Zuraida dakwa 3 Ahli Parlimen, 2 ADUN mahu ‘lompat’ ke PBM

FMT Reporters

PETALING JAYA: Zuraida Kamaruddin mendakwa tiga Ahli Parlimen dan dua ADUN akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Presiden pengganti PBM itu bagaimanapun enggan mendedahkan identiti kelima-lima wakil rakyat terbabit.

“Ketika ini PBM ada empat Ahli Parlimen iaitu Ampang, Tebrau (Steven Choong Shiau Yoon), Julau (Larry Sng Wei Shien) dan Silam (Mohamaddin Ketapi). Ini bermakna ada tiga lagi (Ahli Parlimen) baharu akan sertai PBM.

“Begitu juga dengan ADUN, buat masa ini PBM ada lima ADUN, iaitu tiga di Perak dan dua di Selangor. Jadi, akan ada dua lagi ADUN bakal sertai PBM,” kata Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat parti itu di Taman Daya, Johor Bahru, menurut Utusan Malaysia.

Zuraida yang juga menteri perusahaan, perladangan dan komoditi berkata, PBM mempunyai lebih 40,000 ahli daripada 177 bahagian yang sudah didaftarkan setakat ini.

“Sudah tiba masa rakyat Malaysia ini dikenali dengan identiti Bangsa Malaysia dan bukan lagi mengikut latar belakang kaum, dan ini adalah keunikan parti ini yang diterajui oleh masyarakat berbilang kaum.

“Malah, kita juga mempunyai kepimpinan daripada golongan berusia dan muda, menjadikan ini sebagai satu kekuatan buat PBM. Walaupun masih baharu, tetapi lebih kuat daripada beberapa parti politik lain sedia ada,” katanya.

Kes bunuh diri meningkat 81% tahun lalu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kes bunuh diri di negara ini meningkat 81% dengan 1,142 kes dilaporkan berdasarkan rekod polis tahun lalu berbanding 631 kes pada 2020 selain 467 kes dilaporkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus komited mendidik dan melatih masyarakat berhubung masalah kesihatan mental, pencegahan tingkah laku bunuh diri serta menghapuskan stigma terhadap tingkah laku itu.

“Dengan usaha itu, kita berharap individu yang terkesan akan mendapat bantuan dan sokongan, seterusnya dapat menurunkan kadar kematian akibat bunuh diri.

“Faktor penyumbang tingkah laku bunuh diri ini adalah pelbagai dan kompleks, seperti isu psikososial dan persekitaran, isu kewangan merangkumi kehilangan sumber pendapatan atau pekerjaan, penyakit mental seperti kemurungan, kurang sokongan sosial dan penyalahgunaan substans,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 2022, menurut Berita Harian.

Khairy berkata, tema tahun ini adalah “Let’s TALK Minda Sihat: Bertindak Segera, Harapan Terbina”, yang menumpukan pada peranan masyarakat untuk mencegah tingkah laku bunuh diri dan membantu menambah baik kualiti hidup individu yang terkesan.

Katanya, data daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), melaporkan lebih daripada 703,000 kematian akibat bunuh diri dicatatkan setiap tahun di seluruh dunia, atau purata satu kematian bagi setiap 40 saat.

“Bunuh diri adalah satu daripada 10 penyebab utama kematian di dunia dan penyebab keempat kematian bagi mereka yang berusia 15 tahun hingga 29 tahun.

“Bagi setiap nyawa yang terkorban, dianggarkan 135 ahli keluarga atau rakan akan terkesan serta mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi.

“Tindakan segera secara bersama amat penting di setiap peringkat bagi menangani tingkah laku bunuh diri, membabitkan individu, keluarga, komuniti, pihak berkepentingan seperti pembuat dasar, ahli politik, semua agensi kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Proaktif tangani bunuh diri

Khairy berkata, KKM proaktif menangani isu tingkah laku bunuh diri, melalui Pelaksanaan Usaha Dekriminalisasi Cubaan Bunuh Diri bagi menggalakkan mereka yang terkesan tampil mendapatkan bantuan.

Dalam pada itu, Khairy memaklumkan, KKM bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memperkasakan Program Minda Sihat Sekolah, yang mana antara lain merujuk pelajar yang dikenal pasti mengalami masalah kemurungan dan tingkah laku bunuh diri ke fasiliti kesihatan untuk rawatan.

Katanya, kempen advokasi Let’s TALK Minda Sihat turut dilaksanakan kepada kumpulan sasar, secara menyeluruh merentas agensi dan secara bersepadu, termasuk membabitkan media massa, media sosial dan pihak berkepentingan.

“KKM juga mengambil inisiatif untuk membangunkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) iaitu pusat yang menempatkan perkhidmatan Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental dan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Katanya, selaras dengan Konsep Keluarga Malaysia, masyarakat boleh memainkan peranan dan mengambil tanggungjawab untuk mencegah tingkah laku bunuh diri dalam pelbagai cara.

“Ia termasuk dengan sentiasa mengambil berat dan bertanya khabar keluarga serta orang sekeliling terutama yang terkesan akibat situasi pandemik Covid-19.

“Selain itu, masyarakat perlu mengenal pasti tanda awal amaran tingkah laku bunuh diri seperti perubahan tingkah laku mendadak, hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan dan mengasingkan diri daripada orang sekeliling.

“Masyarakat juga perlu menghapuskan stigma negatif terhadap keluarga serta individu dengan penyakit mental dan tidak menghakimi kejadian bunuh diri yang berlaku,” katanya.

Sudah ada 4 laporan polis – Remaja kenal selebriti lelaki dalam program motivasi

DANIAL HAKIM

Polis telah menerima empat laporan setakat ini berkaitan kes amang seksual fizikal membabitkan selebriti lelaki.

Laporan itu masing-masing dibuat empat remaja berusia lingkungan 17 hingga 18 tahun yang mendakwa menjadi mangsa amang seksual fizikal lelaki tersebut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata dua laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan masing-masing satu laporan di IPD Shah Alam dan IPD Kajang.

“Siasatan awal polis mendapati suspek berkenalan dengan mangsa dalam program motivasi yang diadakan di sekolah di sekitar Selangor.

“Hasil perkenalan itu, suspek didakwa melakukan jenayah amang seksual fizikal terhadap semua mangsa,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, suspek ditahan polis pada jam 4 petang, kelmarin selama enam hari sehingga 14 September untuk siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual TerhadapKanak-Kanak 2017.

Selebriti popular disiasat kes amang seksual, JAIS masih tunggu laporan lengkap

Ruwaida Md Zain

bhnews@bh.com.my

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) masih menunggu laporan lengkap berhubung seorang selebriti lelaki yang direman enam hari bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal yang didakwa dilakukannya terhadap beberapa remaja lelaki bawah umur.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata pihaknya maklum mengenai kes selebriti itu dan laporan lengkap berhubung kejadian membabitkan pelajar tahfiz berkenaan masih belum diperoleh daripada pihak sekolah tahfiz terbabit.

"JAIS maklum (mengenai kes berkenaan)... saya sedang menunggu laporan lengkap dari pihak sekolah tahfiz berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Media melaporkan, selebriti berumur 40-an itu dibawa ke Mahkamah Klang untuk permohonan tahanan reman semalam.

Perbuatan selebriti terbabit terbongkar susulan dakwaan mangsa yang tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed mengesahkan penahanan suspek dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Di media sosial pula, isu berkenaan turut tular malah netizen dikatakan mula menyerang Instagram selebriti berkenaan dengan pelbagai pertanyaan.

Ada juga mendakwa suspek adalah seorang penceramah bebas, pengacara program televisyen dan pelakon.

Sarawak Report turut dakwa Zainab adalah isteri bekas Timbalan Menteri Pertahanan

BORHAN AHMAD

Selepas Rafizi Ramli, Sarawak Report (SR) pula menyiarkan dakwaan bahawa bekas Timbalan Menteri Pertahanan Abdul Latif Ahmad banyak terlibat dalam skandal LCS.

SR juga mendakwa, rakan kongsi Latif dalam skandal ini adalah Zainab binti Mohd Salleh yang didakwa sebagai isteri kepadanya.

Walaupun Latif menafikan Zainab adalah isteri beliau, SR mendakwa kenyataan Zainab adalah isteri Latif dibuat oleh Alliance IFA (M) yang mengeluarkan laporan audit Boustead Heavy Industries Corporation yang berjaya mengesan jutaan ringgit wang yang hilang dari skandal kapal LCS.

“It is noted that Abd. Latiff is the spouse of Zainab,” adalah ayat yang digunakan dalam laporan Alliance IFA (M) itu.

Kaitan antara Latif dan Zainab dalam perniagaan. Latif keluar dari syarikat ini selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan. Gambar Sarawak Report.

Kini media melaporkan, Abdul Latif telah menghantar ‘surat tuntutan’ kepada Alliance IFA (M) ekoran dakwaan mereka itu.

SR juga mendedahkan, perkara yang paling menarik dalam laporan audit yang dibuat oleh Alliance IFA (M) adalah Abdul Latif hanya keluar dari sayarikat Mega P Asia Sdn Bhd hanya pada 10 Mac 2020, sebulan selepas kerajaan Pakatan Harapan dijatuhkan. (gambar atas)

Yang menarik juga kesemua jumlah saham beliau iaitu 105,002 unit berpindah tangan kepada Zainab binti Mohd Salleh yang didakwa Alliance IFA (M) sebagai isteri beliau.

Syarikat di mana Zainab terlibat 8211 gambar Sarawak Report

Zainab didakwa terlibat dalam lima syarikat iaitu pemegang saham dan pengarah dalam Alizes Marine Ltd yang didafta di Malta, pemegang saham dan pengarah Intralogistics Ltd yang didaftar di Labuan, pemegang saham dan pengarang Sousmarin Armada Sdn Bhd, pemegang saham Mega P Sdn Bhd dan Alizes Marine Labuan.

mega P Sdn Bhd adalah syarikat yang ada kaitan dengan Ameris France, syarikat yang menjadi salah satu kontraktor utama kepada BNS yang mendapat kontrak membina LCS dari kerajaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Najib dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Menteri Pertahanan ketika itu.

Polemik logo PN: PAS tidak yakin kekuatan Bersatu

Nora Mahpar dan Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Desakan akar umbi PAS supaya logonya digunakan mewakili Perikatan Nasional (PN) di beberapa negeri pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menunjukkan parti itu meragui kekuatan rakannya, Bersatu, kata penganalisis politik.

Menurut Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, penggunaan logo sebenarnya tidak memberi kesan besar kepada peratusan pengundi seperti berlaku pada pilihan raya negeri Melaka apabila PKR kalah besar meskipun menggunakan logonya sendiri dengan alasan ia telah dikenali pengundi.

“Dalam hal ini sebenarnya apa yang dipamerkan adalah rasa tidak puas hati PAS mengenai keyakinan mereka terhadap bantuan Bersatu yang tidak seberapa, ini yang timbulkan polemik penggunaan logo itu.

“Penggunaan logo (bulan) ini tafsiran lebih besar dalam PN iaitu tidak percaya dan yakin PAS terhadap Bersatu untuk bantu mereka,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, katanya sekiranya PN bersetuju menggunakan lambang bulan di tiga negeri dikuasai PAS ketika ini, ia akan menimbulkan persepsi dalam kalangan pengundi.

“Pengundi mungkin persoal mengapa ada guna logo bulan di kawasan tertentu tetapi kawasan lain lambang biru PN,” katanya.

Pada Muktamar Tahunan PAS ke-68 berlangsung minggu lalu, perwakilan dari empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Selangor mahu negeri itu dibenarkan menggunakan logo bulan untuk berdepan PRU15.

Malah, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Sanusi Md Nor mendakwa ramai pengundi dan penyokong parti itu alergi terhadap warna biru PN, yang disifatkan sebagai “bayang-bayang” kepada warna biru tua Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, tindakan memperbetulkan keadaan itu perlu diambil dengan kembali mempertimbangkan penggunaan logo bulan PAS pada PRU15 yang lebih “serasi” dengan pengundi parti itu khususnya di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah, yang ditadbirnya.

Sementara itu, perwakilan dari Selangor ketika ditemui FMT sempena Muktamar PAS ke-68 di Kedah berharap pucuk pimpinan tidak membuat keputusan hanya berdasarkan sentimen ingin memuaskan hati rakan PN dalam membuat keputusan muktamad berhubung penggunaan logo.

Malik Marzuki menyuarakan kebimbangan itu kerana tidak mahu PAS dipergunakan demi kepentingan pihak lain yang mengakibatkan parti menanggung kerugian.

“Kena ingat PAS dari satu sudut telah berkorban dari gerak kerja jentera, PAS mempunyai akar umbi kuat untuk bekerja di bawah berbanding parti lain dalam PN.

“Jadi jangan pula sudahlah kita buat kerja di bawah, berkorban pula soal logo, tapi yang untung rakan kita sahaja,” katanya.

Perwakilan dari Kuala Kedah Riduan Othman pula berpendapat pengecualian untuk menggunakan logo bulan harus diberikan di negeri tertentu kerana ia sudah lama dikenali, bagaimanapun keadaan sebaliknya untuk logo PN.

Kembali tersebar teori Ratu Elizabeth II keturunan Nabi Muhammad, pendakwah perjelas hal sebenar

SITI NUR ZAWANI MISCON

Teori konspirasi mendakwa Ratu Elizabeth II mempunyai leluhur daripada keturunan Nabi Muhammad sedang tersebar luas selepas ratu berusia 96 tahun itu mangkat malam tadi.

Teori ini sebenarnya dimulakan seorang saintis genealogi bernama Harold Brooks-Baker yang menerbit buku Burke’s Peerage (buku tentang bangsawan British).

Beliau berpendapat bahawa Elizabeth adalah keturunan seorang puteri bernama Zaida yang memeluk agama Kristian pada abad ke-11. Zaida kemudian menjadi gundik Raja Alfonso VI di Castile. Bagaimanapun, tidak jelas sama ada Zaida sebenarnya ada kaitan dengan Muhammad atau tidak.

Dakwaan yang tersebar semula ini telah menarik perhatian pendakwah bebas, Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat.

PU Rahmat menegaskan bahawa teori tersebut adalah dusta kerana Zaida atau Isabella yang didakwa disebut di dalam salasilah kononnya cicit kepada Abu Al Qassim Muhammad bukanlah keturunan Rasulullah.

“Telah tersebar kononnya Queen Elizabeth yang mangkat adalah keturunan Rasulullah sedangkan itu adalah dusta.

“Silsilah keturunan Rasulullah tidak boleh ditipu kerana setiap tempat atau negara mempunyai penyimpan silsilah yang rasmi atau sah. Di Malaysia kita boleh rujuk Sayyid Hafiz Al Idrus @ Abu Ahmad Al Idrus yang menetap di Terengganu.

“Jangan mudah mengaku keturunan Rasulullah,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Pada masa sama, PU Rahmat juga memberi amaran bahawa menipu atas nama baginda Nabi Muhammad SAW sama seperti menempah tempat di dalam neraka Allah.

Sementara itu, aktivis sosial Firdaus Wong Wai Hung turut menegaskan bahawa kita tidak memerlukan mana-mana tokoh untuk menzahirkan kemuliaan Islam, apatah lagi tokoh yang kematiannya dizahirkan sebagai seorang yang tidak menerima Allah sebagai tuhan yg Esa.

Jadi sebaiknya dia berkata, orang ramai hanya memberi penghormatan dan takziah atas kematian Queen Elizabeth sebagai seorang manusia, tidak lebih dari itu.

“Salasilah ini yang semakin ditularkan adalah palsu dan rekaan semata-mata,” tambahnya lagi.

Panas melampau jejas bekalan makanan global, tiga tanaman ini dijangka paling teruk terjejas lagi 20 tahun

DANIAL HAKIM

Cuaca panas melampau dibimbangi akan menjejaskan bekalan makanan global dengan tiga tanaman antara yang dijangka paling teruk terjejas.

Dalam tempoh 20 tahun akan datang, dunia akan mengalami masalah bekalan padi, koko dan tomato yang mencukupi akibat perubahan iklim ekstrem.

Penilaian risiko yang dilakukan oleh syarikat Verisk Maplecroft itu mendapati tekanan haba menyebabkan risiko melampau di 20 negara pertanian, termasuk India.

Namun, dalam tempoh beberapa dekad akan datang, ancaman itu dijangka merebak ke 64 lagi negara menjelang 2045, lapor AFP.

Kesemua negara terbabit mewakili 71 peratus rantaian bekalan makanan global, termasuk China, India, Brazil dan Amerika Syarikat (AS).

“Dengan peningkatan suhu global dan tekanan gelombang haba, kita bakal menyaksikan lebih banyak tanaman tidak dapat dituai di negara yang beriklim sederhana,” kata Will Nichols yang merupakan Ketua Iklim dan Daya Tahan di Verisk Maplecroft.

Sementara itu, sebanyak 20 negara dijangka berdepan risiko sama termasuk pengeluar beras, Kemboja, Thailand dan Vietnam apabila ada pesawah di Vietnam sudah mula bekerja pda waktu malam bagi mengelakkan cuaca panas.

Negara ekonomi utama dunia seperti AS dan China juga menyaksikan risiko dalam sektor pertanian pada tahun 2045, walaupun kesannya tidak menyeluruh.

NAJIB TELAH HILANG KELAYAKAN SEBAGAI MP, KEPUTUSAN SPEAKER KEKALKANNYA SALAH

Jika dibaca Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan amat jelas bahawa Najib Razak telah hilang kelayakan menjadi ahli Parlimen.

Perkara 48(1) menyatakan seperti berikut:

“Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, seseorang hilang kelayakan untuk menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen jika-

48 (1)(e) : dia telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas;”

Keempat-empat syarat kehilangan kelayakan sebagai ahli Parlimen itu ada pada Najib Razak.

Pada 23 Ogos 2022 Mahkamah Persekutuan Malaysia yang menjadi mahkamah tertinggi dalam Persekutuan Malaysia telah menjatuhkan hukuman bahawa Najib dipenjarakan selama 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta.

Sehingga hari ini Najib Razak tidak mendapat pengampunan bebas.

Keputusan Mahkamah Persekutuan itu adalah keputusan terakhir dalam sistem mahkamah di Malaysia. Tidak ada mahkamah yang lebih tinggi lagi daripada Mahkamah Persekutuan dalam sistem perundangan di Malaysia.

Walaupun Najib Razak ada memfailkan permohonan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi prosiding pengampunan diraja itu belum didengar. Lembaga Pengampunan Diraja bukannya mahkamah.

Pengampunan Najib kepada Yang di-Pertuan Agong mesti atas nasihat Perdana Menteri. Jika sekarang, nasihat itu mesti datang dari Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di bawah Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri.

Dari segi undang-undang, sabitan kesalahan Najib Razak dalam pertuduhan dalam Kes SRC International adalah kekal. Hukuman Penjara 12 tahun dan denda RM210 juta adalah berkuatkuasa sekarang.

Tidak ada penggantungan perlaksanaan (stay of execution) diberikan oleh Mahkamah Persekutuan kepada Najib Razak.

Ini bermakna semua syarat kehilangan kelayakan sebagai ahli Parlimen ada pada Najib sekarang. Agak pelik dan aneh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Harun memutuskan bahawa Najib masih kekal sebagai ahli Parlimen Pekan.

Memang benar Najib Razak telah memfailkan prosiding semakan (review) di Mahkamah Persekutuan supaya Mahkamah Persekutuan mendengar permohonan Najib agar keputusan lima orang hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tunku Maimun pada 23 Ogos lalu disemak oleh corum hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang lain.

Tetapi permohonan semakan oleh Najib Razak itu bukannya satu penggantungan perlaksanaan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta.

Tidak ada dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa jika seseorang ahli parlimen merayu kepada Lembaga Pengampunan Diraja atau memohon semakan mahkamah maka kelayakannya sebagai ahli parlimen tetap kekal.

Sebaliknya apa yang dinyatakan dengan jelas di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan ialah jika pesalah itu (yang telah dijatuhi hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun atau denda yang tidak kurang daripada dua ribu ringgit) dan dia tidak mendapat pengampunan bebas maka dia hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen.

Sebagai seorang ahli Parlimen dan juga anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Kebebasan Asasi dan Hak-hak Di bawah Perlembagaan saya menuntut supaya Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Harun mengkaji balik keputusannya tentang kelayakan Najib Razak sebagai seorang ahli Parlimen.

HASSAN ABDUL KARIM

Ahli Parlimen Pasir Gudang

Anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Kebebasan Asasi dan Hak-Hak di Bawah Perlembagaan

8 September 2022

“Naik taraf dengan baik pulih pun tak boleh beza ke?”

NASUHA RAHMAN

Isu Stesen Bas Sementara di Lembah Sireh kembali hangat diperkatakan apabila kerajaan negeri Kelantan mengumumkan stesen itu sedang ‘dinaik taraf’ tetapi dipertikaikan rakyat negeri itu apabila ia sebenarnya usaha baik pulih.

Usaha itu sebagai menyediakan kemudahan awam yang selesa kepada semua masyarakat termasuklah kemudahan stesen bas yang bagus kepada pengguna.

Namun, ramai mempersoalkan usaha kerajaan negeri sebenarnya bersifat penyelenggaran bukannya menaik taraf stesen bas berkenaan.

Di Facebook Kota Bharu Bandar Islam rata-rata rakyat negeri itu membidas tindakan kerajaan yang kononya menaik taraf padahal ia sekadar usaha menyelenggara sahaja.

"Naik taraf dengan baik pulih pun tak boleh beza ke?"

"Naik taraf dengan baik pulih pun tak boleh beza ke?"

“Nakal upkn pon, bertukar bulih naik taraf dgn kerja maintenance,” komen Ali Hanafiah Mohamed.

“Ngaji sapa darjah brapo ni selenggara ngn naik taraf pun x reti beza.. berat 66,”komen Adlina MN.

“Malu kokram, stesen bas 13 tahun duk panggil sementara lagi. Selenggara udoh2 panggil naik taraf dh, tu pn sebab viral, klu x paka dk gitu jh la sapa rutuh stesen bas ni,” tulis Mohd Kydir.

“Tengok kepada konten info grafik ni lebih kepada baik pulih bukan naik taraf…,” komen Faiz Juha.

“Ini ore panggil maintenance@selenggara@bsik pulih.. bkn naik taraf.. naik taraf ni ni merangkumi major works contohnya tukar lantai, tukar bumbung yg lebih baik, naik dinding utk bg kemudahan aircon bg keselesaan pengguna, bina parking bertingkat utk kemudahan pengunjung.. tu baru ore panggil naik taraf,” komen Hisyam Ismail.

"Naik taraf dengan baik pulih pun tak boleh beza ke?"

"Naik taraf dengan baik pulih pun tak boleh beza ke?"

Tidak kurang juga ada yang membayangkan tapak Terminal Bas Bersepadu atau KB Sentral yang dijangka siap tahun 2025 akan tinggal batu asas sahaja apabila stesen sementara ini ‘dinaik taraf’.

“Hahaha sek mu napok dok, dea naik taraf hokni gak, tingal batu asas plok la hok duk bual nk buat baru tu..aku gak xleh nk cayo mano doh puok ni, tamboh² nik amar koho nyanyok loni koho xleh paka..,” kata Dato’Jey.

“Selagi x siap Stesen Bas tu aq x akan percaya…stakat pacak batu asas n naik signboard …dh mmang makanan puak2 lebai ni setiap kali nak Pru….nak mintak sambung sepenggal lg tuk makan gaji sebagai Adun n Ahli Parlimen saja….nasib baik dpt jd Menteri n mkn gaji Menteritido,” komen Azry Azry.

Usaha ini dilakukan sementara menunggu Terminal Bas Bersepadu atau KB Sentral seluas 17.37 ekar di Tunjong yang dijangka siap pada tahun 2025, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan mengambil inisiatif menaik taraf Stesen Bas Sementara di Lembah Sireh.

Menurut sumber daripada pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), kerja-kerja naik taraf stesen bas tersebut yang membabitkan kos lebih kurang RM157 ribu telah bermula 24 Ogos dan dijangka siap akhir Oktober ini.

Antara komponen kerja naik taraf itu melibatkan proses membaik pulih struktur bumbung, lantai, pendawaian semula elektrik dan pembaikian sistem saluran kumbahan.

Selain itu kerja-kerja penurapan jalan dan pemasangan papan tanda baharu turut dilakukan, di samping menyelenggara dan menambah alat pemadam api baharu di stesen bas tersebut sebagai langkah keselamatan awal.

Ikuti berita dalam Buletin Darulnaim.

Ini betul-betul kerja gila

Guru Matematik, kerani diikat dan dibelasah pelajar gara-gara berang terima gred rendah

DANIAL HAKIM

Tiga lelaki terdiri daripada guru Matematik dan kerani sebuah sekolah di India diikat pada sebatang pokok dengan tali merah dan dibelasah pelajar menggunakan kayu gara-gara berang menerima gred rendah dalam peperiksaan.

Puluhan pelajar dengan membawa batang kayu berada di sekeliling mereka dalam sejumlah gambar dan video yang tular dalam media sosial. Bagaimanapun, tiada rakaman kamera menunjukkan pukulan itu berlaku.

Kejadian mengejutkan itu berlaku di Scheduled Tribe Residential School di Dumka, Jharkhand, lapor Oddity Central dipetik Utusan Malaysia.

Klip video yang tular menunjukkan berlakunya perang mulut antara kumpulan pelajar dengan beberapa orang daripadanya memegang kayu sepanjang kira-kira satu meter.

Dikatakan, pelajar berkenaan memperdaya dua individu itu dengan kononnya hendak membincangkan markah peperiksaan Matematik Kelas 9 yang diperoleh mereka baru-baru ini.

“Pelajar berkenaan dipercayai bertindak luar batas dengan mengikat kakitangan sekolah itu pada pokok dan memukul mereka,” kata laporan itu.

Salah seorang daripada mangsa turut memberi keterangan dalam keadaan kepalanya berbalut yang menunjukkannya dipukul dengan kayu pemukul.

Kes rogol, liwat adik ipar sejak usia 9 tahun: Imam mengaku tak salah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang imam didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, atas 12 pertuduhan termasuk merogol, meliwat dan melakukan amang seksual fizikal terhadap adik iparnya sejak mangsa berusia sembilan tahun, antara September 2017 hingga Jun lalu.

Tertuduh, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan terhadap semua pertuduhan yang didakwa dilakukan di rumah berasingan di Jasin.

Terdahulu, prosiding kes itu dijalankan berasingan di Mahkamah Sesyen 2 dan 3, di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Nariman Badruddin.

Pada prosiding pertama di Mahkamah Sesyen 2, tertuduh berdepan lima pertuduhan iaitu tiga kesalahan merogol dan masing-masing satu kesalahan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii dan amang seksual fizikal ketika mangsa berusia sembilan, 10 dan 11 tahun.

Menurut Harian Metro, kesalahan itu didakwa dilakukan pada awal dan pertengahan September 2017, awal Mac 2019 dan pada 20 Julai 2019, antara 3 pagi hingga 12.30 tengah malam.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen 3, tertuduh didakwa masing-masing atas tiga pertuduhan rogol dan amang seksual fizikal serta tuduhan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap mangsa sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada awal Mac dan September 2019, 12 Julai 2021 serta pada 29 Januari, 28 Mei dan 13 Jun 2022 pada masa berbeza antara 9 pagi hingga 4 pagi.

Pertuduhan rogol dikemukakan mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C kanun sama, sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan.

Manakala bagi kesalahan amang seksual pula, dia dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16 (1) dan Seksyen 27 (1) akta sama, jika disabitkan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Anis Najwa Nazari dalam prosiding berasingan memohon mahkamah tidak mengenakan jaminan terhadap tertuduh atas alasan tertuduh adalah abang ipar mangsa.

Namun, pendakwaan mencadangkan jaminan RM170,000 bagi kesemua 12 pertuduhan jika mahkamah menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin.

Peguam Andrew Lourdes bagaimanapun merayu jaminan rendah kerana anak guamnya menanggung empat anak berusia 16 hingga 3 tahun dan hanya berpendapatan RM1,500 sebulan sebagai penjawat awam manakala isteri tidak bekerja.

Katanya, mangsa kini berada di rumah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Negeri Sembilan dan tiada kemungkinan kacau ganggu oleh tertuduh.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM79,000 berserta syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa dan keluarganya sehingga kes selesai.

Tarikh 6 Okt depan ditetapkan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen dan mendapatkan laporan perubatan mangsa.

RM60.6 juta masuk ke akaun peribadi Najib

Malaysiakini

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa wang berjumlah RM60.6 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadi AmIslamic Bank Datuk Seri Najib Razak dalam dua transaksi pada 2011.

Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan R Uma Devi, 43, berkata berdasarkan penyata akaun berakhir nombor 694, kemasukan wang RM30,449,929.97 ke dalam akaun bekas perdana menteri itu adalah pada 24 Feb dan RM30,179,909.46 pada 14 Jun 2011.

“Saya memperakui dan mengesahkan bahawa dokumen ini (penyata akaun) AmIslamic Bank Berhad atas nama Najib telah dicetak dari komputer milik AmBank Cawangan Jalan Raja Chulan,” katanya.

R Uma Devi, Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib.

Merujuk borang pembukaan akaun individu atas nama Najib pada 13 Jan 2011, saksi pendakwaan ke-37 itu berkata hanya Najib penandatangan tunggal cek dan boleh melakukan urusan terhadap akaun peribadi AmIslamic Bank miliknya.

“Akaun (694) ini dibuka dengan bayaran deposit sebanyak RM500 sahaja. Penandatangan sah bagi akaun persendirian ini adalah Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri sebagai penandatangan tunggal sah bagi cek yang dikeluarkan. Ini bermaksud, hanya beliau sahaja (Najib) boleh menandatangani cek dan melakukan urusan menerusi kesemua akaun ini,” katanya.

Saksi itu berkata pada 2013, Najib menyerahkan surat kepada Pengurus Cawangan AmIslamic Bank Berhad bertarikh 26 Ogos 2013 untuk menutup akaun semasa dan simpanannya (yang berakhir 694 dan 481) serta mengarahkan pihak bank untuk memindahkan wang di dalam akaunnya itu berjumlah RM150 juta ke akaunnya yang lain iaitu AmPrivate Banking-1MY.

Uma Devi berkata surat itu juga menyatakan segala cek yang tidak digunakan akan dipulangkan kepada pihak bank serta Najib tidak boleh mengeluarkan apa-apa cek selepas penutupan akaun itu.

“Arahan lain di dalam surat ini adalah untuk debitkan baki amaun dari akaun-akaun tersebut menggunakan baki berkenaan untuk mengeluarkan deraf bank di atas nama AmPrivate Banking-1MY,” katanya.

Beliau berkata lampiran yang dikepilkan bersama surat itu adalah slip pemindahan wang yang telah diproses oleh pihak bank selaras dengan surat arahan tersebut.

“Berdasarkan slip itu, wang berjumlah RM12,436,711.87 telah dipindahkan ke akaun AmPrivate Banking-1MY pada 30 Ogos 2013 yang akaun tersebut (AmPrivate Banking) itu adalah milik Datuk Seri Najib yang dibuka di Cawangan Jalan Raja Chulan pada 31 Julai 2013,” katanya.

Najib, 69, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.

- Bernama

Umno beritahu PAS, Tinggalkan Bersatu dulu kalau nak kerjasama

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pemimpin Umno memberitahu PAS supaya meninggalkan Muhyiddin Yassin dan Bersatu jika PAS mahu bekerjasama dengan Barisan Nasional.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Isham Jalil menegaskan partinya tidak berganjak daripada keputusan perhimpunan agung Umno untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15, yang disifatkan sebagai “pengkhianat”.

Isham berkata Muhyiddin dan Bersatu juga perlu menerima hakikat bahawa akar umbi PAS mahu bekerjasama dengan Umno.

“Penyatuan ummah tidak bermaksud penyatuan dengan pengkhianat” katanya di Facebook.

Beliau juga menyerang Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man, kerana mengekalkan keinginan mereka untuk bekerjasama dengan Umno dan Bersatu serta menolak ini sebagai angan-angan.

“Haji Hadi atau Tuan Ibrahim sila jawab: Berapa kerusi yang PAS ingin minta dari Umno? dan berapa kerusi pula yang PAS ingin Umno beri kepada pengkhianat Bersatu?”

“Apabila kerusi-kerusi yang Umno beri kepada PAS dan Bersatu ini menang dengan sokongan akar umbi Umno, apa jaminan yang kami dapat yang kamu (PAS dan Bersatu) akan kekal menyokong kami dan tidak menukar pendirian seperti sebelum ini?

“Akar umbi Umno lebih bijak dan kami tidak akan dibiar ditipu oleh kamu.”

Isham mempertahankan bahawa PAS tidak boleh makan keliling sementara Umno tidak akan bekerjasama dengan parti-parti yang tidak mempunyai prinsip dan kerap berubah fikiran.

“Kami telah buat ketetapan untuk pergi solo, terimalah hakikat ini,” kata beliau.

Semalam, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin mendedahkan ‘rundingan gelap’ Muafakat Nasional (MN) antara partinya dan pemimpin tertentu Umno menyentuh keperluan satu lawan satu di antara mereka dan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin semalam berkata beliau akan menuntut penjelasan pucuk pimpinan tertinggi PAS termasuk Abdul Hadi Awang dan Takiyuddin Hassan berhubung “rundingan gelap” dengan Umno dalam mesyuarat pimpinan tertinggi gabungan itu malam tadi.

Sasaran 40 kerusi PAS tak realistik

Samuel Chua

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik menolak sasaran PAS yang tidak realistik untuk memperoleh 40 kerusi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), dengan berkata ia tidak berjaya di mana-mana walaupun pada 1999, ketika ia berada di puncak popularitinya.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, PAS akan menentang Umno yang bangkit semula pada PRU15. Beliau menyatakan prestasi memberangsangkan Umno dalam pilihan raya negeri baru-baru ini.

Dalam PRU pada 1996, PAS memenangi 27 kerusi berbanding Umno dengan 148 kerusi.

PAS memenangi 18 kerusi pada PRU14 dan hanya satu kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

Oh Ei Sun.

Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah baru-baru ini berkata, parti itu meletakkan sasaran untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen pada PRU15.

“Ini lebih kepada laungan untuk menyatukan ahli dan penyokong PAS dalam menghadapi PRU15,” kata Oh.

Katanya kepada FMT, beliau percaya ramai orang Melayu konservatif akan kembali ke pangkuan Umno kerana kepimpinan kuat parti itu.

“Mereka fikir Umno akan melindungi hak dan keistimewaan mereka dengan lebih berkesan berbanding PAS, yang lebih menekankan soal agama,” katanya.

                    Awang Azman Pawi

Seorang lagi penganalisis, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata, sukar untuk PAS menguasai kecuali di Pantai Timur.

Beliau berkata, Umno, saingan utama parti Islam itu, telah membuktikan kehebatannya dalam mentadbir.

“Sasaran 40 kerusi oleh PAS sukar dicapai,” katanya. “Malah mempertahankan 18 kerusi semasanya akan menjadi sangat mencabar.”

Awang Azman juga berkata, politik Melayu sedang menuju ke arah fokus kepada prestasi dan reputasi.

“Ia bukan lagi mengenai agama atau etnik semata-mata, tetapi bagaimana komponen itu ditafsirkan pada masa hadapan kerana kemajuan masyarakat,” katanya.

‘Rundingan gelap’ : Muhyiddin mahu penjelasan PAS malam ini

Faiz Zainudin

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan menuntut penjelasan pucuk pimpinan tertinggi PAS termasuk Abdul Hadi Awang dan Takiyuddin Hassan berhubung “rundingan gelap” dengan Umno dalam mesyuarat pimpinan tertinggi gabungan itu malam ini.

Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin berkata, setakat ini beliau hanya mengetahui rundingan PAS-Umno itu hanya melalui laporan media.

“Kita akan bincang dalam mesyuarat PN malam ini, nanti saya akan minta presiden PAS atau setiausaha Agung PAS untuk memberi penjelasan kalau ada perundingan atau perbincangan (antara PAS-Umno), apakah benar-benar serius dan sejauh mana perkara itu akan berlaku.

“Jadi perkara ini saya akan bangkitkan, sekarang ini saya tak boleh nak komen apa-apa saya dengar dari media sahaja,”katanya kepada media selepas majlis pelancaran buku The Doctor Will See You Now – My Life With Ampikaipakan Kandiah di SJKT Vivekananda, Brickfields.

Muhyiddin turut membangkitkan bagaimana kerjasama Umno dengan PAS yang menjadi sebahagian rakan komponen dalam PN, boleh berlaku sedangkan Umno secara tegas menolak kerjasama dengan Bersatu.

“Kita telah banyak kali bincang, saya dengar kenyataan pihak pimpinan Umno, pertama mereka menolak Bersatu, Perhimpunan Agung Umno (PAU) setahun lepas antara keputusan dibuat sampai hari ini tak berubah menolak Bersatu, sebab itu kalau tolak Bersatu, kita sudah tubuh PN, PAS bersama kita jadi kita nak dapat penjelasan PAS macam mana kita nak menghadapi terutamanya dalam PRU.

“…adakah akan tentang BN, bagi saya memang begitu kerana kita tak mahu kleptrokrasi terus berkuasa dan berleluasa, ia dikaitkan dengan pimpinan BN, apa pun nanti saya akan dapat penjelasan, selepas itu PN akan buat pendirian jelas supaya tak ada keraguan mana-mana hala tuju kita ke depan,” katanya.

Katanya, rakan PN sebaiknya perlu berbincang terlebih dahulu sebelum sebarang rundingan dengan parti luar dibuat supaya gabungan parti komponen tidak dilihat berbeza pendirian.

“Bila mana saya mengadakan rundingan dengan mana-mana pemimpin politik yang pernah saya buat dulu dengan parti-parti lain, saya akan maklum dan dapatkan pandangan (parti gabungan PN) sama ada wajar atau tidak, itu saya lakukan.

“Ini kerana kita tidak mahu dilihat sebuah parti yang mempunyai pelbagai pendirian, tentulah tak baik bagi masa depan PN dan kita nak jelas perkara ini kepada rakyat dan masyarakat umum apa sebenarnya pendirian PN,” katanya.

Sebelum ini FMT melaporkan, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin mendedahkan ‘rundingan gelap’ Muafakat Nasional (MN) antara partinya dan pemimpin tertentu Umno menyentuh keperluan satu lawan satu di antara mereka dan Pakatan Harapan (PH)

Katanya, PAS mahu menyedarkan Umno bahawa musuh sebenar yang perlu dilihat pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) adalah PH dan bukannya Bersatu.

Pendedahan Hashim itu menyusuli kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan yang mengesahkan perkara tersebut enggan mendedahkan siapa dan di peringkat mana dalam Umno perbincangan itu berlaku, namun pemimpin terlibat “mempunyai jawatan” dan berkeupayaan “mempengaruhi keputusan” pucuk pimpinan Umno.

Jabatan Penjara nafi dakwaan Najib ditahan di rumah, bukan dalam sel

Malaysiakini 

story-image

Jabatan Penjara Malaysia menyangkal khabar angin bahawa bekas perdana menteri Najib Razak tidak menjalani hukumannya di dalam sel penjara.

Maklumat tidak sahih. Hentikan penyebarannya," kata jabatan itu secara ringkas di Facebook hari ini.

Hantaran itu turut melampirkan tangkap layar pesanan WhatsApp yang membuat dakwaan itu, dengan memetik sumber tidak bernama yang kononnya bekerja di Kompleks Penjara Kajang.

Sebaliknya, menurut pesanan itu, Najib didakwa ditempatkan di sebuah rumah di kompleks tersebut yang sepatutnya digunakan oleh "pegawai kanan penjara".

Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos lalu setelah Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukumannya di atas pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram.

Pertuduhan itu berkaitan dana SRC International berjumlah RM42 juta yang dipindahkan ke akaun peribadinya.

Najib merupakan bekas perdana menteri pertama Malaysia yang dihukum penjara. Selain itu, dia kini juga sedang berdepan empat perbicaraan jenayah yang lain.

Kelantan: Tandas 4, pili wuduk 3 saja-Doktor luah rasa sedih betapa daifnya stesen bas negerinya, masih sama 10 tahun lepas

NASUHA RAHMAN

Seorang doktor kelahiran negeri Kelantan meluahkan rasa sedih betapa daifnya stesen bas negerinya di mana keadaannya masih sama 10 tahun yang lepas.

Sebelum ini, Terminal Bas Lembah Sireh Kota Bharu Kelantan pernah viral sehingga menimbulkan kritikan warga maya terutama rakyat negeri itu, hari ini.

Doktor di Kementerian Kesihatan Malaysia Amalina Nudin melalui facebooknya mungkin sekian lama tidak menjejakkan kaki ke stesen bas itu, namun hari ini beliau terkejut melihat kedaifan bagi sebuah stesen bas utama negeri yang sepatutnya ia lebih besar, selesa, dan setaraf stesen bas negeri lain.

“Sedihnya tengok stesen bas negeri saya. Tempat ini bukan di daerah. Tempat ini di Ibu Negeri.

“Lepas solat, rasa nak doa…

“Ya Allah, bukalah mata sesiapa yang bertanggungjawab naik taraf stesen bas ni…biarlah anak cucu mereka rasa apa yang rakyat marhaen rasa…,” tulis beliau.

Katanya yang sudah lama tidak menjejakan kaki ke stesen bas itu malah melihat keadaan stesen itu masih tidak berubah seperti 10 tahun lepas.

Ikuti luahan beliau dan berharap pihak berwajib membuka mata seluas-luasnya demi kebajikan rakyat.

Lama dah tak turun bas di sini. Semalam sedih sangat rasa. Ia masih sama macam 10 tahun lepas. Atau mungkin berbelas tahun lepas?

Kita pergi KLIA, TBS… tandas selesa, cantik sangat sampai boleh tidur di lantai, tak perlu bayar apa-apa.

Sini?

Tandas 4, pili wuduk 3 saja-Doktor sedih daifnya stesen bas negerinya, masih sama 10 tahun lepas

Yang tandasnya amat daif, perlu bayar 50 sen!

Tandas 4, pili wuduk 3 saja-Doktor sedih daifnya stesen bas negerinya, masih sama 10 tahun lepas

stesen bas

Ada kakak tu, sambil menunggu, terpaksa terduduk. Tak tahan sangat! Yelah, stesen bas wakil negeri,

Tandas 4-5 je. Sorang tu guna tandas, tukar pampers 2 orang anak pula.

Sedih! Sedih sangat!

Nak solat pun berhimpit-himpit. Orang merokok pun penuh di tepi tu.

Yang paling sedih, nak ambil air sembahyang. Pili cuma ada tiga. Nak letak tudung pun cari paku yang tersembunyi. Kalut lari menyelit time lelaki lalu lalang.

Letak beg di surau. Kemudian pakai tudung, ke bilik sebelah yang 1/4 lebih sempit, untuk berwuduk. Situ, lalu lalang para lelaki, boleh sahaja ternampak aurat wanita yang ambil wuduk.

Saya pun terfikir…

“Beginikah negeri yang berbangga dengan Islam di negerinya?”

“Level ini sahajakan negeri Islam boleh buat?”

“Tak cukup duit sangatkah kita?”

Menteri, boleh pakai Merc dan BMW. Anak Menteri, boleh duit raya 3,000 oleh ayahnya… setiap anak.

Tapi?

Nak memudahkan orang solat di stesen bas begini, yang sangat ramai orang, ada menteri kisah?

‘Takde ke anak menteri yang naik dan turun bas?’Ke mereka semua naik kereta dan naik flight semata? Sampai takde orang cakna pun kebajikan ini?’ Yang lain tak kisah sangat.

Kedai makan yang serba sedikit.

Cuma yang sedih sekali part surau.

Tidak mesra. Sempit.

Nak buka tudung pun tak selesa, sebab ada satu langsir yang melayang-layang, boleh jemaah lelaki nampak.

Teringat akan seorang jutawan yang saya jumpa.

“Saya buat kandang kambing di Kuala Selangor, harga 250K, orang tanya, kenapa mahal sebegitu buat ‘rumah kambing’. Hebat!”

“Saya nak buat macam tu, nak nampak Islam itu gah! Nak nampak orang Islam sebagai wow! Biasa orang Cina je buat kerja-kerja macam ni…”

Semoga!

Pihak yang berwajib pandang cakna akan hal ini. Semoga tiada jemaah yang terkesan dan berdoa…

“Ya Allah, memang aku dapat pahala kalau bersusah untuk solat, menunggu panjang nak berwuduk dan bersesak… tapi Kau hitunglah pihak yang berwajib yang tak memudahkan urusan kami.

Mereka yang selesa dengan kereta mewah mereka, tapi kami yang naik turun bas ni, sentiasa bersusah… kami tuntut mereka di Padang Mahsyar….”

Begitulah!

Bukan mudah menjadi pemerintah.

Tapi, apa salahnya berjiwa rakyat.

Bukan sendiri sahaja selesa dalam Merc dan BMW beraircond dingin, rakyat marhaen ini sentiasa akur dan taat semata.

Takkan nak rakyat marhaen je nak banyakkan pahala bersyukur dan bersabar?

Takkan pihak berwajib tak nak pahala memudahkan dan membuatkan orang selesa bersolat dan berwuduk?

Takkan nak rakyat marhaen je sedut bau rokok, bercampur bau tomyam kemudian bau tandas dan bau hapak surau?

Itu saya tak sempat tengok pula, ada yang kata mungkin boleh jumpa tahi lembu ke apa tepi tu.

Tunjukkan Islam itu gah, supaya ramai berminat dengan Islam.

Kritik, kerana sayang.

Rasanya kalau orang minta derma seratus sorang, sanggup nak bagi, untuk keselesaan orang ramai. (Ke ada tabung derma yang saya tak tahu?… please adakan pencetus)

Tak tahu nak meluah pada siapa.

Kita yang jarang-jarang guna pun sedih rasa. Setahun mungkin sekali dua. Bayangkan yang memang kerap guna. Time cuti sekolah atau cuti raya.

Mungkin bukan salah menteri.

Mungkin ada pihak swasta boleh berkolaborasi dengan syarikat bas.

Rasa boleh banyakkan kedai, cantikkan suasana. Ramai boleh tambah rezeki di sini.

Mohon Mencadang!

Selesa Itu Indah! Islam Itu Indah!

Tak minta lebih. Tak minta pawagam pun. Tak minta mall pun. Tak minta tempat yang mewah pun. Asalkan ada proper surau/masjid tepi tu. Dengan tempat wuduk yang lebih luas. Tandas lebih selesa. Ada tempat duduk untuk mak cik nenek yang kurang larat.

Malu pada student Cina, India yang belajar, atau yang kerja situ, kelihatan betapa tak comelnya negeri Islam yang dibanggakan. Orang akan nampak cantiknya Islam pada apa kita buat, bukan seberapa banyak kita cakap dan cakap.

Sampai bila nak ada ‘victim mindset’

Yang sampai ke sudah tak ada growth mindset. Cubalah berubah menjadi solution focus.

Jangan apabila kita sudah terjatuh. Baru nak menyesal.

Jangan nak kata ‘takdir Allah’ pula. Benda kita boleh agak. Orang nak juga Islam.

Cuma orang hanya nampak Islam kita pada kopiah dan jubah. Bukan pada akhlak dan tindakan. Tak boleh juga.

Ada orang, pakaian biasa-biasa.

Namun itqan dan baik akhlaknya. Menunjukkan Islam sebenar. Macam jutawan tadi. Buat kandang kambing pun ratus ribu. Supaya nak nampak Islam itu hebat.

Orang Islam pun boleh berjaya dan kaya. Mekah dan Madinah pun surau dia terbaik dan super bersih. Nampak Islam itu best.

Update : saya dapat tahu proses pembinaan terminal bas terbaru dalam proses. Dijangka siap 2025. Kita doakan segalanya dipermudahkan.

Alhamdulillah, rupanya dah ada usaha ke arah itu. Harap kalau ada surau dan tandas yang lebih selesa lebih awal, itu dah cukup bagus.

Mayat pemuda, remaja dalam kereta

Meor Riduwan Meor Ahmad

am@hmetro.com.my

ANGGOTA polis melakukan siasatan di tempat kejadian. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Alor Gajah: Pemuda dan remaja perempuan bawah umur ditemui maut dalam kereta di kompleks pentadbiran di Lubok China di sini, pagi tadi.

Identiti kedua-duanya berusia 20 tahun dan 16 tahun belum dikenal pasti.

Sehingga kini, pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka masih melakukan siasatan lanjut di lokasi.

----------

Tak sedap hati hantar rakan jumpa teman lelaki

Meor Riduwan Meor Ahmad

am@hmetro.com.my

ANGGOTA polis menguruskan penemuan mayat dua remaja. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Alor Gajah: Gerak hati seorang remaja perempuan yang curiga selepas menghantar sahabatnya berjumpa seorang lelaki petang semalam, menjadi kenyataan apabila rakan sekolahnya itu ditemukan mati di dalam sebuah kereta pagi tadi.

Remaja dikenali sebagai Damia, 16, berkata, kali terakhir mereka bertemu ketika mangsa meminta dihantar ke kompleks Jawatankuasa Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Limau petang semalam untuk bertemu pemuda dipercayai teman lelakinya.

Menurutnya, selepas menghantar dia berasa tidak sedap hati sehinggalah dihubungi kakak sahabat baiknya itu kira-kira 8.30 pagi memaklumkan mangsa tidak pulang sejak semalam.

"Saya bergegas ke Japerun untuk mencarinya dan sebaik tiba saya dapati kereta Perodua Kancil yang dinaiki pemuda itu masih berada di lokasi, namun ditutup kain kanvas.

"Saya segera menyelak kain kanvas itu dan melihat kedua-dua mereka tidak sedarkan diri lalu menghubungi kakak mangsa," katanya di temui di lokasi.

Menurut Damia, tidak menyangka semalam adalah kenangan terakhir mereka bersama dan sempat membawa mangsa bersiar-siar dengan menunggang motosikal.

Sementara itu, bapa saudara remaja lelaki itu berkata, mangsa adalah anak sulung kakaknya daripada enam beradik dan seorang yang pendiam namun mempunyai ramai kenalan.

Menurutnya, mangsa adalah bekas penuntut sebuah akademi laut di Kelantan dan bakal bekerja dalam bidang perkapalan.

"Dalam dua minggu lagi dia bakal bekerja kapal mengikut jejak ayahnya yang juga bekerja dalam bidang sama.

"Ibunya beritahu sebelum kejadian iaitu selepas asar, arwah ada meminta izin menggunakan kereta bapanya untuk pergi ke pantai, tidak sangka ini yang berlaku," katanya ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.

Menurutnya, mereka sekeluarga difahamkan siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah atau tanda kedua-dua mangsa melakukan perkara sumbang di dalam kenderaan itu.

Katanya jenazah anak saudaranya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pantai, Kuala Sungai Baru.

Sementara itu, ibu mangsa enggan ditemubual kerana masih terkejut dan amat bersedih dengan kejadian.

PAS sangat memerlukan UMNO di Selangor kerana Bersatu tiada kekuatan dan dianggap menumpang saja

Bersatu tiada kekuatan, hidupkan semula MN untuk rampas Selangor, gesa perwakilan

Nora Mahpar

Perwakilan PAS yang ditemui di Muktamar PAS ke-68 baru-baru ini masih menaruh harapan kerjasama Umno dan PAS menjelang PRU15.

ALOR SETAR: Bersatu perlu “mengalah” dengan hanya bertanding di sebilangan kecil kerusi di Selangor bagi menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) dan meningkatkan peluang merampas pentadbiran negeri paling maju itu.

Ia dicadangkan perwakilan PAS ditemui FMT di Muktamar PAS ke-68 yang masih menaruh harapan kerjasama Umno dan PAS menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15), susulan pertikaian tercetus disebabkan Bersatu yang menjadi duri dalam daging dalam hubungan berkenaan. Mereka mencadangkan majoriti kawasan dibahagikan antara Umno dan PAS sesuai dengan kekuatan jenteranya yang besar dan sudah lama bertapak.

Yang Dipertua PAS Sabak Bernam Sallehen Mukhyi berkata mengikut senario di Selangor, satu-satunya cara menewaskan PH dengan sekurang-kurangnya majoriti mudah adalah menerusi penyatuan Umno, PAS dan Bersatu yang sedia dilaksanakan akar umbi.

Menurutnya, perkara itu turut diakui Pengerusi Umno Selangor Noh Omar dalam beberapa kenyataannya yang cenderung bersama PAS, dan pada masa sama memberi ruang kepada Bersatu kerana merasakan tidak cukup yakin sekiranya Umno bergerak solo.

“Kalau diberi pilihan di Selangor, kita nak ketiga-tiga sekali. Lupakan dulu sengketa dan cuma beri beberapa tempat kepada Bersatu sementara yang lain bahagi antara Umno dan PAS.

“Mungkin kita (PAS) juga tidak perlu banyak kerusi. Saya rasa macam Bersatu pun kena sedar kekuatannya,” katanya yang menolak idea bekerjasama dengan PH seperti dicadangkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, dan jajaran baharu hendak dibuat Umno berdasarkan kerusi dimenanginya pada PRU15 nanti.

Sallehen adalah bekas Pesuruhjaya PAS Selangor dan bekas exco kerajaan negeri ketika era pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) iaitu gabungan PAS, PKR dan DAP sebelum mereka berpecah pada pilihan raya umum 2018 .

Seorang perwakilan dari Petaling Jaya yang hanya mahu dikenali sebagai Razali senada dengan Sallehen dan berpendapat gabungan Umno dan PAS di bawah MN serta Bersatu boleh memberi kemenangan sekurang-kurangnya majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Selangor.

Beliau menyifatkan kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mahu bergerak solo sebagai wayang apabila Noh, pemimpin Umno negeri masih menaruh harapan terhadap MN kerana sedar peluang BN menang agak tipis.

“Bersatu di Selangor tiada kekuatan pun, kalau kata menumpang marah pula nanti. Contoh di kawasan kami, mereka tiada cawangan tetapi kita ambil pendekatan saling membantu sebab sudah berkawan,” katanya yang mengakui ada rundingan dengan Bersatu supaya berkompromi dan memberi laluan kepada Umno untuk menjayakan kerjasama itu.

Pada 7 Mei lalu, Noh dilaporkan berkata Umno dan PAS mesti bekerjasama menerusi MN untuk merampas semula Selangor, yang disasar mampu memenangi lebih daripada 30 kerusi DUN. Bagaimanapun pada 8 Jun, beliau mengesahkan formula agihan kerusi antara Umno dengan PAS negeri tidak lagi terpakai susulan penyertaan PAS ke dalam Perikatan Nasional (PN).

Pada pilihan raya umum 2018, PH menguasai 50 daripada 56 kerusi DUN Selangor, namun jumlah itu berkurangan kepada 40 selepas ‘Langkah Sheraton’ dua tahun kemudiannya yang menyaksikan Bersatu keluar dari gabungan itu.

Beberapa wakil rakyat turut keluar parti seperti bekas menteri besar Azmin Ali (Bukit Antarabangsa) yang menyertai Bersatu dari PKR. Lima ADUN PH turut menyertai Pejuang, Parti Bangsa Malaysia (PBM), Warisan manakala seorang menjadi wakil rakyat bebas.

Komposisi baharu pembangkang meliputi Barisan Nasional (lima) , Bersatu (empat), PBM dan Pejuang masing-masing dua serta satu kerusi untuk PAS, Warisan dan bebas.

‘Parti Islam unik, gabung PRU ada dalil, cerai gabungan pun dia ada dalil juga’

MOHD ALI HASHIM

Sebetulnya gabungan untuk hadapi pilihan raya itu adalah suatu perjanjian. Manakala orang Islam pula berpegang kepada janji dan tidak mudah untuk putuskan perjanjian, apatah lagi melanggar perjanjian.

Walau bagaimana pun, susur galur perjanjian sebuah parti Islam ini amat jauh bezanya kerana setiap kali gabungan ada dalilnya dan setiap kali perceraiannya juga punya dalil tersendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Manifesto AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria berkata, Parti Islam ini membentuk Angkatan Perpaduan Ummah atau APU pada tahun 1989 dan tidak lama selepas pilihan raya umum (PRU) tahun 1989, gabungan APU dah berkubur.

“Tidak lama setelah itu pada tahun 1999, Barisan Alternatif atau BA pula dibentuk dan turut berkubur selepas itu. Kemudian pasca PRU 2008 Pakatan Rakyat (PR) pula dibentuk.

” Selepas PRU 2013 Parti Islam ini keluar pula PR dan pasca PRU ke-14, Muafakat Nasional (MN) pula dibentuk. Tidak sampai tempoh dua tahun, MN pula mengikut jejak dan berkubur lagi.

” Selepas Bersatu menjadi Perdana Menteri dan membentuk Perikatan Nasional (PN) dan kemungkinannya akan bertahan sehingga PRU ke-15 tidak dapat dinafikan kerana sejarah mungkin berulang perceraian akan berlaku sekali lagi,” jelas beliau ketika dihubungi.

Tambahnya, yang lebih pelik ialah orang lain semuanya salah, sedangkan Parti Islam ini sahaja gabungnya ada dalil dan bercerainya juga ada dalil walaupun dengan orang yang sama.

Lebih menarik kata beliau sekejap ia jadi sahabat akrab dan sekejap lagi boleh menjadi musuh ketat pula.

Oleh kerana itu tegas Dr Zaidi renung-renung dan fikir-fikirlah sebelum membuat keputusan sekali lagi.

Anak Najib silap berqiyas!

HANIPA MAIDIN

Anak lelaki YB Pekan telah dilaporkan mendakwa bahawa ayahnya telah menjadi mangsa sehingga terpaksa meringkuk di dalam penjara.

Tidak pasti adakah putera Najib itu ingin menyatakan bahawa ayahanda dia telah dianiayai atau disabitkan bersalah secara SILAP oleh sembilan orang hakim ?

Tidak cukup dengan itu, dia (anak Najib) kini cuba pula menyamakan nasib ayah dia seperti nasib Nelson Mandela dan nasib Nabi Yusuf a.s pula?

Jika hanya nak samakan dengan mendiang Nelson Mandela pun telah dilihat sebagai keterlaluan, apa lagi jika dia nak samakan nasib ayah dia seperti nasib Nabi Yusuf a.s.!

Maaf, nak tanya sikit, adakah ada lagi analogi merapu selain analogi dia tersebut ?

Bagi saya, analogi atau qiyas yang dia bawa itu teramat jelas silap dan tersasar jauh!

Jika dalam terminologi agama, mereka katakan ianya adalah “qiyas maal fariq”- قياس مع الفارق atau analogi yang silap atau tersasar!

Mereka yang belajar fiqh akan kata dalam qiyas yang dia guna itu, “al-‘ilah”- العلة- (mudahnya alasanlah) tidak sama.

Jika qiyas antara haramnya hukum dadah dengan haramnya arak adalah juga logiknya tapi apabila dia nak kata dadah itu haram lepas tu dia guna qiyas dengan makan panadol…tak berapa nak kena lah!

Hakikatnya, dari awal dah tak betul untuk samakan bapa dia dengan Nabi Yusuf a.s sebab bukan sahaja kerana baginda a.s itu Nabi dan Rasul tapi sebab atau alasan masuk penjara pun tak sama!

Nabi Yusuf a.s. yang maksum itu masuk penjara secara sukarela demi nak mengelakkan fitnah yang lebih besar.

Ayah dia pula masuk penjara sebab terlibat dengan skandal kewangan yang amat BESAR!

Nabi Yusuf a.s tidak pernah terlibat dengan jenayah, jauh sekali disabitkan bersalah oleh sembilan hakim yang kata Baginda a.s. bersalah atas jenayah rasuah atau jenayah pecah amanah atau jenayah penggunbahan wang haram!

Ayah dia?

Kerana kekacakan dan ketampanan Nabi Yusuf a.s yang luar biasa, baginda a.s menjadi mangsa fitnah, cemburu yang luar biasa dan “crime of passion” hingga akhirnya baginda a.s. sendiri merelakan dirinya dipenjara.

Mungkin kerana “ketampanannya yang luar biasa” itu adalah “satu-satunya jenayah” Nabi Yusuf a.s.

Nabi Yusuf a.s. dilantik sebagai Menteri Kewangan Mesir pada masa itu -selepas keluar dari penjara- bagi menyelamatkan ekonomi negara!

Ayah anda – wahai anak Najib- masuk penjara setelah masa jadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dulu dulu tu habis dia bagi punah ekonomi negara!

Mengenai Nelson Mendela, ya beliau adalah pejuang bangsa dan tanah air yang berani dan berjasa lawan rejim Apartheid yang zalim dan menindas rakyat Afrika Selatan!

Nelson Mandela pejuang bangsa dan negara. Dia tidak rompak wang negara!

Ayah dia?

Jika nak kata sangat ada persamaaan, mungkin ada satu sahaja persamaan antara ayah dia dan Nabi Yusuf serta Nelson Mandela iaitu bab masuk penjara!

Tetapi, persamaannya berhenti setakat itu sahaja.

Adapun, alasan mengapa masuk penjara, ianya terlalu berbeza!

Hasil rompak buat hantaran, langgan pelacur, remaja antara ditahan pecah rumah bapa saudara

FMT Reporters 

Polis berkata, suspek dan rakannya juga menggunakan hasil rompak untuk membeli barangan mewah termasuk kereta, selain motosikal berjenama Yamaha dan Kawasaki.

PETALING JAYA: Remaja lelaki bersama rakan ditahan selepas memecah masuk rumah bapa saudaranya sebelum melarikan barang kemas bernilai hampir RM500,000 di sebuah rumah daerah ini, 31 Ogos lalu.

Dalam kejadian itu 24 Ogos lalu, remaja berusia 19 tahun bersama rakannya sempat menggunakan wang berkenaan untuk membeli kenderaan, barang kemas selain dijadikan sebagai wang hantaran untuk pertunangan oleh seorang daripada suspek.

Ketua Polis Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis menerima laporan daripada mangsa memaklumkan kediaman mereka dipecah masuk perompak.

Katanya, mangsa melaporkan peti besi yang diletakkan di ruang dapur rumahnya dilarikan.

“Anggaran kerugian dalam kejadian itu adalah RM430,000 termasuk wang tunai dan barangan kemas berjumlah RM200,000,” lapor Harian Metro.

Fakhrudin berkata, kegiatan suspek terbongkar selepas polis mereka dalam dalam dua serbuan berasingan di Seremban, Negeri Sembilan dan Klang, Selangor pada 31 Ogos lalu.

Jelas beliau lagi, dalam serbuan itu, polis turut merampas dua motosikal jenis Yamaha dan Kawasaki, enam telefon pintar dan satu beg berjenama yang dipercayai dibeli menggunakan wang hasil curi.

“Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang lagi suspek berusia 20-an di sebuah rumah di Klang dan merampas telefon pintar, dua jam tangan berjenama, kamera, motosikal Kawasaki 150RR, selipar, kad pendaftaran motosikal serta wang tunai RM1,000,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di rumah 11 suspek berkenaan terletak di sekitar Klang membawa kepada rampasan pelbagai barangan dipercayai dibeli menggunakan wang hasil curi selain wang tunai berjumlah RM55,950.

“Wang berkenaan adalah hasil pelaburan mata wang asing oleh pengadu bersama isterinya sejak 2020 sehingga Januari lalu,” katanya.

“Jumlah keseluruhan rampasan ialah RM271,209, manakala bakinya RM158,791 telah dibelanjakan suspek untuk membeli permainan dalam talian, bayar bil, bayaran upah pembaikan rumah dan lain-lain perbelanjaan.”

“Malah, ada wang tunai dipercayai turut dibelanjakan suspek mengunjungi pusat hiburan dan melanggan pelacur selain diberikan kepada ahli keluarga,” katanya.

Katanya, semua suspek direman selama tujuh hari bermula 1 Sept lalu hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi.

Langgar syarat bon RM10 juta: Mahkamah tolak rayuan Zuraida batal saman PKR

Bernama

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin didakwa telah bersetuju membayar PKR RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin untuk membatalkan saman PKR yang mendakwa beliau melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.

Panel tiga hakim diketuai Vazeer Alam Mydin Meera dalam keputusan sebulat suara, berkata mereka bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa isu kesahihan dan kesahan kontrak di antara Zuraida dan PKR hanya boleh ditentukan melalui perbicaraan penuh.

“Mahkamah perlu mendengar keterangan penuh secara berdokumen mahupun lisan (viva voce) sebelum keputusan dibuat.

“Kami tidak mendapati hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam memutuskan isu yang dibangkitkan melalui saman ini yang dirasakan adalah tidak wajar untuk dipertimbang bagi permohonan ini.

“Justeru, rayuan ini ditolak dengan kos RM10,000 dan keputusan Mahkamah Tinggi adalah dikekalkan,” kata Vazeer ketika menyampaikan keputusan itu melalui telesidang.

Turut bersidang M Gunalan dan Datuk Seri Mariana Yahya.

Panel itu turut memutuskan bahawa selepas mendengar hujahan peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid, yang mewakili Zuraida, dan peguam Ranjit Singh bagi pihak Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Pada 19 Nov 2021, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Zuraida untuk membatalkan saman yang difailkan parti itu, pada 28 Sept 2020.

Pernyataan tuntutan PKR mendakwa Zuraida, yang kini menteri perusahaan perladangan dan komoditi, telah menandatangani bon itu pada 25 Apr 2018 yang mengikat dirinya untuk membayar RM10 juta berdasarkan terma dan syarat bon tersebut.

PKR mendakwa, Zuraida telah bersetuju untuk membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Parti itu mendakwa pada atau sekitar 24 Feb tahun lalu, Zuraida dalam kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain telah mengumumkan peletakan jawatan, namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional.

PKR turut menuntut agar Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak, faedah lima peratus setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Penoreh getah jadikan rumah ‘port’ pelacuran jual janda serendah RM50, langganan dibuat di WeChat

SITI NUR ZAWANI MISCON

Kegiatan haram seorang penoreh getah yang menjadi bapa ayam sejak dua bulan lalu terbongkar apabila didapati menggunakan rumah persendirian sebagai lokasi pelacuran menjual janda Indonesia.

Penoreh getah itu menjadikan rumah yang disewanya di Kampung Baru, Jementah, Segamat sebagai lokasi untuk ‘hidung belang’ mendapatkan khidmat pelacuran dengan harga mampu milik, lapor Kosmo!

Dari siasatan awal, bayaran sebanyak RM50 dikenakan untuk setiap perkhidmatan seks yang ditawarkan kepada pelanggan dan temu janji dibuat melalui aplikasi WeChat.

Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 4.50 petang itu berjaya menahan seorang lelaki warga emas berusia 72 serta dua wanita warga asing Indonesia berstatus ibu tunggal berusia 41 dan 42 tahun.

“Semasa serbuan, terdapat tiga orang pelanggan berusia antara 50an hingga 60an warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan.

“Kesemua pelanggan tersebut sedang leka memilih pasangan masing-masing tanpa menyedari kehadiran anggota polis sewaktu serbuan,” katanya memetik laporan Kosmo!.

Menurut Ahmad Zamry, siasatan mendapati, suspek menyewa rumah tersebut dengan kadar RM450 setiap bulan dan menawarkan khidmat seks kepada pelanggan dengan harga RM50.

“Polis turut merampas peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan pelacuran antaranya enam telefon bimbit pelbagai jenama, lima keping kondom, dua kondom telah digunakan, dua botol minyak urut dan satu bungkus tisu basah selain wang tunai RM500,”ujarnya

Kesemua suspek direman antara sehari hingga empat hari sehingga 7 September untuk siasatan mengikut Seksyen 372B, 372A Kanun Keseksaan, 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 dan 55B Akta Imigresen 1959/63.

TIGA BULAN LAGI, ADAKAH NAJIB MASIH DIINGATI?

Shahbudin Husin 

Setakat ini, setelah Najib Razak dipenjarakan pada 23 Ogos lalu, hanya ada dua majlis solidariti daripada UMNO terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Pertama, majlis taklimat UMNO di WTCKL pada 27 Ogos yang diadakan atas inisiatif Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dengan dihadiri oleh barisan kepimpinan UMNO bahagian-bahagian daripada seluruh negara.

Kedua, majis solidariti untuk Najib yang diadakan di Dataran Pekan, Pahang pada petang semalam.

Ini bermakna, dalam tempoh dua minggu setelah Najib dipenjarakan, hanya ada dua program untuk membela dan mempertahankan Najib, itu pun kedua-duanya tidak menampakkan impak serta kesan yang jelas ke mana kesudahannya.

Taklimat di WTCKL pada mulanya digembar-gemburkan sebagai medan tekanan terakhir daripada UMNO untuk memaksa Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob agar menyegerakan PRU15 secepat yang boleh.

Malangnya, meskipun pada malam berkenaan diadakan mesyuarat khas MT UMNO, tetapi tiada apa-apa yang berlaku akhrinya, bahkan kenyataan media pun tidak dikeluarkan selepas itu.

Yang ternampak kemudiannya hanyalah Azalina Othman Said yang berdegar-degar berucap di majlis di WTCKL terpaksa meletakkan jawatannya sebagai Penasihat Khas Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia kepada Perdana Menteri.

Begitu juga dengan majlis solidariti di Pekan semalam, walaupun kehadiran Zaid Ibrahim sebagai bekas peguambela Najib ada kewajaran untuk didengar hujah-hujahnya, pemimpin UMNO yang hadir sekadar bertaraf “ lightweight” saja iaitu Lokman Adam dan Isham Jalil.

Lokman, bekas Ahli MT UMNO dan Isham, baru dilantik sebagai Ahli MT, kedua-duanya adalah bekas pegawai Najib Kementerian Kewangan dan PMO sebelum ini.

Mereka itu, selain sudah diketahui memang penyokong kuat Najib, tanpa ada jemputan pun, akan tetap mempertahankan Najib melalui media sosial masing-masing.

Maknanya, tiada apa-apa yang luar biasa dengan kehadiran kedua-duanya di Pekan itu.

Persoalan paling pokok di sini, kenapa tiada pemimpin UMNO Pusat dengan kedudukan yang lebih tinggi sedia hadir di Pekan semalam?

Begitu juga dengan pimpinan utama UMNO Pahang, kenapa tiada yang kelihatan sama?

Adakah mereka sudah lupa kepada Najib dan tidak mengenang lagi budi-budinya?

Dengan hanya dua program solidariti diadakan untuk Najib setelah dua minggu beliau dipenjarakan, jauh benar untuk beliau mendekati bagaimana Anwar Ibrahim dibela dan dipertahankan sebelum ini.

Dengan demikian, tentulah lebih jauh kalau nasib Najib mahu disamakan dengan Nabi Yusof atau Nelson Mandela.

Di mata pemimpin dan ahli UMNO, terutama mereka yang pernah dikayakan, diberi projek dan diberi jawatan, Najib seolah-olah tiada nilai lagi setelah dirinya kini dipenjarakan.

Di mana mereka sekarang dan kenapa tiada kedengaran ada pemimpin UMNO, terutama yang pernah dikayakan oleh Najib, mahu merancang program solidariti yang seterusnya?

Di kalangan 191 Ketua UMNO Bahagian pula, hanya kedengaran Dr Puad Zarkashi dari Batu Pahat yang menyatakan rindu dengan coretan Najib di laman sosial FBnya.

Di mana yang lain-lain?

Begitu juga dengan ahli UMNO yang diketahui merupakan penyokong dan pentaksub Najib sebelum ini, mereka juga kini kelihatan sudah senyap sunyi daripada menulis apa-apa mengenai Bossku di dinding media sosial masing-masing.

Kenapa jadi demikian, sudah mahu melupai Najib atau kerana tiada lagi elaun bulanan?

Apa nasib Najib seterusnya, apakah semua orang dalam UMNO sudah meredai pemenjaraan Najib dan tak kisah berapa lama pun beliau dipenjarakan?

Dengan semua perkembangan suram ini, jika saya jadi Najib, kebimbangan paling besar dalam kepala saya ialah tiga bulan lagi, adakah saya masih diingati? – ShahbudinHusin 05/08/2022.

Umno Kedah tunggu permohonan maaf dari PAS

Malaysiakini

PAS mungkin menganggap tiada lagi isu yang timbul berhubung jemputan yang didakwa mereka dihantar kepada Umno untuk menghadiri muktamar di Kota Sarang Semut, Alor Setar, pada akhir minggu lalu.

Namun berbeza keadaannya di pihak Umno.

Pengarah Komunikasi BN Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata dakwaan yang dibuat PAS mengenai jemputan tersebut adalah serius dan mereka tidak menganggapnya remeh sehingga tidak perlu diperbesarkan.

Katanya Umno Kedah memang konsisten menafikan mereka ada menerima jemputan daripada PAS untuk menghantar wakil bagi menghadiri majlis perasmian muktamar terebut.

Menurut Shaiful Hazizy, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, jelas menyebut jemputan berkenaan memang dibuat secara fizikal kepada Badan Perhubungan Umno Kedah namun mendakwa, keadaan sebenar adalah sebaliknya.

“Saya sentiasa konsisten bahawa tiada sebarang jemputan, dalam sebarang medium, untuk Perhubungan Umno Kedah seperti yang didakwa Setiausaha Agung PAS,” katanya yang dipetik Umno Online hari ini.

Pada Jumaat lalu, Takiyuddin memberitahu media, PAS sudah menghantar jemputan kepada Umno bagi menghadiri perasmian Muktamar PAS ke-68 yang berlangsung selama dua hari.

Bagaimanapun, tiada seorang pun wakil parti terbabit hadir di sebalik hubungan Umno-PAS yang dimeterai melalui Muafakat Nasional pada 2019.

Berkata benar walaupun pahit

Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Zulkifli Yahaya, semalam mendakwa dia menghantar jemputan tersebut kepada satu-satunya Adun Umno dalam exco negeri itu, Suraya Yaakob.

Menceritakan peristiwa itu Zulkifli menulis: "Dato' mai nuu (datang ya). Dato' (Suraya) cuma ghenyeh (tersengih) apa pun tak jawab," katanya.

Suraya pula menuduh PAS memutar belit isu berkenaan dan menyalahkan Umno.

Bagaimanapun, Suraya yang juga ketua Umno Pendang berkata, jemputan yang diterimanya hanyalah atas kapasiti exco kerajaan negeri dan langsung tidak melibatkan kapasiti kepimpinan Umno.

Shaiful Hazizy berkata Umno Kedah menuntut PAS membuat permohonan maaf atas dakwaan yang dibuat pada minggu lalu.

“Bagi saya ini soal reputasi dan prinsip. Sebagai sebuah parti yang mengaku bertunjangkan Islam, ‘penipuan’ adalah sesuatu yang tidak sepatutnya diterima.

"Pesanan saya kepada Setiausaha Agung PAS, bercakap benarlah walaupun pahit,” katanya.

Isu pengampunan Najib, MP sanjung titah Yang di-Pertuan Agong

SURI LAILA

Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hassanuddin Mohd Yunus menyanjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bertitah bahawa kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya.

Ketika merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Pahang di Kuantan hari ini, baginda bertitah bahawa keadilan Islam sama sekali tidak memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa yang melakukan kesalahan sama ada diri sendiri, teman rapat, ahli keluarga mahupun ibu dan bapa.

Justeru Hasanuddin meluahkan keyakinan, Baginda Yang di-Perrtuan Agong akan mempertahan prinsip ini dalam semua hal ketika membuat keputusan selaku Ketua Negara demi kepentingan rakyat dan negara ini.

“Ia juga termasuk ketika mempertimbangkan rayuan pengampunan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak yang dijatuhkan hukuman bersalah mencuri wang RM42 juta milik SRC International oleh sembilan hakim iaitu seorang hakim Mahkamah Tinggi, tiga hakim Mahkamah Rayuan dan lima Hakim Mahkamah Persekutuan.

“Ampun Tuanku, patik semua rakyat berdoa agar Tuanku dikurniakan kesihatan yang baik dan dipermudahkan dalam segala urusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, baginda Al Sultan bertitah bahawa kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenangnya kerana ianya bakal dipertanggungjawabkan kelak di hari kemudian.

Titah baginda, prinsip keadilan yang telus lagi terbuka telah berjaya membangunkan satu masyarakat yang adil, saksama, makmur dan sejahtera. Prinsip keadilan menurut Islam adalah menjunjung amanah Tuhan.

“Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil nescaya keadilan tidak akan tercapai, kerana falsafah di sebalik penggubalan sesuatu undang-undang itu telah ternoda,” titah baginda dalam majlis itu.

PKR buat laporan SPRM terhadap Latiff

FMT Reporters

PETALING JAYA: PKR akan membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Latiff Ahmad yang didakwa terlibat dalam isu skandal kapal tempur pesisir (LCS), esok.

Pengerusi Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, laporan tersebut akan dibuat di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Nama Ahli Parlimen Mersing itu dinyatakan terkait menerusi Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen dan juga Laporan Pengauditan Forensik baru-baru ini.

“Justeru, laporan SPRM yang akan dibuat itu tertumpu kepada kesalahan-kesalahan rasuah berdasarkan Seksyen 16, Seksyen 17(a), Seksyen 17(b), Seksyen 18 serta Seksyen 23 di bawah Akta SPRM 2009 yang membolehkan suruhanjaya berkenaan menjalankan siasatan.” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, laporan itu untuk mendesak supaya SPRM mendedahkan pengiystiharan harta yang dibuat oleh Latiff sebelum beliau mengangkat sumpah sebagai menteri.

“Apa yang akan terjadi seterusnya jika kita tidak melawan penyelewengan skandal LCS?

“Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli sendiri tawarkan kepada menteri Perikatan Nasional (PN) tersebut untuk saman beliau, namun sehingga kini masih mengelak. Adakah skandal LCS akan berlalu begitu sahaja tanpa ada jerung yang dapat ditangkap?” soalnya.

Tambahnya, beliau akan memastikan kes itu disiasat sepenuhnya bagi membongkar hal sebenar yang berlaku di sebalik isu kapal LCS tersebut.

“Satu sidang media akan diadakan di hadapan ibu pejabat SPRM pada jam 11 pagi esok selepas laporan itu dibuat.” katanya.

Selasa lalu, pegawai Latiff membuat laporan polis terhadap Rafizi yang disifatkan fitnah bertujuan merosakkan nama baik Ahli Parlimen Mersing itu.

Pihak polis turut merampas satu unit telefon bimbit milik Rafizi untuk siasatan lanjut.