Amanah: Isu bos SPRM: PAS kian mesra dengan kemungkaran,

M Fakhrull Halim

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub mengakui dia “sedikit pun tidak terkejut” dengan pendirian disuarakan PAS berhubung kontroversi menyelubungi pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Merujuk kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan semalam yang menyambut baik penjelasan Azam mengenai dakwaan pemilikan saham dalam beberapa syarikat, Salahuddin berkata PAS kini memang bersikap “mesra” dan “jinak” dengan "kemungkaran".

Hal itu, katanya dapat dilihat dalam sikap yang dipamerkan parti itu dalam beberapa kes terdahulu.

Kata ahli parlimen Pulai berkenaan, sikap PAS itu dapat dilihat dalam skandal 1MDB dan kontroversi Lembaga Tabung Haji.

Selepas mendengar penjelasan daripada pihak yang dipertikaikan oleh ramai orang itu, kata Salahuddin, PAS kekal berpuas hati.

“Waktu itu (1MDB) saya terkejutlah, kerana itu bukan 'warna' PAS sebenarnya. Kerana saya hampir 30 tahun dengan PAS, ia tidak begitu. Kami (ketika itu) tetap konsisten menegur kemungkaran pemerintah.

“Tapi lama-kelamaan, PAS kian mesra dengan kemungkaran termasuk hari ini melibatkan isu Azam yang begini besar.

"Jadi saya rasa, PAS telah menjadi begitu mesra dan jinak dengan kemungkaran ini. Itulah sikap PAS pada sekarang,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Perubahan sikap itu, katanya, adalah kerana PAS kini lebih mementingkan kuasa dan hilang arah tuju sehingga tidak lagi melihat sebarang kemungkaran yang berlaku dalam kerajaan.

Takiyuddin semalam berkata PAS menyambut baik langkah Azam menjelaskan secara terbuka kontroversi menyelubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM itu dan berharap penafian berkenaan dapat menghentikan tindakan pihak yang sengaja “menimbulkan keraguan” dan “menggugat kestabilan negara di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob”.

Takiyuddin turut meminta pihak yang terus membuat dakwaan ke atas Azam untuk membuktikan tuduhan berkenaan, dan yakin pihak berkuasa akan meneliti kenyataan tersebut dan mengambil tindakan yang adil berdasarkan fakta dan undang- undang.

Gesa jalankan siasatan

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad turut menyifatkan kenyataan Takiyuddin itu sebagai tanda PAS telah "hilang kompas moral" serta dan menjadi parti yang gagal.

“Amat jelas PAS sudah hilang kompas moral serta hala tuju perjuangan serta berperangai sebagai 'ular sawa kenyang'.

“Tak ada keperluan untuk saya katakan apa-apa kecuali, sebagai parti yang kononnya membawa imej Islam, PAS gagal dengan sepenuhnya. Total and complete failure,” kata ahli parlimen Shah Alam itu kepada Malaysiakini hari ini.

Untuk rekod, kelmarin Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari mengeluarkan kenyataan bernada berbeza daripada Takiyuddin apabila mencadangkan Azam direhatkan bagi memberi laluan kepada siasatan bebas. 

Ahmad Fadhli memberikan cadangan itu bagi memastikan ketelusan dalam siasatan, serta membuktikan keseriusan kerajaan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.

Azam dilanda kontroversi hebat berhubung dakwaan pemilikan saham di dua syarikat awam pada 2015. Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, Azam adalah Pengarah Bahagian Siasatan SPRM.

Ia mengundang gesaan agar siasatan dilakukan berhubung hal itu dan Azam direhatkan.

Dalam satu sidang media pada Selasa, Azam berkata, dia memaklumkan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun dagangan miliknya digunakan oleh adiknya, Nasir, untuk memperoleh saham tersebut.

Saham itu telah dipindahkan kepada Nasir kemudiannya.

Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang yang turut hadir, berkata LPPR berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa dia tiada kepentingan kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham tersebut.

Selain Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang berkata akan menghubungi Azam, polis juga dilaporkan akan memulakan siasatan ke atasnya. 

Dalam perkembangan berkaitan, Azam memulakan tindakan undang-undang terhadap pemberi maklumat yang paling awal mendedahkan dakwaan pemilikan saham tersebut.

Seekor lagi kantoi

Kami tidak pernah suarakan pendapat seperti Abu Zahar, kata enam ahli LPPR

MALAYSIA DATELINE

Enam Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) hari ini menegaskan kenyataan Tan Sri Abu Zahar Ujang adalah pendapat peribadinya berhubung dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di beberapa syarikat.

Penjelasan yang mewakili Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Dr. Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Prof. Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff.

Ini berikutan selepas LPPR mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau konflik kepentingan berhubung dakwaan pemilikan saham itu selepas perkara itu diputuskan pada mesyuarat panel LPPR pada 24 November tahun lalu.

Dalam satu kenyataan, enam ahli itu menjelaskan, ahli-ahli lembaga yang lain tidak pernah menyuarakan pendirian yang sama seperti Abu Zahar.

“Kami ingin menjelaskan bawah ahli lembaga pengarah, sama ada dalam mesyuarat berkenaan atau pada bila-bila masa yang lain tidak pernah menyuarakan pendapat seperti yang dinyatakan Abu Zahar.

Mereka berkata, ahli lembaga pengarah LPPR mengadakan perbincangan berasingan dengan Abu Zahar dan mencadangkan perkara itu dirujuk kepada mana-mana panel dan jawatankuasa yang lain.

“Panel dan jawantankuasa seperti sebuah Jawatankuasa Bebas, Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah dan Panel Aduan SPRM.

“Bagaimanapun, pandangan dan cadangan kami tidak dibangkitkan pada sidang media Abu Zahar.

“LPPR tidak mempunyai kuasa penyiasatan kerana ia ditubuhkan sebagai Lembaga Penasihat. Kami perlu memberikan penjelasan ini untuk menjaga integriti LPPR dan institusi,” kata mereka.

Sesuatu sudah membusuk, lupakan Keluarga Malaysia mahupun Abah

DR MUJAHID YUSOF RAWA

Apabila kejahatan mereput ia umpama bangkai yang baunya naik ke atas menusuk deria dan memualkan. Demikianlah sesebuah negara apabila kejahatannya sudak memuncak ia mereput dan membusuk, bangkai rasuah walau disembunyikan, baunya sudah melata dihidu rakyat.

Krisis hilang kepercayaan yang melanda SPRM membimbangkan rakyat apabila Ketua Pesuruhjaya terpalit dengan tuduhan bercanggah kepentingan sedangkan beliau adalah barisan hadapan anti-rasuah. Lebih memualkan ialah penjelasan Ketua Pesuruhjaya tersebut membuka lagi pekung betapa busuknya nilai integriti di negara ini.

Tidaklah pelik hal Ketua Pesuruhjaya SPRM ini kerana semuanya bermula dengan pemimpin no 1 negara yang hilang rasa bersalah kepada rasuah, salahguna kuasa dan sogokan pangkat. Perangai ‘muka selamba’ mantan PM yang disabit kesalahan terhadap semua jenayah ini diwajarkan dengan nama perjuangan untuk membela Melayu dan disambut oleh suara ‘Melayu-Isle’ atas asalkan bukan Anwar, DAP dan PH.

Rakyat dijampi oleh pejuang Melayu-Isle dengan mentera ‘No Anwar’ ‘No DAP’, ‘Pakatan Hancing’ sedangkan bau busuk bangkai mereput dari jenayah rasuah, khianat dan membeli kesetiaan dengan kedudukan dan pangkat dipekakkan dan dibutakan!

Rasuah adalah bangkai dan pelakunya adalah pemakan bangkai tiada bezanya haram rasuah dengan haram bangkai dalam Syariat Islam. Malah bangkai rasuah lebih keji kerana kesannya kepada negara sangatlah keji dan memusnahkan kehidupan rakyat. Bangkai rasuah perlu dibuat dengan perancangan, taktik, membeli saksi dan menipu, makan bangkai hakiki tak perlu semua itu!

Rakyat perlu berada dibelakang mereka yang mahu buangkan bangkai membusuk ini, pemimpin dari semua parti politik harus bersatu tekad, bersatu hati dan bersatu tindakan untuk melihat musuh utama negara yang kini membusuk sampai ke langit negara. Bebaskan diri dari mentera Melayu-Isle yang memukau atas nama Islam dan Melayu sedangkan negara dalam bahaya angkara pemakan bangkai ini. Inilah masanya semua parti politik bangkit dari lamunan mereka dengan keselesaan kelompok masing-masing atau cuba menjadi juara syiok sendiri!

UMNO,BN mahu pun PH perlu berhimpun serentak membuat kata putus selamatkan negara kerana bangkai dah membusuk. Lupakan Keluarga Malaysia mahupun Abah yang sudah hilang deria baunya dan masih bernafas selamba sedangkan rakyat menutup hidung bau bangkai yang membusuk. Harapannya ialah semua parti politik harus duduk semeja dan lakukanlah sesuatu yang bermakna kepada rakyat!

Kontraversi Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah kemuncak loceng amaran, jika masih selamba lagi mungkin kita akan jadi rakyat yang sudah hilang maruah, hilang rasa malu kepada kejahatan dan hilang jatidiri kita sebagai manusia. Nabi bersabda:

” Jika kamu tiada rasa malu, maka lakukakanlah apa sahaja yang kamu mahu”

Jangan berdiam diri, hapuskan bangkai yang membusuk!

Vaksin kanak-kanak: Peguam lapor polis terhadap KJ, Noor Hisham

Malaysiakini 

Peguam dan ibu kepada sepuluh anak, Asiah Abdul Jalil membuat laporan polis terhadap Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berikutan pengumuman kerajaan untuk melaksanakan vaksinasi Covid-19 kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Asiah ketika dihubungi berkat,  laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis daerah Kuantan berhubung pemberian dos penggalak vaksin kepada anak-anaknya yang berumur antara 12 dan 19 tahun, serta dos pertama untuk mereka yang berumur antara lima dan 11 tahun.

"Laporan polis ini sebagai standby police report. Jika anak-anak saya didiskriminasi selepas ini, maka pada masa itu wujud elemen "kerugian" atau "kerosakan" atau "pencabulan hak","katanya kepada Malaysiakini.

Asiah berkata diskriminasi yang dimaksudkan termasuk pengasingan di sekolah, larangan menggunakan padang dan fasiliti sukan awam, larangan makan di restoran, larangan masuk ke pasar raya atau sekatan perjalanan.

Asiah berkata dia juga akan mempertimbangkan untuk memfailkan tindakan undang-undang di bawah tort misfeasance di pejabat awam" terhadap Khairy dan Noor Hisham sebaik sahaja elemen yang diperlukan dibuktikan.

"Saya sebagai ibu kandung, bercadang nak failkan saman terhadap Khairy Jamaluddin dan Dr. Noor Hisham Abdullah di bawah kausa tindakan "tort of misfeasance in public office", sekiranya vaksin Covid-19 diwajibkan ke atas anak-anak saya atau sekiranya anak-anak saya didiskriminasi akibat tidak mengambil vaksin Covid-19.

"Sebab sekarang belum ada "kerugian" atau "kerosakan". Nak saman di mahkamah sivil, kena buktikan elemen tersebut," kata Asiah yang menegaskan dia sendiri menolak untuk menerima dos penggalak.

Menurut laporan polis yang dilihat Malaysiakini, empat anak sulung Asiah berusia antara 19 hingga 14 tahun telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19, manakala anak kelimanya, berusia 13 tahun, sedang menunggu pemberian dos kedua.

Anak keenam, ketujuh, kelapan dan kesembilan Asiah berusia antara 11 dan lima tahun, manakala anak bongsunya berusia dua tahun.

"Pada sepanjang masa kerajaan tidak pernah mewajibkan penerimaan vaksin Covid-19 kepada mana-mana pihak tetapi kerajaan melalui arahan eksekutif dan kuasa pentadbiran Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) dan Ketua Pengarah Kesihatan (Dr Noor Hisham Abdullah) telah membuat peraturan, dasar dan polisi yang menyekat hak kebebasan dan hak asasi bagi sesiapa yang belum menerima vaksin atau menolak vaksin,” kata Asiah dalam laporan polisnya. .

Asiah memaparkan salinan laporan polisnya di halaman Facebook bersama gambar borang kebenaran vaksinasi yang disifatkannya sebagai "perangkap" untuk menerima dos penggalak.

Noor Hisham semalam berkata, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) telah memberikan kelulusan bersyarat kepada vaksin formulasi baru Covid-19 jenis Pfizer untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

Formulasi itu menggunakan 10 mikrogram bahan aktif vaksin setiap dos, berbanding 30 mikrogram setiap dos yang diluluskan sebelum ini untuk mereka yang berumur 12 tahun ke atas.

Khairy semalam berkata KKM menubuhkan Jawatankuasa Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (CITF-C) untuk Program Imuninasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICK Kanak-kanak) yang akan dipengerusikan oleh timbalannya, Dr Noor Azmi Ghazali.

Ismail Sabri diberi masa tujuh hari rehatkan Azam Baki jika tidak…

MALAYSIA DATELINE

Biro Mobilisasi AMANAH Nasional memberi tempoh tujuh hari kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk bertindak merehatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.

Ketuanya Mohd Sani Hamzan berkata pihaknya memberi masa tujuh hari selepas penyerahan memorandum kepada Istana Negara hari ini bagi meminta Tuanku menitahkan perdana menteri merehatkan Azam Baki.

Beliau berkata, jika tiada apa-apa tindakan daripada perdana menteri satu himpunan besar akan diadakan di pejabatnya di Putrajaya. 

“Kalau tidak ada apa-apa tindakan daripada PM, kita akan anjurkan satu himpunan besar, himpunan menuntut supaya ketua SPRM ini direhatkan kita akan adakan himpunan ini di Putrajaya di hadapan Pejabat PM,” katanya.

Isu dakwaan konflik kepentingan saham atas nama Tan Sri Azam Baki perlu disiasat secara telus dan terperinci demi menjamin integriti SPRM.

Arahan untuk merehatkan Azam Baki supaya membenarkan siasatan di buat ke atasnya dengan bebas dan telus.

Isteri 'kantoi’ curang 3 kali, suami lafaz talak depan anak

ALWANI ZAFIRAH

PETALING JAYA – Mungkin tidak mampu menahan kesabaran dan emosi, seorang lelaki bertindak melafazkan talak tiga kepada isterinya bersaksikan anak-anak mereka.

Pendedahan mengenai kisah itu diceritakan oleh seorang peguam syarie, Nur Fatihah Azzahra menerusi hantaran di akaun Facebooknya dengan memaklumkan seorang suami terpaksa menceraikan isteri selepas wanita itu mengaku terlanjur bersama kekasihnya.

Lebih menyedihkan apabila isteri tersebut sendiri mengaku dia sudah dua kali terlanjur sejak awal tahun lalu dan memberi alasan suaminya terlalu sibuk, tiada masa bersama dan tidak memahami keadaan dirinya.

Menurut Fatihah, perbuatan isteri itu mula terbongkar apabila suaminya menemui mesej serta video dan gambar isterinya bersama kekasih hatinya.

Jelasnya, selepas kejadian itu berlaku pada pertama kali, isteri tersebut berjanji ingin memperbaiki diri dan meminta peluang untuk berubah demi anak-anak mereka.

“Bila ditanya sekarang nak apa, kita nak berpisah bawa hala tujuan masing-masing atau perbaiki kelemahan masing-masing.

“Isteri membuat akur janji untuk berubah demi anak-anak yang semuanya berusia di bawah 11 tahun,” tulisnya.

Tambah Fatihah, isteri itu sekali lagi mengaku telah terlanjur pada 1 Januari 2022 bersama kekasihnya apabila mereka ditemui berjalan bersama di sekitar Port Dickson oleh suaminya.

Dalam pada itu, peguam tersebut turut memberitahu, bagi kes melibatkan taklik atau lafaz talak di luar mahkamah, pasangan perlu membuat pengesahan di Mahkamah Rendah Syariah. – K! ONLINE

Penganalisis: PAS masih mampu menang 3 negeri tanpa Umno

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: PAS masih mampu menguasai tiga negeri yang ditadbirnya ketika ini, iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah walaupun parti itu bertembung dengan Umno dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15), menurut penganalisis politik.

Kamarul Zaman Yusof dari Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika mengulas masa depan kerjasama antara PAS dan Umno melalui Muafakat Nasional (MN) mempersoalkan sama ada ia mampu bertahan sehingga PRU15 atau sebaliknya selepas parti Islam itu menegaskan mahu mempertahankan Perikatan Nasional (PN) dan memperkukuh MN.

Katanya, PAS bagaimanapun boleh menang tanpa berdepan saingan sengit untuk kekal mentadbir Kelantan, Terengganu dan Kedah jika ia bekerjasama Umno dalam pilihan raya.

“Walaupun begitu, jika mereka (PAS) bekerjasama dengan Umno tentulah laluan PAS untuk mengekalkan kemenangannya di negeri tersebut akan menjadi lebih mudah kerana biasanya kerjasama akan mengekalkan status quo.

“…ini kerana jika ia tidak bekerjasama dengan Umno maka sudah pastilah PAS akan menghadapi saingan sengit daripada Umno yang menyaksikan kekalahan parti itu dalam PRU14 lebih banyak dipengaruhi oleh faktor nasional.

Oleh itu, pilihan terbaik bagi memastikan PAS kekal selesa di Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam PRU15 ialah untuknya menjalinkan kerjasama politik dengan Umno di negeri tersebut,” katanya kepada FMT.

Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain turut senada dengan berpandangan bahawa PAS boleh menang mudah terutamanya di Kelantan selain Terengganu dan Kedah, manakala Pakatan Harapan (PH) sukar menembusi tiga negeri itu.

“PAS dijangka menang mudah di Kelantan, manakala di Terengganu Umno dan PAS dijangka bertarung sengit, sementara di Kedah PAS dijangka menang mudah bersama Bersatu melalui PN.

“Secara umumnya Umno ‘sakit’ untuk menang secara solo dalam PRU15 kecuali bersama PN. Kalau Umno bersama PH juga sakit, sebab PKR dan DAP sudah mula ditolak majoriti pengundi, Anwar Ibrahim pun pengaruhnya sudah merudum teruk akibat tindakan ‘flip flop’ beliau,” katanya.

Sementara itu, Iskandar Hasan Tan Abdullah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan berpandangan walaupun mengakui kekuatan PAS menang secara solo di tiga negeri itu, ia tidak bermakna status quonya tidak mampu digugat oleh Umno jika dua parti itu bertembung dalam PRU15.

Katanya, kebanyakan pucuk pimpinan Umno negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah telah berubah selepas kekalahan parti itu dalam PRU14 dengan menawarkan muka baharu, muda dan bertenaga.

“Faktor kemenangan PAS bukannya datang daripada kekuatan pertambahan ahlinya, tetapi disebabkan pada masa itu, majoriti orang Melayu yang berada dalam ketiga-tiga negeri ini melihat keupayaan PAS sebagai pemerintah yang lebih berintegriti dan adil.

Beliau bagaimanapun berkata, Umno mempunyai peluang untuk menumbangkan PAS di ketiga-tiga negeri majoriti Melayu itu tetapi perubahan mood pengundi sentiasa berlaku mengikut perubahan politik semasa juga perlu dilihat.

“Untuk mengatakan PAS mampu mentadbir semula ketiga-tiga negeri ini juga adalah benar jika dilihat dari aspek akar umbi yang menyokong PAS tidak pernah berubah. Tetapi segala-galanya akan ditentukan oleh pengundi perantauan dan juga mood dan persepsi yang wujud semasa tempoh berkempen.

“Pilihan terbaik PAS ialah memilih satu gabungan parti sahaja antara BN atau PN. Ini disebabkan gerak kerja dan guna tenaga untuk fokus kepada satu gabungan parti lebih baik daripada bertaut kepada dua gabungan parti yang sentiasa bertentangan antara satu sama lain.

“Umno akan bertentang dengan Bersatu begitu juga MCA akan bertentang dengan Gerakan. Kedua-dua parti, iaitu Bersatu dan Gerakan adalah dalam PN. Ini bermakna BN tidak akan menerima PN semasa berlakunya pertandingan kalah mati dalam PRU15 nanti.

“Jadi, kaedah terbaik PAS adalah memilih yang paling ringan mudarat politik berbanding bertaut kepada kedua-dua gabungan parti yang dilihat kurang mesra dalam PRU15 nanti,” katanya.

SUK Melaka diberi notis 24 jam tukar ke Putrajaya?

MALAYSIA DATELINE

Kerajaan negeri Melaka wajar memberi penjelasan berhubung dakwaan pertukaran Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka ke Putrajaya dengan notis 24 jam.

Bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkongsi maklumat itu di Facebooknya hari ini berkata walaupun seorang penjawat awam yang baik dan berdedikasi namun pertukaran itu mestilah dilakukan dengan proses dan etika yang betul.

“Saya mendengar berita bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka ditukarkan ke Putrajaya dengan notis 24 jam. Kerajaan negeri Melaka wajar memberi penjelasan.

“Penjawat Awam yang baik “dicampak ke darat menjadi gunung, dicampak ke laut menjadi pulau” tetapi mestilah dilakukan dengan proses dan etika yang betul,” kata beliau ringkas.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali memaklumkan Bekas Pegawai Kewangan negeri, Datuk Zaidi Johari telah dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Ts. Kamel Mohamad yang telah memegang jawatan berkenaan sejak Ogos 2021.

Terdahulu, Zaidi mengangkat sumpah jawatan dan simpan rahsia di hadapan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Bilik Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN), Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

“Tahniah kepada YB (Yang Berhormat) Datuk Zaidi. Selamat menabur khidmat bakti kepada kerajaan negeri Melaka dan rakyat negeri Melaka,” katanya Sulaiman dalam kenyataan di laman sosial Facebooknya, hari ini.

Ismail Sabri digesa tubuh pasukan khas siasat Azam

Dineskumar Ragu

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membentuk pasukan petugas khas bagi menyiasat dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Azam Baki berhubung pemilikan sahamnya.

Katanya, pasukan petugas itu perlu bebas, telus dan memiliki bidang tugas khusus bagi menyiasat isu itu secara komprehensif.

Cadangannya itu susulan kenyataan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang bahawa beliau akan menyerahkan laporan mengenai siasatannya kepada Perdana Menteri untuk tindakan lanjut.

Puad memberitahu FMT, Ismail perlu mengambil inisiatif kerana orang ramai tidak yakin dengan siasatan LPPR itu.

“Orang ramai tidak akan percaya laporan yang akan dihantar Abu Zahar kepada Perdana Menteri kerana lembaga itu hanya mendengar penjelasan Azam.

“Adakah mereka turut memanggil pihak lain seperti Edmund Terence Gomez, Suruhanjaya Sekuriti dan adik Azam (Nasir) untuk memastikan siasatan yang komprehensif? Orang ramai akan meragui hasil siasatan sebelah pihak oleh LPPR itu,” katanya.

Sementara itu, rakannya dalam MKT, Rahman Dahlan berpendapat Perdana Menteri tidak patut diheret dalam isu itu walaupun SPRM di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Jika laporan yang akan dihantar kepada PM oleh LPPR adalah keperluan di bawah Akta SPRM 2009, tidak mengapa.

“Tetapi jika tiada peruntukan dalam akta itu supaya LPPR melaporkan kepada Perdana Menteri, saya cadangkan lembaga tidak berbuat demikian kerana ini akan menyebabkan beliau terheret dalam isu berkenaan sedangkan tidak perlu,” katanya kepada FMT.

Katanya, akta itu memberikan mekanisme dalaman mencukupi untuk membolehkan agensi antirasuah itu menangani pelbagai isu, termasuk pemilikan saham.

Tegasnya, jawatankuasa bebas di dalam SPRM juga wujud untuk memastikan semak dan imbang terhadap agensi itu, seterusnya membolehkan isu berkenaan ditangani secara dalaman dan bebas.

LPPR semalam membersihkan nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Azam Baki daripada sebarang salah laku berhubung pembelian saham syarikat.

Dalam sidang media di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya, Abu Zahar berkata Azam telah memberi penjelasan mengenai pembelian saham itu, iaitu akaunnya telah digunakan adiknya Nasir untuk pembelian saham itu di pasaran terbuka pada 2015 selain tiada konflik kepentingan.

Pengumuman itu diselar beberapa pihak yang mengkritik kekurangan ketelusan dan kebebasan siasatan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, pegawai kanan perlu jaga kod etika

ZAHARIN MOHD YASIN

Ini boleh dipanggil sudah terang lagi bersuluh. Seorang penjawat awam, nama dia tersenarai kepentingan saham dalam buku tahunan laporan syarikat tersenarai bagi tahun 2015 dan 2016.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan mantan Ketua Pesuruhjaya (KPJ) SPRM, Abu Kassim sepatutnya sudah buat kenyataan bahawa pegawai ini telah diberikan pelepasan memiliki harta alih (syer, saham, debentur, bon atau sekuriti lain) oleh pendahulunya dan tidak melanggar Perintah Am bagi penjawat awam, satu undang-undang Perlembagaan yang perlu dipatuhi oleh penjawat awam.

Jika dia ini Ketua KPK di Indonesia, Presiden akan mengeluarkan perintah direhatkan dahulu dan siasatan dibuat seperti berlaku kepada Antasari Azhar kerana hanya bermain golf dan Firli Bukhari kerana naik helikopter penerbangan peribadi dan berjumpa orang politik.

Kesimpulan, jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan pegawai kanan lainnya setaraf jawatan Hakim yang perlu mematuhi dan menjaga kod etika.

Maka soalan akhir, adakah KSN memberikan kebenaran untuk si dia ini membuat kenyataan media sehingga melanggar Perintah Am yang menjadikan kerajaan serba salah?

Dan Perdana Menteri telah diserang dalam media sosial kerana kenyataan itu.

KANTOI?: Status vaksin KJ tular

Tular status vaksin, KJ kata laman sesawang semak status Covid-19 tidak dikemaskini

MALAYSIA DATELINE

Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin menafikan status vaksinasi Covid-19 beliau sedang diproses di laman sesawang https://www.vaksincovid.gov.my/semak-status/.

Katanya, laman sesawang tersebut diwujudkan pada peringkat awal pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi memudahkan urusan semakan kepada orang awam.

Walau bagaimanapun, katanya selepas kadar vaksinasi populasi dewasa mencapai 90 peratus pada bulan Oktober 2021, laman sesawang tersebut tidak lagi aktif atau dikemaskini.

Beliau berkata demikian berikutan sejak semalam, telah tular tangkap layar (screenshot) mengenai butiran peribadi dan status vaksinasi COVID-19 beliau yang disemak melalui laman sesawang itu.

Dalam tangkap layar itu, status janji temu saya dinyatakan sebagai ‘SEDANG DIPROSES’ sementara butiran lain seperti lokasi pusat vaksin, tarikh dan masa janji temu tidak dinyatakan.

Khairy menegaskan beliau telahpun mendapat suntikan dos pertama vaksin CoronaVac pada 18 Mac 2021 dan merupakan individu pertama di Malaysia yang menerima vaksin keluaran Sinovac tersebut.

Malah, katanya pengambilan dos pertama tersebut turut disiarkan secara langsung di saluran televisyen dan saya juga telah menunjukkan paparan MySejahtera saya selepas saya menerima vaksin tersebut.

“Suntikan dos kedua telah saya terima pada 8 April 2021. Saya juga sudah menerima suntikan dos penggalak vaksin Comirnaty keluaran Pfizer pada September lalu sebelum berlepas ke Himeji, Jepun bagi Mesyuarat Jawatankuasa Rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WPRCM) Ke-72.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menafikan sekali lagi maklumat yang dipaparkan di dalam tangkap layar yang tular tersebut. Saya minta orang ramai untuk tidak terpengaruh dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menidakkan usaha vaksinasi negara,” katanya.

‘Semoga Kak Lah terus bimbing diri, Ustaz Idris kembali ke pangkal jalan’

 FAZLI RADZI

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Ustaz Ridzwan Abu Bakar secara berseloroh berharap agar dua pemimpin Pas yang berada dalam kerajaan pada masa ini untuk tidak lagi memperalat ayat al-Quran demi kepentingan politik.

Menurutnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad sebelum ini pernah mengaitkan banjir besar di Pulau Pinang pada 2017 dengan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 atau RUU 355.

“Ketika itu Ustaz Idris Ahmad, sekarang ini Menteri Agama, menyatakan Allah bayar ‘cash’ dan punca berlakunya banjir kerana DAP ketika itu menentang RUU 355 yang belum dibentangkan.

“Lebih teruk daripada itu ada seorang ulama Pas, Nazmi Karim menyatakan banjir di Shah Alam berpunca kerana adanya kilang arak.

“Ini lebih bahaya daripada sekadar mempolitikkan isu banjir yang mungkin mempertikaikan kelewatan menteri mengambil tindakan atau turun padang memakai logo parti dan sebagainya,” kata Ustaz Ridzwan dalam rakamana video yang dimuatkan di Facebook beliau hari ini.

Sehubungan itu, beliau mempersoal sama ada wujudkah kilang minuman keras di Kelantan yang kerap dilanda banjir.

Ustaz Ridzwan turut berpendapat banjir pada penghujung tahun lalu juga melanda daerah yang mempunyai banyak institusi pendidikan Islam.

“Soalnya, di Jeli adakah kilang arak? Di Temerloh, bukankah ada pondok di sana? Di Hulu Langat juga ada puluhan maahad tahfiz.

“Apakah Shah Alam tenggelam kerana sebuah kilang arak sedangkan Kelantan kerap berlakunya banjir, adakah di sana juga ada kilang arak?” bidasnya.

Justeru, beliau menyambut baik nasihat Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang juga dikenali sebagai Kak Lah agar tidak mempolitikkan bencana banjir.

“Kak Lah menyebut sepatutnya semua pihak agar tidak mempolitikkan musibah banjir di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Betul. Jangan politikkan isu banjir. Lebih daripada itu, jangan mempergunakan agama dan ayat suci al-Quran.

“Jangan juga mempergunakan sentimen agama serta takut kepada dosa dan mengharapkan pahala itu sebagai isu politik untuk menyalahkan mana-mana pihak,” tegasnya.

Dalam masa sama, Ustaz Ridzwan berharap Siti Zailah dapat membimbing diri dan Idris agar benar-benar memahami Islam.

“Jangan gunakan sentimen agama. Jangan tunggang agama. Nasihat Kak Lah jangan mempolitikkan musibah yang menimpa rakyat, itu bagus.

“Ustaz Idris selamat maju jaya. Kak Lah terus bimbing diri dan Ustaz Idris supaya kembali ke pangkal jalan memahami agama dengan neraca yang sebenarnya,” tambah Ustaz Ridzwan lagi.

Tun M, jika Anwar dibenar jadi PM, habislah para koruptor, cukong dan keluarga kamu

ZUNAR

Tun Mahathir,

Pada tahun 1998, kamu mengheret ketua-ketua polis, para hakim dan Peguam Negara untuk merekayasa sebuah fitnah seksual yang jijik bertujuan menyumbatkan Anwar dalam penjara. Ia adalah satu kospirasi peringkat tinggi bagi menghalang Anwar menjadi PM.

Ia adalah manifestasi ketakutan kamu terhadap sikap Anwar memerangi rasuah, manakala dikeliling kamu ialah para koruptor dan penjarah wang rakyat tingkat tinggi.

Keengganan Anwar sebagai menteri kewangan untuk meluluskan wang negara bagi menyelamatkan syarikat perkapalan anak kamu yang mengalami kerugian berbilion ringgit menyebabkan kemurkaan kamu. Kamu marah benar bila Anwar meminta sebuah firma audit bebas, PWC untuk menyiasat Perwaja yang kerugian sekitar RM12 billion. Kenapa? Kerana ia diketuai oleh kroni kamu. Ia adalah sebuah contoh dari senarai panjang.

Jika Anwar dibenar jadi PM, habislah para koruptor, cukong-cukong dan keluarga kamu.

Selepas Anwar kamu pecat, kamu kata Anwar jadi tali barut Amerika. Kerana itu, kamu mengikat Ringgit Malaysia dengan Dollar Amerika kononya untuk menyelamatkan ekonomi negara. Pada hal yang kamu buat sebenarnya ialah menyelamatkan anak-anak dan kroni kamu yang menjalankan perniagaan menggunakan Dollar Amerika. Biar negara rugi puluhan billion, yang penting kroni kamu selamat.

Pada Oktober 2003, perdana menteri bertukar tangan kepada Pak Lah. Tahun berikutnya, pada 2 September 2004, Mahkamah Persekutuan membebaskan Anwar dari segala tuduhan.

Dari Singapura kamu melatah dan menyindir keras dengan berkata: “Sesiapa nak buat salah, datang ke Malaysia!” Marah benar kamu, sedangkan kamu yang merekayasa fitnah tersebut. Kenapa? Kerana usaha kamu ketika itu gagal?

Mari jawab soalan-soalan ini.

Betul atau tidak beberapa hari sebelum keputusan pembebasan tersebut dibaca, kamu berusaha untuk mempengaruhi hakim-hakim supaya menukar keputusan bagi terus memenjarakan Anwar? Betul atau tidak kamu bersama tokoh-tokoh utama dari Pahang dan mantan tokoh-tokoh utama dalam bidang perudangan terus berusaha menyediakan kertas pertuduhan versi kamu untuk dibaca oleh para hakim? Benar atau tidak usaha ini berterusan sehingga beberapa jam sebelum hakim membaca keputusan sekitar jam 10 pagi?

Kemudian, menjelang PRU 14, kamu datang berjumpa Anwar di mahkamah dan menyatakan untuk berkerjasama bagi menjatuhkan Umno/BN. Anwar punya pilihan untuk menolak, tetapi bersikap berlapang dada dan sanggup mengenepikan sengketa dan menerima huluran tangan kamu. Rata-rata rakyat Malaysia menyangka kamu telah berubah dan insaf serta sanggup melupakan kezaliman kamu dan kembali menyokong kamu. Tetapi rakyat mulai sedar mereka tertipu sebaik saja kamu diberi kuasa semula.

Apabila memegang jawatan Perdana Menteri di era PH, paranoid yang menjadi mimpi ngeri kamu 23 tahun lalu datang kembali. Jika Anwar dibenar jadi PM, habislah para koruptor, cukong-cukong dan keluarga kamu. Sekali lagi kamu harus menghalang Anwar.

Soalan: Betul atau tidak selepas sebulan menjawat semula jawatan perdana menteri di era PH, kamu cuba menghalang proses pengampunan Anwar?

Betul atau tidak, kamu sengaja melantik mana-mana pemimpin atau Ahli Parlimen PKR yang tidak bersetuju dengan Anwar ke jawatan penting? Ini bagi melemahkan mantan timbalan perdana menteri itu dan seterusnya menghalang dari menjadi PM?

Betul atau tidak kamu adalah dalang sebenar Langkah Sheraton yang menjatuhkan PH?

Betul atau tidak tujuan kamu meletak jawatan ialah supaya kamu dilantik semula sebagai seorang PM yang mempunyai kuasa penuh? Seorang PM yang tidak lagi terikat dengan janji PH supaya menyerahkan jawatan PM kepada Anwar?

Wahai Tun Mahathir,

Soalan-soalan yang dikemukan di atas kekal sebagai pertanyaan – kamu punya hak untuk menjawab atau menafikan.

Tetapi fakta tetap kekal sebagai fakta – bahawa kamu sebenarnya ialah pemusnah bangsa. Sebuah negara, seluruh institusi sanggup kamu hancurkan demi melampiaskan dendam kesumat di hati kamu. Inspirasi rakyat sanggup kamu khianati demi menyelamatkan kroni dan keluarga kamu.

Pelantikan Mohd Redzuan hina ATM, perlu dibatalkan serta merta, kata bekas menteri

SITI NUR ZAWANI MISCON

Bekas timbalan menteri pertahanan sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan, Liew Chin Tong menyatakan kebimbangan atas pelantikan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof sebagai pengerusi bebas bukan eksekutif di Boustead Holdings Bhd.

Beliau mengingatkan bahawa Boustead dan anak syarikatnya Boustead Shipyard kini sedang bergelut untuk menyelesaikan projek Littoral Combat Ship (LCS) bernilai RM9 bilion yang masih terumbang-ambing.

Justeru katanya, Redzuan tidak sepatutnya dilantik kerana ketidakmampuan bekas menteri itu menyelesaikan krisis besar yang dihadapi syarikat Boustead, malah berdasarkan reputasi beliau yang mencurigakan, ia akan memburukkan lagi keadaan.

“Sebagai bekas timbalan menteri pertahanan yang memahami gerak kerja dan pentadbiran Boustead Holdings Bhd yang merupakan sebahagian daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), saya terkejut dan amat bimbang dengan pelantikan Mohd Redzuan.

“Pelantikan ini sebagai satu penghinaan kepada Angkatan Tentera Malaysia yang perlu dibatalkan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Liew juga menyifatkan pelantikan Mohd Redzuan sebagai ‘scheme of things’ baharu yang tidak sepatutnya berlaku.

“Istilah ‘scheme of things’ telah digunakan oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin semasa rampasan kuasa Sheraton untuk menghalalkan pengagihan jawatan GLC demi membeli sokongan Ahli Parlimen.

“Semasa era pentadbiran PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu telah menyatakan dengan jelas bahawa pengurusan LTAT dan Boustead perlu diterajui pihak profesional, dan bukan ahli politik.

“Tidak seperti GLC yang lain, LTAT dan Boustead merupakan entiti unik yang mewakili kepentingan, pandangan, dan perspektif Angkatan Tentera Malaysia,” tegasnya.

Beliau menambah, semasa PH menjadi kerajaan, cita-cita gabungan itu ialah memastikan LTAT dan Boustead dapat dibangunkan sebagai pusat pelaburan industri pertahanan baharu melalui transformasi berdasarkan Kertas Putih Pertahanan.

Malangnya beliau berkata, semua ini telah dihancurkan oleh rampasan kuasa Sheraton.

Jangan perdagangkan ayat suci al-Quran, kata Ustaz Ridzwan kepada Kak Lah

FAZLI RADZI

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff atau dikenali sebagai Kak Lah dinasihatkan untuk tidak lagi mempermainkan ayat al-Quran.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Ustaz Ridzwan Abu Bakar berkata, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Kelantan itu juga akan dipersoal pada Hari Akhirat kelak sebagaimana netizen.

“Kita ada dua pilihan Kak Lah sama ada kita gunakan sepuasnya perangai dan sikap orang kita yang kurang berfikir atau pun mengajak mereka untuk berfikir.

“Selamat meneruskan kehidupan Kak Lah dan jangan mempermainkan dan memperdagangkan ayat suci al-Quran,” katanya.

Reaksi Ustaz Ridzwan itu susulan kenyataan Siti Zailah yang membela Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berhubung aksi membersihkan kesan najis unggas dan cicak dengan penyembur air baru-baru ini.

Wakil rakyat Pas tersebut mengingatkan warganet dengan membacakan Surah Yasin, ayat 65 berkenaan tangan dan kaki yang akan bercakap ketika diadili di Padang Mahsyar sebagai saksi atas segala perbuatan yang dilakukan ketika hidup di muka bumi.

“Kita dalam memberi komen harus melihat juga di sebalik apa yang berlaku…. apa yang kita buat akan disoal di hadapan Allah… apa yang kita tulis, apa yang kita taip.

“Sebab itu dalam suasana musibah bukan masa untuk kita menuding jari, mencari kesalahan seseorang.

“Semasa berlakunya musibah sepatutnya kita perbanyakkan pertolongan kepada saudara-saudara kita yang memerlukan.

“Memang nak komen mudah, nak melaksanakan bukan mudah,” kata Siti Zailah dalam satu temubual di Bernama TV.

Zunar: Itu belum saya dedah sesi karaoke

MALAYSIA DATELINE

Lawatan kerja Ahli Parlimen Batu Pahat Datuk Mohd Rashid Hasnon ke luar negara, ketika kebanyakan negara di Eropah sedang bercuti sempena Krismas dan Tahun Baru dipersoal.

Kartunis Zunar berkata, lawatan Rashid atas kapasiti Timbalan Speaker tidak masuk akal dan sepatutnya dibatalkan terutama ketika negara sedang berdepan musibah banjir besar termasuk di Johor.

Rashid didakwa melawat beberapa negara Eropah sehingga 8 Jan.

“Lawatan kerja ke Vienna masa Krismas? Masa semua orang cuti di sana? Itu belum saya dedah sesi karaoke di sana lagi.

“Siapa yang bekerja waktu itu? Mereka biasanya cuti Krismas pada hujung tahun dan tiada orang kerja waktu itu,” katanya dipetik FMT.

Terdahulu, Zunar berkongsi gambar yang menunjukkan Rashid bersama isteri dalam satu majlis makan di Vienna.

Beliau mendakwa menerima gambar berkenaan daripada seorang kenalan, namun enggan mendedahkan maklumat lanjut individu berkenaan.

Namun Rashid menegaskan beliau berada di Vienna dalam lawatan kerja atas kapasiti sebagai sebagai ahli Parlimen serta melawat beberapa negara untuk bertemu rakan sejawatan sebagai Timbalan Speaker.

Zunar turut meminta Rashid mendedahkan jadual kerjanya dari hari pertama beliau berada di negara terbabit termasuk wakil kerajaan yang ditemui.

“Kita menuntut dari hari pertama dia sampai pada 30hb atau 31hb itu siapa yang kamu jumpa… janganlah satu hari sahaja pertemuan atau mesyuarat, tetapi hari-hari lain dianggap lawatan kerja juga,” katanya.

Zunar turut menegur sikap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang begitu lemah mengawal Kabinet Keluarga Malaysia yang hanya mengarahkan anggota kabinet membatalkan cuti mereka dan menteri yang sedang berada di luar negara agar pulang segera.

“Hairan kenapa PM begitu lemah untuk ambil tindakan, sepatutnya arahan itu tidak terhad kepada Jemaah Menteri saja, kerana secara moralnya semua pemimpin tidak patut bercuti atau berada di luar negara sekarang,” katanya.

Minggu lalu, Ismail mengarahkan anggota kabinet untuk membatalkan cuti mereka dan menteri yang sedang berada di luar negara agar pulang segera.

Menurut Ismail, pembatalan cuti itu berkuat kuasa sehingga masalah banjir ketika ini selesai.

MT Umno: Menteri ini dari planet mana?

MALAYSIA DATELINE

Tindakan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang menyifatkan mereka yang memperjuangkan pengeluaran one off 10,000 i-Citra dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai penghasut rakyat dikesali oleh pemimpin Umno.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, inilah akibat dari kerajaan yang mendapat menteri kluster kayangan yang boleh mematikan Malaysia.

“Menteri Kewangan kata, mereka yang memperjuangkan pengeluaran one off RM 10K i-Citra KWSP adalah penghasut rakyat.

“Ini Menteri dari planet mana?

“Dapat Menteri kluster kayangan macam ini boleh meninggal Malaysia dibuatnya,” kata beliau menerusi facebooknya.

Tengku Zafrul sebelum ini menyelar pihak tertentu yang sibuk menghasut rakyat berkaitan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau tidak menyebut penghasut terbabit, namun dipercayai ianya ditujukan kepada pemimpin Umno, terutama Ketua Pergerakan Pemudanya, Asyraf Wajdi Dusuki, dan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, yang memperjuangkan pengeluaran one-off RM10,000 menerusi skim i-Citra, kononnya atas kehendak rakyat.

Selain pemimpin Umno, turut mendesak agar kerajaan membenarkan I-Citra dari KWSP adalah sekumpulan pencarum KWSP yang berdemo di depan ibu pejabat KWSP.

Demonstrasi itu diadakan di hadapan Ibu Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kelmarin menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran skim i-Citra one off sebanyak RM10,000 kepada pencarum.

Menurut jurucakap perhimpunan santai tersebut, Khairul Anuar Othman, pengeluaran RM10,000 penting memandangkan kesan pandemik Covid 19 yang berlarutan dan banjir besar yang melanda Selangor serta Pahang pada pertengahan Disember lalu.

“Kami adalah wakil pencarum KWSP. Pencarum KWSP mempunyai 15 juta dan hampir 10 juta yang aktif.

“Saya dan teman teman adalah pencarum tegar, kita dan pencarum datang untuk bertemu dengan CEO KWSP, kalau boleh.

“Hari ini saya ingin beritahu Perdana Menteri keluarga Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri dan juga Menteri Kewangan Tengku Zafrul untuk dengar rintihan rakyat.

“Kami pencarum dalam kepayahan dan kesusahan, bencana bukan sahaja buat kami lebih derita, bencana buat kami lebih resah. Bencana banjir tidak cukup RM1,000 bantuan oleh kerajaan. Kami ingin meneruskan kehidupan. Ada antara kami dibuang kerja, ada yang berniaga tidak boleh berniaga. Kami mengharapkan PM dan Tengku Zafrul luluskan i Citra RM10,000, one off.

“Pertimbangkanlah suara kami ini,” katanya.

Perang saudara sedang merebak dalam Umno

MALAYSIA DATELINE

Penganalisis politik meramalkan akan berlaku perang saudara dalam Umno antara kumpulan pimpinan Perdana Menteri Datuk Serti Ismail Sabri dengan Presiden Umno, Datuk DSeri Ahmad zahid Hamidi.

“Para jargon dalam Umno yang berhajat untuk kembali berkuasa nampaknya semakin terjempit.

Harapan untuk heret Pas sudah berakhir, kata Sayuti Omar.“Usaha mereka menggunakan Ismail Sabri Yaakob sebagai perantara memenuhi impian mereka gagal apabila Ismail Sabri yang kini sudah mulai diresapi zat nurtrisi perdana menteri berkeras dan tidak mempedulikan tuntutan mereka,” tulis penulis buku dan penganalisis politik Melayu, Mohd Sayuti Omar. 

Katanya, isu tuntutan I-Citra iaitu membenarkan pengeluaran wang RM1,000 oleh pencarum KWSP menjadi penunjuk pertembungan antara dua kumpulan ini.

“Para jargon ini menuntut Ismail Sabri membenarkan wang KWSP sebanyak RM10k dikeluarkan menerusi I-Citra serta melanjutkan moratarium, tetapi tidak dipedulikan Ismail Sabri.

“Ismail Sabri membuat seribu helah untuk tidak menunaikan permintaan itu,” kata Sayuti.

Bagi beliau, keengganan Ismail Sabri menuruti kehendak mereka ini dilihat sebagai fasal yang membawa kekacauan kepada Umno seterusnya.

“Ia juga dijadikan “puting” untuk mengeronyokkan Ismail Sabri,” kata beliau.

Ismail Sabri pula, katanya, semakin hari semakin kukuh dengan disokong oleh Tan Sri Mahiaddin Md Yassin, Presiden Bersatu dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Pas yang beliau namakan sebagai “Tok Dor”.

“Maka beliau (Ismail) tidak lagi perlu pedulikan seruan dan tuntutan Zahid dan gengnya.

“Apakah pengakhirannya, para jargon yang diketuai Zahid Hamidi itu akan kalah dan berakhir dengan perang saudara dalam Umno.

“Peperangan itu nanti tidak mustahil menyebabkan Ismail Sabri dan golongan menyokongnya menguasai Umno sepenuhnya atau pun akan minggak daripada Umno. Natijah dihadapi Zahid akan menangis tak berlagu dalam penjara.

“Ini adalah episod tragis Umno pada tahun ini, 2022,” kata Sayuti lagi.