Parti yang lakukan ‘dosa’ ini wajar ditolak anak muda PRU-15 nanti

MALAYSIA DATELINE

Parti yang melakukan tiga ‘dosa’ terhadap anak muda wajar ditolak oleh mereka pada PRU-15 nanti demikian menurut Ketua Pemuda Pakatan Harapan Terengganu Zamir Ghazali.

Katanya, dosa-dosa itu teramasuklah parti yang menyokong agar undi 18 tahun dibatalkan secara jelas dan terang telah menafikan hak anak muda untuk memilih pemimpin yang boleh membawa aspirasi mereka.

“Anak muda wajar tampil menolak parti yang sebegini. Ini hak anda yang telah dicuri,” katanya.

Dosa kedua katanya, parti yang melabelkan parti lain sebagai musuh Islam jika tidak bersama mereka sekali gus menggambarkan parti yang telah memasung minda yang memisahkan intelektual pengundi.

Jelasnya,  walaupun anak muda tidak berparti mereka akan memilih berdasarkan pengamatan dan pembacaan.

“Memberi label sebagai musuh agama hanya kerana tidak mengundi parti mereka adalah kedurjanaan intelektual yang membonsaikan pemikiran. Anak muda tidak wajar diperbodohkan seperti ini,” kata beliau.

Jelas Zamir parti yang membawa peraturan dua darjat juga wajar ditolak anak muda di mana mereka dijebak dengan pelbagai peraturan undang-undang yang sukar.

“Anak muda disaman dengan pelbagai kesalahan sepanjang tempoh PKP ini dan tidak dibela sewajarnya. Dukacita pula pemimpin parti dan golongan kayangan terlepas apabila melakukan kesalahan sama secara terbuka.

“Dua darjat seperti ini nyata sekali menjadi contoh yang buruk dalam negara berdepan musibah,” ujarnya.

Justeru beliau mengingatkan anak muuda bahawa masa depan negara di tangan mereka dengan itu anak muda hendaklah buka mata dan minda serta menilai dengan akal yang bijaksana.

Speaker Dewan Rakyat, Dewan Negara dipanggil menghadap di Istana Negara

Nicholas Chung

PETALING JAYA: Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Presiden Dewan Negara Rais Yatim telah dipanggil menghadapi Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara, Selasa ini.

Perkara itu disahkan kepada FMT oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadli Shamsuddin dalam satu pesanan ringkas, tanpa memberikan butiran lanjut.

Ini susulan oleh TheVibes bahawa Azhar dan Rais akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada jam 11 pagi Selasa, dengan sumber dipetik berkata mereka telah menerima jemputan semalam.

Menurut sumber itu, Agong dipercayai akan berbincang dengan mereka berhubung persidangan semula Parlimen sebelum darurat berakhir pada 1 Ogos.

Kenyataan Peguam Negara jelas memperkecilkan kuasa YDPA

MALAYSIA DATELINE

Peguam Negara Idrus Harun tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan umum yang seolah-olah “memperkecil” kuasa Yang DiPertuan Agong, demikian menurut Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Katanya, Idrus Harun jangan lupa bahawa beliau dilantik oleh Yang DiPertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, dengan menekankan bahawa Yang DiPertuan Agong tidak mempunyai kuasa kecuali untuk mendengar nasihat Kabinet jelas menunjukkan Idrus berpihak kepada Perdana Menteri untuk mengenepikan Titah Diraja Agong yang didukung oleh Majlis Raja-Raja, agar Parlimen bersidang secepat mungkin.

“Tidak ada keraguan bahawa Idrus telah menunjukkan wajahnya yang sebenar sebagai Peguam Negara bersifat politik, yang bersedia melakukan arahan Perdana Menteri untuk memenuhi kepentingan politik seperti yang diperlukan.

“Idrus telah menarik tumpuan orang ramai sebelum ini atas penyalahgunaan kuasa yang ditunjukkannya dalam menahan tindakan dan menjalankan pendakwaan terpilih terhadap ahli politik yang menyokong atau menentang Perdana Menteri,” kata beliau.

Ahli Parlimen Bagan itu juga berkata, Idrus tidak perlu berpura-pura bahawa dia menegakkan undang-undang ketika dia bersedia untuk mendedahkan kepada umum nasihatnya kepada Yang DiPertuan Agong sebagai pegawai undang-undang utama kerajaan.

“Langkah yang belum pernah terjadi sebelum ini sangat tidak wajar dan tidak bertanggungjawab. Walaupun pandangan Idrus boleh dipertikaikan secara sah oleh pakar undang-undang yang lain, mengapa dia mendedahkannya kepada umum sekarang?

“Sebelum ini, Idrus tidak mendedahkan kepada umum pandangannya bahawa Yang DiPertuan Agong sepatutnya mendengar nasihat Kabinet ketika Tuanku menolak permohonan pertama Perdana Menteri Mahiaddin Md Yassin dan Kabinet tahun lalu untuk mengisytiharkan darurat,”ujarnya.

Kenyataan umum Idrus sekarang katanya secara jelas membayangkan bahawa Yang DiPertuan Agong telah terkhilaf apabila menolak permohonan Kabinet untuk darurat pertama ketika itu, tetapi tidak ada kenyataan umum daripadanya.

“Apa sebabnya Idrus sekarang secara tiba-tiba berani bersuara terhadap Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja?

“Tidak syak lagi bahawa kegagalan Kerajaan PN telah menyebabkan Yang DiPertuan Agong mengambil langkah bersejarah untuk memanggil semua pemimpin parti politik, termasuk pemimpin pembangkang, untuk mendapatkan pandangan.

Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja telah bertitah dengan tegas bahawa Parlimen perlu bersidang secepat mungkin untuk membincangkan pandemik global COVID-19 berikutan lonjakan tertinggi jangkitan dan angka kematian, kemelesetan ekonomi serta pelbagai Ordinan Darurat yang dikeluarkan di bawah kuasa Darurat.

Justeru, DAP menggesa Kerajaan PN untuk tidak menggerakkan usaha keseluruhan kerajaan terhadap Titah Diraja Agong, dan bahawa Yang DiPertuan Agong tidak mempunyai kuasa untuk memanggil sidang Parlimen tetapi merupakan prerogatif Kabinet.

“Tindakan politik melulu seperti itu boleh mencetuskan krisis perlembagaan yang tidak dapat ditanggung oleh Malaysia kini ketika menghadapi pelbagai krisis.

“PN sebaliknya perlu mematuhi Yang DiPertuan Agong, Majlis Raja-Raja dan rakyat yang menuntut agar Parlimen bersidang secepat mungkin dan Darurat tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos,” katanya.

Enam termasuk tiga anggota polis ditahan rompak syarikat kurier

Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Polis menahan enam individu termasuk tiga anggota polis selepas disyaki melarikan peti besi mengandungi wang tunai hampir setengah juta ringgit di sebuah pejabat syarikat kurier, di sini, Rabu lalu.

Kesemua suspek berusia 21 hingga 50 tahun ditahan pada hari sama selepas pemilik syarikat membuat laporan polis berhubung kejadian pada 1.30 pagi itu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan mendapati kumpulan penjenayah terbabit bertindak mencabut fius utama bekalan elektrik di luar premis menyebabkan kamera rakaman litar tertutup (CCTV) tidak berfungsi sebelum mengumpil pintu utama.

"Berdasarkan maklumat, polis berjaya menahan salah seorang suspek iaitu orang awam tidak jauh dari lokasi kejadian pada 4 pagi hari sama.

"Susulan itu, kita menahan lima lagi suspek iaitu dua daripadanya adalah orang awam pada Khamis lalu, sebelum tiga anggota polis terbabit ditahan, semalam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalannya Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari

Kamarul Zaman berkata, kesemua mereka ditahan secara berperingkat dan ada yang ditahan di rumah serta pejabat.

"Polis menemui semula wang tunai berjumlah RM263,295 dan kita masih mengesan dua lagi suspek yang dipercayai masih berada di daerah ini selain wang tunai RM130,000 yang masih hilang.

KAMARUL Zaman (tengah) menunjukkan peti besi yang mengandungi wang tunai hampir setengah juta ringgit yang dilarikan penjenayah pada sidang media hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli.

KAMARUL Zaman (tengah) menunjukkan peti besi yang mengandungi wang tunai hampir setengah juta ringgit yang dilarikan penjenayah pada sidang media hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli.

"Turut dirampas tujuh telefon bimbit, dua kad sim, kad memori, alat pemotong besi, beg tangan, baju lengan pendek dan seluar panjang," katanya.

Katanya, kesemua suspek direman bermula semalam sehingga 1 Julai ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tiga suspek iaitu orang awam positif dadah jenis methapetamin, manakala tiga anggota polis itu pula negatif dadah.

"Kita masih menjalankan siasatan lanjut bagaimana tiga anggota polis berkenaan boleh terbabit dalam kegiatan ini," katanya.

Lima diberkas, berenang cuba masuk Singapura secara haram

Metra Syahril Mohamed

LIMA lelaki dikesan sistem pengawasan Polis Pantai Singapura. - GAMBAR PASUKAN POLIS SINGAPURA

SINGAPURA: Lima lelaki diberkas kerana didakwa memasuki Singapura secara haram selepas dikesan di perairan Tuas, awal pagi semalam.

Berita Mediacorp melaporkan, dalam kenyataan akhbar, polis menyatakan, sistem pengawasan Polis Pengawal Pantai mengesan kelima-lima lelaki berusia antara 21 hingga 38 tahun itu pada sekitar 4.45 pagi.

Pihak berkuasa percaya mereka berenang ke Jeti Taman Lube.

Lelaki itu dirujuk kepada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) untuk disiasat.

Di bawah Akta Imigresen, memasuki Singapura secara haram boleh membawa hukuman penjara sehingga enam bulan dan sekurang-kurangnya tiga sebatan.

“Polis akan terus mengambil tindakan tegas ke atas pesalah-pesalah sedemikian untuk melindungi perairan dan sempadan laut kita daripada ancaman jenayah dan keselamatan negara,” tegas Ketua Polis Pengawal Pantai, Penolong Pesuruhjaya Kanan Polis Cheang Keng Keong.

Harga MP boleh jatuh teruk jika tidak dicalonkan PRU 15, MT Umno beri amaran

MALAYSIA DATELINE

Ahli Parlimen Umno diberikan ingatan, harga diri mereka boleh jatuh menjunam dalam pilihan raya umum ke 15 nanti jika tidak dicalonkan oleh parti.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi memberikan amaran itu ketika penjualan SD (akuan berkanun) sekarang menjadi perniagan yang lumayan.

Ini kerana, menjadi tradisi semua parti, presiden parti akan menandatangani watikah perlantikan sebagai calon parti masing-masing. Hanya watikah yang ditandatangani oleh presiden atau wakil parti yang sah sahaja yang diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika hari penamaan calon.

Menurut Puad, Harga SD (akuan berkanun) para Ahli Parlimen (MP) sedang meningkat naik sekarang ekoran desas desus kerana Perikatan Nasional akan jatuh.

“Tetapi jangan lupa. Harga mereka seperti bursa saham. Boleh jatuh menjunam bila tidak lagi dicalonkan dalam pilihanraya ke 15,” kata Puad, bekas timbalan menteri kerajaan BN dahulu itu.

Beliau memberikan ingatan, agar mereka jangan memjual mahal sangat.

“Kita tunggu Parlimen bersidang. Apakah harga mereka melambung mahal,” tanya beliau.

Puad bertanya, betulkah harga ahli Parlimen semakin mahal?

“Kononnya mereka jual mahal. Keputusan parti sering ditolak tepi,” katanya.

Setiap akuan bersumpah (SD) yang mereka tanda tangan ada harganya dan untungnya, “Kenapa ini berlaku?” tanya beliau.

Katanya, ia menjadi jadi sejak kerajaan PH 22 bulan tumbang ekoran “langkah Sheraton”.

“Timbul budaya SD. Semua parti mengejar SD,” katanya.

Kewujudan “kluster katak” juga jadikan harga seorang ahli Parlimen menjadi mahal.

Ini kerana semua yang melompat dapat jawatan Menteri, kata beliau.

Apatah lagi apabila terbentuknya kerajaan PN, ia adalah kerajaaan dokongan ahli Parlimen bukan parti.

Dalam sistuasi itu, Umno paling terkesan.

“MP UMNO nampak macam tidak takut atau rasa terikat dengan keputusan parti, BN dan BNBBC,” kata beliau.

Apabila timbul cerita kerajaan hari ini tiada majoriti, sudah tentu SD mereka penting dan semakin mahal, katanya.

Bagi beliau, Ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang merasakan keputusan di tangan mereka sama ada kerajaan PN boleh kekal selepas 1 Ogos.

“Sebab itu tidak hairan apabila Nazri mengaku secara terbuka dia adalah dalang kepada SD 25 MP UMNO yang sokong Hishamuddin,” kata beliau merujuk kepada Menteri Luar yang dikatakan akan dicalonkan sebagai perdana menteri.

‘Aksi’ kucing selamatkan 8 sekeluarga dari patukan maut tedung selar

FMT Reporters

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau menangkap ular tedung selar yang bersembunyi di bilik air sebuah rumah di Felda Lembaga Batu Lima, Jalan Endau Mersing. (Gambar ihsan Bomba)

PETALING JAYA: Aksi pelik seekor kucing berjaya menyelamatkan lapan sekeluarga daripada patukan tedung selar yang melingkar di bilik air sebuah rumah di Felda Lembaga Batu Lima, Jalan Endau Mersing, Mersing, Johor.

Dalam kejadian 11 pagi tadi, penghuni rumah itu pelik apabila melihat kucing peliharaannya tiba-tiba berkelakuan aneh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Alias Hussin, berkata pemilik kediaman itu kemudian memeriksa rumahnya.

“Pemilik rumah itu nampak seekor ular tedung selar sepanjang 2.5m melingkar di bilik air rumah,” katanya dalam kenyataan.

Alias berkata, pengadu bergegas ke Balai Bomba Endau memaklumkan kejadian dan pihaknya kemudian menghantar jentera bagi membantu menangkap ular itu.

Beliau berkata, anggotanya berjaya menangkap reptilia itu menggunakan dua penjerut dalam tempoh lapan minit

“Ular itu kemudian dilepaskan di kawasan jauh dari penempatan penduduk,” katanya memaklumkan semua ahli keluarga pengadu selamat.

Nazri: Hishammuddin dedah senarai 25 MP pada masa sesuai

Zikri Kamarulzaman

Jika ada mana-mana pihak menunggu senarai nama 25 ahli parlimen BN yang menolak kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi, nampaknya mereka perlu menunggu untuk tempoh yang belum dapat ditentukan.

Hal itu kerana Nazri Aziz memberitahu Malaysiakini, senarai berkenaan hanya akan didedahkan oleh 'jurucakap' kumpulan berkenaan iaitu Bendahari Agung BN, Hishammuddin Hussein.

Waktunya, menurut Nazri, apabila Hishammuddin berasa detik tersebut sudah sampai.

Sehingga sampai masa yang dimaksudkan itu, kata Nazri, dia akan bertindak sebagai bercakap bagi pihak kumpulan terbabit.

"Saya adalah wakil mereka. Tak perlu untuk mereka (25 ahli parlimen terbabit) untuk tampil kerana kami tak mahu mengelirukan keadaan.

"Perakuan (bersumpah) itu ada pada Hishammuddin, bila perlu Hishammuddin akan tunjukkan senarai tu," katanya merujuk kepada akuan bersumpah (SD) yang dikumpul sebelum ini.

SD berkenaan kata Nazri adalah bukti sokongan ahli parlimen terbabit agar ahli parlimen Semborn itu mewakili mereka berbincang dengan Yang di-Pertuan Agong.

Anggap boleh jadi beban

Ini dilaporkan berkaku ketika Agong menerima menghadap pemimpin politik awal bulan ini dan dibuat sebagai tanda mereka tidak lagi menyakini Ahmad Zahid yang didakwa cuba membawa Umno bekerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun ahli parlimen Padang Rengas itu berkali-kali menegaskan SD tersebut bukan bermakna mereka menyokong Hishammuddin menjadi perdana menteri atau timbalan perdana menteri.

Sementara itu Nazri juga membalas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Umno Malaysia, Tajuddin Abdul Rahman, yang mengulas mengenai dakwaan dibuatnya.

Dalam responnya Tajuddin berkata dia "kasihan" kepada Nazri dan mempertikaikan mengapa hanya dia seorang saja yang bersuara sedangkan baki 24 ahli parlimen lain mendiamkan diri.

"Tajuddin bukan salah seorang daripada 25 ahli parlimen tu...

"Konon dia kasihan kepada saya. Saya yang kasihan kepada dia sebab kami tak mahukan dia," kata Nazri.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menambah kumpulannya tidak mahukan Tajuddin terbabit kerana ahli parlimen Pasir Salak itu dianggap sangat kontriversi dan boleh menjadi beban kepada mereka.

Dalam perkembangan berkaitan Nazri mengesahkan ada lima ahli parlimen menandatangani SD berasingan untuk mempertahankan keputusan perhimpunan agung parti untuk tidak bekerjasama dengan Anwar serta DAP, selain memutuskan hubungan dengan Perikatan Nasional apabila tiba waktu PRU ke-15 nanti.

SD berkenaan, katanya, bermaksud ahli parlimen terbabit juga tidak menyokong Ahmad Zahid lagi.

"Sebab Zahid nak bersama Anwar dan DAP," katanya.

Untuk rekod pada Okt tahun lalu Ahmad Zahi yang juga bekas timbalan perdana menteri didakwa menandatangani surat kepada Agong yang menyatakan ikrarnya menyokong Anwar.

Pejabat Ahmad Zahid mendakwa surat itu palsu namun Nazri dan kumpulannya mendakwa ia adalah tulen.

Ku Li: Rasuah politik dan kegiatan lompat parti ganggu tugas Dewan Rakyat

Astro Awani

KUALA LUMPUR: Rasuah politik dan kegiatan lompat parti telah menganggu tugas Dewan Rakyat, kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Dalam satu surat kepada kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bertarikh 25 Jun, Tengku Razaleigh menegaskan demokrasi berperlembagaan hanya dapat berfungsi sekiranya pengundi percaya kepada calon yang hendak menjadi wakil rakyat mereka.

"Rasuah politik seperti musuh dalam selimut dan lompat melompat parti memberi kesan buruk kepada kepercayaan terhadap demokrasi berperlembagaan kita.

"Ia akan menjahanam negara kita dan menderitakan rakyat. Pilihan raya demokratik tanpa integriti tidak guna satu sen. Maka kita harus bertindak sebelum terlambat," katanya.

Tengku Razaleigh menjelaskan ahli Dewan Rakyat berkewajipan, mengikut Sumpah Jawatan mempertahankan perlembagaan dan Dewan Rakyat.

"Sumpah Jawatan serius ini yang mendorong kita 'dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan' semestnya diberi makna politik sekiranya kita mahu meneruskan demokrasi berperlembagaan kita, mempertahan kedaulatan undang-undang dan integriti negara kita," katanya lagi.

Beliau menggesa agar Dewan Rakyat menjalankan tanggungjawabnya seperti yang tercatat dalam Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Menurut Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO itu, gesaannya itu dibuat bagi memastikan Dewan Rakyat yang semakin tidak dihormati rakyat dapat diatasi demi maruah negara.

Tengku Razaleigh menjelaskan, menurut Akta tersebut Yang di-Pertua Dewan Rakyat mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan penentuan sama ada ahli-ahli Dewan bertindak bertentang dengan Seksyen 8(d).

"Dewan Rakyat adalah paksi kepada Perlembagaan kita. Sekiranya Dewan Rakyat gagal, Perlembagaan juga akan gagal dan pastinya negara tercinta ini akan terancam.

"Dewan Rakyat akan gagal sekiranya ia tidak lagi dapat menjalankan tugas sebagai Dewan kepada 'wakil-wakil rakyat yang dipilih dan diberi mandat ketika berlangsungnya pilihan raya," katanya lagi.

Tengku Razaleigh juga menjelaskan wakil yang dipilih ke Dewan Rakyat diberi gelaran yang berhormat kerana mereka diharap berhemah tinggi disamping mempertahankan integriti dan menghormati janji mereka kepada pengundi.

Jelas beliau, sekiranya janji tidak ditepati, ia adalah penipuan terhadap Perlembagaan dan sumpah jawatan.

"Apa yang tersebut di atas ialah asas sistem demokrasi berperlembagaan kita. Ia adalah janji kesetiaan kepada rakyat dengan jaminan terhadap penghormatan kepada Perlembagaan dan integritinya.

"Satu-satunya tugas penting yang diliputi janji ini ialah memastikan calon Perdana Menteri, jawatan keperlembagaan terkanan dengan pelbagai kuasa, disokong Dewan Rakyat dan bersih daripada korupsi politik," katanya lagi.

Tengku Razaleigh mendakwa, Perdana Menteri yang sedia ada tidak mempunyai mandat Dewan Rakyat untuk mendapat hak keperlembagaan terhadap jawatan beliau.

Lebih malang lagi jelas Tengku Razaleigh, Dewan Rakyat pula tidak diberi hak melaksanakan tugas keperlembagaannya untuk menentukan sama ada beliau berhak menjadi Perdana Menteri yang bersih daripada korupsi politik.

"Usul-usul yang dikemukakan ke Dewan Rakyat tidak berguna kerana Yang di-Pertua tidak melaksana tugasnya sebagai Speaker dengan membenar seorang menteri Kabinet menentukan sama ada usul itu boleh dibahas atau tidak.

"ini bermakna tugas Dewan Rakyat tidak dihirau dan sekaligus bercanggah dengan sumpah jawatan," katanya.

Tegas beliau, keadaan ini membuatkan timbul kemelut lompat parti yang memalukan Dewan Rakyat kerana ia seolah-olah dipersendakan.

Katanya, keadaan itu juga membuatkan rakyat menganggap Dewan yang mulia itu sudah kehilangan maruah.

"Orang ramai tidak percaya wakil rakyat yang mungkir janji terhadap ikrar mereka dipilih berasaskan sesuatu sebab atau prinsip tertentu.

"Umum mempercayai wang dan ketakutan mempengaruhinya," katanya.

Hanya di Malaysia: Belajar tepi jalan, tepi sungai, atas bukit

image placeholder

Capaian internet teruk, belajar ‘online' tepi jalan

Nazira Hasanah Nasaruddin

Kegigihan seorang pelajar membawa kerusi dan meja ke tepi jalan untuk mendapatkan capaian internet yang lebih baik mengundang rasa terharu dalam kalangan netizen baru-baru ini.

Gambar itu menjadi tular selepas didedahkan bapa saudaranya yang menggunakan akaun Twitter @aimanpaku kelmarin.

Katanya, dia gembira melihat gelagat anak buahnya yang ditemani adiknya itu.

“Kesian anak saudara aku, nak dapat internet punya pasal untuk kelas secara atas talian. Duduk di luar rumah. Rumahnya di tengah ladang sawit. Capaian internet tidak bagus. Nasib baik adiknya teman di tepi.

“Saya berkongsi gambar ini bukan untuk meraih simpati, dia tidak mempunyai masalah dari segi bekalan makanan mahupun tempat tinggal.

“Mereka cuma menghadapi masalah capaian internet sahaja. Namun, bagi mendapatkan rakaman video yan lebih jelas dan tiada sekatan audio, dia duduk di luar rumah dengan harapan tiada masalah sepanjang pembelajaran atas talian itu berlangsung”, ciapnya.

Tidak lama setelah posting yang dibuat di laman Twitternya itu, dia memberitahu bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menghubunginya untuk melakukan pemeriksaan liputan internet di kawasan tersebut.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi bapa saudaranya serta SKMM bagi mendapatkan maklum balas lanjut mereka berkaitan isu itu.

Sementara itu, rata-rata pengguna laman Twitter terharu dan tidak putus mendoakan semoga pelajar tersebut dipermudahkan urusan pembelajarannya yang dilalui olehnya.

“Semoga dia membesar menjadi anak soleh dan insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Dia akan membuat keluarganya bangga suatu hari nant kerana kuat semangat," kata @AmarSheqal.

“Moga anak saudara tuan berjaya dunia dan akhirat. Usaha dia sangat bagus dan bersungguh-sungguh nak dapatkan ilmu”, jelas @NHR0902 di laman Twitter.

Ku Li: Dewan Rakyat 'hilang maruah' kerana Azhar

Malaysiakini 

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun supaya menjalankan tugas seperti mana sumpah jawatan yang dilafazkannya sebelum ini.

Kata ahli parlimen Gua Musang itu "kegagalan" Azhar melaksanakan tugasnya itulah yang menyebabkan institusi parlimen kini tidak lagi dihormati rakyat.

"Satu-satunya tugas penting yang diliputi janji itu ialah memastikan calon perdana menteri - jawatan (berperlembagaan) terkanan dengan pelbagai kuasa - disokong Dewan Rakyat dan bersih daripada korupsi politik.

"Perdana menteri sekarang ini tidak mempunyai mandat Dewan Rakyat untuk mendapat hak keperlembagaan terhadap jawatan beliau.

"Dewan Rakyat pula tidak diberi hak melaksanakan tugas perlembagaannya untuk menentukan sama ada beliau berhak menjadi perdana menteri yang bersih daripada korupsi politik," katanya dalam surat yang dihantar kepada Azhar dan didedahkan kepada umum.

Ia berlaku selepas Azhar mengeluarkan kenyataan bersama Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim bagi menjelaskan jangkaan parlimen dibuka semula seperti yang dituntut pelbagai pihak.

Tengku Razaleigh berkata ketika ini Muhyiddin Yassin tidak memiliki mandat daripada rakyat untuk menjadi perdana menteri.

Untuk rekod Tengku Razaleigh sejak awal lagi memang menunjukkan sikap tidak cenderung untuk menyokong presiden Bersatu itu sebagai perdana menteri.

Pada 27 Mac pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu menjelaskan dia tidak menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri kerana menghormati Perlembagaan Persekutuan. 

Dalam surat kepada Azhar itu juga Tengku Razaleigh berkata usul-usul yang dikemukakan ke Dewan Rakyat dianggap sebagai tidak berguna kerana speaker tidak melaksana tugas sebaliknya membenarkan seorang menteri kabinet menentukan sama ada ia boleh dibahaskan atau tidak.

"Ini bermakna tugas Dewan Rakyat tidak dihiraukan dan sekali gus bercanggah dengan sumpah jawatan.

"Maka dengan itu timbullah kemelut lompat-melompat parti. Keadaan ini memalukan Dewan Rakyat, ia seolah-olah dipersenda.

"Di samping itu rakyat menganggap dewan yang mulia itu sudah kehilangan maruah.

"Orang ramai tidak percaya wakil rakyat yang mungkir janji terhadap ikrar mereka dipilih berasaskan sesuatu sebab atau prinsip tertentu," katanya lagi.

Hari ini 5812 kes, netizen komen ‘tutup kilang’ bertalu-talu di FB KKM

MALAYSIA DATELINE

Tiga hari lagi tempoh PKP 3.0 sama ada akan beralih kepada fasa kedua atau tidak ia bergatung kepada kes baru harian positif COVID-19.

Berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan, jika kes baru tidak menunjukkan penurunan bawah 4,000 kes bermakna PKP 3.0 kekal di fasa pertama.

Semalam dan hari ini, kes baru tidak menunjukkan penurun yang ketara di mana masih mencatat dekat 6,000 kes sehari iaitu 5,812 kes pada hari ini dan 5,841 kes pada semalam.

Susulan itu, Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula menerima komen ‘tutup kilang’ bertalu-talu oleh netizen selepas berkongsi pecahan kes baru COVID-19.

Setakat ini, sebanyak 14,000 komen yang ditanggal netizen kesemuanya meminta ‘tutup kilang’ dengan tulisan huruf besar.

Bung dikaitkan dengan juadah 'telur penyu', kerajaan Sabah janji siasat

Hariz Mohd

image placeholder

Kerajaan Sabah akan menyiasat gambar yang dikatakan memaparkan Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar Radin makan di meja yang menghidangkan juadah telur penyu.

Gambar itu disiarkan di laman Facebook Naib Presiden Warisan Junz Wong.

"Ini keterlaluan. Pertama Ismail Sabri (naib presiden Umno) dan James Ratib (Umno) dengan telur penyu.

"Kemudian ada bekas Adun Umno dengan telur penyu," kata keterangan yang disertakan pada hantaran Facebook.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Wong mengatakan bahawa dia diberitahu bahawa kejadian itu berlaku semasa perayaan Hari Raya baru-baru ini tetapi tidak mendedahkan bagaimana dia memperoleh gambar itu.

Sementara itu, menteri pelancongan, budaya dan alam sekitar negeri itu, Jafry Ariffin mengatakan pihak mereka akan menyiasat perkara itu.

"Sudah tentu (kami akan mengambil tindakan), jika ada keperluan.

"Semua orang tertakluk dengan undang-undang, tetapi kita harus melalui proses tertentu seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang," katanya kepada New Straits Times.

Dalam gambar tersebut, ahli politik veteran itu kelihatan menunjukkan ibu jari. Terdapat beberapa pinggan di atas meja, termasuk empat yang didakwa menghidangkan telur penyu.

Terdapat juga orang lain di meja itu tetapi wajah mereka tidak kelihatan.

Malaysiakini telah menghubungi Bung, pembantunya dan pesuruhjaya polis Sabah Hazani Ghazali untuk memberi komen.

Pengambilan telur penyu dibenarkan di bawah perlesenan yang ketat dan terhad di pantai timur semenanjung tetapi ia dilarang di Sabah di bawah Enakmen Hidupan Liar Sabah 1997.

Mereka yang bersalah mengambil, menjual atau memakan telur penyu di negeri ini boleh didenda hingga RM50,000 atau dipenjara selama lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Wong memberitahu Malaysiakini bahawa pemimpin politik harus memberi contoh yang baik.

"Kita tidak boleh memiliki pemimpin yang melekehkan undang-undang negara kita dan melakukannya seolah-olah tidak ada yang perlu dikhuatirkan.

"Bagaimana kita mengharapkan warga biasa untuk mematuhi undang-undang ketika ahli parlimen sendiri tidak serius menanggapinya," tambahnya.

Pada tahun 2015, Ismail Sabri dikritik oleh kumpulan pemuliharaan spesies terancam setelah gambarnya di sebuah program makan malam di Sabah bersama dengan pemimpin Umno bahagian Beluran James Ratib dan juadah telur penyu .

Pemimpin Umno itu menafikan memakan telur tersebut, dengan alasan kadar kolesterolnya yang tinggi dan kemudian memfailkan saman terhadap akhbar Daily Express yang berpusat di Sabah berhubung perkara itu.

Tajuddin: ‘Nazri kawan baik saya, tapi salah tetap salah’

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Pengarah pilihan raya Umno, Tajuddin Abdul Rahman hari ini menempelak langkah Nazri Aziz mendapatkan akuan bersumpah (SD) daripada Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk menyokong Hishamuddin Hussein.

Beliau berkata, Nazri seolah-olah “mahu bertindak sesuka hati” dalam mengucar-kacirkan parti dengan tindakannya itu dan mungkin “salah kira” mengenai tahap sokongan terhadapnya.

“Kita mesti mendengar kepada parti. Patuh kepada disiplin, keputusan, arahan dan protokol parti. Apakah kerana kami Ahli Parlimen, maka tidak perlu mendengar kepada parti,” kata Tajuddin kepada FMT.

“(Nazri) kawan baik saya. Kami rapat tetapi salah tetap salah,” kata Tajuddin yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Beliau berkata, tindakan Nazri mengumpul sokongan menerusi SD untuk Hishamuddin menimbulkan pelbagai tanda tanya, termasuk sokongan untuk Ahli Parlimen Padang Rengas itu sendiri.

“Saya kesian Nazri. Beliau berfikir Ahli Parlimen bersamanya. (Tetapi) sokongan itu kemungkinan tidak ‘solid’,” kata beliau.

Beliau berkata, Ahli Parlimen terbabit juga tentunya “memikirkan kedudukan diri sebab mahukan presiden parti mencalonkan mereka untuk terus bertanding pada pilihan raya umum akan datang”.

Tajuddin berkata, 25 Ahli Parlimen yang dikatakan menyokong Nazri dan Hishamuddin itu sudah tentu tampil mengisytiharkan sokongan itu jika mereka sanggup dipinggirkan pada PRU15.

“Tak masuk akal jika mereka tidak peduli sama ada dicalonkan untuk bertanding pada PRU. Saya tidak fikir mereka sanggup membuat pengorbanan sampai ke tahap itu,” kata beliau.

Awal minggu ini, Nazri mendakwa 25 daripada 41 Ahli Parlimen Umno-BN menandatangani SD menyokong Hishammuddin mewakili mereka jika dipanggil menghadap Agong.

Nazri mendakwa usaha itu dibuat kerana majoriti Ahli Parlimen BN hilang keyakinan terhadap kepemimpinan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam gabungan itu.

PN dah macam kereta api rosak brek, tanpa pemandu

SITI NUR ZAWANI MISCON

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin seperti kereta api rosak brek, tanpa pemandu atau pemandu sedang tidur kata tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin.

Katanya, dahulu beliau meletakkan harapan tinggi pada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin, namun sejak menjadi menteri yang mengurus vaksinasi dalam kerajaan PN, beliau mula curiga kepada menteri Umno itu.

“Khairy Jamaluddin bertindak sebagai jurucakap kerajaan apabila dia mengumumkan yang Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin, akan umumkan satu lagi skim bantuan untuk orang ramai.

“Tak apalah sebab PN pun dah lama jadi macam kereta api rosak brek, tanpa pemandu atau pemandu tidur. Orang putih kata, runaway train.

“Sepatutnya Khairy tumpu kepada usaha mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 dengan secukupnya dan rancakkan kempen vaksinasi,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.

Bekas penasihat media kepada Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata, sememangnya menjadi tanggungjawab pokok kepada mana-mana kerajaan pun untuk membantu rakyat ketika kesusahan.

Tetapi menurutnya, cara membantu itu perlu betul namun adalah lebih baik sekiranya selepas itu mereka boleh bangkit dan berdiri atas kaki sendiri.

“Macam mana sekalipun kita simpati dengan orang susah dalam suasana Covid-19 ini, kita kena ingat yang kita tidak mampu dan tidak boleh bantu selama-lamanya. Orang yang dibantu itu wajib berusaha untuk berdiri di atas kaki sendiri,” katanya lagi.

Menurutnya, ramai orang yang ekonominya telah jatuh merudum sehingga tiada wang untuk mendapatkan makanan dan semua pihak terutama kerajaan wajib membantu mereka.

Namun apa yang lebih penting katanya, kerajaan perlu bina semula ekonomi rakyat secara menyeluruh bermula dengan pemberian vaksin kepada semua pekerja, termasuk pekerja asing, dan membuka semula ekonomi seluas-luasnya.

Katanya, jika rakyat tidak diberikan peluang mencari pendapatan, mereka tetap juga akan mati akibat kebuluran kerana akhirnya semua orang perlu mencari makan.

“Saya ingat lagi masa krisis ekonomi tahun 1980-an apabila Dr Mahathir Mohamad melantik Daim Zainuddin jadi Menteri Kewangan.

“Antara cara yang digunakan untuk bantu rakyat jelata adalah dengan mengerah mereka bekerja beramai-beramai dan diberikan upah. Di kampung saya di Kedah, orang ramai dikerah membersihkan sungai, parit dan tali air untuk dapat elaun,” katanya lagi.

'Suami saya sudah berubah...'

Essa Abu Yamin

NATASHAKILLA bersama suaminya. FOTO ihsan Natashakilla Zulku

NATASHAKILLA bersama suaminya. FOTO ihsan Natashakilla Zulku

Batu Pahat: "Saya reda dengan ketentuan Allah jika suami saya disahkan menghidap penyakit mental," kata Natashakilla Zulku, 27, dari Kampung Sungai Nibong Darat, Semerah, dekat sini.

Natashakilla berkata, dia tidak menyangka suaminya, Khairul Kasmon, 35, mengalami kemurungan teruk selepas menghadapi beberapa tekanan hidup.

"Suami berubah kepada personaliti begitu berbeza berbanding dulu yang sangat ceria dan sentiasa berfikiran positif.

"Suami tak pernah tertekan sebelum ini, kami bahagia dan mampu tunaikan permintaan empat anak berusia antara dua hingga 11 tahun. Keadaan itu berubah apabila satu persatu masalah menimpa sejak awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu Mac tahun lalu," katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, sebelum itu suaminya diuji dengan kehilangan ibu disusuli nenek yang meninggal dunia akibat sakit tua dan ketika PKP, sektor pekerjaan suaminya dihentikan sementara.

"Saya pula ketika itu baru melahirkan anak bongsu, suami sudah kelihatan tertekan kerana merasakan beban besar yang perlu dihadapi ditambah pula masalah kereta rosak yang memerlukan kos pembaikan yang tinggi.

"Suami saya ketika itu bekerja kontrak sebagai pemandu jentera pengaut hanya mendapat bayaran gaji harian dan sumber kewangan kami sekeluarga terputus berikutan pelaksanaan PKP fasa pertama," katanya.

Katanya, sejak itu suaminya mula murung, solat pun terlupa rakaat, bercakap seorang diri.

"Saya terus menghubungi klinik desa berhampiran dan dinasihatkan membawa suami untuk rawatan.

"Pada Mac tahun lalu, saya menghubungi ambulans untuk membantu suami mendapatkan rawatan, tapi dia mula bertindak agresif apabila memeluk semua anaknya sambil menjerit dan meminta agar tidak memisahkan mereka," katanya.

Dia berkata, selepas dihantar ke wad psikiatri di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat, doktor mengesahkan suaminya mengalami kemurungan melampau dan perlu mendapat rawatan.

"Saya sebagai suri rumah memang tiada sumber pendapatan dan keadaan kesihatan suami pula tidak menentu bergantung pada keadaan emosinya," katanya.

Kepada sesiapa yang mahu menghulurkan bantuan boleh menghubungi Natashakilla di talian 011-27873126.

Anwar: Jangan lama sangat mengkaji

Astro Awani

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan agar menyegerakan bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat COVID-19.

Menerusi ciapan di Twitternya, ketua pembangkang itu meminta kerajaan agar tidak mengambil masa yang lama untuk mengkaji bantuan yang akan diberikan.

"Jangan lama sangat mengkaji pak menteri. Hari-hari keluar berita rakyat hidup susah dan melarat. Beri mana yang boleh dulu. Sedikit tapi bermakna," katanya.

Anwar memberi respon terhadap kenyataan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang memaklumkan kerajaan masih dalam proses perincian bantuan semasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Tengku Zafrul dipetik sebagai berkata, kajian lebih lanjut turut dilakukan tentang langkah-langkah seterusnya yang boleh diperkenalkan untuk membantu kelangsungan rakyat dan perniagaan dalam mendepani cabaran sepanjang bulan-bulan yang akan datang.

Menurut Tengku Zafrul, PPN akan dijalankan secara berfasa dengan nilai ambang atau indikator-indikator utama yang perlu dicapai sebelum beralih dari satu fasa ke fasa yang seterusnya.

Dukun tambat 22 jin usia 100 tahun dalam rumah

KOSMO!

Joko Bodo (kiri) ikat 22 ekor jin dalam rumah kerana bersikap nakal dan suka mengganggu orang. - Kolase

JAKARTA – Seorang dukun di Indonesia yang baru bertaubat mendedahkan bahawa dia  mengikat 22 jin  berusia 100 tahun di dalam rumahnya, lapor Suara.com, semalam.

Ki Joko Bodo dari Pondok Gede, Jakarta Timur berkata, jin-jin yang diikat itu adalah daripada spesies ‘nakal’ dan sering menimbulkan masalah.

Menurut Joko, dia mengikat makhluk halus tersebut di rumah kerana boleh mengawalnya agar tidak terlepas lalu mengganggu penduduk kampung.

“Kawasan rumah saya memang menjadi lokasi hantu, makhluk halus dan jin berkumpul. Malah pontianak juga sering singgah di pokok-pokok sekitar rumah.

“Kalau waktu malam, memang akan ada yang bergayut di pokok-pokok itu,” jelasnya.

Tambah Joko, walaupun dirinya sedang berusaha kembali ke pangkal jalan, dia masih meneruskan pekerjaannya sebagai penghalau hantu dan berinteraksi dengan dunia spiritual.

“Ini adalah pekerjaan dan sumber rezeki saya jadi sukar untuk ditinggalkan terus. Jika ada pelanggan yang datang meminta pertolongan halau hantu, saya masih cuba bantu,” ujarnya. – Agensi

Nazri, Hishamuddin sedang gali kubur sendiri, kata MT Umno

MALAYSIA DATELINE

 sekumpulan pemimpin Umno yang membelakangkan keputusan Perhimpunan Agung Umno dan pemimpin parti disifatkan sebagai usaha untuk menggali kubur sendiri.

Begitu juga tindakan mereka yang mahu menghadap Yang di-Pertuan Agong selepas Presidennya sudah berbuat demikian.

Dr Puad ZarkashiAnggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, “Ahli Umno akan tolak apa sahaja tingkat laku politik yang mengenepikan keputusan parti.

“Mereka gali lubang kubur sendiri jika buat kerja power broker,” kata Puad menerusi Facebooknya berikutan tindakan dua pemimpinnya yang dikatakan cuba melawan keputusan parti itu.

Beliau menujukan perkara itu kepada dua pemimpin Umno, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang menyatakan 25 Ahli Parlimen Umno tidak bersama dengan Datuk Seri Zahid Hamidi.

“Nazri buat pengakuan terbuka. Dia dalang SD 25 MP Umno yang sokong Hishamuddin jadi jurucakap jika dititah mengadap YDPA Agong.

“Hishamuddin tidak menafikannya. Dia kekal membisu. Bolehlah disimpulkan dakwaan Nazri itu adalah benar. Dengan kata lain mesti Hishamuddin merestuinya,” kata Puad, bekas timbalan menteri kerajaan BN dahulu itu.

Beliau mempersoalkan, apa tujuan Hishamuddin mahu mengadap YDP Agong.

“Siapa bagi autoriti? Apa locus standi beliau. Dia bukan Presiden, bukan Pengerusi BNBBC dan bukan ahli MKT.

“Bukankah Presiden sudah mengadap YDP Agong. Kalau dia setia parti dia tidak akan buat perundingan lain. Itu merosakkan parti,” kata beliau.

Bagi beliau, Umno parti berpengalaman dan tidak akan terkubur dengan tindakan sesetengah pemimpinnya.

“Bila pemimpin bersengketa, parti tidak terkubur kerana ahli Umno istiqomah dan tahu menilai,” kata beliau.

Menurut Puad, sesetengah pemimpin Umno memang mementingkan kepentingan diri masing-masing.

“Mereka yang bersengketa sebenarnya mengutamakan survival politik masing masing.

“Sebab itu akhirnya, yang tidak ikut keputusan jamaah, keputusan MKT dan keputusan PAU akan tenggelam dan lenyap.

“Itu sifir mudah Umno. Semua yang cuba berunding sendiri untuk survival sendiri tidak akan bertahan lama dalam parti,” kata beliau.

Semalam, katanya, tular surat Hishamuddin menggunakan logo BN.

“Ia lengkap senarai anggota Kabinet baru. Cepat pula wakil Hishamuddin nafi dan dakwa surat itu palsu,” katanya.

Sebab itu, katanya, Hishamuddin tidak boleh mengelak dari berbagai persepsi.

“Kononnya dia takut didakwa, mahu jadi TPM dan power broker Umno kepada PM 8?” katanya.

Bagi beliau, Hishamuddin kena terima persepsi tersebut.

“Berani buat berani tanggung. Berapa kali kerja belakang pintu tanpa restu parti mahu dibuat,” katanya.

Beliau memberikan contoh kejadian yang berlaku di Sabah sebelum ini.

“Di Sabah game siapa sehingga menyebabkan 21 Ketua Bahagian tinggalkan Umno. Tinggal 3 orang yang istiqomah. Nyata Umno Sabah tidak mati pun,” katanya.

Sebelum ini, Hishamuddin menulis satu artikel bertajuk “melangkaui politik dan pandemik”.

Hishamuddin melahirkan rasa kecewa kerana di saat getir, semua isu dipolitikkan. Katanya, politik tanpa batas tidak bawa kita ke mana-mana.

Apakah tindakan Nazri yang beliau restui itu bukan tindakan politiking terutama dari segi prinsip berjamaah dalam Umno?

Dalam artikel itu Hishamuddin dakwa baling batu sembunyi tangan adalah langkah murahan demi kepentingan sendiri.

“Tanyalah diri sendiri.

“Kalau mahu bertanggungjawab, kembali ke mainstream Umno secara gentleman. Jangan rosakkan kebangkitan Umno dengan game plan lain tanpa autoriti parti,” kataya.

Apakah membincangkan isu dalaman Umno secara terbuka satu masalah?

Bagi bekas Ketua Pengarah Jasa, badan propaganda kerajaan BN dahulu itu, tidak salah mengulas mengenai parti sendiri secara terbuka.

“Di zaman internet, jangan hipokrit dan jangan apologatik” katanya.

Mengapa kempen burukkan Anwar kembali aktif?

ZIN MAHMUD

Sejak akhir minggu lalu, mula kelihatan tular posting-posting berupa memburuk-burukkan Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan seolah-olah kempen pilihan raya umum sudah bermula.

Sedangkan buat masa ini, tumpuan negara dan rakyat adalah untuk mengatasi wabak Covid-19. Rakyat Malaysia belum menang lagi.

Tuntutan supaya Parlimen dibuka adalah untuk menggembleng semua fikiran bagi mengatasi wabak ini tanpa mengira parti politik. Iaitu secara inklusif.

Tetapi bagi mereka yang tertumpu pada menyerang PH, ada tiga isu yang sering digunakan dengan kandungannya tidak mempedulikan fakta, berunsur fitnah, penuh dengan andaian dan sekurang-kurangnya menimbulkan keraguan yang membangkitan rasa takut serta terancam.

Tiga isu itu ialah, segala keburukan Anwar sepanjang hidupnya. Kedua, isu kepentingan mempertahankan kerajaan Melayu-Islam. Ketiga, isu orang Melayu dan agama Islam terancam baik di peringkat dalam negara mahupun luar, serantau malah global.

Posting-posting itu mula rancak setelah ada tekanan dari pembangkang supaya sidang Parlimen dibuka ekoran titah Yang di-Pertuan Agong mewakili Majlis Raja-raja selepas mesyuarat mereka itu Khamis lalu.

Jadi, ada suasana usaha mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional sama ada berbentuk pembelaan mahupun serangan kepada pihak pembangkang.

Maka tujuannya adalah untuk menarik sokongan orang ramai supaya tidak menyokong Anwar dan PH. Perang posting antara pendokong pihak-pihak politik berlaku dalam dunia maya khususnya media sosial semakin tajam.

Ada yang berbentuk kenyataan rasmi, pendapat mahupun kecaman menggunakan bahasa biadab yang datangnya dari kedua-dua pihak.

Namun, dilihat bahawa posting yang ditular melalui kumpulan WhatsApp adalah lebih sensitif dan dipercayai berkesan kerana mengganggu jiwa pembacanya.

Ini kerana kumpulan WhatsApp ini adalah jaringan tertutup. Ia tidak terbuka seperti Facebook, Twitter dan aplikasi media sosial lain.

Melalui kumpulan WhatsApp, posting bersifat fitnah serta memainkan sentimen perkauman dan keagamaan mudah disebarkan. Walaupun kumpulan WhatsApp ini tertutup tetapi rangkaiannya berkait-kait menjadikan penularan itu luas.

Lebih-lebih lagi ia memasuki kumpulan-kumpulan yang asal kewujudannya bukan bertujuan politik. Umpamanya kumpulan kejiranan, surau. masjid, alumni, tempat kerja dan perniagaan.

Walaupun kumpulan ini bukan politik tetapi ahlinya tetap menggunakannya untuk menyebar propaganda parti masing-masing.

Bagi admin yang tidak mengawal, penularan bahan politik ini bukan saja mengelirukan tetapi boleh memecah-belahkan anggota kumpulan berkenaan.

Di sebelah pihak pendukung PH pun menyebarkan posting politik. Begitu juga dengan penyokong Mahathir dan Pejuang yang turut mengkritik kerajaan PN.

Malah banyak kalangan Umno juga turut menyerang PN walaupun pemimpin mereka adalah sebahagian daripada kerajaan.

Apa yang dijadikan isu adalah soal dasar dan pentadbiran iaitu kegagalan kerajaan PN dalam mengawal wabak Covid-19 dan mengurus ekonomi negara. Selain itu, kritikan juga dilemparkan terhadap pemimpin-pemimpin tertentu PN yang tidak menunjukkan prestasi.

Selain itu, tentulah isu mengenai pengkhianatan bekas Ahli Parlimen PH yang kini menyertai dan menyokong kerajaan PN sentiasa diungkitkan. Bagaimana kerajaan PN mempunyai Kabinet besar dan lantikan politik dibuat sebagai ganjaran juga akan sentiasa dicanang.

Tetapi di pihak pendukung PN, khususnya apabila mereka tertekan dan terdesak sama ada bimbang kerajaan tumbang kerana kekurangan majoriti, atau mungkin mereka mendahului suasana berkempen, tiga isu yang disebut di atas akan dimainkan.

Sebahagian daripada mereka menggunakan isu-isu berkenaan hanya kerana untuk meraih sokongan prang ramai supaya terus menyokong PN dan menolak PH. Tetapi sebahagiannya pula sememangnya mempercayai isu-su itu.

Ia sudah jadi sebahagian fahaman politik mereka. Iaitu Malaysia mesti diselamatkan daripada Anwar dan PH, walau apa pun terjadi. Maknanya Anwar dan PH adalah lebih bahaya daripada perkara-perkara lain.

Oleh itu dirasakan kerja-kerja tidak beretika dianggap perkara kecil berbanding dengan kemaraan Anwar dan PH yang dianggap sebagai satu ancaman. Kerja-kerja etika itu termasuklah buat berita palsu.

Ada satu posting yang mengungkit kisah-kisah dulu Anwar.

Ia merupakan suatu peringatan bagi orang dahulu dan pendedahan bagi generasi baharu. Anwar melalui liku-liku hidup dan perjuangan yang luar biasa sebagai ahli politik.

Dari masa pelajar beliau sudah aktif berjuang. Sepanjang hidupnya, seperti orang lain, tentulah beliau ada membuat keputusan yang betul, dan ada juga yang salah. Itu lumrah.

Atas tindakannya itu, beliau meraih sokongan, dan juga penentangnya. Maka tidak hairanlah sebahagian ahli PKR terus menyokong beliau.

Selain itu, sebahagiannya seperti Azmin Ali dan penyokong-penyokongnya meninggalkan beliau. DAP dan AMANAH terus menyokong beliau. Sementara Mahathir, Pejuang, PN dan Umno terus menolak beliau. Pendirian masing-masing.

Posting anti-Anwar membangkitkan isu-isu lama seperti hubungan rapat lama beliau dengan kumpulan penggalak demokrasi Amerika dan neokonservatif. Gambaran yang dibawa ialah seolah-olah Anwar agen Amerika. Fahaman politik PKR pula dianggap sebagai liberal.

Sementara istilah Muslim Demokrat yang digunakan terhadap Anwar dipandang secara serong.

Sebagai aktivis pelajar yang berkait dengan ABIM pada tahun 1970-an, tentulah beliau mendapat jemputan mengikut pelbagai program anjuran badan-badan yang ditaja oleh Amerika dengan sekutu-sekutunya seperti Arab Saudi dan Qatar.

Pada masa itu, persaingan geopolitik adalah pertembungan antara Amerika dengan Soviet Union. Umumnya orang Islam memihak pada Amerika kerana Soviet adalah komunis. Orang Islam bersikap anti-Amerika hanya dalam soal Palestin dan Iran.

Tidak hairanlah Amerika secara langsung atau melalui sekutunya membantu badan-badan pelajar Islam bagi menentang komunis. Perkara ini panjang untuk dihuraikan dan perlu rencana khusus untuk ini.

Selepas Soviet tumbang, ancaman kepada Amerika adalah dari negara-negara seperti Iraq, Iran, Libya, Syria dan Korea Utara. Banyak negara Islam yang menjadi sekutu pada Amerika. termasuk Turki di bawah pimpinan Reccep Erdogan yang naik melalui demokrasi.

Amerika mahu menggalakkan demokrasi di negara-negara Islam supaya kerajaan yang dipilih rakyat tidak anti-Amerika. Maka timbul konsep Muslim demokrat. Panjang juga perkara ini untuk dihuraikan.

Walaupun kini projek demokrasi di negara-negara Islam yang ditaja Amerika itu gagal dan Erdogan bukanlah tokoh Muslim demokrat yang disukai Barat, tetapi secara jujur, tentulah orang Islam juga mahukan demokrasi. Iaitu rakyat bebas memilih kerajaan sendiri dan bebas menentukan cara hidup masing-masing.

Orang Islam umumnya menolak ekstremisme dan terorisme. Maka setiap pemimpin negara ini, walau apapun pengalamannya mesti memikirkan kepentingan negaranya dan bukannya kuasa asing.

Malaysia dari sejak kemerdekaan lebih cenderung pada Barat berbanding Timur, iaitu komunis. Walaupun dasar luar negara adalah berkecuali dan pendirian untuk menyokong Palestin adalah tegas, tetapi Malaysia tetap cenderung pada Barat.

Perkara ini tidak akan berubah walaupun pemimpin negara bertukar. Mahathir pernah anjurkan Dasar Pandang Ke Timur, iaitu ke Jepun bukannya China. Jepun adalah sekutu Amerika.

Walaupun Malaysia mesra dengan China tetapi rakyat negara ini terus lebih selesa dengan Amerika. Britain, Australia dan Eropah.

Isu kedua yang akan dicanangkan ialah kerajaan Melayu-Islam. Begitu juga dengan isu ketiga iaitu orang Melayu dan Islam terancam. Perkara ini lebih pada memainkan sentimen daripada berfikiran rasional.

Perkara ini perlu diulas pada masa lain. Tetapi apa yang hendak disebut di sini ialah semua kerajaan yang ditubuhkan di negara ini memerlukan sokongan bukan Melayu.

Malah kerajaan PN juga mengambil sokongan MCA, Gerakan  dan parti-parti bukan Melayu-Islam dari Sarawak dan Sabah. Kerajaan Melayu-Islam hanyalah gimik politik.

Berasa sentiasa terancam adalah satu paranoia atau takut pada bayang-bayang. Untuk mengukuhkan kedudukan orang Melayu, caranya bukanlah melalui sentimen atau dasar perkauman.

Itu memburukkan lagi keadaan. Survival Melayu hendaklah dilihat dalam konteks Malaysia dan ASEAN yang bersatu. Di peringkat antarabangsa, pengukuhan OIC, Komanwel dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali boleh turut menyumbang.

Tetapi langkah pertama untuk semua itu ialah berusaha untuk bangkitkan semula Malaysia.

Berani buat berani tanggung, Hisham - Fuad

Malaysiakini 

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan tindakan Hishammuddin Hussein yang membisu mengenai isu perakuan bersumpah (SD) “seolah-olah mengiyakan perkara itu”.

Mohd Puad berkata, bekas naib presiden Umno itu perlu bertanggungjawab atas apa yang dilakukannya.

"Nazri (Aziz) buat pengakuan terbuka. Dia dalang SD 25 MP Umno yang sokong Hishamuddin jadi jurucakap jika dititah mengadap YDPA Agong.

"Hishamuddin tidak menafikannya. Dia kekal membisu. Bolehlah disimpulkan dakwaan Nazri itu adalah benar. Dengan kata lain mesti Hishamuddin merestuinya.

"Semalam tular surat Hishamuddin guna logo BN. Ia lengkap senarai anggota kabinet baru. Cepat pula wakil Hishamuddin nafi dan dakwa surat itu palsu," tulis Mohd Puad dalam satu hantaran Facebooknya.

Semalam, shli parlimen Padang Rengas mendakwa bahawa majoriti 25 daripada 42 anggota Parlimen BN telah hilang kepercayaan terhadap Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Pejabat Bendahari Agung BN yang dipimpin Hishammuddin menafikan dia menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong dengan mendakwa mendapat sokongan BN untuk menjadi perdana menteri baru.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyentuh secara khusus berkenaan akuan bersumpah (SD) yang diakui Nazri diusahakannya.

Nazri memberitahu Malaysiakini bahawa akuan bersumpah (SD) ditandatangani sebagai “akuan mandat 25 ahli-ahli parlimen BN” kepada Hishammuddin sekiranya ahli parlimen Sembrong itu dipanggil menghadap Agong.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menolak dakwaan bahawa 25 anggota parlimen Umno telah hilang kepercayaan terhadapnya dan menyifatkannya sebagai cerita kartun.

Dalam pada itu, Mohd Puad berkata menteri luar itu tiada kelayakan untuk menghadap Agong memandangkan dia tidak memegang apa-apa jawatan.

Katnya lagi, jika Hishammuddin seorang yang setia kepada parti, dia tidak akan membuat perundingan lain kerana ia akan merosakkan parti.

"Sebab itu Hishamuddin tidak boleh mengelak dari berbagai persepsi. Kononnya dia takut didakwa, mahu jadi TPM dan 'power broker' Umno kepada PM8?

"Hishamuddin kena terima persepsi tersebut. Berani buat berani tanggung. Berapa kali kerja belakang pintu tanpa restu parti mahu dibuat," katanya lagi.

Kegiatan jual ‘vaksin’ Covid-19 diserbu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan tiga individu dalam siasatan ke atas kegiatan menjual ‘vaksin’ Covid-19, hasil risikan dan laporan daripada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

Polis berkata kegiatan itu menawarkan RM420 bagi dua suntikan kepada orang yang dihubungi secara rawak.

Ronaldo dibaling botol Coca-Cola

Agensi

RONALDO mengelak daripada terkena botol minuman. FOTO Agensi

RONALDO mengelak daripada terkena botol minuman. FOTO Agensi

Budapest: Cristiano Ronaldo dibaling objek ketika meraikan jaringan kedua ketika Portugal menentang Perancis dalam aksi terakhir Kumpulan F Euro 2020.

Insiden itu berlaku ketika dia melompat dan berpusing sebelum terkena cawan air di belakang kepalanya. Ronaldo kemudian berpaling semula ke arah penonton dengan marah untuk meneruskan pesta jaringannya namun selepas itu kelihatan memegang belakang kepalanya.

Petugas keselamatan sebelum itu terpaksa mengawal Ronaldo daripada penceroboh yang memasuki padang dan membaling botol Coca-Cola ke arah wira Portugal itu.

Ia berlaku seminggu selepas legenda Juventus itu mengalihkan dua botol Coca-Cola ketika sidang akhbar dan menggesa dunia minum air kosong.

Tetapi selepas bintang Perancis Paul Pogba mengikut langkah sama apabila mengalihkan botol minuman keras, Uefa memberi amaran akan bertindak ke atas pasukan.

🔝
All-time top international goalscorers:
⚽️
1⃣
0⃣
9⃣
Ali Daei
🇮🇷
⚽️
1⃣
0⃣
9⃣
Cristiano Ronaldo
🇵🇹
#EURO2020
Image

Bekas penyerang Real Madrid dan Manchester United itu kini menyamai rekod penjaring terbanyak antarabangsa sepanjang zaman milik Ali Daei dengan 109 gol.

Hmetro 

Pencipta perisian antivirus McAfee ditemui mati gantung diri di penjara Sepanyol

Astro Awani

Pencipta perisian antivirus McAfee ditemui mati di penjara Sepanyol

John McAfee ditemui meninggal dunia pada Rabu di penjara Barcelona pada Rabu. -Reuters

BARCELONA: Usahawan teknologi kelahiran Britain, John McAfee ditemui meninggal dunia pada Rabu di penjara Barcelona, Sepanyol pada Rabu.

Mendiang berusia 75 tahun.

Peguam Javier Villalba dalam satu kenyataan berkata pencipta perisian antivirus terkenal "McAfee" itu ditemui mati tergantung dipercayai kerana membunuh diri.

McAfee sedang menjalani hukuman penjara di Sepanyol atas tuduhan mengelak membayar cukai.

Pengasas teknologi itu dilapor ditahan pada 3 Oktober di lapangan terbang Barcelona ketika menaiki penerbangan ke Istanbul menggunakan pasport Britain.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi Sepanyol bulan lalu membenarkan permohonan ekstradisi oleh kerajaan Amerika Syarikat terhadap McAfee.

Dia didakwa di Tennessee atas tuduhan mengelak cukai dan didakwa dalam kes penipuan matawang kripto di New York.

McAfee pernah bekerja untuk NASA, Xerox dan Lockheed Martin sebelum melancarkan perisian antivirus komersial pertama di dunia pada tahun 1987.

Dia menjual syarikat perisiannya kepada Intel pada tahun 2011 dan tidak lagi terlibat dalam perniagaan itu.

Perisian antivirus itu masih menggunakan namanya dan mencatat 500 juta pengguna di seluruh dunia.

Punca kematian mendiang McAfee sedang disiasat.

Tindakan Nazri aneh, akan bawa kesan pada PN dan Umno

M Fakhrull Halim

Pengakuan bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Nazri Abdul Aziz bahawa dia mengumpul akuan bersumpah (SD) dalam kalangan ahli parlimen BN mungkin merupakan gerakan untuk mengangkat Hishammuddin Hussein sebagai timbalan perdana menteri, kata penganalisis politik.

Pun begitu Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya menganggap pendirian terkini Nazri - yang dilihat kini lebih kendur terhadap Muhyiddin Yassin - bertentangan dengan pendiriannya sebelum ini yang keras menyerang presiden Bersatu itu.

“Ini merupakan satu keanehan juga.

“[...] Kali ini dia pula menjadi ketua bagi mengumpul SD tersebut. Adakah ini bermakna ada muslihat lain dalam politik yang dilakukan puak-puak tertentu (di dalam Umno)?

“Maknanya terdapat usaha untuk memastikan Muhyiddin terus menjadi perdana menteri. Pada masa sama, usaha itu ada timbal balas politiknya.

“Kemungkinan, barangkali akibat gerakan tersebut Muhyiddin (akan) terhutang budi dan akhirnya melantik Hishammuddin sebagai timbalan perdana menteri,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Awang Azman mengulas kenyataan Nazri pagi semalam yang mengaku bertanggungjawab mengumpul 25 SD dalam kalangan ahli parlimen BN bagi memberikan mandat kepada Hishammuddin ketika pemimpin-pemimpin parti dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dua minggu lalu. 

Bawa rasa tak puas hati

Kata Nazri, tindakan itu dibuat kerana dia “tidak lagi percaya” kepada Ahmad Zahid Hamidi setelah presiden Umno itu didakwa menyatakan sokongan kepada PresidenPKR Anwar Ibrahim untuk dilantik menjadi perdana menteri dalam pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong pada Okt tahun lalu.

"Saya percaya Hishammuddin untuk mengatakan yang sebenarnya bahawa kita tidak menyokong Anwar atau DAP," kata Nazri.

Bagaimanapun bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak mendedahkan berapa ramai anggota kabinet yang turut menandatangani SD berkenaan.

Kata Nazri, meskipun bertindak demikian pendiriannya terhadap Bersatu masih tidak berubah, cuma saja perhimpunan agung Umno pada Mac lalu memang sepakat memutuskan hubungan dengan Bersatu dan ia hanya akan berlaku menjelangnya pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kata Awang Azman jika benar dakwaan Nazri itu pasti akan timbul rasa tidak puas hati dan seterusnya berlaku perpecahan bukan saja dalam Perikatan Nasional malah Umno sendiri.

Tambahnya jika dalam Bersatu ada personaliti seperti Hamzah Zainudin dan Azmin Ali yang dijuluk sebagai dalang Langkah Sheraton dan berjasa besar melahirkan PN, dalam Umno pula katanya ada timbalan presiden Mohamad Hasan dan naib presiden Ismail Sabri Yaakob.

“Masing-masing ingin naikkan hierarki politik ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Hal itu, menurut Awang Azman, mungkin membawa kepada adegan 'tarik tali' yang baru dan membuka babak sokongan SD yang lain pula, terutamanya dalam kalangan ahli parlimen BN berbanding ahli parlimen Bersatu yang dilihat setia di belakang Muhyiddin.

Kenyataan Nazri itu hadir selepas Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan pada 21 Jun yang memberikan tempoh 14 hari kepada PN untuk membuka semula parlimen.

Kegagalan berbuat demikian, kata Ahmad Zahid, akan mendorong Umno memanggil mesyuarat khas MT bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya.

Nazri juga dilaporkan menganggap kenyataan Ahmad Zahid itu sebagai suatu hal tidak boleh berlaku memandangkan notis kepada ahli parlimen pun perlu diberikan sekurang-kurangnya 28 hari sebelum parlimen bersidang.

Awang Azman berkata, sikap berani bersuara ditunjukkan ahli Umno terhadap Ahmad Zahid mungkin disebabkan ahli parlimen Bagan Datuk itu kini menjadi presiden Umno pertama tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam kabinet.

“Kalaulah Ahmad Zahid ada jawatan, tak perlu perdana menteri (jawatan yang lazim disandang presiden Umno sebelum kekalahan PRU-14), timbalan perdana menteri saja, barangkali benda itu tidak selancang yang dia (Zahid) terima (sekarang ini),” katanya.

Tak masuk akal, tak penting

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Jamaie Hamil, pula melihat kenyataan menyerang Ahmad Zahid daripada orang bawahan parti - seperti Nazri - merupakan isyarat jelas bahawa bekas timbalan perdana menteri itu sudah tidak relevan untuk mengepalai parti.

“Dalam kepemimpinan Umno, mereka sebenarnya sudah tak melihat Ahmad Zahid itu sebagai tokoh yang relevan sebagai presiden lagi.

"Mereka nak gantikan Ahmad Zahid dengan orang lain, tetapi disebabkan (pemilihan) ditangguh-tangguh, akhirnya Ahmad Zahid kekal lagi di situ.

“Sebagai orang yang sudah tak relevan, apa pun kenyataan yang dibuatnya akan dilihat orang bawahan sebagai sesuatu yang melucukan, yang tak masuk akal, tak penting,” katanya.

Kata dua Ahmad Zahid kepada PN itu ditafsir banyak pihak sebagai isyarat bahawa Umno akan keluar dari kerajaan sekiranya gesaan mereka tidak dilayan selepas tempoh berkenaan.

Kelmarin, Mohamad berkata isu pembukaan parlimen akan dibawa ke MT Umno untuk diputuskan. Pada hari sama Ismail Sabri memberitahu tempoh 14 hari itu hanyalah pandangan Biro Politik Umno, sedangkan keputusan terletak di tangan MT.

Apa kemungkinan yang akan berlaku selepas 14 hari itu sekiranya ia tidak diendahkan PN, kata Ismail Sabri, tidak pun dibincangkan lagi. 

Kata Jamaie lagi, Umno harus harus berhati-hati tentang janjinya untuk menarik sokongan daripada PN kerana ia sudah banyak kali dilontarkan namun tidak pernah dilunaskan sehingga mengundang rasa muak dalam kalangan masyarakat.

“Jangan sampai rakyat akan menghukum Umno untuk kali yang seterusnya,” katanya.

Berkongsi pandangan dengan Azman Awang, Jamaie berkata, Ahmad Zahid kini berdepan kritikan orang Umno kerana parti itu sendiri sudah tidak sekuat dahulu.

“Berbeza ketika Umno kuat dulu, tak ada pemimpin bawah nak kritik atau sinis (terhadap presiden).

"Mana-mana pemimpin yang keluarkan kenyataan songsang dengan pemimpin atasan, orang itu akan dipecat, disingkir dan sebagainya.

“Sekarang ini Umno tak ada kuasa, jadi mereka berani mengkritik pemimpin dan memperlekehkan.

“Lebih-lebih lagi pemimpin bawah ini dah melihat Ahmad Zahid itu sebenarnya sudah tak diperlukan lagi. Dan mereka (seolah-olah) sudah boleh ucapkan selamat tinggal kepada Ahmad Zahid,” katanya lagi.