Annuar: Ada lagi pemimpin Umno akan dipecat

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen Umno berkata, terdapat beberapa nama lagi “dalam senarai menunggu” untuk dipecat selepas dicap sebagai musuh politik.

“Namun kali ini, pemecatan demi pemecatan berlaku dan difahamkan ada lagi beberapa nama yang sudah ‘dicap’ sebagai musuh politik, bakal dipecat,” kata Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa di Facebook.

Annuar adalah salah seorang pemimpin Umno yang dipecat daripada jawatan setiausaha agung BN pada Januari tahun lalu.

Justeru, beliau memberi amaran bahawa tindakan menggugurkan Tajuddin Abdul Rahman daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan mengundang kepada krisis dan perpecahan dalam parti.

Katanya, tindakan menggugurkan duta besar Malaysia ke Indonesia itu bercanggah dengan semangat dan resolusi Perhimpunan Agung Umno (PAU) dan Perhimpunan Agung Umno Khas.

“Meskipun ada peruntukan bagi presiden memecat ahli MKT yang dilantik, namun tindakan itu tidak membawa kebaikan malah jarang dilakukan oleh mana-mana presiden Umno.

“Ketika Tun M (Dr Mahathir Mohamad), terdapat menteri, timbalan menteri dan MKT yang menentang beliau secara terbuka, namun tiada sesiapa digugurkan hanya kerana tidak menyokong presiden,” katanya.

Terdahulu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan keputusan menggugurkan Tajuddin daripada MKT disebabkan tindak-tanduk beliau yang mengkritik parti.

Bagaimanapun, Zahid tidak menghuraikan punca pengguguran itu, sebaliknya meminta wartawan mengajukan soalan berkenaan kepada Ahli Parlimen Pasir Salak tersebut.

“Kena tanya beliau sendiri. Apa kenyataan beliau telah buat, apakah bahan-bahan ucapan beliau atau ceramah atau bahan-bahan yang telah beliau nyatakan dalam mesyuarat tertutup,” katanya yang dipetik sebagai berkata,

Pada masa sama, Zahid juga menegaskan bahawa perlembagaan parti tidak memberikan Tajuddin sebarang ruang untuk merayu terhadap pengguguran jawatan itu.

“Rayuan untuk keahlian boleh dibuat tetapi rayuan untuk sesuatu jawatan yang dilantik saya fikir tidak ada,” katanya.

Saintis muslim kemuka 7 hujah tepis dakwaan bina menara setinggi 15 km

AYHAN FERHAT

Sekumpulan saintis muslim mengemukakan 7 hujah bagi menepis dakwaan seorang penceramah berkenaan pembinaan sebuah menara setinggi 15 km (10 batu) ketika zaman Firaun.

Baru-baru ini tular sebuah video seorang penceramah yang dikenali dengan nama Ustaz Wadi Annuar yang disiarkan oleh saluran Youtube Al-Kahfi Production pada Oktober 2021 namun telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial tentang logik binaan menara setinggi 15 km yang mana ia melebihi ketinggian gunung Everest.

Sehubungan itu, sebuah page Facebook yang dikenali Ini Sains Beb tampil menepis dakwaan tersebut dengan menyenaraikan tujuh hujah yang disepakati oleh pakar dalam bidang sains.

Berikut adalah 7 hujah saintis muslim;

Kami terserempak dengan satu dakwaan seseorang yang mengatakan Firaun pernah membina sebuah Menara setinggi 15 km (10 batu). Terkejut dengan dakwaan itu, sebagai saintis Muslim kami segera merujuk kepada rakan-rakan yang fasih. Rata-rata mereka menolak dakwaan tersebut serta berkongsi sumber-sumber tafsir yang menguatkan pendirian mereka. Kami pun lega dan bersetuju.

Tapi kami ingin menyentuh isu ini melalui perspektif sains. Adakah mungkin binaan setinggi itu dibina 3000-4000 tahun lepas tanpa bantuan teknologi moden? Kami kongsikan 7 hujah yang meragui kemungkinan tersebut:

1.Udara terlalu nipis pada ketinggian 15km

Secara umumnya, pada ketinggian 2.1km, manusia akan mengalami kesukaran bernafas kerana udara semakin nipis. Kerana itulah pendaki gunung biasanya memerlukan alat bantuan pernafasan pada altitud tinggi. Pada ketinggian 8km, tubuh manusia tidak lagi boleh berfungsi tanpa oksigen yang cukup. Ketinggian ini dikenali sebagai Death Zone oleh para pendaki gunung.

Untuk perbandingan, ketinggian Gunung Everest adalah 8.8km dari aras laut.

Untuk membina menara setinggi 15km itu, semestinya mereka akan memerlukan alat untuk membolehkan mereka bernafas. Teknologi itu masih belum wujud lagi, kerana sekiranya ada, pasti ada rekod penggunaannya, sekurang-kurangnya dalam bentuk lukisan, syair atau kisah-kisah turun termurun. Ini kerana sekiranya manusia mempunyai alat bantuan pernafasan di zaman itu, sudah pasti mereka akan meneroka ke dasar laut juga!

2.Keadaan atmosfera yang melampau

Pada altitud tinggi, atmosfera bumi tidak lagi sesopan seperti di aras laut. Pada ketinggian 10 km, kelajuan angin adalah selaju 20-25 m/s (72-90 km/j)! Cuba bawa kereta dan buka tingkap pada kelajuan tersebut dan bayangkan apa yang berlaku. Kalaupun anda boleh bekerja membina menara tanpa terbang ditiup angin, anda akan mengalami kesukaran bercakap kerana bunyi angin yang terlalu kuat.

Ini ditambah lagi dengan suhu yang dianggarkan -56.5 darjah Celsius, pekerja perlu memakai pakaian panas sambil bekerja di atas permukaan yang licin akibat lapisan ais (frost). Macam mana nak kerja tu?

3.Kemampuan kudrat manusia

Pernah panjat tangga bawa barangan runcit naik ke tingkat 10? Kalau satu tingkat setinggi 4 meter, menara ini adalah setinggi 3,750 tingkat. Bayangkan memanjat lebih 93,000 anak tangga sambil membawa bahan binaan dan alat pertukangan. Pada kelajuan biasa, anda memerlukan 26 jam untuk mendaki menara tersebut tanpa berhenti rehat!

4.Teknologi bahan binaan yang masih kuno

Berdasarkan teknologi yang sedia ada di zaman itu, mereka akan menggunakan bata tanah liat (clay brick) beserta bitumen sebagai mortar. Pada skala bangunan domestik, tiada masalah. Tetapi untuk struktur super-masif ini, ia perlu dibina secara khusus. Ini kerana bata tanah liat ini lemah apabila berdepan dengan cuaca sejuk beku. Apabila ia menyerap lembapan dan lembapan itu membeku, ia akan menyebabkan dinding itu rapuh, retak dan roboh. Tidak ada bukti bahawa tamadun zaman itu sudah mempunyai pengetahuan untuk membina binaan kalis beku.

5.Rekabentuk menara yang terlalu besar

Bagi memastikan menara ini kukuh setinggi 15 km, maka tapaknya akan menjadi sangat lebar bagi menjamin kestabilan puncaknya yang tinggi. Ini bersandarkan kefahaman mereka membina piramid menggunakan bahan binaan pada zaman itu, yang mana semakin tinggi strukturnya, semakin lebar tapaknya.

Dan semestinya apabila ia semakin besar, lebih banyak bahan binaan diperlukan dan ini akan menjadikannya terlalu berat. Bagi menampung berat yang melampau ini, ia akan memerlukan asas yang besar, kukuh dan dalam bagi mengelakkan pergerakan (pengesotan, penyesaran atau pemendapan) tanah. Keadaan tanah adalah antara sekatan utama teknologi masa kini yang menyebabkan kita tak dapat membina bangunan melebih 1 km pada hari ini, apatah lagi 4,000 tahun yang lalu.

6.Tiada kesan peninggalan

Kalau menara dan asasnya pernah dibina, maka kita mesti boleh cari kesan peninggalannya. Para arkaeologis pasti akan dapat mencari kesan runtuhan struktur super-masif itu menggunakan pengimejan satelit, G.I.S (Sistem Geoinformasi) dan sebagainya. Para arkeologis sudahpun menemui runtuhan ziggurat Etemenanki yang kerap dikaitkan dengan mitos Menara Babel di selatan Iraq. Namun ahli akademik moden berpendapat berdasarkan struktur asas dan keadaan tanah, ziggurat itu tidak melebihi 70 meter tinggi. Jadi untuk struktur setinggi 15 km yang memerlukan tapak dan asas yang sangat besar, sudah tentu lebih mudah dicari.

7.Kos masa dan tenaga yang tidak munasabah

Katalah kos kewangan bukan isu besar bagi Firaun tersebut, tetapi kos masa dan tenaga juga perlu diambil kira. Piramid Giza setinggi 146m memerlukan 100,000 buruh untuk membinanya dan mengambil masa 20 tahun. Bekalan tenaga buruh ini perlu berterusan, kerana bukan semua 100% buruh itu akan dapat bertahan selama 20 tahun. Buruh yang mati perlu diganti. Mereka perlukan makan dan tempat tinggal selama 20 tahun tersebut.

Berapa lama mereka akan perlukan untuk membina menara 15 km tinggi? 20 tahun = 150m, maka 15,000m = 2,000 tahun!

Mungkin lebih efisien jika buruh-buruh itu terus tinggal di atas menara yang sedang dibina. Berpuluh-puluh generasi duduk di atas sana tak perlu turun ke bawah. Kalau begitu, bagaimana bekalan makanan mereka? Najis nak buang di mana? Siapa nak uruskan kebajikan pemerintah yang menyuruh buruh-buruh itu bekerja? Koordinasi kerja macam mana? Di mana nak cari bekalan tanah liat berjuta tan untuk digunakan sebagai bahan binaan? Bata tanah liat itu dibakar di mana? Dari mana nak dapat kayu api untuk membakar bata itu selama 2,000 tahun?

Saintis muslim kemuka 7 hujah tepis dakwaan bina menara setinggi 15km

Berapa generasi Firaun perlu mewarisi tugas mengetuai pembinaannya sebelum dapat merasa duduk di atas menara 15 km tinggi tu agaknya?

Jadi berdasarkan 7 hujah di atas, kami berpendapat bahawa peradaban manusia masih belum mempunyai kemampuan untuk membina struktur setinggi 15 km. Sebagai perbandingan, penerbangan komersial terbang setinggi 9 hingga 11km, dan bangunan tertinggi di dunia setakat ini, Burj Khalifa, hanyalah 0.83km sahaja sementara yang kedua tertinggi, Menara PNB118 setinggi 0.64km.

Cuma perlu diingat, ini adalah pandangan dari sudut sains dan pembuktiannya. Kami tidak mengulas tentang mukjizat, sihir, ilmu ghaib dan fenomena magik.

Rujukan: George, A. (2007) “The Tower of Babel: Archaeology, history and cuneiform texts” Archiv für Orientforschung, 51

Pickthal, M. (1996) “Quran” (in English), Suras 28:36 and 40:36–37. Amana Publishers

Darack (2002). Wild winds: adventures in the highest Andes. p. 153. ISBN 978-1-884980-81-7.

Berat pedang Nabi 980 kg? Jangan fitnah Nabi kita!

WAN AMIR

Kita tidak mahu agama Islam diketawakan dan dikeji serta menjadi fitnah pula kepada Baginda Rasulullah.

Tiada siapa menolak karomah dan mujizat para Nabi tetapi janganlah pula menokok tambah.

Tentang besi, Allah turunkan untuk kegunaan umat manusia seperti firman Allah SWT maksudnya:

“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia.” (Al-Hadiid 57:25)

Besi ketumpatannya ialah 7.85g/cm3. Bahan paling berat di dunia ini ialah Osmium 22.5g/cm3 hampir 3 kali ganda lebih berat daripada besi.

Ukuran pedang-pedang Nabi ialah 99 cm hingga 140 cm dengan lebar 8 cm hingga 10 cm.

Katakan tebal pedang ialah 0.8 cm, dan ukuran panjang 140 cm dan lebar 10 cm, maka isipadu pedang ialah = 0.8 x 140 x 10 = 1,120 cm3

Berat pedang = Isipadu x Ketumpatan:

= 1,120 x 7.85

= 8,792 gram

= 8.792kg

Mana mungkin berat pedang Nabi 180 kg dan 980 kg?

Walhal 8.792 kg itu pun sudah terlalu berat kerana rata-rata berat pedang Nabi ialah 2 kg.

Janganlah membuat kenyataan menjadi satu fitnah kepada Baginda Rasulullah.

Jika saya ambil pengiraan 980 kg, berapa panjang dan tebal pedang Nabi?

Takan panjang 155 meter?

Jarak antara tiang lampu jalan ialah 40 meter.

Takkan pedang Nabi sepanjang 4 batang tiang lampu?

Saya mohon jangan memfitnah Nabi kita.

Keputusan PKR tepat, pengkhianatan tidak harus dimaafkan

SHAHBUDIN HUSIN

Di sebalik spekulasi yang belum ada jawapannya sehingga kini bahawa Azmin Ali dilaporkan ada bertemu dua pemimpin PKR di Hotel Sheraton, Petaling Jaya baru-baru ini, parti itu malam tadi dengan pantas membuat ketetapan tidak akan berunding atau menjalin sebarang kerjasama dengan beliau.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, keputusan itu kerana Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu dianggap sebagai punca utama berlakunya pengkhianatan Langkah Sheraton.

Tambah beliau, parti juga membuat keputusan agar saf kepimpinan baru ini perlu bergerak pantas, sederap dan dalam satu pasukan yang kukuh bagi menghadapi musuh-musuh politik Keadilan pada PRU15 akan datang.

Beberapa hari lalu media melaporkan Azmin dikatakan bertemu dengan dua pemimpin PKR di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.

Pertemuan itu segera menimbulkan spekulasi kebarangkalian untuk mewujudkan kerjasama antara beliau dengan PKR atau kemungkinan dianya kembali semula ke pangkuan parti demi survival politik masa depannya.

Azmin bagaimanapun tidak menafi dan tidak juga mengesahkan berlaku pertemuan itu, sebaliknya hanya mengatakan beliau tidak ingat hotel mana yang dikunjunginya dan siapa ditemuinya pada minggu lalu.

“Sheraton Hotel? Saya pergi banyak hotel, saya tidak ingat hotel yang mana,” katanya ringkas.

Nampak sangat Azmin sebenarnya cuba berselindung kerana mustahil beliau tidak ingat siapa pemimpin PKR yang ditemuinya di sebuah hotel pada minggu lalu.

Mungkin boleh diterima akal kononnya beliau tidak ingat jika hotel yang dikunjunginya dan orang PKR ditemuinya sepanjang minggu lalu melebihi 100 orang jumlahnya.

Jika hanya ada dua pemimpin PKR yang ada berjumpanya pada minggu lalu dan hotelnya pun satu saja, mustahil beliau tak boleh ingat?

Agak-agaklah kalau ia pun nak membohong dan menipu orang ramai.

Apa pun jawapan Azmin dan sama ada pertemuan beliau dengan dua pemimin PKR itu betul-betul berlaku atau sebaliknya, keputusan MPP parti malam tadi adalah paling tepat dan wajar sekali kerana sudah sampai masanya Azmin dilupakan begitu saja.

Pengkhianatannya tidak harus dimaafkan, jauh sekali ada kewajaran bagi PKR memberinya sebarang ruang untuk menumpang bagi tujuan beliau mengekalkan lagi kerusi Parlimen Gombak yang sedang disandangnya.

Selepas ini jangan ada lagi mana-mana pemimpin PKR yang cuba berjumpa atau berunding dengannya. Keputusan malam tadi mestilah muktamad dan “tutup buku” buat Azmin.

Azmin yang kini bersama Bersatu harus dibenam karier politik masa depannya dengan PKR sebaik-baiknya segera mengenalpasti calon berwibawa yang boleh merampas kembali kerusi Parlimen Gombak.

Dengan bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Khir Toyo sendiri mengakui PH masih ada kekuatan yang sukar dikalahkan di Selangor, tambahan lagi Parlimen Gombak adalah kerusi separa bandar yang memiliki pengundi campuran, Azmin dalam hal ini pasti sangat sedar awam hitam lebih menyelubungi kariernya ketika ini.

Sekadar ada Bersatu dan disokong oleh Pas, ia belum cukup kuat untuk Azmin mengekalkan kemenangan di Gombak yang diraihnya sebelum ini bersama PKR.

Maka itu, PKR tidak harus berlengah dalam menyusun langkah dengan penuh keyakinan untuk merampas kerusi Parlimen Gombak, seterusnya menghukum karier seorang pengkhianat biar mereput bersama dosa pengkhianatannya selepas PRU15 nanti.

PEMIMPIN RASUAH?: Kenali mereka yang dicatat dalam lejar UKSB

story-image

Low Choon Chyuan

Amalan rasuah yang melibatkan ahli politik negara kita terus menerus didedahkan menerusi pelbagai dakwaan di mahkamah.

Sejak akhir-akhir ini, beberapa nama ‘besar’ dikaitkan apabila seorang saksi memberi keterangan semasa perbicaraan rasuah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, berhubung sistem visa luar negara (VLN) di Mahkamah Tinggi di Shah Alam, Selangor.

Lejar rahsia Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), yang mengandungi nama kod dan butiran dakwaan pembayaran yang dibuat syarikat itu kepada beberapa individu antara 2014 dan 2018, telah dikemukakan di mahkamah sebagai bahan bukti.

Antara nama lain yang didedahkan termasu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Keterangan itu menyaksikan pemimpin Pakatan Harapan, Umno dan Bersatu membuat pelbagai kenyataan, dan SPRM membuka kertas siasatan.

Dalam siri Panduankini, kali ini kami akan menjelaskan skandal berkenaan lejar UKSB ini.

Apa yang didedahkan semasa perbicaraan Zahid?

Lejar UKSB mendedahkan beberapa ahli politik yang didakwa menerima bayaran daripada syarikat tersebut. Saksi-saksi yang memberi keterangan termasuklah pengarah UKSB Fadzil Ahmad (saksi ke-14), bekas pengarah Harry Lee (saksi ke-15) dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani (saksi ke-16) serta bekas pengurus pentadbirannya David Tan Siong Sun (saksi ke-17).

Bagaimanakah UKSB terlibat?

Syarikat UKSB adalah sebuah syarikat yang menjadi tajuk perbicaraan kes rasuah Zahid, yang melibatkan sistem visa negara.

Ia ditubuhkan pada 2009, berfungsi mengendalikan visa Malaysia untuk warga asing dan VLN (Visa Luar Negara atau Perkhidmatan Visa Asing) yang diluluskan oleh kerajaan sebelum ini dan digunapakai di China, India, Nepal dan Myanmar.

Mahkamah diberitahu bahawa Wan Quoris adalah pemegang saham terbesar, dengan 40 peratus kepentingan dalam syarikat itu, diikuti oleh HRL Capital Sdn Bhd dan Seri Optima Sdn Bhd, masing-masing memegang 20 peratus kepentingan.

Dalam keterangannya, Tan berkata syarikat itu mendapat dana dari Hong Kong untuk membayar Zahid dan dia terpaksa meminta rakan niaga syarikat berkenaan di sana untuk mendapatkan dana tersebut kerana UKSB tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk menampung pembayaran.

Bekas pengurus pentadbiran itu memberi keterangan bahawa wang yang digunakan UKSB untuk bayaran bulanan dan bayaran sekali dibuat tidak diambil daripada akaun UKSB.

“Dana dari Hong Kong itu akan disalur ke Malaysia melalui pengurup wang di Kuala Lumpur sebelum diserahkan kepada saya dalam bentuk tunai.

"Selepas menerima tunai itu, saya akan menyimpannya di dalam peti keselamatan terlebih dahulu dan apabila tiba masa untuk membuat penghantaran, saya akan mengeluarkan jumlah yang diperlukan dan memasukkannya ke dalam sampul,” kata Tan kepada mahkamah.

Dia juga berkata dia pernah menghantar beg berisi RM3 juta kepada Zahid di kediaman rasminya, di Seri Satria di Putrajaya.

Apa mengenai lejar rahsia UKSB?

Lejar UKSB direkodkan oleh Tan, yang bertanggungjawab menyediakan wang tunai untuk dihantar kepada Zahid mulai Oktober 2014 hingga Ogos 2018.

“Saya membuat lejar dengan menggunakan Microsoft Excel pada komputer riba peribadi saya. Saya bukan seorang akauntan, jadi lejar itu hanyalah rekod wang yang masuk, ataupun wang yang keluar,” katanya.

Tan berkata, bahawa catatan utama dalam lejar itu adalah jumlah yang tersedia untuk setiap bulan, jumlah yang dikeluarkan dan nama atau kod nama panggilan penerima yang dimaksudkan.

“Individu yang dinamakan dalam lejar itu termasuk menteri, ahli politik dan penjawat awam.

“Selalunya, saya akan masukkan catatan setiap hari tetapi pada hari-hari yang sibuk, saya akan catat pada sehelai kertas terlebih dahulu sebelum memasukkan butiran dalam lejar pada keesokan harinya atau pada hari berikutnya,” katanya.

Tan juga berkata dia menggunakan kod nama kerana bimbang lejar itu mungkin bocor atau jatuh ke tangan orang lain.

Siapa mereka dan apa yang mereka dapat

Ahli politik yang disebut dalam lejar UKSB adalah mereka yang masih bersama Umno atau sudah meninggalkan atau keluar dari parti itu.

Selain Zahid, nama lain yang didedahkan adalah Muhyiddin, yang juga bekas perdana menteri, Khairy, Menteri Pertahanan Kanan Hishammuddin Hussein, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican, Presiden Warisan Shafie Apdal dan bekas menteri luar Anifah Aman.

Ahmad Zahid Hamidi

Walaupun nama penuh Zahid tidak dicatatkan dalam lejar UKSB, kod nama seperti "monster, “young boy”, "yb", "z", "zh" dan "mon" dalam fail merujuk kepada presiden Umno berkenaan, yang ketika itu adalah menteri dalam negeri.

Menurut saksi Wan Quoris, syarikat itu membayar Zahid bermula 2014 hingga 2018 untuk mendapatkan kontrak daripada Kementerian Dalam Negeri.

Lee, bekas pengarah UKSB memberi keterangan bahawa syarikat tersebut membayar S$200,000 sebulan pada 2014 dan bayaran itu meningkat kepada S$520,000 sebulan pada 2017.

Muhyiddin Yassin

Kod nama “TSM” yang direkodkan dalam lejar UKSB merujuk kepada Muhyiddin, yang dilantik sebagai menteri dalam negeri semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

Tan memberi keterangan bahawa syarikat itu telah memberikan RM1.3 juta kepada Muhyiddin sebagai bayaran tunai pada 4 Jun, 4 Julai dan 23 Ogos 2018.

Dalam maklum balas segera, Muhyiddin mempertikaikan keterangan itu, dan berkata pada Julai 2018, dia telah menjalani pembedahan kanser serta bercuti selama beberapa bulan.

Khairy Jamaluddin

Mahkamah dimaklumkan bahawa kod nama “KJ”, “Alamak” dan “Bukit Damansara” yang direkodkan dalam lejar UKSB merujuk kepada menteri kesihatan itu.

Wan Quoris dalam keterangannya berkata, bahawa syarikat itu menyumbang sebanyak RM50,000 hingga RM200,000 kepada Khairy semasa dia menjadi menteri belia dan sukan.

Katanya, sumbangan berkenaan disalurkan kepada Umno bahagian Rembau dan tidak diberikan terus kepada Khairy yang juga dikenali sebagai KJ, yang ketika itu adalah timbalan ketua bahagian Rembau.

Sementara itu, Tan turut mengesahkan Khairy dibayar RM3.7 juta seperti yang dicatatkan dalam lejar.

Wan Quoris seterusnya memberi keterangan bahawa Khairy tidak terlibat dalam kes VLN.

Reezal Merican Naina Merican

Walaupun tidak diketahui apakah kod nama Reezal dalam lejar tersebut, laporan forensik daripada SPRM menunjukkan dia telah menerima antara RM200,000 dan RM300,000.

Hishammuddin Hussein

Keterangan mahkamah tidak mendedahkan sebarang kod nama bagi menteri ini.

Bagaimanapun, menurut bekas kakitangan Jabatan Hal Ehwal Imigresen, Djuliana Jamaludin, Hishammuddin telah memberikan kelulusan permohonan UKSB sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China untuk tempoh konsesi selama tujuh tahun.

Shafie Apdal

Kod nama “MOR” dalam lejar UKSB merujuk kepada Shafie, yang ketika itu merupakan menteri pembangunan luar bandar dan wilayah.

Bagaimanapun, tiada butiran mengenai faedah yang diberikan kepada presiden Warisan itu.

Anifah Aman

Kod nama "FM" dalam lejar merujuk kepada Anifah, yang adalah menteri luar ketika itu. Namanya disebut di mahkamah tanpa sebarang butiran diberikan oleh saksi.

Anifah, adalah Presiden Parti Cinta Malaysia, telah menafikan bahawa dirinya menerima sebarang rasuah dan berkata dia bersedia untuk membantu siasatan.

Kod nama lain yang didedahkan di mahkamah termasuk "bomoh", "KPU", "SUB" dan "AK". Adalah dilaporkan bahawa "KPU" merujuk kepada ketua pengarah manakala "SUB" adalah setiausaha bahagian, manakala "AK" adalah huruf awal untuk Akbar Khan.

Apa pertuduhan terhadap Zahid?

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai menteri dalam negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh kementerian dalam negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000, RM3 juta, €15,000 dan AS$15,000 daripada syarikat yang sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Disyaki pukul jiran, pelakon ini dibebas dengan jaminan polis

DANIAL HAKIM

Pelakon lelaki yang ditahan dan direman tiga hari kerana disyaki memukul seorang penduduk di sebuah kondominium di Sentul, Kuala Lumpur, 16 Jun lalu, dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, suspek dibebaskan tengah hari tadi selepas polis selesai menjalankan siasatan terhadapnya.

“Suspek dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira jam 12 tengah hari tadi selepas siasatan dan proses merekodkan keterangan daripadanya selesai, hari ini.

“Kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut,” dipetik BH.

Beliau berkata, lelaki berusia pertengahan 30-an itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan 323 Kanun Keseksaan iaitu ugutan dan mendatangkan kecederaan.

Kelmarin, pelakon berkenaan direman tiga hari selepas disyaki menumbuk dan menendang seorang penghuni kondominium malam Khamis lalu.

(Gila jawatan?) Zuraida harap dapat kekal jawatan menteri

Menjelang pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Zuraida Kamaruddin berharap jawatan beliau sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dapat dikekalkan.

Beliau berkata ini bagi membolehkan kementerian itu menyelesaikan pelbagai perancangan yang telah diatur dan dibuat selama ini.

“Seperti sedia maklum, saya akan berjumpa perdana menteri pada minggu depan.

“Saya harap ada berita baik, (iaitu) dikekalkan kerana mudah untuk habiskan program dan perancangan yang telah diatur selain menstabilkan negara dan Kabinet,” katanya.

Zuraida berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Enhancing Empowerment of Women At the Grassroot Level’ di Sungai Siput hari ini.

Pada Mei lepas, ahli parlimen Ampang itu mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan menyatakan kesediaan melepaskan jawatan sebagai menteri jika diarah berbuat demikian oleh Perdana Menteri.

Pada Khamis lepas, Ismail Sabri berkata satu pertemuan dengan Zuraida akan diadakan minggu depan bagi membincangkan kedudukan bekas pemimpin Bersatu itu sebagai ahli kbaruabinet.

Dalam pada itu, Zuraida berkata PBM kini mengintai peluang untuk bertanding di mana-mana kerusi yang bersesuaian di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Beliau berkata langkah itu dibuat berlandaskan dimensi politik negara yang semakin terbuka tanpa didominasi oleh mana-mana parti besar.

“Kita lihat keadaan sekarang, tiada parti yang menonjol atau dominan. Sama ada parti itu baru, lama, tua, muda, semua ada peluang.

"Ia bergantung kepada pendekatan masing-masing... Di Perak, kita ada sasaran yang akan diputuskan kelak,” katanya yang telah diangkat sebagai bakal Presiden PBM.

Zuraida juga berkata PBM berpeluang merebut tempat di hati pengundi kerana parti itu antaranya bersifat pelbagai bangsa, memperjuang hak wanita serta mengutamakan isu pendidikan dan ekonomi.

- Bernama

Ismail Sabri: Mungkin PRU15 lebih awal

FMT Reporters

PETALING JAYA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan lebih awal iaitu sebelum Julai 2023.

Ismail yang juga naib presiden Umno berkata, paling lewat PRU15 boleh diadakan pada Julai 2023, selepas tamat tarikh akhir penggal pilihan raya umum lalu.

“Tempoh tamat pada Julai, iaitu kira-kira setahun sahaja dari sekarang. Setahun bukanlah jangka masa lama bagi parti politik menghadapi pilihan raya.

“Sebab itu kita kena sentiasa bersedia, itu kalau paling lewat setahun, pilihan raya mungkin diadakan lebih awal dari tarikh akhir penggal.

“Maknanya kalau paling lewat setahun, kalau lebih awal jangka masa itu lebih dekat, sebab itulah saya minta di Bera ini, semua jentera, tak kira Umno atau Barisan Nasional (BN) perlu sentiasa bersiap siaga, kerana akhirnya pilihan raya akan tiba juga,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Ismail berkata, persediaan awal perlu bagi mengelakkan keadaan kelam-kabut khususnya jentera BN dalam menghadapi PRU15 kelak.

Khamis lalu, Dr Mahathir Mohamad berpendapat tarikh sesuai diadakan PRU15 ialah sehingga habis penggal iaitu hujung Julai 2023.

Siapa berunding dengan Azmin dalam Sheraton 2.0?

DR SHAHNOR BASRI

SIAPAKAH agaknya gerangan yang berunding dengah DS Azmin Ali Menteri Kanan, bekas Timbalan Presiden PKR yang telah menderhakai perjuangan? Ia menjadi tandatanya, tambahan pula ia dikabarkan berlaku di Hotel Sheraton. Hotel yang menoktahkan sejarah pengkhianatan kemenangan PRU14 oleh Pakatan Harapan (PH).

Kebetulan pula ia berlaku setelah selesai pemilihan kepimpinan utama PKR dan kebetulan juga ada ura-ura berlaku sedikit ‘adjustment’ kepada keputusan pemilihan selepas audit forensik dilakukan.

Sekiranya benar berlaku satu lagi perundingan dan dengan pengkhianat pula, adakah ia mendapat restu kepimpinan PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sendiri. Apakah perundingan ini didalangi oleh dalang dan kartel yang masih berada di dalam PKR atau terdiri dari kuncu-kuncu pengkhianat yang berminat untuk memusnahkan PKR dan juga Pakatan Haran (PH). Kedua-duanya mungkin juga berlaku seiiringan.

Mungkin juga ini ada kaitan dengan kenyataan YB Langkawi yang menyalahkan DSAI sehingga beliau bukan lagi Perdana Menteri ketika ini. Semua kemungkinan ini tidak boleh diabaikan semua sekali. Ia memerlukan kebijakan pimpinan PH untuk menanganinya dengan penuh kesedaran, berhemah dan bersoladiriti.

Apakah intipati rundingan Sheraton 2.0? Adakah ia satu lagi muslihat untuk menafikan DSAI dan PH bergerak kehadapan untuk berada dipersada politik tanahair? Sepertimana Langkah Sheraton 1.0, Azmin dan Mahiaddin adalah sosok utama bagi meruntuhkan kerajaan PH. Sosok tidak jujur ini menggunakan helah kesatuan Melayu dan bersama Pas menjaja ketaksuban agama.

Umno pula kerana ketamakannya kerana kekuasaan dan helah untuk membebaskan kluster mahkamah dari palitan rasuah dan salah-guna kuasa, telah mengambil kesempatan tersebut bagi menyokong para pengkhianat bagi menjadi kerajaan semula.

Mereka mara membentuk kerajaan, pada mulanya kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kini kita tidak pasti kerajaan jenama apa yang diterajui oleh Umno/BN. Azmin membawa sebahagian MP PKR menyertai beliau dan diikuti dengan episod drama kisah benar perletakan jawatan Tun sebagai PM. Maka runtuhlah kerajaan PH.

Namun Azmin tidak pergi membawa keseluruhan gerombolan penyokong menyertai kerajaan baharu. Sebahagiannya masih tinggal berada di dalam PKR dan terdapat juga sebilangan kecil yang masih berada dalam kerajaan-kerajaan negeri pimpinan PH. Kita menyaksikan bahawa sebahagian mereka ini di belakang pemilihan kepimpinan utama PKR untuk meredam kemaraan Rafizi Ramli! Namun mereka setakat ini masih belum berjaya.

Mungkinkah mereka sedang merancang sesuatu muslihat dan strategi gerakan baharu bagi memporak-perandakan PKR selepas keputusan tidak rasmi pemilihan keluar baru-baru ini. Golongan pengkhianat, kartel dan pelahap kuasa ini nampaknya sedang mengatur sesuatu bagi merempoh dan mengkucar-kacirkan PKR.

Sheraton Move telah membentuk kerajaan pintu belakang yang kemudiannya dilebelkan sebagai kerajaan gagal.

Dengan PKR kekal berada dalam suasana krisis dan kucar kacir sehingga PRU15 maka mereka akan pasti terus berjaya membentuk kerajaan samada bersama Umno/BN atau dengan pasukan lain. Naratif DAP sebagai kumpulan anti Melayu, anti Agama dan kumpulan ‘extremis’ akan diperhebatkan dan ia sudah pasti akan didokong dan dgerakkan oleh sekutu mereka dari Pas.

Penulis nampak kumpulan kartel ini lebih menjurus kearah ini. Memastikan keputusan pemilihan PKR akan terus dipersoal dan menimbulkan keraguan yang munasabah supaya PKR porak peranda. Mereka mahu memastikan DSAI gagal meyakinkan ahli PKR bahawa PKR berada dalam satu kesatuan fikrah dan amal.

Kartel mahu memastikan bahawa DSAI dan Rafizi bukan pasangan kepimpinan secocok dan seterusnya melagakan-lagakan pasukan yang tidak berjaya dengan yang memenangi pemilihan kali ini. Konvensyen PKR yang akan berlangsung pada pertengahan Julai ini akan menjadi sasaran para perunding Sheraton 2.0 bagi memastikan perbahasan konvensyen dihangatkan dengan perbahasan dengan tujuan memporak-peranda dan melunyaikan keyakinan ahli PKR.

Perbincangan Sheraton 2.0 mungkin juga mahu memastikan PH terbubar sepertimana yang telah berjaya dilakukan dahulu oleh Umno dan Pas bagi memastikan Pakatan Rakyat tekubur. Mereka telah berpengalaman dalam hal ini dan pasukan PH harus waspada.

Pengalaman politik Umno/BN selama lebih 60 tahun tidak boleh dipandang remeh samasekali walaupun tanpa keujudan kluster mahkamah. Dengan keluarnya Zuraida dari pasukan Azmin sebagai ‘Presiden Pengganti” dalam Parti Bangsa Malaysia (PBM), sedikit menjejaskan Azmin. PBM khabarnya mesra BN dan kemungkinan menganggotai BN. Berdasar senario ini, mereka telah menguruskan pasukan Azmin dalam Bersatu dan PN. Jadi bagi kartel sesuatu perlu dilakukan.

BN sudah pasti sebagaimana biasa akan mengambil sikap tunggu dan lihat. Mereka hanya mahu kembali berkuasa sepenuhnya. Jajaran politik mereka adalah kekuasan semata-mata, bagi memastikan pembolotan hasil kekayaan negara berlegar dikalangan mereka. Jauh sekali untuk menyelesaikan kemelut rakyat dan memantapkan ekonomi negara.

Akhir sekali, rundingan Sheraton 2.0 di antara Azmin dengan ‘beberapa’ kepimpinan PKR, ini juga mahu meninjau bagaimana mereka mahu kekal ditampok kekuasaan dengan apa cara sekalipun. Bagi mereka semuanya halal, hatta menghianati mandat rakyat sekalipun dengan perlakuan khianat adalah halal. Mereka mengintai-intai kemungkinan apa sahaja. Samada bersama khemah besar, berpakat dengan BN atau PN, dengan matlamatnya mahu berkuasa.

PH harus mengambil sikap proaktif dan menjauhkan diri dari retorik politik. Jika benar ada rundingan Azmin dan ‘beberapa’ pimpinan PKR maka itu perlu ditangani dengan kekuatan dan solidariti. Jika ia bukan dari restu kepimpinan, maka mereka yang berunding haru dipecat dan butirang-butiran terma rundingan khianat perlu dihebahkan.

PH juga jangan lupa dengan Tun M yang tidak habis-habisan mendabik dada bahawa beliau sahajalah yang betul, layak dan mampu mentadbir negara. Beliau seorang negarawan, akan tetapi negarawan juga akan tiba masa telah tumpul idea dan sentuhan sengatannya tidak semesti berbisa lagi.

Politik kebencian Tun M terhadap kluster mahkamah tidak semestinya boleh digunakan lagi bagi mengangkat PH. Kemusnahan kerajaan PH sebahagian besarnya adalah akibat men’dewa’kan Tun M sebagai pemimpin yang versatil, berdaya maju dan terkehadapan. Hakikatnya ramai lagi tokoh yang lebih berkualiti sesuai dengan masa kini. Tun M sesuai untuk masanya dan masa itu telah tamat.