Pejuang punah, MUDA terpinggir di PRN Johor

FMT Reporters

PETALING JAYA: Semua 42 calon Pejuang dan hampir semua calon MUDA kalah dalam PRN Johor malam ini – berdasarkan keputusan tidak rasmi – petanda malap untuk parti pimpinan veteran Dr Mahathir Mohamad dan anak didiknya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Keputusan itu khususnya memberi tamparan hebat khususnya kepada Pejuang, yang meletakkan harapan tinggi untuk meraih beberapa kerusi dalam usaha menjadi pesaing serius kepada gabungan besar seperti Umno-BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Berdasarkan pengiraan awal undi, MUDA kemungkinan hanya memenangi satu daripada enam kerusi yang diberikan kepadanya oleh DAP dan Amanah. Syed Saddiq kini terpaksa memikirkan strategi baharu untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Untuk Pejuang, kebergantungan kepada kuasa penarik Mahathir dilihat membawa padah apabila bekas Perdana Menteri berusia 98 tahun itu tidak dapat berkempen secara aktif setelah baharu keluar hospital akibat rawatan jantung.

Kekalahan teruk Pejuang akan menimbulkan tanda tanya mengenai kelangsungan parti itu tanpa pembabitan aktif Mahathir kerana faktor kesihatan dan usia.

Sungguhpun parti itu mempunyai anak Mahathir, Mukhriz sebagai presiden, umumnya Pejuang tidak dilihat mempunyai pimpinan yang mempunyai aura nasional dan mantap untuk menyaingi lawan seperti PH, Umno-BN, dan PN.

Justeru, Pejuang terpaksa berganding dengan parti lain untuk menjadi pesaing serius pada PRU15, namun pilihannya terhad, memandangkan beliau menolak Anwar Ibrahim (pengerusi PH) dan Muhyiddin Yassin (pengerusi PN).

MUDA yang bertanding di PRN, hanya beberapa minggu setelah pendaftarannya di sahkan, menjadi tumpuan kerana faktor penambahan lebih 700,000 pengundi baharu susulan pendaftaran automatik pengundi berusia 18 tahun.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan pengundi di Johor lebih 2.5 juta berbanding 1.8 juta pengundi pada PRU14 pada 2018.

Namun, jumlah peratus pengundi keluar mengundi yang rendah menunjukkan MUDA perlu bekerja lebih keras untuk menyampaikan mesej dan menyakinan pengundi muda untuk keluar mengundi.

Apa pun, parti setahun jagung itu boleh menjadikan kerjasamanya dengan DAP dan Amanah sebagai pemangkin menubuhkan gandingan lebih luas pada PRU 15, sungguhpun di Johor, PKR yang menjadi tonggak PH, dingin terhadap kerjasama dengan MUDA.

Laungan ‘Bubar Parlimen’ iring kemenangan BN

FMT Reporters

JOHOR BAHRU: Laungan ‘Bubar Bubar Bubar Parlimen’ berkumandang di pusat gerakan Barisan Nasional, sejurus keputusan tidak rasmi menunjukkan gabungan itu menawan Johor dengan majoriti 2/3 pada PRN malam ini.

Penyokong Umno rata-rata teruja dengan keputusan itu dan menyertai pemimpin Umno dalam mendesak supaya PRU disegerakan. Laungan itu semakin lantang di hadapan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini mahukan PRU15 disegerakan demi ‘memulihkan kestabilan politik negara’ yang terjejas sejak 2020 susulan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.

Bagaimanapun parti lawan seperti Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional tidak mahu PRU diadakan lebih awal, khususnya semasa negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

Malah PH menawarkan untuk melanjutkan memorandum persefahaman (MoU) kerjasama dengan kerajaan pimpinan Ismail Sabri dengan syarat PRU15 tidak diawalkan.

Penyokong di bilik gerakan BN memancarkan sentimen akar umbi yang mahu pimpinan Umno menggunakan kemenangan besar di Johor malam ini dan Melaka sebelumnya untuk menyusun langkah memastikan kemenangan pada PRU15.

Tak rasmi: BN menang majoriti mudah

Malaysiakini 

10.21 malam: Malaysiakini mengunjurkan BN telah menang 28 kerusi DUN, jumlah minimum yang diperlukan untuk majoriti mudah bagi menubuhkan kerajaan negeri yang baru.

Ditambah dengan sejumlah kerusi yang sedang didahului BN, gabungan itu tidak mustahil akan meraih majoriti dua pertiga dalam PRN ini. Sebanyak 38 kerusi perlu dimenangi untuk itu.

PN buat kejutan di Endau

10.15 malam: Perikatan Nasional (PN) menarik kemenangan mengejut di Endau, merampas kerusi itu daripada BN.

Sehingga kini, ia satu-satunya kerusi penyandang BN yang tewas.

Ilham Center telah memilih kerusi itu sebagai kawasan yang perlu diperhatikan atas faktor calon.

Endau ialah kerusi DUN di bawah kawasan Ahli Parlimen Mersing Abd Latiff Ahmad yang berpaling tadah daripada Umno kepada Bersatu.

Alwiyah Talib dari PN menang dengan majoriti 3,041 undi.

Dia meraih 8,433 undi berbanding BN 5,392 undi, PH 1,154 undi dan Pejuang 145 undi. Calon bebas pula mendapat 77 undi.

Ini kerusi kedua yang dimenangi PN selepas Bukit Kepong.

Wanita positif Covid-19 dikompaun RM1,000 kerana cuba mengundi

Malaysiakini 

PRN JOHOR | Seorang pegundi wanita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin dikenakan kompaun RM1,000 selepas hadir ke pusat mengundi di Dewan Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru hari ini.

Bernama memetik Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor Dr Aman Rabu sebagai berkata siasatan awal pihaknya mendapati wanita itu positif Covid-19 kategori 2.

Wanita berkenaan dikenakan kompaun pada 11.45 pagi oleh Pegawai Penguatkuasa Jabatan Kesihatan Negeri Johor bagi kesalahan pengundi positif Covid-19 hadir di tempat mengundi.

"Pihak JKN sentiasa komited menjalankan pemantauan Prosedur Operasi Standard Pilihan Raya Negeri Johor. Kami ingin mengingatkan bahawa individu positif (Covid-19) adalah dilarang untuk keluar dari tempat isolasi," katanya.

Dr Aman berkata kegagalan mematuhi arahan itu boleh dikenakan kompaun mengikut Peraturan16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2021.

Dewan Kampung Melayu adalah antara pusat mengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Larkin.

Sebelum itu, Malaysikini melaporkan pemeriksaan aplikasi Mysejahtera milik wanita berusia 30an itu yang menunjukkan tanda merah.

Memetik Free Malaysia Today, wanita itu mendakwa dia tidak mengetahui individu yang disahkan positif Covid-19 dan masih menjalani kuarantin tidak dibenarkan mengundi.

Dia berkata rakan terdekatnya memberitahu dia boleh keluar mengundi walaupun dijangkiti wabak berkenaan.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Suruhanjaya Pilihan Raya (SOP) bagi pilihan raya negeri Johor, individu yang disahkan positif Covid-19 tidak dibenarkan meninggalkan lokasi kuarantin mereka untuk ke pusat mengundi bagi mengelakkan risiko jangkitan.

SOP itu juga menyatakan pesakit dalam siasatan (PUI) dan orang di bawah pengawasan (PUS) boleh meminta kebenaran daripada pejabat kesihatan daerah untuk ke pusat mengundi bagi mengundi.

Kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan bagi setiap individu.

Presiden Umno mahu percepat PRU-15 selepas MoU tamat

FAZLI RADZI

Secara berterus terang, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan selepas memorandum persefahaman (MoU) bersama pembangkang tamat pada Julai nanti.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu mendakwa faktor ‘feel good’ yang dirasai rakyat dengan mereka kembali menyokong BN, perlu diambil kesempatan parti itu, sekali gus menyegerakan PRU-15.

Menurutnya, MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai Pakatan Harapan (PH) dengan Kerajaan Persekutuan pada September tahun lalu yang berakhir 31 Julai ini, antara lain mempersetujui PRU-15 harus diadakan selepas Julai.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mempersoal pendirian pembangkang berhubung pelaksanaan PRU-15.

“Jadi, mengapa mereka (pembangkang) berubah fikiran, kononnya PRU-15 seharusnya diadakan hingga akhir 2023 dengan MoU 2.0 mahu ditandatangani.

“Ini bermakna mereka (pembangkang) ada masalah dalaman, tak yakin dan rasa ditolak rakyat. Pada hemat saya, jangan beri masa yang panjang untuk mereka betulkan keadaan, jangan beri peluang secukupnya untuk mereka susun barisan mereka.

Presiden Umno mahu percepat PRU-15 selepas MoU tamat

BN mahu PRU-15 diadakan dalam masa terdekat.

“Rakyat telah bertukar cita rasa kepada BN. Pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14), kita lihat sekarang di dalam PRU-14 ditangguhkan lebih daripada setahun selepas kita menjuarai Sukan SEA menyebabkan tiada faktor ‘feel good’ lagi di kalangan rakyat menyebabkan BN tewas.

“Saya harap kali ini apabila faktor ‘feel good’ sudah menjadi faktor utama untuk menggamit dukungan rakyat semula maka perlulah mandat baharu di peringkat nasional diperoleh daripada rakyat untuk mewujudkan kestabilan di negara kita,” dipetik BH hari ini.

PRN Johor: Mengapa Pas-PN bahaya jika diberi undi?

ARIF ATAN

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menegaskan adalah bahaya sekiranya pengundi memberikan kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bekas pemimpin Pas tersebut berkata, PN hanya membenarkan pemikiran Islam yang dibawa oleh Pas sahaja yang betul manakala pihak lain adalah salah.

“Bahaya PN ialah apabila Pas dan PN hanya mengizinkan pemikiran Islam yang dibawa oleh Pas, baru betul.

“Islam yang dibawa oleh orang lain tidak betul. Ini berbahaya kepada masyarakat Islam.

“Mereka menganggap lain daripada Pas dan lain daripada PN adalah salah. Ini membawa kacau-bilau dalam kehidupan beragama di negara kita terutama di negeri Johor,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Kedah berkata demikian dalam Ceramah Mega Pakatan Harapan (PH) Johor kelmarin.

PRN Johor: Mengapa Pas-PN bahaya jika diberi undi?

Kehidupan beragama di negara kita dibimbangi kacau-bilau jika Pas-PN menang PRN Johor.

Untuk rekod, PN yang dikepalai Tan Sri Mahiaddin Yassin meletakkan calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sama seperti Barisan Nasional (BN).-

Daripada jumlah itu, Pas meletakkan calon di 15 kerusi manakala Bersatu bertanding di 33 kerusi dan lapan kerusi DUN lagi diwakili Gerakan. 

Dalam masa sama, Mahfuz turut mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa bahawa “kurang kesedaran politik Islam di Johor adalah punca Pas tidak mampu menawan hati penduduk negeri itu.”

“Saya melihat bahawa Pas hari ini sudah mula membawa pendekatan politik yang lebih keras,” tegas Mahfuz lagi.

'Pegawai Najib maki wartawan kerana enggan padam gambar'

Ng Xiang Yi

PRN JOHOR l Seorang pegawai yang mengiringi rombongan bekas perdana menteri Najib Razak didakwa memaki wartawan yang membuat liputan berhubung kempen BN sempena pilihan raya negeri Johor.

Kejadian dikatakan berlaku dua hari lalu ketika Najib mengiringi calon Tangkak dari BN/MCA Ong Chee Siang yang berkempen di Pusat Penjaja Tangkak Jaya.

Seorang saksi memberitahu Malaysiakini bahawa ketika Najib dan Ong sedang menjamu selera, sepasukan anggota pegawai dari jabatan kesihatan telah cuba mendekati rombongan Najib.

Seorang anggota rombongan, pegawai khas Najib Ahmad Lutfi Azhar (atas, kiri), menghampiri pegawai itu dan wartawan itu mula mengambil gambar.

“Apabila (Lutfi) menyedari seseorang sedang mengambil gambar, dia menghampiri seorang wanita yang mempunyai bukti bahawa dia adalah petugas media, dan memintanya memadamkan gambar yang diambil itu.

"Saya dengar wanita itu enggan berbuat demikian dan sebaliknya bertanyakan identiti individu tersebut. (Individu berbaju hijau itu) menjawab bahawa dia adalah pegawai Najib dan berulang kali berkata 'Najib bos saya'.

"Terjadi pertikaman lidah antara mereka dan lelaki itu mencarut terhadap wanita berkenaan. Malah, dia mendekatkan dirinya ke arah wanita itu. Dia sangat bongkak.

"Wartawan itu meminta lelaki tersebut supaya menjarakkan diri. Tetapi lelaki itu berulang kali membalas dengan carutan.(Pertengkaran) berakhir dengan kedua-duanya membuat panggilan telefon," kata saksi kejadian.

Saksi turut berkata dia berada di lokasi untuk mengambil gambar tetapi berhenti berbuat demikian kerana ketakutan selepas melihat keberangan lelaki berbaju hijau itu.

Katanya, dia kemudian mendekati pegawai jabatan kesihatan di kawasan tersebut dan mendapati mereka cuba mengeluarkan denda kepada Najib atas kesalahan yang dilakukan pada 26 Feb.

“Lelaki berbaju hijau itu tidak patut membuat kecoh dengan menghalang wartawan itu dan memakinya.

"Jika Najib melanggar protokol Covid-19, mengapa melindunginya? Ini sudah melampau kerana menggunakan perkataan sedemikian (mencarut) kepada media.

"Mungkin dia berasa tidak puas hati, tapi dia tidak sepatutnya buat macam itu," kata saksi tersebut.

Kenyataan tersebut turut disahkan oleh beberapa individu lain yang hadir di lokasi yang sama pada kejadian berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lutfi mengakui tindakannya menuntut wartawan memadam gambarnya salah.

Dia memohon maaf dan menawarkan gajinya sebulan dipotong.

Najib sedang giat berkempen untuk BN dan dia sering dilihat dikerumuni oleh orang ramai yang mahu bergambar dengannya dan diiringi dengan laungan "bossku" di kalangan penyokongnya.

PRN akan diadakan pada Sabtu ini.

Suami isteri maut terkena renjatan elektrik pemanas air

Bernama

Ketua Polis Pahang, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata terdapat kesan terbakar pada tangan isterinya dipercayai cuba mahu membantu suami yang terkena renjatan terlebih dahulu. (Gambar Bomba)

CAMERON HIGHLANDS: Pasangan suami isteri ditemui mati dipercayai terkena renjatan elektrik di dalam bilik air di sebuah rumah di Taman Puncak Tringkap, Brinchang, pagi tadi.

Ketua Polis Pahang, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata pihaknya menerima panggilan dari orang awam kira-kira jam 9.45 pagi, dan sebaik tiba di lokasi kejadian menemui kedua-dua mangsa yang terbaring di bilik air di tingkat 2, pangsapuri lima tingkat tersebut.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kami mendapati masih ada arus elektrik di sekitar bilik air dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), telah dipanggil untuk membantu mematikan arus elektrik rumah.

“Siasatan awal menemui kesan terbakar di tapak tangan isteri, 35, dipercayai terkena arus elektrik sewaktu cuba membantu suaminya, 46, yang sedang mandi menggunakan pemanas air semasa kejadian berlaku,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata menurut saksi, iaitu anak perempuan mangsa, 10, ketika kejadian ibunya sebelum itu meminta pertolongan dari bilik air supaya mengambil kayu yang dipercayai untuk digunakan sebagai penebat arus elektrik, bagi membantu bapanya yang terkena renjatan elektrik pada masa itu.

Ramli berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua mangsa berasal dari Sarawak dan bekerja sebagai buruh, mempunyai tiga anak iaitu dua orang lelaki dan seorang perempuan lingkungan umur dua hingga 10 tahun.

“Kedua-dua mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom Tanah Rata untuk bedah siasat, manakala ketiga-tiga anak pasangan tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tujuan urusan kebajikan anak-anak mangsa,” katanya dan menambah tiada unsur jenayah yang berlaku dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Penghantar makanan pecut laju motor lari selepas cuba diterkam harimau!

DANIAL HAKIM

Seorang pemuda menceritakan detik cemas dia dikejar seekor harimau belang di belakang Taman Bersekutu, kira-kira jam 8.40 malam tadi.

Mohd Syafiq, 27, yang bekerja sebagai penghantar makanan berkata, ketika kejadian, dia menunggang motosikal bersendirian baru selesai menghantar makanan seorang pelanggan yang tinggal di sebuah taman perumahan di situ.

“Saya melalui jalan itu sebagai jalan pintas untuk pulang ke rumah saya di Taman Permint kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian.

“Ketika membelok ke kanan jalan, saya terkejut melihat seekor harimau setinggi kira-kira 0.5 meter yang keluar dari kawasan semak terus cuba menerkam saya,” dipetik BH hari ini.

Pengalaman paling ngeri, penghantar makanan pecut laju motor lari selepas cuba diterkam Pak Belang!

Pengalaman paling ngeri, penghantar makanan pecut laju motor lari selepas cuba diterkam Pak Belang!

Mohd Syafiq menunjukkan kesan tapak kaki harimau di lokasi dia dikejar malam tadi. Foto: NSTP/ Rosli Ilham

Syafiq yang terkejut dengan kehadiran harimau itu, terus memecut kenderaannya dengan laju.

“Saya nekad memecut motosikal sambil berdoa agar selamat.

“Ketika menoleh ke belakang, saya dapati harimau itu masih mengejar dalam jarak kira-kira lima meter.

“Saya terus memecut sehinggalah harimau itu hilang dari pandangan dan sampai ke rumah dalam ketakutan,” ujarnya.

Syafiq berkata, dia percaya harimau itu datang dari arah hutan Bukit Bauk kerana jarak lokasi kejadian tidak jauh dari hutan terbabit.

“Bukan saya sahaja melalui jalan itu, malah penduduk di Jalan Lapangan Terbang dan Kampung Sura turut kerap melaluinya kerana ia adalah jalan pintas.

“Sebaik pulang ke rumah saya terus menghubungi rakan yang lain menceritakan perkara itu dan menasihati mereka supaya tidak menggunakan laluan itu,” katanya.

Jelasnya, pengalaman dikejar harimau itu adalah kejadian yang tidak boleh dilupakan dan dia tidak akan melalui jalan itu lagi terutamanya pada waktu malam.

“Ini bukan cerita main-main, pengalaman ini sangat menakutkan dan sekiranya saya tidak sedar dengan kemunculan harimau itu, besar kemungkinan saya akan menjadi mangsa serangannya.

“Saya menasihati orang ramai serta penduduk supaya tidak melalui kawasan itu terutamanya pada waktu malam,” tambah Syafiq lagi. 

Singapura maju kerana tiada Umno - Nik Amar TMB Kelantan

Malaysiakini

PRN JOHOR | Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah memberi analogi tersendiri ketika berkempen untuk memenangkan Perikatan Nasional (PN) menjelang hari pembuangan undi pada Sabtu ini.

Sempat meminta maaf kerana membuat perbandingan dengan Johor, pemimpin kanan PAS itu berkata Singapura jauh lebih maju berbanding negeri berkenaan.

Hal itu kerana, kata Mohd Amar, tiada Umno-BN di republik berkenaan.

"Cuba kita lihat Singapura, mana yang lebih maju antara Singapura dengan Malaysia?

"Tentulah yang lebih maju ialah Singapura. Saya meminta maaf untuk bertanya secara berterus-terang, Umno ada ke di Singapura?

"Ada BN ke di Singapura? Tak ada. Ini bermakna, jika tak ada Umno, ia menjadi lebih mudah untuk membangunkan negara," katanya seperti dipetik portal berita rasmi PAS, harakahdaily hari ini.

PAS terus menggiatkan serangannya terhadap Umno-BN di sebalik kerjasama yang terjalin di antara mereka untuk membentuk kerajaan di Putrajaya.

Pembangunan tugas kerajaan

Sebelum ini Presiden PAS Abdul Hadi Awang turut mengeluarkan kenyataan yang keras ke atas Umno-BN. Misalnya dia mengajak pengundi Johor menghukum parti berkenaan dalam PRN kali ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor, baru-baru ini juga menegaskan sesebuah kerajaan negeri yang dikuasai mereka akan stabil jika jumlah kerusi Umno kecil.

Untuk rekod, walaupun memeterai piagam Muafakat Nasional, kerjasama Umno-BN tidak kelihatan dengan jelas di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Kata Mohd Amar disebabkan Singapura begitu maju, setiap hari ada saja rakyat Malaysia menyeberangi Tambak Johor untuk bekerja di negara berkenaan.

Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata demikian ketika menyampaikan ceramah sempena PRN Johor di DUN Benut, malam tadi.

Portal itu juga melaporkan bahawa Mohd Amar mengingatkan agar rakyat Johor tidak perlu terpesona atau terpedaya dengan janji-janji politik pembangunan dibuat BN kerana ia merupakan tanggungjawab kepada sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan.

"(Jadi) Pembangunan boleh dibuat oleh sesiapa sahaja seperti jalan raya, hospital dan sebagainya.

"Sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan, dia mesti melakukan pembangunan. Oleh sebab itu, pembangunan wujud di negara komunis seperti di Rusia kerana itu adalah tanggungjawab kerajaan," jelasnya.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu juga menegaskan bagaimana Muhyiddin Yassin dikhianati oleh Umno sehingga memaksa Pengerusi PN dan Presiden Bersatu itu meletak jawatan sebagai perdana menteri.

"Di mana maruah Bangsa Johor? Itu adalah peluang pertama bagi bangsa Johor menjadi perdana menteri Malaysia.

"Tetapi Umno yang disokong oleh orang Johor dan yang berkembang di Johor telah mengkhianati kepimpinan Tan Sri Muhyiddin.

"Kerana apa? Kerana mereka mempunyai agenda politik yang tersendiri," katanya.

Justeru Mohd Amar berkata rakyat Johor perlu keluar pada 12 Mac ini dan beramai-ramai menolak Umno yang didakwanya "mengkhianati bangsa Johor sebagai perdana menteri."

'Memalukan': Bekas komando sokong Najib - Patriot

Malaysiakini

PRN JOHOR l Kumpulan veteran tentera, Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), mengecam kehadiran beberapa veteran komando yang memakai beret hijau bagi menyokong bekas perdana menteri Najib Razak semasa kempen pilihan raya Johor di Simpang Renggam, Ahad lalu.

“Tidak ada yang lebih memalukan dan dan mematahkan semangat, (daripada) untuk melihat komando veteran dari pasukan khas elit negara berhimpun bersama seorang penjenayah yang telah didapati bersalah dan dilabelkan sebagai 'memalukan negara’ oleh pelbagai laporan media (dalam dan luar negara)," kata presidennya, Mohamed Arshad Raji.

Najib pada 28 Julai dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan penyelewengan dana milik SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB.

Mahkamah Rayuan pada 7 Dis tahun lalu mengekalkan keputusan mahkamah tinggi itu. Mahkamah juga menolak dakwaan Najib bahawa dia telah bertindak atas "kepentingan negara", sebaliknya memanggilnya sebagai "sesuatu yang memalukan negara". 

Mohamed Arshad Raji, Presiden Patriot

Arshad berkata sebagai veteran pasukan keselamatan negara elit yang terlatih dan berdisiplin tinggi untuk mempertahankan negara, veteran komando sepatutnya mesti memegang teguh kepada prinsip tersebut.

"Patriot tidak mempunyai isu jika kumpulan veteran menyertai kempen politik kerana kita adalah negara demokrasi.

“Malah, walaupun kita mungkin pesara tentera atau bekas tentera, kita boleh dan mesti memainkan peranan yang membina sebagai rakyat yang bertanggungjawab dalam membentuk masa depan politik negara yang lebih baik dan kestabilannya.

"Tetapi untuk dilihat berpakaian yang boleh dikaitkan dengan Angkatan Tentera di litar kempen politik sebegitu - dan lebih-lebih lagi apabila bersama individu yang telah disabitkan kesalahan di mahkamah bukan sahaja tidak wajar dan tidak menyenangkan tetapi secara kritikal melanggar jawatan dan status terhormat Angkatan Tentera," katanya.

Najib, semasa lawatan ke Laman Simpang Renggam Ahad lalu disambut oleh jumlah hadirin yang besar, termasuk mereka yang memakai warna biru BN.

Sebahagian daripada mereka termasuk sekumpulan kecil lelaki beret hijau yang menghampiri Najib dan bersamanya.

Najib, yang adalah pengerusi lembaga penasihat BN, sering turun berkempen pada pilihan raya Johor, dan meletakkan dirinya sebagai pemimpin yang kekal popular walaupun telah didapati bersalah atas tuduhan rasuah.

Dia sedang merayu sabitan kesalahannya di Mahkamah Persekutuan.

Kempen untuk pilihan raya Johor bermula pada 26 Feb. Rakyat Johor akan mengundi pada Sabtu, 12 Mac ini.

Apa lagi yang PAS mahu, tanya Amanah

Malaysiakini

Seorang pemimpin Amanah mendakwa PAS gagal menguruskan Terengganu di sebalik dua 'tuah' yang ditakdirkan kepada mereka - sumber asli dan stesen hidro terbesar negara.

Pengerusi Biro Alam Sekitar Amanah Nasional Raja Bahrin Shah Raja Ahmad berkata dengan kelebihan yang ada itu PAS - selaku kerajaan negeri - masih tidak mampu menguruskan negeri dan rakyatnya.

Katanya nyawa lebih 100,000 penduduk bandar Kuala Terengganu terancam jika berlaku hujan lebat dan disertai hanyutan batang kayu dan balak merempuh ampangan Tasik Kenyir.

Raja Bahrin yang juga bekas pengurus projek Pelan Induk Tasek Kenyir oleh Jabatan Perdana Menteri pada 1987 menegaskan dia mengkaji sendiri peraturan dan undang-undang ditetapkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) di situ.

"Pembangunan sekitar empangan utama Kenyir di Jenagor dan empangan saddle dam (empangan pelangi) perlukan kelulusan TNB kerana keselamatannya adalah di bawah tanggungjawab agensi itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebarang pembinaan struktur besar yang hendak dibina atau diubah - termasuk kewujudan tumbuhan semulajadi memegang bumi - mesti dikaji dan dapat kelulusan sebelum dilaksanakan.

"Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar mesti tampil memberi penjelasan, khususnya dia juga ada 'abang besar' dalam kerajaan iaitu Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man, untuk membantu," katanya.

Pada 3 Mac lalu Ahmad Samsuri berkata apa yang tular di media sosial memaparkan sisa kayu terapung-apung dekat Tasik Kenyir adalah disebabkan hujan lebat, dan bukannya kesan kegiatan pembalakan di kawasan itu.

Rampas semula royalti

Tambah bekas setiausaha politik Abdul Hadi Awang itu lagi hujan terlalu lebat menyebabkan berlaku gelinciran tanah yang kemudian menyebabkan tanah runtuh dan membawa sisa kayu dan tumbuhan hanyut di Sungai Terengganu, di hilir Tasik Kenyir.

Samsuri berkata, siasatan mendapati tiada kegiatan pembalakan di kawasan itu.

Selepas memperoleh apa yang mereka hajatkan - iaitu dengan menjadi kerajaan - tambah Raja Bahrin, PAS mesti menunjukkan kewibawaan seperti apa yang selalu diuar-uarkan mereka.

"Allah bagi hasil minyak dan gas, PAS biarkan Perikatan Nasional dan Umno rampas semula royalti minyak lepas Pakatan Harapan (PH) memberikan hak itu kepada Terengganu.

"Allah menganugerahkan stesen jana kuasa hidro Sultan Mahmud di Kenyir, tapi PAS membiarkan kayu balak yang hanyut tidak diurus bertahun-tahun di tasik.

"Kedua-dua itu memberikan hasil tenaga lumayan dan besar tetapi PAS gagal memelihara kedua-duanya untuk rakyat Terengganu.

"Apa lagi yang PAS mahu?" katanya.

Hanya satu SOP kekal dalam fasa peralihan ke endemik

Raja Noraina Raja Rahim

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hanya satu prosedur operasi standard (SOP) kekal dikuatkuasakan dalam fasa peralihan ke endemik yang bermula pada 1 April ini, berbanding 181 SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebelum ini.

Menteri Kanan Pertahanan yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, penguatkuasaan SOP mengikut Akta 342 itu mengandungi 10 keperluan yang perlu dipatuhi.

Menurutnya, keperluan itu adalah memakai pelitup muka di tempat awam, waktu operasi mengikut lesen perniagaan dan menjaga kebersihan tangan.

"Antara lain melakukan ujian pengesanan Covid-19 berdasarkan Strategi Pengujian Covid-19, menguruskan kes disyaki atau disahkan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menggunakan MySejahtera serta MySJTrace untuk pendaftaran kemasukan. 

"Selain itu, memastikan penjarakan fizikal satu meter, memastikan pengudaraan dan sistem ventilasi baik, memastikan kebersihan premis serta mematuhi keperluan vaksinasi untuk aktiviti tertentu.

"Kesemua keperluan ini sudah biasa diamalkan oleh orang ramai dalam Fasa PPN, jadi saya percaya setiap lapisan masyarakat boleh terus melaksanakannya dengan sebaik mungkin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, sembilan garis panduan dibangunkan kerajaan bagi membantu rakyat membuat pilihan lebih selamat ketika menjalankan aktiviti harian demi menjaga keselamatan diri, keluarga dan orang sekeliling.

Bagaimanapun, beliau berkata, garis panduan itu tidak akan dikuatkuasakan sebaliknya amat digalakkan untuk dipatuhi masyarakat.

Katanya, garis panduan itu berkaitan pengangkutan dan perjalanan; pendidikan dan penjagaan; aktiviti peruncitan, makanan dan minuman; ruang kerja tertutup; kawasan kerja terbuka; acara, majlis, hiburan dan tarikan pelancong; hotel dan penginapan tetamu; keagamaan, perkahwinan dan pengebumian; serta aktiviti dan fasiliti sukan, rekreasi dan riadah.

"Bagi memudahkan orang ramai memahami lebih lanjut, satu laman sesawang sedang dibangunkan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sudah di peringkat akhir.

"Ia dijangka dapat diakses dua minggu sebelum 1 April sekali gus membantu mereka membuat persiapan sebelum fasa baharu bermula," katanya yang akan memaklumkan kepada umum sebaik laman sesawang boleh diakses," katanya.

Apa pendirian ‘hudud nyawa Pas’ selepas dah jadi kerajaan - Husam

ARIF ATAN

Pendirian Pas mengenai pelaksanaan hukuman syariah atau dikenali sebagai hudud yang sebelum ini diibaratkan nyawa parti tersebut kini menjadi tanda tanya.

Bekas Naib Presiden AMANAH, Senator Datuk Husam Musa menempelak pendirian Pas berhubung hukuman tersebut selepas menjadi kerajaan atau kemungkinan telah bertukar ganti dengan jawatan besar dan kekayaan dunia.

“Bukankah hudud nyawa Pas? Pas masih ada nyawa ke sekarang?

“Nyawa Pas boleh ‘digotel’ sesuka hati oleh pemimpin Pas? Sekejap on sekejap off?” soalnya merujuk pada loghat Kelantan, ‘gotel’ yang bermaksud menggentel adunan kuih menjadi bulat.

Untuk rekod, bekas Timbalan Mursyidul Am Pas Datuk Haron Din pada 2014 pernah menegaskan bahawa “hudud nyawa Pas dan ini perjuangan asas yang tidak pernah lekang” walaupun wujud pertikaman lidah antara parti itu dengan DAP berkenaan hukuman itu.

Husam persoal apa pendirian hudud nyawa Pas selepas jadi kerajaan

Husam persoal apa pendirian hudud nyawa Pas selepas jadi kerajaan

Dah jadi kerajaan, Pas dilihat bisu padahal semasa bergelar pembangkang lantang mendesak pemerkasaan undang-undang syariah.

Mengulas lanjut, Husam turut membidas sikap Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilihat mengelak daripada menjawab isu hudud ketika pemimpin Perikatan Nasional (PN) mendakwa pemimpin Pas tidak lagi bercakap mengenainya selepas menjadi kerajaan.

“Nyawa Pas sudah ditukar dgn jawatan besar dan kekayaan dunia segelintir bergelar pemimpin?

Katanya ‘tumpu masalah bekalan air dan tandas bersih dulu’. 

“Semasa Pas ‘mengamuk’ bawa Rang Persendirian 355, masalah bekalan air dan tandas bersih belum berlaku? Kena ‘press’ 355 sampai tak sempat tarik nafas?” bidasnya.

Pada 6 Mac lalu, Tuan Ibrahim yang merupakan Menteri Alam Sekitar dan Air ketika ditemui media di Kota Bharu dilapor mengelak daripada menjawab isu hudud sebaliknya meminta media menumpukan soalan terhadap isu air dan tandas sesuai dengan tujuan lawatan rasminya.

“Saya fikir kita selesaikan isu air dulu. Isu yang kita bawa kali ini adalah isu yang – walaupun orang sebut tandas – dari segi impak kesihatan ia sangat besar.

“Sebab itu kalau boleh kita fokus yang ini dulu,” dipetik Malaysiakini.

Pas sebelum ini dilihat galak mahu melaksanakan hudud dengan cadangan meminda Rang Undang-undang (RUU) 355 sehingga menuduh pihak yang menolak atau tidak menyokong RUU tersebut sebagai kafir harbi.

Sehubungan itu, Husam yang juga bekas Naib Presiden Pas dan mantan Exco kerajaan negeri Kelantan tersebut menegaskan kuasa yang dimiliki Pas dalam kerajaan sekarang adalah masa terbaik untuk pelaksanaan undang-undang Islam.

“Anugerah Allah Pas berkuasa sekarang bukan sebaik masa untuk luruskan pelaksanaan hukum syariah secara menyeluruh?

“Jika tidak sekarang, bila lagi? Sementara jargon Melayu-Islam masih terpakai.

“Atau dikenang di langit dan di bumi sebagai golongan hanya mempolitikkan hukum Allah dan penggotel-penggotel?” bidas Husam lagi.

PAS intai peluang sanggah Amanah di Johor

Hariz Mohd

Negeri-negeri selatan Semenanjung telah lama mengelak mengundi PAS. Tetapi pada tahun 2008, dibantu oleh pemimpin progresif, kedudukan sederhana dan sekutu Pakatan Rakyat ketika itu, mereka membuat satu kejutan yang belum pernah berlaku sebelum ini di Johor.

Parti itu bertapak pada pilihan raya umum 2008, memenangi kerusi DUN Maharani dan Sungai Abong di utara Johor yang terus dikekalkan pada 2013.

Bagaimanapun semua itu lenyap selepas kumpulan konservatif yang disingkirkan PAS menubuhkan Amanah dan kemudiannya merampas kerusi berkenaan pada 2018.

Selepas perjuangan solo PAS yang mahal pada pilihan raya umum 2018, parti itu kini bersama dengan Perikatan Nasional (PN) dan menyasarkan untuk memulihkan kembali cengkamannya di kerusi utara di kawasan Muar dan Bakri.

Sepanjang kempen pilihan raya Johor, PAS termasuk Presidennya Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Idris Ahmad, telah turun ke Maharani dan Simpang Jeram (dahulunya Sungai Abong).

Hadi melawat Simpang Jeram pada Ahad lalu, dia menyampaikan ceramah yang disulangi dengan khutbah agama kepada penyokongnya.

Seperti biasa, Hadi membawa naratif yang sama menyerang Pakatan Harapan (PH) dan DAP. Namun, sebahagian besar kritikannya, serta kebanyakan pemimpin PN, disasarkan terhadap BN.

BN sasaran utama

Ia mencerminkan keyakinan PN bahawa pilihan raya Johor adalah pertandingan antara BN dan PN, walaupun Amanah, di bawah panji PH merupakan penyandang di kerusi Maharani dan Simpang Jeram.

"Sebenarnya, pertandingan antara PN dan BN, bukan PH... sokongan terhadap PH merudum," dakwa Abdul Aziz Talib, 64, yang merupakan calon PN untuk DUN Maharani.

Penyandang kerusi Amanah ialah Nor Hayati Bachok bagi DUN Maharani dan Salahuddin Ayub di DUN Simpang Jeram.

Salahuddin, yang juga timbalan presiden Amanah, mengakui dia dan rakan-rakan partinya berdepan cabaran sukar.

“Bukan mudah untuk menang. Peraduan ini sangat bergantung kepada kesediaan orang ramai untuk kembali mengundi dan kadar keluar mengundi.

"Kita perlu menarik perhatian orang ramai bahawa pilihan raya ini penting. Ia bukan sahaja pilihan raya kecil tetapi pilihan raya negeri yang akan menentukan kerajaan negeri selama lima tahun," kata Salahuddin.

PH telah bergelut untuk menguatkan asas sokongannya di tengah-tengah kekecewaan berikutan keruntuhan kerajaan gabungannya pada 2020 dan ini diburukkan lagi oleh kebimbangan wabak Covid-19.

PH dan PN telah menyatakan kebimbangan bahawa peratusan keluar mengundi yang rendah akan menguntungkan BN, yang secara tradisinya mempunyai asas sokongan yang kuat dan setia.

Realiti ini telah memaksa kedua-dua gabungan memfokuskan sebahagian serangan mereka terhadap BN dan bukannya satu sama lain.

Kesamping isu MN 'terkontang-kanting'

Tetapi bagi PAS, ia juga terpaksa menangani isu utama yang dikesampingkannya, iaitu kegagalan cubaan PAS untuk membawa Umno dan Bersatu bersama-sama membentuk pakatan BN-PN pada pilihan raya Melaka November lalu, dan kini pilihan raya Johor.

Pakatan perpaduan Melayu-Islam popular di kalangan akar umbi PAS tetapi keengganan Hadi untuk meninggalkan Bersatu, sebuah parti serpihan Umno, telah menyebabkan hubungan antara Umno dan PAS merosot dengan cepat walaupun kedua-dua pernah menjulang piagam Muafakat Nasional (MN).

Tuan Ibrahim, dalam satu ceramah di Simpang Jeram, menyalahkan hubungan yang terkontang-kanting itu atas dasar berpuak-puak dalam Umno.

“Apabila dua kumpulan bergaduh, kami cuba berdamai tetapi apabila satu kumpulan melampaui batas, kami perlu bergaduh,” katanya.

Tuan Ibrahim nampaknya merujuk kepada puak yang sehaluan dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang telah mendesak siri pilihan raya baru-baru ini untuk membina momentum BN dan mengukuhkan kedudukan mereka terhadap lawan yang lebih suka bersekutu dengan Bersatu dan PAS pada pilihan raya umum ke-15.

Mohd Alim Jefri, 25, pengundi Maharani yang mengusahakan sebuah restoran keluarga, mengakui bahawa keadaan telah berubah.

“Saya rasa sebelum pilihan raya umum ke-14, ramai yang percaya PH akan menang tetapi sekarang saya lihat ramai yang menyokong BN,” katanya.

Alim berkata orang ramai bergelut dengan mata pencarian semasa pandemik Covid-19 dan ada yang mengharapkan BN untuk kestabilan ekonomi seperti pada masa lalu.

Ekonomi Johor terjejas teruk akibat sekatan sempadan yang ketat dengan Singapura akibat pandemik Covid-19.

Keputusan sukar diramal

Penjajaran semula politik di negara ini juga telah menyebabkan kekeliruan dan ketidaktentuan di kalangan pengundi.

Mohd Saufi Nasir, warga Muar berusia 25 tahun bekerja sebagai pekerja kilang berkata dia tidak pasti bagaimana untuk membuat keputusan tetapi lebih cenderung kepada BN.

“Saya akan mengundi buat kali pertama dan saya agak teruja tetapi saya keliru tentang siapa yang hendak diundi.

“Boleh jadi BN kerana ramai rakan saya sudah menyokong BN,” katanya.

Bagaimanapun, sebahagian pengundi berharap Amanah dapat bertahan.

“Bagi kawasan ini, nampaknya PH masih mempunyai harapan,” kata penjual goreng pisang, Halimah Mohd Janif, 45 tahun.

Bagaimanapun, dia berkata terdapat kebimbangan meluas mengenai pandemik Covid-19 yang boleh menjejaskan peratusan keluar mengundi.

Amanah menang dengan majoriti selesa pada pilihan raya umum 2018, memenangi Maharani dengan majoriti 5,674 undi dan Simpang Jeram dengan majoriti 7,687 undi.

Bagaimanapun Presiden Amanah Mohmad Sabu mengakui: "Hasilnya tidak dapat diramalkan," katanya.

Kerana tidak mampu menawan hati penduduk, Pas dakwa Johor kurang kesedaran politik Islam

MALAYSIA DATELINE

Dek tidak mampu menawan hati penduduk Johor, hari ini Pas mendakwa rakyat negeri itu kurang kesedaran politik Islam.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dipetik berkata, kesedaran politik Islam di negeri itu kurang berbanding di Kelantan dan Terengganu, di mana parti itu bertapak kukuh.

Katanya, Pas membuka cawangan parti di Johor lebih awal berbanding di negeri lain tetapi ia gagal mencapai matlamat diharapkan.

Kerana tidak mampu menawan hati penduduk, Pas dakwa Johor kurang kesedaran politik Islam

Pas lebih awal bertapak di Johor tetapi Pas mengakui gagal capai matlamat

“Jadi masalahnya kesedaran politik Islam kurang di Johor. Lain dengan di Kelantan dan Terengganu kerana di situ banyak guru pondok yang terlibat dengan gerakan Hizbul Muslimin yang menentang penjajah Inggeris,” katanya lapor Utusan Malaysia

“Jumlah orang Melayu di Johor begitu besar. Memang harapan Dr Burhanuddin al-Helmy (bekas Yang Dipertua PAS) kita berjaya menang di Johor (PRU 1959).

“Cuma ramalan pimpinan kita pada masa itu tidak berlaku, walaupun Johor ketika itu banyak sekolah agama, dia belajar fardu ain, sembahyang, puasa, zakat dan haji,”ujarnya lagi.

Pada PRU lalu, calon PAS tewas di 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan hanya menang di DUN Bukit Pasir.

Hadi berkata, orang Johor kini boleh menerima Pas, walaupun media tidak membuat banyak liputan tentang rekod pencapaian kerajaan Pas di Kelantan dan Terengganu.

Beliau menolak dakwaan pihak tertentu yang menuduh pemimpin PAS kini “mabuk” dengan jawatan dan elaun dinikmati mereka.

“Itu tuduhan tidak tepat. Kita pernah menyertai kerajaan, kita pernah dipecat daripada kerajaan dan kita parti yang tak mati bila keluar kerajaan. Kita terus hidup (walaupun tiada jawatan dalam kerajaan),” tegasnya.

Jika kembali aktif, Rafizi akan jadi bonus PRU15 nanti

MALAYSIA DATELINE

Desakan untuk Rafizi Ramli kembali aktif dalam politik terus kedengaran dan kali ini daripada Ahli Parlimen Subang Wong Chen.

Beliau berkata, kembalinya Rafizi akan meningkatkan peluang parti pada pilihan raya umum akan datang. 

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berundur dari politik pada Disember 2019, memetik keperluan untuk menumpukan perhatian pada projek permulaan.

Dia berkata dia berada pada tahap dalam kehidupan di mana dia “perlu belajar”.

Jika kembali aktif, Rafizi akan jadi bonus PRU15 nanti. 

Chen “Rafizi adalah ahli politik pejuang yang terbukti dan pemidato yang hebat sekaligus membantu membina imej parti yang baik.

“Jadi kami memerlukan orang seperti ini untuk kembali dalam parti.

“Saya harap dia akan kembali tidak lama lagi tetapi dia masih membuat keputusan. Bagaimanapun, dia pasti akan menjadi bonus kepada PKR,” katanya dipetik FMT.

Wong Chen berkata “bonus” sedemikian boleh melihat peluang PKR pada PRU15 menjadi “sama atau lebih baik” berbanding pada pilihan raya umum lalu pada 2018 apabila Pakatan Harapan memenangi kuasa dalam kerajaan persekutuan.

Penyokong Rafizi baru-baru ini mendesak agar beliau kembali aktif dalam politik.

Rafizi juga dilihat sebagai pencabar jawatan timbalan presiden yang kosong, kali terakhir disandang oleh Azmin Ali, yang dipecat susulan Gerakan Sheraton, yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020.

Bagaimanapun, pemimpin PKR kelihatan berbelah bahagi mengenai prospek kepulangan Rafizi, dengan beberapa seperti timbalan pengarah komunikasi PKR Selangor Zainol Abidin Mohamed mengkritik keputusannya untuk berhenti daripada politik.

Yang lain seperti ADUN Kota Anggerik Najwan Halimi berkata beliau mengalu-alukan kepulangan Rafizi kerana beliau akan dapat memainkan peranan dalam mengukuhkan parti.

‘Khemah besar’ PH tidak begitu menjadi di Johor

Zeanaaima Mohd Yusof

PETALING JAYA: Konsep “khemah besar” yang diharapkan oleh pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk menyerlahkan “kesatuan” blok pembangkang gagal ditonjolkan pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, kata penganalisis politik Azmi Hassan.

Azmi yang juga Felo Kanan Penyelidikan Strategik Akademi Nusantara berkata, petanda paling jelas adalah PKR nekad mahu menggunakan logo sendiri sementara DAP dan Amanah sepakat untuk menggunakan logo PH.

“Di Johor memang terserlah sangat bahawa idea ‘khemah besar’ itu tidak mendapat sambutan. Tapi masalahnya, dalam Pakatan Harapan sendiri, di Johor terutamanya, mereka berpecah. Menggunakan logo berlainan, menggunakan strategi Amanah (dan) DAP konsep lain, PKR dikatakan tak nak terima MUDA.

“Jadi kalau dalam Pakatan Harapan sendiri berpecah, bagaimana mereka nak menarik parti-parti lain supaya berada di bawah ‘khemah besar’ itu”, katanya kepada FMT.

PRN Johor yang dijadualkan berlangsung 12 Mac depan memperlihatkan PKR tidak berpuas hati dengan DAP serta Amanah, yang bertindak menyerahkan enam kerusi boleh menang kepada parti baharu, MUDA.

Enam kerusi tersebut adalah Puteri Wangsa, Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap and Bukit Permai.

Malah, PKR dan MUDA bertembung sesama sendiri di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin selepas gagal mencapai kata sepakat.

Pejuang dan Warisan turut “menguji” PH dengan menggunakan PRN Johor untuk bertapak dalam politik tanah air dan enggan bekerjasama dengan PH yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim itu. 

“Apa yang berlaku di Johor ini akan jadi ‘mirror’ atau cermin semasa PRU nanti jika Pakatan Harapan adalah Pakatan Harapan seperti yang sekarang,” katanya lagi.

Seorang lagi penganalisis, Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, jangan terkejut jika idea khemah besar yang diimpikan PH berhasil dengan gabungan antara parti pembangkang dengan Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN).

“Jangan terkejut tiba-tiba PN bekerjasama dengan Pejuang ataupun PH bekerjasama dengan BN…atas erti kata nak wujudkan kerajaan yang lebih stabil.

“Khemah besar ini macam-macam bentuk boleh dibuat. Orang akan melihat kestabilan. Kalau ada perebutan begini orang akan kata nak selesaikan hal ini pun tak boleh, bagaimana hal negara?,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, PRN Johor yang menyaksikan saingan sehingga tujuh penjuru membabitkan 56 kerusi DUN adalah petanda betapa berpecahnya pembangkang di negara ini.

‘Tandas lagi penting dari hudud’, warganet kecam Pas

FAZLI RADZI

Sikap Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilihat mengelak daripada menjawab isu hudud ketika pemimpin Perikatan Nasional (PN) mendakwa pemimpin parti hijau itu tidak lagi bercakap mengenainya selepas menjadi kerajaan mengundang kecaman dan sindiran warganet.

Pengguna Facebook, Zaim Samuri berpendapat ahli dan penyokong Pas sebenarnya sudah diperdaya apabila agenda hudud hanya berbangkit ketika parti diterajui Abdul Hadi berada di pihak pembangkang.

“Tandas lagi penting dari hudud. Ahli Pas kena tipulah ni? Kasihan betul. Lebai lepas dapat kuasa sembang t**i pula dia,” kecamnya.

Semalam, Tuan Ibrahim ketika ditemui media di Kota Bharu dilapor mengelak daripada menjawab isu hudud sebaliknya meminta media menumpukan soalan terhadap isu air dan tandas sesuai dengan tujuan lawatan rasminya.

“Saya fikir kita selesaikan isu air dulu. Isu yang kita bawa kali ini adalah isu yang – walaupun orang sebut tandas – dari segi impak kesihatan ia sangat besar.

“Sebab itu kalau boleh kita fokus yang ini dulu,” dipetik Malaysiakini.

'Tandas lagi penting dari hudud', warganet kecam Pas

Tuan Ibrahim Tuan Man

Susulan itu, gelaran ‘munafik haraki’ dibangkitkan Zaidi Yusoff dan secara sinis berkata, mungkin ada dalil terbaharu berhubung pendirian pemimpin Pas sekarang.

“Kalau dulu mereka yang kurang bersetuju agenda hudud diangkat jadi agenda utama dipanggil munafik haraki.

“Sekarang tak tahulah mungkin dah jumpa dalil terbaharu,” sindirnya.

Untuk rekod, panggilan ‘munafik haraki’ berleluasa diguna selain gelaran jebon, liberal, menentang ulama, tak ada tarbiyyah dan tak wala’ terhadap sekumpulan pemimpin Pas yang kemudiannya menubuhkan AMANAH.

Bagi pengguna Facebook, Rizalazmi Abdullah pula menambah isu munafik haraki sudah tidak ada pada masa ini setelah masing-masing mendapat jawatan dan pangkat.

“Agenda hudud telah ditukar pada agenda pangkatku dan jawatanku,” katanya lagi.