'Mahathir mahu usaha Anwar kembalikan mandat pada PH gagal'

Amin Ahmad

KATA MP | Terima kasih Dr Mahathir Mohamad atas celoteh panjang di pagi Sabtu ini. Entah kenapa sejak kebelakangan ini Dr Mahathir begitu bersungguh memberikan gambaran bahawa Anwar adalah punca kenapa mandat rakyat tidak dapat diambil semula.

Saya fikir fakta dan interpretasi terhadap fakta adalah berbeza. Manakala fakta kekal, interpretasi boleh berbeza. Maka, saya berbeza pandangan dengan Dr Mahathir.

Kata Dr Mahathir dalam perenggan tiga hingga enam berkisar tentang peristiwa sebelum mesyuarat pada 21 Februari 2020 tentang bisikan Azmin dan Muhyiddin agar Dr Mahathir tidak tunduk kepada desakan peralihan kuasa.

Umum sudah dapat mendengar kandungan mesyuarat pada malam itu yang tersebar kemudian.

Perenggan tujuh hingga sembilan pula tentang peristiwa pada 23 Februari 2020 - mesyuarat tergempar MPT Bersatu. Pada petang itulah pemimpin Umno, PAS, GPS, Bersatu, Warisan dan Azmin datang ke rumah Dr Mahathir. Malam itu ada makan malam di Hotel Sheraton tapi Dr Mahathir tak hadir.

Perenggan 10 hingga 13 Dr Mahathir cerita hal yang mendorong beliau letak jawatan.

Di sini kita perlu sedar, Dr Mahathir dakwa Anwar nak ambil balik mandat tak libatkan dia. Dia tak sebut kerajaan yang dia ketuai jatuh sebab dia letak jawatan tak bincang dengan pimpinan parti komponen. Mungkin sebab beliau anggap itu kerajaan Mahathir, bukan kerajaan PH+.

PH pernah ajak Dr Mahathir kembalikan mandat rakyat dan komited dengan manifesto. Tetapi Dr Mahathir enggan. PH namakan Anwar kerana tidak bersetuju dengan idea Dr Mahathir untuk jadi perdana menteri kerajaan perpaduan.

Anwar yang hubungi Dr Mahathir

Saya setuju dengan perenggan 15. Dan Dr Mahathir tulis jelas Anwar dapat 92 sokongan, beliau 66. Masa tu baru tahu ada blok yang cadangkan nama Muhyiddin.

Ini tidak didedahkan tetapi masa awal itu Tuan Ibrahim Tuan Man telah tersebut kepada media. Lepas tu Takiyuddin betulkan dan beritahu media bahawa kenyataan rasmi PAS hanya akan datang daripada Presiden PAS dan beliau selaku setiausaha agung PAS.

Yang menariknya ialah perenggan 18, Dr Mahathir kata:

“Jika ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan menamakan saya sebagai calon mereka, saya akan dapat 158 undi setelah ditambah dengan 66 ahli yang sokong saya. Tetapi kerana mereka beri 92 kepada Anwar, saya kalah dan Anwar juga gagal.

"Jika saya dapat 92 dari Pakatan Harapan dan dengan itu Kerajaan Pakatan Harapan dikekalkan saya akan kembali jadi Perdana Menteri Pakatan Harapan. Dan apabila saya letak jawatan Anwar akan jadi Perdana Menteri mengikut perancangan Pakatan Harapan.”

Dr Mahathir tak tulis pula jika dia pengaruhi 65 lagi untuk sama-sama sokong Anwar yang pada masa itu dapat sokongan tertinggi, maka sokongan boleh juga jadi 158. Kot mana pun Anwar nak disalahkannya. Dia menang sentiasa.

Dalam perenggan 20 hingga 22 Dr Mahathir cerita pasal PH nak sokong dia semula.

Di sini kita perlu tahu bahawa ketika Anwar ada 92, Dr Mahathir ada 66; Dr Mahathir tak hubungi Anwar. Tetapi Anwar yang pergi cadangkan kepada Dr Mahathir supaya mandat rakyat boleh dikembalikan. Tun hanya fikir dia nak jadi PM, bukan nak bolehkan mandat rakyat dikembalikan.

Bayangkan Anwar tawar sokongan PH dan untuk redakan tuduhan Dr Mahathir tahu tentang Langkah Sheraton dan ikhlas mahu serah kepada Anwar, maka lantik Anwar jadi timbalan perdana menteri, tapi Dr Mahathir enggan. Adakah kita tidak boleh mengagak sikap beliau dalam hal ganti jadi perdana menteri?

Saya pernah cerita Anwar kejut kami ahli parlimen PKR pukul 2 pagi untuk sampaikan keputusan dan kesediaan beliau berkorban lagi. Dinihari itu juga Yusof Qaradhawi buat panggilan dan Anwar minta beliau doakan Malaysia - dibuka loud speaker (pembesar suara) untuk kami sama-sama aminkan doa tersebut.

Apa berlaku selepas itu? Ini penting disebut. Dr Mahathir kata jika PH 92 campur dia 66, maka jadi 158. Tapi masa kumpul Kenyataan Bersumpah, PH tetap 92 orang, Dr Mahathir gagal yakinkan 66 yang disebutnya. Itu pun masih salah Anwar!

Dr M tak pernah beri isyarat akan sokong Anwar

Dalam perenggan 23 Dr Mahathir sebut Muhyiddin dapat persetujuan dilantik jadi perdana menteri. Saya bahas di Dewan Rakyat, berasaskan keyakinan saya, pada 1 Mac itu, jika mengambil kira undian 112-109 (Maximus Ongkili tidak hadir seingat saya kerana isu kesihatan) penolakan Speaker Ariff, paling banyak pun Muhyiddin hanya ada sokongan 111 undi kerana Serian dan Lubok Antu telah menandatangani Kenyataan Bersumpah sokong Dr Mahathir.

Mereka hanya sokong Muhyiddin beberapa minggu selepas pengumuman pelantikan PM.

Perenggan 24 hingga 30 cerita pasal usaha dapatkan balik mandat. Semua orang tahu Dr Mahathir tidak mahu cadang nama Anwar malah sanggup umum nama Shafie Apdal. Mungkin begitu cara beliau mengharapkan PKR untuk terus mempercayainya. 

Apa yang Dr Mahathir tidak cerita ialah PKR telah usulkan 107 sokongan (dengan mengambil kira PSB belum mewujudkan blok khusus yang komited sebagai pembangkang), dan mana-mana pemimpin yang boleh membawa sokongan untuk mendapat semula mandat maka mereka berhak diangkat menjadi perdana menteri.

Tapi ini pun ditolak oleh blok Dr Mahathir kerana mahu Dr Mahathir sahaja dicalonkan sebagai perdana menteri.

Perenggan 31 hingga 34 Dr Mahathir bercakap tentang pengumuman Anwar tentang sokongan untuk menjadi perdana menteri.

Dr Mahathir mengeluh kerana Anwar tidak libatkan beliau dan kumpulannya. Dr Mahathir sepatutnya bertanya bilakah selepas Langkah Sheraton beliau pernah memberi isyarat untuk menyokong Anwar?

Adakah Dr Mahathir hendak beritahu jika Anwar datang meminta sokongan beliau maka sokongan itu akan diberikan? Tidak. Dan Dr Mahathir tidak perlukan sokongan ini diminta. Dr Mahathir sebagai orang lama dalam politik boleh memberi isyarat terbuka untuk memberi sokongan.

Sama ada Anwar akan berjaya atau tidak, itu telah dijawab olehnya: Bertawakal kepada Allah s.w.t. selepas usaha telah dibuat.

Tapi yang jelas ramai semakin melihat Dr Mahathir mahukan ia gagal. Dan ramai meyakini kesimpulan tersebut kerana alasan Dr Mahathir tidak dapat menjadi perdana menteri semula dan sikap pendendam Dr Mahathir kepada Anwar.

Tindakan Kerajaan Pas Terengganu seperti Isreal roboh rumah rakyat Palestin

MALAYSIA DATELINE

AMANAH Terengganu menyifatkan kerajaan Pas negeri itu bertindak secara ganas dan terburu-buru meroboh rumah Haji Omar seperti Yahudi-Israel meroboh rumah rakyat Palestin.

Pengerusinya Raja Bahrin Shah mempersoalkan, apa keperluan kerajaan Pas bertindak sedemikian sedangkan pihak tuan rumah sudah membuat rayuan penangguhan dan dalam proses untuk memindahkan barang.

“Lima hari selepas ianya diroboh, tidak ada kerja yang bersegera pun dilaksanakan oleh kerajaan. Itulah realiti wajah baru Pas mengunakan kuasa dengan rakus ke atas rakyat biasa yang tertindas hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Tindakan Pas roboh rumah (gambar atas), tindakan Israel (gambar bawah)

Katanya, jika dahulu pimpinan Pas begitu agresif membela nasib rakyat dengan menjadi seperti harimau tidak bertaring dan berkuku.

Kini katanya, kelihatan lebih seperti kucing Siam yang comel diberi makan dengan kenyang kemudian dipelihara oleh tuannya, kerajaan negeri.

“Di tengah-tengah PKPB dan hujan lebat tengkujuh musim monsun, jentolak besar telah digunakan pihak berkuasa untuk merobohkan dapur serta bilik tidur rumah Omar yang juga seorang aktivis veteran Pas.

“Haji Omar yang sedang bersendirian dalam proses merobohkan rumah dan memindah barangnya dalam keadaan terhad kerja kontraktor masa PKPB dan hujan lebat yang melanda Terengganu apabila puluhan pegawai penguatkuasa dan kerajaan tiba dengan jentera untuk merobohkan struktur rumahnya.

“Di manakah budi bicara dan belas ihsan kerajaan Pas Terengganu? Senarionya kelihatan sama seperti tindakan zalim tidak berperikemanusiaan jentera berat Yahudi- Israel yang merobohkan rumah rakyat Palestin,” katanya.

Apa yang menyedihkan katanya, rakan-rakan seperjuangan Haji Omar dahulu yang kini menjadi ahli EXCO kerajaan negeri tidak berupaya membantu mendapatkan penangguhan seminggu yang diminta.

Tambahnya, Omarlah diantara pengerak utama dan aktivis Pas yang dahulu mengerahkan tenaga berdemonstrasi semasa Pas pembangkang dahulu.

“Yang menghairankan semasa Pas jadi pembangkang dan beberapa rumah di Kampung Banggol Donas, Terengganu di kepung oleh puluhan penguatkuasa termasuk pihak FRU untuk merobohkan rumah, Pas dan kumpulan pimpinan Pas yang sama telah berjaya beberapa kali dapat menghalang usaha tersebut.

“Yang menyedihkan kini apabila Pas mempunyai kuasa EXCO dan menjadi kerajaan, nasib sebuah rumah seorang aktivis tidak dibela seperti sepatutnya,” bidasnya.

Jika dahulu, katanya Pas mengutuk kerajaan Umno meroboh rumah rakyat secara kasar mengguna jentera berat.

Sebaliknya, kata beliau Pas tidak menggunakan kuasa yang dimiliki hari ini diperingkat nasional mahupun negeri untuk membela rakyat.

“Kuasa hanyalah untuk terus menguatkan pegangan keatas kerajaan dan projek kroni orang terdekat dengan pimpinannya.

“Lihatlah betapa ramai dalam kalangan mereka dilantik sebagai pengerusi syarikat GLC, hingga ada seorang individu bukan anak Terengganu yang memegang berbelas syarikat dengan gaji puluhan ribu.

“Masalah utama pimpinan Pas adalah mereka berpendapat duit adalah segala galanya dalam setiap isu. Isu sebenar perobohan rumah Hj. Omar dan rumah rumah lain bukan kerana bayaran kewangan,” kata beliau.

Yang ini Melayu mudah lupa atau buat-buat lupa

“Dalam perancangan Anwar saya tidak ada tempat”

TUN DR MAHATHIR MOHAMAD

Ramai yang percaya bahawa sebabnya Anwar tidak dapat jadi Perdana Menteri ialah kerana saya menghalang.

Benar dahulu saya berpendapat bahawa kerana sebab tertentu dia hilang kelayakan untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Tetapi apabila Najib menjadi kleptokrat, saya sanggup bekerjasama dengan Anwar untuk jatuhkan Najib. Saya tidak menentang cadangan Pakatan Harapan (PH) bahawa Anwar akan mengganti saya apabila saya letak jawatan. Tetapi belum pun sampai masanya konco-konco Anwar mendesak supaya saya letak jawatan.

Pada 21hb Februari, 2020, saya diberitahu oleh Muhyiddin dan beberapa pemimpin Bersatu bahawa pada malam itu Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan akan mendesak supaya saya letak jawatan untuk Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri. Kononnya saya akan dipaksa lantik Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan segera.

Tujuan Muhyiddin ialah supaya saya setuju Bersatu keluar dari Pakatan Harapan untuk jatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan. Muhyiddin, Azmin dan Hamzah sudah rancang untuk bekerjasama dengan Muafakat Nasional untuk tubuh Kerajaan baru mengganti PH.

Azmin Ali pula telah sahkan bahawa apabila cadangan yang tersebut di atas dibuat dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan, beliau akan walk out.

Tetapi pada malam itu mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, setelah berbincang dengan panjang lebar, bersetuju supaya saya diberi kuasa untuk letak jawatan bila-bila masa yang saya pilih. Ini bermakna Pakatan Harapan masih sokong saya. Pakatan jahat untuk tolak saya tidak menjadi kenyataan seperti yang didakwa oleh Muhyiddin dan konco-konconya. Saya berpendapat tidak ada sebab kenapa saya perlu bersetuju untuk Bersatu keluar dari PH.

Pada 23hb Februari saya telah beritahu kepada Muhyiddin bahawa perancangannya untuk Bersatu keluar dari Pakatan Harapan perlu ditangguh kerana PH masih sokong saya sebagai Perdana Menteri.

Apabila Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bersidang selepas pertemuan saya dengan Muhyiddin dan rakan-rakannya, saya merayu supaya ditangguh cadangan Bersatu untuk keluar dari PH. Saya syor supaya Bersatu tunggu dan lihat akan perlakuan PH.

Pendek cerita Majlis tolak syor saya dan setuju Bersatu keluar dari Pakatan Harapan dengan serta-merta. Ada yang tumbuk meja dan dengan lantang sokong Muhyiddin untuk keluar dari PH.

Bagi saya ini adalah keputusan muktamad. Ia merupakan kepercayaan kepada saya sebagai Pengerusi parti sudah tidak ada. Keputusan itu juga bermakna Bersatu sudah keluar dari Pakatan Harapan dan Kerajaan PH sudah jatuh.

Sepanjang malam itu saya memikir akan kedudukan saya. Kehilangan kepercayaan kepada saya bermakna saya tidak lagi boleh menjadi Pengerusi Bersatu. Jika saya tidak lagi Pengerusi Bersatu dan PH tidak lagi Kerajaan, saya tidak lagi jadi Perdana Menteri.

Pada malam itu Muhyiddin Yasin bersama pemimpin-pemimpin Umno dan Pas telah berada di Hotel Sheraton. Kesanggupan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu berada bersama dengan musuh Pakatan Harapan bermakna bahawa rancangan menubuh Kerajaan Perikatan Nasional sudah jadi kenyataan.

Saya buat keputusan untuk isytihar bahawa saya sudah letak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu dan Perdana Menteri. Walaupun ada ura-ura bahawa saya akan diterima oleh gabungan Muafakat dan Bersatu sebagai Perdana Menteri, saya tidak dapat terima kerana penjenayah-penjenayah Umno akan menjadi sebahagian daripada Kerajaan yang saya akan pimpin.

Peletakan jawatan Perdana Menteri oleh saya tidak ada kena mengena dengan cadangan Pakatan Harapan supaya Anwar ambil alih jawatan Perdana Menteri selepas saya letak jawatan. Dengan Bersatu dan puak Azmin Ali keluar dari Pakatan Harapan, Pakatan Harapan sudah tidak lagi jadi Kerajaan dan saya tidak lagi jadi Perdana Menteri.

Yang akan jadi Perdana Menteri ialah orang yang dapat majoriti apabila pengakuan oleh ahli Yang Berhormat dihadapan Yang di-Pertuan Agong diadakan.

Apabila pengakuan ini dibuat 92 ahli dari Keadilan, Amanah dan DAP menamakan Anwar sebagai pilihan mereka. PH sudah tolak saya sebagai Perdana Menteri.

Saya hanya dapat 66 ahli.

Jika ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan menamakan saya sebagai calon mereka, saya akan dapat 158 undi setelah ditambah dengan 66 ahli yang sokong saya. Tetapi kerana mereka beri 92 kepada Anwar, saya kalah dan Anwar juga gagal.

Jika saya dapat 92 dari Pakatan Harapan dan dengan itu Kerajaan Pakatan Harapan dikekalkan saya akan kembali jadi Perdana Menteri Pakatan Harapan. Dan apabila saya letak jawatan Anwar akan jadi Perdana Menteri mengikut perancangan Pakatan Harapan.

Setelah pencalonan Anwar gagal, Pakatan Harapan ingin kembali sokong saya sebagai calon Perdana Menteri. Anwar juga bersetuju tetapi dengan syarat dia dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Saya tidak bersetuju kerana ingin kekal kabinet lama.

Akhirnya Anwar bersetuju dan usaha dibuat untuk dapat jumlah yang cukup untuk Pakatan Harapan kembali jadi Kerajaan. Dengan sokongan dari ahli parti Sabah, jumlah meningkat kepada 114. 

Malangnya Muhyiddin sudah berjaya mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong untuk dia dilantik sebagai Perdana Menteri.

Tetapi usaha untuk tumbangkan Kerajaan Perikatan Nasional diteruskan oleh Pakatan Harapan. Pihak saya dan penyokong saya bersetuju untuk menyertai usaha ini.

Tetapi Anwar tolak sama sekali penyertaan saya. Jika saya ditolak, penyokong saya tidak akan menyertai cadangan ini. Dan kita tidak akan dapat tiga orang ahli Dewan Rakyat (DR) untuk mencukupi bilangan.

Telah dicadangkan supaya saya akan pegang jawatan Perdana Menteri selama 6 bulan sebelum menyerah kepada Anwar. Amanah dan beberapa ahli DAP bersetuju.

Tetapi Anwar tolak. Anwar tidak mahu saya terlibat sama sekali. Tetapi jika saya tidak diberi tempat, penyokong saya tidak akan sokong cadangan Pakatan Harapan. Lagi pun agak sukar mencari tiga orang lagi untuk mendapat majoriti.

Pengakuan saya untuk serah jawatan kepada Anwar selepas 6 bulan tidak diterima atau dipercayai oleh Anwar.

Rancangan yang munasabah ialah apabila Dewan bersidang, jika Pakatan Harapan mempunyai cukup bilang, Muhyiddin boleh dikalahkan semasa belah bahagi dengan pembangkang mempunyai 114.

Apa yang berlaku ialah Muhyiddin masih dapat 112 dan tidak dapat dijatuhkan semasa perbahasan berkenaan perlucutan jawatan Yang di-Pertua Dewan. Ini bermakna Muhyiddin menang dan kekal sebagai PM. Anwar kalah dan tidak jadi PM.

Kemudian Anwar isytihar dia sudah dapat cukup bilang dan Muhyiddin sudah tidak jadi Perdana Menteri.

Saya dan kumpulan saya ditolak oleh Anwar kerana dia sudah dapat jumlah sokongan yang mencukupi.

Tetapi kita semua tahu bahawa Anwar masih tidak dapat jadi Perdana Menteri. Kenyataan Anwar bahawa dia mempunyai cukup bilang didapati tidak benar. Dalam perancangan Anwar saya tidak ada tempat. Jelas setelah ketepikan saya pun Anwar tidak menang.

Pada tahun 2008 pun, Anwar gagal. Apakah saya juga yang menghalang Anwar.

Annuar Musa jurucakap Bersatu, Pas curang, dakwa Umno

MALAYSIA DATELINE

Penyokong Datuk Seri Najib dalam Umno menyifatkan Tan Sri Annuar Musa sudah menjadi jurucakap Bersatu demi mempertahankan kedudukannya sebagai menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional.

“Dia ni sudah jadi Setiausaha Agung Bersatu, selain Hamzah Zainudin,” kata Datuk Lokman Noor Adam, bekas Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan ketika Najib adalah menterinya.

Menerusi facebook beliau, orang kanan Najib itu berkata, jika Umno mengikut teori Annuar Musa, parti yang pernah memerintah Malaysia itu akan masuk Muzium Negara sebagaimana parti Golkar di Indonesia sekarang yang hanya menjadi anggota gabungan kecil dalam parti pemerintah negara jiran itu.

“Kalau ikut otak Annuar Musa ini, akhirnya Umno akan masuk Muzium Negara,” kata Lokman menjawab pandangan Annuar sebelum ini.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, Umno akan bertanding bersendirian dalam pilihan raya umum akan datang jika tidak bekerjasama dengan Bersatu kerana Pas sudah bersama parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

KERJASAMA DENGAN BERSATU

Menurut Lokman, kalau Umno bekerjasama dengan Bersatu, Umno yang paling rugi kerana terpaksa memenuhi tuntutan Bersatu yang mahukan antara 58 hingga 60 kerusi Parlimen.

Padahal, katanya, Umno sebelum ini bertanding 122 kerusi Parlimen dan menang 54 kerusi iaitu 48% menang dari kerusi yang ditandingi. 

“Kenapa Annuar Musa ni bodoh sangat, saya tak tahu nak cakap apa. Tolong buat penilaian ni betul-betul. Nak cakap kena guna angka,” kata beliau.

Menurut Lokman, Muhyididin sekarang meminta 58 hingga 60 kerusi Parlimen dalam rundingan yang dah dibuat antara Umno dan Bersatu serta Pas.

“Padahal pada PRU 14, mereka hanya menang 13 kerusi sahaja. Dalam PRK Tanjung Piai, mereka kalah dan tinggallah 12 kerusi.

“Enam dari ahli Parlimen mereka pula lari dan tingga enam sahaja yang sokong dia.

“Sekarang dia nak 60. Kalaulah dia ini bukan PM, menang 12 kerusi je, mungkin Datuk Seri Zahid boleh setuju bagi dia 20 kerusi sebab parti dia kecik.

“Tetapi kerana dia PM, dia ada kuasa tawar menawar. Katakanlah, dia dapat 40 kerusi akhirnya selepas tawar menawar, 20 kerusi Umno dapat balik.

“Berapa kerusi yan tinggal di tangan Umno. Kalau ikut Annuar Musa, demi selamat tengkok dia terus kekal menteri bawah Muhyidin, Umno hanya tinggal 52 kerusi.

“Dengan 52 kerusi sahaja bertanding, zaman Umno dihina fitnah kita menang 54 kerusi. Sekarang nak tanding hanya 52 kerusi, berapa kerusi yang Umno akan menang,” tanya Lokman menolak hujah Annuar Musa itu.

PAS SUDAH CURANG

Dalam siaran yang sama, Lokman menyifatkan Pas sebagai curang apabila bekerjasama dengan Bersatu ketika sudah bekerjasama dan menandatangani kesepakatan dengan Umno dalam Muafakat Nasional.

“Ketika kita dah kerjasama dengan Pas, dia curang. Sekerat jalan, Pas kahwin dengan PPBM senyap-senyap tak bagi tahu kita.

“Annuar Musa mungkin tahu. Dia bersama Hamzah Zainudin, Takiyudin dan wakil GPS bincang nak bentuk parti Perikatan Nasional, bukan gabungan tetapi tetapi parti politik baru.

“Bagaimana mungkin, kita dah kerjasama dengan pas, tiba-tiba separuh jalan, dia dah bersama dengan Bersatu. Kita pulak pula kena fikir, kalau tak bersama dengan Bersatu kita akan kehilangan Pas,” kata beliau menjawab Annuar Musa.

Bagi beliau, ketika Umno paling lemah pada pilihan raya 2018, ketika rakyat tak sanggup undi Umno, dan tak sanggup undi PH, mereka telah undi Pas.

“Itu sebab Pas dapat 18 kerusi. Kalau Pas bersama PPBM, dan Umno dengan Barisan Nasional, belum tentu Pas boleh menang 18 kerusi ini.

“Ini saya nak beritahu, Pas kena terima hakikat ini. Kalau tak boleh terima hakikat ini, cubalah buktikan dalam PRU 15 nanti,” cabar Lokman.

Beliau mengaku, Pas akan boleh bertanding lebih banyak kerusi jika bersama Bersatu kerana parti pimpinan Muhyiddin itu perlukan jentera yang dimiliki oleh Pas kerana parti itu tidak ada jentera.

“Sebab PPBM pun tak banyak tokoh yang nak di ketengahkan dan PPBM hanya ada pimpinan dan tak ada jentera.

“Jadi bagi membolehkan PPBM untuk bertanding dan ada jentera, dia kena perkudakan Pas. Mungkin Pas bersama PPBM, dia boleh tanding lebih banyak kerusi. Betul.

“Tetapi adakah Pas boleh dapat lebih banyak kerusi berbanding dengan kerusi yang dia menang menang ketika Umno difitnah pada 2018….yang ini kena fikir,” katanya.

Lantik 5 ADUN tambahan kos perbelanjaan cecah RM3 juta setahun, kata ADUN Ketari

MALAYSIA DATELINE

Langkah kerajaan Pahang meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang bagi melantik lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tambahan mengundang implikasi kepada kos perbelanjaan tahunan kerajaan negeri, demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari Young Syefura Othman.

Katanya, jika diambil kira elaun ADUN sahaja adalah RM800,000 setahun dan apabila ditambah dengan peruntukan yang diterima oleh ADUN Kerajaan ketika ini akan menelan belanja berjumlah lebih RM3 juta setahun.

“Saya menolak pindaan ini dan mempersoalkan rasional Kerajaan Negeri Pahang untuk melakukan pindaan ini kerana Kerajaan Negeri Pahang yang dipimpin oleh BN dan MN adalah jelas sangat kukuh.

“Untuk beberapa PRU yang akan datang juga Kerajaan Negeri Pahang akan kekal kukuh terutamanya dengan kerjasama Muafakat Nasional,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah beliau turut membidas tambahan perbelanjaan seperti ini adakah wajar dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu seperti sekarang.

“Ingin saya nyatakan, apabila saya meminta peruntukan ADUN Pembangkang dinaikkan sebanyak RM20,000 kepada RM50,000, ini telah mendapat tentangan pihak Kerajaan.

“Sedangkan tambahan RM20,000 setahun ini hanyalah sekitar RM1,700 setahun dan ini memang untuk kegunaan dan kebajikan rakyat Negeri Pahang sendiri.

“Jumlah tambahan RM20,000 ribu setahun bagi 9 orang ADUN Pembangkang hanyalah RM180,000.

“Ini telah ditentang, namun lantikan ADUN yang akan menelan belanja tambahan sekitar RM3 juta pula diluluskan.

“Sedia maklum bahawa ADUN lantikan ini nanti kawasan dan rakyat yang perlu mereka wakili, jaga dan berikan perkhidmatan,” katanya.

Kerajaan Negeri menyatakan bahawa ADUN lantikan ini akan dilantik dalam kalangan minoriti.

Namun katanya, tiada klausa yang menyebut bahawa ADUN lantikan ini akan dilantik dalam kalangan kumpulan minoriti rakyat di dalam pindaan enakmen tersebut seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Keanggotaan Dewan Negara yang melantik wakil-wakil mereka.

“Adalah mengecewakan jika pindaan ini hanya akan digunakan sebagai ganjaran politik kepada mana-mana pihak dan tidak memberi sebarang kebaikan kepada rakyat Negeri Pahang, malah merugikan,” tegas beliau.

Hari ini Kerajaan Negeri Pahang meluluskan pindaan terhadap Enakmen Undang-Undamg Tubuh Kerajaan Pahang untuk membenarkan pihak Kerajaan melantik 5 ADUN tambahan.

Usul tersebut dicadangkan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan diluluskan dengan suara majoriti tanpa kehadiran pembangkang, apabila tujuh Adun DAP dan seorang dari PKR bertindak keluar dewan sebagai tanda bantahan.

Apa jadi dalam Amanah?

Ramieza Wahid

Tindakan dua anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Amanah di Selangor beralih arah ke PKR di Selangor mungkin hanya sebahagian kecil daripada masalah yang lebih besar dalam parti itu.

Perkara itu dikatakan mempunyai kaitan, jika tidak pun pergolakan dalaman, dengan isu hala tuju parti sama ada cenderung kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim atau Pengerusi Parti Pejuang Tanah Dr Mahathir Mohamad.

Ia antaranya dikaitkan dengan pertemuan Mahathir, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah pada 29 Oktober yang dikatakan membincangkan isu “kerajaan perpaduan”.

Mohamad enggan mengulas lanjut manakala Mahathir pula berkata ia cuma “pertemuan biasa antara rakan”.

Tambahan lagi pertemuan itu berlaku selepas Tengku Razaleigh mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selepas Anwar mempersembahkan dokumen sokongan bagi membentuk kerajaan baru.

Seorang pemimpin PKR Selangor memberitahu Malaysiakini, tindakan pemimpin kanan Amanah yang dilihat pantas membela Mahathir ketika diserang tetapi “perlahan” ketika Anwar berdepan perkara sama membuatkan rasa tidak selesa sesetengah anggota dan pemimpinnya.

Perkara itu, dakwanya, antara sebab yang membawa kepada peralihan arah Adun Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dan Adun Sabak Ahmad Mustain Othman kepada PKR.

Bagaimanapun, dalam kes Mustain, katanya, agak berbeza apabila dia dikatakan menjadi mangsa spekulasi dan dakwaan pro-Perikatan Nasional (PN).

“Tapi Mustain (tetap) dengan PH. Sebab lepas dipecat dia pergi ke PKR, bukan Bersatu,” katanya.

Selepas Fakhrulrazi dan Mustain...

Pemerhati melihat dilema itu sebelum ini tidak menjadi isu memandangkan Mahathir dan Anwar sama-sama berada dalam satu gabungan.

Sumber-sumber Amanah memberitahu Malaysiakini, kepimpinan parti itu sekarang tidak menutup terus pintu kepada Mahathir, walaupun komited dengan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar.

Bagaimanapun, pihak dalam Amanah yang dilihat rapat dengan Anwar pula dikatakan lebih selesa membuka lembaran baru tanpa Mahathir.

Dilema inilah yang dikatakan menyebabkan Fakhrulrazi dan Adun Sabak Ahmad Mustain memilih PKR sebagai parti baru.

Selain mereka, dua lagi wakil rakyat Amanah - Adun Morib Hasnul Baharuddin dan Adun Hulu Kelang Saari Sungib (bawah) - turut dikaitkan dengan spekulasi itu tetapi menafikannya.

Bagaimanapun tidak jelas sama ada terdapat lagi beberapa pemimpin dan wakil rakyatnya yang akan beralih arah ke PKR.

Naib Presiden Amanah, Husam Musa pada September lalu turut dikaitkan dengan spekulasi akan meninggalkan Amanah dan menyertai PKR tetapi dia menafikan perkara itu.

Sementara itu, pemimpin-pemimpin Amanah yang dihubungi Malaysiakini memberikan reaksi berbeza susulan konflik parti itu.

Seorang pemimpin kanan parti serpihan PAS itu memberitahu tiada pergolakan dalaman, tetapi cuma dalam isu pendekatan politik.

"Tiada masalah dalaman dalam Amanah. Hanya ada (pihak) yang nak paksa Amanah pilih Anwar dan tolak Mahathir.

"Amanah merasakan walaupun kita pilih Anwar tak semestinya kita tolak atau serang Mahathir. Kita serang PN," kata seorang pemimpin kanan Amanah kepada Malaysiakini.

Permintaan dalaman

Dia mendedahkan terdapat permintaan dalaman supaya mereka bersikap lebih keras terhadap Mahathir yang kini membentuk blok bebas bersama Warisan Sabah pimpinan Shafie Apdal.

"Maka pihak yang nak cuba paksa kami tolak dan serang Mahathir, timbulkan kekeliruan di kalangan ahli, dengan menuduh Amanah pro-Mahathir.

"Sedangkan kami pro-Anwar tetapi tidak anti Mahathir. Kita anti-PN kerana kami pembangkang dan PN kerajaan," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin (atas), pula berkata tiada konflik dalaman kerana ketetapan telah dibuat.

"Sejujurnya tiada. Kepimpinan Amanah di peringkat nasional sebulat suara dengan pendirian memperkukuhkan PH dan Anwar," katanya.

Turut senada, Ahli Jawatankuasa (AJK) Amanah Nasional, Faiz Fadzil.

"Sekiranya ada alasan yang mengatakan Amanah berbeza pandangan berkaitan pencalonan PM, Amanah telah tegaskan daripada awal, pilihan parti adalah Anwar.

"Sokongan ini telah pun diberikan di hadapan Yang di-Pertuan Agong semasa Langkah Sheraton dan sejurus pengumuman oleh Anwar 23 September lalu," katanya lagi.

Pendirian sama turut dinyatakan oleh anggota Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin.

Malaysiakini telah menghubungi Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dan masih menunggu maklum balas mereka.

Muhyiddin terus disakat?

Mohsin Abdullah

Ketika artikel ini ditulis, FMT melaporkan Presiden Ummo, Ahmad Zahid Hamidi, yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata soal sokongan majoriti kepada pentadbiran Muhyiddin Yassin mesti dirungkai dan Dewan Rakyatlah pentas terbaik untuk tentukan kestabilan politik.

Zahid dipetik berkata demikian semasa membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Perdana Menteri Muhyiddin tidak pernah mengumumkan secara rasmi angka sokongan terhadap beliau di Dewan Rakyat. Lalu kita terpaksa melakukan kira-kira sendiri atau “do the math” untuk tahu berapa ramai ahli Parlimen yang menyokong beliau.

Umpamanya, Julai lalu ketika Muhyiddin membentangkan usul untuk menukar speaker Parlimen (untuk “mengeluarkan” Mohamad Ariff Md Yusof). Kita tahu selepas pengundian, usul itu diluluskan dengan kemenangan tipis.

Seramai 111 ahli Parlimen menyokong manakala 109 menentang. Ketika itu 2 ahli Parlimen tidak mengundi. Kedua-duanya wakil kerajaan. Lantas disimpulkan Muhyiddin ada 113 ahli Parlimen menyokongnya.

Yang menentang seperti dikatakan tadi ialah 109. Berdasarkan itu Muhyiddin dilihat memegang majoriti 4 dalam Parlimen yang mempunyai 222 ahli. Majoriti 4 amat tipis untuk menarik nafas lega.

Itu pada Julai. Adakah perkiraan itu masih boleh digunakan? Apatah lagi baru-baru ini ahli Parlimen Gerik mewakili Barisan Nasional meninggal dunia. 

Apa pun golongan penentang untuk sekian lama mahu menguji sejauh mana Muhyiddin ada sokongan. Mereka berhasrat membawa usul tidak percaya terhadap perdana menteri.

Dr Mahathir Mohamad ada berbuat demikian. Walaupun usul diterima speaker lama, Ariff, ia tidak dibentang apabila speaker baru, Azhar Azizan Harun, tidak memberi kesempatan kerana kata beliau, mengikut peraturan persidangan, urusan kerajaan mesti diberi keutamaan.

Pada sesi Dewan Rakyat yang berlangsung sekarang diberitakan ada 25 ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Seperti yang semua maklum jika usul itu berjaya Muhyiddin terpkasa letak jawatan kerana beliau tidak mendapat sokongan majoriti.

Dalam pada itu, diberitakakan juga ada 2 usul undi percaya untuk menyokong Muhyiddin yang dikemukakan kepada speaker. Yang mengemukan usul berkenaan ialah ahli Parlimen BN, Shahidan Kassim, dan ahli Parlimen PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Umno kita tahu tidak berada dalam Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin walaupun beberapa orang kanannya ada dalam kerajaan. PAS berada dalam Muafakat Nasional bersama Umno dan juga duduk dalam PN bersama Muhyiddin dan partinya, PPBM.

Berbalik kepada ucapan Zahid tadi seperti yang dilapor FMT. Kata beliau, sama ada terdapat usul percaya atau sebaliknya hendaklah diuji di Dewan Rakyat dan jika ini tidak dapat dilakukan kerana kekangan peraturan mesyuarat, sesuatu mesti dipersesuaikan dengan urusan kerajaan mesti diutamakan.

Oleh itu, Zahid mencadangkan “biarlah kerajaan yang menjadikannya sebagai urusan kerajaan”. Gesaan itu mendapat sokongan seorang lagi ahli Parlimen BN, Ahmad Maslan.

Dalam erti kata lain, mereka mahu kerajaan sendiri yang membawa usul percaya itu.

Tetapi perlu diingat pakar perlembangaan kerap mengingatkan usul tidak percaya dengan usul percaya sama sahaja. Bezanya cuma nama. Kedua-dua menyaksikan perdana menteri diuji di Parlimen. Kedua-duanya membawa risiko terhadap perdana menteri. Oleh kerana angka sokongan majoriti terhadap Muyiddin tidak dapat dipastikan, risikonya amat tinggi. Kedua-dua usul boleh menyaksikan beliau terpaksa melepaskan jawatan perdana menteri.

Bagi usul tidak percaya, Muhyiddin mesti kalahkan usul itu untuk kekal perdana menteri. Dalam hal undi percaya pula, Muhyididn mesti menang untuk terus jadi perdana menteri. Seperti dikatakan tadi kedua-duanya meletakkan beliau dalam situasi diuji.

Matlamat usul undi tidak percaya jelas. Namanya menceritakan segala-galanya. Namun usul percaya walaupun bertujuan menyokong, boleh juga diibaratkan satu usaha “sokong bawa rebah”.

Teringat pula saya akan perkataan “sakat”. Melakukan “sakat” bolehlah disebut “menyakat”. Menurut kamus Melayu, takrif “menyakat” ialah mengusik supaya menjadi takut, menangis, dan lain-lain. Ia juga membawa erti mempersenda dan mengejek.

Tidak tahu lah saya jika gesaan Zahid yang disokong Ahmad supaya kerajaan sendiri yang bawa usul undi percaya untuk Muhyiddin boleh dianggap “menyakat”?. Allahu a’lam. Adakah kerajaan akan membawa usul itu?

Apa pun Muhyiddin tetap berdepan dengan kedudukan amat tidak menyenangkan apabila Belanjawan 2021 melalui proses pengudian di Parlimen.

Kegagalan Belanjawan 2021 diluluskan Parlimen boleh menyaksikan Muhyiddin melepaskan jawatan.

Adakah ahli Parlimen khususnya pembangkang akan bertindak tidak menyokong Belanjawan 2021? Saya bukan “ahli nujum” dan tidak punyai gelok jampi Pak Belalang untuk tilik-menilik.

Kita tahu Yang di-Pertuan Agong mahu Belanjawan 2021 disokong semua pihak – ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang – dan diluluskan demi kebaikan dan kesejahteraan negara.

Seperti yang saya tulis pada artikel saya awal bulan ini, walaupun Agong bertitah demikan ia boleh membawa makna “the onus” atau menjadi tanggungjawab kerajaan khususnya perdana menteri memastikan Belanjawan 2021 benar-benar memberi kebaikan kepada rakyat yang kini dilanda kesusahan akibat wabak Covid-19.

Adakah belanjawan itu memenuhi hasrat itu? Jika jawapannya tidak, adakah tindakan tidak menyokong boleh dianggap sebagai mengingkari nasihat Agong?

Kita sudah lihat dan dengar rungutan pelbagai pihak terhadap “kelemahan” belanjawan yang dibentangkan.

Beberapa ahli Parlimen termasuk mereka yang mewakili Umno kelihatan seolah-olah tidak terlalu teruja menyokongnya. Melainkan cadangan mereka (untuk memperbaiki belanjawan) diterima.

Mungkin itu mendorong Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz memberi peringatan bahawa gaji penjawat awam, pekerja kesihatan, dan agihan wang tunai akan tertangguh jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan Dewan Rakyat.

Tampil peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah menyatakan gaji penjawat awam masih boleh dibayar jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan dengan memberi dalil yang saya tidak berhasrat mengulanginya di sini.

Kata beliau, ahli Parlimen “bertanggungjawab tidak menyokong belanjawan jika cadangan mereka tidak diterima dan aspirasi pengundi tidak dipenuhi”.

Respon Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim ialah kenyataan menteri kewangan berbaur ugutan dan percubaan untuk mengenepikan “suara majoriti”.

Pengundian untuk Belanjawan 2021 dijadual 25 November ini. Lazimnya ahli Parlimen mengundi mengikut pendiran atau arahan parti. Adakah amalan ini akan diteruskan?

Ahli Parlimen BN, Tengku Razaleigh Hamzah, yang mengganggotai Dewan Rakyat selama 11 penggal sejak 1974 berkata, undi Belanjawan 2021 ikut naluri bukan ikut parti.

“Kami mengundi berdasarkan kehendak pengundi. Jika mereka kata putih, kami pilih putih,” kata beliau.

Berkata pula ahli Parlimen Amanah, Salahuddin Ayub – mengingatkan kerajaan supaya “surrender” atau menyerah kalah secara aman jika gagal mendapat sokongan mencukupi untuk Belanjawan 2021 diluluskan.

Apa akan jadi 25 November ini? Kalaulah kita ada gelok jampi Pak Belalang

PRU15: PAS tak kerjasama dengan Umno jika tanpa Bersatu - Annuar

Umno kini tidak lagi ada pilihan untuk bertanding dalam PRU akan datang hanya bersama PAS sebagai sekutu, seperti rancangan awalnya dahulu, menurut setiausaha agung BN Annuar Musa.

Katanya, ini memandangkan PAS bertegas bahawa Umno mesti turut menjadi rakan sekutu dengan Bersatu.

“Dalam kajian kita, Umno dan PAS ada kekuatan sendiri dan memang boleh menang (dalam PRU akan datang).

“Tapi tanya PAS, adakah PAS boleh menerima idea hanya Umno dan PAS dan tinggalkan Bersatu?

“Pilihan ini tidak wujud. […] PAS berpegang pada dasar Umno, PAS dan Bersatu hendaklah bersama,” katanya dalam temu bual bersama Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan malam tadi.

Annuar mendakwa PAS menyatakan pendirian itu dengan jelas dalam mesyuarat Muafakat Nasional (MN) Rabu lalu.

Selepas kerjasama antara Umno dan PAS membuahkan kemenangan di beberapa PRK selepas PRU 2018, kedua-dua parti itu memeterai kerjasama Muafakat Nasional pada September 2019.

Penganalisis politik malah berpandangan jika Umno dan PAS berganding bahu dalam PRU akan datang, mereka mampu menyingkirkan Bersatu yang diketuai Muhyiddin Yassin dan merampas Putrajaya.

Bagaimanapun, PAS kini merupakan antara ahli Perikatan Nasional gagasan Bersatu. Usaha turut dilakukan untuk membawa Bersatu dalam Muafakat Nasional secara rasmi.

Umno bagaimanapun dilihat berselisih dengan Bersatu apabila parti itu mendakwa tidak mendapat layanan dan penghormatan sewajarnya sebagai parti terbesar dalam gabungan PN yang membentuk kerajaan Persekutuan.

Pun begitu, kata Annuar, naratif itu adalah rekaan semata-mata.

“Itu cerita rekaan...Separuh daripada kabinet adalah (daripada) BN...Apa benda yang kita buat dalam kerajaan kita boleh buat, dan kita boleh ambil tanggungjawab.

“Tapi mengapa nak reka cerita kita tak dilayan dengan baik?” soalnya.

Menurut Annuar, Umno telah menerima struktur kabinet tersebut ketika menyertai kerajaan pada Mac, justeru dia mempersoalkan mengapa suara tidak puas hati timbul selepas itu.

Dia turut menyifatkan Umno ada kala terperangkap dalam superiority complex (kompleks tinggi diri), dan lupa bahawa ia tewas dalam PRU lalu.

Dia berkata keputusan untuk bekerjasama dengan Bersatu adalah keputusan bersama parti itu,  dalam usaha untuk menolak kerjasama dengan presiden PKR Anwar Ibrahim dan DAP.

Berkenaan jawatan timbalan perdana menteri daripada Umno pula, dia berkata parti itu harus jelas sama ada tuntutan itu dibuat mewakili parti atau untuk kepentingan individu tertentu.

Soalnya, apakah Umno mahu Muhyiddin mungkir janji untuk tidak melantik pemimpin yang berdepan tuduhan rasuah di mahkamah dalam kerajaan, atau apakah ia mahu mengabaikan pendirian presiden Ahmad Zahid Hamidi untuk membersihkan namanya di mahkamah.

“Kalau tak mahu semua itu, bagitahulah demikian,” katanya.

Muafakat Nasional bukan penyatu Melayu

USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN

Berbeza parti politik tidak bermakna orang Melayu berpecah. Bagi orang parti cap agama, setelah wujud Muafakat Nasional (MN), orang Melayu dianggap sudah bersatu, tidak lagi berpecah. Bagi parti itu, MN penyatu Melayu.

Orang Melayu tidak berpecah kerana berbeza parti politik. Jika berbeza parti politik dianggap berpecah, maka sampai kiamat orang Melayu tidak bersatu. Cuba beritahu, semenjak bila orang Melayu pernah bersatu jika logik lebai parti cap agama dipakai?

Katakan orang Melayu dalam MN ada sejuta orang, bagaimana dengan 20 juta orang Melayu di luar MN? Takkan sejuta orang dianggap bersatu sementara 20 juta orang dianggap berpecah? Matematik apa lebai guna?

Penyatuan orang Melayu tidak berlaku melalui MN kerana dalam konteks bernegara, penyatuan berlaku dalam kalangan orang Melayu bahkan dalam kalangan rakyat melalui penghayatan Rukunegara.

Jika orang Melayu menghayati Rukunegara, dalam parti manapun orang Melayu berada, mereka bersatu. Dakwaan kononnya orang Melayu bersatu dengan kewujudan MN adalah dongeng yang dibawa oleh pemimpin parti cap agama untuk menghalalkan keselingkuhan parti itu dengan kleptokrat.

Setelah lebai jual agama, kononnya kalau parti cap agama jadi kerajaan hudud akan dibuat, penyebab kematian Adib akan ditangkap, pramugari diwajib tutup aurat dan RUU 355 dipinda, dan jualan itu nampaknya tidak laku, lebai beralih jual Melayu pula.

Konon-kononnya parti cap agama pimpinan lebai menyatukan orang Melayu, padahal lebailah hakikatnya pihak yang menjahanamkan Melayu melalui fahaman takfiri.

Lebai lupa itu semua? Bukankah dulu lebai lawan Umno kerana kononnya Umno parti asabiah Melayu, kini lebai tampil jadi pejuang Melayu pula?

Sudah-sudahlah lebai bermain dengan retorik Melayu dan agama. Orang Melayu tidak berpecah kerana berbeza parti politik dan MN bukan penyatu orang Melayu.

Bahkan orang Melayu tidak perlukan MN untuk bersatu kerana orang Melayu berada dalam negara yang punya Rukunegara.

Parti cap agama sudah kehabisan modal politik. Gayutan mereka kepada Muhyidin semakin rapuh, menunggu masa untuk runtuh. Sementara boleh bertongkat, disambarlah sana-sini pelbagai tongkat dan tongkat terakhir adalah tongkat Melayu.

Kesian orang bukan Melayu dalam parti cap agama. Di depan mereka lebai bercakap soal kemanusiaan merentas bangsa, tetapi di belakang mereka lebai mainkan sentimen Melayu.

Saranan Ku Li supaya Umno mengkaji hubungan politik dengan parti cap agama merumuskan bahawa Ku Li tahu sandiwara politik parti itu.

Ku Li bukan kenal parti cap agama sehari dua macam lebai yang baru masuk parti itu tahun lepas, tapi Ku Li sudah masak dengan sandiwara lebai parti itu.

Belanjawan Melayu Islam tetapi peruntukan untuk tahfiz menurun

SITI NUR ZAWANI MISCON

Belanjawan 2021 dianggap sebagai ‘belanjawan pilihan raya’ yang lebih menumpu kepada usaha mencari sokongan masyarakat Melayu Islam sehingga mengenepikan kebajikan untuk masyarakat bukan Islam.

Biarpun begitu kata Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, peruntukan untuk sekolah-sekolah agama dan tahfiz jauh lebih rendah di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dengan penglibatan Pas sebagai kerajaan.

Beliau berkata, PN yang berbangga dengan gelaran kerajaan Melayu Islam, tidak mampu menandingi belanjawan yang diperuntukan semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

“Ketika kerajaan berkata mahu membantu Bumiputera, Melayu dan Islam, peruntukan untuk sekolah agama dan tahfiz jauh lebih rendah dalam Belanjawan ini berbanding peruntukan ketika PH yang Menteri Kewangannya dituduh dengan pelbagai kata nista kerana dia adalah pemimpin DAP.

“Semasa Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, RM100 juta diperuntukan. Tetapi PN yang mempunyai Pas sebagai pemerintah, hanya memperuntukkan RM29 juta sahaja,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Turut serta adalah Naib Presiden AMANAH, Hasanudin Yunus dan Mohamed Hanipa Maidin.

Sementara itu Khalid berkata, dengan jumlah belanjawan sebesar RM322.5 bilion, rakyat Malaysia berharap peruntukan dapat diagihkan secara adil tanpa mengira bangsa dan agama.

Jelasnya, meskipun bantuan bumiputera kebiasaannya melebihi bantuan pihak lain, namun masalah dan kesukaran masyarakat bukan Islam sewajarnya diambil kira oleh kerana semua pihak pastinya sedang terjejas.

“AMANAH amat setuju kerajaan peruntukan sejumlah wang tertentu bagi membantu orang perseorangan atau mana-mana institusi Bumiputera Islam.

“Namun belanjawan ini dilihat belanjawan pilihan raya yang mensasarkan undi dan sokongan Melayu dengan peruntukan besar, sambil mengabaikan hak dan keperluan bukan Islam. 

“Sedangkan mereka juga rakyat Malaysia dan pembayar cukai kepada kerajaan. AMANAH anggap kaedah ini tak bertanggungjawab dan bersifat pecah belah,” katanya.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, prinsip keadilan dan kasih sayang merupakan dua tunjang penting dalam Islam yang sewajarnya mendasari apa jua tindakan dalam mengagihkan bantuan.

Malangnya kata Khalid, Perikatan Nasional yang berbangga dengan gelaran kerajaan Melayu Islam gagal menghayati prinsip keadilan terhadap semua melalui belanjawan yang diperuntukkan

Menurutnya, sikap kerajaan bukan sahaja akan menghasilkan kemarahan dan kebencian antara kaum, ianya akan turut mencemarkan imej Islam kerana ketidakadilan dilakukan atas nama Melayu Islam.

“Saya hanya minta tangguh 10 hari, mereka datang roboh dengan jentolak”

MALAYSIA DATELINE

“Saya hanya minta tangguh 10 hari, mereka datang roboh dengan jentolak”
Jentera  berat digunakan untuk merobohkan rumah Omar Abdullah di Kampung Tok Kaya.

Selepas isu perobohan sebahagian rumahnya di Kampung Tok Kaya oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, pemiliknya membuat penjelasan bahawa beliau hanya memohon penangguhan 10 hari sahaja tetapi dirobohkan juga dengan jentera berat.

Pemilik rumah itu, Omar Abdullah mengaku, memang ada Pejabat Tanah Kuala Terengganu memberikan peringatan agar merobohkan bahagian yang menganggu kerja-kerja pembinaan jambatan untuk jalan baru di situ.

“Saya tak nafikan memang benar dah ada peringatan dari pejabat tanah berkenaan ada sadikit lagi bangunan rumah saya itu termasuk dalam tanah yang diambil itu laluan paip air bawah tanah.

“Saya angkur dan faham serta telah pun menjalankan kerja kerja pembuangan bahagian atas bangunan tetapi belum siap sepenuhnya disebab masalah tenaga buruh dan cuaca hujan.

“Dan saya tidak terfikir lansung sedrastik begitu tindakannya kerana keadaan tidak terdesak manapun….telah masuk hari ke 4 dah hari ni tak ada buat apa pun lagi,” kata beliau dalam penjelasan melalui facebook beliau.

Rumah teres dua tingkat milik Omar telah dirobohkan bahagian dapornya dengan menggunakan jengkaut telah mengakibatkan kerosakan yang tidak sedikit untuk beliau dan keluarga.

Ekoran lawatan Datuk Raja Bahrin Shah, Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu ke rumah Omar baru-baru ini, ia telah menjadi polemik masyarakat setempat.

Raja Bahrin, bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mengkritik cara MBKT dan Pejabat Tanah mengendalikan perobohan itu.

Ekoran isu itu, sebuah NGO Pas membantahnya dengan berkata, pemilik rumah itu telah diberikan pampasan oleh kerajaan negeri bagi membolehkan jalan KT-Bypass itu diteruskan pembinaannya.

Menurut Omar, beliau akur dengan keperluan perobohan itu tetapi beliau memerlukan masa 10 hari lagi untuk merobohnya sendiri.

Katanya, beliau telah pun bertemu dengan pekerja paip tersebut dan dia menyatakan tidak terdesak sangat untuk dirobohkan serta merta.

“Sementara saya siap roboh kawasan yang dikehendaki itu mereka (Tukang Paip) akan menyambung kerja tempat lain dahulu.

“Dan saya telah berjanji tidak akan menyusah tukang paip itu dan beritahulah kepada bila bila masa je nak buat bahagian rumah saya.

“Itu sebab yang saya minta tempoh 10 hari lagi untuk menerus kerja kerja tertinggal tersebut. Permintaan ini atas ehsan kemanusian, saya ada keluarga dan keperluan berkeluarga dalam rumah ni,” kata Omar dalam penjelasan itu.

Menurut Omar, kawasan yang nak diambil sadikit sahaja. Tetapi kerosakan akibat dari perobohan dengan jentolak itu telah habis melibatkan sehingga kepada ruang dapor, aliran letrik terputus dan kerosakan-kerosakan lain juga.

“Sehingga kini dapor rumah tak boleh guna,” kata beliau menjelaskan apa yang berlaku ekoran tindakan merobohkan dapur rumah beliau dengan jentera berat itu.

Beliau berharap, penjelasan ini dapat meredakan kata mengata yang beliau terima selepas tersebar cerita tentang perobohan rumah itu.

“Biarlah kami sekeluarga merasa peritnya setahun lebih dah makan debu projek, jalan becah dan gegaran dalam rumah akibat beratus patang piling menerjah perut, tetapi untuk sadikit belas kasihan kemanusian tidak dihirau….

“Yaa ..Allah kepada jua aku berserah kerana Engkau lah sebenar yang lebih mengetahui,” kata Omar.

Shahidan terdesak pertahan belanjawan, kata Shahrir

ARIF ATAN

Pemimpin veteran Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menganggap Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai amat terdesak mempertahankan Belanjawan 2021.

Menurutnya, panggilan pengkhianat oleh Shahidan di Dewan Rakyat, hari ini berlaku ketika Bersatu sebagai pendukung utama PN penuh sarat dengan ‘pengkhianat’.

Terdahulu, Shahidan pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 siang tadi menganggap Ahli Parlimen yang menolak Belanjawan 2021 sebagai mengkhianati rakyat.

“Betul-betul terdesak sangat Datuk Shahidan Kassim sehingga tak sokong Belanjawan 2021 dah boleh jadi pengkhianat.

“Dan dia pula MP (Ahli Parlimen) BN. BN bukan dalam PN pun. Jadi, macam mana dia boleh jadi pengerusi ‘backbenchers’ Perikatan Nasional,” tempelak Shahrir di Facebook beliau tadi.

Bekas Pengerusi Felda itu juga menegaskan kesemua ahli Parlimen Bersatu sudah lazim mengkhianati rakan-rakan dan perjuangan asal mereka.

“Sekarang Shahidan pula guna istilah ‘pengkhianat’ terhadap mereka yang tidak sokong Belanjawan 2021,” tempelak bekas Ahli Parlimen Johor Bahru tersebut.

Abang kepada pemimpin AMANAH, Khalid Samad itu juga menyertakan tagar (tanda pagar) “BN berjaya bina negara” dan “muafakat lebih baik dari terikat”.

Belanjawan 2021 dijangka diundi di Dewan Rakyat minggu depan dengan sokongan 43 ahli Parlimen BN diperlukan Muhyiddin untuk Belanjawan 2021 diluluskan.

Pada masa ini kerajaan PN atau kerajaan tebuk atap seperti disebut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya mempunyai majoriti dua kerusi di Dewan Rakyat.

Tidak faham sikap politik AMANAH atau sengaja dikelirukan?

ZAKARIA MUSA

Tulisan saya mengenai kesatuan pembangkang, khususnya Pakatan Harapan, mendapat banyak reaksi. Artikel itu dilihat semacam mempersoalkan kewibawaan Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang dan pengerusi PH.

Apabila disorot kembali peranan Dr Mahathir Mohamad semasa membentuk grand coalition menjelang PRU14, ada penyokong Anwar yang tersentap. Agak ramai pendukung kedua-dua tokoh “yang berlaga angin” itu begitu mudah terusik jika nampak gambaran seperti mahu membandingkan keupayaan kedua-duanya.

Mahathir berpengalaman menjadi perdana menteri, sebanyak dua kali, selama 24 tahun. Anwar pula dipancung kemaraannya selepas lima tahun berada pada kedudukan no. 2 dan sempat dua bulan memangku jawatan tertinggi kerajaan. Hubungan akrab bertukar tegang melalui pusingan roda, tinggal misteri; rasanya hanya mereka yang arif pergolakan sebenar, orang lain sekadar menduga.

Tumbangnya kerajaan Perikatan-BN buat pertama kali sejak enam dasawarsa juga disumbangkan oleh faktor Mahathir-Anwar. Namun, runtuhnya pentadbiran PH pada penghujung Februari 2020, selepas 22 bulan mentadbir, juga berpunca daripada isu peralihan kuasa Mahathir-Anwar yang tidak berjaya diuruskan dengan baik. Malah, kegagalan merebut semula Puterajaya daripada Muhyiddin Yassin pun disebabkan pertelingkahan berterusan Mahathir-Anwar, meskipun Perikatan Nasional diasak perpecahan serius.

Tiada siapa dapat menafikan usaha serius pembangkang untuk memartabatkan semula mandat rakyat seperti ditunjukkan dalam PRU14. Beberapa opsyen telah dikemukakan, dan masa mencukupi diberikan bagi mendapatkan “cukup bilang”. Selain nama Mahathir dan Anwar muncul sebagai calon perdana menteri, Presiden Warisan, Shafie Apdal turut tersenarai.

Faktor Mahathir-Anwar menyumbang kerajaan Perikatan-BN buat julung kali sejak 60 tahun lalu.

Dalam situasi PH tidak sejitu dahulu, manakala keanggotaannya berkurangan kepada tiga parti teras — PKR, AMANAH dan DAP — kumpulan penyokong Mahathir pula dilihat semakin menjarakkan diri daripada “grand coalition”. Kenyataan Mahathir yang berterusan merendahkan wibawa Anwar tentu sekali mengundang reaksi yang boleh dijangka. Sasaran beralih arah. Bidasan dan sindiran pedas di antara penyokong Mahathir-Anwar memenuhi media sosial.

Tergambar seolah-olah tiada lagi kepercayaan dua kelompok itu. Situasi seperti mengulangi zaman gelora 1998-99. Hujah rasional “tolak ke tepi”. Masing-masing berpegang kepada keyakinan sendiri. AMANAH dan DAP tersepit di tengah-tengah. Pemimpin kedua-dua parti itu dilihat cuba mencari jalan tengah, atas prinsip “tidak menambah musuh dan berusaha meramaikan kawan”. Ada yang cuba menjadi pendamai. Namun begitu, tugas mulia tapi sukar itu sering ditafsirkan secara salah. Mereka dilabelkan “bermain dalam dua kolam”.

Pemimpin-pemimpin utama AMANAH menerima bukan sedikit teguran dan kecaman. Mereka dituduh “meroyan” gilakan kuasa yang terlucut susulan langkah pengkhianatan. Isunya tetap sama, perbalahan berkaitan faktor Mahathir-Anwar. AMANAH dianggap tidak menyokong Anwar secara total; parti Islam itu juga seperti keberatan untuk melemparkan kritikan keras terhadap Mahathir. AMANAH tidak mahu menambah seteru politik di kala pembangkang memerlukan sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan. Memang segalanya nampak sukar dan payah, tetapi jalan mati jangan dicari.

Sebagai anggota PH, AMANAH tetap berpegang dengan ketetapan mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri. Kini tidak timbul lagi polemik Mahathir untuk mencuba nasib perdana menteri buat kali ketiga. Cuma, hubungan baik yang sedia terbina, termasuk di kalangan Pejuang dan Warisan, perlu terus dipertahan.

Malah di peringkat awal semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong sejurus tumbangnya kerajaan PH hujung Februari lalu, nama Anwar — bukannya Mahathir — dicadangkan sebagai perdana menteri. Ia bukti AMANAH sentiasa berpegang dengan konsensus dan keputusan mesyuarat. Dan ia tetap terikat dengan pilihan-pilihan yang dikemukakan dalam perbincangan PH seterusnya.

Balik kepada keperluan mendesak memperkukuh PH dalam setiap keadaan, terutama berdepan dinamika politik dan suasana ketidak-tentuan sekarang. Sebagai pengerusi PH, Anwar tidak wajar dilihat mengetepikan pandangan sikap rakan-rakan komponen terutama ketika berusaha mendapatkan sokongan daripada ahli parlimen di luar gabungan.

AMANAH tidak mahu menambah seteru politik di kala pembangkang memerlukan sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Menggembleng sokongan wakil rakyat Umno memang diakui umum termasuk dalam pilihan yang tidak dapat dielak walaupun ia bukannya sesuatu yang ideal. Apatah lagi apabila ada keretakan di antara Anwar dan Mahathir. Sedangkan jika digabungkan kedua-dua kelompok itu pun, “cukup bilang” tidak dapat dicapai; masih kurang 3-4 kerusi seperti dibuktikan dalam pengundian belah-bahagi. Inikan pula apabila Anwar tidak mendapat sokongan kumpulan Mahathir.

Demi mengembalikan kuasa yang “dirompak di tengah jalan” dan memartabatkan semula mandat rakyat, setiap pilihan akan dicermati dahulu. Pastinya apa jua opsyen dan kemungkinan perlu diteliti secara bersama dalam mesyuarat PH. Persepsi umum dan sikap penyokong tradisi, selain unjuran untung-rugi politik, wajar menjadi perkiraan dan pertimbangan utama.

Perkembangan pesat teknologi maklumat dan proses pendemokrasian yang kian meluas menyerlahkan respons segera masyarakat terhadap isu-isu politik. Media sosial dilambakkan dengan pelbagai pandangan. Penyokong setiap kelompok bebas meluahkan isi hati; ada yang masih menjaga sensitiviti, tetapi tidak kurang pula bebas menyindir dan menyerang. Bukan sekadar penyokong, malah aktivis dan yang bertaraf pimpinan turut melontarkan reaksi terbuka. Situasi ini memerlukan kematangan dan keterbukaan, serta tidak mudah membuat kesimpulan umum. Ruang awam sudah berbeda.

PH perlu mengharungi segala cabaran dan dinamika politik dengan urutan keutamaan yang tidak mudah dipesongkan. Elakkan atau tutup rapat potensi untuk saling syak wasangka. PRU14 mengajar tentang kesatuan dan perpaduan. Sedia berkorban demi mencapai cita-cita perjuangan yang lebih tinggi. Parti-parti yang berbeda tentu mempunyai kerencaman yang kompleks. Namun, ia diikat dengan solidariti, setiakawan dan berkongsi idealisme sama. Pengukuhan dan persefahaman PH adalah isu kritikal yang tidak boleh diremehkan.

Usah biarkan beberapa perbedaan pandangan meretakkan asas kekuatan yang dibina sekian lama. Jangan sia-siakan persahabatan yang terjalin sejak lebih 20 tahun lalu hanya kerana suara berlainan yang timbul di kiri-kanan perjalanan berliku ini. Biar kritikan keras diluahkan pemerhati, namun barisan pemimpin PH tetap berpegang dengan ketetapan bersama. Kita sudah lalui masa-masa sukar dan perit bersama; mendaki gunung menuruni lembah. Mengapa perlu menyerah kalah di penghujung kembara ini?

Malang sekali, kini pemimpin AMANAH yang membuktikan semangat setiakawan bersama rakan sekutu sejak Pakatan Rakyat lagi, dicurigai hanya kerana mahu kekal berbaik dengan parti atau individu tertentu. Ia ditohmah dengan prasangka yang bukan-bukan. Jika tidak dibendung, PH yang sedia mengecil itu boleh terjejas kemampuannya berdepan PRU15 nanti. Mungkin rakyat menjadi keliru melihat pertelingkahan berterusan parti pembangkang, meskipun menyedari kegagalan kerajaan Perikatan Nasional menguruskan negara selama sembilan bulan ini.

Ada pihak yang cuba melaga-laga sesama pimpinan AMANAH serta dengan pihak lain termasuk Anwar dan Dr Mahathir.

Sikap politik AMANAH yang matang, terbuka dan rasional itu juga ditafsirkan sebagai menyokong membuta-tuli Mahathir sekali gus mengetepikan Anwar. Pastinya tohmahan itu tidak berasas sama sekali; semua ahli Parlimen AMANAH menandatangani akaun bersumpah (SD) mencadangkan Anwar sebagai PM. Cuma masih ramai tidak berpuas hati apabila AMANAH tidak membariskan Mahathir dalam senarai seteru politik yang mesti diperangi.

Penjelasan dan siri penerangan telah dibuat berulang kali, tetapi masih timbul kekeliruan, yang mungkin sengaja dicetuskan. Ada pihak tetap tidak berpuas hati selagi sikap AMANAH kelihatan tidak serasi sepenuhnya dengan pegangan mereka.

Kali terakhir, ketika rencana ini ditulis, Pengarah Komunikasi, Khalid Samad, melalui sidang akhbar di Parlimen, tengah hari tadi menegaskan:

“Pimpinan AMANAH sedar ada pihak yang cuba melaga-laga sesama pimpinannya serta dengan pihak lain termasuk Anwar dan Dr Mahathir. Kami sokong Anwar. Tetapi kami berbeza dengan sesetengah pihak. Kita tak serang Mahathir dan tak serang Shafie Apdal dan Warisan.

“Ada orang luar AMANAH nak laga-lagakan kami agar berpecah… ini tak bijak dan tak wajar. AMANAH berusaha agar kumpulan Mahathir dan Shafie akan mengambil pendekatan bersama dalam berhadap dengan Belanjawan 2021 ini.”

Media sosial boleh saja menjadi medan tempur netizen yang berbeda pendapat, namun penggerak dan pemimpin PH diyakini mampu menangani apa jua persoalan berbangkit. Kesatuan “grand coalition” tidak boleh dipertaruhkan. Cabaran baharu sentiasa bersilih-ganti. Kebijaksanaan melihat setiap gugatan itu dalam kerangka besar adalah tuntutan mendesak. Usah hampakan harapan rakyat lagi.

Faktor Mahathir-Anwar menyumbang kerajaan Perikatan-BN buat julung kali sejak 60 tahun lalu.

AMANAH tidak mahu menambah seteru politik di kala pembangkang memerlukan sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Ada pihak yang cuba melaga-laga sesama pimpinan AMANAH serta dengan pihak lain termasuk Anwar dan Mahathir.

Ahli politik makan ikan mentah buktikan tiada risiko Covid-19

FAZLI RADZI

Ahli politik makan ikan mentah buktikan tiada risiko Covid-19

Sanggup menggigit ikan mentah untuk membuktikan bahawa hidupan laut itu tidak membawa risiko jangkitan Covid-19.

Itu yang dilakukan seorang ahli politik Sri Lanka, Dilip Wedaarachchi, 63, yang juga bekas menteri perikanan negara digelar ‘Mutiara Lautan Hindi’ tersebut.

Dia membuat aksi itu di hadapan rakaman kamera video kelmarin dalam usaha membantu meningkatkan jualan ikan ketika pandemik Covid-19 menjejaskan sektor perikanan.

Beribu-ribu tan ikan gagal dijual selepas Pasar Besar Ikan Marker diarahkan ditutup susulan Covid-19 dan mendorong harga ikan terus merosot, lapor Agensi.

Klip video itu menunjukkan Wedaarachchi meletakkan satu beg plastik biru putih di atas meja dan mengeluarkan tiga ekor ikan dipercayai jenis kembung.

“Saya bawa ikan ini untuk tunjuk kepada kamu. Saya mahu memohon kepada orang ramai di negara ini supaya makan ikan. Jangan takut. Kamu tidak akan terkena jangkitan koronavirus.

“Kami akan makan (ikan) ini secara mentah. Saya akan makan dan tunjukkan kepada kamu,” katanya yang menggigit badan ikan tersebut. 

Dia berkata, mereka yang terlibat dalam industri perikanan sebenarnya berdepan kesukaran untuk menjual bekalan ikan masing-masing.

“Orang di negara ini tidak mahu makan ikan lagi dan pemilik bot pula gagal turun ke laut. Mereka kini berhutang kerana tidak dapat menjual (hasil tangkapan) ikan,” jelasnya.

Jualan ikan di Sri Lanka menjunam mendadak selepas satu kluster besar dikesan di Pasar Besar Ikan di luar ibu negara itu sejak bulan lalu.

Penularan di pasar borong utama itu menyebabkan beribu-ribu kes jangkitan sebelum merebak di seluruh negara.

Sri Lanka hari ini mempunyai 18,402 kes positif Covid-19 termasuk 69 kematian.

Bunuh bapa tegur main telefon

Abor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Berang ditegur leka bermain telefon, seorang anak sanggup membunuh bapanya dengan pisau di rumah di Simpang Pertang, 9.30 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, mangsa, Tan Yin Fah, 59, maut di tempat kejadian selepas ditikam suspek pada bahagian depan dan belakang badan.

Katanya selain suspek, ibu mangsa berusia 85 tahun turut tinggal bersama mangsa di rumah berkenaan.

"Siasatan awal, ibu mangsa sebelum itu keluar berjumpa saudaranya berhampiran rumah dan tinggal mangsa bersama suspek sebelum berlaku pertengkaran.

"Mangsa dipercayai memukul belakang suspek dengan kerusi plastik sebelum suspek menikam mangsa dengan pisau," katanya ketika ditemui di sini.

Maslan berkata, selepas menikam mangsa, suspek melarikan diri namun ditangkap 20 minit kemudian sebaik kejadian dimaklumkan kepada polis oleh jiran.

Katanya polis masih menjalankan siasatan dan motif kejadian manakala polis akan membuat permohonan reman suspek esok.

Jiran yang enggan dikenali berkata, pertengkaran mulut kedua beranak itu bukan pertama kali sebaliknya sudah banyak kali berlaku.

"Namun kali ini, tidak sangka pula ia berakhir dengan kematian," katanya.

Shabery sindir Pemuda PAS Terengganu: Tahniahlah!

Ada yang kata i SINAR, pengeluaran akaun 1 KWSP hasil perjuangan mereka. Tahniah lah!

https://www.facebook.com/372948932795326/posts/3493525760737612/?sfnsn=mo

Seorang veteran Umno menyindir Pemuda PAS dalam isu pengeluaran wang pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini.

Dalam kemas kini hantarannya di media sosial, Ahmad Shabery Cheek mengucapkan tahniah kepada pihak berkenaan sambil melampirkan kenyataan ringkas itu dengan pautan kenyataan Ketua Pemuda PAS Terengganu.

"Ada yang kata i-Sinar, pengeluaran Akaun 1 KWSP hasil perjuangan mereka. Tahniahlah!" kata Ahmad Shabery.

Pautan itu merujuk kepada kenyataan panjang Ketua Pemuda PAS Terengganu, Mohd Nasir Abdul Razab.

Dalam kenyataan itu Mohd Nasir mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional kerana "membuat keputusan penting dalam keadaan terbaik".

Katanya tuntutan yang dibuat hanya bernilai RM10,000 sahaja tetapi keputusan yang dibuat kerajaan kemudiannya ialah sehingga RM60,000 bagi pendeposit yang mempunyai caruman melebihi RM90,000.

"Tahniah juga kepada Timbalan Ketua Pemuda Pemuda PAS Malaysia yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas (Ahmad Fahli Shaari) yang dalam ucapannya di parlimen tempoh hari mencadangkan agar moratorium secara bersasar dan pengeluaran wang Akaun 1 KWSP diterima tanpa bersyarat kerana ianya tiada dalam Rang Undang-undang Perbekalan untuk dibincangkan dalam Parlimen.

"Bahkan beliau (Ahmad Fadhli) mencadangkan agar ahli parlimen kerajaan duduk semeja dan bincangkan yang terbaik buat rakyat," katanya.

Komen-komen yang mengiringi hantaran Ahmad Shabery rata-rata mentertawakan Pemuda PAS dan menganggap sayap itu memang pantas mahu mendakwa kebenaran diberikan kerajaan adalah atas usaha mereka.

"Bila dah lulus, masing-masing nak claim.. Bila bagi idea, dibangkangnya," tulis K-Ril ZaRil.

Bunga Teratai pula menulis: "Inilah dinamakan lembu punya susu kambing nak dapat nama." 

Ahmad Shabery merupakan bekas ahli parlimen Kemaman dan pernah mengetuai beberapa kementerian sebelum PRU ke-14

KENAPA PNB YANG JAGA PELABURAN BUMIPUTERA JUAL ASET KEPADA BUKAN BUMIPUTERA?

Shahbudin Husin

Ingatkan bila PN yang kononnya kerajaan Melayu/Islam memerintah negara ini, keadaannya dalam menjaga aset negara tentulah jauh lebih baik berbanding BN atau PH sebelum ini.

Kalau dulu ketika PH memerintah, bila ada saja berita mengenai penjualan aset negara, riuh rendah mereka yang ketika itu menjadi pembangkang bersuara dan mengadu domba.

Tetapi, apa sudah jadi sekarang?

Kenapa PN pun menjual aset negara juga?

Lebih buruk, yang menjual itu pula adalah PNB, sebuah badan pelaburan yang menjaga kepentingan Melayu dan Bumiputera dan telah menjualnya kepada bukan Melayu?

Kenapa dijual kepada bukan Melayu?

Tiadakah Melayu yang mahu membelinya?

Atau pernahkah ia ditawarkan kepada Melayu terlebih dahulu sebelum dijual kepada bukan Melayu?

Akhirnya, di mana suara-suara Melayu/Islam yang selalu bising selama ini?

Kenapa sekarang mendiamkan diri?

Sudah kenyang dan tembolok masing-masing sudah penuh dengan jawatan dan gaji lumayan setiap bulan? (Shahbudindotcom 18/11/2020)

Hantu dalam almari, babi dalam mi kari

LIM HONG SIANG

Andainya khabar angin “daging babi dalam mi kari” tersebar pada zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH), barangkali sesetengah KOL (Key Opinion Leader, atau pemimpin pendapat utama) sudah tidak sabar-sabar untuk mengarang sajak yang bertemakan “Islam Terancam”.

Malah, segelintir NGO mungkin berhempas-pulas dari hulu ke hilir untuk menyemarakkan kempen boikot produk non-muslim.

Bukan kali pertama “fitnah” sedemikian berlaku, tetapi jangan kita berangan-angan bahawa ia adalah kali terakhir. Sama ada taktik ini bertujuan untuk menjahanamkan bisnes pesaing, mahupun untuk mengeruhkan situasi hubungan kaum, ia tetap berkesan untuk mencapai matlamatnya sungguhpun disanggah dengan fakta, walau betapa pantas sekalipun.

Sesungguhnya, pemilik OLD TOWN White Coffee boleh menampilkan bukti secara saintifik, bahawa daging dalam mi kari yang didakwa itu bukan babi, atau tidak mengandungi sebarang DNA babi, malah dibuktikan oleh pakar yang berwibawa sekalipun, ia gagal menghapuskan sepenuhnya kesan fitnah tersebut. Hal ini kerana “fitnah” sebegini beroperasi dengan serangan psikologi, mengambil kesempatan ke atas mentaliti masyarakat sedia ada.

“Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang?” Pepatah ini akan disandarkan sebagai ayat kitab untuk menghalalkan kesangsian pengguna terhadap orang yang difitnah.

Berbuih-buih kita berhujah, dengan logik bahawa tidak masuk akal pemilik yang mahu memaksimakan keuntungan menggunakan daging babi yang lebih mahal untuk menggantikan ayam, akhirnya tetap gagal merungkaikan keraguan yang berserabut dalam otak mereka.

Situasi menjadi lebih keruh seandainya KOL yang berlatar-belakangkan agama juga berkongsi berita sedemikian di media sosialnya, membalutkan riskonya dengan tanda soal. “Daging babi dalam kari mi? Dahsyat betul seandainya berita ini benar…” Sudah tentu kita tidak asing dengan susunan ayat sedemikian.

Taktiknya untuk mempengaruhi pemujanya, yang merujuk KOL sebagai autoriti, “Takkan ustaz pun tipu?” Sedangkan pokok itu bergoyang lantaran ketukan tukul KOL untuk memahat persepsi palsu dalam minda kita. Lebih-lebih lagi, manusia cenderung untuk mencari hujah yang mengiyakan tanggapan sendiri.

Justeru, seandainya satu suasana diwujudkan di mana tiada kepercayaan antara komuniti muslim dengan non-muslim, sudah tentu komuniti muslim akan dipengaruhi untuk mempercayai bahawa “non-muslim menyimpan niat jahat untuk membubuh sesuatu yang tidak halal dalam makanannya”.

Akhirnya, hatinya akan berbisik, “Baik jangan cuba. Kalau boleh elak, baik jangan makan di situ. Takkan tak ada pilihan lain? Bukan darurat pun!”

Hakikatnya, inilah cabaran kita. Fitnah yang dilempar tanpa bukti, sudah tentu lebih mudah dicipta berbanding fakta yang menuntut sokongan bukti.

Tidak sukar untuk A menuduh B terlibat dalam satu skandal, tetapi sukar untuk B pula membuktikan dirinya tidak berada di tempat kejadian ketika skandal berlaku dan sebagainya. Apatah lagi, apabila B menyaman A, dan ditarik balik fitnah tersebut dengan permohonan maaf oleh A, berita ini jauh lebih rendah penyebarannya berbanding ketika fitnah disebarkan.

Tepuk dada tanya selera, siapa daripada kalangan mereka yang menyebarkan video tersebut, sudi memohon maaf setelah dibuktikan khabar itu fitnah semata-mata?

“Bukan untuk tuduh, sekadar peringatan agar kita lebih berhati-hati dengan makanan kita, apa salahnya?”

Bukankah ini sikap mereka yang terkantoi untuk menyebarkan berita palsu? “Saya dah kata, kalau benar berita itu. Kalau tidak, baguslah .…” Bukankah ini dalih-dalih yang digunakan untuk memboloskan diri daripada tanggungjawab?

Di sini cabaran kita. Sungguhpun lebih sukar untuk menyediakan fakta daripada melontarkan fitnah, namun ia masih masalah teknikal yang boleh diatasi.

Cabaran yang lebih sengit, bagaimana kita menangani psikologi dan mentaliti masyarakat kita, yang sentiasa diselubungi keresahan dan kegusaran, dan berpegang kepada nilai yang mungkin berbeza daripada kita?

Misalnya, seorang budak kecil ditakut-takutkan dengan cerita hantu, yang sembunyi di dalam almari. Tidak kira mahu dibuktikan dengan cara saintifik bahawa hantu tidak wujud, mahupun dari segi agama bahawa itu adalah cerita mengarut, ia tetap gagal menghakis rasa seram dalam hati budak kecil itu.

Ini kerana budak kecil itu mempercayai bahawa hantu itu wujud. Maka, apabila pintu almari terbuka kerana longgar, ataupun berayun ditiup angin, ia dijadikan petanda kewujudan hantu dalam almari.

Malah, apabila dibuka almari itu dan didapati tiada hantu di dalamnya, budak kecil itu tetap menganggap ianya kerana kuasa ghaib hantu untuk mengaburi matanya.

Boleh jadi budak kecil itu sudah tidak takut lagi dengan cerita hantu dalam almari apabila dewasa, mereka kini takut dengan babi dalam mi kari.

Ijtihad AMANAH tepat, pertahan Nik Aziz dan Fadzil Noor

IPOH MALI

Bila Adun Meru nak Join PKR dengan merasakan pendirian AMANAH tak betul..Itu hak dia, jika itu pandangan dia. Sesuailah dia bersama PKR.. Tetapi Dun Meru itu milik AMANAH. Boleh bersama PKR..Tapi PRU 15 ia tetap milik AMANAH.

Mungkin dia nak merasai duduk dalam PKR. Satu pengalaman yang baru.. sebab perebutan jawatan, kedudukan dalam PKR jauh lebih teruk dari AMANAH. Contohnya (Adun) Sabak, Ahmad Mustain Othman, hari ini dia ditolak PKR di kawasannya sendiri..Pergi lah.

Aku pula rasa jalan AMANAH tepat. Bersama PH dan bersama gagasan pembangkang. AMANAH tegas Anwar calon PM dari kalangan PH dan tidak bermusuh dengan Tun Mahathbir dan parti lain seperti Warisan..teruskan.. Aku berpandangan ijtihad Mat Sabu dan AMANAH betul dan tepat..jangan berganjak.

Ada orang gila mana menulis Mat Sabu sama dengan Haji Hadi..Silap tu. Jauh dari langit dengan bumi. Mat Sabu tidak pandai menyerang rakan tahaaluf sendiri sejak dulu biarpun Haji Hadi menyerang batang tubuh Anwar, hina Anwar, mainkan sentimen kaum dan agama menyerang DAP…. berbeza Mat Sabu..pendekatan dia cuma mahu damai..dan tidak bekonfrantasi sesama pembangkang..

Itulah manhaj politik Pas di era Ustaz Fadzil Noor dan TG Nik Aziz. Ketika Ulama Pas, Haji Hadi membenci Anwar, dan tidak bersetuju dengan calon Wan Azizah sebagai MB Selangor, Anwar sebagai Calon PM.. ketika itu ulama Pas menyerang DAP.

Ulama Pas dan Haji Hadi tuduh Anwar dan DAP khianat. Tetapi pemimpin AMANAH dalam Pas ini dulu mengambil sifat terbuka kepada Anwar walaupun digelar Anwarinas. Begitulah sikap mereka kepada Tun M hari ini.

Mereka ini lebih pentingkan Islah dan reform sebuah kerajaan sejak dulu, dari sibukkan siapa yang layak jadi PM dari kalangan Pas. Kelompok opportunis tak faham semua ni.

Mereka lahir dari tarbiyah politik Pas, bukan lahir dari politiking Umno yang mengejar kuasa. Jadi itulah Manhaj Politik Pas di era Almarhum Tok Guru Nik Aziz dan Ustaz Fadzil Noor.  Maka Teruskan Ijtihad tersebut.

Best ke jadi gomen tebuk atap yang khianat?

MOHAMED HANIPA MAIDIN

1. Semalam semasa di Parlimen, saya sempat dengar YB Tanjung Karang (Umno) berucap tentang Bajet 2021.

2. Sempat dengar dia perli isu syarat “Puteri Gunung Ledang” yang MP parti ehem sebut sebelum ini. Untuk rekod Umno dan parti ehem dalam Muafakat Nasional.

3. Tanjung Karang kata, bagi dia, isu moratorium dan pengeluaran wang KWSP dari akaun satu ibarat kita kena bagi pelampung untuk nak selamatkan orang yang sedang emas. Orang putih kata inevitable.

4. Saya dan Tanjung Karang ni jarang bersetuju semasa berdebat dalam Parlimen. Tapi yang dia kata semalam tu, saya setuju dengan Tanjung Karang.

5. Cuma tak dengar sama ada dia ada sebut tak fasal Jasa atau tidak.

6. Anyway, saya dok rasa PM Tebuk Atap mungkin bersedia untuk pinda bajet demi survival dan demi nak sedut oksigen sebentar.

7. Tapi tu lah nasib Gomen Tebuk Atap yang KHIANAT ni . Hari ni lepas dari mulut rimau, esok berdepan mulut buaya, esok lepas dari mulut buaya, lusa berdepan mulut ular sawa, lusa lepas dari mulut ular sawa, tulat berdepan dengan mulut naga berapi.

Tak pernah aman sentosa dari hari pertama hingga sat ni. living in fear all the time! Apalah seronok jadi gomen macam tu !..Tu tak kira lagi yang orang maki berlori -lori hari-hari….

Calon kabinet bayangan pembangkang PRU15?

SYAZMIR HARIZ BIN NOORAZALAN

Setelah bermulanya persidangan Parlimen edisi Belanjawan 2021 hujung Oktober lalu, khabar angin bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan semakin kuat.

Persoalan yang ingin dibangkitkan oleh penulis ialah, sudahkah blok pembangkang yang dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai jumlah kerusi paling besar, bersedia menghadapi PRU15?

Banyak aspek teknikal yang harus dipersiapkan oleh PH bagi menghadapi PRU15, antaranya manifesto, agihan kerusi, penyelarasan jentera dan kabinet bayangan pembangkang.

Maka, tergerak hati penulis untuk menulis siapakah calon-calon kabinet bayangan dari blok pembangkang yang akan dipersembahkan kepada pengundi PRU15.

Pastinya ini merupakan aspek utama yang dilihat oleh pengundi selain manifesto dan calon yang bertanding bagi kerusi masing-masing.

AMANAH

Parti Amanah Negara (AMANAH) merupakan parti komponen paling muda dalam PH. AMANAH merupakan parti yang mampu menyaingi Pas, namun disebabkan kehadiran Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu bersama PH, maka kebanyakkan kerusi yang ditandingi oleh Pas semasa Pakatan Rakyat dulu diberikan kepada PPBM dan AMANAH hanya dapat bertanding 27 kerusi sahaja.

Kali ini, PPBM yang tidak bersama PH akan memberikan peluang kepada AMANAH untuk membuktikan bahawa mereka mampu bertempur bersama Pas bagi merebut undi melayu Islam.

Mohamad Sabu merupakan Presiden AMANAH, yang dilantik sebagai Menteri Pertahanan setelah PH berjaya membentuk kerajaan.

Walaupun beliau dipandang rendah oleh segelintir masyarakat dan musuhnya sama ada layak mendapat jawatan tersebut, tetapi bagi penulis atas kapasitinya sebagai seorang presiden parti komponen PH, beliau wajar berada di situ.

Kedua, atas pengorbanan beliau yang sanggup meninggalkan parti lamanya serta kekal istiqamah bersama pembangkang memperjuangkan reformasi negara, beliau harus diberikan penghormatan tersebut.

Jika dikatakan beliau tidak layak dan upaya berada di situ atas masalah pendidikannya, betapa ramai ahli politik yang mendapat jawatan tinggi tetapi kelayakan akademiknya sederhana malah lebih rendah daripada Mohamad Sabu.

Pengalaman yang akan mengajar beliau untuk menjadi seorang pentadbir, hanya kerana beliau berada di Kementerian Pertahanan selama 22 bulan sahaja, keberhasilan atas usahanya tidak begitu nampak.

Jika diberi peluang sehingga habis penggal, penulis yakin beliau akan menjadi menteri pertahanan terbaik yang bukan dari Umno. Beliau wajar mengambil kembali kerusinya yang hilang itu selepas PRU15.

Selain itu, Datuk Seri Salahudin Ayub (Timbalan Presiden), Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (Pengarah Startegik), Datuk Dr. Mujahid (Naib Presiden) dan Ir.Khalid Samad (Pengarah Komunikasi) yang telah diberikan kepercayaan sebagai menteri.

Ada dua nama yang boleh dipertimbangkan oleh AMANAH untuk dinaikkan sebagai menteri Kabinet kelak. Penulis tidak menafikan kehebatan kesemua menteri AMANAH dan timbalan menteri yang telah dilantik semasa PH memerintah selama 22 bulan, mereka berwibawa dan harus dikekalkan dengan penyusunan semula mengikut kemahiran masing-masing.

Adly Zahari yang merupakan mantan Ketua Menteri Melaka telah berjaya menonjolkan kemahirannya sebagai seorang pemimpin negeri. Dalam rencana khas penulis tentang Adly memimpin Melaka, beliau telah berjaya membuktikan bahawa nilai ‘Islam Rahmatan Lil Alamin’ dalam konteks kebajikan dan kepimpinan boleh diaplikasikan.

Peranan beliau selaku ketua menteri telah berjaya mengangkat kedudukan rakyat Melaka pada tahap yang lebih baik dari sebelumnya. Segala usaha beliau telah penulis kumpulkan dalam rencana penulis tentang beliau.

Dengan keupayaan ini, penulis merasakan beliau perlu duduk di posisi Menteri Pembangunan Usahawan, di mana kementerian ini yang dimansuhkan semasa penghujung kepimpinan PM ke-6 dan diwujudkan semula semasa PH memerintah harus mendapat tokoh pemimpin yang segar dengan idea-idea baru.

Usahawan yang ingin dibangunkan nanti pastinya seiring dengan dunia pendigitalan yang baru, haruslah orang separa muda yang berpengalaman memimpin. Cadangan ini pun jika rakyat Melaka mahu melepaskan beliau dari kerusi ketua menteri!

Senator Datuk Husam Musa merupakan antara jururunding utama mewakili AMANAH dalam perundingan bersama parti komponen PH jika ada apa-apa isu berbangkit.

Namun, kekalahan beliau di Kelantan dalam PRU14 menyebabkan beliau menerima jawatan sebagai ahli Dewan Negara dan pengerusi agensi sahaja. Untuk PRU15, Husam perlu masuk ke Dewan Rakyat dan menjadi salah seorang menteri kabinet bersama kepimpinan AMANAH yang lain.

Beliau mampu memimpin sektor ekonomi yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Keupayaannya menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan dalam bidang ekonomi dan kewangan telah memberi pengalaman buat beliau.

Kesusahan kerajaan negeri ketika itu yang dianak tirikan oleh kerajaan pusat telah memaksa Datuk Husam mencari idea yang pelbagai untuk membangunkan Kelantan tanpa kantung duit dari kerajaan Pusat.

Penulis berkeyakinan kemerosotan ekonomi negara kesan pandemik Covid-19 ini akan dipulihkan oleh menteri-menteri yang fokus kepada tugas sebagai menteri.

PKR

PKR merupakan parti paling ramai mempunyai kepimpinan yang baik namun kurang mendapat tempat dalam Kabinet PH selama 22 bulan.

Kali ini, muka-muka mereka harus ditonjolkan dan PKR perlu buktikan bahawa parti pelbagai kaum mampu memimpin negara dalam kerangka Raja Berperlembagaan.

Datuk Saifudin Nasution antara insan yang masih setia bersama PKR. Lihat sahaja semasa beliau memimpin Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, segala penerangan bersandarkan fakta yang jelas tanpa diselitkan agenda politik.

Tokoh politik ini harus ditempatkan di bawah Kementerian Dalam Negeri. Mengapa? KDN merupakan antara kementerian paling berkuasa, menterinya boleh diibaratkan sebagai malaikat maut jika menteri tersebut menggunakan kuasanya untuk meruntuhkan musuh politiknya.

Maka perlulah seorang yang benar-benar berintegriti dan bertindak menggunakan fakta yang jelas. Ini bagi mengelakkan KDN disalahgunakan.

Ahli Parlimen PKR yang telah menjadi menteri Kabinet seperti Dr A.Xavier dan Fuziah Salleh harus dikekalkan dalam Kabinet nanti. Muka-muka baru dalam PKR akan saya ulas dalam rencana bahagian kedua nanti.

DAP

Lim Guan Eng telah dilantik sebagai Menteri Kewangan semasa PH memerintah satu ketika dulu. Kebolehan beliau memimpin Pulau Pinang selama dua penggal telah memberikan keyakinan kepada Tun Dr Mahathir melantik beliau di posisi itu.

Namun, pelantikan beliau telah dimanipulasikan oleh pihak pembangkang menggunakan sentimen perkauman. Isu ini menyebabkan PH terpaksa bersilat untuk mententeramkan keadaan rakyat yang termakan dengan sentimen ini.

Maka tidak direndahkan martabat beliau selaku pemimpin kanan komponen PH jika beliau dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Bukan tidak pernah pemimpin kanan dilantik sebagai menteri MITI, Datuk Seri Azmin Ali juga adalah bayangan TPM Malaysia sekarang memegang portfolio MITI.

Begitu juga Tan Sri Rafidah Aziz memegang jawatan menteri MITI walaupun beliau Ketua Wanita bertaraf Naib Presiden Umno ketika itu. Dengan perubahan ini, sentimen perkauman dapat dikurangkan dan kerajaan yang PH bakal bina kelak lebih stabil.

Selain Guan Eng, Anthony Loke merupakan menteri dari DAP yang mencapai prestasi yang baik selaku Menteri Pengangkutan. Beliau tidak kekok memulakan tugasnya serta melakukan kajian menyeluruh tentang sesuatu isu sebelum dilontarkan kepada masyarakat.

Jika rakyat tidak menyukai beliau kerana wajib memakai tali pinggang keledar di dalam kereta, itu bukan isu ketidakcekapan menteri tetapi itu adalah ketidaksediaan rakyat untuk mengikut peraturan baru.

Isu ini sama dengan isu larangan merokok, ia bukan isu kekurangan menteri, tetapi rakyat belum bersedia untuk diubah. Maka ketegasan yang ada pada Anthony harus menjadi senjata utama beliau duduk di kementerian sedia ada.

Kekalkan beliau di Kementerian Pengangkutan, penulis percaya tempoh yang panjang akan menampakkan kejayaan beliau. Nama-nama lain berada direncana seterusnya.

Blok pembangkang lain

Untuk mencapai prestasi yang baik dalam PRU15, kesemua parti dari blok pembangkang harus bersatu. Mereka harus masuk gelanggang bersama merempuh BN dan PN.

Oleh itu, Warisan merupakan parti terbesar Sabah harus bersama PH dan diberikan tempat dalam Kabinet sama seperti sebelum ini. Datuk Seri Shafie Apdal yang pernah memimpin Sabah serta duduk dalam Kabinet BN antara yang berpengalaman.

Maka Sabah harus diberikan kepada muka baru dan beliau kembali menerajui Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Dengan itu, misi beliau yang ingin terus membangunkan Sabah boleh diteruskan selain dari usaha mengukuhkan kedudukan Sabah di pusat.

Pejuang yang ditubuhkan akibat pengkhianatan Presiden PPBM juga harus bersama PH. Walau apa sekali pun masalah antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir, mereka harus membawa parti mereka duduk bersama.

Percayalah blok ketiga tidak akan mudah untuk menang mana-mana PRU. Jika Tun Dr.Mahathir bersama anaknya Datuk Seri Mukhriz tidak mahu berada dalam Kabinet Anwar, cukup dengan menyatakan kerjasama PRU bersama PH dan menempatkan seorang ahli Parlimennya di dalam Kabinet Anwar.

Ini sebagai bukti bahawa Pejuang memegang pada janji lalu untuk melantik Anwar sebagai PM seterusnya.

Maka pengalaman yang ada pada Ir.Amiruddin Hamzah yang pernah menjadi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah semasa Pas memerintah dan juga sebagai Timbalan Menteri Kewangan semasa PH memerintah kerajaan pusat perlu dimanfaatkan oleh gabungan pembangkang bagi menghadapi PRU15.

Mungkin terlalu kontroversi untuk saya katakan bahawa beliau harus dilantik sebagai Menteri Kewangan kelak. Namun, pelantikan tersebut boleh mengukuhkan sokongan Pejuang kepada Anwar.

Keupayaan beliau mampu digunakan sebaik mungkin untuk memastikan kedudukan kewangan negara kembali pulih.

Calon PM dan TPM

Di mana Anwar akan diletakkan? Sudah semestinya beliau yang mengemudi PH juga insya Allah blok pembangkang dipilih sebagai calon Perdana Menteri (PM). Penulis tidak perlu menghurai banyak tentang Anwar, kerana ketokohannya terlampau banyak diperkatakan dan ia mudah untuk dicari.

Kita tidak sesekali membelakangkan beliau sebagai calon PM kerana beliau pimpinan PH, maka kesetiaan padanya usahlah dipersoalkan.

Apa yang ingin penulis nyatakan kepada mereka yang fobia dengan Anwar ialah berilah peluang kepada beliau untuk berada di posisi tersebut.

Segala hujah yang menyanggah kebolehan beliau tidak akan terbukti selagi beliau tidak ditempatkan disitu. Mungkin apabila beliau disitu, bermulalah sebuah politik baru di Malaysia yang merentas kaum dan agama.

Siapa calon Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari blok pembangkang? Siapa sahaja nama yang telah penulis sebut (kecuali Anwar, Guan Eng, Anthony Loke dan Dr A.Xavier) layak untuk berada di situ.

Namun, semestinya penulis mengharapkan Mohamad Sabu atau Datuk Salahuddin berada di posisi tersebut memandangkan AMANAH parti komponen PH yang paling kanan selain DAP.

Apa-apa pun, blok pembangkang harus bersatu untuk memasuki PRU15. Dan calon PM dan TPM dari blok pembangkang harus ditetapkan sesegeranya.

Semua parti yang mahu bersama PH sebagai sebuah kerjasama politik harus mengisytiharkan keputusan tersebut mulai sekarang.

Semua nama-nama yang dicadang adalah cadangan peribadi penulis, tidak mewakili mana-mana kumpulan.


*SYAZMIR HARIZ BIN NOORAZALAN merupakan penulis Tinta Siyasah juga AJK Biro Komunikasi Pemuda AMANAH Selangor dan Naib Ketua Pemuda AMANAH Gombak.