5 calon senator daripada Amanah Kelantan, Terengganu - Mat Sabu

Bernama
KUALA TERENGGANU: Presiden Amanah Mohamad Sabu mengesahkan parti itu menghantar senarai nama calon termasuk dari Kelantan dan Terengganu untuk dilantik sebagai senator.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan secara terperinci jumlah sebenar calon yang dicadangkan tetapi menyatakan sekurang-kurangnya 5 pemimpin parti itu disenaraikan.

Katanya senarai nama tersebut diserahkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dipertimbangkan kerana parti lain daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) turut menghantar senarai calon masing-masing.

“Calon daripada Kelantan dan Terengganu jika hendak dilantik dalam barisan Kabinet hendaklah dilantik sebagai senator terlebih dahulu. Selepas itu barulah mereka boleh dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri.

“Kita syorkan beberapa nama. Terserah kepada Tun Dr Mahathir untuk memilih dan kita juga tidak tahu bila Dr Mahathir akan membuat keputusan,” katanya kepada pemberita ketika hadir pada majlis sambutan Hari Raya Amanah Terengganu, hari ini.

Setakat ini, keanggotaan dalam Kabinet masih berbaki 3untuk menjadikannya 29 orang dan menurut Dr Mahathir mereka akan dilantik sebagai senator bagi mengisi kekosongan berkenaan.

Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis itu, Mohamad yang juga menteri pertahanan berkata Amanah bukan lagi “parti nyamuk” seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak sebelum ini dengan sokongan kepada parti semakin meningkat selepas pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Katanya, Amanah berjaya membuktikan pemimpin daripada parti itu diterima rakyat dan kini 5 pemimpinnya dilantik sebagai menteri manakala 4 lagi sebagai timbalan menteri.

Mohamad turut mengesa semua pihak untuk berpandangan terbuka dan tidak lagi berada dalam kelompok mereka yang tidak matang dalam berpolitik hingga sanggup mengelak menghadiri majlis kenduri mahupun kematian hanya kerana tidak sehaluan dalam menyokong parti.

Pengerusi PH Terengganu yang juga Pengerusi Amanah negeri Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah pula berkata sehingga kini parti tersebut mempunyai 3,000 anggota berdaftar di Terengganu dan menurutnya jumlah itu bertambah selepas pilihan raya umum lepas dan masih dalam proses pengiraan.

Beliau berkata pemimpin parti gabungan PH mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya 2 bulan sekali untuk merancang pelbagai perkara bagi membela nasib rakyat di Terengganu.

ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim mohon sertai PKR, selepas permohonannya untuk menyertai Bersatu ditolak

Anne Muhammad  
ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim dijangka akan menyertai PKR, hujung bulan ini selepas permohonannya untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) ditolak.

Ismail yang sudah meninggalkan Umno hujung bulan lalu berkata beliau mempertimbangkan untuk menyertai PKR kerana acuan parti tersebut tidak seperti parti lamanya.

“Saya nak masuk mana-mana parti pun, saya tak mahu ada acuan-acuan lama dalam parti tu. Setakat ni saya melihat PKR agak terbuka dan dan setiap keputusan melalui konsensus. Saya pertimbang nak sertai PKR sebab rasa seronok kearah sana,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Difahamkan, Ismail memutuskan untuk menyertai PKR Kedah di bahagian Pokok Sena, namun sehingga kini masih belum mendapat maklum balas daripada pucuk pimpinan PKR negeri dan pusat.

Pada 20 Jun lalu, Ismail meninggalkan Umno selepas hilang keyakinan terhadap pucuk kepimpinan parti dan menjadi wakil rakyat bebas.

BERSATU Perlis tolak permohonan

Ismail berkata keputusan itu demi kepentingan rakyat apabila beliau perlu menjalin hubungan dengan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) selain memaklumkan akan menyertai BERSATU dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun BERSATU Perlis menolak permohonannya dengan menyifatkan Ismail sebagai 'musuh di medan perang' dan tidak akan boleh duduk semeja selepas apa yang berlaku sebelum ‘bertempur’ pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Awal pagi tadi dua keping gambar Ismail memegang borang keahlian PKR tular.

Mengulas lanjut Ismail berkata, beliau memilih menyertai PKR Kedah kerana kurang ancaman serta parti itu dilihat terbuka.

“Kehadiran saya diterima dengan ikhlas, itu yang saya nak. Saya tak mahu saya dilihat sebagai ancaman kepada pemimpin sedia ada, saya tak mahu. Kebetulan rakan-rakan dalam PKR adalah rakan-rakan lama saya.

Nak jadi ahli biasa, wakil rakyat

“Saya masuk bukan nak jadi pemimpin gantikan rakan-rakan saya sedia ada, tidak. Saya masuk nak jadi ahli biasa dan aktif sebagai wakil rakyat di kawasan dan kalau diminta untuk menyumbangkan idea, dalam aktiviti parti saya akan ikut macam biasa, macam orang lain ikut,” katanya.

Ditanya tindakannya melompat parti seperti mengkhianati pengundinya, Ismail berkata rakyat di Tambun Tulang cukup memahami dirinya dan menerima keputusan itu demi kebaikan bersama.
PRU-14 lalu menyaksikan BN berjaya meraih 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (HARAPAN) menang tiga kerusi dan PAS dua kerusi.

Ismail turut berkata, kehadirannya sebagai ADUN PKR Perlis akan menguatkan lagi pembangkang di negeri tersebut.

Ismail turut berharap orang muda akan dipilih mengetuai pembangkang di negeri itu.

Video laporan anak Najib bersama pelakon wanita Taiwan tular

MALAYSIADATELINE
Video laporan anak Najib bersama pelakon wanita Taiwan tular
Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib dikesan bersama seorang pelakon wanita Taiwan yang dikenali sebagai Celia Chang, sehari selepas Datuk Seri Najib Razak dituduh di mahkamah.

Apple Daily, portal berita berpangkalan di Taiwan, melaporkan anak bekas perdana menteri itu dilihat makan sambil berbual-bual dengan artis yang dikenali Celia Chang.

Mereka dilihat makan di sebuah restoran di pusat beli-belah Breeze Xinyi berdekatan menara ikonik di bandar Taiwan, Taipei 101.

Portal itu melaporkan mereka kelihatan santai sambil menghirup segelas demi segelas wain merah dalam tiga jam. Dua botol wain juga dikatakan dibuka.

Laporan itu juga menyebut mereka kemudian menaiki teksi menuju ke sebuah rumah urut
sebelum makan malam selama dua jam di sebuah bar.

Apple Daily mendakwa kedua-duanya selepas itu menempah sebuah teksi lagi menuju ke Hotel Grand Hyatt sekitar jam 1 pagi.

“Kami hanya minum di bar Grand Hyatt, mood dia tidak begitu baik sebab anggota keluarganya tidak sihat, selepas itu dia naik untuk berehat dan saya pun beredar,” kata bekas model, 34 tahun, dipetik.

Rabu lalu, bekas perdana menteri itu berdepan tiga pertuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa berhubung dana SRC International Sdn Bhd membabitkan RM42 juta.

Sebelum itu, di laman Facebook ‘Najib Razak Must Go’ turut berkongsi laporan video daripada appledaily.com.hk telah menunjukkan kedua-dua mereka berjalan-jalan dan minum bersama.

Kemudian laman berkenaan telah memuat naik status sambil menyindir perbuatan anak lelaki Najib dengan menulis penyokong melancarkan derma untuk Najib sementara anaknya menikmati keseronokan bersama pelakon Taiwan sambil minum wain merah, urut dan seronok di hotel.

Video yang diberi tajuk ‘Najib’s son in Taipei on 5th July 2018’ itu mencecah 100,000
tontonan manakala dikongsi hampir 4,000 netizen selepas di muat naik lima jam lalu.

1MDB: Najib saman Shukri Abdull, Amar Singh, Tommy Thomas

Joseph Sipalan & Rozana Latiff, Reuters

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memfailkan saman terhadap tiga penyiasat utama skandal 1MDB, dalam usahanya menangani kritikan awam berhubung dakwaan penglibatannya dalam kes itu.

Hilang kuasa pada PRU Mei lalu, Najib ditahan dan didakwa berkaitan transaksi meragukan bekas subsidiari 1MDB, SRC International. Beliau yang konsisten menafikan sebarang salah laku mengaku tidak bersalah Rabu lalu.

Dalam 'serangan balasnya', Najib memfailkan saman terhadap tiga pegawai yang terlibat dalam siasatan 1MDB.

Dalam tiga pemfailan sivil minggu lalu namun hanya dilihat Reuters pada Rabu, peguam Najib mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Amar Singh dan Peguam Negara Tommy Thomas bersikap prejudis terhadap Najib ketika siasatan mereka.

Badrul Abdullah yang mengetuai salah satu firma guaman yang mewakili Najib berkata, saman dibuat berdasarkan kenyataan sebelum ini yang dibuat tiga individu itu.

"Kemi mahu mendapatkan keputusan mahkamah sama ada wujud unsur konflik kepentingan di kalangan individu yang mengendalikan kes ini," kata Badrul kepada Reuters.

Badrul berkata anak guamnya menuntut ganti rugi kos dan arahan serta relief lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Rekod mahkamah menunjukkan tiga permohonan itu difailkan 30 Jun lalu dan menamakan Najib sebagai pemohon.

Peguam Najib dan responden dijadual bertemu dengan dua hakim pada 16 Julai ini bagi pendengaran pra-perbicaraan.

Pada mei lalu, Shukri berkata siasatan 1MDB pada 2015 telah ditekan, sementara Amar mengetuai rampasan polis terhadap barangan mewah bernilai kira-kira AS$275 juta di premis yang dikaitkan dengan keluarga Najib.

Thomas adalah ketua pendakwa yang mendakwa Najib dengan tiga pertuduhan pecah amanah berkaitan kes SRC International dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya, membabitkan RM42 juta yang didakwa dipindah ke akaunnya daripada SRC.

Mangsa bunuh dikerat 6 pakai loket tulisan ‘Allah’

Bernama
KUALA LUMPUR: Polis menemui loket dengan tulisan “Allah” dalam huruf jawi dan seutas rantai leher pada mayat seorang wanita mangsa pembunuhan kejam.

Mayat wanita yang dikerat 6 itu ditemui dalam 2 beg pakaian di tepi Jambatan Jalan Ipoh di Sungai Gombak, 11.30 pagi semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata selain loket dan rantai berkenaan, segugus anak kunci turut dijumpai bersama beg yang mengandungi kepala mangsa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun itu dipercayai beragama Islam dan bukan warganegara Malaysia serta disyaki dibunuh di tempat lain, sebelum dicampak ke lokasi mayat dijumpai.

“Polis belum mengenal pasti identiti sebenar mangsa. Tiada kesan suntikan BCG (Bacillus Calmette Guerin) ditemui pada bahu mangsa.

“Kewarganegaraan dan keturunan mangsa belum dikenal pasti buat masa ini dan seramai 7 saksi awam yang berada berhampiran lokasi kejadian dirakam percakapan mereka,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah luka hirisan di leher yang dipercayai menggunakan senjata tajam dan berat, serta mangsa dikenal pasti sudah meninggal dunia melebihi 24 jam hingga 60 jam sebelum waktu bedah siasat dilakukan.

Beliau berkata, polis sudah mendapatkan cap jari daripada lapisan kulit tapak tangan dan semua jari mangsa.

Dalam kejadian tengah hari semalam, seorang gelandangan wanita yang tinggal berhampiran lokasi penemuan mayat itu membuat laporan di Balai Polis Komuniti Putra Chow Kit berhubung penemuan beg pakaian mencurigakan.

Susulan laporan itu polis menemui anggota manusia yang dibungkus dua lapisan plastik hitam dan satu lapisan kain cadar daripada 2 beg pakaian berjenama “Power Polo” dan USA Polo” pada jarak kira-kira 20.6m.

Menurutnya, polis juga akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada premis berdekatan untuk siasatan lanjut.

Tommy cakap bahasa apa masa jadi peguam PAS, soal peguam

Penguasaan Bahasa Melayu Peguam Negara Tommy Thomas yang dikatakan lemah terus menjadi topik perbincangan.

Dalam hantaran Twitter petang ini, Anggota Majlis Tertinggi PKR Latheefa Koya menyindir PAS yang memperlekehkan Thomas.

"Aku nak tanya PAS ketika melantik Tommy pada tahun 2010 mewakili kerajaan Kelantan bagi memfailkan tuntutan royalti petroleum di mahkamah, Tommy cakap (dalam) bahasa apa ya," katanya yang juga adalah pengasas Lawyers For Liberty.

Latheefa mengulas kenyataan Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali yang mendakwa Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Thomas membuktikan Pakatan Harapan meminggirkan bahasa Melayu.

Beliau merujuk kepada penggunaan bahasa Cina oleh Lim dalam kenyataan medianya dan Thomas yang memohon kelulusan mahkamah untuk melakukan pendakwaan terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dalam bahasa Inggeris.

Khairuddin berkata, kerajaan HARAPAN mesti menunjukkan kesungguhan mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Menurutnya, mereka tidak seharusnya memberi isyarat yang salah kepada rakyat bahawa HARAPAN telah meruntuhkan tonggak asas bernegara yang telah dipersetujui oleh semua kaum.

Selepas Najib didakwa pada hari Rabu, Thomas terpaksa mengalihkan sidang akhbarnya ke lokasi lain selepas penyokong bekas perdana menteri itu menuntut agar beliau bercakap dalam bahasa Melayu.

Thomas juga pernah mewakili kerajaan negeri Terengganu yang diketuai PAS ketika memfailkan tuntutan mahkamah terhadap syarikat minyak negara Petronas dan kerajaan persekutuan pada bulan Mac 2001 kerana melanggar kontrak berhubung pemberhentian bayaran secara tunai untuk royalti minyak kepada kerajaan negeri.

Terdahulu, bekas penasihat sosio-budaya kepada kerajaan Tan Sri Rais Yatim berkata, Thomas harus mengasah kemahiran berbahasa Melayu dan mula bertutur dalam bahasa itu dalam urusan melibatkan kerajaan dan mahkamah.

Katanya, perkara itu perlu berdasarkan peruntukan Perkara 152(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan keperluan menggunakan bahasa Melayu semasa melaksanakan urusan rasmi kerajaan.
-Malaysiakini

Zaman bos-bos GLC bergaji tinggi sudah tamat kata Tun M

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa syarikat pelaburan negara Khazanah Nasional telah menyimpang daripada matlamat asalnya untuk membantu bumiputera.

Dalam wawancara dengan laman web perniagaan Investvine, Mahathir turut berkata mahu memotong gaji tinggi bos syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC)

Bercakap mengenai Khazanah yang ditubuhkan pada 1993 ketika kali pertama pentadbirannya, Mahathir berkata firma pelaburan itu ditubuhkan untuk memegang saham bumiputera, sehingga mereka mempunyai keupayaan untuk membeli saham tersebut.

"Tetapi dalam proses itu, Khazanah memutuskan ia perlu mengambil semua saham itu untuk syarikat itu dan jika ia suatu saham yang baik mengapa tidak mendapatkan saham berkenaan semasa penyenaraiannya ketika harga saham itu masih sangat rendah dan lantaran itu mereka lupa sepenuhnya tentang memegang saham untuk bumiputera.

Kecenderungan jual saham

"Mereka memutuskan perlu memegang saham berkenaan untuk selama-lamanya menjadi sebahagian daripada syarikat-syarikat kerajaan yang dimiliki oleh kerajaan," katanya.

Ini menurut beliau kerana bumiputera yang mendapat saham berkenaan memiliki kecenderungan untuk menjual saham itu dan memperkayakan diri mereka sendiri.

Beliau berkata Putrajaya kini sedang meneliti pegangan saham Khazanah dalam syarikat-syarikat tersebut dan akan menyusunnya mengikut kategori keuntungan serta mengembalikan tujuan asal penubuhan Khazanah.

"Kami perlu bersetuju untuk beberapa syarikat ini mengurangkan bilangan (saham yang dipegang oleh Khazanah) dan setakat ini kembali ke niat asal untuk memegang saham yang diperuntukkan kepada bumiputera sehingga tiba masa apabila mereka boleh membelinya," katanya.

Era lantikan politik bergaji besar telah tamat

Sementara itu mengulas syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Mahathir berkata zaman pemegang jawatan lantikan politik mengetuai firma tersebut dan meraih gaji besar telah berakhir.

"Gaji orang-orang ini (dilantik politik) sangat tinggi dan mereka menikmati gaji tinggi tanpa ambil peduli sama ada syarikat itu membuat keuntungan atau tidak.

"Di sisi lain, kami mahu meletakkan profesional dan gaji mereka tidaklah terlalu tinggi, ia mungkin sedikit lebih tinggi daripada gaji perkhidmatan awam, tetapi jika prestasi mereka bagus maka kami akan membayar mereka bonus.

"Sekiranya mereka tidak bagus, mereka tidak akan mendapat pendapatan tinggi yang mereka dapatkan sekarang dan kami akan mengubah pengurusan supaya kami dapat melantik golongan profesional (tidak kira) sama ada mereka orang parti atau tidak, itu semua tidak penting, tetapi mereka mestilah profesional yang mahir dalam urusan perniagaan syarikat itu," katanya.
-malaysiakini

Perihal Syed Saddiq dan Jamal Yunos

ABDUL JALIL ALI
ADA dua nama yang menjadi sebutan dan ingatan ramai sehari dua ini. Keduanya juga menjadi buruan. Bukan mantan PM, Datuk Seri Najib Razak, tidak juga mantan TPM, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tetapi Syed Saddiq, dan Jamal Yunos.

Nama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba-tiba ngetop dan meniti dari bibir ke bibir, dan terus melekat di hati kebanyakan orang, terutama anak dara. Dia kacak, bijak berbicara – almaklumlah pembahas terbaik dunia! – cepat mesra walaupun pertama kali berjumpa. Maka tidak menghairankan, dia menjadi tarikan anak muda ke mana pun dia pergi.

Baru masuk politik, telah dicalonkan untuk parti Bersatu pada PRU14 9 Mei lalu, bertanding pertama kali di Parlimen Muar, dan menang, terus bergelar YB.

Beberapa hari lalu dia mencatat sejarah sebagai anggota Kabinet paling muda – baru 26 tahun – apabila dinamakan sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Tidak suka dipanggil ‘YB’ kerana kedengaran tua dan terlalu rasmi. Katanya: “Panggil saya ‘Bro Saddiq’ lebih sesuai!” Sebab itu dia menjadi buruan remaja, khasnya gadis!

Perihal Datuk Seri Jamal Yunos, sehingga beberapa hari lalu, juga menjadi buruan. Bukan diburu anak dara, tetapi menjadi buruan polis.

Dia popular kerana sikap pemurah dan keprihatinan terhadap masalah rakyat. Contoh, ketika orang ramai mengeluh dan resah akibat kenaikan harga barang, Jamal banyak menderma.

Dia membawa ikan ke tempat-tempat tertentu, menjual ikan pada harga amat murah. Kembung yang di pasar biasa berharga hingga RM12 per kilo, dia menawarkan hanya RM5.

Maka, ke mana sahaja dia membawa ikan, orang ramai akan mengerumuni Jamal untuk membeli ikan. Maka dia digelar ‘Jamal Ikan.’

Tidak sahaja pemurah, dia juga kadangkala dianggap tidak malu. Contoh, satu pagi dia bercukin membawa baldi dan berus gigi, menunjuk perasaan di hadapan pejabat Menteri Besar Selangor, gara-gara masalah air di negeri itu.

Ada juga orang menganggapnya berani. Contoh, pemimpin NGO Baju Merah ini pernah membawa tukul besi gergasi dan memecahkan beberapa botol arak di hadapan bangunan sekretariat Selangor Oktober lalu.

Serpihan kaca bertaburan, tetapi tidak ada siapa yang berani menegur dan menghalang wira Baju Merah itu. Semua orang menganggap dia berani.

Tetapi kemudian terbukti hero Baju Merah itu tidaklah seberani yang disangka. Contoh, apabila polis hendak menangkapnya kerana kesalahan pecah botol arak itu, dia menghilangkan diri.

Seperti dilaporkan media, semasa menjalani rawatan di Hospital Pakar Ampang Puteri, Jamal melarikan diri ketika didakwa di mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian mengeluarkan waran tangkap ke atasnya, dan hero Baju Merah itu menjadi buruan. Maka, ramai berkata hero kampung itu hanya ‘berani buat, tak berani tanggung.’

Kalau betul berani dan bertanggungjawab dia sepatutnya sedia menghadapi tuduhan tersebut. Tidak ada apa yang hendak ditakutkan sebab jika sabit kesalahan pun tuduhan itu tidak akan membawa hukuman gantung sampai mati.

Selama main sorok-sorok dalam buruan Jamal sempat merakam beberapa video yang diviralkan, mendakwa dia tidak lagi, masih ada di dalam negeri. Nampak sangat dia hendak menunjuk pandai, dan memperlekeh pihak berkuasa.

Ketika YB muda Syed Saddiq masih menjadi buruan peminat, Jamal, wira berusia 43 tahun itu menamatkan pemburuan polis terhadapnya.

Dia ditangkap di sebuah salon di Jakarta, ketika sedang bergunting rambut. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

Seperti ‘Bro Saddiq’, sebagai orang politik, Jamal pun bercita-cita tinggi. Sebab itu dia menawarkan diri sebagai calon Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti baru-baru ini.

Walaupun menyedari polis sedang memburunya siang-malam, dia mencalonkan diri untuk merebut jawatan penting parti yang dikosongkan oleh Khairy Jamaluddin. Jamal tewas dalam pertandingan tersebut, hanya mendapat dua undi 191 bahagian parti seluruh negara.

Tetapi, dia masih dipilih semula sebagai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar. Meski dalam buruan, dan berucap kepada perwakilan bahagian hanya menerusi video, dia masih dipilih.

Maka, ada yang marah-marah apabila calon dalam buruan pun boleh menang. Apa hal? Mungkin ini membuktikan kematangan pemilihan dalam Umno pasca tsunami 9 Mei.

Apa pun ‘Bro Saddiq’ dan ‘Jamal Ikan’ masing-masing ada kelebihan. Sama-sama menjadi sebutan.

PRK Sungai Kandis: Pas Selangor cadang kerjasama dengan Umno

MALAYSIA DATELINE
Pas perlu membentuk kerjasama dengan Umno bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Kandis, kata Ketua Penerangan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir.
Menurutnya, kerjasama itu antara pilihan terbaik untuk menguatkan suara pembangkang serta mengimbangi kekuatan Pakatan Harapan (PH).

“Secara peribadi saya mengesyorkan supaya Pas dan Umno membentuk kerjasama bagi kerusi Dun Sungai Kandis.

“Saya melihat adalah lebih baik jika berlaku pertandingan satu lawan satu bagi kerusi ini.

“Dalam konteks di Selangor, PH sangat kuat dan bagi memastikan proses demokrasi dapat berjalan dengan baik, adalah penting untuk mempunyai pembangkang yang kuat di Selangor,” katanya dipetik dari NSTP.

Pada PRU-14 lalu, Pas Selangor hanya mendapat satu kerusi Dun manakala BN (4) dan PH berjaya menang di 51 kerusi Dun.

Walau bagaimanapun, Dun Sungai Kandis yang disandang Mat Shuhaimi Shafiei kosong apabila beliau meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, Pas dan Umno perlu membuang ego masing-masing dengan meletakkan kepentingan Islam sebagai asas untuk menjadikan kerjasama tersebut satu kenyataan.

“Mungkin PRK DUN Sungai Kandis ialah perintis kepada lebih banyak kerjasama antara Pas dan Umno pada masa depan,” ujarnya.

Walaupun begitu, beliau sebagai ahli parti akur dengan semua keputusan Pas Pusat berhubung hal tersebut.

Jamal disumbat terus ke penjara, mahkamah tolak jaminan



Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Mohd Yunos hari ini dihadapkan Mahkamah Majistret Ampang dan dituduh melarikan diri daripada tahanan sah. Beliau mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Muhamad Firdaus Sadina Ali.

Mahkamah tidak membenarkan permohonannya untuk diikat jamin dan memerintahkan supaya dia ditahan di penjara Sungai Buloh. Beliau juga menetapkan 30 Julai sebagai tarikh sebutan kes.
Mengikut pertuduhan, Jamal didakwa dengan sengaja melepaskan diri daripada jagaan pihak polis yang mana dia sudah ditahan secara sah di sisi undang-undang.

Pada 25 Mei lalu, Jamal dihadapkan ke mahkamah atas dua tuduhan melakukan gangguan awam.
Dia bagaimanapun melarikan diri ketika proses ikat jamin berlangsung di Hospital Pakar Ampang Puteri, ketika sedang menjalani rawatan.

Selepas lebih sebulan bersembunyi, Jamal akhirnya ditahan di Tebet, Jakarta Selatan, pada 2 Julai lalu oleh polis Indonesia dan dibawa pulang hari ini

Dalam prosiding hari ini, pihak pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Datuk Razali Che Ani selain dua Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin dan Mahathir Mohd Khairuddin manakala Jamal diwakili peguam Khairul Annuar.
-malaysiakini

Ucapan Innalillah... dari veteran PAS untuk Najib

Subky Latif
Memanda Najib sudah ditahan dan dimahkamahkan atas dakwaan skandal dan segala macam penyelewengan semasa berkuasa.

Apa yang dapat dikata atas musibahnya itu? Ia adalah kata-kata ibadah yang Islam ajar kepada umat Islam: Innalillah wa inna ilaihirajiun.

Bukan sekadar mati, atas apa saja musibah, itulah reaksi oleh setiap umat Islam.

Apa yang dapat kita komen atas tindakan terhadapnya? Sistem kita hanya berupaya bertindak ke atas rakyatnya yang lemah.

Belum dapat kita kata tindakan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang baru itu tegas dan berani. Sekalipun Najib itu orang bangsawan besar dan anak orang besar, tetapi tindakan itu masih dikira bertindak ke atas orang yang lemah.

Kita hanya ada kerajaan baru, tetapi kita masih dalam pemerintahan sistem yang sama. Kerajaan HARAPAN menyambung sistem yang terpakai dalam BN dan Umno.

Baik keadilannya, mahkamahnya, polisnya dan apa-apa institusinya hanya berupaya bertindak ke atas rakyat yang lemah, yang orang ramai bahasakan bilis. Tidak ke atas jerung.

Boleh naik jadi PM

Sekalipun Najib itu pernah jadi sebesar-besar jerung, tetapi hari ini dia sudah jadi jerung yang kecil lagi lemah. Yang baru jadi jerung sekarang Lim Guan Eng, Menteri Kewangan.

Dia dikatakan ada skandal dan masih dalam takluk mahkamah. Justeru, dia ialah jerung. Berupayakah sistem ini bertindak ke atas jerung?

Apa jua tindakan terhadap Najib, ia adalah sudah menjadi orang yang lemah.

Padahal segala yang dikatakan skandal bagi Najib itu bukan sekadar sesudah jadi perdana menteri dan adalah angkara 1MDB. Gemanya sudah ada seawal menjadi menteri pertahanan di bawah Dr Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi.

Justeru dia ialah orang gagah dalam sistem pada masa itu. Kerajaan dan sistem tidak terfikir untuk mengenakan apa-apa terhadapnya, bahkan dia boleh naik jadi timbalan perdana menteri dan perdana menteri.

Apabila menjadi perdana menteri Najib seolah-olah lebih besar daripada kerajaan dan lebih besar daripada sistem.

Mana kerajaan dan sistem boleh kuat kuasakan undang-undang, pertahankan wibawa integriti dan kebebasan institusinya sekalipun ia dilengkap dengan polis, SPRM, kehakiman dan demokrasinya.

Seantero alam hal ehwal Najib diperkatakan. Kerajaan dan sistem tidak berupaya mengusiknya. Wibawa dan kebebasan semua institusi itu jadi hiasan indah saja tetapi bukan untuk dikuatkuasakan terhadap semua.

Orang berkuasa itu tidak lebih tinggi daripada kerajaan dan sistem. Bagi Malaysia, raja-raja ada kekebalan. Perdana menteri tidak kebal. Tetapi demokrasi kita - secara amalinya - ketua kerajaan itu kebal.

Keadaan demikian menjadikan kuasa rakyat tiada makna, demokrasi tidak begitu berguna dan kerajaan serta institusinya serba lemah. Yang tidak lemah ialah orang-orang yang berkuasa.

Tidak seperti Korea Selatan, Jepun dan Israel. Presiden dan perdana menteri boleh dimahkamahkan. Lebih ramai presiden Korea dipenjara. Mereka boleh bertindak terhadap orang kuat dan orang lemah.

Najib tidak kena apa-apa semasa dia kuat. Jika dia perdana menteri lagi semuanya tidak buat apa-apa.

Setelah PRU14 menjadikannya lemah, barulah tindakan dikenakan ke atasnya. Apa hebatnya jika kita bertindak ke atas orang lemah? Hanya Kerajaan yang lemah mampu bertindak terhadap orang lemah seperti Najib sekarang.

Mahathir dan kerajaan HARAPAN belum boleh dikira tegas, telus dan berani sekadar bertindak ke atas orang lemah. Sekurang-kurangnya ia perlu berani membersihkan kes Guan Eng dulu.

SUBKY LATIF ialah wartawan veteran dan bekas anggota Jawatankuasa Pusat PAS. Tulisan ini disiarkan kali pertama di harakahdaily dengan judul Najib, Tahanan Ke Atas Yang Lemah.

Jamal tiba di KL tengah hari ini, kata peguam

Datuk Seri Jamal Md Yunos akan tiba di Kuala Lumpur tengah hari ini dan spekulasi mengatakan beliau akan terus dibawa ke mahkamah untuk didakwa.

Ketika dihubungi, peguamnya Imran Tamrin mengesahkan kepulangan Jamal itu - yang sebelum ini melarikan diri ke Indonesia ekoran diburu polis.

"Beliau dijangka tiba pada pukul 2.15 petang," katanya kepada Malaysiakini.

Sumber polis berkata ketua Umno Sungai Besar itu akan segera dibawa ke mahkamah untuk didakwa.

Ketika ditanya, Imran yang juga ADUN Sungai Panjang berkata beliau tidak pasti sama ada anak guamnya itu akan terus didakwa atau direman terlebih dulu.

Jamal yang hilang sejak Mei lalu ditahan di Tebet, Jakarta Selatan, pada 2 Mac lalu. Beliau ditahan di ibu pejabat polis Jakarta Selatan sebelum dihantar pulang pagi ini.

Beliau pertama kali ditahan polis pada 22 Mei lalu ketika dirawat di Hospital Pakar Ampang Puteri, namun melarikan diri ketika proses ikat jamin.

Bekas ketua kumpulan Baju Merah itu dikehendaki polis atas beberapa kesalahan, antaranya di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana melakukan gangguan awam dan Seksyen 34 Akta Senjata 1960 berkaitan penggunaan senjata api.
-malaysiakini

Malaysia usir Zakir Naik hari ini?

FMT Reporters
KUALA LUMPUR: Penceramah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik, akan diusir hari ini, lapor media India, tetapi peguamnya di Malaysia nafi terima sebarang notis penghantaran pulang.

“Tak benar. Kami tak terima sebarang notis ekstradisi,” kata Shaharuddin Ali, yang mewakili Naik, kepada FMT.

Beliau berkata permintaan rasmi untuk menghantar pulang anak guamnya mestilah daripada Kementerian Dalam Negeri atau Kementerian Luar Negeri.

Beliau berkata notis itu tidak boleh daripada polis atau Jabatan Peguam Negara.

“Pada ketika ini, kita diarahkan untuk mencabar sebarang tindakan untuk mengekstradisi anak guam kami ke India. Kami perlu melihatnya ekstradisi itu secara bertulis.

“Jika ada ekstradisi secara bertulis, kami mahu melihatnya,” kata Shaharuddin.

Sementara itu, Naik dipetik Republic TV berkata berita ekstradisi itu “sama sekali tak berasas dan palsu”.

“Saya tiada rancangan untuk ke India sehingga saya rasa dilindungi dari pendakwaan tidak adil. InsyaAllah, saya akan pulang ke tanahair jika saya rasa kerajaan akan berlaku adil dan saksama,” katanya.

Media India hari ini melaporkan Naik, yang disiasat di India atas dakwaan pengubahan wang dan penyebaran ekstremisme, “akan menaiki penerbangan ke India hari ini”, menurut laporan Times Now.

Sementara itu NDTV melaporkan Naik akan dikeluarkan dari Malaysia “malam ini”, memetik seorang pegawai polis anti-pengganas di Bukit Aman, Mohammed Raby Abu Bakar.

Naik dituduh memberikan ucapan provokasi, yang menurut kerajaan Bangladesh menjadi penyebab serangan di Dhaka yang menyaksikan 22 orang maut.

Agensi Penyiasatan Kebangsaan India juga sedang menyiasat NGO yang diasaskan Naik, Yayasan Kajian Islam, berhubung dakwaan pengubahan wang.

Dia diberi status pemastautin tetap di Malaysia oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

---------------------------

Polis nafi Zakir Naik akan dihantar pulang hari ini
Mohamad Fadli 
PETALING JAYA: Polis menafikan laporan media India yang mengatakan penceramah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik akan diusir hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamed Fuzi Harun berkata polis belum menerima apa-apa maklumat berhubung ekstradisi Naik, yang dikehendaki pihak berkuasa India atas dakwaan berkaitan penggubahan wang dan terorisme.

“Kita tidak dapat maklumat itu, jadi saya nafikan laporan Naik dihantar pulang hari ini,” katanya.

Terdahulu, peguam Naik berkata pihaknya juga tidak menerima sebarang notis penghantaran pulang.

“Tak benar. Kami tak terima sebarang notis ekstradisi,” kata Shaharuddin Ali.

Sementara itu, sumber di Kementerian Dalam Negeri menafikan laporan media India dan berkata buat masa ini belum ada kata putus daripada kerajaan berhubung penghantaran pulang penceramah itu.

Media India hari ini melaporkan Naik, yang disiasat di India atas dakwaan pengubahan wang dan penyebaran ekstremisme, “akan menaiki penerbangan ke India hari ini”, menurut laporan Times Now.

Sementara itu NDTV melaporkan Naik akan dikeluarkan dari Malaysia “malam ini”, memetik seorang pegawai polis anti-pengganas di Bukit Aman, Mohammed Raby Abu Bakar.

Naik dituduh memberikan ucapan provokasi, yang menurut kerajaan Bangladesh menjadi penyebab serangan di Dhaka yang menyaksikan 22 orang maut.

Agensi Penyiasatan Kebangsaan India juga sedang menyiasat NGO yang diasaskan Naik, Yayasan Kajian Islam, berhubung dakwaan pengubahan wang.

Dia diberi status pemastautin tetap di Malaysia oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Najib mengaku tewas, mohon maaf kepada rakyat Malaysia

WARTAWAN SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Selepas penahanan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak petang tadi, satu video berdurasi 2minit 20n saat dimuat naik ke laman Twitter dan Facebook beliau.

Najib menulis: Saya terima bahawa hari ini adalah hari saya dan keluarga menjalani dugaan dunia.

Ini luahan isi beliau,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekiranya saudara saudari mendengar mesej ini maknanya tindakan telah pun diambil ke atas saya.

Saya ingin memohon ampun dan maaf kepada rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia berhak mendapat pimpinan terbaik.

Saya telah melakukan sedaya upaya saya, namun saya sedar ia tidak mencukupi kerana saya akui banyak kelemahan.

Namun demikian, saya ingin menyuarakan isi hati saya kepada rakyat Malaysia yang saya kasihi.

Ya, memang saya tidak sempurna seperti manusia biasa, namun percayalah apa yang dituduh ke atas saya tidak semuanya benar.

Memang rumah kami digeledah selama berhari-hari. Memang saya disiasat dan ada barang yang dirampas.

Namun semua ini belum konklusif. Ada banyak berita, gambar yang tersebar sersifat khabar angin, putar belit dan fitnah.

Biarlah siasatan dijalankan dahulu. Saya belum berpeluang untuk mempertahankan diri saya.

Ya saya sudah tewas saya akur keputusan rakyat. Dan saya sedar bahawa kekalahan ini juga bermakna saya terdedah kepada lebih banyak tohmahan yang dahsyat.

Benar semua orang adalah sama rata disisi undang-undang. Bukan sahaja di dunia tetapi juga balasan di akhirat.

Tiada sesiapa yang akan terlepas, termasuklah sang penguasa di dalam kerajaan hari ini dan mereka yang menyebar khabar angin serta mengaibkan orang lain.

Saya terima bahawa hari ini adalah hari saya dan keluarga menjalani dugaan hidup. Saya tetap bersyukur kerana tidak semua yang berpeluang menjalani dugaan dunia.

Kita semua tahu bahawa dugaan di akhirat adalah jauh lebih perit. Saya akan hadapi dengan tabah, sesungguhnya Allah SWT maha mengetahui, maha mengasihani dan maha penyayang, sekian sahaja dari saya.

Najib ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya dekat Langgak Duta kira-kira jam 3 petang tadi.

Beliau dijangka dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk perintah tahanan reman esok.

Tiga kereta milik SPRM dilihat memasuki perkarangan kediaman Najib dipercayai kira-kira jam 2 petang tadi.

Ketiga-tiga kereta berkenaan termasuk sebuah kereta Proton Inspira berwarna merah dinaiki Najib dilihat keluar dari perkarangan rumah kediaman pada jam 3.07 petang tadi.

Bicara kes Najib bermula 18 Feb 2019 : Laporan langsung Malaysiakini

LANGSUNG | Ikuti laporan langsung Malaysiakini dalam kes membabitkan pendakwaan terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak:

SOROTAN UTAMA

Perbicaraan 19 hari bermula Februari tahun depan
Mahkamah benarkan permohonan perintah interim
Mahkamah tetapkan ikat jamin RM1 juta
Najib sedia serah geran sebagai jaminan
Bekas PM mohon dibicarakan
Kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi
Najib hadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu salah guna kuasa
Penyokong Najib mahu AG cakap Melayu

12.54 tgh: Sidang media yang dijangka akan disampaikan oleh Ketua Peguam Negara Tommy Tomas kecoh apabila penyokong Najib menjerit mahu sidang media itu disampaikan dalam bahasa Melayu.

Kejadian yang berlaku di lobi kompleks mahkamah itu bermula apabila kira-kira 50 penyokong Najib menjerit "Melayu" berulang kali menyebabkan sidang media itu dibatalkan.

Mereka turut melaungkan “Hidup Najib” dan bertakbir.

Pihak polis mengarahkan kumpulan itu untuk keluar dari lobi berkenaan.

Turut kelihatan dalam kumpulan itu adalah pelakon Ellie Suriaty dan Penyelaras NGO Malaysia Baru Presiden NGO itu, Datuk Lokman Noor Adam.

Bicara 19 hari

12.49 tgh: Mahkamah Tinggi 3 – Perbicaraan ditetapkan selama 19 hari, iaitu pada 18-28 Februari, 4-8 Mac dan 11-15 Mac 2019.

12.35 tgh: Mahkamah Tinggi 3 – Pengurusan kes ditetapkan pada 8 Ogos depan. Kekangan daripada mengulas sementara itu itu berkuat kuasa sehingga tarikh itu.

Arahan itu turut tertakluk kepada media daripada mengulas isu berkaitan empat pertuduhan terhadap Najib, selain daripada merit fakta kes.

12.25 tgh: Peguam bela utama Shafee Abdullah dan ketua pendakwaan Tommy Thomas berbalah mengenai penyerahan dokumen kes sebelum perbicaraan bermula.

Tommy berkata permintaan Shafee untuk mendapatkan dokumen sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan munasabah.

Shafee menjawab: “Jika kami dakwa dia hari ni bermakna kamu sudah sedia! Saya tak boleh bayangkan kami akan dakwa seseorang tetapi dokumen masih tidak tersedia.

“Fotostat saja dan serahkan pada kami.”

Mahkamah benarkan permohonan perintah interim

12.10 tgh: Mahkamah Tinggi - Hakim Mahkamah Tinggi Sophian Abdul Razak membenarkan permohonan peguam bela untuk mendapatkan perintah interim (sementara).

Ini selepas peguam Shafee Abdullah memohon hakim memberikan perintah interim terhadap sebarang kenyataan yang berpotensi mempengaruhi kes anak guamnya dalam empat pertuduhan itu.

Beliau merujuk kejadian yang didakwa sebagai "perbicaraan oleh pihak media" terhadap Najib.

Pendakwa Tommy Thomas membantah permohonan itu dengan menyatakan prinsip-prinsip kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan harus dipelihara.

Beliau berkata Shafee perlu membuat permohonan rasmi dan bukan perintah interim dan pihak pendakwaan akan "menentang kuat" permohonan itu.

11.55 pagi: Hakim Mahkamah Tinggi, Sophian Abdul Razak menetapkan jaminan RM1 juta untuk semua empat pertuduhan dengan dua penjamin.

Beliau juga mengarahkan tertuduh menyerahkan kedua-dua pasportnya.

"Mahkamah berpendapat RM1 juta tunai dengan dua penjamin adalah adil dan saksama.

"Tertuduh juga perlu menyerahkan kedua-dua pasportnya."

Shafee Abdullah berkata anak guamnya hanya dapat membayar separuh daripada jumlah itu hari ini.

"Pada Isnin, saya akan berusaha mendapat RM500,000 lagi," peguam itu memberitahu mahkamah.

Najib mengaku tak bersalah 4 tuduhan, ikat jamin RM1 juta

Faiz Zainudin
KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mengaku tidak bersalah terhadap 3 pertuduhan melakukan pecah amanah dan 1 dakwaan menyalahgunakan jawatannya membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Ahli Parlimen Pekan itu meminta dibicarakan selepas 4 pertuduhan itu dibacakan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Sofian Abdul Razak.

Hakim menetapkan ikat jamin sebanyak RM1 juta untuk semua pertuduhan dengan 2 penjamin dan 2 pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah, serta 8 Ogos sebagai tarikh pengurusan kes untuk menentukan tarikh perbicaraan.

Terdahulu, pasukan pendakwaan yang diketuai Peguam Negara, Tommy Thomas meminta ikat jamin ditetapkan pada RM4 juta, iaitu RM1 juta bagi setiap pertuduhan.

Peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagaimanapun memohon hakim mengurangkan jumlah itu kepada RM500,000 hingga RM800,000 dan membenarkan anak guamnya menyerahkan geran tanah yang mempunyai nilai sama sebagai cagaran.

“Anak guam saya melalui anak-anak dan isterinya perlu dapatkan duit dari saudara-saudara mereka. Mereka mempunyai sejumlah wang, tetapi setakat ini tidak sampai RM4 juta,” kata Shafee.

Bagi pertuduhan pertama, Najib didakwa sebagai seorang penjawat awam dan ejen iaitu perdana menteri dan menteri kewangan, Advisor Emeritus SRC dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, melakukan pecah amanah jenayah terhadap RM27 juta.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ke-2, Najib didakwa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, melakukan pecah amanah jenayah terhadap RM5 juta di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan ke-3, Najib didakwa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, melakukan pecah amanah jenayah terhadap RM10 juta di tempat sama antara 10 Februari 2015 dan 2 Mac 2015, mengikut seksyen sama.

Bagi pertuduhan ke-4, Najib didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu perdana menteri dan menteri kewangan, menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Daripada 6 bekas perdana menteri Malaysia, Najib pemimpin negara pertama yang menghadapi dakwaan jenayah.

Najib ditahan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 2.35 petang semalam.

Beliau hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebanyak 2 kali untuk direkodkan keterangan berhubung kes berkenaan.

SRC ialah anak syarikat 1MDB sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.