Impian lelaki nak jadi anjing tertunai

Hmetro

Agensi

TOCO memuatnaik di YouTube dan Twitter, gambar serta videonya menjadi anjing jenis Rough Collie. FOTO Zeppet Workshop

TOCO memuatnaik di YouTube dan Twitter, gambar serta videonya menjadi anjing jenis Rough Collie. FOTO Zeppet Workshop

Tokyo: Seorang lelaki Jepun dikenali sebagai Toco yang sentiasa ingin hidup sebagai haiwan, akhirnya 'berjaya' memenuhi impiannya itu dengan menjadi 'anjing'.

Impian itu direalisasikan bengkel kesan khas Zeppet yang menyiapkan kostum anjing ultra-realistik untuk menyembunyikan kerangka manusia dan membolehkannya berfantasi.

Odditycentral melaporkan, Zeppet mengenakan bayaran kira-kira dua juta yen (kira-kira RM690,000) kepada Toco untuk mencapai impiannya.

Keputusan akhirnya sangat mengagumkan apabila Toco bertukar menjadi anjing jenis Rough Collie malah lelaki itu dengan bangganya turut berkongsi foto dan video dirinya memakai kostum anjing itu.

"Saya rasa adalah membazir jika saya seorang sahaja yang berpuas hati (dengan hasil kostum).

"Jadi saya berkongsi kegembiraan ini dengan menyiarkan video dan gambar di Twitter serta di saluran YouTube.

"Saya tidak menjangkakan perkongsian ini memberi kesan yang hebat kepada ramai orang," katanya.

Ketika ditanya mengapa dia mahu hidup sebagai haiwan, Toco berkata, ia adalah sesuatu yang 'sukar' untuk dijawab.

Kisah luar biasa Toco menjadi tular di Jepun malah dipaparkan di rancangan televisyen nasional, seperti Nippon TV 'Sôkai jôhô variety Sukkiri!'.

Di media sosial, maklum balas tidak dapat dirumuskan dengan sesetengah orang bergelut untuk memahami keinginan Toco untuk hidup sebagai seekor anjing.

Ada pendapat yang lain mengatakan bahawa, selagi Toco tidak menyakiti sesiapa, apa yang dilakukan adalah semata-mata untuk kepuasan peribadinya.

Cikgu kongsi soalan Matematik Darjah 1, pemegang ‘degree’ pun garu kepala nak jawab

FAZLI RADZI

Seorang cikgu berkongsikan soalan Matematik topik Kombinasi Nombor bagi murid Darjah 1. Walau bagaimanapun rata-rata netizen termasuk pemegang ijazah dalam bidang Matematik garu kepala dibuatnya.

Apa tidaknya, tanpa ada simbol operasi tambah atau tolak, soalan itu didakwa Cikgu Fadli Salleh bercampur aras sekali gus.

Beliau mengakui amat sukar untuk memahamkan murid. Sepatutnya, Cikgu Fadli berkata, soalan dibina secara ansur maju.

“Satu page latih tubi macam soalan a dan b sahaja. Buat banyak-banyak soalan macam tu.

“Soalan c dan d dah berbeza tu. Terus keliru murid-murid. Tu patut buat satu page lain pula.

“Soalan e dan f beza lagi. Pun kena buat soalan dalam satu page lain. Ni campur aduk dalam satu page, pening budak-budak nak jawab, payah guru-guru nak terangkan,” katanya.

Perkongsian Cikgu Fadli itu kemudiannya dihujani komentar yang mempersoal kewajaran soalan tersebut untuk murid seawal usia tujuh tahun.

“Saya yang ada degree Matematik pun tak tau apa benda kombinasi yang dimaksudkan tu, dengan tiada simbol tambah, tolak sama dengan bagai,” kata Anis Hafiza.

Sementara itu, pengguna Facebook Mohd Ezairol Rezan Zainol berpendapat murid-murid yang baru seronok untuk belajar Matematik tidak patut ditakutkan dengan silibus yang terlalu sukar.

Tambahan pula, katanya, ramai murid Tahun 1 masih lagi merangkak untuk membaca dan mengira.

“Fobia budak-budak yang baru nak seronok belajar Matematik. Ada yang tak kena dengan orang yang buat silibus untuk Darjah 1 ni,” ujarnya lagi.

Bagi Norkamal Latif Zainuddin pula, soalan tersebut amat susah untuk diterangkan kepada murid.

“Tahun 1 ada yang baru kenal nombor menaik, menurun. Ni dah suruh congak kira-kira. Handal betul silibus sekarang,” tempelaknya.

‘Datuk glamour’ sepak, tampar, paksa amah Indonesia 60 tahun kerja tanpa gaji

Zeanaaima Mohd Yusof

Satuni (kiri) dan Yati dipukul dan tidak dibayar gaji selama mereka bekerja dengan seorang ‘Datuk’.

KUALA LUMPUR: Seorang amah warga Indonesia berusia 60 tahun, ditampar, ditendang dan dipukul di kepala dengan penyapu selain dimaki hamun saban hari oleh majikannya bergelar ‘Datuk’, sebelum berjaya melarikan diri.

Satuni (bukan nama sebenar) juga diterajang dan dipaksa bekerja oleh Datuk berkenaan walaupun tidak bermaya kerana menghidap Covid-19.

“Tenaga saya tak ada, jadi saya baring (di luar tandas), (kemudian) saya ditendang, (Datuk menjerit) bangun, jangan buat drama. Dua kali ditendang,” beliau memberitahu FMT.

Satuni kini berlindung di Kedutaan Indonesia di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, menunggu masa pulang ke kampung halaman, namun penderaan di tangan ‘Datuk’ berkenaan tidak mungkin dilupainya.

Selain penderaan fizikal, Satuni tidak dibayar walau sesen selama empat bulan bekerja di banglo milik Datuk itu di Shah Alam.

Menurutnya, majikannya adalah “wanita glamour” yang mengurus sebuah yayasan kebajikan dan pernah menghiasi muka depan pelbagai majalah gaya hidup.

Mengimbau pengalaman peritnya, Satuni berkata, dia dipukul atas alasan-alasan remeh seperti habuk dinding jatuh ke lantai dan tidak dibersihkan.

“Ambil penyapu, splass (pukul) kepala saya tiga kali”. Kata saya, “Datuk, selama saya punya majikan, tak ada garang seperti kamu,” ceritanya.

Satuni yang berasal dari Indramayu, Jawa Barat menjadi mangsa agensi pembantu rumah yang mempengaruhinya bekerja di rumah Datuk berkenaan tanpa perjanjian atau kontrak.

Masalah amah didera majikan dan ditipu agensi berkemungkinan dapat dibendung bermula minggu depan apabila semua pembantu rumah Indonesia dan majikan tempatan terikat kepada terma baharu kontrak yang dipersetujui Malaysia-Indonesia.

Antara lain amah warga Indonesia akan menerima gaji minimum RM1,500, waktu rehat secukupnya dan senarai tugasan ditetapkan.

Satuni dan ramai lagi pembantu rumah dinafikan segala kemudahan itu sebelum ini. Sebaliknya mereka menjadi mangsa penderaan fizikal, mental dan ada kalanya seksual.

“Pukul lima atau enam pagi sudah bangun (untuk bekerja) sampai pukul satu malam baru masuk (kembali) bilik. Sampai lupa mahu makan, mahu sarapan…nangis saya hari-hari,“ kata beliau.

Beliau berkata, majikannya mempunyai tiga orang anak, termasuk anak angkat bernama V (bukan nama sebenar) – yang sering menghinanya.

Satuni (kiri) dan Yati tidak sabar untuk pulang ke tanah air dan bertemu ahli keluarga yang ditinggalkan.

Satuni berkata, V akan sentiasa mengingatkan dia bahawa “saya orang miskin, menumpang, merempat di sini (Malaysia).”

Warga emas itu berkata, beliau juga pernah ditampar oleh emak V kerana menegur anaknya itu.

“Saya, kalau tak ada kawan-kawan, tak tahulah (apa nasib). Siang malam saya menangis. Kalau tengah malam pun saya menangis, terfikir-fikir anak saya,” kata Satuni.

Satuni melarikan diri ke Kedutaan Indonesia dengan rakan pembantu rumah yang diambil bekerja di rumah banglo itu beberapa bulan kemudian.

Seperti Satuni, Yati (nama samaran) turut didera dan dimarahi menyebabkan kedua-dua mereka nekad untuk melepaskan diri daripada penganiayaan itu.

“Hari-hari selalu dimarahi. Setiap detik setiap jam. Kalau Datuk mahu keluar, (saya kena) pakaikan kasut di kaki. Kalau salah sedikit, itu langsung ditendang. Pakai sepatu (kasut) enggak cepatan, langsung dilempar,” kata Yati.

Yati dan Satuni bernasib baik apabila mendapat bantuan jiran yang prihatin dengan nasib mereka.

Jiran itu menawar membawa dua wanita itu keluar daripada kawasan perumahan itu untuk dihantar terus ke Kedutaan Indonesia.

Mereka merebut tawaran itu apabila Datuk berkenaan berangkat ke Mekah mengerjakan umrah sebelum Aidilfitri, 2 Mei lalu.

Setelah tinggal di kedutaan beberapa hari, Yati dan Satuni mendapat tahu pemandu, pengawal banglo dan seorang lagi pembantu rumah, semuanya warga Indonesia, turut melarikan diri dari banglo Datuk itu.

Wakil Kedutaan Indonesia memberitahu FMT, pihaknya sedang berusaha mengambil tindakan mahkamah terhadap Datuk berkenaan untuk memberi keadilan kepada semua pekerja itu termasuk Satuni dan Yati.

Beliau berkata, terdapat 33 pekerja domestik sedang mendapatkan perlindungan di kedutaan itu susulan didera atau tidak dibayar gaji oleh majikan masing-masing.

Keluar Bersatu masuk PBM, Zuraida sekadar memindahkan ‘kubur politiknya’

SHAHBUDIN HUSIN

Keputusan Zuraida Kamaruddin bertindak keluar daripada Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), selain tidak mengejutkan dan sudah dijangka, ia juga tidak menukar hakikat masa depannya yang sedia gelap kepada terang-benderang.

Ia turut tidak menukar imej politik dirinya yang dilabel pengkhianat sejak meninggalkan PKR kepada wanita srikandi berhati suci.

Apatah lagi, dalam Bersatu yang disertainya sebaik keluar PKR, beliau tidak terkecuali terpalit dengan masalah disiplin dengan tidak hadir mesyuarat sebanyak beberapa kali sehingga diberikan surat tunjuk sebab atas perlakuan buruknya itu.

Apakah pemimpin berimej pengkhianat dan tidak mengenang budi seperti itu mampu lagi menambat hati rakyat?

Realitinya, jika melalui PKR yang memberinya ruang membina nama pun dikhianatinya, kemudian lompatan ke dalam Bersatu yang membolehkannya mempunyai mempunyai tempat bernaung sambil mengekalkan kedudukan dalam kerajaan juga tidak dihargai, penyertaan ke dalam PBM sama sekali tidak mengubah apa-apa tentang gambaran dirinya di mata umum.

Daripada PKR, Zuraida lompat ke Bersatu dan hari ini lompat lagi ke PBM

Zuraida yang sekarang menjawat jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan mungkin hilang jawatan kabinetnya itu tidak lama lagi, tetap dilihat sebagai politikus berwatak hitam yang teramat sukar untuk rakyat terus memberinya kemenangan, bukan saja di Ampang, malah di mana-mana juga kawasan yang dipilihnya untuk bertanding dalam PRU15 akan datang.

Sikap khianatnya itu akan terus diingati rakyat dan begitu mustahil rakyat mahu memberinya undi lagi yang jika itu dilakukan, bererti memungkinkannya berlaku khianat lagi.

Bak pesan orang tua-tua, anjing yang biasa mengigit tulang akan terus menjadikan tulang sebagai santapan untuk kekal kenyang.

Dengan itu, berdasarkan tinjauan serta dapatan secara umum bahawa sejak mengkhianati PKR bersama Azmin Ali dan gerombolan lainnya, beliau telah ditolak dan sukar untuk mengekalkan kerusi Ampang yang dimenanginya sejak beberapa penggal lalu, bahkan tidak jufa cerah di mana-mana kawasan yang lain, perkara itu tidak berubah pun dengan tindakannya menyertai PBM.

Sama ada kekal bersama Bersatu atau kini menyertai PBM, jika Zuraida memilih untuk bertanding lagi, yang menunggunya tidak lain melainkan hanyalah kekalahan.

Menyertai PBM dan meninggalkan Bersatu tidak mungkin meletakkan Zuraida mampu mengekalkan status dirinya sebagai Ahli Parlimen melalui parti barunya itu.

Kubur politiknya sudah tersedia setakat PRU15 saja.

Ertinya dengan keluar Bersatu dan menyertai PBM sebagaimana diumumkannya semalam, Zuraida sekadar berpindah kubur saja.

Dulu, kubur politiknya ialah Bersatu dan kini berpindah ke PBM – namun mati tetap mati.

Syafiee Tee berkucupan dengan 'wanita jadian'

Zaara Talita

am@hmetro.com.my

GAMBAR Syafitee di media sosial

Kuala Lumpur: Nama anak penceramah terkenal Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menjadi tular di media sosial apabila tersebarnya video berkucupan di media sosial.

Lebih hangat, apabila ada pihak yang mendakwa individu yang menjalinkan hubungan dengan Syafi Tee bukanlah wanita 'asli'.

Malah, individu itu turut menunjukkan tangkap layar akaun Instagram 'wanita' itu yang mendakwa dirinya bukanlah seorang wanita tulen.

Usaha Harian Metro untuk mendapatkan Syafi Tee gagal kerana tidak membalas pesanan Whatsapp dan menutup telefon bimbit tidak lama kemudian. 

Terdahulu, sebuah video berdurasi 26 saat, memaparkan seorang individu berpelukan dengan 'wanita' dan kemudian mengucupnya di bibir. 

Malah, menerusi rakaman tersebut, video aksi mesra mereka itu dimuat naik dari akaun Instagram wanita tersebut dengan kapsyen 'my memory syafitee'.

Sebelum ini, Syafi juga pernah terpalit dengan kontroversi apabila video dia sedang berpelukan dengan seorang wanita menjadi tular pada tahun lalu.

Harian Metro turut melaporkan, penceramah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menegaskan akan terus bersuara bagi menjalankan tugas menegur dan bersuara pihak yang melakukan kesalahan biarpun anaknyaterpalit dengan kontroversi panas.

Tegasnya, apa yang berlaku, tidak akan menghalangnya untuk meneruskan kehidupan ini. 

Beliau akan terus melaksanakan kewajipan sebagai seorang Muslim, menjalankan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar, sama ada secara lisan mahupun tulisan.

Ahli parlimen Ampang lompat lagi

Malaysiakini 

Zuraida keluar Bersatu, sertai Parti Bangsa Malaysia


Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata dia akan tetap menyokong Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

"Setelah membuat pertimbangan yang mendalam, saya telah memutuskan untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

"Saya mempercayai dengan perjuangan parti ini dan amat tertarik dengan enam prinsip terasnya, iaitu keterlibatan pelbagai kaum; pemberdayaan wanita; pemerkasaan anak muda; pembangunan ekonomi; peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebah negara maju," katanya.

PBM dilancarkan pada 21 Dis tahun lepas dan diketuai oleh Ahli Parlimen Julau Larry Sng. Dengan penyertaan Zuraida dalam parti itu, PBM kini mempunyai tiga ahli parlimen dan dua ADUN.

Terdapat spekulasi mengenai Zuraida keluar Bersatu sejak akhir tahun lalu, bersama-sama dengan khabar angin mengenai kepimpinan parti yang tidak sehaluan dengannya.

Spekulasi ini semakin menjadi-jadi selepas sebilangan besar anggota Penggerak Komuniti Negara - sebuah NGO yang diketuai oleh sekutu terkenal Zuraida - secara rasmi menyertai PBM.

Undur dari kabinet?

Sementara itu, Zuraida berkata dia akan bertemu Ismail Sabri tidak lama lagi untuk membincangkan peletakan jawatannya sebagai menteri perusahaan, perladangan dan komoditi.

"Saya juga akan berbincang tentang peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia. Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan perdana menteri," katanya.

Untuk rekod, Zuraida yang juga bekas naib presiden PKR bertindak keluar parti bersama sekumpulan bekas pemimpin PKR termasuk Mohamed Azmin Ali ketika "langkah Sheraton" yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Dia kemudiannya menyertai Bersatu yang dipimpin Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebelum memilih untuk menyertai PBM.

Mengulas lanjut, Zuraida turut merakamkan penghargaan kepada bekas perdana menteri Muhyiddin dan Dr Mahathir Mohamad kerana memberi kesempatan untuknya berada dalam kerajaan.

"Saya melihat banyak potensi dalam PBM, terutamanya pada masa rakyat Malaysia sudah bosan dengan politik lama, yang membantutkan negara.

"Penyertaan saya ini juga akan mengisi kelompongan kepimpinan wanita dalam negara. Sejak penubuhannya, PBM dilihat semakin kuat dan mempunyai beberapa orang ahli parlimen dan Adun dalam barisannya," katanya.

Kes rogol: Wanita nafi setuju hubungan seks dengan pembantu Adun

Alyaa Alhadjri

Pengadu dalam kes perbicaraan rogol membabitkan pembantu kepada Adun Gombak Setia, Hilman Idham menafikan dakwaan bahawa dia bersetuju melakukan hubungan seksual dengan tertuduh, yang dikenali sebagai Mohd Zulfahimin Mahdzir.

Ketika pemeriksaan balas daripada peguam bela Chris Kooi, wanita berusia 33 tahun itu tidak bersetuju dengan cadangan bahawa dia menarik Zulfahimin ke dalam bilik tidur di Dorsett Hartamas Kuala Lumpur di mana kejadian rogol itu didakwa berlaku selepas tengah malam pada 5 Dis 2020.

"Bukan dengan persetujuan saya, tidak! tidak! tidak!," tegasnya.

Malaysiakini tidak menyiarkan nama pengadu untuk melindungi identitinya.

Wanita itu tidak bersetuju dengan cadangan Kooi bahawa ada orang lain di dalam bilik tidur yang meninggalkan mereka bersendirian di mana dia sebelum itu menari secara erotik di hadapan Zulhahimin di bilik karaoke tempat Hilman menganjurkan majlis hari jadinya.

Wanita itu juga mengatakan dia tidak sedarkan diri kerana mabuk, dan bukan sekadar 'tipsy' (mabuk ringan) dengan keupayaan melakukan hubungan seksual dengan Zulfahimin.

Wanita berkenaan merupakan saksi pendakwaan keempat dalam perbicaraan terhadap Zulfahimin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Dalam keterangannya, wanita itu mengenal pasti Zulfahimin sebagai individu terakhir yang diingati berada di atas badannya sebelum dia pengsan dalam keadaan mabuk.

‘Zul meniarap atas badan saya’

Semasa prosiding di hadapan Hakim Nor Hasniah Abdul Razak, wanita berkenaan merujuk tertuduh sebagai "Zul" - orang yang dikenalinya melalui Hilman dan merupakan pembantu kepada Adun berkenaan.

"Saya nampak Zul. Ketika itu saya dapat rasakan saya di atas katil. Rasa Zul atas saya. Meniarap on top of me (di atas badan saya)," katanya ketika menjawab soalan timbalan pendakwa raya, Zilfinaz Abbas.

Dia mengenal pasti tertuduh, yang hadir di mahkamah hari ini, berdasarkan cermin mata, baju kotak-kotak berwarna merah dan biru yang dipakai pada malam kejadian, serta suaranya.

"(Saya) tanya where is Hilman, dia kata 'Hilman is okay'.

"Saya cam suara. Rasa baju saya ditarik, Zul pusingkan badan saya sebelum saya pass out (tak sedarkan diri),” katanya.

‘Saya juga tidur dengan Hilman’

Pengadu memberitahu mahkamah bagaimana dia diperkenalkan kepada Hilman melalui seorang kenalan, yang dikenali sebagai Zaki, dan kemudiannya terlibat dalam"skandal" dengan ahli politik Bersatu itu.

“Saya katakan ini skandal antara kami berdua kerana kami bertemu bukan hanya sekali tetapi beberapa kali.

"Dan saya juga pernah bersama Hilman. Panggilan seperti 'sayang' dan 'baby'...meletakkan hubungan kami seperti teman lelaki dan teman wanita," katanya.

Wanita itu berkata sambutan hari lahir itu bermula dengan makan malam diikuti sesi karaoke di lounge VVIP, di mana alkohol dihidangkan dan dia minum lebih empat kali.

“Lepas karaoke, ada masa saya tahu saya muntah. Rina tolong cuci muka.

"Saya juga masih ingat saya dengar suara Hilman. Terasa seperti jauh sangat berjalan (ketika dipapah), saya cuma cam suara dan bau perfume dia," katanya.

"Saya tidak dapat mengingati sebahagian besar daripadanya. Ada saat-saat tertentu ketika saya sedar dan yang lain saya tidak sedar.

"Seperti peti televisyen yang rosak, itulah yang saya rasakan," katanya menceritakan detik-detik di dalam bilik hotel di mana dia terjaga sekitar jam 4 pagi dan mendapati dirinya bersendirian dan berbogel di atas katil.

Dia juga masih ingat merasakan berlakunya tanda penetrasi dan pakaiannya ditemui di dalam almari pakaian, manakala kondom terpakai dibuang di bilik mandi hotel.

Zulfahimin didakwa melakukan jenayah rogol itu di sebuah bilik hotel di Sri Hartamas pada 5 Dis 2020, selepas majlis hari jadi yang dianjurkan Hilman untuk wanita berkenaan.

Pada 7 Sept lepas, Zulfahimin dilapor mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Wanita itu berkata selain Hilman dan Zulfahimin, dua rakan baiknya sejak sekolah menengah - "Mai" dan "Rina" - turut dijemput ke majlis makan malam itu.

Mahkamah juga diberitahu pengadu bahawa seorang lagi lelaki dikenali sebagai "Adi" dikatakan berada di bilik karaoke walaupun dia tidak ingat kehadirannya.

Zulfahimin menghadapi pertuduhan rogol selepas wanita berkenaan pada Januari tahun lepas memfailkan laporan polis kedua selepas menarik semula laporan polis yang awal.

Wanita itu berkata dia membuat semula laporan polis kerana dimaklumkan oleh rakan-rakan yang hadir pada parti itu bahawa Hilman telah merancang kejadian berkenaan.

Perbicaraan bersambung esok.

Ibu cedera parah ditikam anak berusia 14 tahun

N Faizal Ghazali

Seorang ibu berusia 41 tahun cedera parah pada paru-paru selepas ditikam dengan sebilah pisau oleh anak lelakinya dalam kejadian di Bukit Yong, Pasir Puteh, Kelantan, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan SAC Mohd Nor Yazhid Idris berkata polis menerima maklumat kejadian kira-kira jam 5.30 petang tadi selepas dihubungi seorang doktor yang bertugas di Hospital Unibersiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Menurutnya, doktor berkenaan memaklumkan pihak hospital menerima pesakit yang mengalami kecederaan akibat ditikam dengan pisau.

"Berdasarkan keterangan saksi, ketika kejadian mereka sekeluarga sedang tidur di rumah, termasuk mangsa dan suspek yang berusia 14 tahun di dalam bilik sama.

"Mangsa dengan tiba-tiba terasa sakit dan nampak ada sebilah pisau tertusuk pada dadanya.

"Mangsa dikatakan cuba memanggil suaminya yang tidur di bahagian ruang tamu rumah semasa kejadian.

"Mangsa kemudian tidak sedarkan diri selepas bertindak mengeluarkan pisau tersebut itu sendiri," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Mohd Nor Yazhid, sejurus selepas itu mangsa dibawa suaminya ke Hospital Tengku Anis di Pasir Puteh bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, doktor mengesahkan kesan tikaman tersebut membocorkan organ paru-paru bahagian kiri dan perlu dirujuk ke untuk rawatan lanjut kerana mangsa kehilangan darah yang banyak.

"Hasil siasatan awal polis mendapati mangsa telah ditikam menggunakan sebilah pisau yang diambil dari dapur.

"Suspek berusia 14 tahun merupakan pelajar di sebuah sekolah itu mengalami demam sejak dua hari lalu dan memerlukan pemantauan daripada ibunya," katanya.

Sementara itu Mohd Nor Yazhid juga mengesahkan suspek berjaya ditangkap dan akan direman bagi siasatan lanjut.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, manakala mangsa dirawat di zon merah HUSM.

'Saya dah tua, malu saya dengan Tuhan kalau buat provokasi itu'

Norzamira Che Noh

am@hmetro.com.my

ZAINOL pada sidang media susulan kejadian tular di media sosial dia dipukul seorang lelaki. FOTO Faiz Anuar

Shah Alam: Warga emas yang tular dipukul lelaki di jalan raya berhampiran jejantas di Padang Jawa, dekat sini, Ahad lalu, membuat keputusan memaafkan pemuda terbabit.

Zainol Din Hussain, 61, berkata, walaupun insiden berkenaan memberi kesan kepada kesihatannya yang mana dia mengalami kecederaan di muka, badan serta tulang rusuk, dia berlapang dada memaafkan pemuda berusia 23 tahun itu.

"Saya seikhlas hati memohon maaf sekiranya ada silap saya dan saya berlapang dada untuk memaafkan dia kerana tidak ingin kejadian ini berulang lagi pada masa akan datang.

"Saya juga merasa sedih dengan apa yang dilakukannya yang mana dia baru berusia 23 tahun iaitu di peringkat umur anak saya. Walaupun saya sedia memaafkannya, perkara ini saya serahkan kepada pihak polis untuk tindakan sewajarnya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa dia menunjukkan isyarat tidak senonoh sehingga membuat lelaki itu berang, Zainol Din menafikan perkara itu dan memaklumkan dia tidak akan melakukan perkara sebegitu apatah lagi dirinya adalah warga emas.

"Umur saya sudah 60 lebih dan ada penyakit buah pinggang. Saya kena malu dengan diri sendiri dan Tuhan sebelum membuat provokasi sebegitu.

"Secara jujur saya tak buat benda tu dan saya juga tanyakan kepada isteri yang ada bersama adakah saya buat sedemikian secara tidak sengaja kepada pemuda itu dan dia kata tidak ada," katanya.

Mengulas lanjut, pesara swasta itu juga menafikan bahawa dia memanggil penduduk kampung untuk memukul pemuda itu.

Katanya, orang kampung kenal dengannya yang sudah 30 tahun tinggal di kampung di situ dan ketika itu mereka cuba menyelamatkannya daripada terus dipukul.

"Saya memang tiada masa hendak panggil orang kampung masa tu. Kejadian terlalu pantas dan di luar kawalan saya. Orang kampung ke tempat kejadian sebab mereka kenal saya dan cuba untuk membantu saya, jadi dakwaan saya memanggil mereka untuk memukul pemuda itu adalah salah," katanya.

Mengulas mengenai insiden itu, Zainol Din berkata, ketika itu dia bersama isteri serta cucunya dalam perjalanan ke rumah besannya di Putrajaya dan Ampang untuk berhari raya dan ketika sedang menaiki jambatan, dia terdengar jeritan seterusnya memberhentikan kereta.

"Sebagai orang tua, saya ingat saya melanggar dia atau dia melanggar kereta saya jadi saya berhenti. Saya tidak pasti apa yang dijeritkan pemuda itu. Saya cuma nampak dia patah balik dan terus terajang saya," katanya.

Pada Ahad lalu, satu rakaman menunjukkan seorang lelaki sedang memukul warga emas tular di media sosial dan susulan kejadian itu, lelaki berkenaan ditahan pihak polis untuk tindakan lanjut.

Penyokong kecewa dengan keputusan Mujahid terhadap Asyraf Wajdi

NASUHA RAHMAN

Susulan kes saman yang difailkan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa terhadap Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi, diselesaikan secara baik ramai dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan iaitu AMANAH menzahirkan rasa kecewa.

Ini kerana isu yang dicanang Asyraf Wajdi adalah isu Tabung Haji yang dilihat bukanlah isu kecil di mana ia telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang Melayu Islam terhadap Menteri Agama ketika itu, Dr Mujahid.

“Isu Tabung Haji ini bukan isu kecil, ia telah menimbulkan kemarahan menggila oleh orang Melayu kepada Menteri Agama pada ketika itu.

“Ini semua berpunca daripada tindakan pemimpin seperti Asyraf Wajdi yang mencipta persepsi jahat dengan kisah dongengnya berkaitan isu Tabung Haji.

Penyokong kecewa dengan keputusan Mujahid terhadap Asyraf Wajdi 

Mujahid terima keputusan Asyraf Wajdi iaitu setuju tarik balik tuduhan terhadap beliau

“Mujahid berjiwa besar, namun kadangkala aku rasa terlalu berjiwa besar,” kata Faeez Azahar.

Sebelum itu, Mujahid melalui facebooknya berharap pihak lain tidak lagi mencetuskan kemarahan dan kebencian khususnya kepada sahabatnya Asyraf Wajdi.

Kata Mujahid, mereka perlu menghormati prinsip lebih besar iaitu islah perdamaian lebih baik.

“Pilihan itu harus menjadi benchmark bukannya berterusan dalam kebencian dan permusuhan selamanya. Semoga semua kita menyusuri jejak Rahmatan Lil Alamin mengambil berkat Jalan Rasullallah,” ujarnya.

Dengan perkongsian posting itu, Mujahid dihujani komen-komen kecewa daripada penyokong AMANAH antaranya menyifatkan Mujahid terlalu berlembut dengan pemfitnah.

“Yb terlalu berlembut dgn pengfitnah.. sampai bila2 pun mereka xkan insaf.. lepas ni buat pulok.. sepatutnya teruskan saman supaya menjadi pengajaran kpd mereka dan kepada pemfitnah yg lain,” komen M Rajoli Al Qlantani.

“Sejak dulu ambe dah tau endingnya begini, tapi ramai yg tak tau dan masih sakit perut lagi sebab makan pengat taik yg Dr Asyraf masak tu,”kata Ali Hanafiah Mohamed.

“Toya lah…. orang bawah jenuh cover hang, senang2 hang pi buat setel…,”komen Rosly Yusof.

“Fitnah dah tertanam. Nak pulihkan bukan mudah,” komen Mady Abdul Sani sambil meletakkan emoji sedih.

“Banyak kali dato difitnah dan dihina tp masih berlembut dgn puak2 ni sdgkan mereka tidak pernah insaf,”kata Mohd Azizi Ahmad.

“Anda memang berjiwa besar bersedia memaafkan orang yang telah memfitnah kamu. Tetapi kerana fitnah itu akhirnya rosak dan berpecah-belah masyarakat yang mempercayainya,” komen Rosli Abdul Ghani.

Tidak kurang juga ada yang memuji sikap berjiwa besar Mujahid terhadap Asyraf Wajdi.

“Tahniah Datuk Seri. Yang batil akan tewas jua,” komen Fazzly Hussyn.

“Alhamdulillah. Semoga Allah Swt melimpahkan rahmat dan kesejahteran keatas…Dr,” kata Su Suraya.

“Terbaik YB…YB seorang yg berhati mulia dan berjiwa besar…,” kata Mizi Yahaya.

Lebih 500 komen yang ditanggalkan para penyokong di posting berkenaan dan lebih 240 telah dikongsi.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah merekodkan penghakiman persetujuan selepas bertemu kedua-dua pihak di kamar mahkamah hari ini.

Dalam persetujuan tersebut, Asyraf Wajdi selaku defendan bersetuju untuk memadam dan menarik balik hantaran di Facebook beliau tentang dakwaan penjualan aset-aset strategik Lembaga Tabung Haji (TH) bernilai RM2.6 bilion.

Mujahid berharap tidak lagi wujud sebarang tohmah oleh mana-mana pihak yang mengaitkan dirinya dengan sebarang dakwaan kononnya beliau telah meluluskan penjualan saham Tabung Haji di dalam syarikat Tenaga Nasional Berhad ketika beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Agama.

Wanita tahu dirinya lelaki selepas 20 tahun

Agensi

RANDA. FOTO Al Ekhbariya TV

Riyadh: Seorang wanita di Arab Saudi, terkejut apabila mendapat tahu bahawa dia sebenarnya adalah lelaki, 20 tahun selepas dilahirkan.

Ia difahamkan berpunca daripada 'kesilapan perubatan', lapor Gulf News yang memetik media negara itu.

Menurut Al Ekhbariya TV, individu itu tidak mengetahui bahawa dia sebenarnya mempunyai alat sulit lelaki yang tersembunyi di dalam abdomennya.

Ketika dilahirkan di sebuah hospital di sini, dia dikesan mempunyai ketidaknormalan pada bahagian alat sulit.

Namun, doktor pada masa itu menyangka jantina bayi berkenaan adalah perempuan dan keluarga memberinya nama sebagai Randa.

Apabila usianya meningkat, Randa pelik apabila dia tidak mempunyai ciri-ciri remaja perempuan yang akil baligh seperti rakannya yang lain.

Apabila pergi ke hospital dan menjalani pemeriksaan menyeluruh, dia didapati mempunyai alat sulit lelaki yang tersembunyi di dalam bahagian abdomennya.

"Pada mulanya, ia perasaan yang sangat pelik, seperti mereka berbohong kepada saya. Tidak logik untuk saya kerana saya seakan bermula dari kosong. Nama baharu, identiti baharu, tiada kawasan, tiada saudara," kata Randa.

Menurutnya, doktor mengesyorkan supaya dia menjalani pembedahan untuk mengeluarkan alat kelamin lelaki pada badannya itu.

"Doktor mencadangkan saya ke United Kingdom untuk pembedahan itu. Tetapi, pihak berkuasa berkaitan menolak dokumen perjalanan saya," katanya.

Menurut Al Ekhbariya TV, keluarga Randa sudah mengemukakan aduan terhadap Kementerian Kesihatan, namun sehingga kini masih belum ada maklum balas.

Bapa gadis itu berkata, dia cuba berhubung dengan pihak hospital di mana Randa dilahirkan, tetapi masih tiada jawapan.

‘Lelaki gelap’ bogel cabul pelajar universiti diburu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis sedang mengesan lelaki yang disyaki terlibat kes cabul seorang pelajar wanita sebuah universiti swasta dalam kejadian di Jalan Batu Hijau, Kampar, Perak, kelmarin.

Dalam kejadian 9 malam itu, mangsa berusia 19 tahun mendakwa dipeluk suspek dari belakang ketika dalam perjalanan dari rumah ke kedai di kawasan berhampiran.

Ketua Polis Daerah Kampar, Mohamad Nazri Daud berkata, mangsa yang terkejut dengan tindakan suspek menjerit sebelum lelaki itu melarikan diri ke dalam kawasan semak.

Nazri berkata, pada masa sama, seorang lelaki yang juga penuntut universiti sama yang melihat kejadian segera membantu mangsa.

“Menurut pelajar terbabit, suspek yang tidak dikenali itu berkulit gelap dan tidak memakai pakaian. Ketika kejadian, dia berjalan seorang diri untuk pergi ke kedai.

“Berikutan keadaan sekeliling yang agak samar-samar, mangsa tidak dapat mengecam suspek namun memaklumkan lelaki itu berkulit gelap,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Pelakon didakwa anak pendakwah berpelukan, bercium?

SAIRUL ZAMRI MISRANI

PETALING JAYA – Tular sebuah video memperlihatkan seorang pelakon lelaki yang dipercayai anak pendakwah bebas popular sedang bercium hingga mengundang kecaman netizen dalam media sosial.

Menerusi video berdurasi 26 saat yang tular dalam TikTok itu, individu berkenaan dilihat sedang mesra berpelukan dengan wanita tidak bertudung selain turut mengucupnya pada bibir.

Dipercayai wanita dalam video tersebut merupakan kekasih hati pelakon berusia 29 tahun itu memandangkan terdapat foto mereka berdua yang digunakan sebagai gambar profil.

Aksi mesra mereka itu turut dimuat naik dalam akaun Instagram wanita berkenaan dengan menggunakan kapsyen khas.

Percubaan Kosmo! Online untuk mendapatkan kesahihan dan jawapan daripada pelakon tersebut tidak berhasil apabila dia tidak mengangkat dan membalas mesej.

Terdahulu, aktor yang sama turut pernah terpalit dengan kontroversi apabila video dia sedang berpelukan dengan seorang ‘wanita’ tular sekitar hujung tahun lalu.

Tampil menjelaskan perkara tersebut, pelakon tinggi lampai berkulit cerah itu berkata, individu yang dipeluknya itu bukanlah seorang wanita.- KOSMO! ONLINE