10 sebab kenapa saya tolak Umno dan BN

P Gunasegaram
Jika anda akan mengundi Umno/BN pada PRU kali ini, atau jika bercadang rosakkan undi sebagai protes terhadap suasana politik hari ini, atau pun jika belum membuat keputusan, saya berharap anda akan membaca tulisan ini.

Ini sepuluh sebab mengapa saya tidak akan undi Umno/BN dan mengapa saya fikir kita perlu memberi peluang kepada pihak lain untuk mentadbir negara kita, sebelum ia dimusnahkan oleh mereka yang pentingkan diri sendiri, tidak cekap, tamak dan tidak beretika.

Jika mereka dibenarkan meneruskan cara mereka dengan sewenang-wenangnya untuk lima tahun lagi, ia akan membawa kerosakan besar
kepada negara dan barangkali mengambil masa berdekad untuk memulihkannya semula. Di saat mereka kian terdesak, entah apa yang
akan mereka lakukan pada masa depan.

1. Skandal 1MDB

Laporan Ketua Audit Negara berhubung 1MDB yang dilapor media menyatakan kira-kira AS$7 bilion (RM28 bilion) yang tidak dapat dikesan,
atau dengan kata lain, telah hilang.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berkata sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion telah diselewengkan daripada 1MDB dan kini dalam proses merampas aset yang diperolehi daripada wang itu.

Sejumlah AS$681 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak, yang menurutnya derma daripada keluarga diraja Arab Saudi dan sebahagiannya telah dipulangkan.

Namun DOJ menyatakan perkara berbeza. Menurut mereka, wang itu daripada Tanore Finance yang dikawal oleh Jho Low. Jika ingin mendapatkan maklumat penuh, anda boleh muat turun laporan ini yang ditulis saya. Lihak Appendix 4 pada halaman 34 untuk melihat aliran wang itu.

Hampir mustahil fakta DOJ ini salah kerana aliran wang di peringkat antarabangsa dapat dikesan dengan mudah dan tepat melalui rekod yang tidak menipu.

Jika Najib tidak terlibat, beliau sepatutnya mengarahkan siasatan segera dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. Tetapi itu tidak berlaku.

Kini ada aset negara di AS dan negara lain tetapi aset ini tidak dapat dibawa pulang kerana Malaysia tidak mengaku penyelewengan seperti yang didakwa.

Sebagai orang terpelajar, pemimpin Umno dan BN lain pasti sedar dengan semua ini. Tetapi atas pelbagai sebab, hampir kesemuanya membenarkan perlakuan Najib dan terus menyokongnya. Mereka bersubahat dengan kleptokrasi besar-besaran ini - yang terbesar pernah disaksikan dunia.

Ini saja sudah cukup menjadi sebab mengapa mereka perlu disingkirkan.

Bukan itu saja, skandal ini memberi kesan sampingan dari segi kemerosotan keyakinan terhadap negara oleh rakyat dan orang luar, menyebabkan kejatuhan nilai mata wang walaupun ada sedikit pemulihan sekarang. Kejatuhan nilai ringgit seterusnya menyebabkan peningkatan harga barang.

2. Kontrak berat sebelah

Jika anda fikir kleptokrasi hanya berlaku sekali dan tidak akan merebak ke perkara lain, anda silap besar. 1MDB meninggalkan lubang besar dan dakwaan rompakan berterusan selepas 2013. Satu-satunya cara untuk mengelakkan perkara itu tidak terdedah adalah dengan menutup lubang tersebut.

Ini mungkin dilakukan melalui kontrak mahal dan berat sebelah yang mana lebihannya boleh disalurkan ke 1MDB.

Misalnya Projek Keretapi Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion yang akan dilaksanakan syarikat dari China. Kos itu mungkin boleh meningkat sehingga RM100 bilion.

Sebuah analisis menunjukkan projek itu sukar untuk berdaya maju dan pada nilai RM55 bilion, ia sudah pun cukup mahal. China menawarkan moratorium selama tujuh tahun bagi pembayaran balik. Jika projek ini tidak berdaya maju, ia akan memberikan beban hutang yang besar kepada generasi masa depan.

Bukan ini saja projek yang akan dilaksanakan syarikat China di negara ini. Jumlah keseluruhan kontrak ini mungkin mencecah ratusan bilion ringgit. Jika kebanyakannya melalui pinjaman pembiayaan, generasi akan datang akan berdepan hutang yang amat besar.

Kontrak berat sebelah ini adalah tanda orang terdesak. Lihat Suharto dan Sukarno dan betapa banyak kerosakan yang telah dilakukan mereka kepada Indonesia dan Filipina.

Kita mesti halang kleptokrat daripada terus melakukan kerosakan kepada negara kita - sekarang.

3. Mereka tidak cekap dan meminggirkan sektor awam yang dulunya efisien

Mereka telah menyemai budaya setiap keputusan dibuat oleh ahli politik - apa yang perlu dibuat, bila dan berapa yang perlu dibelanjakan. Politik memutuskan siapa yang akan jadi menteri. Kini terlalu ramai menteri yang tidak cekap.

Tiada kajian bebas dan betul oleh sektor awam berhubung soal-soal penting. Jika ada sekalipun, ia dilangkaui oleh politik. Hanya mereka yang patuh terhadap ahli politik akan dinaikkan pangkat dan ini akhirnya menyebabkan sektor awam juga menadi tidak cekap dan korup.

4. Kemerosotan sistem pendidikan

Mereka telah mempolitikkan sistem pendidikan. Pertamanya dengan merendahkan standard guru dan kemudiannya pelajar. Mereka tidak
memberi penekanan terhadap bahasa Inggeris - bahasa antarabangsa yang penting untuk memperoleh pengetahuan dan meningkatkan kebolehan.

Mereka enggan menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar mata pelajaran seperti sains dan matematik, maka menyebabkan kebanyakan
pelajar dalam sistem pendidikan kebangsaan lemah dalam bahasa itu.

Ini berterusan di universiti dan melahirkan ramai graduan yang sukar mendapatkan pekerjaan kerana tahap kecekapan yang rendah.

5. Cara tidak adil untuk kekal berkuasa

Sama seperti kerajaan teruk di negara lain, mereka menggunakan cara yang salah dan tidak adil untuk kekal berkuasa. Lihat saja persempadanan semula kawasan pilihan raya yang meningkatkan lagi saiz kawasan Parlimen dan DUN (yang sedia besar jurangnya).

Begitu juga dengan Akta Antiberita Tidak benar yang diluluskan dengan tergesa-gesa yang mungkin akan digunakan untuk menutup maklumat tentang 1MDB dan skandal lain.

Sejak 1969, kerajaan Umno/BN menggunakan kaum dan agama untuk meraih sokongan dan ini berterusan sehingga sekarang. Mereka
bercakap tentang mempertahankan Islam dan hak Melayu seolah-olah dua perkara itu diancam oleh orang bukan Islam. Walhal ia tidak berlaku.

6. Tidak melawan rasuah

Tanda jelas berlakunya rasuah adalah apabila orang berbelanja melangkaui kemampuan mereka. Ini boleh dilihat melalui aset mereka dan
mengenalpasti bagaimana aset itu diperoleh. Aset itu boleh jadi barang kemas atau kapal pesiar mewah.

Tetapi cara siasatan itu tidak pernah dilaksanakan bawah Umno/BN. Ahli politik terus mengumpul aset, kereta mewah misalnya, tetapi tiada yang dipertanggungjawabkan. Yang dikenakan tindakan hanyalah "ikan bilis" dan pembangkang.

Sebahagian "ikan bilis" itu tidaklah terlalu kecil tetapi tetap jauh berbeza dengan saiz kleptokrasi yang kita lihat.

7. Menggunakan kaum untuk mengkayakan diri

Pada September 2013, Najib mengumumkan Pelan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera bernilai RM30 bilion. Ia secara asasnya adalah sejumlah kontrak yang akan diberikan kepada usahawan bumiputera.

Tetapi adakah kontrak ini akan mengubah kehidupan kebanyakan bumiputera di negara ini? Tidak sama sekali.

Mereka yang mendapat kontrak adalah yang berada dalam Umno atau dekat dengan pimpinan parti itu. Kebanyakannya akan menjadi orang tengah dan akan meraih komisen selepas memberikan kontrak itu kepada pihak lain.

Bumiputera terpilih, atau 'Umnoputera', yang sudah kaya menjadi semakin kaya. Pada masa sama sejumlah besar bumiputera lain terus terpinggir.

Ada kaedah lain untuk membantu bumiputera yang sepatutnya sudah lama dilaksanakan. Tetapi ia dihalang oleh amalan rasuah dan naungan.

8. Rakyat tidak mendapat faedah daripada pemerintahan mereka

Dakwaan kerajaan bahawa kemiskinan sudah dibasmikan mengarut. Ini kerana pendapatan garis kemiskinan adalah pada kadar RM800 sebulan
bagi setiap isi rumah. Benar, bagi setiap isi rumah, bukannya individu.

Analisis Bank Negara berhubung gaji kehidupan wajar lebih relevan. Bagi yang tinggal di Kuala Lumpur, ia pada kadar RM2,700 sebulan bagi individu, RM4,500 bagi pasangan tanpa anak dan RM6,500 bagi pasangan dengan dua anak.

9. Penglibatan gangster

Memang banyak kisah tentang Umno dengan gangster sejak sekian lama. Tetapi apa yang mengejutkan adalah pengakuan seorang pemimpin Umno dahulu.

Beliau bukan saja membela Tiga Line, yang diisytiharkan sebagai kumpulan haram, tetapi menganggap dirinya sebahagian daripada kumpulan itu. Beliau kemudian merestui tindakan mereka dan meminta mereka meneruskannya.

10. Mereka tidak peduli demokrasi

Demokrasi adalah tentang memberikan semua orang hak yang sama untuk mengundi, mengamalkan cara hidup sendiri asalkan tidak mengancam orang lain, kebebasan bersuara, hak berhimpun dan kedudukan yang sama bawah undang-undang.

Namun ini semua tidak diamalkan dan ada undang-undang digubal untuk menafikan hak itu. Badan penguat kuasa yang jelas berpihak memburukkan lagi keadaan.

Bulatkan tekad anda

Ini sepuluh senarai saya, walaupun ada lagi sebab yang lain. Saya harap anda dapat menilai perkara ini sebelum memangkah BN.

Orang terdesak akan mengambil langkah yang juga terdesak. Mereka tidak boleh dibenarkan memegang kuasa.

Fikirkan dengan cermat tentang masa depan anda dan anak-anak anda. Hakikatnya lebih baik untuk memberi peluang kepada pembangkang.

Satu soalan untuk mereka yang menganggap pembangkang sama saja dengan BN - Adakah Selangor dan Pulau Pinang menjadi lebih baik
bawah pembangkang? Anda tahu jawapannya - ya.

Kepada mereka yang akan merosakkan undi, ia satu pembaziran hak yang berharga. Apa yang anda mahu capai? Jika anda begitu kecewa dengan politik, sekurang-kurangnya beri peluang pihak lain untuk memegang kuasa dan melakukan perubahan.


Paling kurang pun anda telah melaksanakan hak perlembagaan dengan betul dan tidak mengikut rentak mereka yang pastinya gembira kerana undi anda tidak merugikan mereka.

Kepada mereka yang tidak akan mengundi Umno/BN, saya harap tulisan ini akan membulatkan tekad anda dan anda akan turut menyebarkan pesanan tentang mengapa kerajaan ini perlu disingkirkan.

Kepada semua, keluarlah mengundi. Jangan biarkan apa-apa menghalang anda daripada melaksanakan hak ini. Jadikan setiap undi itu bermakna.

P Gunasegaram mempunyai pengalaman 30 tahun sebagai wartawan dan penganalisis di pelbagai media.

Kecoh! Penyokong Najib bergelut dengan pelajar

Mariam Nizar & Ramieza Wahid

Program bekas perdana menteri Najib Razak hari ini menyaksikan insiden pergelutan antara penyokongnya dan pelajar Universiti Malaya (UM).

Kejadian itu berlaku ketika Najib sedang berucap dalam program santai di Restoran Amjal yang terletak di hadapan UM.

Sekumpulan enam hingga lapan pelajar sebelum itu berkumpul di seberang jalan berhampiran tempat program dan menjeritkan slogan "penipu" dan "mana RM2.6 bilion" sambil memegang plakad yang antara lain berupa gambar badut yang menyerupai Najib.

Susulan itu, penyokong Najib menghampiri mereka dan mengoyakkan plakad yang dipegang pelajar dan seterusnya berlaku pergelutan.

Salah seorang pelajar turut dilihat dicekik dari belakang sebelum dikerumuni individu lain.

Dalam klip rakaman video pemberita, turut kelihatan mengoyakkan plakad adalah Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam.

Kereta mufti Perlis dibakar? (Gambar)


Kereta mufti Perlis dibaling bom petrol - polis

Kenderaan rasmi Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dipercayai dipqqqqqqqqqqqqqqqqqqqercayai dibakar pada bahagian bonet dan cermin hadapan dipecahkan.

Kejadian di hadapan rumahnya di Jalan Persiaran Wawasan di Kangar itu disyaki berlaku awal pagi tadi.

Bh Online melaporkan Ketua Polis Perlis, Noor Mushar Mohd berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan dari kediaman Mohd Asri sekitar jam 6.05 pagi tadi.

“Pihak polis bersama anggota bomba kemudian ke rumah beliau dan mendapati sebuah kereta Honda Accord hitam terbakar pada bahagian bonet hadapan.

“Kebakaran dapat dipadamkan anggota bomba dan kereta untuk kegunaan rasmi itu rosak teruk di bahagian bonet, enjin dan cermin hadapan dan belakang.

“Pihak polis tidak menolak kemungkinan ia adalah angkara khianat berikutan terdapatnya kesan pecah pada cermin hadapan dan belakang kereta akibat dibaling botol berisi petrol untuk tujuan membakar,” katanya yang menjelaskan pihak berkuasa sedang menyiasat secara terperinci kejadian itu.

Noor Mushar dipetik berkata beliau tidak menolak kejadian tersebut sebagai perbuatan kianat.

Terdahulu, Bernama memetik Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari a/l Kiew berkata perbuatan itu disyaki dilakukan individu tidak dikenali.

"Kereta rasmi Mufti Perlis dipercayai dibakar orang tidak dikenali awal pagi ini," lapor agensi berita nasional.

MP Umno jelaskan kenapa dia cium tangan Mahathir

Anggota Parlimen pembangkang Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) hari ini tampil menjelaskan tindakannya bersalam dan mencium tangan Dr Mahathir Mohamad sebagai tanda hormat kepada Perdana Menteri.

Bekas timbalan speakar Dewan Rakyat itu berkata beliau terharu dengan Perdana Menteri yang memberi keutamaan terhadap soalannya berhubung Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Sambil mengingatkan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang mempersoalkan tindakannya itu, bahawa menghormati ataupun kesopanan dan kesusilaan adalah salah satu tiang asas kepada Rukun Negara.

"Kesopanan dan Kesusilaan ini wajib, paksi kita membina negara dengan Rukun Negara.

“Kita tak nak bila perdana menteri melalui pejabat speaker beri surat pada saya, surat menyatakan Yang Berhormat ingin menjawab soalan saya yang dijadualkan pada 21 Mac tapi disegerakan (menjadi) soalan nombor satu.

"Pertama dibawa ke hadapan kerana projek ECRL mustahak untuk Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Bila disegerakan, soalan jadi soalan nombor satu.

“Rekod, tak pernah soalan pembangkang, ketua pembangkang pun tak pernah dapat soalan nombor satu," katanya ketika sesi membahas titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Mak nyah bogel dihantar ke Penjara Sungai Buloh

KUALA LUMPUR - Seorang mak nyah yang menjadi tular kerana berbogel sambil menari di persimpangan Jalan Bukit Bintang di sini minggu lalu, terpaksa berada dalam penjara Sungai Buloh sementara menunggu sebutan kesnya akan datang.

Ia berikutan apabila Kent Caburnay Acuin, 29, yang berasal dari Cebu, Filipina itu tidak ditawarkan ikat jamin dan dia juga tidak mempunyai penjamin selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi atas pertuduhan berbogel sehingga menganggu kehormatan.

Kent, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Munirah Abdul Rahman.

Mengikut pertuduhan, Kent didakwa memanjat kereta Honda City warna kelabu dalam keadaan berbogel dengan niat untuk mengganggu kesantunan (kehormatan) seseorang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Sultan Ismail di sini pukul 10.40 pagi pada 13 Mac lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya B.Rajdeep Singh tidak menawarkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh kerana yang merupakan warganegara asing selain dia tidak mempunyai penjamin rakyat Malaysia.

Berikutan itu mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 22 April depan untuk sebutan semula kes. - K! ONLINE

Polis tahan 34 individu separuh bogel di Bukit Tinggi

Gambar tular 34 individu yang separuh bogel ketika kem motivasi.
Gambar tular sebahagian individu yang separuh bogel ketika kem motivasi.
KUANTAN - Polis menahan 30 wanita dan empat lelaki yang dipercayai berkelakuan tidak senonoh ketika menghadiri program motivasi di sebuah resort di Bukit Tinggi, Bentong semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Othman Nayan berkata, polis menjalankan siasatan selepas gambar yang memaparkan sekumpulan wanita berkeadaan separuh bogel di kawasan padang di resort itu tular menerusi laman sosial Facebook.

"Gambar berkenaan memaparkan terdapat sebahagian daripada kumpulan perempuan hanya berseluar dan berbaju dalam.

"Siasatan awal polis mendapati aktiviti itu adalah program motivasi anjuran sebuah spa kecantikan dari Johor Bahru dan Kuala Lumpur yang disertai kira-kira 80 wanita tempatan dengan kesemua peserta menginap di resort tersebut sejak Isnin lepas hingga hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu katanya, polis menahan 34 individu termasuk pengendali program motivasi syarikat spa yang beroperasi di Johor Bahru sementara peserta dari cawangan Kuala Lumpur pula telah pulang lebih awal.

Berikutan itu, beliau menasihati peserta yang telah pulang awal agar tampil secara sukarela ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong bagi membantu siasatan menurut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan kerana berkelakuan sumbang di tempat awam.

Menurutnya semasa kejadian penduduk setempat telah menegur aktiviti tersebut.

"Penduduk turut membuat laporan polis berkenaan aktiviti berkenaan," katanya.

Kes itu merupakan yang kedua berlaku di padang resort berkenaan. Kali pertama ialah pada awal 2017, melibatkan peserta lelaki. - Bernama

Kejutan di Sungai Kim Kim

Azneal Ishak
RENCANA BERGAMBAR
/Krisis pencemaran yang berpunca daripada pembuangan haram bahan toksik di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor masih segar dalam ingatan.
Ia kejadian yang mengejutkan dan berlaku dengan cepat. Ribuan kes dicatatkan dengan sebahagian daripada mangsa dirawat di hospital.
Sesetengah mereka sehingga terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).
Bagaimanapun tindakan pantas pelbagai agensi kerajaan berjaya mengawal keadaan dan kini pencemaran yang menakutkan itu sudah berjaya dikawal.
Untuk membuktikan keadaan di Pasir Gudang sudah pulih, semala Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, membuktikannya.
Beliau berada di tapak pembuangan haram di Sungai Kim Kim bagi menyaksikan sendiri keadaan di situ, termasuk kualiti udara yang ada.
Tanpa mengenakan sebarang pakaian khas atau penutup hidung Yeo menunjukkan kualiti udara di situ tidak lagi mengandungi bahan yang boleh mengancam kesihatan.
"Jika saya mahu masyarakat yakin sungai ini selamat, saya perlu menunjukkan yang ianya selamat dengan tidak memakai topeng di sini.
"Kalau terkena, sayalah orang pertama yang akan menerima padahnya," kata Yeo seperti dipetik di media sosial.





































Anggota pasukan Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melakukan pemeriksaan berkala bagi mengukur tahap pencemaran pada 14 Mac.
Untuk rekod sebanyak 2.43 tan sisa bahan kimia dibuang ke Sungai Ki Kim. Ia turut menyebabkan 111 sekolah di sekitar Pasir Gudang ditutup.
Kerja-kerja pembersihan dijalankan dengan peruntukan kecemasan daripada kerajaan negeri sebanyak RM6.4 juta.
























Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat berjalan melintasi peta lokasi operasi pembersihan Sungai Kim Kim.
























Salah seorang mangsa dibantu untuk mendapatkan rawatan di pusat perubatan yang disediakan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang pada 15 Mac.












Kanak-kanak adalah antara penduduk turut terjejas dengan pencemaran yang berlaku apabila mereka tidak lagi boleh bermain-main di luar.












Seorang kanak-kanak dibantu anggota petugas menyarung penutup hidung dan mulut bagi mengelak terhidu bahan berbahaya di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang pada 15 Mac. 
Menurut laporan Bernama, suatu ketika dulu Sungai Kim Kim merupakan lubuk rezeki bagi orang ramai mendapatkan pelbagai hasil seperti ikan, udang galah, lokan dan siput sedut.
Ketika itu, kata penduduk setempat, ramai pemancing datang untuk mencari rezeki di sungai berkenaan.












Penduduk setempat menjalani pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan kakitangan Kementerian Kesihatan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.
Bagaimanapun keadaan tidak lagi sebegitu apabila sungai sepanjang kira-kira 1.5km itu dicemari pelbagai bahan tidak sepatutnya seperti sampah, plastik dan bahan kimia.












Anggota petugas berehat seketika selepas menjalankan operasi di Sungai Kim Kim.












Yusof Khhalid, 41, membawa anaknya Ridwan, 7, dan Fatihah, 5, untuk pemeriksaan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang pada 15 Mac.












Dua penduduk kampung tidak mengabaikan langah berjaga-jaga ketika berehat seketika di depan sebuah kedai runcit selepas mereka selesai menunaikan solat Jumaat pada 15 Mac.
Semalam Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata seramai 395 mangsa masih menerima rawatan 
Daripada jumlah itu katanya 14 kes mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Aminah, manakala 32 kes lagi di Hospital Sultan Ismail.
Beliau berkata pola semasa menunjukkan berlaku penurunan jumlah mangsa yang direkodkan.












Pasukan petugas menjalankan pemeriksaan di kawasan perumahan di Pasir Gudang.

Dewan Rakyat kecoh, PAS tuduh DAP anti-Islam

Kow Gah Chie

Sidang Dewan Rakyat hari ini bertukar menjadi panas dan kecoh apabila seorang ahli parlimen PAS melabelkan DAP sebagai parti anti-Islam.

Semasa sesi perbahasan menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Ahmad Marzuki Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) mencelah dan melabel DAP sebagai parti perkauman dan anti-Islam.

“DAP pun menjadi liabiliti kepada PH, kalau PH nak selamat, buang parti yang anti-Islam seperti DAP daripada PH,” katanya.

Kenyataan itu membangkitkan kemarahan penyokong-penyokong kerajaan dengan P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) bangkit dan meminta Marzuki supaya menarik balik kenyataan berkenaan.

“Isunya Pengkalan Chepa melemparkan tohmahan kepada DAP menyatakan DAP anti-Islam. Itu sama sekali tidak benar.

“Jangan kelirukan Dewan, awak boleh lakukan lebih baik daripada ini. DAP bukan parti yang anti-Islam dan parti rasis.

Adakah Pengkalan Chepa akan menarik balik tohmahan terhadap parti DAP?” soalnya.

Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera ) juga bangun mencelah dan menyifatkan kenyataan Ahmad Marzuk sebagai satu fitnah yang sangat jahat.

Wong: Pengkalan Chepa telah buat sangkaan jahat terhadap ahli-ahli lain termasuk ahli-ahli DAP.

Marzuki: Saya tak sebut ahli mana-mana.

Wong: Satu fitnah yang sangat besar. Pengkalan Chepa tidak layak sebagai wakil rakyat.

Berikutan kekecohan itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon meminta ahli parlimen PAS tersebut untuk menjelaskan kenyataan kontroversi beliau.

“Saya tak mau beri penjelasan panjang, cuma saya nak tanya kepada DAP dan sebut secara jujur, adakah DAP setuju dengan agenda yang PAS bawa untuk tegakkan hukum dan syariat Islam?

“Kalau DAP tidak setuju sehingga bawa kepada perpecahan rakyat... tak setuju kepada Islam, maknanya anti-Islam,” katanya.

Kasthuri membantah dan berkata, ini bukan apa yang dimaksudkan oleh Marzuki tadi.

"Jangan kelirukan Dewan, “ kata Kasthuri.

Ahli Parlimen PAS itu walau bagaimanapun enggan menarik balik kenyataannya dan mendakwa DAP memang adalah parti anti-Islam.

“Saya tak akan tarik balik memang anti kepada Islam, tak suka kepada Islam,... memang itu kerja DAP,” katanya Marzuki.

Misteri ‘Tembok Besar China’ di Kuantan

Yap Jia Hee
Memandu di sepanjang Jalan Pintasan Gebeng, yang menghubungkan Jabur di Terengganu dan Gebeng berhampiran pelabuhan Kuantan, biasanya hanya ditemani hutan dan belukar di sepanjang kiri dan kanan sejak ia mula dibuka pada 2006.
Namun sejak 2013, satu bahagian jalan itu di Gebeng - pekan kecil yang terletak 25km dari Kuantan - telah mengalami perubahan.
Kini proses pembinaan sedang rancak berlangsung, dengan kira-kira 1,200 ekar tanah dibersihkan untuk memberi laluan kepada pembangunan yang dikenali sebagai fasa satu Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP).
Jika melihat ke arah taman industri, beberapa bangunan yang masih dalam pembinaan menarik pandangan. Tambahan pula ia dilindungi tembok setinggi lapan kaki. Imej satelit menunjukkan tembok tersebut dibina mengelilingi seluruh tapak projek, dengan anggaran perimeter paling kurang sembilan kilometer.
Cangkuk dipasang pada bahagian atas tembok berwarna kelabu pudar itu, dengan pengecualian di sebahagian kecil dinding yang dibina dengan batu-bata merah, barangkali untuk tujuan estetika.
Bagi penduduk tempatan, tembok itu digelar sebagai "Tembok Besar China" Kuantan.
Tiada apa yang luar biasa dengan tembok itu, tetapi tujuannya untuk memisahkan mereka yang di dalam dengan dunia luar. Ia juga sekali gus mencetuskan spekulasi di kalangan masyarakat setempat.
Orang biasa tidak dibenarkan memasukinya tanpa kelulusan pentadbiran projek. Sejumlah kecil penduduk tempatan yang dibenarkan biasanya mempunyai urusan rasmi atau perniagaan dengan pihak mereka.
Satu-satunya pintu masuk yang ada dikawal ketat oleh pengawal keselamatan tempatan beruniform putih, dan pengawal dari China yang beruniform hitam.
Peluang terbaik bagi orang luar yang ingin tahu keadaan di sebaliknya adalah menerusi bangunan yang sedang dibina itu, yang dihiasi dengan sepanduk bertulis slogan-slogan motivasi dalam bahasa Cina yang digantung pada jaring keselamatan berwarna hijau - seperti yang lazim dilihat di tapak pembinaan oleh syarikat dari China.

Ia merancakkan desas-desus di kalangan masyarakat, bahawa sebuah 'penempatan China' sedang dibina di sebalik tembok besar itu.
Ingin mengetahui keadaan sebenar, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum Sim Chon Siang telah membuat permohonan kepada MCKIP untuk memasuki tapak projek, tetapi malangnya ditolak.
Wakil rakyat dilarang masuk
Dilancar secara rasmi pada 5 Februari 2013, sebanyak 49 peratus pegangan MCKIP dimiliki Guangxi Beibu Gulf International Port Group Co Ltd, sebuah syarikat China milik kerajaan Wilayah Autonomi Guanxi, manakala 51 peratus lagi oleh konsortium Malaysia – Kuantan, Pahang Holding Sdn Bhd.
Konsortium itu adalah usaha sama kerajaan dan swasta, melibatkan IJM Land Berhad (40 peratus), Sime Darby Property Berhad (30 peratus), dan kerajaan Pahang melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (30 peratus).
Perasmian besar-besaran itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Persidangan Perundingan Politik Rakyat China (CPPCC) ketika itu, Jia Qinglin.
Terbahagi kepada tiga fasa, pembangunan ketika ini akan disusuli dengan pembangunan 1,000 ekar untuk fasa kedua, dan 800 ekar untuk fasa ketiga.

Menurut jawapan bertulis Dewan Undangan Negeri Pahang pada 14 September lalu, seluas 710 ekar tapak fasa pertama telah dijual kepada Alliance Steel (M) Sdn Bhd, sebuah usaha sama antara dua entiti China iaitu Guangxi Beibu Gulf Port International Group Co Ltd dan Guangxi Shenglong Metallurgical Co Ltd.
Jawapan bertulis itu turut memaklumkan Alliance Steel, syarikat China pertama yang melabur dalam MCKIP, sedang membina kilang keluli yang moden dan bersepadu. Setakat ini, ia sudah 50 peratus siap dan dijangka mula beroperasi hujung tahun ini.
Kerajaan Pahang juga berkata yang sebuah syarikat bateri kereta dari China telah berjanji untuk melabur dalam fasa ketiga MCKIP.
Laporan media pula menyatakan sebuah lagi syarikat dari negara itu akan membuat pelaburan, untuk membina kilang aluminium.
MCKIP adalah projek pertama yang dianugerahkan status "Taman Perindustrian Nasional" dan dikatakan bakal menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi tempatan, selain membuka ribuan peluang pekerjaan.
Namun setelah empat tahun berlalu, penduduk Kuantan mula merungut apabila janji tersebut masih belum tertunai.

Selaku ADUN bagi kawasan terletaknya MCKIP, Sim mengikuti isu itu secara dekat ekoran menerima pelbagai aduan dan pertanyaan.
Kota di sebalik tembok
Menyifatkan MCKIP sebagai "kota tertutup", Sim berkata ia sama sekali berbeza dengan taman perindustrian lain di Kuantan, seperti Kawasan Perindustrian Gebeng dan Kawasan Perindustrian Semambu.
Bagi kedua-dua kawasan perindustrian itu, orang ramai bebas keluar masuk dan pagar hanya dipasang untuk bangunan pejabat dan kilang milik syarikat.
"Pada mulanya kami menunggu-nunggu fasa pertama MCKIP, namun hari ini pembinaan sudah hampir siap tetapi kami tidak melihat apa-apa perubahan besar di Kuantan.
"Apa yang paling mustahak adalah meningkatkan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan, agar golongan muda tidak perlu berhijrah.
"Kami berharap MCKIP akan dapat mengembangkan ekonomi Kuantan, bukannya mengasingkan diri di sebalik tembok - seperti sebuah wilayah persekutuan. Kami tidak tahu apa di dalam sana," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Kuantan baru-baru ini.
Selepas gagal untuk mendapat kebenaran masuk, Sim beralih kepada DUN Pahang untuk mendapat gambaran yang lebih jelas. Antara perkara yang dibangkitkannya adalah komposisi pekerja di sana.
Menerusi jawapan bertulis 14 September, kerajaan negeri menyatakan terdapat 6,000 pekerja ketika waktu puncak, dengan nisbah tiga pekerja asing bagi setiap dua pekerja tempatan.
Maka, terdapat 3,600 pekerja asing dan 2,400 pekerja tempatan bagi fasa pertama MCKIP. Kerajaan bagaimanapun tidak menyatakan sama ada pekerja asing merupakan warganegara China atau negara lain.
Melangkaui kenyataan rasmi daripada kerajaan, apa yang berlaku di sebalik tembok kekal menjadi misteri, bagi wakil rakyat dan rakyat yang diwakilinya.



Wartawan Malaysiakini juga tidak dibenarkan masuk ketika pergi ke MCKIP. Malaysiakini telah membuat permohonan bertulis kepada MCKIP dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), namun setakat ini masih belum memberikan maklum balas.
Kedua-dua pihak itu juga tidak memberikan respon kepada permohonan temu bual daripada Malaysiakini.
Namun Malaysiakini sempat bertemu dengan beberapa individu termasuklah warga tempatan dan juga China, yang tinggal atau bekerja di sebalik tembok MCKIP.
Seorang pemandu warga tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Tan (bukan nama sebenar), bertanggungjawab mengangkut pekerja daripada hostel ke tapak projek, kedua-duanya terletak di dalam kawasan MCKIP.
Menurut Tan, dia memang disyaratkan untuk tinggal di sana.
"Saya hanya akan keluar daripada taman industri apabila perlunya saya untuk membeli barangan di luar kedai," katanya kepada Malaysiakini.
Ketika itulah Tan mengambil peluang untuk ke restoran di Kuantan, kerana dia tidak biasa dengan makanan ‘autentik’ China yang dihidangkan kantin di dalam MCKIP.
Peluang pekerjaan akan tiba
Tan mengakui hanya sejumlah kecil warga Malaysia yang bekerja dalam fasa pertama, namun dia yakin ia akan berubah apabila kilang-kilang mula beroperasi.
"Bulan lalu, mereka sudah pun mengeluarkan iklan mahu merekrut 4,000 pekerja bagi kilang-kilang yang akan disiapkan. Saya juga mungkin akan bertukar ke bahagian pengeluaran," katanya.
Malaysiakini juga bertemu dengan dua warga China yang bekerja di sana. Berdasarkan logo yang tertera di uniform, mereka adalah kakitangan Hubei Qianxi Construction Engineering Co Ltd.


Kedua-duanya tidak mahu mendedahkan identiti, bimbang kemungkinan hilang pekerjaan. Mereka akan dirujuk sebagai Zhang dan Wong (bukan nama sebenar).
Menurut Zhang, Hubei Qianxi adalah salah satu daripada banyak syarikat China yang terlibat dalam pembinaan kilang keluli bersepadu Alliance Steel.
Katanya lagi, syarikatnya sahaja mempunyai 400 pekerja pembinaan, antaranya jurukimpal, pekerja keluli, dan tukang kayu. Kebanyakannya dari Hubei, China.
"Pekerja datang dan pergi. Ada juga yang belum tiba, sementara yang lain pulang ke kampung apabila permit tamat tempoh," katanya.
Katanya, pekerja daripada syarikat berbeza - sekurang-kurangnya ada 30 syarikat lagi yang terlibat dalam pembinaan kilang keluli - kebanyakannya datang dari wilayah yang berbeza di China. Hostel mereka dipisahkan untuk mengelak tercetusnya pergaduhan.
Ketika ditanya tentang anggaran pekerja warga China di sana, Zhang berkata beliau yakin jumlahnya melebihi 3,600 - angka rasmi yang diberikan kerajaan negeri.
Dia mendakwa "90 peratus" pekerja di dalam MCKIP ketika ini adalah warga China.
Sejumlah 10 peratus lagi dari Bangladesh, Indonesia, dan sejumlah warga tempatan yang biasanya menjadi pemandu, penterjemah dan kakitangan bahagian pemerolehan, katanya lagi.
Seperti di kampung halaman
Zhang berkata tinggal di sebalik tembok itu adalah seperti "berada di bandar di China".
Menyuarakan sentimen yang sama, Wong berkata sukar untuknya bertahan di sana jika ia seperti sebuah tempat asing.
"Jika tidak, anda mungkin tidak boleh tinggal walaupun sehari, atau mungkin juga langsung tidak akan ke sini untuk kerja," katanya.
Mereka berkata setiap kawasan tempat tinggal pekerja menyediakan makanan autentik China berdasarkan wilayah tempat asal mereka.
Misalnya, kantin untuk pekerja Hubei Qianxi disediakan hidangan dari Hubei, manakala kantin untuk pekerja Sichuan pula hidangan dari sana.
Kedua-duanya mengaku yang mereka tidak suka cara masakan tempatan.
Zhang bagaimanapun menafikan dakwaan "dunia luar" yang mengatakan setiap bekalan di sebalik tembok diimport dari China.
Katanya, setiap tempat tinggal pekerja dilengkapi kedai runcit yang kebanyakannya menjual produk tempatan. Malah, sebuah pasar raya yang memiliki beberapa cawangan di Kuantan baru-baru ini membuka cawangan di dalamnya.
Katanya lagi, hanya sebilangan produk diimport dari China, antaranya makanan ringan, wain dan rokok.
"Kami tidak suka rokok Malaysia kerana terlalu 'manis'," katanya.
Dilarang keluar
Tidak seperti pekerja tempatan yang dibenarkan keluar jika ada kerja-kerja tertentu, warga China di sana dilarang keras untuk keluar.

Tapi bagi Zhang, tiada keperluan untuk dia berbuat demikian kerana segalanya mencukupi dan boleh diperoleh di balik "Tembok Besar China" itu.
"Setiap bilik ada empat katil untuk empat pekerja, dilengkapi pendingin hawa dan lampu. Tandas dan bilik air dikongsi bersama, dan televisyen disediakan di kantin," katanya.
Wong berkata, pihak syarikat menjelaskan yang pekerja tidak biasa dengan dunia luar dan larangan dikenakan demi menjaga keselamatan mereka.
Baginya dan pekerja yang lain, kata Wong lagi, mereka tidak kisah tinggal di sebalik tembok itu dan memang tidak berminat untuk ke bandar Kuantan.
Kata Zhang pula, mereka hanya dibenarkan meninggalkan taman industri itu jika jatuh sakit, itu pun jika ubatan yang disediakan pekerja pemerolehan tidak berkesan.
Untuk itu, mereka memerlukan kebenaran syarikat, sebelum dibawa ke klinik atau hospital di bandar Kuantan.
"Ketika cuti pun kami dilarang keluar. Ketika itu, kami akan meluangkan masa dengan berkaraoke, menonton televisyen atau bermain bola keranjang. Tidak banyak hiburan di dalam taman industri," katanya lagi.

SPRM tahan ketua balai polis, pegawai bomba, kakitangan DBKL

Bernama
Seorang ketua balai polis antara 16 individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima wang sogokan untuk melindungi premis urut di sekitar ibu kota.

Sumber SPRM berkata kesemua suspek dipercayai menerima sogokan itu daripada pemilik premis urut dan ditahan di 16 lokasi sekitar Lembah Klang.

"Kesemua mereka ditahan sekitar jam 10 hingga 5 petang ini hasil risikan kami sejak tiga bulan lepas,” katanya kepada Bernama.

Katanya, seramai 40 pegawai SRPM terlibat serbuan itu dan daripada jumlah 16 yang ditahan, tujuh adalah penjawat awam manakala sembilan adalah orang awam.

Mereka ditahan kerana disyaki melindungi sindiket berkenaan dan menerima rasuah, katanya.

Sumber itu berkata antara penjawat awam yang ditahan adalah dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pegawai bomba dan penyelamat dan ketua sebuah balai polis.

“Difahamkan premis urut yang menggunakan khidmat wanita warga asing itu pernah diserbu oleh Jabatan Imigresen pada Sabtu lepas,” katanya.

Menurut sumber itu, kumpulan suspek itu menerima wang sogokan itu secara bulanan dengan bayaran minimum RM1,000 setiap bulan..

Sumber berkata wang berkenaan adalah sebagai perlindungan premis mereka tidak diganggu dan dipercayai terdapat perantara yang akan mengambil wang itu daripada pemilik premis berkenaan pada setiap bulan.

Sementara itu Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi, mengesahkan kesemua tangkapan berkenaan.

"Ya, kesemua suspek ditahan di SPRM Putrajaya serta disiasat mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM 2009,” katanya sambil menambah reman akan dimohon daripada mahkamah esok.

MKI persetujui konsep Rahmatan lil alamin sebagai dasar baharu pentadbiran Islam di Malaysia

DALIA ISMAIL
Mesyuarat Majlis Hal Ehwal Agama Islam Kebangsaan (MKI) telah mempersetujui konsep Rahmatan lil Alamin sebagai dasar baharu dalam pentadbiran Islam di negara ini.

Perkara ini dijelaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf yang berkata, pada masa ini, langkah seterusnya ia perlu dimaklumkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dan kabinet.

“Dalam mesyuarat hal ehwal Islam telah dibawa dan dipersetujui sebagai dasar baharu pentadbiran Islam.

“Kita hanya perlu maklumkan kepada Majlis Raja-raja dan kabinet atas keputusan itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai titah ucapan Yang DiPertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada perasmian Istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama bagi penggal kedua Parlimen Ke-14 pada 11 Mac lepas.

Baginda turut menyokong usaha kerajaan untuk mempromosikan nilai dan budaya Islam melalui pendekatan Rahmatan-lil-alamin dan maqasid syariah berdasarkan ajaran Islam yang sebenar yang diterjemahkan melalui tingkah laku dan keperibadian unggul rakyat Malaysia.

Ia seterusnya menjadi model Malaysia iaitu model negara Islam berbilang kaum yang boleh dicontohi dunia luar.

Dalam memperkukuh ajaran Islam di negara ini, agama-agama lain perlu dihormati demi keharmonian dan kesejahteraan semua.

Dr Mujahid menambah, bagi beliau titah ucapan Yang Dipertuan Agong itu satu kejayaan awal untuk melihat dasar pentadbiran Islam ini, adalah berpandukan gagasan besar Rahmatan lil alamin termasuk dibawahnya adalah maqasid syariah dan model Malaysia.

Justeru katanya dengan hasrat untuk menganjurkan Solidariti Demi Keamanan dijadualkan pada Sabtu ini, di Dataran Merdeka, akan dapat menyatakan kepada dunia mengenai model Malaysia yang sebenarnya.

“Ini satu aspirasi, juga kita nak bawa perhimpunan ini sebagai satu model Malaysia kepada dunia bahawa kita mempertahankan kedamaian dan kita menolak, kebencian melawan kebencian.

“Kita khuatiri ada pihak yang mungkin akan mengunakan isu ini untuk tujuan merosakkan masyarakat…kita rasa gembira kerana YDP Agong terima ide itu,” ujarnya.

Siasat YTL kerana bina marina RM24 juta di pulau tak berpenghuni - PAC

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mahu Kementerian Pengangkutan untuk menyiasat sama ada YTL Corporation Berhad boleh dipertanggungjawabkan kerana membina marina yang ditauliahkan kerajaan pada harga RM24.27 juta di pulau tidak berpenghuni dan telah ditinggalkan.

Menurut laporan PAC yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, kerajaan persekutuan pada asalnya mahu sebuah marina dibina di Lumut, Perak tetapi YTL mencadangkan ia dipindahkan ke Pulau Mentagor, sebuah pulau yang tidak berpenghuni yang YTL pada mula merancang untuk membangunkannya.

Pulau Mentagor terletak di barat daya Pulau Pangkor manakala di sebelah timur adalah Lumut. Semua lokasi di Perak.

Kerajaan persekutuan kemudian bersetuju dengan lokasi baru itu dan projek marina itu diberikan kepada YTL melalui rundingan terus.

"Marina Pulau Mentagor telah siap pada 31 Julai 2007 dan mula beroperasi pada 22 Mac 2010.

“Marina ini tidak mendapat sambutan daripada pelayar dan tidak mencatatkan apa-apa kemasukan kapal layar serta hasil di sepanjang tengah operasi. Di samping itu, pulau ini tidak berpenghuni langsung,” katanya.

Wakil Kementerian Pengangkutan, yang memberi keterangan pada pendengaran PAC, berkata projek marina itu awalnya ditawarkan kepada pihak YTL yang merupakan pengendali Pangkor Laut Resort dan juga Pulau Mentagor.

Katanya, akibat beberapa kekangan dengan kerajaan negeri Perak ketika itu, YTL akhirnya memutuskan untuk tidak meneruskan pembangunan Pulau Mentagor.

Pada Disember 2015, kerajaan persekutuan kemudian cuba memajak marina itu ke majlis Perbandaran Manjung selama 32 tahun dengan sewa pajakan sebanyak RM160,000 setahun, namun majlis tempatan itu menolak tawaran tersebut.

Susulan perubahan dalam kerajaan persekutuan, kementerian pengangkutan pada September 2018 sekali lagi bertanyakan kepada YTL sama ada ia masih berminat untuk menguruskan operasi marina Pulau Mentagor.

"Sebulan kemudian, YTL memberitahu bahawa mereka tidak berminat untuk menguruskan marina tersebut," katanya.

Pengerusi PAC Ronald Kiandee, dalam satu kenyataan, berkata beliau memandang berat kes isu marina Pulau Mentagor itu.

“PAC menggesa kementerian pengangkutan menyiasat kebertanggungjawaban syarikat

YTL dalam projek marina awam Pulau Mentagor,” katanya.

Marina di Pulau Mentagor adalah salah satu daripada 11, yang membabitkan dana sejumlah RM323.16 juta yang diluluskan kabinet pada bulan November 2000 untuk menggalakkan industri kapal layar dan pelancongan marin.

Daripada 11 marina itu - yang siap di antara 2003 dan 2009 - hanya lima yang masih beroperasi tetapi dibelenggu dengan masalah.

Lima marina yang masih beroperasi itu adalah di Kuching, Melaka, Batu Uban, Pulau Indah dan Pulai Tioman.

Antara masalah yang dihadapi oleh marina berkenaan termasuk kegagalan memastikan kelasi atau pelayar asing yang berlabuh untuk melapor sendiri kepada jabatan imigresen, yang mungkin boleh mengancam keselamatan negara, kata laporan PAC.

Tiga lagi marina - di Kuala Kedah, Tanjung Pengelih dan Tanjung Gemok - tidak lagi beroperasi sebagai marina awam dan telah diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Marina di Tanjong City, Muar dan Pulau Mentagor pula tidak lagi beroperasi.

Serangan Christchurch: Ini nasihat 'budak telur'

MELBOURNE - Remaja lelaki berusia 17 tahun yang membaling telur ke atas kepala Senator Australia, Fraser Anning akhirnya bersuara atas tindakan yang dilakukannya itu.

Will Connolly yang mendapat jolokan ‘budak telur’ memuat naik video berdurasi tujuh saat bagi menasihati pengikutnya di media sosial agar tidak melakukan perkara yang sama.

"Jangan membaling telur di kepala ahli politik kerana anda akan dicekik oleh 30 orang pada masa sama. Saya belajarnya daripada kesilapan,” ujarnya.

Kosmo! semalam melaporkan Anning dibaling telur oleh seorang remaja ekoran kenyataannya yang bersifat rasis berkaitan insiden tembakan rambang di Christchurch, New Zealand Jumaat lalu.

Dalam satu rakaman klip video yang tular, Anning bertindak menampar muka Connolly pada satu kejadian ketika beliau ditemu bual dalam satu sidang akhbar.

Bagaimanapun, kejadian itu berjaya dihentikan oleh beberapa pengawal keselamatan di acara tersebut. - K! ONLINE

Pelakon Wafa Abdul Kadir meninggal dunia

KUALA LUMPUR - Selepas lebih lima tahun menderita kanser ovari dan peritoneal, pelakon era 1980-an Wafa Abdul Kadir menghembuskan nafas terakhirnya awal pagi tadi.

Wafa, 55, meninggal dunia di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor kira-kira pukul 1 pagi tadi.

Terdahulu, pelakon filem Azizah The Legend itu pernah menjalani pembedahan membetulkan tulang leher selepas terlibat dalam kemalangan pada 2013.

Setahun kemudian, Allahyarham yang merupakan anak kepada bekas Mufti Wilayah Perseketuan, Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir Talib kemudiannya diduga sekali lagi apabila disahkan menghidap kanser ovari dan peritoneal pada 2017.

Beliau pernah menjalani pembedahan bagi membuang ovari, tiub fallopio, rahim dan ormentum pada 2015.

Sekitar Februari lalu, Allahyarham dimasukkan ke hospital selepas berada dalam keadaan lemah.

Rakan baiknya, pendakwah Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar meminta semua agar mendoakan segala urusan pelakon itu dipermudahkan dan dapat pergi dalam keadaan husnul khatimah.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid At Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail pada pukul 10:00 pagi ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara sebelum Zuhur. - K! ONLINE