Cukup-cukuplah guris hati rakyat Kelantan

MALAYSIA DATELINE

Dalam keadaan jurang kemiskinan rakyat semakin tinggi akibat pandemik COVID-19 dan dibeban pula dengan kenaikan pelbagai cukai tanah, cukai pintu dan cukai pecah lot tanah, tergamak pemimpin kerajaan negeri Kelantan mencadangkan kenaikan gaji pokok Exco dan Adun.

Naib Pengerusi AMANAH Kelantan Rushdan Mustafa berkata, kenaikan dari RM3,000 ke RM5,000 atas alasan untuk menyeragamkan dengan negeri-negeri dan mendakwa peranan mereka seperti Pegawai Kebajikan Masyarat adalah tidak masuk akal.

Katanya, sekali gus menafikan peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai Jabatan Persekutuan yang bertanggungjawab kepada golongan yang kurang bernasib baik di negeri Kelantan.

“Apakah ini yang Islam ajar kepada pemerintah yang mendakwa sebagai Kerajaan Ulamak dibawah Negeri Serambi Mekah dalam keadaan rakyat teruk menderita ekonominya? Atau sengaja memesongkan apa yang diajar oleh Al-Quran untuk menghalalkan cara?

“Sepatutnya dalam keadaan rakyat menghadapi kesusahan tumpuan patut diberi untuk membantu rakyat. Peruntukan yang besar perlu dibentangkan.

“Nilaian Bakul Rakyat mesti di naikkan ke angka RM200 ke RM300. Apatah lagi Kelantan kini bakal berdepan dengan musim tengkujuh tidak lama lagi,” kata beliau dalam kenyataan.

Slip gaji menunjukkan jumlah gaji atau elaun Exco Kerajaan Pas Kelantan yang sedang tular

Tegasnya, menaikkan pendapatan disaat airmata rakyat berlinangan memohon sekampit beras dan sekilo gula adalah sarat dengan kemarahan yang tidak dapat dibendung.

“Tidak cukupkah lagi menguris hati rakyat dengan kereta mewah yang dibeli dari wang rakyat?

“Apakah derita rakyat yang kehilangan rumah kerana banjir besar telah diatasi? Apakah segala tunggakan kepada kakitangan YIK yang tertangguh telah dibayar sepenuhnya memandangkan seolah-olah kerajaan negeri telah kukuh kewangannya?

“Fikir tembolok sendiri atau berkhidmat untuk rakyat?” soal beliau.

Katanya, Kelantan tidak terkecuali terima ancaman COVID-19 malah kesulitan yang dirasai merangkumi semua taraf rakyat sama ada yang berkemampuan dan tidak berkemampuan, di bandar atau di ceruk kampung.

“Saban hari terpapar di dada media sosial betapa peritnya rakyat Kelantan berdepan dengan kepayahan hidup angkara covid 19. SOP dan norma baru terpaksa dilalui dengan berat hati.

“Ada yang dibuang kerja, ada yang terpaksa menutup kedai kerana kekurangan pelanggan. Kerjaya kais pagi makan pagi juga telah terjejas teruk,” katanya.

JASA – BARISAN HADAPAN UNTUK KUKUHKAN GENG KARTEL DALAM PN?

Shahbudin Husin

Satu isu yang turut menjadi bualan hangat tentang Belanjawan 2021 ialah berkenaan peruntukan besar yang disediakan untuk Jabatan Hal Ehwal Khas atau Jasa.

Jasa adalah unit propaganda kerajaan yang diwujudkan sejak era BN, tetapi telah dimansuhkan pada 2018 sewaktu PH mentadbir negara.

Dalam belanjawan yang dibentangkan Tengku Zafrul Abdul Aziz semalam, Jasa diperuntukkan sebanyak RM85.5 juta, satu jumlah paling besar pernah diperolehinya.

Terdapat dua peruntukan untuk unit di bawah belanjawan Kementerian Komunikasi dan Multimedia – pertama, sebanyak RM4 juta di bawah belanjawan komunikasi strategi dan kedua, sebanyak RM81.5 juta di bawah dasar baru.

Jumlah kedua-duanya iaitu RM85.5 juta adalah peningkatan sebanyak 185 peratus berbanding RM30 juta yang diperuntukkan kepada jabatan itu oleh kerajaan BN pada Belanjawan 2018 lalu.

Sejarah peruntukan untuk Jasa sebelum ini adalah seperti berikut:-

⁃ 2011 – RM21,759,400

⁃ 2012 – RM21,392,000

⁃ 2013 – RM23,127,100

⁃ 2014 – RM24,572,800

⁃ 2015 – RM21,718,100

⁃ 2016 – RM22,801,000

⁃ 2017 – RM22,886,500

⁃ 2018 – RM30, 000, 000

⁃ 2019 – Tiada (dimansuh)

⁃ 2020 – Tiada (dimansuh)

⁃ 2021 – RM85.5 juta

Persoalannya, untuk kerja apa sampai Jasa perlu diberikan wang sebanyak itu dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin ini?

Sebagai makluman, oleh kerana Jasa terletak di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, bermakna ia adalah dalam kawalan menterinya, Saifuddin Abdullah, bekas pemimpin PKR yang kini menyertai Bersatu.

Beliau diketahui sebagai salah seorang Geng Kartel atau penyokong kuat kepada Azmin Ali.

Dengan itu, apakah kewujudan semula Jasa dengan peruntukan besar itu bertujuan untuk mengaktifkan kumpulan propaganda atau barisan hadapan pro Azmin yang bukan saja berperanan untuk menyerang PH, khusus menghadapi PRU15 akan datang, tetapi juga bagi melemahkan UMNO agar Bersatu sentiasa dilihat dominan dalam kerajaan PN?

Mungkinkah juga Jasa bakal diketuai oleh bekas pemimpin PKR yang kini ada bersama dalam Bersatu?

Ketika era BN, memang Jasa diketuai oleh pemimpin UMNO dengan yang terakhir mengetuai jabatan itu ialah Dr Puad Zarkashi, Ahli MT UMNO.

Maka, soalan lain untuk PH dan UMNO, sediakah mereka menyokong Belanjawan 2021 ketika pengundian nanti? (Shahbudindotcom 07/11/2020)

Kelesuan PH perlu ditamatkan segera

MOHD ARIF JUHANI ABDUL RAHMAN

Pakatan Harapan (PH) hampir mempunyai segala hujah dan modal politik untuk menjatuhkan Perikatan Nasional (PN) dalam tempoh terdekat ini.

Keabsahan Muhyiddin Yasssin sebagai perdana menteri yang semakin diragui, kelembapan barisan kabinet menangani keganasan Covid-19, kemelut dalaman antara Umno dan Bersatu sehinggalah kerakusan untuk merampas kuasa di Sabah yang kemudiannya menjadi punca pandemik kembali meningkat.

Benar, pada pusingan awal selepas mengangkat sumpah pada Mac lalu sebagai perdana menteri, Muhyiddin memperoleh kelebihan mutlak. Beliau dilihat lebih popular dan diterima oleh seisi rakyat Malaysia. Tetapi situasi mula berubah apabila Khairuddin Aman Razali gagal laksana kuarantin kendiri selepas pulang dari Turki. Ini adalah permulaan yang hampir semua orang maklum.

Keyakinan terhadap Muhyiddin segera berubah dan secara umumnya, ramai melihat beliau mengambil sikap berat sebelah demi melindungi menteri PN. Situasi semakin memburuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September lalu.

Dalam sekelip mata, Muhyiddin dan barisan kabinet dilihat hilang daya kekuatan sebagai sebuah kerajaan. Menteri Pendidikan gagal menangani masalah pembelajaran di sekolah akibat sekatan pergerakan, Timbalan Menteri Kesihatan menganggap sekolah masih kawasan yang selamat dan Menteri Pengajian Tinggi pula bercelaru dalam mengurus komunikasi antara kementerian dengan institusi pengajian tinggi seluruh negara.

Akibat daripada ketempangan komunikasi ini telah menatijahkan kesusahan bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga keluarga dan ibubapa.

Itu cerita yang ada kaitan dengan Covid-19. Dalam perkembangan yang lain pula, Khairuddin yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pula gagal menampilkan daya kepimpinan yang meyakinkan.

Selain isu gagal kuarantin kendiri yang mencetuskan cemuhan netizen, beliau juga tidak membawa kementerian tersebut jauh lebih baik berbanding Teresa Kok, menteri PH yang memegang portfolio yang hampir serupa.

Khairuddin bukan sahaja gagal tampil berbeza, sebaliknya hanya mampu mengitar semula idea Teresa Kok seperti industri buluh. Satu contoh mudah yang menunjukkan sikap hipokrit beliau adalah usaha untuk membaiki hubungan baik dengan India untuk meningkatkan eksport minyak sawit.

Secara terbuka, beliau sendiri mengakui bahawa salah satu punca yang menjurus kepada hubungan keruh antara Kuala Lumpur dan New Delhi sebelum ini adalah kerana tindakan India ke atas Kashmir.

Sikap ini amat berbeza jika beliau menjadi pembangkang. Jika ketika itu dia masih pembangkang, maka hampir pasti cadangan yang akan dikemukakan kepada kerajaan ketika itu adalah memutuskan hubungan diplomatik dengan India sebagai tanda solidariti terhadap penduduk dan pentadbiran Kashmir.

Memang tidak sukar untuk disenarai panjang kelemahan PN. Tetapi setakat ini, walaupun lemah, Muhyiddin masih berkuasa sebagai perdana menteri dan pendekatan ‘scheme of things’ yang dilaksanakannya masih kuat menguasai.

Pada masa yang sama, satu persoalan perlu dirungkaikan adakah selama 22 bulan, PH telah gagal sebagai kerajaan?

Walaupun tidak adil untuk menjawab ‘ya’ atau ‘tidak’ kerana memerlukan satu perbahasan yang panjang tetapi jika dirujuk kepada laporan terkini Ketua Audit Negara, ternyata PH belum boleh dilabel gagal sebagai kerajaan.

Menurut laporan tersebut, hasil kerajaan persekutuan yang telah diperoleh pada tahun adalah sebanyak RM264.4 bilion iaitu peningkatan sebanyak 13.5 peratus atau RM31.5 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Tetapi samada gagal ataupun tidak, sehingga kini apa yang jelas terpampang adalah Muhyiddin masih berkuasa di Putrajaya manakala PH pula bukan sahaja kelihatan lesu bahkan seperti tiada arah tuju untuk mendapatkan mandat rakyat yang telah dicuri.

Kini, apa yang pasti, PH telah terbahagi kepada tiga kumpulan. Pertama, kumpulan yang mengharap agar Tun Dr Mahathir Mohamad kembali bersama PH membentuk sebuah kekuatan baharu untuk menjatuhkan PN.

Kedua, kumpulan yang berharap PH lupakan Mahathir yang telah meninggalkan blok parti politik itu dan bersatu di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim untuk merampas mandat rakyat.

Kumpulan yang ketiga adalah yang merasakan PH perlu segera melupakan kewujudan Mahathir dan Anwar. Sebaliknya menampilkan barisan kepimpinan baharu yang lebih muda, lebih pintar dan lebih bertenaga dan agresif untuk membina PH dan momentum menuju PRU-15.

Gagasan atau idea seumpama itu memang mudah dilontarkan disebut tetapi siapakah yang berani untuk mencadangkannya kepada kepimpinan PH atau lebih penting memastikan keberkesanannya?

Jika Anwar dan Mahathir atau mungkin Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu pun sanggup berundur untuk memberi peluang kepada barisan kepimpinan baharu membina semula PH, apakah kemampuan yang dimiliki oleh setiap parti PH miliki?

Cukuplah jika membayangkan sebuah kempen ceramah politik tanpa kehadiran tokoh-tokoh politik seperti pimpinan PH kini, yakinkah kita akan kehadiran memberangsangkan dari kalangan rakyat tempatan?

Realiti politik di Malaysia secara umumnya tidak memberi peluang lumayan kepada golongan idealis untuk melontar dan menggerakkan idea. Hakikatnya politik di Malaysia masih perlu berpaut kepada imej ketokohan seseorang pemimpin. Malah inilah lesen yang kerap digunakan untuk bertanding dalam pemilihan parti.

Tetapi sementara PH masih bernaung di bawah kepimpinan tokoh-tokoh tersebut, situasi semasa kelihatan tidak berubah lebih baik. Ketidaktentuan hala tuju PH masih membingungkan ahli bawahan malah berisiko mencetuskan perbalahan sesama ahli sendiri. Sudah pasti situasi lesu PH yang merimaskan ini perlu ditamatkan pada kadar segera.

Umno akan paling banyak tercedera jika Dr Afif menjadi KP Jasa

BORHAN AHMAD

Jika benar Belanjawan 21 diluluskan, Jasa berjaya dibentuk semula dan Dr Afif Bahardin menjadi ketua pengarahnya, pihak yang akan paling banyak tercedera adalah Umno. 

Kicauan dari Dr Afif tentang Jasa ketika di bawah Umno.

Ini kerana, Dr Afif adalah pihak yang paling keras menentang Jasa dan Umno ketika badan propaganda itu berada di bawah kerajaan Barisan Nasional dan ketua pengarahnya dari Umno.

Sejak Oktober 2016 lagi, Dr Afif telah menyerang Jasa melalui twitter beliau.

“Sebenarnya untuk jimatkan wang negara, jabatan seperti Jasa yang jadi macai kepada Umno elok dimansuhkan dan biar dana itu digunakan untuk rakyat.”

Bekas Exco kerajaan negeri Pulau Pinang itu juga menulis, “Perlukah gaji Tun Faizal dan Lokman Adam dibayar dengan duit rakyat?

“Bajet Jasa elok diguna naiktaraf hospital dan gajikan doktober #Bajet2017”.

Tun Faisal dan Lokman Noor Adam adalah dua operator media yang utama untuk Umno sekarang.

Tun Faisal adalah Setiausaha Akhbar Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa manakala Lokman adalah orang kanan Datuk Seri Najib Razak yang juga Ketua Laskar Siber Malaysia.

Jasa telah dibubarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana ia menjadi badan propaganda untuk parti dan pemimpin parti bukan untuk kerajaan dan negara.

Sebahagian besar kakitangannya ditamatkan perkhidmatan atau diserap ke jabatan lain yang berkaitan.

KP Jasa yang terakhir sebelum ia dibubarkan adalah Datuk Dr Puad Zarkashi, bekas ahli Parlimen Muar yang juga bekas timbalan menteri.

Umno Terengganu tolak duduk di serambi yang dicadang Pas

SITI NUR ZAWANI MISCON

Umno Terengganu menolak tawaran kerajaan negeri Terengganu untuk menerima tiga daripada 20 kerusi dalam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau duduk di serambi sebagaimana yang diumumkan oleh Exco kerajaan negeri Terengganu.

Ketua Penerangan Umno Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku berkata, Umno akan kekal dengan keputusan terdahulu akan bekerjasama dengan kerajaan negeri tetapi tidak akan duduk dalam JPKK.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Terengganu, Dr Azman Ibrahim mengumumkan, mereka akan meraikan rakan PN dari Umno dan Bersatu dengan menjemput mereka mengisi kuota tambahan 5 ahli JPKK dari 20 ajk kesemuanya ketika penjawat utama akan kekal dipegang oleh Pas.

“Sehingga PRU 15, Kerajaan Negeri Terengganu memutuskan bahawa rumah yang sedia ada tak perlu dirobohkan untuk dibina baru.

“Kita hanya tambah serambi sahaja untuk wujudkan ruang rumah yang lebih luas,” kata Dr Azman dalam isu  perlantikan wakil Umno dan Bersatu dalam JPKK.

Penjawat utama badan ini iaitu pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha dan bendahari akan kekal dipegang oleh Pas dengan keputusan kerajaan negeri Terengganu ini.

Pas mempunyai 22 Adun di Terengganu manakala 10 lagi adalah Umno. Walaupun sudah bersama tetapi tidak ada seorang pun wakil Umno dalam Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Menurut Nik Dir, adalah lebih baik untuk mengetepikan soal kuasa dan sewajarnya semua pihak mencari jalan penyelesaian membantu rakyat yang terjejas teruk akibat wabak yang melanda ketika ini.

Tambahan pula katanya, rakyat pada masa ini berharap intipati utama Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan sama ada di peringkat pusat atau negeri, akan mengambil kira kepentingan rakyat.

“Keputusan ini telah diputuskan sebagai menghomati mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang memilih Pas menerajui dan mentadbir negeri ini.

“Sebarang pertimbangan semula akan dilakukan secara teliti selepas mandat rakyat berakhir dan mandat baru diperoleh selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Politik Trump dan lebai

JAMZURI ARDANI

Politik Trump dan lebai

Keputusan pilihan raya Presiden Amerika jam 7.20 pagi Jumaat.

Dearborn di Michigan adalah bandar yang paling padat dengan warganegara AS berketurunan Arab dan beragama Islam.

Keputusan undi di bandar Dearborn ialah:

Biden – 68%

Trump – 28%

Kaum minoriti menjauhi Trump.

Retorik politik Trump menjadikan polarisasi perkauman semakin tajam di AS. Didalam usaha beliau mendapatkan sebanyak mungkin undi dari kaum majoriti, kaum minoriti semakin rasa tersisih.

Di Florida, jurukempen Trump dirakamkan melaungkan slogan ‘White Power’ semasa berkempen di kalangan masyarakat kulit putih.

Mereka juga berkempen bahawa polisi pro-sosialis parti Demokrat adalah mirip dengan komunis.

Rupanya, Trump ni pun jenis otak lebai juga. Mainkan isu ketuanan bangsa dan sentimen anti-komunis Cina.

Semoga Trump kalah dan semoga lebai juga akan kalah.

Muslihat apa peraturan baru Dewan Rakyat?

A Kadir Jasin

Memang baik kita semua, termasuk ahli parlimen, mengambil segala langkah meminimumkan kemungkinan dijangkiti Covid-19.

Tapi kalau sampai sidang parlimen pun dihadkan kepada empat jam sehari dan kehadiran ahli dihadkan kepada 80 orang rasanya sudah sampai tahap melampau dan tidak masuk akal.

Nampak seolah-olah nyawa dan kebajikan ahli parlimen lebih penting daripada nyawa dan kebajikan orang lain. Atau ada udang di sebaliknya batu.

Orang politik selalu cakap rakyat jelata diutamakan. Tapi nampaknya sekarang, di bawah kerajaan Perikatan Nasional, nyawa dan kebajikan ahli parlimen lebih diutamakan.

Kalau macam itu, nampaknya tempoh kerja dan kehadiran kakitangan hospital, polis, tentera dan segala macam perkhidmatan kerajaan pun kenalah dihadkan kepada empat jam sehari dan 80 orang satu giliran. 

Pasal apa nyawa dan kesihatan 222 anggota Dewan Rakyat lebih penting daripada nyawa dan kesihatan kakitangan lain? Ahli parlimen pun manusia macam orang lain juga.

Macam inilah. Oleh kerana ahli politik selalu berhujah kononnya mereka berkorban untuk rakyat jelata, kita cabar mereka potong gaji dan elaun mereka, khususnya elaun persidangan, kerana mereka hadir parlimen sekali-sekala dan itu pun untuk empat jam saja.

Saya tak tahu "brilliant idea" siapa mencaturkan sidang parlimen sebegitu rupa sehingga jadi macam mainan budak-budak.

Kita ada 33 juta penduduk dan hingga 4 November terdapat 35,425 kes Covid-19.

Ini menjadikan kita antara negara paling rendah kadar jangkitan berbanding jumlah penduduk.

Jadi tidak ada alasan hendak panik sehingga mengorbankan keberkesanan dan kewibawaan Parlimen.

Tidak tahulah pula kalau di sebalik pelaksanaan peraturan luar biasa parlimen itu ada muslihat yang tersirat memandangkan kedudukan kerajaan PN yang terumbang-ambing dan banyak usul tidak percaya telah dikemukakan.

Belanjawan 2021 dibentang esok ‘luar biasa’

ARIF ATAN

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan esok adalah ‘luar biasa’ kerana berlaku pada masa krisis Covid-19 dan krisis politik.

Naib Presiden AMANAH itu berkata, Belanjawan 2021 dibentangkan ketika keabsahan perundangan dan moral kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipertikai.

“Belanjawan terbentuk di atas bukan pilihan raya. Yang terbentuk atas pilihan raya adalah Pakatan Harapan (PH). Tapi kerana pembelotan dan sebagainya wujudnya kerajaan PN.

“Belanjawan ini berlaku pada masa krisis pandemik dan krisis politik. Terimalah realiti ini.

“Maka kena terima belanjawan (2021) adalah luar biasa kerana dibentang oleh kerajaan yang sebahagian rakyat sudah hilang kepercayaan,” tegasnya menerusi FB Live sebentar tadi.

Walau bagaimanapun, Mujahid berkata, tiada isu Belanjawan 2021 ditolak memandangkan keutamaan pada masa ini demi menyelamatkan nyawa dan melangsungkan kehidupan rakyat.

“Tiada isu tidak lulus belanjawan. Tiada sebab untuk ditolak tapi soal moral dan keabsahan undang-undang.

“Yang lebih jadi persoalan ialah keabsahan moral sebuah kerajaan yang tiada mandat, bentang dalam keadaan krisis Covid-19 dan kepercayaan (rakyat) semakin merosot.

“Hubungan dengan rakyat dan mandat juga ketelusan. Ini yang membentuk hubung kait kerajaan dengan rakyat,” katanya lagi.

'Dah dapat Mercedes sekarang MB, exco Kelantan nak naik gaji pula'

Presiden parti Putra, Ibrahim Ali hari ini berkata "rakyat wajar bangkit dan menentang" rancangan kerajaan Kelantan menaikkan gaji wakil rakyatnya.

"Ini bermakna gaji menteri besar, timbalan menteri besar dan exco pun naik sama," katanya pada satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Terdahulu hari ini, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah dilaporkan berkata Adun dan barisan exco kerajaan negeri Kelantan bakal menikmati kenaikan gaji pokok antara RM3,000 hingga RM5,000 seorang.

Jelas beliau, kenaikan itu diperlukan bagi mengurangkan jurang perbezaan gaji antara wakil rakyat Kelantan dan negeri-negeri lain.

Bagaimanapun, Ibrahim mempersoalkan kenaikan gaji berkenaan dalam keadaan belanjawan negeri defisit sebanyak RM66 juta.

Jelasnya, negeri lain mampu berbuat demikian kerana pendapatannya lebih baik berbanding Kelantan.

"Ke mana semangat pengorbanan pemimpin yang jaja Islam? 30 tahun rakyat Kelantan kais pagi makan petang. Cukai tanah, cukai pintu dan berbagai cukai urusan tanah naik beratus peratus.

"Bekalan air sentiasa putus dan kotor manakala pekerjaan untuk rakyat habuk tak ada. Rakyat terus berhijrah keluar Kelantan.

"Sebelum ini menteri besar, timbalan menteri besar dan exco dapat Mercedes dan sekarang nak naik gaji pula," kata Ibrahim lagi.

Bagaimanapun, timbalan menteri besar Kelantan pada Januari menjelaskan kerajaan negeri menggunakan kereta jenis Mercedes-Benz sebagai kenderaan rasmi atas faktor keselamatan.

Mohd Amar berkata penggunaan kenderaan rasmi untuk menteri besar itu telah dimulakan sejak era pentadbiran Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Sebenarnya penggunaan Mercedes-Benz ini adalah zaman Tok Guru (Nik Aziz) lagi.

"Saya masa itu exco, memang pakai Mercedes-Benz E230. Jadi kita hanya tukar Mercedes lama ke baru.

"Faktornya, seperti saya katakan, iaitu faktor keselamatan itu paling besar. Tak sepatutnya ia jadi isu. Tapi sudah menjadi isu, kita nak kata macam mana," jelasnya.

Nik Amar kata gaji wakil rakyat Kelantan akan naik hingga RM5,000

Anggota dewan undangan negeri (Adun) dan barisan exco kerajaan negeri Kelantan bakal menikmati kenaikan gaji pokok antara RM3,000 hingga RM5,000 seorang.

Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah, kenaikan itu diperlukan bagi mengurangkan jurang perbezaan gaji antara wakil rakyat Kelantan dan negeri-negeri lain.

Malah katanya, gaji wakil rakyat di Kelantan diibaratkan seperti pegawai kebajikan kerana ramai masyarakat di kawasan memerlukan perhatian dan bantuan mereka.

"Jadi untuk merapatkan perbezaan ini, sekurang-kurangnya beza tak ketara dengan negeri lain, sebab itu ada cadangan supaya kita selaraskan (gaji wakil rakyat).

"Yang kedua, ini saya akan sebut dalam pembentangan memandangkan keadaan semasa semakin berat, kenaikan (gaji) wakil rakyat ini, dia (wang) pergi ke orang ramai juga.

"Sebab wakil rakyat kita di Kelantan peranannya macam pegawai kebajikan," katanya, lapor Astro Awani hari ini.

Terdahulu, kerajaan Kelantan membentangkan Belanjawan 2021 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan belanjawan defisit dianggarkan bernilai RM66.02 juta.

Selain itu, persidangan kali ini juga meluluskan rang undang-undang bertujuan untuk meminda Enakmen (Saraan) Anggota-Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri 1980 bagi membolehkan kenaikan serta penyelarasan gaji.

Bahasa mudahnya Pas makan lauk, Umno dan Bersatu hirup kuah cukuplah

Pas hanya membina ‘serambi’ untuk Umno, Bersatu di Terengganu

MALAYSIA DATELINE

Kerajaan Pas Terengganu hanya sedia memberikan ‘serambi rumah’ sahaja untuk rakan-rakannya dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

“Sehingga PRU 15, Kerajaan Negeri Terengganu memutuskan bahawa rumah yang sedia ada tak perlu dirobohkan untuk dibina baru.

“Kita hanya tambah serambi sahaja untuk wujudkan ruang rumah yang lebih luas,” kata Exco kerajaan negeri Dr Azman Ibrahim merujuk kepada perlantikan wakil Umno dan Bersatu dalam Jawatankuasa Perundingan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Menurut Azman, mereka akan meraikan rakan PN dengan menjemput mereka mengisi kuota tambahan 5 ahli JPKK sahaja dari 20 ajk kesemuanya ketika penjawat utama akan kekal dipegang oleh Pas.

Penjawat utama badan ini iaitu pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha dan bendahari akan kekal dipegang oleh Pas dengan keputusan kerajaan negeri Terengganu ini.

Pas mempunyai 22 Adun di Terengganu manakala 10 lagi adalah Umno. Walaupun sudah bersama tetapi tidak ada seorang pun wakil Umno dalam Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

“Kita raikan rakan parti PN dengan menjemput mereka bagi mengisi kuota tambahan 5 ahli JPKK menjadikan jumlah semua 20 AJK JPKK sambil mengekalkan komposisi 15 AJK MPKK yang sedia ada sekarang untuk kuota parti kerajaan negeri dalam proses penjenamaan baru MPKK kepada JPKK bermula 1 Januari 2021 nanti.” Katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Komposisi terbaharu ini akan merangkumi Pengerusi daripada parti PAS, Timbalan Pengerusi juga dari Pas, Setiausaha dari parti pemerintah kerajaan negeri dan juga bendahari dari Parti Islam Semalaysia, 11 ajk sediada juga dari Pas manakala 3 kuota bakal diisi oleh ahli Umno dan dua kuota kepada ahli Bersatu.

‘Kalau dengan Trump pun dia boleh sokong, tutup keslah dengan Pas ni’

SITI NUR ZAWANI MISCON

‘Kalau dengan Trump pun dia boleh sokong, tutup keslah dengan Pas ni’

 "Strong, Formidable and Convincing (kuat, hebat dan meyakinkan). Harap lelaki ini akan jadi pemenang," tulis Fadli Shaari.

Twitter Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari dihujani kecaman warganet susulan kenyataannya yang berharap agar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memenangi pilihanraya di negara itu.

Menerusi ciapan tersebut, Ahli Parlimen Pasir Mas itu menyifatkan Trump mempunyai undi yang kuat, hebat dan meyakinkan.

“Strong, Formidable and Convincing (kuat, hebat dan meyakinkan). Harap lelaki ini akan jadi pemenang,” tulisnya.

Berikutan itu, pengguna Twitter mula menyerang dan melabel Ahmad Fadhli sebagai penyokong Israel kerana menyokong Trump yang pernah mengisytihar Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

“Sokong Trump sama macam sokong Israel tak gitu,” soal pengguna Khayrulamry.

“Engkau faham ke apa yang kau cakap ini? Ke main ‘copy and paste’ saja. Trying hard nak nampak relevan, padahal sampah,” kata saidinrose.

Netizen juga menyindir dan berkata tidak dapat dinafikan Pas ketika ini adalah king maker.

“Kita tak boleh baca dia nak swing arah mana. Kalau dengan Trump pun dia boleh sokong, tutup keslah dengan Pas ni,” kata Friends of Abu.

Bagaimanapun, dalam satu komen balas pengguna yang mempersoalkan alasan wakil rakyat berkenaan menyokong Trump, Fadhli berkata, sokongannya hanya kerana beliau yakin pentadbiran AS akan terus lemah di bawah Trump.

“Kedua-duanya yang bertanding sama bahaya, tapi jika Trump menang, Amerika akan terus lemah. Dan tidak ada saat Amerika paling lemah dari sudut ekonomi dan politik kecuali ketika Trump sebagai Presiden,” katanya.

Sebelum ini, Pas menjadi antara yang lantang berdemonstrasi di hadapan kedutaan AS untuk membantah tindakan biadab Trump yang mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Himpunan bantahan itu disertai lebih 10,000 peserta pada tahun 2017.

WOW!!! 20,000 orang mati setahun di Malaysia akibat penyakit dan kemudaratan kesihatan kerana merokok

Fomca cadang kerajaan naik cukai tembakau dalam Belanjawan 2021

FMT Reporters -

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyarankan Putrajaya terus meningkatkan kadar cukai tembakau supaya kenaikan harga rokok akan mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan rakyat.

Penyelaras Kawalan Tembakau, Inisiatif @SmokeFreeMY Fomca Muhammad Shaani Abdullah berkata, kadar tabiat merokok rakyat masih belum memuaskan memandangkan Bancian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 menunjukkan kadar tabiat merokok masih di paras 21.3%.

“Kita lazim berdepan dengan komen, dengan harga berapa pun perokok tegar akan terus membeli dan merokok. Sebenarnya, langkah harga ini lebih mensasarkan golongan kanak-kanak dan bawah umur supaya rokok ini tidak mudah dibeli jika ia dijual pada harga tinggi.

“Kematian 20,000 orang setahun di Malaysia akibat penyakit dan kemudaratan kesihatan kerana merokok dan perokok pasif memerlukan perhatian yang bersungguh-sungguh untuk menangani gejala kesihatan ini,” kata dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Putrajaya turut melaksanakan larangan merokok di semua premis makanan dan menjual bahan makanan, yang dikuatkuasakan 1 Jan 2019 melalui pindaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004).

Menurutnya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (kastam) juga harus mempertingkatkan penguatkuasaan untuk membanteras masalah penyeludupan hasil tembakau, memandangkan ia antara masalah serius dihadapi negara.

“Peraturan-Peraturan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (Pelesenan Tembakau dan Keluaran Tembakau) 2011 (Peraturan Pelesenan) diwartakan pada 22 Jun 2011 harus dikuatkuasakan segera.

“Ia supaya rantaian peruncitan hasil tembakau dapat dipantau daripada terlibat dengan hasil tembakau haram dan kegiatan penyeludupan,” katanya.

Pada Januari lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan untuk mengaktifkan semula Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF) bagi menangani krisis penyeludupan.

Antara agensi diletakkan bawah MATF ialah kastam, polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Lembaga Kenaf dan Tembakau Malaysia (LKTM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pasca Pilihan Raya AS: Ramalan Perang Saudara?

ISMAIL HASHIL YAHAYA

Keputusan pilihan raya Presiden AS akan mengambil masa beberapa hari untuk diketahui tetapi liputan yang diberikan masyarakat antarabangsa ke atas plihan raya Presiden Amerika Syarikat seolah-olah mereka akan mengundi calon presiden AS. Apakah ada perubahan dalam dasar luar jika Joe Biden menang menjadi Presiden AS? Apakah AS akan mengmbil pendekatan yang lebih adil ke atas dunia jika Demokrat menang berbanding Republikan sekarang yang amat ketara dengan dasar pro-Israel melampau itu.

Pendekatan Republikan dikatakan lebih cenderung bersifat samseng, kaki pukul. Ini dapat diperhatikan daripada dasar-dasar Presiden Repulikan yang bersifat konfrantasi suka berperang dan menakluk negara asing. Bukti-bukti daripada dasar Presiden-Reagan, Presiden George Bush dan anaknya. G.W. Bush dengan dasar perang menentang keganasan antara contohnya. 

Walaupun dasar Demokrat tidak menunjukkan konfrantasi secara ketara tetapi ia cenderung kepada aksi perang yang dapat dilihat kepada pengenalan dron semasa Presiden Barrack Obama. Cumanya pendekatan konfrantasinya itu tidak ketara. Pelobi Israel Zionis paling ketara berpengaruh dan kedua-dua calon mesti mengungguli antara satu sama lain menunjukkan siapa yang lebih ke depan dalam menyokong Israel.

Semasa kempen pilihan raya Presiden, tiada kenyataan antara kedua calon yang menginspirasikan keyakinan akan dunia yang lebih aman malah lebih memperlihatkan situasi tidak menentu.

Ini dapat diperhatikan daripada calon presiden 2016, Hillary Clinton yang membuat perisytiharan bahawa partinya tidak akan menerima keputusan pilihan raya kali ini. Mungkin apa yang maksudkan ialah jika Trump menang beliau tidak akan mengiktiraf kemenangan itu. Bayangkan sebelum undian bermula beliau telah membuat kenyataan seperti itu, ini adalah suatu tindakan luar biasa. Bahkan Donald Trump pun membuat kenyataan yang sama.

Adakah Hillary sudah tahu Triump akan menang dan telah hilang keyakinan terhadap intergreti sistem pilihan raya AS. Zahirnya jika itulah kenyataannya maka beliau memberi petunjuk mengenai suatu situasi tidak menentu dalam dunia sekarang. Bayangkan kemenangan presiden AS diragukan seorang bekas calon Presiden, sesuatu yang tidak sepatutnya diragui dalam sebuah negara demokrasi terunggul di dunia.

Ada suatu menarik dalam kaitan dengan kenyataan Hillary Clinton berhubung tidak mengiktirafjika Trump menang. Undi sama ada memilih antara Trump and Biden kali ini adalah pilihan dua alternatif untuk masa depan AS dan dunia. Suatu pertarungan ideologi dan konfrantasi geopolitik dalam AS sendiri sedang berlaku antara Kuasa Tanah Air Republikan (Republican Land Power) and the Kuasa Laut Demokratik (Democratic Sea Power) dan ia akan terus berterusan selepas pilihan raya Presiden.

Konflik antara dua vektor geopolitik ini dapat saja berlarutan kepada fasa panas mencetuskan perang saudara – ingatan kepada Perang Saudara Amerika abad antara Konfedarasi (negeri-negeri Selatan AS) dan Union (negeri-negeri Utara) – yang akan meretakkan sturktur negeri-negeri di Amerika.

Harus difahami struktur politik setiap negeri di AS dan kuasa-kuasa Gabenornya iaitu sistem persekutuannya memberikan kedaulatan tersendiri kerana setiap negeri itu mempunyai undang-undang negerinya yang bersifat autonomi. Oleh itu maksud “negeri” itu seolah-olah bermaksud negara-negara bersatu Amerika.

Bahkan sudah kedengaran ulasan-ulasan bahawa situasi AS selepas pilihan raya Presiden akan berada dalam keadaan tidak stabil. Penduduknya telah membeli senjata sebagai pertahanan di kawasan dan rumah mereka. Ini bermaksud AS akan memasuki era ketidakstabilan atau mungkin darurat.

Majalah Time (2 Novermber 2020) di bawah tajuk ‘Buying a Gun Ahead of the Election Won’t Make You More Powerful. Here’s What Americans Should Do to Deal With Crisis Instead’ telah memperihalkan situasi ini.

Majalah Time menyataka bahawa kumpulan berhaluan kanan dan liberal di AS telah mula membeli senjata api dan merancang menggunakannya bagi mempertahankan diri daripada keganasan yang bagi mereka dijangka berlaku dalam pasca keputusan pilihan raya.

Sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sebuah negara yang dikatakan amai dan tenteram dengan ketinggian nilai kebebasan dalam demokrasi tidak akan mengheret ke perang saudara dan kini berada dalam situasi meruncing? Biasanya AS yang memporak perandakan negara asing.

Apabila sesebuah negara itu berada dalam keadaan tidak stabil, di AS keputusan tidak berada di tangan kerajaan pusat, tetapi di tangan negeri-negeri. Jika sesebuah masyarakat berhadapan dengan kekacauan dan terpisah oleh fahaman ideologi dan geopolitik, seperti yang disebut antara garisan biru dan merah, ia bukan sahaja bermakna Repulikan atau Demokratik tetapi juga merangkumi kumpulan-kumpulan patriotik atau liberal, konservatif dan progresif, atau kuasa Laut dan Darat.

Adakah perancangan pihak Zionis yang menguasai hampir kesemua struktur pemerintahan hinggakan sampai ke satu tahap calon Presiden AS tidak boleh menegur atau mengkritik apa yang dilakukan Israel menunjukkan elit kepimpinan AS seolah-olah menyembah di kaki Zionis.

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Komputeran di Universiti Selangor (Unisel)

Perniagaan 5 selebriti kemungkinan ada unsur gubah wang haram

MyMetroUtama

Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil lima selebriti semalam termasuk seorang daripadanya dipanggil kali kedua selepas didapati kemungkinan perniagaan dijalankan mereka ada kaitan atau maklumat mengenai aktiviti 'cuci duit' didalangi Alvin Goh dan orang kanannya, Addy Kana.

Menurut sumber, mereka ini terdiri pelawak, pelakon, penyanyi dan pengacara termasuk seorang wanita yang juga bekas isteri kepada pelakon dipanggil bagi membantu dan melengkapkan siasatan mengenai pengubahan wang haram.

"SPRM juga akan memanggil seorang lagi pengacara wanita selepas menemui bukti dan pembabitannya menerima dana daripada sindiket terbabit.

"Mereka yang dipanggil semalam ada menjalankan perniagaan dan dipercayai mempunyai kaitan atau maklumat mengenai aktiviti 'cuci duit' didalangi Alvin Goh dan orang kanannya, Addy Kana hasil menjalankan kegiatan haram itu," katanya kepada Harian Metri.

Sumber berkata, seorang daripada mereka sudah kali kedua dipanggil untuk mendapat maklumat lanjut berkaitan kes ini.

"Siasatan awal SPRM mendapati mereka kemungkinan menerima dana daripada sindiket terbabit namun masih dalam siasatan.

"Jika siasatan mendapati ada menerima dana itu akaun dan aset mereka akan dibekukan bagi membantu siasatan," katanya.

Semalam lima selebriti termasuk seorang wanita terdiri daripada pelakon, penyanyi serta pengacara tampil memberi keterangan di Ibu PejabaPerniagaan artis kemungkinan ada unsur gubah wang haram.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan artis serta selebriti disyaki terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram Macau Scam enggan tampil membantu siasatan walaupun masa dan peluang sudah diberikan.

Sumber berkata, walaupun sebelum ini SPRM meminta individu pernah menerima wang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan cuci wang oleh sindiket Macau Scam dan judi dalam talian untuk tampil, belum ada berbuat demikian.

Pada 8 Oktober lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki meminta semua selebriti dan ahli perniagaan terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram supaya tampil membantu siasatan.

Menurutnya, arahan itu bagi mengelakkan SPRM menahan mereka yang berkenaan dalam masa terdekat.

SELAMATKAH MUHYIDDIN DENGAN MAINAN DUA KOLAMNYA?

 Shahbudin Husin

Cakap-cakap bahawa Muhyiddin Yassin cuba “bermain dua kolam”untuk memastikan Belanjawan 2021 diluluskan nampaknya bukan lagi sekadar omong kosong.

Sebelum ini tersebar perkhabaran bahawa Muhyiddin cuba “menyogok” semua Ahli-Ahli Parlimen untuk meluluskan belanjawan dengan menawarkan peruntukan pembangunan sebanyak RM3 juta setiap seorang kepada mereka bagi tahun depan.

Dengan adanya peruntukan tersebut, jika ada Ahli Parlimen yang menolak untuk menyokong belanjawan, bermakna mereka menolak peruntukan pembangunan yang ditawarkan kerajaan.

Penolakan itu tentu saja berisiko membuatkan rakyat atau pengundi di kawasan yang mana Ahli Parlimennya berbuat demikian menjadi marah kepada wakil rakyat mereka.

Terutama bagi Ahli Parlimen pembangkang, selain dihimpit faktor kewangan untuk menyelesaikan masalah setempat, ketidakmampuan memenuhi keperluan pengundi adalah suatu masalah yang berkait rapat dengan khidmat mereka kepada rakyat.

Dengan yang demikian, tawaran RM3 juta itu bukan sekadar membuatkan Ahli Parlimen pembangkang berada dalam keadaan serba salah, malah tidak mustahil ramai yang terdorong untuk menerimanya.

Menerima peruntukan tersebut, bererti mereka menyokong Belanjawan 2021 dan ia dalam masa yang sama juga bererti setuju melanjutkan lagi khidmat Muhyiddin selaku Perdana Menteri.

Memandangkan usul tidak percaya amat mustahil untuk diberi kebenaran oleh Speaker, Belanjawan 2021 adalah medan terbaik untuk menguji keabsahan kedudukan Muhyiddin yang diragui selama ini.

Namun, jika belanjawan juga disokong, apa lagi peluang yang ada untuk menjatuhkan Muhyiddin?

Untuk itu, tidak mustahil juga sokongan pembangkang kepada Belanjawan 2021 yang dilihat hanya disebabkan “sogokan” akan membuatkan mereka dihujani kecaman dan tidak lagi dihormati.

Namun demikian, pemberian peruntukan yang sama rata kepada semua Ahli Parlimen itu, walaupun mungkin tidak mendatangkan masalah kepada mereka yang menyokong Muhyiddin, tetapi kelihatannya amat ditentang oleh BN.

Bagi BN, peruntukan sama rata itu akan “membunuh” mereka secara keseluruhannya.

Sekaligus, penentangan BN ini menunjukkan cakap-cakap mengenai tawaran itu memang ada kebenarannya.

“Kami tidak setuju, kenapa perlu beri pada mereka? Itu membunuh kami.

“Dulu semasa dia (Pakatan Harapan) memerintah, dia tak bagi kita pun (peruntukan),” kata Ahli MT UMNO, Tajuddin Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak.

Yang tersirat sebenarnya daripaka ketidaksetujuan BN itu ialah kerana ia juga akan menipiskan peluang UMNO untuk merampas semula kerusi Perdana Menteri selepas PRU15 nanti.

Lapan bulan berada dalam kerajaan tetapi berperdana-menterikan pemimpin parti lain pun sudah begitu meresahkan UMNO, apatah lagi jika mereka terpaksa berada di bawah telunjuk Muhyiddin untuk tempoh yang lebih lama selepas PRU15 akan datang.

Sebab itu, selain tidak setuju dengan langkah Muhyiddin mahu memberi peruntukan sama rata RM3 juta kepada semua Ahli Parlimen, UMNO turut tidak setuju dengan perjanjian keyakinan dan pembekalan yang diminta pembangkang.

Ada tiga perkara yang diminta pembangkang jika perjanjian keyakinan dan pembekalan itu dipersetujui – pertama; memperkasa fungsi Parlimen dengan Ahli Parlimen pembangkang dilantik dalam jawatankuasa terpilih, kedua; mendengar dan berunding dengan pembangkang sebelum belanjawan dibentangkan dan ketiga; perlunya reformasi di mana pembangkang berhak mendapat peruntukan pembangunan yang sama rata.

Bagi BN, jika Muhyiddin setuju dengan permintaan terhadap perjanjian keyakinan dan pembekalan itu, maknanya beliau tidak yakin dengan sokongan yang sedia ada padanya.

Serentak dengan itu, BN menjanjikan semua Ahli Parlimen BN akan menyokong penuh Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.

Soalnya, benarkah semua Ahli Parlimen BN akan menyokong Belanjawan 2021 yang mana sokongan itu bererti memanjangkan lagi hayat politik Muhyiddin?

Bagaimana dengan Tengku Razaleigh Hamzah yang baru-baru ini mahu usul tidak percaya terhadap Muhyiddin dipercepatkan, apakah beliau akan menyokong belanjawan ini?

Begitu juga, bagaimana dengan Zahid Hamidi dan Najib Razak yang telah menulis surat kepada Agong untuk menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, apakah mereka juga akan menyokong belanjawan yang sama ertinya setuju Muhyiddin lebih lama sebagai Perdana Menteri?

Dengan majoriti hanya ada dua, ketiadan sokongan tiga Ahli Parlimen di atas tentu saja meruncingkan kedudukan Muhyiddin.

Dalam keadaan ini, beralih mendapatkan sokongan blok pembangkang dengan menawarkan mereka peruntukan RM3 juta dan bersetuju dengan perjanjian keyakinan dan pembekalan adalah pilihan yang munasabah bagi Muhyiddin.

Begitu pun, ia juga berisiko membuatkan lebih ramai Ahli Parlimen BN tidak setuju dan menolak Belanjawan 2021.

Apalagi dengan kedudukan Najib sebagai Pengerusi baru Kelab Penyokong BN atau BNBBC di mana 23 Ahli Parlimen BN yang tidak berjawatan dalam kerajaan berada di bawahnya, ini bermakna keadaan lebih bahaya buat Muhyiddin.

Yang nyata di sini, “bermain dua kolam”, selain belum tentu akan menjanjikan dataran yang selamat, bahkan tidak mustahil lebih mudah Muhyiddin jadi tenggelam kerananya. (Shahbudindotcom 04/11/2020)

Muhyiddin isi kuota 16 senator yang ditinggalkan Mahathir, kata Husam

FAZLI RADZI

Bekas Naib Presiden AMANAH, Senator Datuk Husam Musa berkata, Tan Sri Muhyiddin dengan mudah melantik 16 senator baharu selepas tidak diisi Tun Mahathir Mohamad ketika Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan.

Menurutnya, pemimpin PH termasuk tokoh masyarakat dan veteran tentera lebih layak dilantik mengisi kekosongan itu ketika PH masih berkuasa.

Reaksi Husam itu merujuk kepada respon Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar dengan menganggap terdapat kesilapan dalam laporan di portal berita Free Malaysia Today (FMT) yang memetik kenyataannya pada 2 November lalu sehingga “menimbulkan kekeliruan”.

“Dalam ucapan saya yang boleh dirujuk semula kepada klip berkenaan dalam internet, saya nyatakan rasa pilu saya ketika memasuki persidangan Dewan Negara selepas kejatuhan kerajaan PH kerana 16 senator yang baru dilantik oleh Muhyidin sebagai Perdana Menteri adalah kuota yang tidak di isi oleh Tun Dr Mahathir sebelumnya.

“Disebabkan kuota sebanyak 16 kerusi itu tidak diisikan setelah sebahagiannya telah kosong sekian lama, ia membolehkan Tan Sri Muhyidin mengisikannya dengan mudah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Walau bagaimanapun, Husam yang juga bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kelantan itu berkata, kekosongan 16 jawatan Ahli Dewan Negara itu seolah-olah telah disengajakan ditinggalkan tidak diisi sejak pengisian pertama hampir dua tahun sebelumnya.

“Peluang PH telah berlalu. Isu kekosongan ahli Senat ini telah acapkali dibangkitkan dalam mesyuarat PH tetapi tidak ada penjelasan diberikan.

“Kedudukan ini tidak sama dengan apa yang dipersoalkan oleh Datuk Mahfuz, seakan saya mempersoalkan kelambatan pelantikan saya sebagai Senator,” jelasnya.

Sehubungan itu, Husam yang juga Penasihat Biro Pilihanraya, Biro Komunikasi dan Biro Strategi AMANAH itu berharap penjelasannya dapat menghentikan kekeliruan berbangkit.

Mahfuz sebelum ini dalam respon kepada FMT menganggap dakwaan Husam bahawa Mahathir mahu menjatuhkan PH sejak hari pertama menjadi kerajaan termasuk sengaja melengah-lengahkan pelantikan senator dalam kalangan PH hanya pandangan peribadi.

Mahfuz juga menegaskan kenyataan Husam berkaitan Mahathir itu tiada kaitan dengan AMANAH.

“Kalau (Mahathir) lengahkan pelantikan senator (PH) tentu Husam pun tidak dilantik sebagai senator, malah Husam dicadangkan Tun untuk jawatan timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan, tapi dia tolak jawatan timbalan menteri,” katanya.

Dalam temubual bertajuk Malaysia Baharu menerusi GHB Media TV pada 19 Oktober lalu, Husam dilihat menyerang Mahathir dan membandingkan sifat pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, Mahathir mengamalkan politik berseteru atau “cari gaduh” manakala karakter Anwar menjurus kepada politik penyatuan atau “cari damai”.

Husam dakwa kenyataan isu kekosongan senator disalah lapor media

FMT Reporters

PETALING JAYA: Husam Musa mendakwa kenyataannya mengenai isu kekosongan 16 jawatan senator tidak diisi ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir Mohamad yang dibangkitkan beliau disalah lapor media.

Ia menyebabkan respons Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar dibuat atas kekeliruan yang berlaku.

“Terdapat kesilapan laporan oleh laman berita yang memetik kenyataan saya pada Ahad lepas (2 Nov 2020) sehingga menimbulkan kekeliruan berdasarkan komen Mahfuz.

“Dalam ucapan saya nyatakan rasa pilu saya ketika memasuki persidangan Dewan Negara selepas kejatuhan kerajaan PH kerana 16 senator yang baru dilantik oleh Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri PN adalah kuota yang tidak diisi oleh Dr Mahathir sebelumnya,” kata bekas naib presiden Amanah itu dalam kenyataan hari ini.

Katanya, disebabkan kuota itu tidak diisi ia membolehkan kerajaan Muhyiddin mengisikannya dengan mudah ketika mentadbir PN.

“Peluang PH telah berlalu. Seakan telah disengajakan ditinggalkan kosong tidak diisi sejak pengisian pertama hampir 2 tahun sebelumnya,” katanya menegaskan isu kekosongan jawatan itu acap kali dibangkitkan dalam mesyuarat PH tetapi tiada penjelasan diberikan.

Beliau turut menolak konon isu yang dibangkitkan beliau itu kerana mempersoalkan kelewatan pelantikannya sebagai senator.

“Kedudukan ini tidak sama dengan apa dipersoalkan oleh Mahfuz, seakan saya mempersoalkan kelambatan pelantikan saya sebagai senator,” katanya.

Terdahulu, Mahfuz dalam maklum balasnya kepada FMT mengulas kenyataan Husam yang disiarkan sebuah portal, mendakwa Mahathir mahu menjatuhkan PH sejak hari pertama menjadi kerajaan termasuk menuduh bekas perdana menteri itu sengaja melengah-lengahkan pelantikan senator dalam kalangan ahli gabungan berkenaan hanya pandangan peribadi.

Mahfuz turut menyifatkan kenyataan Husam yang menyerang Mahathir juga tiada kaitan dengan parti itu.

“Itu pandangan peribadi dia (Husam) tidak ada kena mengena dengan Amanah.

“Kalau (Mahathir) lengahkan pelantikan senator (PH) tentu Husam pun tidak dilantik sebagai senator, malah Husam dicadangkan Tun untuk jawatan timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan, tapi dia tolak jawatan timbalan menteri,” kata Mahfuz.

Memetik laporan portal itu, Husam mendakwa kejatuhan PH dirancang sejak hari pertama menjadi kerajaan.

Kata Husam, salah 1 sikap Mahathir ketika menjadi perdana menteri ialah melengah-lengahkan pelantikan senator dalam kalangan ahli parti PH.

“Saya masuk (jadi senator) selepas PH jatuh tapi ada 16 kekosongan senator pada zaman PH. Tun (Mahathir) macam sudah simpan orang untuk dilantik kemudian di Dewan Negara macam Zahid Mat Arip dan Tengku (Datuk Seri) Zafrul (Tengku Abdul Aziz) dan lain-lain,” katanya dalam sembang santai politik: kejatuhan PH adalah 1 rancangan di DHM Channel pada Ahad.

C5 didakwa buat ‘grand design’ untuk hancurkan Umno

 SITI NUR ZAWANI MISCON

Datuk Zaharin Mohd Yasin mendakwa ketika ini wujud kumpulan dikenali sebagai C5 yang sedang merancang satu ‘grand design’ untuk menghancurkan Umno.

Bekas pemimpin Umno itu berkata, kumpulan C5 terdiri dari pemimpin Bersatu dan Pas biarpun parti itu tidak pernah menyatakan terlibat dalam rancangan tersebut.

“Ada satu kelompok yang dikenali sebagai C5. Ada yang berkata C5 ini melibatkan ahli Pas juga di dalam itu dengan satu grand design untuk membunuh Umno.

“Kalau tengok dari kenyataan-kenyataan Pas, tak ada yang menyebut bahawa dia tidak ada hasrat dan minat untuk terlibat dalam satu grand design menghancurkan umno

“Sebaliknya dapat dilihat (Pas) asyik sibuk mempertahankan dan menyokong PM. Dengan itu, dalam kalangan ahli parti khasnya Umno, rasa tersinggung dengan kelompok C5 ini,” katanya dalam satu wawancara di Youtube MABA Channel baru-baru ini.

Sebelum ini, Malaysia Dateline pernah mendedahkan bahawa wujud kumpulan C5 yang terdiri dari lima pemimpin sebagai perancang strategi paling atas dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sumber memberitahu, C5 telah wujud sejak lebih sebulan lalu lagi ketika kerajaan PN mula bercelaru atau sebelum kerajaan PN terbentuk lagi.

“C5 ini gabungan lima pemimpin Bersatu, Umno dan Pas yang berperanan untuk wujudkan Muafakat Nasional (MN Plus) dan berketuakan Muhyiddin,” kata satu sumber menerangkan siapakah C5.

Menjawab persoalan bagaimana Umno boleh ‘dimatikan’, Zaharin berkata ia boleh terjadi mengikut undang-undang apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) membatalkan parti itu.

Beliau berkata, sehingga kini Umno masih belum mengadakan sidang di peringkat bahagian yang dengan itu tidak membolehkan perhimpunan Agung Umno dilakukan.

Sekiranya itu berlaku katanya, Ros boleh membatalkan Umno kerana melanggar peraturan.

“Kalau Ros ambil tindakan membatalkan Umno, Umno tak boleh jawab apa.

“Apa yang dilihat sekarang, C5 adalah orang yang menyerang Umno. kalau kita tengok cara-cara dilakukan, nampak dalam media sosial bahawa ianya ke arah itu,” katanya lagi.

Malaysia tak benarkan kempen boikot produk: Kedutaan Perancis

KUALA LUMPUR, 12 Rabiulawal 1442H, Khamis – Kedutaan Perancis di Malaysia berkata Perancis tidak memihak atau memburukkan mana-mana agama dan ia menjamin wujudnya kedamaian untuk semua penganut agama dalam kerangka undang-undang dan prinsip republik itu, ketika seruan umat Islam memboikot produk Perancis.

Kedutaan itu, dalam satu kenyataan di sini pada Rabu, berkata Presiden Emmanuel Macron tidak menyasarkan masyarakat Islam di Perancis tetapi hanya ideologi – Islamisme radikal – yang perlu diasing dan ditentang.

“Presiden jelas menyatakan beliau akan bertegas terhadap sebarang bentuk kesimpulan umum, membezakan majoriti besar penganut Islam Perancis dengan kumpulan pemisah minoriti yang menentang nilai Republik serta golongan yang membebankan kelompok majoriti,” menurut kenyataan itu.

Beberapa negara Islam menyeru kempen memboikot produk Perancis berikutan ucapan Macron pada 2 Oktober yang dianggap mengkritik Islam.

Kedutaan juga menyatakan terdapat beberapa personaliti cuba memulakan kempen anti barangan Perancis di Malaysia.

“Kami gembira dengan jaminan yang diberikan oleh pihak berkuasa bahawa kerajaan Malaysia tidak akan membenarkan tindakan sedemikian,” katanya. – Bernama

Bagaimana orang yang didapati bersalah boleh jadi Pengerusi BNBBC?

SITI NUR ZAWANI MISCON

Selepas berdiam diri lebih 48 jam, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diberikan lagi tempoh sehingga 24 jam untuk menjelaskan berhubung pelantikannya sebagai pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC).

Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, pelantikan tersebut sama sekali tidak boleh diterima kerana ianya berlaku tiga bulan selepas Najib disabitkan atas kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram pada hujung Julai lalu.

Beliau juga membangkitkan bagaimana penasihat Barisan Nasional (BN) itu kelihatan ‘sangat senyap’ kebelakangan ini dan tidak mengatakan apa-apa langsung mengenai ketidaksesuaian beliau untuk dilantik sebagai pengerusi BNBBC di Parlimen.

“Walaupun beliau terus berdiam diri dalam tempoh 48 jam selepas berita mengenai pelantikan ini mula tersiar, saya memberikan Najib 24 jam lagi untuk memberikan penjelasan mengenai pelantikan beliau ini.

“Ianya jelas merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima dan merupakan satu penghinaan kepada kemuliaan dan reputasi Parlimen Malaysia.

“Terutamanya selepas Parlimen dimanipulasikan untuk mengharamkan perbahasan mengenai skandal 1MDB semasa beliau menjadi Perdana Menteri,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Najib Razak dilaporkan telah dilantik sebagai Pengerusi BNBBC yang diberikan peranan utama dalam perbahasan Belanjawan 2021.

Kit Siang bagaimanapun dalam kenyataannya semalam menyifatkan pelantikan tersebut sebagai memalukan dan menggesa Parlimen untuk tidak mengiktiraf pelantikan tersebut.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu juga berkata, rakyat Malaysia tidak mahu lagi melihat reputasi negara terus dicemari dengan skandal 1MDB dan tidak mahu melihat negara kembali ke arah kleptokrat.

“Najib sebekum ini dengan amat pantas memberikan komen ke atas pelbagai perkara, namun beliau sangat-sangat senyap kebelakangan ini dan tidak mengatakan apa-apa langsung mengenai ketidaksesuaian beliau untuk dilantik sebagai pengerusi BNBBC di Parlimen

“Najib diberikan 72 jam untuk menjelaskan pelantikan beliau sebagai pengerusi BNBBC, memandangkan rakyat Malaysia tidak mahu melihat negara kita kembali ke arah sebuah kleptokrasi,” katanya lagi.

MAHATHIR PUNCA PAKATAN HARAPAN JATUH, DAKWA HUSAM

SHAH ALAM – Kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dirancang sejak hari pertama menjadi kerajaan, dakwa bekas Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Senator Husam Musa.

Menurutnya, perkara itu sudah banyak kali dimaklumkan kepada pucuk pimpinan parti sejak tahun lalu, termasuk kepada Timbalan Presiden Amanah, Salahudin Ayub.

Dakwa beliau, salah satunya sikap Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri apabila melengah-lengahkan pelantikan senator dalam kalangan parti PH.

“Saya masuk (jadi senator) selepas PH jatuh tapi ada 16 kekosongan senator pada zaman PH. Tun (Mahathir) macam sudah simpan orang untuk dilantik kemudian di Dewan Negara macam Zahid Mat Arip dan Tengku (Datuk Seri) Zafrul (Tengku Abdul Aziz) dan lain-lain.

“Ia (Dewan Negara) kini ia dikuasai oleh sebelah sana (kerajaan Perikatan Nasional).

“Bagi saya kejatuhan PH dirancang daripada awal, strateginya berjalan sendiri sampai masa 'tup' jatuh, cuma tarikh tidak tentu, tidak tetap,” katanya pada Sembang Santai Politik: Kejatuhan PH adalah satu rancangan di DHM Channel seperti dilaporkan portal berita Malaysia Gazette hari ini.

Tambah Husam, Ahli Parlimen Langkawi itu sengaja melambat-lambatkan pelantikan senator, sebaliknya segera membuat keputusan dalam banyak isu lain.

“Setiap sesuatu yang berlaku ada petanda oleh ALLAH termasuk kiamat yang ada tanda-tanda kecil dan besar sebelum ia berlaku.

“Sekiranya pembangkang sekarang mahu menggunakan jurutera yang sama (Mahathir) bagi merampas kerajaan, ia hanya membuang masa.

“Kita (PH) sangkut kerana tak ‘move forward’. Banyak cara lagi, bukan kata senang tapi selain Tun M jadi PM (semula) ada beratus lagi jalan yang ada,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai dakwaan kononnya ada kerjasama antara Mahathir dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk menubuhkan kerajaan Perpaduan, beliau menganggap ia membuang masa.

“Saya dengar Tun enam bulan jadi PM, Ku Li (Tengku Razaleigh) pun enam bulan, ini buang masa. Saya sudah sampaikan salam kepada orang yang baik dengan Ku Li, baik dia kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Justeru, pucuk pimpinan parti perlu mengambil kira pandangan minoriti dalam PH. Kalau makan kari Pelita (kedai mamak) hari-hari mana nak?” soalnya.

Keresahan Melayu: Dari akar umbi ke sang penguasa

LIM HONG SIANG

Hakikatnya, wacana “keresahan Melayu” lebih awal diperkenalkan dalam perbincangan politik komuniti Cina sebelum “Islam terancam” disuburkan dalam kalangan Melayu.

Saya tidak ingat secara tepat, sejak bilakah ia mula diperbincangkan. Namun, saya ingat bagaimana suasana masyarakat Melayu disingkap selepas Pakatan Rakyat (PR) gagal menawan Putrajaya dalam PRU13.

Sepanjang tempoh berkempen, suasana pilihan raya di Semenanjung dianggap memberangsangkan untuk PR, khususnya DAP ketika itu. Johor pula dicaturkan sebagai gelanggang penentu kesudahan PRU13.

Pasca nilai mendapati pengundi Melayu di Johor “tersentak” dengan ceramah grand finale anjuran DAP-PR menjelang hari pengundian. Ia dibanjiri dengan lautan manusia berketurunan Cina. Pendek kata, Melayu resah dengan “kebangkitan Cina” dalam politik.

Sejak itu wacana “keresahan Melayu” diperkembangkan, malah diselami psikologi masyarakat Melayu yang gusar dengan pergolakan politik tanahair. Komuniti Cina diseru agar lebih cermat ketika mengetengahkan tuntutan politiknya, malah aktivis sosial dipesan agar tidak terlalu ke depan ketika membawa idea-idea baru.

“Kami perlu menjaga perasaan, mengambil kira sentimen masyarakat Melayu kita, yang mungkin belum bersedia untuk menerima perubahan secara mendadak,” demikianlah tegurannya.

Sudah tentu wacana sedemikian disanggah oleh sesetengah komuniti bukan Melayu, “Dari jawatan Yang Dipertuan Agong, Perdana Menteri, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Ketua Hakim, Peguam Negara, Speaker Dewan Rakyat, hinggalah sistem penjawat awam, kesemuanya dikuasai Melayu. Di manakah asas keresahan ini? Itu pun belum lagi dengan jaminan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, undang-undang, dasar ekonomi dan sebagainya.”

Namun, politik dan persepsi berpisah tiada. Situasi menjadi lebih keruh selepas PRU14 pada 9 Mei 2018, apatah lagi wacana “Islam terancam” semakin mendapat pasarannya dalam kalangan Melayu-Muslim 

Dari jawatan Menteri Kewangan, Peguam Negara, Ketua Hakim Negara yang disandang bukan Melayu-Muslim ketika itu, hinggalah isu seperti pemandu mabuk, kematian anggota bomba Muhammad Adib, kesemuanya dijadikan bahan bukti “Islam terancam” di atas bumi yang dipijak ini.

Suasana sedemikian dimanipulasi oleh pemimpin politik yang resah dengan masa depan sendiri. Jikalau ditelaah, beberapa aktor utama yang mendalangi Langkah Sheraton adalah mereka yang gusar dengan nasib diri mereka selepas Dr. Mahathir Mohamad berundur sebagai perdana menteri.

Pemimpin PPBM cukup sedar bahawa kekuatan mereka bersandarkan jawatan perdana menteri, dan mereka gagal meramalkan sejauh mana kedudukan mereka dalam kabinet yang bakal dibentuk Anwar Ibrahim jikalau mengambil alih kuasa. Begitu juga dengan fraksi Azmin Ali, yang sudah menampakkan perselisihannya dengan Anwar selepas PRU14.

Maka keresahan masyarakat Melayu seolah-olah memberi lampu hijau kepada Langkah Sheraton yang direncanakan segelintir politikus yang resah dengan kelangsungan hayat politik mereka.

Tiada protes besar-besaran untuk menentang pengkhianatan terhadap mandat pengundi dalam PRU14. Malah tokoh agama yang disanjung tinggi masyarakat sanggup menyertai kabinet Muhyiddin Yassin, yang dipertikaikan keabsahannya.

Cuma, apakah keresahan itu sudah reda, selepas kerajaan yang berteraskan parti Melayu-Muslim ditubuhkan? Sudah tentu tidak. Muhyiddin Yassin kini resah akan sabotaj rakan sekutunya, Umno, yang boleh menumbangkan kerajaannya hanya dengan tidak hadir ke Parlimen untuk meluluskan Belanjawan 2021 seandainya tuntutan Umno tidak dipenuhi.

Umno pula diselubungi keresahan kerana perbalahan antara kabilah dalam parti yang gagal mencapai muafakat sungguhpun berkali-kali bermesyuarat sehingga tengah malam.

Terdesak dengan ugutan rakan sekutunya, Muhyiddin Yassin mengambil langkah drastik untuk menyelamatkan jawatan dirinya. Dicadangkan “pengisytiharan darurat” kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong, lantas meletakkan baginda dalam kedudukan serba salah.

Dengan merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, Speaker Dewan Negara, Rais Yatim, mempertikaikan sama ada Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk menolak nasihat Perdana Menteri. Namun kita juga sedar, seandainya Yang di-Pertuan Agong memperkenankan cadangan Perdana Menteri, satu Malaysia akan merana susulan pengisytiharan darurat.

Akhirnya, kemelut politik tidak berakhir, sebaliknya mencetuskan krisis baru sungguhpun tanpa keterlibatan DAP dan Anwar Ibrahim secara proaktif dalam isu ini. Muhyiddin Yassin yang bertahan dengan majoriti tipis sentiasa ketandusan oksigen politik.

Beliau berhempas-pulas mempertahankan kerajaannya dengan pengagihan jawatan kerajaan dan syarikat GLC. Tiada lagi sisa baki kemampuannya untuk memastikan kecekapan dan keberkesanan anggota kerajaannya ketika melaksanakan tugas.

Jangankan efisiensi, berdisiplin pun sukar. Lama-kelamaan, kerajaan ini semakin hilang kewibawaannya dari mata rakyat jelata, kerana menteri dan rakyat didenda dengan hukuman yang berbeza untuk kesilapan yang sama.

Malah kerenah sesetengah menteri, misalnya enggan mematuhi SOP untuk kuarantin diri, atau enggan memakai pelitup muka di tempat awam, dianggap beban yang mematahkan semangat satu Malaysia ketika berperang dengan wabak Covid-19.

Iktibarnya, keresahan yang tidak dirungkaikan secara rasional, boleh mengundang mudarat yang tidak berpenghujung. Rakyat yang dikaburi sentimen mengiyakan langkah politik yang silap sebermulanya.

Jelas, Langkah Sheraton adalah kesilapan politik terbesar yang meletakkan Malaysia dalam lumpur pada hari ini. Cabut tidak, pijak pun tidak. Semakin kerajaan Muhyiddin meronta-ronta, semakin tenggelamnya dalam lumpur.

Malah beliau tidak memiliki asas moral untuk mengecam pihak yang cuba merampas balik kuasa dari tangannya, kerana kuasa yang digenggamnya sekarang pun dirampas dengan cara yang sama.

Padahal, bukankah kita harus mencari satu formula, untuk mengendalikan peralihan kuasa dengan baik, agar setiap pemimpin politik boleh bersaing secara sihat untuk menggarap kuasa?

Mereka tidak resah akan nasib sendiri seandainya pemimpin mereka berundur, sebaliknya mereka berkeyakinan untuk membuktikan kemampuannya kepada rakyat, lantas diangkat ke tempat yang setimpal dengan kebolehannya.

Cuma, jarang-jarang kita berminat untuk membincangkan soal pembinaan sistem, semak-imbang dan sebagainya, bukan? Kita lebih senang dihasut, dengan mesej yang membakar emosi di media sosial, dan kemudian mengharapkan politikus untuk menghilangkan keresahan kita.

Sedangkan, keresahan itu ditimbulkan oleh politikus yang resah dengan masa depan dirinya. Persoalannya, apakah harapan untuk sebuah negara yang diselubungi keresahan selama-lamanya?


*LIM HONG SIANG merupakan Pengarah Eksekutif SAUDARA (Penyelidikan Sosio-Budaya), bekas editor dan penganalisis isu-isu semasa.

Lokman Adam dakwa penahanannya atas arahan Muhyiddin

 ARIF ATAN

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa penahanannya kelmarin sebagai “jelas berniat jahat” dan tiada laporan polis dibuat terhadap dirinya.

Menerusi FB Live malam tadi selepas keluar lokap, orang kanan Datuk Seri Najib Razak itu mengaitkan penahanannya dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Tidak ada siapa buat laporan polis ke atas diri saya. Arahan Perdana Menteri ialah supaya IGP bertindak dan IGP mengarahkan anggota polis sendiri membuat laporan ke atas diri saya.

“Penahanan ke atas saya memang jelas berniat jahat dan political move Muhyiddin untuk mengekang pihak yang menentang beliau,” katanya dalam slot sembang dari sebuah restoran itu.

Lokman turut memberitahu dia tidur semalaman di lokap IPD Dang Wangi dan pagi semalam ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman.

“Sepatutnya direman empat hari. Dua pegawai polis mahu reman empat hari.

“Tetapi peguam Logan berhujah dengan baik dan mahkamah majistret memerintahkan reman hanya satu hari untuk mengambil keterangan sahaja,” katanya.

Sehubungan itu, Lokman berpendapat kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersifat hanya sementara.

“Esok lusa Muhyiddin jatuh, apa yang dia buat hari ini akan digunakan untuk menentang dia.

“Salah laku dia hari ini, dia boleh didakwa ketika dia sudah jatuh. Itu yang saya maksudkan. Kalau berani buat, buat. Kalau berani buat, beranilah tanggung,” tegas Lokman lagi dalam FB Live selama 30 minit itu.

MP Keningau ingkar perintah kuarantin?

FAZLI RADZI


Ahli Parlimen Keningau, Datuk Dr Jeffrey G Kitingan dikatakan ingkar perintah menjalani kuarantin wajib di rumah.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu difahamkan perlu menjalani kuarantin dari 24 Oktober hingga 6 November ini.

Walau bagaimanapun, Jeffrey dilihat berada dalam satu majlis jamuan pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) semalam yang turut dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Foto pertemuan Jeffry dan surat perintah pengawasan dan pemerhatian daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang tertera namanya tular di media sosial.

Sebelum ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dikecam rakyat kerana gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki, pada 7 Julai lalu.

Walau bagaimanapun, Pejabat Peguam Negara bulan lalu memutuskan tiada tindakan akan diambil terhadap Ahli Parlimen Pas Kuala Nerus itu berhubung kesalahan itu.

Pada 7 Ogos lalu, KKM mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Khairuddin atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Mujahid disiasat di bawah 3 akta, termasuk hasutan

Faiz Zainudin

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Amanah, Mujahid Yusof Rawa antara lain disiasat di bawah Akta Hasutan berhubung ucapannya pada Mac di Parit Buntar yang mempertikai pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memberitahu bahawa selain Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, beliau juga disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

“Saya dipanggil bantu siasatan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia atas ucapan yang saya buat pada Mac di Parit Buntar.

“Siasatan ke atas saya (juga) didakwa di bawah Akta Hasutan,” katanya kepada media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas selesai diambil keterangan hari ini.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu mempersoalkan kenapa siasatan itu dibuat selepas beberapa bulan, selain polis mengambil masa lama untuk membuka kertas siasatan.

“Saya pelik kerana Akta Hasutan itu setahu saya semasa saya dalam PH kita tak guna walaupun ada, malang hari ini saya tak tahu kenapa akta ini dipakai.

“Ucapan saya buat di kawasan saya pada Mac setelah jatuhnya kerajaan PH dan setelah selesai Muhyiddin (dilantik) sebagai PM.

“Saya tidak tahu kenapa ia memakan masa sangat panjang. Kini baru dibuat siasatan,” katanya. 

Mujahid, yang hadir bersama peguam beliau, selesai memberi keterangan pada jam 7.20 petang tadi.

Beliau disoal siasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) lebih sejam setelah tiba di Bukit Aman pada jam 5.30 petang.

Mac lepas, media melaporkan laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang terhadap Mujahid dan ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung kenyataan mereka yang dianggap mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri ke-8.

Ini berikutan kemelut politik yang berlaku ketika itu dan membawa kepada tumbangnya kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Pejuang, Maszlee berpisah arah kerana sokongan kepada Anwar, dakwa pembantu Dr M

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pembantu Dr Mahathir Mohamad mendakwa parti baru pimpinan bekas perdana menteri, Pejuang, dan Maszlee Malik berpatah arang selepas bekas menteri pendidikan itu membuat keputusan untuk menyokong ketua pembangang Anwar Ibrahim.

Dalam hantaran di Facebook, pembantu itu berkata, ahli Parlimen Simpang Renggam itu didakwa menandatangani perakuan berkanun (SD) untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

“Kita semua tahu Dr Maszlee dah tandatangan SD menyokong Anwar Ibrahim. Dr Maszlee berbuat demikian selepas mesyuarat penaja Pejuang bersetuju tidak akan memberi sokongan kepada sesiapa yang bersama dengan kleptokrat dan kita nak tengok dulu siapa sokong Anwar baru kita ‘decide’,” katanya.

Menurutnya, Maszlee juga pergi ke rumah Mahathir untuk makan malam selepas beliau didakwa menandatangani SD sokongan itu.

“Tun kata, ‘dia (Maszlee) tak cakap apa pun, lama ‘duk’ ‘dinner’ cakap macam-macam.

“Daripada nada Tun, kita tahu Tun terasa dengan tindakan Maszlee. Tetapi selepas ‘viral’ pun, tiada usaha daripada pihak Maszlee untuk datang minta maaf atau memberi penjelasan.

“Pihak kita cuba hubungi pun, tak ada jawapan,” kata pembantu itu lagi.

Katanya, walau apa pun yang berlaku, Pejuang menghormati keputusan Maszlee kerana beliau bebas berbuat demikian.

“Tidak mengapa. Kita hormat keputusan beliau. Tun Mahathir? Dia akan teruskan walaupun dia berjuang seorang diri.”

FMT cuba mendapatkan komen Maszlee.

Terdahulu hari ini, Mszlee mengumumkan penarikan diri daripada Pejuang dengan berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan “dapatan fakta melalui kajian lapangan dan tinjauan terperinci” mengenai aspirasi dan kehendak rakyat terbanyak.

Katanya, beliau akan terus berkhidmat sebagai ahli Parlimen bebas dan bekerja dengan NGO kerana mahu memberi tumpuan kepada rakyat, terutama di kawasan Parlimennya.

Pengunduran Maszlee berlaku di tengah-tengah spekulasi berhubung status kedudukannya dalam parti itu selepas nama beliau tidak dilihat dalam satu kenyataan bersama semua ahli Parlimen Pejuang semalam.

Azmin paling dibenci, kajian ke atas sentimen media sosial

FAZLI RADZI

Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjadi ahli politik paling dibenci di laman Twitter.

Bekas Timbalan Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Gombak itu mengaut 90.63 peratus undian sentimen negatif diikuti Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin (75.56 peratus) dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (65.6 peratus).

Kajian yang dijalankan oleh Kuala Lumpur School of Artificial Intelligence (KLSAI) itu berdasarkan 300,000 ciapan di Twitter antara 21 hingga 25 Oktober lalu.

Cerapan dibuat menerusi kaedah ‘web scraping’ dengan menggunakan pelbagai bots bagi mengeluarkan teks-teks ciapan pengguna Twitter sepanjang tempoh tersebut.

“Pelbagai kod dan penjejak telah digunakan untuk mengekstrak kesemua ciapan-ciapan berkaitan, dan sentimen terhadap ciapan-ciapan ini telah dianalisis, termasuk bahasa yang biasa digunakan,” lapor The Vibes memetik kenyataan institusi itu.

Kenyataan itu juga menyebut ahli politik mungkin tidak mempedulikan rakyat secara serius tetapi rakyat memerhatikan mereka.

“Ketika ketegangan untuk melaksanakan darurat, orang ramai berpendapat itu merupakan langkah Azmin dan Muhyiddin untuk kekal berkuasa,” kata kenyataan itu.

Menurut KLSAI, ciapan-ciapan lain menuding kepada ketiadaan Perikatan Nasional (PN) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 September lalu apabila masyarakat tempatan terpaksa berusaha sendiri di tengah-tengah gelombang ketiga jangkitan Covid-19.

Nik Abduh dilabel bebal dan benak kerana pertahankanKhairuddin yang tidak memakai pelitup muka

NASUHA RAHMAN

Dua jam yang lalu, Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz memuat naik status mempertahankan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Khairuddin Aman Razali yang tidak memakai pelitup muka.

Nik Abduh berkata, tindakan Khairuddin menunjukkan beliau dapat membezakan tempat yang sesak yang wajib pakai pelitup muka dari tempat yang tidak sesak yang tidak wajib pakai pelitup muka.

“Baguslah beliau tidak pakai,” tulis Nik Abduh di status Facebooknya apabila ditanya sahabat kenapa Khairuddin tidak pakai pelitup muka sehinga dihentam di ruang maya.

Katanya, gambar-gambar Khairuddin yang tidak memakai pelitup muka ditularkan adalah aktiviti pembodohan terhadap minda rakyat.

“Usah terpengaruh dengan bebudak PH.

“Puji dan kritik hanya benar dan berpahala pada perkara yang benar sahaja.

“Ambillah ingatan agama bahawa fitnah dan sebaran berita palsu berleluasa di akhir zaman,” tulis beliau.

Susulan ‘posting’ itu, para netizen membidas Nik Abduh dengan menyifatkan memang benar wujudnya pemimpin Pas bersikap bebal dan benak.

“Betulah org kata pemimpin PAS yg bebal & benak itu WUJUD, bukan cerita dongeng mahupun palsu,” kata Syed Muaz Syed Putra.

“Wahh senang hidup jadi org politik ni kan. Buat salah pun org backup. Jadi rakyat biasa ni kalau buat salah siapa nak backup. Jom kita tanam2 minat anak2 kita masa kecik utk jadi org politik,” kata Azman Karim.

“Takpe kami faham, untuk geng sendiri memang akan sentiasa ada dalil,” kata Joy Gandos.

“Kita ni kalau cerdik tapi nk backup benda yg terang2 SALAH..nampak sgt kita nik Abodoh,” tulis Shahrul Adzha.

“Takiri yang tak pakai mask, PH jugak yang salah. Apa taksub sangat dgn PH ni ustaz?”soal Ben Ludin.

“Reti x beza tempat awam dengan tempat sesak ? Tempat awam walau tak sesak pun masih ada possibility kebolehjangkitan . Kalau macam gini gaya permikiran untuk beri dalil, sorry to say. Lost my respect ! #stupidejencia,” kata Encik Alityanis.

Sejak beberapa hari lalu, tular beberapa gambar Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berjumpa dengan penduduk di kawasannya tanpa memakai pelitup muka, ekoran itu netizen mula mengecam perbuatannya sehingga beliau membuang ‘posting’ terbabit.

Khairuddin sebelum ini telah menimbulkan kemarahan ramai ekoran beliau tidak menjalankan kuarantin kendiri selepas pulang dari luar negara.

Kes beliau kemudian dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara namun Peguam Negara memutusan kes Menteri Pas itu tidak perlu dikenakan tindakan lanjut.

Maszlee Malik umum keluar parti Pejuang

Ahli parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik hari ini mengumumkan menarik diri daripada jawatankuasa penaja parti Pejuang.

Maszlee mengumumkan perkara itu bagi merungkai persoalan berhubung ketiadaan namanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan parti itu semalam.

"Saya Maszlee Malik, ahli parlimen Simpang Renggam dengan ini mengumumkan penarikan diri sebagai ahli jawatankuasa penaja penubuhan parti Pejuang.

"Saya juga akan meneruskan tugas dalam gerakan perubahan pendidikan melalui kapasiti saya sebagai ahli parlimen bebas dan melalui ruang-ruang aktivis dan kerja-kerja kebangsaan melalui rangkaian NGO," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, kenyataan media yang dikeluarkan Pejuang menimbulkan tanda tanya apabila nama Maszlee tidak tersenarai bersama ahli parlimen parti itu yang lain.

Maszlee sebelum ini terkait dengan kontroversi berhubung penyebaran satu dokumen sokongan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Akuan bersumpah (SD) yang dikatakan ditandatangani Maszlee menyokong Anwar (bawah) sebagai perdana menteri tersebar di tengah-tengah kemelut politik negara.

SD berkenaan tersebar dan dilaporkan media pada 17 Okt lalu. Bagaimanapun tiada sebarang maklum balas dari Maszlee berhubung perkara itu setakat ini.

Dalam pada itu, Maszlee berkata keputusan dibuatnya ini adalah berdasarkan kepada dapatan fakta melalui kajian lapangan dan tinjauan terhadap kehendak rakyat.

"Keputusan dibuat berdasarkan dapatan fakta melalui kajian lapangan dan tinjauan terperinci terhadap aspirasi dan rakyat terbanyak.

"Saya yakin, rakyat sudah muak dengan politik percaturan kuasa oleh pihak politikus elitis. Rakyat mahukan ahli politik yang fokus berkhidmat dan benar-benar menyelesaikan masalah yang rakyat hadapi sekarang," katanya lagi.

Pemimpin Pas lebih banyak dibenci berbanding Pakatan Harapan, Anwar

FAZLI RADZI

Pemimpin Pas didapati lebih banyak dibenci pengguna Twitter berbanding pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengikut tinjauan Kuala Lumpur School of Artificial Intelligence (KLSAI).

Pas yang kini sebahagian daripada komponen kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerima 37.89 peratus sentimen negatif diikuti rakannya, Umno dengan 30.49 peratus.

Walau bagaimanapun, tinjauan berdasarkan 300,000 ciapan di Twitter antara 21 hingga 25 Oktober lalu menunjukkan kepimpinan PH paling kurang dibenci berbanding parti lain dengan hanya 25 peratus.

Kajian menggunakan pelbagai bots bagi mengeluarkan teks-teks ciapan pengguna Twitter itu juga mendapati hanya 15.75 peratus sentimen negatif terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR itu sekali gus menjadi ahli politik paling kurang dibenci manakala bekas orang nombor dua PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjadi politikus paling dibenci mencecah 90.63 peratus.

Sementara itu, darjah kebencian kedua tertinggi bagi pengguna Twitter dimiliki Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu dengan 75.56 peratus.

Menurut KLSAI lagi, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merangkap Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menjadi ahli politik ketiga dibenci dengan 65.6 peratus.

Lokman Adam ditahan

FAZLI RADZI

Datuk Lokman Noor Adam yang sebelum ini telah dibuang daripada menjadi ahli Umno ditahan pihak polis sebentar tadi.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno tersebut memberitahu hal itu dalam hantaran di Facebook rasminya malam ini.

Orang kanan Datuk Seri Najib Razak berkenaan kini ditahan di Kompleks Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman.

“Mohon hantar peguam ke JSJT Bukit Aman, jumpa IO Insp Nasir 013-7736 813. Saya ditahan di bawah Seksyen 506,” katanya.

Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Lokman sebelum ini dilihat lantang menyerang Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kelmarin, dia menerusi Facebook Live hampir 15 minit mendakwa Muhyiddin dan penyokong pelaksanaan darurat masih tidak berpuas hati dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan darurat.

Mencabar

Pada 28 Oktober lalu pula, Lokman beberapa kali mencabar Muhyiddin supaya menangkap Anwar Ibrahim dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Belajarlah bertaubat, menjalani hubungan silaturahim yang kau (Muhyiddin) dah pecahkan dengan orang Umno ini.

“Bukan dengan cara mengugut macam ini. Kena ingat Muhyiddin, kau ingat kau tangkap Anwar Ibrahim, Zahid Hamidi, Najib, kau ingat kita orang lepas ini akan duduk diam ke?

“Cuba buat, cuba buat, kalau kau nak tengok apa berlaku. Negara ini ada undang-undang. Jangan jadikan negara ini mengamalkan undang-undang rimba.

“Saya tahu malam tadi geng-geng Publika Azmin Ali pun ada semalam (27 Oktober) bersama Hamzah. Sudah bercadang hendak menangkap Anwar Ibrahim dan selepas itu Datuk Zahid (Hamidi).

“Cuba buat. Saya cabar. Kita tengok apa berlaku,” tegas Lokman sebelum mengakhiri Facebook Live.

Terbaharu sejam lalu, Lokman juga menerusi Facebook Live mendakwa setiap Ahli Parlimen bakal disogok peruntukan berjumlah RM3 juta jika Belanjawan 2021 diluluskan.

“Biar betul?” soalnya.

Penentang Jawi dapat gelaran Datuk, tahniah macai, walaun

Ketua Pemuda MCA kini bergelar Datuk

FAZLI RADZI

Ketua Pemuda MCA Kebangsaan yang menentang pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular jika dilaksanakan secara paksaan dan dijadikan subjek utama dengan memasukkannya ke dalam silibus subjek telah bergelar Datuk semalam.

Datuk Nicole Wong Siaw Ting dikurniakan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk dalam Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka di Seri Negeri.

Semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), Nicole dilihat lantang menolak pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular dengan menegaskan pembelajaran tulisan Jawi harus dilaksanakan hanya secara sukarela sebagai salah satu cabang seni di sekolah.

Pada Ogos tahun lalu, jemaah menteri ketika itu memutuskan pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) diteruskan mulai tahun depan.

Kementerian Pendidikan melalui kenyataan, memaklumkan pelaksanaannya bagaimanapun hanya dilakukan jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid SJK, manakala di Sekolah Kebangsaan akan diteruskan seperti biasa.

Istiadat penganugerahan sempena sambutan Hari Lahir Ke-71 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam semalam juga menyaksikan dua pemimpin Umno bergelar ‘Datuk Seri’.

Mereka ialah Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Mengapa rakyat perlukan Anwar segera jadi PM?

NORMAN RADZUAN

Rakyat menghadapi saat genting hidup dan mati. Muhyiddin pentingkan Kabinetnya dari rakyat.

Keengganan Muhyiddin mendengar rayuan rakyat, jelas memperlihatkan Muhyiddin sanggup menggadaikan berbillion wang rakyat demi membentuk kerajaannya, meletakkan Ahli Parlimen dengan jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) demi menjaga kedudukan dirinya.

Muhyiddin hanya sanggup mendengar nasihat seorang rakyat Malaysia, Azmin demi survival politiknya daripada survival rakyat.

Wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya kerajaan boleh gunakan (pinjaman ) walaupun ia milik rakyat untuk menanggung tujuan politik berkepentingan peribadi.

Hingga semalam sudah empat orang rakan Facebook tidak termasuk rakan-rakan lama yang ingin meminjam wang.

Kita sama-sama susah. Mereka meminta bantuan untuk meneruskan kehidupan. Apabila orang meminta bantuan bermakna mereka sudah tiada perasaan segan demi survival. Sebab itu saya perumpamakan ia antara hidup dan mati.

Itu yang dalam pengetahuan saya tetapi bagaimana ribuan lagi menghadapi saat genting ini? Mereka saat ini sedang bertarung apakah yang boleh diberi makan minum untuk keluarga dan seterusnya menjadi papa kedana.

Kita ingin bertanya Muhyiddin mengapa dia sanggup membentuk kerajaan begitu besar dan mengarut dengan kos beratus juta ringgit dengan menggunakan wang rakyat.

Memecah satu kementerian menjadi tiga, melantik dua Timbalan Menteri dalam satu Kementerian dan mencipta Menteri Duta Khas untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai PM.

Apa salahnya rakyat mahu mengeluarkan 20 peratus dari simpanan mereka sendiri untuk meneruskan kehidupan atau membina perniagaan baru selepas dibuang kerja?

Mereka mahu memohon pekerjaan tetapi bagaimana sedangkan syarikat-syarikat di seluruh negara sedang membuang pekerja. Mereka mahu berniaga tetapi tiada modal berbuat demikian.

Mahu meminjam sedankan rakan dan sanak saudara juga dibuang kerja. Bantuan kerajaan rasanya 50 peratus ditolak dan nilainya diberi kepada rakyat hanya cukup untuk perbelanjaan seminggu dua.

Pandemik yang menimbulkan panik hingga lumpuh ekonomi dunia datang tanpa disangka. Ia bukan berlaku setiap tahun. Rakyat bukan sahaja panik dari dihidapi Covid-19 tetapi panik bagaimana untuk meneruskan kehidupan.

Sebab itulah mengapa kita perlukan Anwar Ibrahim segera menjadi PM. Kita perlu pemimpin yang mendengar nadi rakyat. Saya yakin Anwar juga akan senada Najib akan membenarkan wang KWSP dikeluarkan.

Sama ada RM10,000 seperti dikatakan oleh Najib atau 20 peratus seperti saranan saya ia sangat diperlukan oleh rakyat.

Apa yang kita harapkan daripada Muhyiddin? Muhyiddin sanggup membunuh ekonomi rakyat untuk mengadakan darurat hanya demi kepentingan dirinya terus kekal menjadi PM. Rakyat patut disedarkan penipuan Muhyiddin ini!

Jika pemimpin Pakatan Harapan (PH) bijak, penyokong-penyokong PH bijak, isu ini patut dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Ia bukan sekadar isu bola tanggung tetapi ia adalah isu popular yang boleh membangkitkan semangat dan kesedaran rakyat siapa dia Muhyiddin dan mengapa kita perlukan Anwar dengan kadar segera.

Mari kita seluruh rakyat bersama-sama membantu rakyat berkempen untuk mendapatkan hak simpanan peribadi sendiri ini untuk kita sama-sama dapat membantu rakyat yang menempuh saat-saat paling kritikal ketika ini.

Ini masa terbaik kita berkempen untuk ahli Parlimen bersama rakyat melawan kerajaan Muhyiddin yang hanya memikirkan nasib diri dan Kabinetnya di Parlimen nanti.

Inilah isu dan masa tepat untuk Ahli Parlimen menggagalkan belanjawan Muhyiddin yang pentingkan diri sendiri daripada membela nasib rakyat.