu yang marah dengan Najib, Umno dan BN. Fulus yang diterima PAS daripada punca yang didapat diduga, melalui beberapa saluran presiden Umno serta timbalannya.

Fulus yang diterima PAS daripada Umno pada peringkat awal kononnya daripada Saudi, dikatakan demi perkembangan Islam di Malaysia, tetapi kemudian, sandiwara itu tidak berterusan kerana tidak dipercayai langsung. Walaupun seluruh pimpinan sedar, tetapi tidak semestinya, semua terlibat atau dapat ‘rezeki’.

Haji Hadi juga marah dengan Mahathir.

Kami di PAS memang lama marah dengan Mahathir – pernah kita gelarkan Mahafiraun. Kritikan kami terhadapnya diketahui umum. Tetapi kita tidak dapat menafikan bahawa, dengan Anwar sebelahnya zaman itu, dialah yang memajukan Islam dengan caranya sendiri: melalui Bank Islam, Universiti Islam, dan sebagainya, antara lain dengan tujuan menghadkan pengembangan pengaruh PAS.

Masih ada tanda soal tentang Memali, di mana orang Nakhaie terlibat, tetapi Nakhaie menyertai Umnonya kemudian. Sikap Mahathir terhadap polis juga sukar difahami; tiada siapa yang mengaku Mahathir yang suruh Rahim belasah Anwar. Operasi Lalang 30 tahun dulu disyorkan Ketua Polis Hanif dengan Rahim, ketua Cawangan Khas waktu itu. Mat Sabu pula ditahan bersama dan mula kenal Lim Guan Eng ketika itu.

Tetapi itu cerita dulu belaka. Lah ni, soalnya lain. Mahathir, sanggup bakar jambatan Umnonya, sanggup berkorban dan terdedah kepada apa saja serangan Najib. Bagi Mahathir, masa depan tanah air, warisannya dijahanamkan Najib, yang telah merosakkan watan kita dengan korupsi dan penipuan terbesar di dunia. Bagi Mahathir, ini membantutkan perindustrian dan kemajuan Malaysia, menjadikan Malaysia negara yang akur kepada kuasa asing, sama ada Amerika, Saudi atau China.

Apakah PAS merupakan pilihan ketiga antara BN dan Pakatan Harapan?

Sebenarnya, tidak. Pimpinan PAS sekarang sudah lama bersubahat dengan Najib, bukan dengan Umno, apa lagi, keseluruhan BN.

Kalau umat Islam, rakyat jelata, celik mata dan sedar tentang apa yang sedang berlaku, mereka akan tolak PAS sekali dengan BN Najib, dan PAS akan alami pukulan paling teruk sejak tahun 1980-an.

Segala yang tercapai sejak hujung tahun 1980-an sampai beberapa tahun lalu akan rosak. Buat apa?

Yang ana tak dapat sokong, PAS akan selamatkan perdana menteri Malaysia yang paling teruk, curang dan boros sejak Tanah Melayu merdeka. Apa lagi yang dirahsiakan? Mungkin juga pembunuhan? Kes Altantuya? Kes Morais, dan lain-lain?

Penyangak paling besar, bukan hanya dalam sejarah Malaysia, tapi mungkin di dunia. Melalui 1MDB? Felda?

Baru-baru ini, PAS telah menyokong Undang-undang Berita Tak Benar Najib.

Undang-undang baru itu bertujuan menutupkan berita tentang penipuan 1MDB sukar ditutup.

Undang-undang baru diluluskan menjelang musim kempen PU14 untuk menakutkan orang ramai dengan mengenakan hukuman jauh lebih berat terhadap pengedar berita benar yang tidak disahkan kerajaan. Sebenarnya, sudah terdapat undang-undang yang membolehkan kes jenayah dan sivil terhadap mereka yang memfitnah. Pasal apa PAS sokong undang-undang zalim itu?

Apa pula kesan terhadap PAS yang ustaz jangka?

Ana kurang faham fikiran pucuk pimpinan, sehingga sanggup seolah-olah ‘bunuh diri’, mati syahid, demi menyelamatkan Najib. Kalau strategi menjadi penentu berjaya, PAS hanya akan dapat lima hingga enam kerusi parlimen, ada yang ramalkan kurang daripada itu. Namun, setengah pemimpin sanggup menipu ahli serta penyokong.

Dengan majoriti BN yang lebih besar, akibat ‘jasa’ PAS, kuasa tawar menawar PAS akan merosot lagi walaupun mungkin beberapa pemimpin akan terus dapat dedak. Inilah nasib PAS akibat strategi kini.

PAS akan selamatkan, malah perkuatkan Najib-Rosmah-Jho Low dan Umno, walaupun kedudukan PAS sendiri akan merosot, dan sukar dipulih pada masa depan.

Jumlah MP PAS jauh lebih kecil dibanding dengan jumlah jauh lebih besar sekarang, dan jumlah lebih besar lagi kalau PAS kerjasama dengan Pakatan Harapan untuk memastikan satu-lawan-satu menentang BN.

Kelantan akan hilang. Tok Pa akan jadi MB dan sukar sekali Kelantan ditawan balik pada masa depan, mungkin selama satu generasi.

Banyak kerusi PAS lain akan hilang juga pada peringkat negeri, mahu pun nasional. Yang sedih sekali, semuanya sia-sia, demi Najib, bukan demi Islam, bukan demi PAS.

Apakah perkembangan demikian masih dapat dielakkan?

Kalaulah umat Islam tak menyedari pilihan sebenar menjelang PU14, Najib-Jho Low akan diselamatkan, malah mungkin BN dapat tawan dua pertiga dari kerusi parlimen tanpa PAS. Umno dan MCA, bukan DAP atau Pakatan Harapan, yang mempunyai hubungan persaudaraan dengan Parti Komunis China.

Pilihan bukan antara DAP dan MCA, yang bergantung kepada Umno. Tetapi antara DAP dengan Jho Low serta konco-konco bilionair Najib lain. Siapa yang mendedahkan skandal BMF setelah Jalil Ibrahim dibunuh di Hong Kong?

Siapa pula yang mendedahkan penipuan 1MDB? Malu kami orang PAS kerana MP PAS menyokong Akta Antiberita Tak Benar yang bertujuan menutup 1MDB serta kezaliman, penipuan dan penyelewengan rakus yang lain.

Di samping itu, kuasa Saudi dan China terhadap Malaysia akan terus meningkat walaupun Trump tidak menghiraukan tawaran ufti Najib untuk selamatkan ekonomi Amerika dengan meminjamkan wang simpanan KWSP dan menggunakan duit rakyat untuk selamatkan MAS.

Tiada siapa yang percaya bahawa Mahathir, Anwar atau Mat Sabu akan menggadaikan masa depan rakyat Malaysia, apa lagi rakyat Melayu dan ummat Islam, kepada kuasa asing ataupun DAP.

Walaupun ana berbeza pandangan dengan mereka dalam banyak hal, ana yakin mereka inilah yang boleh membawa perubahan yang watan kita perlukan.

Kalaulah mereka menolak BN serta PAS, dan memilih Pakatan Harapan, dasar serta undang-undang negara akan dipinda dan dikuatkuasakan untuk menghancurkan sistem ‘politik wang’ yang menjadi punca dan asas tumbuhan barah korupsi dan rasuah berleluasa yang merosakkan watan kita.

Najib membolehkan kuasa asing, kerajaan serta syarikat korporat, menguasai Malaysia bersama bilionair Bursa Saham, yang dapat membeli menteri dan pemimpin Umno. Pembesar baru atau mustakbirin abad ke21 berkuasa melalui Najib dan beberapa kerat orangnya. Yang lain hulubalang upahan yang mempertahankan sistem untuk dedak yang diterima mereka.

Ini satu-satunya peluang yang ada pada kita semenjak lebih dari setengah abad kita merdeka. Peluang seumpama ini bukan sentiasa ada, tak sepanjang hayat ana.

Insya-Allah, penyokong, ahli, malah pemimpin PAS lain akan menyedari keadaan sebenar dan bertindak untuk selamatkan watan dan PAS sendiri. Ahli dan penyokong PAS sudah lama berkorban membela mereka yang dhaif, bukan untuk menjadi hamba hulubalang Najib.
-malaysiakini