Polis suruh saya angkat baju atau kena saman, dakwa wanita ditahan di sekatan jalan raya

Ainaa Aiman

PETALING JAYA: Selepas seorang wanita berkongsi di Twitter insiden anggota polis mahu “mengenalinya dengan lebih rapat,” beberapa lagi turut mendakwa berdepan situasi sama.

Dalam kejadian terbaru, seorang wanita membuat laporan polis mendakwa dia diganggu secara seksual oleh seorang anggota polis ketika melalui sekatan jalan raya di Jalan Duta hari ini.

Ain Sabrina Yusof, 24, berkata polis itu memintanya mengangkat blaus dipakainya jika tidak mahu dikenakan saman.

“Pada masa itu, saya lupa membawa lesen saya,” katanya menerusi bebenang di Twitternya dengan menggunakan nama akaun @sabiyusof, bagi memperincikan kejadian itu.

“Selepas itu, dia berkeras untuk menukar nombor telefon dengan saya walaupun saya memberitahunya bahawa saya tidak selesa.

“Dia memberi saya telefonnya dan meminta saya membuat panggilan di depannya (untuk mendapatkan nombor wanita itu).”

Sabrina berkata, dia terkejut dengan kejadian itu, sambil menambah polis sepatutnya melindungi rakyat, bukannya mengganggu mereka.

“Saya tidak hanya diganggu secara seksual, tetapi dipaksa memberikannya nombor saya. Saya diugut dengan saman sekiranya tidak patuh. Itu adalah penyalahgunaan kuasa, ”katanya.

Dalam pada itu, polis sedang menyiasat apakah terdapat salah laku seorang anggotanya yang mengirim pesanan kepada seorang wanita yang kononnya “mahu berkenalan dengan lebih rapat”, ketika menahan mangsa di sekatan jalan raya.

Sementara itu di Twitter, akaun rasmi Bukit Aman @PDRMsia memberi maklum balas kepada pengguna Twitter yang menceritakan semula kejadian hampir sama melibatkan anggota polis pada 11 Feb.

Wanita itu berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan untuk membeli beberapa barang runcit sebelum ditahan polis di sekatan jalan raya.

Dia kemudian dikehendaki mencatatkan butiran diri termasuk nombor telefon dan nombor plat kenderaan.

Wanita itu berkata, polis terbabit menghantar pesanan di WhatsApp tidak lama kemudian. Dalam tangkap layar perbualan dilampirkan di tweetnya, polis itu menyatakan ingin mengenali lebih lanjut wanita berkenaan.

Tweetnya, sejak itu menjadi tular, mendorong wanita lain mendedahkan pengalaman mereka ketika ditahan anggota polis di sekatan jalan raya semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

SOP: Gambar Annuar Musa jamu selera lebih enam orang tersebar

NASUHA RAHMAN

SOP: Gambar Annuar Musa jamu selera lebih enam orang tersebar

Ketika Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan SOP baru dengan membenarkan orang ramai boleh makan di restoran tetapi terhad kepada dua orang, hari ini tersebar satu foto Menteri Wilayah Persekutuan makan lebih daripada enam orang.

Gambar yang berlatar belakangkan banner yang tertera Program Pertanian Bandar (urban farming) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertarikh 31 Februari 2021 mula tersebar.

Foto yang memperlihatkan tujuh orang sedang menjamu selera termasuk Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa bertempat di Kebun Komuniti Bandar Urban Persatuan Penduduk PPR Seri Malaysia Desa Petaling Kuala Lumpur.

Tersebarnya foto berkenaan, warganet mula mempertikaikan perbuatan mereka yang dikatakan telah melanggar SOP yang ditetapkan kerajaan pada PKP2.0 ini.

“Level kayangan”, kata Nor Azizuddin Abdul Manan.

“SOP… 1 meja untuk 2 orang tu hanya TERPAKAI untuk rakyat biasa sahaja. TIDAK pada VIP@Menteri,” tulis Suhaizy Shamsudin.

“Prasangka yg baik baik… Mungkin gambo nie diambil tahun 2011 kot eakk,” sindir RN RN Mohamed.

“Takkan bro tak tau SOP dibuat khas untuk rakyat. Covid-19 hanya boleh detect rakyat biasa. Menteri,vvip dan tokey-tokey virus tak berani nak masuk sebab takut kena saman,” kata Mohd Shafique Effendie.

Terkini, pasangan salebriti Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Mohamad dan isterinya, Siti Sarah Raissuddin masing-masing dikenakan RM1,000 seorang selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah premis restoran pada Jumaat.

Pasangan yang juga usahawan itu dikenakan kompaun kerana didapati duduk di sebuah meja melebihi dua orang serta tiada penjarakan fizikal di premis terbabit.

Dua lagi pelanggan yang turut duduk semeja bersama pasangan itu turut dikenakan kompaun.

Sebelum itu, seorang individu memuat naik gambarnya bersama pasangan selebriti menjamu selera di dalam premis terbabit tersebut di Facebook miliknya.

Kerajaan menetapkan bermula 10 Februari hanya dua individu semeja ketika menjamu selera di kedai makan dan restoran.

Saf Solat: Lebih baik Mohib tarik balik pendirian

NASUHA RAHMAN

Penceramah bebas Syeikh Mohib Khouli wajar mengaku bahawa pendiriannya menolak peraturan renggang saf solat ketika pendemik COVID-19 adalah salah.

Menurut Ustaz Zolkharnain Abidin adalah lebih baik Muhib menarik balik pendirian itu dan memohon maaf kepada orang ramai terutama pengikutnya.

“Dia tak perlu kerah keng (degil) sehingga menampakkan apa yang tak patut orang ramai nampak daripada dirinya.

“Muhib lebih baik tarik balik pendirian itu, pohon maaf kepada orang ramai terutama pengikutnya. Elok benar dia bersama-sama jama’ah al-muslimin dalam isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas diskusi ilmiah antara Mohib dengan Dr. Rozaimi Ramle bagi mengupas isu Jarak Saf Dalam Mendepani Covid-19 -Tuntutan agama atau pandangan songsang?

Zolkharnain yang juga Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Nasional berkata, Mohib patut memegang hadith iltazim jama’ah al-muslimin bahawa keputusan renggang saf ketika ini adalah ijma’ al-muslimin di seluruh dunia.

“Pengikutnya juga usah terlalu taksub dengannya. Mereka perlu menilai hujah, bukan menilai orang yang memberi hujah. Mereka mungkin tak selesa dengan Rozaime, tapi hujahnya benar,” kata beliau.

Katanya, Mohib tidak perlu berputar-putar di atas hujahnya yang tidak konsisten seperti yang dia bentang dalam dialog malam tadi umpama keldai yang berputar-putar di sekitar perigi yang kering air.

“Lebih afdal dia menarik balik pendirian itu dan berdamai dengan pemerintah negerinya untuk membolehkan dia menyumbang sedikit sebanyak ilmunya kepada masyarakat.

“Berbanding dia kerah keng dengan pendiriannya kini yang menyebabkan tauliah mengajarnya ditarik balik. Tak perlu kerah keng dalam perkara yang sudah jelas secerah matahari salahnya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Muhib agar jangan tiru sikap Pas yang tahu pendirian politik mereka bersekongkol dengan ‘kepala geng tebuk atap’ adalah salah kerana merampas mandat rakyat yang sah.

“Tapi mereka tetap berhujah mempertahankan pendirian itu. Akhirnya kini sedikit demi sedikit kecurangan mereka terdedah.

“Hari ini Pas sedang menanggung akibat daripada sikap kerah kengnya itu. Apa akibatnya? Minum segelas, mabuk tiga gelas,”katanya.

Diskusi ilmiah anjuran One Centre Malaysia telah diadakan secara langsung di facebook malam tadi, di mana Dr Rozaimi menegaskan penjarakan dalam saf tidak menjejaskan sunnah dan ia harus dilakukan bagi mengelakkan ahli jemaah tidak menerima mudarat daripada COVID-19.

“COVID-19 tidak seperti taun ketika zaman Nabi tetapi apabila satu nyawa hilang di dalam masjid kita sebagai orang masjid rasa pedih ustaz, apatah lagi satu orang tersebut adalah ulama atau ahli keluarga kita,” soalnya kepada Mohib ketika penggulungan.

Bagaimanapun, Syekih Mohib Khaouli bertegas bahawa tidak rapatkan saf telah menjejaskan sunnah kerana isu solat adalah soal akidah selain menyifatkan taun ketika zaman Nabi lagi berbahaya daripada COVID-19 tetapi tiadapun penjarakan saf dilakukan.

Salah guna kuasa? Polis ambil maklumat peribadi wanita di sekatan jalan raya untuk berkenalan

Malaysiakini 

Polis sedang menyiasat berhubung kejadian seorang anggota polis yang dikatakan mengambil maklumat peribadi seorang wanita di sekatan jalan sebelum mengirim mesej untuk "berkenalan".

Dalam ciapan di Twitter, akaun rasmi polis, @PDRMsia membalas ciapan yang dikirim akaun @nnnadzifah, yang menceritakan kejadian itu.

"Salam hormat saudari. Kami mengambil maklum isu tular ini. Pohon saudari nyatakan hari, waktu dan lokasi tepat sekatan jalan raya yang dimaksudkan bagi tujuan semakan lanjut kami. Terima kasih," tulis ciapan balas akaun Twitter polis itu.

Wanita itu sebelum ini menceritakan bahawa dia ditahan di sekatan jalan di mana seorang anggota polis yang bertugas menahannya dan mencatat maklumat peribadinya termasuk nombor telefon.

Selepas memaklumkan dia hendak pergi membeli barang, dia dibenarkan beredar. Namun, menurutnya, dia kemudian dihubungi oleh seseorang yang mendakwa merupakan anggota polis yang menahannya di sekatan jalan tadi.

Bertanya kenapa dia dihubungi, balasan yang diterima adalah: "Sajalah, nak kenal, boleh?"

Dalam ciapan berasingan, @nnnadzifah berkata dia tidak menyangka ciapannya sebelum ini mendapat perhatian sehinggan diulang ciap lebih 15,000 kali, termasuk oleh wanita lain yang berkongsi pengalaman peribadi mereka dengan anggota polis atau orang lain yang didakwa bertindak seumpamanya.

"Saya tidak menyangka perkara ini akan menjadi seserius ini.

"Saya tidak memadam (ciapan sebelum ini) kerana saya ingin memberikan maklumat untuk PDRM dari pengalaman orang lain (yang mereka kongsi melalui ciap balas)" katanya.

"Orang ramai boleh berhenti menanda PDRM kerana mereka menyedari perkara ini dan mereka sedang menyiasat," katanya.

Namun, ada juga orang lain yang mempertahankan tindakan itu sebagai keikhlasan anggota polis itu berkenalan dengan wanita berkenaan.

Rasuah: PH berjaya letak di landasan betul, dimusnah semula oleh PN

MOHAMED HANIPA MAIDIN

Rasuah: PH berjaya letak di landasan betul, dimusnah semula oleh PN

1. Selepas rakyat memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi kerajaan pada 9/5/2018, kita boleh melihat keyakinan masyarakat antarabangsa ke atas negara kita alhamdulillah mula menunjukkan tanda-tanda perubahan positif walaupun agak perlahan pada mulanya tapi kemudiannya mula menonjolkan peningkatan yang agak ketara.

2. Antara kayu ukur yang sering digunakan oleh masyarakat antarabangsa itu adalah CPI (Corruption Perception Index) atau Indeks Persepsi Rasuah yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI). Indeks ini, misalnya, yang akan para pelabur rujuk sebelum mereka memutuskan untuk melabur di mana-mana negara termasuk negara ini.

Selepas hanya setahun PH memerintah, TI telah mengeluarkan hasil penyelidikan mengenai Indeks Persepsi Rasuah di negara-negara di dunia ini dan pada tahun 2019, kita menyaksikan Malaysia telah berjaya mempertingkatkan kedudukan posisinya dalam Indeks Persepsi tersebut dengan berjaya menduduki anak tangga ke-51 pada tahun 2019 dari anak tangga ke 61 pada tahun 2018 dan anak tangga ke 62 pada tahun 2017.

3. Baru-baru ini kita dikejutkan apabila TI mengeluarkan Indeks Persepsi Rasuah pada tahun 2020 – tahun yang menyaksikan “Langkah Sheraton” dan pengkhianatan mandat rakyat melalui fenomema tebuk atap – negara ini kini berada di kedudukan nombor 57 pada tahun lepas – 2020 – setelah PH berhempas pulas meletakkan posisi negara ini ke tahap yang agak baik dalam Indeks Persepsi Rasuah iaitu di angka ke 51 pada tahun 2019.

4. Kenapakah, semasa PH menjadi Kerajaan, Malaysia telah berjaya, hanya dalam tempoh yang secara relatifnya agak singkat, memperbaiki kedudukan negara kita dalam Indeks Persepsi Rasuah ini?

5. Menurut Presiden TI (Malaysia) seperti yang dilaporkan oleh NST Singapura pada 23/1/2020, kejayaan tersebut kerana kejayaan rakyat negara ini memberi mandat kepada PH dan PH telah bertindak membalas budi mandat rakyat tersebut dengan membuat beberapa perubahan yang agak besar dan drastik dalam soal urustadbir yang baik dalam pemerintahan (a good governance). Beliau berkata “Kerajaan baru (PH) begitu komited untuk memastikan Malaysia bebas rasuah”.

6. Sebagai salah seorang anggota pentadbiran Kerajaan PH tersebut dan berada di JPM yang hampir setiap minggu berpeluang bermesyuarat dengan YAB PM sendiri dan para pegawai tertinggi kerajaan, saya agak arif tentang usaha-usaha yang amat giat yang dilakukan oleh YAB PM dan kabinetnya dan dibantu oleh para kakitangan kerajaan yang agak komited untuk meletakkan Malaysia ke posisi yang lebih terhormat dalam pandangan masyarakat antarabangsa.

Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim melaporkan tentang Plan Anti Rasuah Kebangsaan kepada kerajaan.

7. Misalnya,Kerajaan PH telah menubuhkan sebuah badan khas yang diterajui oleh mantan Pengerusi SPRM iaitu badan yang dipanggil GIACC bagi menjalankan usaha-usaha giat dan proaktif bagi, antaranya, menangani dan memerangi isu rasuah dalam kerajaan sendiri.

Badan ini terletak di bawah JPM dan pejabatnya juga, secara kebetulan, bersebelahan pejabat saya di JPM. Saya agak arif dengan apa yang badan ini telah lakukan kerana lazimnya pada setiap kali sidang Parlimen, mantan boss saya – mendiang Dato VK Liew – dan saya sendiri yang akan selalu menjawab isu-isu berkaitan badan ini di Parlimen – Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Kerajaan PH, misalnya juga menubuhkan NFC atau National Financial Centre bagi memerangi atau mengekang fenomena skandal kewangan berskala mega seperti 1MDB.

8. Pada masa PH memerintah juga ada satu Jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan oleh YAB PM sendiri di mana anggotanya adalah para menteri kanan dan para “senior government servants” dan saya juga adalah salah seorang anggotanya. Pihak GIACC diamanahkan sebagai sekretariat kepada JKKMAR itu.

Puratanya, hampir setiap dua bulan JKKMAR ini akan bermesyuarat dan telah berjaya membincangkan dan memutuskan beberapa polisi penting untuk dibawa ke Kabinet bagi dipertimbangkan dan dijadikan dasar yang muktamad. Contohnya dasar perisytiharan harta dan penghapusan budaya surat sokongan lahir dari JKKMAR.

9. Saya sesungguhnya percaya, pada masa itu, Kerajaan PH sedang berada di landasan yang betul untuk memulihkan imej negara khususnya imej negara ini sebagai “negara perasuah” di mata masyarakat luar.

Hakikatnya, kejayaan PH ini amat digeruni oleh musuh politik PH yang mana kejayaan PH tersebut memungkinkan parti-parti politik yang bergayut pada politik perkauman dan agama yang sempit akan menjadi terus tidak relevan dan mungkin akan berstatus nota kaki sahaja pada masa hadapan.

Lalu pihak-pihak yang risau tentang survival politik mereka itu mula menjerit dengan amat lantang isu-isu perkauman dan agama sempit ibarat tanpa had dan sempadan.

Maka diciptalah satu naratif palsu kononnya Islam dan Melayu terancam di bawah PH, sedangkan hakikatnya kedudukan dan survival politik mereka yang terancam dan berisiko terpupus. Ironisnya, mereka juga mendapat manfaat besar dari dasar keterbukaan PH yang malangnya telah disalahhgunakan kebebasan tersebut bagi mewujudkan rasa tidak puas hati pada PH dengan menyerang PH tanpa ada rasa malu apatah lagi rasa kebertanggungjawaban.

10. Malangnya, politik kotor mereka itu, sekali lagi, dilihat membawa negara ini ke fenomena pra 9/5/2018. Indikasi awalnya Indeks Persepsi Rasuah negara di bawah Kerajaan PN mula dilihat negatif semula oleh masyarakat antarabangsa. Dan tidak perlu dikatakan ianya tidak baik untuk negara khususnya dalam aspek ekonomi. Kita sedang berkhayal jika kita rasa FDI atau para pelabur tidak kisah melihat negara ini mula kembali ke era lama dari aspek rasuah misalnya.

Jangan tertipu dengan penurunan kes Covid-19, kata kumpulan perubatan

Imran Ariff

PETALING JAYA: Walaupun jumlah kes baharu Covid-19 menurun ke bawah 4,000 daripada jumlah tertinggi pernah dicatatkan sebanyak 5,000 sejak seminggu lalu, pakar kesihatan memberi amaran supaya tidak berasa terlalu selamat.

Mereka berkata penurunan kes itu berlaku kerana jumlah ujian saringan Covid-19 juga berkurang.

Data yang diperoleh daripada CodeBlue menunjukkan dari 3 hingga 8 Feb, jumlah ujian Tindak Balas Rantai Polimerase (PCR) yang dijalankan setiap hari berkurang daripada 67,264 kepada 32,536.

Ini bertepatan dengan bilangan kes yang disahkan setiap hari menurun lebih daripada 1,000 sepanjang tempoh penilaian selepas mencecah 4,571 kes pada 4 Feb.

Menurut CEO Pusat Galen, Azrul Khalib, “kes yang dilaporkan mungkin bukan merupakan gambaran tepat mengenai penurunan jangkitan Covid-19,” kerana kadar positif kekal konsisten di atas penanda aras 5% seperti ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kadar positif adalah bahagian ujian yang dibuat yang memberikan keputusan positif, dengan kadar yang tinggi menunjukkan banyak kes terlepas pandang.

Azrul memberitahu FMT, kadar positif Malaysia yang tinggi, iaitu 9.5% pada 8 Feb, “menunjukkan penularan tinggi dan kemungkinan terdapat lebih banyak orang yang dijangkiti Covid-19 dalam komuniti belum diuji.”

“Ini bermakna kita tidak melakukan ujian yang cukup dan kita tidak mendapat gambaran yang baik mengenai wabak itu di Malaysia.”

Azrul berkata, kadar positif lebih menunjukkan keadaan pandemik dan perlu diambil kira oleh kerajaan apabila membuat perubahan pada strategi negara dalam respons terhadap Covid-19.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata penurunan besar jumlah ujian mungkin mencerminkan dasar kerajaan untuk menguji hanya kontak rapat bergejala, dengan yang lain diberitahu supaya duduk di rumah dan mengasingkan diri.

“MMA menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) supaya kembali kepada dasar sebelum ini untuk menguji semua kontak rapat kerana wujud risiko jangkitan daripada pembawa virus pra-simptomatik atau tanpa gejala,” kata presiden kumpulan itu, Dr Subramaniam Muniandy.

Beliau menggesa penggunaan kit ujian rapid antigen (RTK-Ag) ditambah sebagai satu cara saringan bagi kes berpotensi kerana keputusan ujian lebih cepat daripada ujian PCR dan mereka yang dikenal pasti boleh diasingkan lebih cepat.

Azrul bersetuju bahawa ujian RTK-Ag boleh digunakan untuk diagnosis cepat, tetapi mencadangkan pengesahan dibuat dengan menggunakan ujian PCR.

Kajian mendapati RTK-Ag mempunyai kadar sensitif sebanyak 90%, yang bermakna keputusannya mungkin tidak tepat 10%, sementara kadar sensitif ujian PCR adalah setinggi 98%.

Pakar dasar kesihatan Dr Khor Swee Kheng berkata, rakyat Malaysia mesti melihat pelbagai faktor ketika menilai takat buruk pandemik itu kerana statistik tunggal mudah dimanipulasi oleh faktor luaran.

Sebagai contoh, beliau berkata, satu angka seperti angka jangkitan atau R0 (disebut R-naught) boleh kelihatan lebih rendah jika kedua-dua ujian dan kes harian jatuh, yang mungkin tidak memberi gambaran tepat mengenai pandemik itu.

Angka terbabit menunjukkan berapa banyak orang yang dijangkiti virus itu boleh menyebarkan penyakit.

Katanya, orang ramai “perlu melihat kecukupan ujian untuk betul-betul berasa lega dengan kemajuan yang dicapai,” kerana kualiti data yang dikumpul boleh mempengaruhi metrik yang bergantung pada maklumat tersebut.

Tempat ini paling panas di dunia

Metro

Agensi

Los Angeles: Memiliki suhu 54 darjah Celsius pada musim panas menjadikan Death Valley di Amerika Syarikat ini sebagai tempat terpanas di dunia.

Kawasan yang terletak di antara California dan Nevada itu hanya dihuni sekitar 300 hingga 400 penduduk saja.

Death Valley memegang rekod suhu terpanas di bumi pada 10 Julai 2013 apabila merekodkan suhu 56.7 darjah Celsius.

Namun, anehnya penduduk di lembah ini selesa dengan suhu berkenaan hingga ada antara mereka tidak menggunakan penyaman udara, walaupun hampir setiap rumah memiliki alat itu.

Mereka tidak menggunakannya kerana mahu berjimat.

Kakitangan di Death Valley National Park, Brandi Steward yang menetap hampir setahun di lembah itu berkata, pada Julai dan Ogos dia merasai seperti berjalan dalam ketuhar panas.

"Pada siang hari di musim panas, suhu selalunya antara 43.3 hingga 51.7 darjah Celsius manakala malam pula 32.2 darjah Celsius kadangkala boleh mencapai rekod tertinggi sehingga 54 darjah Celsius.

"Namun, penduduk masih selesa menjalani rutin harian seperti bekerja, bersosial dan melakukan aktiviti sukan di luar," katanya dalam portal eva.vn

Katanya, tahap kepanasan di lembah itu boleh digunakan untuk membakar dan memanggang makanan.

"Saya tidak akan pergi membeli-belah tanpa ditemani teman lelaki dan sebotol besar air minuman.

"Malah, saya juga lebih kerap memeriksa keadaan kenderaan bimbang rosak di tengah jalan," katanya.

Kini, penduduk di lembah itu bukan saja berdepan suhu terpanas di dunia, malah risiko penularan Covid-19 dan perubahan iklim.

Ia mengakibatkan bencana seperti kerap berlaku kebakaran hutan yang tidak terkawal.

Lagi kes kanak-kanak mati kena dera

Helah hantar anak tiri ke klinik bongkar mangsa didera hingga mati

Bernama

TAMPIN: Helah seorang lelaki membawa anak tirinya ke klinik kerana mengalami kekejangan terbongkar, selepas dia ditahan kerana disyaki mendera kanak-kanak perempuan berusia empat tahun itu sehingga maut, dalam kejadian pada 1 Feb lepas.

Ketua Polis Daerah Tampin Anuwal Ab Wahab berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pada 9 Feb kira-kira jam 10 malam, di hadapan balai polis ketika menunggu isteri dan seorang lagi anak tirinya berumur sembilan tahun, yang dipanggil memberi keterangan.

Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori simen itu ditahan, selepas pendedahan abang mangsa kepada polis bahawa adiknya kerap dipukul, oleh bapa tirinya.

“Pada malam kejadian, abang mangsa mendengar bunyi kuat seperti pukulan dan suaranya menangis dalam bilik tidur bapa tirinya. Pada subuh, mangsa dikatakan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terus dibawa ke klinik.

“Bagaimanapun, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia setibanya di klinik walaupun diberi bantuan pernafasan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Anuwal berkata, polis menerima laporan daripada doktor bertugas di Klinik Kesihatan Gemas, mengenai seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia, 1 Feb lepas.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di kepala, kesan lebam di pergelangan tangan dan kaki di kedua-dua belah, serta kesan gigitan di badan mangsa, selain tiga tulang rusuk kirinya patah.

“Pakar gigi dari Hospital Kuala Lumpur juga mengesahkan terdapat tiga kesan gigitan gigi dewasa, iaitu di tangan kanan, bahu kanan dan pergelangan tangan kanan si mati, dan forensik mengesahkan punca kematian adalah disebabkan kecederaan di kepala akibat benda tumpul,” katanya.

Anuwal berkata suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes curi.

“Suspek kini direman bermula 10 Feb hingga Selasa depan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak- Kanak 2001,” katanya.

Ismail Sabri akan lapor polis - isu sebar video lama

Malaysiakini 

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob akan membuat laporan polis mengenai "video lama" yang tular di media sosial hari ini.

Video itu menunjukkan Ismail hadir majlis bersama beberapa orang lain tanpa memakai pelitup muka dan duduk bersama di meja jamun dengan tidak menjaga penjarakan sosial.

Pemeriksaan Malaysiakini mendapati video berkenaan memaparkan majlis pelancaran Tabung Pahlawan di Royal Chulan Kuala Lumpur pada 15 September tahun lalu.

Menurut jemputan media yang dikirim kepada wartawan, Ismail akan membuat laporan polis esok kerana penyebaran video itu katanya, "jelas bermaksud untuk memfitnahnya".

Video tersebut nampaknya banyak dikongsi di aplikasi WhatsApp.

Terdapat beberapa hantaran di Facebook, termasuk satu oleh ahli PKR yang cuba membandingkan SOP baru tempat makan yang menghadkan dua pelanggan bagi setiap meja, dengan hadirin dalam video yang menampilkan Ismail.

Sebelum ini, menteri pertahanan telah beberapa kali mengadu sering menjadi mangsa berita palsu.

TAK SEMESTINYA UMNO PERLU BERSAMA PH, TAPI DEMI SURVIVALNYA, TARIK SOKONGAN TERHADAP MUHYIDDIN TIDAK HARUS DILENGAHKAN LAGI

Shahbudin Husin

Apa yang barangkali menyebabkan UMNO jadi teragak-agak untuk secara rasmi menarik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN ialah kerana terkepung dengan slogan “No Anwar No DAP”.

Rasa terkepung itu membuatkan rata-rata beranggapan apabila UMNO menolak Muhyiddin bermakna ia menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan sedia bersama DAP membentuk sebuah kerajaan baharu.

Sebenarnya, ketakutan UMNO yang keterlaluan terhadap slogan “No Anwar No DAP” itu adalah merupakan sebahagian kejayaan Annuar Musa dan beberapa pihak lain dalam UMNO sendiri yang lebih sayangkan Muhyiddin dan Bersatu berbanding parti mereka sendiri.

Bekerjasama dengan Anwar dan PH hanyalah suatu pilihan, bukan kewajipan bagi UMNO, tetapi harus diingat politik ini tidak rigid, malah Annuar Musa ketika belum beroleh kuasa dulu pun pernah melontarkan pandangan tentang kerjasama UMNO dengan DAP.

Selain itu, politik ini yang penting adalah kuasa dan lihatlah bagaimana Pas yang dalam usahanya mengejar kuasa, telah menjadi parti paling banyak kahwin cerai dengan parti-parti lain.

Pokoknya, selagi Muhyiddin tidak dijatuhkan, Annuar Musa dan mereka yang sekapal dengannya akan terus jadi menteri dan beroleh banyak habuan lain daripada kerajaan, meskipun sebenarnya telah kalah perang dalam PRU 2018 lalu.

Tidak semestinya dengan UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin bermakna sebuah kerajaan baharu yang ada DAP dan Anwar sebagai Perdana Menterinya akan terbentuk secara automatik.

Kiranya UMNO berpegang dengan pendirian asal iaitu mahu PRU15 diadakan dengan segera, sebenarnya dengan menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan PN, itu adalah pendekatan paling sesuai dilakukan, walau ketika ini darurat sedang dikuatkuasakan.

Selagi UMNO tidak berani secara rasmi menarik sokongan, selagi itulah PRU15 tidak mungkin diadakan dengan cepat dan Muhyiddin ada kebebasan menentukannya mengikut keselesaan nya. 

Muhyiddin akan terus berlengah-lengah untuk mengadakan PRU sehingga kedudukan Bersatu dan PN benar-benar diyakini sudah kuat.

Tidak mustahil nantinya darurat akan disambung lagi atau selepas 1 Ogos nanti helah lain pula akan digunakannya.

Yang pasti, meskipun dalam tempoh darurat dan Muhyiddin sendiri selalu bercakap dianya tidak berpolitik dalam tempoh berkenaan atas alasan ingin menumpu untuk melawan Covid19, sebenarnya ketika itulah PN sedang mengukuhkan cengkaman politiknya dengan antaranya membawa Gerakan menyertai gabungan tersebut.

Hakikatnya, ketika orang lain leka atau berjaya dilekakan, di waktu itulah Muhyiddin bermain politik, malah dengan mengadakan pertemuan dengan Presiden Gerakan semalam berhubung kemasukan parti itu ke dalam PN bermakna beliaulah yang pertama menerima keistimewaan kuarantin tiga hari untuk menteri-menteri seperti yang ditandatangani Dr. Adham Baba, walaupun yang membantah peraturan tersebut lebih ramai daripada yang menyokongnya.

Itulah Muhyiddin, seorang yang tidak peduli dengan suara rakyat dan desakan yang tidak memihak kepadanya.

Lebih lama ruang masa terbuka, Muhyiddin akan terus mencari jalan mengukuhkan kedudukan PN dan selepas ini tidak mustahil ada lagi parti-parti lain akan ditariknya untuk bergabung dengan PN.

Atau mungkin, dengan masa yang berlalu itu, UMNO terus dikucar-kacir serta dilemahkan, kalau pun tidak diisytiharkan sebuah parti yang haram atas pelbagai sebab serta hujah perundangan.

Untuk itu, sesuai dengan usul putus hubungan dengan Bersatu sudah diluluskan, UMNO tidak harus bertangguh lagi dalam membuat keputusan menarik sokongannya secara rasmi terhadap Muhyiddin.

Menarik sokongan dan keluar daripada kerajaan ini mesti dilihat sebagai pilihan untuk memastikan survival dan masa depan UMNO semata-mata.

Lebih-lebih lagi, dua Ahli Parlimen UMNO – Ahmad Jazlan Yaakob dan Nazri Aziz sudah pun membuat pengumuman terbuka menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan PN, selain Tengku Razaleigh Hamzah yang sejak awal tidak mengiktiraf keabsahan Perdana Menteri.

Walaupun dengan tiada sokongan daripada tiga Ahli Parlimen UMNO itu sepatutnya Muhyiddin telah jatuh atau secara moralnya mesti meletak jawatan, tetapi beliau ternyata bukanlah seorang pemimpin yang ada perasaan malu.

Maka, jangan dibiarkan Muhyiddin terus ada keselesaan menentukan bila PRU15 hendak diadakan, sebaliknya UMNO sebagai kelompok Ahli Parlimen terbesar dalam kerajaan PN hendaklah memaksa ke atas Perdana Menteri, sesuai dengan keinginan tersebut yang sudah lama digembar-gemburkan.

Dengan secara rasmi UMNO mengumumkan menarik sokongan dan keluar daripada kerajaan, pilihan yang ada bagi Muhyiddin ialah sama ada meletak jawatan atau memohon pembubaran Parlimen.

Kalau Muhyiddin terus berdegil dengan buat-buat sejuk atas alasan sekarang darurat, tindakan UMNO itu setidak-tidaknya akan menarik perhatian Agong untuk bertindak atau berbuat sesuatu untuk menyelesaikan ketidaktentuan kedudukan kerajaan.

Tambahan lagi, dengan Zahid Hamidi dan Najib Razak lebih berwatak sebagai pembangkang kebelakangan ini, keberadaan UMNO terus dalam kerajaan PN terhampak amat janggal, pelik sekali dan mengelirukan ahli di akar umbi.

Ia lebih pelik daripada watak Annuar Musa yang masih bersama UMNO, cakapnya hari-hari ingin memperjuangkan masa depan UMNO, tetapi yang ingin dikekalkannya sebagai Perdana Menteri ialah Muhyiddin daripada Bersatu. (Shahbudindotcom 12/02/2021)

Apa kita tahu mengenai 'akaun rahsia' Umno dan kenapa ia penting?

Malaysiakini

Pihak pendakwa raya dalam saman pelucutanhak terhadap Umno membuat dakwaan mengejutkan pada Rabu lalu bahawa Umno mempunyai akaun 'bank rahsia' yang tidak diaudit untuk menerima sumbangan politik.

Maklumat lanjut dijangka akan didedahkan di mahkamah, tetapi buat masa ini, inilah yang kita tahu mengenainya:

Bilakah akaun ini dibuka?

Menurut The Edge, pendakwa raya memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa akaun tersebut dibuka pada tahun 1988 di Southern Bank cawangan Wisma Genting, Kuala Lumpur.

Southern Bank kemudiannya diambil alih oleh bank CIMB pada tahun 2006.

Tahun 1988 adalah tahun yang sama Umno dibatalkan pendaftarannya kerana mempunyai cawangan yang tidak sah, dan kemudian didaftarkan semula sebagai Umno Baru.

Siapa yang tahu mengenai akaun itu?

Pihak pendakwa berkata pemimpin Umno pada tahun 1988 tahu mengenai akaun itu, termasuk presiden Umno ketika itu Dr Mahathir Mohamad, timbalan presiden Allahyarham Ghaffar Baba, dan bendahari Umno, Daim Zainuddin.

The Edge melaporkan bahawa presiden, timbalan presiden, dan bendahari berikutnya mungkin tahu mengenai akaun tersebut kerana mereka menguruskannya.

Ini menyokong kenyataan Mahathir pada tahun 2015, bahawa semasa menjadi presiden parti, sumbangan politik dimasukkan ke dalam akaun yang dikendalikan oleh tiga orang pemegang amanah termasuk dia sendiri.

Mahathir berkata ketika meletakkan jawatan sebagai presiden, dia mengarahkan wang tunai dalam akaun itu diserahkan kepada penggantinya Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata, dia tidak tahu parti itu mempunyai akaun "rahsia".

Berapa jumlah dalam akaun tersebut?

Dilaporkan akaun itu mempunyai baki RM193 juta pada awal tahun lepas.

Bagaimanapun, The Edge memetik siasatan polis menyatakan bahawa jumlah itu dikeluarkan pada pertengahan tahun lalu dan dipindahkan ke sebuah NGO dikenali sebagai Kelab Prihatin Graduan.

Baki semasa dikatakan lebih RM2,700.

Nama kelab ini juga tidak tertera dalam sebarang pencarian umum.

Namun, terdapat satu lagi persatuan mempunyai nama yang hampir sama iaitu Kelab Graduan Prihatin.

Menurut catatan oleh Kolej Sains dan Teknologi Antarabangsa Melaka minggu lalu, presiden Kelab Graduan Prihatin adalah Shahrul Azuwar Abdul Aziz.

Pada Disember lalu, Harian Metro melaporkan bahawa Shahrul Azuwar penerima darjah kebesaran Melaka disenaraikan sebagai pengarah kewangan Umno dan akauntan BN.

Mengapa ia penting?

Menurut pihak pendakwa raya, polis mendapati bahawa akaun Umno yang disebutkan itu tidak diaudit dan wang tersebut dipercayai tidak pernah dicatat dalam penyata kewangan tahunan Umno.

"Sumbangan politik yang tidak diaudit secara tunai juga melanggar Seksyen 14 (1) (d) dan (db) Akta Pertubuhan 1966," kata pihak pendakwa raya.

Seksyen 14 (1) (d) mensyaratkan bahawa mana-mana pertubuhan yang mendaftar dengan Jabatan Pertubuhan Pendaftaran (ROS) perlu menyediakan penyata akaun tahun kewangan sebelumnya, bersama dengan imbangan duga yang menunjukkan kedudukan kewangan pertubuhan pada akhir tahun kewangan.

Penyata ini mesti diserahkan dalam masa 60 hari selepas mesyuarat agung tahunan diadakan.

Seksyen 14 (1) (db) juga menghendaki bahawa pertubuhan juga perlu mengisytiharkan wang yang diterima dari mana-mana orang, organisasi, pihak berkuasa, kerajaan, atau agensi dari luar Malaysia.

ROS diberi kuasa untuk membatalkan pendaftaran pertubuhan yang dengan sengaja melanggar sebarang undang-undang di bawah Akta Pertubuhan.

Belum Reda Lagi covid-19, Kini Timbul Wabak ‘Misteri’ Muntah Darah Dan Maut

Nana

Belum reda lagi dengan wabak Covid-19, satu lagi berita tentang wabak ‘misteri’ dilaporkan di Tanzania.

Setakat berita ini ditulis, 15 orang sudah meninggal dunia dan dimasukkan ke hospital sudah mencecah 50 orang yang kebanyakannya lelaki. Lebih menakutkan pesakit mengalami muntah darah dan maut akibat penyakit misteri tersebut jika tidak dibawa ke hospital dengan segera.

Sumber Gambar : The Sun

Menurut laporan Daily Mail,  Wabak misteri ini dicatat bukan kali pertama ianya berlaku, penyakit serupa juga dikatakan pernah menyebabkan demam, muntah-muntah dan kesakitan perut di daerah itu pada tahun 2018.

Menurut Kisandu, para pesakit didapati mengalami masalah ulser dan dimaklumkan untuk menjauhi rokok dan minuman keras.

Bagaimanapun Menteri Kesihatan Tanzania, Dorothy Gwajima membantah dakwaan penularan wabak yang dikatakan menyebabkan panik itu

Beliau turut mengarahkan badan perubatan untuk menyiasat kejadian itu, namun menolak dakwaan kewujudan wabak di sana.

Malah, presiden negara itu, John Magufuli juga dikatakan pernah menolak kewujudan virus itu pada Jun tahun lalu.

Firman Allah taala dalam surah Ar Rum ayat 41 yang bermaksud, telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Malah Baginda Rasulullah SAW juga telah menyatakan akan terjadi beberapa perkara dan adalah petanda menjelangnya hari Kiamat termasuklah kematian yang menyerang kamu sekalian bagaikan penyakit yang menyerang kambing sehingga mati tiba-tiba.

Nyata, al-Quran yang diturunkan lebih 1400 tahun dahulu sudah menyatakan segala-galanya dan kita sebagai umat Islam harus mempersiapkan diri dan tidak harus leka dengan tipu daya dunia.

Bila rakyat doakan menteri dihinggapi Covid 19

TAUFEK YAHYA

Ada satu cerita yang tular di media sosial tentang tidak berkesannya Prosedur Operasi Standard (SOP) kerajaan bagi membendung wabak Covid 19 yang melonjak ke empat angkat sejak Januari lalu.

Cerita itu mengisahkan tentang sekumpulan kangaru di sebuah zoo yang kerap terlepas dari kandang. Pada awalnya, pentadbir zoo berkeyakinan bahawa kekerapan kumpulan kangaru itu keluar kandang disebabkan pagar kandang yang tidak cukup tinggi. Kandang kangaru itu dikelilingi pagar setinggi empat kaki; cukup rendah hingga memungkinkan kumpulan haiwan itu melompat melewatinya lantas lepas bebas.

Maka pentadbir zoo pun menambah ketinggian pagar kandang kangaru itu kepada enam kaki. Keesokan harinya kumpulan kangaru itu masih lepas bebas dari kandang sehingga operasi menangkap kawanan haiwan itu terpaksa dibuat. Yakin pagar itu tidak cukup tinggi, maka ketinggiannya ditambah dua kaki lagi menjadi lapan kaki. Namun apa yang memeranjatkan, kawanan kangaru itu masih juga mampu melepaskan diri.

Pentadbir zoo tidak berputus asa lantas meninggikan lagi pagar kandang kangaru itu kepada 12 kaki. Pun keesokan harinya, kawanan kangaru itu masih juga berjaya melepaskan diri menyebabkan pentadbir zoo berada dalam kebingungan. Maka siasatan lanjut pun dibuat bagi mengkaji sebab musabab kawanan kangaru itu mampu melepaskan diri walaupun ketinggian pagar telah ditambah kepada 12 kaki. Mustahil bagi kangaru yang mahir melompat mampu melonjak setinggi itu tanpa sebarang kecederaan. Malah anak kangaru paling kecil juga boleh terlepas.

Si pentadbir zoo pun mengarahkan seorang kakitangan senior menyiasat kejadian itu. Setelah beberapa hari akhirnya misteri itu terjawab. Rupa-rupanya kakitangan baru yang ditugaskan memberi makan kawanan kangaru itu terlupa untuk menutup kembali pintu kandang seusai memberi makan, menyebabkan haiwan-haiwan yang terkurung itu melepaskan diri! Maka sia-sia sahajalah tindakan meninggikan pagar kandang tersebut kerana berapa tinggi pun pagar yang dibina, kawanan kangaru itu tetap mampu melepaskan diri akibat kecuaian petugas berkenaan menutup pintu pagar kandang tersebut!

Begitu jugalah dengan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan bagi membendung wabak Covid 19. Ia seakan tidak berkesan bukan kerana kedegilan orang ramai mematuhinya, tetapi sikap acuh tidak acuh pemimpin kerajaan sendiri dalam mematuhinya. Ibarat ketam mengajar anak berjalan betul dan seumpama ayam jantan, kokok berderai-derai, ekor bergelumang najis.

Sejak awal SOP diperkenalkan kerajaan PN, tindak-tanduk beberapa menteri dan timbalan menteri yang melanggar SOP mendapat perhatian dan kritikan umum. Bermula dengan timbalan menteri kesihatan sendiri yang hadir di suatu majlis tanpa penjarakan sosial dan memakai pelitup muka, membawa kepada menteri berimej lebai yang gagal mengkuarantin diri sekembali dari luar negara, sehingga kepada kenyataan flip-flop menteri kanan pertahanan berhubung kemestian kuarantin bagi penduduk Semenanjung sekembali dari kempen pilihan raya negeri (PRN) Sabah; semua insiden ini menambah amarah rakyat.

Di masa yang sama, orang ramai yang didapati melanggar SOP dikenakan kompaun ribuan ringgit dan dihadapkan ke mahkamah walaupun ada kesalahan yang dilakukan boleh dilepaskan dengan budi bicara penguatkuasa.

Sikap ‘double standard’ dalam pelaksanaan SOP Covid 19 ini berterusan apabila baru-baru ini, menteri kesihatan, Dr Adham Baba mengumumkan bahawa menteri kabinet yang kembali dari lawatan rasmi ke luar negara hanya perlu dikuarantin selama 3 hari dan bukan 10 hari. Peraturan baru itu dibuat melalui Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021.

Menyedari bantahan umum berhubung keputusan kerajaan itu, Dr Adham cuba meredakan keadaan dengan mengumumkan bahawa keistimewaan untuk menteri kabinet itu akan diperluaskan kepada semua pelancong lain, ahli perniagaan dan orang awam yang keluar masuk negara.

Beliau juga mendakwa tempoh kuarantin 10 hari yang ditetapkan sebelum ini telah menjadi penghalang kepada para pelabur, dan juga orang kenamaan asing yang ingin datang ke Malaysia, maka kuarantin tiga hari itu diperkenalkan “untuk memastikan negara dapat membuka ekonomi”.

Kementerian Kesihatan pula menjelaskan hanya menteri kabinet yang melakukan perjalanan dalam ‘gelembung program perjalanan’ (itinerary bubble) yang akan menjalani kuarantin 3 hari, namun alasan ini tidak diterima oleh khalayak ilmuan perubatan tempatan.

Akademi Perubatan Malaysia sebagai contoh mengakui ‘terganggu’ dengan pengumuman Menteri Kesihatan melalui Warta Persekutuan itu malah menggesa kerajaan membatalkan Perintah Pengecualian itu sehingga ada bukti ilmiah yang menunjukkan sebaliknya.

Akademi Perubatan Malaysia, merangkumi 11 kolej dan 15 bahagian, merupakan badan berdaftar mewakili pakar-pakar perubatan Malaysia.

Mereka juga sebulat suara membantah Perintah Pengecualian Menteri Kesihatan dan juga rancangan untuk meluaskan peraturan kuarantin selama 3 hari kepada kelompok tertentu.

“Kami ingin mengingatkan kerajaan bahawa semua SOP perlu berdasarkan pada sains. Tempoh kuarantin untuk pelancong masuk ditetapkan pada 10 hari berdasarkan penelitian yang menunjukkan bahawa risiko penularan sangat rendah (kurang 1 peratus) selepas 10 hari dengan melakukan pemantauan dan ujian.

“Tempoh inkubasi untuk Covid-19 rata-rata lima ke enam hari tetapi boleh selama 14 hari. Oleh itu, tiga hari tidak mencukupi untuk mengesan gejala. Perlu ada penjelasan berdasarkan bukti kesihatan awam untuk keputusan kerajaan mengurangkan hari kuarantin,” kenyataan Akademi Perubatan Malaysia itu dipetik.

Akademi turut mempertikaikan keberkesanan ‘gelembung perjalanan’ seperti dinyatakan pihak kementerian kerana varian baru Covid-19 dengan peningkatan kemampuan penularan pantas di seluruh dunia.

“Kami faham ada desakan untuk membuka kembali ekonomi demi kepentingan rakyat Malaysia dan perniagaan yang sedang berjuang, tetapi ini hanya dapat dilakukan dengan mengawal wabak terlebih dahulu.

“Kerajaan tidak boleh membuka sempadan negara kita untuk delegasi ‘travel bubble’ dan berisiko membawa varian baru yang dapat membanjiri sistem kesihatan kita,” tegas mereka.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Ketua @ Master Akademi Perubatan Malaysia, Profesor Dr Rosmawati Mohamed; Presiden Kolej Pakar Anestesiologi, Dato’ Dr Jahizah Hassan; Presiden Kolej Pakar Pergigian, Profesor Dato’ Dr Lian Chin Boon; Presiden Kolej Pakar Perubatan Kecemasan, Dr Ridzuan Dato’ Mohd Isa;

Presiden Kolej Obstetrik dan Ginekologi, Profesor Datuk Dr Siti Zawiah Omar; Presiden Kolej Oftalmologi, Dr Nur Fariza Ngah; Presiden Kolej Pediatrik, Profesor Dr Thong Meow Keong; Presiden Kolej Ahli Patologi, Profesor Dr Cheong Soon Keng; Presiden Kolej Perubatan, Dr Letchuman Ramanathan; Presiden Kolej Perubatan Kesihatan Awam, Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman; Presiden Kolej Radiologi, Profesor Dr Norlisah Ramli; dan Presiden Kolej Pembedahan, Profesor Dr April Camilla Roslani.

Terdahulu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr M Subramaniam turut tegas membantah perintah menteri berkenaan.

“Ini menyebabkan adanya dwistandard dan MMA mendesak supaya perintah baru itu dicabut dengan serta-merta.

“Pertimbangan yang teliti mesti dilakukan dengan perintah baru yang dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan setiap keputusan dalam menguruskan wabak itu, perlu berdasarkan sains dan bukti,” katanya.

Malah beliau menyifatkan perintah baru menteri itu telah menimbulkan kemarahan rakyat.

“Jika kerajaan mahu rakyat mematuhi SOP dengan tegas, maka ia perlu memimpin melalui teladan dan mematuhi peraturan yang sama. Tempoh kuarantin 10 hari yang sama mesti dilaksanakan kepada semua orang tanpa mengira darjat. Kerajaan perlu menghentikan amalan dwistandard ini,” tambahnya.

Apa yang dinyatakan Dr M Subramaniam bukanlah telahan rambang semata-mata. Hanya beberapa jam kenyataan Dr Adham itu diterbitkan Malaysiakini, laman komen fb portal berita itu dibanjiri komen ribuan netizen yang meluahkan kemarahan mereka.

Malahan ada yang mendoakan agar virus Covid 19 itu menghinggapi semua menteri kabinet dan mereka mati satu demi satu kerana wabak itu. Memanglah komen itu keterlaluan dan tidak sepatutnya dibuat, namun ia dibalas dengan “Aamiiin” (makbulkan ya Allah) oleh ratusan netizen lain.

Kerajaan wajar memandang serius kritikan dan keresahan umum berhubung sikap double standard anggota kabinet, pemuka kerajaan dan pemimpin politik dalam mematuhi SOP membabitkan wabak Covid 19.

Sikap acuh tak acuh dalam mematuhi SOP ini mengakibatkan keyakinan rakyat untuk menghadapi wabak Covid 19 ini semakin pudar. Usaha memerangi Covid 19 menuntut komitmen yang tinggi, pengorbanan dan masa yang panjang.

Dengan indikator ekonomi yang tidak memberangsangkan, sikap flip-flop pemimpin kerajaan menambah garam pada luka yang semakin parah.

Sedarlah dan memimpinlah dengan teladan

Beli air liur Pesakit covid-19 RM280 untuk bunuh majikan

Metro

Agensi

Ankara: Demi menutup kecurian dilakukannya, seorang jurujual kereta di Turki menganiaya majikannya dengan memasukkan air liur pesakit Covid-19 ke dalam minuman mangsa.

Bagaimanapun, mangsa bernasib baik tidak minum minuman berkenaan.

The Sun melaporkan Ramazan Cimen yang bekerja dengan Ibrahim Unverdi selama tiga tahun di Andana, tenggara Turki didakwa cuba membunuh dan mengugut mangsa dan isterinya.

Persengketaan kedua-duanya bermula apabila Unverdi menyerahkan wang hasil jualan kenderaan £21,410 Pound Sterling (RM119,858) kepada suspek untuk dibawa ke pejabat sebelum suspek menghilangkan diri.

Ketika Unverdi menghubunginya Cimen menerusi telefon, pekerjanya dilaporkan memberitahu wang itu sudah diserahkan kepada ceti haram iaitu tempat dia berhutang.

Unverdi mendakwa, seorang kakitangan memberitahu Cimen membeli air liur Covid-19 dengan harga 50 Pound Sterling (RM280).

Dia menuduh suspek mahu membunuhnya dengan meletakkan air liur itu dalam minumannya namun bernasib baik tidak meminumnya.

"Ini kali pertama saya dengar teknik pembunuhan yang pelik," katanya dalam portal The Sun.

Unverdi memberitahu pendakwa raya, Cimen marah selepas insiden itu dilaporkan kepada media.

Harakahdaily kena balun netizen kerana terlebih mengampu

Harga barangan terkawal, media Pas dikutuk secara berjamaah

MALAYSIA DATELINE

Media Pas, Harakahdaily, dikutuk secara berjamaah hari ini apabila menyiarkan berita kononnya kerajaan berjaya mengawal harga barangan keperluan menjelang Tahun Baru Cina kali ini.

Ini kerana, bagi banyak pihak, harga barangan telah naik melambung sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Hisap gam kayu admin Harakah kini?” tulis Mohamad Roslan Awang menerusi Facebook beliau sambil mengepilkan berita Harakahdaily tersebut.

“Gila Harakah. Kalau nak berbohong berpada-pada. Kepala bapak kamu harga terkawal. Kau tak pernah gi pasar dan supermarket ni,” tulis Zainudin Hj Abdul Razak pula.

Ahmad Puaat pula meminta petugas Harakahdaily mengambil buah kismis pula supaya lebih cerdik.

“Kena ambil kismis minda supaya cerdik,” tulis Ahmad.

Shamsul Aziz pula menulis, “Semua harga barang dah naik. Pengarang Harakah ni memang otak biul.”

Ungku Mohd Noor Mahmood pula menulis, “Terlebih mengampu, bersederhanalah wahai tuan hamba. Supaya tampak kebenaran.”

Dua minggu lepas, Utusan malaporkan, kerajaan mengakui terdapat kenaikan harga barangan bagi barang basah termasuk sayur-sayuran di Johor, Perak, Kelantan dan Pahang.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melalui 246 notis bertulis dikeluarkan kepada peniaga susulan pemantauan kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, melalui penguatkuasaan Op Pasar 2021 (sayur-sayuran) selama tujuh hari bermula 12 Januari lalu, sebanyak 258 premis peruncit dan pembekal diperiksa yang melibatkan 743 barangan yang terdiri daripada lima sayur-sayuran utama iaitu tomato, cili merah minyak dan kulai, lobak dan kubis bulat.

“Selain itu, sebanyak 266 premis diperiksa yang melibatkan 2,289 barangan minyak masak pelbagai jenama bagi botol dua kilogram (kg), tiga kg dan lima kg dan hasil daripada pemantauan lanjut aduan kenaikan harga minyak masak juga, sebanyak enam notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dikemukakan kepada peruncit.

“Pemantauan terhadap barang-barang keperluan secara harian dan mendapati terdapat barangan yang mengalami kenaikan harga, penurunan harga dan tiada berlaku sebarang perubahan harga,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pemuda Pas kerah buat laporan polis terhadap Salahuddin Ayub

MALAYSIA DATELINE

Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) mengerah anak buahnya agar membuat laporan polis ke atas bekas ketua mereka, Datuk Seri Salahuddin Ayub kerana tidak membuat laporan ketika ditawarkan sogokan percutian mewah oleh kartel daging.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh DPPM dalam facebook mereka, laporan itu perlu dibuat kerana Salahuddin sepatutnya membuat laporan polis ketika ditawarkan sogokan itu dahulu.

“Jelas, beliau sepatutnya perlu bertindak ketika itu untuk melaporkan kepada pihak SPRM sepertimana termaktub dalam akta SPRM Seksyen 25 (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan bahawa kegagalan untuk melaporkan transaksi penyogokan adalah suatu kesalahan yang “apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya,” kata Pemuda Pas dalam kenyataan itu.

Sebelum ini Salahuddin mengalu-alukan cadangan kerajaan Malaysia untuk menubuhkan Suruhanjaya Penyiasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu kartel daging.

“Saya bersedia bekerjasama,” kata Salahuddin menerusi Twitter beliau ekoran satu laporan polis dibuat ke atas dakwaan beliau ditawarkan percutian mewah ke Eropah oleh kartel daging ini.

Kerahan yang dibuat oleh Pemuda Pas itu mendapat respon negatif dari rakan-rakan mereka dalam Facebook itu.

Wanz Abd Hadi menulis, “Woi kata negara tengah darurat. Berpolitik apa benda bodoh? Kita kene ikut cara islang la dalang benda ni. Dokkang hoktu pong nk keno ayoh cik ajor?”

Ammar Bin Roslan pula menulis, “Parti ni dah macam kuda jadinya. Tunggang selagi boleh."

Ubaidillah Harith Shahrin pula menyindir Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila berkata: “Sumbangan bukang rashuah..itu kena pahang, itu kita kena sedor” -Eddy Bangang-”

Muhamad Syafiq Termizi pula mendakwa Pas sudah menjadi khadam kepada MCA apabila menulis, “Benda bodoh apa lagi yang khadam MCA nak buat ni?”

Mat Yie pula menulis, “Lebai sudah MENTAL, kenapa tak desak cari dalang kartel??? Bangang!!!!”

Siapa ni? Ucapan Tahun Baru Cina cetus persoalan warganet

FAZLI RADZI

Siapa ni? Ucapan Tahun Baru Cina cetus persoalan warganet

Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina esok, pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga dilihat berlumba-lumba meraikan perayaan itu.

Ucapan mereka bukan sahaja dimuat naik menerusi media sosial masing-masing bahkan disiar di platform rasmi kementerian diwakili.

Walau bagaimanapun, ada antara mereka yang siap tampil berbusana tradisional Cina di poster ucapan itu hanya mengundang tanya tanya warganet.

Mereka meninggalkan komentar tidak kenal bahkan baharu tahu kewujudan ahli politik terbabit dalam jawatan kerajaan PN.

Antaranya ialah Timbalan Menteri Pendidikan 1, Muslimin Yahaya yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar, Selangor.

Kemunculan wakil rakyat Bersatu itu dalam poster ucapan perayaan masyarakat Cina itu turut menerima reaksi berbaur sindiran.

“Laaa… Ada timbalan menteri 1? Selama ni di mana?” soal seorang pengguna Twitter.

Mahathir pengganas?

Mohd Mizan Aslam

Definisi pengganas sering menjadi perdebatan pelbagai pihak berkait keselamatan dan kepentingan tertentu. Sejak isu pengganas atau terroris menjadi tren baru di dunia ini, pelbagai entiti menafsirkan keganasan pada kaca mata yang mereka sendiri dan berbeza antara satu sama lain. Malah perbezaan tafsiran juga boleh berlaku di kalangan pengikut dan agensi dalam sesebuah negara. CIA dan FBI juga mempunyai tafsiran berbeza terhadap terroris dan kumpulan berkaitannya, malah Amerika Syarikat dan Malaysia juga memberikan tafsiran yang berbeza. Walaupun PBB telah memberikan satu definisi yang boleh dijadikan rujukan umum, akan tetapi ia bersifat subjektif. Kajian saya menunjukkan tidak kurang 1,000 definisi terroris diberikan oleh pelbagai negara dan entiti berdasarkan kepentingan masing-masing.

Perkataan terrorisme mula diperkenalkan pada kurun ke-18 masihi yang dinamakan terreur iaitu yang diambil dari dalam kamus istilah Perancis. Tahun 1794, Revolusi Perancis atau dikenali sebagai Reign of Terror atau Regime De La Terreur adalah merupakan titik tolak pengenalan istilah terrorisme moden. Tahun 1970 dan 80-an menjadikan terrorisme semakin popular dengan kejadian pengeboman oleh IRA dan Basque di United Kingdom terutamanya di ibukota London. Tahun 1990-an hingga millenium ditandai oleh gerakan Palestin dan Al-Qaeda yang menjadikan terrorisme sebagai alat untuk mencapai agenda politik mereka. Siri-siri pengeboman berani mati, dan serangan terroris semakin berkembang sejak 2000 hingga kini termasuklah dengan lahirnya ISIS dan kebangkitan white supremacy.

Kriteria terroris

Istilah terrorisme pada asalnya ditafsirkan atas tiga kriteria utama iaitu (1)bermotifkan politik, (2) menimbulkan ketakutan dan (3) mengakibatkan kemusnahan. Atas dasar inilah maka pertubuhan seperti IRA, PLO, AQ, ISIS, LTTE, Laska Kristus, KBB, ASG, Boko Haram, JI dan lain-lainnya dimasukkan ke dalam senarai kumpulan terroris. Kemudiannya daftar ini diperhalusi ke atas individu termasuklah Osama Laden, Abu Bakar Al-Baghdadi, Hambali, Umar Patek, Isnilon Hapilon, Azhari, Janjani, Danial San Diego, Asata Shakur dan ramai lagi yang dianggarkan berjumlah ribuan nama yang berada dalam daftar CIA, FBI dan negara-negara tertentu yang mempunyai senarai daftar nama mereka sendiri. Senarai terroris di Malaysia yang telah dipersetujui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN) pastinya berbeza dengan daftar yang ada di Indonesia mahupun Filipina apatah lagi Amerika Syarikat, begitu juga sebaliknya. Akan tetapi senarai nama ini boleh dipersetujui dengan mengangkatnya ke peringkat antarabangsa melalui kerjasama antara negara (G to G) dan senarai merah (Interpol).

Dari masa ke semasa, definisi terrorisme ini diperhalusi lagi hingga memasukkan pelbagai elemen lain seperti anti-semitism, hate-speech dan west-critic sebagai sebahagian daripada ancaman kepada keselamatan dunia. Senarai daftar ini akan ditambah baik dari masa ke semasa dan disebar luas serta dijadikan bahan rujukan kan oleh pelbagai entiti dunia. Antara yang termasuk dalam daftar terbaru ini adalah bekas perdana menteri Mahathir Mohammad. Alasan yang diambil kira dalam memasukkan Mahathir ke dalam daftar ini adalah siri-siri ucapan beliau yang mengkritik Israel dan negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat. Malah reaksi Mahathir yang menyokong dan menggalakkan serangan berbentuk aksi terroris ke atas Perancis dianggap sebagai punca utama beliau dimasukkan dalam daftar terroris ini.

Data dari media sosial

Badan pemikir dan penarafan yang ditubuhkan pada September 2014 oleh Mark Wallace berpangkalan di New York dan mempunyai beberapa cawangan di Brussels dan Kesatuan Eropah, Counter-Extremism Project (CEP) pada 07 Januari 2021 yang lalu telah mengeluarkan senarai baru 20 ekstremis utama dunia termasuklah Mahathir yang diberi ranking ke-14. Mahathir dianggap sebagai individu paling merbahaya, terroris dan extremis yang boleh menggugat keamanan sejagat. CEP membuat penarafan ini berdasarkan ideologi extremis yang dimiliki oleh mana-mana individu tanpa mengira latar belakang agama dan etnik. Metodologi dan sumber data diperoleh secara elektronik melalui sosial media dan YouTube.

Mengetuai senarai terroris tersebut adalah Hassan Nasrallah, setiausaha agung Hezbollah yang menggerakkan serangan ke atas Israel. Seterusnya Amir Muhammad Sa’id Abdal Rahman, komander ISIS, Ismael Haniyah, pemimpin Hamas berada pada kedudukan ketiga. Beate Zchape, National Socialist Underground Organization, German pada kedudukan keempat. Yusuf Qaradawi pada kedudukan kelima. Stanis Anotolyevich dari Russian Imperial Movement pada kedudukan keenam. Ashin Wirathu, pimpinan ekstrem Buddha Myanmar. Jehad Sharwar-al-Shabab, Martin Sellner-Austria, Ahmad Hamidawi-Hezbollah, Adel Bary-Al-Qaeda, Umar Ubaidah-Al-Shabab, Anjem Chaudary-Bristish Imam, Mullah Fateh-Kurdish Iraq, Rinaldo Nazzaro-Russia White Supremacist, Simon Lindberg-Nordic Resistance Movement, Samantha Leiwaithe-London Bombing, Tooba Godal-ISIS dan David Myatt, former Neo-Nazi.

Apa yang perlu difahami di sini adalah subjektiviti dalam klasifikasi terroris dan ekstremis yang dibuat oleh mana-mana entiti di seluruh dunia. Sikap Mahathir yang acap kali menentang Barat dan anti-Semitisme yang dimilikinya adalah merupakan sesuatu yang luar biasa hingga pernah dianggap sebagai jurucakap bagi negara Islam. Akan tetapi reaksi Mahathir yang menggalakkan dan menyatakan bahawa umat Islam mempunyai hak untuk melakukan serangan ganas ke atas Perancis atau mana-mana negara berdaulat adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Ucapan tersebut telah dikategorikan sebagai boleh memberikan ancaman dan menggalakkan serangan terroris tanpa mengatakan bahawa Mahathir itu adalah seorang terroris. Malah sokongan Mahathir untuk kerajaan berdaulat Mindanao juga dipertikaikan oleh CEP sebagai salah satu punca kepada kegiatan terroris dan ekstremis di rantau Asia Tenggara.

Secara holistiknya, daftar yang dikeluarkan oleh CEP ini juga telah menyenaraikan beberapa figur bukan Islam termasuklah ekstremis Buddha dan Barat. Walau bagaimanapun, daftar ini masih boleh dipersoalkan apabila masih ramai ekstremis berhaluan kanan berpangkalan di Asia, Eropah dan Amerika tidak berada dalam senarai tersebut. Brenton Tarrant-insiden serangan di Christchurch, Henry Wolf-American Renaissance, Brendon Russel-Atomwaffen, Commander Jeff Schoep-National Socialist Movement, Wadwa Singh-Babbar Khalsa, Mohan Bhagwat-Rashtrya Swayamsevak, Kalora-Mujahidin Indonesia Timur, Trump - mantan Presiden Amerika Syarikat dan ramai lagi. Senarai ini akan diperbaiki setiap tahun dengan nama-nama baru yang akan melahirkan global stigma.

Apa yang jelasnya, sesiapa sahaja boleh dimasukkan dalam daftar ini jika berani menghentam Barat dan Israel terutamanya. Malah siri-siri ucapan yang lantang dan keras oleh Presiden Turki, Erdoggan juga memungkinkan beliau dimasukkan ke dalam senarai pengganas ini. Walaupun Mahathir dan nama-nama lain yang berada dalam daftar oleh CEP, tidak semestinya masuk ke dalam daftar CIA atau FBI ataupun mana-mana negara. Akan tetapi apa yang pastinya, daftar ini boleh dijadikan sebagai rujukan atau precedent untuk mengaitkan Mahathir sebagai seorang ekstremis dan terroris. Walau spa pun alasannya, tidak seharusnya ucapan yang menggalakkan keganasan ke atas mana-mana pihak dilakukan oleh sesiapa sahaja. Kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyemarakkan rasa benci dan dendam hingga melahirkan tindakan keganasan.


MOHD MIZAN ASLAM (PhD) berkhidmat di Pusat Kajian Terrorisme dan Ekstremisme, Naif Arab University for Security Sciences di Riyadh, Arab Saudi.

Ebit Lew taja RM40,000 bantu pelajar cemerlang sambung pengajian

Bernama

Tajaan itu membabitkan tempoh pengajian selama dua tahun setengah termasuk penginapan Nurul Asma Alya yang juga bekas pelajar Kolej Profesional Mara (KPM) dengan kelulusan 3.95 CGPA. (Gambar Facebook)

KOTA BHARU: Pendakwah terkenal, Ebit Lew menaja sepenuhnya kos pengajian sebanyak RM40,000 bagi pelajar cemerlang Nurul Asma Alya Mohd Zainal, 22, untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dalam bidang perakaunan.

Menerusi perkongsian di Facebook miliknya, Ebit memaklumkan tajaan itu membabitkan tempoh pengajian selama dua tahun setengah termasuk penginapan Nurul Asma Alya yang juga bekas pelajar Kolej Profesional Mara (KPM) dengan kelulusan 3.95 CGPA.

Beliau turut menziarahi keluarga pelajar itu di kediamannya di Tumpat hari ini bagi menyampaikan berita gembira tersebut.

“Pagi ini ke Tumpat. Saya sampai dekat pintu, terus adik Nurul Asma Alya dan maknya menangis kuat. Ya Allah doa saya dikabulkan. 

“Saya akan taja penuh RM40,000 lebih untuk dua tahun setengah termasuk penginapan,” katanya dipetik menerusi laman sosialnya itu.

Sementara itu, Ebit Lew turut memaklumkan Nurul Asma adalah antara pelajar cemerlang ketika menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat dan mendapat keputusan cemerlang ketika melanjutkan pelajaran peringkat diploma di KPM.

Dalam perkongsian itu, Ebit turut memaklumkan beliau menghadiahkan komputer riba serta kelengkapan internet selama setahun secara percuma bagi memudahkan pembelajaran pelajar tersebut.

“Kami hadiahkan juga laptop (komputer riba) dan ‘router’ serta ‘Wi-fi’… Wi-fi oleh Digi free setahun. Beri sedikit duit sumbangan buat mak adik ini. Saya jadi sedih sebab keluarga ini asyik menangis cakap terima kasih. Semoga esok-esok, adik dapat bahagiakan mak dan bantu ramai orang di luar sana,” katanya.

Ebit turut menzahirkan terima kasih kepada masyarakat setempat dan semua pihak yang membantu keluarga Nurul Asma Alya termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pusat zakat, badan bukan kerajaan (NGO), penghulu, ketua kampung dan media.

Terdahulu, cerita itu tular di laman media sosial dan mendapat hampir 4,000 perkongsian yang rata-rata memuji tindakan pendakwah terkenal itu yang sering membantu tanpa mengira agama dan bangsa dan dilihat pantas dalam melakukan kerja amal dan sumbangan.

Sebelum ini, media melaporkan kesedihan pelajar cemerlang di Kampung Banggol Petani, Wakaf Bharu di Tumpat kerana terpaksa melupakan cita-cita melanjutkan pengajian di peringkat ijazah perakaunan di luar negara kerana masalah kewangan.

Polis bantu kanak-kanak penjual keropok jadi tumpuan di TikTok

Willie Jude

Tangkap layar video memaparkan dua anggota polis dari IPD Kota Kinabalu membantu seorang kanak-kanak penjual keropok.

KOTA KINABALU: Dua anggota polis dari IPD Kota Kinabalu membantu seorang kanak-kanak penjual keropok nampaknya tidak boleh terlepas daripada perhatian orang-ramai apabila aksi mereka dirakam dan tular di TikTok.

Video berdurasi 42 saat itu yang tular sejak semalam memaparkan dua peronda bermotosikal memberi nasihat kepada kanak-kanak berkenaan dan menghulurkan sumbangan ikhlas sebagai pendorong semangat.

Difahamkan, dua anggota berkenaan ketika meronda sekitar Jalan Api-Api Centre sekitar 3.40 petang ternampak kanak-kanak berkenaan sedang berjalan seorang diri.

Bimbang akan keadaannya, mereka memanggilnya untuk ‘disoal’. Kanak-kanak itu beritahu dia sedang menjaja keropok kerana perlu berdikari untuk membantu keluarga.

Selepas dibantu, kanak-kanak itu kemudian dinasihatkan supaya berhati-hati dan diminta terus pulang ke rumah demi keselamatannya.

“Ini yang seharusnya menjadi viral kerana ramai orang boleh belajar sesuatu yang baik lebih-lebih lagi pada masa kini ada benda yang tidak sepatutnya pula menjadi viral,” kata seorang pengguna Tik Tok, lovebleboy3.

Seorang lagi, Anik Mrhida, pula berkata, “Ada polis di luar sana yang mempunyai pemikiran sangat baik, saya sangat menghormati polis seperti ini”.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Habibi Majinji, mengesahkan kejadian tersebut, dan berkata polis akan membantu sesiapa saja selagi termampu di samping menjaga keselamatan.

Polis antirusuhan dikerah ke Maeps, lepas pesakit 'kantoi' curi telefon

Malaysiakini 

Sepasukan anggota polis antirusuhan daripada unit Light Strike Force (LSF) telah dikerahkan ke pusat kuarantin berisiko rendah Covid-19 di Maeps, Serdang malam tadi.

Ini selepas berlaku kekecohan antara pesakit mengenai kejadian kecurian telefon bimbit.

Kejadian pada jam 10.30 malam itu tercetus apabila sekumpulan pesakit menahan dua pesakit lain kerana disyaki mencuri empat peranti komunikasi itu.

Ketua Polis Daerah Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata polis dikerahkan untuk mengawal keadaan setelah pihaknya dimaklumkan oleh doktor.

"Ketika pengadu (doktor) sedang bertugas di Dewan C PKRC Maeps, telah berlaku kekecohan dikalangan pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di dewan tersebut.

"Pengadu kemudiannya telah mengaktifkan kod oren dan meminta bantuan daripada pihak polis bertugas bagi meredakan keadaan.

"Pengadu telah menjalankan temub ual dikalangan pesakit mendapati bahawa, berlaku kecurian beberapa buah telefon bimbit dikalangan pesakit.

"Pesakit berkenaan kemudiannya telah menahan dua lelaki yang juga merupakan pesakit di dewan berkenaan kerana disyaki telah mencuri telefon bimbit pesakit yang lain.

"Suspek telah dipindahkan ke Dewan DG bagi tujuan keselamatan. Pengadu juga telah merampas empat buah telefon bimbit disyaki telah dicuri oleh suspek," katanya pada satu kenyataan media hari ini.

Menurut Kamarul, dua suspek itu akan menghabiskan tempoh kuarantin sebelum dipindah ke lokap polis.

Siasatan awal polis mendapati seorang suspek akan menamatkan tempoh kuarantin hari ini, manakala seorang lagi suspek pada esok hari.

Empat telefon bimbit yang dipercayai dicuri oleh suspek kini disita pasukan penyiasat.

Beberapa klip video pendek tular di platform media sosial termasuk Tik Tok dan Facebook, menunjukkan anggota polis memakai alat pelindung diri (PPE) dengan kelengkapan antirusuhan menangani keadaan tersebut.

Dalam salah satu video tersebut, polis dilihat mengiringi suspek keluar dari dewan, manakala dapat didengar pesakit lain bersorak dengan kuat.

Umno bakal diharamkan?

Gesa JPPM siasat akaun bank rahsia: Pemimpin PPBM tidak perlu terburu-buru haram Umno

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pimpinan Umno mengingatkan kepimpinan PPBM supaya tidak terburu-buru untuk mengharamkan Umno berikutan dakwaan parti Melayu itu mempunyai akaun bank rahsia.

Anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, menggunakan alasan teknikal untuk mengharamkan Umno adalah perbuatan yang tidak “gentleman”.

“Saya yakin Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) tahu bidang kuasa kerja mereka.

“Sebaliknya PPBM hendaklah ‘melawan’ Umno dengan memenangi hati rakyat, bukan dengan berusaha menumbangkan parti yang ditubuhkan oleh rakyat ini sejak tahun 1946,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, JPPM digesa menyiasat dakwaan yang dibuat di mahkamah bahawa Umno mempunyai akaun bank rahsia yang tidak diaudit yang melanggar Akta Pertubuhan.

Gesaan itu dibuat oleh anggota Majlis Tertinggi PPBM Muhammad Faiz Naaman.

Dakwaan berhubung akaun bank rahsia itu dibuat oleh pihak pendakwaan dalam saman sita pelucutan harta berkaitan 1MDB oleh kerajaan terhadap Obyu Holdings.

Dalam pada itu, Razlan berkata, secara tersirat Faiz cuba “menunjuk pandai” dengan mengajar Setiausaha Agung, PPBM, Hamzah Zainudin mengenai cara bekerja sebenar sebagai menteri dalam negeri.

Katanya, mungkin ini salah satu sebab mengapa banyak parti yang cuba didaftarkan tidak diluluskan oleh JPPM.

“Rupa-rupanya ada campur tangan daripada pimpinan PPBM di Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.

Razlan juga berkata, rakyat juga tahu bahawa PPBM kini menjadi “tempat mencuci dosa” Ahli Parlimen yang mempunyai rekod buruk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mereka yang mempunyai kes jenayah yang lain.

Katanya, kes berkaitan dadah hanya dilaporkan sekerat jalan sahaja di dada akhbar.

“Begitu juga dengan pertanyaan daripada rakyat mengenai ke mana hilangnya Tabung Harapan yang dipungut untuk membantu membayar hutang negara.

“Sehingga kini tidak diisytiharkan ke mana aliran wang tersebut jika benar digunakan untuk tujuan asal.

“Banyak lagi pertanyaan yang masih tidak terjawab, termasuk juga dengan kewujudan pejabat PPBM yang naik macam cendawan di seluruh negara. Dari mana datang duit banyak-banyak ini,” katanya.

Razlan juga mengingatkan pimpinan PPBM bahawa Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri pada masa ini atas “ehsan” Umno.

Katanya, menteri yang kini mendapat kecaman teruk daripada rakyat berhubung pelbagai kenyataan tidak mesra rakyat juga terdiri daripada pemimpim PPBM.

“Umno tidak terpalit dengan banyak keputusan yang tidak mesra rakyat.

“Rakyat akan menghukum anda kerana riak dan dasar tidak peduli rakyat,” katanya.

Razlan yang juga naib ketua Umno Bahagian Seputeh berkata, sekiranya PPBM tewas pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), maka beliau tidak menolak kemungkinan kepimpinan parti itu juga juga akan didakwa oleh pihak lawan.

“Ketika itu, jangan tuduh Umno punya kerja pula kerana sehina-hina Umno, kami telah meluluskan penubuhan PPBM dan tidak pula mengharamkan parti ini.

“Banyak kes projek ‘direct award’ daripada kementerian di bawah PPBM menjadi siasatan SPRM. Jangan lupa,” katanya.

Hadi tak berakhlak kata Nik Aziz juga akan kerjasama dengan Umno

SITI NUR ZAWANI MISCON

Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang tidak berakhlak apabila cuba mengaitkan keputusan parti itu bekerjasama dengan Umno, sebagai tindakan yang turut akan dilakukan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat jika masih hidup.

Walhal kata Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, Almarhum Nik Aziz telah berulang kali menegaskan bahawa Pas tidak akan bekerjasama untuk kali kedua selepas siri pengkhianatan yang dilakukan Umno sekitar 1970an.

“Bagi saya ini tak berakhlak (kerana) kamu nak kaitkan almarhum Tok Guru Nik Aziz dengan sikap yang kamu tunjukkan sendiri. Sedangkan kamu sendiri tahu bahawa tok guru tak setuju.

“Yang dulu (bekerjasama) dilakukannya kerana negara dalam darurat 13 Mei 1969. Bukan isu Covid-19. Bukan isu kerajaan khianat yang tiada majoriti.

“(Kerjasama dahulu kerana) negara berada dalam keadaan rusuhan dan darurat. Maka dalam keadaan itu untuk nak jaga keamanan, (kerjasama) telah pun dipersetujui,” jelasnya dalam satu temubual di Jom Channel malam tadi.

Hadi dalam satu klip video baru-baru ini mendakwa, semasa peristiwa berdarah 13 Mei 1969, Almarhum Nik Aziz telah bersetuju menyertai kerajaan campuran bersama Umno dan membentuk Barisan Nasional (BN) kerana mahu menyelamatkan negara yang sedang huru-hara.

Menurutnya, keputusan sama diambil ketika ini kerana mempercayai bahawa Almarhum juga akan melakukan perkara yang sama untuk menyelamatkan negara dari wabak Covid-19.

Sementara itu Khalid, bekas AJK Pas Pusat itu mendakwa, Hadi cuba mengambil separuh sahaja dari kata-kata almarhum Nik Aziz kerana hakikatnya almarhum berkali menegaskan tidak akan melakukan lagi kerjasama tersebut.

“Kita semua tahu bahawa selepas (kerjasama) itu, alhamarhum tak setuju dan tak sanggup bekerjasama dengan Umno sekali lagi kerana pengalaman pahit di mana Pas telah dikhianati.

“Tok guru kata kita dah bertahun-tahun berjuang nak jatuhkan Umno dan tiba-tiba bila Umno dah nak jatuh, kita pula nak pergi tolong. Kenapa Hadi tak sebut benda itu.

“Hadi bawa hujah mengatakan tok guru pun setuju, ini memang tak ada akhlak. Bagi pandangan saya, Hadi tak mempunyai satu moraliti atau akhlak yang melayakkan dia untuk memimpin parti Islam,” katanya lagi

Lelaki saman polis, dakwa ditangkap cara tak sah kes serangan parang

Faisal Asyraf

Seorang lelaki Sarawak memfailkan saman terhadap seorang pegawai polis berpangkat inspektor yang didakwa melakukan penangkapan tidak sah terhadap dirinya, abangnya dan anak saudaranya.

Dia menamakan Inspektor Wong Shung Ming dan juga Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador sebagai defendan dalam saman tersebut.

Thung Hun Chai, 40, mengemukakan tuntutan itu melalui peguamnya Simon Siah di Mahkamah Tinggi di Kuching pada Selasa, 9 Februari.

Siah memberitahu Malaysiakini ketiga-tiga plaintif dalam saman itu ialah abang kepada Hun Chai, Thung Phan Fung, 50 tahun; dan anak-anak Phan Fung, Thung Qi Kai dan Thung Qi Zhi, masing-masing berumur 25 dan 23 tahun.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dan kerajaan Malaysia juga disebut sebagai defendan dalam saman tersebut.

Menurut pernyataan tuntutan Hun Chai, sepasukan polis mengetuk pintu rumahnya di Kuching pada 26 Julai tahun lalu.

Para pegawai berkenaan bertanya jika dia kenal seorang bernama Jee Hon Chong.

Menurut Hun Chai, lelaki itu dikenalnya sebagai pengarah eksekutif sebuah syarikat yang dia pernah berurusan.

"Berdasarkan jawapan itu, saya ditangkap oleh polis, dan saya tidak diberitahu dengan segera mengenai alasan penangkapan saya," katanya.

Hun Chai mengatakan semasa siasatan berikutnya, dia mendapat tahu penangkapannya kerana seorang Jimmy Lee Shing Choi telah memfailkan laporan polis bahawa orang yang tidak dikenali telah menyerang Jee dengan menggunakan parang.

Hun Chai mendakwa namanya atau penglibatannya tidak disebut dalam laporan polis itu dan dia menafikan ada kaitan dengan kejadian itu.

Empat hari kemudian, abangnya Phang Fung juga ditangkap.

Pada 1 Ogos, Hun Chai mengatakan majistret Zubaidah Sharkawi memutuskan bahawa polis gagal membuktikan sebarang hubungan antara dia dan kejadian yang didakwa. Dia dibebaskan pada hari itu.

Anak saudara kena cekup

Bagaimanapun, pada 5 Ogos, Hun Chai mendakwa polis menangkap anak saudaranya Qi Kai dan Qi Zhi.

"Polis telah menyalahgunakan kuasa mereka dengan 'menebar jala seluasnya' dan menangkap serta menahan seseorang tanpa terlebih dahulu melakukan penyiasatan yang sewajarnya.

"Penggunaan kuasa polis yang sewenang-wenangnya telah menyebabkan nama baik dan reputasi keluarga saya dan diri saya rosak terjejas," katanya.

Menurut Hun Chai juga, hakim Mohd Syukri Mokhtar telah membebaskan Phang Fung, Qi Kai dan Qi Zhi kerana dia mendapati ketiga-tiga orang itu tidak ada kaitan dengan kejadian yang didakwa.

Meanwhile, Sarawak police commissioner Aidi Ismail confirmed that the plaintiffs were arrested last year in relation to a case but they were released after there was no evidence linking them to their alleged involvement in the incident.

Siah mendakwa Hun Chai dan Jee berselisih mengenai sejumlah wang, tetapi surat tuntutan itu hanya dikirim ke pejabat Hun Chai ketika dia ditahan di lokap.

Plaintif pertama (Hun CHai) tidak tahu bahawa surat tuntutan telah dikirim kepadanya.

"Kami belum diberitahu mengapa mereka ditangkap dan bagaimana mereka dikaitkan dengan cubaan membunuh," katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Aidi Ismail mengesahkan bahawa plaintif telah ditangkap tahun lalu.

Jelas Aidi, penangkapan itu berkaitan dengan satu kes tetapi mereka dibebaskan setelah tiada bukti mengaitkan mereka dengan dakwaan terlibat dalam kejadian berkenaan.

Nelayan jumpa mutiara RM1.39 juta ditahan polis

MetroGlobal

Agensi

Bangkok: Seorang nelayan miskin yang menemui mutiara oren Melo bernilai 250,000 pound (RM1.39 juta) di Thailand, ditahan polis selepas didakwa menganjurkan parti dadah bagi meraikan kekayaan baharunya.

Akhbar tempatan melaporkan, Hatchai Niyomdecha, 37, menjemput rakan-rakannya ke rumah di Nakhon Si Thammarat, Thailand pada Jumaat lalu selepas ditawarkan jumlah wang berkenaan bagi mutiara yang jarang ditemui.

Polis Thailand berkata, pihaknya merampas beribu-ribu pil methamphetamine di rumah nelayan itu ketika melakukan serbuan selepas menerima aduan daripada jiran mengenai bunyi bising.

Nelayan warga Thailand itu menjadi tajuk utama akhbar di seluruh dunia selepas menemui mutiara Melo yang juga dikatakan paling mahal di dunia, ketika mengutip cangkerang bersama keluarganya di sebuah pantai berhampiran rumahnya.

Polis merampas dua kotak yang mengandungi bahan tidak diketahui dan sebuah kotak mengandungi kira-kira 16,000 pil methamphetamine ketika melakukan serbuan di rumah nelayan itu.

Hatchai menafikan kotak itu miliknya namun polis menemui cap jari nelayan itu pada kotak berkenaan selepas menjalankan ujian forensik terhadap bungkusan terbabit.

Dalam pada itu, Kolonel polis Chokdee Srimuang berkata, pihaknya masih sedang menyiasat Hatchai mengenai rampasan pil dadah berkenaan.

Lelaki disyaki bunuh isteri pertama lepas 'kantoi' video Tik Tok

Malaysiakini 

Seorang lelaki disiasat atas tuduhan membunuh isteri pertamanya, setelah terlibat dalam pergaduhan berkenaan satu rakaman video Tik Tok membabitkan lelaki berkenaan dengan isteri keduanya.

Berdasarkan kenyataan polis, suspek utama, lelaki warganegara asing berusia 29 tahun, mengaku berkali-kali menumbuk dan menampar mangsa, seorang wanita warganegara asing berusia 40 tahun, sehingga tidak bergerak, sebelum meninggalkan tempat kejadian.

“Suspek utama mengaku telah bergaduh dengan mangsa pada 8 Feb jam lebih kurang 10 malam apabila mangsa telah melihat suspek utama membuat video Tik Tok bersama suspek kedua (dikatakan isteri keduanya).

“Dalam pergaduhan tersebut, suspek telah menumbuk dan menampar mangsa berkali-kali hingga mangsa tidak bergerak lagi.

“Seterusnya, suspek membiarkan mangsa sendiri dan terus keluar dari rumah menuju ke Klang,” kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal dalam satu kenyataan hari ini.

Kat Nik Ezanee, polis menemui kesan lebam di tubuh mangsa setelah menerima makluman orang awam tentang kematian mangsa di Flat Pelangi Damansara, Petaling Jaya, pagi semalam.

Katanya, punca kematian masih belum dikenal pasti, namun mayat mangsa telah pun dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.

Menurutnya lagi suspek utama ditangkap pada jam 3.10 petang semalam di sebuah tapak pembinaan di kawasan Stadium Kuala Lumpur.

Ia membawa kepada penahanan suspek kedua beberapa jam kemudian, seorang wanita warganegara asing berumur 45 tahun di sebuah tapak pembinaan di Taman Klang Utama, Klang.

“Suspek kedua mengaku beliau adalah isteri kedua kepada suspek utama sejak bulan November 2020,” kata Nik Ezanee.

Polis turut merampas beberapa barang daripada suspek pertama iaitu beg galas mengandungi wang tunai RM200, dua utas jam tangan, serangkai kunci, powerbank; pakaian suspek; dan dua buah telefon bimbit - salah satunya merupakan milik mangsa.

Daripada suspek kedua pula, polis merampas beg pinggang mengandungi wang tunai RM728 dan serangkai kunci; sebuah telefon bimbit; seutas rantai emas dan sepasang anting-anting emas.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama enam hari dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Umno ada akaun rahsia yang tidak diaudit bagi derma politik - Pendakwa

Hidir Reduan Abdul Rashid

Umno mempunyai akaun rahsia yang tidak diaudit bagi menerima sumbangan politik, kata pendakwa raya hari ini.

Perkara itu didedahkan ketika pihak pendakwaan menyanggah dakwaan bahawa wang tunai RM114.16 juta, yang dituntut oleh bekas perdana menteri Najib Razak dan Umno dalam saman pelucutanhak berkaitan 1MDB terhadap Obyu Holdings, adalah milik parti itu.

Dalam hujah bertulis oleh timbalan pendakwa raya Faten Hadni Khairuddin hari ini, pihak pendakwa mendakwa ini kerana sebilangan pemimpin Umno sendiri menafikan mereka tahu mengenai dana tersebut.

Pihak pendakwaan mendakwa bahawa kenyataan polis yang dirakam dari beberapa pemimpin parti, seperti bekas setiausaha agung Tengku Adnan Tengku Mansor, dan bendaharinya, Ahmad Husni Hanadzlah dan Salleh Said Keruak, menafikan mereka tahu bahawa Najib sepatutnya menyimpan wang berkenaan bagi pilihan raya umum 2014.

Mereka mendakwa bahawa dana itu adalah hasil aktiviti haram dan berasal dari 1MDB.

Pihak pendakwaan berpendapat adalah mustahil presiden parti sekarang, Ahmad Zahid Hamidi mendakwa wang tunai berjumlah RM114.6 juta itu adalah dana Umno kerana ia terdiri daripada mata wang asing.

"Wang itu dijumpai daripada 35 beg yang dirampas oleh polis seperti yang disahkan oleh Superintendan Foo Wei Min dalam afidavitnya daripada serbuan itu. Ia juga terdiri dalam pelbagai mata wang dan pelbagai denominasi.

"Ahmad Zahid sendiri menafikan sumbangan politik itu dalam mata wang yang berbeza, ”dakwa pihak pendakwaan dalam hujah bertulis bagi menyanggah Najib dan Umno yang mahu mendapatkan semula aset yang dirampas.

Pasukan pendakwaan - yang diketuai oleh DPP Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi berkata terdapat akaun rahsia yang tidak diaudit yang disimpan oleh Umno di sebuah bank di Malaysia.

Mereka berpendapat keberadaan akaun yang tidak diaudit itu merupakan kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966, dan dengan itu tiada keperluan bagi Najib menyimpan sejumlah besar dana dalam pelbagai mata wang asing secara peribadi.

"Ahmad Zahid, Tengku Adnan, Ahmad Husni dan Salleh, yang mana keterangan mereka telah direkodkan, menafikan adanya sebarang sumbangan politik dalam bentuk mata wang asing.

“Malah, bukti dari bendahari Umno (tidak disebutkan namanya) terdapat satu lagi akaun bank tidak rasmi dan tidak diaudit yang telah digunakan oleh Umno sejak tahun 1988 untuk menerima sumbangan politik.

"Sumbangan politik yang tidak diaudit secara tunai juga melanggar Seksyen 14 (1) (d) dan (b) Akta Pertubuhan.

"Tuntutan Umno sebagai pemilik (RM114,164,393.44) bercanggah dengan saksi dari parti itu sendiri dalam keterangan saksi mereka. Tuntutan ini, jika benar jelas melanggar pelbagai peruntukan dalam perlembagaan parti itu.

“Wang tunai yang tidak dihitung, tidak diverifikasi dan tidak diaudit juga menyalahi pelbagai peruntukan dalam Akta Pertubuhan, yang boleh mengakibatkan Umno dibatalkan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan, ”dakwa pihak pendakwaan.

Najib tetap mengelak dan enggan mendedahkan identiti penderma berkenaan walaupun dalam prosiding yang berlangsung di mahkamah. 

Pihak pendakwa berhujah bahawa jika benar wang tunai yang dirampas itu adalah derma politik, pastinya tidak sukar bagi Najib untuk mendedahkan sumber dan identiti penderma.

"Dakwaan yang dikemukakan oleh Najib dan Umno bahawa wang tunai yang dirampas adalah derma politik adalah lemah jika dibandingkan dengan bukti yang menunjukkan sebaliknya," katanya.

Pada 3 September 2019, Najib adalah antara pihak ketiga yang mencelah dalam saman pelucutanhak melibatkan wang tunai dan barangan kemas yang disitaoleh pihak berkuasa dari Pavilion Residences di Kuala Lumpur pada tahun 2018.

Pihak ketiga yang lain dalam saman pelucutanhak tersebut adalah isteri Najib, Rosmah Mansor, Umno dan syarikat barangan kemas Global Royalty Trading SAL.

Najib dan Umno, melalui peguam mereka Muhammad Shafee Abdullah dan Hariharan Tara Singh, akan membalas hujah pendakwaan semasa prosiding di mahkamah pada 11 dan 15 Mac.

Hajat Pas, Bersatu bertanding PRN12 Sarawak terbantut

RAYMOMD LUI

Hajat Pas dan Bersatu untuk meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) Ke-12 tidak kesampaian apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) menolak sebarang rundingan dengan komponen parti Perikatan Nasional (PN).

Menerusi kenyataan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, beliau berkata GPS bakal menolak sebarang rundingan dan meletakkan calon komponen PN di negeri ini.

Dengan kenyataan itu, ia adalah satu tamparan hebat kepada Pas dan Bersatu yang bercita-cita mahu meletakkan calon pada PRN12 nanti.

Kronologi sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr. James Jemut Masing telah mengeluarkan kenyataan bahawa GPS tidak mahu Pas, Bersatu atau mana-mana komponen dalam PN bertanding di Sarawak.

Kenyataan Masing itu pernah disuarakan beliau kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada pertemuan yang berlangsung di Kuala Lumpur Julai tahun lalu.

Malah, jaminan itu turut dinyatakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mesyuarat pemimpin 12 parti diadakan ketika itu.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Pas Sarawak, Jofri Jeraiee menegaskan tetap bersedia meletakkan calon di negeri ini khususnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu/Melanau Islam.

Beliau sebelum ini turut memaklumkan bahawa peluang Pas Sarawak di kerusi DUN Beting Maro amat cerah berdasarkan keahlian yang dimiliki di kawasan terbabit.

Semalam, Abdul Karim dipetik dalam Bernama berkata, mana-mana parti yang bukan berasal dari Sarawak, sama ada yang berkongsi perjuangan yang seiring dengan GPS di peringkat nasional atau sebaliknya, tidak diperlukan untuk masuk dan bertanding dalam pilihan raya negeri ini.

Parti komponen PN adalah terdiri daripada Bersatu, Umno, Pas, MCA, MIC dan beberapa parti lain di Sabah selain kumpulan Dato’ Seri Azmin Ali.

Berdasarkan Perlembagaan Negeri, PRN12 Sarawak perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, dan penggal ke-11 DUN Sarawak ini akan tamat pada 6 Jun ini.

Bagaimanapun, sebarang Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) mahupun Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak boleh diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan proklamasi darurat sehingga 1 Oktober depan.

Ada pegawai menteri berotak bingai, kata bos Karangkraf

Zikri Kamarulzaman

Ketua Kumpulan Karangkraf Hussamuddin Yaacob meluahkan rasa bengang terhadap pegawai sebuah kementerian yang didakwanya melakukan ugutan bagi menghalang kebebasan media.

Katanya, pegawai berkenaan mengugut untuk menamatkan kontrak pengiklanan jika media memberikan ruang kepada individu tertentu dalam laporan mereka.

"Rupanya di tahun 2021 pun masih ada pegawai menteri/kementerian yang berotak bingai, siap boleh ugut media untuk batalkan kontrak iklan dari kementerian tempat dia bertugas jika media beri ruangan kepada si polan dan si polan. Siap ugut nak boikot lagi. Ingat boleh tongkat langit ke?" katanya menerusi Twitter.

Karangkraf merupakan penerbit bagi akhbar berbahasa Melayu Sinar Harian.

Ketika dihubungi Hussammuddin enggan menjelaskan secara terperinci mengenai ugutan tersebut.

Dalam tweet berasingan, dia berkata kerajaan BN dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini tidak pernah membuat ugutan sedemikian.

"Kami buat akhbar bebas (Watan/ Eksklusif/ Sinar Harian) sejak tahun 80-an lagi. BN/PH pun tak berapa suka dengan pendirian kami, tapi mereka tak pernah ugut malah siap engaged kami. Hubungan kekal mesra, walaupun "benci tapi rindu". Geng baru ni lain macam pula. TSMY (Tan Sri Muhyiddin Yassin) kena tengok-tengok juga," tambahnya.

Bercakap dengan Malaysiakini, Hussammuddin berkata laporan berita tidak sepatutnya menjadi alasan untuk menamatkan kontrak sesuatu iklan.

Ini kerana katanya, iklan dan berita adalah dua perkara berbeza.

"Jika iklan yang disiarkan tidak ikut spesifikasi perjanjian, bolehlah pertikaikan.

"Media harus bebas menyiarkan berita selagi tidak menggangu ketenteraman awam dan tidak menghina raja dan agama atau boleh menyemarakkan api perkauman. Juga tidak fitnah," katanya.

Opah kini sama agama

Metro

Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: "Malam tadi (kelmarin) saya bermimpi didatangi seorang perempuan berpakaian putih bercahaya mengajak saya masuk Islam.

"Badannya, bajunya, mukanya berkelip-kelip, bersinar, dia cakap agar saya jangan risau, dia boleh tolong ajarkan (tentang Islam), lepas tu saya terbangun dan rasa macam tak percaya tetapi sangat gembira," kata saudara baru, Lucy Nawi, 59, ketika ditemui di rumahnya di Tanah Merah Site C, Chuah di sini, semalam.

Katanya, mungkin kerana sebelum ini dia memberitahunya hasrat mahu memeluk agama yang suci ini sudah lama kepada Ketua Muslimat PAS Port Dickson, Bashariah Shaari yang mengunjunginya bagi menghantar bantuan barangan makanan harian.

"Pagi tadi (semalam) dia datang lagi ke rumah saya terus membawa saya ke Pejabat Agama Islam Port Dickson dan saya mengucapkan dua kalimah syahadah yang disempurnakan Mudir Pondok Moden Darul Solah, Ustaz Mahfuz Roslan bersaksikan pegawai pejabat Agama.

"Sebaik saya melakukannya, terasa seperti sangat bahagia kerana akhirnya hasrat saya tercapai di usia emas. Baru saya rasa bagaimana seronoknya seolah-olah baru dilahirkan," kata nenek kepada dua cucu, Jhoshua Arifazul Akhbar, 13, dan adiknya Siti Madinatul Zulhaziah, 9.

Tahun lalu, Harian Metro menyiarkan kisah Lucy yang beragama Kristian menjaga dua cucunya yang beragama Islam.

Lucy berkata, dia berminat menggunakan nama 'Aisyah' seperti yang dicadangkan Yang Dipertua PAS Port Dickson, Ustaz Abdul Fatah Zakaria sempena nama isteri Nabi Muhammad.

"Nama belum daftar secara rasmi lagi tetapi saya tertarik dengan nama Aisyah seperti yang dicadangkan ustaz semalam. Mungkin juga dengan nama ini membuatkan saya lebih bersemangat.

"Dari dulu saya terfikir bagaimana dengan nasib dua cucu saya jika saya mati dulu kerana mereka tiada sesiapa dan andainya saya tidak Islam, tentu lebih menyukarkan mereka.

"Alhamdulillah, kedua cucu saya sangat gembira bila mendapat tahu saya ikhlas nak peluk Islam dan saya sangat bersyukur sudah Muslim sekarang, dapatlah kami bertemu di akhirat nanti," katanya yang berasal dari Sibu, Sarawak.

Tambahnya, Islam bukan asing dalam keluarganya kerana selain dua cucu ini, abang dan dua adik perempuannya terlebih dahulu masuk Islam sejak puluhan tahun lagi.

"Sekarang saya rasa kehidupan makin tenang dan yang penting cucu rasa selamat, mungkin atas doa mereka melembutkan hati saya menerima Islam.

"Saya tidak bekerja sejak 13 Januari tahun ini kerana kilang dobi tempat saya bekerja terpaksa membuang pekerja akibat pandemik Covid-19.

"Buat masa sekarang, saya hanya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan untuk kegunaan pendidikan dua cucu saya manakala sewa rumah RM350 sebulan dilunaskan Baitulmal sehingga bulan Februari tahun ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Muslimat PAS Port Dickson, Bashariah Shaari berkata, dia tidak menyangka pelawaan untuk masuk Islam disambut dengan linangan air mata.

"Lucy sudah lama berhasrat nak masuk Islam tetapi tidak tahu nak mengadu dengan siapa dan saya melihat dia seperti tercari-cari arah pegangan hidup.

"Saya harap dia akan menjadi muslimah sejati dan dalam masa yang sama akan turut memantau perkembangan Lucy dari masa ke semasa dan tambahan sekarang ini dia tidak bekerja, mereka sekeluarga perlu dibantu," katanya.

Barang pos dibungkus dengan seluar dalam - siapa punya angkara?

Farhira Farudin Previous
image placeholder

Semalam tular isu seorang wanita di Melaka menerima alat tulis yang dipesannya dalam talian disarung dengan seluar dalam.

Ia mencuri perhatian orang ramai kerana kebetulan dikongsi selepas tular video cara pengendalian barangan melibatkan syarikat penghantaran popular J&T Express Malaysia J&T Express Malaysia.

Bagaimanapun, sehingga ke hari ini, masih belum jelas bagaimana perkara itu boleh berlaku.

Pembeli Ayunormaslinda Abu Hassan ketika dihubungi Malaysiakini mempertahankan bahawa dakwaannya itu sahih dan bukan direka-reka.

Pengantar dan penjualnya juga menafikan membuat kerja ‘nakal’ itu.

Ayunormaslinda semalam berkongsi gambar pesanannya - empat bekas pensil kanak- kanak - yang dipek dalam kotak tetapi bersarung seluar dalam wanita berwarna merah jambu.

“Hari ini barang yang suami order (pesan) sampai dengan kotak dibalutkan menggunakan seluar dalam ini. Sangat melampau,” tulisnya di Facebook yang mahu J&T menyelesaikan perkara itu. 

Wanita 32 tahun itu yang lebih mesra dengan panggilan Ayu juga menjelaskan di Facebook Live bahawa pekerja J&T yang menghantar bungkusan tersebut juga tidak tahu apa yang berlaku.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ayu bagaimanapun berkata pihak J&T Melaka sudah menghubunginya untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Saya dah buat aduan tersebut di J&T. Mereka ada mohon maaf kepada saya.

“Saya juga harap mereka dapat naikkan memo minta maaf atas perkara ini kerana menyebabkan kekejaman kepada saya dan juga bisnes saya.

“Sejak saya menjadi seller (penjual) memang menggunakan J&T ini, tapi bila terjadi begini saya anggap tidak wajar berlaku pada saya,” katanya yang juga seorang usahawan.

Ayu juga berkata dia telah merujuk dengan penjual yang menafikan perkara itu dilakukan mereka.

“Ya, saya dah tanyakan seller, mereka telah memberitahu mereka hantar dalam keadaan baik,” katanya.

Bagaimanapun, perkongsian Ayu itu menyebabkan dia ditimpa masalah baru.

Terdapat warga maya tampil mendakwa dia sengaja mereka-reka cerita, menyebabkan dia tampil membuat laporan polis.

Laporan itu dibuat di balai polis Melaka Tengah petang semalam.

“Anda semua telah buat ancaman yang tidak wajar sama sekali. Saya rasa kalau ia berlaku kepada awak, semua akan buat perkara yang sama saya buat.

“Mana mungkin barang yang kita dapat dalam keadaan macam itu kita tak marah?” soalnya.

Tak masuk akal, kata peniaga

Sementara itu, peniaga alat tulis itu yang enggan namanya didedahkan memberitahu Malaysiakini bahawa tidak masuk akal perkara tersebut dilakukan pihaknya.

“Kami hantar dari Ipoh, Perak. Kalau hantar bungkusan seperti itu, anda rasa J&T mahu terima? Bungkusan itu akan dihantar melalui banyak pusat pengagihan sebelum sampai kepada penerima.

“Kami terkejut dan sedih kerana ada yang tuduh kami yang bertanggungjawab. Apa yang penting sekarang ini, dapatkan orang yang cipta masalah ini,” katanya.

Sedang siasat, kata J&T Melaka

Sementara itu, seorang jurucakap J&T Melaka ketika dihubungi Malaysiakini berkata siasatan awal mendapati ia bukan dilakukan pihak mereka.

Bagaimanapun, katanya, mereka memohon maaf atas kejadian itu dan akan menjalankan siasatan lanjut.

“Kami sudah berjumpa dengan Puan Ayu semalam dan kami sudah mohon maaf. Kes masih lagi disiasat.

“Kami tak balut bungkusan tersebut dengan seluar dalam. Sebagai satu dispatcher, tak mungkin kami balut bungkusan itu dengan seluar dalam.

“Kami (di sini) memang terima bungkusan dalam keadaan sebegitu,” jelasnya kepada Malaysiakini.