2000 ahli tinggalkan Umno, sertai Amanah

MALAYSIADATELINE 
2000 ahli tinggalkan Umno, sertai Amanah
Akibat kecewa dengan pucuk pimpinan, seramai 2,000 ahli di pelbagai peringkat dan cawangan telah meninggalkan Umno berkuatkuasa 1 Jun lalu.

Mereka termasuklah beberapa pimpinan cawangan seperti Ketua Pemuda Umno Bandar Bukit Jalil, Aliff Tafid, Ketua Wanita Umno Bukit Jalil, Norhaida Kamaruddin serta bekas Bendahari Umno Bahagian Batu, Hisham Ahamad Zahmi.

Menurut Aliff, kesemua mereka sepakat meninggalkan Umno berkuatkuasa 1 Jun lalu dan bakal menyertai Amanah Wilayah Persekutuan dalam masa terdekat.

“Kami sekurang-kurangnya 2000 orang ini terdiri dikalangan orang politik, ahli ngo dan sebagainya. Kita bermesyuarat beberapa hari lepas dan berbincang mengenai situasi semasa dan akan datang di mana kami bersetuju untuk menyertai parti Amanah dan akan membentuk sebuah bahagian di Wilayah Persekutuan.

“Kami kecewa apabila kerajaan terdahulu iaitu BN telah membuat banyak kesilapan besar di mana pada umumnya ketika mereka memerintah perkara-perkara ini telah dikaburkan, maksudnya kami tak dapat lihat perkara itu.

“Jadi bila Pakatan Harapan memerintah, baru kita dapat lihat semuanya setelah perkara ini didedahkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, kelmarin.

Katanya, Pemuda dan Wanita Umno termasuk ahli akar umbi telah beberapa kali cuba menyuarakan pandangan kepada pimpinan atasan, namun ia tidak didengari.

Tambahnya, pemilihan tertinggi Umno juga dikuasai oleh golongan yang rapat dengan individu-individu tertentu dalam Umno.

“Sebenarnya dalam Bandar Tun Razak ini sendiri saya telah suarakan banyak perkara kepada pucuk pimpinan sejak awal lagi, namun suara kita tidak didengar khususnya suara anak muda.

“Macam mana hari ini orang muda nak betulkan Umno itu sendiri sedangkan yang bertanding jawatan tertinggi parti anak menteri, anak ketua bahagian. Jadi sampai bila-bila pun suara akar umbi tidak akan didengar oleh pucuk pimpinan,” katanya.

Saksi penting kes SRC serah diri selepas 3 tahun melarikan diri

Muzliza Mustafa

BEKAS pengarah SRC International, Suboh Md Yassin menyerah diri kepada pihak berkuasa Malaysia awal minggu ini selepas tiga tahun melarikan diri.

Suboh, yang sedang diburu bersama bekas pengarah urusan SRC International Nik Nik Faisal Ariff Kamil dan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low, kembali ke Malaysia pada minggu lepas.

Beliau ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kenyataannya diambil.

"Dia menyerah diri kepada SPRM," kata sumber kepada The Malaysian Insight tetapi enggan mendedahkan maklumat lanjut.

Bagaimanapun, The Malaysian Insight difahamkan bahawa SPRM menghubungi Suboh dan memintanya membantu siasatan. Suboh menghilangkan diri pada 2015 di kemuncak siasatan terhadap skandal SRC.

Beliau pada masa itu dipercayai bersembunyi di Indonesia, Thailand dan New Zealand.

Sumber berkata Suboh, Nik Faisal dan Jho Low adalah saksi penting dalam penyiasatan terhadap SRC International serta "derma" RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun Najib Razak.

Suboh dan Nik Faisal pemegang saham Gandingan Mentari Sdn Bhd, iaitu salah satu daripada dua syarikat yang didakwa memindahkan RM42 juta dari SRC International ke dalam akaun Najib.

Nik Faisal didakwa berkawan rapat dengan Jho Low dan bertindak sebagai orang tengah antara syarikat pembinaan UBG Berhad, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi bagi penyaluran AS$260 juta yang diselewengkan daripada 1MDB pada 2010 untuk membeli saham dalam UBG.

Ketika SRC disiasat pada 2015, SPRM mengeluarkan kenyataan meminta bantuan Suboh, Nik Faisal dan Jho Low.

Siasatan terhadap SRC tiba-tiba berakhir setahun kemudian apabila Najib yang ketika itu perdana menteri membubarkan pasukan khas yang sedang menyiasat skandal itu.

Bekas peguam negara Abdul Gani Patail yang ketika itu mengetuai pasukan khas berkenaan dipecat dan digantikan dengan Mohamed Apandi Ali yang kemudiannya membersihkan nama Najib daripada sebarang salah laku berkaitan 1MDB pada 2016.

Siasatan terhadap SRC yang merupakan anak syarikat 1MDB dibuka semula selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 sekali gus membentuk kerajaan baharu.

Sejak itu, Najib dan isterinya, Rosmah Mansor disoal siasat SPRM. Polis juga menyerbu premis yang dikaitkan dengan Najib dan merampas 35 beg berisi RM114 juta, 37 beg berisi barang kemas dan 284 beg tangan berjenama mewah.

SPRM dua hari lalu mengeluarkan kenyataan rasmi meminta Nik Faisal dan Jho Low tampil untuk disoal siasat. Waran tangkap juga dikeluarkan terhadap mereka.

Difahamkan peguam Jho Low sudah menghubungi SPRM tetapi agensi anti rasuah itu memberitahu mereka lebih berminat untuk bercakap dengan ahli perniagaan berkenaan.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, pasukan petugas SPRM telah berjumpa Peguam Negara Tommy Thomas semalam untuk memberi taklimat mengenai perkembangan terkini siasatan.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Jho Low akan ditangkap kerana pembabitannya dalam skandal 1MDB. Tambah Dr Mahathir, Jho Low kini berada di luar negara dan Malaysia tidak membuat perjanjian ekstradisi dengan negara itu.

Dr Mahathir tidak menamakan negara tersebut tetapi menurut sumber, kedua-dua lelaki yang diburu SPRM itu berada di China.

'Pemimpin PAS masih tak terima realiti rakyat tolak perkauman'

Ketua Penerangan Pakatan Harapan (HARAPAN) Pahang Zulkifli Mohamed berkata terdapat pemimpin PAS yang masih tak dapat menerima bahawa politik sempit perkauman dan agama sudah ditolak oleh majoriti rakyat Malaysia.

Zulkifli berkata demikian sebagai menyelar Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Mohd Zuhdi Marsuki yang sebelum ini mendakwa Pakatan Harapan (HARAPAN) cuba menjayakan agenda DAP.

"Walaupun pilihan raya umum (PRU) ke-14 sudah hampir sebulan berlalu, namun masih terdapat suara sumbang yang cuba mewujudkan kembali ketegangan politik dengan memutarkan semula isu perkauman.

"Kenyataan terkini daripada Mohd Zuhdi yang menuduh dan memfitnah kerajaan HARAPAN yang kononnya cuba menjayakan agenda Malaysian Malaysia yang dipelopori oleh DAP sama sekali tidak dapat diterima," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifli turut menyifatkan kenyataan Mohd Zuhdi itu sebagai memperlihatkan 'krisis pemikiran' dan 'penyakit jiwa yang semakin kronik' yang bersarang di dalam hati sebahagian pemimpin PAS.

"Mereka seakan-akan masih tidak dapat menerima realiti bahawa politik sempit berteraskan perkauman dan agama sudah ditolak oleh majoriti rakyat di negara ini," katanya.

Terdahulu, Mohd Zuhdi mendakwa tema yang ditonjolkan kerajaan baru adalah 'satu perubahan rupa bentuk negara yang dahulunya berasaskan kontrak sosial kepada asas yang baru.'

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP) itu juga mendakwa, melalui asas baru itu, kerajaan HARAPAN tidak memberikan keistimewaan kepada kaum atau agama tertentu.

Mengulas dakwaan itu, Zulkifli menyifatkan ia sebagai tuduhan liar dan tak bertanggungjawab.

Jelas Zulkifli, HARAPAN mempunyai perjanjian kerjasama yang disepakati antara parti komponen.

"(Dalam perjanjian itu) dengan tegas menyatakan bahawa HARAPAN akan tetap mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama Persekutuan, hak keistimewaan orang Melayu dan Institusi Raja Berperlembagaan," katanya memetik Perjanjian Kerjasama HARAPAN – BERSATU yang ditandatangani pada 13 Disember 2016.

Justeru, kata Zulkifli, semua parti yang bernaung di bawah bendera HARAPAN tertakluk dengan kesepakatan itu.

"Maka adalah nyata fitnahnya jika terdapat pihak yang cuba membuat tomahan bahawa Pakatan Harapan cuba menghapuskan kuasa raja-raja Melayu dan Islam sebagai agama rasmi negara," katanya.
-malaysiakini

Mekanik bakar teman wanita akibat cemburu

HASNIZA HUSSAIN  
KLANG - Gara-gara cemburu, seorang mekanik sanggup menyimbah petrol dan membakar teman wanita sendiri dalam kejadian di rumahnya di Andalas di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam insiden itu, suspek berusia 24 tahun itu dikatakan bergaduh dengan teman wanitanya.

Beliau berkata, suspek kemudiannya turut memukul mangsa berusia 24 tahun itu dengan paip getah pada bahagian badan.

Katanya, suspek yang berang turut mengambil minyak petrol sebelum menyalakan api menyebabkan mangsa terbakar di keseluruhan badannya.

“Susulan itu, mangsa yang melecur teruk akibat kejadian itu kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

“Mangsa bagaimanapun menceritakan kejadian yang berlaku kepada ibunya yang datang melawat kira-kira jam 10 pagi, semalam,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Shamsul Amar berkata, suspek turut dimasukkn ke HTAR kerana mengalami kecederaan pada kedua-dua belah tgn akibat kebakaran tersebut.

Beliau berkata, setakat ini siasatan awal menunjukkan kejadian berlaku ada motif cemburu.

Katanya, tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat sebaik suspek dilaporkan pulih dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.

MB Selangor: Dr Idris lebih disenangi HARAPAN

Parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) mengesahkan mereka menyokong Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok Dr Idris Ahmad sebagai calon yang sesuai menjadi menteri besar Selangor.

Bagaimanapun pemimpin parti berkenaan berkata, ia mestilah mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor, Hasnul Baharuddin, berkata partinya menerima sesiapa saja yang dilantik atas semangat muafakat sesama HARAPAN.

Diminta mengulas laporan Malaysiakini pagi tadi Hasnul berkata AMANAH Selangor mengetahui tentang cadangan menamakan Dr Idris sebagai calon menteri besar yang baru bagi menggantikan Datuk Seri Azmin Ali.

"Kita ambil maklum dan menyokong (ketetapan itu) tapi, apa pun bergantung kepada persetujuan dalam HARAPAN dan bergantung kepada perkenan Sultan Selangor," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan semua empat parti dalam HARAPAN menyatakan sokongan jika Dr Idris dilantik ke jawatan menteri besar.

Sumber yang dekat dengan HARAPAN mendakwa AMANAH, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan DAP negeri menghantar surat sokongan mereka terhadap Dr Idris kepada istana.

Surat sokongan PKR pula dihantar oleh ibu pejabat parti berkenaan.

Untuk lebih mengukuhkan lagi sokongan berkenaan Datuk Seri Dr Wan Azizan Wan Ismail mengutus surat atas kapasiti presiden PKR.

Di sebalik cadangan berkenaan satu kumpulan lain dalam PKR pula menamakan ADUN Sungai Tua yang juga exco Selangor, Amirudin Shari.

Pilihan kedua kumpulan terbabit ialah ADUN Seri Setia Dr Shaharuddin Badaruddin.

Belum masanya, kata DAP

Satu nama lain yang disebut-sebut ialah bekas setiausaha politik Azmin, Shuhaimi Shafie, yang juga ADUN Sungai Kandis.

Pengerusi BERSATU Selangor Datuk Abdul Rashid Asari juga mengakui memberi sokongan kepada Dr Idris sebagai calon menteri besar.

Pada masa sama katanya BERSATU juga akan akur kepada pilihan akhir yang dibuat Sultan Sharafuddin.

"BERSATU akur dengan pilihan HARAPAN dan Tuanku Sultan sebab ketiga-tiga (calon yang disebut-sebut itu) adalah daripada PKR," katanya.

Bagi DAP pula mereka lebih bersikap terus terang berbanding AMANAH dan BERSATU.

Sumber dari DAP Selangor berkata parti itu berpendapat belum masanya Amirudin dilantik sebagai menteri besar.

"Ya kami memang mahu Dr Idris sebagai menteri besar kerana kedudukannya yang tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan dalaman parti.

"Kami mahu mengelakkan masalah seperti yang dialami sebelum ini," katanya.

Sementara itu Pemuda AMANAH Selangor berpendapat HARAPAN wajar mempertimbangkan calon lebih muda berbanding Dr Idris.

Ketua pemudanya, Abbas Adzmi, berkata sebagai negeri termaju dalam Malaysia Selangor memerlukan pemimpin yang lebih muda, bertenaga dan agresif bagi menerajui negeri itu ke peringkat lebih jauh.

"Cuma kami di peringkat Pemuda AMANAH menerima siapa sahaja yang dicalonkan dan diangkat asalkan ia melalui proses permuafakatan politik HARAPAN.

"Kami mahu melihat susuk yang mampu meneruskan kegemilangan kerajaan Selangor," tegasnya.
-malaysiakini

Tiga puak dalam media sosial perlu kita awasi

NASUHA RAHMAN
Tiga puak dalam media sosial perlu kita awasi
Selepas PRU14 peranan media khususnya media sosial mutakhir ini telah digunakan oleh beberapa puak atau kumpulan di dalam masyarakat hari ini bagi menimbulkan bermacam-macam persepsi.

Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) Professor Dr Abdul Muati Ahmad berkata terdapat tiga puak di dalam media sosial mutakhir ini.

Puak pertama, katanya suka mengadu domba yang menyifatkan apa yang dilakukan oleh kerajaan rakyat pada hari ini salah belaka.

“Puak ini akan cari salah kerajaan. Kalau tak ada salah pun mereka akan cipta kesalahan. Mereka sengaja beri maklumat yang tak betul. Mereka mengapi-apikan sentimen bangsa dan agama.

“Mungkin mereka harap akan berlaku kacau-bilau dalam negara dan rakyat akan bangun menentang kerajaan Tun M ini,” katanya.

Umpamanya, tambah beliau dalam kes pelantikan Peguam Negara (AG) mereka sengaja membangkitkan isu AG baharu ini bukan Islam dan bukan Melayu.

“Saya yakin mereka tak faham pun tentang institusi AG ini dalam konteks negara kita. Tapi yang mustahak bagi mereka bakarkan kemarahan rakyat. Begitu juga dalam kes JAKIM. PM tak sebut pun nak tutup JAKIM. Tapi mereka bangkitkan isu kononnya PM nak tutup JAKIM supaya orang Islam marah kepada PM dan kerajaan.

“Mujur juga Allah tak izinkan jarum mereka menusuk pemikiran rakyat Malaysia. Tapi kita kena hati-hati dengan puak pengadu domba yang berniat jahat. Jangan percayakan puak ini malah ‘unfriend’ saja mereka. Tak ada manfaatnya pun,” ujarnya.

Puak kedua pula katanya, puak yang berlagak tahu hakikatnya mereka tidak tahu dan tidak faham isu tetapi berlagak faham.

“Umpamanya dalam kes pelantikan AG baharu ini. Puak ini kononnya mengatakan dalam perlembagaan dinyatakan kena lantik orang Melayu/Islam sebagai AG. Padahal tak pernah ada pun peruntukan sedemikian dalam Perlembagaan.

“Saya tak pasti perlembagaan mana yang mereka rujuk. Bagi saya puak ni tak pernah baca pun perlembagaan. Biasanya puak ini bukanlah jenis yang suka mengkaji dan membaca. Mereka hanya petik sepotong dua ayat daripada Facebook dan Wikipedia kemudian ditularkan kononnya merekalah pakar perlembagaan.

“Padahal buku tentang Perlembagaan Malaysia dan Undang-undang kita pun mereka tak pernah sentuh. Posting daripada puak ini juga sepatutnya jangan kita percaya. Ianya sesat lagi menyesatkan. Jika kita dapat posting daripada puak ini, eloklah kita selidiki daripada sumber sebenar yang berwibawa.

“Rajin-rajinlah membaca supaya tidak terkeliru dengan maklumat tidak tepat daripada puak yang memandai-mandai ini, tidak kira dalam aspek apa juga sama ada politik, perundangan, ekonomi, sosial, malah agama sekali pun,”tegas beliau di dalam Facebooknya.

Ketiga katanya, puak yang bertindak sebagai tukang tular yang disifatkan amat pelik kerana mereka memang tidak faham apa-apa mengenai isu yang disiar di media sosial ini.

Malah katanya, kadang-kadang mereka tidak habis membaca sesuatu dimuatkan di media sosial kemudian terus ‘share’ serta ‘copy paste’ untuk ditularkan kepada pihak lain.

“Kerja mereka sebagai tukang hebah dan heboh, tanpa memahami kedudukan perkara sebenar. Puak ini hanya sekadar menyemak di media sosial sahaja.

Beliau menasihati pengguna media sosial agar menyelidiki terlebih dahulu maklumat yang diperoleh daripada ketiga-tiga puak ini.

“Jadilah pengguna media yang bertanggungjawab dan bijak, demi keharmonian Malaysia Baharu yang kita cintai. In sha Allah, kejayaan akan bersama kita,” katanya.

Dr M: Saya beritahu Zahid Umno khianati Melayu

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertemu dengannya untuk mendapatkan nasihat berhubung apa yang berlaku dalam Umno sehingga parti itu ditolak pada pilihan raya umum ke-14.

Zahid, semalam, memuat naik gambarnya bersama Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya tetapi tidak mendedahkan butirannya.

“Dia nak tahu cara macam mana nak uruskan Umno. Jadi saya berterus terang bahawa Umno sudah mengkhianati orang Melayu.

“Saya ingatkan kepadanya, kita tubuh Umno untuk tolong orang Melayu tetapi kini Umno berubah dan mengutamakan kekayaan diri.

“Sebab itu Umno dibenci sekarang ini. Umno nak pulih susah. Dulu dipandang mulia sekarang dipandang jijik,” katanya pada satu wawancara khas bersama Sinar Harian.

Mahathir, adalah presiden Umno keempat dan memegang jawatan itu selama 22 tahun antara 1981 dan 2003.

Zahid adalah pemimpin parti pembangkang ketiga selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin PBB Datuk Seri Abang Johari Abang Openg yang berjumpa dengan Dr Mahathir dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Dr Mahathir ketika ditanya apakah nasihat yang diberikan kepada Zahid berhubung pertemuan itu, hanya berkata; “Saya kata dia fikir sajalah apa yang saya katakan”.

Disoal sama ada Ahmad Zahid ada membayangkan hasrat untuk menyertai Pakatan Harapan, Dr Mahathir hanya ketawa.

“Kita tidak pandang sesiapapun nak masuk Pakatan Harapan terutamanya BERSATU.

“Kalau orang itu orang politik, dia perlu putus hubungan dengan partinya, menjadi bebas dan ikrar sokong kerajaan,” katanya.

Pada pilihan raya 9 Mei lalu, BN tumbang apabila hanya mampu memenangi 79 daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.
-malaysiakini

Menjelang Hari Raya, Tuan Ibrahim digesa selesai pampasan 15 kakitangan Harakah yang dipecat

MALAYSIA DATELINE
Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man digesa untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundingan baharu bagi berunding soal pampasan penamatan perkhidmatan 15 kakitangan Harakah yang dipecat.

Dalam satu kenyataan yang diterima Malaysia Dateline hari ini, dimaklumkan Jawatankuasa Perundingan sedia ada, telah gagal untuk mengadakan proses rundingan sejak ia bermula pada 22 Februari lalu.

“Kami juga mendesak supaya ahli-ahli JK Perundingan yang bakal ditubuhkan tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Galeri Media Serbanika(GMS) ataupun mempunyai kaitan dengan cadangan penstrukturan semula Harakah.

“Adalah jelas dua faktor tersebut akan menjadi percanggahan kepentingan (conflict of interest) yang menghalang kejayaan rundingan untuk dicapai dalam masa yang singkat.

“Sebagai satu pilihan lain pula Timbalan Presiden juga boleh mengarahkan JK Perundingan sedia ada untuk mengeluarkan cadangan balas terhadap cadangan kami yang telah kami ajukan dalam siri rundingan sebelum ini dan dimaklumkan kepada kami sebelum 29 Mei 2018.

“Tetapi mana-mana ahli JK Perundingan yang mempunyai hubungan dengan GMS ataupun cadangan penstrukturan semula Harakah hendaklah meletakkan jawatan daripada menganggotai JK tersebut serta merta,’ ujar kenyataan itu.

Kakitangan yang terlibat juga mahukan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang terlibat dengan GMS ataupun cadangan penstrukturan semula Harakah mestilah mengecualikan diri mereka daripada membuat apa-apa keputusan berhubung jumlah cadangan balas pampasan.

“Sempena bulan Ramadhan yang mulia dan sambutan Syawal yang bakal menjelang kami tentunya berasa resah berikutan kemelut dan nasib kami yang kini masih tidak berkesudahan.

“Kami turut menggesa supaya pihak Pas mengadakan muktamar khas berikutan keputusan parti untuk mengubah pengurusan pentadbiran Harakah daripada terletak di bawah Jabatan Penerangan Pas Pusat kepada satu syarikat sdn bhd.

“Kami juga mendesak pihak pimpinan Pas untuk menyatakan perancangan jangka masa panjang syarikat sdn bhd tersebut dan bagaimana ahli-ahli Pas turut dapat memiliki kepentingan dalam pemilikan syarikat tersebut dan Harakah secara amnya,” ujarnya.

Krisis pentadbiran Harakah ini bermula, selepas ditamatkan perkhidmatan sejak 31 Dis 2017 lalu, melalui satu surat yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Harakah Zainal Abidin Kidam.

Semua pekerja Harakah telah distrukturkan semula dengan sebilangan besar diserapkan ke syarikat baharu dengan difahamkan gaji diberi sebanyak 80 peratus gaji asal.

Sebilangan kecil kakitangan pula dikatakan akan diserapkan ke Jabatan Penerangan Pas Pusat dengan dijanjikan bayaran gaji sebanyak 50 peratus gaji pokok.

Bagaimanapun sebahagian yang diserapkan ke Jabatan Penerangan bagaimanapun sebelum itu telah dilibatkan dalam dua siri rundingan.

“Kami diberitahu akan diberhentikan dan dibayar faedah penamatan perkhidmatan dalam siri rundingan dengan Jawatankuasa Khas yang dibentuk Pas Pusat.

“Jawatankuasa khas tersebut telah diberi mandat untuk menawarkan pampasan dan diketuai oleh Setiausaha Agung parti Datuk Takiyudin Hassan.

“Kami juga diberitahu bahawa pihak Pas Pusat tidak mempunyai keupayaan untuk mengambil kami bekerja.

“Pihak jawatankuasa khas di bawah Setiausaha Agong Datuk Takiyudin kemudiannya telah mengeluarkan surat tawaran kepada kami untuk diserap ke Jabatan Penerangan dengan gaji sebanyak 50 peratus gaji pokok dan terma kerja yang tidak jelas.

“Kami telahpun memaklumkan kepada Datuk Tuan Ibrahim bahawa kami menolak tawaran yang tidak adil ini yang dibimbangi hanya menambahkan lebih banyak masalah di masa-masa akan datang.

“Bagi kami penyelesaian terbaik adalah dengan kami diberikan faedah penamatan perkhidmatan selaras dengan undang-undang sedia ada.

“Suka juga kami untuk menarik perhatian pihak parti bahawa sebilangan kami juga telah berkhidmat di Harakah dalam tempoh yang panjang dan telah mencecah peringkat usia yang sukar bagi kami untuk mendapatkan pekerjaan baru di tempat-tempat lain. Juga kemelut ini menjadi sukar kerana ada di antara kami bergantung sepenuhnya kepada pendapatan kami semasa berkhidmat di Harakah.

“Sekali lagi kami bertegas bahawa kemelut ini hanya akan dapat diselesaikan melalui rundingan dua hala.Sebarang keputusan yang dibuat hanya sebelah pihak pastinya akan mengundang kepada kemelut yang lebih berpanjangan. Oleh itu adalah menjadi gesaan kami supaya pihak Pas memandang serius proses rundingan ini,” ujarnya.

Kenyataan itu juga menyebut kakitangan terbabit sedia untuk berunding berhubung kaedah pembayaran pampasan tersebut, termasuklah pembayaran secara bulanan sekiranya keadaan kewangan yang ada adalah benar-benar mendesak.

Australia hantar pulang Sirul dalam masa sebulan

Pihak berkuasa Australia telah meluluskan permintaan dari Putrajaya untuk mengekstradisi bekas anggota polis Sirul Azhar Umar kembali ke Malaysia, lapor Guardian.

Kerajaan Malaysia baru-baru ini menghubungi pihak berkuasa Australia memohon agar Sirul dibawa balik ke Malaysia, laporan tersebut memetik sumber di Putrajaya.

Rancangan itu diberi lampu hijau selepas Malaysia bersetuju untuk menampung kosnya, menurut sumber itu.

Pihak berkuasa Malaysia memberi jaminan kepada rakan sejawatannya di Australia bahawa Sirul akan menerima pengadilan yang saksama apabila kembali.

Malaysiakini sedang cuba mengesahkan berita ini dengan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Dipercayai Sirul, akan meninggalkan Australia dalam tempoh sebulan. Sirul telah disabitkan dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dari Mongolia.

Keputusan untuk kembali ke Malaysia menunjukkan kemungkinan kerajaan Malaysia mempertimbangkan untuk membuka semula kes Altantuya.

Pada tahun 2015, Sirul dan rakannya Azilah Hadri dijatuhi hukuman mati atas pembunuhan Altantuya pada tahun 2006.

Kedua-duanya ialah pengawal Datuk Seri Najib Razak ketika beliau menjawat timbalan perdana menteri.

Azilah kini sedang menunggu hukuman mati di penjara, tetapi Sirul melarikan diri ke Australia tiga tahun lalu untuk melepaskan diri daripada hukuman mati.

Kerajaan BN sebelum ini tidak memohon perintah ekstradisi terhadapnya, memetik undang-undang Australia yang tidak mengiktiraf hukuman mati.


Tuntutan membuka semula kes Altantuya muncul selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) menggantikan BN sebagai kerajaan persekutuan pada pilihan raya umum ke-14.

Pada 19 Mei lalu, Sirul memberitahu Malaysiakini dia bersedia pulang ke rumah untuk membantu kes itu jika dirinya menerima pengampunan penuh.

Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Sirul dibawa balik ke Malaysia. Beliau juga menyeru diadakan perbicaraan baru "yang jelas telus".
-malaysiakini

ADUN Ijok pilihan HARAPAN jadi MB baru Selangor?

Tanpa digembar-gemburkan, nama Dr Idris Ahmad dikatakan menjadi calon tunggal dicadangkan oleh Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menggantikan Datuk Seri Azmin Ali sebagai menteri besar Selangor.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok untuk dua penggal berkenaan didakwa mendapat sokongan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor.

Bagi PKR pula, surat sokongan dikeluarkan ibu pejabat parti berkenaan dan sudah dihantar ke istana untuk pertimbangan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tidak cukup dengan itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut memberi sokongan atas kapasiti beliau sebagai Presiden HARAPAN.

Sumber memberitahu Malaysiakini nama Dr Idris menjadi pilihan kerana HARAPAN Selangor berpendapat beliau adalah calon terbaik mengisi kekosongan yang ditinggalkan Azmin apabila ADUN Bukit Antarabangsa berkenaan dilantik menjadi menteri pusat.

"Rekod beliau selama dua penggal menjadi wakil rakyat serta pengalamannya dalam sektor korporat sebelum ini adalah kriteria yang diperlukan rakyat Selangor," katanya.

Sumber yang dekat dengan HARAPAN itu juga mengakui satu pihak dalam PKR pula mengemukakan beberapa nama lain untuk pertimbangan Sultan Selangor.

Antara nama yang disebut-sebut menjadi pilihan kumpulan itu ialah ADUN Sungai Tua yang juga exco negeri, Amirudin Shari, serta tokoh akademik yang juga ADUN Seri Setia, Dr Shaharuddin Badaruddin.

Dapat sokongan bawahan

Menurut sumber yang enggan didedahkan identitinya itu nama Dr Idris, 70, berada pada kedudukan teratas di kalangan pimpinan HARAPAN Selangor serta Ibu Pejabat PKR.

"Apa yang berlaku sekarang ialah nama Dr Idris tidak ditonjolkan, sebaliknya nama ADUN lain yang digambarkan sebagai bakal menteri besar bagi mencipta persepsi tertentu," katanya.

Untuk rekod Dr Idris ialah doktor pakar obstetrik dan ginekologi di Hospital Pantai, Kuala Lumpur.

Mula terlibat secara aktif dalam gerakan reformasi sejak 1998, beliau tidak menyertai pilihan raya umum (PRU) sehinggalah pada 2013.

Walaupun ketika ini Dr Idris ialah Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan beliau sebenarnya anak jati Selangor.

Sumber memberitahu di peringkat akar umbi sokongan terhadap Dr Idris menjadi menteri besar Selangor memang tinggi namun kurang menyerlah disebabkan kecenderungan ketua-ketua cabang tertentu.

"Kami percaya jika Selangor mahukan seorang menteri besar yang cekap, telus dan bersih, orangnya ialah Dr Idris.

"Tugas beliau juga akan disokong penuh oleh parti komponen HARAPAN di Selangor," katanya.

Pengumuman mengenai nama menteri besar baru untuk Selangor dijangka akan dibuat selepas Aidilfitri yang disambut pada minggu depan.
-malaysiakini

Polis selamatkan kanak-kanak dilarikan, lelaki Nepal diberkas

Polis berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan yang dilapor dilarikan dari rumah neneknya di Kampung Parit Lunjut, Sungai Terap, Bukit Pasir dekat Muar awal pagi semalam, susulan penahanan seorang lelaki warga Nepal.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Zaharudin Rasip berkata suspek berusia 25 tahun tersebut ditahan selepas pihaknya menerima laporan polis yang dibuat oleh keluarga kanak-kanak berkenaan.

"Hasil soal siasat ke atas suspek, pihak polis berjaya menemui mangsa di dalam belukar lebih kurang satu kilometer dari rumah pengadu (bapa).

“Mangsa kemudian diselamatkan dan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, di Johor Bahru.

Beliau berkata pihaknya masih menyiasat lanjut mengenai kejadian.

Dalam kejadian itu, Nur Aisyah Hasmizan, 17 bulan, disedari hilang kira-kira jam 5 pagi tadi ketika kedua ibu bapanya Hasmizan Othman, 35 dan Siti Noorfadila Yusofe, 30 bangun untuk bersahur.

Kejadian dipercayai berlaku antara jam 3 dan 5 pagi ketika kesemua anggota keluarga mangsa sedang tidur di kediaman berkenaan.

Nur Aisyah merupakan anak bongsu daripada empat beradik.
- Bernama

Hishamuddin Rais nafi muat naik artikal berbaur hasutan

Aktivis sosial, Hishamuddin Rais menafikan beliau memuat naik artikel berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, di blognya, semalam.

Peguamnya, Zaid Malek berkata Hishammuddin telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, petang semalam dan mendakwa blognya telah digodam oleh pihak tertentu yang menulis dan menyiarkan artikel berkenaan.

Susulan itu, polis memanggil Hishamuddin untuk memberi keterangan di Balai Polis Petaling malam tadi bagi membantu siasatan dan tiada tangkapan dilakukan, katanya ketika dihubungi Bernama.

Zaid berkata proses merekod keterangan itu mengambil masa selama 80 minit dan selesai pada jam 12 tengah malam tadi.

Difahamkan Zaid menemani Hishamuddin ke balai polis itu kira-kira jam 10.30 malam setelah berhubung dengan pihak polis yang menyiasat dakwaan tersebut.

Semalam, lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Pahang membuat laporan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan terhadap Hishamuddin yang didakwa memuat naik artikel berbaur hasutan tersebut.

Hishamuddin didakwa memuat naik artikel itu di blognya www.tukartiub.blogspot.com.

Bagaimanapun, Hishamuddin difahamkan memadamkan kenyataan itu selepas salinan tangkapan skrin mengenainya tersebar di laman sosial.
- Bernama

Siapa dalam laporan polis Justo di UK? Ini Senarai Justo

Adrian Wong
Bekas eksekutif Petrosaudi International Xavier Justo telah mendedahkan senarai syarikat dan individu dalam laporan polis di United Kingdom (UK) berkaitan skandal 1MDB.

Justo memberitahu Malaysiakini, dalam senarai itu termasuk Petrosaudi, pemiliknya Tarek Obaid dan pegawai pegawai kewangan Patrick Mahony.

Turut dinamakan Paul Finnigan, yang didakwa memaksa Justo membuat pengakuan palsu di Thailand.

Justo juga membuat laporan terhadap Protection Group International (PGI), yang dipetik oleh New Straits Times pada 2016, sebagai mendakwa datanya yang diberikan kepada Sarawak Report telah diubah.


Tiga lagi syarikat dan dua individu turut dinamakan dalam laporan Justo pada polis UK.

Justo pernah menamakan Obaid dan yang lain dalam aduan hampir sama yang difailkan di Switzerland tiga bulan lalu.

Dr Asri cadang dialog terbuka dengan Siti Kasim

ARIF ATAN
Berhasrat untuk merungkai kebimbangan umum, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bercadang untuk mengadakan dialog terbuka dengan peguam dan aktivis Siti Kasim.

Beliau dalam satu kenyataan di Facebook hari ini memberitahu pertemuan yang dirancang dengan pemilik nama sebenar Siti Zabedah Kasim itu atas asas pendekatan yang matang dan ilmiah.

“Ramai yang gelisah dengan cara dan apa yang dilakukan oleh seorang yang dikenali dalam media sebagai Cik Siti Kassim.

“Pihak saya dengan kerjasama One Centre Malaysia, Perlis dan Badan Peguam Perlis sedang mengatur satu dialog terbuka berkaitan Islam di Malaysia antara Ustaz Salman Ali dan Cik Siti Kassim,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Dr Asri, tarikh dan tempat akan dimaklumkan kemudian tetapi beliau berharap orang ramai mendoakan agar dialog terbuka itu berjaya dilaksanakan.

Kenyataan Dr Asri itu kemudiannya rata-rata disambut baik oleh orang ramai bahkan memberikan pelbagai cadangan agar dialog terbuka tersebut mencapai matlamat.

Antaranya, Hanafi Masri menyarankan agar pertemuan itu boleh ditonton secara langsung tetapi tanpa khalayak audiens di lokasi dialog berlangsung.

“Penonton yang ramai dan macam-macam yang ada dalam dewan kadang-kadang menyebabkan suasana jadi tegang atau nampak berat sebelah,” katanya dalam ruangan komentar di Facebook Dr Asri.

------------

DrMAZA.com
Ramai yang gelisah dengan cara dan apa yang dilakukan oleh seorang yang dikenali dalam media sebagai Cik Siti Kassim. Sikap beliau membimbangkan banyak pihak. Atas asas pendekatan yang matang dan ilmiah, pihak saya dengan kerjasama One Centre Malaysia, Perlis dan Badan Peguam Perlis sedang mengatur satu dialog terbuka berkaitan Islam di Malaysia antara Ustaz Salman Ali dan Cik Siti Kassim. Tarikh dan tempat akan dimaklumkan nanti. Tolong doakan agar dialog terbuka ini berjaya dilaksanakan nanti.

JAKIM: TAK PERLU LIBATKAN PAS

Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi

1. Melalui TITM, Pas tawar diri utk memperkasakan Jakim. Jika pendapat aku diminta, aku kata, dalam usaha utk memperkasa, menjenama semula atau apa saja mem terhadap Jakim, aku harap Pas tak perlu dilibatkan.

2. Bukan aku nafikan kewujudan mereka yg berkebolehan dlm Pas dlm soal hukum-hakam fiqh, tapi dalam soal menjadikan Jakim sebuah institusi yg inklusif, realistik dan progresif, pemimpin Pas bukanlah orangnya.

3. Sikap pemimpin Pas yg keras tak bertempat, provokatif, tidak meraikan perbezaan, rasa diri sendiri saja yg betul, menyempitkan tafsiran syariah kpd hukuman saja, gopoh-gapah, konservatif.... tidak akan menjadikan usaha membina semula Jakim akan mencapai hasilnya.

4. Isu Akta 355 yg dipelopori oleh Pas dan disokong oleh Jakim sudah menjadi bukti bahawa Pas bukanlah sesuai dirundingi dlm urusan memberi wajah baru kepada sebuah institusi agama besar seperti Jakim.

5. Jika Pas dilibatkan juga, usaha itu akan menemui jalan buntu kerana sikap pemimpin Pas yg suka memaksakan idea mereka terhadap orang lain. Mereka mahu, dlm urusan agama, tafsiran mereka saja yg diterima. Bagi mereka, tafsiran orang lain tentang agama adalah tafsiran golongan liberalis, sekularis dan macam-macam lis dan ris lagi.

6. Bacalah tulisan pemimpin mereka tentang Islam, semuanya bernada keras terutama dlm konteks hubungan dgn non muslim dan komuniti yg mereka labelkan liberalis dan sekularis. Bahkan Tun M sendiri, apa label yg mereka tidak tampalkan ke atasnya?

7. Saya fikir, Pas usahlah sibuk diri dgn urusan Jakim. Eloklah mereka baiki dulu gaya fikir dan gaya tindak Pas sendiri dlm mendepani pelbagai isu dlm sebuah negara multi racial seperti Malaysia. Perkasakan dewan ulama dan ulama Pas sendiri yg doa laknatkan orang itu dan orang ini di situ dan di sini.

8. Jika Pas dilibatkan sama dlm usaha menjenama semula Jakim, agensi itu tak akan memberi wajah sebenar kpd Islam yg didokong oleh PH, tetapi akan berada pada wajah asalnya seperti Jakim pada era BN.

Merakam sejarah: Abang Mat Sabu

Hishamuddin Rais

Sebut sahaja nama Mat Sabu satu Malaysia tahu dan kenal dengan sosok ini. Pada hari ini - setelah Pakatan Harapan menjadi kerajaan - mustahil masih ada warga Malaysia yang tidak pernah mendengar nama ini. Nama ini saya tambah pula dengan perkataan abang untuk menjadi Abang Mat Sabu. Sebenarnya ada kisah di belakang kisah. Ada cerita di belakang cerita,

Pada Ahad 8/12/1974, secara rasmi saya menghilangkan diri lesap dari Universiti Malaya. Saya menyeludup ke bawah tanah. Beberapa tahun kemudian saya muncul di beberapa kota besar dalam dunia.

Setelah berkelana selama 20 tahun, pada November 1994 saya kembali pulang ke Lapangan Terbang Subang. Tapi bukan riwayat ini yang ingin saya bongkar.

Saya mahu menyelongkar kisah Abang Mat Sabu.

Saya pulang kembali ke kampung Chenor, Jelebu Negeri Sembilan. Saya disambut kaum keluarga, kawan-kawan dan sahabat -handai. Bukit Aman juga telah menghantar dua orang pegawai Cawangan Khas (SB) untuk menjaga di luar pagar depan rumah agar saya tidak lari lagi. Kerana tiga hari kemudian saya wajib menyerah diri untuk di ISA-kan.

Kepulangan saya disambut dengan kenduri doa selamat. Selesai semua, lewat malam, para tamu, kawan-kawan dan keluarga yang datang minta diri untuk pulang. Salah seorang yang minta diri pulang ialah Pak Cik Jalal. Sebelum pulang Pak Cik Jalal memasukkan satu kaset ke dalam poket baju saya.

“Ada masa dengar,” pesan Pak Cik Jalal. Saya tak ambil pot. Hanya berterima kasih.

Pak Cik Jalal ini adalah adik kepada ayah saya. Di Kota Kuala Lumpur dan untuk para aktivis Pakatan Harapan Pak Cik Jalal dikenali sebagai Pak Amjal - nama pemilik restoran di hadapan pintu masuk Universiti Malaya. Dulu Pak Amjal ini ‘orang kuat parti Islam PAS’. Kini Pak Amjal telah menjadi orang kuat AMANAH.

Malam ketiga di kampung saya menerima hakikat saya bukan lagi warga Brixton London. Saya bukan lagi di Eropah. Saya wajib melupakan hidup lama. Lalu saya memasang kaset yang diberi oleh Pak Cik Jalal.

Dari kaset saya mendengar suara jantan yang tidak saya kenali. Awalnya saya tak ambil peduli sangat tetapi masuk ke minit ke tujuh saya mula memasang telinga untuk mendengar lebih teliti apa yang disuarakan oleh jantan ini.

Si jantan ini jelas bercakap tentang politik Malaysia. Jantan ini bercakap teratur, tuntas dan jelas. Ini menjadikan saya tertarik. Saya bertanya - siapa jantan ini? Hakikatnya jantan ini telah memberi saya kuliah politik pertama sepulang dari 20 tahun berkelana.

PRU9 sampai. Ketika ini saya masih lagi bau bau bacang dengan politik Malaysia. Saya belum kenal ramai orang yang terlibat dalam politik.

Kempen PRU9 1995 makin rancak. Pada satu malam, saya diberitahu bahawa akan ada ceramah kempen politik di Pantai Dalam.

Jantan propagandis hebat

Malam itu dari Bangsar saya meredah ke Pantai Dalam. Ceramah malam itu dalam kawasan binaan flat-flat yang masih belum siap. Antara tiang-tiang tercacak dan tembok bangunan saya mendengar ceramah.

Ketika saya sampai ceramah telah bermula. Saya terdengar suara jantan yang agak serak tapi jelas dan kuat. Ucapan jelas, terang dan teratur. Macam saya pernah dengar suara ini.

Paling menarik ucapan jantan ini diselang seli dengan kata-kata yang amat melucukan. Saya terpegun. Saya terfikir jantan ini seorang propagandis yang hebat.

Jantan ini memiliki keupayaan mengahwinkan babak politik yang disira dengan humor Melayu. Dari ilmu komunikasi inilah teknik terbaik. Memecahkan babak politik melalui humor. Dengan sandaran humor babak politik akan menyerap masuk untuk diingati dengan lebih pantas. Humor melalaikan pendengar dan ketika ini propaganda menerobos masuk. Ini satu keilmuan yang unggul. Tidak semua penceramah memiliki keupayaan ini.

Ceramah tamat dan saya terdengar suara laungan, “Mat, Mat, pantun Mat.”

Baru saya sedar jantan berceramah ialah Mat Sabu. Saya membuka mata, inilah suara dari kaset Pak Cik Jalal. Saya tersenyum puas pada malam itu. Misteri kaset telah selesai.

Pada 20 September 1998, Anwar dibuang dari kabinet kerajaan. Anwar dituduh meliwat. Gerakan REFORMASI lahir.

Pada 24 Oktober 1998 saya ditahan di hadapan Sogo. Esoknya pada hari Ahad terpampang berita di muka depan akhbar, Mahathir menuduh saya menjadi dalang reformasi jalan raya. Maka dari sini bermula penglibatan saya dalam gerakan reformasi yang manifestasi dari politik jalan raya.

Pada 10 April 2001 sepuluh aktivis Reformis ditahan bawah ISA. Enam Reformis - Ezam, Tian, Dr Badrul, Lokman, Shaari dan saya dihantar ke Kamunting untuk ditahan selama dua tahun. Gerakan jalan raya menjadi reda untuk sementara.

Setelah keluar dari Kamunting saya terus mengajukan politik jalan raya sebagai pedoman - taktik dan strategi unggul untuk merampas kuasa.

Pada 2007 NGO BERSIH lahir. Kini politik jalan raya beralih dari Gerakan Reformasi ke BERSIH yang menuntut pilihan raya adil. Abang Mat Sabu dari BERSIH1 telah memainkan peranan yang amat penting.

Dalam BERSIH 2.0 saya telah menjadi anggota pemandu. Secara gelap-gelap saya dan Mat Sabu telah mengadakan kerjasama politik. Banyak kali mesyuarat sulit dan tidak rasmi diadakan tanpa pengetahuan pengerusi BERSIH. Kami merancang teknik dan taktik ke jalan raya. Kami mengadakan perbincangan ‘gelap’ kerana NGO BERSIH mengakui dirinya non partisan - tidak menyebelahi sesiapa.

Non partisan adalah ‘garis mimpi’ yang dipercayai oleh banyak NGO hingga ke hari ini. Para aktivis NGO tidak sedar dalam gelap-gelap parti politik telah memberi sokongan yang amat kuat untuk kejayaan BERSIH.

Sesudah kejayaan BERSIH1 Mat Sabu telah dinobatkan sebagai komander politik jalan raya. Dari - BERSIH 2/3/4 hingga 5, kejayaan bergantung kuat dengan kerjasama saya secara ‘gelap’ dengan Mat Sabu.

Cap jari, tanda tangan Mat Sabu

Tanpa Mat Sabu ikut serta atau terlibat mustahil gerakan jalan raya akan berjaya. Mat Sabu memainkan peranan penting dalam himpunan anti-GST. Mat Sabu memimpin Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR112) pada 12 Januari 2013. Lebih dari 400,000 rakyat berhimpun di Stadium Merdeka.

Hakikatnya segala gerakan jalan raya dan himpunan jalan raya, cap jari dan tanda tangan Mat Sabu diperlukan. Abang Mat Sabu wajib ada bersama. Dari pengalaman saya jika Abang Mat Sabu tidak turun maka rakyat tidak akan yakin untuk turun bersama.

Sekarang saya berani merakamkan bagaimana Himpunan Kebangkitan Rakyat, demo BERSIH 2/3/4 dan 5 dirancang. Dari rakaman sejarah semuanya bertelur, dieramkan dan menetas di Old Town Cafe, Brickfield.

Di tepi kafe ini saya selalu melontarkan idea politik jalan raya. Biasanya idea ini akan disambut oleh Mat Sabu. Pada tahap ini kerjasama saya dengan Mat Sabu telah menjadi lumrah dan wajib.

PRU14 sampai. Kempen Jelajah Pakatan Harapan akan bermula pada 25 Februari di Melaka. Satu hari sebelum Jelajah bermula satu mesyuarat ‘ gelap’ telah diadakan dalam sebuah bilik di Hotel Grand Dosett. Subang Jaya.

Para pemikir dan para aktivis yang diyakini telah dijemput untuk berbincang dan merancang strategi kemenangan PRU14. Mat Sabu menjadi jurumudi - juragan dalam ‘mesyuarat gelap’ ini.

Dari ‘mesyuarat gelap’ ini diputuskan garis politik dan tema kempen. Maka lahir - PRU14 Pakatan Menang Kecuali Ditipu. Saya ditugas mempropaganda melalui blog Tukar Tiub dan alam siber.

Justeru ini garis politik yang saya jaja, yang saya hebohkan untuk menghasut orang ramai di semua ceramah jelajah. Melalui Mat Sabu saya berjaya mencelah untuk menjadi penceramah jelajah - walaupun saya bukan ahli parti jauh sekali pemimpin parti. Saya memakai baju BERSIH untuk menghasut.

Jelajah Pakatan Harapan bermula di Melaka, Taiping, Seremban, Bachok, Guar Cempedak, Utan Aji, Pasir Gudang, Dungun, Kuantan dan kembali ke Melaka untuk ‘grand finale’ pada 4 Mei.

Dua sosok yang menjadi Tembok Berlin dan kereta kebal T-14 Armata ialah Mat Sabu dan Mahathir Mohamad. Dua sosok ini telah berjaya menjadikan jelajah satu senjata yang begitu ampuh untuk memenangi hati rakyat.

Mat Sabu dan Mahathir telah berjaya meyakinkan anak semua bangsa, bangsa semua agama dan terutama Bani Malayu untuk menolak United Malays National Organisation dan menghumbankan Najib dan Rosmah.

Mahathir berceramah dengan bahasa pengucapan yang senang dan jelas telah dibantu dan disadur oleh Mat Sabu dengan kisah lawak politik yang meyakinkan.

“Najib pengerusi 1MDB nak pinjam duit dari Najib menteri kewangan yang wajib meminta diluluskan oleh Najib perdana menteri yang kena bertanya dengan isteri Najib, Rosmah.”

Ketawa terbahak-bahak

Sebut sahaja nama Rosmah satu padang bola akan ketawa terbahak-bahak.

“Najib minta duit dari Najib untuk Najib bayar hutang 1MDB.”

Sekali lagi pendengar ceramah ketawa. Ini adalah contoh terbaik propaganda politik yang menyerap masuk melalui humor.

Pembodek Najib mempertikaikan biologi Mahathir. Umur telah lanjut. Tohmahan ini telah dijawab dengan tuntas dan penuh humor oleh Mat Sabu.

Mat Sabu di pentas ceramah. Mahathir duduk di tepi pentas. Mat Sabu tanpa dirancang telah meminta Mahathir mengambil pen dari poket bajunya.

“Tun boleh angkat pen atau tidak?” Mat Sabu bertanya. Mahathir dengan senyum mengangkat pen dan menunjukkan pada orang ramai.

“Inilah kerja perdana menteri. Boleh angkat pen, bukan berat, boleh tanda tangan untuk tangkap Najib. Kerja Perdana Menteri bukan membajak atau turun tangkap ikan.”

Pendengar ceramah terbarai ketawa. Mahathir tersenyum puas.

Selepas Mat Sabu penceramah akhir pastilah Mahathir. Setelah beberapa kali berceramah bersama kini Mahathir dan Mat Sabu telah menjadi satu suara, satu item, yang bantu membantu. Kini giliran Mahathir pula menjawab Mat Sabu dalam longat Kedah.

“Dia ni dulu musuh saya. Sekarang tak lagi. Saya panggil dia Abang Mat walau pun dia ni lebih muda dari saya.”

Satu padang bola ketawa.

Dalam sejarah tanah air kita bertemu pasangan Ramlee dan Saloma, Nordin Ahmad dan Latifah Omar. Dari Holywood ada pasangan Humphrey Bogart dengan Lauren Bacall.

Dalam politik revolusi Tiongkok kita bertemu dengan Mao Zedong dan Zhou Enlai. Dalam Revolusi Bolshevik Rusia kita bertemu dengan Lenin dan Trotsky.

Justeru, dalam gerakan meruntuhkan United Malays National Organisation dan menghumbankan Najib dan Rosmah negara kita telah dihadiahkan dengan pasangan Mahathir dan Abang Mat.

Semua berpasangan. Semua bantu membantu. Tanpa satu tak hadir maka suasana tempang. Ini hakikat dari apa yang saya perhatikan. Ceramah Mat Sabu tanpa Mahathir tak cun. Ceramah Mahathir tanpa Mat Sabu tak mantap. Dua dua wajib bersama.

Apakah ini sahaja gandingan Tembok Berlin dengan Tank Rusia? Sabar dulu tunggu minggu hadapan.