Siapa yang bohong Setiausaha Pas Selangor atau Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor

Kenyataan Setiausaha Pas Selangor tidak tepat dan tidak pernah berlaku, kata istana

SITI NUR ZAWANI MISCON

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Pas Selangor selepas dipanggil menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah, adalah sama sekali tidak tepat serta tidak pernah berlaku.

Menerusi laporan yang disiarkan sebuah portal berita pada 16 Jun, Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir antara lain berkata, mereka dihubungi pihak istana kerana baginda Sultan ingin mengetahui pendirian Pas dalam perayaan Bon Odori.

“Baginda ingin tahu pendirian kami dalam perayaan Bon Odori. Baginda memberi pandangan dan kami juga sampaikan kepada baginda bahawa kami menghormati pendirian baginda,” kata Roslan.

Bagaimanapun Mohamad Munir berkata, kenyataan itu sama sekali tidak tepat.

“Adalah ditegaskan bahawa kenyataan ini tidak tepat sama sekali dan tidak berlaku sebenarnya ketika Pesuruhjaya Pas Selangor menghadap Sultan Selangor pada tarikh berkenaan,” katanya.

Jelas Mohamad Munir, pada sesi menghadap itu, Sultan Sharafuddin hanya menyatakan tentang pendirian baginda tidak menyekat festival kebudayaan Jepun Bon Odori yang akan diadakan di Selangor.

“Pada pandangan baginda hanya berunsur kebudayaan semata-mata.

“Baginda juga tidak menghalang mana mana orang Islam untuk menghadirinya sehinggalah satu kajian mendalam dilakukan terhadap festival berkenaan sama ada ianya berunsur keagamaan atau kebudayaan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat khususnya masyarakat Islam,” jelasnya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Beliau berkata, dalam sesi menghadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan Shah Alam pada petang 14 Jun itu, turut dititah hadir bagi menyaksikan pertemuan itu adalah beberapa orang Ahli Dewan di-Raja Selangor termasuk Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Tedahulu, Dr Ahmad Yunus dalam kenyataan memaklumkan pertemuannya bersama Sultan Selangor pada Selasa lalu hanya untuk mendengar titah baginda dan tiada sebarang perbincangan berlaku antara beliau dan Sultan Sharafuddin.

Bagaimanapun Roslan Shahir berkata, mereka telah dihubungi pihak istana memandangkan Sultan Sharafuddin ingin tahu apakah pendirian terhadap pesta yang akan diadakan di Kompleks Sukan Shah Alam, 16 Julai ini.

SIAPA DUA PEMIMPIN PKR BERTEMU AZMIN, ADAKAH ANWAR TAHU PERTEMUAN ITU?

Shahbuddin Husin 

Dilaporkan media hari ini bahawa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali telah mengadakan pertemuan sulit dengan dua pemimpin PKR.

Pertemuan itu didakwa berlangsung di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pada Rabu 15 Jun lalu iaitu tempat di mana berlakunya gerakan politik “Langkah Sheraton” yang menjatuhkan kerajaan PH pada 2020 lalu.

Ia berlangsung selama satu jam, kata satu sumber mengenai pertemuan tersebut sebagaimana didedahkan oleh sebuah portal berita.

Pertemuan Azmin dengan dua pemimpin PKR itu berlangsung di tengah-tengah pelbagai spekulasi tentang kedudukan dan masa depan bekas Timbalan Presiden PKR tersebut dalam Bersatu.

Spekulasi mengenai Azmin tambah hangat berikutan sekutunya selama ini, Zuraida Kamaruddin telah mengumumkan keluar Bersatu pada 26 Mei lalu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia atau PBM.

Azmin bagaimanapun dalam kenyataan terbarunya menyatakan komitmennya untuk kekal dalam Bersatu yang dipimpin oleh Mahiaddin Md Yasin.

Sehingga ini tidak dapat dipastikan apakah tujuan Azmin mengadakan pertemuan dengan dua pemimpin PKR itu.

Apakah ia untuk membuka laluan bagi Ahli Parlimen Gombak itu kembali bersama PKR?

Atau adakah pertemuan itu dengan tujuan agar Bersatu dan PKR dapat saling bekerjasama dalam PRU15 akan datang yang sifir politik paling mudah difahami di sebaliknya ialah agar Azmin mampu mengekalkan lagi kerusi Parlimen Gombak yang dipegangnya sekarang?

Namun di peringkat awal ini, sementara tujuan sebenar pertemuan itu kekal misteri, yang paling ingin diketahui ialah siapakah dua pemimpin PKR yang bertemu dengan Azmin itu

Atas restu siapa mereka bertemu dengan Azmin atau ia hanya pandai-pandai dua pemimpin itu saja?

Adakah PKR, khususnya Anwar Ibrahim selaku Presiden parti tahu tentang pertemuan tersebut?

Atau adakah selepas pertemuan dengan Azmin itu, kedua-dua pemimpin PKR tersebut ada memberi sebarang laporan kepada Anwar?

Ataukah mereka senyap begitu saja sehingga sekarang?

Begitu pun, oleh kerana Azmin adalah dianggap pengkhianat nombor wahid di mata ahli-ahli PKR yang bukan saja tindakannya telah menumbangkan kerajaan PH, malah paling keras menolak Anwar sebagai Perdana Menteri untuk menggantikan Tun Mahathir Mohamad, bekerjasama dalam apa bentuk sekali pun dengan beliau boleh dikata ditolak sepenuhnya.

Jauh lebih ditolak ialah sebarang usaha untuk membawanya kembali menyertai PKR semula.

Ahli-ahli PKR lebih mahu melihat karier politik Azmin berakhir dengan kekalahan di Gombak dalam PRU15 akan datang, seterusnya nyawa politiknya juga akan “tutup suis” sekali berbanding menjalin sebarang kerjasama dengannya.

Untuk itu, dua pemimpin PKR yang bertemu dengan Azmin itu bukan saja ingin benar diketahui siapa identitinya, bahkan ada yang tidak sabar mahu melabelnya pengkhianat juga.

Azmin sudah mengkhianati kita, kalau sesiapa mahu memberi nyawa kepadanya, maka orang itu adalah sama-sama pengkhianat, kata seorang ahli PKR dengan agak marah.

Apa kata dalam hal ini, dua pemimpin PKR itu segera tampil dan membuat penjelasan sebenar tentang pertemuan dengan Azmin itu sebelum nama mereka akhirnya terdedah dengan sendirinya.

Berani buat, takkan tak berani tanggung? 

Terapung dalam keadaan berpelukan

Siti Rohana Idris

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Dua pelajar sebuah pondok di Pasir Tumboh di sini, yang hilang di Sungai Machang, Limbat, petang semalam ditemukan lemas, jam 8.40 pagi ini.

Mayat Muhammad Zul Hafiz Azman, 18, dan Luqman Hakim Azman, 16, dijumpai terapung dalam keadaan berpelukan kira-kira 20 meter (m) dari lokasi kali terakhir mereka dilihat tenggelam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh, El Taraff Mohd Zachariah berkata, mayat kedua remaja lelaki itu ditemukan orang awam yang turut membantu dalam misi mencari dan menyelamat (SAR).

"Kami memulakan SAR pada 8 pagi tadi dengan membuat pencarian di permukaan menggunakan bot dalam radius 200 m di sekitar lokasi dan belum sempat melakukan selaman.

"Pada 8.40 pagi tadi, mayat kedua-dua mangsa ditemukan terapung dalam keadaan berpelukan oleh orang ramai tidak jauh dari lokasi mangsa dilihat kali terakhir," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kejadian petang semalam, dua remaja itu menyertai sembilan lagi rakan dari pondok yang sama untuk mandi di sungai terbabit kira-kira 5 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, semua remaja terbabit dipercayai keluar daripada pondok tanpa kebenaran pihak pengurusan.

"Saksi memaklumkan ternampak seorang daripada mangsa tenggelam berdekatan dengan tempat dia mandi, manakala seorang lagi dihanyutkan arus, seterusnya tenggelam.

"Mereka dipercayai kali pertama mandi di kawasan itu dan kedua jenazah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk proses bedah siasat," katanya.

Bapa dakwa anak nyaris diculik lelaki berjubah putih

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menyiasat dakwaan seorang bapa mengenai anak perempuannya berusia enam tahun hampir diculik di Kampung Krubong, Melaka, petang semalam.

Ketua Polis Melaka Tengah, Christopher Patit, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada bapa kanak-kanak itu berusia 45 tahun mendakwa anaknya hampir diculik ketika pulang mengaji, 6 petang.

Beliau berkata, ketika kejadian anaknya bersama kakak serta seorang lagi anak saudaranya berjalan pulang ke rumah dan tiba-tiba ditegur seorang lelaki memakai jubah putih serta berkopiah menaiki kereta dipercayai Proton Persona berwarna perak.

“Lelaki tidak dikenali itu kemudian menarik tangannya masuk ke dalam kereta. Menyedari tindakan itu, kakak dan sepupunya kemudian merentap baju lelaki terbabit menyebabkan suspek terus beredar meninggalkan lokasi,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, terkejut dan takut dengan kejadian, ketiga-tiga kanak-kanak itu berlari menyelamatkan diri ke rumah saudara yang terletak berhampiran.

Sementara itu, Christopher berkata, bapa mangsa memaklumkan ada orang awam sempat melihat nombor pendaftaran kereta dinaiki suspek namun semakan mendapati ia adalah palsu.

“Semakan dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati nombor pendaftaran didaftarkan atas kenderaan Nissan Cefiro dan motosikal Honda.

“Sehubungan itu, kami meminta kerjasama orang awam yang melihat kejadian atau mempunyai rakaman segera tampil menyalurkan maklumat,” katanya.

Rogol adik, OKU yang kudung kaki kanan dipenjara 14 tahun, 8 sebatan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki kurang upaya (OKU) yang kudung kaki kanan dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini selepas mengaku bersalah merogol adik kandungnya, Nov tahun lalu.

Berita Harian melaporkan, tertuduh, seorang penganggur berusia 21 tahun yang bertongkat membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan persetubuhan dengan mangsa yang berusia 13 tahun ketika kejadian dan perhubungan itu tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama dan adat untuk berkahwin dengan remaja itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Ketereh, antara 10 hingga 11 malam, pada 1 hingga 7 Nov 2021.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Wan Nurul Hanini memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh sudah mengaku perbuatan keji dilakukan terhadap adik kandung sendiri.

“Ketika kejadian, mangsa berusia 13 tahun dan masih tidak dapat membezakan baik atau buruk sesuatu perbuatan.

Perbuatan itu meninggalkan kesan trauma kepada mangsa dan sepatutnya tertuduh memberi teladan yang baik dan menjaga maruah adiknya,” katanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh merogol adiknya Nov tahun lalu dan mengugut akan memukul mangsa sekiranya memaklumkan kejadian kepada orang lain.

Pada 28 Apr lalu, mangsa pergi ke Klinik Kesihatan Lundang Paku, di sini, kerana tidak sihat dan pada masa sama, ibunya berusia 46 tahun menyuruh mangsa supaya memeriksa di bahagian perut yang dijalankan oleh pegawai perubatan.

Mangsa kemudian dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, sebelum pemeriksaan di Hospital Kajang, Selangor mengesahkan mangsa mengandung.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun terhadap tertuduh bermula dari tarikh ditangkap, iaitu pada 3 Jun lalu dan lapan sebatan.

Save Kelantan dapat perhatian umum, ada mula ketar lutut, jadi medan rakyat mengadu

MOHD SAYUTI OMAR

Malam tadi telah berlangsung peluncuran Save Kelantan dengan penyerahan “watikah” kepada ketua-ketua zon atau kawasan.

Hampir semua zon atau kawasan dibentuk mengikut sempadan Parlimen telah menerima watikah masing-masing yang disampaikan pengerusinya Husam Musa. Majlis berlangsung di Tanah Merah.

Dengan peluncuran Save Kelantan peringkat negeri itu nampaknya NGO tersebut serius. Wajarlah kalau ada pihak tertentu khasnya daripada parti agama sendiri khususnya Mohd Amar mula berasa ketar lutut.

Ada juga yang membuat komplot agar Husam diambil tindakan oleh partinya. Kata Mohd Amar, Save Kelantan sebenarnya untuk save Husam agar terus bernilai dalam politik.

Dengan pelantikan ketua-ketua Save Kelantan di seluruh zon atau kawasan itu sudah jelas dan terang ke mana gerakan berkenaan untuk dipancukan selepas ini.

Sama ada ia diprejudiskan sebagai agenda politik indvidu atau sebaliknnya, yang nyata Save Kelantan mendapat sokongan dan perhatian umum, menjadi tempat rakyat yang susah, dianiaya memanggung.

Setidak-tidaknya apa yang dilakukan oleh NGO itu terarah kepada membela nasib rakyat dan negeri Kelantan.

Gerakan dipancukan Save Kelantan lebih ke depan hatta berbanding parti-parti pembangkang di Kelantan termasuk PTC.

Lelaki mengamuk di lebuh raya positif dadah

TANGKAP layar video tular seorang lelaki mengamuk di Kilometer 253, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Kuala Kangsar Ahad lalu. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL

ASLIZA MUSA

IPOH: Lelaki yang tular mengamuk di Kilometer 253, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Kuala Kangsar Ahad lalu, didapati berada di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek berusia 36 tahun itu positif dadah jenis ganja.

Katanya, lelaki warga tempatan itu diberkas kelmarin di rumahnya di Taman Setapak Permai, Kuala Lumpur.

“Suspek direman empat hari bermula semalam. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri hari ini bagi tujuan pendakwaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 283 Kanun Keseksaan (bahaya atau galangan di jalan awam atau di haluan pelayaran awam).

Terdahulu, video berdurasi 26 saat yang tular di media sosial itu memaparkan seorang lelaki berdiri di samping sebuah kereta yang diberhentikan di lorong kanan lebuh raya.

Lelaki terbabit yang kelihatan ‘lalok’ itu mengamuk dan menendang bahagian hadapan sebuah kereta lain yang melalui jalan tersebut. – UTUSAN

Bukan mudah beri Pengampunan Diraja untuk kluster mahkamah kena hukuman penjara dulu

A. KADIR JASIN

Andaian popular adalah para pembesar Umno/BN daripada kluster mahkamah mahu supaya Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan lebih awal bagi mengelak masuk penjara dan mendapat pengampunan Diraja.

Tetapi kalau diperincikan, ia tidaklah semudah itu. Pertama sekali belum tentu Umno/BN menang sehingga boleh membentuk kerajaan sendiri macam sebelum PRU 2018 dan kembali bertindak sesuka hati.

Kedua, kemenangan dalam pilihan raya kecil serta pilihan raya negeri di Melaka dan Johor tidak menjamin Umno/BN boleh mengubah aliran kemerosotan yang dideritainya sejak PRU 2008.

Dan ketiga, tidaklah semudah itu untuk membatalkan siri perbicaraan ke atas para pembesar Umno/BN yang sedang berjalan sekarang dan memberi pengampunan diraja kepada mereka. Risikonya amat besar. Umno mungkin hancur dan institusi-institusi terlibat akan ditentang secara terbuka oleh banyak pihak.

Selain kepemimpinan kerajaan, proses pengampunan akan melibatkan Peguam Negara, Kehakiman, Perdana Menteri, Lembaga Pengampunan dan Yang di-Pertuan Agong.

Pengampunan Anwar Ibrahim pada tahun 2018 sering disebut sebagai duluan (precedent) bagi mengampunkan Mohd Najib Abdul Razak dan gengnya dalam kluster mahkamah.

Bukan mudah beri Pengampunan Diraja untuk kluster mahkamah kena hukuman penjara dulu

Anwar pernah jalani hukuman penjara lebih 3 tahun, kesalahan tidak membebankan negara berbeza dengan Najib Tun Razak

Tapi mereka sengaja lupa yang Anwar telah menjalani hukuman penjara selama lebih tiga tahun mulai 2015. Lagipun, kesalahan beliau tidaklah membebankan negara dan rakyat jelata dengan hutang berbilion-bilion ringgit seperti yang dilakukan oleh Mohd Najib dalam SRC International dan 1MDB.

Penyokong kluster mahkamah sengaja lupa atau tidak tahu bahawa Almarhum Datuk Harun Idris juga telah menjalani hukuman penjara dalam kes pecah amanah Bank Rakyat sebelum diberikan pengampunan. Beliau dipenjarakan pada tahun 1977 dan dapat pengampunan hanya pada 1982. Itu pun bersama-sama 62 banduan lain bersempena ulang tahun ke-25 kemerdekaan negara. Harun tidak ambil duit untuk dirinya sendiri tapi untuk pentaskan tinju Muhammad Ali-Joe Bugner di Kuala Lumpur pada tahun 1975.

Begitu juga dengan Almarhum Mokhtar Hashim yang membunuh musuh politiknya, Almarhum Mohamad Taha Talib pada tahun 1982. Dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada tahun 1983 dan pada tahun berikutnya diberikan pengampunan kepada penjara seumur hidup. Pada tahun 1991, dia diberikan pengampunan kedua dan dibebaskan setelah sembilan tahun dalam penjara. Dia menembak mati Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan itu sebelum PRU 1982.

Bukanlah semudah seperti digambarkan bagi Yang di-Pertuan Agong (atau Raja-raja Melayu yang lain serta Yang di-Pertua Negeri) memberi pengampunan. Beban tanggungjawab di bawah undang-undang adalah sangat berat kerana ia adalah hak mutlak Baginda. Akhirnya Bagindalah yang memikul beban tanggungjawab dan risiko tindakan tersebut, bukan Perdana Menteri atau Lembaga Pengampunan. Mereka hanya memberi nasihat kepada Baginda.

Kalau kita masih ingat, hatta pengampunan Anwar itu pun pernah cuba dicabar atas isu prosedur dan sama ada ia “free pardon” (pengampunan tanpa syarat) atau “full pardon” (pengampunan penuh). Menurut peguam Nimalan Devaraja yang menulis dalam skrine.com pada 2018, Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada “free pardon” dalam beberapa peruntukan tetapi tidak pernah menggunakan terma “full pardon”.

Kesimpulannya, pengampunan bagi Mohd Najib dan gengnya (sekiranya kereta didapati bersalah oleh semua peringkat mahkamah) bukanlah sesuatu yang automatik atau telah terpahat di atas batu, tidak kiralah sama ada Umno/BN menang atau kalah.

Lagipun menurut Devaraja yang memetik Perlembagaan Persekutuan, permohonan pengampunan pengampunan hanya boleh dibuat setelah seseorang banduan menjalani hukuman empat, lapan, 12 dan 16 tahun daripada tempoh dipenjarakan dan setiap tahun selepas itu.

Itu belum diambil kira dinamik politik negara dan Umno sendiri. Dalam Umno pun bukan semua mahu kluster mahkamah dibebaskan atau diampunkan. Sudah pun nampak ada kelompok yang lebih suka jika sesetengah atau semua anggota kluster mahkamah dipenjarakan sebagai salah satu cara membersih dan menyembuhkan semula parti itu.

Padah berasmara di balkoni

Hmetro 

Hong Kong: Polis berjaya menahan seorang wanita yang berasmara bersama pasangannya di balkoni sebuah flat selepas video mereka tersebar luas.

Polis mengesahkan, wanita berusia 36 tahun itu ditahan oleh pegawai dari unit siasatan jenayah Sau Mau Ping di luar bangunan kediaman Jalan Muk Tai berhampiran stesen MTR Kai Tak, Selasa lalu.

Katanya, suspek ditahan kerana disyaki melanggar kesopanan awam yang membawa kepada hukuman penjara sehingga tujuh tahun.

Polis mula menyiasat kes itu selepas menemui video yang tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki dan seorang wanita melakukan kelakuan tidak senonoh di balkoni sebuah flat di bangunan Jalan Muk Tai.

Wanita itu dibebaskan dengan ikat jaminan dan dikehendaki melaporkan kepada polis bulan depan.

Polis masih kini masih menjalankan siasatan dan giat mencari pasangan wanita itu.

Sementara itu, seorang peguam, Albert Luk Wai-hung berkata, kesalahan tidak senonoh di khalayak ramai di bawah Ordinan Jenayah adalah lebih sesuai untuk kes ini daripada kesalahan kesopanan awam yang memalukan.

Katanya, di bawah bawah ordinan itu, seseorang yang tanpa kebenaran atau alasan yang sah, di mana-mana tempat awam atau menunjukkan kepada orang ramai secara tidak senonoh dengan mendedahkan mana-mana bahagian anggota badannya boleh dihukum penjara sehingga enam bulan dan denda 1,000 dolar Hong Kong (kira-kira RM560.79).

"Balkoni disifatkan sebagai kawasan persendirian, tetapi melakukan hubungan seks dan mendedahkan tubuh mereka secara tidak senonoh di situ jelas dilihat oleh orang ramai.

"Perbuatan mereka melanggar undang-undang.

"Mereka yang menyiarkan video itu dalam talian juga boleh didakwa kerana menerbitkan artikel lucah di bawah Ordinan Kawalan Perkara Lucah dan Tidak Senonoh yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan denda 1 juta Dolar Hong Kong (RM560,786)," katanya dalam portal Asia One.

Dua budak lelaki, raba, cium penunggang motosikal wanita di jalan raya

KOSMO!

TANGKAP layar memaparkan senario dua budak lelaki mengganggu penunggang motosikal wanita ketika berhenti di jalan raya. - Instagram

JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia kerana memaparkan tindakan dua budak lelaki meraba dan mencium punggung seorang wanita yang sedang menunggang motosikal, lapor laman berita Detik semalam.

Video tersebut dimuat naik dalam akaun Instagram @sedulur_solo.

Rakaman memaparkan penunggang wanita itu sedang berhenti di jalan raya semasa lampu isyarat bertukar merah. 

Dua kanak-kanak lelaki kemudian dilihat bermain-main berhampirannya. 

Wanita yang membonceng di belakang diganggu oleh budak lelaki itu apabila seorang daripada mereka menyentuh punggungnya,  manakala yang lain menciumnya. 

Kejadian dikatakan berlaku di simpang jalan Pasirkaliki-Sukajadi, Bandung.

Setelah video tersebut tular di media sosial, Unit Polis Perkhidmatan Awam Bandung pergi ke lokasi kejadian tetapi tidak menemui dua kanak-kanak itu. Bagaimanapun, polis memanggil penjaga mereka untuk disoal siasat keesokan harinya.

Video itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen.

“Kalau saya sudah terajang budak lelaki itu,” tulis seorang netizen.

“Kalau aku jadi kakak itu, sudah pukul mereka,” komen netizen lain. – Agensi