Kehadiran orang kuat Umno, bekas menteri tanda positif buat AMANAH (Gambar)

Kehadiran bekas dan pemimpin Umno di majlis sambutan ulang tahun ketiga AMANAH di Dewan Tun Razak di Temerloh hari ini memberi petanda positif bahawa parti itu semakin diterima, kata presidennya Mohamad Sabu.

Kata Mohamad kedatangan mereka - termasuk bekas menteri Tan Sri Syed Hamid Albar dan Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee - serta anak-anak bekas pemimpin PAS secara 'mengejut' amat dialu-alukan.

"Kehadiran mereka di sini sudah menunjukkan isyarat yang baik... bahasa tubuh mereka jika dibaca, sudah nampak positif.

"Kita mengalu-alukan kehadiran mereka jika mahu sertai AMANAH, sama ada veteran Umno atau dari parti lama kami (PAS).

“… kehadiran mereka membolehkan mereka sama-sama menyumbang fikiran.

"Kita hargai pandangan mereka kerana boleh membantu supaya kita tidak melakukan kesalahan yang dilakukan parti lama mereka yang membawa kepada kekalahan," katanya pada sidang media kemudiannya.

Mohamad menambah pelawaan itu juga terbuka kepada bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang baru-baru ini meninggalkan parti yang disertainya lebih 40 tahun dahulu.

Jumlah anggota kian meningkat

Bagaimanapun, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan mengesahkan setakat ini, beliau masih belum mendengar ura-ura penyertaan Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa, mahupun dihubungi oleh anggota parlimen Jeli itu.

"Kita alu-alukan jika beliau (Mustapa) mahu sertai mana-mana parti dalam Pakatan Harapan.

"Kalau nak sertai AMANAH pun kita boleh bincang kerana saya tahu beliau seorang yang kuat bekerja sejak dahulu lagi.

"Kehadiran beliau di parlimen juga sangat baik dan sentiasa mengambil perhatian dalam perbahasan, walaupun atas kapasiti sebagai pembangkang," katanya.

Mohamad bagaimanapun menambah perbincangan di peringkat pimpinan nasional akan dilakukan jika terdapat bekas menteri, timbalan menteri atau menteri besar yang menyertai AMANAH perlu diberikan jawatan untuk mengelakkan sebarang isu berbangkit.

Mengulas mengenai keanggotaan AMANAH, parti itu menyasarkan pertambahan jumlah keanggotaan seramai 500,000 orang menjelang pilihan raya umum ke-15 dengan majoriti golongan Melayu dan Bumiputera.

Kata Mohamad, setakat ini AMANAH mempunyai keanggotaan seramai 100,000 orang dan jumlah itu semakin meningkat dengan bilangan edaran borang keanggotaan 'paling rancak' berlaku di Kelantan dan Terengganu.

“Tanda sokongan rakyat kepada AMANAH semakin meningkat sejak berakhirnya pilihan raya apabila pada bulan pertama sahaja parti ini menerima 2,000 keanggotan baharu, 5,000 keanggotaan baru pada bulan kedua, dan 10,000 bulan ketiga.


"Pada bulan keempat pula ia meningkat kepada 12,000 dan saya yakin lebih ramai lagi akan menyertai AMANAH selepas ini, jadi kita desak semua pimpinan untuk mengambil pendekatan proaktif bagi menambah anggota dan cawangan terutama di kawasan majoriti Melayu," katanya.

Mohamad menambah peningkatan keanggotaan itu juga penting kerana kerjasama Umno dan PAS pada beberapa pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini, memberi petanda Pakatan Harapan berkemungkinan akan berdepan dengan 'Pasmo' (PAS + Umno) pada PRU akan datang.

Beliau berkata AMANAH juga semakin mendapat tempat dalam kalangan kaum lain, mengambil contoh lebih ramai kaum India dan Cina yang menghantar borang keanggotaan di Temerloh pada hari ini.
-Bernama

Pendakwah terkenal sertai AMANAH

Tindakan tokoh pendakwah terkenal Datuk Hassan Mahmud menyertai AMANAH membuktikan gerak kerja politik berlandaskan Islam tidak hanya menjadi milik parti tertentu, kata seorang pemimpin pemuda parti itu.

Menurut Shazni Munir Mohd Ithnin pembabitan Hassan turut menunjukkan perjuangan untuk memartabatkan Islam bersifat luas dan rencam.

Shazni yang juga naib ketua Pemuda AMANAH menjelaskan pembabitan Hassan juga diyakini akan memperkasa Majlis Penasihat Pakar parti terbabit yang kini diketuai bekas Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia Ahmad Awang.

"Sebagai tokoh pendakwah kanan yang dihormati segenap lapisan masyarakat, penyertaan beliau juga diharapkan mampu menarik lebih ramai lagi agamawan untuk bersama-sama AMANAH," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hassan ialah tokoh pendakwah yang dikenali sejak puluhan tahun lalu, antara lain kerana kepetahannya berceramah selain statunya sebagai seorang hafiz.

Sebelum ini beliau jarang dilihat terbabit dalam sebarang kegiatan bersifat politik kepartian.

Hassan yang lahir di Sanglang, Perlis, turut terbabit dalam program realiti TV, Imam Muda.

Penyertaan Hassan ke dalam AMANAH diumum naib presiden parti itu Datuk Mahfuz Omar di Temerloh, Pahang hari ini.

Turut menyertai parti AMANAH ialah pelakon yang lebih dikenali dengan nama Wak Doyok.

Dia yang memiliki nama sebenar Mohd Azwan Md Nor itu mengemukakan permohonan menyertai AMANAH pada awal Julai lalu.

Menurut Shazni kemasukan Hassan akan memudahkan lagi usaha AMANAH merealisassikan konsep rahmatan lil alamin supaya diterima masyarakat majmuk negara ini.
-malaysiakini

Keanehan 'memeluk biawak hidup'

Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
Saya agak hairan perkembangan yang berlaku sejak beberapa minggu kebelakangan ini apabila ada dua kumpulan dalam kalangan ahli parti politik mengambil pendekatan jauh berbeza tentang Umno.

Pihak pertama bertindak menjauhkan dan meninggalkan Umno - yang merupakan tindakan yang bijak serta tepat.

Mereka ialah Datuk Seri Mustapa Mohamed, seorang tokoh politik yang dihormati ramai walaupun semasa masih dalam Umno.

Seorang lagi yang mengambil tindakan sama seperti Mustapa ialah Datuk Seri Anifah Aman dari Sabah.

Walaupun sedikit terlambat tetapi tindakan tersebut sememangnya bijak dan tepat kerana Umno terlalu banyak terpalit dengan skandal dan rasuah yang semakin terdedah dari sehari ke sehari.

Misalnya skandal 1MDB dan 'kehilangan' wang cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis pula menghuraikan lebih banyak salah laku Datuk Seri Najib Razak dan pihak yang ada kaitan dengan Umno.

Tindakan pihak berkuasa Indonesia, Singapura, AS dan negara lain di Barat menambah lagi bukti kebobrokan Umno.

Umno yang sama

Justeru langkah Mustapa, Anifah dan beberapa pemimpin lain - sama ada sudah atau bakal - meninggalkan Umno adalah langkah yang tidak pelik.

Tetapi di sebalik itu ada langkah yang amat menghairankan, iaitu langkah PAS menjemput presiden dan pemimpin kanan Umno ke muktamar mereka baru-baru ini.

Kalau dulu PAS pernah mengunakan istilah "mendukung biawak hidup" kepada sesiapa saja yang mendampingi UMNO, hari ini siapakah yang sebenarnya mendukung dan memeluk biawak hidup itu?

Biawak tersebut hari ini sebenarnya dalam keadaan yang amat buruk dan parah keadaannya.

Bukankah selepas setiap pilihan raya sepatutnya pihak yang tidak berjaya - termasuk PAS - perlu menghormati pilihan majoriti rakyat yang mengundi kerajaan baru?

Bukankah parti itulah yang dipecat rakyat selepas memerintah lebih 60 tahun dan mereka juga pernah ditentang PAS juga?

Dengan mendakap serta mendukung Umno ia menunjukan PAS tidak mengambil berat isu rasuah dan kezaliman yang diamalkan oleh parti berkenaan.

Tidak cukupkah lagi pendedahan oleh polis, SPRM dan pihak berkuasa beberapa negara asing yang bertindak ke atas skandal berkaitan Najib?

Memanglah PAS menyatakan mereka perlu berkerjasama dengan Umno demi menjaga agama dan bangsa. Tetapi bukankah Umno itulah yang telah menggadai sebahagian besar ekonomi Malaysia dan Melayu kepada China melalui pelbagai projek seperti landasan kereta api, pelabuhan, hartanah dan sebagainya?

Itu semua adalah penjajahan ekonomi moden hari ini.

Ada tanda tanya besar

Kerajaan China juga menindas, membunuh dan menzalimi Muslim Uighur di Xinxiang. Umno pula menghantar delegasinya meraikan konvensyen Parti Komunis China.

Di mana semangat solidariti sesama Muslim yang dizalimi? Lebih ironi lagi apabila pada masa sama Umno dan PAS menyerang DAP sebagai sebuah parti Cina.

Pada masa PAS mendampingi Umno untuk berkerjasama tidak pula ada mereka menegur kepincangan hal-hal ekonomi dan kezaliman, sebaliknya kelihatan menerima sepenuhnya pendirian tersebut.

Apakah hasrat pimpinan PAS sebenarnya?

Masalah ekonomi dalam negara dan politik sebenarnya lebih besar berbanding isu-isu perkauman yang dikipas PAS dan Umno agar terus berbara.

Perlu diingat, ketika rakyat mendesak supaya Najib berundur, PAS pernah meminta agar beliau yang ketika itu masih menjadi perdana menteri diberi peluang menghabiskan penggalnya.

Sekarang orang yang mahu diberi peluang oleh PAS itulah sedang berdepan dengan lebih 20 tuduhan jenayah di mahkamah.

Umno yang didampingi rapat PAS sekarang itulah yang meninggalkan hanya 12 peratus tanah rizab Melayu selepas 60 tahun memerintah, selain merosakkan kewangan Felda, MARA dan Tabung Haji.
Sangat menghairankan untuk melihat bagaimana PAS menjadi begitu tertarik kepada Umno.

Sebenarnya itulah persoalan yang membentuk tanda tanya begitu besar dan sedang menghantui pemikiran pengikut serta ahli PAS hari ini.

DATUK RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD ialah anggota Dewan Negara, pengerusi Pakatan Harapan Terengganu dan timbalan menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

AWAS!!!.Penjara tiga bulan jika beri merpati makan di tempat awam

BANGKOK - THAILAND. Dewan Bandaraya Bangkok bercadang untuk melaksanakan hukuman tiga bulan penjara dan denda sebanyak 25,000 Bhat (RM3,187) kepada mana-mana individu yang memberi makan burung merpati di bandar tersebut.

Langkah itu bagi mengawal populasi selain menangani isu kebersihan dan pencemaran bau disebabkan najis burung berkenaan.

Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha pada Khamis meminta Dewan Bandaraya Bangkok dan organisasi pentadbiran tempatan di seluruh negara supaya mengetatkan peraturan bagi menghalang orang ramai daripada memberi makanan kepada burung merpati di tempat awam sebagai langkah memastikan kebersihan sentiasa terjaga.

Katanya, najis burung merpati yang berasid menyebabkan kerosakan peralatan sekali gus meningkatkan kos penyelenggaraan.

“Kita memang sediakan peraturan, tetapi orang ramai seolah-olah tidak mengendahkannya.

“Mungkin hukuman lebih keras mampu memberi pengajaran kepada mereka untuk berhenti memberi makanan kepada burung merpati,” kata jurucakap Dewan Bandaraya Bangkok, Wanthani Watthana. - Bangkok Post.
-sinarharian

Apa salahnya Umno-Pas berpakat?

AHMAD LUTFI OTHMAN
Ahmad Lutfi OthmanTidak pasti bagaimana ia bermula, tetapi Muktamar Pas baru-baru ini mengesahkan hubungan intim parti berkenaan dengan Umno bukan rahsia lagi, apabila Presiden parti yag pernah menerajui kerajaan lebih enam dekad itu, Ahmad Zahid Hamidi bersama pimpinan tertingginya hadir memenuhi jemputan.

Sudah pasti bibitnya bukan baru mula bertunas dalam pilihan raya kecil Sungai Kandis atau Seri Setia, malah ia diintai lebih awal lagi, mungkin sejak pasca pilihan raya umum 2008, yang merakamkan tsunami politik tidak terduga.

Segalanya menjadi lebih mudah dan agak teratur, apabila sebahagian daripada barisan kepimpinan tertinggi Pas, yang dipandu senarai “chai” gugur setandan pada 2015. Suara-suara kritis yang menolak sebarang usaha untuk mendekatkan Pas-Umno dapat diredakan.

Agenda Melayu- Islam

Agenda Melayu-Islam tiba-tiba sahaja menjadi popular dan dipersoalkan terutama apabila kerajaan Pakatan Rakyat diberi mandat di negeri-negeri Selangor, Pulau Pinang dan Perak dalam PRU12. Timbul rungutan dan keresahan dalam Pas, termasuk tentang survival politik Melayu.

Peluang untuk menggantikan regim Umno-BN terhampar luas, apatah lagi majoriti dua pertiga pemerintah di Parlimen dapat dinafikan, namun di saat-saat strategik itu jugalah kesepakatan sesama pembangkang mulai terongkai.

Selepas bertungkus-lumus begitu lama, meredah belantara rimba kesakitan dan keperitan sebagai oposisi yang dinafikan hak, juga melalui rantaian eksperimen politik yang mendebarkan, sayangnya apabila rakyat mempamerkan mood perubahan yang menjanjikan, pakatan pembangkang pula diancam sikap curiga-mencurigai. Nampak sikap saling percaya di antara tiga parti yang dipupuk dengan cermat dan hati-hati, diselinap syak wasangka.

Lebih menakjubkan, sewaktu Umno-BN dilanda kecamuk paling dahsyat, terburainya skandal kewangan super mega, perdana menteri (dan isteri) mengalami defisit kepercayaan terburuk, Pas sebagai parti pembangkang terkanan dan sarat pengalaman, mengambil pendekatan dan strategi siyasah yang dilihat mengelirukan.

Presiden Umno Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa pimpinan kanan parti menerima jemputan Pas dalam muktamar Pas yang diadakan di Terengganu, baru-baru ini.

Pas kelihatan bertukar menjadi parti politik mesra Umno dan nampak cukup kritikal dan cerewet apabila berdepan rakan-rakan oposisi, khususnya DAP. Sahabat lama, PKR, pun tidak terlepas daripada kritikan sehingga ada percubaan secara rasmi untuk mengkaji semula hubungan baik sejak 1999 itu.

Bersikap kritis dan amalan tegur-menegur sesama komponen Pakatan Rakyat adalah lumrah, tetapi apabila mulai ditafsirkan Pas sebagai cenderung dengan Umno, maka kecurigaan dan syak wasangka itu hanya membawa padah.

Namun begitu kepimpinan tertinggi Pas secara konsisten menafikan mereka berhasrat membentuk kerjasama politik dengan Umno, sebaliknya menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah karut dan berniat jahat.

Bagi saya, Pas sendiri terbahagi dua. Memang ada yang condong untuk mengadakan persefahaman politik dengan Umno, tetapi takut mengemukakan cadangan itu secara terbuka.

Dibimbangi pemimpin lapis pertengahan dan khususnya penyokong akar umbi akan menolak, malah menentang. Apatah lagi sudah tersedia wadah alternatif, sebagai pilihan, yang juga berjenama Islam, iaitu Parti Amanah Negara.

Malah, semasa mengambil ketetapan untuk memutuskan hubungan dengan DAP di muktamar Kuala Selangor 2015, usul Dewan Ulama itu diarahkan untuk diterima tanpa bahas. Mungkin dikhuatiri ia boleh mencetuskan kontroversi berpanjangan, atau boleh sahaja dibantah para perwakilan.

Apatah lagi menjelang PRU14, imej Najib Razak semakin memburuk dan membusuk dengan skandal 1MDB sehingga Dr Mahathir Mohamad dalam jelajahnya ke seluruh pelosok tanahair menggelarnya pencuri-penyangak-penyamun dan Perdana Menteri langsung tidak berupaya menyanggahnya. Rakyat terpengaruh dengan kempen agresif Pakatan Harapan apabila segala pendedahan mengenai kleptokrasi lebih RM50 ribu juta itu tidak dapat dijawab.

Blok ketiga tidak ke mana

Penubuhan blok ketiga, Gagasan Sejahtera, yang diterajui Pas pula tidak membawa sebarang makna kepada suatu gabungan yang berkesan untuk menggantikan BN. Pas dilihat seolah-olah bertanding secara solo.

Parti Ikatan, Berjasa, Parti Cinta Malaysia ibarat melukut di tepi gantang. Dan sasaran kempen Pas, jika dilihat ucapan presidennya, Ustaz Abdul Hadi Awang, bukan lagi menyerang Umno-BN, tetapi lebih kritikal terhadap personaliti Dr
Mahathir dan Pakatan Harapan.

Ramai penganalisis keliru apabila Pas nekad meletakkan begitu ramai calon di kerusi Parlimen, hampir 160 orang. Ketika itu, dijangkakan pertandingan tiga penjuru hanya menguntungjkan penyandang, Umno-BN. Pas dianggap pemecah undi pembangkang.

Tiga empat orang doktor pakar yang merawat saya juga meluahkan rasa kecewa dengan langkah Pas itu. Bagi mereka peluang terbaik untuk melihat kerajaan baharu tertegak menjadi semakin sukar.


Pas dan Ikatan bekerjasama untuk membentuk blok ketiga namun dilihat gagal menjadi gabungan yang berkesan dalam landskap politik semasa.

Saya sendiri, dalam buku nipis semasa kempen PRU14, Mengapa Mahathir?, mengupas hasrat Pas menjadi king maker, dan menyifatkan undi kepada parti berkenaan sebagai membazir kerana mensia-siakan peluang terbaik untuk menubuhkan kerajaan baharu. Saya menjangka, masih ramai penyokong Pas yang keliru dan kebengongan,
berada di persimpangan, antara ketaatan tanpa soal atau walak, dengan tekad membara untuk menjatuhkan regim usang.

Walaupun pemimpin Pas tampil menghuraikan, jika jumlah kerusi dimenangi Pas memungkinkannya menjadi penentu, maka mereka akan berunding dahulu dengan PH dan BN, kemudiannya menilai tawaran terbaik, namun hati kecil saya lebih percaya, Pas akan berlari untuk membentuk kerajaan dengan BN!

Saya secara peribadi lebih mengharapkan Pas dapat membuat ketetapan jelas sebelum hari penamaan calon, sama ada bersama BN atau PH, agar penyokong tradisinya tidak keliru. Lagipun undi rakyat bukanlah komoditi atau barang dagangan untuk dipertaruhkan bagi merebut kuasa. Tidak perlu menunggu keputusan PRU14 diumumkan.

Saya yakin — dan itulah juga menjadi kerisauan pemimpinnya — jika Pas memilih untuk bersama BN, ia akan kehilangan sebahagian besar sokongan pengikut tegarnya, terutama di Kedah, Terengganu dan Kelantan. Sikap politik penyokongnya di negeri berkenaan menolak keras sebarang muafakat dengan Umno.

Pas di wilayah tertentu itu sebenarnya berjaya mengekal atau menarik sokongan simpati pengundi yang menolak regim korup Umno-BN, apatah lagi dengan kes kleptokrasi paling besar di dunia.

Sebalik kemenangan di Kelantan,Terengganu

Kemenangan besarnya di Pantai Timur juga impak limpahan kesedaran merata di seluruh negara yang mahukan perubahan mendasar dalam pemerintahan dan pentadbiran negara.

Tambahan pula pengundi di Kelantan dan Terengganu kurang mengenali atau mempunyai tanggapan agak negatif terhadap parti-parti dalam PH. PKR sejak lama tidak berpengaruh di sana. DAP pula asing-pelik buat pengundi Melayu yang membentuk lebih 95 peratus pengundi.

AMANAH dilabel persepsi pengkhianat jamaah Islam dan alat DAP. Bersatu pula cukup muda, serta berdepan banyak sekatan birokrasi dan imej Dr Mahathir tidak banyak membantu, sebaliknya menimbulkan kecelaruan.

Serangan liar Pengerusi Bersatu itu di hari-hari akhir kempen terhadap tragedi Memali sehingga menyifatkan Ustaz Ibrahim Libya dan anak-anak muridnya sebagai “mati katak” membuatkan penyokong Pas yang mahu mengundi PH membatalkan hasrat mereka. Mahathir dilihat masih berperwatakan seperti era 1981-2003.

Di Pantai Timur, mereka juga beranggapan sokongan kepada PH hanya membazirkan undi kerana dikira tidak cukup untuk menubuhkan kerajaan dan hanya menguntungkan BN. Justeru, demi mengalahkan Umno, tiada pilihan efektif selain mengundi Pas. Mengundi PH dikira memecahkan sokongan kepada lawan BN.

Maknanya, di kala Pas berjaya memastikan penyokongnya tetap setia, PH pula hanya dapat menarik sokongan pengundi BN. Justeru Pas kekal bertahan status quo dan mendapat kelebihan besar apabila peratusan undi BN merosot dengan teruk, manakala majoriti calon PH hilang deposit.

Rata-rata masyarakat Pantai Timur juga masih pada tahap pemahaman Islam yang konservatif, manakala AMANAH pula kurang mampu mengetengahkan pemimpim berwibawa di peringkat lokal.Wawasan Islam Rahmatan Lil Alamin dengan pendekatan progresif dan inklusifnya perlu diperjelaskan secara proaktif lagi.

Namun begitu saya yakin potensi parti Islam baharu ini cukup menyerlah terutama selepas diberi kepercayaan besar dalam pentadbiran kerajaan pusat dan sememangnya AMANAH dipilih menerajui PH Kelantan dan Terengganu pada PRU14.

Apabila ada pemerhati, malah sarjana politik, yang membayangkan, seandainya Pas dan BN bergabung atau membentuk persefahaman politik semasa menyertai PRU14, maka PH dapat dihalang daripada berkuasa, saya tidak bersetuju dengan tanggapan sebegitu.

Benar, bagi hampir 30 kerusi Parlimen yang dimenangi PH, jika dicampur undi Pas dan BN, maka ia melebihi jumlah undi calon yang bertanding atas logo PKR itu.

Bagaimanapun, siapa dapat memberi jaminan bahawa undi yang diperolehi Pas itu, tidak beralih kepada PH jika ada pengundi melihat ada kerjasama erat di antara Pas-BN?

Sentimen menolak Najib-BN begitu kuat di waktu itu. Mana-mana calon yang dikaitkan dengan regim korup itu, walaupun berpersonaliti baik, sudah pasti ditolak pencalonan, seperti Parlimen Batu, calon Bebasx yang mesra PH menang besar. Ada beberapa kerusi Dun di Pulau Pinang dan Johor, calon Pas hanya dipilih pengundi selepas calon PH tidak layak bertanding.

Justeru, saya kira kumpulan pemimpin Pas yang condong dan berminat kepada kerjasama dengan Umno pun khuatir sokongan kepada parti itu akan merosot teruk jika mereka berpakat.

Secara personal, saya pernah meletakkan syarat, boleh sahaja Pas memulakan rundingan dengan Umno, asalkan ketika itu ia bukan lagi dalam posisi menerajui kerajaan, serta tidak menanggung beban bagasi inkumben yang begitu buruk.

Jika Umno sudah hilang kuasa dan takhta dengan segala keistimewaan yang luar biasa, sudah hilang keangkuhannya, sudah hilang ego dan kesombongan, maka berundinglah atas padang yang sama rata, di kala tiada kelebihan ketara yang memisahkan Pas dan Umno.

Sekarang Umno tiada lagi di posisi tinggi itu. Gabungan yang diterajuinya, BN, lingkup terbarai. Ahli-ahli Parlimen Umno bersusun mahu mencari pintu keluar, melompat parti.Ia hanya tinggal negeri Perlis dan Pahang.

Apakah kini, selepas Umno menggelongsor dari tangga Putrajaya, maka saya boleh bersetuju jika Pas mahu membentuk apa-apa permuafakatan politik dengan Umno?

Ahli PKR meningkat mendadak cetus kebimbangan

PEMILIHAN PKR | Sejak bulan Jun, keanggotaan PKR meningkat secara mendadak. Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution pada Julai lalu mengumumkan seramai 788, 534 ahli parti layak mengundi.

Beliau juga memaklumkan terdapat 221,019 orang menyertai parti itu di antara 6 ke 25 Jun tahun ini.

Ini bermakna, sepanjang hampir 20 hari itu, PKR menerima permohonan ahli baru sebanyak 62,837 orang sehari.

Dalam tempoh itu, PKR Selangor mendapat bilangan anggota baru yang terbesar, iaitu 62,837, mewakili kenaikan 35.33 peratus. Ini diikuti oleh PKR Sabah, yang merekrut 39,319 ahli baru atau peningkatan sebanyak 40.74 peratus.

PKR Negeri Sembilan dan Melaka menggandakan keahlian mereka dalam masa 20 hari itu. Keahlian PKR Johor meningkat 81.5 peratus dalam tempoh itu manakala keahlian PKR Terengganu meningkat sebanyak 62 peratus pada jangka waktu sama.

PKR adalah satu-satunya parti politik di Malaysia yang telah menggunakan sistem satu ahli layak dapat satu undi untuk pemilihan kepimpinan pusatnya. Ia dimulakan pada 2010 sebagai tawaran pendemokrasian.

Tetapi peningkatan keahlian sebanyak 40 peratus secara mendadak telah menarik perhatian calon-calon bertanding yang menyuarakan kebimbangan mengenai hal itu.

Beberapa pemimpin cabang PKR memberitahu Malaysiakini bahawa walaupun mereka menjangkakan akan berlaku pertambahan anggota parti, mereka tidak menjangkakan ahli-ahli baru ini yang tidak terbiasa dengan amalan dan sejarah parti, dibenarkan untuk mengundi.

"Mereka mungkin tidak memahami sumbangan para pemimpin parti yang lebih tua dan kurang terlihat yang menawarkan dirinya sebagai calon, atau perjuangan yang mereka lalui," kata satu sumber.

Beberapa pemimpin bahagian memberitahu Malaysiakini bahawa tarikh akhir untuk pengundi yang layak sepatutnya ditetapkan sebelum kemasukan ahli-ahli baru secara tiba-tiba untuk mengelakkan usaha mengganggu atau membatalkan proses pemilihan, contohnya, bekas ahli saingan PKR mengambil alih parti itu.

Semasa dihubungi, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR Adzman Hedra memberi jaminan bahawa ahli-ahli tertakluk kepada proses saringan yang ketat, yang dimuktamadkan pada 15 September tahun lalu.

Adzman menjelaskan parti itu dapat menampung bilangan anggota baru dalam tempoh yang singkat kerana PKR telah menyediakan sistem pendaftaran dalam talian.

"Biro politik telah membincangkan ini dan mereka mahu anggota baru mengundi untuk menyuburkan (mengamalkan) amalan demokrasi di PKR.

"Kami telah mempromosikan parti kami selama 20 tahun yang lalu dan kini kami jadi parti pemerintah, orang berbondong-bondong menyertai kami. Kami tidak boleh menghentikannya.

"Kami masih perlu meneliti siapa yang menyertai parti kami. Mereka yang terdiri daripada bekas pemimpin atau calon pilihan raya untuk parti lain, seperti Umno, akan dikenakan saringan yang lebih ketat berbanding anggota parti biasa, " katanya.

Hindar 5 jenis pemakanan ini untuk elak diabetes

FMT Reporters

Penyakit diabetes adalah penyakit yang berpunca daripada kadar glukosa yang tinggi dalam saluran darah dan kegagalan fungsi pankreas dalam menghasilkan insulin dengan sempurna. Hakikatnya, kadar gula dalam darah mampu dikawal dengan berkesan dengan memastikan corak pemakanan yang diamalkan harus dipantau dengan baik.

Diet yang diterapkan setiap hari bukan sahaja mampu elak diabetes malahan penyakit lain yang berbahaya untuk kita. Ini termasuk menjauhkan diri dan mencegah pengambilan beberapa jenis makanan yang berpotensi besar untuk menaikkan paras gula dalam darah.

Antara makanan yang wajib dicegah untuk elak diabetes ialah mengurangkan pengambilan makanan bergula tinggi, makanan bergoreng, makanan mempunyai kadar kolesterol yang tinggi dan diperkaya dengan kandungan lemak trans dan makanan yang tinggi kadar karbohidrat.

Pengambilan makanan tinggi gula

Makanan yang sememangnya wajib dicegah adalah makanan yang mempunyai kadar gula yang tinggi dan ia adalah musuh utama bagi pengidap diabetes. Antara makanan yang wujud kandungan gula tinggi merupakan sajian yang disediakan menggunakan pemanis seperti ais krim, kuih donat, aneka pastri, coklat susu, makanan dengan campuran manisan buatan.

Namun, sajian tersebut bukanlah menggunakan gula semata, ia juga menggunakan pemanis makanan yang lain seperti madu, kismis, dan manisan seperti gula-gula, pastri, serta buah-buahan seperti buah pisang, buah kurma dan anggur merah. Semua jenis makanan yang disebut adalah antara makanan yang sangatlah berbahaya kepada pengidap penyakit diabetes.

Ia mampu meningkatkan kadar glukosa dan menjadi punca kepada pemendapan gula yang berlebihan dalam darah. Jika tidak dapat mengelakkan penggunaan gula dalam masakan atau minuman, anda boleh meminimumkan penggunaan daripada kadar normal. Memang rasanya akan kurang tapi ia baik untuk kesihatan jangka masa lama.

Selain itu, makanan bergula mempunyai kandungan glisemik dalam kadar yang tinggi. Apabila kandungan gula dalam makanan merebak secara pantas ke seluruh saluran darah, ia akan melalui proses “fast-releasing”.

Bagi minuman pula, ia diperkaya dengan kadar glukosa atau sirap jagung yang mengandungi fruktosa tinggi. Dengan itu, anda disarankan untuk memantau dan meminimumkan kadar pengambilan makanan dan minuman bergula dalam menu diet harian anda.

Pengambilan gula dalam kuantiti yang banyak juga berpotensi kepada kenaikan berat badan secara mendadak dan menyebabkan kadar insulin dalam darah meningkatkan. Makanan yang tidak berkhasiat dan seimbang menjadi penyumbang utama kepada kadar kolesterol tinggi dalam darah sekaligus akan menjadi punca kepada tekanan darah yang tidak stabil.

Justeru itu, pengambilan makanan yang mengandungi kadar gula yang tinggi secara kerap setiap hari akan menjurus kepada pemendapan dan pengumpulan glikogen berlebihan darah dan membawa kepada gejala penyakit diabetes yang serius akan wujud.

Adalah lebih baik jika anda berjumpa dengan doktor atau pakar pemakanan untuk mendapatkan nasihat dan rujukan mengenai kadar pengambilan makanan dan jadual kalori yang betul. Ia bagi mendapat cadangan dan nasihat dalam mengawal pengambilan makanan yang tinggi gula serta kandungan yang tidak diperlukan oleh tubuh badan anda.

Pengambilan “refined carbs” dan minuman bersoda dalam kuantiti yang banyak

Bagi elak diabetes juga, anda perlu mencegah diri daripada mengambil makanan mengandungi kadar karbohidrat yang tinggi. Anda harus ketahui tahap tubuh badan anda mempunyai kemampuan tertentu sahaja, terutama sekali dalam proses pengawalan kadar makanan untuk dicernakan sistem penghadaman dalam kuantiti yang diperlukan oleh tubuh badan.

Jika pengambilan karbohidrat melebihi serat yang lain, ia akan mengakibatkan pengumpulan sisa dalam bentuk gula yang dikenali sebagai glikogen dalam darah. Antara makanan yang tinggi dengan karbohidrat ialah roti, pasta, beras berkanji, pastri dan juga bijirin.

Terdapat satu proses akan berlaku yang dikenali sebagai “refined carb”, proses ini akan menyebabkan kandungan mineral kromium akan berkurangan dalam tubuh badan anda. Ia adalah berpunca daripada pengambilan karbohidrat berlebihan.

Minuman soda juga boleh menjadi punca diabetes kerana kandungan yang ada dalam minuman ini akan menyebabkan berat badan meningkat dan menjurus kepada risiko untuk mendapat penyakit diabetes. Ia juga berpunca daripada kandungan pemanis tambahan yang ada dalam minuman bersoda. Pengambilan kalori dalam bentuk cecair akan menyebabkan anda sentiasa berasa lapar sehinggalah anda mengambil dalam kadar yang lebih banyak.

Pengambilan makanan bergoreng

Seterusnya, pengambilan makanan bergoreng khususnya makanan gorengan yang menggunakan minyak terhidrogenasi. Ia akan menyumbang kepada peningkatan kolesterol jahat secara mendadak dalam tubuh anda. Ini kerana, makanan tersebut mengandungi kadar lemak yang tinggi dan berbahaya kepada kesihatan anda. Seeloknya minyak yang digunakan harus digantikan dengan minyak sayuran dan lebih berkhasiat seperti minyak zaitun.

Akan tetapi, kita sebaiknya memilih makanan yang lebih berkhasiat dan baik untuk tubuh badan kita. Anda digalakkan untuk mengambil makanan yang direbus atau dikukus. Sajian ini sesuai juga dijadikan menu diet bagi mereka yang mengidap penyakit diabetes.

Antara makanan yang perlu dicegah pengambilannya ialah makanan yang kaya dengan sodium seperti kicap dan makanan berasaskan tepung seperti roti, pasta dan piza serta lain-lain makanan yang mempunyai kandungan yang sama.

Hakikatnya, semua jenis makanan bergoreng sangat berbahaya terutama kepada pesakit diabetes kerana kandungan lemak tepu yang lebih tinggi. Hal ini kerana, kandungan minyak yang berlebihan akan menyumbang kepada pengumpulan lemak tepu dalam saluran darah kerana tubuh tidak dapat memprosesnya dengan baik sehingga menyebabkan peningkatan pada paras gula, berat badan dan berisiko untuk kolesterol tinggi dalam darah.

Pengambilan makanan bergoreng kelihatan lebih menyelerakan dan lazat untuk semua orang. Namun, ia adalah punca utama kepada pelbagai penyakit kronik dan berbahaya seperti penyakit kardiovaskular iaitu jantung, strok dan paling berisiko untuk mengidap penyakit diabetes.

Makanan berkolesterol tinggi

Apabila wujudnya kolesterol jahat dalam darah, ia akan menyebabkan penyakit diabetes berlaku. Keadaan ini akan merendahkan kadar kolesterol baik dalam badan. Sekaligus ia akan mendedahkan diri pesakit diabetes kepada penyakit yang berpunca daripada lebihan kolesterol dalam badan terutama sekali penyakit jantung.

Hal ini kerana, kandungan kolesterol berlebihan akan mewujudkan satu lapisan tebal pada dinding arteri dalam saluran darah.

Antara makanan yang perlu dicegah untuk elak diabetes dan mempunyai kolesterol yang tinggi adalah kuning telur, produk makanan berasaskan tenusu diperkaya dengan tinggi lemak seperti keju dan mentega, daging ayam, daging merah seperti daging lembu, dan makanan laut seperti udang. Sebaiknya dielakkan pengambilannya dalam menu diet harian anda bagi memastikan kadar kolesterol dalam darah anda kekal stabil dan normal.

Menurut Persatuan Jantung Amerika, dalam sebiji telur dibuktikan mempunyai 213 miligram kolesterol dan hanya 87 miligram kurang daripada jumlah pengambilan harian disarankan bagi mereka yang mempunyai paras kolesterol yang normal.

Selain itu, jika telur diambil bersama makanan lain yang boleh mempengaruhi dan menjejaskan kestabilan kadar kolestrol dalam darah anda. Jadi, anda hanya boleh mengambil putih telur sahaja untuk menggantikan kuning telur yang anda tidak digalakkan untuk mengambil dalam pemakanan harian anda.

Makanan kaya lemak trans

Untuk pengetahuan anda, kebiasaannya lemak trans mudah didapati dalam bahan makan berasaskan margerin, makanan yang disalai atau dipanggang dan makanan yang diawet.

Walaupun ia tidak meningkatkan kadar glukosa dalam darah secara langsung, lemak trans yang wujud akan mengganggu gugat ketahanan insulin dan masalah metabolisme serta berisiko mengalami kerosakan pada pembulug darah. Ia juga akan menyebabkan pengurangan kadar HDL iaitu kadar kolesterol baik dalam darah.

Makanan yang dibakar seperti pai, kek, biskut dan muffin adalah antara contoh makanan yang mempunyai kadar kolesterol tinggi. Makanan bergoreng juga penyumbang kepada peningkatan paras kolestrol anda. Antara makanan yang anda perlu elakkan ialah kentang goreng, ayam goreng, dan kuih donut.

Selain itu juga, ia mengandungi kadar lemak trans yang tinggi dan tidak diperlukan oleh tubuh badan anda. Salah satu tips dalam pembelian makanan di pasar raya, anda perlu memeriksa terlebih dahulu kandungan dan bahan dalam makanan tersebut pada label yang disediakan untuk memastikan kandungan lemak dan bahan lain adalah rendah.

Anda harus mengurangkan pengambilan makanan yang mempunyai lemak trans dalam usaha untuk mencegah kerosakan pembuluh darah dan sekaligus anda dapat elak diabetes serta beberapa penyakit berisiko yang lain seperti penyakit kardiovaskular. Makanan yang tinggi kandungan lemak berpotensi memiliki paras kalori yang tinggi, bahkan akibat daripada itu kadar kolesterol jahat juga adalah tinggi.

Keadaan ini akan menyebabkan hormon insulin tidak mampu berfungsi dengan baik dan mengubah makanan tersebut tenaga kepada badan kita. Jika anda ingin elak diabetes, anda harus menjauhkan diri daripada pengambilan makanan yang diperkaya dengan kandungan lemak trans yang tinggi.

Antara makanan yang mempunyai kadar lemak trans tinggi ialah daging merah, organ dalaman haiwan seperti hati, ginjal, dan lain-lain serta makanan lain yang tinggi lemak trans.

Jadi, anda juga amatlah digalakkan untuk mengelakkan diri daripada membeli makanan jenis segera dan sudah diawet. Makanan ini sememangnya mudah didapati dan murah untuk sesetengah pasar raya. Akan tetapi, anda diingatkan makanan-makanan tersebut sangat berbahaya dan berisiko untuk menjerumuskan diri anda menghidapi pelbagai jenis penyakit kronik seperti penyakit diabetes.

Bagi memastikan juga tubuh badan anda sentiasa sihat, anda perlu mengamalkan senaman secara teratur sekurangnya 3 kali seminggu. Ia bertujuan membantu anda membakar kalori dan mengawal paras glukosa dalam darah. Hasilnya anda akan merasai sendiri dengan setiap perubahan pada diri anda jika ia dilakukan secara konsisten dan mengamalkannya secara serius untuk mengekalkan kesihatan yang baik untuk tubuh badan anda.

Dengan kesedaran dan disiplin yang konsisten, anda juga boleh nikmati makanan tempatan kita yang serba sedap sambil elak diabetes dan mengamalkan diet yang menyihatkan.

Artikel ini pernah diterbitkan oleh http://www.butterkicap.com/

Mengapa ruang media sosial tidak lagi dikuasai Pakatan Harapan?

ADAM ADLI
Baru-baru ini dalam sebuah program dialog bersama penduduk tempatan yang rata-rata adalah pendukung Pakatan Harapan di Machang Bubok, sebuah daerah dalam Bukit Mertajam, salah seorang hadirin telah bangun untuk meluahkan kekecewaan beliau ke atas situasi semasa.

Beliau tidak meluahkan kecewa kerana tidak mendapat jawatan. Jauh sekali kerana tidak mendapat habuan projek atau tender daripada kerajaan.

Beliau, seperti ramai yang lain di bawah ini hanya meluahkan rasa tersinggung apabila gagal untuk menjawab sindiran teman-teman sekampung setiap kali bertemu di kedai-kedai kopi.

Tentu sekali lelaki pertengahan umur ini selama bertahun-tahun telah dengan sukarela berkempen untuk Pakatan Harapan tanpa mengharap balasan.

Satu-satunya yang beliau mahu lihat adalah tumbangnya Umno-Barisan Nasional dan runtuhnya ego Parti Islam Se-Malaysia. Dan itu telah pun berjaya beliau capai.

Namun beliau yang seharusnya mampu berbangga, hari ini tidak mampu menunjukkan muka dek kerana segan dengan sindiran orang-orang di sekelilingnya.

Saya memahami apa yang beliau hadapi. Mereka jelas bukan segan atau malu kerana ia benar. Mereka segan dan malu kerana tidak tahu bagaimana hendak menjawab sindiran sedemikian.

Apabila janji 100 hari yang digariskan Pakatan Harapan, yang dijadikan sandaran ketika berkempen, hari ini dipermainkan seluas-luasnya oleh musuh politik, mereka tidak ada idea bagaimana untuk menjawabnya. Itu sahaja.

Beliau sama seperti saya tidak pernah sedikit pun mengikat diri dengan janji yang ditawarkan sewaktu menyatakan sikap untuk menyokong Pakatan dalam pilihan raya yang lalu. Beliau hanya mahu melihat Umno-Barisan Nasional tumbang.

Namun berhadapan masyarakat yang tidak berkongsi citra dan falsafah yang sama, tidak mudah untuk beliau menggunakan rasional sedemikian untuk menjawab sindiran yang diterima.

Mungkin boleh, namun ia tidak adil juga kepada mereka yang benar-benar menagih janji. Iyalah, bukan semua melihat politik sebagaimana kita melihatnya.

Bukan semua yang mengundi keluar Umno dahulu adalah pembenci Umno. Mereka adalah orang-orang yang berharap keadaan akan jadi lebih baik di bawah kerajaan yang baharu.

Mengambil kesempatan daripada luahan tersebut saya nyatakan persetujuan tentang dilema orang-orang di bawah seperti beliau.

Sekian lama menjadi pembangkang yang sifatnya menyerang, bukan mudah untuk tiba-tiba bertukar kepada sifat bertahan selepas kini menjadi kerajaan.

Masalahnya bukan pada soal janji atau prestasi kerajaan hari ini. Siapa pun yang rasional akan menyedari prestasi kerajaan hari ini biar pun tidak sebaik yang diharap tidak pula seburuk yang disangka.

Menyedari bahawa kerosakan yang berlaku sudah berakar dalam sistem kerajaan sejak berdekad lama, apa yang dicapai dan diusahakan oleh Pakatan Harapan sebagai kerajaan baharu tidaklah begitu mengecewakan.

Masalahnya sebenarnya adalah pada komunikasi awam. Entah kenapa, naratif politik yang selama ini dikawal oleh Pakatan Harapan tidak lagi begitu kuat seperti sebelum pilihan raya.

Tidak pasti kalau menteri-menteri dan pegawai media mereka sedar atau tidak kerajaan Pakatan Harapan ini begitu ketinggalan dan teruk dibahan dalam media sosial.

Sekelip mata sahaja, ruang maya hari ini berubah naratifnya. Watak jahat bukan lagi Umno-Barisan Nasional mahupun Najib.

Janganlah kerana sudah menguasai media arus perdana televisyen, radio, dan akhbar, ruang media sosial diabaikan.

Ruang media sosial, ruang maya ini adalah ruang yang jauh lebih kuat pengaruhnya berbanding media arus perdana.

Apa yang dibincangkan di dalam ruang ini telah mempengaruhi keputusan politik yang dibuat rakyat dalam pilihan raya yang lepas maka ruang ini tidak wajar dibiarkan terlepas dikuasai musuh politik Pakatan Harapan.

Perang propaganda tidak pernah tamat hanya kerana pilihan raya sudah selesai.

Pakatan Harapan yang kini daripada sudut hukum sudah bertambah kekuatan politiknya seharusnya mampu menangkis propaganda ini dengan mudah, namun entah kenapa ia tidak berlaku.

Andai sahaja ruang media sosial dapat dikawal semula naratifnya seperti sebelum ini dan tidak dibiarkan ia dikuasai musuh penyokong Pakatan Harapan seperti lelaki pertengahan umur tadi tidak perlu tunduk malu dengan masyarakat keliling beliau kerana gagal menjawab sindiran.

*Penulis adalah bekas aktivis mahasiswa, kini kembali menyambung pelajaran di UPSI.

Rafizi, Azmin: Siapa pilihan Anwar?

SINGAPURA – Kedua-dua calon bagi jawatan timbalan presiden PKR adalah “pintar”, cerdas dan mempunyai rekod yang baik”, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang baru-baru ini memenangi jawatan Presiden PKR berkata demikian pada Siri Syarahan Kepimpinan Ho Rih Hwa yang dianjurkan oleh Singapore Management University.

Anwar selaku penceramah terkemuka ke-10 bagi Siri itu berucap atas topik bertajuk “Kepimpinan pada Abad Ke-21: Angin Perubahan”.

Anwar menjawab soalan daripada hadirin yang bertanya bagaimana beliau akan menyatukan Mohd Rafizi Ramli dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kedua-duanya bertanding merebut jawatan tersebut.

“Apa masalahnya? Ini adalah pemilihan demokratik. Mereka adalah dua personaliti… Mengapa pula ini akan membawa perpecahan dalam parti… (Kemungkinan) satu-satunya penyelesaian ialah tidak ada pertandingan… jadi saya akan mengikuti kaedah Korea Utara.

“Ini adalah demokrasi yang anda perlu bersikap toleransi...anda harus menerima hakikat bahawa mereka perlu berkempen… semangat demokratik yang mereka kekalkan untuk bertanding… memenangi pemilihan,” kata beliau.

Pemilihan akan diadakan secara berperingkat bermula Sabtu hingga 28 Okt untuk memilih wakil Majlis Kepimpinan Pusat iaitu timbalan presiden, naib presiden, ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), ketua Wanita dan anggota majlis.

Anwar menang tanpa bertanding sebagai presiden PKR.

“Memang menjadi tugas saya sebagai presiden untuk membawa mereka bersama dan memberi peranan yang sesuai kepada calon yang tewas dalam pemilihan parti...lebih-lebih lagi ini adalah pemilihan di kalangan anggota parti,” kata beliau.

Beliau menarik perhatian bahawa media yang “nampaknya” melaporkan bahawa terdapat perpecahan dalam PKR. 
-Bernama

Polis serbu rumah ibu Najib

Faisal Asyraf

Polis menyerbu kediaman ibu bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, Tun Rahah Mohammad Noah di Jalan Eaton, Kualan Lumpur, petang tadi.

Sumber polis berkata serbuan yang melibatkan 14 anggota itu dibuat kira-kira pada pukul empat petang - kira-kira waktu yang sama Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Difahamkan polis turut memeriksa di sebalik siling rumah untuk melihat jika ada wang tunai yang disembunyikan, tetapi pulang dengan tangan kosong.

Mengulas serbuan itu, ketua peguam Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata: "Ya, kejam bagi mereka untuk takutkan wanita itu dan tak jumpa apa-apa pun di rumahnya."

Serbuan itu di saat Najib berdepan 25 pertuduhan di mahkamah berkenaan dakwaan penglibatannya dalam skandal 1MDB.

Najib tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan bagi empat pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan 21 pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) - Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Ia berhubung wang berjumlah RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun peribadi Ambanknya, yang didakwa pihak berkuasa diselewengkan daripada 1MDB. Najib bagaimanapun berulangkali mengatakan ia sumbangan keluarga diraja Arab Saudi.

Sebelum ini beliau turut dihadapkan dengan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa, berhubung RM42 juta yang ditemui dalam akaun peribadinya daripada bekas subsidiari 1MDB, SRC International.

Sarawak Report sebelum ini melaporkan Najib membayar RM17 juta kepada Yayasan Rahah Foundation - yang diasaskan ibunya - dengan wang yang didakwa berasal daripada 1MDB.

Mahkamah tetapkan ikat jamin Najib RM3.5 juta

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azura Alwi menetapkan ikat jamin terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebanyak RM3.5 juta.

Beliau hari ini berdepan empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan kemasukan RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya yang dikaitkan dengan 1MDB.

Najib mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan.
-malaysiakini

10 Nasihat Apabila Sudah Memasuki Usia 50 Tahun Oleh Professor Dr. Harlina Shiraj

Mencecah usia 50 tahun, anda akan memasuki fasa usia tua atau warga emas. Berada pada separuh abad, mungkin juga tahap saki baki usia maka setiap waktu dalam fasa ini seharusnya digunakan dengan bermanfaat.
Berikut adalah beberapa nasihat berguna daripada Pakar Runding Obstetriks dan Ginekologi (O&G), Profesor Dr. Harlina Siraj untuk yang bakal atau sudah memasuki usia 50 tahun. Bukan tentang kesihatan tapi hidup secara keseluruhannya.
1.Masa mengumpul harta sudah habis.
Fokus sekarang untuk gembirakan orang lain. Sekarang bukan masa untuk cari harta saja.
2.Jangan tinggalkan apa-apa untuk anak-anak.
Mereka perlu usaha dan cari sendiri . Rancang bagaimana belanjakan duit simpanan. Anda patut gembira kan hidup anda dan ganti apa yang tak dapat buat sebelum ini. Kalau mampu pergilah melancong. Jangan tinggalkan apa-apa kepada anak-anak yang boleh buatkan anak-anak bergaduh. Dengan meninggalkan sesuatu akan bawa masalah bila anda sudah tiada nanti.
3.Buat kerja jangan bertangguh
Lakukan pada saat ini dan sekarang, bukan semalam dan esok. Hanya hari ini sahaja yang anda boleh kawal. Semalam telah pergi dan esok mungkin takkan berlaku.
4.Didiklah anak cucu dengan agama
Bergembira dengan cucu-cucu (jika ada) tapi jangan jadi “full time baby sitter”. Itu bukan tanggungjawab anda untuk jaga mereka. Jangan rasa bersalah kerana tidak menjaga anak sesiapapun termasuk cucu sendiri. Tanggung jawab anda adalah terhadap anak-anak anda. Selepas mereka dewasa dan menjadi ibu bapa tugas awak telah tamat. Biarkan anak-anak anda sendiri yang jaga anak-anak mereka.
5.Kalau sakit bersabarlah
Terimalah sakit dan lain-lain kelemahan fizikal. Ia adalah sebahagian daripada proses meningkatnya umur. Bersyukur dengan keupayaan kesihatan yang anda ada.
6.Dunia bukan tempat kamu dapat apa yang kamu hendak
Kenali siapa diri anda dan apa yang anda ada sekarang. Jika anda tidak mendapat apa yang anda mahu, ketahuilah itu semua sudah terlambat.

7.Bersamalah dengan mereka yang ikhlas menyayangi anda
Berbahagialah dengan pasangan anda, anak-cucu dan sahabat-sahabat anda. Merekalah yang betul-betul sayangkan anda, sayang anda seadanya.
8.Berlapang dada
Memaafkan dan terima kemaafan. Maafkan diri sendiri dan orang lain. Lapangkan minda dan hati.
9.Segeralah membina akhirat anda.
Berkawanlah dengan kematian. Ia kitaran semula jadi dalam kehidupan. Jangan takut akan ia. Kematian ialah permulaan hidup yg lebih baik. Jadi bersedialah! Bukan untuk mati tetapi untuk bertemu Yang Maha Esa Allah Swt.
10.Bayangkanlah kegembiraan hidup di syurga yang kekal.
Hiduplah dengan aman bersama Yang Maha Esa. Untuk Dialah yang anda ada setelah anda meninggalkan dunia ini.
VIDEO :
Video Player

00:00
00:00
PROFESSOR DR. HARLINA SHIRAJ.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! 
Sumber:  Rencah Rasa