Kekalkan Dr Maszlee Malik suatu keperluan

Prof Ir Dr Azraai Kassim

YAB Perdana Menteri baru-baru ini ada menyatakan hasrat beliau untuk melakukan rombakan Menteri kabinet. Perdebatan beberapa pihak sejak tahun lalu terhadap perubahan beberapa kementerian, kini bukan lagi menjadi telahan.

Mungkin bagi sesetengah pihak itu perkara biasa. Perubahan dalam kepimpinan merupakan perkara yang sememangnya akan berlaku. Tiada apa yang pelik dan istimewa bagi sesetengah daripada kita.

Namun, pada pandangan saya perkara utama yang mendorong YAB Perdana Menteri menjalankan perubahan drastik ini adalah untuk memberikan motivasi kepada barisamn kepimpinan agar lebih agresif dalam memainkan peranan masing-masing.

Dalam persoalan ini, banyak teka-teki yang timbul. Banyak pula telahan yang muncul. Tidak kurang juga banyak pihak yang membuat andaian terhadap tumpuan utama rombakan ini.

Perubahan dalam kepimpinan itu penting dan ada kebaikannya dalam membina sebuah negara yang mahukan kemakmuran rakyat. Namun begitu, saya lebih tertarik untuk membicarakan kementerian yang saya sendiri berada di bawahnya, Kementerian Pendidikan Malaysia Malaysia.

Kami mempunyai seorang menteri yang boleh dikatakan agak muda, YB Dr. Maszlee Malik.

Sejak dari awal pelantikan beliau sudah mula ada cerita. Mungkin kerana kementerian ini adalah antara kementerian yang terpenting serta memainkan peranan yang besar dalam mencorak masa depan negara.

Sepanjang hampir dua tahun di bawah teraju beliau, banyak perkara dan peristiwa yang dilalui dan ditempuh. Maklum sahajalah, perjuangan merubah nilai bercampur cerita persepsi politik, tidak mudah untuk ditangani bersama.


Ditambah pula apabila menerajui satu kementerian besar yang sebelum ini merupakan dua buah kementerian iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi. Tidaklah mudah seperti memetik hujung jari kerana bagi saya ia memerlukan satuan semangat dan segala roh perjuangan demi perubahan pendidikan masa depan anak-anak dan itulah yang beliau lakukan.

Sepanjang setahun, banyak perubahan drastik yang berlaku di bawah kepimpinan beliau sehingga membuka mata semua pendidik, bahawasanya perubahan yang dilakukan dalam pendidikan ini amat penting untuk melahirkan generasi yang berpengetahuan dari pelbagai aspek.

Sembilan teras pencapaian

Di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia kini, terdapat 9 teras pencapaian yang disasarkan iaitu yang pertama manfaat untuk pelajar B40. Kedua, guru sebagai fokus utama.

Ketiga, murid sebagai tonggak. Keempat, komitmen tangani isu sekolah daif. Kelima, perhatian penuh kepada OKU.

Keenam, kewibawaan Institusi Pendidikan Tinggi. Ketujuh, peningkatan kerjasama dalam Pendidikan Tinggi.

Kelapan, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional serta yang kesembilan adalah berfokus kepada pemerkasaan bahasa, budaya dan sastera.

Berpandukan pada teras yang pertama dalam pencapaian Kementerian Pendidikan Malaysia Malaysia, banyak perubahan yang telah dilakukan, antaranya ialah membuka kuota sebanyak 60 peratus kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP) mulai tahun 2019, yang menyaksikan seramai 4,888 orang pelajar telah ditawarkan ke SBP.

Daripada jumlah tersebut 2,630 (53.8 peratus) menerima tawaran ke sekolah berasrama penuh mulai sesi 2019. Seterusnya, berdasarkan teras ini Kementerian Pendidikan Malaysia juga memberi keutamaan kepada pelajar B40 dengan memastikan sebanyak 60 peratus daripada jumlah enrolmen dikhaskan kepada golongan ini.

Di samping itu, dalam teras pencapaian ini juga Kementerian Pendidikan Malaysia telah menetapkan biasiswa dan bantuan kewangan dengan memperuntukkan RM68.1juta dengan seramai 17,100 pelajar mendapat manfaatnya.

Mansuh 30 peratus beban kerja guru

Guru sebagai fokus utama juga merupakan teras dalam pencapaian Kementerian Pendidikan Malaysia yang mementingkan kebajikan dan imej seseorang guru tersebut. Bagi aspek bebanan tugas guru, Kementerian Pendidikan Malaysia telah berjaya memansuhkan sebanyak 30 peratus daripada beban kerja guru. Selain itu, Kementerian Pendidikan Malaysia juga berpegang kepada teras murid sebagai tonggak.

Melalui teras ini Kementerian Pendidikan Malaysia telah memansuhkan peperiksaan tahap 1 yang melibatkan lebih 1 juta murid. Lanjutan daripada pemansuhan tersebut laporan penilaian pertengahan tahun telah dikeluarkan pada Jun 2019.

Kementerian Pendidikan Malaysia juga melakukan semakan semula Akta Pendidikan 1996 bagi mengadakan peruntukan pendidikan wajib selama 11 tahun.

Teras keempat ialah komitmen untuk menangani isu sekolah daif. Berdasarkan teras tersebut Kementerian Pendidikan Malaysia Malaysia telah memulakan pembinaan sebanyak 107 buah sekolah yang dijangka siap pada penghujung tahun 2019.


Seterusnya, sebanyak 93 buah sekolah sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan. Jumlah paling tinggi dalam menangani isu sekolah daif ini adalah sebanyak 301 buah sekolah telah siap dibina dan dilengkapi dengan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC). Pembangunan sekolah daif ini ditambah baik dari aspek penggunaan impak, kaedah pelaksanaan dan skop pembinaan.

Hubungan kerjasama dengan kerajaan negeri juga turut dijalankan apabila sebanyak RM1 bilion peruntukan oleh kerajaan negeri Sarawak diberikan kepada kerajaan persekutuan untuk membaiki sekolah daif.

Perhatian penuh kepada orang kurang upaya juga merupakan teras dalam pencapaian Kementerian Pendidikan Malaysia sekarang. Hal ini kerana, Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan Dasar Sifar Penolakan.

Berdasarkan dasar ini seramai 10,948 murid telah mendapat manfaat di bawah Murid Berkeperluan Khas (MBK) pada April 2019. Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah mengambil pendekatan menjalinkan kerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang aktif seperti Persatuan Sokongan Ibu Bapa Dileksia Malaysia (PSIDM), Persatuan Down Syndrome Malaysia, Autism Malaysia dan Persatuan Pendidikan Khas Kebangsaan.

Selain itu, Kementerian Pendidikan Malaysia turut membuka ruang kepada MBK untuk menempatkan diri di setiap universiti dalam kuota khas.

Pinda Auku

Kewibawaan Institusi Pendidikan Tinggi juga menjadi teras dalam Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah teraju YB Dr Maszlee Malik. Kewibawaan ini terserlah apabila Kementerian Pendidikan Malaysia telah membuat pindaan Auku dengan memansuhkan Auku yang akan digantikan dengan akta baru sedang dirangka untuk dibentangkan di parlimen pada tahun 2020.

Semua pelajar universiti awam juga diberikan mandat untuk mengendalikan pilihan raya kampus sendiri. Selain itu, suara mahasiswa juga mendapat perhatian apabila wakil pelajar dilantik menganggotai Senat Universiti.


Di samping itu, Kementerian Pendidikan Malaysia juga memperkenalkan peningkatan kerjasama dalam pendidikan tinggi yang melibatkan urusan dengan Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).

Libat urus ini menghasilkan Roadmap untuk Pendidikan Tinggi Swasta supaya usaha sama Universiti Awam dan Swasta dapat dipertingkatkan.

Pendidian Teknikal dan Latihan Vokasional juga tidak terlepas dalam teras pencapaian apabila pada 21 Jun 2018 telah ditubuhkan jawatankuasa pemerkasaan TVET yang bertujuan untuk memperkasakan pendidikan dan hala tuju TVET.

Jawatankuasa ini juga beroperasi sebagai sekretariat merentasi semua Kementerian Penyelia TVET. Tambahan lagi, pemerkasaan Kolej Vokasional (KV) turut dilakukan dengan membentuk Jawatan Khas Hala Tuju Kolej Vokasional.

Pembentukan jawatankuasa tersebut bagi transformasi Pendidikan Vokasional dan mempergiat usaha berterusan dalam membentuk KV dan memenuhi standard MQA dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). Akses Politeknik dan Kolej Komuniti juga diperluas melalui Program ACES (Apprenticeship Programme, Profesional Certificate, Entrepreneurship Programme dan Sijil Kolej Komuniti (Program Persediaan).

Begitu juga dengan kerjasama Institut TVET dari segi sumber, peralatan, fasiliti, tenaga pengajar dan kepakaran. Tahfiz TVET juga dilaksanakan melalui program Tahfiz TVET secara bermodul.

Seterusnya, dalam teras perancangan ini juga Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkukuh jalinan kolaborasi Institusi TVET bersama Industri/Agensi yang membawa impak kepada kebolehpasaran graduan.

Pemerkasaan bahasa, budaya dan sastera

Pemerkasaan bahasa, budaya dan sastera juga merupakan teras dalam pencapaian Kementerian Pendidikan Malaysia. Pelbagai program telah dilaksanakan menerusi teras pencapaian ini seperti Program Sasterawan Negara Universiti. Program ini melibatkan hampir semua Universiti Awam yang telah mengadakan perbincangan dengan barisan Sasterawan Negara.


Kempen Dekad Membaca Kebangsaan (2021-2030) juga telah dilaksanakan dan menunjukkan lebih daripada 36,000 kegiatan berkaitan kempen membaca telah dirancang di seluruh negara bagi tahun 2019. Semakan semula Dasar Bahasa Kebangsaan juga telah dilaksanakan melalui pembentangan draf pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam mesyuarat Lembaga Pengelola DBP Julai 2019.

Perubahan yang berlaku dalam pendidikan sepanjang setahun ini amat mementingkan nilai untuk kesejahteraan generasi akan datang. Sememangnya, perubahan ini dapat memberikan manfaat kepada semua pihak.

Mungkin menyingkap perubahan yang telah dilakukan oleh YB Dr. Maszlee Malik jauh daripada kewajaran untuk dipanjangkan dan diuar-uarkan. Namun, jika tidak dikongsikan sudah tentu besar lagi persepsi dan jurang tanggapan masyarakat.

Perubahan dalam pendidikan bukanlah taruhan yang dinilai untuk setahun dua atau untuk dilihat kesannya sekelip mata.

Walau apa jua tanggapan, demi membina generasi berintegriti yang mempunyai nilai-nilai murni serta membina kejayaan mengikut acuan kita, YB Dr Maszlee Malik telah menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan dan mengekalkan beliau di portfolio Pendidikan adalah suatu keperluan yang bukan kepalang.

Semoga segala yang diusahakan oleh barisan kepimpinan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia akan mencapai matlamat dan manfaatnya ke arah kemajuan pendidikan negara.

PROFESOR EMERITUS IR DR MOHD AZRAAI KASSIM ialah naib canselor UiTM.

Kenalan rapat Najib pulangkan RM3.68 juta 1MDB kepada k’jaan

Ahli Perniagaan Sarawak, Tan Sri Bustari Yusof, yang digambarkan sebagai kenalan rapat bekas perdana menteri Najib Razak telah memulangkan wang berjumlah RM3,683,117.94 yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada kerajaan Malaysia.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada prosiding sebutan permohonan melucut hak harta itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah di Kuala Lumpur, hari ini.

Allan berkata pihak SPRM telah menerima cek berjumlah RM3,683,117.94 juta daripada pihak Bustari semalam.

“Sehubungan itu, pendakwa raya selaku pemohon telah menarik balik permohonan lucut hak terhadap Bustari selaku responden.

“Pihak pendakwaan turut diberikan arahan untuk menyahbekukan akaun Bustari,” katanya.

Peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang mewakili Bustari mengesahkan bahawa cek itu telah diserahkan kepada pihak SPRM semalam.

“Terima kasih kepada pihak pendakwaan kerana telah menarik balik permohonan lucut hak. Mohon permohonan lucut hak itu dibatalkan,” katanya yang turut dibantu oleh peguam Tiara Katrina Fuad.

Hakim Sequerah kemudiannya membatalkan permohonan lucut hak berkenaan dan berterima kasih kepada kedua-dua pihak kerana berjaya mencapai penyelesaian.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya baru-baru ini dilaporkan berkata permohonan pelucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.
-Bernama

Tak yakin kepada Pas punca 22 MP Umno jumpa Azmin

BORHAN AHMAD
22 MP Umno jumpa Azmin kerana tak yakin kerjasama dengan Pas akan kekal.
Ketidakyakinan kepada kelangsungan kerjasama antara Umno dan Pas menjadi punca utama kepada sekumpulan pemimpin dan ahli parlimen Umno berjumpa dengan Menteri Pembangunan Ekonomi, Datruk Seri Mohamed azmin Ali baru-baru ini.

Menurut sumber yang turut serta dalam pertemuan itu, para anggota Parlimen Umno berkenaan memberitahu, mereka tidak yakin Umno dan Pas boleh kekal bekerjasama.

“Banyak sangat perbezaan antara Umno dan Pas. Mereka tak yakin dengan keikhlasan Pas yang membolehkan kerjasama ini kekal,” kata sumber itu kepada Malaysia Dateline.

Selain perkara itu, para pemimpin Umno itu juga membawa tiga mesej lagi kepada Azmin dalam pertemuan itu.

Ia termasuklah memberikan tawaran untuk mengundi Tun Dr Mahathir Mohamad jika ada undi tidak percaya terhadap beliau.

“Mereka juga menuntut Azmin mengekal peruntukan kepada ahli parlimen Umno sebagaimana yang diperolehi oleh ahli parllimen Pakatan Harapan.

“Jadi betullah yang dikatakan oleh sesetengah pihak, ini soal nak peruntukan,” kata sumber itu lagi.

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa pertemuan antara anggota parlimen Umno dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali baru-baru adalah bagi membincangkan penyaluran projek-projek kerajaan ke kawasan mereka.

Pada 18 November lalu, sekurang-kurangnya 22 anggota parlimen BN dan lima dari PKR dipercayai hadir di kediaman rasmi Azmin di Presint 10, Putrajaya.

Pertemuan itu berlangsung selama kira-kira dua jam.

Tidak lama selepas anggota-anggota parlimen berkenaan dilihat meninggalkan kediaman Azmin, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam mendakwa bekas naib presiden parti itu, Hishammuddin Hussein sebagai dalang di sebalik pertemuan tersebut.

Bersama Azmi adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraidah Kamarudin (Ahli Parlimen Ampang) dan Timbalan Menteri Pengangkutan Kamaruddin Jaffar (Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Ada pihak dalam PKR sudah lupa landasan, kata Anwar

Geraldine Tong

Presiden PKR Anwar Ibrahim mengkritik sejumlah dalam parti itu yang menurutnya lupa akan perjuangan parti itu.

Walaupun tidak merujuk mana-mana pihak secara khusus, ia dilihat seperti kritikan terhadap timbalannya Mohamed Azmin Ali.

"Kadang-kadang ada yang lupa...Bukan dalam parti lawan, tapi dalam PKR pun ada...Sebab mereka sudah lupa landasan.

"Mereka lupa perjuangan ini bukan untuk jaga satu dua orang, bukan nak jamin kedudukan satu dua orang sebagai menteri.

"Bukan 'siapa sokong aku dapat projek, siapa tak sokong tak dapat'. Ini perangai buruk Umno dulu yang kita nak betulkan," katanya ketika berucap di Kongres Otai Reformis di Shah Alam, hari ini.

Ucapan itu beberapa hari selepas pertemuan sejumlah anggota parlimen PKR dan BN di kediaman rasmi Azmin pada Isnin lalu.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang tiada di pertemuan itu, berkata beliau diberitahu ia hanya untuk membincangkan soal penyaluran projek-projek kerajaan ke kawasan mereka.

Pertemuan itu mencetuskan spekulasi dengan ada yang berkata ia bagi menyokong Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan juga penubuhan parti baru.

Bagaimanapun mereka yang hadir konsisten menafikan dakwaan tersebut.

Sementara itu Anwar menggesa semua pihak agar bersabar dalam isu peralihan jawatan perdana menteri dan berkata beliau mahu ia berjalan secara aman.

"Saya pilih peralihan aman. Kita beri ruang kepada Mahathir untuk memimpin dan pulihkan ekonomi agar peralihan boleh berlaku secara lancar dan tanpa masalah.

"Itu pendirian saya dan saya minta anda semua bersabar. Saya tidak risau," katanya lagi, sambil berkata soal itu terletak di tangan Majlis Presiden PH.

Umno Selangor bergolak kerana 'budak suruhan' Hisham?

Shakira Buang

Buat pertama kali dalam sejarah Umno Selangor gagal mengadakan mesyuarat badan perhubungannya semalam.

Ia berikutan lebih separuh daripada ketua bahagian Umno negeri itu tidak menghadirkan diri dalam mesyuarat yang sepatutnya berlangsung di Shah Alam malam tadi.

Menurut sumber kepada Malaysiakini, hanya enam ketua bahagian hadir pada pertemuan itu, manakala selebihnya bertindak memboikot mesyuarat berkenaan.

“Ini kali pertama mesyuarat perhubungan Umno negeri tidak berjaya diadakan kerana protes daripada ketua-ketua bahagian.

“Daripada 22 ketua bahagian selain daripada pengurusan (pengerusi, timbalan pengerusi, penerangan dan bendahari) hanya Tan Sri Noh Omar yang datang sebagai ahli jawatankuasa. Seramai 16 orang lagi tidak hadir,” katanya.

Malaysiakini dimaklumkan ketidakhadiran ketua-ketua Umno bahagian itu disebabkan rasa tidak puas hati mereka terhadap Pengerusi Perhubungan Umno Selangor yang baru dilantik Julai lalu, Nadzari Ahmad Dahlan.

'Budak suruhan Hishammuddin'

Sumber berkata pengurusan Umno Selangor juga terlalu dibayangi bekas naib presiden parti itu, Hishamuddin Hussein.

Malah, Nadzari juga didakwa merupakan ‘budak suruhan’ anggota parlimen Sembrong itu.

“Jadi, kami tidak berminat untuk mengadakan mesyuarat perhubungan yang dipengerusikan 'budak suruhan' Hishamuddin.

“Kami juga pernah menasihati 'budak suruhan' Hishamuddin supaya jangan keterlaluan tetapi mereka tidak mengendahkan nasihat daripada ketua-ketua bahagian, maka berlakulah protes dan boikot ini,” katanya.

Jelasnya, rasa tidak puas hati itu semakin bertambah ekoran tindakan Hishammuddin yang membelakangkan pucuk pimpinan parti apabila didakwa mengetuai pertemuan sekumpulan anggota parlimen BN di kediaman rasmi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali, Isnin lalu.

"Kami tidak mahu pimpinan Selangor ini cenderung kepada mana-mana individu yang bukan daripada struktur parti.

“Kami sedar kami adalah parti pembangkang yang kalah teruk di Selangor. Tetapi kami tidak mahu lagi kesilapan-kesilapan lampau akan memecahbelahkan serta menimbulkan kekeliruan di peringkat akar umbi,” katanya.

Pertemuan yang berlangsung di kediaman Azmin di Putrajaya pada malam Isnin lalu dihadiri lebih 20 anggota parlimen Umno, termasuk Hishammuddin Hussein.

Bagaimanapun Hishammuddin menafikan beliau merancang pertemuan tersebut.

Sebelum ini, Sekretariat Pakatan Harapan (PH) mendakwa Hishammuddin merancang untuk membentuk kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah, namun turut dinafikan bekas naib presiden Umno itu.

Temui presiden, bincang kedudukan Nadzari

Sementara itu sumber berkata ketua-ketua bahagian Umno Selangor akan mengadakan pertemuan dengan presiden parti semasa Perhimpunan Agung Umno yang dijadual awal Disember depan bagi membincangkan kedudukan Nadzari.

“Kita mahu melihat mereka yang menjadi pengerusi ini selain berwibawa, mereka ini mestilah dilihat berkecuali daripada mana-mana konflik yang boleh membawa kekeliruan di peringkat akar umbi,” katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi Hishammuddin dan Nadzari untuk mendapatkan reaksi mereka.