Penyokong ‘naik minyak’ lihat kelibat Anwar

DALIA ISMAIL 
Penyokong bertolak-tolak untuk memasuki kawasan pintu utama dewan.

Keadaan di luar dewan majlis Perbandaran Port Dickson kecoh apabila penyokong Datik Seri Anwar Ibrahim tidak mengindahkan larangan berada di luar kawasan penyokong yang dibenarkan.

Mereka bertolak-tolak untuk memasuk i kawasan pintu utama dewan dan asakan demi asakan yang berterusan menyebabkan sebahagian mereka berjaya meluru di hadapan pintu utama.

Keadaan ini menyukarkan petugas media dan calon untuk melepasi pintu utama apabila penyokong tidak mahu berganjak.

Polis juga gagal mengawal kemaraan penyokong hingga melepasi kawasan larangan.

Lebih daripada 50 penyokong kini masih berasa di pintu pagar utama dewan walau pun diarah polis agar berada di luar kawasan.
Penyokong ‘naik minyak’ lihat kelibat Anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ditemani dan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pada jam 8.50 pagi ini

Pusar penamaan calon di buka pada jam 9 pagi ini.

Manakala calon Pas Let Kol Mohd Nazari Moktar tiba pada jam 8.35 pagi.

Sehingga kini calon PRM Ahmad Kamaruddin masih belum kelihatan.

Calon bebas bekas menteri besar Tan Sri Mohd Isa Samad hadir lima minit kemudian diikut Saiful Bukhari Azlan yang terus diserbu pihak media untul mendapatkan komen beliau yang bertanding pada prk port dickson utk melawan Anwar bekas bosnya yang pernah dikaitkan dengan kes liwatnya.

Setakat jam 9.30 pagi ini PRK Port Dickson bakal menyaksikan 7 calon akan berentap, 4 calon Bebas dan 3 daripada PH, Pas dan PRM.

Bagaimanapun sehingga kini kelibat calon PRM Ahmad Kamaruddin belum lagi kelihatan untuk menyerahkan borang pencalonannya.

PRK PD: Satu hilang kelayakan, 7 penjuru di Port Dickson

11.00 Pencalonan A Rajendra (Bebas) dibatalkan. PRK Port Dickson bakal menyaksikan pertembungan tujuh penjuru.

Lapan hantar borang pencalonan

10.30am: Proses pencalonan berakhir pada pukul 10 pagi dan sejumlah lapan calon telah menghantar borang.

Penutupan pencalonan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Khairy Maamor.

Lapan calon tersebut adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Leftenen Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar (PAS), dan enam calon Bebas iaitu bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad, Lay Seck Yan, Stevie Chan, Kee Chee Yuen, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan A Rejandra.

9.45 pagi: Majlis Perbandaran Port Dickson - Tujuh calon telah menyerahkan borang pencalonan mereka untuk pilihan raya kecil Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober. Proses pencalonan berakhir pada pukul 10 pagi.

Anwar, Saiful berjabat tangan di pusat pencalonan.

9.35 pagi: Majlis Perbandaran Port Dickson: - Ketika Anwar berjalan ke tempat duduknya selepas menyerahkan pelancalonannya, Saiful berdiri untuk menyambutnya. Kedua-dua mereka berjabat tangan.

Kemudian, Saiful menyerahkan borang pencalonannya, Begitu juga dengan calon Bebas, Tan Seri Isa Samad dan Stevie. Manakala Anwar duduk di meja lain.

9.10 pagi: Bekas menteri Umno Tan Sri Zainuddin Maidin menulis di Tweet bahawa seseorang yang "lemah" seperti Saiful bersedia untuk mencabar Anwar di PD, ia adalah satu tamparan hebat kepada maruah Umno kerana tidak meletakkan calon.

Beliau berkata ini adalah kerana Umno berharap "simpati" dari Anwar apabila beliau menjadi perdana menteri.

Saiful tiba di pusat penamaan calon.

9.15 pagi: Majlis Perbandaran Port Dickson - Bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan memasuki pusat pencalonan.

Keadaan tenang walaupun Saiful duduk bersebelahan dengan pasukan Anwar.

Beliau mengulangi bahawa keputusannya untuk bertanding bukan kerana dendam peribadi terhadap Anwar tetapi kerana beliau mahu menjadi Ahli Parlimen.

Anwar sebelum ini disabitkan dengan dakwaan meliwat Saiful. Presiden PKR itu mendakwa dakwaan itu adalah rekaan pesaing politiknya.

9.05 pagi: Majlis Perbandaran Port Dickson - Kekecohan kecil berlaku apabila calon HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki halaman pusat pencalonan.

Penyokong Anwar dilihat bertolakan ke arah pintu masuk ketika 10 anggota pegawai polis. berada di situ. Seorang penyokong melaungkan, "calon (Anwar) ada di sini."

Beberapa wartawan yang memakai tag Suruhanjaya Pilihan Raya terperangkap di luar juga.

9.00 pagi: Majlis Perbandaran Port Dickson - Berbanding dengan kumpulan HARAPAN yang melebihi 1,000, hanya terdapat kira-kira 150 orang berkumpul di sisi lain pusat penamaan calon bagi pihak PAS.

Sementara itu, beberapa penyokong bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad memegang sepanduk untuknya. Mereka berpakaian ungu, warna tema rasmi untuk Isa Samad.

8.45 pagi: Majlis Perbandaran Port Dickson - Kira-kira 1,000 penyokong Pakatan Harapan berarak ke pusat penamaan calon, melaungkan reformawsi dan memukul gendang.

8.15 pagi: Majlis Perbandaran Port Dickson - Penyokong PKR melebihi jumlah yang lain dengan kira-kira 300 hadir di pusat pencalonan. Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shaari adalah antara pemimpin parti yang berada di situ.

Tidak kelihatan Saiful Bukhari Azlan, Tan Sri Samad Isa, Stevie Chen dan calon PAS Mohd Nazari Mokhtar.

8.10 pagi: Stesen Petron, Jalan Pantai - Kelihatan kira-kira 30 penyokong PSM di seberang jalan dari Majlis Perbandaran Port Dickson, yang merupakan pusat penamaan calon.

Mereka memegang plakad yang menuntut kenaikan gaji minimum dan mengedarkan risalah kepada mereka yang lalu-lalang di situ.

"Kami mahu fokus pilihan raya kecil ini terhadap isu rakyat.

"Kami mengambil kesempatan ini untuk perjuang isu gaji minimum," kata ahli jawatankuasa pusat PSM S Arutchelvan kepada Malaysiakini.

8.00 pagi: Pilihan raya kecil Port Dickson bermula hari ini dengan proses penamaan calon, selepas penyandangnya, Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu untuk memberi laluan kepada pemimpin PKR Anwar Ibrahim pulang ke Parlimen.

Pakatan Harapan calon dijangka berdepan dengan pelbagai watak-watak antaranya bekas menteri Sembilan Tan Sri Isa Abdul Samad, bekas pembantu Anwar Mohd Saiful, calon PAS Mohd Mokhtar Nazari, calon bebas Stevie Chan.

Sebelum itu, Umno mengumumkan untuk memboikot pilihan raya kecil itu yang disifatkan oleh Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai membazir.

Sekiranya Anwar memenangi pilihan raya kecil ini, ia membuka laluan kepadanya untuk menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri yang dijanjikan dalam manifesto HARAPAN.

Ini akan menjadi kali pertama Anwar bertanding kerusi parlimen di luar Pulau Pinang, di mana beliau mewakili Permatang Pauh untuk enam penggal. Permatang Pauh dimenangi anak perempuannya, Nurul Izzah, pada pilihan raya umum tahun ini.

Malaysiakini akan melaporkan proses penamaan calon pagi ini.

Pencalonan akan berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 10 pagi. Kempen akan bermula secara rasmi selepas itu.
-malaysiakini

Bayi maut dicabul budak lelaki 10 tahun dalam surau

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang bayi maut selepas dipercayai dicabul seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun di sebuah surau di daerah Karawang, Jawa Barat, Indonesia.

DetikNews melaporkan bayi berusia 1 tahun 5 bulan itu ditemui dipeluk budak lelaki terbabit di dalam tandas surau selepas penduduk kampung membuat pencarian selepas mangsa dilaporkan hilang.

Seorang saksi dikenali Yadi dipetik sebagai berkata: “Saya bersama penduduk lain mencari mangsa. Ketika menjenguk ke dalam tandas surau, saya terkejut, mangsa dipeluk budak lelaki itu. Budak lelaki itu juga terkejut melihat saya.”

Dia menambah, penduduk kampung mencari mangsa selepas bapanya mendakwa anaknya hilang ketika bermain dengan kakaknya.

Selepas mencari sekitar kampung, Yadi berkata, dia akhirnya menemukan bayi itu dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri

“Kenapa dengan kamu? Apa kamu dah buat pada anak orang? soal Yadi kepada budak lelaki itu dan mengambil mangsa dari pelukannnya, bagaimanapun bayi itu telah meninggal dunia.

Polis Karawang mengaku menerima laporan kes tersebut dan berkata pihaknya sedang menyiasat kes itu.

Saiful Bukhari cabar Anwar di Port Dickson

PRK PD | Mohd Saiful Bukhari Azlan mengumumkan akan bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson bagi menentang bekas majikannya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saiful memberitahu The Star bahawa beliau tidak disokong oleh mana-mana parti dan pencalonannya tidak ada kaitan dengan pengalaman lalu beliau bersama Anwar.

"Saya bertanding semata-mata sebagai seorang yang bebas tanpa mana-mana parti yang menyokong saya.

"Saya tidak bertanding kerana masa lalu dengan Anwar tetapi atas alasan lain.

"Saya telah memikirkannya dengan teliti dan saya rasa ia adalah tindakan yang betul," katanya.

Anwar dipenjarakan pada tahun 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah terhadapnya kerana meliwat Mohd Saiful pada tahun 2008.

Bagaimanapun, Anwar mendapat pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei.

Sekiranya Saiful menyerahkan kertas pencalonannya esok, pilihan raya kecil Port Dickson akan menjadi pertarungan antara Pakatan Harapan, PAS, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan dua calon bebas, Tan Sri Isa Samad dan Stevie Chan.

Proses pencalonan akan berlangsung esok.

Tampil bertudung, Elizabeth Tan curi perhatian

SINAR HARIAN
PENYANYI dan pelakon Elizabeth Tan menarik perhatian ramai apabila memuat naik foto terbaharunya yang tampil bertudung menerusi laman Instagramnya sebentar tadi.

Menurut Elizabeth atau lebih mesra disapa sebagai Lizzy, penampilan tersebut adalah bagi memenuhi tuntutan wataknya sebagai Ain dalam drama terbaharu lakonannya, Senafas Rindu.

“Assalamualaikum, nama saya Ain. @senafasrindu . #senafasrindu,” tulisnya pada kapsyen foto tersebut.

Tidak sampai satu jam foto tersebut dimuat naik, ia telah mendapat lebih 40,000 tanda suka, selain lebih 2,000 komen.

Ramai yang tidak putus-putus memuji kecantikan Lizzy menerusi penampilan tersebut dan tidak kurang juga yang mengharapkan Lizzy benar-benar bertudung suatu hari nanti.

Bila masa saya, Umno tuduh polis curi wang dari Pavilion Residence - Najib

Datuk Seri Najib Razak berkata beliau atau Umno tidak pernah menuduh polis mencuri wang yang dirampas daripada serbuan di hartanah berkaitan dengannya di Pavilion Residence.

Bekas perdana menteri itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya tentang kenyataan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh bahawa beliau gagal membuktikan atau menjelaskan dakwaannya dalam laporan polis bahawa jumlah yang dirampas adalah RM160 juta, bukan RM114 juta seperti yang diumumkan polis.

Polis pada awalnya berkata wang tunai yang dirampas adalah RM114 juta, tetapi kemudian berkata angka sebenar adalah RM116.7 juta.

"Saya enggan mengulas kerana perkara ini sudah dibawa di mahkamah dengan perinciannya ada dalam writ yang difailkan Umno. Biar mahkamah teruskan dengan pendengaran.

"Umno atau saya tidak menuduh mana-mana pihak, terutama polis, telah mencuri, walaupun ada laporan baru-baru ini bahawa RM3.5 juta dicuri ketika dana parti dipindahkan daripada Pejabat Perdana Menteri ke Pavilion," katanya kepada Malaysiakini.

Sejumlah 17 pegawai keselamatan yang ditahan untuk siasatan dakwaan mencuri wang itu telah pun dibebaskan dengan ikat jamin polis.

Sebelum ini Umno memfailkan writ saman bagi menuntut ganti rugi RM43.3 juta daripada polis susulan dakwaaan kehilangan itu.

Parti itu mendakwa wang tersebut hilang ketika serbuan polis dilakukan.

Writ itu turut menumpukan angka berbeza yang disebut Amar berkenaan jumlah yang dirampas ketika serbuan. Najib dan Umno mendakwa wang tunai tersebut kepunyaan parti.

Terdahulu, Amar menafikan dakwaan penulis blog Raja Petra Kamaruddin bahawa polis telah mencuri RM43.3 juta daripada wang yang dirampas itu.

Saya masuk AMANAH kerana Allah, kata Murali Abdullah

MALAYSIA DATELINE
Pengarah tersohor tanahair Muhammad Murali Abdullah,50, tidak lagi berselindung untuk memberitahu bahawa dirinya kini menyertai Parti AMANAH Negara (AMANAH).

Dalam status dimuat naik di laman facebooknya beliau memaparkan resit pembayaran menyertai parti itu semalam.

Beliau berkata: “Hari ini resminya saya ahli AMANAH…jadi kepada cybertrooper dan pembangkang tegar saya, bolehlah anda semua hentam saya sekarang,” ujarnya.

Sambung beliau lagi,”Kepada yang sayangi saya… bersyukurlah dan berilah segala pujian anda kepada Allah.. Saya masuk parti AMANAH kerana Allah,” luahnya.

Murali antara pengarah yang banyak mengangkat tema keislaman dalam karyanya terutama dalam terbitan drama tempatan.

Beliau pernah dianugerahkan trofi Pengarah Terbaik Drama Anugerah Skrin (ASK) 2010 dan majlis ASK 2008 melalui drama Suara Saleha.

Melihat kepada komentar netizen kebanyakannya menyokong keputusan dibuat Murali yang memeluk Islam pada 1997 itu untuk menyertai AMANAH yang baru tiga tahun ditubuhkan.

Rogol remaja 13 tahun bergilir-gilir, 9 ditahan

Bernama 
TAIPING: Polis menahan 9 lelaki bagi membantu siasatan kes seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dipercayai dirogol bergilir-gilir di Kampung Kurnia Jaya, Kamunting dan Taman Tekkah Permai, Aulong sejak 18 hingga 25 Sept lepas.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Mohamad Taib berkata suspek berumur 15 hingga 17 tahun itu ditahan pada 9 hingga 11 malam semalam di rumah suspek di sini dan Kamunting, susulan laporan polis dibuat mangsa di Balai Polis Kamunting, Rabu.

Beliau berkata kesemua suspek direman mulai semalam sehingga 2 Okt.

Mohamad berkata siasatan polis mendapati mangsa dan seorang rakan perempuannya pergi ke Taman Tasik Taiping dan mereka dijemput 2 lelaki yang menaiki motosikal pada 11 pagi, 18 Sept lepas.

“Dua lelaki itu membawa mangsa ke rumah seorang suspek di Kampung Kurnia Jaya, Kamunting dan seorang lagi rakan suspek yang berada di rumah itu menarik mangsa lalu merogolnya. Dua lelaki itu turut merogol mangsa,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping di sini semalam.

Katanya mangsa sekali lagi dirogol bergilir-gilir 8 lelaki di Kampung Kurnia Jaya pada 19 Sept, dan 25 Sept di Taman Tekkah Permai.

Beliau berkata doktor yang membuat pemeriksaan ke atas mangsa mendapati alat sulit remaja perempuan itu mengalami kesan koyakan lama.

Katanya siasatan polis mendapati 3 suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes rogol, mendatangkan kecederaan parah dan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

Mohamad berkata polis sedang mengesan rakan mangsa itu serta 2 lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan.

Bekas tentera udara calon PAS di PD

Lu Wei Hoong
PRK PD | PAS mengumumkan akan meletakkan Leftenen Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar sebagai calon di pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson yang akan diadakan 13 Okt depan.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di Port Dickson, Negeri Sembilan malam ini.

Mohd Nazari, 57, pernah berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selama 28 tahun (1980-2008).

Beliau juga merupakan Yang Di Pertua Pas Kawasan Tenggara di Johor.

Berdasarkan maklumat yang diberikan dalam program itu, Mohd Nazari juga merupakan pengusaha ladang durian Musang King dan pengetua Maahad Tafiz Darul Iman, Bandar Tenggara.
Kelayakan pendidikan beliau adalah Masters in Defence & Strategy Studies dari Universiti Teknologi Di Bangladesh.

Mohd Nazari sebelum ini pernah bertanding di kerusi dewan undangan negeri (DUN) Panti dan Pasir Raja yang terletak di bawah parlimen Tenggara di Johor, masing-masing pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 dan PRU ke-13.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan parti itu akan meletakkan "tokoh yang sepadan" dengan calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kerusi Port Dickson sebelum ini dikosongkan oleh penyandangnya Danyal Balagopal Abdullah, yang juga merupakan bekas tentera. Danyal meletakkan jawatannya bagi memberi laluan kepada Anwar kembali ke parlimen.

PAS bukan lawan Anwar, kata Amanah

PORT DICKSON: Amanah menyifatkan PAS yang akan meletakkan calonnya pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson tidak akan mampu menyaingi ketokohan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presidennya yang juga Ahli Parlimen Tampin, Dr Hasan Baharom berkata beliau melihat ketua umum PKR itu tidak berdepan masalah untuk mengekalkan status quo parti di kerusi berkenaan.

“PAS bukan saingan Anwar dalam PRK Port Dickson dan mereka hanya sekadar bertanding dan kita tahu mengapa mereka nak masuk bertanding iaitu tidak mahu memberikan kemenangan mudah buat Anwar.

“Itu hak dialah (PAS) nak bertanding. Calon kita (Pakatan Harapan) semua orang tahu kerana beliau juga bakal perdana Menteri yang ke-8. Kita percaya semua orang mahu Datuk Seri Anwar menang dan mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat selepas menang nanti,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian PAS semalam yang ingin meletakkan calonnya pada PRK itu selepas merasmikan Bilik Operasi Pemuda Amanah di Taman Belida.

Turut hadir, Naib Pengerusi Amanah Negeri Sembilan Mustafar Ab Kadir dan Ketua Pemuda Amanah Pusat Mohd Sany Hamzan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam dilapor sebagai berkata parti itu akan meletakkan calon bagi PRK Parlimen Port Dickson dan pengumuman calon akan dibuat malam ini.

Sementara itu Hasan berkata Amanah akan bekerja keras memastikan kemenangan ketua umum PKR itu di kerusi berkenaan.

PRK Parlimen Port Dickson setakat ini menarik minat beberapa pihak lain selain Anwar iaitu 2 parti politik, PAS dan Parti Rakyat Malaysia, selain calon bebas Stevie Chan Keng Leong untuk mengambil bahagian.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas untuk membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada PRU14, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V S Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Menurut Utusan: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ezam Mohd Nor disebut-sebut tanding di PD

Portal Utusan Malaysia hari ini melaporkan bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah antara disebut-sebut akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.
Menurut laporan itu, Abdul Khalid, 72, akan bertanding di bawah tiket PAS dan dilihat sebagai calon yang mampu mencabar populariti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Laporan itu, walau bagaimanapun tidak menyatakan sebarang sumber tetapi berkata rekod bersih dan prestasi cemerlang Abdul Khalid sepanjang menjadi menteri besar dari 2008 hinga 2014 adalah sandaran terbaik untuk berdepan dengan pengaruh Anwar.

Seorang lagi calon dikatakan bakal bertanding ialah seorang lagi bekas pemimpin reformasi Datuk Mohd Ezam Mohd Nor yang akan menggunakan tiket Bebas.
Portal itu berkata, Mohd Ezam, 54, akan membuat pengumuman malam ini. Malaysiakini sedang cuba menghubungi kedua-dua mereka bagi mendapatkan ulasan mereka.

Jika spekulasi itu adalah benar, PRK Port Dickson bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Sebelum ini, calon Bebas, Stevie Chan Keng Leong, 51, dan calon dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) sah bertanding.

Bekas Setiausaha Agung MIC Datuk S Kumar turut menyatakan hasrat untuk bertanding, tetapi menarik diri selepas perbincangan dengan pucuk pimpinan parti berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Oktober ini sebagai hari pengundian sementara penamaan calon ialah pada Sabtu.

Kerusi Port Dickson dikosongkan oleh wakil rakyatnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 September lalu untuk memberi laluan kepada Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Danyal Balagopal memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 17,710 undi, menewaskan calon BN Datuk VS Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Ini adalah PRK keempat sejak PRU14. Tiga pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini ialah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong, semuanya di Selangor.
-malaysiakini

Salahuddin: Amanah ‘risik’ bekas pimpinan Umno sertai parti

Nor Athirah Mohd Hanapiah 
PETALING JAYA: Amanah kini dalam usaha “merisik” bekas pimpinan Umno yang keluar parti untuk menyertai mereka selepas ini.

Timbalan Presidennya Datuk Salahuddin Ayub berkata, Amanah telah berjumpa pemimpin tersebut, namun ia tidak dibuat secara rasmi.

“Setakat ini kita sedang merisik-risik, berjumpa-jumpa begitulah.

“Tiada masalah kalau pemimpin Umno nak masuk ke dalam Amanah kerana kita amal dasar terbuka, jadi kita terima,” katanya kepada FMT.

Pengerusi Amanah Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata semalam, parti itu sedia menerima bekas pemimpin Umno, tetapi mereka perlu menunjukkan “keikhlasan”.

Tiga pemimpin Umno meninggalkan parti itu dalam tempoh seminggu dan Umno kini hanya mempunyai 49 kerusi Parlimen, selepas 5 Ahli Parlimennya keluar parti sejak pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed meninggalkan Umno pada 18 September lalu, diikuti Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman keesokannya dan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, mengambil tindakan sama Isnin lalu.

Salahuddin dalam pada itu memberitahu, Amanah juga ada menerima permohonan daripada bekas pimpinan Umno untuk menyertai parti itu.

“Kita ada menerima permohonan, tapi mereka belum datang secara rasmi lagi, kita lihat perkembangannya dahulu.

“Tapi kami akan putuskan dalam mesyuarat akan datang,” katanya lagi.

Selain Amanah, PPBM juga membuka pintu untuk menerima ahli Umno menyertai parti itu.

PPBM sebelum ini mengangkat moratorium ke atas penerimaan ahli daripada parti lawan. Moratium itu dikenakan 2 bulan selepas pengerusinya Tun Dr Mahathir berkata PPBM akan menerima bekas ahli Umno dengan syarat mereka menjadi ahli bebas terlebih dahulu.

Terbaru, bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Syed Hamid Albar mengesahkan telah menghantar borang permohonan keahlian PPBM selepas keluar Umno.

Tukang emas tuntut Rosmah pulangkan berlian kuning (Gambar)

Annabelle Lee

EKSKLUSIF | Tukang emas yang berpusat di Dubai menuntut agar barang kemas berjumlah lebih AS$5 juta yang dikatakan sebelum ini diserahkan kepada bekas isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dipulangkan.

Menurut dokumen yang dilihat Malaysiakini, barang kemas yang belum dibayar itu diserahkan kepada Rosmah di Kuala Lumpur pada Mac tahun ini.

Barang kemas daripada Adi Hasan AlFardan Jewellery (AlFardan) itu termasuk seutas rantai mengandungi 56 berlian kuning berbentuk hati dengan satu batu terbesar seberat 10.7 karat.

Rantai berkenaan juga dikatakan mengandungi 78 berlian berwarna yang bersaiz lebih kecil.

Dengan kos pengubahsuaian yang didakwa diminta oleh Rosmah, rantas berkenaan didakwa bernilai AS$2.248 juta.

Selain daripada itu, tukang kemas itu juga mendakwa menghantar seutas rantai dan set subang yang juga mengandungi berlian kuning, bernilai AS$3 juta.

Rantai berkenaan dikatakan diperbuat daripada berlian “cushion cut" berjumlah 112.94 karat manakala subang itu yang juga dibuat dengan teknik tempaan sama, seberat 17.84 karat.

Menurut Institut Geomologikal Amerika (GIA), berlian kuning sangat berharga dan sukar diperoleh. Ia dikatakan hanya boleh didapati di lombong Zimmi di Sierra Leone.

Pada Julai lalu, tukang emas berkenaan, melalui firma guaman Malaysia, Kandiah Partnership, telah menghantar surat kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh bagi menuntut pemulangan barang kemas berkenaan.

Surat itu, yang dilihat Malaysiakini menyatakan Rosmah telah menjelaskan kepada pemilik Alfardan bahawa barangan berkenaan telah disita oleh pihak berkuasa ketika serbuan di beberapa kediaman yang dikaitkan dengan Najib.

"Pada 20 Jun, anak guam kami (AlFardan) telah datang ke Malaysia dan berjumpa dengan Rosmah di kediamannya di Kuala Lumpur.

"Dalam perjumpaan itu, Rosmah memaklumkan Adi (AlFardan) bahawa tiga barang kemas berkenaan antara barangan yang disita polis dan Rosmah kini tidak boleh membayar barang kemas itu.

"[....] Kami (peguam) telah diberi arahan untuk membantu anak guam kami menuntut semula barangan itu daripada polis, sekiranya ia telah disita. Jika ia tidak disita, anak guam kami akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Rosmah," kata surat berkenaan.

Surat itu meminta agar Amar mengesahkan pihak polis menyimpan barang kemas yang dimaksudkan.

"Anak guam kami sedia memberi kerjasama dengan polis untuk mendapatkan semula barang kemas itu yang belum dibayar oleh Rosmah," tambah surat itu.

Apabila dihubungi, peguam K Ashok dari Kandiah Partnership mengesahkan surat berkenaan.

"Saya boleh mengesahkan kewujudan surat itu yang dikeluarkan firma guaman saya. Dan kami kini dalam proses untuk mengambil arahan anak guam kami untuk tindakan selanjutnya atau prosiding undang-undang terhadap Rosmah," katanya kepada Malaysiakini.

Peguam itu juga mendedahkan bahawa polis telah merespons, namun tidak menyentuh berhubung perkara yang dibangkitkan mereka.

Malaysiakini sudah menghubungi Amar untuk mendapatkan ulasan.

Sementara itu, surat berkenaan juga mendakwa Adi AlFardan, dalam empat kunjungannya ke Malaysia bagi menyerahkan barang kemas kepada Rosmah, selain untuk menuntut bayaran, sering tidak perlu melalui pemeriksaan kastam dan imigresen.


"Kebanyakan ketibaannya di Kuala Lumpur, individu yang mengaku sebagai pegawai khas daripada Pejabat Perdana Menteri menunggunya di balai ketibaan dan mengiringinya melepasi pusat pemeriksaan kastam dan imigresen," kata surat itu.

Pada Jun lalu, Global Royalty Trading yang berpusat di Lubnan memfailkan saman ke atas Rosmah berhubung 44 barang kemas yang terdiri daripada tiara, rantai berlian, cincin, gelang dan subang yang diserahkan kepada Rosmah.

Global Royalty mendakwa Rosmah maklum dengan resit konsainan bertulis, barang kemas itu tidak lagi dalam simpanannya.

Bomoh gila seks larikan diri bimbang direjam

MAZAR-I-SHARIF: Seorang lelaki yang didakwa merakamkan dirinya melakukan hubungan seks dengan seorang wanita, melarikan diri selepas video itu menjadi tular.

Tindakan lelaki yang mengaku ulama itu mendorong pemimpin agama mengarahkan dia direjam sehingga mati.

Mullah Rasool, bomoh yang menulis mantera untuk pesakit di kampung di wilayah Faryab, dituduh mengeksploitasi secara seksual dan merogol beberapa wanita yang mendapatkan bantuan daripadanya.
a person standing in front of a building: Gambar rakaman video yang menjadi topik utama perbualan di mana wanita sebahagian besarnya dianggap sebagai warga kelas kedua di Afghanistan. - Foto AFP
© Provided by Media Prima Gambar rakaman video yang menjadi topik utama perbualan di mana wanita sebahagian besarnya dianggap sebagai warga kelas kedua di Afghanistan. - Foto AFP
Rasool, yang nama samarannya Landay, bermakna ‘Si pendek’ dalam bahasa Pashto, didakwa menggunakan video itu untuk memeras ugut wanita.

Beberapa video itu mula tular di media sosial sejak beberapa minggu lalu, tetapi tidak pasti bila ia dirakamkan atau jika ia diambil di kampung Rasool di China di daerah Pashtunkot.

Dalam satu video yang disiarkan di Facebook, lelaki berjanggut dan berserban yang dikatakan Rasool dilihat melonggarkan seluar putih dipakainya, jelas kelihatan terangsang.

Seorang wanita muda, yang masih memakai baju dan tudung, menanggalkan seluar panjang dan baring di atas kusyen besar dan melakukan seks.

Walaupun identiti wanita itu tidak diketahui, wajah mereka jelas dalam video berkenaan, yang ditonton ribuan kali, menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan mereka di negara itu. — AFP

Biar Pas bersama Umno, buang politik ketaksuban

AHMAD LUTFI OTHMAN 
Apabila timbul gosip Pas mahu membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno di Selangor dan Perak sejurus PRU2008, saya agak kaget.

Tidak masuk akal untuk mengetepikan sokongan dan mandat rakyat yang baru diperolehi dalam Pilihan Raya Umum ke-12, yang turut menggelorakan tsunami politik.

Selain itu, Pas memperolehi kemenangan hasil persefahaman politik dengan dua pembangkang lain, iaitu PKR dan secara tidak langsung dengan DAP, yang kemudiannya membentuk Pakatan Rakyat. Ia bukan bertanding secara bersendirian atau solo.

Situasi berbeda dengan keadaan pilihan raya tahun 1969, meskipun keputusannya agak sama. Pada 1969, Pas dan parti-parti pembangkang lain, seperti PPP dan Gerakan bertanding bersendirian serta tidak membentuk apa-apa kerjasama.

Jadi apabila parti-parti berkenaan bersetuju menyertai kerajaan dan seterusnya membentuk BN, ia dikira tidak mengkhianati parti pembangkang lain.

Untuk kes Pas pada 2008, ura-ura kerjasama itu semakin sukar diterima memandangkan prestasi dan imej kerajaan BN cukup buruk. Wajah Pas akan dicemari dengan teruk sekali, terutama di kalangan masyarakat bukan Islam yang secara tiba-tiba menyokongnya pada masa itu.

Pas mengambil masa lama, dengan pelbagai pendekatan sederhana dan strategi bijaksana, untuk menjinakkan hati pengundi bukan Melayu. Ia juga berjaya melebarkan pengaruhnya daripada terkepung di wilayah tradisi ke kawasan-kawasan Pantai Barat.
Kerjasama Pas-Umno terserlah dalam dua PRK diadakan di Sungai Kandis dan Seri Setia baru-baru ini.

Konsep ‘Pas for All’

Antara konsep yang diterima baik masyarakat majmuk di Malaysia adalah “Pas for All” dan Negara Berkebajikan.Imej melampau, radikal, sukar bekerjasama dan seumpanya berjaya dikikis tahap demi tahap.

Saya secara peribadi menentang keras sebarang usaha politik Pas untuk mendekati Umno di kala itu. Cuma, saya ada meletakkan syarat; boleh untuk memulakan rundingan asalkan ketika itu Umno sudah hilang kuasa dan takhta.

Jika Pas menempek di bawah ketiak Umno semasa parti Melayu itu kekal berkuasa, nasib Pas bukan sahaja bakal mengulangi tragedi hitam bersama BN pada 1977, bahkan ia sukar untuk mempengaruhi dasar, polisi dan rancangan kerajaan BN yang tidak demokratik, korup, bermewah-mewah, zalim, mengetepikan kepentingan rakyat.

Terbukti Umno tidak pernah belajar daripada kesilapan meskipun berdepan Reformasi pada 1999 dan tsunami politik 2008. Kalah di beberapa negeri tidak memadai untuk pimpinan Umno bercerai-tanggal dengan keangkuhan dan kesombongan, selagi masih berkuasa di Putrajaya.

Dan Pas bertindak tepat, dengan menolak pelawaan Umno untuk bersama kerajaan perpaduan pada 2008 itu walaupun dijanjikan jawatan menteri besar untuk Selangor dan Perak.

Terima kasih kepada barisan kepemimpinan Pas yang masih rasional dan berpandangan jauh biarpun ada juga yang tergoda dengan tawaran Umno waktu itu.

Daripada segi siyasah, saya kira tidak salahnya untuk mengatur sebarang langkah baru eksperimen politik, asalkan ia dibahaskan secara terbuka, mungkin dalam satu muktamar khas. Biar didebatkan secara tuntas dan matang. Jangan dibuat secara senyap dalam gelap, di sebalik rahsia tabir kelambu.

Baik, isu pokok sekarang, selepas Umno berada di front pembangkang, hanya tinggal dua negeri, manakala BN yang diterajuinya pun terbarai, malah rakan paling lama, MCA, pun berani mengugut untuk menendangnya keluar BN, apakah salah bagi Pas bekerjasama dengan Umno?

Asasnya, setiap parti berhak menentukan pendekatan, strategi dan hala tuju masing-masing. Ia harus terbuka dengan pelbagai opsyen yang ada dan tidak wajar membeku sehingga terpaksa bertemu jalan mati.

Mungkin pada situasi berbeda, pendekatan itu harus berubah. Pas mempunyai koleksi pengalaman cukup berharga sejak era kepimpinan ulamak 1983. Bermuamalah dengan parti-parti kecil dalam Harakah Keadilan Rakyat dan Majlis Perundingan Cina, CCC pada PRU1986, berurusan dengan Semangat 46 dan DAP dalam dua barisan berasingan,

iaitu Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat pada PRU1990, membentuk gagasan formal Barisan Alternatif pada PRU1999 dan bersama-sama Pakatan Rakyat selepas PRU 2018.

Dalam kempen PRK Sungai Kandis, Pas memberi alasan pengukuhan pembangkang untuk bersama-sama Umno. Begitu juga di Seri Setia. Ya, ada logiknya dan saya sendiri berminat dengan idea kesatuan oposisi, terutama bagi berfungsi sebagai agen semak-imbang.

Seorang rakan pernah bertanya saya, sebulan selepas PRU14, wajarkah Pakatan Harapan menerima keanggotaan baharu jika Pas memohon masuk? Tambahnya, dengan itu, ia boleh memperkuatkan suara Melayu-Islam dalam kerajaan, dan meningkatkan kemajuan di Kelantan dan Terengganu.

Saya kira, lebih elok keadaan sekarang dikekalkan. Agak menarik dan seimbang kita mempunyai dua parti Islam dalam kerajaan dan pembangkang, yakni Parti Amanah Negara dan Pas dalam barisan berbeda.

Ia juga dapat menyuburkan sistem dua parti, yang akhirnya membawa manfaat lebih besar kepada rakyat.

Lagi pun, jati diri dan pendekatan kedua-dua parti Islam itu berbeda. Mungkin jika bersama dalam kerajaan, mudah berlaku perbalahan yang jelas tidak produktif. Biar kedua-duanya bertanding, khususnya daripada segi idea, secara sihat dan rakyat menilai.

Saya agak risau jika trend melompat parti (Umno) berterusan. Apakah peranan parti pembangkang tidak dihargai dalam sistem berkerajaan? Mungkin dalam regim lama oposisi sentiasa dinafikan hak dan kerap ditindas. Ramai mengharapkan di era Malaysia Baharu, suara rakyat perlu didengar dan dirai, termasuk kritikan pembangkang.

Justeru, saya menyambut positif hasrat Pas membuka pintu rundingan dengan semua pembangkang, tidak terhad kepada Umno, tidak terkecuali Sabah dan Sarawak,merentasi kaum-agama-budaya.

Saya gembira dengan keterbukaan Pas, yang membawa kepada sikap toleransi,inklusif dan sederhana. Biar Pas berdepan realiti kerencaman dan kemajmukan negara kita. Dengan itu, diharap redalah faham ketaksuban, melampau dan kecenderungan mudah menghukum dan melabel.

Adab berpakat, seperti selalu dipesan Dr Mahathir Mohamad kepada pemimpin komponen PH, yakni bersedia melupakan perbedaan antara parti bagi mencapai cita-cita lebih besar dan mulia.

Benar, ada sanggahan keras terhadap kerjasama Pas-Umno ini, daripada dalam Umno sendiri, juga penolakan MCA, tetapi itu hanyalah rencah biasa masam-manis dalam eksperimen politik.

PH tidak mungkin hanyut dalam tempoh bulan madu yang panjang seperti Perikatan-BN dahulu. Rakyat sudah bebas daripada fahaman tahyul-khurafat takut untuk menukar kerajaan. Tanggal 9 Mei 2018 adalah garis pemisah yang jelas untuk Malaysia bergerak lebih progresif dan dinamik.

Pas harus memposisi parti

Umno, Pas dan parti pembangkang lain juga masih berpeluang meraih mandat rakyat untuk masa depan. Dan saya kira, Pas merupakan aktor terpenting yang bakal memberi cabaran sengit jika ia berjaya memposisi diri dengan baik dalam lanskap politik tanahair. Apatah lagi jika PH, termasuk AMANAH, gagal melaksanakan tanggungjawab berat mempamerkan prestasi memulihkan negara.

Umno mungkin didebani bagasi rekod buruk pemerintahannya selama 61 tahun, yang memungkinkan wakil rakyat Pas lebih berketeramplan dan independen terutama di Dewan Rakyat. Sayangnya berdasarkan prestasi sidang Parlimen sejurus PRU14, 18 wakil Pas tidak menunjukkan upaya sebagai pembangkang berkesan.

Agak sukar membayangkan Pas di bawah Ustaz Hadi dapat melentukan pendekatan konservatifnya tetapi apakah parti yang menghampiri usia 70 tahun itu sekadar cukup berpuashati dengan penguasaannya di Pantai Timur sahaja?

Soalnya, apakah gandingan Pas-Umno itu berjaya direalisasi bagi melorongkan muafakat pembangkang yang lebih besar? Juga, apakah rakyat akan terpikat dengan gabungan baharu iniapabila Umno juga menjadi terajunya?

Ataupun ada kemungkinan lain lagi yang bakal berlaku nanti khususnya di zaman Anwar Ibrahimmenjadi perdana menteri kelak? Mungkinkah PH sendiri boleh berubah ketika itu?

Kenapa Syed Ali umum keluar Umno?

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI

CHERAS - Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee mengumumkan keluar daripada Umno sebentar tadi.

Bekas Setiausaha Umno Wilayah Persekutuan itu berkata, keputusan itu dibuat atas sebab tertentu iaitu demi menjaga kelangsungan dan survival orang Melayu di Wilayah Persekutuan.

"Secara rasminya saya nak beritahu bahawasanya saya ambil keputusan yang berat untuk saya umumkan di sini, saya keluar daripada Umno.

"Hari ini (semalam) saya umumkan kepada ahli dengan rasa sedih dan berat hati keputusan ini....saya tak akan maki Umno, saya buat ini untuk kepentingan orang Melayu di Wilayah Persekutuan," katanya di Dewan Pusat Rekreasi, Cheras, hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata, beliau mengambil masa selama tiga bulan bagi membuat keputusan berat itu.

"Keputusan yang saya buat ini mengambil masa, saya solat istikharah dan saya jumpa beberapa orang alim yang tiada kepentingan dalam politik, untuk berbincang dan saya fikirkan bagaimana dan nak bantu warga wilayah dalam pelbagai aspek dan isu untuk diketengahkan.

"Maka saya memikirkan dan mengambil keputusan yang berat bagi diri saya, seperti yang anda tahu saya menjadi ahli Umno sejak berumur 17 tahun, saya juga menjadi Ketua Bahagian Umno Cheras selama 22 tahun, dan saya nak beritahu bahawa saya seorang perjuang parti, cuma saya kena ambil pendekatan untuk menolong orang Melayu di Wilayah Persekutuan ini sebabnya," katanya dalam sesi pertemuan bersama ahli Umno Cheras di sini.

Jelasnya keputusan itu dibuat juga bukan tujuan untuk meraih kepentingan politik peribadi namun di sebabkan untuk membantu masyarakat di wilayah.

"Saya tahu apa sahaja keputusan yang akan saya buat, mulut manusia tidak dapat ditutup untuk berkata-kata, belum umum pun dah banyak saya lihat yang mengata...yang penting bagi saya niat saya, dan saya nak maklumkan saya keluar Umno bukan nak kejar jawatan, tapi saya ada tanggungjawab yang perlu diselesaikan," katanya.

Sementara itu, Syed Ali menegaskan bahawa keputusan yang diambil beliau itu tidak dipengaruhi oleh sesiapa dan beliau sendiri juga tidak akan mempengaruhi mana-mana ahli Umno untuk turut bersamanya keluar daripada Umno.

"Saya berjanji tidak akan mengkhianati perjuangan orang Melayu dan Islam di Wilayah Persekutuan.

"Keputusan ini, bersifat peribadi saya sendiri yang buat, saya percaya apa yang saya buat bersebab dan saya akan tanggung risikonya, saya tidak akan pengaruhi sesiapa," katanya.

Susulan itu katanya, beliau akan menghantar surat rasmi untuk memaklumkan perkara berkenaan kepada parti.

"Saya akan tulis secara rasmi dan akan maklumkan penghijrahan saya, dan saya tidak akan rosakkan Umno, " katanya.

Dalam pada itu, Syed Ali masih berahsia mengenai parti mana yang bakal beliau pilih setelah keluar daripada Umno.

"Itu kena tunggu dahulu, saya akan umumkan kemudian.

"Dan saya akan teruskan perjuangan dengan sebuah parti yang saya rasa saya dapat sumbangan untuk orang Melayu," katanya.

Dalam pada itu, Syed Ali menegaskan susulan tindakannya ini, beliau sama sekali tidak akan 'melarikan diri'.

"Saya masih berada di Kuala Lumpur, pejabat saya pun masih terbuka," katanya.

Sementara itu besar harapannya agar , masyarakat menghormati tindakan beliau berkenaan.

"Saya akan hadapi segala tohmahan, kerana keputusan ini bukan peribadi tapi demi masa depan orang Melayu kita.

"Memang berat...saya rasa saya perlu buat keputusan ini, saya tidak akan menghasut untuk orang lain sertai saya juga," katanya.

Tindakan Syed Ali ini menyusuli enam ahli Parlimen Umno yang turut keluar parti selepas PRU14 lalu.

Selain itu, minggu lepas ahli Parlimen Jeli Datuk Mustapa Mohamed dan bekas menteri luar Datuk Seri Anifah Aman turut meninggalkan Umno.

Amanah nafi abai Nik Omar selepas PH tawan Putrajaya

Adam Abu Bakar

PETALING JAYA: Amanah menafikan tuduhan parti itu meminggirkan anak bekas mursyidul am PAS Nik Omar Nik Abdul Aziz dengan tidak memberikan sebarang jawatan kepadanya selepas pilihan raya umum ke-14.

Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir berkata, tuduhan Mohd Sabri Salleh yang juga sepupu Nik Omar tidak berasas memandangkan anak kepada tokoh PAS itu sendiri tidak pernah meminta dan menggesa parti memberikan jawatan kepadanya.

“Nik Omar tidak pernah minta apa-apa pun, dia berjuang atas nama reformasi negara. Kadang-kadang orang yang tidak ada kena mengena yang lebih. Kuat benar orang-orang seperti ini buat fitnah, walaupun tahu perkara ini tidak benar.

“Dia (Nik Omar) tetap merupakan salah seorang ahli yang kami hormati dan kalau sekadar hendak menimbul fitnah, jangan timbulkan. Kenapa dia hendak memberikan komen sebegitu,” katanya kepada FMT.

Mohd Sabri sebelum ini mendakwa Nik Omar merupakan watak penting ketika berkempen dan sewajarnya pemimpin berkenaan diangkat untuk membina imej baru kepada Pakatan Harapan (PH).

Mohd Sabri merupakan adik Setiausaha Dewan Ulama Pas, Dr Nik Zawawi Salleh. Beliau merupakan individu yang membuat laporan polis terhadap Nik Abduh Nik Abdul Aziz sebelum PRU14 yang kononnya PAS menerima dana RM90 juta daripada Umno.

Mengulan lanjut, Anuar berkata bukan perkara mudah untuk parti memberikan jawatan dalam kerajaan kepada ahli memandangkan terdapat sesetengah jawatan memerlukan perkenan dari Yang Di-Pertuan Agong.

“Hendak bagi ganjaran kepada sesiapa itu tidak mudah, kena lihat keadaan dan suasana bahkan ada peraturannya. Bukannya boleh kita lantik sesiapa sahaja, ada sesetengah itu perlu dapat perkenan Agong.

“Hendak lantik jawatankuasa kemajuan kampung (JKK) juga susah. Jadi tolonglah jangan laga-lagakan orang kerana pilihan raya sudah habis, sekarang ini masa kita bekerja ke arah Malaysia yang baru,” katanya.

Mengulas mengenai gesaan supaya Nik Omar diberikan jawatan dalam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Anuar berkata pihaknya sedang mempertimbangkan perkara itu namun menegaskan ia tidak dapat dilakukan segera.

“Memang semua ini kita tengah pertimbangkan tetapi bukan boleh buat dengan segera, berapa orang yang sudah kita lantik sekarang ini, tidak ada,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan Mohd Sabri memutuskan keluar dari parti, Anuar berkata parti tidak pernah menghalang mana-mana ahli keluar parti dan menyertai mana-mana parti lain.

“Kalau tidak suka dengan Amanah, ‘get out’ sudah. Saya bila-bila masa boleh batalkan nama, tulis surat kepada saya segera,” katanya.

Pada 10 September lalu, Mohd Sabri mengumumkan keluar Amanah dan melepaskan jawatan sebagai ahli jawatankuasa Amanah Pasir Puteh.

Katanya, keputusan itu tidak dibuat secara tergesa-gesa malah melalui penelitian sejak beberapa bulan lalu.

Beliau bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan pemimpin pusat terutamanya Presiden Mohamad Sabu yang dilihat gagal menyelesaikan isu parti.