Memang celaka puak-puak ni

Gempar! lebih RM22j dana Tabung Haji untuk politik
RAZIATUL HANUM A.RAJAK

SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) mendedahkan dana lebih RM22 juta digunakan untuk tujuan politik pada tahun lalu.

Difahamkan perkara ini timbul hasil siasatan dalaman pertama pengurusan baharu yang dilantik Julai 2018 terhadap transaksi lalu.

Dalam satu kenyataan, TH berkata pemegang amanah Program Yayasan Tabung Haji (YTH) ketika itu termasuk bekas Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail.

Sehubungan itu, TH telah membuat laporan polis hari ini.

"Laporan pertama melibatkan YTH 2017 di mana dana lebih RM22 juta telah dikeluarkan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik.

"Ia bertentangan dengan Memorandum dan Artikel Persatuan YTH," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, selain Azeez dan Ismee dua lagi individu turut bertindak sebagai pemegang amanah YTH iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Johan Abdullah; Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi Azuan dan Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar.

Menurut kenyataan itu, TH telah menyumbang RM7 juta kepada YTH yang ditubuhkan tahun 2016 untuk bantuan kemanusiaan dan golongan kurang berkemampuan serta miskin itu.

TH turut membuat laporan polis berhubung penjualan saham pada tahun 2012.

"Ini berhubung salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting melibatkan penjualan salam TH sebanyak 95 peratus salam PT TH Indo Plantations yang dipegang oleh dua anak syarikat, TH Indopalms Sdn Bhd dan TH Indo Industries Sdn Bhd kepada PT Borneo Pacific dengan harga AS$910 juta.

"Laporan dibuat ke atas Ismee, Penasihat Undang-undang, Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Harta Tanah, Rifina Md Ariff," katanya.

'Sejak bila PAS pandai bercakap tentang hormatkan PM?'

Seorang lagi pemimpin parti kerajaan tampil mempertikaikan rasional diberi pemimpin PAS untuk meneruskan himpunan mereka pada Dis ini.

Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah Zolkharnain Abidin berkata menurut Presiden PAS Abdul Hadi Awang mereka berhimpun kerana ada menteri yang mengeluarkan kenyataan tidak selaras dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Katanya tidak wujud kecelaruan kononnya apabila Mahathir berkata kerajaan tidak akan menerima Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) ada pula menteri mengeluarkan kenyataan sebaliknya.

"Sebelum perdana menteri memberi kata putus, memang ada. Tapi selepas beliau buat kenyataan, tiada menteri yang buat kenyataan berbeza," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Namun kata Zolkharnain, alasan Abdul Hadi yang lebih sukar diterima akal ialah apabila PAS mahu meneruskan himpunan kerana ada menteri tidak menghormato perdana menteri.

"Semenjak bila pula PAS pandai bercakap mengenai hormat kepada perdana menteri sekarang?

"Bukankah sudah berkandar-kandar pemimpin PAS mengutuk Mahathir?

"Tiba-tiba mereka nak meneruskan demontrasi sebab nak bela perdana menteri yang kononnya tak dihormati menteri," katanya lagi.

Siang tadi Abdul Hadi dilaporkan berkata ada menteri yang perlu "diajar" kerana memberi kenyataan berhubung Icerd selepas Mahathir menegaskan ia tidak akan diterima negara ini.

Himpunan itu dirancang PAS dan akan disertai Umno serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan. Namun Putrajaya pada 23 Nov lalu menegaskan untuk tidak menerima Icerd.

Selain bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar, beberapa mufti juga berpendapat tiada keperluan lagi himpunan itu diadakan.

Antara mereka ialah Mufti Perak, Harussani Zakaria dan negeri yang ditadbir PAS sendiri - Kelantan - Mohamad Shukri Mohamad.

Menurut Zolkharnain jika PAS mahu mengadakan himpunan juga tetapi tiada alasan kecuali menggunakan Icerd, ia boleh difahami.

Cuma, katanya, tidak perlu bagi parti terbabit memberi alasan yang bukan-bukan, termasuk kononnya kerana ada menteri tidak menghormati Mahathir.

"Yalah, bas dah sewa, baju-T dah dicetak, Umno pun setuju untuk bersama, takkan nak batal pula.

"Rasanya alasan ini lebih rasional berbanding alasan nak bela perdana menteri.

"Itu alasan karut. Bukan setakat tak masuk akal, masuk bakul pun tidak," katanya.

Parlimen Cameron Highlands, Pahang diisytihar kosong oleh mahkamah

Mahkamah Pilihan Raya hari ini memerintahkan bahawa kerusi Parlimen Cameron Highlands, Pahang sebagai kosong dan pada pilihan raya diadakan semula.

Pada pilihan raya umum ke-14 pada Mei lalu, calon BN C Sivaraj mengalahkan calon Pakatan Harapan M Manogaran yang mewakili DAP.

Sivaraj memperolehi 10, 307 undi manakala Manogaran pula 9,710. Calon PAS Wan Mahadir Wan Mahmud mendapat 3,587 dan calon PSM dan Berjasa hilang wang pertaruhan mereka.

Gegaran misteri di seluruh dunia


Gelombang seismik itu menyebabkan sensor di Zambia, Kenya dan Ethiopia beralih sejauh lebih 17,000 km.
LONDON - BRITAIN. Gelombang seismik aneh telah menggemparkan seluruh dunia pada 11 November lalu.

Apa yang lebih pelik, tiada sesiapa merasainya, sekali gus mengejutkan para saintis.

Ia digambarkan oleh National Geographic sebagai 'gegaran misteri' yang berlaku di seluruh dunia yang mana gelombang itu bermula berhampiran Mayotte, sebuah pulau Perancis antara Afrika dan utara Madagascar.

Gegaran itu menyebabkan sensor di Zambia, Kenya dan Ethiopia beralih sebelum ia ditemui di Chile, New Zealand, Kanada dan Hawaii sejauh hampir 17,702 kilometer (km).

Sehingga kini, pakar masih membahaskan apa yang mencetuskan kejadian pada 11 November lalu, sama ada ia adalah ujian nuklear, kapal selam atau gunung berapi.

Ahli seismologi di Universiti Colombia, Goran Ekstrom berkata, beliau tidak pernah melihat kejadian seumpama itu.

Difahamkan, Mayotte yang merupakan pulau kecil dengan populasi 250,000 penduduk telah mengalami gempa sejak Mei lalu.

Kebanyakannya adalah gegaran kecil, namun gempa paling kuat, 5.8 magnitud direkodkan pada 8 Mei lalu.

Pusat Pemerhati Perancis mengesyaki terdapat gunung berapi baharu mungkin terbentuk di luar pantai Mayotte yang wujud hasil daripada aktiviti vulkanik yang tidak aktif selama lebih 4,000 tahun.

"Ia mungkin berlaku akibat pergerakan magma kira-kira 50 km di luar pantai dan dasar laut," menurut agensi itu.

Laporan itu disokong dengan sensor GPS yang mengesan pergerakan Mayotte ke tenggara kira-kira 5 sentimeter dalam tempoh kurang daripada lima bulan. - The Sun

Polis Evo 2: Pemimpin PAS kena minta maaf

Hazmi Hassan
Antara punca yang mendorong gerakan menggesa Polis Evo 2 diboikot adalah disebabkan lakonan Hasnul Rahmat yang memegang watak Hafsyam atau Saif - lelaki antagonis berserban dan menggunakan Islam sebagai tunggangan.

Rasa kurang senang itu menyebabkan ada pemimpin PAS mengajak anggota parti itu memboikot filem berkenaan dan melabelnya sebagai sampah.

Ia berlaku kerana watak Saif yang dipercayai dilihat sama dengan presiden mereka.

Antara yang terawal menyebar dan mengajak rakyat untuk memboikot filem ini ialah Riduan Mohd Nor atas alasan filem itu memalitkan kejahatan dan keganasan itu berpunca daripada Islam.

Ridhuan juga memberi contoh filem Sicario 2 yang juga dianggapnya sampah lalu disamakan dengan Polis Evo 2.

Amat pelik apabila Ridhuan menyatakan Sicario 2 begitu dan daripada gaya penulisannya dia seperti sudah pun menonton filem berkenaan.

Namun untuk Polis Evo 2, Riduan melabelnya sampah hanya dengan membaca sinopsis.

Bukan seperti difitnah

Tindakan dia jelas berbeza dengan tuntutan sebenar Islam iaitu menyuruh umatnya "bertabayyun dan membaca" sebelum menghukum.

Membaca bukan bermaksud hanya sekadar melihat tulisan tanpa memahami, bahkan ia termasuk mengkaji dan membuat pertimbangan dengan akal, bukan emosi.

Membuat tuduhan sehingga mengajak orang kepada kebencian bukanlah konsep Islam sebenar. Ridhuan sepatutnya memohon maaf dan membuat pembetulan kerana Polis Evo 2 bukan seperti yang difitnahnya.

Malah Mufti Wilayah Persekutuan sendiri berpendapat filem itu tidak perlu diboikot kerana tiada unsur atau adegan yang menghina Islam.

Hasnul Rahmat membawa watak penunggang agama yang dalam filem itu jelas ditolak. Maka mesejnya jelas - filem ini mengajak penonton menolak islam versi Saif yang melampau dan radikal.

Islam sebenar sentiasa mengajar dan menyuruh umatnya untuk bersederhana. Hasnul Rahmat juga mengajak penonton untuk berfikir dan bermuhasabah betapa ramainya individu atau kumpulan penunggang agama di sekeliling kita.

Saif dalam Polis Evo 2 menyatakan dia mempunyai amanat dan harus diikuti oleh penyokongnya. Memakai serban dan pandai menggunakan istilah Islamik atau mentafsir ayat al-Quran belum tentu seseorang berada pada sisi yang benar.

Hari ini ramai orang memakai serban dan bercakap seolah-olah pejuang Islam tetapi sebenarnya merekalah yang merosakkan Islam.

Kata-kata mengkhayalkan

Islam yang dibawa Saif itulah yang harus kita tolak. Pelampau, radikal dan menjual agama dengan harga yang murah hanya untuk kepentingan diri sendiri.

Namun malangnya masih ramai yang menyokong serta taasub kepada individu atau kumpulan dek terpedaya dengan kata-kata keramat mereka.

Lakonan Hasnul Rahmat kali ini memang menjadi dan sangat menyengat.

Hasnul Rahmat berjaya membawa watak Saif yang mempunyai kehebatan mendoktrin menggunakan Islam sebagai modal perjuangan sesatnya.

Melalui Saif dia menunjukkan bagaimana kata-kata seseorang mampu mengkhayalkan. Sebagai contoh, Sani hampir gila diperlakukan Saif hanya dengan kemolekan kata-kata.

Antara babak menarik dalam Polis EVo 2 ialah ketika dalam kekalutan dan hampir kalah, Saif sempat lagi cuba menghubungi SAC Datuk Azizat (lakonan Erra Fazira), mungkin cuba untuk berunding.

Itu salah satu sikap penunggang agama yang sentiasa mahu menang walaupun sudah kalah.

Watak Saif berjaya menjadikan Inspektor Khai dan Inspektor Sani polis yang hebat kerana berjaya tumpaskan Saif dan kumpulan Al-Minas.

Saya menyeru kepada rakyat Malaysia untuk terus menonton filem ini. Polis Evo 2 berjaya mengangkat dan menghargai jasa Polis Diraja Malaysia yang berbakti kepada negara.

Polis Evo 2 juga mengangkat pejuang Islam yang sebenar dan menunjukkan Islam itu rahmat untuk seluruh alam!

HAZMI HASSAN ialah ketua Pemuda Amanah Kelantan.

Husam tuntut Kelantan mohon maaf, bayar ganti rugi

N Faizal Ghazali

Kerajaan Kelantan dituntut membuat permohonan maaf secara terbuka kerana mengenakan sekatan terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Husam Musa dan pengerusi Amanah negeri itu, Wan Abd Rahim Wan Abdullah.

Bercakap kepada Malaysiakini Husam berkata kerajaan Kelantan yang diterajui PAS juga perlu membayar ganti rugi atas aib yang ditimpakan kepada pihak yang disekat itu, termasuk beliau dan Wan Abd Rahim.

Pada masa sama kata Husam beliau bersyukur kerana sekatan itu kini tidak lagi berkuat kuasa.

"Saya bersyukur dengan langkah tidak semena-mena kerajaan Kelantan menarik balik larangan memasuki Kompleks Kota Darulnaim dan pejabat-pejabat kerajaan negeri ke atas sebilangan orang termasuk saya dan Wan Abd Rahim.

"Saya menggesa kerajaan Kelantan memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi atas aib yang ditimpakan kepada semua pihak berkaitan termasuk kepada Wan Abd Rahim," katanya kepada hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan larangan memasuki pejabat kerajaan negeri yang dibuat terhadap beberapa individu ditarik balik.

Khabar itu mula diketahui selepas sekeping gambar surat ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri, Nazran Muhammad menjadi tular.

Nazran kemudian mengesahkan larangan terbabit sudah ditarik balik namun sekatan untuk memasuki istana Kelantan dikekalkan.

Pada 27 Mei lalu, Husam dan Wan Abd Rahim - yang juga bekas pemimpin kanan PAS - dilarang memasuki kawasan pejabat kerajaan negeri.

Tidak ada alasan yang diberikan secara rasmi bagi larangan berkenaan.

Untuk rekod pingat kebesaran Husam dan Abdul Rahim juga ditarik balik oleh pihak istana Kelantan.

Bagaimanapun Husam kemudiannya diberikan pingat oleh kerajaan Melaka. Beliau juga dilantik menjadi senator oleh Putrajaya dan secara tidak langsung menjadi wakil kerajaan pusat di negeri yang ditadbir PAS itu.

Sementara itu, Husam yang juga naib presiden Amanah berkata, langkah sekatan itu ternyata tidak bersandar kepada undang-undang.

Malah tegas bekas exco kanan Kelantan itu, sekiranya kerajaan negeri tidak membuat permohonan terbuka pihaknya mungkin akan mengemukakan saman malu dan tuntutan ganti rugi.

"Ia adalah tindakan politik untuk mengacau hak kebebasan mangsa-mangsa serta cubaan untuk memalukan pihak terlibat," katanya.

Apa sebenarnya berlaku? Ikuti penjelasan menteri

Berikut ucapan penuh Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berhubung insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, USJ, Selangor kepada Dewan Rakyat.

Tuan Yang Di-Pertua,

1. Saya ingin memberi penerangan kepada Dewan Yang Mulia ini tentang satu isu penting yang menarik perhatian rakyat pada masa ini, iaitu insiden pergaduhan dan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Siefield, Subang Jaya, Selangor pada 26 dan 27 November 2018.Terlebih dahulu saya ingin menjelaskan kronologi insiden ini.

Kronologi insiden

2. Pada 26 November 2018 sekitar jam 2.40 pagi, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya telah menerima panggilan daripada orang awam mengenai insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield. Sejurus selepas menerima laporan, Ketua Polis Daerah Subang Jaya telah mengarahkan semua unit yang berada di lapangan menuju ke tempat kejadian.

3. Pada jam 2.50 pagi, 4 buah MPV polis tiba di tempat kejadian tetapi telah dihalang masuk oleh sekumpulan lelaki India. Cermin belakang sebuah MPV telah dipecahkan di samping terdapat sebuah lori treler tangki diletak melintang menghalang jalan menghala ke kuil.

4. Pada jam 3.30 pagi, Ketua Polis Daerah Subang Jaya telah menghubungi pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan Ibupejabat Polis Daerah Serdang untuk mendapatkan bantuan tambahan anggota. Bantuan IPD Serdang dengan kekuatan seorang pegawai dan 99 anggota tiba di tempat kejadian pada jam 4.00 pagi.

5. Pada ketika itu telah berlaku pergaduhan di dalam kuil di antara kumpulan penganut agama Hindu dan kumpulan lelaki Melayu yang menceroboh kawasan kuil. Setelah tercetus pergaduhan, sebahagian daripada kumpulan lelaki Melayu ini telah melarikan diri dari kawasan kuil.

6. Sejurus selepas itu, kumpulan penganut agama Hindu telah bertindak membakar beberapa buah kenderaan yang dipercayai milik kumpulan lelaki yang mencereboh kawasan kuil. Pasukan bomba telah menerima panggilan bantuan kebakaran pada jam 4.38 pagi dan tiba di tempat kejadian 25 minit kemudian untuk mengawal kebakaran.

7. Pasukan FRU pula telah tiba di tempat kejadian pada jam 5.30 pagi dengan kekuatan 2 orang pegawai dan 201 orang anggota. Menjelang pagi 26 November 2018, keadaan di sekitar kuil telah berjaya dikawal oleh anggota polis dan keadaan kembali tenang.

8. Ekoran daripada kejadian pergaduhan ini, 3 orang lelaki Melayu dan 3 orang lelaki India telah tercedera. Seorang anggota polis turut mengalami kecederaan.

9. Keesokannya, iaitu pada awal pagi 27 November 2018, dianggarkan sejumlah 10,000 orang kaum India berkumpul di kawasan sekitar kuil. Selain merusuh beberapa buah kenderaan turut dibakar oleh kumpulan ini.

10. Anggota bomba yang berada berhampiran kawasan kuil cuba untuk memadam kebakaran ekoran rusuhan terhadap kenderaan milik bomba. Dalam kejadian tersebut, seorang anggota bomba Mohammad Adip bin Kassim telah dicederakan oleh sekumpulan individu yang tidak dikenali. Beliau mengalami kecederaan serius dan telah dibawa ke Subang Jaya Medical Centre (SJMC) oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan.

11. Kumpulan perusuh ini juga bergerak ke pejabat One City Development Sdn Bhd. Mereka bertindak memecahkan dinding cermin bangunan, merosakkan peralatan di dalam bilik pameran dan membakar beberapa buah kenderaan.

Siasatan kes

12. Ekoran insiden ini, pihak polis telah mengambil langkah-langkah perlu untuk mengawal keadaan. Memandangkan insiden ini mempunyai unsur jenayah, siasatan telah dimulakan serta-merta untuk mengenalpasti pelaku-pelaku jenayah dan membawa mereka ke muka pengadilan.

13. Oleh kerana siasatan kes ini agak rumit dan memerlukan tenaga kerja yang ramai, saya ingin memaklumkan Dewan Yang Mulia ini bahawa sebuah pasukan petugas khas (task force) untuk siasatan telah ditubuhkan. Pasukan ini yang diketuai oleh Yang Dihormati Dato’ Sri Wan Ahmad Najmuddin bin Mohd, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, menggabungkan personel daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Kontinjen Selangor, dan beberapa daerah di Kontinjen Selangor. Operasi ini dikenali sebagai ‘Ops Seafield’.

14. Sehingga kini sebanyak 34 orang telah dirakamkan percakapan. Sejumlah besar keterangan fizikal juga telah berjaya dirampas di tempat kejadian iaitu:

(i) 21 buah kereta dan 6 buah motosikal yang dibakar;

(ii) 1 bilah pisau dan 2 bilah parang; dan

(iii) 7 pasang kasut, dan 3 vest;

15. Pihak polis juga telah menangkap 30 individu yang terdiri daripada 24 orang Melayu, 2 orang India Muslim, 3 orang India dan seorang Cina. Semua mereka telah direman dengan tempoh reman yang berlainan, sementara 5 orang individu yang baru ditangkap semalam direman pada hari ini.

16. Siasatan polis menjurus kepada isu perpindahan kuil yang menjadi punca rusuhan. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, pihak pemaju telah pun mendapat perintah mahkamah untuk mengambil alih pemilikan tanah sejak tahun 2014. Terdapat beberapa kali percubaan oleh pihak pemaju untuk mengambilalih tanah tersebut tetapi gagal kerana terdapat bantahan daripada kumpulan penganut agama Hindu.

17. Siasatan polis mendapati pada hari kejadian, sekumpulan lelaki Melayu yang menceroboh masuk ke dalam kawasan kuil bertindak atas arahan beberapa individu yang bekerja dengan One City Development Sdn. Bhd. Kumpulan ini telah menerima bayaran tertentu untuk tugas mengosongkan kawasan kuil bagi membolehkan kerja-kerja pengambilalihan dilaksanakan pada pagi tersebut.

18. Siasatan polis juga mendapati sejumlah RM150,000 telah dibayar kepada individu tertentu untuk melaksanakan kerja pengosongan kuil. Kumpulan lelaki Melayu berjumlah 50 orang yang menceroboh kuil pada malam kejadian didapati menerima bayaran antara RM150 dan RM300 seorang.

19. Pihak polis telah mengenalpasti beberapa individu yang memainkan peranan dalam kejadian ini dan mereka akan dipanggil untuk menjalani proses siasatan selanjutnya. Motif kejadian ini telah pun dikenalpasti dan kertas siasatan masih dalam proses untuk dilengkapkan sepenuhnya.

20. Siasatan ke atas kes pegawai bomba yang diserang pada malam 27 November 2018 juga telah dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu atas kesalahan cubaan membunuh. Beberapa rakaman video telah diperolehi dan sedang dianalisa bagi mengenalpasti individu-individu yang terlibat dalam kejadian tersebut. Pihak polis juga telah mengenalpasti anggota-anggota bomba yang berada di tempat kejadian untuk dirakamkan percakapan mereka.

21. Selain itu, beberapa kertas siasatan lain telah dibuka. Antara kesalahan-kesalahan yang sedang disiasat ialah:

(i) Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api;

(ii) Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rusuhan bersenjata;

(iii) Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata;

(iv) Seksyen 447 Kanun Keseksaan iaitu pencerobohan kawasan;

(v) Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 iaitu memiliki senjata berbahaya;

(vi) Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan khianat; dan

(vii) Seksyen 124G Kanun Keseksaan iaitu membuat kenyataan yang boleh menimbulkan apa-apa perlanggaran keamanan.

22. Pihak polis sedang menjalankan siasatan secara profesional dengan menggunakan kaedah siasatan forensik dan saintifik sepenuhnya. Untuk tujuan ini, satu pasukan khas dari Makmal Forensik Bukit Aman telah ditempatkan di Kontinjen Selangor bagi membantu siasatan.

23. Pihak polis juga amat mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan. Siasatan juga dibuat ke atas berita-berita viral bagi membantu siasatan kes di samping membuat pengesahan ke atas fakta yang dikemukakan.

Insiden jenayah, bukan perkauman

Tuan Yang Di-Pertua,

24. Saya ingin memaklumkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat bahawa insiden pergaduhan dan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Siefield, tiada kaitan langsung dengan isu perkauman. Ia adalah satu kejadian jenayah yang berpunca daripada pertikaian di antara syarikat pemaju One City Development Sdn Bhd dan Jawatankuasa Kuil berhubung status pemilikan tanah tapak kuil.

25. Agak malang kerana tindakan pihak tertentu yang mengupah sekumpulan lelaki Melayu untuk mencereboh dan mengosongkan kuil pada malam kejadian telah menimbulkan kemarahan penganut agama Hindu. Kerana angkara tindakan tidak bertanggungjawab dan menyalahi undang-undang inilah wujudnya keresahan dan prasangka dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara kita. Di samping itu, kenyataan-kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkan oleh pihak-pihak tertentu juga telah mengeruhkan keadaan.

26. Saya menyeru semua pihak supaya berfikir dan bertindak secara rasional dalam menangani isu ini. Rakyat Malaysia telah mengecapi kehidupan yang aman dan harmoni sejak sekian lama. Janganlah kerana insiden jenayah yang terpencil ini kita sanggup merosakkan perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama. Janganlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

27. Bagi pihak Kementerian Dalam Negeri, saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja mengganggu-gugat keamanan dan ketenteraman awam, terutamanya dengan mengapi-apikan sentimen perkauman. Tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil oleh pihak berkuasa demi mempertahankan perpaduan kaum, keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Terima kasih, Tuan Yang Di-Pertua.

Peringatan: Jangan membabitkan yang tidak terbabit

DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL
SAYA ingin mengingatkan saudara-saudara semuslim saya bahawa Islam itu adil untuk semua. Dalam suasana yang tegang ini, janganlah kita menghukum atau bertindak kepada mereka yang tidak terbabit dengan jenayah dan ketegangan yang berlaku. Seperti mana kita marah atas apa yang berlaku kepada anggota bomba yang dizalimi tersebut, demikian kita tidak boleh memperlakukan tindakan sama yang tidak wajar kepada mereka yang mencintai keamanan.

2. Kita wajar mengakui, di sana ada ramai Kaum India dan penganut Hindu dalam negara ini yang masih cinta kepada keamanan. Mereka tidak memusuhi masyarakat Muslim. Bahkan sejak sekian lama mereka hidup dengan penuh hormat dan harmoni dalam negara ini. Mereka merupakan rakyat seperti kita yang kita wajar hormati dan mahu hidup bersama dengan aman.

3. Saya melihat kenyataan beberapa pemimpin beragama Hindu terutamanya daripada MIC yang telah mengeluarkan kenyataan yang matang, harmoni dan damai. Jelas, keengganan mereka kepada suasana ketegangan kaum. Ini sangat dihormati. Bahkan mereka menyalahkan secara khusus pemimpin politik India tertentu yang menimbulkan provokasi. Ini menunjukkan mereka cenderung kepada sikap yang lebih adil untuk semua.

4. Di sana ada sahabat handai kita yang beragama Hindu yang selama ini baik dan tidak pernah melancarkan permusuhan ke atas kita. Maka hendaklah kita bersikap baik kepada mereka. Adalah haram dan berdosa di sisi agama jika kita menzalimi mereka.

5. Berikut merupakan beberapa dalil dari al-Quran dan al-Sunnah yang menyuruh kita adil dan tidak menzalimi golongan non-muslim yang tidak bermusuhan dengan kita.

a. Firman ALLAH dalam Surah Al-Maidah ayat 8;

(maksudnya) : “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana ALLAH, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

b. Sabda Nabi Muhammad s.a.w:

“Ketahuilah! sesiapa yang menzalimi mu’ahid (rakyat non-muslim) ataupun mengurangkan haknya, ataupun membebankannya di luar kemampuannya, ataupun mengambil sesuatu (hak) daripadanya tanpa kerelaannya, maka aku menjadi penentang sesiapa yang berbuat demikian itu pada Hari Kiamat”. (Riwayat Abu Daud, sahih).

c. Firman ALLAH dalam Surah al-Mumtahanah ayat 8-9:

(maksudnya): “ALLAH tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya ALLAH hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

Inilah keindahan Islam yang tidak akan memusuhi pihak yang tidak memusuhinya.

***Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan Mufti Perlis

Hina Mahkamah: Pihak yang mempertahan kuil termasuk menteri berdepan hukuman penjara

Pertahankan kuil hina mahkamah
TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN

KUALA LUMPUR - Mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan mempertahankan kuil Sri Maha Mariamman daripada dipindahkan bakal berdepan dengan hukuman penjara.

Peguam kanan, Adnan Seman berkata, perkara itu berlaku sekiranya One City Development Sdn Bhd (One City) selaku pemilik tanah memfailkan perintah komital terhadap pihak berkenaan melanggari penghakiman persetujuan yang diputuskan oleh mahkamah sebelum ini.

"Sebagaimana dilaporkan ada pihak termasuk menteri mengeluarkan kenyataan agar kuil berkenaan dikekalkan dan akan membawa isu ini kepada Peguam Negara Thommy Tommas dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Ini seolah mencampuri urusan kehakiman dan melakukan penghinaan kepada mahkamah," katanya.

Menurutnya, kekusutan isu berkenaan timbul apabila ada pihak lain mempertikaikan penghakiman persetujuan tersebut.

"Dalam kes ini K Chellapa mendapat pengisytiharan daripada mahkamah bahawa beliau adalah penjaga sah kuil berkenaan.

"Namun ada sekumpulan lain yang mempertikaikannya," katanya.

Beliau berkata, sepatutnya kumpulan lain tersebut memfailkan permohonan untuk mencabar penghakiman persetujuan itu.

Kelmarin, Menteri Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy memberi jaminan kerajaan tidak akan merobohkan kuil Sri Maha Mariamman sehingga kata sepakat dicapai.

Moorthy katanya, pihaknya akan mencari penyelesaian termasuk mengadakan perbincangan dengan Thomas, bagi memastikan kuil itu dapat dikekalkan.

Mengulas lanjut mengenai peguam pemaju mengupah samseng bagi proses pengusiran kuil berkenaan, Adnan berkata, ia tindakan tidak bermoral.

"Tindakan tersebut akhirnya mencetuskan permusuhan kaum kerana tidak semua arif mengenai isu berkenaan.

"Sepatutnya, peguam hadir ke lokasi pada waktu bekerja membawa perintah milikan kosong bersama-sama pihak berkuasa untuk bagi melakukan prosedur pengusiran itu," katanya.

Peguam tersebut boleh dikenakan hukuman denda, digantung lesen dan ditamatkan perkhidmatan oleh Badan Peguam Malaysia sekiranya Lembaga Tatatertib mendapati wujudnya kesalahan.

Pengusiran kuil berkenaan menimbulkan rusuhan apabila samseng yang didakwa diupah pemaju bertempur dengan penganut Hindu yang mempertahankan kuil berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan, dalang di sebalik rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 pada 26 November lalu adalah didakwa dilakukan oleh peguam One City.

Siasatan polis mendapati peguam syarikat pemaju mengupah sekumpulan lelaki Melayu untuk menceroboh, mengambil alih dan mengawal kuil.

'Kami memang diserang'

"Begitu kelam kabut dan panik," kata seorang anggota bomba menceritakan pengalamannya ketika bertugas di tengah-tengah rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, awal pagi Selasa lali.

Salah seorang daripada lapan anggota yang ditugaskan, Mohd Hazim Mohd Rahimi berkata pasukannya memang telah diserang perusuh.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, tugas saya untuk turun daripada jentera dan terus ke tempat simpanan salur bantu mula (hose reel). Jika kebakaran di sebelah kiri, saya akan tuju tempat simpanan di sebelah kiri untuk memadam api.

"Tapi belum sempat keluar, kami sudah diserang. Saya terus lari dan masuk ke dalam jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di belakang jentera Fire Rescue Tender (FRT)," katanya dalam sidang media di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur, hari ini.

Namun, katanya lagi, pintu jentera EMRS itu turut diserang sehingga tercabut, dan kini menjadi sebahagian bahan bukti polis.

Dalam sidang media itu, Ketua Pengarah Bomba Mohamad Hamdan Wahid menampilkan Hazim, 31, sebagai individu yang dilanggar belakang jentera bomba seperti yang dipaparkan video yang tular hari ini.

Baca: Serang bomba: Perusuh akan dibawa ke muka pengadilan, kata menteri

Hamdan berkata Hazim yang bertugas di Balai Bomba Subang Jaya terselamat dalam kejadian itu.

Ia bagi menafikan dakwaan pihak kuil bahawa individu itu adalah Muhammad Adib Mohd Kassim yang sebelum ini dilaporkan diserang perusuh sehingga cedera parah.

Hamdan berkata anggotanya berdepan situasi sukar apabila perusuh melemparkan peralatan seperti kayu, parang, besi dan paip kepada anggotanya.

"Bila sampai ke lokasi, pemandu EMRS beritahu parang, kayu, besi menghentam pintu jenteranya.

"Kalau ini yang dikatakan sambutan dan layanan yang baik, anda sendiri boleh menilainya," katanya lagi.
-malaysiakini

Kelantan tarik balik larangan pada Husam, Wan Rahim?

Kerajaan Kelantan dikatakan menarik balik larangan masuk ke pejabat-pejabat berkaitan kerajaan negeri ke atas beberapa individu sebelum ini.

Langkah itu mula menjadi bualan penduduk tempatan selepas satu imej menunjukkan sekeping surat menjadi tular di media sosial hari ini.

Melalui gambar tersebut, surat terbabit bertarikh 21 Nov 2018 menggunakan tajuk 'Penarikan balik larangan kepada individu-individu yang telah disenaraihitamkan dari memasuki Kompleks Kota Darulnaim dan pejabat-pejabat kerajaan negeri Kelantan.'

Bagaimanapun Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas kesahihan surat berkenaan buat masa ini.

Menurut surat tersebut, penarikan balik larangan berkenaan merupakan arahan daripada setiausaha kerajaan negeri.

"Bagaimanapun larangan memasuki istana-istana Kelantan yang telah dikeluarkan kepada individu-individu disenaraihitamkan sebelum ini masih berkuatkuasa seperti biasa," kata notis yang didakwa ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri, Nazran Muhammad.

Pada 27 Mei lalu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan Husam Musa dan Pengerusi Amanah Kelantan Wan Abd Rahim Wan Abdullah dilarang memasuki pejabat kerajaan negeri dan istana di negeri itu.

Untuk rekod pingat kebesaran Husam dan Abdul Rahim juga ditarik balik oleh pihak istana Kelantan.

Bagaimanapun Husam yang kini dilantik menjadi anggota Dewan Negara diberikan pingat oleh kerajaan Melaka.

Malaysiakini cuba mendapatkan komen daripada Nazran bagi mengesahkan surat berkenaan namun setakat ini belum berhasil.

Sementara itu Wan Abd Rahim yang dihubungi Malaysiakini memberitahu beliau tidak ada maklumat mengenainya.

"Tak ada lagi setakat ini, ambo (saya) pun tak dapat lagi apa-apa surat daripada kerajaan negeri," katanya ringkas.

Bagaimana Adib cedera?

Terdapat percanggahan mengenai dakwaan berhubung punca sebenar anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Muhammad Adib Mohd Kassim cedera parah ketika insiden rusuhan kuil yang berlaku awal pagi Selasa lalu.

Menurut pihak berkuasa, mangsa ditarik keluar dari tempat duduk penumpang van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) oleh perusuh dan dipercayai dipukul sehingga tidak sedarkan diri.

Namun, penjaga kuil Sri Sri Maha Mariamman di Subang Jaya menafikan perkara tersebut dan mengadakan sidang media untuk menjelaskan berhubung klip video yang tersebar.

Penjaga kuil berkenaan mendakwa bahawa klip video yang tersebar itu kononnya menampakkan seorang lelaki berpakaian sut kalis api berjalan di belakang jentera bomba yang secara tiba-tiba mengundur ke belakang.

"Jentera bomba itu mengundur agak jauh dan melanggarnya (sehingga menyebabkan Adib terjatuh) di atas kereta di belakangnya," kata Ramaji yang merupakan sami kuil tersebut.

Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor apabila dihubungi berkata bahawa pihaknya sedang menyiasat dakwaan tersebut tetapi setakat ini, tidak dapat memberikan butiran lanjut berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, terdapat pegawai dari JBPM memberitahu Malaysiakini bahawa video tersebut tidak menyerupai Adib yang berpakaian celoreng.

Adib merupakan petugas EMRS yang dihantar bersama anggota lain JBPM untuk memadamkan kebakaran semasa berlaku ketegangan di kuil tersebut.

Kecederaannya itu menyebabkan anggota bomba berusia 24 tahun itu terpaksa bergantung kepada alat sokongan hayat untuk selamat buat seketika dan kini ditempatkan di Institut Jantung Negara bagi mendapatkan rawatan lanjut. Keadaannya dilaporkan beransur pulih.

Dalang sudah dikenalpasti, penceroboh diupah RM150 hingga RM300

Kekecohan dan ketegangan di kuil Sri Maha Mariamman sejak beberapa hari lalu berpunca daripada tindakan sekumpulan orang menceroboh rumah ibadat penganut Hindu itu, kata Muhyiddn Yassin.

Kata menteri dalam negeri itu, mereka ialah sekumpulan lelaki yang diupah peguam syarikat pemaju dan pemilik tapak berkenaan.

Kata Muhyiddin kumpulan lelaki terbabit menceroboh kawasan kuil dan mengawal kawasan tersebut sebelum pihak pemaju dan anggota polis tiba pada pagi 26 Nov lalu.

"Berdasarkan siasatan polis, sejumlah RM150,000 diserahkan kepada ketua kumpulan terbabit untuk melakukan kerja menceroboh, mengambil alih dan mengawal kuil.

"Lebih kurang 50 orang diupah untuk melakukan kerja itu yang setiap setiap seorang daripada mereka menerima bayaran antara RM150 hingga RM300," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Menurut Muhyiddin tindakan menceroboh itu amat tidak bertanggungjawab dan menyalahi undang-undang.

Ia juga katanya menimbulkan kemarahan penganut Hindu yang berada di kawasan kejadian sehingga menimbulkan kekecohan, pergaduhan dan kerosakan harta benda.

"Saya amat kesal dengan tindakan gopoh dan cuai yang diambil pihak dikaitkan dengan syarikat pemaju yang jelas melanggar undang-undang," katanya.

Menurut Muhyiddin lagi, sekiranya tindakan gopoh dan cuai ini tidak diambil, beliau percaya insiden pergaduhan tidak berlaku.

Everest: Tewas tiba di puncak, mayat dibiarkan?

EVEREST menitipkan keazaman, ketabahan dan keberanian buat pendaki-pendaki gunung yang mempertaruhkan nyawa untuk menakluk Gunung Everest berketinggian 8,848 meter dari paras laut.

Pelbagai kisah benar tragis ekspedisi didengari dari kisah gembira mahupun duka untuk mencapai impian sampai ke puncak.

Gunung Everest mempunyai dua laluan memanjat, rabung tenggara dari Nepal dan rabung barat laut dari Tibet.

Laluan dari rabung tenggara adalah lebih mudah secara teknikal kerana sering kali digunakan oleh para pendaki.

Pendakian pertama telah dilakukan oleh Edmund Hillary pada 1953 dan setakat ini lebih dari 280 orang telah dilaporkan terkorban semasa mendaki gunung Everest.

Antara kes kematian disebabkan kejadian salji runtuh, kecederaan akibat terjatuh, dihempap ketulan air, ribut salji dan masalah kesihatan yang disebabkan oleh cuaca ekstrim di atas gunung ini.

Berdasarkan jumlah kematian, adakah kesemua mayat akan ditemui atau dibawa turun oleh pasukan penyelamat?

Jawapannya adalah tidak.

Mayat-mayat para pendaki yang tewas akan dibiarkan begitu sahaja kerana proses untuk membawa turun mayat-mayat adalah sukar disebabkan oleh keadaan cuaca yang ekstrim.

Bagaimanapun masih terdapat beberapa mangsa terkorban dibawa pulang atas permintaan ahli keluarga.

Memetik BBC tulisan Rachel Nuwer, mayat pendaki dan pengangkat beban biasa ditemui dalam rekahan, terkubur di dalam gelonsoran salji dan dijumpai di dasar jurang.

Jumlah mayat tidak terkira di puncak dan pendaki kadang kala harus melangkahi mayat-mayat untuk tiba di puncak Everest.

Tiba di 'zon kematian' di puncak, jika tubuh tidak mampu bertahan pasti akan membawa maut, jika bertuah, mereka akan selamat.

Antara faktor kematian seperti, kepenatan, darah beku dalam otak, terperangkap dalam salji dan terjatuh atau cedera di kepala. - BBC

Urus diabetes, anda boleh teruskan kehidupan berkualiti

Bernama

Anda diberitahu oleh doktor bahawa anda menghidap diabetes.
Ia amat mengejutkan, berita yang tidak dijangka bagi setiap orang. Anda mungkin berasa sedih, marah atau takut memikirkan hidup dengan penyakit kronik ini.

Tetapi jangan putus asa. Menghidap diabetes bukanlah pengakhiran bagi diri anda.

Anda masih boleh menjalani kehidupan yang sihat dan bermakna sehinggalah ke usia tua. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah melakukan sedikit perubahan pada gaya hidup (yang mungkin tidak sihat) dan kuasai diri untuk menghadapi cabaran tersebut.

Teruskan membaca bagaimana anda boleh mencapainya:

Diet sihat, seimbang
Orang yang menghidap diabetes boleh mengambil makanan yang sama seperti mereka yang tidak mempunyai diabetes dengan hanya sedikit penyesuaian. Sesengguhnya, tidak perlu menyediakan makanan berasingan atau membeli makanan istimewa. Malah, anggota keluarga dapat menikmati bersama makanan sihat dan berkhasiat.

Mulakan dengan memilih pelbagai jenis dari setiap kumpulan piramid makanan tanpa menjejaskan rasa atau nutrisinya. Sekiranya anda obes atau berlebihan berat badan, pilih makanan yang rendah lemak dan kalori (dan garam, untuk mengurangkan risiko tekanan darah tinggi).

Pastikan banyak pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran serta bijirin dan banyakkan minum air – jadikan satu kebiasaan untuk mengambil sekurang-kurangnya 2 hidangan buah-buahan dan 3 hidangan sayur-sayuran seperti lobak merah, kubis dan kembang kol setiap hari. Minum 6 hingga 8 gelas (kira-kira 2 liter) air (kosong – bukan jus atau minuman berkarbonat) setiap hari.

Pastikan pengambilan serat yang mencukupi (kira-kira 20-30 g sehari) dalam diet anda. Sumber-sumber serat yang baik termasuk oat, beras yang tidak dibersihkan, roti bijirin dan bijirin, kekacang, buah-buahan dan sayur-sayuran. Makanan yang tinggi serat membantu menurunkan paras glukosa dan juga paras kolesterol dalam darah anda, sekali gus mengurangkan risiko penyakit jantung.

Apabila mengambil makanan, adalah baik untuk anda mengamalkan panduan ‘Pinggan Sihat’ – penuhkan separuh pinggan dengan buah-buahan dan sayur-sayuran, satu perempat dengan protein seperti ikan atau ayam dan satu perempat lagi dengan karbohidrat (kompleks), sebagai contoh, beras atau roti. Sudah tentu, anda perlu menggunakan pinggan yang lebih kecil (tanpa menambah!), jika anda perlu menurunkan berat badan.

Dapatkan nasihat pakar diet jika anda memerlukan bantuan dengan pemakanan anda.

Terus aktif secara fizikal
Seperti makan makanan yang sihat, senaman secara berkala merupakan ‘tulang belakang’ dalam pengurusan diabetes. Diet dan senaman boleh membantu mengawal berat badan anda dan mengurangkan tahap glukosa darah (dengan membuat sel-sel otot anda lebih sensitif terhadap insulin). Senaman boleh menurunkan kadar kolesterol darah dan tekanan darah tinggi, dengan itu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular (jantung). Selain itu, ia akan membantu anda merasakan lebih baik (melalui pelepasan hormon yang baik, endorfin, dari otak anda) dan meningkatkan kesihatan anda secara keseluruhan (terutamanya jantung, paru-paru, otot, tulang dan sendi).

Anda tidak perlu untuk menyertai kelab kecergasan atau membeli peralatan yang mahal untuk mendapatkan senaman yang baik. Berjalan pantas adalah suatu senaman yang baik. Anda juga boleh berjoging, berbasikal, berenang atau melakukan tekan tubi dan/atau aerobik secara privasi dalam ruang tamu anda.

Sebelum anda memulakannya, sila rujuk dengan doktor anda untuk mengetahui sama ada anda boleh melakukan senaman dan apakah aktiviti yang selamat untuk anda. Jika anda baru bermula, mulakan dengan 5 minit sehari dan secara beransur-ansur menambah lebih banyak masa. Tetapkan matlamat untuk melakukan senaman intensiti sederhana sekurang-kurangnya 30 minit, 3 hingga 5 hari seminggu. Anda perlu melakukan senaman dengan lebih lama dan lebih kerap jika anda mahu menurunkan berat badan.

Perlu diingatkan, anda tidak perlu mengekalkan waktu tertentu untuk melakukan senaman. Anda boleh menggabungkan aktiviti fizikal dalam kehidupan harian anda. Sebagai contoh, menaiki tangga dan bukannya lif adalah perkara baik untuk dilakukan. Pada waktu petang atau hujung minggu, anda boleh melakukan aktiviti mencuci kereta atau membersih rumah anda.

Lakukan aktiviti fizikal termasuk senaman bersama-sama keluarga, bukan hanya untuk memastikan keluarga sihat malah mengeratkan hubungan keluarga.

Kurangkan berat badan
Kajian menunjukkan jika seseorang yang menghidap diabetes berbadan gemuk, penurunan berat badan sebanyak 10% dapat meningkatkan jangka hayatnya dengan menurunkan risiko kematian akibat semua penyakit yang berkaitan dengan diabetes (termasuk serangan jantung dan angin ahmar). Penurunan berat badan berlebihan juga membantu mengawal diabetes dengan menjadikan tubuh lebih sensitif terhadap insulin, sekali gus menurunkan kadar glukosa darah. Ia juga boleh memperbaiki profil lipid darah dan mengurangkan tekanan darah tinggi.

Baru-baru ini, kajian mencadangkan dengan penurunan berat badan, seseorang juga boleh menterbalikkan (‘menyembuh’) diabetes (jenis 2).

Untuk mengurangkan berat badan, anda mesti kurangkan makan dan lebih aktif secara fizikal. Ia adalah untuk mengurangkan pengambilan tenaga anda dari makanan (dengan mengurangkan pengambilan makanan, mengelakkan lemak atau minyak dalam diet anda).

Anda boleh menjangkakan penurunan kira-kira 0.5 kg seminggu dengan makan kurang 500 kalori setiap hari (untuk perbandingan, sebiji burger besar mengandungi kira-kira 540 kalori!). Adalah munasabah untuk menurunkan 0.5 -1.0 kg seminggu (melalui diet dan senaman) sehinggalah anda mencapai berat badan yang ideal.

Pastikan paras glukosa dalam darah normal
Diabetes memberi kesan kepada tahap glukosa darah harian anda. Tahap glukosa darah tinggi berterusan akan merosakkan badan anda dan akan mengakibatkan komplikasi. Mengekalkan paras glukosa darah anda pada paras normal (disyorkan) dapat membantu mengelak atau melambatkan komplikasi yang ditakuti ini.

Kini, anda boleh memantau tahap glukosa darah anda di rumah (atau di tempat kerja) dengan mengguna glukometer mudah alih. Anda cuma perlu cucuk sedikit pada hujung jari (atau lengan) dan hasilnya diketahui dalam masa kurang daripada seminit.

Pantau tahap glukosa darah anda mengikut nasihat doktor. Sesetengah pakar diabetes mengesyor pemeriksaan sebelum makan, 2 jam selepas makan, sebelum atau selepas senaman, sebelum tidur dan ketika anda berasa tidak sihat.

Pemeriksaan pada masa berlainan seperti ini memberi anda kefahaman bagaimana tahap glukosa darah anda terjejas oleh pengambilan makanan dan aktiviti fizikal anda, dengan itu membantu anda (dan doktor anda) untuk mengurus diabetes dengan cara terbaik. Yang penting, dengan ujian glukosa darah berkala, anda juga dapat mengesan tahap glukosa darah rendah (hipoglikemia), terutamanya jika anda mengambil insulin.

Sentiasa rekodkan dan bincangkan hasil ujian sendiri darah anda dengan doktor.

Setiap 3 bulan atau lebih, doktor akan meminta supaya dilakukan ujian HbA1c bagi memeriksa bagaimana kawalan diabetes anda dalam tempoh 2 hingga 3 bulan lalu.

Secara umumnya, anda disaran mengekalkan kadar glukosa darah antara 4-6 mmol/l semasa berpuasa (semasa bangun waktu pagi) dan 6-8 mmol/l 2 jam selepas makan utama anda.

Anda juga harus berusaha untuk mendapatkan bacaan ujian HbA1c anda kurang dari 7.0% (atau lebih baik lagi, kurang daripada 6.5%).

Artikel ini disampaikan pada program ‘Lawan Diabetes’ anjuran Institut Diabetes Negara (NADI), yang diperakukan oleh Kementerian Kesihatan. Ia bukan bertujuan menggantikan nasihat perubatan profesional. Sekiranya ragu-ragu, sila berjumpa dengan doktor anda.

Untuk pertanyaan, sila hubungi NADI di enquiry@nadidiabetes.com.my atau di talian (03) 7876 1676.

Oleh Profesor Emeritus Datuk Dr Mustaffa Embong, Pakar Perubatan Diabetologi, Institut Diabetes Negara (NADI)

Royalti: Siapa bohong, Hadi atau MB Terengganu?

BORHAN AHMAD
Ketika Hadi dakwa royalti minyak dihalang, MB Terengganu pula mengesahkan Terengganu sudah terima RM300 juta royalti dari Petronas.

Ketika Presiden Pas mendakwa royalti minyak untuk Kelantan dan Terengganu dihalang oleh Kerajaan Pusat, Menteri Besar Terengganu pula memberitahu negeri itu telah menerima royalti sejak Ogos lalu.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya pada Oktober berkata, Kelantan dan Terengganu dihalang dari mendapat royalti.

Dalam status Facebook dimuat naik Ahli Parlimen Marang pada 20 Oktober itu, beliau mendakwa pembayaran royalti kepada Kelantan dan Terengganu terhalang meskipun ia dijanjikan dalam Manifesto PH sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa veteran DAP, Lim Kit Siang mengajukan perkara tersebut kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng jika beliau mahukan bukti.

Abdul Hadi membuat kenyataan sedemikian bagi membalas kenyataan Kit Siang yang mendakwa pemimpin Pas itu memalukan politik Islam kerana mengatakan DAP mendiskriminasikan pembangunan saksama di Pantai Timur.

“Perdana Menteri telah bersetuju untuk mengembalikan royalti terus kepada negeri sebagaimana dijanjikan dalam Manifesto PH.

“Namun pembayaran kepada Kelantan dan Terengganu terhalang. Jika Saudara Lim Kit Siang mahukan bukti, sila tanya Menteri Kewangan (Lim Guan Eng),” tulisnya dalam laman sosial miliknya.

Namun begitu ketika bercakap kepada TV3 pada 25 November, MB Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata negeri itu telah menerima RM300 juta royalti sejak Ogos tahun ini.

Kenyataan Samsuri itu dibuat selepas membentangkan Bajet Terengganu 2019 yang turut memasukkan sumber kerajaan negeri adalah dari Royalti Petroleum dari Petronas.

Rusuhan 17 Lelaki tempatan ditahan

Seramai 17 lelaki tempatan ditahan, setakat ini, bagi membantu siasatan kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun berkata polis juga telah mengenal pasti kesemua individu terlibat termasuk dalang dan siasatan lanjut masih diteruskan.

“Polis turut merampas senjata yang digunakan dalam kejadian itu seperti dua bilah pedang, dua batang kayu dan dua paip getah. Sebanyak 29 laporan polis telah diterima setakat ini berhubung kejadian itu.

“Segala aspek sedang disiasat dengan telus dan kita akan ambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, malam ini.

Mohamad Fuzi menjelaskan daripada 17 yang ditahan itu, seramai enam daripada mereka mengalami kecederaan.

Beliau berkata seorang anggota polis berpangkat koperal dari Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya turut cedera ketika cuba meleraikan kekecohan.

Beliau menegaskan insiden ganas di kuil berkenaan tiada kena-mengena dengan perbalahan perkauman sebaliknya menjurus kepada isu pemindahan kuil dari lokasi asal ke lokasi baharu di Putra Heights yang terletak kira-kira tiga kilometer.

Justeru, Mohamad Fuzi meminta semua pihak supaya berhenti membuat spekulasi atau memberikan komen tidak bertanggungjawab yang boleh mengeruhkan keadaan.

Mengenai dakwaan pihak polis lewat tiba di tempat kejadian untuk membantu meleraikan kekecohan, beliau menyangkal dakwaan itu dan menegaskan bahawa anggota polis tiba di tempat kejadian 10 minit selepas menerima maklumat.

“Kita terima panggilan 2.40 pagi dan kita sampai di tempat kejadian 2.50 pagi dan Ketua Polis Daerah (Subang Jaya) sampai kira-kira 30 minit selepas menerima maklumat berhubung kekecohan itu.

“(Dakwaan) itu tidak tepat sama sekali, kita ada rekod, kita ada catatan diari dan urutan perkembangan. Harap jangan buat spekulasi tidak bertempat, mereka tidak tahu situasi sebenar kerana kita yang kawal keadaan,” katanya dengan tegas.

Mengenai dakwaan pemilik tapak kuil iaitu syarikat pemaju One City Development Sdn. Bhd., yang menafikan ia menjadi dalang kejadian itu, Mohamad Fuzi berkata pihaknya sedang menyiasat mengenainya dan terlalu awal untuk membuat kesimpulan.

Jelas beliau, proses pemindahan kuil ini bukan kali pertama diadakan malah pada tahun ini sudah tiga kali ia dilakukan dan yang terakhir pada empat minggu lalu, usaha seumpamanya diadakan namun gagal kerana berlaku kekecohan.

Menurut Mohamad Fuzi, polis tidak campur tangan dan hanya berperanan untuk mengawal keselamatan.

“Sepatutnya pukul 6 pagi tadi FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) dan anggota dari IPD Serdang sepatutnya berkawal di kuil tersebut bagi pelaksanaan proses pemindahan ke tapak kuil baharu, tetapi kekecohan berlaku lebih awal,” katanya.

Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa polis gagal mengambil tindakan menangani kekecohan itu.

Katanya, jika polis gagal mengambil tindakan ada kemungkinan kejadian lebih buruk berlaku termasuk kematian.

“Sehubungan itu, saya minta semua pihak bertanggungjawab tidak buat kenyataan yang boleh keruhkan keadaan.


“Ahli politik patut bantu redakan keadaan bukan timbul kekeruhan. Ini tidak akan membantu kita kawal keadaan, kita tidak mahu daripada (keadaan) terkawal malah menjadi buruk dan sebagainya.

“Apa pun kita sedang lakukan siasatan terperinci secepat mungkin,” katanya.
-Bernama

Isu kuil: Exco DAP Cuba fitnah orang islam

Selepas dikecam, Exco DAP ubah dakwaan dari ‘sekumpulan Muslim’ kepada ‘gangster’
MALAYSIA DATELINE

Selepas menerima kecaman orang ramai, dakwaan Exco DAP kerajaan negeri Selangor, V. Ganabatirau di laman sosial Facebook didapati diubah daripada sekumpulan orang Islam kepada samseng berhubung rusuhan di kuil dekat Subang Jaya awal pagi tadi.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin itu memberitahu sekumpulan orang Islam yang terlibat dalam rusuhan tersebut sebagai cubaan untuk mewujudkan ketidakharmonian dalam kalangan kaum di negara ini.

Ganabatirau menggesa polis melakukan siasatan secara teliti terhadap insiden itu dan memberi perlindungan yang diperlukan kepada orang awam mengikut Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Dakwanya, dia menerima laporan sekumpulan penceroboh memasuki kuil dengan senjata berbahaya dan menyerang orang awam di kuil itu.

Dalam kenyataan sama, ujarnya, isu penempatan semula Kuil Seafield Sri Maha Mariamman di USJ25 itu adalah berikutan perebutan antara dua kumpulan dalam pentadbiran kuil.

Bagaimanapun, tuduhan Adun Kota Kemuning yang mengaitkan dengan orang Islam itu dikritik pelbagai pihak dengan rata-rata menganggap bersifat rasis dan menyemarakan sentimen perkauman melampau.

Banyak pihak juga berpendapat isu pergaduhan di kuil itu bukan melibatkan umat Islam tetapi masalah syarikat pemaju dengan pihak pentadbiran kuil dengan sekumpulan samseng upahan.

Antara kenderan yang dibakar ketika pergaduhan dua kumpulan di kuil Hindu Hindu di USJ 25 kira-kira jam 2 pagi tadi.

Rusuhan kuil: Siapa terlibat, ikuti penjelasan timbalan IGP

Kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor awal pagi ini bukan melibatkan perbalahan antara kaum, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Beliau berkata siasatan awal mendapati ia dipercayai berpunca daripada proses pengambilan tanah di kawasan tersebut yang dikatakan dibuat dengan “cara yang kurang menyenangkan” antara pemilik tanah dan pihak kuil.

"Mungkin pihak yang nak ambil alih mengupah sekumpulan lelaki Melayu untuk memudahkan mereka ambil alih kawasan tersebut. Ada kemungkinan mereka ini kumpulan samseng, dan pastilah kumpulan berbangsa India cuba mempertahankan (pencerobohan).

"Saya perlu jelaskan kerana ia menjadi satu isu sensitif (buat masa ini) dan saya tidak mahu mana-mana pihak mengambil kesempatan. Tak ada isu berkaitan pergaduhan antara kaum," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara 2018 kepada 344 pegawai dan anggota Polis Kontinjen Kelantan, di Kota Bharu hari ini.

Turut hadir adalah Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.

Mengulas lanjut, Noor Rashid berkata kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi tadi bermula selepas sekumpulan kira-kira 50 lelaki yang dipercayai bangsa Melayu telah menceroboh kuil itu lalu disedari beberapa penjaga kuil berbangsa India.

Beliau berkata penjaga kuil itu telah bertindak menghubungi rakan-rakannya bagi memaklumkan aksi pencerobohan itu, menyebabkan kira-kira 200 lelaki India tiba di tempat kejadian dan lalu mengepung kuil berkenaan.

"Ketika pengepungan berlaku, polis telah tiba di tempat kejadian. Suatu ketika kumpulan lelaki (yang menceroboh) itu cuba melarikan diri hingga berlaku perbalahan antara kedua-dua kumpulan.

“Akibatnya, tiga lelaki telah cedera manakala beberapa kenderaan turut dilaporkan terbakar," katanya.

Noor Rashid berkata PDRM akan membuka kertas siasatan berhubung kes berkenaan iaitu membabitkan perbuatan pencerobohan kuil serta aksi ganas kumpulan terlibat hingga menyebabkan 18 buah kereta terbakar.

Beliau turut mengingatkan kesemua pihak supaya tidak tular sebarang berita tidak benar berhubung kejadian itu kerana dibimbangi boleh mengancam keselamatan negara.

"Kita akan bertemu dengan pemimpin parti politik, ketua kampung dan ketua masyarakat di kawasan tersebut untuk menasihati dan menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku,” katanya sambil memberi amaran akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tetap berdegil untuk tular insiden itu khususnya melalui media sosial.

Mengulas berhubung penyebaran mesej yang kini tular di negara jiran dengan mendakwa Malaysia tidak selamat untuk dilawati pada 5 hingga 10 Dis depan, beliau berkata gambaran mesej itu tidak tepat.

"(Negara) kita masih selamat dan tiada sebarang perbalahan kaum. Polis masih mampu mengawal sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku," katanya.

Insiden kekecohan itu dikatakan berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil itu.

Video yang memperlihatkian aksi ganas kedua-dua kumpulan itu dilaporkan kini viral dalam media sosial.
-Bernama

Parti lebai pun subahat? : Asmuni dakwa Umno tawarnya jadi MB Perak

Seorang exco kerajaan negeri Perak hari ini mendedahkan bahawa Umno menawarkan beliau jawatan menteri besar jika meninggalkan Pakatan Harapan dan bersama membentuk kerajaan dengan wakil rakyat PAS dan Bersatu.

Malah, kata Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi, Umno menghantar wakil menemuinya pada 1 November lalu bagi menawarkan tawaran berkenaan.

“Saya tolak bulat-bulat tawaran yang dibuat oleh individu yang sangat dikenali itu.

"Individu yang pernah berjawatan tinggi dalam Umno Perak itu telah bertemu dengan saya dengan membawa salam daripada Datuk Shaarani (Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak) dan menawarkan jawatan menteri besar Perak kepada saya," katanya di Facebook hari ini.

Mengulas dakwaan Umno bahawa wujudnya gerakan yang serius untuk menjatuhkan Menteri Besar oleh beberapa orang exco kerajaan negeri, Asmuni berkata, parti Amanah tetap teguh di belakang Menterri Besar Ahmad Faizal Azumu untuk mentadbir kerajaan negeri Perak.

Menurutnya, Adun-Adun dari parti komponen Pakatan Harapan yang lain turut berpendirian yang sama

“Saya menegaskan di pihak Amanah 'solid' di belakang menteri besar untuk mendokong kerajaan yang ada pada hari ini. Dan Adun-Adun dari parti komponen Pakatan Harapan yang lain turut berpendirian yang sama.

“Tidak ada sebarang masalah yang boleh cetuskan pertelingkahan dan kestabilan,” katanya.

Bernama hari ini melaporkan Armada Bersatu Perak mendesak kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Perak menyiasat dakwaan bahawa terdapat exco kerajaan negeri berkomplot dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang untuk menjatuhkan Ahmad Faizal.

Ketua Armada Bersatu Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata pihaknya memandang serius dakwaan itu dan jika benar tindakan tegas mesti diambil terhadap pihak terbabit dengan memecat atau menggugurkannya dari exco kerajaan negeri selain tindakan disiplin diambil oleh kepimpinan parti.

Katanya, tindakan mempermainkan rakan-rakan PH dengan berkomplot bersama Adun pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat adalah suatu perbuatan yang tidak boleh dikompromi sama sekali.

Rusuhan di kuil: 18 kereta dibakar, polis tahan dua lelaki

Dua lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan bagi membantu siasatan berhubung kekecohan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights awal pagi tadi.

Bernama memetik Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor sebagai berkata dua individu berkenaan ditahan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Serdang pagi tadi akibat tercedera dalam kejadian pada kira-kira pukul 2 pagi.

"Sebanyak 18 buah kereta pelbagai jenis dan dua motosikal turut dibakar dalam kejadian berkenaan.

“Sebuah kereta peronda polis turut rosak akibat dibaling batu oleh perusuh," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, hari ini.

Insiden kekecohan itu dikatakan berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil, yang berusia lebih 100 tahun.

Video kejadian itu viral dalam media sosial. Turut dilaporkan banyak kenderaan terperangkap dalam kesesakan di sekitar kawasan berkenaan pada waktu puncak pagi ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, pihaknya tiba ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima maklumat bagi memastikan keadaan terkawal.

“Polis akan melaksanakan tugasan mengikut peruntukan undang-undang bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam ketika proses pemindahan kuil berusia lebih 140 tahun itu.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Amanah bakal hilang dari radar politik negara - Prof. Agus Yusoff

Hanya 40% untuk prestasi menteri AMANAH, kata Agus
MALAYSIA DATELINE
Hanya 40% untuk prestasi menteri AMANAH, kata Agus
Penganalisis politik, Profesor Mohammad Agus Yusoff berkata, beliau memberikan purata 40 peratus sahaja kepada prestasi lima menteri AMANAH dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Menteri AMANAH lima orang. Saya beri purata prestasi mereka 40%, dengan Datuk Seri Dr Dzulkifley terbaik antara lima. Terbaik kerana beliau menjawab di parlimen dengan baik dan substantif. Yang lain-lain seadanya sahaja. Ada tidak menguntungkan, tiada tidak merugikan,” tulis beliau dalam Facebooknya semalam.

Kata beliau, seorang menteri AMANAH, semasa menjawab soalan di Dewan, suka mengulang perkataan “saya sekarang menteri. Tak cukup peruntukan, saya akan bincang dengan Menteri Kewangan.”

Soalan asal dari MP Pembangkang berbelit-belit dijawabnya. Program kementerian banyak yang dirancang, tetapi tiada yang luar biasa, berterusan retorik, katanya.

“Seorang menteri lagi, suka bercakap. Semua hal hendak dijawabnya, pantang wartawan tanya. Sebab itulah jawapan selalu tersasul sehingga ada yang mencetuskan kontroversi. Polisi baharu tidak ada. Klise sahaja.

“Sebab terjadi begini kerana menteri tidak cekap dan pegawai serta penasihatnya pun sama. Maka, beginilah jadinya.

“Tiga lagi menteri saya belum mahu komen,” kata beliau.

Ujar Agus, jika sikap menteri AMANAH berterusan seperti ini, beliau berharap sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, mereka ini diganti dengan individu lain.

Jelasnya, gejala sindrom penafian dan ‘syok sendiri’ yang beliau fikir hanya berlaku kepada menteri Umno sahaja kini berjangkit kepada pemimpin AMANAH.

“AMANAH jika mahu terus survive, perlu bertapak kukuh di Kelantan dan Terengganu. Malangnya, saya perhatikan AMANAH di dua negeri ini seperti hidup segan mati tak mahu.

“Jika begini senarionya, selepas PRU-15 nanti, semakin hilanglah AMANAH dari radar peta politik negara,” katanya lagi.

Najib juga arah sendiri laporan audit 1MDB dipinda Kata ketua audit negara

Selain bahagian yang menyebut ahli perniagaan Low Taek Jho, pentadbiran BN turut mengarahkan beberapa lagi pindaan dibuat terhadap laporan audit 1MDB, kata Ketua Audit Negara Madinah Mohamad.

Ia termasuklah perenggan berkenaan penyata kewangan 1MDB bagi 2014 yang diarahkan sendiri oleh bekas perdana menteri Najib Razak.

Madinah berkata, Najib membuat arahan itu dalam mesyuarat pada 22 Februari 2016, yang turut dihadiri bekas ketua setiausaha negara Dr Ali Hamsa, bekas ketua setiausaha sulit perdana menteri Shukry Salleh dpan bekas ketua audit negara Ambrin Buang.

"Bekas perdana menteri telah mengarahkan pengguguran perenggan yang mengandungi dua versi penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 2014, dan mengarahkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.

"Pada 23 Februari (keesokannya), dalam mesyuarat di pejabat ketua setiausaha negara yang dihadiri Ali, Shukry dan Ambrin, pasukan audit 1MDB dimaklumkan kerajaan telah mengkategorikan laporan akhir itu sebagai satu krisis," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baca: SU sulit Najib arah gugur nama Jho Low dari laporan - Ketua audit negara

Sejak mesyuarat 22 Februari itu, kata Madinah lagi, empat pindaan lagi dibuat termasuk bahagian yang menyebut kehadiran Jho Low dalam salah satu mesyuarat lembaga pengarah 1MDB.

"...Atas alasan ia sensitif dan untuk mengelakkan fakta diputar-belit pembangkang (pada masa itu)," katanya.

Selain bahagian berkenaan penyata kewangan 2014 dan Jho Low, Madinah bagaimanapun tidak menerangkan secara terperinci bahagian lain yang dipinda atau digugurkan daripada laporan itu.

Selepas lima pindaan itu, Madinah berkata barulah naskhah laporan dicetak ppada 3 Mac 2016 dan diserahkan kepada bekas setiausaha sulit kanan ketua setiausaha negara.

"Pada 4 dan 7 Mac 2016, bekas ketua audit negara membentangkan laporan akhir di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC).

"Laporan akhir audit 1MDB sebelum pindaan telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut pada 2018," katanya lagi.

Pindaan terhadap laporan audit ini didedahkan oleh Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Woh pada 29 Oktober lalu. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci, sebaliknya hanya mengatakan "kandungan yang hilang itu akan menjejaskan imej pentadbiran lalu".

Keesokannya, Ambrin menafikan dakwaan itu dan berkata tidak tahu apa yang dimaksudkan Wong.

Dua hari lalu, laporan Utusan Malaysia yang memetik sumber menamakan Najib sebagai individu yang bertanggungjawab mengarahkan pindaan itu

Menurut laporan itu, sumebr itu mendakwa ia dibuat dalam mesyuarat di pejabat perdana menteri dan mengeluarkan maklumat berkenaan pembabitannya dan Jho Low dalam 1MDB.

Naib Ketua Pemuda AMANAH umum letak jawatan

MALAYSIA DATELINE
Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional semalam menyaksikan Naib Ketua sayap parti itu, Mohd. Fakhrulrazi Mohd. Mokhtar mengumumkan peletakan jawatan berkuatkuasa serta-merta.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru itu, tindakan tersebut demi memberi ruang kepada pemimpin pelapis yang lebih muda.

“Saya juga mahu memberi fokus kepada tugasan yang lebih besar sebagai wakil rakyat dan dakwah di peringkat antarabangsa,” katanya ketika mencelah semasa perbahasan usul-usul.

Fakhrulrazi, 40, sebelum ini pernah didakwa menghasut semasa perhimpunan#KitaLawan pada 21 Februari 2015.

3 petua tradisional untuk diabetes

Butterkicap Team
Kencing manis? Apa itu sebenarnya kencing manis? Kencing manis merupakan satu keadaan apabila paras glukos sangat tinggi dalam darah yang berpunca daripada kekurangan daya keberkesanan insulin yang dihasilkan oleh organ pankreas.
Insulin mengawal keseimbangan glukosa dalam badan dengan membantu pergerakan glukosa dari salur darah dalam sel badan.

Sekiranya anda mengalami penyakit kencing manis, glukosa dalam darah tidak dapat memasuki sel-sel berkaitan, ia akan terkumpul dalam darah dan menyebabkan paras glukosa yang tinggi. Ia merupakan antara penyakit yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia sejak dulu lagi. Kenapa agaknya ya? Diabetes sering dikatakan berpunca daripada pemakanan yang tidak seimbang dan ada juga mengaitkan dengan faktor genetik dimana orang menggelarkan ia sebagai penyakit keturunan.

Merawat kencing manis boleh menggunakkan pelbagai alternatif sama ada secara moden mahupun tradisional.

Di sini kami menyediakan 6 petua tradisional merawat kencing manis dengan menggunakan bahan semula jadi dan mudah didapati di sekeliling dengan hanya menanamnya sendiri. Khasiat yang ada pada semua bahan ini tidak dinafikan lagi dan ia diamalkan sejak dahulu lagi dalam usaha mencegah dan merawat segala jenis penyakit yang ada.

Peria katak

Peria katak sering dijadikan bahan dalam masakan terutamanya masyarakat Melayu, adakala ia dijadikan ubat dan herba untuk merawat pelbagai penyakit termasuklah diabetes. Buah ini mengandungi 3 zat aktif bersifat anti-diabetes termasuk charatin yang disahkan mempunyai kesan merendahkan kadar glukosa dalam darah, vicine dan sebatian insulin yang dikenali sebagai Polipeptida-P.

Peria juga mengandungi lektin yang menurunkan kemampuan glukos dalam darah yang bertindak balas dengan tisu utama dan menghilangkan selera makan individu. Lektin ini menjadi punca utama kepada perkembangan hipoglikemik. Salah satu cara yang boleh diamalkan dengan penggunaan peria katak dalam merawat diabetes ialah membuat jus peria katak bersama epal hijau.

Penyediaan jus ini bermanfaat kepada pesakit untuk menurunkan bacaan gula dalam darah. Ia bagi memastikan kadar gula dalam paras normal dan terkawal. Rasa pahit yang ada pada buah peria menjadi penawar terbaik kepada sebarang penyakit. Resepi untuk menghasilkan jus ini sungguh mudah dengan menyediakan sebiji peria katak, sebiji epal hijau dan 4 cawan air kosong.

Cara penyediaannya ialah anda hanya perlu potong halus peria dan buah epal dipotong lalu dibuang bijinya. Kisarkan kedua-dua bahan bersama air kosong sehingga hancur. Sebelum minum jus ini, tapis dahulu bagi membuang hampas buah-buah tersebut. Diingatkan jangan mencampurkan gula kerana hilang khasiat peria tersebut dan kadar gula tidak dapat dikawal dengan baik.

Selain dari mencampurkan dengan epal hijau, ada juga variasi resepi dimana mencampurkan peria katak bersama daun saderi, timun dan cili benggala hijau. Anda disarankan untuk mengamalkan jus ini setiap hari dan secara konsisten bagi mengawal kadar gula dalam darah dan merawat diabetes secara semula jadi.

Ginseng

Petua seterusnya adalah merawat menggunakan ginseng. Terdapat beberapa kajian terdahulu yang membuktikan ginseng Amerika berupaya membantu dalam penurunan kadar glukosa darah ketika berpuasa. Pelbagai jenis ginseng yang boleh diperolehi, antaranya ginseng Korea, ginseng Siberia, ginseng Amerika dan ginseng Jepun.

Dalam semua kategori tumbuhan ini, spesies ginseng panax sangat popular dalam merawat secara menyeluruh. Ia sama seperti kebanyakan herba yang dijadikan penawar kepada penyakit diabetes. Justeru, pelbagai kajian lanjutan perlu dilaksanakan bagi membuktikan lagi keberkesanan ginseng dalam merawat pelbagai penyakit.

Seperti yang kita sedia maklum, ginseng sememangnya mempunyai pelbagai manfaat yang baik untuk kesihatan manusia. Ia diamalkan sejak 2000 tahun dahulu lagi di China sebagai penawar dan pembekal tenaga yang baik. Ginseng dikatakan berupaya meningkatkan daya imunisasi dan mampu menurunkan kadar glukosa bagi pengidap diabetes.

Pelbagai jenis ginseng boleh didapati dan setiap ginseng mempunyai khasiat yang berbeza dalam merawat dan mencegah penyakit yang berlainan jenis. Antara ginseng yang boleh dikenali ialah ginseng Asia (Panax ginseng), ginseng ini juga dikenali sebagai ginseng Korea.

Kebaikan yang ada pada ginseng ini ialah ia mampu meningkatkan kesihatan dan sistem imunisasi pada tubuh badan kita serta membantu mengawal tekanan gula dalam darah supaya menjadi normal. Selain itu, ginseng Amerika (Panax quinquefolius) yang digunakan untuk mengawal tekanan dan meningkatkan sistem imunisasi badan supaya dapat melawan daripada demam dan masalah angin dalam badan.

Ada juga menggunakan ia sebagai penawar dan pencegah kepada anemia, diabetes dan sebagainya. Seterusnya, Ginseng Siberia (Eleutherococcus senticosus) yang bukanlah dikategorikan sebagai ginseng, namun, khasiatnya dalam mengubati penyakit adalah sama seperti ginseng yang lain seperti keupayaannya dalam meningkatkan tenaga dan kecergasan fizikal kepada kita dalam melakukan tugas harian dengan lancar tanpa sebarang gangguan kesihatan.

Walaupun ia mempunyai pelbagai manfaat dalam kesihatan, terdapat juga kesan sampingan yang tidak dapat dielakkan seperti pening, sukar tidur, masalah penghadaman dan alergik. Nasihat doktor dan pakar perubatan amatlah diperlukan bagi mengelakkan kesan yang buruk kepada tubuh badan anda. Guna secara teratur dan sederhana supaya ia dapat mengubati dan memberi kebaikan kepada tubuh badan.

Jika anda baru menjalani pembedahan atau akan melakukan pembedahan, sebaiknya anda elakkan diri daripada menggunakan ginseng terutama sekali ginseng Asia. Ia sama juga dengan ibu mengandung dan menyusukan anak dilarang mengamalkan ginseng, kerana ia mungkin akan memberikan kesan negatif kepada bayi anda. Penyediaan ginseng sebagai ubat diabetes, ia dijadikan minuman teh dan ada juga dijual dalam bentuk minuman bertin.

Lidah buaya

Terdapat beberapa kajian awal yang menyarankan pengambilan jus lidah buaya berupaya meningkatkan kadar glukosa dalam darah, sekaligus merawat kencing manis. Jus lidah buaya dikatakan dapat menurunkan lipid darah (lemak) pada pesakit, meredakan bengkak dan menyembuhkan luka dengan pantas. Ini kerana, luka dan ulser pada kaki yang disebabkan oleh diabetes kebiasaannya mengambil masa yang panjang untuk sembuh.

Bagi mengawal paras gula dalam darah. Penggunaan lidah budaya adalah dengan cara mengambil 1 batang lidah buaya, kemudian bersihkan dan kupas kulit serta durinya. Rendamkan selama 30 minit bersama air garam. Ramas dan bilaskan dengan air. Rebuskan bersama 3 gelas air sehingga mendidih. Setelah itu, biarkan seketika sehingga air sejuk. Amalkan minuman ini 3 kali sehari sebanyak ½ gelas. Lakukan ia secara konsisten supaya paras gula dapat dipulihkan menjadi normal kembali.

Selain itu, petua ini berkesan bagi mengubati kencing manis secara menyeluruh dengan cara yang lebih kurang dengan kaedah mengawal paras gula. Cuma tambahkan menjadi 2 batang dan direbus bersama 3 gelas air dan ditapis gelnya untuk mengambil air sahaja. Amalkan minum air ini 3 kali sehari selepas mengambil makanan sebanyak setengah gelas. Lakukan setiap hari untuk melihat tindak balas lidah buaya dalam merawat kencing manis.

Artikel ini pernah diterbitkan dalam http://www.butterkicap.com/