Keluarga dakwa 12 tahanan didera, disembur serbuk lada di kemaluan

M Fakhrull Halim

Ahli keluarga kepada 12 tahanan Penjara Sungai Udang membuat laporan polis setelah menerima aduan daripada ahli keluarga mereka yang ditahan, bahawa mereka didera ketika menjalani kuarantin 14 hari di Penjara Jelebu.

Antara penderaan yang dikatakan dilakukan terhadap mereka, termasuklah disembur dengan serbuk lada di kemaluan dan lubang dubur mereka menyebabkan mereka tidak dapat membuang air kecil dan air besar.

Sebahagian ahli keluarga tidak dapat menahan tangisan apabila menceritakan penderaan yang diceritakan kepada mereka, bahkan diceritakan, ada tahanan yang mahu membunuh diri kerana tidak tahan didera sebegitu rupa.

"Suami saya ada beritahu, kalau saya terus berada di dalam, saya akan mati dalam penjara. Saya akan bunuh diri, jika tidak, saya akan dipukul sehingga mati," kata R Lavaniyaa, isteri kepada B Kalaiarasan yang kini dalam tahanan, seperti diterjemahkan timbalan presiden NGO Sebaran Kasih, pastor Prince John.

Namun Lavaniyaa tidak dapat meneruskan kata-kata kerana sebak.

Dakwaan kes dera itu hadir beberapa minggu selepas kematian A Ganapathy, yang didakwa dipukul polis ketika berada dalam tahanan sehingga kakinya dipotong.

Menurut peguam Ganapathy sebelum ini, hasil laporan bedah siasat mendiang mendapati dia mati akibat kecederaan teruk di kaki dan bahu, namun polis mendakwa tiada bukti menunjukkan Ganapathy mati akibat dipukul ketika dalam tahanan polis.

Tak pasti pegawai penjara atau bukan

Lavaniyaa hadir bersama ahli keluarga tahanan yang lain dalam satu sidang media di Cheras hari ini bagi menceritakan penderaan yang dikatakan berlaku kepada ahli keluarga mereka yang kini dalam tahanan.

Menurut laporan polis Lavaniyaa, pada 8 April, suaminya bersama tahanan lain dari Penjara Sungai Udang, dihantar ke Penjara Jelebu setelah pulang dari Mahkamah Seremban untuk menjalani kuarantin Covid-19.

Di situ, katanya, mereka dipukul pegawai penjara dengan paip PVC dengan tangan masih bergari, sebelum diserbu ramai lagi orang dan dipukul menggunakan rotan, paip, kayu, kerusi dan lain-lain barang selama sejam.

Separuh daripada orang yang memukul mereka itu dikatakan memakai baju T biasa, berseluar pendek dan berselipar, menyebabkan suaminya tidak pasti sama ada mereka itu benar-benar pegawai penjara atau pun bukan.

Setelah itu, mereka dikatakan diarahkan masuk ke sebuah bilik secara berdua-dua dan diarahkan menanggalkan seluar dan seluar dalam, sebelum ada pegawai penjara yang menyembur serbuk lada ke dubur dan kemaluan mereka, lalu diarahkan berbaring di lantai tanpa pakaian.

Selepas semua tahanan masuk ke bilik tersebut, pegawai berkenaan dikatakan mula memukul mereka tanpa henti sehingga malam.

Menurut biras Lavaniyaa, Elisha Teh, kali pertama mereka dapat bertemu dengan Kalaiarasan selepas insiden berkenaan adalah pada 27 April itu. Itu jugalah kali pertama mereka berpeluang bertemunya di penjara untuk tahun ini.

Kata Elisha, pada pertemuan itu, adik iparnya itu mengadu masih mengalami pendarahan di kemaluan dan di lukanya.

Daripada semua 22 tahanan yang dipukul, katanya lagi, tidak ada seorang pun yang dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, kecuali seorang - itupun kerana penyakit TB yang dihadapinya.

Belum dapat khabar

Menurut Prince Jon, setakat ini, keluarga 12 tahanan itu telah pun membuat laporan polis, manakala 10 lagi belum berbuat demikian, memandangkan mereka tinggal di negeri lain dan belum berkesempatan berjumpa ahli keluarga mereka.

Yang lebih membimbangkan kata Prince Jon, hanya separuh daripada tahanan yang dikuarantin di Penjara Jelebu, dihantar pulang ke Penjara Sungai Udang, termasuk Kalaiarasan.

Nasib mereka yang masih dikuarantin di Penjara Jelebu, katanya,masih tidak diketahui sehingga ke hari ini.

Selain Lavaniyaa dan Elisha, beberapa ahli keluarga lain turut meluahkan kebimbangan mereka terhadap keadaan ahli keluarga masing-masing di penjara.

Ada ahli keluarga tahanan yang masih berada di Penjara Jelebu memaklumkan mereka belum mendapat apa-apa berita daripada penjara berhubung keadaan tahanan, malah panggilan telefon setiap hari ke Penjara Jelebu juga, kata mereka, tidak bersambut apa-apa jawapan.

Prince Jon memaklumkan, kesemua 22 tahanan itu ditahan sekitar 2019 kerana disyaki terlibat dalam jenayah terancang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma). Kesemua mereka berbangsa India.

Elisha memberitahu tahanan-tahanan berkenaan kini dalam proses rayuan terhadap penahanan mereka di Mahkamah Tinggi Seremban. Namun, katanya, pendengaran seterusnya hanya akan berlangsung pada Ogos nanti.

Elak satu lagi kematian

Katanya, kejadian dera tersebut adalah yang pertama kali berlaku kepada tahanan berkenaan yang berusia antara 20 hingga 45 tahun.

Malah, katanya juga, ketika membuat laporan, pegawai penyiasat memaklumkan kepadanya bahawa pihak penjara sudah membuat laporan polis berkenaan insiden itu, tetapi dengan versi berbeza.

Kata Elisha, dia dimaklumkan pegawai penyiasat bahawa penjara membuat laporan bahawa kejadian 8 April itu disebabkan pergaduhan antara 22 tahanan berkenaan, yang menyebabkan mereka harus mengambil tindakan.

Kata Prince Jon, mereka bukanlah mahu menentang bidang tugas pihak berkuasa, tetapi yang mereka bantah ialah keganasan sehingga menyembur serbuk lada di kemaluan dan dubur mereka, yang menafikan hak asasi manusia tahanan dan ahli keluarga.

Tambahnya, dia rasa penting untuk ahli keluarga tahanan bersuara bagi mengelakkan satu lagi kematian seperti yang berlaku pada Ganapathy.

Pengerusi Pertubuhan Illyala Thalaimurai Kuala Lumpur-Selangor, D Malaruvanan juga berkongsi nada serupa.

“Kita tak tahu apa kesalahan mereka (tahanan). Ikut kesalahan mereka, kita boleh hukum mereka, tapi janganlah seksa macam ini. Dia salah ke tidak kita masih tidak tahu. Itu terpulang kepada pihak polis.

“Cuma kita tak mahu jadi kes macam sebelum ini (Ganapathy). Itu saja.

“Penjara ini tempat pemulihan. Tahanan pergi ke sana (menjalani hukuman), dan dia (sepatutnya) akan pulang ke pangkuan keluarga, bukan kehilangan" katanya lagi. 

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan respons pihak berwajib mengenai perkara ini.

5 pesakit Covid-19 bergaduh, seorang maut ditikam pemutar skru

Malaysiakini 

Salah faham membabitkan lima pekerja warga asing membawa kepada pertengkaran dengan salah seorang daripada mereka mati akibat ditikam semalam.

Dalam pergaduhan tercetus di kawasan tapak pembinaan di Bandar Perindustrian Mahkota, Banting kira-kira jam 9 malam itu juga dua yang lain turut mengalami kecederaan pada perut.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Azizan Tukiman berkata kelima-lima individu terbabit adalah sebahagian daripada kira-kira 30 pekerja yang dikuarantin di kawasan tidak jauh dari kongsi tapak pembinaan itu selepas disahkan positif Covid-19 pada 26 Apr lalu.

Katanya lima warga Bangladesh membabitkan mangsa dan dua rakannya yang bergaduh dengan dua lelaki lain.

"Siasatan mendapati punca pergaduhan ialah suspek mengeluarkan barang-barang kepunyaan si mati dari rumah kongsi tanpa kebenaran.

"Ia menyebabkan kemarahan si mati dan kemudian berlaku pertengkaran serta pergelutan antara mereka.

"Suspek kemudian mengambil sebatang pemutar skru driver lalu menikam dada si mati dan ia dipercayai mengenai jantung mangsa menyebabkan lelaki berusia 44 tahun itu meninggal di tempat kejadian," katanya.

Azizan berkata dua rakan mangsa juga ditikam menggunakan pemutar skru sama dan ia mencerakan perut mereka. Suspek itu kemudian melarikan diri.

Walapun begitu katanya suspek berjaya dikesan dan ditahan polis di sebuah kawasan berhampiran Taman Manggis Jaya kira-kira jam 3.30 pagi tadi.

Katanya kedua-dua suspek berusia 40-an dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membabitkan kesalahan membunuh.

'Saya bukan biawak pemakan bangkai', jawab KPN kepada pemimpin Bersatu

Hariz Mohd

Dicabar dan dipersoalkan kerana 'lewat' mendedahkan apa yang dianggap campur tangan menteri dalam pasukan keselamatan, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Badir berkata, dia masih ada harga diri.

Memberi respons dengan nada tegas kepada Malaysiakini, Abdul Hamid memberitahu ada sebab mengapa dia menyatakan isu yang dialaminya dalam pasukan keselamatan itu pada hari-hari terakhirnya sebagai pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain menafikan pendedahan itu tidak akan dibuat jika kontraknya disambung, Abdul Hamid menegaskan dia bukan seperti haiwan "pemakan bangkai".

"Saya bukan biawak yang makan bangkai. Saya masih ada maruah diri," katanya.

Terdahulu seorang pemimpin pertengahan Bersatu membangkitkan persoalan motif di sebalik tindakan Abdul Hamid mengadakan sidang media di Bukit Aman semalam.

Abdul Hamid akan bersara secara rasmi pada Isnin ini dan tempatnya akan digantikan Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.

Dalam sidang media itu Abdul Hamid tersebut secara terbuka mendedahkan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin campur tangan dalam pelantikan pegawai polis.

Hari ini Ketua Ketua Bersatu Kepong Norizan Ali berkata jika benar dakwaan campur tangan itu berlaku sejak hari pertama Hamzah dilantik sebagai menteri dalam negeri, mengapa selama ini Abdul Hamid hanya berdiam diri.

“Adakah jika khidmat Abdul Hamid disambung lagi sebagai ketua polis negara, dia tetap akan bersuara dengan nada yang sama atau tiba-tiba memuji Hamzah?” soal Norizan dalam kenyataannya. 

Untuk rekod Hamzah merupakan ahli parlimen Umno yang melompat menyertai Bersatu selepas BN dikalahkan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum lalu.

Selepas Bersatu keluar PH - dan menyebabkan gabungan itu jatuh sebagai kerajaan yang mendapat mandat rakyat - Hamzah dilantik menjadi menteri dalam negeri serta setiausaha agung Bersatu.

Dalam reaksinya hari ini Abdul Hamid juga menasihatkan agar pihak yang tidak senang dengan kenyataan dibuatnya mengenai campur tangan politik dalam PDRM agar lebih berhati-hati.

"Bagitau dia, jangan buat dosa kering!" katanya.

Menjawab persoalan mengapa kenyataan sebegitu tidak dibuat lebih awal, bekas pengarah Cawangan Khas Bukit Aman itu menjelaskan selama ini dia sibuk mengejar masa untuk membetulkan kepincangan dalaman PDRM.

"Hanya akhir-akhir ini, iaitu semakin hampir tarikh tamat kontrak perkhidmatan saya - semakin ketara campurtangan menteri untuk mengatur 'budak-budak kita' bagi mengisi jawatan2 penting," katanya.

“Mohon Tuanku tubuh RCI secepat mungkin, tolong kami Tuanku”

MALAYSIA DATELINE

Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub memohon perkenanan Yang diPertuan Agong untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) secepat mungkin berikutan ‘perang terbuka’ antara Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri.

Menurut Salahuddin perang terbuka dua individu ini belum pernah berlaku sedemikian dahsyat dalam sejarah sejak merdeka.

“Mohon perkenaan Tuanku tubuh RCI secepat mungkin. Ini soal keselamatan negara Tuanku. Tolong kami Tuanku,” ciap beliau.

Perang terbuka yang berlaku ini kata beliau, sepatutnya kerajaan melalui kabinet mengambil tindakan yang serius kerana ia merupakan isu keselamatan.

“Ini amat malang bagi rakyat dan negara. Adakah kabinet juga diserang COVID-19?” soal beliau.

Semalam, dalam sidang media terakhir sebelum bersara Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mendedahkan wujudnya campur tangan politik dalam PDRM.

Sekaligus menyifatkan Hamzah Zainuddin menyalahgunakan kedudukannya untuk campur tangan dalam urusan polis di dalam pasukan PDRM.

Ini apabila, Hamzah mengakui audio yang tular berhubung pertukaran dan pelantikan anggota PDRM adalah suaranya.

Pas Johor mengaku disisihkan Muafakat Nasional

MALAYSIA DATELINE

Badan Perhubungan Pas Negeri Johor menzahirkan rasa kecewa terhadap pembahagian jawatan Ahli Majlis dan Ketua Kampung di seluruh negeri yang telah diluluskan oleh Menteri Besar  Johor.

Pesuruhjaya Badan Perhubungan Pas Johor Abdullah Husin berkata, Pas tidak dipanggil untuk mengadakan perbincangan bagi lantikan Ketua Kampung di seluruh negeri Johor yang menyaksikan bahawa Pas hanya diberikan sebanyak 36 ketua kampung yang mewakili hanya 5% di seluruh negeri Johor.

“Apa yang berlaku ini memberikan isyarat yang salah dalam usaha memperkasa Muafakat Nasional di Johor khususnya, sejak dari mula penubuhan kerajaan baharu pada bulan Mac tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menjelaskan pernah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Johor dan Exco yang berkaitan namun ia tidak membuahkan hasil yang positif.

Bahkan Pas Johor juga menggunakan platform mesyuarat Muafakat Nasional untuk membawa hasrat yang akhirnya telah dipersetujui bersama namun hasilnya adalah sangat mendukacitakan.

“Kami tetap berpegang kepada arahan Presiden Pas supaya terus memperkasa Muafakat Nasional dan mempertahan kerajaan Perikatan Nasional namun sekiranya perkara ini tidak diperbaiki maka dibimbangi tindakan MB Johor ini akan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya,

Menurutnya, berdasarkan kepada perlantikan Ahli Majlis yang terkini di Majlis Perbandaran Muar, MPP, Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) dan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) tiada lantikan daripada wakil Pas seperti mana yang telah dipersetujui dalam perbincangan sebelum ini.

RCI: Untuk adil, rehatkan Menteri KDN, KPN, pengganti ketika Hamzah perlu disiasat

MALAYSIA DATELINE

Bekas Timbalan Menteri Undang-undang mencadangkan agar Datuk Seri Hamzah Zainudin, Tan Sri Hamid Bador dan Datuk Seri Acryl Sani Abdullah direhatkan buat sementara sehingga siasatan ke atas mereka selesaikan dijalankan.

Cadangan ini dibuat oleh Mohamed Hanipa Maidin dalam satu kenyataannya ekoran pendedahan Ketua Polis Negara (KPN) tentang campur tangan Hamzah dalam urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kini sedang tular ke dalam semua media sosial di Malaysia.

Hatta video kenyataan Hamid Bador itu kini menjadi video yang paling popular di kalangan pengguna media sosial. Tiga video utama bahkan keseluruhan rakaman video yang berkaitan dengan kenyataan itu telah menjadi video utama yang dikongsikan oleh para netizen.

“Pada hemat saya, memandangkan dakwaan dan tuduhan yang dibuat oleh Tan Sri KPN itu adalah satu tuduhan yang amat serius, maka adalah wajar dan munasabah untuk tuduhan seserius tersebut disiasat.

“Justeru itu, bagi saya, untuk membolehkan sebuah siasatan yang adil, profesional, berintegriti dan bebas dapat dilakukan oleh pihak polis, maka adalah amat wajar YB Menteri KDN perlu diminta untuk di”rehatkan” sehingga tamatnya proses penyiasatan tersebut.

“Sudah tentu tidak salah juga untuk meminta Tan Sri KPN dan bakal penggantinya untuk turut “direhatkan” agar proses siasatan tersebut dapat dilakukan dengan telus dan lancar,” kata Ahli Parlimen Sepang itu dalam kenyataannya.

Media melaporkan bahawa Tan Sri Ketua Polis Negara ( KPN) telah mendedahkan beberapa tindakan Hamzah yang didakwa cuba campurtangan ke atas pasukan uniform tersebut.

Untuk berlaku adil kepada Menteri berkenaan, kata Hanipa, apa yang didedahkan oleh KPN tersebut , masih berstatus hanya sekadar suatu tuduhan atau dakwaan lagi di peringkat ini.

“Ya, berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang atau the rule of law, adalah tidak wajar untuk mana mana pihak terus melompat dan membuat kesimpulan bahawa beliau adalah dikira bersalah, sebenci dan semeluat mana pun seseorang itu ke atas YB Menteri berkenaan,” kata Hanipa.

Katanya, dalam siatem yang ada sekarang ini, sudah tentu pihak polis yang perlu dan bertanggungjawab untuk menyiasat.

Persoalannya, kata Hanipa, bagaimanakah pihak polis yang berada di bawah tanggungjawab dan kawal selia KDN boleh mampu melakukan siasatan yang benar benar bebas, profesional dan tidak diragui ke atas seorang Menteri KDN yang mana institusi polis tersebut sendiri adalah di bawah kawal selia kementerian beliau.

-------------------

Umno pula gesa tubuh RCI siasat dakwaan Hamid Bador

MALAYSIA DATELINE

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat segala dakwaan terbuka yang dibuat oleh Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador semalam.

Katanya, RCI perlu ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan tersebut kerana PDRM adalah agensi penguatkuasa paling penting dan kritikal untuk negara.

“TS Hamid Bador membuat dakwaan terbuka. Dia tuduh Hamzah Zainuddin campur tangan kenaikan pangkat dan pertukaran pegawai yang bermasalah.

“Dia juga buat banyak tuduhan lain. Termasuk isu katak yang dikaitkan dengan rasuah.

“Hamzah Zainuddin pula tidak menafikan audio mirip suara beliau adalah tulen. Isu pokok yang perlu diselesaikan ialah tuduhan IGP dan butiran dalam audio tersebut,” kata beliau menerusi Facebooknya.

Puad juga berkata, siasatan itu mesti didokong kuat oleh pegawai yang profesional dan berintegriti barulah keadilan dan keselamatan terjamin.

Bagaimanapun, Hamid Bador yang mendakwa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan Hamzah dicemari oleh unsur politik, maka kredibiliti PDRM turut tercemar.

“Apa maksud Hamid Bador, “Bahaya sekarang ini. Dia (Hamzah) bawa mesin pengorek buat jalan baru ke?”

Apa yang bahaya? Segerakan RCI. Segerakan sidang parlimen,” desak beliau.

Semalam, Hamid Bador mendedahkan wujudnya kepincangan apabila Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, menyalahgunakan kedudukannya untuk campurtangan dalam urusan polis.di dalam pasukan PDRM.

Hamid juga membayangkan SPP yang dipengerusikan Hamzah dicemari “unsur politik”.

Sebelum itu, Hamzah mengumumkan Hamid akan bersara 3 Mei sebagai Ketua Polis Negara dan jawatan itu akan diambil alih oleh timbalannya, Acryl Sani Abdullah Sani.

“Mop bersih-bersih, aku nak lalu,” kata Faekah kepada Azmin

BORHAN AHMAD

Ekoran tindakan Menteri Kanan Datuk Seri Azmin Ali membuat naik sekeping gambar beliau sedang membersihkan lantai Masjid Haram di Mekah menerusi Twitternya, pelbagai pihak mempermainkan beliau dengan menggunakan gambar itu.

Ada yang membuat gambar Azmin sedang menyapu sampah di jalan-jalan raya di Kuala Lumpur, membersihkan sampah di majlis perkahwinan Neelofa dan sebagainya.

Namun gambar yang dibuat dengan mengaitkan beliau dengan bekas Setiausaha Politik Tan Sri Khalid Ibrahim, Faekah Hussin dikatakan paling menarik perhatian.

Gambar ini pula disebarkan oleh Faekah sendiri dalam satu kumpulan Whatsapp yang popular dan menghimpunkan ramai tokoh-tokoh negara khasnya media.

Gambar itu mempunyai senikata berbunyi “Mop bersih-bersih, aku nak lalu.” iaitu kata-kata dari Faekah kepada Azmin yang sedang membersih lantai itu.

Ia telah menjadi gambar paling menarik perhatian ramai dalam kumpulan Whatsapp tersebut.

Faekah mempunyai sejarah hitam tersendiri dengan Azmin apabila bosnya Tan Sri Khalid dipaksa berhenti dan tiba-tiba Azmin yang mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor itu.

Cerita tentang Azmin membuat ‘stunt’ sebegini memang biasa kerana sebelum ini Azmin menyebarkan gambar beliau turun ke dalam longkang untuk membersihkan longkang tersumbat dan sebagainya.

Hubungan Azmin dengan Faekah ini menjadi masam sejak sekian lama akibat persaingan politik antara Khalid dan Azmin.

Ia bermula dengan ‘Langkah Kajang’ yang dikatakan dirancang oleh Rafizi Ramli bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi menteri besar, kemudian beralih kepada Datuk Seri Wan Azizah Ismail tetapi akhirnya Azmin yang menggantikan Khalid.

Sejak itu, Faekah yang merupakan orang kanan Khalid didakwa pihak yang paling tidak senang terhadap Azmin.

Hamid bidas 'menteri tak cerdik' minta longgarkan sekatan jalan raya

Malaysiakini

Dalam sidang media terakhirnya sebagai ketua polis negara, Abdul Hamid Bador membidas "menteri tidak cerdik" yang menggesa sekatan jalan raya - yang diadakan berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) - dilonggarkan.

Abdul Hamid berkata, berlaku peningkatan kes dan kluster baru selepas polis melonggarkan sekatan jalan raya.

"Semalam saya marah menteri yang kutuk polis pasal sekatan jalan raya. Menteri tak cerdik ramai betul pun.

"Dalam ribuan orang (di jalan raya), saya tak boleh pilih. Jadi saya tapislah satu-satu di sekatan jalan raya, jadi berlakulah kelewatan (perjalanan).

"...(Pemimpin politik) beritahu saya longgarkan sekatan jalan raya, apa (kenapa) nak diketatkan. Saya longgarkan balik dan kluster (Covid-19) bertambah," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Susulan penguatkuasaan PKP sejak Mac tahun lalu, polis membuat sekatan jalan raya antaranya bagi menghalang perjalanan rentas negeri.

Pada masa sama, terdapat juga sekatan jalan raya yang diadakan di dalam bandar dan negeri.

Semalam, Abdul Hamid berkata polis bukan saja berdepan kecaman orang ramai berhubung pelaksanaan sekatan jalan raya, tetapi juga daripada pegawai kerajaan dan menteri.

Walhal, katanya, mereka sepatutnya faham sekatan diadakan atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Hari ini, dia turut mempertahankan tindakan "anak buahnya" di Kelantan yang mengenakan kompaun RM50,000 terhadap seorang peniaga burger yang didapati beroperasi lebih masa.

Katanya, jumlah itu sememangnya ditetapkan untuk sektor perniagaan, manakala jumlah maksimum untuk individu sebanyak RM10,000.

Namun dia menyuarakan kekesalannya dengan sikap segelintir pemimpin politik yang menurutnya cuba mengambil kesempatan terhadap isu itu dan menggambarkan polis tidak sensitif.

"Saya dah bagi tahu kesalahan dia dalam bentuk gerai, jadi kompaun RM50,000 untuk premis perniagaan yang degil, individu RM10,000.

"RM50,000 bukan kerana polis tak sensitif.. Boleh merayu, bukan tulis RM50,000 terus bayar RM50,000," katanya.

Pada 26 April lalu, peniaga tersebut Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, yang berniaga di depan rumah menyuarakan rasa terkejut atas jumlah denda terhadapnya.

Untuk rekod, kes itu itu juga tular di media sosial dengan ramai yang menyuarakan bantahan terhadap jumlah denda yang dikenakan.

Tak puas hati kereta dibaiki masih rosak, lelaki bakar mekanik

Bernama

Mangsa berusia 37 tahun berkenaan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. (Gambar PDRM)

PARIT: Seorang mekanik melecur 46% bahagian tubuhnya selepas terkena semburan api aerosol yang dinyalakan oleh abang pelanggannya yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatannya, dalam kejadian di Kampung Tersusun Balun Bidai, Kampung Gajah, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Barudin Wariso berkata, dalam kejadian 8 malam itu, mangsa berusia 37 tahun tersebut didatangi oleh suspek yang menyuarakan rasa tidak puas hati kereta Proton Perdana milik adiknya masih rosak sekalipun telah berkali-kali dibaiki.

“Tercetus pergaduhan mulut di antara mangsa dan suspek berusia 50 tahun tersebut di hadapan rumah mangsa sebelum suspek dipercayai meminta seorang lagi lelaki yang datang bersamanya membeli sebotol petrol yang kemudian dituang ke atas kepala mangsa,” kata beliau.

Menurut Barudin, suspek kemudian menyalakan penyembur api namun api tersebut menyambar mangsa, menyebabkan mangsa terbakar.

Suspek dan adiknya kemudian bertindak memadamkan api pada badan mangsa menggunakan air daripada paip di luar rumah mangsa sebelum menghubungi seorang lagi lelaki berumur 30 tahun untuk membawa mangsa ke Hospital Changkat Melintang dengan upah sebanyak RM100.

Barudin berkata, mangsa yang ditinggalkan begitu sahaja di hospital tersebut kemudian dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital itu.

Susulan itu, polis menahan empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian, termasuk adik suspek yang berusia 42 tahun.

Menurut beliau, seorang daripada suspek turut mempunyai kesan terbakar di tangan kanan, manakala ujian air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis syabu.

“Kesemua suspek direman tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan menurut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” kata beliau.

Exco Terengganu cuba lari tanggungjawab, tunding jari ke pihak lain, dakwa senator

BORHAN AHMAD

Exco kerajaan negeri Terengganu, Dr Alias Razak didakwa cuba lari dari tanggungjawabnya dengan menunding jari kepada pihak lain apabila gagal menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.

Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Senator Datuk Raja Bahrin Shah berkata, ekoran itu beliau akan merujuk dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Alam Sekitar Terengganu itu kepada peguam beliau.

“Dr Alias jangan cuba lari dari tanggungjawab sendiri dan cuba memfitnah dan menuding jari kepada pihak lain atas kelemahan MB dan Exco yang tidak bersedia mengambil berat masalah rakyat.

“Saya telah merujuk kepada peguam untuk langkah seterusnya setelah difitnah kerana bersuara untuk rakyat yang diabaikan Exco dan MB di bulan Ramadan yang mulia ini,” kata Raja Bahrin dalam satu kenyataannya hari ini.

Dua hari lepas (28 April), pembeli rumah di sebuah projek perumahan di Kampung Gong Chempedak, Marang yang terbengkalai bersama dengan Raja Bahrin telah membuat demo di depan Pejabat Menteri Besar Terengganu bagi menuntut agar nasib mereka dibela.

Tindakan membuat demo ini dilakukan setelah sekian lama mereka berusaha mendapatkan bantuan dari kerajaan negeri, termasuk tiga pucuk surat kepada Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga merupakan Adun kawasan mereka,  tidak dilayan.

Ekoran demo itu, kerajaan negeri bertindak serta merta dengan memanggil kontraktor projek terlibat dan berjanji akan memulakan projek itu selepas raya ini.

JALANKAN TUGAS

Projek perumahan yang terbengkalai di kawasan Dun Rhu Rendang yang diwakili MB Terengganu. Selepas campurtangan Raja Bahrin, projek ini akan disambung semula selepas Aidil Fitri nanti.

Menurut Raja Bahrin, sebagai Senator, menjadi tanggungjawab beliau membantu rakyat yang memohon pertolongan tidak kira mereka dari mana sekalipun apakan lagi yang berasal dari Terengganu.

“Saya telah didatang wakil 120 pembeli suatu projek perumahan di Marang yang terbengkalai begitu lama dan telah bermasalah beberapa tahun.

“Mereka telah 3 kali menulis surat kepada Menteri Besar Terengganu, iaitu pada 15 Julai 2020, 16 Disember 2020 dan 1 April 2021, tanpa menerima apa apa jawapan,” beritahu bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.

Katanya, mereka juga telah mengadu kepada Exco Kerajaan Tempatan tetapi tidak mendapat perhatian yang sepatutnya padahal projek tersebut terletak di kawasan Menteri Besar di Marang.

Projek ini juga dibina di atas tanah kerajaan negeri yang dipajakkan selama 99 tahun oleh kerajaan negeri Terengganu kepada pihak swasta.

“Kerana itu mereka mengadu masalah kepada saya,” kata Raja Bahrin.

Setelah menerima aduan wakil pembeli dan memberi pandangan beliau, Raja Bahrin juga membuat kenyataan mengesa kerajaan memberi perhatian sepatutnya kerana mereka terpaksa terus membayar pinjaman perumahan di antara RM400 hingga RM900 sebulan sambil terpaksa juga membayar sewa tempat tinggal di antara RM300 hingga RM700.

Bagi golongan B 40 dan M 40 ini adalah suatu bebanan yang amat tinggi untuk di tanggung tanpa mengetahui bilakah rumah yang dibeli akan siap, katanya.

Dua hari lepas Raja Bahrin menyertai mereka berdemo di depan pejabat Menteri Besar sebelum menyerahkan memorandum agar masalah mereka diselesaikan.  Pada sebelah petangnya, Dr Alias mengumumkan projek ini akan disambung semula selepas hari raya Aidil Fitri berdasarkan pertemuan beliau dengan pemaju perumahan berkenaan.

DAKWA PROJEK TERBENGKALAI

Pada 25 April 2021, Dr Alias Razak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Alam Sekitar telah membuat kenyataan menyatakan, bahawa kononnya projek berkenaan telah terbengkalai sejak tahun 2013 tetapi tiada tindakan oleh kerajaan persekutuan meskipun pada tahun 2018 Raja Bahrin, adalah Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan yang boleh menyelesaikan masalah yang menyebabkan rakyat terus sengsara.

“Pertamanya, sebenarnya pada 2013 projek tersebut maseh lagi belum bermula pun tetapi ianya hanya bermula pada tahun 2016 dan dijadual siap pada 2018. Dr Alias Razak telah tersalah fakta projek dalam negeri beliau sendiri,” katanya.

Keduanya, kata Raja Bahrin, sebagai Timbalan Menteri KPKT, kementerian beliau menerima beribu aduan seluruh Malaysia dan beliau akan memberi perhatian sepatutnya jika ianya di sampaikan kepada pengetahuan untuk perhatian beliau sendiri.

“Dalam isu projek perumahan ini di Gong Chempedak Marang, ianya tidak pernah di bawa kepada pengetahuan saya baik oleh Dr Alias sendiri atau pembeli yang hanya bertemu saya buat pertama kali pada April 2021,” katanya lagi.

Dr Alias berjumpa dengan Raja Bahrin ketika beliau Timbalan Menteri KPKT.

Sebenarnya, kata Raja Bahrin, Dr Alias ada datang dengan bersama beberapa orang lain bertemu beliau beberapa kali di pejabat KPKT untuk minta beliau membantu kelulusan beberapa projek baru di antaranya di Kemaman dan Besut.

“Tidak pernah sekali pun baik secara rasmi atau tidak rasmi projek di Marang tersebut atau projek sakit lain di Terengganu ditimbulkan. Beliau hanya berminat menumpu perhatian perbincangan kepada projek yang baru yang dipohon untuk dilaksanakan.

“Saya telah memberi kerjasama dan projek projek tersebut telah diluluskan,” kata Raja Bahrin lagi.

Oleh itu, katanya, kalau isu tersebut tidak pernah di bawa ke pengetahuannya bagaimana beliau boleh membantu satu projek kerajaan Terengganu yang bukan projek KPKT sementara wujud beribu ribu lagi projek lain dari Perlis sampai ke Sabah di bawah KPKT.

“Tuduhan Dr. Alias saya telah tidak membantu dan menyebabkan “pembeli terus sengsara” adalah satu tuduhan berniat jahat,” katanya.

Malahan, katanya, beliau telah memberi segala kerjasama untuk membantu mendapatkan kelulusan cepat projek projek baru di Kemaman dan Besut yang dibawa ke pengetahuan beliau yang di pohon oleh Dr. Alias semasa beliau dalam kerajaan dahulu.

“Jika Dr Alias menuduh saya, yang sebelum ini tidak dimaklumkan masalah pembeli, kononnya menyebabkan pembeli terus sengsara, bagaimana pula sikap MB yang langsung tidak menjawab 3 pucuk surat dari pembeli projek dalam kawasan sendiri dan tidak bersedia berjumpa pembeli untuk menerima memo dari mereka, tetapi pada hari yang sama boleh menerima jersi bola di majlis dengan wakil FAM?” tanya beliau.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador gesa SPRM siasat 'katak' lompat parti

Malaysiakini 

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat unsur rasuah berhubungan perbuatan melompat parti di negara ini.

Jelasnya, tambahnya, dia menentang rasuah dalam PDRM, namun pemimpin politik telah membudayakan rasuah.

"Saya lawan rasuah dalam pasukan, tapi saya tengok rasuah merata-rata dalam politik mabuk kuasa.

"Sekejap 'katak' melompat sana, sekejap berbunyi sana, apa itu? Rasuah," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Pada 13 Mac lalu, bekas naib presiden PKR Xavier Jayakumar menjadi ahli Parlimen pembangkang terbaru meninggalkan parti untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Kuala Langat yang sudah bersama PKR sejak 1998 itu menjelaskan alasannya meninggalkan parti adalah kerana dia “sangat kecewa” dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku tahun-tahun kebelakangan ini.

Sementara itu, tambah Abdul Hamid, SPRM tidak boleh membiarkan perkara itu berleluasa umpama negara tidak mempunyai undang-undang.

"Saya minta SPRM masuk (siasat). Seolah-olah dalam negara kita tidak ada undang-undang," katanya.

Abdul Hamid turut mempersoalkan sumber diperolehi bagi seseorang ahli politik menggunakan jet peribadi. Dia bagaimanapun tidak menamakan pemimpin politik yang dimaksudkan.

"Mana dapat duit naik 'private jet'. Kita minta SPRM siasat orang-orang politik," katanya.

Untuk rekod, sidang media hari ini merupakan sidang media terakhir Abdul Hamid sebelum melepaskan jawatan sebagai ketua polis negara. 

IGP 'belasah' Hamzah Zainudin menteri dalam negeri pada sidang media terakhir

IGP hentam campur tangan menteri pada sidang media terakhir

Jimadie Shah Othman

Tiga hari sebelum melepaskan jawatan, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengeluh berkaitan campur tangan politik dalam pasukannya.

Malah, dia mengakui tidak senang dan mempunyai hubungan tidak baik atau "bad blood" dengan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

"Jangan megah sangat, (kata) kita menteri dalam negeri berkuasa sangat. Come on," katanya.

Menurutnya, menteri sepatutnya hanya terlibat dalam penggubalan dasar dan tidak harus terbabit dalam mengatur pelantikan pegawai kanan pasukan polis.

Hamid berkata, perkara itu telah pun disampaikan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"Saya bukan langgar saja," katanya pada sidang media terakhir dengan pengarang-pengarang media di Bukit Aman hari ini.

Dia juga membangkitkan kelemahan Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP) yang menurutnya tiada pejabat dan bermesyuarat hanya empat kali setahun

"Sepatutnya setiap bulan bermesyuarat. Mesyuarat pun dua jam, macam minum kopi. Tak ambil berat," katanya.

Di masa depan, Hamid mencadangkan suruhanjaya itu diketuai oleh pihak tidak berkepentingan, seperti bekas ketua hakim negara.


--------------

Hamid: Hamzah disebalik ‘surat keramat’ tahan pertukaran pegawai polis bermasalah

Nicholas Chung

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mendakwa Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin di sebalik pengeluaran ‘surat keramat’ yang menahan pegawai kanan polis tertentu yang bermasalah ditukarkan.

Beliau berkata Hamzah bertindak “angkuh” dan mengabaikan tanggungjawabnya dalam menggalas jawatan sebagai pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

“Dengan bangganya, angkuhnya, (Hamzah berkata) ‘saya pengerusi SPP’. Apa yang dia buat? Tanyalah ahli-ahli (SPP) yang lain itu. Berapa banyak kes yang tersangkut di situ tak diambil kira. Berapa ramai orang ditahan kerja, belum ada keputusan.

“Yang penting, pada dia ialah pada hari itu, dia cuba nak membela, nak menangguhkan pertukaran yang telah saya tetapkan untuk memenuhi tradisi tindakan yang diambil oleh KPN-KPN sebelum ini.

“Apabila seseorang itu dikaitkan dengan satu-satu isu, maka tindakan yang terbaik sekali dibuat segera ialah pindahkan dia keluar daripada jabatan. Itu yang saya buat.

“Keluar pula surat keramat suruh menangguhkannya. Saya bukan kata dia bersalah atau tak bersalah. Saya serahkan kepada SPP,” kata Hamid.

Hamid berkata Hamzah bertindak menyekat dua pegawai atasan daripada dipindahkan, namun beliau menyanggah keputusan menteri itu.

“Saya hanya pindahkan keluar daripada 31 orang itu, 29 telah saya pindahkan. Yang lagi dua ini macam kenapa ‘special’ sangat? Dia tak bagi dipindahkan. Saya langgar juga. Saya keluar arahan: ‘Tukar!’,” kata beliau.

Hamid berkata beliau tidak tahu menahu Acryl Sani Abdullah akan menerima surat perlantikan sebagai KPN baharu daripada Hamzah sehingga pagi tadi.

Acryl Sani yang merupakan timbalan Hamid, menerima surat pelantikannya daripada Hamzah hari ini.

Pada sidang media terakhirnya selaku KPN, Hamid berkata beliau agak terkejut kerana berpandangan surat pelantikan itu boleh diserahkan Isnin depan, sehari sebelum beliau (Hamid) bersara secara rasmi.

“Pagi tadi saya diberitahu. Saya fikirkan ia boleh dilakukan Isnin depan tapi mereka mahu percepatkan. Mana lah tahu ada orang potong jalan ke kan? Bahaya sekarang ini. Dia bawa mesin pengorek buat jalan baru ke?” kata beliau tanpa mengulas lanjut.

Hamid sebelum ini mendakwa Hamzah campurtangan dalam urusan polis bersabit pelantikan pegawai atasan. Beliau kesal kerana SPP yang dipengerusikan Hamzah dicemari dengan unsur politik.

Hamid berkata beliau tidak bercadang mencabar pelantikan Acryl Sani sebagai KPN, dan mahu bersara sebagaimana yang ditetapkan.

“Itu pilihan kerajaan. Jadi saya sokong. Namanya pun saya juga cadangkan untuk mengambil alih. Insya-Allah (dia) boleh (jalankan tanggungjawab). Kalau tak boleh, tanggungjawab anda semua untuk buat teguran,” Hamid memberitahu pemberita.

Hamid mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin kerana memberinya peluang untuk menjadi KPN.

Heret ‘Tuanku’, Hamzah Zainuddin melampau dan biadap

MALAYSIA DATELINE

 

Rakaman audio Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin yang turut memetik nama ‘Tuanku’ disifatkan satu penyalahgunaan kuasa sekaligus menghina dan mengheret institusi Raja Berperlembagaan untuk kepentingan politik.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan Shazni Munir Mohd Ithnin berkata perbualan Hamzah jelas memetik nama ‘tuanku’ sebagai justifikasi untuk beliau menaikkan pangkat anggota PDRM yang mahu dipilihnya.

“Hamzah yang begitu angkuh dengan semberono mengaku bahawa tindakannya itu sebahagian daripada ‘skop kerja’.

“Jika diamati butir demi butir audio yang tular, jelas bahawa Hamzah Zainuddin telah memetik nama ‘Tuanku’

“Tanpa segan silu menggunakan panggilan ‘budak kita’, Hamzah jelas telah berlaku biadab dengan menyalahgunakan nama ‘Tuanku’, sekaligus menghina dan mengheret institusi Raja Berperlembagaan untuk kepentingan politik beliau,” katanya dalam kenyataan.

Suara rakaman audio kini tular melibatkan Hamzah dengan seseorang yang dipercayai sebagai pegawai tinggi anggota PDRM

Shazni yang juga Ketua Pemuda AMANAH, merasakan bahawa tindakan Menteri Dalam Negeri ini telah melampaui batas dan satu laporan polis akan dibuat pada hari Selasa, 4 Mei 2021 jam 11 pagi di IPD Dang Wangi.

“Kita mahu penghinaan dan cubaan untuk mengheret nama ‘Tuanku’ oleh Hamzah Zainuddin itu disiasat setelus-telusnya,”katanya.

Tegas Shazni, menteri masih tertakluk kepada undang-undang dan jawatannya bukan tiket untuk disalahgunakan apatah lagi dijaja seolah-olah perlakuan salah itu direstui payung negara.

KPN bidas campurtangan Hamzah dalam hal polis

Nicholas Chung

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, membuat kejutan apabila mendakwa Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, menyalahgunakan kedudukannya untuk campurtangan dalam urusan polis.

Hamid berkata demikian kepada pemberita yang memintanya mengulas pengakuan Hamzah bahawa suara dalam sebuah rakaman perbualan berkaitan pelantikan pegawai polis atasan.

Hamzah hari ini megumumkan bahawa Hamid akan bersara 3 Mei sebagai Ketua Polis Negara dan jawatan itu akan diambil alih oleh timbalanya Acryl Abdullah Sani.

Hamid menegaskan menteri tidak boleh campurtangan dalam pengurusan polis dan amalan itu harus dielakkan.

Beliau ada membawa perkara ini ke perhatian Hamzah dan Ketua Setiausaha Negara, katanya.

Timbalan Menteri Belia tunggang basikal dalam keadaan bahaya dikecam

MALAYSIA DATELINE

Tindakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan mengayuh basikal tetapi dalam keadaan merbahaya dikecam hebat oleh orang ramai.

Melalui video itu kelihatan Wan Ahamd Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengayuh basikal di tengah-tengah jalan dalam keadaan yang membahayakan pengguna jalan raya yang lain, bukan sahaja beliau sendiri.

Beliau juga membuat tanda ‘bagus’ kepada jurukamera yang mengambil video beliau itu.

“Harap dia ni kena tindakan sebab menunggang secara merbahaya,” tulis pengguna Twitter yang menggunakan nama Penyelamat Dunia @ kep3n yang berkicau di Twitter pagi ini.

Selain menunggang di tengah-tengah jalan raya, Wan Fayhsal juga dilihat beraksi dengan melepaskan tangannya.

“Dia ni macam asal nampak benda yang bodoh je mesti dia nak buat. Mungkin ada anugerah manusia paling bodoh yang akan di announce yang kita tak tahu?” tulis netizen yang menggunakan nama TashaBakor Brownies ketika membalas kicauan Penyelamat Dunia.

Mahu jadi wanita terakhir, isteri racun suami hingga mati

Agensi

Nozaki (kiri) dan kanan (Sudo). FOTO NHK World Japan

Nozaki (kiri) dan kanan (Sudo). FOTO NHK World Japan

Tokyo: Mahu menjadi wanita terakhir dalam hidup suaminya. Itu pengakuan berani seorang wanita di Jepun yang tergamak meracuni suami sendiri.

Saki Sudo, 25, ditahan Rabu lalu kerana dakwaan membunuh suaminya, seorang jutawan yang pernah menulis buku dengan membayangkan dirinya sebagai Don Juan.

Japan Times melaporkan, wanita itu didakwa meracuni suaminya, Kosuke Nozaki, 77, pada 2018 kira-kira tiga bulan selepas perkahwinan mereka.

Menurut laporan itu, Sudo didakwa menyuntik jutawan hartanah itu dengan sejenis racun selepas makan malam di rumah mereka di Tanabe.

Polis turut mengesahkan, suspek membuat penyelidikan di Internet tentang bahan yang membuatkan seseorang boleh maut.

Dilaporkan Nozaki berbangga dapat meniduri 4,000 wanita dan menulis buku berjudul 'Don Juan of Wakayama' pada 2016.

Dalam tulisannya dia menyebut tujuannya mengumpul kekayaan menerusi hartanah, pertanian dan pinjaman wang itu bagi berjanji temu dengan wanita cantik.

Malah, dalam sebuah buku ditulis pada 2018, Nozaki mendedahkan dia menemui seorang wanita dipercayai Sudo apabila membantunya selepas terjatuh di lapangan terbang Tokyo.

Sudo juga dilaporkan memberitahu keluarganya dia berpindah dari Sapporo untuk bekerja dengan rakannya yang menjalankan perniagaan hartanah, namun tidak mendedahkan dia berkahwin dengan Nozaki.

Pada Mei 2018, Nozaki ditemui mati oleh Sudo di atas sofa di kediaman mereka sebelum polis mencurigai kematiannya apabila mengesan dadah dalam badan jutawan berkenaan.

Ajak isteri rakan lakukan seks, lelaki ditikam tombak sawit

FMT Reporters

PETALING JAYA: Gara-gara mengganggu sehingga mengajak isteri rakannya melakukan hubungan seks, seorang lelaki warga Indonesia ditikam dengan tombak sawit sebelum mayatnya dibuang ke longkang dalam kawasan ladang sawit di Lawas, Sarawak.

Ketua Polis Daerah Lawas, Roslan Leman berkata, mangsa yang dikenali sebagai Imran, 40-an, ditemui orang awam dalam keadaan mayatnya dibalut dengan kanvas pada jam 9.30 pagi kelmarin.

“Siasatan lanjut berjaya mengesan dan menangkap suspek yang juga rakan senegara mangsa berusia 32 tahun di kuarters Ladang Trusan, Kumpulan Kris Jati, Jalan Sundar di sini, 12.10 tengah hari, hari yang sama mayat ditemui,” katanya, menurut laporan Harian Metro.

Roslan berkata, hasil soal siasat suspek mengaku bergaduh dengan mangsa pada Isnin lalu berpunca daripada mangsa yang selalu mengganggu sehingga kali terakhir mengajak isterinya melakukan hubungan seks.

“Suspek mengaku bertindak seorang diri dengan bersenjatakan tombak sawit untuk menikam mangsa sehingga mati, kemudian membalut mayat menggunakan kanvas, memikul mayat seorang diri dan membuangnya ke lokasi penemuan mayat,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun lokasi sebenar pergaduhan sedang dikenal pasti dan pemeriksaan pada mayat mangsa mendapati kesan tetakan di bahagian dahi, telinga, leher, belakang badan, lutut kiri dan pergelangan tangan putus.

“Suspek dan mangsa juga pendatang asing tanpa izin (PATI), di mana suspek datang ke Malaysia kira-kira enam bulan lalu melalui jalan tikus Sindumin, Sabah-Lawas membawa bersama dua anaknya berusia 2 dan 6 tahun serta isteri.” katanya.

Beliau berkata, suspek yang kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu juga tidak bekerja selepas diberhentikan daripada Ladang Sawit di Jalan Trusan dan sedang mencari pekerjaan baru.

Tamat darurat mimpi ngeri untuk pemimpin PN

MOHD ALI HASHIM

Penamatan darurat dipercayai menjadi igauan ngeri kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana kedudukan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan diuji samada beliau mempunyai majoriti atau tidak. 

Namun, ia adalah langkah terbaik untuk kepentingan negara, kata Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Dr Roslan Ahmad yang menyokong usaha agar darurat ditamatkan.

“Gesaan menamatkan proklamasi darurat ini dijangka menjadi igauan kepada kerajaan PN kerana ia akan mempercepatkan proses pengesahan kedudukan Perdana Menteri samada beliau mempunyai majoriti dan mandat atau pun sebaliknya,” kata Dr Roslan kepada Malaysia Dateline.

AMANAH Pulau Pinang, katanya, menyambut baik perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menerima mengadap Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat dalam tempoh terdekat.

Malah gerakan mengutip petisyen sokongan rakyat dan merafak sembah merayu kepada YDPA bagi memohon pengisytiharan darurat ditamatkan dan sidang Parlimen diadakan disokong kerana ia amat penting agar proses semak imbang dan urusan kerajaan dapat berjalan dengan lancar bagi manfaat rakyat.

Dalam kenyataan beliau kepada Malaysia Dateline Dr Roslan berkata, memorandum rayuan bagi menamatkan darurat tersebut adalah luahan hati rakyat yang melihat darurat tidak membantu mengekang penularan Covid-19 maupun untuk menyelesaikan masalah ekonomi serta isu kesihatan awam setelah angka penularan Covid-19 terus meningkat.

“Sehubungan itu AMANAH Pulau Pinang mendesak penamatan pengisytiharan darurat dan pembukaan Parlimen dilaksanakan dengan segera bagi membantu kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa di Parlimen untuk membincang serta menghasilkan langkah-langkah yang realistik dalam menangani isu kesempitan hidup rakyat dan masalah berkaitan SOP Covid-19.

“Selain itu semak imbang dan keamanahan dalam berhutang dan berbelanja secara berhemah bagi program vaksinasi dan kebajikan rakyat dapat direalisasikan dengan sempurna termasuk mengembalikan imej rakyat negara ini yang berpegang pada prinsip-prinsip demokrasi, ” ujar beliau.

Yang Dipertuan Agong baru-baru ini bersetuju untuk bertemu dengan Jawatankuasa Rayuan Penamatan Proklamasi Darurat yang diketuai oleh Khalid Abd Samad.

Doktor hospital kerajaan antara 6 ditahan edar dadah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan enam lelaki termasuk seorang doktor hospital kerajaan kerana disyaki terbabit dalam pengedaran dadah dalam serbuan di Taman Sri Manja.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, pihaknya merampas 11 peket plastik lut sinar berisi ketulan mampat daun kering, disyaki ganja seberat 1.9kg, dianggarkan bernilai RM4,900 serta wang tunai RM1,450.

Dalam serbuan kira-kira jam 10 malam semalam itu, polis juga turut merampas empat kereta dan sebuah motosikal dengan nilai rampasan dianggarkan RM139,000.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan, keputusan menunjukkan lima daripadanya positif dadah jenis ganja, manakala seorang lagi negatif.

“Semakan mendapati keenam-enam suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Fakhrudin berkata, semua dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada kira-kira 1,913 penagih.

Tambah beliau, kesemua suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sehari selepas masuk IJN, Hadi tegur makhluk perosak berbelanja besar untuk perang siber

FAZLI RADZI

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan pada zaman media baru terkini, manusia yang rakus menjadi makhluk perosak dan sanggup berbelanja besar dengan mengambil tugas iblis.

Katanya, terdapat juga golongan yang bermatlamat mencari kesenangan dengan mendapat upah yang lumayan semata-mata untuk mengisi perut dan mendapatkan segala kemewahan daripada rezeki yang haram untuk diri dan keluarganya.

“Mereka mengambil peluang daripada dunia yang langitnya terbuka tanpa sempadan, bagi melancarkan peperangan baharu ‘cyber war’ terhadap negara dan umat yang besar.

“Dengan menggunakan jumlah anggota tentera upahan yang diletakkan di seluruh dunia dengan bayaran yang lumayan, sama ada dalam negara dan juga luar negara dengan bebas,” tegasnya.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu berkata demikian dalam Minda Presiden bertajuk “Perang siber: Pemberitaan yang merosakkan” sehari selepas dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

Terdahulu, Ahli Parlimen Marang berkenaan dilaporkan menerima rawatan di IJN untuk tempoh beberapa hari.

Abdul Hadi selanjutnya menyeru agar berhati-hati dalam menerima atau menyebarkan apa-apa maklumat kerana ada berita daripada orang fasiq atau orang jahil yang boleh menyesatkan dan merosakkan manusia.

“Golongan fasiq ialah mereka yang tidak berpegang kepada agama dan moralnya sangat rapuh sehingga tidak bermaruah.

“Mereka boleh melakukan apa sahaja termasuk menyebarkan berita bohong atau fitnah,” tegasnya.

Dalam masa sama, bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu juga mengingatkan sesuatu berita yang benar tetapi disampaikan secara tidak lengkap tetap akan merosakkan penerima mahupun pemberinya sama ada untuk jangka pendek dan panjang.

Untuk rekod, kali terakhir Hadi dimasukkan ke IJN untuk pemeriksaan susulan kesihatan ialah pada 1 April lalu dan diarahkan doktor supaya berehat.

Dia juga sebelum ini dimasukkan ke Hospital Putrajaya selepas dilaporkan mengalami sesak nafas dan dipindahkan ke IJN untuk rawatan lanjut pada 15 Februari lalu, sebelum dibenarkan pulang empat hari kemudian.

Kamarul senarai tiga pemimpin PH negeri, 12 pemilik akaun FB sebar ‘wayang opera Cina DAP’

FAZLI RADZI

Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff akan membuat laporan polis secepat mungkin berhubung penyebaran hantaran di Facebook bertajuk, “Wayang opera Cina DAP sekali lagi?”.

Kolumnis bagi lidah rasmi Pas, Harakahdaily itu mendakwa penyebaran hantaran Facebook palsu itu berlaku ketika akaun media sosial sebenar miliknya telah dihukum denda tidak dibenarkan membuat sebarang hantaran atau komen selama 24 jam.

Walau bagaimanapun, pensyarah kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) UUM itu mendapati sebanyak 12 individu telah menyebarkan hantaran tersebut bermula kira-kira jam 4 petang semalam.

Mereka ialah Che Ibrahim Mohamed, Saila Hadialuz Nazar, Miqdad Zakaria, Abu Muhammad Ibnu Ismail, Zainal Nor, Lensalog Aidi, Taufik Ali, Hussin Al Mala’al A’lam, Muhammad Al Hanif Hassan, Mohd Safuan MohdSafuan, Abdul Manaf Shafie dan Muhammad Radzi Ismail.

Dalam masa sama, Kamarul menerusi kenyataan panjangnya hari ini turut mengenal pasti tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri dari ketiga-tiga parti komponen iaitu DAP, AMANAH dan PKR.

Katanya, Naib Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff pada jam 1 pagi tadi telah memuatnaik satu hantaran bagi memberi panduan kepada mana-mana pihak yang mahu membuat laporan polis ke atasnya atas dakwaan membuat hantaran yang mempertikaikan Raja Muda Perlis di bawah Seksyen 298A dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1988 (Akta 589).

Kamarul juga berkata, Ketua AMANAH Bahagian Ledang, Azhar Ismail telah memuatnaik satu hantaran pada jam 2 petang tadi memaklumkan telah membuat laporan polis terhadapnya berdasarkan panduan yang diberi oleh Zulhazmi selain berkongsikan hantaran peguam itu.

Tambahnya, Ketua AMK Cabang Padang Besar, Amar Abd Jalil turut memuatnaik dua hantaran bagi memaklumkan akan dan telah membuat laporan polis terhadapnya juga berdasarkan panduan yang diberi oleh Zulhazmi. 

“Ekoran fitnah besar ke atas saya ini, saya, keluarga saya dan institusi tempat saya bekerja, iaitu Universiti Utara Malaysia, telah bertubi-tubi dikecam, dihina dan dimaki oleh pelbagai pihak sehingga menimbulkan gangguan keselamatan kepada kami.

“Saya berpendapat bahawa kesemua mereka yang telah membuat dan menyebarkan posting Facebook palsu saya yang bertajuk “Wayang opera Cina DAP sekali lagi?” serta mereka yang telah menggesa, membantu dan membuat laporan polis ke atas saya berdasarkan posting Facebook palsu saya ini telah melakukan jenayah yang serius,” kata Kamarul lagi.

Tular gambar menteri undang-undang bergambar rapat, tak pakai ‘mask’

SURI LAILA

Tular di media sosial gambar mirip Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang dilihat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Setiausaha Agung Pas itu dilihat bergambar bersama 16 individu lain tanpa mematuhi SOP penjarakan fizikal satu meter dengan pelitup muka hanya dipegang.

Peguam, Zulhazmi Shariff dalam hantarannya di Facebook berkata, bagaimanapun waktu gambar diambil dan lokasi kejadian tidak dapat dipastikan.

“Bila gambar diambil dan di mana kejadian tidak diketahui.

“Mungkin polis boleh siasat dan kemudian serah siasatan kepada Peguam Negara kemudian diserah semula kepada polis kemudian kemudian kemudian,” sindirnya.

“Gambar seramai 17 orang. Kalau seorang RM1,500 dah RM25,500. Boleh ‘cover’ berapa dos vaksin dah tu.

“Tapi takkanlah menteri yang buat peraturan kompaun nak dikompaun. Tak masuk akal pulak,” katanya lagi.

Pada masa ini, pelanggaran SOP mencegah Covid-19 membabitkan ‘kluster kayangan’ dan menteri mengundang kecaman orang ramai.

Rakyat menganggap wujudnya amalan dua darjat dalam pelaksanaan pematuhan SOP kerana mereka yang kaya dan menteri-menteri terutamanya, sukar untuk dikompaun atas kesalahan mengingkari peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Exco Terengganu langgar SOP, sertai moreh di surau

MALAYSIA DATELINE

Tindakan Exco kerajaan negeri Terengganu menyertai majlis makan selepas solat Terawih yang dikenali sebagai moreh di sebuah surau telah dikecam.

Tambah-tambah lagi apabila Exco berkenaan, Dr Azman Ibrahim memuatnaik gambar beliau bersama jamaah sebuah surau berkeaan sedang bermoreh dalam Facebook beliau walaupun ia kemudiannya diturunkan.

“Belang-belang orang kate jangan langgor SOP…haih penat weh dengan kluster kayangan ning,” kata Mohd Haikal sambil merujuk posting yang dibuat oleh Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Terengganu itu.

Azman melalui Facebook beliau telah memuat naik sekeping gambar beliau makan bubur lambuk di Surau Kampung Gerong, Setiu, Terengganu baru-baru ini.

“Jangan kata apa-apa. Pok cik angkat pinggan letak atas riba terus. Sedap sangat moreh bubur lambuk Surau Kg Gerong malam ni. Nikmat hidup berjamaah, Alhamdulillah,” tulis beliau yang merupakan seorang doktor gigi itu.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad, baru-baru ini memaklumkan, kerajaan negeri Terengganu telah membuat ketetapan tidak boleh berbuka puasa dan moreh di masjid dan surau di seluruh Terengganu.

Langkah itu, katanya, bertujuan membantu kerajaan membendung penularan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, jemaah masih dibenar berbuka puasa, moreh dan bersahur dengan makanan berbungkus tanpa membabitkan bilangan ramai.

“Garis panduan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti sepanjang Ramadan termasuk majlis berbuka puasa sudah diedar kepada jawatankuasa masjid dan surau di seluruh negeri.

“Jawatankuasa masjid dan surau diminta menyediakan kurma dan air bagi membolehkan jemaah yang datang awal untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah berbuka puasa,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh BHarian Online.

Keluarga sertai netizen serang Azmin “tak payah berlakun”

MALAYSIA DATELINE

Selain para netizen biasa, keluarga Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga mengambil peluang untuk menyerang beliau ekoran tindakannya memuatnaik sekeping gambar beliau sedang membersihkan lantai Masjidil Haram di Mekah.

Pengacara TV, Azwan Ali dan ahli perniagaan Ummi Hafilda Ali menyerang Menteri Kanan Ekonomi itu apabila beliau membuat naik gambar beliau sedang membersihkan lantai Masjidil Haram selepas Mekah dilanda hujan lebat sehingga banjir kilat berlaku di tanah suci umat Islam itu.

Antara yang ditulis oleh Umi Hafilda yang pernah menjadi saksi kes Datuk Seri Anwar Ibrahim ini adalah:

“Jemin oh jemin…Ini bulan posa, tak payah berlakun untuk cheap publicity.

“Kamu ke Saudi atas urusan rasmi alkonon dagangan dan mencari pelaburan…bukan gi cuci lantai…di Mekah ada beribu pekerja profesional deba dalam bab pencucian…tak yah drama sangatlah..

“Banyak lagi hal rakyat marhaen yang tidak terbela. Even SOP Covid pun caca marba 2 kasta tak leh diselaraskan.

“Sedangkan kamu menteri paling kanan bukan pencuci lantai..agak-agak lah.

“Tu belum lagi bab ekonomi hancus hancai… ramai pelabur besar lari ke Jakarta.. apa cite?

“Gi bersihkan kubur arwah mak tu lagi bagus…lagi afdal..cukup-cukuplah berlakun berpuluh tahun.”

Namun begitu, tulisan Azwan yang mengguna Diva AA tidak boleh disiarkan di sini kerana bahasanya.

Azmin menaikkan banyak posting menerusi Twitter semasa beliau di Mekah dalam perjalanan ke negara-negara Arab atas urusan rasmi negara untuk menarik pelabur.

Antaranya video beliau mencium Hajarul Aswad dan gambar membersihkan lantai Masjidil Haram.

Mekah telah dilanda banjir kilat semalam sehingga banyak kereta yang separuh tenggelam dan dihanyutkan oleh arus deras.

Gambar Azmin membersihkan Masjidil Haram turut digunakan oleh para netizen untuk menyakat beliau dengan lakaran beliau membersihkan jalan di Kuala Lumpur, majlis kahwin selebriti Neelofa dan sebagainya.

Mekah banjir di sebalik Azmin kata hujan rahmat Oleh

MALAYSIA DATELINE

Beberapa kawasan terutama di bandar Mekah dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat luar biasa melanda sejak petang Selasa.

Twitter Haramain Sharifain memaklumkan hujan lebat yang amat jarang berlaku menyebabkan air naik sehingga mencecah 0.5 meter, ekoran itu pihak Pertahanan Awam mengeluarkan amaran berjaga-jaga kepada semua pihak.

Namun, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali Azmin menyifatkan hujan turun membasahi bumi Mekah adalah nikmat Allah memandangkan sudah lama Mekah tidak hujan.

Azmin ke Mekah untuk menunaikan umrah dalam misinya untuk menarik pelaburan dari negara-negara Arab, beliau juga turut berkongsi gambarnya yang berjubah dan berkopiah sedang membersihkan lantai Masjidil Haram akibat hujan.

Azmin berjubah dan berkopiah membersihkan lantai Masjidil Haram akibat hujan.

Ekoran perkongsiannya itu, Azmin pula dihujani kritikan di Twitter malah ada yang membuat andaian bahawa kedatangan Azmin ke Mekah membawa rahmat, bahkan ada yang menganggap kedatangan beliau membuatkan ‘Tuhan menangis’.

Ekoran hujan lebat itu, pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran cuaca buruk membabitkan beberapa wilayah di seluruh Arab Saudi bermula Jumaat sehingga Selasa.

Amaran awal berkenaan membabitkan ramalan ribut petir dengan hujan sederhana serta angin kencang di wilayah Asir, Al-Baha, Jazan, Najran, Mekah dan Madinah bermula Jumaat.

Memetik laporan media tempatan juga, amaran itu turut melibatkan ibu kota Riyadh, Qassim dan Provinsi Timur yang akan mengalami hujan lebat sederhana yang dijangka mengakibatkan arus deras dan banjir.

Steven sahut cabaran pensyarah UUM, tunjuk pemuda penerima motosikal

MALAYSIA DATELINE

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menyahut cabaran Pensyarah UUM, Dr Kamarul Yusof dengan menunjukkan kepada media pemuda Kelantan yang dibantu oleh beliau sebelum ini.

Dalam sidang media itu, Steven membawa pemuda dari Kelantan itu serta motosikal yang disumbangkan oleh beliau kepadanya.

Sebelum ini, Pensyarah UUM, Dr Kamarul Zaman Yusof membuat cabaran kepada sesiapa yang dapat menunjukkan pemuda dari Kelantan yang menerima sumbangan motosikal dari Steven itu akan diberikan hadiah RM2,000.

Ini berikutan dakwaan bahawa Steven hanya membuat rekaan dan budak dari Kelantan itu sebenarnya tidak wujud.

Cerita Steven membantu pekerja penghantar makanan, Food Panda yang menggunakan basikal untuk menjalankan kerjanya dengan memberikan sebuah motosikal baharu kepada beliau telah tular sebelum ini.

Namun Dr Kamarul dan rakan-rakannya tidak percaya dengan cerita itu di samping menjadikan isu itu sebagai isu perkauman.

Beliau juga mempertikaikan kewujudan pemuda itu.

Ekoran itu, Dr Kamarul melalui Facebooknya telah menawar RM2,000 kepada mana-mana pihak yang boleh memberikan maklumat tentang pemuda itu.

“Disebabkan oleh beberapa misteri yang menyelubungi diri beliau, sukacita dimaklumkan bahawa saya serta dua rakan Facebook saya, iaitu Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail dan Saudara Saiful Haq, dengan ini menawarkan saguhati sebanyak RM2,000 kepada sesiapa sahaja yang mampu memberi maklumat seperti nombor telefon, alamat tempat tinggal atau alamat tempat kerja anak Kelantan pekerja Panda Food yang dibantu oleh Steven Sim sehingga beliau dapat dipertemukan dengan saya untuk tujuan pemberian sumbangan tertentu kepada beliau,” tulis Dr Kamarul menerusi Facebooknya pada 26 April lalu.

Hari ini, Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu membawa pemuda yang dibantu itu kepada media untuk diberitahu “Inilah orangnya”.

Kompaun RM50,000: ‘Seolah otak di lutut’, pembaca berita dipuji orang ramai

FAZLI RADZI

Penyampai berita Astro Awani, Luqman Hariz berkenaan kompaun RM50,000 terhadap penjual burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir di Kota Bharu, dua hari lalu dilihat menarik perhatian orang ramai.

Rata-rata warganet memuji dan meluahkan rasa puas hati dengan ayat ‘sentap’ tersebut. Malah ada yang menyifatkan anggota polis yang mengeluarkan kompaun tidak munasabah itu akan rasa tidak tenang sepanjang hayat kerana berbuat zalim.

“Sekarang ini ramai yang hidup secara ala kadar. Ketika otak yang letaknya di atas, tapi ada yang bertindak seolah-olah otak di lutut.

“Mengenakan kompaun RM50,000 pada penjaja kecil yang hanya berniaga di kawasan kampung sendiri, usaha itu dibuat kerana ada yang menanggung sehingga 11 sekeluarga,” kata Luqman dalam slot berita Awani 7.45.

Seorang pembaca berita wanita kemudiannya menyambung dengan membandingkan jumlah kompaun yang dikenakan terhadap selebriti jutawan, Neelofa dan ahli keluarganya.

“Tidak seperti selebriti Neelofa, jumlah kompaun RM60,000 mungkin bukan jumlah yang besar baginya. Polis bagaimanapun tampil memberi jaminan semua peniaga kecil itu boleh mengemukakan rayuan,” katanya.

Sedutan berita itu kemudiannya tersebar di media sosial ketika orang ramai tidak berpuas hati dengan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilihat berat sebelah.

Walau bersyukur hujan turun di Mekah, Azmin diserang kaw-kaw oleh netizen

BORHAN AHMAD

Walaupun Datuk Seri Mohamed Azmin Ali cuba menunjukkan beliau bersyukur kerana hujan turun ketika beliau berada di Tanah Suci Mekah semalam, netizen tidak pernah memberi peluang kepada beliau.

Mereka menyerang Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu kaw-kaw ketika membalas kicauan Azmin di Twitter malam tadi yang memaklumkan hujan turan di Mekah selepas sekian lama panas.x

“Jadi nak cakap kau membawa rakmat ke tu? Ahahha,” tulis pengguna Twitter yang menggunakan nama Mujakosuki ketika membalas kicauan Azmin.

Azmin malam tadi berkicau di Twitter dengan menulis, “Allahuakbar hujan turun membasahi bumi Mekah. Sudah lama difahamkan tidak hujan di sini. Syukur dengan nikmat Allah SWT.”

“Sebenarnya sana aman dan damai. Nampak je Azmin, Tuhan pun menangis… Dapat merasakan derita rakyat Malaysia,” balas KB @ Kenabcdefgh melalui Twitter beliau bagi menjawab kicauan Azmin itu.

Tindakan Azmin yang menunjukkan gambar beliau membersihkan lantai Masjidil Haram yang terkena hujan juga dikecam oleh netizen.

Pengguna Twitter yang menggunakan nama So’od menulis, “Apa tujuan tunjuk2 tu.”

Hampir kesemua netizen yang membalas balik kicauan Azmin itu menyerang bekas timbalan presiden PKR yang belot dan bersama-sama menubuhkan kerana Perikatan Nasional melalui Langkah Sheraton yang dinamakan Langkah Syaiton oleh Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu itu.

Azmin telah ke Mekah untuk menunaikan umrah dalam misinya untuk menarik pelaburan dari negara-negara Arab itu.

Ekoran itu, netizen yang menggunakan nama My Birthplace berkata, “Kalian je boleh umrah dengan duit rakyat atas nama lawatan sambil bekerja. Rakyat nak rentas daerah dan negeri nak cari makan pun tak (boleh).”

Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan untuk menyalahkan Azmin dengan tragedi merebaknya Covid-19 lepas pilihan raya negeri Sabah dan kes tersilap waktu azan Maghrib di sebuah masjid di Gombak.

“Dulu aman je Sabahan. Korang gi sana, terus Covid spike (meningkat).

“Then (lepas itu) Gombak, dalam keluar SOP tak dibenarkan berbuka puasa (di masjid) korang langgar gak.

“Sampaikan bilal terkejut gi Azan awal. Habis satu kampung batal puasa,” tulis IwanXtreme melalui twitternya yang turut menjawab kicauan Azmin itu.

Ia dipercayai merujuk kepada tindakan Azmin membawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke kawasan pilihan raya beliau dan solat di  Masjid Al Amaniah, Gombak baru-baru ini.

Sebuah gambar yang disiarkan ekoran kunjungan Muhyiddin ke Masjid Al-Amaniah, Gombak baru-baru ini. Ia dipercayai majlis moreh selepas solat Terawih yang sebenarnya melanggar SOP Masjid di Selangor.

Dalam kunjungan itu, moreh (makan selepas solat Terawih)  bersama perdana menteri diadakan di masjid itu ketika semua masjid di Selangor dilarang dari mengadakan moreh untuk mengelak jangkitan Covid-19.

Ekoran itu, Muhyiddin dan Azmin didakwa melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu.

Sebuah masjid di Gombak juga tersalah mengumandangkan Azan Maghrib lebih awal sehingga menyebabkan ramai yang terbatal puasa mereka kerana berbuka lebih awal dari waktunya.

Kebencian kepada Azmin sangat ketara terutama di kalangan pengguna Twitter sehingga #KerajaanGagal menjadi paling rending selama lima hari berturut-turut baru-baru ini.

Mengapa Azmin tak bawa Duta Khas ke Arab Saudi, perli netizen

FAZLI RADZI

Rata-rata warganet menyindir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berpakaian ihram ketika mengerjakan ibadah umrah.

Mereka bertanyakan mengapa Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu tidak turut membawa Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas.

Terdahulu, Azmin memberitahu dia memulakan misi pelaburan ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan solat Isyak dan Tarawih di Masjidil Haram serta mengerjakan ibadah umrah.

“Sebelum bertahallul saya berdoa di Bukit Marwah, mengambil berkat dari kisah Siti Hajar berlari-lari antara Safa dan Marwah mencari air untuk Nabi Ismail yang kedahagaan,” katanya sambil menyertakan tiga gambar di Facebook semalam.

Walau bagaimanapun, tidak banyak reaksi yang menyokong Azmin sebaliknya kata-kata pedas yang membanjiri dalam kira-kira 1,000 komentar hanya selepas 21 jam dimuatnaik di media sosial itu.

“Kenapa tak bawa tuan guru Haji Hadi? Kasihan tuan guru selalu dipinggirkan. Saya sebagai walaun agak terasa,” sindir pengguna Facebook, Bang Toyib.

Hal sama juga dibangkitkan Norazman berhubung ketiadaan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu untuk mengiringi Azmin.

“Bagilah dia (Hadi) kerja escort YB ke sana dan boleh tengok nanti Raja Salman keluarkan arahan siapa pula pegawai di sana ke buang kerja,” tempelaknya.

Orang ramai anggap menteri tidak perlu menunjuk buat ibadah.

Hal peribadi

Untuk rekod, Pejabat Perdana Menteri pada 2 April tahun lalu mengumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju melantik Abdul Hadi sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf menteri.

Selepas setahun bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu dilantik ke jawatan tersebut, sebahagian besar rakyat menganggap kerajaan banyak membazirkan wang kerana tiada fungsi dan kerja apapun dilakukan Hadi.

Dalam masa sama ada juga yang mengulas, Azmin tidak harus menghebahkan hal-hal peribadi dilakukan seperti mengerjakan ibadat umrah semasa membuat lawatan rasmi.

Tambahan lagi, banyak perancangan umat Islam termasuk menunaikan haji dan umrah sejak tahun lalu tergendala akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam mengekang penularan Covid-19.

“Kita pergi atas urusan dan duit kerajaan iaitu duit rakyat. Nanti dikata ambil kesempatan saja. Dah tu ramai rakyat yang hampa sejak dua tahun ni tak dapat nak pergi haji dan umrah.

“Jagalah hati rakyat,” nasihat Shawaludin Mohd Din yang turut disokong lebih 200 tanda ‘suka’.

Bangla yang melakukan aksi onani dalam LRT ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang disyaki berkelakuan tidak senonoh dalam LRT awal bulan ini.

Suspek berusia 29 tahun itu ditahan oleh polis bantuan di Stesen LRT USJ 7 di Subang Jaya pada 9.30 malam, Ahad lalu, kata Ketua Polis Daerah Subang Jaya Abd Khalid Othman.

“Suspek kemudian diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk tindakan lanjut,” kata beliau, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, suspek telah direman selama 14 hari bermula Ahad hingga 8 Mei ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 /63,” kata beliau.

Dalam kejadian sekitar 8.30 malam pada 4 April lalu, seorang wanita mendakwa seorang lelaki berkelakuan tidak senonoh dengan melakukan aksi onani ketika duduk bertentangan dengannya dalam LRT di Stesen USJ 21.

“Pengadu sempat merakam sebahagian perbuatan suspek tersebut,” kata Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Amihizam Abdul Shukor, yang mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

JK Tamat Darurat: 12 pemimpin pembangkang dijangka menghadap Agong

Yasmin Ramlan

Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat bercadang membawa 12 pemimpin pembangkang bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memperincikan desakan mereka berkaitan darurat.

Bagaimanapun menurut Pengerusinya Khalid Samad, nama 12 pemimpin yang akan bersama dalam rombongan tersebut masih belum diputuskan lagi.

“Bergantung pada jumlah yang ditetapkan istana. Kalau boleh kita nak dalam 12 orang supaya semua pemimpin pembangkang boleh turut bersama,”katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Ahli Parlimen Shah Alam berkata, pemimpin pembangkang akan bertemu pada Khamis ini bagi membincangkan 12 pemimpin yang akan bersama nanti.

“Belum finalise. Khamis ni akan jumpa dan bincang siapa yang sanggup,12 itu sekadar cadangan kami,” katanya.

Pada masa sama, katanya Istana Negara masih belum menetapkan tarikh khusus untuk menghadap Sultan Abdullah Ahmad Shah.

Pada 22 April lalu, sumber dari jawatankuasa berkenaan memberitahu Sultan Abdullah sudah memberi perkenan untuk menerima menghadap mereka.

Ini selepas Khalid menghantar surat kepada Istana Negara yang menyatakan Agong berkenaan membenarkan jawatankuasa terbabit menghadap agar mereka dapat menyerahkan memorandum berkaitan darurat.

Pada 12 Mac lalu jawatankuasa itu - yang dianggotai beberapa ahli politik dan aktivis - melancarkan kempen mengumpul tandatangan termasuk secara dalam talian bagi memohon agar darurat yang dikuatkuasakan sekarang ditamatkan.

‘Saya rela ke penjara, tak mampu bayar denda ribuan ringgit,’ kata peniaga colek dikompaun RM50,000

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang peniaga colek di Kampung Chekok Tengah, Kota Bharu, Kelantan dikenakan kompaun RM50,000 kerana beroperasi melebihi masa ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Mohd Azizi Mohd Nor, 42, disaman pada malam Ahad lalu, hari sama seorang peniaga burger, turut dikompaun RM50,000 atas kesalahan serupa di Kota Bahru.

Azizi berkata, beliau dan isterinya, Nik Norwati Nik Loh, 38, didatangi beberapa anggota polis pada 11.20 malam kelmarin.

Tanpa banyak menyoal, mereka mengenakan kompaun RM50,000 kepadanya.

Azizi, yang berniaga colek pada sebelah malam sepanjang Ramadan di hadapan rumahnya, berkata ketika anggota polis itu tiba, beliau dan isterinya sedang mengemas bahagian dapur setelah kedainya ditutup pada 10 malam.

“Saya dan isteri sedang mengemas ketika itu dan sudah tentu mengambil masa agak lama,” katanya dipetik Berita Harian.

“Pada masa sama, saya sedang menggoreng keropok untuk anak-anak, memandangkan mereka belum tidur.”

Azizi yang bekerja sebagai mekanik turut membantu isterinya berniaga mee celup pada hari biasa, dan mempunyai lima anak yang masih bersekolah serta perlu menanggung tiga anak saudara.

“Ini kali pertama saya dikenakan kompaun, tetapi sudah dikenakan RM50,000.

“Jangan kata RM50,000, jika dikurangkan RM10,000 pun saya tidak mampu dan disebabkan tidak mampu serta tiada pilihan lain, saya lebih rela memilih untuk masuk penjara.”

Azizi yang kebuntuan ke Pejabat Kesihatan Daerah semalam untuk membuat rayuan terhadap kompaun itu.

“Saya juga berharap ada pihak yang tampil membantu.”

Malam kelmarin, Wan Mohd Faisal Wan Kadir yang menjual burger di depan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu, dikompaun RM50,000 kerana dikatakan beroperasi melebihi masa ketika PKP.

Peniaga berusia 38 tahun itu, didatangi lima pegawai polis kira-kira 11 malam, ketika menyiapkan tempahan untuk dihantar kepada pelanggan di sekitar rumahnya.

Hari ini, Faisal membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu supaya kompaun itu dibatalkan.

Jumlah kompaun keluarga Neelofa, peniaga burger cetus kemarahan

FMT Reporters

Rata-rata warganet tidak k berpuas hati dengan jumlah kompaun diterima Neelofa dan keluarga berbanding yang diterima peniaga burger, seperti dilaporkan semalam.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Najib Razak berkata kadar kompaun yang dikenakan kepada Neelofa serta keluarga dan seorang peniaga burger baru-baru ini, boleh mencetuskan kemarahan rakyat.

Beliau berkata, rakyat yang kini sudah tidak berpuas hati dengan cara kerajaan mengawal Covid-19 dan darurat sehingga perjalanan merentas negeri untuk Hari Raya masih tidak dibenarkan, akan mudah mempertikaikan isu kompaun itu.

“Jumlah denda RM60,000 dikeluarkan kerajaan pada Neelofa dan keluarganya sebab langgar SOP hanya akan mengundang kemarahan.

“Ramai tengah kemurungan sebab kerajaan tidak berjaya kawal Covid dengan darurat dan akibatnya tidak membenarkan orang ramai rentas negeri untuk balik Raya.

“Kemarahan juga bertambah setelah berita peniaga burger dikompaun RM50,000 terkeluar semalam,” katanya di Facebook hari ini.

Justeru, dalam hantarannya Najib meminta agar kerajaan menyelaraskan kadar kompuan tersebut.

Dalam pada itu, rata-rata warganet meluahkan rasa tidak puas hati berkenaan jumlah kompuan diterima Neelofa dan keluarga berbanding yang diterima peniaga burger itu.

Seorang pengguna Twitter dikenali sebagai @ColinJoshuaa menulis: “RM60,000 Neelofa dan keluarga, tapi seorang peniaga burger kena bayar kompaunnya sendiri sebanyak RM50,000.”

Sementara itu, seorang lagi pengguna menulis di Twitter, @LimSiChing pula menulis: Jual burger sampai pukul 11pm bukan jenayah. Neelofa, suami dan keluarga patut bayar lebih dari RM60,000 kompaun.

'Sedang goreng keropok untuk anak, dikompaun RM50,000'

N Faizal Ghazali

image placeholder

Di sebalik kisah seorang peniaga burger dikenakan kompaun RM50,000 kerana beroperasi lebih masa malam kelmarin, seorang lagi peniaga colek di Kampung Chekok Tengah, Kota Bharu, turut dikenakan kompaun membabitkan jumlah dan kesalahan yang sama.

Mohd Azizi Mohd Nor, 42, dan isterinya, Nik Norwati Nik Loh, 38 yang berniaga colek (rojak) pada sebelah malam sepanjang Ramadan di pekarangan rumahnya mengakui terkejut apabila didatangi beberapa anggota polis jam 11.30 malam kelmarin.

Katanya, tanpa bertanyakan maklumat lanjut, anggota polis berkenaan terus menulis kompaun dengan jumlah RM50,000 bagi kesalahan beroperasi melebihi had masa.

"Saya terkejut sampai hilang kata-kata melihat jumlah yang perlu kami bayar. Sedangkan untuk mendapatkan RM100 setiap malam dengan berniaga colek pun agak sukar kerana hanya berniaga kecil-kecilan di kawasan kampung.

"Sebenarnya ketika anggota polis tiba, saya sudah menutup kedai jam 10 malam dan sebahagian lampu juga sudah ditutup. Cuma bahagian dapur sahaja belum ditutup kerana saya dan isteri sedang mengemas ketika itu dan sudah tentu mengambil masa agak lama.

"Pada masa sama saya sedang menggoreng keropok untuk anak-anak memandangkan mereka belum tidur," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Wan Mohd Faisal Wan Kadir dikenakan kompaun dengan nilai RM50,000 atas alasan meniaga melebihi masa dihadkan dalam tempoh PKP.

Sementara itu Mohd Azizi yang juga bapa kepada lima anak yang masih bersekolah itu berkata, dia juga menanggung tiga anak saudara sudah tentu tidak mampu membayar jumlah kompaun berkenaan.

"Jangan kata RM50,000, jika dikurangkan RM10,000 pun saya tidak mampu dan disebabkan tidak mampu serta tiada pilihan lain, saya lebih memilih untuk masuk penjara.

Polis akan teliti semula kompaun

"Saya agak kecewa kerana ini kali pertama saya dikenakan kompaun tetapi sudah dikenakan RM50,000. 

"Saya bekerja sebagai mekanik selain membantu isteri berniaga mee celup pada hari biasa.

"Cuma setiap kali Ramadan sejak empat tahun lalu, saya dan isteri berniaga colek pada waktu malam," katanya.

Tambahnya, disebabkan buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan, dia sudah ke Pejabat Kesihatan Daerah semalam untuk membuat rayuan dan sehingga kini mereka masih buntu dengan apa yang berlaku.

"Sejak malam kelmarin, saya dan isteri masih buntu sehingga tidak mampu tidur malam memikirkan nasib yang menimpa kami.

"Saya juga berharap ada pihak yang tampil membantu," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat memaklumkan, pihaknya mengambil pendekatan untuk meneliti kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap tiga peniaga termasuk Azizi dan Wan Mohd Faisal.

Jelasnya, pihak polis akan memanggil semula orang yang dikenakan kompaun (OKK) membabitkan tiga peniaga berkenaan.

Akta tak benarkan pegawai polis bersara, letak jawatan semasa darurat, kata peguam Pejuang

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kumpulan peguam dalam parti baharu Dr Mahathir Mohamad, Pejuang, mengingatkan kerajaan bahawa Akta Polis tidak membenarkan pegawai polis bersara atau letak jawatan semasa darurat.

Kumpulan yang menggelar diri mereka Peguam Pejuang itu berkata demikian selepas tersebar satu rakaman audio dikatakan mirip Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, yang antara lain membualkan mengenai kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan dalam polis.

Seksyen 15 Akta Polis menyatakan tiada seorang pun pegawai polis boleh bersara atau meletak jawatan daripada pasukan semasa darurat berkuatkuasa, melainkan jika ia disyorkan ketua polis negara.

“Tafsiran pegawai polis ini merangkumi keseluruhan anggota pasukan keselamatan tersebut…malah jawatan KPN juga mesti dilindungi apabila kerajaan ini sendiri yang memilih darurat buat masa ini,” kata Peguam Pejuang dalam kenyataan.

Kumpulan itu berkata peruntukan undang-undang tersebut jelas memerlukan khidmat ketua polis negara dan pegawai lain diteruskan, “tambahan dengan isu kartel dalaman yang mengancam gerak kerja pasukan polis.”

10 polis, 2 pegawai SPRM disyaki terlibat geng Nicky ditahan

Seramai 12 pegawai penguat kuasa disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah terancang yang didalangi ahli perniagaan Nicky Liow Soon Hee ditahan di beberapa negeri setakat hari ini.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 10 pegawai polis dan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berusia lingkungan 35 hingga 49 tahun.

Ayob berkata mereka ditahan di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan, pada 21 April hingga hari ini menerusi Ops Pelican 3.0 Fasa 2.

"Tangkapan melibatkan dua pegawai berpangkat Superintendan (Supt) yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Inspektor di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

"Tiga lagi bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, masing-masing berpangkat Deputi Superintendan (DSP) di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Asisten Superintendan (ASP) (Cawangan Khas) dan Inspektor di JSJ IPK manakala seorang bertugas sebagai Inspektor di Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya," katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Ayob Khan berkata tangkapan turut melibatkan seorang pegawai berpangkat DSP yang bertugas di JSJ, IPD Melaka Tengah manakala di IPK Kuala Lumpur pula melibatkan dua pegawai berpangkat ASP masing-masing bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di IPD Sentul.

Menurutnya, tangkapan di IPK Negeri Sembilan pula melibatkan pegawai berpangkat Inspektor bertugas di Pulapol Air Hitam sementara tangkapan di SPRM pula melibatkan dua pegawai berpangkat Penolong Pesuruhjaya dan Penguasa SPRM di Putrajaya.

Dia berkata kesemua mereka ditahan selama 28 hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 130V hingga Seksyen 130ZB Kanun Keseksaan Bab VI B Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 Sosma.

Tangkapan terbaru itu menjadikan seramai 64 individu sudah ditahan disyaki terlibat dengan kumpulan Geng Nicky, tambahnya.

"Polis Johor akan terus menjalankan siasatan susulan, untuk mengenal pasti saki-baki individu yang terlibat, kami percaya akan ada lagi dari agensi penguatkuasaan yang akan ditangkap," katanya.

Pada 30 Mac lalu, Ketua Polis Negara Hamid Bador mendedahkan terdapat 34 pegawai dan anggota agensi penguatkuasaan disyaki bersekongkol dengan kumpulan Geng Nicky.

Dalam sidang akhbar sama, Abdul Hamid turut dilaporkan sebagai berkata seramai 68 ahli kumpulan jenayah terbabit diberkas termasuk lapan orang kenamaan bergelar Datuk Seri dan Datuk.

-Bernama

Baju baharu Maharaja dan hujjah Presiden Pas

KHALID ABD SAMAD

Ada kisah dongeng yang popular di negara-negara Barat berhubung seorang Maharaja yang terlalu asyik dengan pakaian cantik dan fesyen terbaharu sehingga terperdaya untuk membeli dan memakai ‘baju tenunan benang ajaib’ yang kononnya hanya dapat dilihat oleh golongan bijaksana. Kononnya, golongan bodoh tidak dapat melihat baju tersebut.

Kisah ini dinamakan “The Emperor’s New Clothes” atau baju baharu Maharaja. Ringkasnya, ‘baju ajaib’ ini dipakai sang Maharaja di khalayak ramai.

Sedangkan pada hakikatnya sang Maharaja berada dalam keadaan bogel! Tiada yang ingin menegurnya kerana semua takut dianggap bodoh dan ingin dianggap sebagai golongan bijaksana.

Maka semua memuji baju Maharaja, kononnya cantik dan begitu halus tenunannya serta indah coraknya. Maka Maharaja berasa begitu bangga, terus menayangkan baju baharunya di khalayak dalam keadaan dirinya sedang telanjang bulat!

Mungkin begitulah keadaannya seseorang yang dianggap ilmuan dan ulama’ taraf dunia selepas menghasilkan tulisan dan kupasan yang turut disertakan ayat Al-Quran dan Hadis.

Dalam keadaan sentiasa dikipas oleh golongan pengkagum dan walaunnya, beliau tetap dipuji atas tulisannya ini walaupun bagi ramai orang, tulisannya teramat cetek, malahan dangkal.

Sepertimana baju baharu Maharaja bertujuan mendedahkan kehebatan pakaian sang Maharaja, tulisan seseorang ilmuan atau ulama kononnya menzahirkan kebijaksanaan dan kehebatan pemikiran ilmuan atau ulama berkenaan.

Tetapi dalam kes ini, sebaliknya tercapai. Sang Maharaja didedahkan seurat benang dan ilmuan atau ulama tersebut mendedahkan kecetekan pemikirannya.

Kedua-dua kisah merupakan keadaan di mana yang tercapai adalah sebalik apa yang diinginkan dan sedihnya, tidak pula disedari! Terus syok sendiri. Dan begitulah keadaannya dengan tulisan Presiden Pas berhubung golongan menolak darurat.

Amat jelas kelihatan beliau tidak memahami perbezaan antara darurat dan PKP, sedangkan perbezaannya basic dan nyata! Penghujahan beliau yang ingin menyamakan golongan yang menyeru darurat ditamatkan dengan golongan ekstrimis agama yang sanggup bunuh diri, ia itu suicide bombers, adalah berpaksikan andaian tamatnya darurat bererti tamatnya PKP juga!

Sedangkan PKP dan darurat adalah dua perkara yang berbeza dan PKP pernah dilaksanakan dengan jayanya tanpa diistiharkan darurat. Malahan, tiada apa yang dilakukan di bawah PKP yang memerlukan darurat diistiharkan.

Ayat Quran dan hadis yang dibawanya adalah berhubung arahan supaya mereka yang berada di kawasan berlakunya wabak tidak keluar dari kawasan berkenaan.

Tiada sesiapa pun mempertikaikan keperluan peraturan tersebut. Maka dibawanya ayat Quran dan hadis untuk ‘mengislamkan’ hujahnya sedangkan menyamakan golongan tolak darurat dan pelampau agama adalah satu qiasan yang tidak kena dan jauh lari dari kebenaran.

Dalam istilah perundangan Islam, ianya dinamakan “qias ma al-fariq”.

Meneruskan hujahnya, beliau mendakwa golongan yang merayu darurat ditamatkan tidak ambil kisah bahawa tuntutan mereka akan menyebabkan kematian ratusan, malahan ribuan manusia, sepertimana juga sikap pelampau berani mati atau suicide bombers.

Yang penting bagi golongan ini, menurut beliau, adalah mencapai matlamat politik mereka dan mendapat kuasa. Nyawa manusia, kononnya, tidak penting bagi yang menuntut darurat ditamatkan.

Saya terfikir Presiden Pas ini telah hilang dalam lamunan dan khayalannya, tidak menyedari bahawa rampasan kuasa melalui pengkhianatan politik golongan yang disokongnya adalah sebenarnya punca berlakunya gelombang ketiga!

Tidakkah dia sedar bahawa atas keinginan kuasa melalui politik khianat kerajaan-kerajaan negeri dirampas tanpa malu sehingga berlakunya pilihanraya negeri (PRN) Sabah? Dan PRN itu pula pencetus gelombang ketiga?

Dan Pas bersama bertanggungjawab atas tindakan khianat yang membawa malang itu! Kalau ada yang kejam dan tidak berhati perut demi kuasa, ianya pihak PN dan BN serta GPS, iaitu gerombolan pengkhianat dan tamak kuasa yang sedang berkuasa hari ini! Dan tiada yang boleh menafikan itulah sebenarnya sebab mengapa darurat diistiharkan. Semata-mata supaya gerombolan tidak bermaruah ini terus berkuasa.

Darurat tiada kena mengena se-sen pun dengan kawalan pandemik dan wabak atau PKP dan SOP. Melalui darurat ini maka kuasa mutlak dipegang gerombolan ini.

Mereka meluluskan undang-undang serta perbelanjaan duit negara sesuka hati mereka. Mereka menambahkan hutang dan menggunakan duit tabung negara ikut kehendak mereka. Dan yang lebih penting, mereka terus berkuasa tanpa mandat dan sokongan rakyat.

Tidak malu dan tidak bermaruah sungguh gerombolan ini, melakukan pengkhianatan terhadap rakyat dan negara dalam keadaan celik dan sedar. Mungkin Presiden PAS sahaja yang dalam keadaan tidak sedar dan terus berkhayal.

Rakyat sudah semakin memahami keadaan sebenarnya dan “#KerajaanGagal” dan “#tamatdarurat” semakin mendapat sambutan.

Walaupun pihak pengkaji upahan menyatakan kononnya Muhyiddin Yassin terus mendapat sokongan tertinggi, semua anggap ianya satu lagi usaha mengaburi mata rakyat dan menyeronokkan hati boss.

Semoga akan terus dibogelkan kecetekan pemikiran dan kedangkalan diri sang Presiden, sepertimana diteruskan penonjolan kebogelan diri sang Maharaja dalam kisah “The Emperor’s New Clothes”.

Mungkinkah ini penyudahan paling tepat yang ditetapkan Ilahi terhadap seorang yang pernah mengkafirkan sesama Islam sambil membawa imej ilmuan dan ulama bertaraf dunia?

—————–

Penulis adalah Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Penamatan Proklamasi Darurat. Tulisan ini menjawab tulisan Presiden Pas yang mendakwa penyokong penamatan darurat lebih bahaya dari pengebom berani mati.