Pelik dan ganjil jika Sanusi tak sedar kecurian REE di kawasan sendiri

MOHD ALI HASHIM

Memang pelik dan ganjil jika Adun kawasan Jeneri, tidak sedar wujudnya aktiviti memunggah dan mengeluarkan cari gali nadir bumi bahan logam bernilai tinggi (REE), sedangkan beliau juga adalah Menteri Besar (MB) Kedah.

Malah kata Timbalan Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh, apakah insiden kecurian REE diluar pengetahuan MB, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sedangkan beliau adalah Pengerusi Menteri Besar Incorporated (MBI).

“Jabatan Hutan Negeri Kedah telah pun memberi kebenaran bagi pembalakan untuk membuat ladang hutan di kompartment 12,13,14 dan 15 serta semua pembalakan telah pun selesai pada tahun 2017.

“Seterusnya beberapa batang pokok dari spesis hutan telah ditanam dan sebahagiannya pula telah ditanam dengan pokok durian dari spesis musang king.

Pada Disember 2020 sebuah syarikat telah pun diberi kebenaran di lokasi yang sama bagi aktiviti meneroka cari gali nadir bumi bahan logam bernilai tinggi (REE).

“Tidak ada siapa yang mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku selepas itu sehinggalah penduduk tempatan mulai merasa curiga dengan aktiviti yang berlaku sejak enam bulan yang lalu.

“Penduduk mula mengesyaki sesuatu apabila kenderaan pacuan empat roda dan lori bersaiz kecil dan sederhana dilihat keluar masuk ke tempat tersebut, ” ujar beliau yang juga merupakan Adun Pengkalan Kundor.

Jelasnya, penduduk tempatan telah pun membuat beberapa laporan polis, namun begitu tiada apa-apa tindakan yang telah diambil sehinggalah lori yang memunggah keluar REE terlibat dalam kemalangan pada minggu lepas dan ditahan oleh pihak polis.

Persoalannya kata beliau, apakah projek ladang solar dan tanaman musang king di kawasan terbabit hanyalah bagi mengaburi mata orang ramai walaupun ia mendapat kelulusan dari Jabatan Hutan.

Lebih pelik kata Dr Ismail, apa yang berlaku adalah dalam Dun Jeneri yang diwakili oleh MB yang juga merupakan Pengerusi MBI yang menjadi pemilik tanah di situ serta juga memberi kebenaran bagi penerokaan REE.

Tambah beliau, apakah MB juga tidak sedar mengenai kecurian REE dan adalah aneh apabila syarikat yang meneroka REE turut membuat laporan polis dengan menafikan keterlibatan mereka dalam kecurian terbabit.

Maka itu serunya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, serta lain-lain agensi yang terlibatharus segera mengambil tindakan dan menjalankan siasatan terperinci mengenai isu terbabit.

Puad Zarkashi: Umno tidak mahu ditipu PAS buat kali kedua

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Puad Zarkashi mempertahankan tindakan parti itu mengenakan tiga syarat kepada PAS sekiranya parti Islam itu mahu bekerjasama untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.

Puad berkata, Umno tidak mahu ditipu kali kedua oleh PAS.

Tambahnya, Umno menyambut dengan hati terbuka kenyataan beberapa pemimpin PAS baru-baru ini bahawa perikatan Muafakat Nasional (MN) masih dipertahankan.

Bagaimanapun, kata Puad, langkah 12 menteri daripada Perikatan Nasional (PN), termasuk PAS, yang mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong dan menyuarakan pendirian mereka yang tidak bersetuju PRU15 diadakan tahun ini, mendedahkan kedudukan sebenar parti Islam itu.

“Ia memberi signal PAS tidak jadi bekerjasama dengan Umno,” katanya di Facebook.

Puad berkata PAS sukar memutuskan hubungan dengan Bersatu kerana bimbang Umno akan lebih dominan. Tambahnya, Bersatu adalah saingan Umno.

Beliau turut mempersoalkan parti Islam itu kerana tidak menjemput Amanah – parti serpihan PAS – untuk menyertai MN jika ia benar-benar mengambil berat tentang perpaduan umat Islam.

MN adalah pakatan politik yang dijalin antara PAS dan Umno pada September 2019, ketika kedua-dua parti itu adalah sebahagian daripada pembangkang persekutuan, untuk menyatukan pengundi Melayu-Islam.

“Apakah itu bukan main politik?

“Umno meletakkan syarat kerana tidak mahu ditipu kali kedua. Pokoknya Umno tidak akan masuk lubang biawak kali kedua,” tegasnya.

Tiga lagi negeri umum takkan bubar DUN jika PRU tahun ini

Malaysiakini 

Selepas Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, tiga lagi negeri menyatakan ikrar mereka untuk tidak membubarkan dewan undangan negeri masing-masing jika pilihan raya umum (PRU) diadakan tahun ini.

Pendirian terbaru dan muktamad itu dinyatakan PAS selepas mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur hari ini.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, berkata kerajaan negeri yang diterajui PAS tidak akan membubarkan DUN jika Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membubarkan parlimen dalam tempoh terdekat.

"PAS yang menerajui kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan membangkitkan tentang pembubaran DUN dalam tempoh terdekat.

"Ini bagi menumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pada pertengahan Nov sehingga Mac 2023, di samping usaha dan langkah pemulihan ekonomi pasca-Covid-19," katanya.

Kenyataan itu dibuat ketika khabar angin yang mengatakan Ismail Sabri Yaakob akan membubarkan parlimen dalam masa terdekat.

Gesaan agar PRU ke-15 segera dibuat datang dari Umno, khususnya pemimpin tertinggi parti itu.

Bagaimanapun selain PH, Perikatan Nasional (PN) yang membentuk kerajaan di bawah Ismail Sabri turut menyatakan bantahan kepada cadangan tersebut.

Sebelum ini, kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH) turut mengambil pendirian yang sama.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim pada 5 Okt berkata, kerajaan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan tidak akan membubarkan DUN jika PRU15 diadakan pada tahun ini.

Sebaliknya, PH akan menumpukan perhatian kepada usaha membantu rakyat yang berdepan dengan kemungkinan banjir semasa musim tengkujuh nanti.

Menurut Anwar keputusan itu diambil selepas ia dibincangkan Majlis Presiden PH, baru-baru ini.

Keputusan PAS dan PH sekali gus memungkinkan hanya Perlis, Perak dan Pahang yang diterajui oleh BN kemungkinan akan membubarkan DUN jika PRU ke-15 diadakan pada tahun ini.

Ibu tunggal hampir racun 8 anak sebab tak ada duit, tak sangka kini pendapatan RM50,000 sebulan

SITI NUR ZAWANI MISCON

Kisah seorang ibu tunggal yang diceraikan suami dan ditinggalkan bersama lapan anak sehelai sepinggang tanpa harta, tular baru-baru ini dan mendapat perhatian ramai.

Seorang wanita ingkungan 50-an, Kamariah Md Yatim, mendapat perhatian apabila menceritakan kesusahan dilaluinya membesarkan lapan anak seorang diri di sebuah rumah kecil yang selayaknya dipanggil reban.

Walaupun kisah pahit itu berlaku pada tahun 2000, ia belum terpadam dari ingatan lebih-lebih lagi mengenangkan tindakannya yang hampir membunuh kesemua lapan anaknya kerana memikirkan kemiskinan hidup mereka.

“Bercerai tahun 2000, anak lapan orang. Yang tua baru lepas SPM. Yang kecil baru 1 tahun. Suami akak dah jatuhkan talak lepastu dia pun pergi.

“Dalam hidup akak tak ada siapa bagi sokongan dan dorongan. Orang tak pandang kita. Ayah bagi akak tapak untuk bina rumah. Lepastu abang ipar datang, akak cakap buatlah rumah macam reban ayam sahaja. Malam tu akak tidur tujuh beranak dalam tu, Bahagia akak dengan anak-anak walaupun kami makan ambil sepinggan nasi dan kongsi anak beranak.

“Akak bahagia tak ada orang marah akak. Kan kita baru lepas berpisah, haa macam mana perasaan. Hancur hati dengan anak yang ramai. Kami selalu tak makan, itu perkara biasa,” luahnya.

Wanita cekal itu juga berkongsikan saat dia terdetik mahu mengambil nyawanya sendiri dan anak-anak. Ketika itu anak bongsunya menangis kelaparan dan tidak mendapat susu.

Baki beras juga ketika itu cukup-cukup satu cawan sahaja membuatkan dia bertambah tertekan dan sedih sebelum bertindak menuang racun ke dalam periuk nasi.

“Akak pandang beras ada lagi satu pot. Apa ada dalam fikiran akak? Akan ku bunuh semua anakku termasuk aku sendiri. Biar mati sama-sama.

“Entah macam mana, mak datang. Akak tengah tuang racun dalam periuk nasi. Masa mak sampai, mak cakap kau dah tak boleh bawa mengucap dah ke. Kau tak ingat tuhan lagi dah?

“Aku tak nampak apa dah mak. Hitam hidup aku ni akak cakap. Mak buang nasi yang ada racun tu, mak peluk akak. Dia kata ingat pada tuhan nak, berdoa nak, berdoa banyak banyak,” kongsinya.

Namun, nasib buruk yang menimpa Kamariah segera menemui penamat apabila dia diberikan bantuan dan dorongan daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi tunjuk ajar dalam bidang keusahawanan.

Dia belajar bersungguh-sungguh dan selepas menamatkan kelas bersama program tersebut, dia mula membuat pinjaman sehingga RM50,000 untuk memulakan perusahaan dan penanaman pandan wangi.

Wanita ini juga berjimat cermat dan hasilnya, dia mampu membeli 12 ekar tanah dan mengusahakan perniagaan pandan wangi sehingga mampu meraih pendapatan kasar sebanyak RM50,000 sebulan.

Kini, wanita tersebut bergelar usahawan yang mampu menghasilkan tanaman pandan sehingga beratus-ratus kilogram dalam setiap tuaian hasil titik peluhnya sendiri.

“Tapi tuhan kaya, tunggu aku susah. Sekarang aku senang, makan sampai tak termakan. Akak masuk AIM. Kat sinilah akak ubah kehidupan

“Dulu akak pinjam tanah orang. Akak pinjam tanah besan akak, 4 ekar. Celah lorong sawit dia akak tanam pandan. Time tu akak dah ada motor sikit.

“Ni semua sekali pandan 12 ekar. Banyak sokongan dari suami akak sekaramg. Alhamdulillah akak buat pandan ada juga bisnes yang lain. Purata kasar sebulan RM50,000 ada lah,” ujarnya lagi.

Anggota polis berkomplot tawar diskaun saman, separuh dari wang dikongsi sesama mereka

SITI NUR ZAWANI MISCON

Empat anggota polis dikenalpasti antara 11 individu yang berkomplot dalam satu sindiket dipercayai menawarkan pengurangan saman trafik secara tidak sah membabitkan transaksi lebih RM5 juta.

Selain anggota polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga berjaya menahan enam penjawat awam dan seorang orang awam yang didapati terlibat dalam sindiket ini.

Lapor Harian Metro, sindiket berkenaan dipercayai mencari individu yang ingin menyelesaikan saman trafik dengan membayar sejumlah wang lebih rendah daripada nilai saman.

Selepas menerima wang itu, sebahagian jumlah berkenaan akan dimasukkan ke hasil kerajaan manakala selebihnya akan dikongsi dengan beberapa suspek yang bertugas di Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kemudian, suspek akan mengeluarkan nama individu yang disaman daripada sistem PDRM.

Bayaran ini akan dikutip anggota sindiket, seterusnya menyerahkan kepada pegawai yang membuat pengurangan kompaun menerusi sistem.

Difahamkan, sebanyak 60 akaun bank daripada suspek berjumlah keseluruhan kira-kira RM184,000 dibekukan oleh SPRM.

Sumber akhbar itu berkata, sembilan daripada individu-individu itu sudah direman bagi membantu siasatan sementara dua lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil.

Perintah tahanan reman selama tiga hari bermula semalam sehingga 7 Oktober 2022 itu dikeluarkan Majistret, Irza Zulaikha Rohanuddin, selepas meluluskan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Jelas beliau lagi pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk memanggil beberapa lagi saksi terdiri daripada pegawai dan anggota polis serta orang awam bagi membantu siasatan.

Isu konsert: Kerajaan Kedah gagal, MB 'koyak' - bekas exco

N Faizal Ghazali

Seorang ahli dewan undangan negeri (Adun) membidas cara Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menangani acara konsert sempena Muda-mudi Weekend Fest di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Adun Kubang Rotan Asmirul Anuar Aris berkata sudah beberapa kali perkara seumpama itu berlaku sekali gus ia menggambarkan kegagalan kerajaan negeri pimpinan Sanusi.

Katanya, agensi-agensi kerajaan negeri yang berkaitan sepatutnya membuat pemantauan ketika program berlangsung bagi mengelak perkara tidak diingini selain mewujudkan garis panduan atau modul bagi program berbentuk hiburan.

"Apabila ada konsert terhadap penonton menari secara liar orang kata. Ramai pakat hentam lebih-lebih lagi ia berlangsung berhampiran pejabat agama dan masjid negeri. Apabila berlaku perkara itu, jadi kita rasa terkejut.

"Tiba-tiba ada pihak yang juga penyokong blok kerajaan memetik gambar saya ke program itu dengan dakwaan kami sebagai menyokong dan penganjur. Saya rasa peliklah, apa kuasa kami sebagai pembangkang? Saya rasa itu satu fitnah dan tomahan yang cukup besar," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, semalam.

Wakil rakyat daripada Amanah itu berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung dakwaan pihak tertentu yang menyatakan dia turut terlibat dalam penganjuran MMWF.

Terdahulu tular rakaman video memaparkan aksi penonton MMWF yang dilihat asyik menari.

Ia kemudian mengundang kritikan ke atas kerajaan negeri - yang diterajui PAS - mengenai langkah kawalan yang diambil pihak berkuasa.

Klip video itu juga menjadi perhatian ramai kerana lokasi kejadian adalah berhampiran dengan Masjid Zahir di tengah Alor Setar.

Susulan itu Sanusi mengumumkan kerajaan negeri mengharamkan serta-merta penganjuran konsert di negeri itu ekoran insiden dalam program MMWF yang tular di media sosial.

Sementara itu Asmirul berkata pihaknya membuat satu laporan polis berhubung tohmahan dan fitnah dilemparkan ke atas.

Kata bekas exco belia dan sukan Kedah itu, dia hanya menghadiri MMWF pada sebelah petang bagi menyokong usahawan-usahawan belia yang berniaga di acara tersebut.

"Saya pun tak tahu ada konsert, tiba-tiba ada penyokong kerajaan yang menyerang dan tularkan gambar saya ke acara itu.

"Apabila orang menyerang mereka (kerajaan negeri). Tiba-tiba mereka terus menyerang orang lain. Jadi kami buat laporan polis supaya ambil tindakan terhadap pemilik-pemilik akaun Facebook dan aplikasi TikTok yang pro menteri besar Kedah," katanya.

Tambahnya kejadian itu bukan kali pertama menunjukkan kelemahan pentadbiran Sanusi antaranya sebelum ini terdapat program Kedah Fashin Weeks, pertandingan bina badan wanita dan acara luncur air (surfing) di Langkawi yang menimbulkan kontroversi.

"Mereka tak ada satu pemantauan daripada pihak kerajaan negeri dengan bersungguh-sungguh. Saya pun bekas exco, ada orang yang akan hantar proposal, pegawai kita akan monitor.

"Kenapa kerajaan negeri kedah tidak membuat kerangka modul tentang bagaimana patut diberi garis panduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sebagainya. Selepas itu ini berlaku mereka salahkan orang lain, lepas itu haramkan, dia yang 'koyak' sebenarnya.

"Kalau betul-betul mereka pantau dengan garis panduan oleh pejabat daerah atau agensi kerajaan pun rasanya memadai. Juga diselitkan dengan unsur-unsur islamik. Itu jawapan patut datang daripada menteri besar, bukan menyalahkan orang atas kegagalan pihaknya," tegas Asmirul.

Muhyiddin bayangkan PAS pilih PN

Alyaa Alhadjri

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin hari ini membayangkan PAS berkemungkinan kekal bersama gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang.

"Insya Allah, insya Allah. Istiqamah kita kata," katanya.

Presiden Bersatu itu berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat biro politik parti itu di ibu pejabat PN di Kuala Lumpur.

Petang tadi, Muhyiddin dan ahli majlis tertinggi PN, dengan PAS diwakili timbalan presiden parti itu, Tuan Ibrahim Tuan Man, mengadakan mesyuarat bulanan gabungan itu di lokasi yang sama.

"Kita ada mesyuarat mengenai persiapan pilihan raya. Bila masa (PRU) kita tak tahu.

"Tapi bukan baru, dah bincang beberapa kali tapi hari ini lebih terperinci untuk tentukan. Pertama, menyelaraskan semua jentera kita atas nama PN.

"Dalam mesyuarat PN, kita dah setuju semua jentera di semua peringkat bergerak atas nama PN.

"Maknanya gabungan parti yang ada - Bersatu, PAS, Gerakan, SAPP dan Star. Itu kita tetapkan," kata Muhyiddin.

Ketika ditanya pendirian muktamad parti itu mengenai keputusan antara bekerjasama dengan PN atau BN, Tuan Ibrahim berkata, "Tak ada pilihan. Kita sebahagian dari PN."

Bagaimanapun, dia berkata PAS berpandangan terdapat kerusi yang mesti dirundingkan bagi menafikan kemenangan PH.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa pemimpin Umno yang menghadiri taklimat khas bersama presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 4 Okt lalu telah diberi gambaran bahawa PAS akan berpihak kepada BN.

Bulan lalu, ahli jawatankuasa PAS pusat, Mohd Zuhdi Marzuki dilaporkan mendakwa Umno dan akar umbi PAS di 27 kerusi bersetuju untuk mengadakan perbincangan bagi mengelak pertembungan antara PN dan BN.

“Ya (kerusi itu) termasuk. Tapi di peringkat perbincangan...nanti akan diangkat semula kepada parti,” kata Tuan Ibrahim ketika ditanya mengenai perkara itu.

Dia juga mengulangi pendirian PAS bahawa muafakat penyatuan ummah yang dibawa PAS lebih besar daripada agenda menghadapi PRU.

Ketika PM menghadap Agong, menteri ini dakwa majoriti Kabinet tak setuju PRU-15 tahun ini

DANIAL HAKIM

Ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong, seorang menteri mendakwa majoriti jemaah menteri sebelum itu telah memberi pandangan kepada Perdana Menteri supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak diadakan tahun ini.

Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata jemaah menteri berpendapat ketika ini bukan waktu yang sesuai untuk PRU diadakan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu juga berkata, sebagai kerajaan prihatin, fokus kerajaan perlu menumpukan kepada cabaran pemulihan ekonomi dan bersiap siaga dengan kemungkinan berdepan bencana banjir.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata, beliau telah menyatakan pendirian dalam jemaah menteri bahawa ruang yang lebih perlu diberi supaya rakyat dapat bantuan sokongan untuk kembali ke tempat kerja dan menjalankan aktiviti perniagaan mereka.

Hal itu, kata bekas Timbalan Presiden PKR berkenaan perlu dilakukan walaupun angka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta prestasi perdagangan dan pelaburan semakin baik.

“Sebagai kerajaan prihatin, kita kena siap siaga dengan kemungkinan banjir besar,” lapor BH ketika ditemui pada pelancaran dasar pelaburan baharu berdasarkan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) di ibu negara, hari ini.

Azmin berkata demikian bagi mengulas spekulasi Parlimen akan dibubarkan bagi mengadakan PRU15.

Dalam masa sama, beliau mengesahkan tiada keputusan dibuat berhubung perbincangan jemaah menteri mengenai tarikh pembubaran Parlimen sebaliknya, kata Azmin, jemaah menteri bersetuju supaya Perdana Menteri melihat pandangan yang diberikan itu secara serius.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail yang juga Naib Presiden Umno memasuki perkarangan Istana Negara pada pukul 3.48 petang tadi untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Agong bimbang kesan PRU15 semasa musim tengkujuh

Hariz Mohd

Yang di-Pertuan Agong bimbang dengan maklumat yang diperoleh pagi ini semasa taklimat mengenai banjir akhir tahun, menurut sumber yang berada di dalam bilik taklimat berkenaan.

Sumber yang enggan namanya disiarkan berkata, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah diberi taklimat mengenai musim Monsun Timur Laut, yang dijangka bermula bulan depan dan berlarutan sehingga Mac tahun depan.

Baginda dikatakan menyuarakan kebimbangannya tentang kesan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kepada rakyat sekiranya ia berlangsung ketika musim tengkujuh.

"Tuanku bimbang pilihan raya diadakan pada musim Monsun Timur Laut yang akan datang, kerana ia akan memberi beban kepada rakyat," kata sumber yang rapat dengan perkembangan itu.

“Baginda juga menyuarakan harapan agar pihak berkuasa tempatan bersedia dengan baik, dan mengelakkan isu-isu yang tidak perlu dan kesukaran kepada rakyat,” katanya.

Pagi tadi, Sultan Abdullah melawat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), di mana baginda diberi taklimat oleh Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Muhammad Helmi Abdullah.

Menurut pegawai Istana Negara yang hadir di pusat itu, pihak istana meminta taklimat itu supaya Agong dapat menilai persiapan agensi kerajaan untuk menangani banjir akhir tahun.

Kunjungan baginda ke PRABN diadakan ketika Umno terus mendesak agar Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membubarkan parlimen serta-merta bagi memberi laluan kepada PRU15.

Seorang pakar perubahan iklim baru-baru ini turut memberi amaran supaya tidak mengadakan PRU sebelum Februari tahun depan, dengan mengatakan bahawa keadaan banjir semasa musim tengkujuh pada akhir tahun mungkin lebih buruk daripada yang berlaku pada 2021.

Zaini turut memuat naik di Facebook dan berkongsi data Jabatan Saliran dan Pengairan yang mengunjurkan hujan puncak bagi negeri pantai timur Kelantan, Terengganu dan Pahang pada Disember.

Bagaimanapun, semua negeri lain di Semenanjung Malaysia dijangka mengalami hujan puncak pada bulan November.

PN pertahan semua kerusi, jentera gerak atas nama gabungan

Anne Muhammad

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan mempertahankan semua kerusi yang disandangnya dan bertanding di kerusi berpotensi tinggi untuk dimenangi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, keputusan berkaitan pembahagian kerusi akan diumumkan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin.

“Kita tunggu pengumuman rasmi,” katanya kepada media di Ibu Pejabat PN selepas mesyuarat gabungan itu yang disusuli mesyuarat Bersatu.

Beliau berkata, persiapan dan koordinasi PRU15 antara perkara dibincangkan dalam mesyuarat PN dari 3 petang hingga 8 malam itu yang dihadiri semua wakil parti komponennya.

“Bincang juga calon dan kerusi yang akan ditandingi. Banyak perkara yang dapat diselesaikan malam ini.”

Sementara itu, Muhyiddin berkata, mesyuarat itu turut menetapkan semua jentera PN akan bergerak di bawah nama gabungan itu pada PRU nanti.

Katanya, PN akan mengadakan jelajah ke seluruh negara bagi mengulas isu semasa, termasuk menganjurkan program gerai prihatin bagi meringankan beban rakyat berdepan kos sara hidup tinggi.

Bekas perdana menteri itu turut memberi bayangan PAS akan terus bersama gabungan itu bagi menghadapi PRU15.

“Insya Allah, Insya Allah. Istiqamah kita kata,” jawabnya ringkas.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menyuarakan keyakinan bahawa parti itu akan terus bersama PN.

“Jadi, saya fikir tak ada isu. Bukan sekadar dalam konteks PRU, tetapi kerangka lebih besar daripada PRU. Mana-mana kita boleh pakat dalam politik. Bagi saya, dalam politik ni, kurangkan musuh ramaikan kawan. Itu asas,” katanya.

PAS akan bermesyuarat Sabtu ini untuk memilih bersama Umno atau Bersatu dalam PN pada PRU15.

Sebelum ini, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menetapkan tiga syarat untuk PAS kembali menjalin kerjasama politik dengan parti itu bagi menghadapi PRU15, iatu keluar daripada PN; memutuskan hubungan politik dengan Bersatu serta mengumumkan secara rasmi mereka “mufarakah” (berpisah) 100% daripada PN dan Bersatu.

Menteri PAS, BERSATU hantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong

Suzalina Halid dan Fahmy A Rosli

fahmy.azril@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Anggota Jemaah Menteri dari BERSATU dan PAS tidak bersetuju dengan pilihan raya umum (PRU) diadakan tahun ini kerana bimbang risiko banjir.

Seramai 12 ahli Kabinet kedua-dua parti berkenaan menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyatakan pendirian mereka.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan surat itu ditandatangani oleh semua menteri Perikatan Nasional (PN) kerana tidak mahu PRU-15 diadakan tahun ini.

Sementara itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata surat bertarikh 3 Oktober lalu, sudah pun diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong semalam.

Menteri PN tidak bersetuju PRU-15 diadakan tahun ini kerana Jabatan Meteorologi meramalkan berlaku musim hujan lebat.

Keputusan itu juga bagi membenarkan ekonomi negara pulih sepenuhnya untuk memudahkan urusan rakyat.

PM jumpa Zahid selepas selesai menghadap Agong

Haspaizi Zain

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bertemu dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ismail Sabri tiba di ibu pejabat parti itu di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, sebentar tadi dan sedang mengadakan perbincangan dengan Ahmad Zahid.

Pertemuan itu dipercayai bagi membincangkan soal pembubaran parlimen selepas perdana menteri selesai menghadap Agong.

Sementara itu sumber Umno memaklumkan pertemuan perdana menteri dengan Ahmad Zahid berlangsung dalam suasana harmoni.

"Ya, perdana menteri sedang bertemu presiden. Dalam suasana harmoni," katanya kepada Malaysiakini.

Hadi tetap mahu Umno, Bersatu berbaik demi selamatkan kerajaan PN

FMT Reporters

PETALING JAYA: PAS bertegas akan terus berada di tengah gelanggang pertembungan Umno dan Bersatu demi menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian itu di tengah-tengah spekulasi pembubaran Parlimen, selepas Barisan Nasional dan PN dilaporkan berbalah mengenai tarikh pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Apabila Umno mengajak PAS untuk berkumpul di PWTC yang dimiliki oleh Umno, maka ditubuhkan gabungan Muafakat Nasional (MN) dengan persetujuan yang ditandatangani bersama piagamnya, kemudian bersetuju dimasukkan juga Bersatu ke dalam gabungan MN.

“Maka, tiada sebab yang munasabah untuk merungkainya dan menasakhkan keputusan yang telah dimeteraikan kepada gabungan yang hanya terhad kepada Umno dan PAS sahaja, setelah ada dalam kalangan Umno menolak Bersatu atau kalangan Bersatu menolak Umno.

“PAS tetap mempertahankan konsep wasatiyyah dengan berada di tengah-tengah gelanggang pertembungan yang mahu merungkaikan kejayaan bersama menyelamatkan kerajaan PN,” katanya di Facebook

Beliau turut menasihatkan Umno dan Bersatu tidak terus berbalah kerana ia hanya akan menjadikan parti itu “gagal dan hilang kekuatan”.

Terdahulu, media melaporkan 12 menteri PN mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pendirian mereka menolak PRU15 diadakan tahun ini.

Spekulasi pembubaran Parlimen bertambah hangat selepas perdana menteri dilaporkan berkata, beliau akan mencadangkan tarikh pembubaran Parlimen pada majlis menghadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah petang ini, “jika berkesempatan”.

Hubungan Pas Umno semakin genting, 3 negeri Pas tidak akan bubar jika PRU tahun ini

BORHAN AHMAD

Hubungan antara Pas dengan Umno semakin genting apabila menolak cadangan parti itu untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) tahun ini dengan mengarahkan tiga negeri di bawahnya tidak membubarkan Dewan Negeri masing-masing.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan tiga negeri yang diperintah oleh Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing jika PRU diadakan tahun ini.

Ketetapan Pas itu menyusul selepas negeri dikuasai Pakatan Harapan iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang membuat keputusan sama, semalam.

Ini bertentangan dengan keputusan Umno menekan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub agar Parlimen dibubarkan segera untuk diadakan PRU-15.

Keputusan Pas ini dipercayai mempunyai kaitan dengan perbincangan yang dibuat di belakang tabir antara Umno, Pas dan Bersatu sekarang. Sebelum ini, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya berkata, Pas menolak cadangan untuk PRU diadakan pada tahun ini kerana musim banjir.

Keputusan Pas dipercayai ada kaitan dengan perbincangan dan syarat-syarat yang diberikan oleh Umno kepada Pas jika mahu bekerjasama iaitu memutuskan hubungan dengan Bersatu.

“Sekiranya Parlimen dibubarkan pada waktu ini, tiga negeri bawah pimpinan Pas, Kelantan, Terengganu dan Kedah, tidak akan dibubarkan.

“Yang saya difahamkan, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang juga tidak akan turut bubar,” kata Tuan Ibrahim dalam ucapan semasa Majlis penyerahan Watikah Ketua Bahagian Perikatan Nasional (PN) di Shah Alam, malam tadi.

Tuan Ibrahim turut mengingatkan semua ketua bahagian PN untuk bersiap sedia menghadapi dua pilihan raya iaitu DUN dan Parlimen.

“Bermakna Selangor ada dua kali peperangan yang tuan-tuan kena sedia bagi menawan. Pertama kita tawan Parlimen, yang kedua kita tawan negeri Selangor,” katanya.

Semalam, Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan ketiga-tiga negeri di bawah Pakatan Harapan tidak akan membubarkan DUN masing-masing jika Parlimen dibubarkan pada musim banjir.

Ia bertujuan untuk membolehkan semua jentera kerajaan ditumpukan untuk memberikan bantuan kepada mangsa banjir.

Melayan kebenaran PAS yang berubah-ubah

Malaysiakini

Abu Ilyas

Umno pernah tumbang dan tersungkur. Ia menjadi ibarat lelaki tua yang tercedera parah. Baju koyak-rabak dan seluar tersagat ke jalan tar. Hitam dan kotor. Jari terkopak, lutut berdarah dan peha tercalar.

Sedang merangkak, datang seorang tuan haji menghulurkan tangannya yang bersih, berlilit serban di lengan, jubah menutup rumput, bercapal bergegas membantu lelaki tua tadi.

Beberapa bulan kemudian, mereka bergandingan menuju ke arah puncak jaya. Mengajak ratusan orang kampung melakukan pemberontakan toharah. Bangkit selamatkan akidah orang kampung, kata mereka. Bangkit selamatkan poket marhaen. Bangkit selamatkan masjid-masjid yang akan dijual musuh.

"Kita mahu mentoharahkan kampung-kampung kita!" jerit tuan haji tadi.

Sambil bersyarah, dua tiga ekor kucing hitam menjilat-jilat cagu di hujung jari kaki tuan haji.

Di situ bermulanya alam pragmatisme PAS.

Dahulu, parti itu dikenali sebagai organisasi siasah yang bermaruah. Ia konsisten dengan agenda hudud dan qisas. PAS mahu menghumban pemikiran assabiah daripada masyarakat. Ia juga galak menentang thoghut dan jembalang-jembalangnya.

"Tidak timur, tidak barat, daulah Islamiah" adalah jeritan saban malam. Di kedai kopi. Di balaisah. Di simpang kubur. Di atas pondok pengajian. Di atas lori pengangkut bendera. Hatta di dalam mimpi saban malam.

Burukkan semua musuh

Tetapi itu sudah menjadi khayalan tatkala PAS memilih jalan pragmatisme.

Apakah itu pragmatisme? Saya ringkaskan begini: bagi ahli falsafah yang mendukung pemikiran ini, mereka percaya bahawa kebenaran itu tidak mutlak. Ia berubah-ubah bergantung kepada natijah yang terhasil.

Sesuatu itu benar hanya jika hasilnya adalah sama seperti yang mereka mahukan. Dan jika takdirnya kemahuan mereka kemudian berubah, maka takrif "kebenaran" itu juga akan berubah mengikut tafsiran baru.

Kebenaran tidak lagi berpasak pada panduan hakiki dari wahyu.

Dalam politik pilihan raya hari ini, natijah yang dimahukan oleh PAS ialah kuasa. Kenapa kuasa? Kerana sekarang telah terbukti sebenarnya mereka tidak 'mengejar' hudud. Tidak lagi meletakkan qisas dalam agenda perjuangan.

Tidak juga melonjakkan syariat Islam seperti pengharaman riba dan arak. Malah mereka tidak kisah kepada perjudian. Mereka hanya kisah kepada kuasa. Dan tentang konsert - barangkali demi meraih undi.

Satu ketika mereka mahu berkuasa secara sendirian. Maka pada waktu tersebut, itulah "kebenaran" yang sebenar. Segala dalil dikeluarkan untuk memburukkan sesiapa saja yang dilihat tidak sehaluan dengan mereka, waima Umno.

Selepas PRU14, mereka memilih berkawan dengan Umno dan - sudah tentu - ia adalah kebenaran buat PAS.

Baca kisah ibarat di atas. Untuk meyakinkan orang lain, mereka menyelongkar segala kitab politik yang ada bagi meyucikan perkawanan dengan Umno. Mereka memberikan takrifan baru tentang "kebenaran" sambil menyaluti hujah tersebut dengan dalil agar matlamat sebenar - kuasa - tidak terlalu ketara terdedah.

Apabila Muhyidin Yassin menjadi perdana menteri, tiba-tiba "kebenaran" berubah lagi. Ia dipindahkan daripada agenda bersahabat dengan Umno kepada sekhemah bersama Bersatu. Hal itu kerana dengan memilih Bersatu, PAS mendapat kuasa. Justeru mereka mengabaikan Muafakat Nasional dan - tanpa berunding dengan Umno - membentuk Perikatan Nasional (PN).

Apabila ditertawakan sebagai "bermain dua kolam" PAS tidak peduli. Sekali lagi mereka hadir dengan makna "kebenaran" yang terkini. PAS menjaja makna "benar" itu untuk menghalalkan tindakan mereka.

Kolam syarie, misalnya.

Sambil-sambil itu mereka tekal menyerang PH dengan mengulang-ulang hujah atau naratif yang disepakati tanpa mengambil kira fakta. Hal itu kerana PAS tahu, pembohongan yang diulang-ulang akhirnya akan diterima sebagai kebenaran.

Sesekali dengan takrifan kebenaran yang dibawa, PAS menyerang 'kluster mahkamah' juga.

Ahli PAS terus gah di serata negara sebagai menteri, menteri besar, pegawai besar, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan dan seumpamanya.

Bagaimana semua ini berlaku? Ia boleh terjadi kerana PAS berpegang kepada aliran pemikiran pragmatisme. Sama ada secara sedar atau luar sedar.

PAS mengelak menjual kalimah kuasa untuk berpolitik. Maka kalimah itu ditukar kepada "ummah". Justeru mereka menjaja hujah kononnya kewujudan "dua kolam" itu adalah untuk menjaga kesatuan ummah.

"Sebenarnya kami bukan mahu berada dalam dua kolam, tetapi kami mahu mencipta kolam besar," kata mereka.

Mencapai natijah yang satu

Ya, lunak dan syarie bunyinya, tapi kolam besar PAS itu masih berdasar kepada kuasa kuasa, dan ia disolek dengan syarat yang - ke arah mana pun - akan menguntungkan mereka.

Maka PAS mencipta naratif kolam besar yang mesti hanya disertai parti Melayu tertentu sahaja, kerana di mata parti itu tidak semua umat Islam sesuai dengan kehendak mereka.

Untuk menjadikan ia 'suci' maka PAS menyandarkan hujah mereka kepada agama sebagai dalil. Jika diteliti dengan lebih sedikit mendalam, matlamatnya masih sama: PAS mesti kekal berkuasa.

Kebenaran itu mesti menguntungkan PAS. Jika pihak lain yang membawa hal yang sama, ia belum tentu benar di mata parti itu. Andai hal yang sama itu dikemukakan PH, misalnya, ia akan ditentang sebagai kebatilan.

Bagi PAS melawan PH itulah kebenaran. Untuk PAS kebenaran tidak boleh wujud pada sesiapa selain PAS. Mereka tidak peduli pun hujah, dalil dan fakta. Benar bersamaan dengan PAS.

Kalau mereka berani menggunakan ayat-ayat perpaduan umat Islam hanya untuk kebaikan Umno, Pas dan Bersatu, maka beranilah juga menentang kebenaran hakiki.

Ahli-ahli PAS tentu tidak akan bersetuju dengan tulisan ini. Mereka masih yakin mereka berada pada kebenaran hakiki. Walaupun jika hujung minggu ini mereka terpaksa menjilat semula ludahan kepada Umno atau kluster mahkamah, namun demi "kebenaran" yang berubah-ubah untuk mencapai natijah yang satu, mereka bersedia melakukannya.

Atas pemerhatian inilah maka saya percaya PAS berada selesa di atas jalan pragmatisme yang pernah dicela oleh parti itu suatu masa dahulu. Mereka akan terus memperjuangkan pragmatisme demi kuasa.

Siapa yang akan termakan dengan permainan ini? Jika kalian sukar memahami tulisan ini, kalian bakal tergolong bersama mereka. Selamat mengundi.

ABU ILYAS ialah pelajar sarjana sains politik yang sedang menyiapkan kajian tentang siasah Malaysia. Dia percaya banyak parti di negara ini sukar menjadi jujur dan istiqamah kepada ideologi dan prinsip sendiri.


25 maut, bas bawa rombongan kahwin terjunam gaung

TANGKAP layar daripada video disediakan KK Productions menunjukkan penyelamat mengeluarkan mangsa kemalangan bas berkenaan. FOTO AP

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 25 orang maut selepas sebuah bas yang membawa tetamu majlis perkahwinan, terbabas dari jalan lalu terjunam ke dalam gaung di utara India.

Bas yang membawa kira-kira 45 penumpang melalui lebuh raya di kawasan pergunungan berbahaya di negeri Uttarakhand sebelum terbabas ke dalam gaung sedalam 500 meter.

“Seramai 20 orang berjaya diselamatkan,” kata pegawai polis Uttarakhand, Ashok Kumar.

Perdana Menteri, Narendra Modi memaklumkan kerajaan akan memberi bantuan kepada semua mangsa yang terselamat.

“Pada tempoh yang sedih ini, saya mengucapkan takziah kepada semua mangsa dan keluarganya atas kehilangan mereka,” katanya di Twitter.

Jun lalu, puluhan orang maut apabila bas dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung ketika perjalanan ke kuil Hindu Yamuna di ibu negeri Dehradun.

Menurut laporan Bank Dunia, India menyumbang sebanyak 11 peratus jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di dunia. – AFP/utusanonline

Cerita dari sekeping foto lama

DR MUHAIMIN SULAMll

Menyelusuri susur galur darah daging sendiri adalah suatu pengalaman bermakna dalam hidup berkeluarga. Mencari makna setiap detik-detik yang berlalu tentang keluarga adalah memberi maksud keperluan menghargai setiap detik hidup bersama. Apa jua keadaan, susah – senang, suka- duka, pahit – manis adalah asam garam kehidupan yang harus dilalui oleh kita sebagai manusia.

Sejarah kita mungkin berbeza. Seperti juga untung nasib, rezeki, jodoh pertemuan adalah di tangan Tuhan. Berapa banyak doa yang kita panjatkan, entah berapa banyak yang Allah kurniakan tanpa kesedaran dan kesyukuran.

Kitapun tidak tahu, doa siapa yang dimakbulkan oleh Tuhan. Doa siapa yang hijabnya tiada antara dirinya dengan Maha Berkuasa dan Maha Pemurah.Barangkali doa daripada insan hina yang tidak pernah dipandang oleh mata manusia.

Barangkali doa dari ungas, binatang atau alam yang lebih bersempati kepada kita. Kita tidak tahu tetapi kadangkala kita ingin menjadi serba tahu dan lebih ingin memberi tahu daripada tahu.

Antara kecenderungan saya kini adalah membuat penyelidikan dan pengumpulan dokumen-dokumen tentang keluarga. Samada keluarga di sebelah bapa atau mak. Bahkan keluarga di sebelah isteripun, saya cuba susur sedikit demi sedikit. Meski agak sukar kerana ramai yang sudah tiada kerana meninggal dunia.

Masa tidak pernah menunggu kita. Masa akan terus berdetik dan berlalu. Melalui usaha kecil ini akan menjadi suatu jambatan zaman antara generasi ke satu generasi bagi menghubungkan kegemilangan silam dengan keyakinan pada hari ini untuk masa hadapan yang lebih membahagiakan.

Menjadi penyambung semangat zaman adalah satu tanggungjawab sosial yang sering terabai akibat bebanan yang menghimpit kehidupan. Memberi ruang sedikit waktu merenung silam melalui foto-foto lama adalah salah satu caranya. Kemudian, hasil penyelidikan dikongsi samada dalam bentuk album, novel, buku ataupun artikel. Atau mungkin boleh disegarkan melalui media sosial facebook, Instagram, tik tok dan sebagainya.

Suatu petang, saya memperuntukan waktu berada di rumah lama tinggalan datuk saya sebelah mak di kampong Sungai Batang, Bagan Datoh. Di rumah inilah saya dilahirkan pada tahun 1964. Bahkan saya dibesarkan di sini sebelum mak dan bapa berpindah ke Sungai Manik bagi memulakan penghidupan keluarga muda yang baru.

Mak saya bernama Masreah dibesarkan dengan suasana pendidikan yang sangat memberangsangkan. Bapa mak, bernama Kiyai Haji Yasin Abu Bakar Toha seorang hartawan. Kiyai Haji Yasin mewakafkan sebahagian kekayaannya untuk pembangunan pendidikan di kampong tersebut. Kiyai Haji Yasin mendirikan pondok, madrasah dan surau al Yasiniah. Ketiga-tiga institusi itu didirikan berdekatan dengan rumah-rumahnya dengan bantuan gotong royong bersama orang kampong.

Bahkan Kiyai Yasin juga menyerahkan tanahnya untuk dijadikan tapak kepada pembinaan sekolah rendah kebangsaan Sungai Batang. Semua anak-anaknya daripada ketiga-tiga isterinya belajar di situ. Kira-kira tahun 70an, sekolah itu masih digunakan sebelum dipindahkan ke tebuk tengah kira-kira setengah kilometer dari tapak asalnya.

Foto ini adalah gambar pelajar-pelajar Madrasah al Yasiniah bersama dengan Ustazah Salehah binti Abdul Kadir, isteri kepada Ustaz Ashaari Naim, guru sekolah yang sama. Mereka adalah lulusan Madrasah Ehya as Syarif, Gunung Semanggol. Mereka berasal dari Temoh, sebuah perkampongan yang mempunyai tradisi pendidikan Islam berpengaruh pada tahun-tahun 40an.

Sebahagian besarnya sudah tiada. Semoga roh mereka yang telah pergi dicucuri rahmatNya dan ditempatkan di kalangan para mursalin dan solehin. Amin.

PAS ada pelan kedua dengan Umno, Bersatu pula yakin Pas pilih PN

‘Kalau dua kumpulan umat Islam bertelagah, maka kamu damaikan mereka’ – Pas ada pelan kedua dengan Umno, Bersatu pula yakin Pas pilih PN

DANIAL HAKIM

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu tidak sesekali ‘undur’ untuk menjayakan penyatuan ummah bersama Umno dan memiliki pelan kedua jika agenda yang sedang diusahakan itu gagal.

Menurutnya, isu sekarang bukan mengenai Pas bermain ‘dua kolam’ atau lebih kerana ia bukan hanya membabitkan kepentingan politik, sebaliknya membabitkan semua perkara.

“Sebab itu bagi kita bukan hanya Pas dan Umno, kalau dua kolam hanya Pas dan Umno sahaja. Penyatuan ummah ini gagasan besar.

“Walaupun tiada mesyuarat rasmi, MN (Muafakat Nasional) ini tiada pihak yang nak bubar sebab bagi saya ia adalah platform untuk kepentingan bukan hanya untuk politik tetapi juga kepentingan masyarakat.

“Kalau kita lihat dalam ayat al-Quran, kalau dua kumpulan umat Islam bertelagah, maka kamu damaikan mereka.

“Kalau nak kira sensitif rasa hati, Pas lebih rasa hati dengan Umno, 60 tahun berbanding dengan Bersatu malah Bersatu pun sebahagiannya adalah pemimpin Umno dahulu,” jelasnya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin, yakin Pas akan terus bersama Perikatan Nasional (PN) dalam memperkukuhkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ujarnya, setakat ini, Pas menunjukkan komitmen untuk bergerak bersama PN dalam satu pasukan malah jentera pilihan raya PN telah dilancarkan di beberapa buah negeri dan akan terus melaksanakannya dalam masa terdekat.

Zahid jumpa 40 ADUN Johor dalam pertemuan tertutup

FMT Reporters

PETALING JAYA: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dilapor mengadakan pertemuan tertutup bersama semua 40 ADUN Johor hari ini.

Harian Metro melaporkan pertemuan itu diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi di Saujana, Johor Bahru bermula 9 malam tadi.

Difahamkan, semua pemimpin utama Umno Johor, selain 40 ADUN berada di sana sejak 8 malam tadi.

Kenderaan rasmi Zahid dilihat memasuki pekarangan kediaman rasmi menteri besar Johor itu Menteri pada 8.16 malam tadi.

Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan dan Ketua Umno negeri, Hasni Mohammad juga dijadualkan hadir pertemuan itu.

Menurut sumber Umno Johor dipetik akhbar itu, agenda utama pertemuan itu bagi membincangkan pembahagian tugas jentera negeri menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Katanya, presiden juga dijangka mengingatkan 40 ADUN yang memenangi pilihan raya negeri Johor supaya tidak selesa dan terus meningkatkan perkhidmatan mereka.

“Ia berikutan PRU15 adalah padang permainan lebih besar, dengan segala isu tidak dijangka akan menjadi peluru berbahaya.”

Jumaat lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan PRU15 akan diadakan tahun ini dan perdana menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Gara-gara 'ubatkuat' sepasang pengantin baru maut

Agensi

POLIS membuat siasatan di lokasi kejadian suami isteri muda meninggal dunia. FOTO Polis Karanganya

POLIS membuat siasatan di lokasi kejadian suami isteri muda meninggal dunia. FOTO Polis Karanganya

Jakarta: Gara-gara terlebih makan ubat kuat atau ubat perangsang seks, suami isteri muda di Indonesia, maut.

Pasangan itu ditemukan tidak bernyawa di sebuah bilik hotel di kawasan Karangpandan, Karanganyar, Jawa Tengah ketika kakitangan hotel membuat pemeriksaan selepas menyedari mereka terlewat mendaftar keluar, Isnin lalu.

Ketua Subseksyen Unit Pendidikan dan Hubungan Masyarakat Polis Karanganyar, Bripka Aditya Prima Sakti mengesahkan, pasangan masing-masing berusia 30 dan 27 tahun yang berasal dari Mojosongo, Kota Solo itu baharu saja bernikah beberapa minggu lalu.

Katanya, mereka membuat tempahan untuk menginap di hotel itu pada 4.30 petang, Sabtu lalu.

"Mengikut maklumat kakitangan hotel, pasangan itu sempat memohon untuk memanjangkan tempoh masa penginapan mereka sehingga 4 petang, Ahad.

"Namun, pada keesokannya, kedua mereka tiada khabar sehingga kakitangan hotel membuat pemeriksaan dan menemukan kedua-duanya sudah meninggal dunia," katanya.

Katanya, bedah siasat mendapati tiada tanda-tanda kekerasan pada tubuh badan mangsa.

"Kedua-duanya meninggal dunia kerana disyaki terlalu banyak mengambil ubat kuat sehingga mengakibatkan denyut jantung laju dan pembuluh darah pecah sebelum meninggal dunia.

"Punca kematian ini diperkukuhkan lagi dengan barang bukti iaitu sisa ubat kuat yang diminum mereka yang ditemukan di bilik hotel itu.

"Sebuah botol suplemen atau 'ubat kuat' ditemukan kosong serta satu satu strip ubat kelihatan terbuka dan sudah digunakan," katanya.

Rogol empat atlet, jurulatih dipenjara satu abad

AFP

Sao Paulo: Bekas jurulatih pasukan kebangsaan gimnastik Brazil dijatuhkan hukuman penjara lebih satu abad selepas merogol empat atlet termasuk seorang bawah umur, lapor media tempatan hari ini.

Fernando de Carvalho Lopes dipenjarakan 109 tahun dan lapan bulan oleh mahkamah di bandar Sao Bernardo do Campo, dekat Sao Paulo.

Dia didapati bersalah menyerang empat atlet termasuk seorang berumur 13 tahun ketika kejadian, menurut Globo Esporte namun tidak mendedahkan lebih lanjut umur gimnas yang lain.

Bagaimanapuan Carvalho Lopes masih boleh membuat rayuan dan mengekalkan pengakuan tidak bersalah. Dia tidak akan ke penjara sebelum semua proses rayuan selesai.

Bekas jurulatih itu melatih gimnas muda hampir 20 tahun sebelum disingkirkan daripada skuad kebangsaan pada 2016, sebulan sebelum Olimpik Rio susulan aduan daripada ibu bapa atlet.

Pada April 2019, dia digantung seumur hidup daripada semua aktiviti berkaitan gimnastik.

Dia berdepan dakwaan: empat tahun lalu, 40 atlet dalam kenyataan kepada Globo TV berkata mereka menjadi mangsa penderaan psikologi, fizikal dan seksual.

Ada di antara mereka terbabit dengan proses undang-undang apabila menjadi saksi perbicaraan dalam kejadian yang berlaku antara 1999 dan 2016 itu.

-hmetro 

Negeri ditadbir PH muktamad tak bubar DUN jika PRU15 tahun ini

Kow Gah Chie & Fion Yap

Kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH) tidak akan membubarkan dewan undangan negeri masing-masing jika Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membubarkan parlimen dalam tempoh terdekat.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sebaliknya akan menumpukan perhatian kepada usaha membantu rakyat yang berdepan dengan kemungkinan banjir semasa musim tengkujuh nanti.

Menurut Anwar keputusan itu diambil selepas ia dibincangkan Majlis Presiden PH hari ini.

"Andai kata parlimen dibubar (dalam tempoh terdekat), keputusan tiga-tiga negeri ini ialah akan menumpukan perhatian menangani masalah banjir, ringankan beban mangsa banjir yang terpaksa menghadapi bencana.

"Oleh yang demikian mereka (Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan) tidak akan mengadakan pilihan raya sehingga selesai isu banjir yg dijangka (sehingga) Feb atau Mac," katanya pada sidang media di parimen hari ini.

Anwar yang juga ahli parlimen Port Dickson menambah, selepas isu banjir berlalu kerajaan negeri yang terbabit masih mempunyai masa untuk membubarkan DUN masing-masing.

"Pokoknya, kerajaan negeri PH tidak akan bersama kerajaan persekutuan andainya PRU diadakan semasa (musim) banjir kerana pada anggapan ketua menteri Pulau Pinang, menter besar Selangor, menter besar Negeri Sembilan, kita tidak harus menambah derita dan penderaan kepada rakyat yang terpaksa mengharungi masalah banjir," katanya.

Kenyataan itu dibuat ketika khabar angin yang mengatakan Ismail Sabri Yaakob akan menghadap Yang di-Pertuan Agong sehari dua lagi semakin kencang bertiup.

Pertemuan itu dikatakan untuk menyampaikan cadangan perdana menteri kepada Agong agar parlimen dibubarkan.

Gesaan agar PRU ke-15 segera dibuat datang dari Umno, khususnya pemimpin tertinggi parti itu.

Bagaimanapun selain PH, Perikatan Nasional (PN) yang membentuk kerajaan di bawah Ismail Sabri turut menyatakan bantahan kepada cadangan tersebut.

Ditanya sama ada PH bimbang peratus keluar mengundi menurun jika PRU peringkat parlimen dan negeri tidak dijalankan serentak di tiga negeri terbabit, Anwar berkata, ada hal yang lebih membimbangkan mereka.

"Saya lebih risau terhadap penderitaan rakyat semasa musim banjir ini.

"Jika kita sibuk dan bimbang tentang jumlah keluar orang mengundi dan keputusan pilihan raya, (bermakna) anda menghina rakyat.

"Kita tak boleh berterusan melakukan hal itu," katanya.

Tender meriam Howitzer RM854j secara terus pada syarikat setahun jagung, rupanya ada ‘kabel besar’

NASUHA RAHMAN

Selepas skandal kapal pesisir tempur (LCS) timbul pula skandal baru iaitu tender pembelian meriam artileri Howitzer yang diberikan secara rundingan terus kepada sebuah syarikat setahun jagung yang tiada pengalaman.

Apa istimewanya syarikat setahun jagung ini di mana pengarahnya masih muda-muda belaka umpama pelajar universiti mambuat kerja sampingan seperti ‘rider’.

“Bila disemak rupanya syarikat ini ada kabel besar,” kata Rafizi Ramli dalam video TikToknya.

Menurut Rafizi setelah disemak syarikat yang bernama MA Analytics Sdn Bhd rupanya baru ditubuhkan tidak sampai dua tahun.

Katanya, syarikat ini sudah tulis surat kepada Perdana Menteri minta segerakan kelulusan tender kepadanya maka Perdana Menteri sudah tanda arahan di atas surat itu “saya sokong permohonan sila ambil tindakan”.

Jumlah kontrak sebanyak RM854 juta secara terus kepada syarikat tersebut.

Tentera darat memohon untuk membeli meriam Howitzer yang baru di mana melalui proses peralihan kerajaan menetapkan kementerian perlu mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan.

Jika tidak buat tender secara terbuka maka Kementerian Pertahanan diminta buat tender terhad kerana ini adalah perolehan pensenjataan

“Jadi perlu ada kerahsiaan maklumat-maklumat dan spesifikasi dan lain-lain.

“Sepatutnya Menteri Kewangan gembira sebab Kementerian Pertahanan nak buat tender boleh dapat harga yang terbaik pada nilai yang terbaik bagi rakyat,” kata Rafizi.

Jelas Rafizi Kementerian Kewangan menjawab permohonan Kementerian Pertahanan itu melalui tender terhad ditolak sebaliknya Kementerian Kewangan mengarahkan Kementerian Pertahanan untuk menganugerahkan projek besar ini secara terus kepada MA Analytics Sdn Bhd.

Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah mendedahkan pembelian senjata meriam Howitzer secara rundingan terus tidak mengikut kehendak ATM.

Hubungan PAS-Bersatu Selangor ‘dingin’, tak puas hati pembahagian ketua PN bahagian

FMT Reporters

Sumber berkata pergolakan antara PAS dan Bersatu di Selangor akibat ketidakpuasan hati pembahagian jawatan ketua Perikatan Nasional bahagian.

PETALING JAYA: Hubungan PAS dan Bersatu di Selangor didakwa “semakin dingin” apabila timbul ketidakpuasan hati antara pimpinan parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu berhubung pembahagian jawatan peringkat bahagian.

Sumber parti dalam gabungan PN Selangor berkata, pergolakan itu berlaku apabila pemimpin PAS negeri difahamkan tidak berpuas hati dengan pembahagian jawatan ketua PN bahagian membabitkan 22 Parlimen bagi tiga parti dalam komponen itu.

“Di Selangor ada 22 kawasan Parlimen, mengikut perjanjian awal pembahagian bagi jawatan ketua perhubungan PN bahagian adalah sembilan untuk Bersatu, sembilan untuk PAS dan empat untuk Gerakan yang dipersetujui oleh tiga parti dalam PN.

“Tiba-tiba diubah kepada 10 Bersatu, lapan PAS dan empat Gerakan tanpa persetujuan PAS,” katanya sumber itu kepada FMT.

Katanya, susulan keputusan itu beberapa pemimpin peringkat bahagian PAS dikatakan memboikot untuk menghadiri majlis makan malam bersama Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin dan penyerahan watikah ketua badan perhubungan kawasan di sebuah hotel di Shah Alam malam ini.

“Sepatutnya setiap kawasan PAS hantar 30 wakil, termasuk 10 Pemuda dan 10 Muslimat (Wanita). Tetapi sebagai tanda bantahan cuma ketua PAS kawasan saja akan hadir. Sepatutnya lebih 400 wakil PAS akan hadir malam ini tapi yang akan hadir tidak sampai 40 orang,” katanya.

PN Selangor diketuai Mohamed Azmin Ali.

Selangor mempunyai 22 kerusi Parlimen dan 56 DUN yang mana Pakatan Harapan(PH) menguasainya pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Anggota tentera ditahan disyaki jadi lanun di Sabah

Malaysiakini

Kementerian Dalam Negeri mengesahkan terdapat dua kes rompakan bersenjata di pantai timur Sabah pada Ogos lalu.

Dalam jawapan bertulis kepada Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna), Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin kedua-dua kejadian itu membabitkan suspek yang merupakan anggota pasukan keselamatan.

“Kedua-dua kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan berkumpulan.

“Tangkapan seramai 20 orang anggota tentera dan suspek-suspek telah dijamin pada 25 September 2022 dan kes masih dalam siasatan,” katanya.

Kejadian pertama berlaku pada 15 Ogos di perairan berhampiran Pulau Siamil manakala kejadian kedua pada 18 Ogos di Pulau Bum Bum.

Kedua-dua lokasi itu terletak di bawah DUN Semporna.

Di bawah Seksyen 395, pesalah boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan disebat.

Pas mahu jadi tongkat baru Umno selepas 2 tongkatnya patah sebagaimana kata Nik Aziz

BORHAN AHMAD

Pas kini umpama tongkat baru kepada Umno selepas parti perkauman Melayu itu hampir rebah selepas kedua-dua tongkatnya, MCA dan MIC, dipatahkan oleh Pakatan Rakyat dalam pilihan raya 2008 dan 2013 lalu.

Bekas Timbalan Presiden Pas, Haji Mohamad Sabu berkata, bekas Mursyidul Am Pas Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berkata, kekuatan Umno terletak kepada dua tongkatnya iaitu MCA dan MIC.

“Ingat pesanan Tok Guru Nik Aziz. Kekuatan Umno terletak kepada dua tongkatnya, MCA dan MIC.

“Kedua-dua tongkat itu dipatahkan oleh Pakatan Rakyat dalam pilihan raya 20o8 dan 2013. MCA kalah teruk, MIC tinggal satu iaitu Tapah dan kini hidup segan mati tak mau.

“Dalam keadaan Umno lemas itulah Pas pergi meletakkan bahunya untuk menyelamatkan Umno,” kata Mohamad, Presiden AMANAH dalam ucapannya di Melaka malam tadi.

Mohamad mengingatkan kembali pesanan Tok Guru Nik Aziz, kekuatan Umno terletak kepada 2 tongkatnya, MCA dan MIC. Selepas tongkat itu patah, Pas pergi meletakkan bahunya kepada Umno yang sedang lemas.

Namun, kata Mohamad, yang sedihnya adalah pendedahan yang dibuat oleh Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Zahid Hamidi bagi tau, bukan saya nak jumpa Ustaz Hadi, Ustaz Hadi lah yang terhegeh-hegeh datang jumpa saya untuk menyelamatkan Umno.

“Ertinya mahu bekerjasama dengan Umno, parti penyamun,” kata Mohamad, Ahli Parlimen Kota Raja itu.

Media sebelum ini melaporkan, dalam pertemuan kedua-dua mereka, Ahmad Zahid telah memberikan tiga syarat kepada Pas.

Tiga syarat berkenaan termasuk Pas perlu keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu serta mengisytiharkan secara rasmi ‘mufaraqah’ berkenaan dan bukan hanya sekadar retorik politik.

Ahmad Zahid berkata, syarat itu telah disampaikan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi pertemuan baru-baru ini.

Selepas pertemuan itu, Pas dilihat tidak lagi bertegas untuk bekerjasama dengan Umno bahkan telah menolak cadangan Umno yang diketuai Zahid untuk mengadakan pilihan raya pada tahun ini juga.

Ia dinyatakan oleh hadi dalam satu kenyataan bertulis yang dibuat oleh beliau semalam.

Bekas suami masih mahu hubungan intim selepas cerai

KOSMO!

PETALING JAYA – Sudah enam bulan berpisah dengan bekas suami, namun lelaki tersebut sehingga kini masih meminta hubungan kelamin dengan bekas isterinya.

Itu masalah dihadapi seorang wanita dikongsikan menerusi Facebook Peguam Kebajikan berhubung keadaannya yang masih tinggal sebumbung dengan bekas suami ekoran tiada tempat tinggal lain serta tidak mampu bekerja kerana masalah kesihatan.

“Hasil daripada perkahwinan dengan bekas suami, kami dikurniakan empat anak. Bekas suami sering meminta menjalinkan hubungan kelamin, sedangkan kami sudah bukan suami isteri.

“Jka saya tolak kemahuannya, dia akan tuduh saya. Dia akan cakap, ‘dengan orang lain boleh’. Sedangkan saya tidak pernah melakukan perbuatan terkutuk itu,” katanya.

Wanita itu berkata, bekas suaminya juga pernah mencadangkan supaya dia menjadi pelacur sekiranya tidak mampu bekerja untuk menyewa rumah lain.

“Saya boleh keluar dari rumah ini, duduk di kaki lima pun tidak apa. Yang jadi keberatan untuk saya keluar dari rumah adalah anak bongsu saya usia tujuh tahun.

“Dia akan menangis kalau saya tidak ada di rumah sebab saya pernah lari ke rumah adik.

“Bekas suami telefon suruh balik sebab anak menangis tak henti-henti. Untuk pengetahuan, saya sudah tidak ada ibu bapa. Apa perlu saya buat?,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

PAS 'Siang jadi isteri, malam jadi gundik'?

Mohsin Abdullah

September 29, 2022

Muhyiddin Yassin kata Abdul Hadi Awang kata (sila rujuk artikel saya semalam), PAS “dalam tempoh terdekat akan buat keputusan muktamad ‘to cut off ,they will have nothing to do with Umno’”. Menurut Muhyiddin, begitulah “gambaran” yang diberikan presiden PAS itu kepadanya dalam pertemuan tempoh hari.

Bukan menganggap Muhyiddin tersalah tafsir. Bukan menuduh beliau dan juga Hadi tidak bercakap benar atau tidak menceritakan kisah lengkap, cuma ingin bertanya adakah PAS akan melakukan apa yang Muhyiddin kata PAS akan lakukan? Perlu diingat, Muhyiddin tidak berkata PAS dalam waktu terdekat akan buat keputusan muktamad – sama ada nak pilih Umno atau Bersatu. Tidak beliau berkata demikian.

Sebaliknya, Muhyiddin mengumumkan gambaran yang diberi kepadanya oleh Hadi ialah PAS dalam tempoh terdekat akan buat keputusan muktamad untuk putus hubungan dengan Umno. Noktah. Sekali gus, PAS tidak akan “ada kena-mengena” lagi dengan Umno. Itu kesimpulan Muhyiddin dengan jelas dan yakin.

Persoalan sama ada itu yang akan PAS lakukan, saya timbulkan berdasarkan realiti dan situasi politik tanah air serta pilihan yang ada pada PAS masa kini.

“Saya tidak yakin PAS akan tolak Umno begitu saja. Masalah 27 kerusi kritikal bermain dalam kepala PAS,” kata Mohd Sayuti Omar, penulis politik yang mengikuti perkembangan PAS lebih 50 tahun.

Kerusi kritikal yang Sayuti maksudkan ialah kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, dan Sabah. Peratus pengundi Melayu di kawasan berkenaan dianggarkan 50% hingga 60%. Semua kerusi itu dimenangi Pakatan Harapan menerusi calon PKR, Amanah, dan DAP pada PRU14.

“Kalau masalah kerusi kritikal tidak diselesaikan, harapan untuk menang pada pilihan raya akan datang sukar,” kata Sayuti. Kata beliau lagi, PAS akan terus berusaha “menggunakan alasan perpaduan ummah untuk berbaikkan Umno dengan Bersatu”.

Menurut Sayuti, PAS “sangat memahami” jika Umno dan Bersatu tidak didamaikan sehingga berlaku perebutan antara mereka di 27 kerusi kritikal itu, “harapan kelompok bernuansa Melayu-Islam menang tidak akan tercapai”.

Bagi Sayuti, gara-gara 27 kerusi yang dikategorikan sebagai kritikal itu menyebabkan Umno, PAS, dan Bersatu “seperti sedang meroyan” dan ketiga-tiganya masih tercari formula terbaik untuk mengatasi masalah itu.

Walaupun mendakwa semua dibuat atas landasan perpaduan ummah “demi bangsa dan agama”, hakikatnya seperti kita semua maklum, tujuannya ialah untuk menang pilihan raya, meskipun bak kata Sayuti, dasar itu boleh dilihat bersifat “rasis” dalam konteks masyarakat Malaysia. Namun, itu modal besar PAS.

Kita kerap diberitahu akar umbi PAS dan Umno mahu parti mereka berbaik-baik demi perpaduan saudara seagama. Namun bagi saya, PAS dan Umno semasa menubuhkan Muafakat Nasional (MN) pada 2019 percaya, malah yakin, kemenangan PRU15 akan mereka perolehi, jika kedua-dua parti bersatu. Kalau tidak bergabung, bekerjasama paling tidak.

Tetapi, saya berpendapat PAS lebih selesa duduk dalam gabungan yang dianggotai Bersatu. Lantas, Perikatan Nasional (PN) kerana parti pimpinan Muhyiddin lebih “mudah” atau lebih “lembut” apabila soal agihan kerusi dibincangkan, berbanding Umno yang pasti akan “keras kepala” dan tidak berganjak apabila membuat tuntutan.

Dari sudut lain, PAS bersama Umno dalam MN akan menyaksikan Umno dominan. PAS bersama Bersatu dalam PN, PAS lah dominan.

Selepas pertemuan Muhyiddin dan Hadi pada 26 Sept lalu, presiden Bersatu itu memberitahu: “Kita (maksudnya Bersatu dan PAS) bersetuju rundingan kerusi untuk PRU15 dimuktamadkan segera. Ini akan disegerakan, maknanya sudah sampai tahap pembahagian kerusi.” Ertinya semua sudah atau hampir beres. Begitu?

Ertinya, soal siapa bertanding di mana digunakan sebagai “bargaining chip” untuk Bersatu dan PAS mencapai matlamat masing-masing.

Berbalik kepada soalan adakah PAS akan meninggalkan Umno seperti yang Muhyiddin faham gambaran yang diberikan Hadi kepadanya?

Kata Sayuti, PAS “benar-benar jadi ‘mediator’ untuk selamatkan keadaan.” Saya melihat “selamatkan keadaan” ialah “selamatkan diri sendiri”. Apa pun, bagi Sayuti, dalam keadaan tertentu, PAS sedia membahagi-bahagikan dirinya untuk Umno dan Bersatu. “Siang jadi isteri (kepada Umno), malam jadi gundik (kepada Bersatu),” kata beliau.

Lagi satu persoalan penting, kata Sayuti: “Pokoknya, sejauh mana Umno dan Bersatu meyakininya (mempercayai PAS)?”

Seorang pemerhati politik – cukup berpengalaman yang pernah terbabit dalam percubaan mendamaikan Umno-PAS ketika kedua-dua parti itu berperang sengit pada 1990-an melontar pendapat sinis: “Elok semua parti Melayu duduk dalam bumbung teguh. Adakan tiga jawatan timbalan perdana menteri. Parti menang kerusi terbanyak dilantik perdana menteri.” Tetapi kata beliau lagi: “Kena buat perjanjian bertulis.”

Jika saya boleh mencelah – Persoalan yang timbul, adakah ini hanya membabitkan PAS, Umno, dan Bersatu? Bagaimana pula Gerakan Tanah Air yang juga berwajah Melayu-Islam?

Namun, menempatkan semua parti Melayu bawah satu bumbung akan menyaksikan “segregation”, yakni “kami” orang Melayu dan “mereka” orang bukan Melayu. Melayu di sebelah pihak, orang bukan Melayu di satu pihak lain (yang pasti ada juga orang Melayu-Islam bersamanya).

Mengambil kira peranan (kuasa?) Sabah dan Sarawak sebagai penentu siapa boleh bentuk kerajaan pusat, formula itu pada hemat saya, tidak akan mengukir kejayaan. Sekurang-kurangnya dalam waktu terdekat.

Maka, mungkin “terpaksalah” PAS meneruskan peranan (meminjam kata-kata Sayuti) siang jadi isteri, malam jadi gundik. Besar pengorbanan itu.

-FMT

Ketua pengarah penjara dibunuh, mayat dibakar

Reuters

SRINAGAR: Ketua pengarah perkhidmatan penjara di Kashmir ditemui dibunuh, kata polis hari ini, ketika menteri dalam negeri melawat wilayah dipertikai, Himalaya yang sering berdepan pemberontakan sejak beberapa dekad.

Menurut polis, mayat ketua pengarah itu, Hemant Kumar Lohia, 57, ditemui malam tadi di kediamannya yang terletak di wilayah Jammu.

Polis berkata, suspek utama yang sebenarnya adalah pembantu rumah, namun menurut kumpulan militan Islam mereka memang sengaja menyasar untuk membunuh Lohia.

Majoriti penduduk Kashmir adalah Muslim tetapi sering menjadi perebutan antara India yang kebanyakannya beragama Hindu dan Pakistan yang beragama Islam.

Kumpulan pemisah Islam memerangi pasukan keselamatan India dari bahagian diduduki di Kashmir sejak akhir 1980-an.

Pegawai kanan polis, Mukesh Singh, berkata leher Lohia dikerat dan bahagian badannya mempunyai kesan dibakar.

Katanya, siasatan awal mendapati pembunuhan itu bukan ‘tindakan keganasan’ dan polis sedang meneruskan siasatan lanjut.

Barisan Anti-Fasis Rakyat (PAFF), iaitu kumpulan militan yang muncul selepas kerajaan India menyusun semula satu-satunya negeri majoriti Islamnya menjadi dua wilayah yang ditadbir persekutuan pada 2019, berkata pihaknya yang membunuh Lohia.

Polis menyalahkan kumpulan seperti PAFF terhadap pembunuhan yang disasarkan namun, militan tidak membunuh mana-mana pegawai keselamatan kanan Lohia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Ini hanyalah permulaan operasi berprofil tinggi seperti itu,” kata PAFF dalam satu kenyataan di media sosial, sambil mengatakan pembunuhan itu adalah ‘hadiah kecil’ kepada Menteri Dalam Negeri, Amit Shah, yang tiba di Kashmir semalam untuk lawatannya selama tiga hari.

Setakat ini, Reuters tidak dapat mengesahkan kesahihan kenyataan PAFF.

Sebab PRU ke tu? Konsert terbuka di Kedah dihentikan sementara

Noorazura Abdul Rahman

am@hmetro.com.my

MOHD Firdaus pada sidang media berhubung isu penganjuran Muda Mudi Weekend Festival’. FOTO Noorazura Abdul Rahman

MOHD Firdaus pada sidang media berhubung isu penganjuran Muda Mudi Weekend Festival’. FOTO Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Penganjuran konsert terbuka di negeri ini dihentikan sementara sehingga ketetapan baharu dikeluarkan dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya negeri Mohd Firdaus Ahmad berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan negeri memperkemas dan menyelaraskan prosedur operasi standard (SOP) penganjuran program hiburan termasuk konsert di Kedah.

"Kerajaan negeri buat keputusan ini agar kejadian yang sama tidak berulang. Semalam, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu kenyataan memaklumkan sebarang konsert hiburan yang mencetuskan kelakuan di luar tatasusila tidak akan dibenarkan di seluruh Kedah.

"Bagaimanapun, Menteri Besar maklum secara umum jadi kita tidak pasti jenis konsert yang macam mana tidak dibenarkan itu. Esok, saya akan bawa perkara ini untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Exco Negeri dan mungkin ia boleh diperincikan oleh Menteri Besar," katanya pada sidang media hari ini, berhubung penganjuran 'Muda Mudi Weekend Festival, baru-baru ini.

Semalam media melaporkan, kerajaan negeri mengarahkan sebarang aktiviti konsert hiburan yang mencetuskan kelakuan di luar tatasusila dalam kalangan pengunjung tidak dibenarkan diadakan di seluruh Kedah.

Mengulas lanjut, Mohd Firdaus berkata, menerusi hasil perbincangan dan perjumpaan bersama penganjur pihaknya mendapati tiada sebarang pelanggaran membabitkan pihak berkenaan dan apa yang terjadi adalah di luar jangkaan mana-mana pihak.

Katanya, penganjur memang sudah sedia maklum dengan arahan dan SOP yang perlu dipatuhi selain sudah mendapat kebenaran polis dan lesen hiburan untuk penganjuran program berkenaan.

"Penganjur juga sudah mengambil tindakan awal dengan memberhentikan konsert ketika kejadian itu berlaku.

"Saya sendiri melihat tentatif program yang mana pada 1 tengah hari, 4 petang, 7 dan 8 malam, sebarang aktiviti hiburan dihentikan sementara waktu bagi menunaikan fardu solat tetapi perkara ini menjadi isu besar kerana tapak program terletak berhampiran Masjid Zahir dan Pejabat Agama Islam," katanya.

Sementara itu, penganjur Muda Mudi Weekend Festival, Ainol Zulkarnain Zainal Abidin, berkata pihaknya mengikut segala arahan dan SOP yang ditetapkan dan sama sekali tidak menyangka perkara seperti itu akan berlaku.

"Ini adalah program yang positif tetapi mungkin kami berada pada tempat dan masa yang salah. Saya ingin memohon maaf sekiranya telah mendatangkan sebarang kesulitan kepada pihak Balai Seni, Muzium Kedah dan juga kerajaan negeri," katanya.

Zahid gesa PAS buat pendirian segera

Bernama

PAS perlu memutuskan secepat mungkin sama ada mahu bekerjasama dengan Umno bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, tegas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Seawal mungkin, jika tidak kami (BN) akan bergerak solo,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu pada sidang media selepas perjumpaan bersama pimpinan bahagian dan sayap UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Pertemuan lebih sejam itu turut dihadiri Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno dan disertai oleh lebih 700 perwakilan bahagian dan sayap melibatkan 191 bahagian dari seluruh negara.

Ahmad Zahid berkata jika PAS memberikan keabsahan menyertai Umno pada PRU15 dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, parti itu menggunakan logo sendiri dan BN boleh bertoleransi menjalin kebersamaan jentera bagi menghadapi pilihan raya itu.

Umno menetapkan tiga syarat kepada PAS dalam memperkukuh kerjasama rasmi antara dua parti itu bagi menghadapi PRU15.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut memaklumkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah memberi perakuan bahawa gabungan itu akan menyokong kesemua calon BN di Sabah pada PRU15 dalam satu perbincangan yang telah diadakan bersama kepimpinan gabungan itu.

"Kami amat menghargainya dan semoga perkara ini dapat direalisasikan dengan makna yang sebenar bila tiba masanya," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata pemohonan tujuh parti untuk menyertai BN sama ada sebagai parti teras atau Friends of BN dibawa ke perhatian mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

"Kami yakin dengan empat parti teras, lapan parti gabungan atau Friends of BN dan tujuh lagi parti yang mahu menyertai BN," katanya.

- Bernama

Zahid: Saya nak PM menghadap Agong semalam

Shakira Buang

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu menghormati kuasa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi mencadangkan mengenai tarikh pembubaran Parlimen supaya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dapat diadakan secepat mungkin.

Ditanya sama ada naib presiden Umno itu diberikan tempoh untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya berbuat demikian, Zahid secara berseloroh berkata ia sepatutnya dibuat semalam.

"Saya bagi tahu saya nak semalam," katanya pada sidang media selepas majlis taklimat khas Umno, di Kuala Lumpur, hari ini.

Ismail Sabri tidak bersama pada sidang media tersebut meskipun menghadiri majlis taklimat tertutup itu bersama dan dilaporkan turut menyampaikan ucapan.

Ditanya jika benar perdana menteri dijadualkan menghadap Seri Paduka pada Khamis ini untuk memhon Parlimen dibubarkan segera, sekali lagi Zahid memberi jawapan yang samar-samar.

"Saya tak mimpi tarikh itu," katanya ringkas.

Awal hari ini, Ismail Sabri memberitahu bahawa mengadap Yang di-Pertuan Agong adalah rutin lazim buat seorang perdana menteri.

"Menghadap Agong? Saya menghadap setiap minggu sebelum mesyuarat kabinet.

“Iaitu, macam minggu ini kalau waktu parlimen, kabinet hari Jumaat, hari Khamis saya jumpa.

"Kalau hari Rabu mesyuarat kabinet, hari Selasa saya jumpa.

“Perjumpaan dengan Seri Paduka lebih kepada kertas mesyuarat kabinet," kata perdana menteri.

Sementara itu, mengulas lanjut soalan sejauh mana Umno-BN akan tetap mengadakan PRU15 dalam tahun ini, Zahid yang juga adalah pengerusi BN menegaskan perkara itu telah diputuskan secara rasmi oleh Umno.

"Pada 30 September lalu parti telah buat keputusan rasmi iaitu PRU wajib diadakan tahun ini," katanya.

Selain itu, Zahid berkata, Umno juga akan memulakan perbincangan dan rundingan berhubung calon PRU15 pada Isnin depan.

"Minggu depan kita akan mula berbincang dan membuat rundingan iaitu Isnin depan," katanya.

Menurutnya, pemilihan calon-calon bagi PRU15 kali ini juga mesti mengikut kriteria sekali gus tiada calon-calon yang dipilih yang mengikut kluster-kluster tertentu.

"Untuk pemilihan calon pada kali ini, pengerusi-pengerusi perhubungan negeri akan mengemukakan nama-nama calon berkenaan kepada 'Top 5' bagi penentuan calon yang memenuhi kriteria.

"Tiada calon mengikut kluster tertentu dan yang penting, calon Umno yang memulakan panji-panji Barisan Nasional (BN)," katannya.

Terdahulu, Ismail Sabri dan Zahid mengadakan pertemuan khas dengan 191 sayap bahagian parti itu secara tertutup.

Umno akan anjur perhimpunan raksasa jika PAS keluar PN

Anne Muhammad dan Shahrul Shahabudin

KUALA LUMPUR: Umno akan menganjurkan perhimpunan raksaksa bersama PAS sekiranya parti Islam itu memutuskan hubungan Perikatan Nasional (PN).

Memetik sumber, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan perkara tersebut dalam perjumpaan khas dengan semua ketua bahagian termasuk sayap Pemuda, Wanita dan Puteri di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.

“Perhimpunan raksasa Muafakat Nasional 2.0 akan diadakan di WTC sekiranya PAS mengikuti 3 syarat yang ditetapkan oleh presiden sebelum PM (perdana menteri) umum tarikh pilihan raya,” katanya kepada FMT.

Tiga syarat yang ditetapkan adalah PAS keluar daripada PN, memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka “mufarakah” (berpisah) 100% daripada PN dan Bersatu.

Kata sumber lagi, turut dimaklumkan Perhimpunan Agung Umno hujung tahun ini juga akan ditangguhkan.

Mangsa culik cerita dia 'disorok' dalam inap desa di Laos

Saya 'disorok' dalam inap desa di Laos - Azi

Siti Rohana Idris

am@hmetro.com.my

ROSNAZIRAH (kanan) yang diculik sekumpulan lelaki pada 13 September lalu berjaya dibawa pulang ke negara ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

ROSNAZIRAH (kanan) yang diculik sekumpulan lelaki pada 13 September lalu berjaya dibawa pulang ke negara ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Kota Bharu: "Setiap hari ketika dalam tahanan saya berdoa agar segera dikembalikan kepada keluarga dan Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan," kata Rosnazirah Mohd Naim.

Rosnazirah, 36, yang diculik sekumpulan lelaki pada 13 September lalu berjaya dibawa pulang ke negara ini pada Khamis lalu sebelum diserahkan kepada keluarga, petang semalam.

Ejen jualan kosmetik itu berkata, dia tidak mengingati secara jelas kronologi penculikannya, namun tahu ditempatkan di sebuah rumah seakan inap desa di sebuah perkampungan di Laos selepas menempuh perjalanan panjang dari Sungai Golok di Pengkalan Kubor, Tumpat.

"Ketika tiba di tebing Sungai Golok pada hari kejadian (diculik) untuk menaiki bot, ada beberapa saksi di sekitar tapi mungkin mereka tidak tahu apa sebenarnya berlaku atau tidak ingin masuk campur kerana takut.

"Sebaik menyeberangi Sungai Golok, saya dibawa menaiki kereta dan terus menuju ke destinasi yang tidak diketahui, tapi menempuh perjalanan yang lama sehinggalah tiba di sebuah rumah di Laos.

"Sepanjang ditahan, setiap hari saya menangis dan bertanya bila akan dikembalikan kerana saya difahamkan mereka tidak meminta wang tebusan, malah tidak tahu apa motifnya," katanya.

Rosnazirah berkata demikian ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi untuk bertanya khabar wanita itu, hari ini.

Menurutnya, sepanjang perjalanan dari Thailand untuk memasuki Laos, mereka menempuh banyak sekatan jalan raya dan hatinya berdoa agar ditahan di mana-mana lokasi tetapi tidak berlaku sehinggalah mereka tiba di destinasi.

Sepanjang ditahan, Rosnazirah berkata, dia menerima layanan baik daripada kumpulan individu yang menculiknya termasuk menjaga makan minumnya, namun dalam masa yang sama berasa bimbang jika diapa-apakan.

"Dalam hati, saya ada juga ingin menjerit meminta tolong, tapi mengenangkan ia mungkin sia-sia kerana kawasan sekitar adalah sawah padi dan tiada yang faham, saya hanya mampu berdoa sahaja," katanya.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, setiap kali ditanya bila akan dihantar pulang, lelaki itu memberi jaminan akan berbuat demikian sambil memintanya bersabar selain memberi tempoh antara tiga minggu hingga sebulan kerana keadaan masih 'panas' disebabkan berita mengenai penculikannya tersebar luas.

Sehinggalah pada satu hari, seorang daripada penculik itu memberitahunya 'you back home' dan Rosnazirah bertanya 'when?' sebelum dijawab 'today' oleh lelaki berkenaan.

"Kami menaiki kereta menuju ke Bangkok dan ditahan oleh pihak imigresen (Thailand) sebelum anggotanya perasan wajah saya yang tersebar berhubung kes penculikan menyebabkan kami semua ditahan dan saya dibawa ke depot tahanan imigresen.

"Tidak lama kemudian saya dibawa ke Kedutaan Malaysia di Thailand dan selepas itu saya dapat berhubung dengan keluarga dan proses membawa pulang ke negara ini segera dibuat," katanya.

Dalam masa yang sama, wanita itu mengakui masih berasa trauma dan meminta diberi masa secukupnya untuk bertenang sebelum dapat memberi penjelasan penuh mengenai kejadian pahit yang dialaminya itu.

Pelakon Zul Ariffin didenda RM30,000 muat naik video sumbang

Faisal Asyraf

Pelakon Zul Ariffin dikenakan hukuman denda kerana memuat naik video berhubung siri televisyen dibintanginya bertajuk “Perempuan Itu”. (Gambar Instagram)

SEPANG: Pelakon Zul Ariffin didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memuat naik klip video bersifat sumbang di akaun Instagram miliknya pada Mac lalu.

Hakim Noorhisham Mohd Jaafar menjatuhkan hukuman itu terhadap Zul, 36, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Zul didakwa memuat teaser klip ‘babak panas’ itu untuk siri yang akan ditayangkan di televisyen bertajuk “Perempuan Itu” pada 18 Mac.

Siri itu dijadualkan untuk disiarkan semasa bulan puasa umat Islam pada bulan April.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian yang memperuntukan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.



Perjumpaan khas Umno bersama Zahid, Ismail sebelum Parlimen bubar esok?

FMT Reporters

PETALING JAYA: Perjumpaan khas dengan semua ketua bahagian termasuk sayap Pemuda, Wanita dan Puteri di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur esok merupakan himpunan terbesar dan terakhir Umno sebelum Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata sumber Umno.

Sumber berkata, jemputan telah hantar kepada semua pemimpin akar umbi bahagian seluruh negara bagi menghadiri perjumpaan khas bersama Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Semua ketua bahagian, ketua Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian dijemput hadir dari seluruh negara.

“Itu adalah perjumpaan terakhir Umno dalam skala besar sebelum pilihan raya,” kata sumber itu kepada FMT.

Sabtu lalu Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dalam surat bertarikh 30 Sept berkata, majlis perjumpaan itu akan diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, bermula 2 petang.

“Adalah dimaklumkan bahawa satu perjumpaan khas bersama presiden Umno dan perdana menteri akan diadakan pada 4 Okt (Selasa), bertempat di Dewan Tun Hussein Onn, aras 2 WTC,” kata surat itu.

Ahmad selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Jumaat lalu memaklumkan parti itu mencapai konsensus supaya pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini.

Ahmad berkata, Ismail akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaras Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Seorang pelakon didakwa esok kerana 'hantaran sumbang'

Malaysiakini

Seorang pelakon bakal didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor esok.

Menurut maklumat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), pelakon terbabit akan didakwa atas tuduhan membuat dan memulakan klip video bersifat sumbang.

Difahamkan pendakwaan terhadap pelakon terbabit akan dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ia melibatkan penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.

Jika disabitkan kesalahan, pelakon terbabit boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya.

Pesalah juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Tahniah Malaysia, Negara ke-12 terbawah miliki jalan raya terburuk

Negara ke-12 terbawah miliki jalan raya terburuk jatuh kepada …

DANIAL HAKIM

Malaysia ‘diiktiraf’ di tangga ke-12 terbawah dalam kalangan 59 negara yang memiliki jalan raya terburuk, mengikut laporan kajian bertajuk ‘Worst and Best Roads – US and International Ranking’.

Kajian dilakukan firma pendidikan pemandu, Zutobi itu memaklumkan mutu jalan raya di Malaysia menurun lebih 5 peratus dalam tempoh lima tahun lalu.

Dalam masa sama, menurut data firma itu, jumlah kematian jalan raya di Malaysia direkod kedua tertinggi iaitu 22.76 bagi setiap 100,000 orang.

Analisis kajian itu memberikan Malaysia skor keselamatan keseluruhan 3.32 daripada 10 berdasarkan empat faktor iaitu kualiti jalan raya, peningkatan kualiti jalan raya, kematian jalan raya, dan saiz relatif rangkaian jalan raya.

Kuwait turut disenaraikan dalam kumpulan negara yang mempunyai jalan raya terburuk dunia, diikuti Costa Rica, Georgia, Panama dan New Zealand.

Negara yang terletak di pantai Teluk Arab itu juga mencatatkan jumlah kematian jalan raya ketiga tertinggi bagi setiap 100,000 orang iaitu hampir 19.

Sementara itu, Singapura disenaraikan sebagai negara yang mencatatkan skor keseluruhan tertinggi kualiti jalan raya iaitu 9.44 daripada 10, lapor BH Online.

Republik itu juga dilapor merekodkan kadar kematian jalan raya terendah iaitu 1.69 bagi setiap 100,000.

Empat lagi negara yang mencatatkan skor kualiti jalan raya tertinggi ialah Belanda dengan 8.62 daripada 10, diikuti Switzerland (8.58 peratus), Japan (8.41) dan Denmark (7.59).

Lelaki mengaku salah ugut tikam isteri tolak hubungan seks

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan mengugut mahu menikam isterinya kerana menolak permintaan melakukan hubungan seks, Mei lalu.

Majistret Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Faidros Mustafa, 41, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan ketakutan terhadap isterinya, Rohani Mohamed Kassim, 32, selepas wanita itu enggan melakukan persetubuhan dengannya.

Perbuatan itu dilakukan pada 9 malam di sebuah rumah beralamat di Balai Panjang, Melaka Tengah, pada 9 Mei lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375A Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan, lapor Kosmo.

Mengikut fakta kes, tertuduh mengugut menikam perut isterinya itu sekiranya wanita tersebut enggan menuruti kehendaknya melakukan hubungan seks.

Tertuduh mempunyai dua orang anak turut memaksa isterinya untuk mengambil dadah jenis syabu.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan telah insaf dan tempoh penjara diambil kira daripada tarikh ditangkap iaitu 14 Ogos lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dari tarikh tertuduh ditangkap.

Air mata gembira sambut kepulangan mangsa culik

Bernama


Ejen jualan produk kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim, yang diculik sekumpulan lelaki di rumahnya di Tumpat pada 13 Sept lalu diserahkan polis kepada ahli keluarganya di Jalan Kelochor hari ini.

Kepulangan Rosnazirah, 36, disambut dengan tangisan kegembiraan oleh ibu bapa serta anggota keluarga yang lain, termasuk anak perempuannya yang berusia 13 tahun.

Turut mengiringi ketibaan wanita terbabit ialah Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun serta pegawai-pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Muhamad Zaki berkata dengan penyerahan mangsa kepada keluarganya, kes terbabit dianggap selesai dan kejayaan berkenaan menunjukkan kesepaduan masyarakat dalam menangani permasalahan seumpama itu.

“Ini adalah kejayaan hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan, Bukit Aman dan rakan setugas dari negara jiran.

“Kita tahu mangsa ditahan penculik melebihi 20 hari dan mungkin pengalaman dialami mangsa meninggalkan kesan emosi dan kejutan kepadanya.

"Sebaiknya kita berilah ruang kepada dia dan keluarganya buat masa sekarang,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan hari ini.

Jelas Muhamad Zaki, polis akan terus membantu mangsa termasuk dari segi psikologi dan berharap agar masyarakat jangan memperkatakan hal yang negatif melibatkan wanita terbabit.

Katanya orang ramai perlu mengambil iktibar daripada kejadian tersebut dan berharap perkara sama tidak menimpa ke atas orang lain.

“Apa yang penting kita berikan ruang kepada mangsa dan keluarga untuk menenangkan diri,” katanya.

Dalam kejadian 13 Sept lepas, mangsa diculik beberapa lelaki dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat pada jam 5.10 petang.

Mangsa disyaki dilarikan ke negara jiran melalui pangkalan haram di Kuala Jambu, Tumpat ekoran penemuan kereta yang digunakan suspek.

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani, dalam kenyataan sebelum ini berkata mangsa diselamatkan melalui kerjasama dan perkongsian maklumat dan perisikan antara PDRM dengan Polis Diraja Thailand yang berjaya mengesan lokasi keberadaan mangsa di negara itu.

- Bernama