Menantu Presiden Pas bantah Nik Abduh

MALAYSIA DATELINE
Zaharudin bantah cara Nik Abduh kritik kerajaan negeri.
Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz dan rakan-rakannya dalam Pas diminta tidak bercakap soal ukhuwah dan hikmah jika terus menegur kerajaan negeri secara terbuka di media padahal beliau boleh bertemu secara langsung dengan pemimpin kerajaan negeri.

Menantu presiden Pas, Ustaz Zaharudin Muhammad dalam tulisan di facebooknya berkata, ketika rakan-rakan Nik Abduh bercakap tentang ukhuwah (persaudaraan) dan hikmah, mereka lupa apa yang sesetengah pihak lakukan.

“Waktu geng kita tegur kerajaan negeri terbuka itu kita anggap hikmah padahal yang buat keputusan bukankah kerajaan negeri yang kita tegur,” soal Zaharudin yang dipercayai ditujukan kepada bekas Ketua Pemuda Pas itu.

Menurut Zaharudin, rumah pemimpin Pas dan kerajaan negeri Kelantan hanya dekat sahaja dengan rumah Nik Abduh.

“Naik kereta tak sampai 15 minit dah sampai rumah Dato Nik Amar. Tak sampai 30 minit dah sampai rumah Dato Mad MB,” kata Zaharudin yang dipercayai mengulas kenyataan Nik Abduh yang membantah keputusan kerajaan negeri mengarahkan agar kedai makan di Kelantan ditutup sewaktu solat terawih.

NIK ABDUH… keputusan kerajaan negeri arah tutup kedai waktu solat Terawih tidak wajar.

Zaharudin dan Nik Abduh serta rakan-rakannya dalam Pas bertembung antara satu sama lain ekoran tersebarnya audio pengakuan Nik Abduh bahawa beliau dan pemimpin Pas menerima wang dari Umno.

Nik Abduh dan rakan-rakannya dikatakan mendakwa Zaharudin terlibat dibelakang penyebaran audio itu.

Baru-baru ini, Nik Abduh dalam satu kenyataannya membantah arahan tutup kedai makan di negeri Kelantan selama satu jam setengah pada waktu malam sepanjang Ramadan.

“Ia mengganggu kebenaran dan keberkatan bulan Ramadhan yang penuh berkat. Rezeki yang halal dan baik di bulan Ramadan wajar digalakkan, bukan dihalang.

“Pada bulan penuh kelebihan ini, umat Islam digalak menguruskan masa masing-masing dengan bijak dan berhikmah untuk melakukan ibadah khusus berpandukan sunnah al Rasul,” katanya melalui facebook.

Sebelum itu, setiausaha kerajaan negeri mengarahkan semua pengusaha kedai makan dan restoran untuk henti operasi dari jam 8.30 hingga 10 malam sepanjang Ramadan, berkuat kuasa serta-merta.

Arahan berkenaan untuk menghormati Ramadan dan menggalakkan umat Islam menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah di masjid atau surau.

Persatuan pengguna khuatir makanan bazar Ramadan tak selamat

FMT Reporters
PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) khuatir dengan tahap kebersihan makanan di bazar Ramadan selepas mendapati peniaga mengendalikan makanan secara tidak bersih yang menjadi punca kepada keracunan makanan.

Presiden CAP, S M Mohamed Idris berkata berdasarkan pemantauan pihaknya, didapati ramai pengendali makanan di bazar Ramadan tidak memakai sarung tangan, apron, atau penutup kepala.

“Kami tertanya-tanya jika mereka ini mendapat suntikan mencegah tifoid dan jika mereka juga menghadiri kursus wajib mengenai pengendalian makanan.

“Kita perlu mempertimbangkan kemungkinan makanan yang disimpan pada suhu bilik di dalam periuk atau bekas makanan bagi lebih daripada 4 jam dan pencemaran silang daripada penggunaan sendok dan penyepit untuk makanan yang berbeza,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau menggesa Kementerian Kesihatan melalui jabatan kesihatan negeri dan kerajaan tempatan mendedahkan kepada orang awam mengenai langkah yang sedang diambil untuk memastikan makanan yang dijual di bazar itu selamat untuk dimakan dan gerai terbabit berlesen.

“Pemeriksaan perlu dijalankan di seluruh negara untuk memastikan pengendali gerai ini mematuhi undang-undang makanan,” katanya.

Menantu Hadi 'dedah rahsia kartel dedak'

Shakira Buang

Selepas sekian lama mendiamkan diri walaupun namanya dikaitkan secara langsung, akhirnya Zaharudin Muhammad bersuara mengenai kisah di sebalik tularnya audio Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Menariknya sekali Zaharudin bersuara, beliau melakukannya secara agak intensif.

Sejak komen dibuat pada 7 Mei lalu sudah ada sekurang-kurangnya lapan hantaran dimuat naik menantu Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, itu berkaitan insiden yang turut dikenang dengan gelaran "Ana tahu" itu.

Lebih menarik Zaharudin menggelarkan kumpulan yang bertentangan dengannya itu sebagai "kartel dedak" merujuk kepada dana yang diterima pihak tertentu daripada Umno atau orang berkaitan Umno.

Dalam hantaran di media sosialnya Zaharudin bagaimanapun berkata apa yang ditulisnya itu bertujuan untuk menghindarkan fitnah yang sedang menjalar, bukan mengejutkan fitnah yang sedang tidur.

Zaharudin juga membayangkan beliau bersedia menunjukkan lebih banyak bukti berkaitan isu berkenaan sekali gus menafikan pengakuan dibuat Nik Abduh sebelum ini.

"[...] rakaman itu dimainkan untuk membuktikan bahawa perbuatan mendedak itu adalah perbuatan kepimpinan tertinggi parti (Padahal sebenarnya tidak dan saya akan coretkan nanti bukti-bukti tindakan mendedak ini tidak direstui oleh kepimpinan tertinggi)," tulisnya.

Komander lawan jebon

Isu rakaman audio itu pada asalnya dikaitkan secara berhati-hati dengan Nik Abduh. Anggota parlimen Bachok itu bagaimanapun menafikan suara itu adalah miliknya.

Bagaimanapun pada 12 Feb lalu Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengesahkan suara dalam rakaman itu memang anak bekas menteri besar Kelantan itu.

Nik Abduh kemudian membela diri dengan mendakwa penafian yang dibuatnya sebelum ini mendapat restu daripada Abdul Hadi.

Dalam hantarannya Zaharuddin menegaskan beliau bukanlah dalang yang merakam suara Nik Abduh dalam pertemuan tidak dirancang beberapa tahun lalu itu.

Dalam siri hantaran itu juga Zaharudin mengakui belau adalah "komander" kepada pasukan yang berusaha menyingkirkan "jebon" selama hampir 10 tahun iaitu sejak 2006.

Baca Nik Abduh pertahan diri - ‘ayah pun pernah bohong’

Jebon ialah istilah yang ditujukan kepada sekumpulan pimpinan PAS yang berfahaman sederhana yang kemudian disingkirkan pada 2015. Mereka kemudian menubuhkan Amanah dan kini menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat.

Zaharudin berkata jika beliau adalah dalang di sebalik rakaman itu pasti lebih banyak pendedahan akan dilakukannya.

"Apabila saya coretkan sedikit saja (mungkin baru 1 peratus), ramai dah meroyan atas alasan pecah rahsia jemaah.

"Saya nak tegaskan bahawa yang saya coretkan tu bukan rahsia jemaah dan parti sebab itu bukan keputusan PAS dan parti serta kepimpinan tertinggi.

"Yang saya dedahkan tu ialah rahsia kartel dedak. Harap biar dapat bezakan dengan jelas," tulisnya.

Malaysiakini sudah menghubungi Zaharudin dan Nik Abduh untuk mendapatkan komen namun setakat ini belum berhasil.

Cabaran PH penuhi harapan rakyat, bina semula negara

MOHD ALI HASHIM
Setahun pemerintahan Pakatan Harapan (PH), merupakan tahun pertama yang amat mencabar bagi memenuhi harapan rakyat serta membina semula negara.

Ia boleh diibaratkan sebagai telefon pintar ‘second hand’ yang perlu di ‘re-setting’ semula supaya kepintarannya dapat berjalan dengan lebih lancar.

Demikian perumpamaan yang dizahirkan oleh Ketua AMANAH kawasan Permatang Pauh, Dr Zaidi Zakaria.

Malah kata Dr Zaidi lagi, tahun pertama kerajaan PH perlu ‘re-setting’ semula jentera kerajaan yang juga merupakan perkhidmatan awam di semua kementerian, institusi utama kerajaan serta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.

“Itu merupakan langkah utama ke arah hala tuju pembaharuan negara bagi membina semula negara.

“Ia juga cabaran utama kerajaan memandangkan sebahagian besar mereka terlibat dalam pengukuhan, bahkan propaganda Barisan Nasional (BN).

“RTM umpamanya telah sekian lama menjadi penyebar propaganda kerajaan BN berabad-abad lamanya, tiba-tiba terpaksa u-turn kepada kerajaan PH,” jelasnya.

Beliau juga berkata, institusi utama kerajaan seperti kehakiman, PDRM, SPRM, SPR, Bank Negara dan lain-lain turut mengalami pembaharuan drastik dengan pelantikan mereka yang berkelayakan dan terbukti berintegriti tinggi.

“Proses reformasi ini melibatkan jawatan utama sektor awam termasuklah Jusa, ‘CEO dan BOD GLC maupun GLIC yang digembar-gemburkan oleh pembangkang sebagai proses pemutihan.

“Bagi kerajaan perubahan dan pembaharuan ini terpaksa dilakukan demi menjayakan urus tadbir negara yang lebih baik, mengurangkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, rasuah dalam pentadbiran negara serta syarikat berkaitan kerajaan,

“Hakikatnya proses ‘re-setting’ ini tidak boleh dielakkan menjadikan jentera kerajaan berlaku ‘hiccups’ seketika, ” ujarnya.

Namun begitu katanya, keadaan ‘hiccups’ ini diambil kesempatan sepenuhnya oleh Pas dan Umno, melancarkan persepsi dan propaganda bahawa kerajaan PH gagal mentadbir dengan baik.

“Mereka cuba menyemarakkan kekecewaan dan kemarahan rakyat kepada PH apabila Pas dan Umno dilihat berjaya melakukannya sepertimana terbukti dalam tiga pilihan raya kecil Cameron Highland, Semenyih dan Rantau.

“Secara jelasnya, Pas dan Umno tidak berjaya menemui elemen rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dalam pentadbiran PH.

“Sebaliknya, mereka menemui kebebasan bersuara dan media yang lebih baik semasa pentadbiran PH serta hak-hak politik pembangkang ditunaikan oleh kerajaan seperti peruntukan kewangan kepada Ahli Parlimen pembangkang dan royalti kepada Kelantan dan Terengganu, ” tambahnya.

Tahun kedua pula kata Dr Zaidi lagi, PH mula menggerakkan jentera bagi memulihkan ekonomi negara dan kecekapan urus tadbir keajaan.

“Pemulihan ekonomi seterusnya bakal diikuti langkah-langkah kerajaan menunaikan manifesto PRU ke 14 dengan jayanya.

“Permulaan tahun pertama walaupun dilihat lambat dan perlahan, tetapi ianya berada pada landasan yang tepat.

“Amat optimis bahawa PH mampu untuk membawa hala tuju bagi merealisasikan ‘Bina Semula Negara’ ” katanya.

SPRM tahan timbalan pengarah jabatan DBKL

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang timbalan pengarah jabatan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sebuah hotel di Kuala Lumupur pagi tadi, kerana disyaki terbabit dengan kesalahan rasuah.

Difahamkan lelaki itu ditahan kerana disyaki menerima wang suapan daripada kontraktor bagi meluluskan projek membabitkan agensi berkenaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki berkata, pihaknya menemui sejumlah wang dianggarkan RM1 juta di kediaman lelaki itu, namun perkara itu masih dalam siasatan.

“Turut ditahan ialah lima individu bukan petugas DBKL yang disyaki terlibat dengan aktiviti rasuah yang membabitkan agensi sama. Permohonan reman terhadap enam individu itu akan dibuat hari ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.
-Bernama

Putrajaya, polis failkan saman sita pada Najib dan Rosmah

Putrajaya dan polis memfailkan saman sivil terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, isterinya, Rosmah Mansor dan beberapa yang lain bagi menyita barang-barang mewah berjumlah RM711 juta, termasuk 27 kereta mewah dan hartanah daripada individu terlibat.

The Edge melaporkan bahawa dua notis usul dan afidavit sokongan telah difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur semalam untuk merampas barang-barang itu, yang dikatakan dibeli dengan wang 1MDB.

Sumber yang dipetik berkata ia adalah langkah susulan selepas penyitaan barang berharga tahun lepas di kediaman yang dikaitkan dengan Najib di beberapa kawasan, termasuk Bukit Bintang.

Notis pertama yang difailkan semalam adalah untuk merampas harta di Lembah Klang, wang tunai (dalam pelbagai mata wang asing), barang kemas, beg tangan, jam tangan dan cermin mata hitam bernilai RM680 juta.

Perisytiharan kedua ialah bagi merampas barang bernilai RM31 juta, termasuk 27 kereta mewah, wang tunai (dalam pelbagai mata wang asing), 29 akaun bank, jam tangan dan beg.

Difahamkan, Supt Foo Wei Min, yang mengetuai Unit Anti Pencegahan Pengubahan Wang Haram dalam operasi dan penyiasatan, mengesahkan kewujudan afidavit yang menyokong tindakan untuk melucut hak harta berkenaan.

Unit itu juga dikatakan dibantu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pendengaran permohonan akan mengambil masa sehingga sebulan, lapor The Edge.

Semalam, Peguam Negara Tommy Thomas mengesahkan bahawa Malaysia telah menerima AS$57 juta (RM236 juta) dari AS, yang merupakan wang yang telah dilucuthakkan dari Red Granite Pictures selepas dituduh membiayai filem menggunakan dana yang didakwa dicuri dari 1MDB.

Pada Mac lalu, Ketua Polis Negara ketika itu, Mohamad Fuzi Harun, menegaskan bahawa siasatan ke atas barangan yang dirampas mesti selesai pada atau sebelum 16 Mei.

Ini kerana pihak polis hanya mempunyai sehingga tarikh itu untuk memegang barang yang dirampas. Selepas itu, Fuzi berkata, pihak polis perlu melalui proses tertentu, termasuk cadangan dari mahkamah sebelum meneruskan siasatan.

Pada 27 Jun tahun lalu, bekas Pengarah CCID Bukit Aman Amar Singh dilaporkan berkata jumlah nilai barang yang disita berkaitan dengan kes 1MDB adalah antara RM900 juta dan RM1.1 bilion.

Penulis bahalol ni marah sangat dengan Menteri Kesihatan, Dr. Dzul sebab tak boleh hisap rokok dalam kedai makan

Ini bukan kerajaan Dr Dzulkefly
Hasmi Hashim
Kalau boleh kita mahu semua rakyat kita sihat. Bukan sahaja tidak merokok, tetapi makan makanan yang terjamin bersih, atau kalau boleh semua orang mengambil makanan tambahan (supplement food) setiap pagi, petang dan malam.

Kalau boleh juga, tak ada kes bayi yang kena demam kuning yang serius dengan mendapat rawatan awal—apa khabar anak-anak kita yang baru lahir dari keluarga miskin atau di pedalaman sana? Bukankah masih banyak kes bayi tidak mendapat rawatan rapi dan awal sehingga ada yang terpaksa ditukar darah hanya kerana demam kuning?

Dan bukanlah kesedaran untuk mengambil vaksin juga semakin merosot? Mengapa semua itu tidak diambil berat dengan langkah-langkah segera oleh kementerian kesihatan?

Kalau boleh lagi, kita tidak mahu ada wad hospital kerajaan yang panasnya macam neraka kerana tidak ada penghawa dingin; katil tidak cukup; waktu menunggu berjam-jam sehinggalah tempat parkir sudah mengalahkan padat dan sesaknya bazar Ramadan.

Semua masalah asas ini tetap juga wujud, tetapi menteri kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad masih sibuk mahu “membumihanguskan” perokok!

Katanya baru-baru ini, dia tidak kisah digelar “menteri 3 meter”. Agaknya dengan cara itu, dia tidak perlu bekerja untuk menyelesaikan semua masalah asas yang saya nyatakan di atas tadi—cukup dengan menyerang perokok dengan bahaya kecil, yang dibesar-besarkan!

Soal digelar orang, dengan gelaran apa pun tidak penting. Apa yang mustahak ialah kerajaan hari ini bukan kerajaan Dr Dzulkefly—ini adalah kerajaan Pakatan Harapan (PH); yang berdiri atas pengorbanan dan perjuangan begitu ramai orang. Bukan Dr Dzulkefly seorang!

Kalau Dr Dzulkefly memilih untuk menjadi menteri sepenggal dan kemudiannya kalah di parlimen Kuala Selangor, itu adalah pilihan beliau. Terpulang! Dan kalau semua perokok tidak mengundi beliau lagi di sana dalam PRU akan datang, pasti di situ adalah titik akhir kepada karier politik Dr Dzulkefly, meski sebaik mana pun dia, dan sesuci apa pun niatnya.

Sejak ‘peraturan ganas’ melarang perokok di premis makan, dan sejak Dr Dzulkefly ‘melanggar parlimen’ untuk berkeras melaksanakan peraturan yang tidak wujud dalam manifesto PH, PH telah kalah dalam kesemua pilihan raya kecil (PRK). Ingat itu! Mungkin Dr Dzulkefly masih juga tidak percaya bahawa majoriti perokok yang terasa tersisih telah menghukum serta memberi peringatan keras kepada PH sebagai cara mereka membidas menteri kesihatan yang baharu.

Walaupun ada menteri lain dan para pegawai yang berdiam diri, bahkan menjadi munafik dalam perkara ini untuk menjaga kedudukan, sesungguhnya sikap berkenaan tidak akan menguntungkan PH. Apa yang diwujudkan oleh Dr Dzulkefly—serta mereka yang buat pekak, buta dan bisu dalam perkara ini—bukanlah menghapuskan perokok, tetapi hanya mewujudkan ketegangan dan pergaduhan antara kelompok masyarakat yang tidak merokok dengan kelompok yang merokok.

Pergeseran, ketegangan dan pergaduhan itu dapat kita lihat di media sosial. Dapat juga kita lihat di warung-warung atau restoren-restoren; suasana yang tidak pernah wujud sebelum ini. Waima sejak puluhan tahun dan sejak negara ini merdeka sekalipun.

Protes senyap 4 juta perokok

Sebelum undang-undang keras oleh Dr Dzulkefly terhadap perokok, antara perokok dan yang tidak merokok boleh hidup aman damai. Mereka boleh saling menyelesaikan masalah antara mereka, dan saling pula hormat menghormati tanpa perlu campur tangan kerajaan. Oleh kerana fikiran keras seorang menteri, kini antara dua kumpulan berkenaan sudah bermasam muka, tuduh-menuduh, ejek-mengejek dan mula bergaduh sesama sendiri.

Kesannya bukan sahaja di parlimen Kuala Selangor. Bukan juga kepada Dr Dzulkefly sebagai seorang menteri kabinet. Kesannya kini terpaksa ditanggung oleh seluruh kerajaan PH—yang, sekali lagi, didirikan oleh begitu ramai pejuang dan penyokong, termasuk di kalangan mereka yang merokok dan tidak merokok.

Sekali lagi dengan tegas dinyatakan, ini bukan kerajaan Dr Dzulkefly seorang (!)—walau sebaik mana peribadi beliau dan sesuci mana pun niat beliau.

Kalau corak kalah demi kekalahan terus menimpa PH, serta undi protes senyap-senyap terus dibuat oleh lebih 4 juta perokok tanpa mereka perlu turun ke jalan raya berdemontrasi, Dr Dzulkefly itulah yang terlebih dahulu perlu dikorbankan—atau beliau sendiri perlu menarik diri demi menyelamatkan kerajaan PH dalam PRU akan datang. Maaf, tidak ada cara lain!

Sesungguhnya manusia di Barat; di negara-negara maju seperti UK, Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, atau di Korea Selatan dan Jepun pun tidak berani melaksanakan sesuatu undang-undang yang tidak secocok dengan budaya masyarakat mereka. Hanya Dr Dzulkefly yang berani melakukannya dengan angkuh.

Dan beliau harus pula menanggung akibatnya. Kalau asap rokok itu terlalu bahaya, atau lebih bahaya daripada asap kenderaan atau kilang, maka haramkanlah. Tidak perlu main separuh-separuh. Kalau tidak, lebih baik tumpu kepada kerja azali untuk meningkatkan mutu hospital kerajaan dan kesihatan rakyat secara amnya.

Kita mahu semua rakyat kita sihat, tidak berbalah sama sendiri dan saling hormat-menghormati. Itulah kekuatan budaya Malaysia selama ini.

Dulu BN kalah kerana skandal 1MDB; jangan nanti PH kalah hanya kerana rokok. Ia sangat-sangat mengaibkan. Memalukan! Di dalam kekalahan itu tidak lain apabila datang seorang penguasa atau menteri yang tidak faham budaya masyarakatnya sendiri. Betapa bodohnya.

Umno dan PAS pasti akan mengambil kesempatan ini untuk menjadi lebih munafik lagi. Seperti kebanyakan menteri dan pegawai mereka di dalam kerajaan sekarang yang dilanda sindrom pekak, buta, bisu, atau singkatannya “PBB”, mereka nampaknya telah tercabut daripada suara akar umbi. Sudah tidak mengenal budaya masyarakat sendiri.

Petanda kalah sebegini, menakutkan sekali.

HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.

Polis reman anggota Jabatan Amal PAS

N Faizal Ghazali

Polis menahan seorang lelaki yang juga anggota Jabatan Amal PAS hari ini di Kota Bharu, dipercayai bagi membantu siasatan kes dakwaan menyebarkan berita palsu di media sosial.

Penahanan lelaki berusia 55 tahun itu dikatakan susulan satu hantaran di Facebooknya yang didakwa memfitnah menteri.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki terbabit.

"Penama (suspek) ini memang ada ditangkap hari ini dan tahanan reman selama dua hari.

"Itu yang boleh saya sahkan," katanya ringkas ketika diminta mengesahkan perkara itu.

Berdasarkan maklumat awal, suspek yang juga seorang peniaga kedai makan dipercayai akan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, penangkapan suspek menjadi tular di media sosial yang mendakwa polis menahan seorang pegawai yang bekerja di pejabat Adun Panchor, Mohd Amar Nik Abdullah.

Bagaimanapun, Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan ketika dihubungi menafikan perkara itu.

"Tiada (pegawai ditahan). Ini kerja orang yang tak ada kerja," katanya merujuk kepada pihak yang menyebarkan perkara itu.

Sementara itu sumber PAS Kelantan memberitahu lelaki berkenaan tiada sebarang jawatan dalam PAS sebaliknya hanya anggota biasa dalam Jabatan Amal.

Wan Azizah fikir nak bersara kalau Anwar jadi PM

Annabelle Lee

WAWANCARA | Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau mempertimbangkan untuk bersara daripada terlibat secara aktif dalam politik apabila suaminya Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

"Saya fikir, saya tidak akan terlibat politik secara aktif apabila saya menamatkan tempoh saya (sebagai MP Pandan).

"[...] Mungkin saya akan lebih banyak terlibat dalam menjaganya," katanya ketika ditanya tentang masa depan politik beliau ketika wawancara bersama media baru-baru ini bersempena ulang tahun tahun pertama pentadbiran PH.

Mengulas lanjut, pengerusi Majlis Penasihat PKR itu berkata beliau merancang untuk terus menjadi "seorang warganegara yang bertanggungjawab" pada masa depan dan yakin masih dapat menyumbang kepada pembangunan negara melalui cara lain.

Dr Wan Azizah merupakan timbalan perdana menteri wanita yang pertama di Malaysia merangkap menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

Doktor pakar mata

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dikatakan akan melepaskan jawatannya kepada Anwar di antara 2020 atau 2021.

Ini berdasarkan perjanjian di antara semua empat parti komponen PH sebelum PRU14.

Walau bagaimanapun, tarikh sebenar atau pelan peralihan masih belum dibentangkan.

Mahathir sendiri telah membayangkan beliau boleh bertahan lebih lama sekiranya diperlukan, sedangkan Anwar telah berulang kali menegaskan beliau tidak tergesa-gesa untuk mengambil alih jawatan perdana menteri.

Wan Azizah yang juga presiden PH merupakan seorang doktor pakar mata oftalmologi dan pernah berkhidmat di Hospital Besar Kuala Lumpur dan Hospital Universiti Malaya.


Bagaimanapun akibat peristiwa pemecatan suaminya sebagai perdana menteri pada 1998, beliau terjun ke dunia politik dan memenangi kerusi parlimen Permatang Pauh yang ditandinginya pada pilihan raya umum 1999.

Keika wawancara baru-baru ini, Wan Azizah mengimbau perjalanan politik sepanjang 20 tahun lalu dan melihat bagaimana kitaran hidup berlangsung.

"Maka lengkaplah suatu kitaran.

"Ketika ia terjadi, saya seorang isteri.

"Dan sekarang, entah bagaimana, saya tercamapk ke jawatan ini dan diberikan amanah dan tanggungjawab.

"Melihat di mana saya pernah berada, apa yang telah saya lalui, saya fikir saya masih boleh terus menyumbang untuk negara," katanya

AS pulangkan RM236 juta wang syarikat anak tiri Najib - Peguam Negara

Peguam Negara Tommy Thomas mengesahkan Malaysia telah menerima pemindahan pertama sebanyak AS$57 juta (RM236 juta) dari Amerika Syarikat, yang disita dari Red Granite Pictures selepas dituduh membiayai filem menggunakan dana yang didakwa diselewengkan dari 1MDB.

“Pemindahan pertama dana yang dipulangkan sebanyak AS$57,036,688.68 telah dikreditkan ke dalam akaun pemulihan aset 1MDB, sebuah akaun amanah, yang dibuka secara khusus untuk tujuan ini.

“Jumlah ini disita daripada Red Granite Pictures, sebuah syarikat pembikinan filem yang berpangkalan di AS yang dikaitkan dengan mantan perdana menteri Najib Razak dan anak tirinya Riza Aziz dan lanjutan daripada penyelesaian sebanyak AS$60 juta yang direkodkan di Mahkamah California,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Riza mengasaskan syarikat itu bersama dengan Joey McFarland. Antara filem Red Granite yang paling menonjol adalah "Wolf of Wall Street" yang dibintangi oleh Leonardo DiCaprio, yang juga didakwa dibiayai dengan dana 1MDB yang dicuri.

Sebagai sebahagian daripada penyelesaian, Red Granite Pictures bersetuju membayar AS$60 juta tanpa mengakui sebarang liabiliti atau salah laku.

Thomas berkata sejumlah AS$3 juta ditolak untuk membayar semula kos-kos yang telah dibelanjakan oleh DOJ dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk menyiasat, menyita, membicarakan dan mencapai peyelesaian untuk dana Red Granite.

“Juga termasuk dalam penolakan ini ialah kos-kos yang telah dibelanjakan oleh DOJ dan FBI untuk menyiasat, menyita dan memelihara Equanimity semasa kapal tersebut ditahan di perairan Indonesia sebelum dibawa ke perairan negara ini,” katanya.

Bulan lalu, Malaysia menjual kapal layar mewah Equityimity pada harga AS$126 juta selepas ia diserahkan kepada negara ini tahun lalu susulan penyitaannya di luar pantai Bali selepas operasi bersama antara polis Indonesia dan FBI.

TMJ ini 'budak bodoh' - Dr Mahathir


Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sepatutnya berhenti mengeluarkan kenyataan mengenai perkara-perkara di luar pengetahuannya, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Walaupun Dr Mahathir tidak mengkritik Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, tetapi perdana menteri tidak berselindung memberikan tegurannya kepada pewaris takhta itu.

"Saya tidak mahu mengulas mengenai sultan kerana sekiranya saya mengatakan apa-apa yang tidak baik, maka ia tidak elok kerana baginda ialah seorang sultan.

"Tetapi TMJ (Tunku Ismail) ini seorang budak ... Dia ini 'budak bodoh' kerana dia tidak tahu apa yang sedang berlaku.

"Jadi jangan cakap, kalau kamu tidak tahu apa-apa, jangan berkata-kata," jelasnya ketika wawancara khas bersama media di Putrajaya petang ini.

Mahathir diminta mengulas mengenai kenyataan Tunku Ismail bahawa perbuatan baik ayahandanya, seperti mengurniakan tanah kepada rakyat dan kerajaan, tidak ditonjolkan.

Kenyataan putera mahkota itu keluar selepas suatu laporan mengenai sebidang tanah persekutuan yang diperuntukkan untuk Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS) telah dipindah milik ke atas nama sultan.

Sultan Ibrahim sejak itu mengatakan bahawa baginda bersedia untuk menyerahkan kembali tanah itu tanpa kos.

'Himpunan PAS, Umno semalam jadi bahan lawak'

Penyertaan pemimpin Umno dan PAS dalam Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam di Kuala Lumpur semalam disifatkan sebagai hipokrit demi kepentingan politik parti masing-masing dengan mempergunakan nama Islam.
Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, berkata tindakan PAS menyertai himpunan bersama pemimpin Umno yang merosakkan Lembaga Tabung Haji, Felda dan Felcra sehingga kerajaan baru terbeban dengan isu kewangan juga adalah satu bahan ketawa untuk rakyat.

"Himpunan semalam disertai pemimpin Umno yang sudah merosakkan pelbagai agensi, dan tiba-tiba PAS pun ada kononnya mahu sama-sama pertahankan kedaulatan Islam.

"Ini boleh jadi bahan lawak sebab macam mana PAS boleh bersama dan bersekongkol dengan Umno?

"Dulu PAS bukan main mahu jatuhkan kuasa dan pemimpin Umno tetapi sekarang boleh pula bawa Datuk Seri Najib Razak ke Kompleks Pas di Kota Sarang Semut baru-baru ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Peduli Rakyat di Dataran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Alor Setar hari ini.

Beliau mengulas mengenai himpunan yang berlangsung di hadapan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur yang kononnya bertujuan bagi menyatakan kekesalan susulan beberapa insiden menghina Islam, Melayu dan institusi raja-raja dan kedaulatan perlembagaan.

Dalam perkembangan lain, Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata pihaknya masih menunggu laporan daripada Amanah Sabah berhubung isu sekumpulan lelaki memakai baju dengan logo Amanah mengedarkan risalah berkaitan calon bebas pilihan raya kecil Sandakan, Hamzah Abdullah.

"Buat masa ini, saya tak dapat laporan lagi, jadi kita kena tengok betul atau tidak ahli tersebut benar-benar orang Amanah atau hanya sekadar pakai baju ada logo parti.

"Kalau ia benar, kita akan serah kepada jawatankuasa disiplin untuk tentukan tindakan sepatutnya.

"Sepatutnya, mana-mana calon yang hendak bertanding perlu guna identiti parti masing-masing, takkan nak bergantung pada parti.

"Kalau betul mereka nak bawa lambang parti orang lain, nanti jangan pelik kalau orang pangkah parti yang mereka gunakan itu," katanya.

Pada 30 April lalu, Ketua Pemuda Amanah Sabah, Khairuddin Daud membuat laporan di Balai Polis Bandar Sandakan mendakwa antara empat hingga lima lelaki tidak dikenali menggunakan baju dengan logo Amanah berkempen untuk Hamzah.

Untuk rekod Hamzah merupakan bekas pengasas Amanah Sabah.
-Bernama

Jangan buang biji kurma, ketahui manfaatnya

Satu Ramadan yang jatuh pada Isnin depan pastinya bulan yang ditunggu-tunggu umat Islam kerana dapat melakukan amal ibadah.

Malah, sudah pasti hampir setiap rumah akan ada sekurang-kurangnya sekotak kurma tidak kiralah ia dari jenis apa pun.
Ini kerana kurma makanan mengikut sunah setiap kali berbuka puasa dan juga ketika bersahur.
Khasiat kurma sudah diketahui umum dalam membantu mengembalikan tenaga dan melancarkan pencernaan, terutamanya ketika kita berpuasa.
Namun, mungkin tidak ramai antara kita yang tahu biji kurma juga mempunyai banyak manfaatnya.

Jadi sebelum anda buang biji kurma, jom kita ketahui apakah kegunaan dan khasiatnya yang luarbiasa.
3 kegunaan biji kurma yang jarang diketahui
1. Alternatif kepada kopi
Tahukah anda, biji kurma ini boleh digunakan untuk membuat kopi yang lazat. Seperti juga kopi biasa, ia juga terhasil daripada bijinya kan?
Begitu jugalah yang kita boleh buat dengan biji kurma.
Kopi biji kurma adalah alternatif yang sangat sesuai bagi anda yang alah pada kafein.
Cara membuatnya sangat mudah.
  • Mula-mula basuhkan biji kurma yang telah dimakan sehingga bersih.
  • Kemudian biarkan ia kering seketika.
  • Seterusnya, panggang biji kurma atau sangai (goreng tanpa minyak) hingga kehitaman dan mengeluarkan aroma seakan-akan kopi.
  • Tumbuk biji kurma yang hangus tadi menggunakan batu lesung atau blender.
  • Kemudian, bolehlah digunakan sebagai serbuk kopi.
2. Melembutkan daging dengan cepat
Kalau ikut petua, biji kurma ini boleh digunakan untuk melembutkan daging secara semulajadi dengan cepat tanpa mengganggu rasa masakan.
Caranya masukkan beberapa butir biji kurma yang sudah dibasuh bersih ke dalam apa-apa masakan yang sedang dimasak.
InsyaAllah, daging akan cepat empuk dan lembut!
3. Digunakan sebagai scrub
Biji kurma juga boleh digunakan untuk tujuan kecantikan iaitu sebagai scrub atau lulur.
Dah tak payah beli mahal-mahal, gunakan biji kurma tadi dan jadikan serbuk macam buat kopi tadi.
Kemudian, campurkan dengan madu atau gula perang dan sedikit minyak zaitun sebelum digunakan pada muka atau bahagian badan.
Baunya wangi dan amat menyegarkan.
Khasiat biji kurma
Selain buah, biji kurma juga mengandungi pelbagai khasiat untuk tubuh.
Berikut adalah antara manfaatnya menurut kajian yang dilaporkan oleh HealthBenefitsTimes.com
  • Membantu mengawal kadar gula dalam darah.
  • Agen antiviral, melindungi tubuh daripada jangkitan.
  • Sumber antioksidan yang baik untuk tubuh.
  • Membantu kesihatan kulit.
  • Melembapkan dan membantu pertumbuhan rambut.
Selama ini, lepas makan kita buang saja biji kurma terus masuk tong sampah.
Jadi, selepas ini apa kata kita cuba simpan dan maksimakan kegunaan buah kurma tu sampailah ke bijinya.
Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan ni memang banyak beli dan makan buah kurma.
Bolehlah kumpul dan gunakan bijinya untuk buat kopi atau scrub. Jimat dan berbaloi. Berkhasiat pulak tu!