3 ‘Tan Sri’ rancang tahan Najib semasa mesyuarat Kabinet, dakwa bekas pembantu

Imran Ariff

PETALING JAYA: Najib Razak hampir menjadi mangsa rampasan kuasa oleh “tiga Tan Sri” yang bersekongkol dengan pemimpin lain untuk menahan beliau secara tidak sah sewaktu mempengerusikan mesyuarat Kabinet, dakwa bekas pembantunya.

Bagaimanapun, sehari sebelum plot itu dilaksanakan, Najib mengambil beberapa tindakan yang menggagalkan rancangan tiga Tan Sri berkenaan iaitu, bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Zeti Akhtar Aziz, bekas Peguam Negara, Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abu Kassim Mohamed.

Butiran komplot untuk mengguling Najib sebagai Perdana Menteri terkandung dalam buku tulisan Romen Bose, yang bakal berada dalam pasaran. Bose ialah bekas wartawan dan penasihat komunikasi politik kepada Najib, dari 2012 hingga 2018.

Bose, mendakwa Zeti, Gani dan Abu Kassim adalah antara yang terlibat dalam plot untuk menggulingkan Najib pada 29 Julai 2015, namun tidak berjaya.

                            Romen Bose

Zeti dan Gani ialah anggota utama dalam Pasukan Petugas Khas 1MDB yang ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan dalam artikel Wall Street Journal serta Sarawak Report berhubung tuduhan penglibatan Najib dalam menyeleweng dana negara. Abu Kassim pula ialah penasihat pasukan petugas khas itu.

Individu lain yang didakwa terbabit dalam plot rampasan kuasa itu termasuk Muhyiddin Yassin, yang ketika itu timbalan Najib dan Shafie Apdal selaku Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Dua hari selepas artikel itu muncul (menggunakan dokumen yang didakwa dibocorkan BNM, Jabatan Peguam Negara dan SPRM), satu mesyuarat rahsia pasukan petugas itu diadakan untuk merancang penyingkiran dan penahanan Perdana Menteri,” tulis Bose memetik beberapa sumber.

“Abu Kassim didakwa mengetuai desakan untuk Najib ditahan, walaupun pasukan petugas itu tidak mempunyai bukti kukuh yang menunjukkan beliau (Najib) bersalah. Apa yang mereka ada ialah sekadar spekulasi dan gerak hati.

“Seterusnya, satu draf kertas pertuduhan dikatakan dibuat pejabat Abu Kassim, yang mendakwa Najib menerima RM27 juta secara rasuah bersama pecah amanah sebagai pertuduhan alternatif. Ini kemudiannya didakwa diubah kepada penyelewengan jenayah,” menurut Bose dalam buku itu.

Ini bertentangan dengan kelaziman, di mana polis atau agensi penguatkuasaan lain akan melengkapkan dan menyerahkan kertas siasatan mereka kepada Peguam Negara untuk memutuskan sama ada melakukan pendakwaan.

Bose berkata, mengikut plot yang diatur itu, pegawai kanan polis yang setia kepada kumpulan perancang akan ditempatkan di Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra, manakala pegawai yang setia kepada Timbalan Ketua Cawangan Khas Bukit Aman, Abdul Hamid Bador akan menemani Gani ke dalam bilik mesyuarat Kabinet.

Sebaik sahaja Najib tiba, Gani didakwa akan memberi sepatah dua kata kepada anggota Kabinet dan membacakan pertuduhan terhadap Najib serta mengumumkan penahanannya.

Anggota polis kemudian dikatakan akan mengerumuni bilik mesyuarat dan menahan Najib.

Mengikut perancangan, Najib akan digari dan ditutup kepalanya dengan “beg hitam” sebelum dibawa ke kenderaan polis yang sedang menunggu.

Bose berkata, mengikut rancangan itu, Muhyiddin akan mengambil alih dan mempengerusikan mesyuarat Kabinet, dengan semua menteri dijangka melafazkan ikrar taat setia kepadanya sebagai Perdana Menteri baharu.

Mereka yang bertanggungjawab terhadap rampasan kuasa itu didakwa turut merancang mendapatkan seorang “hakim mudah dipengaruhi” untuk menerima draf pertuduhan dan mengarahkan penahanan Najib dengan segera, katanya.

Menurut Bose, apabila beliau memaklumkan Najib berhubung plot terhadapnya, Ahli Parlimen Pekan itu “nampaknya” sudah tahu mengenainya, tetapi tidak bertindak sehingga sehari sebelum rampasan kuasa itu dijadualkan berlaku.

Tindakan itu melibatkan pemecatan beberapa pemain utama dalam konspirasi berkenaan.

“Pada Selasa, ketua perkhidmatan awam (Ketua Setiausaha Negara) Ali Hamsa menemui Gani di Jabatan Peguam Negara untuk memaklumkan beliau sudah digantikan, sementara butiran keselamatan Najib diperkukuhkan.

“Perdana Menteri (turut) memaklumkan Muhyiddin serta Shafie bahawa mereka akan digantikan dalam rombakan kecil Kabinet yang akan berlaku pada hari sama.”

Bose dilihat kagum dengan cara rampasan kuasa itu dipatahkan.

“Pada pagi itu sahaja, beberapa perancang utama yang didakwa itu disingkirkan tanpa sebarang keganasan atau pertumpahan darah, serta rancangan rampasan kuasa…digagalkan – gaya Malaysia.”





Walaupun Hadi tolak Umno, Majlis Syura mahu bincang pada 18 Disember

MALAYSIA DATELINE

Walaupun Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang bertegas Pas tidak akan bersama Umno selepas parti itu menolak Bersatu, pihak yang menyokong untuk bersama Umno dalam Pas terus berusaha untuk memastikan Pas bersama Umno.

Sehubungan itu, Majlis Syura Ulama Pas akan mengadakan mesyuarat pada 18 Disember ini bagi membincangkan cara memperkasakan gabungan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Perkara ini dinyatakan oleh Setiausaha Majlis Syura, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

“Agenda utama ialah menetapkan misi PRU15 setelah mana Pas berkerajaan di peringkat persekutuan bersama dengan Umno dan Bersatu serta parti lain.

“Mesyuarat juga akan berbincang untuk memperkasakan lagi MN dan PN bagi menghadapi PRU15,” kat Khairuddin kepada Free Malaysia Today.

Hubungan Pas dan Umno dalam MN menimbulkan pelbagai spekulasi selepas Pas memutuskan untuk bertanding menggunakan lambang PN pada PRN Melaka lalu.

Selain itu, Presiden Pas Abdul Hadi Awang membayangkan parti itu akan menolak MN, jika Umno terus menolak penyertaan Bersatu dalam gabungan itu yang ditubuhkan pada 2019.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Syura, Datuk Hashim Jasin juga berkata, Pas masih perlu bekerjasama dengan Umno.

Switzerland benarkan penggunaan kapsul bunuh diri

Utusanonline

KAPSUL bunuh diri di Switzerland. - AGENSI

ZURICH: Kapsul berbentuk keranda yang membolehkan sesiapa membunuh diri, diluluskan dalam semakan undang-undang di Switzerland.

Menurut laporan BBC News, kapsul itu dibangunkan dengan fungsi mengurangkan paras oksigen di dalam pod hingga ke paras kritikal.

Proses itu dikatakan mengambil masa kurang seminit dan kematian berlaku melalui hypoxia dan hypocapnia yang membolehkan individu ‘menikmati kematian dengan tenang’.

Bunuh diri dengan bantuan peralatan adalah sah di Switzerland dan kira-kira 1,300 orang membunuh diri tahun lalu.

Lembaga Semakan Perubatan Switzerland, membenarkan penggunaan kapsul dipanggil Sarco Suicide Pod.

Mesin tersebut berbentuk kapsul seperti keranda mudah alih yang dicetak dalam tiga dimensi.

Wanita di Ghana dakwa jumpa alat kemaluan dalam makanan

GHANA: Seorang wanita mendakwa kononnya menemukan objek berupa alat kemaluan lelaki dalam makanan yang dibungkus di tepi jalan.

Wanita dari Ghana itu memuat naik video tersebut dalam media sosial dan mempersoalkan mengenai objek seperti ketulan daging yang dihidang dalam makanan bernama Tuo Zaafi.

Makanan itu dibuat dari bijirin dan daging serta mudah didapati di gerai tepi jalan.

Disebabkan itu, wanita itu meminta orang ramai lebih berhati-hati ketika membeli makanan sebelum menikmatinya.

Video tersebut mengundang komen warga maya yang memintanya membuat laporan polis sekiranya perkara yang didakwa itu betul.

Tidak dapat dipastikan sama ada wanita itu membuat laporan polis atau hanya sekadar kandungan untuk menarik perhatian dalam media sosial.

Pada 2016, kejadian serupa pernah berlaku di Accra, Ghana, apabila seorang wanita turut menemukan objek sama seperti ketulan daging dalam makanannya.

Dia kemudian membuat laporan polis untuk melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap potongan daging itu.-AGENSI

-utusanonline

Kenyataan Nik Amar bukti Pas lemah sedang cari ‘dahan berpaut’

MALAYSIA DATELINE

AMANAH Bukit Bintang menyifatkan Pas ialah sebuah parti yang tidak ada pendirian tetap, ia hanya sebuah parti yang dianggap sebagai melukut di tepi gantang.

Ketuanya Ahmad Asri Talib berkata, apabila Pas rasa lemah ia akan mencari dahan untuk berpaut, asalkan parti tersebut dapat hidup walaupun dengan apa cara sekalipun

“Walau ia melanggar prinsip demokrasi bersekongkol dengan para pengkhianat mentadbir negara melalui langkah Sheraton.

“Sedangkan jalan itu sendiri melanggari etika agama kerana tidak jujur dalam mendapat kuasa,” kata beliau dalam kenyataan.

Kini Pas bersedia untuk menerima Parti AMANAH menyertai Muafakat Nasional (MN) sekiranya parti itu tidak bersama dengan DAP dalam Pakatan Harapan.

Kenyataan Datuk Nik Amar Abdullah selaku Naib Presiden Pas sebagai menyahut cabaran Exco Pemuda Umno, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris yang membangkitkan penyatuan antara Pas dan Amanah.

Asri berkata, Islam yang dicanang oleh Pas retorik semata-mata, sepanjang Pas berada dalam kerajaan PN mahu pun BN, langsung tiada sehabuk perubahan pun yang dilakukan sebagaimana dilaung-laungkan semasa sebelum berada dalam kerajaan.

“Misalnya isu arak masih lagi tidak dapat dihalang malah pemberian lesen kepada jenama ‘TIMAH’ berlaku, cabutan khas judi asalnya 22 kali setahun, telah dikurangkan oleh kerajaan PH kepada 11 kali pada 2019 dan hanya 8 kali pada tahun 2020, tetapi dinaikkan kembali oleh kerajaan yang keberadaan Pas dalamnya kepada 22 kali.

“Isu penutupan aurat yang amat lantang diperkatakan oleh Pas juga tidak ada apa-apa hasil, malahan kemenangan ratu cantik Malaysia (Miss Grand International 2021) dengan pakaian menjolok mata dan tayangan filem gay pertama di Malaysia juga berlaku,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan mengapa Pas beriya-iya mempelawa AMANAH menyertai PN dan menolak DAP, kelihatannya Pas ingin penyatuan akrab antara AMANAH dan Dap berpecah.

“AMANAH menjadi sebuah parti yang dipercayai oleh kaum Cina terutama mereka yang menyokong DAP, agenda menjadikan Dap sebagai hantu telah dimainkan sejak Pas keluar dari gabungan Pakatan Rakyat.

“Prestasi cemerlang pentadbiran Dap di Pulau Pinang menjadi igauan kepada Pas, BN dan PN. Namun Dap terus tidak mengira kaum, agama untuk mereka bantu dan tadbir dengan baik di Pulau Mutiara.

Justeru kata beliau, pelawaan Pas itu hanya sebuah angan-angan selagi parti itu masih mengekalkan sikap hipokrit dan menagih simpati AMANAH yang sememangnya menjadi sekutu Dap.

“Sikap tiada keikhlasan yang ditunjukkan oleh Pas sebagaimana ia lakukan sejak Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan MN menjadi ia sebuah parti suka bercerai berai,” kata beliau.

Sebelum ini atas alasan perbezaan fahaman punca Pas dan AMANAH tidak boleh menjalinkan kerjasama, kini Pas dikatakan boleh terima AMANAH atas perpaduan ummah tetapi dengan syarat tidak ada kerjasama dengan DAP

Umno hanya anggap mahkamah adil jika Najib dibebaskan?

SHAHBUDIN HUSIN

Walaupun mesyuarat MT Umno diadakan pada malam 8 Disember, tetapi kenyataan media berkenaan mesyuarat tersebut hanya dikeluarkan lewat petang semalam iaitu 9 Disember.

Barangkali ini adalah pertama kali dalam sejarah Umno, kenyataan media dikeluarkan sehari selepas mesyuaratnya diadakan.

Mesyuarat yang diadakan selepas Mahkamah Rayuan membuat keputusan menolak rayuan dan mengekalkan sabitan bersalah dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak antara lain membuat keputusan:

⁃ menzahirkan rasa dukacita terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan Najib dan mengekalkan sabitan bersalah terhadapnya.

⁃ mengharapkan bekas Perdana Menteri itu akan diberi keadilan yang saksama dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan nanti dengan alasan ramai beranggapan beberapa tokoh yang dituduh di mahkamah selepas PRU14 adalah bermotifkan pendakwaan politik.

Agaknya kerana tersentak serta terkelu dengan keputusan serta hujahan hakim Mahkamah Rayuan yang pedas dan berbisa dalam mengekalkan keputusan bersalah terhadap Najib itulah yang menyebabkan kenyataan media itu lewat sehari dikeluarkan.

Biasanya sebelum ini, selepas jam 12 malam setelah berakhirnya mesyuarat MT pun masih boleh lagi disusun ayat mengeluarkan kenyataan media.

Apa pun, pendirian MT Umno berhubung kes mahkamah Najib di mana Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sendiri ada di dalam mesyuarat tersebut lebih memperlihatkan sikap parti itu yang tidak matang dan tidak terbuka dalam menerima sesuatu keputusan mahkamah.

Sekadar menzahirkan rasa dukacita dan simpati terhadap Najib barangkali tidak ada salahnya, tetapi dengan berharap bekas Perdana Menteri itu diberi keadilan yang saksama di peringkat rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan nanti tentu saja menimbulkan banyak persoalan lain.

Apakah pendirian Umno itu bermaksud mereka menuduh keputusan tiga hakim Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan bersalah terhadap Najib sebagai tidak adil?

Apakah ia hanya dianggap adil jika Najib dibebaskan?

Bagaimana dengan segala bukti, fakta serta keterangan yang dibentangkan di mahkamah yang didapati telah melampaui keraguan yang munasabah untuk mensabitkan kesalahan terhadap Najib?

Contoh paling mudah ialah berkenaan kemasukan wang RM42 juta ke dalam akuan peribadinya yang kemudian beliau membelanjakan wang tersebut, antaranya untuk membeli-belah, apakah masih adil namanya jika pelaku yang berbuat demikian akhirnya dibebaskan?

Selain itu, dengan Umno berharap Najib diberi keadilan yang saksama di Mahkamah Persekutuan nanti, ini dengan sendirinya bermakna suatu tekanan secara tidak langsung daripada Umno sebagai parti yang sedang menguasai kerajaan kepada lima hakim yang bakal mendengar rayuan nanti.

Apa lagi yang turut bersetuju dengan pengharalan MT Umno agar Najib diberi keadilan yang saksama itu ialah Perdana Menteri sendiri kerana beliau hadir dalam mesyuarat tersebut.

Sekali lagi, apakah jika keputusan di Mahkamah Persekutuan nanti tidak memihak kepada Najib, maka Umno akan terus berpendirian tiada keadilan yang saksama diberi oleh mahkamah tertinggi itu?

Dalam waktu yang sama, Umno dalam kenyataan medianya juga ternampak setuju dengan tanggapan ramai (kononnyalah) bahawa pendakwaan terhadap beberapa pemimpin parti itu selepas PRU-14 lalu adalah semata-mata bermotifkan politik.

Sudah tentu, mereka yang dimaksudkan didakwa di mahkamah atas pendakwaan bermotif politik itu, selain Najib, adalah Zahid Hamidi sendiri.

Harus diingatkan kepada Umno, kalau seseorang itu tidak melakukan sebarang kesalahan, apa pun pertembungan politik yang berlaku, ia mustahil boleh sampai hingga boleh didakwa di mahkamah.

Tambahan lagi, sekarang ini yang sedang berkuasa dan menerajui kerajaan adalah Umno serta yang menjadi Perdana Menteri juga adalah pemimpin Umno, bukan lagi PH atau PN sebagaimana sebelum ini.

Kalau benar semuanya pendakwaan politik, kenapa tidak dipaksa Ismail Sabri menggugurkan semua kes yang terkait dengan pemimpin-pemimpin Umno itu?

Mengapa masih nak menyalahkan motif politik dan pemimpin lama yang sudah tiada kuasa?

Kisah manusia Melayu-Islam berjam RM500,000, berbeg tangan RM250,000

ZOLKHARNAIN ABIDIN

Jangankan kena denda RM210 juta, saya, anak kembar minta yuran asrama RM350 pun berkira-kira nak bayar. Bayar jugalah, tanggungjawab.

Ada orang lain, nak beli susu tepung anak pun tidak mampu. Jangankan susu anak, ada orang, nak isi perut sendiri pun tak ada duit.

Tapi nun di sana, ada manusia Melayu – Islam berjam tangan RM500,000, berjaket RM20,000, berselipar RM10,000 dan berbeg tangan RM250,000.

Campur semua aksesori tubuh orang itu bernilai RM1,000,000. Dia ibarat ketulan emas bergerak. Kakinya di bumi, tapi jiwanya di “syurga”.

Kata al-Ghazali, dalam diri manusia ada dua unsur. Satu, unsur marah (ghadab), disimulasikan dengan babi. Dua, unsur keinginan (syahwat), disimulasikan dengan anjing.

Marah (babi) mewakili hasad, gelojoh dan tak pernah puas. Keinginan (anjing) mewakili cinta harta, bermewah-mewah dan suka bersenang-lenang.

Kini, setiap hari saya menela’ah jilid 3 kitab Ihya’ Ulum al-Din karya Imam al-Ghazali. Dulu, jilid 1 kitab ini pernah dibaca oleh al-Marhum Dr Abdul Aziz Hanafi di Perlis.

Sungguh, kitab al-Ihya’ begitu mengasyikkan meski pun saya tidak mampu memahami dengan baik susunan kata dan gaya bahasa al-Ghazali.

Ditambah pula, perbahasan tentang jiwa oleh al-Ghazali berdasarkan pengalamannya sendiri, justeru pembaca yang tidak merasa kadang-kadang sukar memahaminya.

Ditambah pula, bahasa Arab saya lebih bawah daripada tahap sederhana. Namun, itu bukan halangan untuk mutiara al-Ihya’ dikutip satu demi satu, sedikit demi sedikit dengan sabar.

Hakikatnya, dalam hidup ini, jika kita menunggu segala-galanya sempurna, tiada apa yang boleh kita lakukan. Buatlah selagi terdaya kerana kita semua sama saja. Manusia.


*USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN merupakan Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Nasional.

Keputusan Najib, siapa yang tersenyum

HARUN ZAKARIA

Mahkamah Rayuan yang mengekalkan hukuman Mahkamah Tinggi terhadap Datuk Seri Najib Razak suami Datin Seri Rosmah Mansor membuatkan ada segolongan manusia yang sedang tersenyum.

Ramai mungkin menuding ke arah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Namun bukan itu sebenarnya manusia yang ceria ketika ini.

Tidak lain dan tidak bukan, kumpulan yang sedang ceria dan tersenyum riang pastinya perdana menteri ketika ini Datuk Seri Ismail Sabri bapa Dafi dan Din Pagoh (Tan Sri Mahiaddin Md Yasin). Kekuatan pencabar mereka mulai melemah dengan keputusan mahkamah tadi.

Konsep yang diamalkan Umno adalah dengan cara parti menguasai kerajaan dan apa yang menjadi permasalahan dalam pentadbiran Ismail bapa Dafi adalah untuk mengurangkan halangan berkepentingan dalam cabaran lawan dalam partinya yakni Umno itu sendiri.

Keputusan Mahkamah Rayuan banyak melegakan Ismail bapa Dafi untuk mengikat taring lawannya yang memang mengganggu keputusan pentadbirannya. Peluang Ismail kian cerah untuk menguasai parti Umno sekali gus berjaya untuk membuat sebarang keputusan sekiranya dia berjaya menguasai Umno.

Hal tersebut membuatkan beliau lega lagi apabila dikatakan Najib berkemungkinan tidak dapat bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang berikutan keputusan mahkamah yang tidak menyebelahinya.

Ini membuka pula peluang kepada Din Pagoh anak Kiyai Yasin yang melihat peluang untuk mendominasi minda rakyat sebagai hero baharu.

Pesaing perlu dilemahkan dan misi itu berjaya dengan Din Pagoh akan menyusun agenda seterusnya untuk menjelmakan dirinya selaku harapan baharu rakyat Malaysia.

Perkara ini tanpa disedari akan membuatkan rakyat mampu terkesima dengan kehadiran Din Pagoh sebagai alternatif menggantikan Najib.

Selepas Najib, siri seterusnya akan menyaksikan beberapa pimpinan Umno yang akan berhadapan dengan isu SRC serta menerima duit dari Najib sebelum ini. Pastinya Zahid selaku Presiden Umno akan dicabar untuk jawatan Presiden oleh Ismail nanti.

Kemungkinan ini boleh berlaku apabila ‘big boss’ mereka telah tertuduh dan menjadi lemah dengan sabitan kesalahan. Walau apapun yang berlaku pastinya keadaan Umno semakin kucar kacir dengan serangan dari pelbagai sudut baik dalam mahu pun luar.

Selepas sebutan kes dari Mahkamah Rayuan, ia membuktikan bahawa perang baru sahaja bermula. Nantikan untuk aksi yang menraik seterusnya.

Dulu ‘malu apa bossku’, sekarang tular ‘memalukan negara’

FAZLI RADZI

Ungkapan ‘national embarrassment’ (‘memalukan negara’) dilihat sedang sohor kini di laman Twitter dengan lebih 12,400 kicauan setakat jam 2.30 petang ini.

Ini susulan keputusan Mahkamah Rayuan pagi tadi yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak, yang didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil antara lain menyifatkan tindakan Najib sebagai memalukan Malaysia.

“There is no national interest here as the appellant claimed for SRC, just a national embarrassment (Ini bukan bagi kepentingan nasional sebagaimana yang dituntut oleh perayu untuk SRC, ini adalah memalukan negara),” tegasnya.

Beliau bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera turut berpendapat Najib mempunyai kepentingan peribadi meluluskan RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd (SRC).

Panel hakim sebulat suara berkata demikian selepas Najib yang juga wakil rakyat BN Parlimen Pekan itu dalam pembelaannya berkata, tindakannya adalah bagi kepentingan nasional.

Ekoran itu, frasa ‘national embarrassment’ atau ‘memalukan negara’ tular dalam kalangan pengguna Twitter.

Bahkan, keputusan Mahkamah Rayuan hari ini turut menarik kreativiti aktivis, Fahmi Reza dengan lakaran terbaharunya dengan kapsyen, Still guilty of corruption (Masih bersalah kerana rasuah).

Sementara itu, pengguna Twitter, Puspawati Rosman menulis, “Bukan calang-calang orang boleh dapat anugerah Aib Negara ni. Tahniahlah.”

Terkejut adigan gay dalam drama

Jakim lapor isu babak romantik dua lelaki kepada SKMM

MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah merujuk isu babak romantik dua lelaki dalam sebuah siri drama tempatan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), hari ini.

Jakim menerusi kenyatan akhbar hari ini berkata, tindakan itu dibuat susulan arahan dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad semalam.

“Jakim amat memandang serius isu seperti ini dan sebarang isu lain yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat keluarga Malaysia khususnya umat Islam.

“Jakim juga berharap supaya pihak-pihak terbabit sensitif dengan nilai dan budaya masyarakat di negara ini. Janganlah bertindak di luar batas dan nilai ketimuran yang sejak sekian lama dibudayakan dengan aman dan harmoni,” katanya.

Katanya, Jakim juga menasihatkan agar masyarakat di luar sana dapat bertenang dan menyerahkan isu ini kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut.

Sementara itu, Idris menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi berkata, beliau berterima kasih kepada Jakim atas tindakan pantas itu.

“Saya perlu pastikan tanggungjawab kita bersama ini dapat menyekat segala aktiviti yang melanggar undang-undang negara dan yang bercanggah dengan perintah agama,” katanya.

Baru-baru ini, media sosial hangat memperkatakan mengenai penghasilan sebuah siri drama bertemakan kehidupan gay yang melibatkan pelakon tempatan. – K! ONLINE

Syarat lesen baharu jual arak dibatalkan, warganet kecam kerajaan dianggotai Pas

FAZLI RADZI

Rata-rata warganet mengecam kerajaan hari ini yang turut dianggotai Pas ekoran pembatalan dasar baharu perlesenan arak untuk restoran dan kedai kopi.

‘Kerajaan Melayu Islam’ yang dilabel sebelum ini dianggap gagal mengawal isu berkaitan minuman keras walaupun MCA hanya diwakili dua kerusi Parlimen sahaja.

“Sekali MCA berdehem…,” kata Kamal Aref Abd Rahim manakala Mohd Nor Abdullah menulis, “MP (Ahli Parlimen) MCA boleh kawal MP Umno/Pas/Bersatu,” ujarnya.

Untuk rekod, Presiden MCA Wee Ka Siong dilapor berkata, Jabatan Kastam telah diarahkan untuk membatalkan dasar baharu perlesenan arak untuk restoran dan kedai kopi.

Menurutnya, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengesahkan padanya bahawa Kementerian Kewangan telah mengarahkan pembatalan itu.

Menerusi hantarannya dalam bahasa Cina di Facebook hari ini, Wee yang juga Menteri Pengangkutan mendakwa Tengku Zafrul telah mengesahkan kementeriannya telah membatalkan arahan itu dan berjanji untuk sekali lagi mengarahkan Jabatan Kastam mematuhinya.

Sehubungan itu, pengguna Facebook, Zamri Kadir berpendapat kerajaan pada masa ini jauh lebih teruk berbanding Pakatan Harapan (PH) yang dimomokkan sebagai mengancam Islam.

“Kes timah kalah. Kes arak kalah. Orang jadi kerajaan, dia nak jadi kerajaan.

“Lagak sebelum jadi kerajaan, kerajaan terdahulu katanya maruah dipijak. Rupa-rupanya dia lagi teruk,” selarnya.

Dalam masa sama, ramai juga yang dilihat menyindir Pas dengan mengaitkan Padang Merbok yang sebelum ini sinonim dengan aksi perhimpunan anjuran parti tersebut.

“Ayuh!, Padang Merbok memanggil-manggil,” perli Muhammad Hafizul Abdul Rahim manakala Abul pula menyindir, “Hidup BN. Rumput di Padang Merbok dah panjang tu. Dah lama orang tak pijak.”

Sementara itu, Zamri Kadir menulis, “Padang Merbok tadi baru lepas check tiada sebarang tempahan sebulan ni. Kosong.”

Pas yang mempunyai 18 kerusi Dewan Rakyat turut dianggap tidak berguna dalam memperjuangkan banyak perkara yang sebelum ini dilaungkan.

“Maaf cakap, saya tak nampak apa guna Pas ada dalam kerajaan. Tolonglah jelaskan kasi saya faham.

“RUU 355 entah ke mana. Kes Adib entah ke mana. Cabutan judi dinaikkan. Arak yang depa sendiri bising pun tengok apa dah jadi? Haprak,” tempelak Imran Ajmain.

Kerajaan tanpa DAP pada masa ini juga dinilai netizen sebagai cuma tahu ‘bising’ sahaja terutama sepanjang pentadbiran 22 bulan PH.

“Inilah Pas, BN, PN. Pandai melalak saja,” ujar Jihan Fammey manakala Rull Sham tegas berkata, “Jadi kerajaan pun tak boleh buat apa-apa.”

Sebelum ini, restoran dan kedai kopi yang menjual bir dikehendaki memohon lesen baharu bermula 1 Januari depan.

Presiden Persatuan Kedai Kopi Petaling Jaya Keu Kok Meng dilapor berkata, yuran lesen tahunan menjual arak itu ditetapkan antara RM840 hingga RM1,320, bergantung pada waktu operasi.

Fitnah: Tak serik-serik lebai ni

Peguam Mujahid serah notis tuntutan fitnah terhadap Razman Zakaria

MALAYSIA DATELINE

Naib Presiden AMANAH Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa akan memfailkan saman terhadap kenyataan fitnah  Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria.

Menurut Ahli Parlimen Parit Buntar itu,  beliau telah membaca satu posting bertajuk ‘Bila cacing naik ke mata’ di Facebook Razman Zakaria bertarikh 17 November 2021 yang disifatkan berunsur fitnah terhadapnya.

“Bersama-sama posting tersebut, beliau telah melampirkan gambar saya dengan caption kononnya saya mengatakan ‘PAS tidak patut menafikan hak orang bukan Islam dengan mengharamkan judi dan arak.

“Ini adalah satu fitnah jahat oleh Razman kepada saya,” kata Mujahid dalam kenyataan.

Oleh itu Mujahid telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang di mana satu notis tuntutan telah diserahkan kepada Razman pada 30 November 2021.

Katanya, sekiranya Razman gagal untuk meminta maaf, menarik balik posting tersebut dan membayar gantirugi kepada beliau berdasarkan kandungan Notis Tuntutan tersebut, beliau akan teruskan dengan tindakan saman di mahkamah.

Lawan kleptokrasi dengan MOU

DR MUJAHID YUSOF RAWA

Merujuk kepada kenyataan Khalid Samad selaku Pengarah Komunikasi AMANAH, kedua belah pihak Pakatan Harapan dan kerajaan bawah pimpinan Ismail Sabri perlu insaf kepada kerangka persefahaman yang termetrai antara mereka.

Persefahaman politik ini sangat penting dan relevan bagi membuka jalan ke arah politik konsensus nasional. Seruan Khalid Samad dan kebimbangan kleptokrasi dikompromi perlu diambil perhatian serius.

MOU antara PH dan Ismail Sobri adalah cetusan dari usaha penyelesaian krisis politik dilatari musibah pandemik yang melanda negara.

Jalan mati penyelesaian politik selama 17 bulan setelah Langkah Sheraton telah menemukan semua pihak kepada meja rundingan untuk mencapai kestabilan politik. Kestabilan politik diperlukan bagi pihak Legaslatif/Eksekutif tertumpu kepada membawa negara kepada fasa pemulihan secara konsensus.

Perincian persefahaman menandai tiga objektif besar dipersetujui kedua belah pihak, iaitu Dana Besar Covid, Reformasi Parlimen dan Memperundangkan Kestabilan Politik.

Ketiga objektif ini khususnya Reformasi Parlimen dan Perundangan Kestabilan Politik (akta anti-lompat parti, akta pendanaan politik dll) memerlukan kejujuran dan azam politik yang tinggi kerana ia adalah teras kepada jaminan kestabilan politik yang telah dirosakkan oleh para pencatur Langkah Sheraton.

Perosak utama MOU adalah anasir jahat yang melihat perjanjian ini sebagai jalan untuk selamatkan tengkuk mereka dari dakwaan kleptokrasi ataupun mereka yang bertujuan untuk berlengah-lengah supaya mereka dapat meneruskan amalan kleptokrasi.

Anasir jahat seterusnya ialah menjadikan MOU sebagai taktikal untuk memperkukuhkan politik lama berteraskan perkauman sempit dan demokrasi terpilih dan mempertaruhkan kuasa dengan menawarkan kesetiaan politik melalui sogokan wang dan kedudukan.

Sememangnya kebimbangan ke atas anasir perosak MOU adalah wajar dan kegagalan kita mempertahankan prinsip teras dalam MOU adalah kegagalan kita untuk membuka jalan kepada politik konsensus yang sangat diperlukan dalam masa proses penyembuhan negara.

Kita ada pilihan untuk membatalkan MOU tetapi keberantakan politik akan berterusan ataupun kita ada pilihan untuk mempertahankan prinsip MOU bersama dan mengistyiharkan perang ke atas anasir perosak rentas semua parti.

Komitmen PH dan kerajaan Ismail Sobri terhadap perjanjian ini akan memulakan perjalanan panjang politik konsensus untuk kestabilan berterusan.

Senarai penuh calon PH bertanding PRN Sarawak

MALAYSIA DATELINE

Senarai penuh calon Pakatan Harapan bertanding dalam PRN Sarawak

8 calon AMANAH

1.  N42 Semop – Fadillah Sabali

2. N40 Kabong – Hud Andri

3. N07 Samariang – Abg Halil Abg Naili

4. N05 Demak Laut – Jen Peli

5. N44 Jemoreng – Ustazah Zainab

6. N16 Muara Tuang – Haji Daud Eali

7. N26 Gedong – Kamal Bujang

8. N27 Sebuyau Wel@Maxwel Rojis

26 calon DAP

1. N.2 Tasik Biru – Granda Aing

2. N.9 Padungan – Chong Chieng Jen

3. N.10 Pending – Violet Yong Wui Wui

4. N.12 Kota Sentosa – Michael Kong Feng Nian

5. N.13 Batu Kitang – Abdul Aziz Isa

6. N.14 Batu Kawah – Kelvin Yii Lee Wuen

7. N.17 Stakan – Leslie Ting Xiang Zhi

8. N.19 Mambong – Chang Hon Hiung

9. N.22 Kedup – Learry Anak Jabul

10. N.23 Bukit Semuja – Brolin Nicholsion

11. N.32 Simanggang – Leon Jimat Donald

12. N.45 Repok – Wong Pak Ming

13. N.46 Meradong – Yong Siew Wei

14. N.51 Bukit Assek – Irene Chang Oi Ling

15. N.51 Dudong – Paul Ling

16. N.53 Bawang Assan – Amy Lau Bik Yieng

17. N.54 Pelawan – David Wong Kee Woan

18. N.61 Pelagus – Solomon Kumbong

19. N.63 Bukit Goram – Joseph Jinggut

20. N.64 Baleh – Kenneth Usang

21. N.68 Tanjong Batu – Chiew Chan Yew

22. N.69 Kemena – Dr. John Brian

23. N.70 Samalaju – Tonny Ung

24. N.73 Piasau – Peter Hee Leh Keng

25. N.74 Pujut – Alan Ling Sie Kiong

26. N.75 Senadin – Marcus Hugo

28 calon PKR

1. N1 Opa – Meneng Biris

2. N6 Tupong – Ahmad Nazib Johari

3. N8 Satok – Datuk Ir Dr Nor Irwan

4. N11 Batu Lintang – Cherishe Ng Phuay Hui

5. N15 Asajaya – Mahmud Epah

6. N18 Serembu – Michael Saweng

7. N20 Tarat – Christo Michael

8. N21 Tebedu – Senior William Rade

9. N24 Sadong Jaya – Cikgu Piee

10. N25 Simunjan – Hapeni Fadil

11. N28 Lingga – Abg Kassim Abg Bujang

12. N29 Beting Maro – Abang Zulkifli Abang Engkeh

13. N35 Saribas – Patrick Kamis

14. N37 Bukit Saban – Mikail Mathew Abdullah

15. N49 Ngemah – Satu Anchom

16. N50 Machan – M Fauzi @ Joseph @ Usit

17. N57 Tellian – Mohd Arwin Lim Abdullah

18. N58 Balingian – Abdul Jalil Bujang

19. N60 Kakus – Joshua Jabeng

20. N62 Katibas – Munan Laja

21. N66 Murum – Anie Amat

22. N71 Bekenu – Norhafizah Joharie

23. N72 Lambir – Zulhaidah Suboh

24. N76 Marudi – Elias Lipi Mat

25. N77 Telang Usan – Philip Jau Ding

26. N78 Mulu – Roland Engan

27. N80 Batu Danau – Racha Balang

28. N81 Ba Kelalan – Martin Samuel Labo

Penduduk Kg Bharu terkejut, kerajaan guna Akta Pengambilan Tanah ambil tanah mereka

BORHAN AHMAD

Sebahagian penduduk Kampung Baru, Kuala Lumpur terkejut apabila mereka dipaksa berpindah oleh pihak pemaju keluar dari flat dan rumah mereka dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah yang dibenarkan kerajaan.

Kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk mengambil tanah penduduk Kampung Bharu untuk dimajukan dengan pampasan hanya RM400 sekaki persegi.

Mereka hanya diberikan pampasan serendah RM400 sekaki persegi sahaja berbanding tawaran kerajaan PH sebelum ini RM1,000 sekaki persegi.

Menurut seorang penduduk, Nadia Liyana Alipah, ia bermula pada Julai 2021 lepas apabila penduduk di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru menerima surat Warta Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memaksa mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan.

Ia berjaya diperolehi oleh pemaju yang memohon melalui Pejabat Tanah setelah mereka tidak melayan permohonan pemaju sebelum itu.

“Kelam kabut lah semuanya nak push projek ini, takut tak jadi kot,” kata Nadia melalui twitter beliau.

Pada Ogos 2021 pula, kata Nadia, tuan tanah yang terlibat diwajibkan menghadiri perbicaraan pertama pengambilan tanah dalam bulan itu juga.

“Tak menyepat2. Musim-musim pandemik ni juga korang nak buat,” kata Nadia.

Menurut beliau, kebanyakan penduduk di Kampung Baru orang yang sudah berumur.

“Adilkah penduduk di sini dilayan sebegitu rupa,” cerita Nadia lagi.

Nadia menunjukkan surat Warta Kerajaan yang dikepilkan dengan surat arahan ke perbicaraan dan arahan keluar dari tanah mereka itu.

Selepas itu, pihak pemaju menampal notis Borang E oleh Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di dinding-dinding rumah buruk di Kampung baru bagi memberitahu tentang pengambil tanah mereka bermula dengan siasatan.

Notis yang ditampal di dinding rumah tentang proses pengambilan tanah penduduk Kampung Bharu.

“Sungguh ‘beradab’ cara notis yang diberikan buat tuan tanah yang terlibat. Di tampal di rumah buruk sahaja,” kata Nadia.

Ketika kerajaan PH mentadbir negara, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdukl Samad telah membuat tawaran RM850 + 150 sekaki persegi kepada penduduk Kampung Baru untuk membeli tanah mereka.

Beliau berjaya mendapat persetujuan sehingga 63 peratus penduduk cadangan pembelian oleh kerajaan ini.

Ketika itu, pembangkang termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak boleh menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk membangunkan Kampung Baru kecuali untuk membina kemudahan orang ramai seperti hospital.

Tan Sri Annuar Musa pula berkata, RM850 sekaki persegi bukan nilai tanah di Kampung Baru dengan mengingatkan undang-undang memberi hak bagi pemilik mendapat harga pasaran.

“Kampung Baru adalah kawasan yang sudah dibangunkan la bro… Semua prasarana tersedia. Yang beli bukan swasta tapi kerajaan!!” kata Annuar Musa kepada Khalid Samad.

Datuk Seri Najib pula berkata, Kampung Baru adalah dekat dengan KLCC dan harganya perlu lebih tinggi.

“Tanah di KLCC cecah RM3,000 satu kaki persegi manakala kerajaan PH kata harga paling tinggi yang ditawar mereka untuk tanah kampung baru adalah RM850 satu kaki persegi berdasarkan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

“Bukan luar biasa jika ada kata harga JPPH jauh di bawah harga pasaran,” kata Najib September 2019 lalu ketika mempelekehkan usaha Khalid ketika itu.

Gempar: Mayat kanak-kanak: Organ, kaki sudah tiada

Mymetro 

Laporan Harian Metro sebelum ini.

Laporan Harian Metro sebelum ini.

Johor Bahru: Tiada sebarang unsur jenayah pada mayat seorang kanak-kanak yang ditemukan berbau busuk dan mereput di Sungai Kampung Desa Makmur berdekatan Jalan Anggerik Putih Majidee di sini, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, keadaan mayat kanak-kanak yang dianggarkan berusia tiga tahun itu ditemukan dalam keadaan tidak sempurna.

"Mayat yang kita jumpa ini ada organ yang hilang, kaki pun sudah tiada. Jadi kita masih tunggu laporan lengkap bedah siasat.

"Setakat ini kita tidak dapat kesan jantina, bangsa dan sebagainya. Setakat ini juga tiada elemen jenayah ditemukan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Shamsul Khomari Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.43 pagi tadi daripada pihak polis bagi bantuan mengangkat mayat kanak-kanak yang dianggarkan berusia tiga tahun yang ditemui 1.5 meter berada dari tebing sungai terbabit.

Pihaknya percayai mayat itu sudah dimakan haiwan seperti biawak dan ikan. Malah belakang tengkorak sudah pecah, rambut dan otak juga telah tiada.

"Difahamkan, penemuan mayat oleh orang awam yang menyatakan terdapat bau sangat busuk dilokasi terbabit. Setakat minggu ini pihaknya tiada menerima laporan kanak-kanak hilang atau lemas di sungai," katanya.

MSO: Hadi jadikan Umno parti melukut

MOHD SAYUTI OMAR

Presiden Pas Abdul Hadi Awang telah menjadikan Umno sebagai parti melukut hari ini apabila memberi kata dua kepada parti nasionalis itu sekiranya enggan menerima Bersatu, Pas akan tolak Muafakat Nasional (MN) yang disertai Umno bersamanya.

Abdul Hadi berkata demikian berdasarkan prinsip yang sudah dipersetujui MN yang merupakan gabungan Umno dengan Pas sedia untuk menerima parti lain dan juga NGO menyertainya.

Malangnya, pada suatu ketika setelah ditetapkan tarikh untuk membincangkan penyertaan Bersatu dalam MN jelas Hadi ia tidak dipersetujui oleh Umno.

Langkah diambil Hadi itu satu keberanian parti itu dan gambaran jelas yang Pas tidak akan berkerjasama dengan Umno.

Secara tidak langsung, Pas juga mahu mengajar dan menunjukkan kepada Umno yang Pas mempunyai kuasa dan pengaruh tersendiri dan tidak pernah gentar dengan ancaman dan lagak Umno yang dikenali memusuhinya sejak berdekad lampau.

Kenyataan Hadi di Perak semasa hadir majlis Maulid Rasul di Perak hari ini.

Apakah reaksi pemimpin Umno dengan kata dua Abdul Hadi itu?

Apakah mereka masih mempertimbangkan dan sedia mencari jalan? Dalam pada itu, Umno pula akan menyerahkan soal kerjasama dengan Pas (MN) kepada Umno bahagian.

Bagus Pas kerana ia sudah ada prinsip?

Bawa mayat ronda-ronda

AKSI lelaki membawa mayat berkenaan di atas motosikal. FOTO Agensi

AKSI lelaki membawa mayat berkenaan di atas motosikal. FOTO Agensi

Quito: Sekumpulan rakan di Ecuador sanggup mengeluarkan mayat rakan lelaki mereka dari keranda dan membawanya 'menaiki' motosikal buat kali terakhir.

Daily Star melaporkan mereka mendakwa sudah mendapat kebenaran daripada ibu bapa kepada si mati, Erick Cedeno.

Kebenaran itu untuk menguruskan hal pengebumian rakan mereka, mengeluarkan mayat mangsa dari keranda dan melakukan perbuatan aneh berkenaan.

Laporan mengatakan kira-kira tujuh lelaki mengelilingi motosikal sebelum mayat dinaikkan ke tempat duduk penumpang.

Kumpulan lelaki itu merakam sorakan dan melambaikan tangan mereka dengan teruja bersama mayat rakan mereka itu yang bersandar di belakang badan penunggang motosikal.

Seorang lagi lelaki membonceng motosikal terbabit dan mengapit mayat berkenaan, sebelum motosikal itu bergerak.

Kumpulan lelaki itu mendakwa bahawa mereka ingin memberi penghormatan terakhir kepada rakan mereka dan ia sebagai ucapan selamat tinggal.

Selain itu, mereka menuang minuman beralkohol pada keranda, lapor La Republica.

Lelaki berusia 21 tahun itu meninggal dunia hujung minggu lalu selepas dilaporkan ditembak ketika dalam perjalanan ke majlis pengebumian.

"Ia kali pertama insiden itu berlaku di bandar ini dan satu aktiviti yang menyimpang serta tidak sihat," kata jurucakap polis dalam satu kenyataan.

Tiada seorang daripada individu yang mengambil mayat itu ditahan pihak berkuasa.

Siasatan berhubung kejadian itu belum dilakukan kerana pengebumian itu dianggap sebagai acara persendirian.

Selain itu, tiada aduan rasmi mengenai kejadian itu.

-mymetro