Adun derhaka tak patut dilantik jadi Exco

MB PERAK MESTI KETEPIKAN ADUN DERHAKA SEBAGAI EXCO KERAJAAN NEGERI

Shahbudin Husin

Hakikat bahawa Pas telah menderhaka kepada Sultan Perak berikutan tindakan tiga Adunnya di negeri itu menolak untuk mengadap sebagaimana telah dititahkan akhirnya terjawab dengan sendirinya.

Jika sebelum ini Pas mempertahankan tindakan tiga Adunnya tidak mengadap itu bukan suatu penderhakaan, kini mereka sendiri bagai cacing kepanasan dibuatnya.

Ia berikutan tiga Adun Pas Perak semalam mengadakan sidang media secara mengejut untuk memohon ampun secara terbuka kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah atas kegagalan mereka mengadap baginda sebagaimana dititahkan pada Selasa lalu.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, beliau dan dua Adun lain mengakui ‘kekhilafan’ mereka kerana tidak mengadap baginda sepertimana telah dititahkan.

“Sehubungan dengan itu, PAS Perak juga akan mengutuskan surat bagi menzahirkan permohonan keampunan kami,” kata Razman pada sidang media ringkas berkenaan perkara tersebut.

Maknanya, dengan memohon ampun kepada Sultan Perak, Pas dengan sendirinya mengakui mereka telah melakukan penderhakaan

Jika tiada penderhakaan, mengapa dan untuk apa mereka memohon keampunan?

Dalam hal ini, tanpa keraguan lagi bahawa tindakan tiga Adun Pas berkenaan yang lebih akur kepada arahan parti berbanding titah Istana adalah suatu penderhakaan yang jelas lagi nyata.

Ada keputusan atau tidak berhubung kemelut politik Perak, apabila datang titah mengadap daripada Istana, keutamaan menjunjung perintah Raja tidak boleh tidak, sepatutnya mestilah sentiasa didahulukan.

Dalam waktu yang sama, Presiden Pas, Haji Hadi Awang juga dilaporkan turut mengutus surat kepada Istana Perak untuk beliau memohon mengadap Sultan Nazrin.

Dalam suratnya, Haji Hadi menjelaskan, tujuan mengadap itu adalah untuk menyembah maklum situasi politik di Perak yang melibatkan pendirian Pas.

Adalah jelas bahawa dengan hasrat mahu mengadap ini juga memperlihatkan Hadi Awang sendiri mengakui kekhilafan tiga Adunnya tidak datang mengadap itu merupakan suatu penderhakaan.

Jika tiada penderhakaan dan bukan untuk memohon ampun, mengapa dan untuk apa juga Hadi Awang mahu mengadap Sultan Perak?

Tambahan lagi, dengan Saarani Mohamad sudah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, kemelut politik di Perak boleh dikira sudah berakhir dan tiada keperluan lagi untuk mana-mana pihak mengadap Sultan Nazrin.

Dalam hal ini, walaupun Menteri Besar ada menyebut soal perlantikan Adun Pas sebagai Exco Kerajaan Negeri bergantung kepada perkenan Sultan Perak, tetapi beliau seharusnya bertindak lebih proaktif daripada itu.

Sebagai bukti menjunjung kasih dan mendaulatkan institusi Raja, Saarani tidak harus sama sekali menamakan Adun Pas untuk dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Perak.

Walaupun lima Exco sudah dilantik dan lima lagi bakal dinamakan tidak lama lama, nama Adun Pas tidak wajar dilantik langsung mengisi baki lima kekosongan yang ada.

Tidak kira sama ada permohonan ampun itu diterima oleh Sultan Perak atau sebaliknya, Saarani harus menunjukkan bukti awal l yang memperlihatkan ada pengajaran diberikan kepada tiga Adun Pas berkenaan.

Melengah-lengahkan perlantikan arau menunggu mereka itu diampun baru beliau mahu memenuhkan kouta perlantikan Exco hanya menunjukkan Saarani seolah-olah cuba memberi tekanan kepada Sultan Perak.

Maka, cara terbaik ialah sama ada diberi keampuan atau tidak, Adun Pas mesti dikecualikan daripada dilantik mengisi jawatan pentadbiran negeri kerana mereka yang pernah ada rekod derhaka sebenarnya tidak layak sama sekali memegang jawatan Exco Kerajaan Negeri. (Shahbudindotcom 12/12/2020)

Exco Pemuda Umno pemilik pertama motosikal paling mahal di dunia

 MALAYSIA DATELINE

Exco Pemuda Umno pemilik pertama motosikal paling mahal di dunia

Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin (tengah)

Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berjaya menjadi pemilik pertama motosikal palinga mahal di dunia, Ducati Superleggera V4.

Exco Pemuda Umno itu telah menempah superbike yang berharga RM888,000 itu pada awal tahun dan sepatutnya diserahkan kepadannya pada suku ketiga tahun ini.

Namun disebabkan pandemik COVID-19 penyerahan motosikal termahal terpaksa ditangguh pada hujung tahun ini.

Buat masa ini hanya seunit sahaja motosikal jenis ini di bawa ke Malaysia.

Ducati Malaysia turut melancarkan model berkenaan sebelum berakhirnya tahun 2020.

Pada awal tahun ini Ducati memperkenalkan model Edisi terhad Superleggera V4 pada peringkat gobal yang menjadi superbike paling mahal dalam jenama berkenaan.

Harga ia paling mahal kerana segala kommponen yang dipasang pada superbike itu adalah terhad serta menggunakan gentian karbon.

Superleggera V4 ialah satu-satunya motosikal di dunia dengan bingkai, swingarm dan rim daripada gentian karbon serta hanya terhad 500 unit sahaha dengan kod #001.

Motosikal yang diserahkan kepada Nazir Hussin memiliki nombor kod 210/500

Setiap unit didatangkan dengan sijil, nombor bersiri dan nombor casis dipaparkan pada kepala hendal dan kunci penghidup.

Anwar disaran bakar SD MP BN&PN dan ‘move on’

Bakar SD dan ‘move on’, penyokong tegur Anwar jangan berharap pada wakil rakyat bertukar-tukar sokongan

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Ketua pembangkang digesa ‘bakar’ akuan sokongan Ahli Parlimen kepadanya dan tumpu kepada pengundi bagi pilihan raya umum ke-15, mengatakan Pakatan Harapan tidak patut berharap pada wakil-wakil rakyat yang bertukar-tukar sokongan ikut situasi.

Kumpulan penyokong Anwar Ibrahim, Otai Reformis, menggesa presiden PKR jangan membuang masa dengan dakwaan sokongan wakil rakyat untuk membentuk kerajaan baharu, lebih-lebih lagi daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

“Kita mula tertanya-tanya bilakah masanya PH akan berhenti berharap belas ehsan Ahli Parlimen PN-BN untuk ‘cross-over’,” kata setiausahanya, Abdul Razak Ismail.

Sekalipun presiden PKR itu mempunyai jumlah SD secukupnya untuk menubuhkan kerajaan, tiada jaminan sokongan wakil rakyat BN dan PN boleh diharapkan, seperti yang ditunjukkan dalam kemelut politik di Perak.

“Sewajarnya Anwar bakar sahaja SD itu dan mula turun ke negeri untuk bertemu pimpinan setempat dan ‘move on’,” katanya.

Razak juga mengingatkan Anwar yang kegagalan beliau menyediakan 15 Ahli Parlimen untuk sokong undian belah bahagi bagi menentukan sokongan Dewan Rakyat kepada Belanjawan 2021 di peringkat dasar memberikan persepsi “the game is already over”.

“Ia semakin jelas apabila peruntukan 22 kementerian lulus satu persatu di peringkat jawatankuasa tanpa banyak halangan setakat ini,” katanya.

Razak berkata PKR, DAP, dan Amanah perlu bekerjasama dengan pembangkang lain untuk menghadapi PRU-15, dan menambah PH sewajarnya sudah mengerakkan jentera di peringkat bahagian dan cawangan.

“PKR dan Amanah harus berbincang untuk ambil alih kawasan yang dimenangi PPBM dan kumpulan pro Azmin Ali,” katanya, merujuk kepada bekas timbalan presiden PKR yang berhijrah ke PN.

“Tumpu untuk rampas semula 11 kawasan Parlimen yang PKR menang tetapi ‘lari’ mengikut Azmin.”

Razak berkata, PH perlu mengambil peluang daripada situasi antara UMNO dan PPBM.

“Pergeseran UMNO-PPBM akan berlarutan hingga PRU-15. Sabotaj-mensabotaj akan berlaku antara dua parti itu.”

Harakahdaily ditegur Istana Perak kerana tidak beradap

MALAYSIA DATELINE

Jurucakap Istana Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini menegur portal Harakahdaily agar belajar lebih beradab dalam menjunjung adat Negeri Beraja-Rakyat Bersultan.

Ini berikutan portal milik Pas itu menyiarkan gambar Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria yang setanding dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Jangan sampai disama tarafkan kedudukan seorang Adun dengan darjat seorang Raja Pemerintah.

“Nasihat saya kepada Ketua Pengarang Harakahdaily, belajarlah lebih beradab dalam menjunjung adat NEGERI BERAJA – RAKYAT BERSULTAN.

“Bila meletakkan gambar; jangan sampai disama tarafkan kedudukan seorang ADUN dengan darjat seorang Raja Pemerintah,” tegas beliau yang juga Ahli Dewan Negara Negeri Perak di laman Facebooknya.

Pas hilang Exco selepas tidak dengar nasihat yang betul, kata Istana Perak

MALAYSIA DATELINE

Pas hilang Exco selepas tidak dengar nasihat yang betul, kata Istana Perak
Annuar Zaini mengulas kegagalan Pas untuk mendapat jawatan exco Perak

Pas kehilangan jawatan Exco Perak selepas tidak mendengar nasihat yang betul, kata Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, jurucakap Istana Perak.

“The price for not listening to the right advice (Harga kerana tidak mendengar nasihat yang betul),” tulis Annuar menerusi facebook beliau ketika mengulas berita Pas mungkin hilang jawatan Exco Perak selepas ingkar perintah Sultan Perak agar menghadap baginda.

Annuar sentiasa menjadi jurucakap Istana Perak ketika krisis pembentukan kerajaan Perak yang baharu selepas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dijatuhkan dengan undi percaya oleh Umno.

Menurut laporan media, Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Saarani Mohamad menghantar lima nama untuk dilantik sebagai kumpulan pertama Exco Perak iaitu tiga dari Umno dan satu masing-masing dari Bersatu dan Pas.

Namun dilaporkan, hanya nama dari Umno dan Bersatu diterima tetapi tidak dari Pas.

Selepas kejatuhan Datuk Seri Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak, Istana telah memanggil kesemua wakil parti politik untuk menghadap baginda Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Namun tiga Adun Pas membatalkan upacara menghadap Tuanku Sultan Perak pada jam 3 petang pada 8 Disember lepas walaupun diperintahkan berbuat demikian oleh Sultan pada waktu itu.

Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria mengakui mereka tidak akan menghadap sultan pada waktu yang ditetapkan.

“Ya (batal),” katanya semasa diminta mengesahkan perkara itu.

Selepas menyedari kesan dari tindakan mereka itu, iaitu tidak mendapat jawatan Exco Perak itu, semalam ketiga-tiga Adun Pas itu mengutus surat memohon ampun dari baginda.

“Kami dengan rasa rendah hati menzahirkan permohonan ampun kepada Sultan Perak atas kekhilafan tidak menghadap sebagai mana titah ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan pada Selasa, 8 Dis pukul 3 petang,” tulis Razman Zakaria, Pesuruhjaya Pas Perak dalam satu kenyataan semalam.

Sebelum itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengutus surat memohon untuk menghadap dan memohon ampun dari baginda.

Tidak menghadap Sultan Nazrin, akhirnya Pas mohon ampun

MALAYSIA DATELINE

Kerana tidak menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah seperti mana dititahkan pada Selasa lalu, akhirnya Pas Perak meminta ampun kepada baginda.

Atas kekhilafan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Pas itu, Pesuruhjayanya Razman Zakaria berkata, parti itu sentiasa menjunjung tinggi institusi kesultanan negeri Perak dan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi terhadap Sultan Nazrin.

“Kami dengan rasa rendah hati menzahirkan permohonan ampun kepada Sultan Perak atas kekhilafan tidak menghadap sebagai mana titah ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan pada Selasa, 8 Dis pukul 3 petang,” katanya dalam satu kenyataan.

Razman, yang juga ADUN Gunung Semanggol berkata beliau dan dua lagi wakil rakyat PAS Perak iaitu Mohd Akmal Kamarudin (Selama) dan Mohd Khalil Yahaya (Kubu Gajah) akan mengutus warkah secara rasmi bagi memohon maaf kepada Sultan Nazrin.

Terdahulu, ketiga-tiga Adun Pas ini membatalkan cadangan mereka untuk menghadap Sultan Nazrin Shah, di Istana Kinta 8 Disember lalu walaupun pada awalnya mereka bercadang berbuat demikian.

Dilaporkan cadangan menghadap dibatalkan “atas arahan pucuk pimpinan.”

Bagaimanapun Razman berkata Pas tidak menghadap Sultan Nazrin kerana mereka belum ada sebarang keputusan untuk dipersembahkan.

Ha ha ha: Walaun dan walauntit sudah sedia sekat air sungai Muda

Saya boleh kerah orang kampung sekat Sungai Muda, seloroh MB Kedah


Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor secara berseloroh mengatakan bahawa dia boleh meminta orang kampung menyekat air dari Sungai Muda di negeri itu sekiranya kerajaan Pulau Pinang masih enggan membayar caj air mentah terbabit.

“Besok kita alirkan Sungai Muda itu ke tempat lain, kalau orang kampung saya kata belat (sekat) sungai, alih sungai itu pi (ke) tempat lain, hampa (kerajaan negeri Pulau Pinang) nak sedut ayaq (air) di mana?

“Haa boleh pi sampai tara (setakat) itu lah kalau mahu, saya kerah orang kampung suruh boh (letak) pasir dalam guni belat sungai di Pinang Tunggal.

“Lepas pada Pinang Tunggal, intake kita yang terakhir, lepas itu bila semua kering, hampa boleh pi mengaga (cari) ikan (darat) di Sungai Pulau Pinang,” katanya seperti dipetik Berita Perdana RTM semalam.

Sebelum ini, Sanusi menegaskan bahawa kerajaan Pulau Pinang tetap perlu membayar caj air mentah dari Sungai Muda yang mengalir ke negeri itu, kerana sumber berkenaan perlu sentiasa dipulihara.

Tambahnya, kawasan tadahan air di negeri ini perlu dijaga sebaik mungkin bagi memastikan sumber air sentiasa mencukupi bagi bekalan bukan sahaja untuk rakyat Kedah, malah termasuk Perlis dan Pulau Pinang.

Dia berkata demikian untuk mengulas kenyataan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) pada 12 Ogos 2017, yang mengemukakan lapan sebab Pulau Pinang tidak perlu membayar caj air mentah, yang kembali ditularkan di media sosial sejak dua hari lalu.

Antara sebab yang dikemukakan ialah Skim Air Sungai Muda dibuka secara rasmi oleh Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein pada 9 Nov 1973, tidak menyebut mengenai caj air mentah.

Manakala, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow turut berkata pihaknya tidak akan membayar caj air mentah kira-kira RM50 juta setahun sebagaimana yang dituntut oleh kerajaan Kedah.

Ha ha ha: Kalau tak derhaka kenapa perlu minta ampun dari Sultan Perak

Tiga Adun PAS mohon ampun pada Sultan Perak

Tiga Adun PAS Perak memohon ampun secara terbuka kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berikutan kegagalan mereka menghadap baginda pada Selasa lalu.

Pada sidang media di Ipoh hari ini, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, dia dan dua Adun lain mengakui 'kekhilafan' mereka kerana tidak menghadap baginda seperti mana dititahkan.

"Sehubungan dengan itu PAS Perak juga akan mengutuskan surat bagi menzahirkan permohonan keampunan untuk kami," kata Razman pada sidang media ringkas berkenaan.

Razman bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada Adun PAS akan dilantik dalam barisan exco negeri.

Pada Selasa lalu, Sultan Nazrin Shah memanggil menghadap Adun Bersatu dan PAS ke istana negeri.

Satu-satunya Adun yang hadir ke istana negeri ialah Adun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, yang merupakan ahli Bersatu.

Ini akibatnya pilih si pandir jadi pemimpin

Shahbudin Husin

Sungai Mekong tu, mula dari Tibet, bawak ke China, jadi sempadan China-Myanmar, Myanmar-Laos, Thailand-Laos, masuk ke Laos, kemudian ke Kemboja, sampailah ke Vietnam.

Ada pernah dengar Tibet mintak duit sebab bekalkan air sungai kat mana-mana negara tu?

Air sungai ni kita sebut sebagai ‘semula jadi’. Maksudnya kau tak perlu keluarkan belanja pun memang dia dah ada mengalir dari zaman ke zaman, dengan syarat kau jagalah kawasan tadahan air tu iaitu hutan.

Tapi disebabkan ada Menteri Besar paling bebal dalam sejarah peradaban negara, boleh pulak dia gertak nak sekat air sungai tu dari masuk ke negeri lain sebab tak nak bayar caj bekalan air mentah. Dia ingat sungai bila disekat boleh berhenti macam tu je ke?

Habis tu nak alirkan ke mana? Rumah nenek dia? Nak ubah masuk ke sungai lain? Kau nak bagi penduduk tepi sungai tu mampos tiba² air sungai naik mendadak?

Nak ubah aliran sungai ke tempat lain semata-mata tak nak air sungai tu lalu kat Penang punya pasal, agaknya dia nak ‘bina’ sungai baru la. Biar padan muka tak ada sungai yang lalu negeri tu.

Kos ambil alih tanah, tender nak korek, nak bina tebing sekian-sekian mungkin menelan belanja sampai RM5 bilion. Siapa suruh Penang degil sangat tak nak bayar RM50 juta. Hasil REE pun dah RM43 trilion, apa sangatlah RM5 bilion tu kan. Bijak sungguh kepala otak Menteri Besar hangpa.

Hairan sungguh aku, sesama negeri dalam negara yang sama pun boleh bergaduh bab air sungai. Dengar ke negara luar jadi bahan ketawa je.

Bila pemimpin tu buat kenyataan bodoh, janganlah ikut sekali bebal dia tu. Hairan aku bila baca komen, “Terbaik MB tegas”, “Jangan bagi muka dengan geng-geng sepet”. Tegas dengan bangang tu jauh beza tau. Apa yang seronok sangat dapat sekat air ke Pulau Pinang? Habis tu kau ingat penyokong, pentaksub parti kau tak ada kat negeri tu?

Sokong janganlah sampai taksub, ada otak tu guna untuk berfikir, bukan apa je yang keluar dari mulut pemimpin parti sokong bulat-bulat. Yang salah cakap salah. Tapi apakan daya memang dah didoktrinkan macam tu. Wala’ katanya.

Pulau Pinang tegur supaya jangan buat pembalakan di Ulu Muda tu supaya ekosistem tak terganggu. Jangan sampai air sungai tu tercemar dan Tasik Ulu Muda tu jadi kering sebab hutan berdekatan yang bekalkan air tu dah kena balak sampai licin.

Tasik Ulu Muda tu sumber air utama ke tiga negeri, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Kalau keringlah tasik tu, jangankan Penang, orang Kedah pun mampos takde sumber bekalan air. Jadi apa yang kau ego sangat tak boleh terima bila jiran tegur supaya jaga elok-elok sumber air yang ada dalam negeri kau?

Kerisauan tu wajarlah sebab rekod parti tu mentadbir memang teruk bab jaga alam sekitar. Kau tengok Kelantan cukup dah. Sebab tak jaga sungai-sungai semula jadi yang bekalkan berjuta-juta gelen air sehari, sampai sekarang masalah air kat negeri tu tak selesai.

Takkan tak pernah nampak dengan mata kau sendiri berapa banyak air terutamanya di Sungai Kelantan yang mengalir ke laut setiap hari? Tapi kenapa air tu tak boleh guna jadi sumber bekalan air bersih untuk rakyat Kelantan? Sebab dah tercemar la.

Bila berlaku pembalakan di kawasan padalaman, air tu dah tercemar daripada kawasan hulu lagi, bila dah lalu di pekan-pekan dan bandar-bandar makin teruk disebabkan pencemaran sampah, kumbahan, sisa industri dan sebagainya.

Yang kau nampak warna air sungai tu macam ‘teh beng’ tu sebab pembalakan la. Apa yang kau bodoh sangat susah nak faham?

Sembang ‘Islam’ kat mulut je. Tak tau belajar agama macam mana alih-alih yang dia galak nak potong tangan, nak sebat, nak rejam, nak pancung orang je. Berlambak-lambak ayat dalam al-Quran tentang pentingnya jaga hutan, jaga sumber air, jangan buat kerosakan atas muka bumi tak praktikkan pun.

Kredit: Nur Hadi Muhammad

Menang macam tak menang!

MOHAMED HANIPA MAIDIN

1. Pagi ini tiada sidang Parlimen (tiada sidang pada hari Jumaat), tak ada perbicaraan di mahkamah (masih belum berhasrat untuk hidupkan sijil amalan (practising certificate -PC) dan belum ada program pagi ini (malam ini insyaAllah kena berada di Shah Alam, ada Sinar live anjuran akhbar Sinar Harian), maka cuba bermesra dengan alam..baru nak belajar bercucuk tanam.

2. Baru tahu bila mata memandang sayuran yang ditanam mula tumbuh, rasa teruja dan keluarlah lafaz subhanallah.

3. Jika di dalam Parlimen, lebih mudah lidah bergerak lafaz astaghfirullah bila lihat dan dengar aksi yang pelbagai misalnya dengar hujah lucu dan pelik setengah YB yang sibuk kira berapa kali gomen tebuk atap yang KHIANAT menang undi belah bahagian. Kenapa lucu dan pelik?

Ya lah. Dah beberapa kali mereka menang undi belah bahagian dalam dewan, yang lucu dan pelik depa masih tak berani nak benarkan usul undi tak percaya (votes of non confidence) dibentang, dibahas dan diundi di Parlimen.

Begitu juga dah mula banyak menang PRK sebelum tebuk atap, awat lah tak mahu tunggu PRU 15. La ni baru sibuk melatah nak bubar parlimen dan buat PRU.. Apa lah punya samdol!

Bila semalam PH++ alhamdulillah dapat 100 undi dan ramai juga YB yang tak hadir, lagilah depa makin kecut walau mereka menang semalam.

4. Saya tertanya “Apa lah bestnya jadi gomen dengan KHIANAT mandat rakyat dan mungkin dimaki hari-hari, apalah bestnya menang undi tapi masih takut dan kecut perut, apalah bestnya jadi PM, menteri dan timbalan menteri, tapi hari hari risau dan bimbang gomen tebuk atap bila bila boleh runtuh! Itu baru “azab” khianat di dunia! .

No worry, be happy!

Pengajaran dari tragedi politik 2020

LIM KIT SIANG

Krisis politik di Perak telah berakhir dengan pelantikan Menteri Besar baharu dari Umno.

Apakah pengajaran yang dapat diambil dari krisis politik Perak yang berlangsung selama enam hari ini?

Pertama, krisis Perak ini mungkin merupakan krisis politik terakhir pada tahun 2020, yang telah menyaksikan banyak krisis politik, bermula dengan Langkah Sheraton pada bulan Februari tahun ini yang menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan yang sah dan menggantikannya dengan pemerintahan pintu belakang Perikatan Nasional yang tidak sah, kepada Pilihan Raya Negeri Sabah yang mencetuskan gelombang ketiga wabak Covid-19 yang masih belum dapat disurutkan, kemudiannya disusuli dengan kontroversi pengundian Belanjawan 2021 di Parlimen pada 26 November, dan akhirnya, krisis politik di Perak.

Tetapi kita harus kembali kepada Pilihan Raya Umum ke-14 yang bersejarah pada 9 Mei 2018 yang menggulingkan pemerintahan Barisan Nasional yang kelihatan kebal dan rejim kleptokrat Perdana Menteri Najib Razak.

Selepas 9 Mei 2018, kepimpinan Umno telah obses dengan hanya satu objektif — untuk memulihkan hegemoni Umno dalam politik Malaysia dengan menyalah-gunakan era maklumat untuk melancarkan kempen fitnah dan berita palsu yang berbahaya dan beracun untuk menjadikan orang Melayu di negara ini percaya bahawa hak, kedudukan, dan masa depan mereka dipertaruhkan kerana DAP berkuasa di Putrajaya.

Kempen ini hanyalah fitnah semata-mata — bahawa kononnya DAP adalah anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja dan bahawa DAP adalah kuasa yang mengawal kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan sedangkan kerajaan Pakatan Harapan adalah satu kerajaan gabungan yang berteraskan prinsip konsensus.

Umno telah bekerjasama dengan Pas untuk memperluaskan kempen beracunnya dengan menggunakan politik perkauman dan keagamaan, kedua-dua parti ini berjaya akhir Disember 2018 apabila mereka berjaya menunggang cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD) dengan menghasut dan menimbulkan kerisauan orang Melayu sedangkan DAP tidak tahu apa-apa mengenai cadangan ratifikasi ICERD ini.

DAP telah dimomokkan dan digambarkan sebagai anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja kerana kononnya menerajui usaha ratifikasi ICERD, sedangkan semua itu adalah kerja Menteri Luar Negeri ketika itu, Saifuddin Abdullah.

Selama 32 bulan, propaganda penipuan dan fitnah Umno dan Pas — yang disertai oleh Bersatu dalam 10 bulan yang terakhir — dirancang untuk mencapai kemuncaknya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 untuk menghasut perasaan dan kemarahan orang Melayu bagi membolehkan Umno untuk mengembalikan status hegemoninya, yang pastinya akan menghumban Malaysia ke arah sebuah negara yang gagal, sebuah kleptokrasi dan kakistokrasi.

Perkara ini akan menyebabkan masyarakat majmuk di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum, bahasa, budaya dan agama semakin terpisah jauh dan mungkin akan menyebabkan mustahil untuk rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum, agama, dan politik untuk bersatu memandangkan negara kita akan berada dalam trajektori untuk menjadi sebuah negara yang gagal, sebuah kleptokrasi dan kakistokrasi.

Hanya semalam, Pengarah Urusan dan Ketua Bahagian Ekuti bank pelaburan antarabangsa Credit Suisse Malaysia, Stephen Hagger memberikan amaran bahawa Malaysia akan mengalami kesusahan sekiranya pemimpin dan tokoh politik yang korup terus mampu berjalan bebas daripada tuduhan rasuah.

Hagger mengatakan penurunan taraf kredit negara baru-baru ini oleh agensi penilaian kredit Amerika Syarikat Fitch Ratings adalah contoh perkara ini.

Bekas Pengerusi CIMB dan abang kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazir Razak berkata dalam Ceramah Kepimpinan Alumni Chevening baru-baru ini:

“Sistem ini (Sistem Dasar Ekonomi Baharu yang dirangka pada tahun 1970-an) tidak lagi sesuai untuk tujuannya dan Malaysia sangat memerlukan sistem baharu. Saya akan menyerahkan kepada para sejarawan untuk berdebat mengenai bila dan mengapa sistem ini merosot. Tetapi sejak Krisis Kewangan Asia pada akhir tahun 1990-an kita mengalami kelembapan ekonomi, semakin berpecah sebagai sebuah komuniti, dan terus-menerus kehilangan bakat terbaik kita, dan ketinggalan berbanding dengan negara-negara yang baru maju seperti Indonesia dan Vietnam dalam mendapatkan pelaburan asing.

“Revolusi Perindustrian ke-4 hanya akan menggandakan masalah ini yang tidak memanfaatkan bakat terbaik mereka, menyukarkan usaha untuk menarik pelaburan berkualiti yang hanya akan memenuhi kepentingan peribadi dan status quo: Di mana inovasi dan keusahawanan disekat.”

Pagi semalam, Sultan Perak bertitah bahawa mengangkat sumpah Menteri Besar Perak ketiga sejak Pilihan Raya Umum ke-14 adalah cerminan kegagalan dalam Dewan Undangan Negeri Perak.

Baginda Sultan mengingatkan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri bahawa mereka dipilih hanya kerana kepercayaan yang diberikan oleh rakyat.

Titah Baginda, rakyat telah memilih mereka untuk menjalankan amanah untuk berkhidmat dan meningkatkan ekonomi serta memenuhi keperluan sosial mereka.

“Rakyat jelata, terutama dalam kalangan berpendapatan rendah dan miskin, rakyat yang semakin ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan akibat pandemik COVID-19.

“Doa rakyat yang merasakan diri mereka teraniaya tidak ada dinding untuk dimakbulkan Ilahi, janganlah rakyat dianiayai kerana dipengaruhi emosi berdendam dan pemikiran politik yang jumud,”

Malaysia di persimpangan jalan

Sekiranya kita kekal dalam trajektori menjadi kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara yang gagal, apakah nasib negara kita menjelang tahun 2050?

Mampukah negara kita, pada tahun 2050, mengeluarkan kita daripada trajektori sebuah kleptokrasi dan kakistokrasi, dan sebuah negara gagal?

Enam puluh tiga tahun yang lalu, ketika saya berumur 16 tahun, saya menulis di majalah kelas di sekolah:

“Kita sebagai para belia masa kini harus mempersiapkan diri kita untuk ‘memimpin dengan berkhidmat’… Peranan para belia di Tanah Melayu Merdeka kini lebih besar dan menjadi cabaran yang berat untuk bahu para belia generasi yang tidak berpengalaman ini. Kita akan menjadi bahu merdeka pertama yang benar-benar memikul tanggungjawab ini.

“Mari kita bekerja dengan semangat dan kemahuan yang lebih besar, supaya bendera kita tidak berkibar pada separuh tiang. Untuk mencapai ini, kita harus ingat bahawa kerjasama antara pelbagai kaum sangat penting, mencari titik persamaan, supaya kita disemai dengan semangat toleransi, kerjasama dan kesetiaan. Oleh itu, marilah kita terus hidup bersama dalam persaudaraan dan keharmonian yang mesra.”

DAP ditubuhkan 54 tahun yang lalu untuk menjadikan Malaysia berjaya sebagai negara bertaraf dunia dalam pelbagai bidang yang diterokai manusia, bukannya untuk menentang mana-mana kaum, bahasa, agama atau budaya. Kami bertekad untuk menjayakan misi ini.

Dengan tujuan ini, DAP perlu sentiasa setia dan berpegang teguh pada prinsip kita, supaya kita kekal sebagai satu parti politik yang berprinsip.

Kita tidak akan bekerjasama dengan kleptokrat dan mereka yang menyalahgunakan kuasa mereka untuk kepentingan peribadi tetapi kita mesti terbuka dan fleksibel untuk bekerjasama dengan rakyat Malaysia yang berintegriti, tanpa mengira kaum, agama atau politik, untuk membina sebuah Malaysia yang bersatu padu, adil, makmur dan hebat.

Tenangkah Bersatu bertiga dengan Umno dan Pas?

ARIF ATAN

Krisis politik Perak sejak 4 Disember lalu akhirnya menyaksikan Bersatu yang hanya memiliki lima kerusi tunduk kepada Umno yang mempunyai 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kelopak bunga raya lunyai dicantas hanya dengan muncung keris yang masih tajam dahagakan kuasa.

Ketiga-tiga Presiden dari Umno, Bersatu dan Pas semalam akhirnya menghadiri mesyuarat membincangkan pembentukan kerajaan baharu di Perak dan memuktamadkan pemilihan Menteri Besar ke-14.

Turut hadir Setiausaha Agung parti masing-masing iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin (Bersatu), Tan Sri Annuar Musa (BN) dan Datuk Takiyuddin Hassan dari Pas.

Takiyuddin yang berkongsikan gambar mereka berenam di Facebook menyifatkan pertemuan itu sebagai “demi rakyat muafakat dimeterai”. Walau tampak mereka harmoni tetapi mustahil taufan tidak membadai di hati. 

“Alhamdulillah, demi rakyat muafakat dimeterai. Utamakan persamaan yang terlalu banyak jua berbanding dengan perbezaan yang teramat sedikit cuma.

“Tahniah Kerajaan PN (Perikatan Nasional) Perak dikekalkan. Umno + Pas + Bersatu = #kitabertiga,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Jika mengikut sifir politiknya, kerajaan PN Perak kekal tidak bercanggah dengan undang-undang tubuh kerajaan negeri.

Sebaliknya, Pakatan Harapan (PH) pula buat kesekian kalinya terus menjadi bahan tawa penyokong membuta tuli ‘kerajaan Melayu Islam tanpa DAP’.

Namun, dari segi moralnya, PN sudah lebur. Nasi pun sudah menjadi bubur. Lebih-lebih lagi Bersatu yang terlebih awal tidak bermoral apabila mengkhianati PH di peringkat nasional pada Februari lalu.

Hanya yang berubah ialah jawatan Menteri Besar ke-14 yang secara rasmi hari ini berjaya dirampas Umno dari tangan kecil Bersatu.

ADUN Kota Tampan dari Umno, Datuk Saarani Mohamad pun sudah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak baharu.

Sudah tentu dalam hati Bersatu terpendam sumpah seranah dalam hubungan “bertiga” mereka yang bila-bila masa sahaja akan dimuntahkan.

Kejayaan Umno mengangkat Saarani, 59, menghayun tamparan menyakitkan buat Bersatu khususnya Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sudah molek rakan-rakan dalam PH tidak mengusik kerusi Menteri Besar didudukinya sebelum ini, ADUN Chenderiang itu sendiri pula sanggup berpaling tadah.

Kekecewaan PH Perak pada 9 Mac lalu apabila Peja mengesahkan bahawa Bersatu memilih untuk bersama Umno dan Pas kini sudah berbalas.

Ibarat menantikan wanita bersalin, selepas sembilan bulan, Peja menutup tirai tahun 2020 dengan merasakan getirnya dikhianati Umno yang cerdik melakukannya secara ‘halal’ melalui proses usul undi percaya dalam sidang DUN.

PH Perak yang pada Mac lalu terusir hingga “cinta dan harapan, dibunuh dan mati” bak kata lirik lagu Teroesir (Menunggu Karma) oleh Nidji, hari ini boleh tersenyum di sebalik pelitup muka dengan nasib yang menimpa Peja.

Pada 12 Mei lalu, persidangan DUN Perak kecoh apabila Peja mengemukakan usul supaya pemimpin DAP, Datuk Ngeh Koo Ham meletak jawatan sebagai Speaker dengan digantikan Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Namun, Mohamad Zahir yang juga ‘orang Umno’ jugalah yang menerima usul undi percaya dengan hujah perkara itu tidak melanggar peraturan dewan dan “bukan satu kejanggalan di luar tabii”.

Berselidung di sebalik istilah usul undi percaya, ADUN Pengkalan Baru dari Umno, Datuk Abd Manap Hashim yang membawa usul itu pun kemudiannya tidak menyokong usulnya sendiri.

Walaupun difahamkan semasa penghujahan, Peja dilambung puji sebagai Menteri Besar, tetapi Ahli Parlimen Tambun itu kemudiannya hanya mendapat 10 undi berbanding 48 menolak manakala satu berkecuali.

‘Geng Peja’ yang 10 orang itu termasuk Pas dengan ADUN Gunong Semanggol, Razman Zakaria menjadi wakil kerajaan tunggal berbahas menyokong usul undi percaya berkenaan.

Tidak hairanlah ‘Langkah Perak’ yang membawa kepada kejayaan Umno menjatuhkan Peja itu kemudiannya dilihat mendorong Ahmad Zahid selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) memohon maaf kepada Muhyiddin sebagai Pengerusi PN.

Dalam pertemuan di Parlimen semalam, Ahmad Zahid telah menyampaikan penyataan maaf bagi pihak ADUN-ADUN BN Perak atas apa yang dipanggilnya “kekhilafan” yang berlaku.

Khilaf dan khianat begitu tipis takrifannya dalam hubungan bertiga – Umno, Bersatu dan Pas – yang saling syak wasangka. Tenangkah Bersatu menatang kuasa bertiga dengan Umno, Pas?

Sampai bilakah PN lebih-lebih lagi Umno dan Bersatu di Perak dan juga di peringkat nasional akan dapat bertahan dan terus sepakat sekurang-kurangnya hingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)?

Bagaimana perebutan pelbagai jawatan dan pelantikan di dalam kerajaan negeri dapat ditangani ketika parut besar Bersatu akibat ‘cedera parah’ selepas ‘dikhianati’ Umno masih perit terasa?

Apapun, sejarah politik negara khasnya di Perak sudah terakam. Peja dan Bersatu bakal menjadi contoh dan rujukan bagaimana rakan teraniaya yang menunggu karma itu tidak sia-sia.

Dalam masa sama, Umno dan sifat ‘abang long’ tidak pernah berubah. Umno sentiasa menanti peluang sesuai untuk merampas kuasa.

“Umno kini dalam landasan untuk kembali berkuasa penuh. Ia mahu monopoli segala sumber politik dan ekonomi, seperti selama 61 tahun memerintah dahulu. Igauan buruknya tentang PRU14 seakan berakhir.

“Daripada parti yang nampak usang dan lapuk, serta ditolak rakyat kerana korupsi bertaraf mega, Umno sudah menguasai balik kerajaan Johor, Melaka dan terbaru Perak.

“Tunggulah komplotnya untuk kerajaan Persekutuan pula, Umno tengah merancang dengan rapi,” kata Ahmad Lutfi Othman, penganalisis politik, yang juga bekas Ketua Pengarang Harakah.

Tagar (tanda pagar) #kitabertiga yang nampaknya cuba digunakan Takiyuddin bila-bila masa akan dikhianati sesama mereka sendiri.

Ungkapan indah disebut Takiyuddin – “Demi rakyat muafakat dimeterai” – sekadar topeng yang dikitar semula. Sama juga halnya dengan ayat klise ‘demi agama dan bangsa’.

Muafakat PN yang dicanang dimeterai itu mungkin terburai menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana pertimbangan utama Umno, Bersatu dan Pas sebenarnya hanya demi kuasa.

Ha ha ha: ‘Jangan lupa kami untuk jawatan EXCO,’ PAS Perak peringatkan MB baharu

Shaq Ismail

IPOH: PAS Perak yakin parti itu tidak akan ditinggalkan dalam pembentukan Exco Kerajaan negeri baharu, kata Pesuruhjayanya Razman Zakaria.

Razman yakin semangat setiakawan dan penyatuan ummah yang terjalin antara PAS dan UMNO akan terus kekal.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada ADUN Kota Tampan (Saarani Mohamad) di atas perlantikan sebagai Menteri Besar Perak yang ke-14.

“Mengenai pelantikan Exco, itu adalah kuasa Menteri Besar dan kita dimaklumkan pada hari ini hanya lima orang sahaja dilantik, tidak termasuk PAS.

“Tapi saya yakin tak mungkin MB akan meninggalkan PAS”, katanya di sini.

Beliau mengulas perlantikan lima Exco yang dibuat selepas majlis angkat sumpah menteri besar di Istana Iskandariah hari ini tanpa membabitkan wakil PAS.

Empat daripada mereka adalah dari Umno dan seorang, PPBM.

Razman bagaimanapun berkata, pihaknya tetap akur dengan sebarang keputusan walaupun tidak dilantik.

“Apa yang penting sekarang ialah isu rakyat dan bagaimana wakil rakyat yang dipilih dapat berfungsi demi kepentingan rakyat itu sendiri,” katanya.

PAS dilihat ‘berlembut’ daripada pendirian sebelum ini iaitu tidak mahu terlibat dalam pembentukan kerajaan baharu Perikatan Nasional yang diterajui oleh Umno.

Semalam, presiden parti, Abdul Hadi Awang berkata partinya menyokong pencalonan Saari sebagai menteri besar.

Namun, ADUN PAS bukan antara yang dipilih sebagai EXCO hari ini.

Sebalknya Setiausaha PPBM Perak, yang juga ADUN Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharuddin antara lima EXCO mengangkat sumpah jawatan di depan Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah.

Zainol yang dilantik sebagai EXCO kanan, ialah bekas penasihat bertaraf EXCO kepada bekas menteri besar, Ahmad Faizal Azumu.

Turut mengangkat sumpah hari ini ialah empat EXCO di bawah pentadbiran terdahulu, iaitu Zolkafly Harun (Lintang), Shahrul Zaman Yahya (Rungkup), Dr Norashikin Wan Noordin (Kampong Gajah) dan Khairul Shahril Mohamed (Bota).

Ke mana RM14 juta wang zakat asnaf fisabilillah MAIWP telah diagih?

FAZLI RADZI

Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1 mendedahkan sebanyak RM14.73 juta wang zakat tahun lalu bagi asnaf fisabilillah tidak digunakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Wilayah (MAIWP) bagi tujuan sepatutnya dan yang memerlukan mengikut keutamaan.

Hasil pengauditan mendapati bayaran agihan itu disalurkan kepada agensi kebajikan dan ia tidak mengikut maksud asnaf fisabilillah yang sepatutnya.

“Semakan mendapati perkara itu berlaku disebabkan pentakrifan asnaf fisabilillah terlalu umum dan tidak diperincikan mengikut jenis perbelanjaan yang dibenarkan menggunakan wang zakat.

“Selain itu, tiada fatwa khusus ditetapkan bagi jenis perbelanjaan dan syarat projek pembangunan yang harus dibuat menggunakan wang zakat,” memetik laporan tersebut yang diumum hari ini.

Dapatan tersebut diperoleh berdasarkan audit pembayaran bawah Kumpulan Wang Zakat yang meliputi transaksi Januari hingga Disember 2019 serta tahun sebelumnya selain semakan terhadap 170 baucar bayaran yang menggunakan wang zakat RM206.9 juta.

Dalam masa sama, pihak Audit juga menemukan kelemahan lain termasuk projek pembangunan yang telah dibuat bayaran perkhidmatan perunding sejumlah RM4.72 juta pada 2013 hingga 2017, menggunakan wang zakat, telah ditangguh sehingga tahun ini.

Sehubungan itu, MAIWP disyorkan supaya memberikan skim bantuan kepada asnaf fisabilillah mengikut keutamaan dan takrifan sebenarnya serta diperincikan mengikut jenis perbelanjaan yang dibenarkan menggunakan wang zakat.

Selain itu, fatwa khusus juga perlu ditetapkan bagi jenis perbelanjaan dan syarat projek pembangunan yang boleh dibuat menggunakan wang zakat secara ‘case by case’ bagi memastikan tiada pembaziran dan sebarang kerugian dan pengurangan kepada wang zakat.

Pihak Audit turut mengesyorkan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemantauan terhadap status projek secara berkala dikuatkuasakan terutama melibatkan kepentingan agensi mengemukakan laporan pelaksana, perbelanjaan program dan aktiviti.

Pakatan Harapan tidak tertipu di Perak, tegas Khalid

ARIF ATAN

Pakatan Harapan (PH) sama sekali tidak tertipu dengan ‘Langkah Perak’ yang menggulingkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar (MB) pada 4 Disember lalu.

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata, gabungan tiga parti komponen dalam PH terlebih awal menolak Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu itu.

Bahkan, tegas Khalid, PH juga tidak menyokong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan dari Umno, Datuk Saarani Mohamad untuk mengambil alih jawatan MB Perak.

“PH tertipu di Perak? Kami tidak tertipu kerana sememangnya kami tolak Peja sebagai MB.

“Dan kami tidak juga sokong Saarani yang menggantinya,” kata Ahli Parlimen Shah Alam itu menerusi Twitter sebentar tadi.

Dalam masa sama, Khalid menyifatkan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Umno, Bersatu dan Pas saling menikam seperti terbukti dengan insiden menggulingkan Ahmad Faizal minggu lalu.

Sebaliknya, Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu menegaskan PH tetap mantap dan kukuh.

“Yang terjadi adalah adegan tikam menikam antara mereka yang dipamerkan pada semua.

“Khianat mengkhianati budaya mereka,” katanya lagi.

Terima MB Umno: Bersatu akan jadi bahan ketawa

BERSATU AKAN JADI BAHAN KETAWA DUNIA JIKA SANGGUP TERIMA MB UMNO

Shahbudin Husin

Walaupun UMNO dilihat berjaya menjatuhkan Ahmad Faizal Azumu atau Peja melalui tipu daya usul undi percaya, tetapi laluan untuk parti itu menduduki kerusi Menteri Besar Perak tidaklah semudah yang diimpikan.

Benarlah kata orang tua-tua – meroboh lebih mudah daripada membina sebuah bangunan.

Di sebalik UMNO merasakan dengan jatuhnya Peja, mereka dengan mudah dapat merampas kerusi Menteri Besar itu, laluan kini terlihat masih lagi buntu dan berliku.

Dengan UMNO hanya mempunyai 25 daripada 59 Adun keseluruhannya, keinginan parti itu agar kerajaan PN terus dikekalkan bermakna mereka masih memerlukan sokongan 5 Adun Bersatu dan 3 Adun Pas untuk merealisasikannya.

Sehingga ini, walaupun Presiden UMNO, Zahid Hamidi telah mengadap Sultan Perak untuk mempersembahkan nama Sharani Mohamad sebagai calon Menteri Besar, Bersatu dan Pas masih lagi enggan menentukan sokongan mereka.

Bersatu dilaporkan belum lagi membuat keputusan sama ada mahu menyokong atau tidak dan diberitakan, Setiausaha Agung parti itu, Hamzah Zainuddin telah diberi mandat untuk mengumpul maklumat dan seterusnya mencadangkan keputusan yang muktamad.

Peja sendiri memaklumkan pihaknya masih belum memohon untuk mengadap Sultan Perak berhubung isu perlantikan Menteri Besar.

Senada dengan Bersatu, Pas pula mengambil keputusan menangguhkan majlis mengadap tiga Adunnya terhadap Sultan Perak yang dijadual petang tadi.

Pembatalan majlis mengadap itu dimaklumkan atas arahan pucuk pimpinan Pas.

Dalam erti kata lain, Bersatu dan Pas kini benar-benar sudah menunjukkan kesepakatan mereka dalam isu perlantikan Menteri Besar ini.

Sama ada mereka akhirnya bersetuju atau menolak kerajaan baru yang dipimpin UMNO, hanya masa menentukannya.

Yang pasti, selagi tiada persetujuan Bersatu dan Pas, selagi itulah kedudukan Sharani masih tergantung dan mungkin juga beliau turut tidak lena tidurnya memikirkan sama ada jawatan Menteri Besar dapat didakapnya atau terlepas sekali lagi seperti sebelum ini.

Ini kerana UMNO tetap mahu kerajaan PN terus dikekalkan mentadbir Perak, sedangkan Peja yang dijatuhkan sebelum ini pun mewakili kerajaan PN juga.

Hasrat UMNO bahawa hanya Menteri Besar yang diganti dan bukan kerajaan PN yang perlu ditukar, meski nampak senang untuk disebut, realitinya tidaklah mudah untuk diterima khususnya bagi Bersatu dan Peja sendiri.

Bersatu tentu saja akan dilihat tiada harga diri, memalukan, malah diketawakan semua orang jika sekiranya masih sanggup bersama dan menyokong Menteri Besar daripada UMNO yang sebelum itu bertindak menjatuhkan pemimpinnya daripada jawatan Menteri Besar.

Tidak pernah dalam sejarah ada orang bertindak menjatuhkan rakan sendiri dalam kerajaan melalui usul undi percaya yang dibentangkan.

Biasanya, usul undi percaya, jika dikemuka oleh rakan sendiri, ia adalah bertujuan untuk mengesahkan kedudukan seseorang agar tidak lagi dipertikaikan di kemudian hari.

Sebaliknya, UMNO Perak membawa usul undi percaya adalah sebagai tipu daya untuk menjatuhkan Peja.

Difahamkan, melalui usul undi percaya itu, bukan saja Peja dan Bersatu kena tipu, malah Pas pun kena auta sekali dengan UMNO.

Maka, siapa pun jika dalam kedudukan Bersatu, pasti akan mengambil keputusan berkerat rotan dan berpatang arah andai diperlakukan sedemikian rupa.

UMNO yang menjatuhkan Peja mungkin senang untuk mengatakan “marilah kita bersatu semula” tetapi Bersatu yang dikhianati tentu saja hati mereka sudah hancur berkecai dibuatnya.

Kalau UMNO pun dikhianati seperti itu, belum tentu ia sanggup berbaik dan duduk semeja kembali.

Kecuali jika Bersatu benar-benar sudah tiada harga diri dan sanggup ditertawakan dunia, barangkali bersedialah mereka menyokong Sharani sebagai Menteri Besar baru, seterusnya berada pula di bawah kekuasaan UMNO yang menjatuh dan memalukan mereka sebelumnya. (Shahbudindotcom 08/12/2020)

Angkat sumpah MB kali ketiga cerminan kegagalan - Sultan Nazrin

Malaysiakini 

Istiadat pelantikan Adun Kota Tampan, Saarani Mohamad sebagai menteri besar Perak yang ketiga, sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurut baginda, istiadat kali ketiga yang mencatatkan sejarah baru itu tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal Dewan Undangan Negeri Perak sebelum ini.

“Tetapi perkara ini bukanlah sejarah yang mahu dibanggakan; perkara yang berlaku akan tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan.

“Kegagalan kepimpinan dalam kalangan ahli-ahli politik mendapat jaminan sokongan padu secara konsisten untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat,” titah baginda di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, hari ini.

Sebelum pelantikan Saarani hari ini, Ahmad Faizal Azumu yang mewakili Bersatu telah mengangkat sumpah jawatan menteri besar sebanyak dua kali, pertama pada tahun 2018 selepas PRU14 sebagai ketua kerajaan Pakatan Harapan. Dia sekali lagi pada Mac tahun ini mengangkat sumpah jawatan sebagai ketua kerajaan Perikatan Nasional pula.

Ahmad Faizal digulingkan setelah gagal mendapat sokongan dalam usul undi percaya di DUN Perak minggu lalu.

Sultan Nazrin bertitah, semua Adun dipilih kerana rakyat mempercayai mereka dan meletakkan harapan bahawa mereka akan dapat membantu untuk menambah baik kawasan tempat tinggal penduduk dan membantu menyediakan pelbagai keperluan dan perkhidmtan.

“Sama ada diwakili oleh Adun PN atau PH, sama ada orang Melayu, Orang Asli, orang Cina dan orang India, begitu juga penganut Islam, penganut Kristian, penganut Hindu dan pengikut Buddha, serta yang berpegang kepada pelbagai kepercayaan, mempunyai keperluan yang sama, menanggung penderitaan yang sama, memiliki harapan yang sama, menagih perhatian yang sama

“Semua rakyat di negeri ini, Melayu, Orang Asli, Cina, India; Islam, Kristian, Hindu dan Buddhist, ialah makhluk ciptaan Ilahi; kesemua mereka rakyat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak; kesemuanya mahukan sebuah negeri yang aman lagi makmur, dengan pemerintahan yang melaksanakan keadilan dan membina kerukunan, agar rakyat hidup dalam semangat saling menghormati penuh harmoni,” titah baginda.

Sultan Nazrin dalam pada itu turut menzahirkan titah terima kasih kepada  Ahmad Faizal yang telah melaksanakan tugas Menteri Besar sejak 12 Mei 2018 serta kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan atas perkhidmatan diberikan dalam tempoh perkhidmatan mereka.

Hikayat siasah bersilap mata

N Faizal Ghazali

Sebermula tersebutlah sebuah kisah akan gemparnya negeri bergelar Darul Ridzuan. Sebuah parti siasah bergelar mengusulkan undi percaya kepada memanda menteri besar dalam sidang dewan undangan negeri (DUN).

Bertebaranlah khabar akan usul mahukan percaya itu ke serata alam. Ia bukan lagi desas-desus di bumi Melayu. Ia menjadi buah mulut rakyat jelata selama beberapa hari lamanya.

Kemudian tampillah seorang ketua orang muda-muda sebuah parti siasah yang bersekutu dengan parti yang mengemukakan usul mahukan kepercayaan pada memanda menteri besar.

Dia dengan bangganya menzahirkan rasa takjub dan tahniah kepada barisan memanda pimpinan Umno.

Pada firasat ketua orang muda-muda berkenaan, usul dibawa yang berhormat parti Melayu yang menjadi sekutunya itu hanyalah bertujuan untuk membuktikan betapa mereka bersunguh-sungguh mahu mengukuhkan takhta kerajaan dan perpaduan sesama sendiri.

Arakian pada suatu hari yang cerah lagi berkah, wakil parti bernama Umno itu pun melafazkan usul undi percaya akan memanda menteri besar. Ia lalu disambut oleh yang berkuasa di DUN.

Terbukalah jalan buat sekalian yang berhormat untuk membuat undian berbelah-bahagi sama ada mahu percaya akan memanda menteri besar atau sebaliknya.

Maka dengan takdir Allah SWT seperti yang disebut orang, terkejut besarlah lagi berdukacita memanda menteri besar dan sekalian para penyokongnya. Pendekar yang mengusulkan undi percaya rupa-rupanya memilih untuk mengundi enggan percaya.

Siasah silap mata apakah ini yeop semua?

Tapi itulah, barangkali ada orang yang fahamnya begitu. Kalau dibawa usul undi percaya, maka akan undi percaya sajalah. Tidak ada yang lain dan tidak ada yang bukan kecuali percaya sajalah yang ada.

Arakian, entah bagaimana pencak ketua pemuda parti yang terlajak pantas mengucapkan tahniah pada usul parti sekutunya itu mahu mengubat duka nestapa. Berlebih-lebihan pulalah apabila ketua tertingginya sempat bersuara tegas bahawa mereka akan tetap setia bersama memanda menteri besar yang tersingkir.

Menyapu arang terconteng di muka

Mereka enggan memberikan persetujuan ke atas pembentukan kerajaan negeri yang baru.

Dilaungkan betapa parti itu tegas dan berprinsip. Mereka bersama-sama memberi isyarat bahawa pengkhianatan tidak boleh diberi muka sama sekali.

Maka diharap-harap jua ketua pemuda parti di negeri itu Darul Ridzuan itu tidaklah terkena kejutan dan demam hingga air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam.

Demikianlah kisah dalam hikayat politik silap mata yang disihir dengan helah serta mehnah, sepak terajang dalam perebutan kuasa dan kerusi dunia. Maka dalam tempoh beberapa kelip mata, hilanglah mandat menteri besar dan sekalian barisan hulubalang atau exco kerajaan negeri.

Syahadan episod lain pulalah akan menyambung ceritera di negeri yang entah sudah berapa kali berangin kencang siasahnya itu. Akan menurutinyalah siri teka-teki sebelum berakhir dengan kemuncak yang memenuhi nafsu pihak tertentu.

Lalu hikayat itu berakhir dengan pihak yang tegas dan berprinsip meninggalkan retorik sampah untuk bakal dibilas dengan dalil-dalil membasuh keterlanjuran dan mengelap air limbah atau arang pada muka.

Kalakian, ternyatalah apa yang digemparkan cuma permulaan sandiwara yang kisahnya terbuka untuk melalui jalan yang terus atau berpusing-pusing di bulatan sebelum membuat pusingan U bersama dalil-dalil yang dinukilkan.

Maka sekalian rakyat bolehlah melihat dengan teliti hatta jelasnya seperti bulan purnama di malam gilang-gemilang dipagar bintang akan sikap orang politik menggigit kuasa.

Kemahuan semua adalah seperti pepatah Melayu, menarik rambut di dalam tepung; rambut tak putus tepung tak berselerak.

Tapi hakikatnya apa yang berlaku di negeri Darul Ridzuan itu bukan saja tepung berselerak dan rambut terputus-putus, malah dapur yang dibina juga runtuh bersama.

Apa yang berlaku itu, hamba sahaya ini melihat amat tidak patut sama sekali. Ianya jelas keji dan ada pihak yang rasa terhina. Sudah-sudahlah miker hembus jampi serapah menjaja kalimah "demi rakyat" atau "demi denyut nadi anak bangsa".

Rakyat jelata faham benar ianya adalah lelucon hambar yang diulang-ulang tayang dan hanya mempersona orang yang bermimpi bersama air liur meleleh.

Segala kalimat demi rakyat itu hakikatnya tidak memberikan sedikit pun kelegaan kepada sekelian orang yang sedang bergelut mencari kehidupan.

Hikayat di Darul Ridzuan itu cuma seumpama kapal terbang yang melintas di atas kepala para marhaen yang membanting tulang di atas muka bumi yang kontang.

Sesekali mereka mendongak apabila terdengar deruan enjin pesawat udara. Dan mereka hanya melihat susuk kapal terbang yang lalu meninggalkan garisan asap di angkasa.

Sedangkan perut diri sendiri, anak dan isteri masih menagih rezeki.

Mujahid akan dedahkan isu yang merosakkan TH sebelum diambil alih

MALAYSIA DATELINE

Bekas Menteri Agama Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa akan mendedahkan lagi banyak isu yang telah merosakkan institusi umat Islam Tabung Haji (TH) termasuk Tabung Haji Plantation (THP).

Beliau berkata, isu yang telah merosakkan institusi umat Islam sebelum beliau mengambil alih di mana ianya berlaku ketika pentadbiran kerajaan BN.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar juga mengaku laporan polis telah pun dibuat atas jenayah korporat terbesar di dalam Tabung Haji sehingga memaksa beliau membuat penstrukturan semula TH.

THP adalah anak syarikat TH induk untuk fokus pada sektor perladangan.

Pada tahun 2006, TH menerokai bidang perladangan memandangkan permintaan sawit yang meningkat.

Dari sebuah syarikat yang berskala sederhana dengan pemilikan 15,000 hektar, katanya THP menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

Pada tahun-tahun berikutnya, jelas beliau THP secara agresif membeli ladang besar sehingga keluasan milik ladangnya pada tahun 2012 menjadi 100,000 hektar

“Dari sudut perniagaan, tidak ada salahnya membesarkan keupayaan kita tetapi ia perlu melihat kepada kerapuhan modal pelaburan, hutang, kos operasi dan kapasiti produktiviti dan infrastruktur.

“Oleh kerana THP adalah syarikat yang berdaftar dengan Bursa, ia tertakluk kepada undang-undang pengurusan korporat Bursa Malaysia, THP perlu memastikan perjalanannya mengikut piawaian yang ditetapkan,” ujarnya.

Jelasnya, perkara yang membabitkan hutang, kos pelaburan yang tinggi, kos operasi menyebabkan kedudukan kewangan THP menyempit.

Misalnya, kata beliau pada tahun 2015, THP dalam menangani masalah hutang membuat keputusan menjual TH Bakti bernilai RM16.3 juta dan TH Gemas bernilai RM154 juta kepada sebuah syarikat swasta Dupont dengan alasan mengurangkan beban hutang THP.

Tahun kewangan 2018, tambahnya, THP menanggung hutang RM 1.24b dan pada suku ke-3 hutang meningkat kepada RM1.29b.

“Pegangan tunai menyusut dari RM50.6 juta kepada RM43.8 juta. Keadaan ini memerlukan THP membuat rasionalisasi aset untuk memastikan kestabilan kewangannya.

“Sama seperti tahun 2015, THP perlu melihat masalah hutangnya dan menyelamatkan aset lain yang membawa hasil lebih baik untuk mengurangkan kos operasinya,” kata beliau.

Di atas alasan tersebut, Mujahid berkata beberapa ladang yang tidak produktif dan bermasalah terpaksa dilepaskan supaya dengan berbuat demikian THP menjimatkan kos pinjaman sebanyak RM9.41 juta.

“Usaha menyelamatkan kewangan THP adalah urusan biasa amalan pengurusan korporat yang tertakluk bawah peraturan Bursa Malaysia.

“THP juga ada ahli lembaganya yang bebas membuat keputusan atas kepentingan kewangan syarikat,” katanya.

Malangnya kata beliau isu THP menjadi isu politik yang membawa naratif aset dan harta orang Islam yang dijual kepada orang Cina.

“Campurtangan politik telah menjejaskan perjalanan THP yang kini mengalami masalah. Tujuan rasionalisasi aset adalah untuk selamatkan aset ladang lain yang membawa pulangan tinggi, manakala aset yang membebankan perlu dilepaskan supaya THP dapat berkembang dengan baik.

“Apakah ini satu contoh awalan campurtangan politik dalam amalan pengurusan korporat yang telus?

“Apakah entiti korporat tertakluk kepada tekanan politik sehingga kerajaan TSMY tidak mampu mempertahankan satu keputusan perniagaan yang telah pun diperakui pada 24 Nov kewajarannya?” soal beliau.

Baling najis sembunyi tangan

Kalau ini bukan politik najis apa lagi? Atau apakah pemimpin Umno pusat - secara tidak langsung - mengaku mereka sudah hilang kawalan ke atas ahli-ahli dewan undangan mereka di negeri-negeri?

Adakah pemimpin Umno negeri-negeri tidak lagi hormat kepada bos-bos mereka di Kuala Lumpur sehingga bertindak sesuka hati seperti yang mereka lakukan di Perak pada Jumaat lalu?

Susah hendak percaya bahawa apa yang berlaku itu adalah kesilapan kerana rasa tidak puas hati Umno kepada bekas menteri besar, Ahmad Faizal Azumu, bukan perkara baru.

Juga bukan satu rahsia bahawa Umno amat kemaruk jawatan tersebut.

Daripada kandungan dan nada kenyataan bersama BN (Umno), Bersatu dan PAS, jelaslah bahawa itu adalah kes 'baling najis sembunyi tangan' oleh Umno.

Bersatu dan PAS menjadi pak turut saja demi mengemis sokongan Umno kerana tanpa Umno mereka tidak boleh kembali berkuasa di Perak.

Dengan menggunakan alasan kesilapan dan memohon maaf, mereka berharap orang Melayu yang taasub kepada label Melayu-Islam boleh terus diperbodohkan.

Perbuatan mereka ini adalah contoh klasik 'baling najis sembunyi tangan'. Tapi tangan bernajis tetap berbau busuk.

Bersatu pula sah menjadi kembiri politik apabila menerima Adun Umno sebagai calon menteri besar menggantikan wakilnya yang dihumban keluar dengan begitu hina sekali.

Dengan ini juga bertambah kukuhlah bukti bahawa tindakan menarik Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan menubuhkan kerajaan pintu belakang dengan Umno dan PAS menjadi senjata karat yang menikam tuan.

Jika cadangan Umno, Bersatu dan PAS itu mendapat perkenan Sultan Perak maka selesailah penyerahan semua negeri Bersatu - yang dimenangi melalui PH - kepada Umno dan PAS.

Demikianlah hebatnya perancangan Muhyiddin Yassin, Hamzah Zainuddin dan konco-konco mereka memperkuhkan Bersatu supaya menjadi pengganti Umno. 

Sultan Perak setuju dengan pilihan UMNO, Saarani dilantik MB

Shaq Ismail

IPOH: Sultan Perak bersetuju melantik Pengerusi UMNO, Saarani Mohammad, sebagai menteri besar baharu, selepas PPBM dan PAS mengesahkan sokongan mereka kepada calon pilihan UMNO itu petang tadi.

Pengumuman oleh Istana Perak itu mengakhiri krisis politik negeri yang tercetus susulan penyingkiran Timbalan Presiden PPBM, Ahmad Faizal Azumu, menerusi usul percaya yang dibawa oleh UMNO pada Jumaat lepas.

Istiadat mengangkat sumpah akan diadakan esok pada 11 pagi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, menurut jurucakap istana, Ahli Dewan Negara Perak, Mohd Annuar Zaini.

Selepas selasai menghadap Sultan Nazrin Shah, Saarani keluar dari Istana Kinta dengan hanya melambai kepada para pemberita yang menanti.

Sidang media pertama beliau selaku menteri besar akan diadakan di Dewan Jubli Kuala Kangsar esok, selepas istiadat mengangkat sumpah jawatan.

Dengan ini, persidangan Dewan Negeri Perak akan bersambung seperti yang dijadualkan pada Isnin.

Pengumuman Istana Perak itu menyusuli keputusan PPBM dan PAS menyokong pencalonan Saarani dalam pertemuan enam mata membabitkan presiden dua parti itu bersama Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, di Parlimen hari ini.

Dalam kenyataan, susulan pertemuan itu, Zahid memohon maaf atas “kekhilafan” ADUN Perak yang membawa kepada penyingkiran Faizal.

Tindakan itu mengundang respon keras daripada PAS. Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata parti itu tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan baharu di Perak.

Pulak!!! Dia ni minum air ketum ke APA?

Bersatu salahkan DAP, PKR punca politik negara tidak stabil

ARIF ATAN

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan menegaskan situasi politik negara yang tidak stabil pada masa ini berpunca daripada DAP, PKR dan sekutu-sekutunya.

Menurutnya, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan rakan-rakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu terus menerus menggugat kestabilan negara hingga mempengaruhi penurunan penarafan Malaysia oleh Fitch Ratings.

“Kali ini mereka mempergunakan penarafan Fitch untuk menuntut undi tidak percaya.

“Sebenarnya merekalah yang menyebabkan politik kita tidak stabil. Merekalah yang mensabotaj kestabilan politik dan ekonomi negara sehingga kita semua tanggung kesannya.

“Siapa yang menyebabkan politik negara kita tidak stabil sekarang? Jawapannya ialah DAP, PKR dan sekutu-sekutunya yang yang tak habis-habis dengan usaha menggugat kestabilan kerajaan yang ada.

“Siapa yang mensabotaj dan menggugat kestabilan ini? Siapa yang menyebabkan Fitch memberi ulasan sebegitu sekali?

“Jawapnya ialah Anwar, Lim Guan Eng, dan kawan-kawan mereka,” tegas Wan Saiful dalam satu kenyataan hari ini.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu menganggap Fitch tidak akan menyebut tentang ketidakstabilan politik yang ditanggung oleh negara jika Anwar, Guan Eng dan “sekutu-sekutunya” ‘diam’ seketika.

“Kalau mereka menyokong usaha kerajaan semasa krisis Covid-19 ini, atau paling tidak pun diam sekejap buat sementara, maka tidak wujudlah masalah yang Fitch sebut itu,” hujahnya.

Tegasnya, penarafan Fitch itu harus menjadi isyarat agar berhenti segera bermain politik sebaliknya fokus membantu rakyat seperti yang diusahakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Barulah negara akan stabil dan penarafan akan jadi baik. Ini tidak. Dia yang berterusan merosakkan keadaan tapi nak salahkan orang lain,” bidasnya.

Kelmarin, Majlis Presiden PH menggesa agar kerajaan menyegerakan dan mengutamakan usul undi tidak percaya yang telah dibawa Ahli-Ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sehingga 17 Disember ini.

Mereka menjelaskan langkah tersebut perlu bagi menamatkan spekulasi berkaitan ketidaktentuan hala tuju politik, merancakkan semula pertumbuhan ekonomi, dan mengembalikan keyakinan terhadap pentadbiran negara.

Selain Anwar dan Guan Eng, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dalam kenyataan bersama itu berpendirian penurunan penarafan Malaysia dari AAA- ke BBB+ pada 4 Disember lalu oleh Fitch Ratings memberi tamparan hebat kepada kerajaan khususnya Menteri Kewangan.

Mengulas lanjut, Wan Saiful sekali lagi mengulang dakwaan bahawa strategi undi tidak percaya dan usaha mahu merampas kuasa sebagai strategi DAP, PKR dan rakan-rakan PH yang berkepentingan peribadi untuk terus menggugat kestabilan kerajaan.

Bersatu, PAS sepakat terima Saarani lepas Zahid minta maaf

Malaysiakini 

Umno, Bersatu dan PAS akhirnya bersetuju mencalonkan Pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad sebagai calon menteri besar yang baru di negeri itu.

Persetujuan itu diumumkan Setiausaha Agung BN Annuar Musa di media sosial dengan memuat naik salinan kenyataan media bersama ketiga-tiga parti itu.

Keputusan berkenaan sekaligus menamatkan kemelut krisis Perak serta mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam kenyataan bersama membabitkan Setiausa Agung PAS, Takiyuddin Hassan, Hamzah Zainudin (Bersatu) dan Annuar sendiri mereka berkata presiden ketiga-tiga parti mengadakan pertemuan di Kuala Lumpur hari ini.

"Dalam pertemuan itu Pengerusi BN (Ahmad Zahid Hamidi) telah menyampaikan pernyataan maaf bagi pihak Adun-adun BN Perak di atas kekhilafan yang berlaku.

"Atas semangat PN ketiga-tiga parti telah bersetuju untuk mencadangkan Saarani sebagai menteri besar Perak yang baru untuk diperkenankan oleh Sultan Perak," kata mereka.

Menurut kenyataan sama perbincangan di antara Ahmad Zahid dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang (PAS) mencapai kata sepakat mengenai pelantikan-pelantikan lain dalam kerajaan Perak.

Pada 4 Dis lalu, Adun Chenderiang yang juga Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti daripada wakil-wakil rakyat negeri itu dalam undian percaya hari ini.

Sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya. satu undi rosak atau berkecuali.

Dengan itu Ahmad Faizal akan berundur daripada jawatannya sebagai menteri besar.

Usul tersebut dibawa Adun Pengkalan Baru dari Umno, Abd Manaf Hashim. Asalnya usul tersebut disenarai untuk dibahaskan selepas pembentangan Belanjawan 2021 Perak.

Sementara itu Takiyuddin dalam ciapan di Twitternya menzahirkan rasa syukur kerana muafakat berjaya dimeterai.

"Alhamdulillah, demi rakyat muafakat dimeterai. Utamakan persamaan yang terlalu banyak jua berbanding dengan perbezaan yang teramat sedikit cuma. Tahniah Kerajaan PN Perak dikekalkan," tulisnya.

DUN Perak hanya bersidang 5 minit, penyokong Faizal tak hadir

Ng Xiang Yi

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ditangguhkan lagi kerana masih belum ada kerajaan negeri.


Speaker Mohamad Zahir Abdul Khalid mempengerusikan persidangan hari ini seperti yang dijadualkan dan sebelum mengumumkan penangguhan persidangan lima minit kemudian.

"Memandangkan agenda berikutnya adalah Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 tidak dapat diteruskan berdasarkan Artikel 38 (2) perlembagaan Perak dan berdasarkan situasi sekarang, persidangan akan ditangguhkan hingga 16 Disember, 2.30 petang," katanya.

Antara Adun yang tidak hadir persidangan selama lima minit hari ini adalah:

Abdul Yunus Jamahri (Bersatu-Kuala Kurau)

Nolee Ashilin Mohamed Radzi (Bersatu-Tulang Sekah)

Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-Chenderiang)

Zainol Fadzi Paharudin (Bersatu-Sungai Manik)

Razman Zakaria (PAS-Gunung Semanggol)

Mohd Akmal Kamaruddin (PAS-Selama)

Khalil Yahaya (PAS-Kubu Gajah)

Sivasubramaniam (Gerakan-Buntong)

Paul Yong Choo Kiong (Bebas-Tronoh)

Nga Kor Ming (DAP-Aulong)

Razman dipercayai dipanggil ke Istana Kinta untuk menghadap Sultan Perak sementara kelibat Nga dilihat di Parlimen.

Kemelut Perak hanya mainan politik Umno, PH tak perlu terlibat

Malaysiakini 

Seorang lagi Adun DAP di Perak, Terence Naidu menyuarakan bantahan terhadap kerjasama parti itu dengan Umno dalam pembentukan kerajaan negeri yang baru.

Terence yang merupakan Adun Pasir Bedamar, berkata DAP sebagai parti berprinsip tidak patut berganjak daripada pendirian untuk tidak bekerjasama dengan parti yang menurutnya terpalit dengan tuduhan rasuah.

Dia juga berkata apa yang berlaku di Perak, iaitu penyingkiran Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar, hanyalah untuk kepentingan Umno.

"Kita tidak harus lupa, bahawa pencaturan terkini adalah hanya untuk menukar menteri besar untuk manfaat mereka sendiri. 

"Sekiranya mereka hanya ingin menteri besar dari Umno, maka Perikatan Nasional (PN) akan kekal menerajui kerajaan negeri. Kalau tidak, mengapa turunkan MB dari Bersatu?" soalnya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, katanya, PH tidak seharusnya terlibat dalam apa yang disifatkannya sebagai "permainan politik pemimpin atasan Umno" jika tidak ingin dihukum pengundi dalam PRU akan datang.

Terence merupakan Adun kedua DAP yang menyuarakan bantahan terhadap kerjasama itu selepas Adun Pokok Assam, Leow Thye Yih pada 6 Dis lalu.

Leow turut mengajak para Adun DAP lain di Perak untuk turut mengambil pendirian sama.

Ia susulan kenyataan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming bahawa pihaknya sedia bekerjasama dengan Umno 'demi kepentingan rakyat' dan bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil.

PKR dan Amanah Perak turut berpandangan sama.

Dalam pada itu, Terence turut membangkitkan peranan Umno dalam kejatuhan pentadbiran Pakatan Rakyat di Perak pada 2009 dan kerajaan PH pada awal tahun ini.

"Sekiranya kerjasama bermakna menyokong pembentangan belanjawan yang memanfaatkan rakyat di kala pandemik Covid-19, sudah pasti saya akan menyokongnya demi kemajuan negeri. Tetapi bukan jenis kerjasama membabi buta yang menyokong mana-mana salah guna kuasa dan korupsi.

"Saya percaya Tuanku Sultan Perak akan membuat segala keputusan yang dilihat baik dan mendahulukan rakyat negeri," katanya lagi.

‘Tak payah jadi menteri kalau setakat minta rakyat wakaf air RM10’

FAZLI RADZI

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Nasional, Zolkharnain Abidin membidas pendekatan menteri yang dilihat hanya meminta wang daripada rakyat.

Beliau berpendapat gesaan menteri berhubung sumbangan sekurang-kurangnya RM10 bagi menjayakan projek Tabung Wakaf Air Nasional (Wakaf Air) sebagai menjadikan rakyat sebagai sasaran.

“Semua benda menteri nak letak atas kepala rakyat. Ada masalah bekalan air, menteri minta rakyat wakaf air RM10 seorang.

“Siap menteri buat kira-kira, kalau sekian orang wakaf sekian banyak, akan terkumpul dana sekian banyak. Padahal tiap-tiap bulan rakyat bayar bil air, apa kerajaan buat?” soalnya dalam satu kenyataan.

Semalam, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Wakaf Air antara usaha kerajaan untuk membekalkan air bersih terawat kepada rakyat terutama di luar bandar dan ketika berlaku krisis air.

Timbalan Presiden Pas itu menganggarkan sebanyak RM16 juta sebulan dana wakaf itu terkumpul jika 1.6 juta penjawat awam membuat potongan gaji secara tetap setiap bulan sebanyak RM10.

“Dalam masa setahun, RM192 juta dana wakaf dapat dikumpulkan dan dalam masa lima tahun, jumlah kumulatif dana wakaf akan mencapai RM960 juta,” katanya ketika berucap merasmikan Waqf Advancement Webinar 2020 secara maya anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor.

Tuan Ibrahim juga berharap masyarakat awam dapat menerima baik konsep Tabung Wakaf Air Nasional yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan kerajaan dengan pembabitan pelbagai pemegang taruh.

 
Mengulas lanjut, Zolkharnain mempersoal kewajaran Wakaf Air yang mengharapkan wang rakyat itu memandangkan sebelum ini kerajaan mengemukakan banyak alasan berhubung pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Wakaf itu bagus. Memang tak paksa, tapi kenapa rakyat sasarannya? Apabila rakyat minta keluar KWSP tanpa syarat, banyak pula alasan kerajaan.

“Lepas itu sedap-sedap saja menteri nak minta rakyat berwakaf. Sudahlah rakyat kena tanggung seribu macam bayaran. Kini nak minta rakyat berwakaf pula?” bidasnya.

Sehubungan itu, bekas Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berkenaan secara sinis menyebut mengutip derma ceramah adalah lebih baik.

“Kalau jadi menteri, setakat nak cadang rakyat bagi duit kepada kerajaan RM10 seorang, elok tak payah jadi menterilah!

 
“Jadi, tukang kutip derma ceramah lagi bagus,” tempelak Zolkharnain lagi.

Pada Ogos lalu, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, model tadbir urus Wakaf Air bertujuan membekalkan air bersih terawat kepada rakyat yang dalam proses akhir untuk dimuktamadkan.

Katanya, ciri utama Wakaf Air ialah menerima sumbangan dalam bentuk tunai daripada individu atau syarikat dengan niat untuk wakaf air, mengurus sumbangan dana berdasarkan ruang lingkup ditetapkan dan pembiayaan pelaksanaan infrastruktur bekalan air berskala kecil tidak lebih RM50,000.

Ia termasuk penggalian perigi, pembelian peralatan pam, penyediaan mini empangan dan tangki simpanan bagi memastikan penduduk mendapat bekalan air walaupun musim kemarau.

Berdalih menghadap “bila-bila masa”, Pas cuba pertahan nafi derhaka Sultan Perak

FAZLI RADZI

Berdalih menghadap “bila-bila masa”, Pas cuba pertahan nafi derhaka Sultan Perak

Hujah yang cuba mewajarkan ADUN Pas tidak menghadap Sultan Perak ini bertebaran dikongsi penyokong parti.

Rata-rata penyokong Pas dilihat cuba mempertahan tindakan kepimpinan mereka yang membatalkan rancangan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, di Istana Kinta, Ipoh semalam.

“Bukan kata Pas nak derhaka Sultan Perak tak mahu mengadap baginda. Baginda panggil datang bila-bila masa, bukan ada spesifik masa.

“Kalau ada spesifik masa, tak pergi jugak barulah dikira derhaka,” dipetik ungkapan yang bertebaran di media sosial oleh penyokong Pas.

Antaranya, pengguna Twitter, Najib Azna yang menegaskan penangguhan itu kerana mendakwa kepimpinan belum ada keputusan daripada Pas Pusat.

Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Perak sepatutnya mengadap Sultan pada jam 3 petang semalam.

Mereka terdiri daripada Razman Zakaria (Gunong Semanggol); Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah).

Razman yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, berkata keputusan pembatalan untuk menghadap Sultan dibuat atas arahan pucuk pimpinan parti.

Walau bagaimanapun, aktivis Muhamad Harris Nasril berpendapat penyokong Pas menggugurkan perkataan “hari ini” yang jelas disebut Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini.

“Oleh kerana itu, selanjutnya baginda menitahkan ADUN daripada Bersatu dan Pas untuk mengadap pada bila-bila masa masa hari ini,” kata Annuar memaklumkan titah Sultan pada sidang media di hadapan perkarangan Istana Kinta semalam.

Justeru, Harris mengingatkan alasan penyokong Pas tentang tempoh menghadap Sultan “bila-bila masa” itu hanya terhad pada hari semalam sahaja.

“Jelas Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini kata bila-bila masa “hari ini”. Kenapa kau (penyokong Pas) pergi buang perkataan “hari ini” tu?

“Kau ingat istana nak bagi korang sweet time sampai tahun depan ke nak beritahu siapa calon MB (Menteri Besar) korang?

“Ini nak buat kerajaan bro, bukan nak buat ceramah Pas. Benda kena cepat. Agak-agaklah nak membekap pun,” tempelak Harris lagi.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak ke-14 hanya akan dilaksanakan selepas Sultan yakin sudah ada majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Pagi semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah menghadap Sultan di Istana Kinta, Ipoh.

Beliau kemudiannya disusuli Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad yang namanya disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar yang baharu dan mendapat sokongan semua ADUN Umno Perak.

Turut menghadap Sultan semalam Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Di sebelah petang pula, tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) menghadap Sultan.

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, dilihat tiba menaiki kenderaan berasingan pada jam 2.55 petang.

Mereka kemudiannya disusuli Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Asmuni Awi, yang tiba pada jam 3.05 petang.

Tempoh “bila-bila masa” itu hanya berlaku pada bila-bila waktu pada hari semalam sahaja jika berdasarkan kenyataan Ahli Dewan Negara Perak.

Lepas guling MB, Umno mahu 'damai' dengan Bersatu

Di tengah-tengah kemelut politik di Perak, Umno membuka jalan untuk berdamai dengan Bersatu supaya meneruskan kerajaan Perikatan Nasional di negeri itu.

Ini beberapa hari selepas Adun Umno tidak mengundi menyokong usul percaya Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yang juga timbalan presiden Bersatu.

Lantaran itu, Faizal mengundurkan diri daripada jawatan menteri besar pada Sabtu lalu.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata dia telah menulis kepada rakan sejawatnya dalam Bersatu dan PAS awal hari ini agar mempertahankan kerajaan PN di Perak.

"Saya telah menghantar surat rasmi kepada Setiausaha Agung PAS (Takiyuddin Hassan) dan Setiausaha Agung Bersatu (Hamzah Zainudin) pada Selasa 8 Dis 20 berhubung keputusan mesyuarat khas MT Umno malam 7 Dis 20.

"Bahawa kerajaan PN yang terdiri daripada Adun Umno, PAS dan Bersatu di Perak perlulah diteruskan," katanya pada ciapan di Twitter.

Ahmad Maslan berkata kedua pemimpin itu telah menjawab suratnya pada petang hari ini.

"Intipati jawapan surat setiausaha agung PAS dan setiausaha agung Bersatu ialah keputusan berhubung kerajaan PN di Perak akan dibincang dengan pimpinan parti mereka dengan segera.

"Saya optimis dan positif. Semoga PAS dan Bersatu akan bersama Umno di Perak. Diharap segalanya akan selesai dengan baik dalam sedikit masa lagi," katanya.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, mengadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pagi ini.

Zahid berkata Umno yakin mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri berikutnya, yang akan turut melibatkan PAS dan Bersatu.

Bagaimanapun, sumber memberitahu Malaysiakini Bersatu Perak masih belum memutuskan sama ada akan menyokong Umno atau tidak untuk membentuk kerajaan negeri baru.

Pembebasan Ku Nan untuk jamin sokongan, dakwa Pemuda AMANAH WP

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan mengkritik tindakan kerajaan membebaskan satu persatu ahli politik yang dikaitkan dengan kes rasuah.

Ketua Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan, Asmaaliff Abdul Adam berkata, tidak mustahil tindakan yang dilakukan Perikatan Nasional (PN) ketika ini kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin mahukan jaminan sokongan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau merujuk kepada pembebasan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dari tuduhan menerima suapan bernilai RM1 juta.

“Belum reda dengan polemik di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, negara digemparkan pula dengan pembebasan Ku Nan daripada tuduhan rasuah.

“Melihat pada ketipisan majoriti yang dimiliki oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin, tidak mustahil semua plot ini adalah demi menjamin sokongan hingga PRU hadapan.

“Sebelum ini pun kita telah dikejutkan dengan pembebasan kes Musa Aman. Adakah ini memberi signal bahawa terdapat campur tangan politik dalam institusi kehakiman?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Asmaaliff turut menyindir apabila individu yang disabitkan menerima rasuah boleh dilepaskan, walhal si pemberi rasuah telah pun disabitkan kesalahan.

Tanpa dwi-partisan, nasib Muhyiddin mungkin seperti Faizal Azumu

LIEW CHIN TONG

Walaupun saya berada di pihak lawan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, saya tidak teragak-agak untuk memuji apabila beliau berhak menerimanya.

Hasni telah telah menunjukkan tauladan dalam mentadbir secara dwi-partisan di saat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kebetulan merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir, kecundang teruk.

Setakat ini, Muhyiddin telah mencuba untuk mendominasi dan menunduk, merenggangkan pihak pembangkang dan sekutunya sendiri sambil hilang arah tentang perlunya mengerahkan seluruh negara untuk menghadapi krisis politik, ekonomi dan kesihatan yang terbesar dalam sejarah negara.

Hasni mempunyai majoriti dua kerusi (29 kepada 27) dalam DUN Johor, di mana Umno mempunyai 16 kerusi, Bersatu 12 kerusi dan seorang bekas Adun PKR yang telah lompat untuk mencukupkan bilangan. Bersatu tentunya tidak gembira dengan hakikat bahawa partinya kini kehilangan jawatan Menteri Besar.

Di peringkat nasional, Muhyiddin membawa bersamanya enam orang wakil rakyat asal Bersatu, 15 yang lompat dari Umno ke Bersatu, dan 10 melalui Azmin Ali dari PKR; manakala Umno mempunyai 39 kerusi.

Tetapi Bersatu mengambil jawatan-jawatan menteri senior. Ini menjadikan jumlah sokongan kepada Muhyiddin sebanyak 112 kerusi, berbanding 108 di pihak pembangkang di Parlimen.

Situasi Muhyiddin dan Hasni agak serupa, namun laluan yang mereka pilih untuk meluluskan belanjawan masing-masing dan cara berurusan dengan pembangkang sangat berbeza.

Meski ada hal-hal yang dikatakan Hasni boleh diketepikan sebagai sekadar retorik, sekurang-kurangnya beliau mempunyai retorik yang sesuai dengan masa, sementara Muhyiddin pula enggan melayan sekutu dan pembangkang dengan rasa hormat.

Pilihan Raya Umum 2018 telah merungkai negara satu parti di bawah Umno. ‘Abang Besar’ itu kini seakan lumpuh dengan sekumpulan pemimpinnya didakwa dengan pelbagai kesalahan jenayah, sambil berdepan cubaan Bersatu dan Muhyiddin untuk memecah-belah dan meminggirkan parti itu.

Tiada parti politik mampu mendominasi senario ini secara bersendirian.

Setiap parti mempunyai kekuatan yang setara. Bagi memastikan kestabilan dapat dicapai dan tiada pihak boleh berbuat sesuka hati, masyarakat memerlukan kepimpinan.

Hasni melihat pembangkang sebagai rakan strategik dalam pentadbiran, yang bertentangan dengan idea lama Umno untuk mendominasi dan menghancurkan pembangkang.

Dalam tempoh singkat sebagai pembangkang pada Mei 2018 hingga Februari 2020, Umno begitu destruktif dan bersifat menghalang, meniup api perkauman di mana-mana dengan harapan semuanya akan hangus terbakar dan keadaan kembali pulih seperti sebelumnya.

Di peringkat nasional, Umno juga tidak mengambil peluang untuk membersihkan dirinya daripada pemimpin kleptokrat seperti Najib Razak dan Zahid Hamidi.

Kini masanya untuk Umno, Bersatu dan semua parti-parti politik menyedari bahawa tidak mungkin ada satu parti dominan dan Malaysia hari ini adalah sebuah demokrasi 50:50. Malah beberapa pilihan raya lagi akan masih menghasilkan keputusan 50:50.

Kerajaan mesti bersedia untuk berinteraksi dengan pihak pembangkang secara konstruktif dan melayani pembangkang dengan rasa hormat kerana kerajaan hari ini boleh jadi pembangkang pada keesokan hari.

Pihak pembangkang pula perlu bergerak maju menjadi lebih daripada sekadar pergerakan melawan sepertimana yang dilakukan Umno sepanjang 22 bulan sebagai pembangkang. Sebaliknya, pihak pembangkang perlu tampil sebagai kerajaan menunggu dan menggesa kerajaan semasa untuk memikirkan tentang polisi jangka panjang serta bertindak secara dwi-partisan seboleh mungkin, demi manfaat rakyat terbanyak.

Ketika Pakatan Harapan mentadbir Johor, pihak pembangkang ketika itu diberikan peruntukan kawasan sebanyak RM50,000 buat pertama kali dalam sejarah. Anggota bangku belakang (backbencher) kerajaan menerima RM300,000. Hasni telah menambah peruntukan pembangkang kepada RM150,000 sementara memberi bayaran ‘one-off’ RM50,000 dana khas Covid kepada semua wakil rakyat tanpa mengira parti.

Tambahan kepada itu, Hasni turut berjanji untuk mendapatkan izin kerajaan pusat untuk meminda peraturan Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah supaya wakil rakyat pembangkang dilibatkan dalam mesyuarat bulanan. Kita berharap kedua-dua kerajaan negeri dan pusat dapat memperlihatkan iltizam politik untuk menunaikan janji tersebut secepat mungkin.

Hasni juga bersetuju membentuk jawatankuasa pilihan di peringkat DUN. Kita ingin melihat jawatankuasa ini dibentuk pada sidang seterusnya dan diberi sumber dan petugas secukupnya bagi memainkan peranan secara bermakna.

Bolehkah kita mempercayai Hasni? Adakah beliau melakukan ini semua hanya untuk meluluskan belanjawannya? Adakah beliau akan mengadakan pilihan raya mengejut apabila mempunyai peluang untuk memulihkan semula kegemilangan Umno, justeru mengakibatkan semua janji-janji ini menjadi sekadar cebisan kertas?

Tiada siapa yang tahu. Tapi apa yang saya mahu sebut ialah Hasni kini bersedia menukar naratif dan menyediakan kerangka dwi-partisan yang baharu. Kita tidak melihat kepimpinan ini di pihak kerajaan persekutuan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Di saat-saat sukar ini, pendekatan dwi-partisan adalah amat penting dalam merangka dasar serta memberikan negara dan rakyat peluang yang lebih baik dalam berhadapan krisis tiga serangkai sekali dalam seabad ini.

Sidang Parlimen ke-14 berakhir pada 16 Julai 2023. Khabar angin mengatakan Muhyiddin akan mengadakan pilihan raya sebelum Ramadan 2021.

Pendekatan kerajaan Muhyiddin setakat ini ialah untuk mendominasi rakan sekutu dan parti pembangkang. Semakin galak Muhyiddin meminggirkan semua pihak, semakin tinggi kemungkinan nasibnya berakhir seperti mantan menteri besar Perak, Faizal Azumu.

Daripada mencuba mengadakan pilihan raya mengejut, Muhyiddin patut mula mentadbir secara dwi-partisan demi kepentingan negara yang masih tersekat dalam krisis ini.

Sultan Perak belum diyakinkan mana-mana pihak ada majoriti mudah

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah belum belum diyakinkan mana-mana pihak bahawa mereka mempunyai majoriti mudah untuk melantik seorang menteri besar berikutnya.

Ahli Dewan Negara Perak, Mohd Annuar Zaini, menjelaskan Sultan Nazrin hari ini memperkenankan sembah mengadap beberapa pemimpin yang menyembahkan pandangan masing-masing berhubung keadaan semasa dan pendirian parti dalam suasana politik di negeri itu.

Bercakap kepada kepada wartawan, katanya ahli-ahli politik berkenaan masih berunding.

“Oleh kerana Tuanku masih belum diyakinkan mana-mana pihak sudah ada majoriti mudah....

“Kita akan tunggu sampai mereka bersedia dan meyakinkan Tuanku dan Tuanku berpuas hati sudah ada majoriti mudah untuk tubuh kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Sultan Nazrin menghadiri majlis terima menghadap beberapa pimpinan parti politik Pakatan Harapan.

Antara mereka, termasuk Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berikutan kegagalan Adun Chenderiang, Ahmad Faizal Azumu mendapat majoriti untuk kekal sebagai menteri besar.

Malaysiakini difahamkan, baginda tidak lagi dijadualkan akan mengadap pemimpin lain untuk hari ini.

Kemelut kerajaan baharu Perak berterusan? PAS arah ADUNnya batal menghadap Sultan Perak

FMT Reporters

IPOH: PAS Pusat mengarahkan ketiga-tiga ADUNnya membatalkan menghadap Sultan Perak, yang pagi tadi mengarahkan mereka datang menghadapnya berhubung pelantikan menteri besar baharu.

Arahan PAS Pusat itu sekaligus mencetuskan spekulasi kemelut penubuhan kerajaan baharu melibatkan UMNO, PAS, dan PPBM masih berterusan.

Perkembangan terbaru ini juga menimbulkan kemungkinan sidang Dewan Negeri Perak yang dijadualkan esok terpaksa ditangguhkan, kerana menteri besar masih belum diputuskan.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, sebelum ini berkata parti itu tidak akan menyertai pembentukan kerajaan baharu di Perak susulan penyingkiran Timbalan Presiden PPBM, Ahmad Faizal Azumu, sebagai menteri besar menerusi usul percaya yang dibawa UMNO.

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengarahkan semua tiga ADUN PAS menghadap baginda hari ini bagi membuktikan sokongan mereka untuk membentuk pentadbiran baharu, selepas pertemuan dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, pagi tadi.

Selepas pertemuan itu, Zahid mengumumkan kepada pemberita calon partinya sudah mempunyai majoriti mencukupi untuk diangkat sebagai menteri besar Perak baharu.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, ketika ditanya mengenai sokongan kepada calon pilihan Umno bagaimanapun berkata mereka masih menunggu keputusan daripada PAS Pusat.

Tidak lama selepas membuat kenyataan itu, PAS Pusat memberikan arahan untuk tiga ADUNnya membatalkan menghadap Sultan Perak hari ini.  Tidak ada butiran lanjut di sebalik keputusan itu.

Sementara itu, tiga pemimpin Pakatan Harapan Perak tiba di Istana Kinta petang tadi bagi memenuhi titah menghadap.

Pengerusi PKR, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, dan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, tiba pada 2.55 petang tadi, diikuti Pengerusi Amanah, Asmuni Awi pada 3.05 petang.

Turut dipanggil menghadap hari ini adalah lima ADUN PPBM.

DAP berjiwa besar, bukan anti Melayu sokong

FAZLI RADZI

Dengan jumlah 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu kedua tertinggi di Perak, DAP negeri memutuskan untuk menjalin kerjasama dengan Umno.

Pengerusi DAP, Perak Nga Kor Ming, berkata langkah tersebut bagi membentuk kerajaan berbilang kaum yang bersih, kukuh dan stabil.

Menurutnya, keputusan itu mengambil kira situasi di Perak yang tiada satu parti mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan yang stabil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong itu menegaskan kesediaan DAP Perak untuk bekerjasama dengan Umno membuktikan dua perkara.

“DAP adalah parti berjiwa besar yang sanggup meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai agenda keutamaan.

“Momokan DAP adalah “anti-Melayu atau anti-Islam” selama ini adalah tidak benar sama sekali,” tegasnya dipetik dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, penyertaaan DAP Perak dalam kerajaan negeri yang baharu tidak akan dibuat tanpa rakan-rakan komponen gabungan itu iaitu AMANAH dan PKR.

Dalam semangat muafakat Pakatan Harapan (PH) itu, jelasnya, satu perjanjian bertulis harus dimeterai jika cadangan kerjasama tersebut mencapai kata sepakat.

Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata, walaupun DAP Perak bersedia untuk bekerjasama dengan Umno tetapi parti roket tersebut tidak akan berkompromi dengan amalan rasuah atau penyelewengan dalam soal integriti pentadbiran.

Istana Perak mahu bukti sokongan PAS, PPBM pada calon pilihan Umno

Shaq Ismail

IPOH: Istana Perak mahu melihat bukti sokongan ADUN PAS dan PPBM pada calon pilihan UMNO, selepas presiden parti Melayu itu selesai menghadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pagi tadi.

Ahli Dewan Negara Perak, Mohd Annuar Zaini, memberitahu pemberita Sultan Nazrin mengarahkan semua lima ADUN PAS dan tiga ADUN PPBM menghadap baginda hari ini bagi membuktikan sokongan mereka untuk membentuk pentadbiran baharu.

Annuar berkata Istana Perak sudah dipersembahkan dengan perkembangan terkini namun perlu diyakinkan dan dibuktikan terlebih dahulu.

“Istiadat angkat sumpah jawatan menteri besar hanya akan dilaksanakan setelah Sultan Perak yakin sudah ada majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan negeri,” katanya di Istana Kinta, selepas Ahmad Zahidi Hamidi dan Pengerusi UMNO Perak, Saarani Mohamad, selesai menghadap.

Terdahulu, Zahid mengumumkan kepada pemberita calon partinya sudah mempunyai majoriti mencukupi untuk diangkat sebagai menteri besar Perak baharu, dengan PAS dan PPBM memberikan sokongan kepada pembentukan pentadbiran baharu.

Kenyataan Zahid tentang sokongan PAS merupakan perkembangan baharu kerana sebelum ini parti Islam itu, yang menyokong Faizal semasa undian percaya, mengumumkan tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan Perak yang baharu.

Malah, PPBM semalam mengumumkan ia mahu mengukuhkan kerjasama dengan PAS sebagai jawapan kepada tindakan UMNO di Perak.

Faizal tersingkir pada Jumaat sebelum sempat membentangkan Belanjawan Perak 2021. Persidangan Dewan Negeri Perak yang dijadualkan bersambung Rabu ini tidak dapat diteruskan sekiranya tiada menteri besar dan sekurang-kurangnya empat ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.